Selasa, 23 Jun 2015

Hadith Palsu Ruh Balik Semasa Ramadhan

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
رب اشرح لي صدري ويسر لي أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي
,وبعد

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Katakanlah (wahai Muhammad), tiada sesiapa pon di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah, dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).”
Surah Al Naml (27) : ayat 65

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Saya ada juga mendapat 5 pertanyaan berkenaan kisah ruh kembali ke dunia semasa Ramadhan yang galak disebarkan setiap kali menjelang Ramadhan. Kisah yang disebarkan itu berbunyi begini :

Apabila tiba bulan Ramadhan, semua roh berkumpul di Luh Mahfuz memohon kepada Allah S.W.T untuk kembali ke bumi.

Ada roh yang dibenarkan pulang ke bumi dan ada yang tidak dibenarkan.

Roh yang dibenarkan pulang adalah kerana amalan baik mereka semasa hayat mereka ataupun ada penjamin-penjamin yang mendoakan mereka.

Manakala roh-roh yang tidak dibenarkan pulang disebabkan kesalahan mereka semasa hayat mereka akan terus di penjara di Luh Mahfuz.

Apabila roh dibenarkan pulang, perkara pertama yang mereka lakukan adalah pergi ke tanah perkuburan untuk melihat jasad mereka.

Kemudian mereka akan pergi ke rumah anak2 mereka, orang yang mendapat harta pusaka mereka dan ke rumah orang yang mendoakan mereka dengan harapan orang yang mereka lawati itu memberi hadiah untuk bekalan mereka.

Perkara ini akan berlarutan sehinggalah tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Pada saat ini mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada jasad dan pulang semula ke Luh Mahfuz dengan bekalan yang diberikan oleh mereka2 yang masih hidup.

Saya sendiri pon ada menerima kiriman kisah ini di laman sosial. Namun apabila ditanya kembali kepada pengirim apa asal muasal dan dasarnya kisah ini, beginilah antara jawabannya :

Tak tahu, saya C&P saja
Tak tahu la pulak, dari bilik sebelah, saya forward saja
Tak percaya sudah la
Nak percaya pon boleh, tak mahu pun tak apa
Ustaz yang cakap takkan tak betul
Kalau pandai sangat, bagi tahulah apa yang betul

Apa jua alasan dan jawaban, sama ada ikhlas benar mengakui ketidaktahuan, tukang forward saja, lempar bola ke orang lain pula atau yang rasa tercabar marah dan mula mencari gaduh, haqiqatnya semua itu tukang sebar sahaja dan mempercayainya secara buta tuli tanpa dicari kebenaran atau disemak terlebih dahulu.

Jawaban secara ringkas sahaja kepada pertanyaan.

Apabila ruh sudah berpisah dari tubuh/jasad (ya’ni sesudah mati), ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan sekali-kali boleh untuk kembali ke alam dunia semula dalam apa jua keadaan pon. Dakwaan malah juga kepercayaan bahawa ruh boleh pulang kembali ke rumahnya (alam dunia) setelah hari-hari tertentu atau pada waqtu-waqtu tertentu dan special adalah tidak benar, karut marut, bathil dan palsu.

Dakwaan malah juga kepercayaan seumpama itu jelas bertentangan/berlawanan dengan Kalamullah :

"Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada seseorang dari mereka (orang kafir), dia berkata : Ya Tuhanku! kembalikanlah aku (ke dunia).
Supaya aku (dapat) berbuat amal yang solih terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawaban Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sendiri sahaja (cakap kosong), sedangkan di hadapan mereka ada barzakh (dinding) sampai hari mereka dibangkitkan (hari akhirat)."
Surah Al-Mu'minuun (23) : ayat 99-100

[Barzakh secara lughah adalah dindingan / hadangan yang memisahkan antara dua keadaan. Secara syara’ adalah tempat sementara bagi ruh yang telah meninggal terlebih dahulu sebelum memasuki alam akhirat.
Syaikh Muhammad Soleh Al-Munajid dan Syaikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin Rhm. Kitab Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi’ah, halaman 338]

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala memberitahu bahawa ruh manusia mati berada di alam barzakh ya’ni dalam keadaan mereka terdinding/ terhadang dari keluar dari alam barzakh yang mereka berada itu, melainkan terus berada di situ sehingga hari qiyamat.

"Allah (Yang Menguasai Segala-galanya) Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati (dalam masa tidurnya), kemudian Dia memegang jiwa (ruh) orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badan orang yang tidur) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan ……..."
Surah Az Zumar (39) : ayat 42

Dalam ayat ini, jelas bahawa ruh orang mati berada di dalam pegangan/tahanan Allah Ta’ala, dan Allah Ta’ala tidak membenarkan sama sekali ruh untuk kembali ke alam dunia, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam ayat sebelum ini,

Saya sendiri tidak menemui dari mana sumber kisah ini dan tidak berminat untuk terus membuat soal selidik. Malah dengan jelas mahu disebutkan, kisah ini tertolak dalam apa jua keadaannya, kerana terang-terangan bertentangan dengan nas soreh, sohih dan qot’ie Kalamullah.

Dikesempatan ini, saya ingin berpesan kepada sesiapa jua yang menganggap enteng perkara ini dan bercakap sesedap rasa hal ruh ini, supaya berfikir balik dalam-dalam dan banyak istighfar, jangan sampai jadi kafir terhadap Allah Ta’ala dan rasul-Nya. Urusan ruh ini adalah salah satu perkara ghaib yang wajib kita imani, dan mempercayai hal yang ghaib adalah aqidah suci ummat Muslimin, juga aqidah inilah yang menjadi teras membezakan antara Muslimin dan kafiriin

Ini disebutkan oleh Kalamullah tentang sifat orang bertaqwa :

“yaitu orang-orang yang beriman kepada perkara yang ghaib ……”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 3

Dan Allah Ta’ala sendiri menjawab pertanyaan orang Yahudi kepada Nabi Saw. :

“Mereka bertanya kepadamu tentang ruh, katakanlah : ruh itu perkara urusan Tuhan-ku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan (tentang ruh) melainkan sedikit sahaja.”
Surah Al Isra’ (17) : ayat 85

Ruh ini perkara urusan Allah Ta’ala, yang pengetahuan amat sedikit diberikan-Nya kepada manusia tentang perkara ruh ini. Yang sedikit itu pun datangnya dari Allah Ta’ala menerusi Kalam-Nya ataupun sabdaan rasul-Nya yang sohih, soreh dan qot’ie. Ia tidak boleh terhasil dari sangkaan, mimpi-mimpi, aqal-aqalan, tekaan, cerita-cerita penglipurlara, tukang karut, awang bathil dan sebagainya yang tidak berlandaskan nas sohihah.

Justeru janganlah, elakkanlah sekali-kali berkata itu ini, begitu begini tentang sesuatu yang ghaib, tidak dikenal, majhul, tidak boleh dilihat, tidak boleh dirasa, tidak boleh dipegang. Jangan sampai mempercayai bahawa ruh boleh balik ke alam dunia sepertimana aqidah Hindu Buddha dan aqidah hulul majusi. Apabila ada nas sohihah, maka berkatalah dan sampaikanlah. Tanpa nas sohihah lebih baik diam.

Sekian, semoga telah menjawab persoalan.

والله أعلم. وصلى الله على محمد وآله وصحبه أجمعين

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam


Read more...

Hadith Palsu Doa Jibril Menjelang Ramadhan.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


رب اشرح لي صدري ويسر لي أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي
,وبعد
Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh ia menang dengan kemenangan yang besar.”
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 70-71

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Saya ada mendapat 5 pertanyaan berkenaan kisah doa malaikat Jibril Ahs. yang disebarkan setiap kali menjelang Ramadhan. Kisah yang disebarkan itu berbunyi begini :

"Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut ini :
1. Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)
2. Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri
3. Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.
Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali.
Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pula pada hari Jumaat .

Setelah membuat semakan didapati :
Tiada ditemui suatu hadits dari mana-mana kitab hadits muktabar yang mencatatkan kisah seperti ini. Namun terdapat sebuah hadits yang matannya didapati mirip seperti kisah disebutkan.
Kemungkinan kisah ini adalah adaptasi/petikan secara palsu dan bathil daripada hadits tersebut. Butiran hadits itu dinyatakan di bawah.

أن النبي صلى الله عليه وسلم رَقَى المِنبر فَلما رَقَى الدَّرجة الأُولى قال : ( آمِين ) ثُم رَقى الثَانية فَقال : ( آمِينَ ) ثُم رَقى الثَالثة فَقال : ( آمِينَ ) فقالوا : يا رسول الله سَمعنَاك تَقولُ : ( آمينَ ) ثَلاث مَرات ؟ قال : ( لَما رَقيتُ الدَّرجةَ الأُولى جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ، ثُم قَال شَقي عَبدٌ أَدرك والدَيهِ أَو أَحدَهُما فَلم يُدخِلاهُ الجنَّةَ . فَقلتُ : آمينَ . ثُم قَال شَقي عَبدٌ ذُكرتَ عِندهُ ولَم يُصلِ عَليك . فَقلتُ : آمينَ )
Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami (para Sahabat) pun berhimpun. Lalu Baginda menaiki anak tangga (pertama) mimbar, Baginda berkata : Amin.
Ketika naik ke anak tangga kedua, Baginda berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, Baginda berkata lagi: Amin.
Dan ketika Baginda turun (dari mimbar) kami pun bertanya : Ya Rasulullah, kami telah mendengar (juga melihat) sesuatu dari Tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.
Lalu Baginda menjawab : Sesungguhnya Jibrail Ahs. telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya : Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.
Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya.
Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibu-bapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya
Hadits riwayat :
imam Al Bazzar Rhm. dalam Majma'uz Zawaid, jillid 10, halaman 165-166
imam Al Hakim Rhm. dalam Al Mustadrak, jilid 4 halaman 153, dan disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi Rhm.
Diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari Rhm. dalam kitab Al Adabul Mufrad no. 644 (Sohih Al-Adabul Mufrad No. 500 dari Jabir bin Abdillah, oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani Rhm.)

Maka kisah seperti itu adalah bathil dan palsu. Justeru adalah dipohon, sesiapa yang terlibat menyebarkan hadis palsu ini silalah hentikannya dan, sesiapa yang ada menerimanya supaya memadamkan dan tidak terus menyebarluaskan lagi. Sekiranya berniyat mahu memanjangkan ilmu dan khabar kebaikkan kepada manusia, maka sebarkanlah versi hadits yang sohih dan benar itu.

Elok sekali diperingatkan sabdaan Nabi Saw. :
   
"إن كذبا علي ليس ككذب على أحد من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار "
“Sesungguhnya berdusta ke atasku bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan senghaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.”
Hadits riwayat imam Bukhari Rhm. Kitab Janaiz dan imam Muslim Rhm. Muqaddimah Sahih Muslim

Terdapat juga pesanan Baginda lagi :

“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka.”
Hadis sohih (Mutawattir) diriwayatkan oleh imam Bukhari, imam Muslim, imam Ibnu Majah, imam ad Darimy dan lain-lain.
Lihat sohih al-Bukhari, hadis no. 109 (Kitab al-Ilm, Bab dosa berdusta ke atas Nabi Saw.).
Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sohih Muslim, hadis no.  3 dan 4 (Muqaddimah - Bab berdusta ke atas Rasulullah Saw.)

“Barangsiapa yang menceritakan dariku satu hadits yang dia sangka, sesungguhnya hadis tersebut dusta/palsu, maka ia termasuk salah seorang dari para pendusta.”
Hadits riwayat imam Muslim, imam Ibnu Majah, imam Thurmidzi, imam Ahmad.
Lihat Muqaddimah Sahih Muslim. Lihat juga Musnad Ahmad (Hadits daripada Samuroh Bin Jundud Rhu. dengan lafaz yang sedikit berbeza)

Sekian, semoga telah menjawab persoalan.


والله أعلم. وصلى الله على محمد وآله وصحبه أجمعين


Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Read more...