Khamis, 18 Ogos 2011

Bulan Al-qur'an dan Sahur Yang Barokah

2 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani puasa kepada semua rakan jamaah serta para pembaca dan mendoakan agar Allah Swt. menerima semua amalan kita. Saya masih menulis semula artikel berdasarkan siri kuliah/tazkirah sepanjang Ramadhan ini, namun tidak dapat disiapkan sehingga kini atas beberapa kekangan. Oleh itu, pada kali ini saya sertakan artikel kuliah yang telah dibuat oleh sahabat saya Akhi Abu Numair An Nawawi untuk manfaat ilmiah kita bersama. Siaran ini diperbuat dengan kebenaran beliau sendiri. Artikel saya sendiri akan menyusul setelah disiapkan nanti, InsyaAllah.
 
Ramadhan Bulan Al Qur’an
 
Allah Swt. telah memuliakan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain dengan memilihnya sebagai bulan diturunkannya al-Qur’an al-‘Adzim. Keistimewaan ini diberikan oleh Allah kepada bulan Ramadhan sebagaimana dinyatakan melalui firman-Nya:
 
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
 
“...Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang bathil).”
Surah al-Baqarah (2) : ayat 185
 
Begitu juga sebagaimana dinyatakan di dalam hadis Rasulullah Saw. bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan di mana Kitab-kitab Ilaahiyah diturunkan kepada para Nabi ‘alaihimussalatu was Salam. (Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, halaman 501)
 
Rasulullah Saw. bersabda:
 
أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْقُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ
 
“Suhuf (lembaran-lembaran) Ibrahim diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada tarikh enam Ramadhan, Injil diturunkan pada tarikh tiga belas Ramadhan, dan al-Qur’an diturunkan (nuzul al-Qur’an) pada tarikh dua puluh empat Ramadhan.”
Hadis Riwayat Ahmad, 28/191, no. 16984. Ath-Thabrani, 4/111, no. 3740. Dinilai hasan oleh al-Albani dan Ahmad Muhammad Syakir. Manakala sebahagian lain ada yang mendhaifkannya.
 
Wallahu a’lam, melalui hadis ini juga diperjelaskan kepada kita bahawa al-Qur’an mula diturunkan pada hari (malam) ke dua puluh empat di bulan Ramadhan.
 
Allah Swt. menjelaskan lagi bahawa al-Qur’an diturunkan pada malam yang penuh kemuliaan dan kesejahteraan, iaitu malam al-Qadr. Malam yang penuh dengan kebaikan melebihi seribu bulan. Ini sebagaimana firman-Nya:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
 
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Tahukah kamu apa dia malam al-Qadr? Malam al-Qadr adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.”
Surah al-Qadr (97) : ayat 1-3
 
Allah menurunkan al-Qur’an kepada Rasul kita Muhammad Saw. demi untuk membimbing manusia. Turunnya al-Qur’an merupakan peristiwa besar yang sekaligus menyatakan tinggi kedudukannya bagi penghuni langit dan bumi. Turunnya al-Qur’an pertama kali jatuh pada Lailatul Qadr (malam al-Qadr) yang mana merupakan pemberitahuan kepada alam samawi yang dihuni oleh para malaikat berkaitan kemuliaan umat Muhammad. Allah memuliakan kita sebagai umat Muhammad pada hari ini dengan risalah barunya agar menjadi umat yang paling baik yang dikeluarkan bagi manusia.
 
Berdasarkan pengangan jumhur ulama, al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia di Baitul ‘Izzah untuk menunjukkan kepada para malaikat-Nya bahawa betapa agungnya persoalan al-Qur’an ini. Seterusnya al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Saw. pertama kali pada malam itu juga. Kemudian secara beransur-ansur selama dua puluh tiga tahun bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang mengiringinya bermula dari beliau diutus sehinggalah wafatnya. Selama tiga belas tahun beliau tinggal di Makkah, dan selama itu jugalah wahyu turun kepadanya. Selepas hijrah, beliau tinggal di Madinah selama sepuluh tahun. Beliau wafat dalam usia enam puluh tiga tahun. Ini antaranya sebagaimana firman Allah Swt.:
وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَى مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيلا
 
“Dan al-Qur’an telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-perlahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.”
Surah al-Isra’ (17) : ayat 106
 
Turunnya al-Qur’an secara beransur-ansur amat berbeza dengan kitab-kitab yang turun sebelumnya, sangat mengejutkan orang, dan menimbulkan keraguan terhadapnya sebelum jelas bagi mereka rahsia hikmah Ilahi yang ada di balik itu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak menerima risalah besar ini dengan cara sekaligus, dan kaumnya yang sombong dan berhati keras turut dapat ditawan (dilunakkan) dengannya.
 
Antara hikmah wahyu ini turun secara beransur-ansur adalah demi menguatkan hati Rasul-Nya dan menjadikannya saling berkait dengan peristiwa serta kejadian-kejadian yang mengiringinya sehingga Allah menyempurnakan agama ini dan mencukupkan nikmat-Nya.
 
Tadarus al-Qur'an
 
Bertepatan dengan turunnya al-Qur’an di bulan Ramadhan, para ulama turut menamakan bulan ini sebagai bulan al-Qur’an. Bulan di mana umat Islam disunnahkan supaya menyibukkan diri dengan al-Qur’an. Iaitu menyibukkan diri dengan bertadarus atau mentadabburinya. Maksud tadarus di sini adalah merujuk kepada membaca, mengulangkaji, mengajar, atau menyemak bacaan al-Qur’an.
 
‘Abdullah B. ‘Abbas rhu. berkata:
 
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
 
“Rasulullah Saw. adalah orang yang paling dermawan. Beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan di ketika Jibril ‘alaihis Salam datang menemui beliau. Jibril ahs. selalu mendatangi beliau pada setiap malam bulan Ramadhan untuk membaca, mengajar, dan menyemak bacaan al-Qur’an bersama beliau. Ketika waktu tersebut, Rasulullah Saw. lebih dermawan dari hembusan angin.”
Hadis riwayat al-Bukhari, Jilid 1/7, no. 5
 
Di antara faedah yang dapat diambil dari hadis ini adalah sebagaimana kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
 
واستحباب الأكثار من القراءة في رمضان وكونها أفضل من سائر الأذكار إذ لو كان الذكر أفضل أو مساويا لفعلاه
 
“Anjuran supaya memperbanyakkan bacaan al-Qur’an pada bulan Ramadhan. Kerana membaca al-Qur’an itu lebih utama dari zikir-zikir selainnya. Sekiranya zikir itu lebih utama atau sama nilai keutamaannya tentu Malaikat Jibril dan Rasulullah telah melakukannya (pada bulan Ramadhan).” (Fathul Bari, 1/31)
 
Para ulama dari kalangan Salafus Soleh lebih banyak membaca al-Qur’an sama ada dalam solat atau di luar solat ketika bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan selainnya. Wallahu a’lam di sana ada beberapa riwayat yang menyebutkan tentang mereka di mana ada di antara mereka yang mengkhatam al-Qur’an setiap dua malam sekali pada bulan Ramadhan seperti al-Aswad, ada yang mengkhatam setiap minggu seperti Qotadah, dan ada pula yang mengkhatam setiap malam seperti Mujahid. Malah menurut ar-Rabi’ B. Sulaiman, Imam asy-Syafi’i mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak 60 kali pada bulan Ramadhan. (Siyar A’lam an-Nubala’, 10/36)
 
Ketika era pemerintahan ‘Umar al-Khatthb rhu., Saa’ib B. Yazid menyatakan bahawa ‘Umar pernah memerintahkan ‘Ubai B. Ka’ab dan Tamim ad-Daari mengimami umat Islam solat tarawih dengan sebelas rakaat. Beliau menyatakan:
 
وَقَدْ كَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلَّا فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ
 
“Pada ketika itu, seorang qari (imam) biasanya akan membaca ratusan ayat sehingga kami terpaksa bersandar kepada tongkat kami kerana terlalu lamanya berdiri. Kami bersurai (selesai solat) hanya ketika hampir-hampir masuk Subuh (fajar).”
Hadis Riwayat Malik, al-Muwaththa’, Jilid 1/341, no. 232. Dinilai sahih oleh al-Albani, Irwa’ al-Ghalil, 2/192
 
Demikian juga ketika zaman Rasulullah Saw. Sebagaimana diriwayatkan dalam Sunan at-Tirmidzi, Rasulullah pernah mengimami solat tarawih di bulan Ramadhan dengan bacaan al-Qur’an yang cukup panjang (atau banyak). Ia berlangsung satu malam suntuk sehingga para sahabat risau tidak sempat untuk bersahur. Dalam riwayat yang lain dinyatakan Rasulullah pernah mengimami solat tarawih dalam satu malam dengan membacakan surah al-Baqarah, Ali ‘Imran, an-Nisaa’, al-Ma’idah, dan al-An’am. (Rujuk: al-Albani, Sholatut Tarawih, m/s. 12)
 
Ini semua menunjukkan bahawa memperbanyakkan membaca al-Qur’an di bulan Ramadhan adalah salah satu sunnah Rasulullah Saw., para sahabat, dan para Salafus Soleh. Sunnah membaca ini bukan hanya sekadar membaca dan mengkhatamkan, tetapi perlu dengan penghayatan, kefahaman, tadabbur, serta mempelajarinya. Allah Swt. berfirman:
 
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
 
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman (dengan sempurna) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.”
Surah al-Anfaal (8) : ayat 2
 
Maka ambillah peluang ini dan getarkanlah hati-hati kita dengan al-Qur’an. Sekiranya di bulan-bulan yang lain kita sering sibuk sehingga lalai dari al-Qur’an, maka seharusnya di bulan Ramadhan ini kita peruntukkanlah ruang untuk perniagaan membeli akhirat. Ironinya apa yang kita lihat dalam kalangan masyarakat hari ini, bulan Ramadhan adalah bulan berpesta kain dan pakaian, pesta kuih dan juadah, pesta jualan dan perniagaan. Di mana slogan-slogan agama yang mengatakan Ramadhan adalah bulan ibadah, bulan al-Qur’an, bulan sedekah, bulan yang penuh dengan ganjaran kebaikan, dan yang di dalamnya ada malam al-Qadr?

Beleklah al-Qur’an, beleklah tafsir-tafsirnya, kuatkanlah hati untuk ke masjid solat berjama’ah, sambutlah Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan pohonlah keampunan kepada-Nya. Rasulullah Saw. bersabda:
 
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
Hadis riwayat al-Bukhari, Jilid 1/67, no. 37)
 
Di ketika bulan Ramadhan, kita diperintahkan untuk berpuasa di siang hari dan berbuka di malam harinya. Selagi mana waktu masih malam, iaitu selagi belum masuknya Subuh, maka kita dibolehkan untuk makan, minum, dan menggauli isteri yang mana perkara ini diharamkan dilakukan di waktu siangnya. Ini adalah berdasarkan firman Allah Swt. (maksudnya):
 
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
 

“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan Ramadhan untuk bercampur dengan isteri-isteri kamu - mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar (masuknya waktu Subuh).”
Surah al-Baqarah (2) : ayat 187
 
Adalah menjadi sunnah Rasulullah Saw. di bulan Ramadhan sebelum memulakan puasa beliau bersahur dan melewatkannya di penghujung malam. Sahur adalah makan atau minum di penghujung waktu malam ketika hampir menjelang Subuh bertujuan untuk puasa. Atau lebih tepat lagi adalah akhir sepertiga malam sehingga terbitnya fajar (masuk waktu Subuh).
 
Sahur Penuh Barakah
 
Nabi Saw. bersabda:
 
السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ، فَلَا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ
 
“Makan ketika sahur itu barakah, maka janganlah kamu meninggalkannya sekalipun hanya dengan seteguk air. Kerana Allah ‘Azza wa Jalla dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang bersahur.”
Hadis riwayat Ahmad, Jilid 17/150, no. 11086. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth
 
Di antara bentuk barakah dari sahur adalah mampu memberikan tenaga, menguatkan semangat, dan meringankan beban bagi mereka yang berpuasa. Ini adalah hasil dari makanan dan minuman yang diambil ketika sahur. Kemudian, waktu sahur itu sendiri pula termasuk ke dalam waktu mustajab berdoa, waktu terbaik beribadah, dan waktu diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan. Rasulullah Saw. menjelaskan kepada kita bahawa:
 
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
 
“Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkannya.”
Hadis riwayat al-Bukhari, Jilid 23/13, no. 6940)
 
Berkenaan turunnya Allah ke langit dunia, Ahlus Sunnah wal-Jama’ah menerima sebagaimana zahir hadis tentangnya. Iaitu Allah turun secara hakiki bukan majazi, tanpa diserupakan dengan turunnya makhluk, tanpa diberi perumpamaan, dan tanpa mempersoalkannya bagaimana. Kerana Allah Swt. tidak menyerupai segala sesuatu dan kita tidak mengetahui tentang-Nya melainkan dengan nash-nash yang sahih.
 
Seterusnya, dalam al-Qur’an pula kita boleh lihat Allah memuji mereka yang memohon keampunan ketika waktu sahur. Ini boleh disemak di Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 17 dan Surah adz-Dzaariyaat (51) : ayat 18. Selain penuh barakah dan dalam rangka mengikuti sunnah, bersahur turut menjadi pembeza di antara puasa umat Islam dengan Ahlul Kitab (Yahudi dan Nashara). Rasulullah Saw. bersabda:
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ
 
“Pembeza di antara puasa kami dengan puasa Ahlul Kitab adalah makan sahur.”
Hadis riwayat Muslim, Jilid 5/388, no. 1836
 
Melewatkan Sahur
 
Rasulullah Saw. bersabda:
إنا معاشر الأنبياء أمرنا بتعجيل فطرنا وتأخير سحورنا
 
“Sesungguhnya kami para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka (sebaik masuk waktunya) dan melewatkan sahur.”
Majma’ az-Zawa’id, 2/275, no. 2609. Kata al-Haitsami, “Hadis riwayat ath-Thabrani dalam al-Kabir dan para perawinya perawi kitab Shahih.”
 
‘Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad Saw. adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.”
Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, Jilid 4/199
 
Waktu Disunnahkan Bersahur
 
Waktu disunnahkan memulakan sahur adalah sekitar kira-kira tempoh bacaan lima puluh ayat al-Qur’an sebelum masuknya waktu Subuh. Ini menunjukkan sekitar 15 atau 10 minit sebelum masuknya waktu subuh.
 
Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Zaid B. Tsabit rhu., beliau berkata:
 
تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً
 
“Kami pernah makan sahur bersama Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam. Setelah itu beliau segera menunaikan solat.” Aku bertanya, “Berapa lama jarak antara azan dengan sahur?” Beliau menjawab, “Kira-kira sama seperti (panjangnya) bacaan lima puluh ayat al-Qur’an”.
Hadis riwayat al-Bukhari, Jilid 6/500, no. 1787
 
Juga sebagaimana firman Allah Swt. ,
“... makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu terbitnya fajar (masuknya waktu Subuh).”
Surah al-Baqarah (2) : ayat 187
 
Rasulullah Saw. menjelaskan lagi :
كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ فَإِنَّهُ لَا يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ
 
“Makan dan minumlah kamu sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan. Dan beliau hanya melaungkan azan setelah terbit fajar (setelah masuknya waktu Subuh).”
Hadis riwayat al-Bukhari, Jilid 6/496, no. 1785
 
Tiga dalil ini menunjukkan bahawa sunnah makan sahur bermula dari kira-kira 50 ayat bacaan al-Qur’an menuju masuknya waktu Subuh (atau azan dikumandangkan). Dan makan perlu berhenti sebaik sahaja telah jelas masuknya waktu Subuh atau azan dikumandangkan.
 
Menghabiskan Makan dan Minum Ketika Azan
 
Rasulullah Saw. bersabda:
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ، فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ
 
“Apabila salah seorang di antara kamu mendengar panggilan (azan subuh) sedangkan bekas (minuman) masih ada di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga ia menyelesaikan hajat darinya (menghabiskan minum).”
Hadis Riwayat Ahmad, 16/368, no. 10629. Abu Dawud, Kitab ash-Shaum, 6/297, no. 2003. Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/320, no. 729. Al-Baihaqi, 4/218, no. 7809. Dinilai sahih oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, dan al-Albani. Hasan oleh al-Wadi’i dan al-Arnauth. Lihat: al-Albani, as-Silsilah ash-Shahihah, 3/381. Muqbil B. Hadi al-Wadi’i, al-Jaami’ ash-Shahih mimma Laisa fii Shahihain, 2/373-374. An-Nawawi turut memperakui kesahihannya dalam al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 6/312
 
Syaikh Muqbil B. Hadi al-Wadi’i rahimahullah meletakkan hadis ini dalam bab:
 
“Mendengar Azan Sementara Bekas (Minuman) Berada Di Tangan Maka Dibolehkan Untuk Minum Darinya.” (Rujuk: al-Jaami’ ash-Shahih mimma Laisa fii Shahihain. m/s. 373)
 
Salah seorang perawi hadis ini, ‘Ammar B. Abi ‘Ammar (perawi Abu Hurairah) menyatakan:
وَكَانَ الْمُؤَذِّنُ يُؤَذِّنُ إِذَا بَزَغَ الْفَجْرُ

“Bahawasanya mereka mengumandangkan azan setelah terbit fajar.” (Hadis Riwayat Ahmad, 16/368, no. 10630. Dinilai sahih oleh al-Albani dan al-Arnauth)

Di antara riwayat lain yang menguatkan hadis ini adalah hadis daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:
أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ وَالإِنَاءُ في يَدِ عُمَرَ فَقَالَ: أَشْرَبُهَا يَا رَسُولَ الله؟ فَقَالَ: نَعَمْ، فَشَرِبَهَا
 
“Pernah ketika solat hendak didirikan (iqamah) sedangkan bekas (minuman) masih di tangan Umar (al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu). Dia bertanya kepada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam, “Adakah aku boleh meminumnya?” Rasulullah menjawab, “Boleh.” Maka ‘Umar pun meminumnya.”
Tafsir ath-Thabari, 3/527, no. 3017. Dinilai sahih isnadnya oleh Ahmad Muhammad Syakir, dan hasan oleh al-Albani
 
Juga hadis daripada Abu az-Zubair, beliau berkata:
 
قَالَ: سَأَلْتُ جَابِرًا عَنِ الرَّجُلِ يُرِيدُ الصِّيَامَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ لِيَشْرَبَ مِنْهُ، فَيَسْمَعُ النِّدَاءَ، قَالَ جَابِرٌ: كُنَّا نُحَدَّثُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " لِيَشْرَبْ
 
Aku pernah bertanya kepada Jabir tentang seseorang yang hendak berpuasa sedangkan ia masih memegang bekas untuk minum, kemudian ia mendengar panggilan (azan Subuh). Jabir menjawab:
 
“Kami pernah mengatakan perkara seperti itu kepada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau bersabda, “Hendaklah ia minum.”
Hadis Riwayat Ahmad 23/82, no. 14755. Al-Albani berkata, “Wa Isnaduhu laa ba’sa bihi fii asy-Syawaahid (Isnadnya tidak mengapa (dapat diguna) untuk penguat).” (as-Silsilah ash-Shahihah, 3/381) al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan isnadnya hasan.” (Majma’ az-Zawa’id, 3/364, no. 4858) Syu’aib Al-Arna’uth menyatakan, “Hasan lighairihi, dan sanad hadis ini dha’if kerana buruknya hafalan Ibnu Lahi’ah.”
 
Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan:
 
وفيه دليل على أن من طلع عليه الفجر وإناء الطعام أو الشراب على يده أنه يجوز له أن لا يضعه حتى يأخذ حاجته منه فهذه الصورة مستثناة من الآية: وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر. فلا تعارض بينها وما في معناها من الأحاديث وبين هذا الحديث ولا إجماع يعارضه بل ذهب جماعة من الصحابة وغيرهم إلى أكثر مما أفاده الحديث وهو جواز السحور إلى أن يتضح الفجر وينتشر البياض في الطرق راجع " الفتح ( 4 / 109 - 110 ) لأن من فوائد هذا الحديث إبطال بدعة الإمساك قبل الفجر بنحو ربع ساعة. لأنهم إنما يفعلون ذلك خشية أن يدركهم أذان الفجر وهم يتسحرون ولو علموا هذه الرخصة لما وقعوا في تلك البدعة
 
“Dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang mengetahui fajar telah terbit tetapi bekas makanan atau minuman masih berada di tangannya, dia boleh segera menyelesaikan keperluannya tersebut (makan dan minum). Ini adalah bentuk pengecualian dari ayat “... makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu terbitnya fajar (masuknya waktu Subuh).” (Surah al-Baqarah, 2: 187)
 
Ayat ini dan hadis-hadis yang semakna dengannya tidak bertentangan dengan hadis tersebut. Tiada pula ijma’ ulama yang bertentangan dengannya. Bahkan sejumlah sahabat dan selain mereka berpendapat selari dengan makna hadis ini iaitu boleh makan sahur sehingga jelas terbitnya fajar dan menyebarnya cahaya di jalan-jalan (setelah jelas masuknya waktu Subuh). Lihatlah di kitab Fathul Bari (5/109-110). Dalam masa yang sama, hadis ini menolak bid’ah tentang penetapan waktu imsak sekitar 15 minit sebelum terbitnya fajar (sebelum masuknya waktu Subuh). Kebanyakan mereka yang mengamalkannya adalah disebabkan bimbang berkumandangnya azan Subuh dalam keadaan mereka sedang bersahur. Kalaulah mereka mengetahui rukhsah (keringanan) ini, sudah tentu mereka tidak akan terjerumus ke dalam bid’ah sedemikian rupa.” (Tamamul Minnah fii Ta’liq ‘ala Fiqhus Sunnah, m/s. 417-418)
 
Bersahur Dengan Tamar

Rasulullah Saw. bersabda:
نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

“Sebaik-baik makanan ketika seseorang mukmin bersahur adalah tamar (kurma kering).”
Hadis Riwayat Abu Daud, 6/290, no. 1998. Shahih Ibnu Hibban, 8/253, no. 3475. Dinilai sahih oleh Ibnu Hibban, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth

Oleh itu, janganlah kita tinggalkan begitu sahaja sunnah bersahur ini walaupun hanya dengan kurma kering mahupun seteguk air. Selain beberapa hikmah dan bentuk barakah (tambahan kebaikan) yang dapat kita lihat secara umum, di sana masih ada lagi bentuk-bentuk barakah yang hanya diketahui di sisi Allah Swt.

Menyahut sunnah makan sahur ini juga termasuk ke dalam ciri-ciri mengerjakan puasa di atas keimanan dan mengharapkan pahala Allah Swt. Yang dengannya akan menjadi sebab diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan semoga kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.
 
والله اعلم
 
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Kes JAIS serbu gereja.

0 ulasan
Salaam, Abang Mad,

Sekarang sedang kecoh kes terbaru iaitu JAIS serbu gereja baru-baru ini di Damansara, ia menjadi isu yang besar menyebabkan banyak pertelagahan dan pertentangan pendapat berbagai pihak. Malah paling teruk sekali, dikalangan orang Islam pun sendiri pun berbalah. Saya nak minta Abg. Mad ulas sikit tentang hal ini. Juga berikan sama ada hal ini sengaja dipolitikkan atau ada sesuatu dalam sistem amalan semasa kita yang tak berapa kena.

Diharap dapat Abg. Mad beri pandangan dan pendirian yang jelas dalam hal ini, untuk manfaat ilmiah semua rakan-rakan.

Wassalam.


Maklumbalas :

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani puasa kepada semua rakan jamaah serta para pembaca dan mendoakan agar Allah Swt. menerima semua amalan kita. Saya mendapat email mohon beri pandangan dalam perkara ini dari 3 orang, sudah lama pun, tetapi jumlah email keseluruhan adalah 5 kerana Sdr. Boru ada membuat 2 kali email peringatan kepada saya termasuk 1 kali panggilan telefon, juga berpesan supaya saya tidak lupa memberikan maklumbalas. Setelah itu saya pun menulis artikel maklumbalas ini kerana "memenuhi permintaan", bukannya saya suka sangat pun.

Baik sekali saya sebutkan, ulangan yang entah ke berapa kali, saya memang kurang gemar memberikan ulasan ke atas isu semasa kerana tidak suka terlibat dengan kontroversi dan kekecohan. Sepanjang pengalaman saya berpuluh tahun hidup di Malaya ini, terlalu banyak hal yang kita-kita ini terlebih emosional dari rasional serta, lebih perasaan dari fikiran. Tambah-tambah lagi dalam hal politik dan agama. Kita-kita ini lebih suka mengikut "lubang biawak' masing-masing berbanding mencari yang Haq yaitu Kitabullah dan as sunnah rasulNya sebagai "sebaik-baik penghuraian".

Oleh itu, sesiapa rakan serta pembaca yang berminat untuk terus membaca artikel maklumbalas ini disebalik muqaddimah yang tak sedap di dengar ini, dipersilakanlah membacanya sehingga habis dan boleh di'forward'kan kemana-mana, hakcipta tak terpelihara dan saya bertangungjawab penuh ke atasnya. Kepada yang tidak berminat dan tak suka, selepas habis dibaca paragraph ini, padamkan saja email ini.

Baik sekali, saya mulakan dengan ayat-ayat Allah Swt. yang sendiri menjelaskan maksudnya. Tidak jua perlu saya bercerita panjang tentang tafsir ayat-ayat ini kerana saya yakin rakan-rakan dan para pembaca telah sedia maklum akan maksudnya.

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang diluar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya".
Surah Ali Imran (3) : ayat 118

“Sekali-kali tidak akan orang yahudi dan nasrani redha (suka) kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar). Dan sesungguhnya, jika kamu ikut kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepada kamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 120

Amat perlu ummat Islam berhati-hati dengan segala tipudaya kaum kafirin kerana hakikatnya mereka tidak pernah redha dan suka kepada kita orang-orang mukmin ini sehingga kita mengikut agama dan telunjuk mereka (menjadi kufur sepertimana mereka).

Daulah Islam adalah sebuah negara berperlembagaan berteraskan syariat Islam sebagai tonggak rujukan hukum dan perundangannya. Perlembagaannya tercermin padaprinsip-prinsip dan hukum syara’ yang dibawakan oleh Al Qur’an ul Haaq dan as Sunnah Nabawiyah dalam hal aqidah, ibadah, akhlak, muammalah, hubungan individu, sivil, jenayah, pentadbiran, perlembagaan dan perhubungan antarabangsa. Maka tiada pilihan lain, kepada para pemimpin, wali, para pegawai dan orang kepercayaan untuk menjalankannya, selain berkewajiban mengikuti dan mematuhi perlembagaan dan kehendak syariat ini. Inilah kehendak Islam dan bukti keimanannya.

Ini djelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Majiid :

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu),maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyiksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq.
Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal (kepada orang-orang yang penuh keyaqinan) tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih daripada Allah".
Surah Al Maaidah (5) : ayat 49 dan 50

Fungsi kepimpinan adalah mentadbir negara, memberikan keadilan dan kebaikan dalam segala segi kehidupan para penduduknya dan, berdasarkan ayat  Allah Swt. di atas memastikan tertegaknya hudud Allah dan terjaganya aqidah seluruh ummat mukminin di dalamnya adalah tanggungjawab utama.

Saya tidak mahu bercakap panjang sama ada di Malaya ini telah tertegak sepenuhnya hukum Allah atau tidak, biarlah polemik itu diselesaikan oleh pihak-pihak yang suka terlibat dengannya, dan biarlah mereka yang rela terlibat secara langsung dan lebih pakar itu mencari penyelesaian kepada hal yang sudah ratusan tahun belum lagi selesai itu.

Secara jelas apa yang mahu saya katakan adalah :

Tindakan JAIS membuat pemeriksaan ke atas aktiviti mencurigakan oleh sekumpulan orang bukan Islam di dalam sebuah institusi agama lain (bukan tempat awam) bersama sekumpulan orang Islam adalah satu tindakan terpuji demi menjaga kepentingan Agama Islam dan aqidah ummat Islam. Mereka telah melakukan tindakan yang selaras dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Malah sepatutnya dibuat dahulu lagi. Bagi sesiapa yang mengikuti dengan rapat kes ini, hasil selepas pemeriksaan itu telah menyerlahkan banyak perkara yang selama ini "tersembunyi di bawah tikar" dan dibuat-buat tak nampak.

Harapan saya, biarlah usaha menjaga kepentingan agama Islam dan aqidah ummat Islam ini dikembangkan dan diperkukuhkan, bukan hanya sekadar usaha menghalang pihak bukan Islam "mendampingi" ummat Islam yang ditekankan, tetapi juga kekalutan "dalam kelambu" ummat Islam sendiri yang semakin parah sehingga begitu ramai mudah terikut dengan da'yah asing juga, harus diperbetulkan bersungguh-sungguh. Malah itu mungkin lebih patut diberi keutamaan sekarang ini.

Justeru itu, saya menyeru kepada semua pihak terlibat, daripada bertegang leher menegakkan "lubang biawak" masing-masing, baiklah bermuhasabah diri dan merendah diri sedikit seterusnya memusatkan usaha bersama-sama demi menjaga kepentingan agama Islam dan aqidah ummat Islam sebelum keadaan menjadi bertambah parah.

Begitulah bahasa mudah saya, yang maksud sepenuhnya diharap para rakan dan pembaca budiman, sendiri faham. Berkenaan perbezaan pandangan pelbagai pihak serta ada yang tak kena dengan amalan sistem semasa, saya lebih suka untuk tidak memberikan ulasan. Amat dikhuatiri sekadar "menuang cuka ke dalam luka", serta menambahkan serabut ke atas sesuatu yang memang sudah kelam kabut.

Akhirul kalam,

"...... Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya".
Surah Al Maaidah (5) : ayat 2

والله اعلم

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Isnin, 15 Ogos 2011

Tadabbur Al-Qur'an Pada Ramadhan.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani puasa kepada semua rakan jamaah serta para pembaca dan mendoakan agar Allah Swt. menerima semua amalan kita. Bersama ini, saya sertakan artikel kuliah yang telah dibuat oleh sahabat saya Akhi Abu Numair An Nawawi untuk manfaat ilmiah kita bersama. Siaran ini diperbuat dengan kebenaran beliau sendiri. Mudah-mudahan memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah.
 
Tadabbur Al Qur’an di Ramadhan
 
Terdapat beberapa riwayat hadis menyebutkan tentang batas minima mengkhatamkan al-Qur’an. Sekaligus menunjukkan terlarangnya mengkhatamkan al-Qur’an kurang dari jumlah hari tertentu. Riwayat-riwayat tersebut datang dengan lafaz yang berbeza-beza. Antaranya dilarang mengkhatamkan al-Qur’an kurang dari 7 hari, 5 hari, dan 3 hari.
 
Hadis-hadis yang dimaksudkan tersebut adalah:
 
Daripada ‘Abdullah B. ‘Amru radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
 
اقْرَإِ الْقُرْآنَ فِي شَهْرٍ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً حَتَّى قَالَ فَاقْرَأْهُ فِي سَبْعٍ وَلاَ تَزِدْ عَلَى ذَلِكَ
 
“Bacalah (khatamkanlah) al-Qur’an dalam sebulan sekali.” Aku menyatakan, “Sesungguhnya aku mampu untuk lebih dari itu.” Rasulullah bersabda, “Maka, khatamkanlah dalam tujuh hari, jangan kurang dari itu.”
Hadis sahih riwayat imam al Bukhari rh, Jilid 15, halaman 479, no. 4666)
 
Dalam Riwayat Muslim:
 
اقْرَأْ الْقُرْآنَ فِي كُلِّ شَهْرٍ قَالَ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً قَالَ فَاقْرَأْهُ فِي عِشْرِينَ لَيْلَةً قَالَ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً قَالَ فَاقْرَأْهُ فِي سَبْعٍ وَلَا تَزِدْ عَلَى ذَلِكَ
 
“Bacalah (khatamkanlah) al-Qur’an setiap sebulan sekali.” Aku menyatakan, “Sesungguhnya aku mampu untuk lebih dari itu.” Rasulullah bersabda, “Maka bacalah (khatamkanlah) dalam dua puluh malam.” Aku menyatakan, “Sesungguhnya aku mampu untuk lebih dari itu.” Rasulullah bersabda, “Maka, khatamkanlah dalam tujuh hari, jangan kurang dari itu.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh., Jilid  6, halaman 42, no. 1964
 
Dalam riwayat yang lain, daripada ‘Abdullah B. ‘Amru, Rasulullah menegaskan:
 
اخْتِمْهُ فِي خَمْسٍ قُلْتُ إِنِّي أُطِيقُ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ قَالَ فَمَا رَخَّصَ لِي
 
“Khatamkanlah dalam lima hari.” Aku menegaskan, “Aku mampu mengkhatamkan lebih dari itu.” Tetapi beliau tidak lagi memberi keringanan kepadaku lebih dari itu.”
Hadis riwayat imam at Tirmidzi rh., Jilid 10, halaman 200, no. 2870 dengan katanya, “Hadis ini hasan sahih gharib.”
 
Dalam riwayat yang lain, daripada ‘Abdullah B. ‘Amru, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
 
لاَ يَفْقَهُ مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فِي أَقَلَّ مِنْ ثََلاَثٍ
 
“Orang yang membaca (mengkhatamkan) kurang dari tiga hari tidak akan dapat memahami bacaan al-Qur’an.”
Hadis riwayat imam Abu Daud rh., Jilid 4, halaman 166, no. 1186 dan imam at Tirmidzi, Jilid 10, halaman 203, no. 2873 dengan katanya, “Hadis ini hasan sahih.”
 
Dalam riwayat yang lain:
 
اقْرَإِ الْقُرْآنَ فِي كُلِّ شَهْرٍ قَالَ إِنِّي أُطِيقُ أَكْثَرَ فَمَا زَالَ حَتَّى قَالَ فِي ثَلَاثٍ
 
“Bacalah (khatamkanlah) al-Qur’an setiap sebulan sekali.” Aku menyatakan, “Aku mampu melakukan lebih banyak dari itu.” Beliau pun terus menguranginya sehingga menjadi tiga hari.”
Hadis sahih riwayat imam al Bukhari, Jilid 7, halaman 93, no. 1842
 
Ulasan Para Ulama:
 
1 – Imam at-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 256H) berkata:
 
و قَالَ إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ وَلاَ نُحِبُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يَأْتِيَ عَلَيْهِ أَكْثَرُ مِنْ أَرْبَعِينَ يَوْمًا وَلَمْ يَقْرَأْ الْقُرْآنَ لِهَذَا الْحَدِيثِ و قَالَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ لَا يُقْرَأُ الْقُرْآنُ فِي أَقَلَّ مِنْ ثَلاَثٍ لِلْحَدِيثِ الَّذِي رُوِيَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَخَّصَ فِيهِ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ وَرُوِي عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ أَنَّهُ كَانَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ فِي رَكْعَةٍ يُوتِرُ بِهَا وَرُوِي عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ أَنَّهُ قَرَأَ الْقُرْآنَ فِي رَكْعَةٍ فِي الْكَعْبَةِ وَالتَّرْتِيلُ فِي الْقِرَاءَةِ أَحَبُّ إِلَى أَهْلِ الْعِلْمِ 
 
“Ishaq bin Ibrahim berkata, “Berdasarkan hadis ini, maka kami tidak suka apabila empat puluh hari berlalu daripada seseorang, sedangkan dirinya belum pernah mengkhatamkan al-Qur’an.” Sebahagian ulama menyatakan bahawa al-Qur’an tidak dikhatamkan kurang dari tiga hari berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Manakala sebahagian ulama yang lain memberi keringanan dalam perkara ini. Diriwayatkan daripada ‘Utsman B. ‘Affan bahawa beliau mengkhatamkan al-Qur’an dalam satu rakaat witir. Diriwayatkan daripada Sa’id B. Jubair, bahawa beliau mengkhatamkan al-Qur’an dalam satu rakaat di (sisi) ka'bah. Dan para ulama lebih menyukai al-Qur’an dibaca dengan tartil.”
Sunan at Tirmidzi, Jilid 10, halaman 200
 
2 – Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
 
هذا من نحو ما سبق من الارشاد إلى الاقتصاد في العبادة والارشاد إلى تدبر القرآن وقد كانت للسلف عادات مختلفة فيما يقرؤون كل يوم بحسب أحوالهم وأفهامهم ووظائفهم فكان بعضهم يختم القرآن في كل شهر وبعضهم في عشرين يوما وبعضهم في عشرة أيام وبعضهم أو أكثرهم في سبعة وكثير منهم في ثلاثة وكثير في كل يوم وليلة وبعضهم في كل ليلة وبعضهم في اليوم والليلة ثلاث ختمات وبعضهم ثمان ختمات وهو أكثر ما بلغنا وقد أوضحت هذا كله مضافا إلى فاعليه وناقليه في كتاب آداب القراء مع جمل من نفائس تتعلق بذلك والمختار أنه يستكثر منه ما يمكنه الدوام عليه ولا يعتاد الا ما يغلب على ظنه الدوام عليه في حال نشاطه وغيره هذا اذا لم تكن له وظائف عامة أو خاصة يتعطل باكثار القرآن عنها فان كانت له وظيفة عامة كولاية وتعليم ونحو ذلك فليوظف لنفسه قراءة يمكنه المحافظة عليها مع نشاطه وغيره من غير اخلال بشيء من كمال تلك الوظيفة وعلى هذا يحمل ما جاء عن السلف والله أعلم 
 
“Perkara ini sebagaimana yang dikemukakan sebelumnya, iaitu menunjukkan anjuran untuk bersederhana dalam ibadah dan anjuran supaya mentadabburi (menghayati) al-Qur’an. Para Salafush Sholeh memiliki kebiasaan yang berbeza-beza dalam membaca atau mengkhatamkan al-Qur’an bersesuaian (seiring) dengan keadaan, kefahaman, aktiviti, dan tugas yang dipikulnya.
 
Sebahagian daripada mereka mampu mengkhatamkan al-Qur’an setiap sebulan sekali, ada yang dua puluh hari sekali, ada juga yang sepuluh hari sekali, dan kebanyakannya mengkhatamkan al-Qur’an tujuh hari sekali. Tetapi tidak sedikit juga yang mampu mengkhatamkan al-Qur’an setiap tiga hari sekali, bahkan ada yang mengkhatam sehari semalam sahaja. Ada juga yang mengkhatamkan al-Qur’an hanya dalam satu malam. Lebih menakjubkan lagi, ada juga yang mampu mengkhatamkan sehingga lima kali dalam sehari semalam, bahkan yang paling banyak berdasarkan pengetahuan kami adalah yang mampu mengkhatam lapan kali dalam sehari semalam. Aku telah menjelaskannya dalam kitab Adab al-Qurra’ berserta ungkapan-ungkapan yang mengagumkan berkaitan permasalahan tersebut.
 
Dan pendapat terpilih tentang perkara ini adalah mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak-banyaknya selagi mana ia mampu melakukannya dengan istiqomah (berterusan) dan bukan melakukannya hanya ketika waktu sihat dan bersemangat sahaja. Ini tentu bagi mereka yang tidak memiliki tugas-tugas secara umum atau khusus yang akan membebankannya jika sering mengkhatamkan al-Qur’an. Sehingga apabila seseorang memiliki tugas berkaitan dengan masyarakat umum atau orang ramai seperti pemerintahan, mengajar, dan yang lain-lainnya, maka hendaklah ia menempatkannya pada kedudukan yang sewajarnya iaitu berusaha mengkhatamkan al-Qur’an dengan dalam masa yang sama dapat menjaganya di sela-sela masa sibuknya tanpa mengabaikan tugas-tugas yang sedang dipikulnya. Inilah yang dilakukan oleh para Salafus Soleh.
Syarah Sahih Muslim, Jilid 8, halaman 43
 
Kesimpulan:
 
Larangan menghabiskan (mengkhatamkan) membaca al-Qur’an kurang dari tujuh hari, lima hari, atau tiga hari ini adalah dengan bersebab. Selagi mana pembacanya dapat membaca dengan kefahaman, penghayatan, tadabbur, tartil, tajwid yang betul, tanpa mengabaikan tanggungjawab lainnya, dan dia dapat istiqomah, maka dia boleh membacanya sebanyak mana yang dia mampu. Praktik ini turut diamalkan oleh para huffaz al-Qur’an zaman ini serta para ulama yang tekun terhadap al-Qur’an.
 
Ini adalah sebagaimana amalan para salafus soleh seperti yang telah disebutkan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah di atas. Juga sebagaimana amalan para ulama yang mengikutinya dengan baik seperti asy-Syafi’i, Qotadah, dan selainnya. Dan mereka lebih tekun lagi ketika datangnya bulan Ramadhan, yang mana ia dinamakan sebagai bulan al-Qur’an.

Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) menukilkan: 
 
قال الربيع بن سليمان من طريقين عنه، بل أكثر: كان الشافعي يختم القرآن في شهر رمضان ستين ختمة 

“Berkata ar-Rabi’ B. Sulaiman, dari dua jalan bahkan lebih, bahawasanya asy-Syafi'i mengkhatamkan al-Qur'an pada bulan Ramadhan 60 kali khatam.”
Siyar A'lam an-Nubala', Jilid 10, halaman 36
 
كان الاسود يختم القرآن في رمضان في كل ليلتين

“Bahawasanya al-Aswad mengkhatam al-Qur'an setiap dua malam sekali pada bulan Ramadhan.”
Siyar A'lam an-Nubala', Jilid 4, halaman 51

Adapun bagi mereka yang belum menguasai al-Qur’an, tidak memahaminya, dan tidak pernah menghafalnya, tetapi tiba-tiba mahu segera mengkhatamkannya secara tergesa-gesa sehingga mengabaikan aspek tadabbur, tajwid, tartil, dan seumpanya, maka berikut kata Syaikh Salim B. ‘Ied al-Hilali hafizahullah:

“Membaca al-Qur’an hendaklah dengan mentadabburinya (penghayatan). Adapun membacanya dengan cepat (supaya segera khatam), maka ia merupakan bentuk-bentuk bacaan yang bid’ah yang tidak akan melepasi tenggorokan. (Iaitu bacaan yang tidak memberikan sebarang kefahaman). Oleh sebab itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengecam orang-orang yang bacaannya tidak melepasi tenggorokan (seperti kaum khawarij).”
Salim al-Hilali, Mausu’ah al-Manahi asy-Syar’iyyah as-Shahih as-Sunnah an-Nabawiyyah, 1/217 – Daar Ibnu ‘Affan
 
والله اعلم
 
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان
والسلام
 
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...