Jumaat, 25 Mei 2012

RISALAH JUMAAT: Merenung Keagungan Dan Rahsia Suruh Al-Fatihah (SIRI 1)

0 ulasan


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و



Para Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah Swt., sukacita dimaklumkan bahawa kumpulan Tazkiran Jumaat ini adalah artikel mingguan yang dikeluarkan dan diedarkan oleh Lajnah Da’wah dan Tarbiyah, Persatuan Muhammadiyah Pulau Pinang dalam rangka usaha menyebarkan risalah Islam yang mulia kepada segenap lapisan masyarakat.



Keizinan telah diberikan kepada moderator/administrator weblog www.salnboru.blogspot.com untuk menyiarkannya secara umum. Sebarang petikan dan sebaran lanjut oleh sesiapa jua adalah dibenarkan dan dihalalkan, malah sangat digalakkan supaya ilmu Allah Swt. dapat dikembang-sebarluaskan. Akan tetapi, sumber rujukan asalnya hendaklah dicatatkan dan tidak dibenarkan sama sekali digunakan bagi tujuan keuntungan komersil.



Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, boleh hubungi email dibawah :




MERENUNG KEAGUNGAN DAN RAHSIA SURAH AL-FATIHAH

Syeikh Prof. Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni



Ini adalah renungan bersama surah al-Fatihah. Semoha Allah swt. Memberikan manfaatnya untuk kita, menjadikannya sebagai amal saleh pada timbangan kebajikan, serta menjadikan surah al-Fatihah sebagai orang yang akan membela, penawar dan mencukupkan kita dari yang lainnya.





Surah inilah yang membuat Rasulullah saw merasa sangat bahagia, senang dan gembira. Beliau saw mengabggapnya sebagai surah yang paling mulia diantara surah-surah lainnya. Pada Hakikatnya, bahawa perincian dan permasalahan Al-Quran, serta yang dihadapi manusia dan segala yang diperhatikan dan difikirkannya, telah tercantum dalam tujuh ayat surah al-Fatihah.


Pada hakikatnya surah al-Fatihah adalah syafiyah (penawar), yang keampuhan -nya dapat dirasakan secara lahir dan batin. Ia dapat menyembuhkan dari fikiran-fikiran asing yang dapat merosak, seperti atheist, kekufuran dan lain lainnya. Dan ia juga dapat menyembuhkan penyakit luar.





Disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said kisah seorang yang disengat kala jengking. Orang tersebut sembuh setelah dibacakan surah al-Fatihah. Apabila peristiwa itu diceritakan kepada Rasullullah saw beliau bertanya kepada Abu Said :





“Apa yang telah kamu baca sehingga orang yang disengat kala jengking itu sembuh”. Ia menjawab:”Aku hanya baca surah al-Fatihah”. Sambil tersenyum Rasullah saw berkata:” Kamu tahu dari mana, kalau surah al-Fatihah adalah ruqyah. (sesuatu yang dibaca diair dan diberi minum kepada orang yang sakit)  HR Bukhari (2276,5007), Muslim(2201)





1.        “SEGALA PUJI HANYA MILIK ALLAH”


1.1      Kenapa Allah swt memuji dirinya sendiri?


Pada kalimat ini Allah swt memuji zatnya sendiri, diwaktu kelapangan dan kesusahan. Tidak ada orang yang memuji diwaktu lapang dan susah selain Allah. Kenapa? Kerana kejahatan dan keburukkan tidak dapat disandar -kan kepada Allah swt. Hal ini dikuatkan oleh sebuah hadith Rasulullah saw: ”Dan kejahatan bukan berasal dari Allah”(HR Muslim (77) dari Ali bin Abu Thalib`ra)


Sebab qadha dan qadar yang telah ditentukan Allah swt adalah yang terbaik untuk manusia. Oleh sebab itu kita perlu mengatakan,”Segala puji bagi Allah dalam keadaan apapun yang terjadi.





1.2     Bila puji-pujian harus diucapkan?


Ada beberapa waktu dimana puji pujian harus dipanjatkan, antara lain diwaktu suka dan duka. Allah swt berfirman pada awal surah al-An’am :


“Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dan


mengadakan gelap dan terang”





Ayat ini adalah bantahan terhadap dua golongan :


Pertama:    Golongan orang-orang musyrik yang menyakini bahawa Allah memiliki sekutu dalam mengatur langit dan bumi.


Kedua:       Aliran al-Manawiyah yang mengatakan bahawa tuhan kebajikan adalah cahaya, dan tuhan kejahatan adalah kegelapan.





Maka Allah swt menegaskan kepada mereka, bahawa dialah yang telah menciptakan malam dan siang. Begitu pula, Rasulullah saw sering mengucapkan “segala puji milik Allah, memenuhi timbangan (HR Muslim-223 dari Abu malik al-Asy’ari ra).


Oleh sebab itu kalimat yang paling mulia setelah kalimat la ilaha illllah adalah ucapan “Alhamdulillah”.





1.3     Sikap Manusia Terhadap Pujian.


Ketika dihadapkan dengan”segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,” manusia terbahagi kepada tiga golongan.





Golongan pertama: Orang orang yang kufur terhadap nikmat Allah swt.


Golongan ini ingkar dengan nikmat yang diberikan Allah swt, mereka kufur secara zahir dan batin, ucapan, perbuatan dan keyakinan. Tidak menerima pujian terhadap Allah swt dan tidak mensyukuri pemberiannya. Bahkan nikmat Allah swt yang mereka dapatkan diguna untuk maksiat dan memusuhi Allah swt.





Golongan kedua: Para pembohong yang mengaku telah memuji Allah swt.


Golongan ini memuji Allah swt dengan lidah, namun perbuatan mereka sangat bertentangan dengan ucapan yang keluar dari mulut. Lidah mereka memang benar mengucapkan syukur kepada Allah swt. Namun perbuatan maksiat, melanggar aturan Allah swt, melampaui batasan-batasan yang telah ia gariskan dan memusuhi yang maha esa, adalah bukti nyata yang mendustakan kalimat (pujian) yang mereka lontarkan. Pengakuan yang tidak dikuatkan oleh bukti, hanyalah bohong belaka. Sebab Allah swt tidak akan menerima perkataan yang tanpa dibuktikan dengan perbuatan. Orang-orang seperti mereka sebagimana kebanyakan manusia memuji Allah swt diwaktu makan dan minum. Namun makanan dan minuman yang masuk keperut mereka dan menjadi tenaga, ternyata digunakan untuk memusuhi Tuhan yang sebelumnya mereka puji.





Golongan ketiga: Orang-orang beriman yang mengesakan Allah swt. Orang-orang yang termasuk dalam golongan inilah yang memuji Allah swt dengan lidah, hati dan perbuatan.





1.4    Rukun-rukun Pujian.


Menurut ulama, rukun-rukun syukur dan pujian ada tiga perkara:


a.       Memuji dengan lidah, iaitu mengerakkan lidah memuji Tuhan Yang Maha Esa.


b.       Memuji dengan perbuatan. Iaitu menggunakan kekuatan dan anggota tubuh untuk beribadah kepada Allah swt yang maha esa.


c.        Memuji dengan hati. Iaitu dengan menyakini bahawa orang yang memberi, mengambil dan menahan nikmat adalah Allah swt. Dan orang yang menghidupkan dan mematikan adalah Allah swt.


d.       Salah seorang sahabat bernama Imran Bin Husain, pernah diserang penyakit sehingga selama tiga puloh tahun. Ia tidak dapat bangun dari tempat tidurnya. Dalam keadaan demikian mulutnya selalu mengucapkan: “segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. (kitab al-ishabah dan al- Isti’ab karya ibnu Abdi al-Bar)





Ulama-ulama dahulu berkata: “ Penganut agama Islam dimuka bumi ini hanya sedikit. Dan orang Islam yang mengikuti sunnah Rasulullah lebih sedikit lagi. Bahkan menurut hematku: “ Orang-orang pengikut sunnah Rasulullah saw yang ikhlas, jauh lebih sedikit lagi”.





Suatu hari Umar Ibn Khattab turun ke pasar. Tiba-tiba beliau mendengar seorang berkata:”Ya Allah, jadikanlah aku termasuk hamba-hamba mu yang jumlahnya sedikit. Lalu Umar berkata:” Doa apa yang sedang engkau panjatkan?”. Orang itu menjawab:” Wahai Amir al-Mukminin..bukankah Allah swt telah berfirman: “Dan sedikit sekali dari hamba-hamba ku yang berterima kasih”. Oleh sebab itu aku memohon kepadanya, agar termasuk orang-orang yang sedikit itu. Umar berkata: “Wahai Umar semua orang lebih pintar dari kamu”.





2.5      Konsep Lafaz “Allah”


Sebahagian pakar ilmu nahu tidak menyetujui pendapat yang mengatakan bahawa lafaz “Allah” diambil dari kalimat lain. Mereka mengatakan : ”lafaz Allah adalah kalimat yang tersendiri, ia adalah nama Tuhan”. Namun sebahagian ulama nahu berpendapat bahawa lafaz “Allah” berasal dari kalimat “alaha”, yang ertinya merasa tenang. Dan ini ada kaitannya dengan hati manusia. Sebab ia hanya merasa tenang apabila kembali kepada Allah swt. Dimanakah ia akan menemukan ketenteraman-nya?. Ia akan tenang bersama Allah. Firman Allah swt:


“Hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram” (Al-Ra’ad:28)





Dan firmannya lagi:


“Dan mereka mempertakuti kamu dengan (sembahan-sembahan) yang selain Allah? Dan siapa yang disesatkan Allah maka tidak seorang pun pemberi petunjuk baginya”





Oleh sebab itu, semua yang ada didunia ini hanyalah bagaikan jarring labah-labah. Dan Allah akan tetap selalu menjadi tumpuan hati dan ketenteraman jiwa.


Ada pula pendapat lain yang mengatakan bahawa lafaz “Allah” berasal dari suku kata “walaha” yang bererti kebingungan. Makna ini juga berhubungan dengan lafaz “Allah” sebab akal manusia sangat bingung dan tak sanggup mencernanya dengan logik manusia tentang kekuasan Sang pencipta. (Bersambung di Jumaat minggu depan)





Mutiara Kata


ibadah adalah kebahagiaan,kesolehan adalah keberhasilan,dan siapa yang terus berzikir,sentiasa beristighfar dan memperbanyakkan doa,maka ia adalah seorang hamba allah yang soleh dan solehah





Mutiara Kata


tanda kebodohan adalah menyia-nyiakan waktu, menangguh-nagguhkan taubat, memusuhi manusia, derhaka kepada kedua ibu bapa, dan menyebarkan rahsia...





Bersambung di minggu hadapan



























Read more...

Khamis, 10 Mei 2012

PTPTN : Antara Hutang Dan Riba.

4 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Bersama ini saya sertakan artikel jawaban yang saya poskan pada Ahad 22 April 2012, terhadap satu soalan yang dikemukakan. Selalunya maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah bersama. Tambahan pula sekarang ini, isu ini sudah sejuk. InsyaAllah tidak akan terlibat dengan kontroversi.

Sent : Sunday, April 22, 2012 6:37:23 AM
Subject: Demo PTPTN

Assalamu’alaikum Pak Lang, saya nak bertanya sikit, yang mudah-mudah saja, untuk mendapatkan kepastian sebenarnya.

Malam tadi kami kat sini dok bincang macam-macam idea macam mana nak berpendirian mengenai demo PTPTN. Sampai lewat pagi. Jadi ramai juga yang subuh gajah. Ceritanya hampir semua kami ini mendapat pinjaman PPTN pun. Sebab tu, dok bercakap itu ini hal PTPTN ini pun bagus juga untuk kami  Ada yang sokong kata bagus, ada yang nak joint demo, ada yang bantah kata mengarut, paling ramai yang tak ambil pusing hal ni, dia orang nak mengaji saja, nanti bekerja dan bayar setakat yang mampu.

Saya nak mohon sedikit pandangan, macam mana nak berpendirian dalam hal ini. Kalau nak ikut ikutkan kami student ni, macam-macam pandangan ada. Malah yang pelik-pelik pun ada, sampai takder satu apa pun yang betul pun ada, semuanya betul dan molek belaka saja pun ada, habis semua orang jadi kafir pun ada juga. Macam tu lah agaknya cara student pikir.

Harap dapat berikan sedikit pandangan.

Wassalam.

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga dalam sihat-sihat saja ya Along. Terima kasih lah kerana mengacau pagi-pagi buta ni. Takpe, dah cancel jogging pun, nak mencoret serba sikit pandangan kat sini. Anyway, nanti petang main bola.

Komen no. 1 : Bagus benarlah adanya aktiviti bersembang tak tentu hala tuju sampai pagi, berselang seli dengan hisap rokok lagi, pastu pakat buat subuh gajah (itu pun kalau buat). Mungkin di alaf baru ni, inilah ciri-ciri student yang bakal dapat 1st Class Hons. agaknya. Sekadar nak tanya, baca buku ilmiyah sanggup tak berjaga malam macam ni?

Saya bukan lagi student U, zaman itu sudah pun berlalu 16 tahun dulu. Apa yang dialami dulu hampir semuanya tak sama dengan sekarang. Terlalu banyak beza. Generasi dulu tak tahu guna duit pinjaman untuk beli pre-paid, beli HP hebat, beli gadget, beli I-pad. Mereka betah naik bas mini dan bersesak-sesak berjam-jam, naik keretapi kelas 3 (gayut di tangga sepanjang perjalanan), beratur panjang dan berebut buku kat library kerana masa tu mahaguru yahoo.com tak ada (sekarang hanya tekan butang, mahaguru sediakan semua ilmu, yang serba lengkap lagi). Berebut manual typewriter untuk buat assignment. Study group hanya kat bawah pokok ketapang. Hambat lecturer kat mana saja untuk dapat detail sesuatu perkara. Teringin nak pakai kain baju jenama gah, hanya mampu beli di kedai bundle. Kumpul duit beberapa lama, maka dapatlah : motor kapcai second hand. Demikianlah sedikit ulang-sorot cerita dulu-dulu, yang menjurus kepada : serba tak senang, waima nak dapat ilmu dan sekeping ijazah pun. Namun ada juga dikalangan generasi ini anak taukeh balak atau pun pegawai tinggi, maka tak samalah dia dengan mereka-mereka yang marhaen ni.

Suasana sekarang sudah berbeza sangat, study group kat KFC, McD, atau pun paling lekeh di kedai mamak (ada WiFi). Semua artikel ilmiyah, buku-buku dan assisgment telah disediakan oleh mahaguru yahoo.com, cuma perlu layari kemudian copy & paste saja. Buku-buku juga hanya perlu di download, tak perlu lagi bersesak di kedai photostat. Segalanya sangat mudah. Gadget, HP, laptop, pakaian, fasiliti dan amenities yang dinikmati para pelajar jauh lebih hebat waima berbanding orang yang sudah bekerja pun. Demikianlah hebatnya pelajar masakini berbanding generasi dulu-dulu. Namun tetap juga saya akui, zaman telah pun berubah, mana mungkin kita berundur ke belakang, sesukar mana pun zaman dulu-dulu, segalanya kini hilang ditelan waqtu, sekadar menjadi lipatan sejarah.

Namun, ada perkara dalam hal berbeza ini yang ingin sangat saya ketengahkan. Generasi pelajar dulu yang menuntut ilmu dengan susah payah, serba tidak senang dan, sama juga seperti pelajar sekarang, mereka turut sama memikul beban hutang pinjaman pendidikan. Bezanya adalah, generasi ini tidak pernah menuntut dilupuskan semua hutang atau menuntut segalanya dinikmati percuma. Mereka menerimanya dengan redha segala tanggungjawabnya, sedia membayarnya, mensyukurinya dan memanfaatkan ia sebaiknya untuk ilmu (diakui sungguh – yang merapu pun ada).

Tidak mereka kira pun jumlahnya (sama ada pelajar dalam negara mahu pun luar negara - yang barang tentu jumlah hutang lebih besar). Mereka tukarkan segala bebanan dan kekurangan itu kepada keazaman dan usaha untuk mendapat kecemerlangan dalam akademik dan sahsiah, supaya dengannya hutang itu boleh ditukarkan kepada dermasiswa, diberikan apa-apa pengecualian setimpal atau pun diberi keringanan (diskaun). Tuan boleh rujuk ke MARA dan JPA (PTPTN tiada pada masa itu), berapa orang daripada generasi ini yang tidak membayar balik. Dipersilakan dengan penuh hormatnya.

Justeru itu, amat sukar untuk saya memberikan pandangan dalam hal ini. Julat pemikiran dan zaman telah berubah. Perspektif dan paradigma orang-orangnya juga jauh tidak sama. Apa yang bakal saya katakan nanti, mungkin benar dan mungkin juga salah. Jadikanlah ia pandangan orang lama yang tetap kekal sebagai pandangan sampai bila-bila pun, boleh saja diterima atau boleh saja dicampakkan ke dinding. Saya sendiri pun hakikatnya kurang berminat nak mengulas isu semasa yang berbelit-belit, memeningkan dan bercampur unsur busuk politik. Maka itu, saya sekadar menjawab soalan sahaja sebenarnya.

Mari kita selusuri secara langsung kepada soalan yang ditanyakan.

Saya ikuti juga sikit-sikit perjuangan dan tuntutan para mahasiswa masakini menerusi media cetak juga media elektronik. Memang bermacam-macam hal yang saya lihat, perhati dan dengari. Oleh kerana terlalu banyaknya cakap-cakap, dalam berbagai nada dan maksud (termasuk memperli, memaki hamun, menghina, mencela dsb.), menjadikan apa yang dicari, yang dimaksudkan dan yang diperjuangkan itu tak menentu hala sebenarnya.

Sepanjang pengetahuan saya, turutan isu yang dibangkitkan :

1.    PTPTN dituntut hapuskan 4% caj pengurusan
2.    PTPTN dituntut hapuskan 1% caj pengurusan
3.    PTPTN diminta beri diskaun atau tukar status pinjaman kepada dermasiswa kepada pelajar yang cemerlang
4.    PTPTN dituntut beri kelonggaran jumlah dan tempoh membayar kepada peminjam
5.    PTPTN mengamalkan riba yang haram (disebabkan jumlah yang semakin meningkat)

Akhir-akhir ini menjadi begini pula :

6.    PTPTN adalah along (maksudnya pemeras ugut peminjam, lintah darat, zalim, jahat dsb.)
7.    PTPTN dituntut lupuskan semua hutang dan ditukar jadi dermasiswa
8.    PTPTN dibuat untuk kayakan kroni
9.    Kolej swasta kaya dengan duit PTPTN
10.  Bubarkan PTPTN dan berikan pendidikan percuma

Secara kritikal dengan jelas saya mahu katakan, perkara 1 – 5 menunjukkan ciri tuntutan yang ilmiyah, matang dan munasabah. Yang perkara 6 – 10, jelas nampaknya ini bukan inisiatif pelajar, tapi dari pihak lain sebenarnya. Jika dilihat dari segi turutannya juga, ketara sekali bersifat “sudah dapat betis nak paha”.

Kepada tuan penanya, ingin saya bertanya pula, yang mana satukah yang benar-benar pelajar mahukan? Sila nyatakan dengan jelas. Pernahkan survey sistematik/komprehensif dibuat dan consensus dikalangan pelajar dibuat terlebih dahulu tentang apa sebenarnya yang mahu dituntut, berbanding terlalu banyak pihak yang mengaku bertindak kononnya bagi pihak pelajar sekarang ini. Atas kapasiti apa pula satu dua kerat manusia ini mengaku mewakili pelajar. Asas wakalah apa yang dipakai? Atau pun, selepas ini ada lagi berpuluh-puluh perkara yang mahu dituntut.

Kalau pun kata-kata saya ini sangat pedas, provokatif dan tak sedap didengar, yang mahu saya serukatakan adalah, para pelajar mesti berdiri atas kaki sendiri, tuntutlah sesuatu yang jelas dan munasabah bersandarkan keupayaan dan kewibawaan diri demi kepentingan dan keperluan pelajar sendiri, bukannya terbelenggu dalam kata-kata retorik dan hipotesis palsu. Dengan sebegitu banyak tuntutan itu ini, bersimpang siur, sekadar menjelaskan kedangkalan cara fikir lantaran tidak dapat menetapkan hala tuju. Juga hanya menyerlahkan sikap lalang yang berubah-ubah, jelas terpengaruh dan diperkotak-katikkan mengikut arus semasa sahaja. Ini bukanlah mentality, daya keintelektualan, sahsiah dan kualiti kesarjanaan pelajar yang mahu dibentuk dalam mana-mana negara pun. Tak pernah ada satu cabang ilmu mahu pun sebuah institusi pengajian yang melatih pelajar untuk menjadi begini.

Setakat ini sahaja saya nak berbicara hal ini. Dikhuatiri lagi banyak saya berbicara, bertambah banyak pula kontroversi. Seterusnya, kita masuk ke bab lain.

Kepada para pelajar, saya mahu sampaikan sabda junjungan mulia Rasulullah Saw. :

Dari Abdullah bin Amru bin Al As Rhu. ia berkata, bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni, kecuali hutangnya".
Hadis sahih riwayat Muslim rh. no. 4860

Dari Abu Hurairah Rhu. ia mengatakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda : Jiwa (roh) seseorang Mukmin itu tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilunasi".
Hadis riwayat imam Tarmidzi rh, imam Ibnu Majah rh. dan imam Baihaqi rh.

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana Sabda Nabi Saw. :

Dari Abu Hurairah Rhu. ia mengatakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda : Siapa pun yang mengambil (meminjam) harta orang lain dengan niat membayarnya kembali, Allah akan membayarnya atas namanya. Dan siapa pun yang mengambil wang orang lain dengan niat merosakkannya, Allah akan membinasakannya".
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. no. 2387

Dari Salamah bin Akwa’ Rhu. dia menceritakan bahawasanya janazah seseorang dibawa kehadapan Rasulullah Saw. untuk baginda solati. (Lalu) Nabi Saw. bersabda : Apakah dia memiliki hutang?. Orang-orang menjawab : tidak. Maka baginda mensolatinya. Janazah lain dibawa kehadapan baginda, (lalu) Nabi Saw. bertanya : Apakah dia mempunyai hutang?. Mereka berkata : Ya. Baginda (menolak mensolatinya dan) bersabda : Kalau begitu, kerjakanlah solat oleh kamu. (Kemudian) Abu Qatadah Rhu. berkata : Ya Rasulullah! aku yang akan membayarkan hutangnya. Maka baginda pun memimpin solat janazah untuknya.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. no. 2295

Malah betapa Islam menitikberatkan hal hutang ini sehinggakan pembahagian harta simati pun hanya dibuat selepas hutang dilangsaikan telebih dahulu. Begitulah perintah Allah Swt. dalam kalamNya :

Firman Allah yang bermaksud: “Allah mensyari’atkan tentang (pembahagian harta pusaka) anak-anakmu…….. (pembahagian-pembahagian tersebut dibuat) sesudah diselesaikan wasiyat yang dia (simati) buat, dan sesudah dibayar hutangnya……….”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 11

Demikianlah ketetapan hukum Allah dan rasulNya bahawa hutang wajib dbayar. Dan perintah itu qati’e tanpa boleh dipertikaikan. Amat pelik dan menjengkelkan apabila sekumpulan orang yang berhutang, bukannya berusaha untuk membayarnya atau pun mendapatkan keringanan padanya, tetapi menuntut ia dilupuskan pula. Ini kerja mengarut dan menentang hukum syara’, wajar tidak dilayan sama sekali.

Kepada pihak PTPTN dan Pemerintah, ingin juga saya berpesan :

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan".
Surah Ali Imran (3) : ayat 130

Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. ketika menafsirkan ayat ini berkata : Allah Ta'ala melarang hamba-hamba-Nya kaum mukminin dari praktik dan memakan riba yang senantiasa berlipat ganda. Dahulu, di zaman jahiliyyah, bila piutang telah jatuh tempo mereka berkata kepada yang berhutang, ‘engkau melunasi hutangmu atau membayar riba’, bila ia tidak melunasinya, maka pemberi hutang pun menundanya dan orang yang berhutang menambah jumlah pembayarannya. Demikianlah setiap tahun, sehingga boleh saja piutang yang sedikit menjadi berlipat ganda hingga menjadi besar jumlahnya beberapa kali lipat. Dan pada ayat ini Allah Ta'ala memerintahkan hamba-Nya untuk senantiasa bertaqwa agar mereka selamat di dunia dan di akhirat".
Tafsiir ul Qur’an ul Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 1 halaman 404

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Jika tidak, Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu, agar kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 278-279

Juga juga sabdaan junjungan mulia Nabi Saw. :

Dari Abu Hurairah Rhu.  bahawasannya Rasulullah Saw. bersabda : Jauhilah olehmu tujuh dosa besar yang akan menjerumuskan (pelakunya ke dalam neraka). Para sahabat bertanya : Ya Rasulullah, apakah dosa-dosa itu?. Baginda bersabda : Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan harta anak yatim, memakan riba, melarikan diri dari medan peperangan, dan menuduh wanita mukmin yang menjaga (kehormatannya) lagi baik (bahwa ia telah zina).
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (2615) dan imam Muslim rh. (89)

“Dari Jabir Rhu ia berkata bahawasanya, Rasulullah Saw. telah melaknat pemakan riba, orang yang memberikan/membayar riba (nasabah), penulisnya dan juga dua orang saksinya. Dan baginda juga bersabda : ‘Mereka semua sama (dalam hal dosanya)’".
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. no. 1219

Riba jika dilihat dari segi istilah bermaksud mengambil atau mengenakan tambahan ke atas harta atau nilai pokok atau modal secara batil. Secara umumnya riba boleh disimpulkan sebagai pengambilan tambahan, baik dalam transaksi jual beli mahupun pinjam-meminjam secara batil (tindas menindas) yang bertentangan dengan prinsip muammalat Islam.

Ingatlah sesungguhnya bahawa Allah Swt. telah berpesan :

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu......”
Surah An Nisaa' (4) : ayat 29

Dan pesanan junjungan mulia Nabi Saw. lagi :

“Dari Abu Said Al Khudri Rhu. bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Emas hendaklah dibayar dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tepung dengan tepung, kurma dengan kurma, garam dengan garam, dengan ketentuan (kualitinya) harus sama dan serupa (jumlahnya), dan harus dilakukan (bayaran) dengan kontan (tunai). Barang siapa yang memberi tambahan atau meminta tambahan, sesungguhnya ia telah berbuat riba. Penerima dan pemberi itu sama-sama bersalah”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. no. 1584 (Bab : Tentang Riba)

Tindakan atas apa alasan sekalipun tidak dapat menghalalkan perbuatan mengenakan bunga yang sentiasa beranak pinak ke atas pinjaman pelajar. Ini jelas suatu perbuatan riba yang diharamkan oleh syara’. Buruk benar mencari kesenangan menerusi segala macam birokratik dengan menjarah jerih perih hamba rakyat. Justeru itu, tuntutan pelajar supaya unsur riba ini dibatalkan memang munasabah. Memang tuntutan pelajar dalam kes ini wajar sangat diberi perhatian.

Akhirul Kalam : Pada hemat saya, persoalan sebenarnya hanyalah berkisar di antara wajibnya membayar hutang kepada semua peminjam dan haramnya mengenakan caj berlebihan (riba) oleh PTPTN. Apa jua perbincangan seharusnya berkisar kepada persoalan ini. Dimasa yang sama, para peminjam memang berhak mendapat apa-apa jua keringanan dalam pinjaman dan tempoh masa bayaran balik yang setimpal. Isu selain daripada hal-hal disebutkan ini tidak lebih dari sensasi kepentingan politik, bukannya hakiki manifestasi hasrat para pelajar.

Yang mahu saya peringatkan adalah, tuntutlah sesuatu yang munasabah lantaran PTPTN bukanlah badan kebajikan penuh akan tetapi sebuah badan pemberi pinjaman pelajaran yang hakikatnya telah membantu ramai pelajar selama ini mendapat peluang pendidikan. Malah mesti juga difahami bahawa, PTPTN mendapat mendapat dana dari beberapa bank komersil yang mesti dibayar semula manakala setiap bayaran semula dari pelajar adalah pusingan modal untuk kegunaan sekumpulan pelajar lain.Justeru itu, para penerima pinjaman ini wajib melatih diri menjadi warga yang bersyukur.

Saya mencadangkan kepada pemerintah supaya mewujudkan satu forum pelajar di peringkat kebangsaan supaya pandangan dan permintaan pelajar dapat didengari secara serius. Tidak semua perkara yang dibangkitkan oleh para pelajar ini tidak berasas malah banyak pula yang bernas selaras dengan tahap daya keintelektualan mereka. Mekanisme sedia ada semasa kurang berkesan sebenarnya. Pengalaman saya sendiri sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dahulu, lebih banyak idea dan pandangan yang dikemukakan pelajar kepada unit HEP, dibakulsampahkan sahaja tanpa ada sebarang susulan membina dan kebanyakan suara pelajar itu diperlekehkan sahaja.

Sekiraanya tuan berminat untuk berdemontrasi, rasanya tiada siapa pun yang dapat menghalang lantaran demontrasi aman adalah sah disisi undang-undang. Yang mahu saya tekankan adalah, tolong fikirkan dalam-dalam dengan fikiran bukan perasaan, adakah dengan berdemontrasi itu matlamat yang dihasratkan akan dapat dicapai, atau pun sekadar mahu mendapatkan liputan, sensasi dan popularity, sedangkan halatujunya entah dimana, malah menguntungkan sesetengah pihak yang menangguk di air keruh, mempergunakan kenaifan para pelajar demi keuntungan hasrat mereka sendiri.

Gunalah akal dan fikiran dalam menuntut apa pun, bukannya nafsu dan perasaan. Tuan telah berada di puncak menara ilmu, tiada lain telah sepatut dan selayaknya berdiri di atas kaki sendiri dalam menentukan apa yang buruk dan apa yang baik. Juga dengan waras tuan sudah tahu setiap perbuatan akan ada balasannya yang setimpal. Ingatlah juga, sebagai seorang mukminin sewajibnya kita menyikapi setiap perbuatan dalam konteks taqwa dan iman, bukannya seronok-seronok di dunia sahaja, bahawa tidak dapat kita lari dari mekanisme pahala membawa ke syurga manakala dosa pasti membawa ke neraka.

Maka itu, tuan pilihlah yang terbaik lantaran pilihan itu ditangan tuan sendiri. Gunalah akal dan fikiran yang sihat dalam menuntut dan berperilaku apa jua pun, bukannya berlandaskan nafsu dan perasaan, selaras dengan ketinggian martabat ilmu yang telah tuan miliki. Setakat ini sahaja komentar saya. Yang lain dari itu, ditangan dan pilihan tuan sendiri. Akal yang waras berlandaskan taqwa dan iman, pasti akan mendapat petunjuk yang haq dari Yang Ma’bud, Allah ‘Azza wa jalla.

والله اعلم           

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام
Read more...