Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

Jumaat, 9 Februari 2018

Catatan Hidup : Mengharungi Ranjau Dan Duri-Duri Dunia.

0 ulasan
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ...
بِسْمِ  ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم  

Para ikhwah yang dikasihi semua,
Sedikit catatan di pagi mulia, khasnya buat diri sendiri

Dalam mengharungi jalanan hidup ini, banyak ranjau dan duri, yang harus kita singkirkan satu demi satu. Demikianlah sunnatullah hidup bagi setiap manusia.

Di antara kita, ada yang berhasil menyingkirkan ranjau dan duri-duri, sehingga selamat di dunia dan di akhirat. Namun tidak kurang jua, ada yang tidak mampu menyingkirkannya sehingga harus terkapar dalam kubang kegagalan di dunia dan akhirat.

قَالَ اللَّهُ يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِى وَرَجَوْتَنِى غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلاَ أُبَالِى

"Allahu Ta'ala berfirman, wahai anak Adam, sesunggohnya jika engkau menyeru dan mengharap kepada~Ku, maka pasti Aku ampuni dosa-dosamu, Aku tak peduli berapa banyaknya."

Allahu Samii' ul 'Aliim, seakan mendengar rintihan pilu para hamba~Nya, meletakkan diri~Nya pada puncak segala rintihan, seruan dan harapan, dan Dia menyediakan keampunan pada sesiapa jua yang tersesat jalan.

Ranjau dan duri-duri hidup itu demikian banyak, yang untuk menyingkirkannya jelas memerlukan waqtu amat panjang dan pengorbanan yang tidak sedikit.
Kita takut, seandainya kegagalan hidup itu berakhir dengan murka dan neraka Allahu Ta'ala. Akankah kita dapat menyelamatkan diri lagi, sementara kesempatan sudah tidak ada?
Dan akankah ada orang yang dapat mengasihani kepada kita lagi kala itu, justeru setiap orang bernasib sama.

يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِى غَفَرْتُ لَكَ وَلاَ أُبَالِى

"Wahai anak Adam, seandainya dosamu meninggi setinggi langit, pasti akan Aku ampuni, Aku tak peduli berapa tingginya."

Allahu Kariim ul Hakiim, seakan mengerti gusaran hati para ummat-Nya, makhluq lemah yang terkapai mencari arti, kalut menelusuri igauan dunia, Allahu Ta'ala sediakan keampunan kepada sesiapa jua makhluq~Nya yang tetap mahu kembali akhirnya, kepada~Nya. Dia membuka sebesar-besar ruang kepada ummat yang sadar diri akan keterlanjuran dan kealpaan, lalu mahu kembali ke pangkuan-Nya.

يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِى بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِى لاَ تُشْرِكُ بِى شَيْئًا لأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

"Wahai anak Adam, seandainya engkau mendatangi-Ku dengan dosa sepenuh bumi dalam keadaan tidak syirik (menyekutukan~Ku) sedikit pon kepada~Ku, tentu Aku akan mendatangi-Mu dengan ampunan sepenuh bumi pula.”
Hadits riwayat imam at Tirmidzi rhm. no. 3540, (hasan) dari sahabat Anas bin Malik Rhu.

Allahu Rahmaan ur Rahiim, seakan memahami betapa gundah dan takut saorang hamba kepada-Nya, Sang Khaliq Yang Maha Pemurah Maha Pengasihani, anugerahkan keampuan pada tiap tiap hamba-Nya. Dia-lah yang Maha Pemurah lantaran memberikan ni'mat iman dan Islam, Dia-lah  yang Maha Pengasihani justeru sedia memberi kemaafan atas ummat yang ingkar dan culas pada perintah-Nya, setelah mereka diberikan kelazatan dunia dan seluroh isinya.

Tidak ada cara yang terbaik kecuali harus kembali kepada agama kita dan menempuh bimbingan Allahu Ta'ala dan Rasul-Nya.

Ambillah kesempatan pada detik hayat masih ada, untuk usaha menyingkirkan ranjau dan duri hidup, lalu benar-benar berserah diri dan bertawakkal kepada-Nya, semata.

☝Berserahlah, tawakkallah, dan   اسْتَغْفَر mohonlah keampunan,
insyaa'Allah

akhukum fillah
Bukit Mertajam
Jum'at, 23 Jumadil Awwal
Read more...

Khamis, 24 Ogos 2017

Pengajaran Dari Hadith Jibril ahs (Siri 2)

0 ulasan
 بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Para sahabat jamaah yang dikasihi, pilihlah jalan kebenaran agar redho Allahu Ta’ala senantiasa menaungi hidup kita.

--/ sambungan ……

3. Memakai Pakaian Yang Bagus Saat Menghadiri Majlis Ilmu.

Jibril ahs. datang menggunakan pakaian yang sangat putih, yang menunjukkan pakaian yang beliau pakai adalah pakaian yang bersih dan bagus. Baju putih juga adalah warna yang disukai oleh Rasul Saw.

Dari Abdullah Ibnu ‘Abbas rhu. bahawa Rasulullah Saw. bersabda :

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ

“Pakailah oleh kalian pakaian yang putih kerana itu termasuk pakaian yang paling baik”
Riwayat imam Abu Daud, no. 4061, hasan

Oleh kerana itu, seyogianya bagi penuntut ilmu untuk berhias diri dengan pakaian dan penampilan yang baik tatkala menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah kemuliaan yang mengangkat martabat para pemiliknya, seharusnya ia didatangi dengan cara sebaiknya dan selayaknya dengan kemuliaan ilmu itu sendiri.

4. Hendaknya Murid Mengambil Posisi Yang Dekat Dengan Guru.

Dalam kisah tersebut diceritakan :

فجلس إلى النبي صلى الله عليه وسلم فأسند ركبتيه إلى ركبتيه

“Lalu ia duduk di hadapan Rasulullah dan menyandarkan lututnya kepada lutut Rasulullah”

Jibril ahs. menempelkan lutut beliau dengan lutut Nabi Saw. Ini menunjukkan beliau mengambil posisi duduk yang sangat dekat dan juga menghadap kepada Nabi yang akan menyampaikan ilmu.

Dengan posisi demikian, beliau bulih menyemak dengan saksama ilmu yang disampaikan dan mendapat faidah yang lengkap. Inilah di antara adab dalam menuntut ilmu, yaitu mengambil posisi yang dekat dengan guru yang akan mengajarkan ilmu.

5. Fokus Dan Konsentrasi Dalam Belajar.

Dalam kisah tersebut diceritakan :

ووضع كفيه على فخذيه

“dan beliau (Jibril) meletakkan tangannya di atas pahanya sendiri”

Tatkala duduk, Jibril meletakkan kedua tangannya di atas paha beliau sendiri. Ini menunjukkan sikap duduk yang sempurna dan posisi yang fokus dalam mempelajari ilmu.

Demikianlah seharusnya duduknya saorang penutut ilmu di majlis ilmu. Mengambil posisi duduk yang benar dan sikap yang fokus memperhatikan guru.

Tidak duduk asal-asalan, sibuk bersembang  sendiri, mengantuk dan tidur, atau bahkan bermain telefon ketika di majlis ilmu.

6. Qaidah Tanya Jawab Dalam Mengajarkan Ilmu

Cara seperti ini adalah di antara qaidah yang amat efektif dalam belajar, yaitu berdialog atau tanya jawab sehingga baik yang mengajarkan mahu pon yang diberi pelajaran sama-sama aktif dalam proses pembelajaran.

Hal ini akan mudah dipahami dan juga mudah untuk diingat. Qaidah seperti ini banyak dipraktikkan oleh Nabi Saw. sebagaimana disebutkan dalam banyak hadits.

7. Boleh Bertanya Tentang Sesuatu Yang Sudah Diketahui Dalam Rangka Mengajarkan Ilmu Kepada Orang Lain

Jibril bertanya kepada Nabi Saw. bukanlah berarti beliau tidak tahu. Akan tetapi, ini dalam rangka pengajaran kepada para sahabat yang hadhir pada saat itu.

Dengan sebab pertanyaan Jibril, Nabi Saw. memberikan banyak penjelasan ilmu tentang Islam, Iman, ihsan, tanda hari qiyamat, dan lain-lain perkara, sehingga para sahabat yang hadhir upaya mendapatkan tambahan ilmu.

8. Anjuran Mengucapkan Salaam Ketika Menghadhiri Majlis Ilmu.

Dalam riwayat yang lain, disebutkan bahawa Jibril mengucap salam kepada Nabi Saw. ketika beliau memasuki majjlis. Jibril mengucapkan :

“Assalaamu ‘alaika Yaa Muhammad”, dan Nabi pon menjawab salam tersebut, sebagaimana hal ini disebutkan dalam hadits Abu Hurairah dan Abu Dzar yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.

9. Tidak Boleh Menjawab Pertanyaan Tanpa Dasar Ilmu

Tidaklah boleh sesaorang menjawab pertanyaan tanpa dasar ilmu. Oleh kerana itu, jawaban Nabi Saw. ketika ditanya tentang bilakah  terjadinya hari qiyamat, Baginda membalasnya :

. ما المسؤول عنها بأعلم من السائل

“Orang yang ditanya itu tidak lebih tahu dari yang bertanya.”

Baginda menjawab demikian kerana memang Baginda tidak mengetahui ilmu tentang hal tersebut. Inilah cara yang paling benar dalam menyampaikan ilmu daripada berbohong dan berdusta berlagak tahu sedangkan tidak, seterusnya merosakkan pengetahuan dan kefahaman para khalayak pendengar. Beginilah trend yangn banyak berlaku sekarang, sehinggakan terlalu kerap didengar hadits dhoif, palsu dan cerita mengarut yang disebarkan dalam masyarakat.

10. Keutamaan Dan Pentingnya Mempelajari Serta Menda'wahkan ‘Aqidah

Datangnya Jibril kepada Nabi dan disaksikan oleh para Sahabat adalah suatu detik yang mulia dan istimewa. Ilmu yang diajarkan dalam majlis tersebut adalah ilmu tentang pokok-pokok agama Islam yaitu tentang iIlam, Iman, Ihsan, dan juga tanda hari qiyamat.

Ini menunjukkan, pengajaran tentang ilmu tersebut adalah sangat penting dan sangat diperlukan oleh ummat. Oleh kerana itu para, da‘ie hendaknya menjadikan aqidah sebagai bahan asas utama dalam da'wah.

Satu pengajaran lagi, kedatangan Jibril secara jahar dan berdepan dengan disaksikan oleh para Sahabat, membuktikan bahawa Islam adalah agama mulia dan suci, yang mana ilmu dan pengajarannya datang dari Allah 'Azzawajalla secara langsung kepada seluroh ummat manusia.

Justeru, benarlah Islam itu satu-satunya agama disisi Allah dan satu-satunya yang Dia redhoi. Maka beruntunglah mereka-mereka yang telah mengakusaksi dengan Allahu Ta'ala dan rosul-Nya, untuk berada di dalam agama yang haq ini.

Antara pengajaran lain :

Islam, Iman dan Ihsan merupakan suatu tingkatan, yang paling bawah adalah Islam kemudian Iman dan tingkatan tertinggi adalah Ihsan. Sehingga orang yang berihsan (Muhsin) adalah seorang yang beriman (Mukmin) dan berislam (Muslim), sedangkan seorang Mukmin adalah Muslim namun belum tentu Muhsin, dan seorang Muslim belumlah dianggap Mukmin dan Muhsin hingga memenuhi syaratnya. Sebagaimana firman Allah Swt:
"Orang-orang Arab Badui itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah: "Kamu belum beriman, tetapi katakanlah ´kami telah tunduk (berislam)´, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu;..."
Surah Al Hujurat : 14

Iman, Islam, dan Ihsan diakui sebagai perbendaharaan kunci dalam pola keberagaman Islam. Pada awalnya, konsep keimanan tersebut didasarkan pada sebuah hadits terkenal di atas yang dikunnah Wal Jamaah perihal adanya 6 rukun iman, 5 rukun Islam dan satu ajaran tentang penghayatan terhadap Allah Azza Wa Jalla. Akan tetapi, dalam dimensi terdalam iman, tidak cukup hanya dengan percaya atau mempercayai sesuatu yang belaka, tetapi ia juga perlu perwujudan/eksternalisasi dalam pola perilakunya.

Sehinggakan ulama’ agung, Ibnu Rajab Al Hanbali berkata : "Ini adalah hadits agung yang mengandung keterangan (tentang) seluruh agama ini, oleh sebab itulah Nabi Saw. berkata di akhir hadits : "Dia adalah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan kamu (tentang) agama kamu.", setelah menjelaskan tingkatan Islam, Iman, dan Ihsan dan menjadikan semuanya itu adalah (bahagian dari) agama."
Kitab Jami'ul Ulum wal Hikam, Jilid 1 halaman 97

Demikian beberapa faidah serta pengajaran sangat berguna tentang ilmu Islam yang dapat kita petik dari kisah datangnya malaikat Jibril ‘ahs.

Semoga catatan ringkas ini, menambah ilmu dan mendatangkan munafaat seterusnya meningkatkan tahap keimanan kita.

Wallahu ta'ala a‘lam. Wassolawaatu wassalaamu ‘alaa Nabiyyinaa Muhammad.

Maraji' :

Al-Minhatu Ar-Rabaniyyah Fii Syarhi al Arba’in an Nawawiyyah : Syaikh Dr. Fauzan bin ‘Abdillah Al Fauzan hfzh.
Syarhu Al-Arba’in An-Nawawiyyah : Asy Syaikh Al 'Allamah Muhammad bin Solih Al Utsaimin rhm.
Syarhu Al-Arba’in An-Nawawiyyah : Syaikh Solih bin ‘Abdil ‘Aziiz ‘Muhammad ‘Alu Syaikh hfzh.
Syarhu Hadiitsi Jibril Fii Ta’liimiddiin : Syaikh ‘Abdul Muhsin bin Hamd al ‘Abbaad al Badr hfzh.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir @ 38
tanah liat, bukit mertajam




Read more...

Pengajaran Dari Hadith Jibril ahs (Siri 1)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Para sahabat jamaah yang dikasihi, pilihlah jalan kebaikan agar redho Allahu Ta’ala senantiasa mengiringi hidup kita.

Nukilan kali ini : 10 Pengajaran dari Datangnya Jibril ahs. (Siri 1)

Redaksi hadits :

عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُ أَيضاً قَال: بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوْسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيْدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيْدُ سَوَادِ الشَّعْرِ لاَ يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلاَ يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِـي صلى الله عليه وسلم فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنِ الإِسْلاَم، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: (الإِسْلاَمُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَ أَنَّ مُحَمَّدَاً رَسُولُ الله،وَتُقِيْمَ الصَّلاَة، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ،وَتَصُوْمَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ البيْتَ إِنِ اِسْتَطَعتَ إِليْهِ سَبِيْلاً)، قَالَ: صَدَقْتَ. فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ، قَالَ: فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِيْمَانِ، قَالَ: (أَنْ تُؤْمِنَ بِالله،وَمَلائِكَتِه،وَكُتُبِهِ، وَرُسُلِهِ، وَالْيَوْمِ الآَخِر،وَتُؤْمِنَ بِالقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ)، قَالَ: صَدَقْتَ، قَالَ: فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِحْسَانِ، قَالَ: (أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ)، قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ السَّاعَةِ، قَالَ: (مَا الْمَسئُوُلُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ)، قَالَ: فَأَخْبِرْنِيْ عَنْ أَمَارَاتِها، قَالَ: (أَنْ تَلِدَ الأَمَةُ رَبَّتَهَا،وَأَنْ تَرى الْحُفَاةَ العُرَاةَ العَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُوْنَ فِي البُنْيَانِ)، ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيَّاً ثُمَّ قَالَ: (يَا عُمَرُ أتَدْرِي مَنِ السَّائِلُ؟) قُلْتُ: اللهُ وَرَسُوله أَعْلَمُ، قَالَ: (فَإِنَّهُ جِبْرِيْلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِيْنَكُمْ). رواه مُسلِمٌ

Dari Umar Rhu. dia menceritakan : “Ketika kami sedang duduk-duduk bersama Rasulullah Saw., tiba-tiba muncul seorang laki-laki yang pakaiannya sangat putih, rambutnya sangat hitam, pada dirinya tidak ada bekas-bekas datang dari perjalanan, namun tidak ada satu pun di antara kami yang mengenalnya.
Kemudian, dia duduk di dekat Nabi Saw. Dia menempelkan lututnya ke lutut Nabi Saw. dan meletakkan telapak tangannya di atas paha Nabi Saw. Kemudian, dia bertanya, ‘Wahai Muhammad, sampaikan kepadaku, apa itu Islam?
Nabi Saw. menjawab : “Islam adalah engkau bersyahadat bahawasanya tiada sesembahan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, menegakkan solat, menunaikan zakat, berpuasa ramadhan, dan melaksanakan haji ke Baitullah jika engkau mampu pergi ke sana.’ Orang ini berkata, ‘Engkau benar.’
Umar pun mengatakan : “Kami terhairan; dia bertanya lalu dibenarkannya sendiri.
Orang tersebut bertanya : ‘Sampaikan kepadaku tentang apa itu iman!’ Nabi Saw. menjawab, ‘Iman itu :engkau beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, dan hari akhir, serta beriman kepada takdir baik maupun buruk.’ Orang tersebut menyahut, ‘Kamu benar.
Sampaikan kepadaku tentang apa itu ihsan!’ Nabi Saw. menjawab : ‘Ihsan itu, engkau beribadah kepada Allah seolah engkau melihatnya. Jika engkau tidak bisa, maka sesungguhnya Allah melihatmu.’
Orang itu bertanya : ‘Sampaikan kepadaku, bilakah qiyamat terjadi?’ Nabi Saw. menjawab : ‘Orang yang ditanyai tidak lebih tahu daripada orang yang bertanya.’
Orang itu bertanya lagi, ‘Sampaikan kepadaku tentang tanda-tandanya!’ Nabi Saw. menjawab : ‘Budak-budak wanita akan melahirkan tuannya, dan engkau akan melihat orang yang tidak memakai alas kaki, suka tidak memakai baju, miskin, dan penggembala kambing berlomba-lomba dalam membuat bangunan yang tinggi.’
Kemudian, orang tersebut pergi, sementara aku (Umar) diam (tidak mencari) beberapa hari. Setelah itu, Nabi Saw. bertanya : ‘Wahai Umar, tahukah kamu, siapa orang yang kelmarin bertanya itu?’ Umar mengatakan : ‘Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.’ Nabi Saw. bersabda : ‘Sesungguhnya, dia adalah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.''
Riwayat imam Muslim, no. 1

Disebut “hadits Jibril”, kerana hadis ini menceritakan tentang malaikat Jibril yang datang mengajarkan islam, iman, dan ihsan kepada Nabi Saw. dan dihadapan para sahabat. Hadis ini ditempatkan oleh Imam Muslim sebagai hadits pertama dalam kitab kitab Sohihnya.  Demikian pula, Imam Al-Baghawi menempatkan hadis ini sebagai hadits pertama dalam dua kitabnya : Syarhus Sunnah dan Masobih As-Sunnah.

Sementara, Imam Yahya bin Sharaff An-Nawawi menempatkan hadits ini sebagai hadits kedua dalam Matan Al-Arba’in An-Nawawiyah (Kumpulan 42 Hadis Penting). Hadits ini memiliki banyak redaksi riwayat yang berbeda-beda, padahal kisah yang diceritakan hanya terjadi sekali.

Banyak ulama’ yang menyebutkan bahawa “hadis Jibril” ini merupakan hadis yang agung dan mendapatkan banyak perhatian, kerana hadits ini mencakup semua pokok amal zahir dan batin, sehingga semua ilmu dan pengetahuan syari’ah masuk dalam lingkup “hadits Jibril”.

Mengingat status “hadits Jibril” memuat semua ilmu sunnah, maka Ibnu Daqiqil ‘Id menggelari hadis ini sebagai Ummus Sunnah (induk sunnah), sebagaimana “Al-Fatihah” digelari sebagai “ummul Qur’an” (induk Al Qur’an), kerana kandungannya mencakup seluruh makna Al Quran.
Syarah Matan Arba’in An-Nawawi, Ibnu Daqiqil ‘Id, halaman 7

Salah satu detik yang paling istimewa adalah suatu pertemuan yang amat istimewa : ya.ni, datangnya malaikat yang paling mulia, menemui Nabi yang paling mulia, dengan disaksikan oleh para sahabat yang mulia, tentulah sekali ini merupakan hal yang amat istimewa.

Dalam hadits ini, Nabi Saw. menjelaskan Islam dengan amal zahir (baca : Rukun Islam) dan iman dengan amal bathin (baca : Rukun Iman). Namun, dalam riwayat Ibnu Abbas Rhu., Nabi Saw. bertanya kepada para sahabat : “Tahukah kamu, apa itu iman kepada Allah?” Para sahabat menjawab : “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.” Kemudian, Baginda menjelaskan : “(Iman kepada Allah adalah) bersyahadat ‘la ilaha illallahMuhammadur Rasulullah’, menegakkan solat, membayar zakat, puasa ramadan, dan memberikan seperlima ganimah kepada Baitul Mal.”
Riwayat Al-Bukhori, no. 53. Di hadits ini, Nabi Saw. menjelaskan iman dengan amal zahir (Rukun Islam)

Sebahagian lagi ulama’ menjelaskan, di “hadits Jibril”, Nabi Saw. membezakan antara iman dan Islam, sementara di hadits Ibnu Abbas, beliau hanya menyebut iman dan beliau menafsirkannya dengan rukun Islam. Ini menunjukkan bahwa kata “iman” dan “Islam” memiliki hubungan erat. Jika disebut bersamaan maka maknanya berbeda, dan jika disebut sendirian maka maknanya mencakup keduanya. Artinya, jika disebut “iman” saja maka maknanya mencakup “iman” dan “islam”, dan jika disebut “islam” saja maka maknanya mencakup “iman”.
Kitab Hushulul Ma’mul, halaman 116

Pastinya banyak sekali faidah yang ada di sana. Kali ini, bersama kita akan mengambil beberapa faidah tentang ilmu dari kisah tersebut.

Mendulang Faidah Dari Kisah hadits Ini :

Dalam kisah datangnya Jibril ini, kita boleh mengambil beberapa faidah tentang ilmu :

1. Anjuran Untuk Aktif Menghadiri Majlis Ilmu.

Tatkala malaikat Jibril ahs. datang, para sahabat sedang duduk bermajlis bersama Nabi Saw. Demikianlah kebiasaan para sahabat. Mereka datang kepada Nabi Saw. untuk mendapatkan ilmu dan meminta nasihat kepada Baginda. Mereka adalah orang yang selalu semangat untuk mencari ilmu.

Hendaknya kita dapat mengambil pengajaran dari kisah ini, dan menjadi motivasi bagi kita untuk aktif mendatangi majlis ilmu. Sesaorang tidak akan bulih mendapat ilmu jika tidak datang menghadiri majlis ilmu, sebagaimana perkataan Imam Malik rhm. :

العلم يؤتى ولا يأتي
“Ilmu itu didatangi, dia tidak akan datang sendiri.”

Dan, majlis imu yag turut dihadiri oleh makhluq mulia malaikat, adalah bukti bahawa majlis ilmu (baca : majlis zikr) sememangnya suatu kemuliaan.

2. Anjuran Bagi Para Da'ie Untuk Aktif Mengajarkan Ilmu.

Datangnya Jibril ahs. tujuannya adalah untuk mengajarkan ilmu kepada para sahabat. Kedatangan beliau bukan kerana diminta oleh Nabi dan para sahabat. Malah perkara-perkara yang beliau perkatakan dan sebutkan, adalah sesuatu yang baharu dalam ilmu.

Oleh yang demikian, semestinya saorang da'ie dan juru da'wah, adakalanya dia harus aktif dan punya inisiatif sendiri untuk mengajarkan ilmu tanpa harus diminta oleh muridnya atau harus menunggu diundang oleh panganjur pengajian. Dan, pastikan juga, setiap kuliyah dipenuhi dengan ilmu-ilmu pengetahuan yang baharu dan berterusan

---/  bersambung ………

Moga artikel kecil-kecilan, marhaen dan serba kekurangan ini, memberi munafaat kepada para sahabat jamaah, insya”Allah. 

Akhirul kalam, Allahu Ta'ala tidak berhajatkan kepada sekutu~sekutu daripada apa jua macam kesyirikan, Dia tidak sekali~kali menerima ibadah yang disekutui di dalamnya dengan selain~Nya, tidaklah dianggap beriman sesiapa yang menyembah, menjadikan gandingan, menjadikan setarafan terhadap Allah Ta'ala dengan sesuatu selain~Nya. Dan, sesunggohnya syirk dosa tidak terampunkan.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
tanah liat

bukit mertajam
Read more...

Rabu, 7 Jun 2017

Coretan Hati : Ulama Yang Sebenar

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allahu Ta’ala, Pencipta sekalian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, Sahabatnya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allahu Ta’ala sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Para sahabat jamaah yang dikasihi, pilihlah jalan kebenaran agar redho Allahu Ta’ala senantiasa mengiringi hidup kita, dan kita dimenangkan dari dunia sampai akhirat..

Ulama' : Yang Sebenar

Ulama' yang sebenarnya ulama', dia tidak akan mengaku dan tidak akan sekali-kali merasai dirinya ulama', namun senang menerima kebenaran

Mereka boleh menerima kebenaran dengan sesiapa sahaja,

Apabila mereka tahu dan terbukti, itu adalah kebenaran,

Begitulah juga, orang cerdik pandai, dia tidak akan sekali-kali merasa pandai, akan tetapi sedia boleh menerima kebenaran waima dengan sesiapa sahaja,

Yang susah itu, yang bukannya ulama', namun pada mereka-mereka yang merasa dirinya ulama', egonya besar

Lalu payahlah mereka hendak menerima kebenaran, sekali pon mereka tahu itu adalah kebenaran, kalau kebenaran itu, bukan dari kelompok mereka

Begitulah juga, cerdik pandai yang merasa dirinya serba pandai, payah menerima kebenaran, kalau bukan dari mereka datangnya kebenaran itu

Orang yang semacam ini, senantiasa ada di dalam sebuah jamaah atau masyarakat,

Susah jamaah dibuatnya, rosak ummat dibuatnya

Hendak dikedepankan, mereka menendang,  hendak dibelakangkan mereka menanduk Kelebihan orang, hasad dengki pula yang datang

Silap sedikit orang, di masa itulah mereka mengambil peluang menjatuhkan

atau mencerca orang, mencaci maki, menghina, menista

Begitulah, jika taqwa tidak ada pada sesaorang, lebih-lebih lagi pada ulama' dan cerdik pandai

Itulah dia, di antara penyakit di dalam jamaah ummat Islam, masa kini

Organisasi ummat Islam di akhir zaman

Makin ramai ahli jamaah, semakin banyak masalah

Semakin ramai anggota jamaah, semakin lemah

Lagi banyak bertambah-tambah, lagi berpecah

Akibatnya, apa sahaja kemajuan hendak dicetuskan, banyak sangat halangan

Maka, halangan itu daripada dalam, bukan daripada luaran, amat menyedihkan

Kadang-kadang, orang yang bodoh, lebih mudah didisiplinkan dan mudah berqurban

Justeru, penyakit ummat adalah daripada ulama', yang bukan selayaknya ulama'

dan cerdik pandai yang merasa serba bijak, tapi haqiqinya merosak

Akhirnya, apa yang terjadi, ramai itu membawa kelemahan, bukan kekuatan, banyak itu membawa perpecahan, bukan kesatuan

Maka, terjadilah seperti pepatah yang mengatakan : ibarat buih di laut, yang menggunung besarnya

Akan tetapi, lidi penyapu saja yang jatuh ke atasnya, cukup ia pecah berkecai

Begitulah, nasib ummat Islam di hari ini

Bilangan mereka ramai, tapi lemah, macam buih di laut

Dek penyakit cintakan dunia, mencari redho manusia, penyakit ego, disalut hasad dan takabbur, dari kalangan merasa ulama' dan cerdik pandai

Sedikit catatan dinihari  .... kala sujud menginsafi diri

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir @ 38
tanah liat, bukit mertajam



Read more...

Penghasad Dengki dan Perosak : Dalam Wajah Yang Baik-Baik

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Para sahabat jamaah yang dikasihi, pilihlah jalan kebaikan agar redho Allahu Ta’ala senantiasa mengiringi hidup kita.


Penghasad Dengki dan Perosak : Dalam Wajah Yang Baik-Baik

Sedikit catatan kuliyah di Surau Syaikh Yusof, Ayer Itam, Pulau Pinang, seusai solat Maghrib, pada hari Rabu, 5 April 2017

Sejarah anak-anak Nabi Ya'qub ahs. yang cuba membunuh adik bongsu mereka, Nabi Yusuf ahs. Sejarah tersebut sebagai peringatan betapa bangsa Yahudi Bani Israel serta para manusia pengekor mereka sehingga kini,  amat mahir dalam pembikinan plot fitnah, menipu dan sabotaj.

Ia juga merupakan kisah yang mengajar kita akan qa'idah bagaimana menangani fitnah. Juga sebagai 'ibrah untuk kita sentiasa waspada dengan golongan penghasad dengki dan perosak yang senantiasa ada dalam kalangan kita.

Malah, paling utama, sejarah ini mengajar supaya kita dapat menolak sikap-sikap perosak, dari terlekat dalam diri kita sendiri.

Benar sunggoh Al Qur’an adalah “Al Bayan, Al Hudaan dan Al Furqan” kepada manusia yang beriman, kisah yang berlaku sekitar 4000 tahun dahulu, ‘ibrah dan kebaikannya kekal berterusan sehingga kini.

* Puncanya : Hasad Dengki.

Punca utama budaya fitnah adalah kerana hasad dengki yang meluap-luap. Iri hati dengan ni'mat dan kelebihan yang ada pada orang lain. Yang lebih dahsyat adalah, dengki dengan orang yang mempunyai hubungan dekat. Dalam kisah Nabi Yusuf, abang-abang Nabi Yusuf dengki terhadap Nabi Yusuf kerana dirasakan Baginda lebih disayangi oleh bapa mereka, Nabi Ya'qub.

"Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) lebih disayangi oleh bapa kita lebih dari kita. Sedangkan kita lebih kuat"
Surah Yusuf : ayat 8

Mereka satu keluarga, sedarah daging, sesama Islam. Tetapi berpenyakit iri hati tajaan syaithon yang amat kronik.

* Kondisi Hasad Dengki Yang Amat Parah

Jiwa yang kotor dan rosak disebabkan oleh hasad dengki dan mengikut nafsu syaithon, sehingga tergamak menudoh ayah sendiri ya'ni saorang nabi Allah, sebagai bertindak tidak adil, pilih kasih dan tua renta tak berguna. Selain itu, inilah sifat nifaq, yang sendiri mempunyai masalah akan tetapi dihalakan, ditudoh juga disabitkan kepada orang lain.

"Sesunggohnya ayah kita dalam kekeliruan yang nyata".
Surah Yusuf : ayat 8

* Iri Hati Yang Meluap-Luap Sehingga Menolak Kebenaran

Kelebihan nabi Yusuf adalah atas kapasitinya saorang nabi yang dianugerahkan langsung oleh Allahu Ta'ala kepadanya, bukannya atas sebab pilih kasih atau ketidakadilan kasih sayang yang dibuat-buat oleh nabi Ya'qub. Inilah kebenaran dari Allahu Ta’ala yang dimomokkan dan dan ditolak.

".. demikianlah Tuhanmu, memilih kamu (menjadi nabi) dan diajarkan-Nya kepada kamu sebahagian daripada ta'bir mimpi-mimpi dan disempurnakan-Nya ni'mat-Nya kepadamu ...
Surah Yusuf : ayat 6

* Menganggap Semuanya Persaingan

Hubungan darah yang sepatutnya terjalin dengan penuh perkongsian kasih sayang dan mencintai, tiba-tiba dijadikan sebagai persaingan sesame sendiri, bagi merebut perhatian hingga meragut keharmonian, malah dijadikan asbab untuk berbuat kejahatan. Kita boleh memilih samada mahu saling kuat menguat atau sengaja mencipta persaingan atas rasa dengki. Inilah rupa paras penyakit hati yang masih kekal sehingga kini.

"Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) lebih disayangi oleh bapa kita lebih dari kita. Sedangkan kita lebih kuat"
Surah Yusuf : ayat 8

* Membunuh Nyawa Atau Bunuh Karektor.

Abang-abang Nabi Yusuf (dengan hasutan syaithon) mengemukakan dua pilihan plan komplot ke atas Nabi Yusuf. Sama ada, membunuh nyawa atau bunuh karektor. Mereka memilih bunuh karektor Nabi Yusuf dengan mencampakkannya ke dalam perigi supaya identiti Nabi Yusuf lenyap. Yang dengan melakukan itu, mereka berharap merekalah yang nanti mendapat perhatian, sesudah Nabi Yusuf tiada.

"Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah supaya bapa kalian kembali memberi perhatian kepada kalian"
Surah Yusuf : ayat 9

* Basuh Dosa Sabotaj/Makar Dengan Amal Solih Sesudahnya

Pelaku komplot jahat kebiasaannya akan memujuk hati, meredakan rasa bersalah mereka dengan janji untuk berbuat amal ibadat sesudah itu. Kononnya susulan ibadat mereka dapat menampung dosa kejahatan mereka yang suka menfitnah dan tikam belakang itu. Inilah bentuk fahaman amat jahat.

"Dan sesudah itu (membuang Nabi Yusuf) hendaklah kamu menjadi orang-orang solih"
Surah Yusuf : ayat 9

Ini penyakit bawaan syaithon yang masih berleluasa dari dahulu sehingga sekarang. Tak pernah kurang pon dalam kalangan kita sendiri : "buat ja dulu, ujung-ujung nanti kita bertaubat lah". Ini benar-benar fahaman ajaran syaithon.

* Tudohan dan Prasangka Kononnya Orang Lain Pula Yang Bersangka Buruk.

Bagi membentengi dakwaan jahat serta memaksa orang lain, agar bersetuju dengan fitnah mereka, pelaku fitnah ini akan melemparkan tudohan kononnya, sesiapa jua yang tidak percaya kepada pembohongan mereka adalah di kalangan orang yang suka bersangka buruk terhadap mereka. Lihatlah kalam-kalam mereka yang jahat ini terhadap ayahanda mereka sendiri,

"Wahai ayah kami, apa sebabnya kamu sukar mempercayai kami?"
Surah Yusuf : ayat 11

* Pandai Berpura-Pura dan Tunjuk Baik

Abang-abang Nabi Yusuf mengulang-ulang da'waan bahawa bapa mereka, Nabi Ya'qub suka bersangka buruk terhadap mereka. Inilah kalam yang dijaja sana sini ditengah masyarakat, sedangkan rasa curiga itu datang dari dalam diri mereka sendiri.

"Ayah sama sekali tidak akan percaya dengan kami sekali pon kami adalah orang-orang yang benar"
Surah Yusuf : ayat 17

* Mahir Berlakon Mohon Simpati atau Sokongan

Penfitnah dan pengkhianat tegar mesti mempunyai bakat berlakon yang luar biasa. Kemahiran ini penting demi mempersembahkan perancangan mereka dengan jayanya. Mereka boleh saja bermuka-muka dan tidak kelu lidah ketika menipu. Paara penghasad ini memangnya tidak tahu malu, malah sedikit pon rasa segan silu kepada Allahu Ta’ala Yang Maha Mengetahui apatah lagi terhadap manusia. Yang penting segala hasrat mereka mahu dicapai dengan cara apa pon.

"Kemudian mereka datang kepada bapa mereka pada waktu malam dalam keadaan menangis"
Surah Yusuf : ayat 16

Bayangkan mereka yang mengkhianati dan menganiaya Nabi Yusuf, tapi mereka pula yang menangis kesedihan demi menunjuk kekesalan. Mereka kelihatan cukup baik lagi penyayang. Haqiqatnya berhati bangsat sunggoh.

* Sangat Pandai Bermuka-Muka Tunjuk Baik

Para perosak ini amat pandai menunjuk baik dan bagus dihadapan orang. Bahasa pon sangat lunak dan penoh pujuk rayu. Sedangkan semua itu, tiada lain supaya segala macam hasrat jahat mereka mahu ditutup. Inilah sifat nifaq yang amat tinggi martabatnya.

".. sesunggohnya kami adalah orang-orang yang mengingini kebaikan baginya".
Surah Yusuf : ayat 11

"... sesunggohnya kami pasti menjaganya".
Surah Yusuf : ayat 12

Justeru, berhati-hatilah dengan kalam-kalam pendusta dan perosak, jangan sekali-kali cepat percaya sekali pon sedap dan enak didengar. Mereka-mereka ini amat pandai merayu, merintih dengan kalam mendayu dan indah-indah, mitsalnya kalam sebahagian orang politik. Peringatan kepada diri-diri kita, janganlah terpedaya dengan kalam-kalam palsu mereka ini.

* Pandai Merekacipta Bukti Palsu

Da'waan mereka ini bukan pula dengan tangan kosong. Bahkan beserta bukti-bukti kononnya! Kalau pon semua itu bukti palsu dan bathil semata. Dan ini perangai tak asing pon dalam kalangan kita sekarang. Berapa ramai yang tergamak membuat cerita palsu, mereka cipta bukti palsu, sumpah palsu, janji palsu ……

"Mereka datang membawa baju (Yusuf) dengan berlumuran darah palsu"
Surah Yusuf : ayat 18

Dalam plot tersebut, abang-abang Nabi Yusuf telah memangsakan serigala sebagai tertudoh untuk dipersalahkan. Serta mengorbankan kambing yang langsung tiada kaitan dengan konflik mereka, untuk diambil darahnya, dipalitkan ke gamis nabi Yusuf bagi dijadikan bukti palsu kononnya Nabi Yusuf telah terbunuh.

Dalam plot fitnah sebegini, pasti akan ada yang menjadi mangsa walau pon pada asalnya tiada kaitan. Begitulah serigala dan kambing, yang dikambing hitamkan.

* Tuntutan Sentiasa Bijaksana Dan Adil

Seharusnya kita mengambil I’tibar dan mengikuti sikap saorang nabi dalam menghadapi suasan fitnah yang menjadi-jadi ini. Seorang Nabi mempunyai sifat bijaksana. Mampu rasional dalam menilai dan bertindak. Antara sikap Nabi Ya'qub dalam menghadapi situasi sebegini adalah :

1. Berhati-hati dengan sikap yang mencurigakan. Berwaspada adalah hikmah.

" ... sesunggohnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkan aku dan aku khawatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu lengah daripadanya".
Surah Yusuf : ayat 13

2. Mampu membezakan antara bukti benar dan bukti palsu. Nabi Ya'qub menilai bahawa bukti baju Nabi Yusuf itu palsu kerana tidak logik ia diterkam serigala tetapi tidak koyak.

".... sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang burok) itu ..."
Surah Yusuf : ayat 18

Zaman sekarang masing-masing menda'wa ada bukti, malah yang bathil dan palsu itulah yang terhegeh-hegeh lebih digembar-gemborkan. Kita perlu ingat, ada bukti benar dan ada bukti palsu. Tanpa kembali ke jalan Allah dan Rosul-Nya, sukar untuk kita meletakkan keadilan dalam memilih yang mana haq yang mana bathil.

3. Mengambil sikap sabar, yaqin satu hari kelak Allahu Ta'ala pasti akan menyingkap kebenaran.

"Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku), dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan"
Surah Yusuf : ayat 18

Demikianlah yang diajar, serahlah dan tawakkkal kepada Allahu Ta’ala supaya kebenaran akhirnya tertegak dan kebathilan dilupuskan. Tanpa rasa kecenderungan dan pasrah kepada Allahu Ta’ala, kita akan hanya terbelit dalam hawa nafsu dan takkan dapat memberikan keadilan yang haqiqi.

Khatimah

Mungkin saja ada orang-orang dikelilingan kita, yang mewarisi sikap dan kemahiran abang-abang Nabi Yusuf dalam melakukan onar, pembelit, penghasad dengki, perosak dan penipu, mempunyai pertalian darah dengan Yahudi al-Maghdub.

Kalau tidak pon, memang kita kena sangat berhati-hati dengan golongan perosak ini, jauhi dan tinggalkan mereka, sebelom kita pula yang menjadi mangsa.

Semoga Allahu Ta'ala pelihara kita semua.

insya'Allah, berjumpa lagi dalam kuliyah yang lain. Semoga saya sempat lagi menulis catatan.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir @ 38
tanah liat, bukit mertajam



Read more...