Selasa, 24 Disember 2013

Jangan Herdik/Menghina Orang Yang Besedekah.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Aku bersaksi bahawasa sesungguhnya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah (kamu) kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.”
Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 102
 
Sebelum kuliyah mingguan, sementara menunggu seorang demi seorang jamaah hadir sempat juga saya berbual dengan beberapa yang hadir dulu. Seperti biasa, setelah sedikit bersapa khabar kesempatan itu digunakan untuk bersoal jawab beberapa perkara. Malah sering juga masa-masa sebegitu dibincangkan hal-hal yang agak sulit melibatkan peribadi dan keluarga. Dari beberapa hal itu, saya berasa perlu untuk menulis 3 hal yang melibatkan banyak orang. Moga-moga dengan tertulis jawaban dari hasil perbincangan itu, akan memberi lebih pencerahan kepada rakan-rakan jamaah dan para pembaca. insyaAllah dan, catatan ini saya nukilkan seringkas mungkin.
 
Hal 1 : Ada seorang ustaz yang agak terkenal atau pun dia rasa dia terkenal dan hebat di Pulau ini, semasa tazkirah sebelum Solat Juma’at dok mengata orang yang bersedekah. Bahasa, kelakuan dan ayat-ayat yang dia guna sangat kasar, boleh sampai menghina sedekah yang sikit-sikit. Disebutnya mereka ini kedekut, berkira, tak berguna dan beberapa kata kesat lagi. Diulang-ulang yang duit biru, hijau dan merah tu kedekut sampai menjuih mulut. Angkuh sungguh. Apa dia tahu ka susah payah orang! Apa dia tok nujum senang-senang boleh tahu keikhlasan orang? Apa sedekah sikit nih tak maqbul dan berdosa. Lebih teruk lagi dok suruh orang sedekah ke pusat dia sendiri. Ramai yang merungut dan sebut, lagi sekali kalau ustaz ni la yang jadi imam, nak pi masjid lain.
 
Hal 2 : Patutkah dia buat perangai macam ni, layak kah perangai macam ni jadi ustaz? Kalau ustaz-ustaz pun yang alim-alim belaka pun perangai macam ni, berjuta-juta orang lagi pun layak jadi ustaz, apa yang susahnya.
 
Hal 3 : Adakah patut, letak balang jernih telus tengah-tengah laman, orang kaya tak kisahlah nak bubuh berapa pun dah tentu banyak, nih kita yang susah ni, serba macam malu segan dok ada, ribuan mata dok tengok, jeling-jeling dok intai kita bubuh apa
 
Saya tulis semula ayat-ayat yang dikeluarkan, dan rasanya orang-orang itu sedang marah dan sangat kesal dengan apa yang berlaku.
 
Susah benar nak komen hal melibatkan perangai orang. Cuma kurang seronok apabila cerita ini melibatkan seorang dipanggil ustaz. Jika benarlah apa yang dicakap cerita ini, memanglah tidak sepatutnya berkata-kata dan bersikap begitu. Dan tidak boleh ditolak jua bahawa dalam setandan pisang, ada sebuah pisang yang busuk, dan janganlah kerananya timbul pula kesimpulan mudah : ustaz-ustaz tak berguna. Sama juga, hakim adalah orang yang mensabitkan kesalahan dan menghukum pesalah, sebaliknya ada juga hakim yang ditangkap dan bersalah kerana makan rasuah, malah hakim syari’i lagi. Demikianlah perangai dia itu sendiri, salah dihukumkan semua orang sama macam dia. Jika benar mereka lakukan perbuatan itu, memang mereka tidak layak menjadi ustaz.
 
Justeru itu, persoalan tentang perangai seseorang itu, baiklah dijawab, ditahqiq, dita’liq dan dihakimi oleh orang lain. Apa yang saya mampu buat, hanyalah memberikan beberapa keterangan dan pedoman tentang maudhu’ cerita bukan perihal orangnya, supaya boleh memberikan kefahaman kepada sang penanya dan pemberi komen, lain dari itu hanya Yang Ma’bud Allah Swt. dan rasul-Nya yang tahu.
 
Sesungguhnya memberi sadaqah ini dituntut lantaran ia ibadah yang memberi banyak kebaikan kepada kedua-dua pemberi mahu pun penerima.
 
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersadaqah dan orang-orang perempuan yang bersadaqah, dan mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”
Surah Al Hadiid (57) : ayat 18
 
Sadaqah adalah perbuatan tathawwu’ (sukarela untuk membuatnya), hukumya sunnat yang digalakkan (muakkad). Ia bukan sepertimana zakat wajib yang telah ditentukan masa, jenis barang dan jumlahnya. Ia benar-benar berasaskan kemahuan, kesediaan dan kerelaan seseorang untuk mengeluarkan sedikit hakmilik yang dia ada untuk diberikan kepada seseorang lain yang memerlukan. Apa yang diberikan itu pula adalah mengikut kemampuan dan kesanggupan penuh ikhlas untuk memberi, tanpa ada sedikit pun paksaan atau dengan ketetapan syarat begitu begini.
 
“Hendaklah orang yang mampu (ada lebihan rizqi) memberi nafqah mengikut kemampuannya. Dan orang yang terbatas rizqinya memberi nafqah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sesuai) dengan apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan setelah kesempitan.”
Surah Ath Thalaq (65) : ayat 7
 
Baik juga diterangkan terminology supaya sama-sama difahami :
Berkemampuan : bermaqsud mempunyai lebihan dari keperluan diri sendiri, juga bermaqsud lebihan yang ada setelah dikeluarkan zakat yang wajib
Kerelaan : bermaqsud kesediaan mengeluarkan sesuatu secara suci hati. Ini menjelaskan bahawa jumlah atau rupabenda tidak pernah menjadi ukurannya. Malah boleh terjadi ia dikeluarkan oleh seorang yang juga tidak mampu kepada satu otang lain yang lebih tidak mampu darinya.
 
Maka semestinya kita yaqini benar-benar, bahawa setiap orang yang telah pun memberikan sadaqahnya, walau dalam apa pun jumlah dan rupabentuk, dia telah memberikan yang terbaik dari apa yang dia mampu dan penuh ikhlas. Adalah benar, susah senang tiada siapa yang tahu dan tidak sama sekali boleh ditunjukkan menerusi tampak fisikal. Ramai yang suka bergaya, terlihat hebat begitu begini, tapi hutang keliling pinggang malah terkadang susu anak pun sukar dibeli. Tentu sekali, siapa lah yang tahu.
 
Perintah memberi sadaqah ini terjatuh kepada semua orang yang berkemampuan  mengeluarkannya. Jika tidak mampu pada masa ini, boleh keluarkan di masa lain. Sekiranya benar-benar tidak mampu, maka layaklah dia pula terima sadaqah. Justeru itu, status social dan ekonomi seseorang tak pernah menjadi kayu ukur berapa nilai yang dia sadaqahkan. Jika terjadilah kes bersilang : miskin bagi banyak, kaya bagi sikit, tetap tak salah juga keadaan sebegitu. Cuma yang dituntut sangat-sangat dan amalan sebaik- baiknya adalah memberi juga kalau pun amat sedikit.
 
Dari Adi bin Hatim Rhu. dia berkata : Rasulullah Saw. menyebutkan tentang neraka kemudian Baginda berpaling dan menjauh sehingga kami mengira bahawa Baginda seakan-akan melihatnya, kemudian Baginda bersabda : Berlindunglah kamu semua dari neraka meski pun dengan separuh buah kurma. Barang siapa yang tidak memilikinya, maka dengan ucapan yang baik.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2346
 
Di dalamnya terdapat anjuran untuk bersadaqah, dan tidak boleh berhenti bersadaqah sekiranya yang dikeluarkan sedikit jumlahnya, dan sadaqah yang walau pun sedikit adalah salah satu hal yang dapat menyelamatkan seseorang dari api neraka.
Imam Yahya bin Sharaf An Nawawi, Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 5 halaman 282
 
Atau pun, seseorang tak mahu bagi apa-apa pun, kalau pun dia tahu dia ada lebihan, namun ia tetap tak salah juga dan tak boleh dihamun sesuka hati. Cuma yang pasti dia adalah seorang bakhil (kedekut, kikir), suatu perangai yang membawa kepada kebinasaan. Kena diseru/diberi peringatan kepada mereka ini supaya membaiki perangai tak bagus ini.
 
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 195
 
Dan kena diperingatkan juga kepadanya bahawa Nabi Saw. pernah menyebutkan :
 
Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata  bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Tidak ada suatu pagi yang semua hamba berada padanya, melainkan ada 2 malaikat yang turun. Salah satunya berdo’a : Ya Allah, berikanlah pengganti kepada yang berinfaq. Sedangkan yang lain berdo’a : Ya Allah, berikanlah kerugian kepada yang tidak mahu berinfaq.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2333
 
Terdapat beberapa lagi ayat Allah dan hadis Nabi Saw. yang menceritakan banyak balasan tak baik terhadap orang yang bakhil, tidak saya catatkan disini.
 
Sekiranya ustaz itu menyampaikan kisah, keadaan dan kesan buruk disebabkan oleh perangai bakhil, serta khabar ancaman dari Allah Swt. dan rasul-Nya ke atas mereka itu, maka itu tidak sama sekali menjadi masalah lantaran memberi peringatan dan nasihat memang digalakkan di dalam Islam. Namun begitu, tetap jua tidak boleh dengan kasar bahasa, ucapan atau perlakuan yang tidak baik, kerana seruan ilmu dan sunnah Allah Swt. yang haq ini mesti disampaikan secara hikmah. Sepertimana perintah-Nya :
 
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.”
Surah Aali Imran (3) : ayat 159
 
Hal ini amat penting dalam uslubul da’wah kerana kita berhadapan dengan berbagai macam dan ragam manusia, tahap minda, status social, tahap pendidikan, tahap ekonomi dan berbagai lagi. Malah di alam maya terbentang luas ini, mungkin pendengar di depan kita itu jauh lebih alim dan faqih dari kita sendiri pun (jangan sesekali under estimate). Semua ini mempengaruhi fikrah dan sikap seterusnya mempengaruhi tahap penerimaan mereka. Amat malang sekali, jika segala khabar kebenaran akhirnya diabaikan dan terbiar saja, disebabkan oleh penolakan terhadap perangai tukang penyampainya. Maka ini merupakan suatu fitnah yang amat besar kepada Islam, sama sekali tidak patut berlaku.
 
Tidak boleh berkata kesat dan angkuh kepada orang yang telah memberi sadaqah walau pun kelihatan sedikit berbanding tampak upayanya , baik sekali dirujuki pesanan ini :
 
“Dari Abu Mas’ud Rhu. dia berkata : Kami diperintahkan untuk bersadaqah. Dia berkata lagi : Dahulu kami menjadi kuli pengangkut barang. Lalu Abu ‘Aqil bersadaqah dengan setengah sha’ sahaja. Setelah itu ada seseorang datang membawa sesuatu yang lebih banyak darinya. Maka orang-orang munafiq pun berkata : Sesungguhnya Allah tidak memerlukan sadaqah orang itu (Abu ‘Aqil), dan tidaklah yang dilakukan oleh yang lain itu melainkan kerana riya’. Maka turunlah ayat : Orang-orang (munafiq) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sadaqah-sadaqah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disadaqahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab siksa yang tidak terperi sakitnya.” Surah At Taubah (9) : ayat 79
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2352
 
Imam Muslim Rhm. meletakkan hadis ini dalam Bab (23) : Bersadaqah Dengan Upah Mengangkut Barang Dan Larangan Keras Meremehkan Orang Yang Bersadaqah Dengan Harta Yang Sedikit.
 
Suka atau tidak terimalah haqiqatnya bahawa berdasarkan Kalamullah dan hadis nabi-Nya di atas : yang mempertikaikan, meremehkan dan mengherdik orang bersadaqah ini adalah orang munafiq dan pengekor mereka. Sebagai orang dianggap berilmu, merasakan pula diri berilmu dan digelar hebat itu-ini oleh orang banyak, pelik benar jika ini tidak diketahui.
 
Mustahil juga tidak tahu bahawa Allah Swt. menyuruh supaya menerima pemberian sadaqah dari siapa pun dan apa jumlahnya pun, kerana ia membersihkan dan mensucikan kedua-dua pihak. Malah setelah itu, disuruh pula bersyukur dengan apa yang diterima dan berdo’a kepada mereka yang bersadaqah.
 
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Surah At Taubah (9) : ayat 103
 
Janganlah pula, pengharapan terhadap bantuan orang itu menjadikan kita ke tahap meminta-minta, yang sangat jelas merupakan sifat dan sikap dilarang.
 
Dari Mu’awiyah bin Abu Sufyan Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Janganlah kalian memaksa dalam meminta, Kerana demi Allah, tidaklah seseorang dari kalian yang meminta sesuatu apa pun kepadaku, lalu diqabulkan permintaannya, sedang aku tidak suka kepadanya, sehingga dia diberikan keberkahan pada apa yang aku berikan kepadanya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2387
 
Dan satu lagi, banyak kejadian telah berlaku sekarang ini, disebalik perbuatan menyeru orang bersadaqah itu ini, haqiqatnya ada udang sebalik mee ya’ni diri sendiri mahukan sadaqah yang banyak. Kepada mereka ini malah kepada semua orang, baik sekali disampaikan sedikit pesanan firman Allah Swt. untuk manfaat dan i’tibar :
 
“Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.”
Surah Al Mudatstsir (74) : ayat 6
 
Perbuatan nak membolot harta sadaqah ini amat tidak bagus, jika ini dilakukan oleh orang-orang alim maka fitnah yang terhasil darinya malah jauh lebih besar. Perintah dan anjuran bersadaqah adalah umum : berlandaskan tathawwu’, kepada yang memerlukan dan ia senantiasa selamanya begitu tanpa boleh ditambahi atau dikurangi satu pun dengan ketetapan  baharu waima oleh sesiapa pun . Namun ada sedikit terma pengkhususan, baik sekali dimaklumkan kepada orang yang mahu bersadaqah, paling afdhal adalah mengeluarkan kepada qaum kerabat terhampir yang kurang kemampuan.
 
“Dari Salman bin 'Amir Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : "Sadaqah terhadap orang miskin adalah sadaqah dan terhadap keluarga sendiri mendapat dua pahala: sadaqah dan silaturrahmi".
Hadis riwayat imam Tarrmizi Rhm. dan beliau mensahihkannya.
 
Dari Zainab Ats Tsaqafiyah Rha. isteri Abdullah bin Mas'ud Rhu. ketika dia pergi dan bertanya kepada Nabi Saw. : Apakah boleh dia bersadaqah kepada suaminya dan anak-anak yatim yang ada dalam asuhannya? Maka Nabi Saw. bersabda : Ya, boleh dan dia akan mendapatkan pahala kerana menyambung kekerabatan (silaturrahmi) dan pahala sadaqah". Nota : ini adalah satu hadis panjang yang dicatat ringkas
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. dan imam  Muslim Rhm.
 
Dan tidak boleh juga dengan mudah memperkata, mempertikai dan mempersoal sesuatu yang ghaib dan majhul ya’ni apa maqasid dan nilai keikhlasan yang bersadaqah. Ia tersimpul di dalam hati yang tidak boleh dihakimi melalui banyak atau sikit jumlah sadaqahnya. Haqiqatnya tiada siapa pun yang tahu niyat di dalam hati termasuklah Nabi Saw. melainkan Allah Swt. semata-mata.
 
“Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati.”
Surah Al Mulk (67) : ayat 13
 
Hadis riwayat Usamah bin Zaid Rhu., ia menceritakan : Rasulullah Saw. mengirim kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah di pagi hari. Lalu aku menjumpai seorang kafir (berlakulah pertarungan yang lama, dan Usamah berjaya mengalahkannya, ketika mngangkat pedang) Dia mengucapkan : Laa ilaaha illallah, tetapi aku tetap menikamnya. Ternyata kejadian itu membekas dalam jiwaku, maka aku menuturkannya kepada Nabi Saw. Baginda bertanya : Apakah dia mengucapkan Laa ilaaha illallah dan engkau tetap membunuhnya? Aku menjawab : Wahai Rasulullah, ia mengucapkan itu hanya kerana takut pedang. Baginda bersabda : Apakah engkau sudah membelah dadanya sehingga engkau tahu apakah hatinya berucap demikian atau tidak? Baginda terus mengulangi perkataan itu kepadaku, sehingga aku berkhayal kalau saja aku baru masuk Islam pada hari itu. Saad berkata: Demi Allah, aku tidak membunuh seorang Muslim, sehingga dibunuh Dzul Buthain (perut kecil), Usamah. Seseorang lain berkata : Bukankah Allah telah berfirman “Dan perangilah mereka, agar tidak ada fitnah dan agar agama itu semata-mata untuk Allah”. Saad berkata : Kami telah berperang, agar tidak ada fitnah. Sedangkan engkau dan pengikut-pengikutmu ingin berperang, agar timbul fitnah.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 140
 
Tiada manusia pun berhak meneka-neka isi hati orang, kemudian dengan tekaan (prasangka) itu ia melemparkan bermacam tuduhan buruk pula di khalayak banyak. Ini tuduhan melulu ke atas seorang Muslim lain dan hanya menyerlahkan kedangkalan ilmu dan pelahapnya nafsu pelakunya. Perbuatan dan perkataan berdasarkan sangka-sangkaan dan persepsi sendiri ini malah diungkapkan pula ditempat yang amat mulia (masjid), sungguh ia adalah suatu kejelekan dan amat terlarang. Allah Swt. melarang perbuatan ini,
 
 “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”
Surah Sad (38) : ayat 26
 
Dan junjungan mulia Nabi Saw. turut berpesan :
 
“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk ucapan yang paling dusta, dan janganlah kalian saling mendiamkan, saling mencari kejelekan, saling menipu dalam jual beli, saling mendengki, saling memusuhi dan janganlah saling membelakangi, dan jadilah kalian semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. no.  5606
 
Saya sendiri mengalami situasi balang telus melus diletakkan di tengah laman untuk dimasukkan wang, ini kes yang saya alami semasa menziarahi janazah. Memang ramai yang berasa macam-macam semasa nak memasukkan wang ke dalamnya. Entah dari mana asalnya budaya ini dan bila bermula, saya tak tahu, sejak saya hidup terlihat ia sudah ada diamalkan. Yang pasti ia dilapikkan kepada : untuk memudahkan orang menyumbang. Tak pernah pula tercatat dimana-mana kitab (setakat saya ketahui) bahawa itu caranya para salafussolih menghulurkan sumbangan. Yang ada adalah, mereka memberikan terus kepada orang terlibat atau pun warisnya (dalam kes simati).
 
Dan kepada sesiapa yang terada dalam situasi sebegitu, janganlah segan malu, hulurkan sahaja apa yang termampu seikhlasnya. Hal ini pernah dijelaskan oleh Nabi Saw. :
 
Imam Muslim Rhm. (hadis no. 2376) meletakkan dalam Bab 31 : Anjuran Bersadaqah Meskipun Dengan Harta Yang Sedikit Dan Tidak Boleh Menahan Sadaqah Dari Harta Yang Sedikit Kerana Dianggap Malu
 
“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Wahai para wanita Muslimah, janganlah sekali-kali seseorang tetangga meremehkan (sadaqah untuk) tetangganya meski pun hanya kaki kambing.”
 
Larangan meremehkan itu bermaqsud, janganlah seseorang tetangga enggan bersadaqah dan memberi hadiah kepada tetangganya lantaran harta yang dimilikinya hanya sedikit dan sesuatu yang hina. Bahkan dia boleh mendermakan apa yang dia miliki meskipun sedikit, seperti kaki kambing. Itu lebih baik daripada tidak memberi sama sekali.
Imam Yahya bin Sharaf An Nawawi, Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 5 halaman 326
 
Justeru itu, sumbanglah apa yang mampu diberikan seikhlasnya. Jangan pedulikan apa-apa maqasid yang tersirat disebalik balang telus melus itu dan mata-mata yang menjeling. Tunaikan apa yang diperintah supaya mendapat redho Allah Swt., dan jangan sesekali memberi atau pun tidak mahu memberi disebabkan untuk mendapat redho manusia, kerana itu sifat riya’. Malah boleh juga letak dalam sampul dan masukkan atau serahkan terus kepada tuan rumah. Tetap jua ada cara supaya sadaqah itu dapat dialirkan dengan berhemah dan matlamatnya tercapai.
 
Dan kepada yang meletakkan balang telus melus itu, hentikanlah perbuatan itu, justifikasi perbuatannya tidak munasabah dan jelas ada udang sebalik mee. Sesungguhnya sebaik-baik memberi sadaqah itu adalah secara tersembunyi sehingga tangan kiri tidak tahu apa yang dibuat oleh tangan kanan (hadis sahih imam Muslim Rhm, no. 2381). Tidak perlu diulas rasanya maqasid sebenar perbuatan itu, hanya mahu dikatakan : balang telus melus itu 100% bertentangan dengan perintah memberi secara tersembunyi, maka amalan meletakkan balang telus melus sebegitu amat patut dilupuskan.   
 
Kalam-kalam ini saya serukatakan kepada semua tanpa berpilih, moga memberi manfaat dan pencerahan seterusnya menjawab persoalan. insyaAllah.
 
والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
 
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان , والسلام
 
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Soal Jawab ibadah Korban (Siri 7)

0 ulasan
On Wednesday, November 6, 2013 11:33 AM, cennoney mnoor wrote :
 
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 
Syukran la ustaz, baru dapat pencerahan, insyaAllah boleh la faham jugak. Niat baik untuk sedekah tu rasanya tiada masalah, cuma dok kaitkan pulak dengan masa korban dan buat korban, yang tu ada salah faham tu. Paling teruk yang dok ambik untung atas sedekah korban orang, tak bagus betoi la. Apa pun memang betul, ikut ja macam Nabi buat, takkan ada masalah, yang tak ikut macam Nabi tu la yang dok ada masalah.
 
Yang saya nih buat korban, takat buat kat sini saja la yang mampu, tu pun kongsi ramai-ramai.
 
 
On Wednesday, November 6, 2013 2:41 PM, ernest prtdi wrote :
 
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 
Saya setuju, nak buat ikut la macam Nabi suruh, atau bagi ja dalam bentulk sedekah pada waktu bila pun. Banyak sangat orang dok bunyi hal cari untung atas nama agama la nih. Korban dan sedekah luar negara pun dah di kata dek orang.
Ada banyak lagi kat tempat kita orang susah dan kena ditolong. Rasa-rasanya la, selagi ada orang miskin fakir dikeliling kita ni, yang ni kena diutamakan dulu. Lepas tu boleh la nak keluar negara pun.
Masjid kat tempat saya tak buat pun. Bila ditanya depa kata : takdak orang nak kelola. Jadi kami pakat-pakat dan buat di Bayan Lepas. Lepas tok imam sembelih kami sendiri lapah dan edar
 
Wassalam.
 
 
On Thursday, November 7, 2013 9:57 AM, mohdpoziatan wrote :
 
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 
Moga ustaz Mad ok-ok saja. Niat nak sedekah memang la bagus dan mulia. Tapi mesti kena ingat, niyat yang baik mesti diikuti dengan cara buat yang betul, bukannya buat amalan sesuka hati, nanti jadi macam Robin Hood.
 
Saya setuju dengan perenggan akhir, para pengnjur korban luar negara kena bagi tau kos sebenar yang terlibat. Hilanglah segala keraguan orang, boleh elak fitnah jugak. Bukannya baik perangai “segalanya tersembunyi di dalamnya”. Cakap ja dengan jelas.
 
InsyaAllah, tahun depan mai kita sendiri yang buat, kita mula dulu dengan sedekah ke luar negara, kat saudara Muslim kita di Rohingya ka, Kemboja, Vietnam, Siam
 
InsyaAllah berjaya, wAllahua’lam
 
 
On Monday, November 11, 2013 3:27 PM, fajar alam wrote :
 
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 
Qurban pakej tak ada masalah, masalah pada orang yang terima, dan pengurus ramai yang salah guna, satu contoh bantuan ke Falestine sedikit sekali sampai pada orang susah disana, bahkan lebih banyak sampai ke poket Mahmud Abbas berbanding kepada kumpulan Ismail Haniyyeh, puncaknya kerana Mahmud Abbas di i'tiraf Israel, sesudah terang kezaliman itu kita tahu, haram kita bersubahat. Nabi telah lama melakukan perniagaan ke tanah Syam, tidak pernah di dapat riwayat ada qurban pakej di luar negara.
Nota : Rringankan beban ekonomi anda dengan program income pasif paling selamat, moga berjaya, Insya Alloh :www.bijakshopping.com/dunia3
 
wassalam
 

Read more...

Soal Jawab : Lafaz Niat (Bahagian 1)

0 ulasan
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Lama menghilang ustaz, ke mane yer! sekarang dah timbul kembali
Syukron sungguh atas kiriman artikel nih, memang memberi manfaat, menjawab beberapa persoalan yang sememangnya ditanyakan ramai orang. InsyaAllah segala keraguan telah terjawab. Izinkan saya berkongsi dengan beberapa sahabat lain.
Moga Allah Swt. merahmati sentiasa
Wassalam
On Tuesday, October 22, 2013 1:39 PM, hamdan ahmad wrote:

Salam.
   
Sheikh, enta punya email punya la panjang. Ana tak le mahir bab2 hukum hakam ni. Enta terang lagi jelas kan. Pada ana, qasad dalam hati untuk melakukan ibadat tak lain hanya padaNya adalah niat dengan dituruti oleh fizikal sesuai dengan manasik yang ditunjukkan oleh Junjungan Nabi Besar kita. Berkata-kata dengan lafaz itu adalah bertujuan untuk hadir hati bahawa perbuatan itu jelas. Iaitu tertentu. Contohnya solat zohor, bukan berdiri untuk solat asar kan.
     
Jelas sesuatu akan dinamakan ibadat bila mana hati menetapkan perbuatan tertentu yang wajib , sunat atau harus hanya pada Allah. Dibenarkan oleh perbuatan yang ikhlas tidak kerana makhluk. Ketundukan hanya padaNya sebagai hamba yang bersyukur atas kurniaanNya. Serta untuk memakmur dan menyebarluaskan Islam ke seluruh maya pada ini. Barulah sampai amal itu ke akhirat. Jika tidak, jadilah ia sebagai ritual atau adat yang tidak mencapai darjah kehambaan yang diharapkan.
Firman Allah: "TidakKu ciptakan jin dan manusia hanyalah untuk beribadat kepadaKu'. 
Maksudnya ketundukan yang tulus tanya ada kehendak balasannya. Hak Allah untuk mengurniakan, kerana Dia Maha segala-galanya.
On Tuesday, October 22, 2013 3:52 PM, msukri786 wrote:
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Sesungguhnya al haq itu memang dari Allah dan rasul-Nya. Takkan dapat ia ditutupi oleh sekuat mana pun kebathilan, kezaliman dan penipuan terhadapnya. Dan ia terpelihara kukuh selamanya dari segala bentuk penafian, penyamaan, penyerupaan, pertambahan, pengurangan dan apa jua yang datang dari akal-akalan dan hawa nafsu manusia.
Alhamdulillah, artikel penghuraian dari syeh yang serba dhaif ini (mengikut ayat beliau sendiri), kalau pun panjang berjela serta melemaskan untuk dibaca, malah dengan gaya bahasa yang kelihatannya nahu tak berapa betul, tetapi telah menyerlahkan yang mana al haq berbanding kebathilan. Malah ia didasari ilmu dan dalil sahihah, bukan sangkaan, pendapat-pendapat atau pun mimpi-mimpi semata-mata.
Syukron, moga Allah Swt. memberikan lebih kekuatan dan ketabahan, untuk terus bertalaqqi, mentela’ah dan menyampaikan da’wah disebalik segala macam kekangan, kekalutan dan fitnah.
Wassalam
On Tuesday, October 22, 2013 11:36 PM, eddzahir wrote:
Wa'alaikum syeh,
Syukron atas perhatian dan maklumbalas enta. Maaf kerana ana tulis panjang, asalnya dengan niyat supaya semua hal dapat diperjelas sebaiknya dan tidak tergantung-gantung.
Banyak perkara, ana setuju dengan enta, dan sikit peringatan untuk kita bersama.

Dalam Al Mazaahib ul Arba'ah disebutkan bahawa makna niyat (naskhah di rumah, ana tak dapat berikan rinci butirannya) : Qasad untuk melakukan sesuatu dan melakukannya. Ada qasad tetapi tidak melakukannya atau ada qasad dan melakukannya tetapi tidak ikhlas (tidak murni kepada Allah Ta'ala semata-mata) menjadikan niyat itu rosak dan amal tidak diterima.

Ini dinyatakan secara jelas di dalam kitab Syarah Matan Arba’in An Nawawi (hadis no. 1, halaman 65–70), dalam membicarakan bentuk amal yang diterima Allah Ta’ala, beliau Rhm. memetik kalamullah Surah Al Bayyinah (98) : ayat 5 seterusnya menjelaskan :
Syarat diterima amal dan membawa ke syurga adalah ikhlas ya’ni melakukan amal semata-mata kepada Allah Ta’ala dan tidak kerana selainnya walau sedikit pun, juga diikuti pra-syaratnya yang mengabsahkan keikhlasan itu, yaitu :
1. Dimulakan dengan niyat yang benar, ganjaran diberikan Allah Ta’ala berdasarkan niyat. Buruk hasratnya, maka buruklah ganjarannya dan begitulah sebaliknya.
2. Dilakukan amal itu tanpa ada rasa riya’ sedikit pun (ingin menunjuk-nunjuk, berbangga diri dengannya, melakukannya kerana manusia atau tidak melakkannya juga kerana manusia)
3. Dilakukan amal itu dengan sebenar-benar sedar tanggungjawab, menyempurnakan hak dan kewajiban seorang makhluk kepada Khaliknya, bukan kerana dipaksa atau segan atau takut hukuman dan selainnya
4. Dilakukan amal itu dengan ilmu pengetahuan bukan ikutan membuta tuli  
5. Bentuk amal perbuatan itu mesti selaras dengan perintah dan dicontohkan oleh Allah dan rasulNya bukannya amalan berupa bid’ah, khurafat, tahayul atau bercampur baur dengan amalan rekaan manusia atau adat budaya
Inilah tuntunan dan tuntutan Rukun Islam yang 5, yang dengannya menjadikan seseorang manusia itu sah beragama Islam. Yang apabila ditunaikan satu demi satu rukun itu dengan cara yang sebaik-baiknya, dilakukan dengan penuh taat tanpa ada sedikit pun keraguan padanya, dan dilaksanakan pula segala hukum yang bertalian dengan syari’atnya, maka terpeliharalah seseorang itu dari kemurkaan dan siksaan Allah Ta’ala.
 والسلام

On Wednesday, October 23, 2013 10:17 AM, poison_ivy wrote:
Wa'alaikumussalam ustaz,
Trima kasih atas kiriman artikel nih. Memang memberi manfaat. Alhamdulillah, telah pun manjawab hal yang saya sendiri dan orang lain pun dok tertanya=tanya : hukum melafazkan niyat dalam solat waima ibadah lain pun, adakah tak sah jika tidak dilafaz. Takder ape nak komen pun melainkan yang ia dah jelas dan didasari dalil sahih lagi jelas. Apa nak dikata lagi pun. Maka begitulah. InsyaAllah memberi manfaat dan menjadi dasar amalan saya.
Wassalam
On Thursday, October 24, 2013 2:23 PM, poziatan wrote:
Salaam ya akhi, barokallahu ‘alai ka
Begitulah yang benar itu takkan dapat ditutupkan. Lama sangat dah kita dok beramal macam tu, tak pernah tau pun mai hukum dari mana, dok ikut saja. Bila dah datang kebenaran nih, terimalah sja, kalau pun pahit. Bukan saja kat kngkawan, tapai juga kat diri saya sendiri, yang tu paling utama sekali.
InsyaAllah, nanti ana akan buat rujukan lagi, supaya lebih jelas dan mafhum. Nak bagi lebih keyakinan buat amalan sebaiknya.
On Friday, October 25, 2013 2:23 PM, eddzahir wrote:
Wa’alaikum syeh, bagus sangat la tuh. Buatlah semakan lebih lanjut  lagi supaya dapat lebih kepastian dan ketetapan. Sangat digalakkan tuh. Saya nih pun boleh memberi setakat yang termampu saja dan serba kekurangan pun. Itulah sebaiknya. Dapat penjelasan yang bagus2 nanti, kongsi mai kat saya jugak
Wassalam
On Monday, October 28, 2013 11:35 AM, eddzahir wrote:
بسم الله الرحمن الرحيم
Saya mendapat hujjahan yang banyak dan menyeronokkan sebenarnya, kerana ia menyerlahkan fikrah, manhaj dan setakat mana kefahaman tentang syari’at para penulisnya. Antara sifat-sifat hujahan itu :
1.    Bahasa kesat, menghina, mencela dan memaki hamun
2.    Habis segala orang itu ini di dalam dunia disebutkan, yang hidup mahu pun yang dah wafat, dan difahami dan yaqini inilah rupabentuk dalil syara’ yang sahih, soreh dan qot’ie
3.    Tuduhan bahawa saya ini wahabi, kaum muda, pengacau, perosak, sesat dll.
4.    Ada kisah mimpi-mimpi dan ini juga difahami dan yaqini inilah rupabentuk dalil syara’ yang sahih, soreh dan qot’ie
5.    Ibadah yang masyhur dan dibuat oleh majority, maka benarlah. Siapa yang menolak fahaman dan amalan majority adalah sesat, dan dihukumkan yang majority sebagai dalil syara’ yang sahih, soreh dan qot’ie
6.    Penggunaan lafadz palsu berbunyi : jumhur ulama’, ulama’ sepakat, ijma’ ulama’ - tanpa dinyatakan rujukan bila persidangannya, dimana ada, apa resolusinya, siapa anggotanya, apa dokumennya, dan semua ini juga disebut sebagai dalil syara’ yang sahih, soreh dan qot’ie
Saya memang tak mahu jawab pun semua hujjahan aqal, hawa nafsu, penuh hasad  dan kebodohan ini lantaran apalah akan jadi dengan Islam ini pabila aqal, hawa nafsu, pendapat, pandangan, mimpi-mimpi dan amalan majority dah pun dianggap/diyaqini setaraf dan seumpama dalil syara’ yang sahih, soreh dan qot’ie. Sekiranya semua ini dah pun menjadi syara’, meh pakat-pakat kita buang saja Al Qur’an dan Al hadis sahihah ke dalam tong sampah atau pun dijadikan sekadar bahan bacaan sahaja yang tak perlu di tadabbur, difahami, ditaati dan diikuti.
Yang dimaqsudkan syara’ (secara ringkas) : apa-apa yang datang/ditetapkan oleh Allah Swt. dan rasul-Nya, dan itulah yang dikatakan soreh dan qot’ie manakala sekiranya dari hadis pula mesti bersifat sahih atau sekurangnya hasan. Apa mungkin segala ciptaan manusia setaraf dengan syara’! Na’uzubillah. Ini perkara paling asas yang dah dipelajari diperingkat SR.
Saya rangkumkan semua jawaban dengan :
Setiap aspek dalam spiritual dan ritual amalan Solat mesti dan wajib ikut perbuatan Nabi Saw., tidak boleh ditambah mahu pun dikurangi satu aspek pun. Sekiranya ditambahi atau dikurangi, jadilah ia bid’ah dholalah dan tempatnya di neraka.
Malah, nampaknya Nabi Saw. pun sudah menjadi ahli wahabi, kaum muda, pengacau, perosak, sesat dll. malah dengan lebih  ta’asub pula kerana Baginda bersabda :
"Dari Abu Hurairah Rhu. ia menceritakan bahawasanya ada seorang Arab Badui datang kepada Rasulullah Saw. seraya berkata : Wahai Rasulullah, tunjukkanlah aku pada satu amalan yang apabila aku amalkan, aku akan masuk syurga. Baginda menjawab : Kamu menyembah Allah, tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun, kamu mendirikan solat wajib, menunaikan zakat fardhu dan berpuasa Ramadhan. Lalu dia (lelaki) itu berkata : Demi Dzat yang jiwaku ada di tangannya, aku tidak akan menambah sedikit pun dari perkara yang tersebut dan tidak pula menguranginya. Ketika dia telah berlalu, Nabi Saw. telah bersabda (kepada kami) : Barang siapa yang ingin melihat salah seorang daripada penduduk syurga, maka hendaklah ia melihat orang ini".
Sahih riwayat imam Bukhari no. 1397 dan imam Muslim Rhm no. 107
Apa yang disusahkan sangat! menurut hadis ini senang saja nak masuk syurga?
Saya ulangi : Perbuatan melafadzkan niyat sewaqtu berwudhu’, mandi atau Solat itu tidak ada di Al Qur’an, al hadis, perbuatan sahabat Nabi Saw. dan tidak pula diperbuat dan dihukumkan sunnat oleh Imam yang empat, dan tidak juga para sahabat atau imam-imam mukatabar mencatatkan bahawa mereka telah berijtihad mengadakan perbuatan itu. Dan yang dikatakan jumhur, sepakat, ijma’ ulama’ itu tak pernah wujud sama sekali dan semua itu kalam penipu.
Faktanya : Adanya niyat secara berlafadz ini hanyalah pendapat sebahagian daripada ulama yang mengaku bermazhab Syafi’i yang melanggar keputusan Imam Muhammad bin Idris Rhm. sendiri, kemudian menipu pula atas nama imam yang mulia ini dengan menyebarkan khabar palsu berbunyi : disepakati oleh madzhab Syafi’i.
Supaya jelas saya ulangi lagi : Seluruh aspek spiritual dan ritual amalan Solat adalah milik Allah Swt. dan dicontohkan oleh rasul-Nya, bukan selain dari itu waima sesiapa, mazhab, aliran, pendapat, pandangan, aqal-aqalan, mimpi-mimpi dan hawa nafsu, yang tiada hak sama sekali untuk merubah kalau pun sebesar zarah apa yang telah ditetapkan syara’.
والسلام
On Friday,November 1, 2013 10:42 AM, eddzahir wrote:
بسم الله الرحمن الرحيم
1. Lafadz niyat itu lidah nak menolong hati, lantaran itu jadi hukum sunnat.
Saya katakan, alasan itu bukan dari syara’ dan ini ditolak oleh syara’, kerana ;
a.    Alasan aqal-aqalan itu telah menambah satu perbuatan lagi dalam ibadah Solat. Sedangkan menambah satu perkara pun dalam ibadah Solat itu terlarang keras.
b.    Alasan ini tidak betul sama sekali, kerana lidah orang yang waras/sedar tidak akan menyembunyikan sesuatu, kalau tidak hatinya yang lebih dahulu mahu menyembunyikannya. Maka itu, hatilah yang menggerakan lidah, bukan lidah menggerakan hati.
c.    Alasan ini juga tertolak kerana jelas ia terhasil dari aqal-aqalan manusia, yang tak layak sesekali dijadikan hukum setaraf ketetapan syara’ sehingga boleh mensah atau tidak sahkan Solat.
d.    Ini adalah alasan kaum muda atau kaum baru beberapa tahun kebelakang, Sedangkan ketetapan ke atas penolankannya sudah dibuat ribuan tahun dahulu lagi oleh kaum tua seperti imam Asy Syafi’ie Rhm,  imam Nawawi Rhm. dan lain-lain.
2. Lafadz niyat ada dikerjakan oleh Nabi Saw. dalam ibadah Hajji. Oleh itu diqiyaskan perbuatan itu pada Solat dan ibadah lainnya.
Saya katakan, ini adalah alasan ciptaan dan rekaan aqal-aqalan kerana ;
a.    Riwayat Nabi Saw. melafadz niyat haji itu dha’if. Malah kalau sah pun, tidak terguna sebagai qiyas kepada Solat, kerana haji itu ibadah wajib sesudah Solat. Maka tidak pernah ada qaidah membenarkan ambilan qiyas dari hukum ibadah terkemudian buat asas hukum ibadah yang terdahulu
b.    Tidak boleh diqiyaskan satu hukum dengan lainnya di dalam urusan ibadah yang telah tetap seperti Solat. Jika boleh diqiyas-qiyaskan, mengapakah tidak diadakan adzan dan iqamah di salat jenazah, salat hari raya, salat tarawih dan yang lainnya?
3. Lafadzkan niyat itu sungguhpun bid’ah tetapi bid’ah hasanah, kerana perkara itu baik dan Nabi Saw. pun tak pernah melarangnya.
Saya katakan, bahawa ;
a.    Tiap-tiap bid’ah dalam suatu ibadat itu bid’ah dholalah, itulah kalam Nabi Saw. menjelaskan yang tidak ada hasanah. Inilah dasarnya.
b.  Bid’ah yang dibahagi-bahagi itu ialah bid’ah dalam hal keduniaan yang berubah-ubah dari dahulu dan diperlakukan bagi membolehkan ibadah dilakukan (terkandung dalam bab musolih ul mursalah dan beberapa usl fiqh lain), contohnya adanya bangunan, kenderaan, kitab, penulisan mushaf, masjid besar, sistem pendidikan, sidstem ekonomi dan sebagainya supaya memudahkan ibadat.
c.    Hal perubahan ini yang baik dikatakan bid’ah hasanah (sayyiah) dan mana yang tidak baik dikatakan bid’ah dholalah. Bukannya ibadah khususiyah dan tetap itu sendiri yang diubah-ubah. Kalau ibadah itu sendiri yang boleh ditambah dan dipandang baik, mengapakah Solat Subuh tidak ditambah dua rakaat supaya jadi empat? Atau Solat janazah dibuat dengan ruku’ sujud tahiyat sekali? Bukankah itu lebih baik? Bukankah Nabi Saw. tak pernah melarang berbuat begitu?
d.   Sejak bila pula “tiada larangan” menjadi dalil untuk berbuat sesuatu amal? Dari mana sumber datangnya hal ini sebagai dalil hingga layak menambah dalam ibadah?  Mengapakah tidak bacaan semasa ruku’, sujud, tahiyat, tahiyat diganti dengan ayat Al Qur’an saja?. Bukankah Al Qur’an itu sebaik-baik kalam dan perbuatan itu amat baik? Apakah pernah Nabi Saw. berkata “jangan baca ayat Al Qur’an semasa ruku’, sujud, tahiyat?
e.  Apa contoh tauladan Solat dari Nabi Saw. tak cukup lengkap bermaqsud ada kekurangan? Tolong senaraikan beberapa kekurangan sehingga ada manusia kena buat tambahan supaya ia lengkap. Atau kita sekarang lebih hebat lagi sehingga boleh tambah itu ini?
4.    Tak salah kerana niyat berlafadz itu diluar Solat
Saya katakan ; betapa mulianya ibadah Solat hinggakan Nabi Saw. ber- Isra’ dan Mi’raj ke hadapan Allah Swt. sendiri untuk menerimanya. Bukan seperti semua ibadah lain yang diutus menerusi perantaraan malaikat. Kerana itulah ia cukup mulia dan sempurna. Dan antara kesempurnaan itu telah ditunjukkan apa yang dibuat sebelum dan selepasnya. Maka bathil amat fahaman yang mengatakan boleh dibuat lafaz niyat kerana itu diluar Solat (sebelum takbir), seolah-olah Nabi Saw. tidak menerangkan amalan sebelum dan selepas Solat. Sedangkan I’tiqad kita sebagai Muslim adalah wajib mengimani bahawa Rasulullah Saw. telah sempurnakan tugasnya sebagai seorang rasul tanpa lebih atau kurang satu pun dalam ibadah. Mengadakan bid’ah adalah lawan kepada ketatan terhadap sunnah, dan ia merupakan satu tuduhan bahawa Nabi Saw. telah tidak menyampaikan syari’at dengan lengkap.  
Tiada lain, ummat Muslimin wajib melakukan ibadah Solat sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Saw. dan tidak boleh dengan yang selain itu, sama ada menambahi atau mengurangi walau satu perkara pun. Nabi Saw. tidak pernah tertinggal walau satu perkara pun kepada ummatnya. Juga telah jelas, Baginda tidak pernah melafadzkan niyat dengan mulutnya. Maka janganlah kita berbuat apa-apa ibadah yang tidak dicontoh tauladan oleh Baginda.
والسلام


eddzahir@38
Tanah LiatBukit Mertajam
Read more...