Selasa, 3 Mei 2016
Kedudukan Aqal Dalam Islam
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله
و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من
لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita
seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang
mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan
dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.
Para sahabat jamaah Muslimin
yang dimuliakan oleh Allah Ta’ala,
di antara nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada kita semua adalah nikmat berupa aqal yang
sihat, yang dengannya kita boleh berfikir, dengannya kita dapat terus
berinovasi menjalani kehidupan dan membangunkan peradaban, dan dengannya kita dapat
membezakan mana yang bermunafaat dan mana yang berbahaya sesuai jangkauan
keupayaan aqal kita.
Dengan adanya aqal pula
kita dibezakan dari haiwan. Oleh kerana itu, Allah Ta’ala
banyak mendorong manusia supaya mahu menggunakan aqalnya untuk
berfikir, diantaranya adalah Firman-Nya (yang artinya) :
“Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan
bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya
pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi qaum
yang beraqal.”
Surah
An Nahl : ayat 12
Maqsud / Definisi Aqal
Secara lughah (bahasa), al ‘aql (aqal) boleh bermakna
al-hikmah (kebijakan) atau boleh juga bermakna tindakan yang baik dan tepat.
Aqal juga boleh bermakna sifat, dikatakan ; ‘uqila lahu shay’un’
artinya “Dijaga atau “diikat (hubisa) akalnya dan dibatasi”.
Lihat, kitab Lisanul
‘Arab, Muhammad ibnu Mukarram rhm.
Sedangkan secara isthilah (syara’), aqal adalah
daya pikir yang diciptakan Allah Ta’ala
(untuk manusia) kemudian diberi muatan tertentu berupa kesiapan dan kemampuan
yang dapat melahirkan sejumlah aktiviti pemikiran yang berguna bagi kehidupan
manusia yang telah dimuliakan oleh Allah Ta’ala.
Lihat, kitab Syarh
Aqidah Ahlus Sunnah, Syaikh Yazid bin Abdul Qadir Jawas
Islam Memuliakan Aqal
Agama Islam adalah agama
yang sangat adil dan sempurna. Agama suci kita ini memuliakan aqal yang sihat
kerana kemampuan berfikir dan memahami sesuatu dengan baik merupakan anugerah
yang amat besar dari Allah Ta’ala.
Dek kerana besarnya kemuliaan aqal ini, maka agama Islam menetapkan syari’at untuk
menjaga dan mengembangkan aqal, di antaranya :
1.
Islam memasukkan akal ke
dalam dharuriyatul khamsah yaitu 5 hal keperluan utama yang harus
dijaga, 5 hal tersebut adalah agama, jiwa, harta, nasab (keturunan), dan aqal.
2.
Syari’at Islam
mengharamkan semua yang boleh merosak aqal, baik yang maknawi (abstrak) seperti
perjudian, musik dan nyanyian, memandang sesuatu yang diharamkan, mahu pun yang
bersifat fisik seperti khamr (minuman keras), dadah, dan selainnya serta
memberikan hukuman kepada yang melakukannya.
Lihat kitab Maqasidu
Syari’ah ‘Inda Ibni Taimiyah, Dr. Yusuf bin Muhammad Al-Badawi
3.
Agama Islam menjadikan
aqal sebagai salah satu syarat utama taklif (pewajiban / pembebanan
dalam syari’at). Orang yang masih belum sempurna aqalnya seperti anak-anak,
atau pun yang memang memiliki kekurangan dalam aqalnya seperti orang gila, maka
gugur kewajibannya menjalankan syari’at.
4.
Agama Islam
memerintahkan umatnya untuk belajar dan menuntut ilmu, yang dengannya aqal
dapat lebih berkembang dan meningkat. Kemudian memberikan darjat yang tinggi
bagi orang-orang yang berilmu dan mengamalkannya, sebagaimana firman-Nya :
“Allah
akan mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan diberikan ilmu di antara
kalian beberapa derajat”
Surah
Al-Mujadilah : ayat 11
Aqal Mesti
Sesuai Dengan Kedudukannya
Meskipun agama Islam
menghormati dan memuliakan tahap aqal yang sihat, namun aqal tetap ditempatkan
di tempat yang layak sesuai dengan kedudukannya. Artinya, Islam memuliakan aqal,
namun tidak berlebih lebihan dalam memposisikannya, kerana aqal manusia juga
memiliki keterbatasan sebagaimana penglihatan, pendengaran, serta pancaindera
manusia lainnya.
Sebaliknya, walaupun aqal memiliki keterbatasan, agama Islam juga tidak meremehkan dan
mencela aqal serta logika yang benar. Aqal yang baik justeru akan
menyempurnakan suatu ilmu dan amal. Intinya, sikap yang benar dalam memposisikan aqal adalah
bersifat pertengahan, tidak merendahkan logika dan aqal yang sihat, dan juga
tidak berlebih-lebihan sehingga menjadikan piawai kebenaran agama semata-mata
dari logika dan aqal pemikiran manusia.
Aqal Memerlukan
Dalil
Sepintar-pintarnya mana
pun manusia, dan setinggi apa pun kecerdasan aqal manusia, maka pasti sekali
tidak akan dapat berjalan dengan lurus tanpa bimbingan wahyu, baik Al-Qur’an mahu
pun As-Sunnah. Aqal manusia ibarat sepasang mata sedangkan dalil wahyu bagaikan
lentera atau cahaya. Mata tidak akan bisa berfungsi dengan baik tanpa adanya
cahaya. Mata kita baru boleh berfungsi dengan baik dan benar jika ada cahaya
(yang memperjelaskan semuanya). Cahaya tersebut sebagaimana kedudukan dalil
wahyu (al-Qur’an dan as-Sunnah) terhadap aqal.
Syaikhul Islam Ibnu
Taimiyah rhm. menjelaskan hubungan ini : “Aqal
tidaklah dapat berdiri sendiri, aqal baru boleh berfungsi jika dia memiliki
naluri dan kekuatan sebagaimana mata bisa berfungsi jika adanya cahaya. Apabila
aqal mendapatkan cahaya iman dan Al-Qur’an, barulah aqal boleh seperti mata
yang mendapatkan cahaya matahari. Jika tanpa cahaya tersebut, aqal tidak akan
dapat melihat atau mengetahui sesuatu.”
Kitab Majmu’ Fatawa,
Ibnu Taimiyah rhm.
Akal Yang Sihat Dan
Dalil Syari’I, Tidak Akan Bertentangan
Setelah kita mengetahui
bahawa akal memerlukan dalil/nas, maka kita juga dapat memahami bahawa aqal
yang sihat tidak akan pernah bertentangan atau bertolak belakang dengan dalil
syari’i baik dari Al-Qur’an mahu pun As-Sunnah. Kerana semuanya berasal dari
Allah Ta’ala Yang Maha Sempurna
lagi Maha Bijaksana. Aqal yang sihat adalah ciptaan Allah Ta’ala dan dalil syari’i merupakan
Firman dan ketentuan Allah Ta’ala jua.
Maka, mustahil segala sesuatu yang sama-sama bersumber dari Allah Ta’ala saling bertentangan.
Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah
rhm. dalam mengatakan keadaan ini : “Sesungguhnya
mempertentangkan antara aqal dengan wahyu adalah asal-usul segala kerosakan di
alam semesta. Itu adalah lawan dari da’wah para rasul dari semua sisi kerana
mereka (para rasul) mengajak untuk mengkedepankan wahyu daripada pendapat aqal”
Lihat, kitab Mukhtashar Shawa’iqul Mursalah, Ibnu Qayyim
rhm.
Wajib
Mendahulukan Dalil Daripada Aqal
Jika kita sudah berusaha untuk
memahami dalil syari’i dengan metod yang benar, namun masih tampak bagi kita
seolah-olah dalil tersebut bertentangan dengan aqal, fikiran, mahu pun tidak
sesuai dengan perasaan kita. Maka, wajib bagi kita untuk mengkedepankan dalil
syari’i daripada akal dan perasaan kita. Kerana sesungguhnya, anggapan kita bahawa
dalil syari’i tidak selaras dengan aqal yang sihat boleh disebabkan oleh tiga
hal :
[1] Kerana kurangnya ilmu kita yang
menyebabkan adanya kerancuan dan syubhat bagi kita dalam memahami dalil.
[2] Dalil yang dijadikan pijakan dan
panutan, adalah dalil yang lemah, bukan dalil yang sohih.
[3] Kita belum boleh membezakan mana
yang “membingungkan aqal” mana yang “tidak masuk aqal”. Terkadang dalil syari’i
memang boleh jadi membuat kita bingung memahaminya, namun tidak mungkin dalil
syari’i tidak masuk aqal sihat kita.
Contohnya adalah peristiwa Isra’ dan
Mi’raj yaitu peristiwa naiknya Rasulullah Saw. ke langit ke-7 dalam tempoh waqtu
satu malam. Maka boleh jadi kita bingung memikirkannya, bagaimana boleh dalam
satu malam saja seorang manusia tanpa teknologi canggih boleh menembus sehingga
langit tertinggi, walhal untuk sampai ke luar angkasa pun tidak mampu.
Namun begitu, hal tersebut bukanlah
hal yang tidak masuk aqal (tidak dapat diterima aqal), bahkan hal tersebut
sangat mungkin dan masuk aqal yang sihat kerana Allah Ta’ala adalah Dzat
yang Maha Kuasa atas segala sesuatu dan mudah bagi-Nya untuk mewujudkan hal
tersebut. Tambahan pula kejadian itu adalah mu’jizat ke atas peribadi Nabi Saw.
Oleh kerana itu, sahabat
Nabi Saw. yang mulia ‘Ali Bin Abi Thalib rhu.
menjelaskan bahawa dalil syari’i wajib didahulukan daripada aqal dan
perasaan kita. Beliau berkata tentang mengusap khuf (alas kaki yang menutupi
mata kaki, semacam sepatu) : “Seandainya (tolok ukur) agama ini dengan aqal,
maka tentu bahagian bawah khuf lebih utama untuk diusap daripada bahagian
atasnya. Dan sungguh aku melihat Rasulullah Saw. mengusap bahagian atas
khuf-nya.”
Hadits
riwayat imam Abu Dawud rhm, sohih.
Tinggalkan Pendapat Yang Menyimpang
Setelah memahami
penjelasan dari nukilan di atas, maka hendaknya kita meninggalkan pemahaman dan
pendapat yang lebih mendahulukan aqal dan perasaan daripada dalil syari’i yang
banyak tersebar dalam kalangan masyarakat. Di antaranya adalah anggapan orang-orang liberal dan
orientalis bahawa syari’at Islam
tidak adil, hukum Islam adalah hukum yang kejam (barbaric), agama Islam tidak boleh mengatur selia sesuatu negara, bahkan mereka mengatakan bahawa Al-Qur’an
dan ajaran agama Islam sudah tidak relevan lagi dengan zaman ini sehingga harus
diubahsuai dan disemak
semula. Na’udzubillahi min dzalik.
Demikianlah pula hendaknya, kita tinggalkan pendapat-pendapat menyimpang
dari para filosof, mu’tazilah, atheis,
mulhid, ahli bid’ah dan yang semitsalnya, yang beranggapan bahawa adzab qubur
tidak ada, syafa’at tidak ada, penolakan, penta’wilan dan penyelewengan mereka terhadap sebahagian sifat-sifat
Allah Ta’ala, pengingkaran
terhadap munculnya dajjal dan turunnya Nabi
‘Isa ‘alayhissalam, serta
pemahaman dan perkataan mereka yang lain,
yang tidak bersumber dari dalil-dalil syari’i.
Mudah-mudahan dengan kembalinya kita kepada Al-Qur’an dan Sunnah, menjadikan kita sebagai seorang Muslim yang hanif dan istiqomah.
Akhiirul Kalaam
Demikianlah serba sedikit penjelasan tentang kedudukan aqal dalam agama Islam, yang mampu saya sediakan dengan serba kekurangan
dan kefaqiran, semoga
dapat menjadi pencerahan bagi
kita dan membuat kita lebih taslim (menerima dan patuh) terhadap
syari’at Allah Ta’ala, tunduk patuh terhadap hukum dan aturan syari’at Islam, serta menerima segala dalil syari’i yang datang kepada kita. Insya’Allah.
والله تعالى أعلم
, وصلى
الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله
وأصحابه أجمعين.
Yang
benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari
saya yang amat dhaif ini.
سكيان
, والسلام
Jadilah Penyebar Kebaikan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله
و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من
لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita
seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang
mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan
dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.
Para sahabat jamaah
yang dikasihi, pilihlah jalan kebaikan.
Dalam kehidupan kita
ini, seringkali kita dihadapkan dengan 2 (dua) macam pilihan. Pun, tatkala
membaca Al Qur’an, tak jarang kita dapati Yang Ma’bud Allah Ta’ala menawarkan
dua pilihan, mitsalnya pada firman Allah Ta’ala
(yang artinya) :
“Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan.” Surah Al Balad : ayat
10
Mengenai ayat ini,
Syaikh Abdur Rahman As-Sa’di rhm. Menuturkan : “Maqsudnya (dua jalan) tersebut
ialah jalan kebaikan dan jalan keburukan.”
(Tafsir Taisirul
Karimir Rahman)
Jalan kebaikan adalah
jalan yang ditempuh oleh para penyebar kebaikan. Amat beruntunglah orang yang
meniti jalan ini. Hal ini sebagaiamana yang telah ditegaskan junjungan mulia Nabi
Saw. :
“Sesungguhnya, ada diantara manusia yang menjadi
kunci kebaikan dan pemacu penutup keburukan. Pun, ada pula sebahagian manusia
yang menjadi kunci keburukan dan pemacu penutup kebaikan.
Sungguh beruntunglah bagi orang-orang yang Allah letakkan kunci-kunci
kebaikan di tangannya dan kecelakaan bagi orang-orang yang Allah letakkan
kunci-kunci keburukan di tangannya.”
Hadits riwayat imam
Ibnu Majah, dihasankan Syaikh Al Albani rhm.
Maka, Jadilah Penyebar
Kebaikan…
Jadilah penyebar
kebaikan… kerana ada banyak keutamaan bagi orang-orang yang senantiasa berbuat
kebaikan. Allah Ta’ala berfirman
(yang artinya) :
“Bagi
orang-orang yang baik, ada pahala yang terbaik (ya’ni syurga) dan tambahannya.
Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tiada pula kehinaan. Mereka
itulah penghuni syurga, mereka itu kekal didalamnya.”
Surah Yunus : ayat 26
Jadilah penyebar
kebaikan… kerana boleh jadi terhindarnya kita dari keburukan dan termudahkannya
kita merasakan kenikmatan selama ini adalah buah dari kebaikan yang telah kita
tanam. Sabda Rasulullah Saw. :
“Perbuatan baik itu dapat menghindarkan
seseorang dari keburukan.”
Hadits riwayat imam
Ath Thabrani, dinyatakan hasan li ghairihi oleh Syaikh Al Albani Rhm.
Jadilah penyebar
kebaikan… kerana telah banyak firman-Nya yang menunjukkan keutamaan bagi orang
yang berbuat kebaikan (yang artinya) :
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang
berbuat kebaikan.”
Surah Al Baqarah : ayat
195
“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang
bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.”
Surah An Nahl : ayat 128
“Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang
yang berbuat kebaikan.”
Surah Al A’raf : ayat
56
Jadilah penyebar
kebaikan… kerana orang yang berbuat baik adalah orang yang bermunafaat. Sedang,
orang-orang yang paling bermunafaat akan dinobatkan sebagai insan yang terbaik.
Nabi Saw. Telah bersabda :
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling
bermunafaat bagi manusia lainnya.”
Hadits riwayat imam Ahmad,
dihasankan oleh Syaikh Al Albani rhm.
Jadilah penyebar
kebaikan… kerana banyak orang akan senantiasa diingat, bukan kerana gelaran
kehormatan, kekayaan atau pun jabatan berpangkat, akan tetapi mereka diingat
kerana banyaknya kebaikan yang telah diperbuat.
Kebaikan dan
kebajikan, sekecil apapun jangan diremehkan. Allah Ta’ala berfirman, (yang artinya):
“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan
sekecil apapun, niscaya dia akan melihat balasannya. Dan barang siapa yang
mengerjakan kejahatan sekecil apapun, niscaya dia akan melihat balasannya.”
Surah Az Zalzalah : ayat
7-8
Dalam kitab
tafsirnya, Syaikh Abdur Rahman As-sa’di rhm. Menjelaskan : “Bahawa ayat-ayat
ini memotivasikan untuk beramal baik walaupun sedikit. Pula, ia berisi ancaman
bagi yang beramal keburukan meskipun sedikit.”
Tafsir Taisiirul
Karimir Rahman
Rasulullah Saw. menyatakan
hal yang senada demikian itu. Suatu hari, kepada Jubair bin Sulaim Rhu. Baginda
berpesan : “Janganlah meremehkan kebaikan
sedikitpun walau hanya seqadar berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang
tersenyum berseri kepadanya. Sesungguhnya amalan itu adalah termasuk kebaikan.”
Hadits riwayat imam
Abu Daud, dinyatakan sohih oleh Al Hafizh Ibnu Hajar Al Asqolany rhm.
Tatkala membahas
hadits ini, Syaikh Muhammad bin Solih Al Ustaimin rhm. menyatakan : “Nabi Saw. memerintahkan
agar tidak meremehkan kebaikan sekecil apapun. Setiap kebaikan dapat dituangkan
dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan. Sungguh, Allah mencintai orang-orang
yang berbuat kebaikan.”
Syarh Riyadhus Solihin
Saat ketika menuai
balasan berbuat kebaikan, orang-orang yang berbuat kebaikan pada sesama adalah
orang yang akan senantiasa ditolong oleh Allah Ta’ala. Mari kita ingat
kembali sabda Nabi Saw. :
“Siapa yang menolong saudaranya
dalam keperluannya, maka Allah pun akan menolongnya dalam memenuhi hajat keperluannya.”
Hadits riwayat imam Bukhari
rhm.
Semakna dengan hadits
diatas, Nabi Saw. juga pernah berpesan :
“Allah akan senantiasa menolong seorang
hamba, manakala hamba tersebut menolong saudaranya.” Hadits riwayat imam
Muslim rhm.
Bahkan kebaikan yang
telah kita tanam, akan menjadi hasil tuaian yang berbuah manis nantinya. Boleh
saja berupa doa-doa kebaikan yang tulus dari seseorang yang telah merasakan
kebaikan kita. Imam Ibnul Qayyim rhm. menuturkan :
“Boleh jadi tatkala
engkau tertidur lelap, pintu-pintu langit sedang diketuk oleh puluhan doa
kebaikan untukmu. Mungkin doa itu berasal dari seorang fakir yang telah engkau
tolong, dari seorang kelaparan yang telah engkau beri makan, dari seorang yang
bersedih lantas engkau bahagiakan, dari seorang yang berpapasan denganmu, lalu
kau beri senyuman atau dari seorang yang dibebani kesulitan kemudian kau
lapangkan. Janganlah pernah engkau sekali-kali meremehkan kebaikan sekecil
apapun.
Kitab Miftahud Daris
Sa’adah
Jangan lupakan,
syarat diterimanya amal. Tidak setiap amal kebaikan yang kita lakukan, dapat
diterima oleh Allah Ta’ala. Namun harus juga terpenuhinya dua syarat
diterimanya amal. Allah Ta’ala berfirman
(yang artinya) :
“Sesunggunya Sesembahan kalian adalah
sesembahan yang esa, barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Robb-nya
maka hendaklah ia beramal ibadah dengan amalan yang sollih dan tidak
menyekutukan Robb-nya dalam amal ibadahnya dengan suatu apapun“.
Surah Al Kahfi : ayat
110
Mengenai ayat ini, imam
Ibnu Katsir rhm. (pakar tafsir Al Qur’an) menuturkan : “Maka hendaklah ia
mengerjakan amal yang sollih”, maqsudnya adalah mencocoki syari’at Allah
(mengikuti petunjuk Nabi saw., pen). Dan “janganlah ia mempersekutukan seorang pun
dalam beribadat kepada Tuhannya”, maqsudnya selalu mengharap wajah Allah semata
dan tidak berbuat syirik pada-Nya.” Kemudian beliau mengatakan : “Inilah dua
rukun diterimanya ibadah, yaitu mesti ikhlas kerana Allah dan mengikuti
petunjuk Rasulullah Saw.”
Lihat Sohih Tafsir
Ibnu Katsir oleh Syaikh Musthofa Al Adawiy
Dan Allah Ta’ala juga berfirman (yang artinya)
:
“Dzat Yang menjadikan mati dan hidup, supaya
Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amal ibadahnya”. Surah
Al Mulk : ayat 2
Fudhail bin ‘Iyaad
rhm. (seorang Tabi’in) mengatakan ketika menafsirkan firman Allah, (yang
artinya) : “yang lebih baik amal ibadahnya” maqsudnya adalah yang paling ikhlas
dan yang paling benar (paling menepati Nabi Saw.). Kemudian beliau rhm. mengatakan
: “Apabila amal dilakukan dengan ikhlas namun tidak mencocoki ajaran Nabi Saw.,
amalan tersebut tidak akan diterima. Begitu pula, apabila suatu amalan
dilakukan mengikuti ajaran Baginda Saw. namun tidak ikhlas, maka amalan
tersebut juga tidak akan diterima. Amalan barulah diterima jika terdapat syarat
ikhlas dan sawab. Amalan dikatakan ikhlas apabila dikerjakan semata-mata kerana
Allah Ta’ala. Amalan dikatakan sawab apabila mencocoki ajaran Nabi Saw.”
Lihat, Ma’alimut
Tanziil (Tafsir Al Baghowiy) oleh Abu Muhammad Husain bin Mas’ud Al Baghowiy
rhm.
Justeru itu, segala
peluang yang ada, jangan sekali kali disia-siakan. Marilah kita bersegera
menjadi penyebar kebaikan. Lantaran kebaikan itu kini ada di depan mata.
Bukankah dalam beberapa ayat-Nya, Allah Ta’ala memerintahkan kita untuk saling
berlumba dan bersegera? Kerana… kebaikan adalah kemungkinan yang tidak hanya
harus di-semoga-kan, akan tetapi pula harus di-segera-kan.
Akhiirul kalam, ada
sebuah ungkapan yang patut untuk kita jadikan sebagai bahan renungan : “Kerugian
yang paling menyengsarakan adalah ketika kita tahu ada peluang kebaikan di
depan mata, akan tetapi kita tidak dapat menunaikannya barang sedikit pun.
Sedangkan, kesengsaraan yang paling merugikan adalah ketika kita tahu syurga
itu seluas langit dan bumi, akan tetapi kita tidak mendapatkan tempat barang
setapak kaki pun.”
Semoga kita
senantiasa dimudahkan dan disegerakan untuk boleh mengerjakan kebaikan. Semoga
kita dapat terus senantiasa menjadi penyebar kebaikan dimana pun kita berada,
agar -setidaknya- kita dapat melegakan nafas sekitar dengan cara membantu
sesama dan juga menjadi peribadi yang bermunafaat selamanya.
والله تعالى أعلم
, وصلى
الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله
وأصحابه أجمعين.
Yang
benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari
saya yang amat dhaif ini.
سكيان
, والسلام
Langgan:
Catatan (Atom)