Ahad, 25 Disember 2011

Ibadah Qurban: (siri 2)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
 

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Kepada semua jamaah dan pembaca, saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di bulan hari yang mulia ini, InsyaAllah. Agar sentiasa kita dalam limpah kerahmatan dan pemeliharaanNya. Disertakan sambungan korespondens terdahulu (setahun yang lepas) yaitu maklumbalas saya ke atas hal yang ditanya oleh Akhi Ibrahim. Moga semua kita boleh mendapat manfaat darinya.

To: Knight Malaysia prtdi@yahoo.com
Cc:
Subject: Soalan Berkenaan Ibadah Korban
Date: Sunday, 5 December, 2010, 3:55 PM

Berkenaan hikmah dan sebab disyari’atkan membuat qurban ini, terdapat begitu banyak penulisan oleh para fuqaha’ dan ulama’ yang memperihalkannya. Kesemuanya mempunyai justifikasi tersendiri. Namun begitu, saya meringkaskan hikmah dan sebab qurban dituntut oleh syara’ ini berdasarkan firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Hamiid :

Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan, atas rizqi yang telah Allah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagiannya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 28

Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 37

“………….Berkata Habil : Sesunguhnya Allah hanya menerima (qurban) dari orang-orang yang bertaqwa”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 27.

Maka itu, melaksanakan ibadah qurban merupakan satu manifestasi kepada ketundukan, ketaatan, pematuhan seterusnya ketaqwaan kita sebagai makhluk kepada Khalik, menerusi kepatuhan kepada semua perintah dan segala suruhanNya, bagi mendekatkan diri kepadaNya. Demikianlah Allah Swt. menurunkan perintahNya dan dicontohkan amal perbuatannya oleh nabiNya kepada seluruh ummat manusia, supaya ditaati dan dipatuhi dan dilakukan hanya untuk Dia semata-mata tanpa ada sedikit pun untuk yang selainNya. Sekiranya diperbuat sebegitu, maka itulah sifat taqwa yang diterima oleh Allah Swt.

Nota : kisah penuh manasik haji dan ibadah qurban ini dinyatakan dalam Surah Al Hajj (22) : ayat 26 hingga 37. Para jamaah dan pembaca sangat digalakkan untuk mentelaah kisah ini menerusi kitab tafsir muktabar dan tsiqah supaya dapat memahami lebih mendalam. Catatan dan huraian oleh Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Jilid 6, halaman 152-173 amat menarik tetapi agak panjang, tidak saya nukilkan disini.

Selanjutnya ingin saya sentuh sedikit mengenai pembahagian udhiyah. Saya ada menerima beberapa pertanyaan yang berkisar kepada sikap sesetengah anggota masyarakat yang mengambil pulang semua bahagian qurbannya. Kalaupun sembelihan dan pengurusan dibuat oleh orang ramai. Saya mulai dengan firman Allah Swt. seperti berikut :

“…….Maka makanlah sebahagiannya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 28

“…….Maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (orang yang berharap tetapi tidak meminta-minta) dan orang yang meminta”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 36

Ada pun juga, Rasulullah Saw. telah memberikan perintah dan contoh tauladan seperti dinyatakan di dalam hadis berikut :

Dari Salamah bin Akwa rhu. ia berkata : bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Barangsiapa diantara kalian yang menyembelih binatang qurban, maka janganlah ia menyimpan sedikitpun darinya di rumahnya setelah 3 hari. Pada tahun berikutnya para sahabat bertanya : Ya Rasulullah! kami melakukan sebagaimana yang kami lakukan pada tahun yang lalu. Baginda bersabda : (Sekarang) makanlah, berikanlah pada yang lain dan simpanlah. Kerana pada tahun lalu itu banyak sahabat yang ditimpa kesusahan. Jadi aku bermaksud agar kamu semua membantu mengatasinya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 5569)

Dalam sebuah hadis panjang “Dari Abdullah bin Waqid rhu. ia mengatakan : Rasulullah Saw. melarang memakan daging qurban setelah 3 hari….…(kisah yang panjang)……Maka Baginda bersabda : Sesungguhnya aku melarang kalian kerana adanya orang-orang yang datang bersamaan (orang yang lemah dari kalangan arab dusun yang datang meminta bantuan), oleh kerana itu, makanlah, kemudian simpanlah dan sedekahkan”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 5076)

Dalil-dalil di atas merupakan nas penetapan syari’at bahawa orang membuat qurban tidak boleh mengambil semua sekali udhiyah tetapi hendaklah ia diagihkan kepada bahagian-bahagian tertentu yaitu dimakan (termasuk disimpan) dan disedekah (dan dihadiah). Oleh itu, perbuatan mengambil semua udhiyah untuk kegunaan sendiri dan keluarga sahaja merupakan satu perbuatan salah yang bertentangan dengan perintah Allah Swt. dan rasulNya seperti makna ayat yang dinyatakan. Tidak boleh perbuatan sebegitu dilakukan.

Walaubagaimanapun, perkara sebaliknya boleh diperbuat yaitu mensedekahkan semua sekali udhiyah ataupun hanya memakan sedikit sahaja sepertimana dijelaskan oleh perbuatan Rasulullah Saw. dalam hadis hadis berikut. Berdasarkan keterangan ini, para fuqaha’ dan ulama’ mensepakati bahawa adalah lebih afdhal sekiranya lebih banyak udhiyah yang disedekahkan berbanding dimakan.

Dari Ali bin Abi Talib kmwj. ia berkata : Nabi Saw. telah memerintahkan aku untuk mengurusi haiwan qurban Baginda, dan Baginda menyuruh agar membahagikan semua daging, kulit dan kainnya kepada fakir miskin dan tidak memberi suatu apa pun bahagian daripada haiwan qurban itu kepada tukang (jagal) sembelih (sebagai upahnya)”.
Hadis riwayat imam Muslim rh. (Bab Al Hajj : no. 3170), imam Bukhari rh. (Bab Al Hajj : no. 1707)

Adalah Nabi Saw. (hanya) memakan dari hati binatang qurbannya”. Hadis riwayat Imam Baihaqi rh.

Nota / Penjelasan makna : Memakan – mengambil sebahagian udhiyah untuk diri sendiri dan keluarga juga untuk hidangan orang ramai. Sedekah – memberikan udhiyah kepada fakir miskin untuk membantu mereka dan memberikan kegembiraan kerana Allah Swt. Hadiah – memberikan udhiyah kepada rakan taulan, jiran-jian dan kaum kerabat untuk memuliakan dan penghargaan sekalipun mereka kaya, juga kerana Allah Swt.

Berkenaan dengan bersedekah, disunnahkan untuk bersedekah disertakan tulangnya juga. Yang lebih mendekati kesempurnaan sunnah adalah dibahagi 3, satu pertiga untuk dimakan (termasuk disimpan), satu pertiga disedekahkan (kepada orang fakir miskin) dan satu pertiga dihadiahkan (kepada orang bukan fakir miskin). Ada sebuah pendapat yang mengatakan “dimakan setengahnya dan disedekah setengahnya”. Perbezaan pendapat ini terjadi dalam hal ukuran pembahagian haiwan qurban untuk mendekati kesempurnaan dan mengikuti sunnah. Ada pun hal yang memadai adalah bersedekah dengan ala kadarnya.
Imam Nawawi rh. Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 9, halaman 556

Para ulamak berselisih pendapat tentang kadar udhiyah yang dimakan, yang disedekahkan dan yang dihadiahkan. Dalam hal ini terdapat keleluasaan. Pendapat paling tepat adalah dimakan satu pertiga, disedekahkan satu pertiga dan dihadiahkan satu pertiga. Sesuatu yang boleh dimakan juga boleh disimpan bagi jangka waqtu yang lama. Adapun seorang wakil, jika telah diizinkan oleh orang yang menyuruhnya supaya makan, menghadiahkan dan menyedekahkan daging udhiyah atau telah ada petunjuk dan secara urf (adat kebiasaan) dia mengizinkannya, maka dia boleh melakukannya. Dan jika tidak ada, maka dia harus mengembalikan kepada pemiliknya lalu pemiliknya lah yang dikehendaki membahagikannya.

Haram hukumnya bagi seseorang yang membuat qurban untuk menjual walau sedikit pun dari udhiyah, baik dagingnya atau pun anggota badan yang lain hingga kulitnya. Dan tidak boleh memberikan kepada tukang jagal (penyembelih) walau sedikit pun dari udhiyah sebagai upah. Kerana yang demikian itu termasuk ke dalam makna menjual. Adapun orang yang menerima hadiah atau sedekah dari udhiyah, maka boleh baginya untuk mengerjakan apa yang dia kehendaki, seperti menjualnya atau yang lainnya. Akan tetapi, tidak diperbolehkan untuk menjualnya semula kepada orang yang memberinya hadiah atau kepada orang yang telah memberikannya sebagai sedekah.
Syaikh Muhammad bin Salih bin Sulaiman Al Utsaimin rh. Kitab Talkhiisu Ahkamil Udhiyah Waz Zakaat, Bab Ahkamil Udhiyah : halaman 55-59

Artikel ini amat ringkas dan tidak menyentuh beberapa hal lain yang juga amat penting dalam hal qurban yaitu :
1. Bab syarat dan adab menyembelih
2. Bab perkara makruh dan dilarang dalam penyembelihan
3. Bab haiwan sembelihan : yang afdhal, yang makruh dan yang dilarang
4. Bab perkara yang perlu dijauhi oleh orang menyembelih

Seterusnya saya huraikan sedikit mengenai hukum melaksanakan ibadah qurban ini dalam syari’at Islam. Jumhur (kebanyakan) dan majority fuqaha’ dan ulama’ sama ada salaf mahu pun khalaf menegaskan bahawa hukum ibadat qurban ini adalah sunnat mu’akkadah yaitu amalan sunnat yang sangat dituntut ummat muslimin melakukannya. Saya kurang kesempatan untuk membuat rujukan lanjut ke atas kitab-kitab muktabar, namun cukuplah juga untuk pengetahuan dan amaliyah kita bersama saya nukilkan beberapa keterangan seperti berikut :

Dahulu Baginda dan para sahabatnya menyembelih qurban. Baginda memberitahukan bahawa udhiyah merupakan sunnah kaum muslimin yakni metod atau jalan mereka. Oleh kerana itu, seluruh kaum muslimin telah ijma’ (bersepakat) mengenai disyari’atkan udhiyah seperti yang telah dinukilkan dari sekelompok ahli ilmu. Namun mereka berpendapat, apakah udhiyah ini hukumnya sunnat mu’akkadah atau wajib yang tidak boleh ditinggalkan. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa udhiyah hukumnya sunnat mu’akkadah dan ini merupakan mazhab Syafi’e, Malik dan Ahmad. Sedangkan pada sebahagian lagi hukum udhiyah adalah wajib. Pendapat ini merupakan mazhab Abu Hanifah dan salah satu diantara 2 riwayat dari imam Ahmad rh.

Menyembelih udhiyah lebih utama daripada bersedekah dengan haganya. Kerana perbuatan inilah yang dikerjakan oleh Nabi Saw. dan kaum muslimin pada zamannya. Dan menyembelih udhiyah termasuk diantara syi’ar Allah Swt. Jika seandainya kaum muslimin menggantinya dengan sedekah niscaya akan hilanglah syi’ar ini. Seandainya sedekah dengan harganya lebih utama dan boleh diperbuat berbanding menyembelih udhiyah, tentu Nabi Saw. telah menjelaskan kepada ummatnya, baik melalui ucapan atau perbuatan Baginda. Kerana Baginda selalu menjelaskan kebaikan kepada ummatnya. Atau sekiranya sedekah dengan harganya itu seimbang dengan menyembelih pasti sekali Baginda akan menjelaskannya juga kepada ummatnya kerana hal ini lebih mudah untuk diperlakukan.
Syaikh Muhammad bin Salih bin Sulaiman Al Utsaimin rh. Kitab Talkhiisu Ahkamil Udhiyah Waz Zakaat, Bab Ahkamil Udhiyah : halaman 18-19

Adapun golongan yang menetapkan membuat qurban ini wajib (mungkin sepertimana fahaman tuan Khatib itu) adalah berdasarkan dalil berikut :

"Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu (wahai Muhammad ) nikmat yang banyak (sebuah sungai di syurga). Maka, dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus”.
Surah Al Kausar (108) : ayat 1-3

Dari Abu Hurairah rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Barangsiapa yang mempunyai kemudahan untuk berqurban, namun ia belum berqurban, maka janganlah ia sesekali mendekati tempat solat kami”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. dan imam Ibnu Majah rh. Para imam hadis selain imam Hakim rh. menganggap hadis ini adalah hadis mauquf.

Adalah disanggahi penetapan hukum wajib itu, berdasarkan hujjah berikut :

Ayat 2 Surah Al Kausar (108) ditafsirkan oleh para mufassirin sebagai menunjukkan waqtu menyembelih qurban adalah setelah solat (I’edul Adha), dan bukannya menjadi dalil untuk mewajibkan amalan berqurban. Sekiranya diterima makna ayat ini tanpa diteliti berdasarkan tafsiran muktabar, habis semua ummat muslimin diwajibkan membuat qurban kerana ia adalah ayat mujmal (umum/global) tanpa ada sebarang pengkhususan dan pengecualian. Sekiranya difahami secara begitu, semua orang tanpa mengira kaya miskin, tua muda atau kanak-kanak, lelaki atau wanita, sihat atau sakit diwajibkan membuat qurban setiap tahun tanpa ada pengecualian. Hadis yang dinyatakan sebenarnya adalah hadis mauquf dan bukanlah ia kalam Rasulullah Saw., maka tidak ia boleh dijadikan dasar dan hujjah kepada penetapan hukum. Malahan lafaz “Barangsiapa yang mempunyai kemudahan untuk berqurban” hadis itu sendiri mengisyaratkan tuntutan ke atas orang yang berkemampuan sahaja bukannya kewajiban secara mujmal dan mutlak.

Nota : Hadis mauquf hadis yag dinisbahkan kepada Sahabat, baik berupa perkataan, perbuatan atau taqrir . Ia bukan kalam Rasulullah Saw.

Kerana lemahnya dalil-dalil yang menunjukkan wajibnya berqurban, maka majoriti fuqaha’ dan ulama’ dari kalangan sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in menetapkan bahawa hukum menyembelih qurban adalah sunnah muakkadah. Bahkan imam Ibnu Hazm Al Andalusi rh. memberikan ulasannya : Tidak ada satu pun riwayat daripada sahabat yang mengatakan ia wajib. Berkenaan hadis sahih riwayat imam Muslim rh. dari Ummu Salamah rha. bahawasanya Rasulullah bersabda : Jika telah masuk sepuluh hari bulan Zulhijjah, dan salah seorang dari kalian ingin menyembelih qurban, maka hendaknya ia tidak mengambil rambut dan kulitnya biar sedikipun (sahih Muslim no. 5089), imam Muhammad bin Idris Asy Syafi’e rh. memberikan ulasannya : Sesungguhnya pada sabda Rasulullah Saw. “dan salah seorang dari kalian ingin menyembelih qurban” dengan jelas menunjukkan bahawa tidak wajibnya berqurban.

Dan perbuatan para sahabat telah menunjukkan tidak wajib hukumnya membuat qurban. Imam Al Baihaqi rh. (jilid 9, no. 265) meriwayatkan daripada Abu Bakar As Siddiq rhu. dan Umar bin Al Khattab rhu. bahawa mereka berdua pernah tidak berqurban kerana takut untuk dijadikan contoh. Juga diriwayatkan oleh imam Al Baihaqi (jilid 9, no. 256) dari Abdullah Ibnu Abbas bahawa beliau jika menghadiri penyembelihan, beliau memberikan kepada budaknya dua dirham, lalu berkata : Belilah dengan dua dirham itu daging, dan beritahulah orang-orang bahawa Ibnu Abbas telah berqurban. Dan riwayat-riwayat dari para sahabat dalam masalah ini sangat banyak yang menunjukkan bahawa hukum menyembelih qurban adalah sunnah muakkadah sahaja.
Imam Muhammad bin Ismail Al Amir As Son’ani rh., Kitab Subul As Salam Syarah Bulugh Al Maram, Jilid 3, halaman 571-572

Secara peribadi, saya berpandangan bahawa melakukan ibadah qurban ini sangat dituntut ke atas para muslimin yang mampu, sudah memadai dilakukan oleh seorang yang mewakili seluruh keluarganya. Menurut Syaikhul Islam Taqiyuddin Ahmad bin Abdul Halim Ibnu Taimiyah rh. “Tidak wajib menyembelih qurban, melainkan hanya bagi mereka yang mampu.” (Rujukan : Majmu’ Al Fatawa Li Ibnu Taimiyah, Jilid 23, halaman 162-164). Dalam era kontemporari ini, hukum sunnah muakkadah lebih diterima umum, namun pendapat yang lebih kuat dan tepat (rajih) hukumnya adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berdaya (mampu) untuk berqurban sepertimana yang disebutkan oleh Syaikh Ali Hassan Al Halabi hafidzahullah, dalam kitabnya Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, halaman 86. Saya menyeru supaya ibadah qurban ini diberikan perhatian serius oleh setiap lapisan muslimin bagi memastikan syi’ar Islam dan perintah Allah Swt. ini terus diamalkan dan sentiasa dita’mirkan dari masa ke masa.

Seterusnya mengenai aduan saudara berkenaan sikap dan kata-kata tuan Khatib yang menyinggung rasa ramai makmum termasuk saudara penanya sendiri. Saya merasakan inilah bab yang saudara tunggu-tunggukan jawabannya. Baik sekali saya berterus terang bahawa kurang wajar sekali untuk saya mengulas panjang hal yang secara langsung menyentuh batang tubuh seseorang, tambah-tambah lagi seseorang yang telah pun diperakui dan bertindak sebagai imam dan khatib di dalam masyarakat. Ia benar-benar mengaitkan keaiban dan maruah seseorang individu. Lantaran itu, amat sukar untuk saya nak mengulas panjang.

Saya menyeru kepada diri saya sendiri, juga kepada saudara dan rakan-rakan, supaya mengingati pesanan firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Adziim :
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa ; dan janganlah kamu mencari-cari (mengintip) kesalahan orang lain; dan janganlah setengah kamu menggunjing (mengumpat) sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kepada Allah ; sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayangi”.
Surah Al Hujurat (49) : ayat 12

Serta pesanan Rasulullah Saw. begini :

Akan datang nanti kepada manusia, masa-masa yang penuh tipu daya. Para pendusta dianggap sebagai orang yang jujur, manakala orang yang jujur dianggap pendusta. Orang khianat dianggap amanah dan orang yang amanah dilabel sebagai pengkhianat. Dan para Ruwaibidhah mula berkata-kata (bersuara).” Ada yang bertanya, “Siapa Ruwaibidhah?”Rasulullah menjawab, “Orang yang bodoh sibuk berbicara (mengulas) tentang masalah masyarakat.”
Hadis riwayat imam Ibnu Majah, Kitab Al Fitan, Jilid 12, halaman 44, no. 4026. Ditakhrij dan ditahqiq sebagai sahih oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rahimahullah.

Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dengki dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama (Islam yang murni)”.
Hadis riwayat imam Tarmizi rh. dan imam Al-Bazzar rh. dengan sanad yang sahih

Sekiranya benarlah apa yang dikatakan oleh saudara, saya berasa yaqin bahawa tuan Khatib itu terkhilaf tentang status hukum sebenar (sepertimana telah saya jelaskan di atas) membuat qurban mengikut syara’. Jika benar juga bahawa tuan Khatib itu ada berkata-kata kasar dan memedihkan hati para makmum, itu mungkin disebabkan oleh kekhilafannya terhadap hukum ibadah qurban serta kelemahan beliau secara peribadi. Begitulah yang dikatakan kita-kita ini sebagai makhluk yang dhaif, tidak terlepas dari melakukan salah dan silap, termasuk saya sendiri, saudara dan semua rakan-rakan. Boleh jadi tuan Khatib itu pun telah tersilap juga.

Saya sangat khuatir apabila saudara mengatakan telah ada kemarahan dan keluh kesah di kalangan jamaah qaryah serta telah ada usaha untuk meminggirkan tuan Khatib merangkap imam tersebut. Malah telah ada ura-ura untuk tidak mahu menjadi makmum di belakangnya. Ini satu situasi yang menyedihkan, tak sepatutnya berlaku dan sebaik-baiknya dielakkan. Islam agama samawi. wahyu Allah Swt. yang diturunkan untuk menyatukan ummat manusia termasuk Arab jahiliyyah yang amat terkenal dengan kebobrokkannya, sehingga mereka bersatu di bawah panji-panji Islam. Dalam kes ini keadaan terbalik pula yang mana, kerana hal Islam pula menjadi punca masyarakat menjadi keluh kesah dan berpecah sesama sendiri. Amat tidak wajar berlaku perkara sebegini.

Maka itu, saya mencadangkan supaya adakan perbincangan sesama jamaah yang tidak berpuashati, putuskan dengan tepat fakta-faktanya dan seterusnya membawa hal ini secara langsung kepada tuan Khatib terbabit secara tertutup dan berhemah demi mengekalkan ukhuwwah dan mengelakkan aib mana-mana pihak. Sekiranya kurang berjaya, rujuklah kes ini kepada Majlis Agama Islam supaya tindakan sewajarnya dan sebaiknya dapat diperbuat. Sementara itu, saya menyeru saudara dan rakan-rakan, hentikanlah menjaja kisah ini merata-rata kerana tindakan sebegitu tidak membawa apa-apa kebaikan pun. Perbuatan itu sekadar memalukan tuan Khatib tersebut di mata masyarakat dan menyerlahkan kedangkalan diri kita-kita sendiri kerana menyimpan prasangka buruk dan mengumpat orang di sana sini.

Setakat ini dahulu yang dapat saya nukilkan. Mudah-mudahan ia telah membantu saudara dan rakan-rakan semua. Segala kekurangan saya pohon ribuan maaf.

والله اعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

Tanah Liat, Bukit Mertajam

Read more...

Ibadah Qurban : (Siri 1)

0 ulasan
 
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani ibadah hari raya I’edul Adha kepada semua. Juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di bulan hari yang mulia ini, InsyaAllah. Disertakan korespondens terdahulu (setahun yang lepas) yaitu maklumbalas saya ke atas hal yang ditanya oleh Akhi Ibrahim. Moga semua kita boleh mendapat manfaat darinya.

From: Knight Malaysia prtdi@yahoo.com
Subject: Soalan Berkenaan Ibadah Korban
To: edd_zahir@yahoo.com
Cc:
Date: Monday, 29 November, 2010, 4:48 AM

Assalamua'laikum,

Salam bahagia untuk Ustaz Mad dan juga semua rakan-rakan. Saya ingin dapatkan penjelasan lebih lanjut sedikit berkenaan ibadat korban sempena Aidil Adha. Saya nak merujuk kepada peristiwa dalam khutbah Aidil Adha 2 hari lepas. Pak khatib (saya rasa) telah mengeluarkan kata-kata kurang menyenangkan ramai makmum bersangkutan dengan ibadah korban. Saya solat di masjid itu, pun rasa tak seronok juga. Beliau menegur bahawa ramai orang Islam kaya raya tapi kedekut buat korban. Beliau ada keluarkan beberapa perkataan lagi yang menyinggung hati pendengar.

Selesai khutbah itu ramai yang merungut-rungut antara lain, banyak orang dah keluar zakat, bantu orang miskin, sedekah macam-macam pada orang memerlukan, tidak berkira bantu orang susah, menaja pengajian dan berbagai lagi. Tapi tak dicerita pada orang. Adakah semua itu tak berguna, hanya korban Aidil Adha saja yang Allah dan Rasul-Nya terima. Banyak lagi kata-kata lain yang (pada saya) melambangkan sengaja nak sakitkan hati segolongan makmum pada hari itu.

Jadi, saya ingin memohon penjelasan sikit.

1. Apa sebenarnya ibadat korban ini berdasarkan syariat Islam. Apakah contoh amalan yang diperbuat oleh Nabi Muhammad sendiri dan para sahabat. Kenapa disyariatkan ibadah korban itu. Adakah wajib membuat korban itu pada semua umat Islam atau ia hanya sunat sahaja kepada yang mampu. Khatib itu kata wajib.

2. Bagaimana pula mereka yang dah keluarkan bantuan dan sedekah dalam bentuk lain yang banyak, lebih dari harga lembu itu pun. Tak cukupkah sedekah jariah itu dan mesti buat korban juga. Tanpa buat korban pada Aidil Adha Allah tak terima kah sedekah jariah lain. Selain itu, tidak bolehkah khatib bercakap baik-baik jangan hingga orang rasa marah, terkilan dan terhina.

Diharap mendapat maklumbalas secepat mungkin. Saya nak beri penjelasan kepada orang-orang itu. Dah terdengar suara sumbang bahawa tidak mahu lagi ke masjid itu sekiranya Pak Khatib yang sama menjadi imam. Juga supaya mereka tidak membenci khatib itu.

Wassalam.

Warmest Regards
" Knight Malaysia "
012-5732456

From: edd_zahir@yahoo.com
To: Knight Malaysia prtdi@yahoo.com
Cc:
Subject: Soalan Berkenaan Ibadah Korban
Date: Thursday, 2 December, 2010, 2:17 AM

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih kepada Saudara kerana terus istiqamah bersama jamaah dan sentiasa meluangkan masa menghadiri kuliah dan program lain apabila ada kesempatan. Juga kerana begitu rajin bertanya sama ada secara langsung di dalam pertemuan atau secara bertulis. Soalan-soalannya pun terkadang membuat saya resah. Sebahagiannya tidak dapat saya jawab lantaran kekangan masa, kurang arif atau pun memerlukan semakan lanjut. Namun mudah-mudahan, akan ada ruang dan kesempatan bagi saya menjawab beberapa soalan yang masih tertangguh itu. Bukan sahaja soalan daripada Saudara, malah soalan daripada rakan-akan lain juga. InsyaAllah, akan saya beri maklumbalas dari masa ke masa.

Berkaitan persoalan yang dibangkitkan, baik sekali saya ulangsorot sedikit asas-asas perintah melaksanakan ibadah qurban ini mengikut tuntutan Al Qur’an dan As Sunnah seperti yang ditanyai. Semoga dan selayaknya, pemahaman daripada hal paling asas ini akan menjadikan kita semua mantap pemahamannya perihal qurban ini, supaya tidaklah nanti terus terkial-kial apabila timbul persoalan tentangnya. Demikianlah Islam ini menyeru dan menuntut kita supaya beriman dan beramal dengan ilmu, supaya tidak kita berterusan menjadi pak turut dan terdedah kepada diperkotak-katikkan.

Dari segi lughah (bahasa), qurban berasal daripada perkataan ‘qaraba’ yang bermaksud dekat atau hampir, manakala dari segi istilah (syara’) bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah Swt. kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Maka itu, melaksanakan ibadah qurban ini hanyalah sebagai wasilah atau cara untuk membuktikan ketaatan kepada perintah Allah Swt. bagi mendekatkan diri kepadaNya. Begitulah secara ringkas maksud sebenar ibadah qurban. Secara praktikalnya pula, qurban yang dimaksudkan dalam artikel ini adalah haiwan berkaki empat yang disembelih kerana ibadah pada Hari Raya I’edul Adha (10 Zulhijjah) dan 3 hari-hari tasyriq dengan tujuan untuk mematuhi perintah dan mendekatkan diri kepada Allah Swt. Binatang qurban ini disebut lafaz Arabnya udhiyah atau hadyu. Sebahagian ulama’ menyebut bahawa sebutan I’edul Adha berasal dari perkataan udhiyah.

Perintah kepada junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. dan seluruh ummatnya untuk menjalankan ibadah qurban adalah berdasarkan firman Allah Swt. berikut :

"Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu (wahai Muhammad ) nikmat yang banyak (sebuah sungai di syurga). Maka, dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus”.
Surah Al Kausar (108) : ayat 1-3

Imam Ahmad rh. meriwayatkan dari Anas bin Malik rhu. Dia berkata : “Rasulullah Saw. mengantuk sejenak, lalu Baginda mengangkat kepalanya lalu tersenyum, baik Baginda yang berkata kepada mereka maupun mereka yang berkata kepada Baginda : Mengapa engkau tertawa?. Rasulullah Saw. menjawab : Sesungguhnya belum lama tadi telah diturunkan satu surah kepadaku, kemudian Baginda membaca –Basmallah dan surah Al Kausar- sampai akhir ayat. Lalu Baginda bertanya : Tahukah kalian, apakah al Kausar itu?. Mereka menjawab : Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Baginda menjawab : ia adalah adalah sungai yang diberikan oleh Tuhanku kepadaku di syurga, padanya terdapat banyak kebaikan, di mana pada hari qiyamat kelak ummatku akan hilir mudik ke sungai itu. Bijananya sebanyak jumlah bintang dilangit. Lalu ada seorang yang tertahan, maka ku katakan : Wahai Tuhanku, sesungguhnya dia termasuk ummatku. Kemudian dikatakan : Sesungguhnya engkau tidak tahu apa yang mereka ada-adakan sepeninggalanmu”.
Hadis diriwayatkan juga oleh imam Muslim, imam Abu Daud dan imam Nasaai.

Firman Allah Swt. “Maka, dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah”, maksudnya sebagaimana Kami telah memberimu kebaikan yang banyak di dunia dan akhirat. Di antaranya adalah sungai yang sifatnya dijelaskan tadi. Oleh kerana itu, tulus ikhlaslah menjalankan solat yang wajib dan sunnahmu serta dalam berqurban hanya untuk Tuhanmu. Ibadahilah Dia semata-mata, yang tiada sekutu bagiNya dan berqurbanlah dengan menyebut namaNya semata-mata dan tiada sekutu bagiNya.
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Tafsiirul Qur’an ul Adzim, Jilid 10, halaman 362-365

Juga berdasarkan firman Allah Swt. berikut :

"Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah) sebahagian dari syi‘ar Allah ; kamu memperoleh kebaikan yang banyak padanya, oleh itu sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagian daripadanya, dan beri makanlah (bahagian yang lain) kepada orang yang rela dengan apa yang ada padanya (tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 36

Perintah melaksanakan qurban kepada Allah Swt. ini sebenarnya telah pun bermula pada zaman Nabi Adam ahs. lagi. Kisah penyerahan qurban yang pertama ini tercatat di dalam Al Quran ul Haaq :

“Dan ceriterakanlah kepada mereka kisah dua anak Adam (iaitu Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan qurbannya, maka diterima (oleh Allah) dari salah seorang dari mereka (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia (Qabil) berkata : Aku pasti membunuhmu? Berkata Habil : Sesunguhnya Allah hanya menerima (qurban) dari orang-orang yang bertaqwa”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 27.

Allah Swt. menjelaskan buruknya akibat kejahatan, kedengkian dan kezaliman dalam kisah 2 anak Adam ahs. dari keturunannya langsung, yang menurut jumhur ulama’keduanya bernama Qabil dan Habil. Yaitu bagaimana salah seorang dari keduanya memusuhi lainnya, hingga akhirnya membunuhnya, kerana rasa dengki terhadapnya atas nikmat yang telah diberikan kepadanya (Habil), bahkan Allah Swt. telah menerima qurban yang diikhlaskan kepada Allah Swt. yang dipersembahkan oleh Habil. Kemudian yang dibunuh (Habil) beruntung mendapat penghapusan dosa dan masuk syurga. Sebaliknya si pembunuh (Qabil), benar-benar kecewa dan kembali dengan derita kerugian di dunia dan akhirat. Redaksi ayat tersebut menunjukkan bahawa ia (Qabil) marah dan dengki atas diterima qurbannya Habil oleh Allah Swt. sedangkan qurbannya sendiri tidak diterima.

Adapun makna firman Allah Swt. “Sesunguhnya Allah hanya menerima (qurban) dari orang-orang yang bertaqwa”, dari Muadz bin Jabal ia mengatakan : (Sesungguhnya) ummat manusia (kelak) tertahan di suatu tempat, lalu ada penyeru yang menyerukan : Di manakah orang-orang yang bertaqwa?. Lalu mereka (orang bertaqwa) berdiri dalam perlindungan Allah, dan Allah tidak terhijab dari mereka dan tidak terhalangi (dari pandangan mereka). Kemudian kutanyakan : Siapakah orang-oang yang bertaqwa itu?. Ia menjawab : Yaitu suatu kaum yang menjauhi kesyirikan dan menjauhi penyembahan berhala, serta ikhlas beribadah kepada Allah, kemudian mereka pun berjalan menuju syurga.
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Tafsiirul Qur’an ul Adzim, Jilid 3, halaman 66-69

Ujian pengorbanan yang paling besar adalah yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim ahs. yaitu perintah Allah Swt. untuk menyembelih anaknya sendiri yaitu Nabi Ismail ahs. Kisah ini telah Allah nyatakan di dalam Al Quran ul Hakiim :

“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibahim, Ibahim berkata : Hai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikikanlah apa pendapatmu. Ia menjawab : Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya (nyatalah kesabaran keduanya)”.
Surah As Saffaat (37) : ayat 102-103

Nabi Ibrahim ahs. dan anaknya Nabi Ismail ahs. redha dengan perintah Allah sebagai tanda ketaatan dan kesabaran keduanya menghadapai ujian dan perintah Allah Swt.

“Dan kami tebus sembelihan itu dengan seekor sembelihan yang besar (A)”.
Surah As Saffaat (37) : ayat 107

(A) : Sesudah nyata kesabaran dan ketaatan Nabi Ibrahim ahs. dan Nabi Ismail ahs. maka Allah Swt. melarang menyembelih Ismail dan untuk meneruskan qurban, Allah Swt. menggantinya dengan seekor sembelihan (kambing). Peristiwa inilah yang menjadi dasar disyari’atkan menyembelih binatang qurban pada Hari Nahr/ Hari Raya I’edul Adha.

Nota : kisah penuh pengorbanan Nabi Ibrahim ahs. ini dinyatakan dalam Surah As Saffaat (37) : ayat 100 hingga 111. Para jamaah dan pembaca sangat digalakkan untuk mentelaah kisah ini menerusi kitab tafsir muktabar dan tsiqah supaya dapat memahami lebih mendalam kisah ini. Catatan dan huraian oleh Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Jilid 8, halaman 70-76 amat menarik tetapi agak panjang, tidak saya nukilkan disini.

Perintah membuat qurban yang disyari’atkan oleh Allah Swt. telah dilaksanakan oleh Rasulullah Saw. dan para sahabatnya sepertimana hadis-hadis berikut :

“Dari Abdullah Ibnu Umar rhu. dia berkata : Telah tinggal Nabi Saw. di Madinah selama sepuluh tahun, setiap tahun Baginda menyembelih”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. dan imam Tarmizi rh. dan beliau menyatakan ia hadis hasan.

“Dari Abu Ayyub Al Ansori rhu. ia berkata : Di masa Rasulullah Saw., setiap seseorang lelaki berqurban dengan seekor kambing untuknya dan untuk keluarganya”.
Hadis riwayat imam Tarmizi rh., kitab Al Adhahi, Jilid 2 no. 1216 (hadis ini disahihkan oleh beliau). Diriwayatakan juga oleh imam Ibnu Majah rh. Jilid 2 no. 2546 (dengan sanad yang sahih)

Berdasarkan turutan dalil di atas, amalan membuat qurban ini adalah diperintahkan oleh Allah Swt., bemula daripada zaman Nabi Adam ahs. lagi, diikuti pada zaman nabi-nabi Allah yang lain sehinggalah sekarang. Terdapat kisah sahih menceritakan perintah dan ibadah qurban yang dibuat oleh Nabi Nuh ahs. dan Nabi Musa ahs. tetapi tidak saya nukilkan disini. Bagi amalan kita di masa ini, adalah mengikut contoh tauladan yang telah ditunjukkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad Saw.

Adalah disunnahkan ke atas orang yang membuat qurban untuk menyembelih sendiri. Ini berdasarkan satu riwayat, bahawa Rasulullah Saw. sendiri yang menyembelih hadyu (binatang qurban) sepertimana kisah dalam hadis berikut :

“Dari Anas bin Malik rhu. ia berkata : Nabi Saw. menyembelih qurban berupa dua ekor kambing berwana putih dengan bintik hitam yang berusia dua tahunan dan bertanduk. Baginda menyembelih dengan tangan Baginda sendiri, menyebut nama Allah dan bertakbir. Setelah itu Baginda menginjakkan kakinya di atas leher kedua kambing tersebut”.
Al Amlah adalah kambing berwarna putih dengan sedikit bintik-bintik hitam padanya.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (Bab Al Adhahi, no. 5565) dan imam Muslim rh. (Bab Al Adhahi, no. 17)

Namun, melakukan amalan menyembelih dan menguruskan daging qurban tidaklah diwajibkan ke atas orang yang berqurban, tetapi boleh juga diwakilkan (wakalah) kepada orang lain yang terpercaya untuk menguruskannya termasuk menyembelih. Perkara ini pernah diperbuat oleh Rasulullah Saw. sendiri sepertimana dinyatakan di dalam hadis berikut :

“Dari Ali bin Abi Talib kmwj. ia berkata : Nabi Saw. telah memerintahkan aku untuk mengurusi haiwan qurban Baginda, dan Baginda menyuruh agar membahagikan semua daging, kulit dan kainnya kepada fakir miskin dan tidak memberi suatu apa pun bahagian daripada haiwan qurban itu kepada tukang sembelih (sebagai upahnya)”.
Hadis riwayat imam Muslim rh. (Bab Al Hajj : no. 3170), imam Bukhari rh. (Bab Al Hajj : no. 1707), imam Abu Daud rh. (Kitab Al Manasik : no. 1769), imam Ibnu Majah rh. (Kitab Al Manasik : no. 3099). Lafaz nukilan ini dari imam Muslim rh.

Jenis haiwan yang boleh dijadikan hadyu (binatang qurban) telah disebutkan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :

“Dan bagi tiap-tiap ummat telah Kami syari’atkan penyembelihan (qurban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah dirizqikan Allah kepada mereka. Maka Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepadaNya. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah)”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 34

Berdasarkan sunnah Rasulullah Saw. yang dinyatakan dalam beberapa hadis sahih, binatang ternak yang dimaksudkan adalah unta, lembu, kambing dan kambing biri-biri (kibas, domba). Kambing dan kambing biri-biri mesti dilakukan oleh satu orang manakala unta dan lembu boleh dikongsi oleh 7 orang, ini berdasarkan hadis berikut :

 “Dari Jabir bin Abdullah rhu. ia berkata : Pada tahun dilaksanakan Perjanjian Hudaibiyah kami pernah berqurban bersama Rasulullah Saw. dengan seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang pula”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 3172), imam Abu Daud rh. (no. 2809), imam Tamizi rh. (no. 1502) dan imam Ibnu Majah rh. (no. 3132)

Satu hal lagi yang mahu saya sebutkan dalam membuat ibadah qurban ini adalah, bagi setiap hadyu (binatang qurban) yang dibuat oleh seseorang, ia adalah merangkumi bagi dirinya dan keluarganya sekaligus sekalipun hanya seekor kambing. Fakta ini adalah berdasarkan hadis berikut :

Dari Abu Ayyub Al Ansori rhu., ia berkata: “Pada zaman Rasulullah Saw., seseorang berqurban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya. Mereka memakan dan memberi makan orang lain, kemudian manusia berbangga sehingga seperti yang engkau lihat”.
Hadis sahih riwayat imam Tarmizi rh. (no. 1541) dan imam Malik rh. dalam kitab Al Muwatta’ (no. 387)

Huraian lengkap dalam hal ini dibuat oleh Imam Muhammad bin Ismail Al Amir As Son’ani rh. dan beliau merumuskan : Seekor kambing boleh untuk satu orang lelaki dan keluarganya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Saw.”.
Kitab Subul As Salam Syarah Bulugh Al Maram, Jilid 3, halaman 584

“Dari Aisyah rha. ia berkata : Bahawasanya Rasulullah Saw. memerintahkan seseorang untuk membawakan kibas bertanduk bagus yang berkaki, perut dan sekitar matanya berwarna hitam. Maka kibas itu didatangkan kepada Baginda untuk disembelih. Baginda pun bersabda : Wahai Aisyah, bawalah pisau kemari. Kemudian Baginda mengatakan : Asahlah pisau itu dengan batu : Maka Aisyah pun melakukannya dan Baginda pun mengambilnya. Setelah itu Baginda membawa kibas dan membaringkannya lalu menyembelihnya. Baginda menyebut “Dengan nama Allah, Ya Allah, Terimalah dari Muhammad, Keluarga Muhammad dan Ummat Muhammad”, Kemudian Baginda menyembelih kibas tersebut”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 5064) dan imam Abu Daud rh. (no. 2792)

Dalam menafsirkan lafaz “Dengan nama Allah, Ya Allah, Terimalah dari Muhammad, Keluarga Muhammad dan Ummat Muhammad”, Imam Nawawi rh. mengatakan : Hadis ini dijadikan dalil oleh orang yang membolehkan qurban diniyatkan untuk seseorang dan keluarganya, serta keikutsertaan mereka dalam mendapatkan pahala. Inilah mazhab kami dan mazhab jumhur ulamak.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 9, halaman 526

Waqtu membuat penyembelihan adalah bermula daipada tamatnya khutbah I’edul Adha (10 Zulhijjah) sehingga sebelum Maghrib hari Tasyrik ke 3 (13 Zulhijjah). Hal ini dinyatakan dalam hadis-hadis berikut :

“Dari Al Bara’ bin Azib rhu. ia berkata :……………. Selanjutnya Baginda bersabda : Barangsiapa menyembelih haiwan qurban sebelum solat, maka sesungguhnya ia hanya menyembelih untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa menyembelih setelah solat, maka telah sempurna ibadah qurbannya dan mendapatkan sunnah kaum muslimin”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 5545) dan imam Muslim rh. (no. 5042)

Sabda Rasulullah lagi, “Seluruh hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. di dalam Musnadnya no: 16151

Imam Muhammad Bin Idris Asy Syafie rh. berkata : Waktu menyembelih haiwan qurban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha…..Apabila hari-hari Mina (hari tasyriq : 11, 12 dan 13 Zulhijjah) telah berlalu, tidak boleh lagi menyembelih qurban”.
Mukhtasar Kitab Al Umm Fi Al Fiqh, Jilid 1, halaman 737

Dan Rasulullah Saw. telah memberi pesanan kepada seluruh ummatnya, begini :

“Dari Jundub bin Sufyan rhu. ia berkata : Aku pernah berhari raya I’edul Adha bersama Rasulullah Saw. Setelah Baginda selesai solat bersama kaum muslimin, Baginda melihat seekor kambing yang telah disembelih. Baginda bersabda : Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat (I’edul Adha), hendaknya ia menyembelih seekor kambing lagi sebagai gantinya. Dan barangsiapa yang belum menyembelih, hendaknya ia menyembelih dengan nama Allah”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 5500) dan imam Muslim rh. (no. 5038)

“Dari Al Bara’ bin Azib rhu. ia berkata : Pakcikku yang bernama Abu Burdah telah menyembelih haiwan qurban sebelum solat (I’edul Adha). Maka Rasulullah Saw. bersabda : Itu adalah daging kambing biasa (bukan daging qurban). Dia pun bertanya : Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai kambing kacang yang masih muda. Maka Baginda mengatakan : Berqurbanlah dengannya, dan tidak akan dibenarkan untuk selain engkau. Selanjutnya Baginda bersabda : Barangsiapa menyembelih haiwan qurban sebelum solat, maka sesungguhnya ia hanya menyembelih untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa menyembelih setelah solat, maka telah sempurna ibadah qurbannya dan mendapatkan sunnah kaum muslimin”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 5545) dan imam Muslim rh. (no. 5042)

Nota : Lafaz “dan tidak akan dibenarkan untuk selain engkau” membawa maksud kambing itu masih kecil (muda) dan hanya cukup untuk Abu Burdah rhu. sendiri sahaja

Berdasarkan 2 hadis sahih ini, ia menjelaskan bahawa sembelihan yang dibuat sebelum selesai solat I’edul Adha, tidak ia diterima sebagai ibadah qurban tetapi ia menjadi hanya sembelihan biasa sahaja.

Setakat ini dahulu nukilan saya buat masa ini.

والله اعلم , bersambung

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Rabu, 2 November 2011

Larangan Menyiarkan Bacaan Al Qur'an Menerusi Speaker

0 ulasan

From: boru hassan mrboru84@yahoo.com
To: edd zahir edd_zahir@yahoo.com
Sent: Saturday, August 13, 2011 9:17 AM
Subject: Larangan Menyiarkan Bacaan Al Qur'an Menerusi Speaker

Salam sejahtera untuk Abang Mad, moga dapat menjalankan Ramadhan dengan baik dan dipenuhi berkah.

Ini juga satu lagi kes terbaru yang menimbulkan berbagai polemik dalam masyarakat. Keputusan Jawatankuasa Fatwa negeri Pulau Pinang ini amat pelik daripada amalan biasa turun temurun di negara kita ini. Ia telah menimbulkan pertelagahan di kalangan masyarakat Islam sendiri. Macam-macam pro dan kontra sedang berlaku.

Adalah dipohon Abang Mad memberi ulasan sedikit dalam hal ini. Dengan kadar segera adalah lebih baik, bagi tujuan ilmiah dan kefahaman bersama dalam memahami isu ini. InsyaAllah.

Wassalam.


Maklumbalas

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani puasa kepada semua rakan jamaah serta para pembaca dan mendoakan agar Allah Swt. menerima semua amalan kita. Permintaan saya terima menerusi email, ada yang meminta secara langsung selepas kuliah dan ada yang membuat panggilan, juga berpesan supaya membuat sedikit maklumbalas. Kerana itu saya pun menulis artikel maklumbalas ini bagi "memenuhi permintaan". Sekadar itulah hasrat saya. Buat kesekian kali saya sebutkan lagi, saya kurang gemar memberikan ulasan ke atas isu-isu semasa kerana tidak mahu terlibat dengan sensasi, kontroversi dan kekecohan. Amat memeningkan apabila terlibat dengannya.

Apa yang saya perhatikan, terlalu banyak hal yang kita-kita ini terlebih emosional dari rasional serta, lebih perasaan dari fikiran. Tambah-tambah lagi dalam hal politik dan agama. Kita-kita ini lebih suka mengikut "lubang biawak' masing-masing berbanding mencari yang Haq yaitu Kitabullah dan as sunnah rasulNya sebagai "sebaik-baik penghuraian". Saya sendiri pun banyak terkena tempiasnya, bermacam tuduhan, kata-kata kesat dan celaan apabila berkata sesuatu yang melawan arus. Dalam banyak hal, fakta, hujjah dan dalil tak dianggap penting rupanya, sebaliknya kata-kata ataupun pendapat orang itu ini dianggap lebih betul melepasi kebenaran yang ditunjukkan oleh Al Qur’an dan as sunnah nabiNya sekalipun. Apalah nak di kata, begitulah rupa paras agama suci Islam ini, yang difahami sebahagian besar kita-kita ini.

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, maklumbalas saya adalah begini : Saya menyokong penuh pendirian dan keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang. Justifikasi pendirian saya adalah berdasarkan sebab-sebab seperti berikut :-

Membaca Dan Mendengar Bacaan Al Qur’an ul Kariim Mesti dengan Adab

Hal adab dalam membaca Al Qur’an ini telah dijelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya di dalam beberapa ayat Al Qur’an ul Majiid :

“…… Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.”. Surah Al Muzammil (73) : ayat 4

Yang dimaksudkan dengan ayat dia atas adalah “bacalah Al Qur’an dengan tartil (perlahan) sebab hal itu akan membantu dalam memahami, menghayati dan merenunginya. Disunnahkan membaca Al Qur’an dengan tartil (perlahan) dan dengan suara yang merdu”. 
Imam Al Hafiz Abul Fida Imaduddin Ismail bin Umar bin Katsir Al Qurashi Ad Dimasyqi (700H-774H). Tafsir Qur’an Al Adzim Li Ibni Katsir (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 10, halaman 126

“Dikatakan kepada pembaca Al Qur’an, bacalah, maka darjat kalian akan naik, Dan membacalah dengan tartilseperti bacaanmu di dunia. Sesungguhnya kedudukanmu sesuai dengan akhir ayat yang kamu baca. Membaca satu juz Al Qur’an dengan tartil adalah lebih baik daripada membaca 2 juz dengan waktu yang sama dengan tanpa tartil. Tujuan kesunnahan untuk membaca dengan tartil adalah untuk merenungi. Dan kerana itu adalah lebih dekat kepada pengagungan dan penghormatan dan lebih berpengaruh ke dalam hati. Kerana itulah juga disunnahkan tartil bagi orang asing yang tidak memahami maknanya”.
Imam Al Hafiz Abul Fadhl Jalaluddin Abdur Rahman bin Kamaluddin bin Abu Bakar bin Muhammad bin Sabiquddin al Suyuthi (849H-911H) : Al Itqan Fi Ulumil Qur’an, Jilid 1, halaman 581

Disunnahkan untuk membaca dengan merenungi, menghayati dan memahami (tadabbur). Yakni memperhatikan sungguh akan janji baik dan janji buruk (wa’ad dan wa’id), harapan-harapan dan ancaman-ancaman (targhib dan tarhieb,) hikmah-hikmah yang terkandung di dalam Al Qur’an, hukum-hukumnya serta mengambil pelajaran dan nasihat daripadanya. Inilah tujuan utama dan perintah yang paling penting. Dengannya hati akan menjadi lapang dan menjadi bersinar. Allah Swt. berfirman :

“Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya mereka merenungkan (memperhati) ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran”.
Surah Sad (38) : ayat 29

“Maka apakah mereka tidak merenungkan (memperhati) Al Qur’an? Kalau kiranya Al Qur’an itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 82. Ayat yang sama di dalam Surah Muhammad (47) : ayat 24

“Maka apakah mereka tidak merenungkan (memperhati) Al Qur’an ataukah hati mereka terkunci”.
Surah Muhammad (47) : ayat 24

Caranya adalah dengan membuat hati sibuk memikirkan maknanya terhadap apa yang diucapkan, sehingga dia mengetahui makna setiap ayat, memperhatikan perintah-perintah dan larangan-larangan dan meyakini akan menerima hal itu. Jika dia berasa telah membuat kekurangan pada masa lalu, maka dia meminta ampun dan beristighfar. Jika melewati ayat tentang rahmat, maka dia merasa gembira dan memohon, atau melewati ayat tentang siksa, maka dia merasa sedih dan meminta perlindungan atau melewati ayat tentang kesucian Allah, maka dia mensucikanNya atau ayat tentang doa, maka dia merendahkan diri dan memohon.
Imam Al Hafiz Jalaluddin Abdur Rahman al Suyuthi : Al Itqan Fi Ulumil Qur’an, Jilid 1, halaman 582

Apabila seseorang mula membaca Al Qur’an, sikap dan keadaannya hendaklah khusyuk dan tadabbur. Yakni dengan merenung dan memikirkan apa yang dibacanya. Inilah sebenarnya matlamat yang dituju. Dengan cara begini, hati dan dada akan menjadi lapang untuk menerima ajaran agama. Dengan cara inilah juga, hati akan mendapat nur kalamullah. Ada dalam kalangan salaf yang semalaman suntuk hanya membaca dan merenungkan secara berulang kali sesuatu ayat Al Qur’an sahaja sehingga waktu Subuh. Antara mereka ada yang menemui ajal sewaktu membaca Al Qur’an kerana takut akan Allah.
Imam Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Sharaf bin Murri bin Hassan bin Husain bin Muhammad An Nawawi (631H-676H) : At Tibyan Fi Adab Hamalatil Qur’an, halaman 45

Terdapat beberapa ayat lagi yang Allah Swt. menyatakan tentang sikap, adab dan etika kepada para pembaca dan orang yang diperdengarkan bacaan Al Qur’an ul Hakiim kepada mereka.

“Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata, “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad Saw.)
Surah Al Maaidah (5) : ayat 83

”Katakanlah, berimanlah kamu kepadaNya atau tidak usah beriman (sama saja bagi Allah). Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud.  Dan mereka berkata: “Maha suci Tuhan kami ; sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi. Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk”.
Surah Al Israa’ (17) : ayat 107, 108 dan 109

“Dan apabila dibacakan Al Qur’an, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat”.
Surah Al A’raaf (7) : ayat 204

Setelah Allah Swt. menyebutkan Al Qur’an itu merupakan bukti yang nyata, petunjuk dan rahmat bagi ummat manusia, Allah memerintahkan supaya diam ketika dibacakan Al Qur’an. Sebagai suatu pengagungan dan penghormatan kepadanya, tidak seperti apa yang dilakukan oleh orang kafir Quraisy dalam ucapan mereka :

“Dan orang-orang yang kafir berkata : janganlah kamu mendengar dengan bersungguh-sungguh akan Al Qur’an ini dan buatlah hiruk pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan (mereka)”.
Surah Al Fussilat (41) : ayat 26

Ayat di atas bermaksud, jika dibacakan Al Qur’an kita diwajibkan mendengar dan memperhatikan (tadabbur) sambil berdiam diri baik di dalam solat atau diluar solat. Bahkan itu ditekankan lagi dalam solat wajib jika imam membaca ayat Al Qur’an secara jahar (jelas/keras). 
Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir : Tafsir Qur’an Al Adzim Li Ibni Katsir (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 3, halaman 514

Demikianlah perintah Allah Swt. ke atas orang yang membaca dan mendengar Al Qur’an yang dibacakan. Ini adalah perintah adab, sikap dan etika yang tidak pernah terbatal oleh apa keadaan pun. Maka itu, apalah akan terjadi ke atas ayat-ayat Allah Swt. ini sekiranya dibaca atau didengari bukan secara tadabbur. Ini merupakan suatu penghinaan sepertimana perbuatan orang-orang kafir. Kalam suci Allah Swt. ini bukannya lagu-lagu yang merdunya suara serta glamernya penyanyi yang diambilkira. Mana mungkin dibaca atau diperdengarkan Al Qur’an itu dalam keadaan tiada siapa pun yang ambil pusing, tak faham apa satu, sibuk dengan aktiviti masing malah lebih-lebih lagi sekarang ini orang lebih sibuk dengan “sedapnya qari ni, bagusnya taranum ni”. Ini bukanlah tadabbur Al Qur’an, akan tetapi menjadikan kalam-kalam suci ini setaraf pertandingan lagu sahaja.

Nabi Saw. bersabda :

”Celakalah orang yang membaca Al Qur’an, padahal ia tidak memperhatikan maknanya”.
Hadis riwayat imam Ibnu Hibban rohimahullah

Nota : rujukan dan bacaan lain
Lajnah Daimah Lil Buhuth AlIimiyah, Majlis Fatwa Kerajaan Arab Saudi : Bida'u an Nas Fil Qur'an
Syeikh Al Adiib Bakr bin Abdullah Abu Zayd : Bida’ ul Quraa

Larangan Mengeraskan Suara Membaca Al Qur’an

Allah Swt. melarang membaca Al Qur’an dengan keras dalam solat kecuali dengan bersederhana dan didengari oleh telinga pembaca sendiri.

“Katakanlah : serulah Allah atau katakanlah Ar Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara keduanya”.
Surah Al Israa’ (17) : ayat 110

Di dalam satu hadis, Rasulullah Saw. menyuruh supaya bacaan Al Qur’an diperbuat secara sederhana selaras dengan makna ayat Al Qur’an di atas.

Dari Abu Qatadah rhu. bahawa Nabi Saw. bersabda kepada Amirul Mukminin Abu Bakar rhu. : Aku telah melintasi kamu ketika kamu sedang membaca, dan kamu merendahkan suara. Jawab beliau: Sesungguhnya aku hanya memperdengarkan kepada Siapa yang aku bermunajat kepada-Nya. Balas Baginda: Angkatlah sedikit (suaramu). Dan Baginda juga bersabda kepada Amirul Mukminin Umar Al Khattab rhu. : Aku telah melintasi kamu ketika kamu sedang membaca, dan kamu mengangkatkan suara. Jawab beliau: Sesungguhnya aku ingin membangkitkan orang yang mengantuk dan mengusir syaitan. Balas Baginda: Rendahkan sedikit (suaramu). Dalam riwayat lain : ”Wahai Abu Bakar, angkatlah suaramu sedikit, dan Baginda bersabda kepada Umar: Rendahkanlah suaramu sedikit”.
Hadis riwayat imam Tarmizi rh. dan imam Abu Daud rh. dengan sanad yang sahih

Sebenarnya, Nabi Muhammad Saw. sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan Al Qur’an dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam sebuah hadis, hal ini diperjelaskan.

Dari Abi Sa'id Al Khudri rhu. dia berkata : “Ketika Nabi beriktikaf (beribadah dalam masjid), Baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (Al Quran) sedangkan ketika itu Nabi berada di tempat ibadah Baginda. Lalu Baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh. dengan sanad yang sahih

Bacaan Al Qur’an mestilah dengan tadabbur serta dilakukan untuk amalan sendiri dengan penuh khusyuk dan tawadhu’. Bukan dengan suara keras dan dan kuat untuk ditunjuk kepada orang. Dalam sebuah hadis hal ini disentuh. 

Dari ‘Uqbah bin Amir rhu. dia berkata : Aku mendengar Rasulullah Saw. bersabda, “Orang yang membaca Al Qur’an dengan suara keras seperti orang yang bersedekah secara terang-terangan dan orang yang membaca Al Qur’an secara perlahan seperti orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi”.
Hadis riwwayat imam Abu Daud dan imam Tarmizi dan imam Nasa’ie rh. Imam Tarmizi berkata: Hadis ini hasan

Sesungguhnya, Allah Swt. dan rasulNya telah pun menetapkan adab, sikap dan etika membaca dan mendengar bacaan Al Qur’an. Begitu juga bagaimana perlahan dan kerasnya suara membaca itu telah pun ditetapkan. Begitulah cara yang sebaiknya untuk Al Qur’an dibacakan dan telah jelas juga adab dan etika bagi orang yang mendengar bacaan Al Qur’an. Maka itu, mendengarkan bacaan Al Qur’an untuk seluruh kawasan yang luas, dengan tiada pasti siapa yang ambil tahu dan bertadabbur serta boleh pula menggugat ketenteraman, bukanlah sesuatu yang patut diperlakukan.

Al Qur’an bukanlah seumpama syair, gurindam dan nyanyian lagu-lagu yang boleh didendangkan dan diperdengarkan tanpa batasan, tanpa kira waktu, tanpa ada pula adab-adab tertentu, malah diperbuat pula untuk tujuan seronok-seronok, komersial dan bertanding, melainkan ia adalah Kalam Suci Allah Swt. yang mana, sesiapa membaca dan mendengar bacaannya tertakluk kepada adab dan etika yang termaktub ditetapkan oleh Yang Maha Esa dan rasulNya. Moga kita semua dijauhi Allah Swt. dari bercakap dan berhukum dalam hal bacaan Al Qur’an ini sesedap rasa dan mengikut logik akal sahaja, dan semoga Allah Swt. mengampuni sesiapa diantara kita yang telah tersilap.

والله اعلم

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام
Read more...