Khamis, 22 November 2012

Makna Tiada Paksaan Dalam Agama(Siri 1)

0 ulasan

From: poison ivy
To: edd zahir edd_zahir@yahoo.com
Sent: Wednesday, November 7, 2012 4:49 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya juga nak ucapkan ribuan terima kasih atas kupasan yang lengkap ini. Saya mohon izin untuk dipanjangkan kepada rakan-rakan yang lain.

Satu lagi saya nak bertanya :

1. Benarkah ayat "tiada paksaan dalam agama "membawa maksud yang orang Islam pun boleh tukar-tukar agama.
2. Apakah boleh seperti fahaman sesetengah orang yang anak-anak bila cukup umur 18 tahun maka boleh dia sendiri memilih agama yang dia sukai.

Saya dapati sudah banyak fahaman macam ini dikalangan masyarakat kita. Saya mahukan maklumbalas yang urgent juga.

Wassalam.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terima kasih kerana mengajukan pertanyaan ini. Nada ayat yang terakhir seolah-olah satu titah perintah pula kepada saya. Namun tak mengapa, kalau pun dalam serba kekurangan saya cuba juga sebaik mungkin untuk mematuhi titah perintah Tuan itu, dengan menulis jua artikel jawaban yang serba dhaif ini. Didapati lafaz yang Tuan sebutkan itu terdapat di dalam Al Furqan, Surah Al Baqarah (2) : ayat 256.

Tidak ada paksaan dalam (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada taghut (A) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.”
(A)              : taghut adalah syaithan dan apa jua yang disembah, ditaati, dipatuhi, ditunduki dan diibadahi selain dari Allah Swt.

Dari kecil sampailah ke tua saya sendiri pun ada mendengar bermacam ragam orang memaknakan dan menafsirkan ayat ini. Di kesempatan ini, saya akan cuba memberikan penjelasan sebaik mungkin supaya ia memberi fahaman sebenar, selaras dengan maqsud sebenar ayatullah ini, insyaAllah. Dimulai dengan kisah asbaabun nuzuul (sebab-sebab turunnya ayat).

Imam Abu Daud Rhm. dan imam Ibnu Hibban Rhm. meriwayatkan dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu. Bahawa dia berkata : Dulu kala ada seorang wanita yang setiap kali melahirkannya anaknya selalu mati. Lalu dia bernazar jika anaknya hidup, maka dia akan menjadikannya seorang yahudi. Ketika Bani Nadhir (yahudi) diusir dari Madinah (akibat melanggar perjanjian dengan ummat Muslimin), diantara mereka terdapat anak-anak orang Ansar (termasuk anak ibu tadi). Maka mereka pun berkata : Maka kita tidak boleh membiarkan anak-anak kita. Maka turunlah firman Allah tersebut.

Ibnu Jarir Rhm. meriwayatkan dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu. Dia berkata : Firman Allah Ta’ala ini turun kepada seorang lalaki Ansar yang berasal dari Bani Salim bin Auf yang bernama Al Husain. Dia mempunyai 2 orang anak yang keduanya beragama nasrani, sedangkan ia sendiri adalah seorang Muslim. Maka dia pun mengadu kepada Nabi Saw. : Apakah saya perlu memaksa mereka berdua untuk masuk Islam kerana mereka tetap ingin masuk agama nasrani?. Maka Allah menurunkan firmanNya ini.
Imam Al Hafiz Abdul Rahman Ibni Abi Bakr Jalal ad-Din As Suyuthi Al Misri Rhm. Kitab Lubaabun Nuquul Fi Asbaabun Nuzuul, halaman 107-108, berdasarkan hadis sahih riwayat imam Abu Daud Rhm. no. 2682 dan imam Ibnu Hibban Rhm. no. 140

Penjelasan dari kisah asbaabun nuzuul ini memberitahukan bahawa ayat ini membawa maqsud : orang kafir tidak boleh dipaksa memasuki agama Islam.

Imam Al Hafiz Al Mufassir Abu Ja’far Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Khalid Ath Thabari Rhm. menjelaskan : Ayat ini mengandung makna seseorang dilarang memaksa seseorang lainnya yang mereka redha dengan hukum untuk masuk Islam. Lalu mereka pun dipungut jizyahnya. Ayat ini diberlakukan bagi dua golongan, ahli kitab (yahudi dan nasrani) dan majusi. Mereka dibiarkan memeluk agama yang bertentangan dengan agama Islam, namun dipungut pembayaran jizyah.

Maqsud ayat “sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat yaitu telah jelas bagi pencari kebenaran dan petunjuk, yang boleh membezakan kesesatan dengan kekeliruan. Kerana itu, sesiapa pun tidak boleh memaksa 2 golongan ahli kitab yang telah dipungut jizyah untuk memasuki agama Islam yang haq. Maka bagi siapa yang menolak dari petunjuk setelah diberikan penjelasan kepadanya, maka urusannya diserahkan kepada Allah Ta’ala yang akan menghukumi di hari akhirat nanti.

Barangsiapa yang setiap hamba kufur terhadap rububiyah selain Allah, dan dia kufur terhadap taghut, membenarkan Allah bahawa Dia adalah Tuhan yang layak disembah, berarti dia telah berpegang teguh kepada pegangan orang yang berharap dihindarkan dirinya dari siksa dan hukuman Allah. Ayat ini juga menjelaskan bahawa Allah Maha mendengar iqrar seorang Mukmin akan keesaan Allah Ta’ala dan berlepas diri dari sekutu dan berhala yang disembah. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang menjadi tekad orang Mukmin terhadap keesaan Allah, sedang hatinya ikhlas dalam menyembah Allah.
Kitab Jami’ ul-Bayan Fi Ta’wil il-Qur’an (Tafsir Ath-Thabari), Jilid 4, halaman 546-562    

Imam Al Hafiz Al Mufassir Ismail bin Umar Ibnu Katsir Ad Dimasyqi Rhm. menjelaskan : Ayat ini menyatakan tidak ada paksaan dalam beragama. Ketika kita telah menyampaikan kepada pemeluk agama lain, tentang kebenaran Islam berikutan bukti-buktinya, lalu mereka masih belum beriman, maka kita tidak boleh memaksa mereka. Hal itu barangkali kerana hati mereka mengeras dan tertutup dari hidayah Allah Ta’ala. Kita perlu mengkedepankan tolak ansur dalam beragama.

Disebutkan dalam sebuah riwayat, ayat ini ditujukan kepada sahabat Ansar. Seorang sahabat menyusukan anaknya kepada orang yahudi, lalu ia hendak memaksa orang yahudi itu memeluk Islam. Maka turunlah ayat ini. Secara asasnya, kata “buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus” bermakna tali yang kuat. Para ulama’ berbeza pendapat tentang makna sebenarnya. Menurut Mujahid, dua kata ini bermakna iman. Adapun menurut As Saddi, maknanya adalah Islam.

Disebutkan dalam ayat tadi bahawa ketika seseorang memeluk Islam dan beriqrar bahawa tiada Tuhan selain Allah Ta’ala, maka ia telah berpegangan kepada tali yang sangat kuat (tidak akan putus lagi), yang akan menjadi pegangan hidupnya. Tali ini akan menyelamatkannya dari pujuk rayu syaithan yang akan selalu berupaya untuk menjerumuskan manusia ke jurang kekufuran. Tali inilah yang akan menjadi senjata untuk mengalahkan pasukan-pasukan syaithan.
Kitab Tafsiir ul Qur’an il Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 2 halaman 515-518

Penjelasan dari 2 tokoh tafsir muktabar ini juga memberitahukan makna yang sama yaitu bahawa ayat ini membawa maqsud : orang kafir tidak boleh dipaksa memasuki agama Islam. Ketika kita telah menyampaikan kepada pemeluk agama lain, tentang kebenaran Islam berikutan bukti-buktinya, lalu mereka masih belum beriman, maka kita tidak boleh memaksa mereka. Maka bagi siapa yang menolak dari petunjuk setelah diberikan penjelasan kepadanya, maka urusannya diserahkan kepada Allah Ta’ala yang akan menghukumi di hari akhirat nanti.

Walaupun orang Islam tidak dibenarkan memaksa, tetapi adalah menjadi kewajiban ke atas setiap Muslimin  untuk menyeru dan mengajak manusia kepada Islam, agama suci yang haq yang membawa kesejahteraan kepada seluruh manusia. Tanggungjawab menyebarkan Islam mesti disampaikan walau di mana saja berada. Ia terpulang kepada orang ramai untuk menerima atau menolaknya, sebagaimana firman Allah Swt. :

"Katakanlah (wahai Muhammad): kebenaran itu datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman dan sesiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orag-orang yang dzalim itu neraka yang gejolaknya mengepung mereka……………..."
Surah Al Kahfi (18) : ayat 29

Segala keterangan diatas, ya’ni ummat Muslimin dikehendaki menyeru orang kafir kepada memasuki Islam tetapi tidak boleh memaksa mereka, dijelaskan lagi oleh Kalamullah berikut :

"Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya berimanlah sekelian manusia yang ada di muka bumi seluruhnya. Maka apakah engkau (hendak) memaksa manusia (pula) supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?"
Surah Yunus (10) : ayat 99

"Maka berikanlah peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul yang memberi peringatan, engkau bukanlah orang yang berkuasa ke atas mereka. Tetapi orang yang berpaling dan kafir (menolak ajaran Islam yang engkau sampaikan itu). Maka Allah akan mengazab mereka dengan azab yang besar."
Surah Al Ghasyiyah (88) : ayat 21-24

Ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa Islam menjamin kebebasan beragama dan menghormati kepelbagaian dalam segala aspek kehidupan manusia. Dalam sistem pemerintahan Islam, pemerintah tidak berhak untuk memaksa penganut agama lain untuk memeluk agama Islam sekalipun orang itu tidak mempunyai apa-apa agama. Mereka berhak mengamalkan adat istiadat dan cara hidup mereka selagi mana, tidak menimbulkan perkara yang tidak sihat dalam masyarakat umum dan membahayakan Islam dan ummatnya. Demikianlah moleknya dan begitulah lunaknya ajaran Ad Diin ul Islam yang diwahyukan oleh Allah Swt.

Agama Islam tidak sekali-kali memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam. Islam mengikhtiraf dan menghormati kewujudan pelbagai agama, bangsa, suku-suku, wilayah-wilayah dan warna kulit. Firman Allah Swt. yang bermaksud,

"Hai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu dari seorang laki-laki, seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Swt. ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu."
Surah Al Hujurat (49) : ayat 13

Islam adalah agama yang berteraskan kepada kepercayaan dan keyaqinan yang terbit dari hati nan suci. Pengakuan ketaatan kepada Allah Yang Satu dan Nabi Muhammad Saw. sebagai pesuruhNya (2 Kalimah Toyyibah) tidak dianggap sah sekiranya tidak dituruti dengan waras dan penuh keikhlasan hati. Dari itu, orang Islam tidak dibenarkan memaksa orang kafir untuk memeluk agama Islam biar pun mereka itu terdiri dari kaum kerabatnya atau teman rapatnya. Agama Islam tidak boleh dipaksa kepada sesiapa pun lantaran melakukan paksaan adalah perbuatan yang keji dan dikutuk oleh Allah Swt. Islam sesekali tidak pernah menganjurkan paksaan dalam keadaan apa jua cara sekali pun dalam menyebarkan ajaranNya kerana tindakan sedemikian hanya akan menghancurkan tujuan, kebenaran dan falsafah hidup Islam yang suci itu sendiri.

Maka itu, ayat "tiada paksaan dalam agama" membawa maqsud tidak boleh memaksa orang kafir memasuki Islam, bukannya bermaqsud sebaliknya yang orang Islam pun boleh tukar-tukar agama sesuka hati. Melainkan hendaklah difahami benar-benar, apabila seseorang telah memasuki Islam, telah tertakluklah seluruh hidupnya kepada ketentuan dan ketetapan syari’at Islam sepenuhnya, dalam kata lain “NO WAY OUT”. Hal ketentuan dan ketetapan syari’at Islam ke atas ummat Muslimin ini boleh dibicarakan pada forum yang lain.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

From: Izana Hani <izanahani@yahoo.com>
To: edd zahir
Sent: Wednesday, November 14, 2012 9:55 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Semoga Ustaz dalam kebaikan dan dalam rahmah Allah Swt. sentiasa. Saya ucapkan terima kasih atas kiriman artikel ini yang memberi kefahaman dan amat bernilai kepada saya. Sebelum ini ramai yang hanya merasakan faham tetapi tak dapat menyatakan bagaimana faham itu. InsyaAllah, artikel lengkap dari ustaz ini akan membantu menjelaskan supaya benar-benar faham. Bukan saja tahu tapi turut mengetahui yang sebenarnya. Soalan mungkin datang dari kronologi kes ini :

Soalan : But mainly my question is, when you speak of freedom of religion, are you actually applying to the Malays as well?

Jawapan :  “When you ask me, there is no compulsion in religion…how can anyone say sorry, this only applies to non-Malays, it has to apply equally”

Lanjutan itu sebuah akhbar portal online melaporkan : Nurul : There should be no compulsion in choosing faith.  People should not be compelled to adopt a particular religion and this should also apply to Malays, says Lembah Pantai MP.

Saya mohon ulasan lanjut al fadhil Ustaz ke atas ahli politik itu dan nilai politik sebegini. Urgent nih. Hanya untuk mendengar ulasan sahaja, bagi manfaat bersama.

Wassalam

2012/11/15 edd zahir <edd_zahir@yahoo.com>

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih kepada Puan kerana memberikan detail tersebut. Saya melihat youtube, mendengar ucapan itu dan membaca transkrip ucapan, dan dapati ia memang begitu. Ulasan saya pendek sahaja, begini :

MP tersebut telah pun menyatakan  beberapa hari selepas forum itu : Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

Memang kenyataan asal menimbulkan permasalahan, tetapi kenyataan kedua (sambungan) ini telah menjelaskan semula maksud sebenar. Kedua-dua kenyataan itu datang dari beliau, maka begitulah yang selayaknya diterima, bukannya statement dari pihak lain. Beliau yang memberikan titik persoalan, namun beliau sendiri yang telah menjawabnya. Maka itu, tiada apa yang nak dibangkitkan lagi.

Cuma saya percaya bahawa yang paling baik adalah, kenyataan kedua (sambungan itu), sepatutnya diucapkan di dalam forum itu sendiri, bukannya di tempat lain. Apatah lagi setelah kenyataan asal menjadi kontroversi umum. Kronologi event sebegini memang membuka ruang kepada kontroversi dan pertikaian.

Hal ahli politik itu dan nilai politik sebegitu, saya tidak mahu mencampurinya, yang saya sentuh hanya kalamullah yang disalahfahami supaya difahami dengan benar, insyaAllah.

والسلام

From: poison ivy ivy7003@gmail.com
To: edd zahir
Sent: Friday, November 16, 2012 3:06 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Alhamdulillah, saya sangat bersetuju dengan penjelasan yang Ustaz berikan berkenaan makna ayat tiada paksaan dalam agama itu. Memang soalan ini saya tanyakan berikutan kenyataan awal dari ahli politik tersebut yang memberikan tanggapan seolah-olah bahawa orang Islam pun boleh murtad kerana tiada paksaan dalam agama.

Yang lebih menakutkan, sudah ada sebahagian orang Islam sendiri yang menafsirkan dan memahami maksud ayat tersebut seperti itu. Yang paling teruk sekali, sudah banyak terdengar cakap-cakap dari mulut orang Islam sendiri yang yang murtad itu boleh kerana itu adalah hak asasi manusia dalam beragama dan selaras dengan prinsip demokrasi. Harap nanti Ustaz dapat buat kupasan dalam hal ini.

Saya ada bersembang dengan rakan-rakan berkenaan hal ini, ramai yang kata sangat ok dan betul artikel itu. Cuma mereka mengatakan kurang wajar diguna perkataan kafir secara langsung seperti yang Ustaz sebutkan, baik sekali diguna bukan Islam kerana lebih baik untuk tujuan dakwah.

Wassalam.

2012/11/19 edd zahir <edd_zahir@yahoo.com>

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih atas maklumbalas Tuan. Saya bergembira kerana Tuan telah dapat mengambil pengajaran dari nukilan saya malah dapat dikongsikan dengan beberapa rakan lain. Mudah-mudahan Allah Swt. sentiasa memberikan petunjukNya dan rahmahNya kepada kita semua untuk terus kekal di landasan As Siraat ul Mustaqiim. Sedikit peringatan! janganlah jadikan apa yang saya tulis ini satu-satunya sumber malah paling bagus sekali dirujuki lagi hal ini kepada ramai ilmuwan dan ulama’ lain supaya mendapat penjelasan lebih baik. Saya sekadar memberikan penjelasan yang termampu dan pasti sekali ia serba kekurangan.

Saya bersetuju dengan Tuan bahawa “dari mulut orang Islam sendiri yang yang murtad itu boleh kerana itu adalah hak asasi manusia dalam beragama dan selaras dengan prinsip demokrasi”. Ini adalah fikrah dan pendirian amat bathil hakikatnya, yang tidak tahu membezakan antara Hukum Syara’ yang wajib dipatuhi (ketetapan Allah Swt. dan rasulNya) berbanding dengan hukum ciptaan aqal manusia, malah dianggap hukum buatan manusia itu lebih tinggi (untuk ditunduk patuhi) pula dari hukum syara’. Memang pelik tapi  benar, apabila ada dikalangan ummat Muslimin sendiri tidak faham perkara paling asas dalam aqidah ini, dan itulah yang sedang berlaku. Namun wajar sekali hal ini dibicarakan dalam forum yang lain lantaran ia adalah hal yang menuntut penghuraian tersendiri.

Persoalan seterusnya berkenaan lafaz Kafir. Adakah dianggap bahawa ummat Muslimin ini menghina dan menistai orang bukan Islam apabila menyebut mereka dengan panggilan kafir?. Bukankah mereka juga ada agama yang dianuti, malah ada sebahagian lagi yang mengaku tidak langsung beragama.? Malah pernah saya dihujjah, bukankah sepatutnya orang yang tidak beragama sahaja yang digelar kafir, yang ada apa jua agama tidak boleh disebut kafir. Setakat pengetahuan saya, orang-orang kafir pula memahami bahawa hanya orang yang tak beragama sahaja digelar sebagai kafir, dan ini terbalik dari pemahaman syara’ sebenarnya.

Sudah ada beberapa artikel saya membicarakan takrifan/makna kafir ini. Sedikit ulangsorot : perkataan kafir berasal daripada bahasa (lughah) Arab "kafara' yang membawa arti menyembunyikan atau ingkar. Takrifan kafir menurut Islam (isthilah/syara’), berarti seseorang yang menyembunyikan atau ingkar terhadap kebenaran Islam lalu enggan menerima Islam sebagai agama anutannya. Jelas sekali, sesiapa pun jua yang tidak menerima Islam sebagai agama anutannya, maka dia adalah kafir. Tidak kira sama ada, dia ada menganuti agama lain atau pun langsung tidak beragama. Kerana itu, kafir adalah sama sahaja maknanya dengan Bukan Islam, orang kafir bermaksud orang bukan Islam.

Namun seharusnya dimaklumkan kepada ummat Muslimin sendiri dan kepada kafirin juga, lafaz kafir itu bukanlah sesuatu yang boleh disebut-sebutkan secara semberono sahaja sesedap mulut untuk tujuan menghina atau menistai. Ummat Muslimin sebenarnya hanya menggelar kafir kepada orang yang sudah sampai berita kebenaran Islam kepada mereka tetapi mereka menolaknya malah sebahagian mereka memusuhinya. Manakala orang bukan Islam yang belum sampai kebenaran Islam dan mereka tidak beriman dengan Islam disebabkan itu, maka mereka tidak layak sewenangnya digelar sebagai kafir, atas sebab Allah telah menghantar utusan atau nabi kepada setiap kaumnya untuk menyampaikan da’wah kebenaran Islam, seperti tersebut dalam Kalamullah berikut :

"Dan tidak ada satu ummat pun melainkan telah dihantar seorang utusan yang memberi peringatan kepadanya.”
Surah Al Fathir (35) : ayat 24

"...Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan, dan bagi setiap kaum terdapat utusan yang memberi petunjuk.”
Surah Ar Ra'd (13) : ayat 7

Hal ini disebutkan supaya ummat Muslimin sendiri tidak sewenangnya menggelarkan orang lain sebagai kafir sedangkan kebenaran Islam itu tidak pun disampaikan (dida’wah) kepada mereka terlebih dahulu. Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajiban seluruh ummat Muslimin untuk menyampaikan da’wah kebenaran Islam itu. Dan status orang yang tidak pernah menerima da’wah kebenaran Islam itu kita serahkan kepada Allah Swt. Yang Ma’bud Yang Maha Berkuasa untuk menetapkannya.

Maka itu, kafir yang dimaksudkan dalam artikel ini, malah sepertimana juga yang disebut-sebut oleh ummat Muslimin selama ini adalah merujuk kepada mereka yang bukan Islam, yang menolak Islam sebagai Ad Diin dan memusuhinya dan berusaha untuk merosakkannya. Banyak ciri mereka ini dinyatakan oleh Allah Swt. lewat KalamNya yang antaranya :

“Sesungguhnya orang-orang kafir, sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah telah mengunci-mati hati mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka siksa yang cukup berat.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 6

“Orang-orang kafir daripada ahli kitab dan orang-orang musyrik tidak menginginkan diturunkan sesuatu kebaikan daripada Tuhan mu kepada mu.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 105

“... Dan sesiapa yang menukar iman dengan kekafiran, sungguh telah sesat daripada jalan yang lurus.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 108

“Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.”
Surah Ali Imran  (3) : ayat 120

Ayat-ayat di atas menerangkan bahawa orang kafir adalah orang-orang yang tidak menggunakan mata untuk melihat kekuasaan Allah, telinga untuk mendengar ayat-ayat Allah ketika disampaikan, lebih rela menerima kesesatan berbanding iman sesudah didatangkan peringatan kepada mereka dan bergembira sekiranya ummat Muslimin ditimpa bencana.

Dalam satu sudut lain, mari kita lihat lafaz khinzir yang sekarang diguna menggantikan lafaz babi. Pada awalnya ia menjadi persoalan tetapi akhirnya diterima penuh dengan alasan ia adalah lafaz dari Allah Swt. di dalam Al Qur‘an sendiri. Justeru itu, sangat bermasalahkah untuk menerimapakai lafaz kafir itu, bukankah ia juga lafaz dari Allah Swt. di dalam Al Qur‘an sendiri. Atau mungkinkah kita bersikap hanya mahu menerima sebahagian Kalamullah yang kita suka dan menolak sebahagian yang lain yang kita rasa tak seronok padanya, sama seperti perangai orang munafiq? Banyak hal asas aqidah yang perlu diperbetulkan nampaknya pada orang yang bersikap begini.

Kerana itulah di dalam artikel ini disebut berulang kali lafaz kafir yang hakikinya merujuk kepada Orang Bukan Islam dan berkelakuan seperti yang dijelaskan oleh Allah Swt. Sekiranya mereka berasa terhina dan dinistai dengan lafaz kafir itu, maka dia harus menerima Islam sebagai Ad Diin, memasukinya dan tunduk patuh kepadanya, dan pasti selepas itu tidak lagi dia dipanggil kafir.

والسلام

To: edd zahir
Sent: Monday, November 19, 2012 4:52 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Terima kasih atas penjelasan yang lengkap ni. Mudah-mudahan nukilan ini memberi pengajaran dan semangat kepada kita semua. Kadang-kadang adanya perkataan sebegini, barulah kita terbuka minda sikit dan berfikir secara lain. Keselesaan selalunya memuatkan kita leka, ambil mudah hal aqidah sebegini, terus terikut arus dan tanpa mahu membuat dan memahami sesuatu perkara secara terperinci. Penjelasan ini sangat jelas dan lengkap sehingga tiada apa yang dapat nak dikatakan lagi.

Saya dah tak tahu pun nok komen macam mana, cuma nak kata yang saya setuju, hanya setuju. Itu sajalah.

Wassalam.

To: edd zahir
Sent: Monday, November 19, 2012 8:31 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Keras dan tegas bahasa ni syeh, jarang enta tulis macam ni. Kalau yang baca tak mau nak faham juga, tak tau lah macam mana. Yang lain-lain tu, insyaAllah saya faham segala maksudnya, saya setuju 100%. Itu saja.

Wassalam

To: edd zahir
Sent: Monday, November 19, 2012 10:33 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Ana hanya nak bagitahu yang ana setuju. Lain-lain artikel pun sepatutnya ditulis clear dan tegas macam ni. Keras dan tegas bahasa ni takpa, yang penting maksud jelas dan terang, tak berpusing-pusing sampai tak tahu yang mana satu nak diikut. Terima kasih kat anta. Moga terus rajin menulis dan berkuliyah untuk menyampaikan yang haq. Ana jauh, tak dapat nak join.

Moga enta selamat sentiasa syeh.

Wassalam

From: poison ivy ivy7003@gmail.com
To: edd zahir
Sent: Tuesday, November 19, 2012 7:21 AM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, saya dah terima maklumbalas dan dah hantar kepada beberapa kawan lain. InsyaAllah dah boleh faham apa yang Ustaz maksudkan. Saya pun nak katakan yang saya setuju, sangat setuju. Kawan-kawan pun setuju. Patutnya orang-orang politik pun baca artikel nih, supaya diorang pun dapat faham apa yang Islam mahukan, bukan setakat berpusing-pusing dalam hal politik dan undi saja.

Dah tak ada soalan lain lagi dah. Semuanya yang nak disoal pun telah dijawab. Terima kasih daun keladi, nanti ada soalan kena jawab lagi.

Wassalam.




Read more...

Rabu, 14 November 2012

Manfaat Ilmu dan Larangan Merosakkannya...

0 ulasan



بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد€, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani rutin kehidupan sehari-hari kepada semua rakan jamaah serta para pembaca. Seraya mendoakan agar sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang teguh kepadaNya dan menerima semua amalan kita. Moga Allah Swt. Yang Maha Esa Yang Maha Dermawan, meredhainya. Saya berlindung diri dengan Allah Tabaraka Wata’ala dari sebarang kesilapan dan kekhilafan, serta memohon pimpinanNya sentiasa dalam menghasilkan artikel ini.

Alhamdulillah, saya masih berkesempatan menukilkan sesuatu tentang ilmu, dan siri ini adalah yang keenam. Banyak juga saya mendapat maklumbalas dari para jamaah dan pembaca, terkandung juga beberapa persoalan berkenaan hal ilmu. Terima kasih saya ucapkan kepada semua maklumbalas tersebut. Sesungguhnya ia benar-benar memberikan semangat untuk saya terus menyebarkan da’wah dan pengetahuan setakat yang termampu. Berkenaan persoalan yang dibangkitkan, akan saya beri maklumbalas nanti, InsyaAllah.

Seorang hamba yang sejati adalah seorang yang beribadah kepada Allah Swt. atas dasar ilmu yang telah jelas kebenaran baginya. Kerana dengan ilmu, seseorang beribadah kepada Allah Swt. berdasarkan basirah (mata hati), yang hadir dari nurani paling dalam, maka hatinya akan selalu terpaut dengan ibadah, dan hatinya pun akan diterangi dengan ibadah itu sehingga dia melakukannya disebabkan oleh hal itu, dan bukannya sebagai adat (kebiasaan) ikut-ikutan semata-mata.

Lantaran itu, apabila seseorang mengerjakan solat berdasarkan sikap begini (dengan ilmu), maka dia termasuk dalam orang yang dijamin oleh apa yang difirmankan oleh Allah Swt. : Solat itu akan mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar. Sesungguhnya melakukan amal berdasarkan ilmu yang haq ini adalah warisan, suruhan dan jalan yang dibuat oleh Nabi Saw. sepertimana yang difirmankan oleh Allah Swt. :

“Katakanlah (wahai Muhammad), inilah jalanku yang lurus, aku mengajak manusia kepada Allah atas dasar ilmu yang aku lakukan beserta pengikutku. Maha Suci Allah dan aku bukanlah termasuk orang yang musyrik”.
Surah Yusuf (12) : ayat 108

Ilmu syara’ adalah datang dari Allah Swt. dan dicontohkan oleh rasulNya. Di dalamnya terkandung pujian dan sanjungan kepada pemiliknya. Akan tetapi, saya tidak mengingkari bahawa ilmu selainnya juga mengandung faedah, namun secara terbatas. Jika ia membantu dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah Swt., membela agamaNya dan bermanfaat bagi kehidupan manusia, maka ilmu itu adalah baik dan maslahat. Terkadang mempelajarinya menjadi wajib dalam kondisi tertentu jika ia termasuk dalam rangka firman Allah Swt. :

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka (orang kafir, dengan) kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat…….”
Surah Al Anfaal (8) : ayat 60
Syeikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin rh. Kitaab ul Ilmu, halaman 8-9

Ilmu yang bermanfaat dapat diketahui dengan melihat tanda-tanda yang ada pada pemilik ilmu itu sendiri, yang di antaranya :

1.    Orang yang bermanfaat ilmunya tidak menganggap dirinya mempunyai keadaan dan kedudukan yang tinggi serta hati mereka membenci pujian dari manusia. Tidak menganggap dirinya suci dan tidak sombong terhadap orang lain dengan ilmu yang dimilikinya.
2.    Pemilik ilmu yang bermanfaat apabila ilmunya bertambah, meningkat pula rasa tawadhu’, rasa takut, kehinaan dan ketundukannya di hadapan Allah Swt.
3.    Ilmu yang bermanfaat mengajak pemiliknya lari dari dunia. Yang paling besar adalah kedudukan, kebenaran dan pujian. Menjauhi hal itu dan bersungguh-sungguh dalam menjauhkannya, maka hal itu adalah tanda ilmu yang bermanfaat.
4.    Pemilik ilmu ini tidak mengaku-ngaku memiliki ilmu dan tidak berbangga dengannya terhadap seorang pun. Tidak jua dia menisbatkan kebodohan kepada seseorang pun kecuali seseorang yang jelas-jelas menyalahi sunnah dan ahlus sunnah. Ia marah kepadanya kerana Allah Swt. semata-mata bukan kerana peribadinya dan, tidak pula bermaksud meninggikan kedudukan dirinya sendiri di atas seseorang pun.
Syeikh Yazid bin Abdul Qodir Jawas, Kitab Thalabul ilman Thariiqu ilal Jannah (Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga), halaman 26-27

Syeikhul Islam Taqiyuddin Ahmad Bin Abdul Halim Bin Abdus Salam Bin Abdullah Bin Muhammad Ibnu Taimiyyah Al Harrani Ad Dimasyqi rh. (wafat 728H) menyebutkan : Ilmu adalah apa yang dibangunkan di atas dalil, dan ilmu yang bermanfaat adalah apa yang dibawa oleh Rasulullah Saw. Terkadang ada ilmu yang tidak dibawa secara langsung oleh Rasulullah Saw. seperti dalam urusan duniawi yaitu perubatan, ilmu hisab, ilmu pertanian dan ilmu perdagangan.
Kitab Majmu’ Fatawaa, Jilid 6 halaman 388

Dari satu sisi lain beliau menjelaskan : Ilmu yang bermanfaat ini, yang merupakan tiang dan asas dari hikmah Allah Swt., terbahagi kepada tiga bahagian. Beliau seterusnya menegaskan bahawa : ilmu yang terpuji, yang ditunjukkan oleh Al Kitab dan As Sunnah adalah ilmu yang diwariskan dari para nabi sebagaimana sabda Rasulullah Saw. Tiga bahagian ilmu itu adalah :

1.    Ilmu tentang Allah Swt., nama-nama dan sifat-sifatnya serta hal-hal yang berkaitan dengannya. Contohnya adalah sebagaimana Allah Swt. menurunkan Surah Al Ikhlas, Ayat Kursi dan sebagainya.
2.    Ilmu mengenai berita dari Allah Swt. tentang hal-hal yang telah terjadi dan akan terjadi di masa akan datang serta yang sedang terjadi. Contohnya adalah Allah Swt. menurunkan ayat-ayat tentang kisah, janji, ancaman, sifat syurga, sifat neraka dan sebagainya.
3.    Ilmu mengenai perintah Allah Swt. yang berkaitan dengan hati dan perbuatan-perbuatan anggota tubuh, seperti beriman kepada Allah, ilmu pengetahuan tentang hati dan kondisinya, serta perkataan dan perbuatan anggota badan. Dan hal ini termasuk di dalamnya ilmu tentang dasar-dasar keimanan dan tentang kaedah-kaedah Islam dan masuk di dalamnya ilmu yang membahas tentang perkataan dan perbuatan-perbuatan yang zahir, seperti ilmu-ilmu fiqh yang membahas tentang hukum amal perbuatan. Dan hal itu merupakan bahagian dari ilmu agama Islam.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rh. Kitab Majmu’ Fatawaa, Jilid 11 halaman 396-397

Dalam satu bab lain, beliau rh. turut menyatakan bahawa : Telah berkata Yahya bin Amar rh. (wafat 422H), ilmu itu ada lima bahagian, yang terkandung didalamnya yang memberi manfaat dan yang tidak memberi manfaat  :

1.    Ilmu yang merupakan kehidupan bagi agama Islam, yaitu ilmu tauhid.
2.    Ilmu yang merupakan santapan agama Islam, yaitu ilmu tentang mempelajari makna-makna Al Qur’an dan hadis.
3.    Ilmu yang merupakan ubat agama Islam, yaitu ilmu fatwa. Apabila sesuatu musibah (malapetaka) datang kepada seorang hamba, ia memerlukan orang yang mampu menyembuhkannya dari musibah itu, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Mas’ud Rhu.
4.    Ilmu yang merupakan penyakit bagi agama Islam, yaitu ilmu kalam dan bid’ah
5.    Ilmu yang merupakan kebinasaan bagi agama Islam, yaitu ilmu sihir dan yang sepertinya   
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rh. Kitab Majmu’ Fatawaa, Jilid 10 halaman 145-146

Allah Swt. telah menerangkan tentang betapa besarnya manfaat ilmu dan kelebihan orang yang berilmu dalam banyak ayat. Salah satunya adalah :

“Dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahawasanya dia (Al Qur’an) itulah yang haq dari Tuhanmu lalu mereka beriman lalu tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 54

Ayat ini membawa maksud : Agar orang-orang yang diberi ilmu, yaitu orang-orang yang dapat membezakan antara yang haq dengan yang batil dengan ilmunya, mengetahui bahawa Al Qur’an adalah kebenaran yang turun daripada Allah kepadamu Wahai Muhammad. Tidak ada keraguan didalamnya dan tidak ada jalan untuk syaitan (untuk) merosaknya. Dengan demikian, keimanan mereka bertambah dan hati mereka tunduk patuh kepadanya. Sesungguhnya Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepadaNya dan kepada rasulNya, kepada jalan yang haq lagi nyata, yaitu agama suci Islam yang akan menyelamatkan mereka dari kesesatan.
Rabbitah Al Alam Al Islamy, Tafsir Al Muyassar, Jeddah KSA

Dalam satu ayat lagi, Allah Swt. menjelaskan :

 “Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka), Adakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu? Hanya orang-orang yang berakal yang boleh mengambil pelajaran”.
Surah az-Zumar (39) : ayat 9

Dari ayat ini, Abdullah Ibnu ‘Abbas Rhu. menyatakan : Syarat bagi seseorang untuk dikatakan sebagai ‘alim tentang Allah yang Maha Pengasih di antara hamba-hamba-Nya adalah tidak mensyirikkan Allah, menghalalkan dan mengharamkan sebagaimana yang ditetapkan Allah, menjaga dan memelihara tuntutan dan kehendak Allah, meyakini bahawa Allah akan menemuinya dan menghisap amal perbuatannya.
Tafsiirul Qur’an ul Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 6 halaman 544

Demikianlah Allah Swt. sangat memuji ilmu serta mendorong hamba-hambaNya untuk mencari ilmu dan membekali diri dengannya. Manusia dilahirkan sama sifat dan perangainya sehingga sukar dibeza kalau pun dasar penciptaannya adalah sama yaitu untuk menyembah Allah Swt.  Namun begitu, sesungguhnya perbezaan itu tetap jua boleh dikenalpasti, yaitu dengan ilmulah yang membezakan manusia. Demikianlah hebatnya manfaat ilmu.

Begitulah secara dasar betapa tingginya manfaat ilmu dan kelebihan orang berilmu di sisi Allah Swt. dan rasulNya. Manfaat ilmu dan kelebihan terbesar mereka adalah upaya membezakan antara yang haq dengan yang batil, mengakui Al Qur’an adalah kebenaran yang turun daripada Allah, mematuhi syariat Nabi Muhammad Saw. dan, keimanan mereka bertambah dan mereka tunduk patuh kepadaNya. Seterusnya hidup dalam petunjuk, beriman dan bertaqwa kepadaNya dan kepada rasulNya, sepertimana tuntutan agama suci Islam yang haq. Sedangkan sebelum datangnya Nabi Saw. membawa ilmu yang haq ini, semua manusia didalam kesesatan. Ini dinyatakan oleh Allah Swt. dalam firmanNya :

“Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman (bangsa Arab), ketika Allah mengutus di kalangan mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri. Ia membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan Al Kitab dan Al Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka berada di dalam kesesatan yang nyata”.
Surah Aali Imran (3) : ayat 164

Tafsir ayat ini - Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman (bangsa Arab), ketika Allah mengutus di kalangan mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Al Qur’an, dan menyucikan diri-diri mereka dari syirik dan akhlak yang rosak, dan mengajarkan mereka Al Qur’an dan As Sunnah. Sesungguhnya sebelum kedatangan Rasulullah itu, mereka benar-benar di dalam kesesatan dan kejahilan yang nyata”.
Rabbitah Al Alam Al Islamy, Tafsir Al Muyassar, Jeddah KSA

Berkenaan manfaatnya ilmu, Imam Al Hafiz Zainuddin Abdur Rahman bin Ahmad bin Abdur Rahman bin Al Hassan As Sulami Al Baghdadi Al Hanbali rh. (Ibnu Rajab Al Hanbali – wafat 795H), mengatakan, ilmu yang bermanfaat akan menuntun kepada 2 perkara yaitu :

1.    Mengenal Allah Taala dan segala apa yang menjadi hakNya berupa nama-nama yang indah, sifat-sifat yang tinggi dan perbuatan-peerbuatan yang agung. Hal ini mengharuskan adanya pengagungan, rasa takut, cinta, harap dan tawakkal kepada Allah serta melahirkan redha terhadap taqdir dan sabar atas segala musibah yang Allah Ta’ala berikan.
2.    Mengetahui segala yang diredhai dan dicintai oleh Allah Ta’ala dan menjauhi segala apa yang dibenci dan dimurkaiNya berupa keyakinan, perbuatan yang zahir dan batin serta ucapan. Hal ini mengharuskan orang yang mengetahuinya bersegera untuk melakukan segala apa yang diredhai dan dicintai Allah Taala dan menjauhi segala apa yang dibenci dan dimurkaiNya.

Apabila ilmu itu menghasilkan hal begini bagi pemiliknya, maka inilah ilmu yang bermanfaat. Bila-bila sahaja ilmu itu bermanfaat dan menusuk di dalam hati, maka sungguh, hati akan merasa khuyu’, takut, tunduk, mencintai dan mengagungkan Allah Taala. Maka jiwa merasa cukup dan puas dengan sedikit yang halal dari dunia dan merasa kenyang dengannya sehingga hal itu menjadikannya qana’ah (murah hati) dan zuhud di dunia.
Imam Al Hafiz Ibnu Rajab Al Hanbali rh. Kitab Fadhlu Ilmi Salaf Alal Khalaf, halaman 11-13. Dinukil dari kitab takhrij dan ta’liq oleh Syeikh Ali bin Hassan bin Ali Abdul Hamid

Terkadang Allah Swt. mengkhabarkan tentang suatu kaum yang diberikan ilmu, namun ilmu yang ada pada mereka tidak mendatangkan manfaat. Itu adalah ilmu yang bermanfaat hakikatnya, akan tetapi penerimanya tidak memperlakukannya secara memberi manfaat. Hal ini diceritakan oleh Alah Swt. :

“Perumpamaan orang yang diberi tugas membawa Taurat, kemudian mereka tidak membawanya (tidak mengamalkannya) adalah seperti kaldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Sangatlah buruk kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”.
Surah Al Jumu’ah (62) : ayat 5

Dan firmanNya lagi :

“Mereka hanya mengetahui yang lahir (tampak) dari kehidupan dunia ; sedangkan terhadap kehidupan akhirat mereka lalai”.
Surah Ar Ruum (30) : ayat 7

Kerana itulah As Sunnah membahagikan ilmu yang bermanfaat dan ilmu yang tidak bermanfaat kepada ummat muslimin, supaya perbezaan diantara keduanyanya dikenali. Seterusnya menganjurkan supaya ummat mukminin berlindung dari ilmu yang tidak bermanfaat sebaliknya sentiasa bermohon kepada Allah untuk menuntut, berpegang, beramal dan istiqomah dengan ilmu yang bermanfaat.

Dan pasti sekali ilmu yang haq itu adalah Al Qur’an dan As Sunnah Nabi Saw. serta apa jua ilmu pengetahuan yang bertunjangkan ketundukpatuhan kepadanya. Justeru itulah Allah Swt. menyuruh supaya berpegang teguh kepada ilmu yang haq (Al Qur’an dan As Sunnah) dan jangan sesekali berpegang kepada selain daripada itu menerusi firmanNya :

“Bahawasanya inilah jalan Ku yang lurus, maka ikutlah kamu akan dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, yang akan mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Itulah perintah Tuhan kepadamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”.
Surah Al An’aam (6) : ayat 153

Selain dari perintah supaya berpegang teguh kepada ilmu yang haq, Allah Swt. juga berpesan seraya melarang ummat muslimin daripada merosakkan ilmu yang haq itu dengan melakukan perkara yang dilarang. Ummat muslimin dilarang sama sekali melakukan tasyabbuh (menyerupai orang-orang kafir) dalam aspek kehidupan biasa mahu pun dalan amalan beragama mereka, lantaran Islam diturunkan cukup lengkap syariat dan peraturannya, kerana ia termasuk dalam perbuatan kesesatan sepertimana firman Allah Swt. :

“Kemudian kami jadikan kamu berada di atas satu syari’at (peraturan) dari urusan (agama), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”.
Surah Al Jatsiyah (45) : ayat 18

Allah Swt. menurunkan ilmu yang haq itu kepada seluruh ummat manusia dan dicontohkan pula pemahaman dan amalannya oleh rasulNya. Ia terkandung suruhan dan juga larangan secara jelas dan nyata demi kebaikan manusia di dunia mahu pun di akhirat, tanpa sesuatu apa pun yang tersembunyi atau tidak lengkap. Seterusnya dituntut ummat mukminin menerima ilmu yang haq itu secara kaffah (keseluruhan) bukannya menerima yang disukai sahaja dan menolak sebahagian yang lain sepertimana perbuatan kaum yahudi dan nasrani.

Kerana itu, Allah Swt. memberi peringatan bahawa orang-orang yang telah datang kepada mereka pengetahuan, namun mereka memilih untuk mengkesampingkan kebenaran itu lantaran mengikut hawa nafsu atau apa-apa jua sebab yang bukan dengan keredhaan Allah Swt., maka sesungguhnya mereka tidak akan mendapat perlindungan dari siksaan Allah Swt. yang amat pedih. Begitulah dimaksudkan oleh Allah Swt. lewat KalamNya :

“Orang-orang yang telah Kami beri Kitab kepada mereka (yahudi dan nasrani yang masuk Islam) bergembira dengan Kitab yang diturunkan kepadamu, dan di antara golongan-golongan (yahudi dan nasrani) yang bersekutu, ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah : sesungguhnya aku hanya diperintah untuk menyembah Allah dan tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan Dia. Hanya kepadaNya aku seru (manusia) dan hanya kepadaNya aku kembali.
Dan demikianlah, Kami telah turunkan Al Qur’an itu sebagai peraturan (yang benar) dalam Bahasa Arab, dan seandainya kamu mengikut hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu maka sekali-kali tidak ada pelindung dan pemelihara bagimu terhadap (siksa) Allah”.
Surah Ar Ra’du (13) : ayat 36-37

Allah Swt. menurunkan ilmu yang haq yang dengannya ummat mukminin diperintahkan supaya menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf, ajakan kepada agama Islam dan mentaati segala syari’atnya dan mencegah dari yang mungkar bagi semua yang menyalahi petunjuk Nabi Saw. Dan Allah Swt. berpesan supaya tidak menjadi seumpama golongan kafirun yang menyebar permusuhan dan kebencian sesama mereka, lalu mereka berpecah dan bercerai berai kepada beberapa kelompok. Mereka berselisih tentang pokok-pokok agama sedangkan telah datang kepada mereka keterangan yang jelas dan nyata. Demikianlah pesanan dan larangan Allah Swt. kepada kaum muslimin dalam firmanNya :

“Dan hendaklah di antara kamu, ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang bercerai berai dan berselisih setelah datang kepada mereka keterangan yang jelas. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat”.
Surah Aali Imran (3) : ayat 104-105

Satu lagi kerosakan terbesar dalam ilmu dan perbuatan amat terlarang adalah perangai menyembunyikan ilmu atau mencampuradukkannya demi untuk mencapai sesuatu maksud. Ummat muslimin disuruh berkata benar dan berdiri teguh atas ilmu yang haq seraya menyebarkan kebenaran itu ke seluruh alam. Tugas mukminin sebagai hamba Allah Swt. untuk menyembahNya dengan mempelajari ilmu, mentaati dan menyampaikannya. Perbuatan menyembunyikan ilmu kebenaran adalah suatu dosa besar yang tidak sepatutnya diperlakukan. Begitu juga, sangat terlarang mencampuradukkan kebenaran yang di datangkan Allah Swt. dengan kebatilan yang diada-adakan oleh syaitan dan manusia (waima sesiapa pun).

Hakikatnya, perbuatan mencampuradukan antara yang haq dengan yang batil ini adalah menyembunyikan al haq (kebenaran) dan memesongkan makna ilmu pengetahuan dari pemahaman sebenarnya. Ini perbuatan amat batil dan besar dosanya. Demikianlah pesanan Allah Swt. di dalam KalamNya :

“Dan janganlah (sekali-kali) kamu mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan, dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 42

Dalam satu ayat lain, Allah Swt. dan seluruh makhluk lain melaknati manusia yang menyembunyikan ilmu, dalam firmanNya :

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan, berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah kami menerangkannya kepada manusia dalam Al Kitab (Al Qur’an), mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 159

Begitu juga, satu lagi gejala kerosakan ilmu yang sering dilakukan oleh ummat manusia adalah tidak mengamalkan ilmu yang diperolehi dan ini merupakan perbuatan yang menyebabkan hilangnya barokah ilmu. Sesungguhnya, seseorang yang memiliki ilmu akan diminta pertanggungjawaban atas ilmunya oleh Allah Swt. Orang sebegini hampir mencapai tahap munafiq lantaran hanya tahu dan pandai berkata-kata, namun gagal untuk melaksanakan hatta dalam diri sendiri pun. Benar Allah Swt. sangat membenci dan mencela orang-orang yang melakukan perbuatan ini menerusi firmanNya :

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan. Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”.
Surah As Saff (61) : ayat 2-3

Demikian juga, amat dilarang dan dicela sikap manusia yang menjadi ulama’ suu’ (jahat dan buruk), yang dengan ilmunya dia ingin mendapatkan sanjungan manusia serta mengharapkan habuan dunia. Mereka akan sembunyikan yang haq juga memesongkan makna kebenaran dari Allah Swt. dan rasulNya, dengan mengikut apa sahaja yang membuatkan orang suka, bukan mengatakan hukum sebenarnya demi memastikan mereka akan mendapat habuan darinya.

Disebabkan perangai mereka inilah, yang haq dan yang batil telah bercampur aduk sehingga yang haq itu menjadi tersembunyi, tidak lagi dikenali dan terkesamping. Mereka inilah menjadi punca membiaknya segala macam bid’ah, khurafat dan kemungkaran dalam masyarakat.  Golongan ini adalah ulama’ yang rela menyesatkan diri demi mengharapkan habuan dan natijahnya telah menyesatkan jutaan ummat lain. Kepada mereka ini junjungan mulia Nabi Saw. telah berpesan :

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Barang siapa mempelajari sesuatu ilmu, yang dengan ilmu itu semestinya dia mencari wajah Allah, (akan tetapi) dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapatkan kekayaan dunia, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada hari qiyamat”.
Hadis sahih riwayat imam Abu Daud rh. imam Ibnu Majah rh. imam Ahmad rh. dan imam Ibu Hibban rh.

Akhirul Kalaam : setakat ini dahulu nukilan saya kali ini. Saya menyeru, marilah bersama kita mencari dan menuntut ilmu, seterusnya mengamalkan dan menyampaikannya. Menerusi cara inilah ilmu itu dapat dimanfaatkan dan akan menjadi saksi kebenaran ke atas untung nasib diri kita di hari akhirat nanti. Dan bersama lah kita memohon kepada Allah Azza Wajalla agar menjadikan kita golongan penegak ilmu yang haq dan tidak sesekali menjadi golongan yang merosakkannya. Mudah-mudahan sumbangan kecil ini memberi manfaat kepada kita semua terutamanya kepada diri saya sendiri.

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw bersabda : Barang siapa yang mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’ dan untuk berdebat dengan orang-orang bodoh serta mencari perhatian orang banyak, maka Allah telah memasukkannya ke dalam neraka jahannam”.
Hadis hasan riwayat imam Ibnu Majah rh. (No. 260)

والله تعالى أعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...