Ahad, 31 Ogos 2014

Asas Jihad Menurut Islam ( Siri 1 )

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka fi sabilillah (pada jalan Allah). Mereka itulah orang-orang yang benar.”
Surah Al Hujuraat (49) : ayat 15

 “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 218

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Prakata

Terima kasih kepada Tuan dan Puan yang bertanya berbagai macam hal dalam bab jihad ini. Maaf kerana tidak dicatatkan semua 17 pertanyaan terbabit kerana ia akan memendekkan ruang penulisan. Penulisan ini juga cuba menjawab secara keseluruhan dengan tidak spesifik kepada persoalan individu yang ditanya. Ini disebabkan saya berhasrat untuk memberitahu asas-asas jihad sebenar mengikut syara’ terlebih dahulu, sebelum jawaban khusus mengikut isu diberikan.

Adalah dikhuatiri sekiranya diberi jawaban secara terus khusus ke atas soalan, ia akan membawa lebih kesukaran dan kekeliruan kepada Jama’ah dan para pembaca, lantaran harus kita akui, banyak di kalangan ummat Muslimin kini kurang faham, keliru, tenggelam punca, tidak tahu atau tak ambil tahu lagi tentang hal jihad. Mungkin saja pernyataan ini bakal dihujjah balas, namun baik sekali diakui itulah haqiqat keadaannya.

Selalunya, apabila tiba saat ketika tersedar diri dan sudah ada rasa untuk ambil tahu, secara semberono pula mereka akan percaya melulu kepada cakap orang itu ini, terpengaruh dengan sekumpulan orang atau fahaman satu gerombolan, mempercayai takrifan begitu-begini seterusnya akan rela mengikut melulu apa saja aliran fahaman yang dirasakan ia betul dan seronok diikuti. Disebabkan itulah kekalutan fahaman dan kepeningan dalam perlaksanaan jihad berlaku.

Tidak kurang juga, sebahagian yang mahu ambil tahu, haqiqatnya hanya terpusing-pusing dalam kerangka teoritikal. Ada juga yang terbelenggu dalam ruang litup kalamiyah yang reality amalannya entah dimana. Tidak kurang juga yang memahami jihad semudah perbuatan dan semudah apa jua yang mahu dikata. Maka berpegang teguhlah mereka terhadap apa yang mereka faham dan itulah juga yang didakwa dakwi dan dipertontonkan kepada orang banyak. Intipati fahaman mereka adalah, mereka sahaja yang betul dan selain dari itu salah belaka. Begitulah yang mereka faham sebagaimana yang diberitahukan kepada mereka.

Ada juga sebahagian tenaga pengajar dan orang terkenal dikelek orang kesana sini apabila diminta membicarakan perihal jihad, maka berpusing-pusinglah lidahnya. Dan selalunya cepat-cepat disimpulkan kepada “jihad yang paling besar adalah melawan hawa nafsu” dan terus disambung kepada persoalan lain. Tiada lain hasratnya supaya persoalan itu ditutup dan tidak diperbahaskan lagi.

Maka khalayak yang tidak faham akan terus tidak faham, terus pening seraya tertanya-tanya. Dan kekaburan sebegitulah yang dianuti seumur hidup kemudian yang kabur itu pula diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Kadangkala ada rasa pelik, kenapalah jihad ini seolah-olah sesuatu yang taboo, kena ditutup sembunyikan kalau pun sehingga para ummat menjadi jahil terhadapnya, yang amat-amat ditakuti seolah-olah akan meletopnya bom nuklear sekiranya disebutkan.

Penulisan ini secara langsung mahu pun tidak langsung telah menjawab sebahagian besar dari persoalan itu. Sesungguhnya untuk menghasilkan penulisan ini memerlukan banyak masa dan rujukan. Kadangkala, data demi data yang diperolehi itu membuatkan saya menjadi pening untuk membuat ketetapan serta pendirian terhadapnya lantaran hujjah-hujjahnya mempunyai kemunasabahan, tsabit dan dan credible. Namun insyaAllah, bersandarkan serba sedikit ilmu yang ada ini, terhasillah nukilan ini yang asasnya merupakan suatu kesimpulan dari suatu proses kajian dan penelitian.

Mudah-mudahan, nukilan serba kekurangan dari saya, seorang faqir lagi amat dho’if ini akan dapat memberikan sedikit penjelasan tentang jihad seqadar yang termampu, atas niyat bagi membantu para Jama’ah dan pembaca memahami jihad dalam konteks yang sebenar berpandukan Al Qur’an dan As Sunnah sahihah, juga berpandukan keterangan dari para ulama’ muktabar. Dan pasti sekali, mendapatkan penjelasan dan huraian lengkap dari ulama’ dan ilmuwan lain adalah lebih baik dan sangat-sangat digalakkan.

Nota : Artikel ini agak panjang dan meliputi beberapa bab. Aturan bab tidak tersusun kerana saya menghadkan setiap posting kepada beberapa muka surat tertentu sahaja. Langkah ini dibuat supaya setiap bab ditamatkan dalam satu posting sahaja dan setiap posting selanjutnya bermula dengan bab baharu. Saya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku disebabkan oleh situasi ini.

Muqaddimah

Jihad merupakan salah satu ajaran dan tuntutan ibadah dalam Islam yang sangat penting dan utama. Jihad merupakan bahagian yang tak terpisahkan dari iman. Kuat atau lemahnya iman seseorang itu, salah satunya diukur dari keberaniannya, kesanggupannya dan kesabarannya berjihad di jalan Allah Ta’ala. Iman yang kuat akan senantiasa menggelorakan semangat seorang Mukmin untuk berjihad. Sebaliknya, iman yang lemah membuat seorang Mukmin takut berjihad kerana kesulitan dan tentangan yang sangat berat yang bakal dihadapinya. Bagi Mukmin yang beriman dan berjihad, dijanjikan oleh Allah Ta’ala pahala syurga, kehidupan yang mulia dan kedudukan yang terhormat di sisi-Nya.

Kehadiran Islam dikhususkan untuk mengembalikan dan membetulkan keadaan yang telah dirosaki oleh tangan-tangan jahiliyah dan langkah-langkah syaithan, membebaskan manusia daripada “úbudiyyah” (penyembahan) palsu terhadap sesama manusia kepada ketulusan “ubudiyyah” terhadap Allah Ta’ala Yang Maha Kuasa semata, mencabut dan menumbangkan sistem hidup jahiliyah dan syaithan, lalu menegakkan sistem dan hukum Allah Ta’ala di seluruh alam. Begitulah hasrat mulia Islam yang wajib didokong oleh setiap ummat Muslimin.

Adalah Rasulullah Saw. ketika menyeru dan menda’wahkan Islam kepada manusia, Baginda melalui beberapa frasa dan peringkat penyampaian. Bermula dengan frasa dengan da’wah bil haq yang meliputi dalam diri, kemudian kepada keluarga, kemudian kepada rakan taulan terhampir, kemudian masyarakat setempat seterusnya secara terang terangan kepada seluruh masyarakat umum. Jihad da’wah Baginda bermula secara berterusan dari zaman Makkah lagi sehinggalah pasca hijrah ke Madinah dan terbentuknya Negara Islam Madinah, dimana da’wah itu berterusan lagi dengan memasuki frasa baharu yaitu menerusi al jihad fi sabilillah.

Dengan da’wah, Baginda menerangkan kebenaran Islam, dan dengan jihad, Baginda menundukkan para penentang-penentang dan musuh-musuh seruan da’wah tersebut. Begitulah Islam tersebar ke seluruh pelosok bumi dan seantero dunia mengikut qaidah asal yang menjadi sunnah Baginda. Setelah kewafatan Baginda, qaidah asal itu dikekalkan oleh para Sahabat Rodhiyallahu’anhuma yang mulia seterusnya diikuti oleh tabi’ien dan tabi’ut tabi’ien dan akan terus dikekalkan sebagaimana pada peringkat awalnya, sehingga Islam menjadi asas tunjang terhadap segala sesuatu dengan al jihad adalah puncaknya. Demikian dinyatakan dalam hadis beikut :

“dari Mu’adz bin Jabbal Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : …….. Sukakah engkau khabarkan yang menjadi ketua (kepala) segala urusan (pekerjaan), tiang-tiangnya (penguat-penguatnya) dan puncak ketinggiannya?” Aku (Mu’adz bin Jabbal) berkata : Baiklah ya Rasulullah. Lalu sabdanya : Kepala segala urusan ialah Islam, tiang-tiang penguatnya ialah solat dan puncak ketinggiannya ialah al-Jihad …………..”.
Hadis riwayat imam Tarmidzie Rhm. dan beliau mengatakan ia hasan sahih

Maqsud hadis di atas, Rasulullah Saw. memberitahukan bahawa segala urusan hidup di alam ini, seperti urusan peribadi, rumah-tangga, kemasyarakatan, pentadbiran, pendidikan, ekonomi hingga kepada urusan politik pemerintahan, mesti berada di bawah naungan Islam dan syari’at-Nya. Apabila segala urusan itu berada di bawah naungan Islam dan memenuhi syari’at-Nya, pasti selamat sejahtera dan bahagia. Sebaliknya jika urusan-urusan itu terlepas dari Islam dan menolak syari’at-Nya, maka lambat-laun urusan itu pasti hancur dan binasa. Selanjutnya hadis diatas menerangkan “Puncak ketinggian Islam adalah Jihad”. Kalau Islam itu diumpamakan sebuah gunung, maka permukaan puncak yang tertinggi di gunung itulah jihad. 

Jihad adalah salah satu amal kebaikan yang Allah Ta’ala syari’atkan dan menjadi sebab penguat dan kemuliaan ummat Islam. Sebaliknya (mendapatkan kehinaan) bila mereka meninggalkan jihad di jalan Allah, sebagaimana dijelaskan dalam hadis yang sahih :

“Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah Saw. bersabda : Apabila kalian telah berjual beli ‘inah, mengambil ekor sapi dan redho dengan pertanian serta meninggalkan jihad, maka Allah akan menimpakan kalian kerendahan (kehinaan). Allah tidak mencabutnya dari kalian sampai kalian kembali kepada agama kalian.”
Hadis riwayat imam Abu Dawud Rhm.

Dan semua ini diperjelaskan lagi oleh Rasulullah Saw. bahawa jihad adalah amalan utama yang dituntut ke atas para ummatnya :

“Dari Abdullah bin Mas’ud Rhu. dia bertanya : Wahai Rasulullah, amal apakah yang paling utama di sisi Allah 'Azza wa Jalla?” Baginda menjawab : Solat tepat pada waktunya. Aku bertanya : Lalu apa?” Baginda menjawab : Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya : Lalu apa?” Baginda menjawab : Berjihad di jalan Allah.” Dia berkata : Rasulullah Saw. menyampaikan semua itu kepadaku, dan kalau aku bertanya lagi pasti beliau menambahinya untukku.”
Hadis sahih Muttafaqun Alaihi

Oleh kerana itu, sudah menjadi kewajiban bagi setiap Muslimin untuk belajar dan faham mengenai konsep dan dasar Islam tentang jihad secara benar dan bertanya kepada para ulama pewaris nabi tentang hal-hal yang belum ia ketahui. Apalagi dalam permasalahan yang sangat penting dan utama ini, di saat banyak qaum Muslimin yang tidak lagi mengenal syari’atnya dengan benar. Lantaran boleh saja terjadi, jihad yang dianggapnya jihad syar’ie itu sebenarnya tiada lain hanyalah jihad bid’ah, kesesatan, sia-sia, perbuatan dosa atau hanya mengikut langkah-langkah syaithan dan jahiliyah.

Imbas Semula Isu Berkaitan Jihad

Sejarah gemilang perjuangan ummat Muslimin terdahulu dalam membina dan membangun masyarakat Muslim terkait erat dengan cara jihad tuntunan Rasulullah Saw. dan para Sahabatnya. Baginda Saw. berserta para Sahabatnya menjadikan jihad sebagai salah satu tonggak ibadah menegakkan syari’at Islam. Para pejuang Muslim zaman berzaman mengobarkan semangat jihad melawan penjajahan yang bertentangan dengan tauhid, tidak sesuai dangan peri kemanusiaan dan keadilan Islam. Dengan semangat jihad jua, Islam berkembang dan telah menjadi tonggak kemakmuran dan kejayaan tamaddun dunia dari dahulu, hingga sekarang malah selamanya.

Dengan semangat ibadah jihad, para ulama’ dan pejuang Islam tidak pernah berhenti melawan apa-apa jua bentuk agama, dogma, kepercayaan, anutan, ideology dan sistem yang menjurus ummat Muslimin kepada penyekutuan terhadap Yang Khaliq, keruntuhan kepada syari’at Islam dan penjajahan sama ada secara fizikal atau pun mental dalam berbagai segi, yang menimbulkan penderitaan, kebodohan, penindasan, kedzaliman dan ketidakadilan terhadap manusiawi.

Demikianlah semangat murni jihad yang ditanam ribuan tahun secara jitu dalam setiap jiwa sanubari ummat Muslimin. Sayangnya, jihad sebagai ajaran ibadah Islam yang suci ini telah mengalami suatu waqtu pergeseran makna, kekeliruan penafsiran dan salahfaham pengamalannya. Malah ada juga yang amat parah sehingga mengkucar-kacirkan saf ummat Muslimin sendiri sehingga berpecah dan berbalah sesama sendiri.

Antara beberapa isu terkait dengan dengan jihad pada darsawarsa (dekad) ini adalah :

1.    Beberapa kelompok Muslim menyalahgunakan ibadah jihad sebagai dalih untuk melawan tindakan kekerasan, terorisme dan pembuatan jahat. Paling menjengkelkan adalah cara mereka bertindak adalah sama seperti musuh mereka itu juga. Dalam beberapa darsawarsa terakhir jihad secara sangat ekstensif dipergunakan oleh kelompok-kelompok Muslim tertentu untuk menghalalkan perbuatan bom bunuh diri. Kalau pun berbagai alasan boleh direkacipta untuk menjustifikasikannya, namun mesti diingat bahawa pembunuhan jiwa adalah hal amat besar dalam syari’at Islam, yang demikian itu sebab musababnya mesti diteliti.

2.    Atas nama jihad juga sekumpulan Muslimin menghalalkan perbuatan pembunuhan anak-anak kecil, wanita dan orang-orang tua. Sedangkan amat jelas mereka adalah orang awwam yang tidak terkait dalam peperangan. Malah amat jelas Islam melarang penindasan terhadap golongan awwam ini. Seringkali juga hal sebegini dinafikan atas alasan tidak senghaja, namun galuran peristiwa menunjukkan penfian itu adalah dangkal semata-mta. Kalau pun hal ini dianggap remeh, jelas sekali ini menjadi ciri yang membezakan antara perilaku orang kafir dengan ummat Muslimin.

3.    Ada juga kumpulan-kumpulan dalam kalangan Muslimin yang meletakkan fahaman dan perjuangan jihad dalam kerangka aqal-aqalan dan hawa nafsu. Asalnya mereka ini adalah Muslimin yang ada kesedaran terhadap Islam dan mahu memperjuangkan nasib ummat Muslimin yang tertindas, didzalimi dan diperangi di mana-mana. Maka mereka membentuk kumpulan kecil tersendiri yang akhirnya mereka pula menjadi penentang arus dimana sahaja malah di tempat yang aman damai dan sejahtera pun mereka mencipta kekecohan dan mahu berperang. Malah ada juga yang menyerang pihak kafirin yang tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku di tempat lain atas alasan qisas dan dendam.

4.    Terdapat sekumpulan Muslimin yang gemar bercakaran sesama sendiri, saling berantakan dan kadangkala berbunuhan, menghalalkan darah seorang Muslimin lain. Kadangkala hanya disebabkan sedikit salah faham yang langsung tidak signifikan pun untuk digaduhkan. Selalu juga terjadi hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik sepertimana yang banyak terjadi di negara-negara ummat Islam, sedangkan sistem amalan politik itu sendiri pun memang sah bukan dari Islam. Secara mikro perbalahan boleh terjadi disebabkan oleh beza mazhab, beza qaum, beza daerah, beza kabilah dan beza fikrah. Secara makro perbalahan terjadi antara negara. Semua kebobrokan dan kejengkelan ini disandarkan kepada jihad juga.

5.    Disebabkan perubahan masa dan keadaan, cara pemahaman ummat Muslimin terhadap asas jihad menurut syara’ juga berbeza-beza, saling bersilang dan culang-caling. Amat pelik, apabila sekumpulan Muslimin yang sedang berperang bermati-matian bermandi darah mempertahankan hak (misalnya di Falestin), ada pula sebahagian lain yang sedang hidup mewah berperut kenyang, lebih sibuk mencari segala macam asbab untuk menghukum perbuatan itu sebagai sia-sia (maqsudnya bukan jihad), Dan mereka merasakan pula bahawa perangai bercakap kuat dan berdegar-degar seumpama mereka itu walhal tidak membantu apa-apa pun, sebagai jihad yang betul.

6.    Sekumpulan lagi, apabila terlibat dengan sedikit perjuangan dalam apa jua bentuk, berdegar-degar menda’wa bahawa mereka telah jihad fi sabilillah. Malah lebih teruk lagi, sekiranya ada sekumpulan lain yang turut berjuang dalam bentuk yang lain pula, masih tetap dianggap tidak betul. Setiap kumpulan juga ditanam fikrah sebegitu. Dalam kata lain, setiap kumpulan saling mendakwa dan menuduh, dia sahajalah yang jihad fi sabilillah dan segala yang bukan seperti mereka, tidak betul belaka. Pemikiran cult/ta’asub kumpulan sebegini begitu mendalam sehingga mereka merasakan setiap orang diluar kumpulan mereka tidak cukup beriman belaka.

7.    Terdapat juga kumpulan yang secara gaya, pakaian, penampilan dan penguasaan ilmunya kelihatan amat hebat dan menjadi ikutan dalam kalangan ummat Muslimin yang menonjolkan jihad. Haqiqatnya mereka adalah pengekor dan pendokong agenda yahudi nasrani secara langsung atau tidak langsung supaya ummat Muslimin meninggalkan jihad yang sebenarnya. Mereka mencucuk-cucuk ke dalam otak ummat Muslimin supaya mengenal dan mengamalkan Islam secara ritual-ritual semata, majlis-majlis, pemahaman sekadar permukaan sahaja dan sumber asas ya’ni Al Qur’an dan As Sunnah sahihah tidak pun dikembangkan. Yang disebarkan adalah cerita karut, palsu dan kisah-kisah dongeng tentang jihad agar yang benar itu tersembunyi, supaya ummat Muslimin khayal dan bergelumang dalam ilmu serta fahaman sangka-sangkaan. Hasrat utama mereka ini adalah supaya ummat Muslimin tidak cerdik dan terusan menjadi pak turut melulu kepada mereka atau mengikut cara yang mereka mahu. Antara sebab mereka bertindak adalah supaya kekuasaan mereka tidak tergugat. Paling malang sekali segolongan sebegini yang banyak berkuasa di negara-negara ummat Islam.

8.    Paling banyak sekali adalah golongan yang tidak ambil pusing, tidak ambil tahu dan pengikut arus semata dalam hal jihad ini. Sebahagian darinya mengikut arus dan isu, ada terjadi sesuatu hal utama maka berbondong-bondonglah mereka kepadanya tanpa soal lagi. Malangnya mereka ini sering pula terikut kepala yang dangkal dan serong. Sebahagian lagi memang tidak langsung ambil pusing kecuali terjadi sesuatu yang terkena kepada batang hidung sendiri. Setelah terkena, terlompat-lompatlah mereka tak tentu hala.

Semua di atas menjelaskan betapa kecelaruan fahaman tentang Islam, tentang ilmu yang benar mengenai jihad dan kaifiyat perlaksanaannya yang sedang berlaku dalam kalangan ummat Muslimin sendiri. Inilah isu yang paling besar yang menjadi punca kepada semua kecelaruan. Dan kerananya ummat Muslimin saling berbantah, bergaduh dan bercakaran sama sendiri. Disebabkan tidak faham asas juga, maka banyak perlakuan dan tindakan yang dirasakan jihad yang benar itu haqiqatnya jihad yang bathil, merapu, mengarut dan hanya menambah kerosakan ke atas sesuatu yang memang telah sedia kelam kabut.

Pemahaman asas jihad yang keliru dan perlaksanaan jihad mengikut sesedap rasa ini sudah terbukti amat menodai kesucian jihad dan mencoreng hitam wajah Islam yang suci, mulia, damai dan sejahtera. Bahkan kesukaran itu bertambah-tambah dek kerana ummat Islam sendiri yang saling bercakaran, tidak tetap hala tuju, saling berburuk sangka, saling membenci malah paling dahsyat saling bergaduh sehingga berbunuhan sesama sendiri. Ini semua adalah fitnah amat besar, rasukan ejen-ejen dajjal dan langkah-langkah syaithan yang sedang berleluasa dalam jiwa-jiwa ummat Muslimin. Ia seumpama kuman barah yang sedang merebak tanpa dapat diubati, merosakkan sedikit demi sedikit tubuh badan seterusnya membunuh jiwa-jiwa.

Sehubungan dengan aksi-aksi mengatasnamakan jihad yang keliru tersebut, kesan yang ditanggung oleh Islam, institusi-institusinya dan ummat Muslimin keseluruhannya amat mendukacitakan. Para musuh mengambil kesempatan ini untuk memburukkan Islam sendiri sebagai agama wahyu sedangkan yang pening itu adalah para penganut yang keliru. Disebabkan itu, banyak Individu atau institusi Islam sewenang-wenangnya disorot tajam, bahkan dituduh sebagai teroris, ekstrimis, sesat dan segala macam hinaan dan nistaan yang tidak selayaknya. Paling menjengkelkan lagi, tuduhan liar sebegini tanpa usul periksa atau kerana hasad atau kerana hasutan musuh yang bersekongkol, terkeluar dari lidah rakan Muslimin sendiri. Sesuatu yang sungguh merugikan citra Islam.

Maka itu, marilah kita mengambil peringatan dari Allah Swt. dan rasul-Nya :

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk”.
Surah Ali Imran (3) : ayat : 103

“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Sesungguhnya Allah meredhai kamu dalam tiga perkara dan membenci kamu dalam  tiga perkara : Dia meredhai kamu apabila kamu beribadah (semata-mata) kepada-Nya dan tidak menyekutukan sesuatu kepada-Nya, dan apabila kamu berpegang teguh kepada tali Allah semua dan kamu tidak berpecah-belah. Dan Allah membenci kamu bila kamu suka berkata tanpa asas dan banyak bertanya (yang tidak berfaedah) dan mensia-siakan harta”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 3236

Bersambung….. Semoga nukilan ini telah membantu dan memberikan pedoman seqadar yang termampu kepada para penanya. InsyaAllah.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Selasa, 15 Julai 2014

Soal Jawab : Puasa ( siri 9 )

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh ia menang dengan kemenangan yang besar.”
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 70-71

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Muqaddimah

Saya menerima banyak soalan dari para Jama’ah dan pembaca yang bertanyakan perihal keadaan puasa dalam suasana perubatan. Sebenarnya amat sukar saya menjawab lantaran saya bukanlah pakar/ahli dalam bidang usul fiqh dan perubatan. Maka itu, apa yang saya nukilkan ini hanyalah seqadar penemuan juga kesimpulan dari sedikit kajian untuk membantu sebagai pedoman kepada para penanya. Lebih baik sekali didapatkan jawaban tepat dari para ilmuwan/ulama’/pakar yang mengkhusus dalam bidang ini sendiri berbanding dengan saya yang serba dhaif ini, insyaAllah.

Prinsip Asas

Hukum-hukum di dalam syari’at Islam ada banyak bahagian-bahagiannya jika diperincikan. Satu daripadanya ialah hukum berbentuk ‘adzimah ya’ni  hukum pokok atau pun asal yang telah disyari'atkan oleh Allah Swt. dan rasul-Nya, umpamanya tentang kefardhuan puasa Ramadhan ke atas setiap Muslimin mukallaf dan perkara-perkara yang merosakkannya.

Selain itu, ada hukum rukhsah ya’ni keringanan/kelonggaran yang disyari'atkan oleh Allah Swt. dan rasul-Nya dalam keadaan-keadaan tertentu (yaitu ketika dharurat/terpaksa) seperti harus berbuka puasa pada siang Ramadhan ketika sakit dan musafir.

Kita wajib beramal dan menjalankan hukum-hukum ‘adzimah (tanpa soal melainkan tundukpatuh sahaja) melainkan jika wujud suasana atau pun keadaan yang mengharuskan hukum-hukum rukhsah pula digunapakai.

Namun, sebelum hukum-hukum rukhsah diambil perlulah dipastikan terlebih dahulu bahawa seseorang itu benar-benar sedang menghadapi sesuatu keadaan yang disebabkan itu membolehkan hukum rukhsah itu digunapakai. Misalnya :

“(Puasa yang diwajibkan itu) adalah beberapa hari yang tertentu (bulan Ramadhan), maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka), kemudian wajib ia berpuasa sebanyak (hari berbuka) itu pada hari-hari yang lain (sebagai qadha), …………”.
Surah Al Baqarah (2) : sebahagian ayat 184 

Oleh itu, perlulah difahami dan ditetapkan terlebih dahulu keadaan-keadaan yang disebabkannya hukuman rukhsah itu boleh digunapakai. Dan ketetapan itu tidak sekali-kali boleh diperbuat sesuka hati dan mengikut perasaan. Salah satu sebab yang paling umum dalam membolehkan rukhsah ini adalah keadaan dharurat/terpaksa.

Makna Keadaan Dharurat/Terpaksa

Ta’rif dharurat/terpaksa menurut isthilah (syara’) amat luas dan diberikan oleh banyak ulama’/fuqaha’. Namun yang saya naqalkan disini sikit sahaja seperti berikut :

Syeikh Prof. Wahbah Az-Zuhaily Hfzh.  dalam Kitab Nadzariyyah Al-Dharurah Al-Syar’iyah (halaman 65) mendefinisikan : dharurat adalah datangnya bahaya (khathr) pada manusia atau kesulitan (masyaqqah) yang amat berat, yang membuat dia khawatir akan terjadinya mudharat atau sesuatu yang menyakitkan atas jiwa, anggota tubuh, kehormatan, aqal, harta, dan segala yang bertalian dengannya. Dan diharuskan ketika itu mengambil benda-benda yang haram atau pun meninggalkan yang wajib atau pun menangguhkannya dari waqtunya semata-mata untuk menolak kemudharatan-kemudharatan daripada menimpa di bawah naungan syari'at."

Syaikh Muhammad Taqiyuddin bin Ibrahim An-Nabhani Rhm. dalam Kitab Asy-Syahsiyah Al-Islamiyah (Jilid III halaman 477) menyatakan : dharurat adalah keterpaksaan yang sangat mendesak yang dikhawatirkan akan dapat menimbulkan kebinasaan/ kematian (al-idhthirar al-mulji` alladzi yukhsya minhu al-halak). Inilah definisi dharurat yang sahih, yaitu kondisi terpaksa yang membolehkan yang haram, sebagaimana termaktub dalam qaidah yang masyhur: Al-Dharurat Tubiih Al-Mahdzuurat (Kondisi dharurat membolehkan yang diharamkan).

Hal keadaan dharurat itu adalah sama maqsud/makna dengan keadaan terpaksa. Ini bersumber dinyatakan oleh Allah Swt. :

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai (mati yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan (daging haiwan) yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa yang terpaksa (mamakannya kerana dharurat) sedang ia tidak menginginnya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu) maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 173

Ayat yang sama makna juga disebutkan dalam Surah Al-Maaidah (5) : ayat 3; Surah Al-An‘aam (6) : ayat 119; Surah Al-An‘am (6) : ayat 145 dan Surah An-Nahl (16) : ayat 115 

Sekiranya hukum-hukum rukhsah ini tidak wujud di dalam Islam dan penekanan hanyalah kepada hukum ‘adzimah (hukum asal/pokok) sahaja, pasti umat manusia akan hancur binasa ketika berlakunya kecemasan (dharurat). Tetapi syari'at Islam tidak seperti itu. Di waktu dharurat (kecemasan) syari'at memberi kelonggaran-kelonggaran tertentu, itu pun mengikut kadar-kadar yang tertentu juga. Daripada prinsip ini, lahirlah 2 qaidah syari'yah yang penting untuk kegunaan umat di dalam kehidupan mereka.

Qaidah-Qaidah Syari’yah Dalam Hal Dharurat

Kaedah pertama ialah:



"Kecemasan (dharurat) mengharuskan yang haram." Akan tetapi pengambilan benda-benda yang haram dimasa dharurat dibatasi dengan kaedah yang kedua, yaitu :-



"Dharurat diambil sekadar keperluan sahaja." Menggunakan benda yang haram melebihi kadar keperluan dimasa dharurat adalah berdosa. Begitulah juga di dalam perubatan Islam, pada ketika-ketika dharurat dan kecemasan boleh digunakan benda-benda dan cara-cara yang haram sekadar keperluan.

Qaidah ini terhasil berlandaskan peristiwa yang telah berlaku di zaman Nabi Saw. :-

“Dari Anas bin Malik Rhu. ia berkata : Rasulullah telah memberi kelonggaran kepada Abdul Rahman ibn Auf dan Zubair ibn Awwam memakai sutera, kerana penyakit gatal yang menimpa mereka."
Hadis sahih riwayat imam Bukhari dan imam Muslim Rhm.

Pengertiannya : Walaupun sutera pada dasamya haram dipakai oleh Muslimin lelaki, tetapi jika tidak ada cara-cara yang halal yang dapat mengubati sesuatu penyakit, ianya harus digunakan. Ini menunjukkan keharusan berubat dengan cara yang haram di peringkat kecemasan selepas hilang ikhtiar-ikhtiar lain. Peristiwa sebegini juga direkodkan dalam lagi satu hadis lain,

"Dari Anas bin Malik Rhu. dia menceritakan : Beberapa orang dari Ukai atau dari Urainah telah datang ke Madinah. Oleh kerana tidak begitu sesuai dengan cuaca di situ mereka telah diserangi penyakit. Ar-Rasul lantas menghantar mereka ke tempat unta-unta sedeqah (unta perempuan yang sedang menyusu) disimpan seraya bersabda : Minumlah dari susunya dan dari air kencingnya. Mereka pergi dan melakukan apa yang dianjurkan sehiggalah mereka sihat….”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari dan imam Muslim Rhm.

Para ulama’ dan fuqaha bersilang pendapat tentang penetapan sama ada najis atau tidak air kencing binatang yang halal dimakan. Yang jelas dari hadis sahih ini adalah : air kencing unta telah digunakan untuk tujuan perubatan. Tiada pula hadis lain-lain yang menunjukkan bahawa air kencing unta menjadi minuman kebiasaan harian. Ini membuktikan apabila itu sahajalah cara untuk perubatan, maka bolehlah ia digunakan sehingga sihat dan tidaklah pula perbuatan itu menjadi kebiasaan.

Namun mestilah diingat, bahawa tidak boleh kita dengan senang lenang menggunakan benda atau pun cara yang haram bertopengkan dharurat (terpaksa/kecemasan) sebelum berikhtiar mencari yang halal dengan bersungguh-sungguh,

Kesimpulan  Menggunapakai Keadaan Dharurat/Terpaksa

1.    Tidak boleh berubat dengan bahan-bahan yang telah diharamkan pada setiap keadaan. Adalah wajib berikhtiar untuk mendapatkan ubat yang halal terlebh dahulu ketika berubat.

2.    Keharusan untuk berubat dengan benda yang haram hanyalah pada ketika keadaan dharurat telah berlaku yaitu ketika diyakini sipesakit akan binasa atau pun akan binasa salah satu daripada anggota-anggotanya, jika tidak diubati dengan menggunakan benda-benda haram kerana sudah tidak ada ubat-ubat lain.

3.    Keharusan ini hanyalah setakat kadar yang diperlukan untuk menyembuh penyakit sahaja.

4.    Ketentuan tentang keadaan dharurat untuk menggunakan benda-benda yang haram mestilah ditentukan oleh seorang doktor Muslimin yang adil, serta mahir di dalam bidang perubatan.

5.    Kesemua ini memerlukan satu lagi syarat, yang disebutkan itu hanyalah penyelesaian bersifat sementara yang mana ummat Islam mestilah berusaha untuk mewujudkan ubat alternatif yang halal dengan berusaha bersungguh-sungguh.

6.    Harus juga berubat dengan yang haram jika diyakini ini akan mencepatkan kesembuhan sesuatu penyakit.

Hukum Berpuasa Semasa Dalam Rawatan Perubatan

Inilah maudhu’ sebenar persoalan yang mahu dijawab dan dihuraikan. Namun begitu, hal prinsip asas dan hal ehwal keadaan dharurat itu diperjelaskan terlebih awal lantaran ia terkandung prinsip bahawa jawaban seterusnya adalah merujuk kepada ummat Muslimin yang memerlukan rawatan perubatan dalam keadaan berpuasa dan dia tidak boleh mengelak darinya. Dalam kata lain, mereka ini tergolong dalam keadaan dharurat/terpaksa untuk meneruskan rawatan perubatan dalam keadaan berpuasa..

Oleh itu, mana-mana Muslimin yang tidak terlibat dalam keadaan seperti itu, tidaklah perlu gusar pula tentang puasa mereka. Juga, tidak boleh pula mereka yang tidak sakit ini dengan senghaja (menyakitkan diri atau dharurat dibuat-buat) atau menggunakan ubatan atau alat perubatan atas sebab adanya fatwa-fatwa yang tidak membatalkan puasa itu. Sungguh diperingatkan, perbuatan senghaja memperbuat untuk mempermainkan hukum yang sedia jelas adalah perbuatan amat jahat dan berdosa.

Ramai Muslimin yang keliru lalu bertanya berkenaan sama ada sah atau batal puasa mereka apabila menggunakan perubatan atau mendapatkan rawatan perubatan terutama bagi kes yang melibatkan ubatan atau peralatan yang memasuki tubuh badan. Sukar sungguh untuk saya menjawabnya lantaran ini bukan bidang pengkhususan saya, tapi ada saya temui fatwa-fatwa berikut.

Disebutkan ia sebagai fatwa kerana ini merupakan ketetapan/ijma’/kesepakatan para ulama’ dalam pelbagai bidang yang dibuat bagi menangani permasalahan yang berlaku sekarang sedangkan hukumnya yang soreh, sahih dan qot’ie dari syara’ terdahulu tiada.

Dalam persidangan Kali Ke 9 Seminar Fiqh Perubatan bertajuk “An Islamic View of Certain Contemporary Medical Issues”, yang berlangsung di Casablanca, Morocco, pada 8-11 Safar 1418 bersamaan  14-17 June 1997, anjuran bersama  The Hassan II Institute for Scientific and Medical Research on Ramadhan, The ISESCO, The Islamic Fiqh Academy, dan The World Health Organisation Regional Office.

Seminar secara sebulat suara memutuskan : berdasarkan ketetapan Al  Qur’an ul Kareem dan As Sunnah Nabi Saw. yang sahih, 3 perkara yang membatalkan puasa yaitu makan, minum dan hubungan kelamin. Oleh sebab itu, penggunaan apa jua pepejal atau cairan yang diklasifikasikan sebagai makanan atau minuman dalam apa jua quantity menerusi saluran pemakanan dan minuman adalah membatalkan puasa.

Setelah dibincangkan dan didebatkan, seminar bersetuju melakukan perkara-perkara berikut tidak membatalkan puasa:.

1.      Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga

2.      Ubat tablet Bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung)

3.      Memasukkan ubat melalui faraj, memasukan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin)

4.      Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray

5.      Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut

6.      Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, kecuali memberi makanan melalui pembuluh darah

7.      Penderma atau menerima pemindahan darah

8.      Oksigen dan Gas Bius

9.      Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat

10.   Mengambil sampel darah untuk ujian makmal

11.   Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain

12.   Teropong dalam rongga perut (endiskopi) untuk mencari punca penyakit

13.   Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk ke dalam perut

14.   Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat ke dalamnya. (ie. UICD)

15.   Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain

Majority peserta menambah perkara berikut juga tidak membatalkan puasa :

16.   Ubat titis hidung, semburan hidung dan ubat sedut (inhaler)

17.   Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur

18.   Pembedahan yang melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan untuk berpuasa

19.   Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut

20.   Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya ke dalam perut.

Persoalan yang paling banyak diterima adalah berkenaan penggunaan inhaler (ubat sedut/penyembur) oleh pesakit lelah (asma). Saya temui sangat banyak ijtihad/fatwa ke atas hal ini. Saling bersilang pun banyak sekali. Malah kerananya juga, ada sebahagian mereka yang mengaku serba pandai dan alim ini hilang pula kewarasan dan perlahan-lahan berubah menjadi syaithan lantaran sehingga saling kafir mengkafir pula disebabkan bersilang fatwa ini. Bersama ini saya sertakan beberapa keterangan fatwa berhubung dengannya sebagai pedoman.

Fatwa oleh Syaikh Muhammad bin Solih Al-Utsaimin Rhm. : Menggunakan inhaler bagi yang berpuasa hukumnya boleh, sama ada ianya puasa Ramadhan atau pun yang lainnya. Kerana inhaler itu tidak sampai ke perut tapi hanya berfungsi melegakan saluran pernafasan (tujuan perubatan) dan penggunaannya pun hanya dengan bernafas seperti biasa. Jadi hal ini tidak seperti makan dan minum. Sebagaimana diketahui, bahawa hukum asal puasanya adalah sah sampai ada dalil yang menunjukkan rosaknya puasa, baik dari Al-Kitab, As-Sunnah, Ijma’ atau pun Qiyas yang Sahih.
Fadha’il Ramadhan, disusun oleh Abdurrazaq Hasan, Soalan no. 1. Disalin dari kitab Al-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Terkini, Penerbit Darul Haq

Fatwa yang mengharuskan penggunaan inhaler sewaktu puasa adalah fatwa terkemuka yang diputuskan oleh persidangan majoriti ulama melalui Majlis Fatwa yang berwibawa seperti Majma’ Fiqh Islami, Fatwa Lajnah Daimah dan termasuk juga oleh pakar perubatan melalui Islamic Organization for Medical Science (IOMS). Bahkan JAKIM & Majlis Fatwa Kebangsaan juga menyatakan keharusannya. Fatwa ini juga dipersetujui oleh ulama’ kontemporari Syaikh Yusuf bin Abdullah Al Qaradawy dan Lembaga Fatwa Eropah.

Hal ini juga dibenarkan oleh Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah Bin Baaz Rhm. dalam koleksi fatwanya (Fataawa Adda’awah, Mufti Besar Saudi Arabia, Fatwa no 979). Keharusan penggunaan inhaler bagi pesakit asma juga berdasarkan fatwa umum dalam masalah ini oleh Syaikhul Islam Ibnu Taymiyah Rhm. (Majmu’ Fatawa Ibnu Taymiyah, Jillid 25, halaman 248). Keharusan ini disebabkan teknik perubatan yang tidak menggunakan makanan atau minuman. Jika dari jenis debu sekali pun ia diharuskan Imam Ibn Hazm Al Andalusi Rhm. (Kitab Al-Muhalla, Jilid 6, halaman 203), maka tidak batal puasa dalam urusan perubatan termasuk suntikan atau menghirup serbuk.

Khatimah

Sesungguhnya Allah Swt. tidak sekali-kali menyusahkan para hamba-Nya dalam rangka  menunaikan ibadah mereka kepada-Nya. Lantaran Allah Swt. sendiri telah mengurniakan cara/qaidah rukhsah bagi mereka yang di dalam kedhaifan dan kesakitan. Maka, rukhsah sebegini merupakan salah satu dari rahmat Allah Swt. ke atas hamba-Nya yang tetap kekal mahu taat menjalankan ibadah kepada-Nya. Benarlah Allah Yang Maha Kaya, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Dermawan terhadap hamba-hamba-Nya.

Semoga nukilan ini telah membantu dan memberikan pedoman seqadar yang termampu kepada para penanya. InsyaAllah, ia memberi kebaikan.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Isnin, 30 Jun 2014

Bukan halaalan, Hanyalah Toyyiban.

0 ulasan

سم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh ia menang dengan kemenangan yang besar.”
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 70-71

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Nota : saya mohon maaf jika banyak kesilapan dalam penulisan, ini disebabkan artikel ini saya hasilkan sedikit demi sedikit sepanjang musafir selama 2 minggu. Terdapat banyak kekangan dan rujukan yang amat terhad. Tidak saya masukkan soalan kerana ia ikut terkandung luahan rasa kesal dan sedih berjela-jela.

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai (mati yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk …………. “.
Surah Al Maaidah (5) : sebahagian ayat 3

Ayat Al Qur’an di atas secara soreh, sahih dan qot’ie telah menjelaskan hukum haram babi dan lain-lain yang setaraf dengannya. Dan hukum haram itu berkuatkuasa secara mutlak dan menyeluruh selama-lamanya ke atas setiap ummat Muslimin. Selain dari ayat ini, disebutkan juga hukum ini dalam ayat-ayat yang lain ya’ni surah Al Baqarah (2) : ayat 173, surah Al An’aam (6) : ayat 145 dan surah An Nahl (16) : ayat 115. Dan hal persamaan status/taraf ini dinyatakan lagi oleh Allah Swt. :

“Katakanlah (Wahai Muhammad), tidaklah aku peroleh dalam wahyu yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi -kerana sesungguhnya semua itu kotor- atau binatang yang disembelih kerana selain Allah ………………..”.
Surah Al An’aam (6) : sebahagian ayat 145

Dinyatakan juga bahawa semua itu haram dimakan (penjelasan dalam perenggan seterusnya menyatakan hukum lain yang bersangkutan dengannya). Sekiranya ada salah satu diantaranya dipilih khas, ditambahi hukum lain sebagai kena disamak/sertu misalnya, maka yang lain pun kena disamak juga lantaran dasar/sumber/status asas hukum-hakamnya adalah sama sahaja. Contoh, jika ada bangkai arnab (jenis binatang halal dimakan) atau bangkai ular dalam rumah, maka kenalah disamak juga. Amat pelik perkara dasar/sumber/status asas yang sama, akan tetapi ada hukum lain diterbitkan darinya tidak sama pula, tidak konsisten malah berpilih-pilih. Moga-moga ayat serba ringkas ini difahami.

Sekali pun ada perbahasan, misalnya terdapat sarjana/saintis yang mengkaji dan menemui suatu cacingan yang dikatakan asbab terjadinya pengharaman itu. Ada juga penemuan yang mengatakan babi punca penyakit dan salah satu penyebab manusia menjadi bahalol. Begitu juga, ada hujahan balas menafikan fakta bahawa manusia yang makan babi akan melarat memandangkan realiti dunia langsung tidak begitu. Manakan tidak, pemakan babilah terbukti yang kaya raya, lebih sihat, lebih maju tamadunnya, lebih hebat ilmunya, menguasai dunia segalanya malah jangka hayat lebih panjang berbanding manusia yang tak makan babi.  Malah mereka-mereka yang tak makan pula yang amat jelas nyata papa kedana, sebahagian perut buncit dan sebahagian kebuluran, penghidap segala macam penyakit, gelandangan dan sangat ketinggalan dalam segala segi.

Maka biarlah sahaja perbahasan itu terus saja menjadi perbahasan (yang tidak akan terhenti selain dari berlakunya qiyamat). Layaklah ia menjadi lambang kejayaan dunia saintifik seraya membuktikan betapa manusia ini suka mengkaji, berfikir, meneroka dan bercakap-cakap tanpa henti. Sedangkan hukum haram itu tetap tidak sekali-kali boleh berubah disebabkan teori dan ilmu aqal-aqalan manusia itu. Ketetapan haram itu adalah hak mutlaq Allah Swt. sepenuhnya kalau pun tanpa dinyatakan sebab. Tiada lain manusia yang mengaku beriman dan Islam, melainkan taat sahaja kepada hukum itu tanpa soal selaras dengan pengakusaksian 2 kalimah toyyibahnya.

Malah ada juga dalam kalangan sarjana dan ilmuwan Islam sendiri, yang begitu tasyaddud (mendalam-dalam) dan ghuluw (melampau-lampau) berfikir sehingga menfatwakan disebabkan lafadznya “daging babi” maka kuku, tulang, gigi, bulu dan segala yang bukan daging tidaklah haram. Demikianlah rupa sekumpulan pakar dalam satu bidang tetapi kurang tahu pula dalam satu bidang lain (sains biology), tidak usul periksa menghukum. Haqiqatnya, setiap mamalia bermula dari mani, kemudian menjadi segumpal daging kemudian berubah menjadi suatu badan yang lengkap begitu-begini. Fakta ini memberitahu bahawa asasnya semua sekali tetap jua bermula dari segumpal daging.

Maka itu, apa jua dikatakan kuku, tulang, gigi, bulu dan segala yang dianggap bukan daging adalah daging jua haqiqinya cuma dalam rupa bentuk dan sifat yang berbeza-beza. Dan kesimpulannya, apa jua yang datang dari babi sama ada dalam rupa, bentuk dan sifat yang bukan lagi berupa seekor babi, maka ia adalah babi jua dan hukumnya tetap haram. Dan haram itu bukan setakat dimakan tetapi apa jua yang bersumber dari yang haram maka hukumnya adalah haram. Misalnya memperdagangkan, berniaga, memegang saham, memasak dan memproses. Begitulah hudud Allah Swt. bukannya hukum hakam negara Pasir Berdengung yang boleh dipadam dan ditukar-tukar.

Lalu, mari kita berfikir sejenak, tidakkah pelik adanya hukuman lintah haram dimakan akan tetapi halal pula dibuat ubat dan diperdagangkan. Begitu juga, haram memakan penyu dan tuntung, tetapi halal pula memakan telurnya dan boleh diperdagangkan. Apakah telur penyu akan menetaskan ikan? Ada satu ajaran lain yang konsep fahaman dan amalannya hampir sama yaitu haram makan dagingnya tetapi halal pula minum susunya. Wallahua’lam, saya amat gembira jika ada sesiapa yang boleh memberikan hujjahan syara’ yang soreh, sahih dan qot’ie ke atas hukuman ini, bukannya seqadar pendapat-pendapat dan sangka-sangkaan sahaja. Lagipun saya budak baharu belajar, masih tercari-cari segala keterangan.

Demikian juga, mitos dan sindrom rasa keji/hina terhadap babi itu berkuatkuasa dalam segala aspek kehidupan. Misalnya kebiasaan masyarakat kita memaki hamun atau menghina orang yang tidak disukai dengan menyebut si fulan sebagai “babi”. Atau menerusi peribahasa yang menyebut perlakuan semberono amat buruk sebagai “membabi buta” (sebenarnya ia merujuk kepada perilaku membuat sesuatu/keputusan tanpa usul periksa/melulu).

Sudahlah “babi” itu suatu niyat penghinaan malah ditambahi pula dengan “buta” lagi. Maka jadilah ia bertingkat-tingkat penghinaan. Wallahua’lam, tidak saya ketahui mana asal muasalnya perbuatan ini. Amalan sebegini sepatutnya juga diharamkan. Lantaran babi hanyalah makhluq yang dicipta oleh Yang Maha Khaliq, ia bukan ciptaan sia-sia yang pasti ada hikmahnya walau pun tidak kita ketahui, bukannya makhluq layak dihina sesedap rasa atau menjadi objek penghinaan.

Begitulah muqaddimah nukilan kali ini, dan terima kasih banyak-banyak atas pertanyaaan dan luahan perasaan dari sang penanya. Seterusnya marilah kita kembali ke maudhu’ perbicaraan dan persoalan.

Saya fahami luahan, kesedihan, keprihatinan dan kekecewaan sang penanya. Dan perasaan ini haqiqatnya dikongsi oleh jutaan lagi ummat Muslimin seluruh negara termasuklah saya sendiri. Baik saja diakui realiti, sebaik saja tersebar berita adanya dna babi dalam coklat popular di pasaran, ia merupakan suatu khabar yang amat-amat mendukacitakan, mengecewakan dan sungguh meruntun hati nurani ummat Muslimin. Yang pasti, ramai seakan termangu tidak percaya lantaran sebelum ini dirasakan kita-kita ini serba betul belaka, malah kalau ada pun golongan yang cuba berfikir lebih jauh sedikit, tiada sesiapa menghiraukan malahan selalunya dipandang serong.

Nukilan ini tidaklah spesifik membicarakan tentang hal coklat itu. Lantaran ia hanyalah satu asbab yang membongkarkan segala macam kekeliruan dan kekacauan yang sedang berlaku. Ia juga bukanlah hal pertama kali berlaku malah sudah ada beberapa kes lain sebelumnya tanpa ada suatu tindakan konkrit pun. Ia datang seakan bermusim, lalu hilang begitu sahaja, kemudian datang lagi. Setiap kali ia datang, ramai yang terlompat-lompat.

Namun demikian, baiki sekali diambil pelajaran, sungguh besar dan hebatnya perancangan Allah Swt. Disebalik kelekaan dan keasyikan terhadap fakta-fakta yang kepadanya digantungkan segala kepercayaan bahawa kita ini serba serbi hebat dengan diwar-warkan begitu begini dalam hal halal dan haram ini, hanya dengan asbab ini sahaja segala macam hal akhirnya terbongkar tanpa dapat ditutup lagi.

Demikianlah juga dalam kes kapalterbang yang telah menelanjangkan segala macam kekeliruan, kekacauan, ketidaktentuan, kelam kabut, ketidak seragaman, ketidaksediaan dan kecelaruan dalam sistem penerbangan di negara kita, walhal sebelum ini otak kita dicucuk-cucuk dengan segala macam fakta bahawa “antara yang terbaik di dunia”. Dengan kuasa Allah Swt. jua, hanya dengan satu asbab sahaja, jelaslah bahawa segala yang diagungkan selama ini sebagai fakta, rupanya tidak lebih dari auta, khayalan, dongeng dan sangka-sangkaan semata. 

Namun, marilah bersyukur ke hadhrat Allah Swt. lantaran dengan asbab yang diberikan-Nya itulah, kita sedar diri dan meningkatkan tahap kepedulian yang insyaAllah, darinya dapat kita berubah kalau pun dengan harga yang amat-amat mahal. Sememangnya juga kos untuk berubah ini sangat mahal, misalnya seluruh geopolitik dan peradaban dunia telah berubah seperti yang kita ni’mati kala ini, setelah terjadinya Perang Dunia 1 dan 2. Dan bayangkanlah apakah nilai kos (termasuk harta dan jiwa) yang ditanggung dan diqurbankan oleh datuk nenek kita terdahulu demi menyediakan kebaikan kepada kita hari ini. Kalaulah kita-kita ini tahu bersyukur, menghargai dan mengambil i’tibar darinya..

Terkadang ada rasa pelik juga, selepas tersebarnya isu dna babi ini, banyak pihak yang melompat-lompat dalam berbagai segi. Walhal, bertan-tan coklat murah tanpa cukai sudah ditelan oleh ummat Muslimin dari Langkawi, pernahkah ditanya halal atau tidak. Begitu juga janganlah kita lupa berapa ramai ummat Muslimin yang setiap hari setia menikmati juadah di kopitiam, restoran dan hotel berjenama kalau pun diketahui tiada sijil halal, malah berasa bangga dan ada class pula dengannya. Ini termasuk jua berapa ramai yang rela makan minum di kedai makanan orang kafir yang jelas sekali antara halal dan haram bercampur baur. Kenapakah pula hal sikap dan tabi’at ini tidak dilompat-lompatkan, sedangkan ia telah berterusan begitu lama?

Saya ingin menarik perhatian sekalian jama’ah dan para pembaca, agar sama-sama memahami persoalan asas hal halal dan haram makanan ini. Moga memberi manfaat, insyaAllah.

“Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik (halaalan thoyyiban) dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaithan; kerana sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 168

Maqsud yang sama dinyatakan oleh Allah Swt. dalam Surah Al Maaidah (5) : ayat 88, Surah An Nahl (16) : ayat 114 dan Surah Al Anfaal (8) : ayat 69

Secara lughah, halal berarti membebaskan, melepaskan, memecahkan, membubarkan atau membolehkan. Dari segi isthilah, berarti sesuatu yang boleh dan dapat diperbuat mengikut syara’ kerana bebas atau tidak terikat dengan ketentuan-ketentuan yang melarangnya. Atau segala sesuatu yang bebas dari bahaya duniawi dan ukhrawi yang tidak dihukum atau berdosa kerana melakukannya. Lawannya adalah haram.

Manakala thoyyib berma’na segala sesuatu yang baik atau elok diperbuat mengikut syara’ dan berlawanan dengan segala yang buruk. Bentuk jama’ dari kata ini adalah thoyyibât yang diambil dari derivasi thaba-yathibu-thayyib-thayyibah dengan beberapa makna, yaitu: zaka wa thahara (suci dan bersih), jada wa hasuna (baik dan elok), ladzdza (enak), dan halal (halal). lawan dari kata thoyyib ini adalah khabits (bentuk jama’nya khabaits) yaitu sesuatu yang menjijikkan dan dapat merosak fisik, psikis, aqal dan akhlaq seseorang.

Maka ma’na kepada halaalan thoyyiban adalah segala sesuatu yang asasnya adalah halal dan ia bersifat baik dan elok pula menurut syara’, bukannya berdasarkan nafsu seronok, selera lahap dan sangka-sangkaan.

Bagi memenuhi keperluan hamba-Nya, Allah Swt. dengan sifat kasih sayang-Nya telah menganugerahkan bumi beserta isinya untuk dikelola dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh manusia. Sekali pun  demikian, ia tidak berarti kita dapat memanfaatkan bumi beserta segala isinya itu dengan mengeksploitasi sebebas-bebasnya. Tiada lain ia mesti sesuai dengan apa yang digariskan syari’at. Terkait dalam hal makanan dan minuman, tidak semua yang di bumi ini, baik binatang, tumbuhan mahu pun benda-benda lainnya itu halal dan thoyyib belaka bagi manusia. Ada yang memang dibolehkan (halal) dan ada yang dilarang (haram). Ada yang thoyyib, ada pula yang khabits.

Dalam Islam, ketetapan tentang haram dan halal segala sesuatu, termasuk urusan makanan, adalah hak mutlak Allah Ta’ala dan Rasul-Nya.  Kalamullah sendiri menjelaskan bahawa criteria halal dan thoyyib ini merupakan syarat mutlak yang tidak boleh dibolak-balik oleh manusia dalam makanan dan minuman. Pra-syarat halaalan thoyyiban adalah bergerak serentak dan sekali-kali tidak terpisah. Adalah amat salah melihat atau ambilkira salah satu aspek sahaja untuk menetapkan status halal ke atas sesuatu.

Justeru, ketetapan halaalan thoyyiban adalah manifestasi ketaatan, ketunduk-patuhan dan penyembahan seorang manusia beriman kepada Allah Ta’ala dan Rasul-Nya. Ia cerminan iman dan taqwa, bukan seqadar terhenti pada lahap di mulut dan kenyang di perut sahaja. Demikianlah yang disebutkan-Nya :

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah mana-mana yang baik (juga halal) antara rizqi yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 172

Maka amat birokratik dan klise ungkapan : sijil halal diberikan kepada yang mematuhi prosedur, perundangan, aspek kebersihan dan keselamatan, lantaran maudhu’ pada ungkapan ini telah menolak penetapan syari’at ya’ni iman dan taqwa sebagai pra syarat ketunduk patuhan kepada perlaksanaan halaalan thoyyiban. Disebabkan itulah tidak hairan, 85-90% pemegang sijil halal adalah orang kafir yang pasti tujuannya adalah mencari keuntungan dari sijil bukan kerana ketaqwaan. Dan natijah buruknya dari birokrasi ini sedang ditanggung oleh ummat Muslimin seantero Malaya.

Seperti yang telah disebut di atas, bahawa persyaratan halal ini terkait dengan standard syari’at yang mengesahkannya, dalam arti boleh dikonsumsi secara hukum. Ada pun thoyyib berkenaan dengan standard kelayakan, pemprosesan, kebersihan dan kesan fungsional bagi manusia. Maka, boleh saja terjadi suatu makanan itu asasnya halal tapi tidak thoyyib atau, sesuatu yang asasnya haram tetapi diperilakukan supaya nampak thoyyib dan bagus sahaja di mata manusia. Maka itu, bila dua syarat ini tidak terpenuhi secara serentak dalam suatu makanan atau minuman, semestinya ia tidak boleh dikonsumsi dan hukumnya adalah haram.

Untuk pemahaman, baiklah diberikan contoh :
a.    Lembu disembelih yang menjadikan daging halal, tetapi dalam proses memasak dicampurkan wine dan lemak babi untuk lebih sedap, maka ia menjadi haram, kalau pun disediakan oleh tempat mendapat sijil halal
b.    Daging berasal dari tidak disembelih, tetapi diproses masak ditempat yang hebat, bersih, cantik dan mendapat sijil halal, tetap jua ia haram kalau pun dilihat serba hebat menyelerakan belaka.

Justeru itu, wajar sekali kita-kita ini mentanyai diri, criteria apa yang sebenarnya lebih menarik kita untuk mengkonsumsi makanan atau minuman. Yang mana satu sebenarnya sama ada : aspek halaalan atau aspek thoyyiban, atau kedua-duanya sekali? Pasti sukar menjawab dengan tepat lantaran aspek halaalan itu terhasil dari semata-mata keyaqinan dan kepercayaan terhadap penyedianya, yang dipercayai melakukannya dari semua sumber dan cara prosesan yang halal. Dalam kata lain kita hanya percaya bulat-bulat, tanpa soal pula ya’ni sangkaan sahaja sebenarnya. Manakala aspek thoyyiban itu kita boleh lihat dan rasai sendiri ya’ni terhasil dari ‘ainul yaqin sebenarnya

Disebabkan itulah, tidak hairan orang kita berpusu-pusu ke kedai-kedai yang dilihat cantik, bersih, hebat, popular, berjenama, bergaya dan lazat (malahan sekali pun tidak lazat). Dan kerananya juga kita tidak pernah ada rasa mahu melihat, meneliti dan mengambil tahu apa sumbernya, cara prosesannya, siapa yang lakukannya atau pun apa status dapurnya. Adakah hal-hal asas ini seindah dan sehebat yang terjadi pada produk akhirnya yang kita ni’mati. Diringkaskan sahaja, sekiranya diteliti ke tahap ini, amat banyak sekali yang takkan tergamak kita menjamah makanannya lantaran dapurnya yang amat kotor malahan sebahagian menjijikkan, hatta di kedai-kedai ummat Muslimin sendiri pun.

Maka terimalah haqiqat, otak dan persepsi kita sedang leka dicucuk-cucuk melihat aspek thoyyiban, manakala aspek halaalan hanyalah dipandang sepi dan diterima bulat-bulat atas dasar percaya sahaja tanpa soal. Tidak salah juga kita yang serba awam ini bersikap begitu lantaran kita bukannya ada hak/autoriti secara peribadi untuk menyelak segala hal dalaman orang. Dengan itu, terserlahlah bahawa perlaksanaan dan penguatkuasaan perihal perintah ilahi berkenaan halaalan thoyyiban ini sememangnya jatuh ke pihak-pihak :

1.            Setiap individu Muslim sendiri yang wajib memastikan segala makanan dan minumannya adalah halaalan thoyyiban, justeru perintah Allah Swt. jelas datangnya kepada setiap indivdu Muslimin. Namun semestinya diakui hak/autoriti individu ini amat terhad, seqadar perlaksanaan di peringkat diri, keluarga atau sekelompok kecil komunity.
2.            Ulil amri/jabatan berkenaan yang ada hak/autoriti secara menyeluruh untuk memastikannya terlaksananya perintah halaalan thoyyiban dan menjaganya. Sebenarnya  keberkesanan kerja, keupayaan serta kebolehpercayaan terhadap mereka inilah yang menjadi persoalan sekarang ini. Antaranya, sejak timbul hal ini, jelas sekali semua institusi yang terlibat langsung tiada koordinasi, tiada halatuju, cakap bersimpang siur hinggakan hukum hakam juga sudah serampangan. Malah dalam suatu keadaan, masing-masing yang tegang-tegag belaka itu tiba-tiba pula menjadi kendur mendur atas alasan tiada kuasa, kalau pun baru sebentar berkata gah seantero Malaya. Disebabkan itulah sehingga sekarang kes ini lebih menimbulkan banyak persoalan tak terjawab berbanding penyelesaian. Kalau ada pun jawaban seqadar ada, sangat birokratik dan retorik.

Nota : Saya tidak mahu menyentuh lebih lanjut kisah no. 2 ini kerana telah terlalu banyak orang memperkatakan dan mengatakan dalam berbagai cara dan dalam berbagai medium. Sekiranya mereka ini mahu mendengar dan mengambil pelajaran seterusnya mahu bertindak sewajarnya bagi memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan, semua itu sudah mencukupi. Sementelahan kes seumpama ini sudah berkali-kali. Maka itu, saya tumpukan tulisan ini secara umum sahaja ya’ni kepada seluruh qaum Muslimin lantaran penegakkan syari’at halalan thoyyiban ini perintah langsung yang wajib ke atas setiap manusia yang bersyahadah, tidak tergantung kepada ada atau tiadanya apa-apa institusi.

Akhirul kalam, marilah kita dengari pesanan junjungan mulia Nabi Saw. :

“Dari Salman Al Farisi Rhu. bahawasanya dia berkata : Rasulullah Saw. pernah ditanya mengenai hukum minyak sapi , keju dan kaldai hutan, maka Baginda menjawab : Halal itu ialah apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitab-Nya dan haram itu ialah apa yang diharamkan oleh Allah di dalam kitab-Nya , dan apa-apa perkara yang tidak sebut oleh-Nya, maka itu adalah salah-satu daripada apa yang dimaafkan untuk kamu.“
Hadis riwayat imam Tirmidzie Rhm. dalam Kitab Al Libas dan imam Ibnu Majah Rhm. dalam Kitab Al At’imah

“Dari Abu Abdillah An Nu'man bin Basyir Rhu. dia berkata : Aku mendengar Rasulullah bersabda : Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan diantara keduanya ada perkara yang samar-samar (syubhat), kebanyakan manusia tidak mengetahuinya, maka barangsiapa menjaga dirinya dari yang samar-samar itu, berarti ia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya, dan barangsiapa terjerumus ke dalam wilayah samar-samar maka ia telah terjerumus ke dalam wilayah yang haram, seperti penggembala yang menggembala di sekitar daerah terlarang maka hampir-hampir dia terjerumus ke dalamnya. Ingatlah setiap raja memiliki larangan dan ingatlah bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamkan-Nya. Ingatlah bahawa dalam jasad ada sekerat daging jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. (no. 52) dan imam Muslim Rhm. (no. 1599). Matan Arba’in An Nawawi hadis no. 6, Bab Halal dan Haram

Secara mudah, intisari sabdaan mulia ini :

1.    Yang halal itu jelas (telah dinyatakan di dalam Al Kitab)
2.    Yang haram itu jelas (telah dinyatakan di dalam Al Kitab)
3.    Yang tidak disebut di dalam Al KItab sebagai haram, maka ia adalah halal
4.    Yang berada di antara halal dan haram, ia adalah syubhat, dan barang sesiapa terjerumus ke dalam wilayah samar-samar (syubhat) itu, maka ia telah terjerumus ke dalam wilayah yang haram.
5.    Perkara syubhat merosakkan diri

Dan ingatlah, menjalankan halaalan thoyyiban itu adalah wajib ke atas kita semua. Tidak ada dolak-dalik atau sangka-sangkaan sesedap rasa terhadapnya. Isu ini sepatutnya menjadikan lebih insaf diri dan tegas melaksanakan kedua-duanya bukan seqadar hal thoyyiban semata. Kita kena muhasabah dan bertanya diri setahap mana nilai kepedulian terhadap rizqi halal dan haram. Di Malaya the Serbabolehland ini, yang halal, yang haram dan yang syubhat semuanya ada, terbentang luas sampai tak terkira. Apa nak dikata, sistem menetapkan kita semua kena menjadi ternakan lord reid di sebalik gah diwar-warkan sebagai negara Islam terbaik.

Makalah kecil ini telah memberitahukan apa yang sepatutnya yang termampu sebagai peringatan kepada semua dan diri saya sendiri. Maka itu, pilihlah sendiri halaalan thoyyiban itu sebagai rizqi bukan selainnya. Pilihan itu ditangan kita sendiri dan tiada siapa pun dipaksa untuk mengkonsumsi yang haram dan yang syubhat. Maka wajiblah kita ummat Muslimin memilih dengan wara’ (berhati-hati) berdasarkan iman dan taqwa.

Saya yaqin, sekiranya semua Muslimin bersatu teguh atas kewajiban halaalan thoyyiban dan menolak semua bentuk yang haram dan syubhat, maka baharulah yang halal itu terserlah dan menang. Kepeningan yang berlaku disebabkan oleh sikap majority Muslimin sendiri yang kurang peduli aspek halaalan thoyyiban, rela sahaja menjadi pengguna sekali pun sering ditipu sehinggakan industry halal pun dikuasai kafirin yang natijahnya ummat Muslimin sendiri terbelenggu dalam persekitaran rizqi yang haram dan syubhat. Moga-moga kes ini berakhir dengan dengan suatu perubahan yang berma’na demi kebaikan ummat Muslimin, bukannya hilang begitu sahaja seperti terdahulu.

Tepuklah dada, tanyalah iman – kenapa susah sangat nak mencari rizqi yang halal dan melaksanakan halaalan thoyyiban dalam sebuah wilayah so called, negara Islam?.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Read more...