Khamis, 9 Oktober 2014

Asy Syahid Ja'far bin Abi Tholib Rhu.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Dan orang-orang yang terdahulu lagi pertama-tama (masuk Islam) dari kalangan Muhajirin dan Anshar, serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah, dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, mereka kekal abadi di dalamnya. Itulah kejayaan yang agung.”
Surah At Taubah (9) : ayat 100

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Disebalik menduduki kedudukan yang mulia/tinggi di kalangan qaum Arab Quraisy, Abi Tholib (paman yang memelihara Baginda semasa kecil) adalah yang paling miskin berbanding adik beradik dan ahli keluarga yang lain. Dia memiliki jumlah ahli keluarga yang besar dan kurang kecukupan untuk menyara semua sekali. Keadaan bertambah teruk dengan bencana kemarau yang melanda Semenanjung Arab pada masa itu, yang memusnahkan tanaman dan ternakan. Beberapa catatan menyebutkan ada dikalangan masyarakat miskin pada masa itu memakan tulang belulang untuk meneruskan kehidupan.

Pada saat itu Baginda Saw. telah berkahwin dengan Khadijah Rha. Baginda berkata kepada bapa saudara yang lain ya’ni Al Abbas : Abang kamu Abu Tholib juga pamanku, memiliki keluarga yang besar. Kamu telah melihat sendiri betapa dia amat terkesan akibat kemarau dahsyat ini dan hampir kebuluran. Marilah kita pergi kepadanya dan mengambil tanggungjawab atas sebahagian dari ahli keluarganya. Aku akan mengambil satu dari anak lelakinya dan kamu mengambil satu untuk dibesarkan.

Usulan Baginda Saw. dipersetujui oleh Al Abbas dan dia mengatakan : Kata-kata kamu amat benar dan tidak terlawankan. Lalu mereka pergi menemui Abi Tholib menyampaikan hasrat : Kami mahu meringankan sebahagian beban kamu sehingga waqtu-waqtu yang sukar ini berlalu. Cadangan mereka diterima oleh Abi Tholib setelah setelah membicarakan : Kiranya kamu membenarkan aku terus memelihara Aqeel (abang tua sedikit dari Ali), maka kamu boleh mengambil yang lainnya. Setelah itu, Baginda Saw. telah mengambil sang adik ya’ni Ali manakala Al Abbas telah mengambil sang abang ya’ni Ja’far untuk dipelihara. Demikianlah kisah bagaimana Ali diambil pelihara oleh Baginda Saw.

Disebutkan bahawa terdapat 5 lelaki dari keluarga Bani Hasyim yang hampir menyerupai sifat fizikal dan perwatakan Baginda Saw. Mereka adalah 2 orang lagi sepupunya yaitu Abu Sufyan bin Al Harits dan Qutham bin Al Abbas, As Sa’ib Ibnu Ubaid (datuk kepada imam Muhammad bin Idris Asy Syafi’ie Rhm.) dan cucuanda Baginda Hassan bin Ali. Manakala yang paling hampir dalam segala hal adalah Ja’far bin Abi Tholib. Banyak orang-orang tersalah sangkaan bahawa ia Baginda Saw. apabila bertemu mereka-mereka ini.

Ja’far berdiam dan dipelihara oleh Al Abbas sehingga beliau dewasa serta boleh berdikari.
Beliau adalah seorang pemuda yang jujur, amanah, bijak, tegas dan termasuk salah seorang pelopor ternama dalam Islam. Gelaran (kunyah) beliau pula ialah Abi Masakin (ayah orang-orang miskin) kerana terlalu suka kepada faqir miskin serta berlemah-lembut dan berbuat baik kepada mereka. Beliau telah mengahwini Asma’ binti Umais, yaitu kakak kepada Ummul Mukminin Maimunah binti Umais (Perkahwinan Baginda Saw. dengan Maimunah adalah selepas pernikahan Ja’far). Selepas berkahwin, Ja’far dan Asma’ telah berpindah dari rumah Al Abbas dan memulakan hidup sendiri. Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak lelaki yaitu Muhammad, Abdullah dan Auf.

Ja’far memeluk Islam bersama-sama dengan isterinya Asma’ binti Umais pada hari yang sama menerusi Amirul Mukminin Abu Bakar As Siddiq Rhu. Ja’far dan isterinya memeluk Islam bersama-sama kumpulan yang pertama-tama mendahului orang lain (As Saabiquna Awwaluun). Mereka membawa anak-anak mereka sekali. KeIslaman mereka telah mengejutkan qaum kafir Quraisy. Berikutan menerima Islam itu, mereka telah dipulaukan dan ditimpa berbagai siksaan oleh orang kafir Quraisy, tujuan supaya mereka sukar menjalankan rutin ibadah seorang Muslim sehingga kembali kepada agama datuk nenek.  Namun, mereka berdua bersama-sama menanggung segala pahit perit menerima Islam itu dengan penuh ketabahan tanpa peduli bilakah penderitaan itu akan berakhir.

Disebabkan Ja’far dan isterinya menghadapi penyiksaan yang sangat kuat dari qaum musyrikin, akhirnya mereka diizinkan oleh Baginda Saw. untuk berhijrah ke Habsyah. Hijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun ke 5 selepas kerasulan. Ia dipimpin oleh Utsman bin Mazh`un Rhu. terdiri dari lebih kurang 11 lelaki dan 4 wanita, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. Antara sahabat yang turut serta adalah Zubir bin Al Awwam, Abdurrahman bin Aufserta anak menantu Baginda yaitu Ruqayyah dan Utsman bin Affan.

Nafsu kaum Quraisy Makkah untuk mematahkan semangat perjuangan Nabi Muhammad Saw. sangat besar, sehingga mereka mengutus Amru bin Al As dan Abdullah bin Abu Rubai'ah dengan membawa hadiah kepadanya dan kepada paderi-paderinya untuk memohon kepada Raja Najasyi agar pelarian dari Makkah itu dikembalikan dengan alasan bahawa mereka adalah pengacau agama dan perosak kekeluargaan serta kehormatan QuraisyPeranan dan kehebatan membela Islam dalam diri Ja’far bin Abi Tholib mula terserlah di dalam percakapannya dengan Raja Najasyi.

Ummu Salamah Rha. yang merupakan salah seorang dari kalangan umat Islam yang berhijrah ke Habsyah berkata : Kemudian Raja Najasyi meminta kami supaya berjumpa dengannya. Sebelum berjumpa dengan beliau, kami membuat perbincangan di antara kami. Lantas sebahagian di antara kami berkata: Sesungguhnya raja akan bertanya tentang agama kamu dan sudah pasti kamu akan membongkar segala keimanan kamu ini, biarlah Jaafar sahaja yang bercakap di kalangan kamu manakala yang lain hendaklah diam sahaja".

Ummu Salamah Rha. berkata lagi : Kemudian kami berjumpa dengan Raja Najasyi dan kami dapati beliau telah menjemput para paderinya yang berada di sebelah kiri dan kanan beliau dalam keadaan memakai pakaian labuh dan memakai penutup kepala mereka sambil membuka kitab yang berada di tangan mereka. Kami dapati Amru bin Al As serta Abdullah bin Abu Rubai'ah juga berada di sisi Raja Najasyi tersebut. Setelah kami mengambil tempat masing-masing di dalam majlis tersebut Raja Najasyi terus berpaling kepada kami dan berkata : Apakah dia agama yang kamu cipta untuk diri kamu ini menyebabkan kamu memecahbelahkan agama qaum kamu dan kamu tidak memeluk agama aku dan kamu juga tidak memeluk mana-mana agama dari agama ini?. 

Lalu Ja’far bin Abi Tholib Rhu. bangun dan berkata : Wahai Raja, ketika kami berada dalam jahiliyah kami menyembah patung-patung, memakan bangkai, melakukan perbuatan keji, memutuskan hubungan silaturahim, menyakiti jiran serta golongan yang kuat menindas golongan yang lemah. Kami berada dalam keadaan demikian sehinggalah Allah mengutuskan kepada kami seorang rasul dari kalangan kami sendiri yang kami kenal keturunannya, kebenarannya, amanahnya dan kesuciannya.

Lalu dia mengajak kami kepada Allah supaya mentauhidkan-Nya, menyembah-Nya dan membuang semua jenis penyembahan yang disembah selain daripada Allah yang dilakukan oleh kami dan datuk nenek kami seperti penyembahan batu-batu dan patung-patung. Dia juga menyuruh kami supaya bercakap benar dan menunaikan amanah, menghubungkan hubungan silaturahim, berbuat baik kepada jiran, tidak melakukan perkara haram, menumpahkan darah dan menghalangi kami dari melakukan perbuatan keji, bercakap dusta, memakan harta anak yatim, melakukan tuduhan melulu terhadap perempuan-perempuan yang suci.

Dia menyuruh kami supaya menyembah Allah Yang Maha Esa semata-mata dan tidak berlaku syirik kepada-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat serta berpuasa pada bulan Ramadhan. Lalu kami membenarkannya, kami beriman kepadanya dan mengikuti apa yang dibawa olehnya daripada Allah sehingga kami menghalalkan apa yang telah dihalalkan kepada kami dan kami mengharamkan apa yang telah diharamkan kepada kami.

Tidak ada apa yang dilakukan oleh qaum kami wahai raja, kecuali mereka menjadi musuh kepada kami. Lalu mereka menyiksa kami dengan siksaan yang sangat dahsyat, agar kami meninggalkan agama kami dan kembali kepada menyembah berhala. Setelah kami disiksa, didzalimi dan menerima tekanan demi tekanan, lalu kami mencari penyelesaian dengan keluar ke negeri kamu ini dan kami hanya memilih kamu berbanding dengan Raja yang lain dan kami ingin menjadi jiran kamu dan kami mengharapkan agar kami tidak didzalimi di bawah kekuasaan kamu.

Kata-kata Jaafar bin Abi Talib ini banyak memberi kesan kepada Raja Najasyi, lalu beliau berkata : Adakah kamu memiliki sesuatu yang di bawa oleh nabi kamu daripada Allah? Jaafar berkata : Ada. Raja Najasyi berkata : Bacalah kepadaku. Lalu Ja’far membaca kepadanya surah Maryam :

“Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad. (Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria. (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan. Dia merayu dengan berkata : Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku dan telah putih melepaklah uban kepalaku dan aku wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu……….. “.
Surah Maryam (19) : ayat 1-4 sehingga sampai separuh surah tersebut

Ummu Salamah Rha. berkata : Lalu Raja Najasyi menangis sehingga basah jambangnya dengan air mata, begitu juga dengan paderinya sehingga basah kitab suci mereka ketika mendengar ayat-ayat Allah itu. Di sini Raja Najasyi berkata kepada kami : Sesungguhnya apa yang di bawa oleh nabi kamu dan apa yang di bawa oleh nabi Isa adalah semata-mata untuk mengeluarkan umat manusia dari satu ceruk. Kemudian beliau berpaling kepada Amru dan Abdullah serta berkata kepada mereka berdua : Pulanglah, demi Allah tiada keselamatan bagi kamu berdua buat selama-lamanya.

Ummu Salamah Rha. berkata: Setelah kami keluar dari tempat Raja Najasyi, Amru bin Al As berjanji kepada kami dan berkata kepada sahabatnya : Demi Allah, esok aku akan datang berjumpa dengan raja dan aku akan memenuhi dadanya dengan kemarahan dan membakar semangat kebenciannya kepada mereka, malah aku akan berusaha untuk memerangi mereka sehingga ke akar umbi.

Lalu Abdullah berkata kepadanya : Janganlah kamu lakukan perkara itu wahai Amru, walaupun mereka tidak bersama dengan kita tetapi mereka terdiri dari kalangan qaum kerabat kita. Amru berkata kepada Abdullah : Walaupun apa katamu, demi Allah aku akan menceritakan perkara itu untuk menggetarkan kaki-kaki mereka. Demi Allah aku akan katakan kepada raja : Bahawa mereka (Ja’far dan kawan-kawannya) menyangka bahawa Isa bin Maryam seorang hamba.

Keesokan harinya Amru masuk berjumpa dengan Raja Najasyi dan berkata kepadanya : Wahai Raja! Sesungguhnya mereka ini (Ja’far dan kawan-kawannya) yang kamu jaga dan kamu kawal berkata kepada Isa bin Maryam suatu kata-kata yang agung. Lalu Raja Najasyi mengutuskan utusan berjumpa dengan Ja’far dan bertanya tentang apa yang dikatakan itu.

Ummu Salamah Rha. berkata : Apabila kami mengetahui perkara sedemikian, kami terus berjumpa sesama kami dengan perasaan yang cukup sedih dan pilu, tidak pernah kami rasakan seperti itu. Kemudian kami berbincang sesama kami : Apakah yang akan kamu katakan tentang Isa apabila ditanya oleh raja?. Lalu kami berkata : Demi Allah kami tidak berkata apa-apa pun tentang Isa kecuali apa yang telah dikatakan oleh Allah dan tidak pernah terkeluar dari perintah-Nya sedikitpun dari apa yang dibawa oleh nabi kami, dengan apa yang kami pegang ini tidak mungkin berlaku apa yang dikatakan itu. Kemudian kami bersetuju untuk bercakap dengan mewakilkan kata-kata kami itu kepada Ja’far bin Abi Tholib juga.

Setelah kami dipanggil oleh Raja Najasyi kami masuk dan kami dapati keadaan para paderinya sama sebagaimana yang kami lihat dahulu dan kami dapati di sana juga terdapat Amru bin Al As dan temannya itu. Apabila kami berada di antara mereka, kami ditanya dengan kata-katanya : Apakah yang telah kamu katakan terhadap Isa bin Maryam? Ja’far bin Abi Talib berkata kepadanya : Tidak ada apa yang kami katakan melainkan apa yang telah dikatakan oleh nabi kami Saw. Lalu Raja Najasyi bertanya kepada Ja’afar : Apakah yang dikatakan oleh nabi kamu terhadap Isa? Lalu Ja’far menjawab : Nabi kami berkata : Bahawa dia adalah hamba Allah dan rasul-Nya serta Rohullah dan Kalimah-Nya yang telah dicampakkan kepada Maryam yang perawan. 

Setelah Raja Najasyi mendengar kata-kata Ja’far itu, dia terus menepuk tangannya ke bumi dan berkata : Demi Allah! Apa yang dikatakan oleh nabi kamu terhadap Maryam semuanya betul dan sedikit pun tidak terkeluar walau pun sehalus rambut. Lalu para paderi merungut mengkritik apa yang dikatakan oleh Raja Najasyi itu. Lantas Raja Najasyi terus berkata : Walau pun kamu merungut mengkritik! Kemudian dia berpaling dan berkata : Pergilah kamu semua, sesungguhnya kamu telah aman dan sesiapa yang mencela kamu menerima kerugian dan sesiapa yang menghalang kamu akan menerima balasan. Demi Allah! aku tidak suka sekiranya aku memiliki bukit emas sedangkan salah seorang daripada kamu disakiti. Kemudian Raja Najasyi melihat kepada Amru dan sahabatnya lalu berkata : Kembalikan hadiah dua lelaki ini kepada mereka, aku tidak memerlukannya.

Ummu Salamah Rha. berkata : Amru dan Abdullah keluar dengan hati yang penuh sangat sedih dan cukup kecewa, sedangkan kami tetap berada di sisi Raja Najasyi mendapat perlindungan dan menjadi jiran yang dihormati. Rombongan muhajjirin ini tinggal beberapa lama di Habsyah (Abbysinia) dengan aman damai melaksanakan ibadah seorang Muslim dengan naungan dan perlindungan Raja Najasyi. 

Kemudian Ja’far bersama para sahabatnya meninggalkan Habsyah kembali ke Madinah pada tahun ke 7 Hijrah sejurus selepas Baginda Saw. pulang dari perang Khaibar dan sebelum peristiwa pembukaan Kota Makkah. Kepulangan rombongan dari habsyah disambut meriah dan Baginda Saw. gembira dengan kedatangan mereka itu.

Ja’far bin Abi Tholib gugur syahid di dalam peperangan Mu'tah bersama anak angkat kesayangan Zaid bin Haritsah dan Abdullah bin Rawahah. Kesyahidan mereka ini  menyebabkan Rasulullah Saw. berasa sangat sedih. Perang Mu’tah merupakan perang pertama yang berlaku secara langsung antara ummat Islam dengan pihak Nasrani.

Ia berpunca daripada utusan yang dikirimkan oleh Rasulullah Saw. yaitu Harits bin Umar Azdi Rhu. kepada beberapa orang raja bertujuan supaya mereka memeluk agama Islam telah dibunuh. Dalam perjalanan menghantar surat kepada Raja Busra, di Mu’tah, beliau telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani, ya’ni salah seorang Gabenor Qaisar.  Pembunuhan ini adalah bertentangan dengan semua undang-undang kesusilaan di antara suku-suku, sebab Harits Rhu. hanyalah utusan untuk menyampaikan surat.

Rasulullah Saw. amat dukacita atas kematian Harits, lalu beliau mengumpul seramai 3,000 pejuang yang gagah berani untuk menentang musuh yang jahat itu.   Baginda Saw. melantik Zaid Bin Haritsah sebagai Panglima. Baginda seterusnya bersabda :

Sekiranya Zaid terbunuh maka Ja’far Bin Abi Tholib hendaklah mengetuai pasukan dan jika Ja’far juga terbunuh, maka Abdullah Bin Rawahah hendaklah mengetuai pasukan. Dan sekiranya Abdullah juga terbunuh, maka bolehlah kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu yang kamu kehendaki”.

Sebelum tentera Islam berangkat menuju ke medan pertempuran, Rasulullah Saw. memberikan sehelai bendera putih yang diperbuat sendiri oleh Baginda kepada Zaid. Baginda menemani tentera-tentera Islam beberapa langkah di luar Kota Madinah dan berdoa : Semoga Allah Swt. akan mengembalikan kamu dengan selamat dan memperoleh kejayaan. Semoga Allah Swt. mmelihara kamu semua dari segala kejahatan.

Pihak musuh pula diketuai oleh Sarjil.  Mereka telah mengetahui mengenai persediaan tentera Islam dan mengumpulkan 100,000 tentera yang lengkap dengan alat kelengkapan perang. Ketika Sarjil dan bala tenteranya hendak mara, dia mendapat tahu bahawa Qaisar sendiri sedang mara dengan satu batalion tentera yang terdiri 100,000 orang untuk menolong Sarjil.   Apabila berita ini sampai kepada para sahabat yang sedang dalam perjalanan, mereka merasa ragu-ragu dan mereka berfikir sama ada untuk menentang musuh Islam yang berjumlah 200,000 orang itu, atau pun tidak.  Atau mereka mengirim utusan kepada Rasulullah Saw. untuk mendapatkan nasihat.

Dalam ragu-ragu itu, Abdullah Bin Rawahah dengan penuh semangat pejuang berkata dengan suara yang lantang : Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua.  Apakah tujuan sebenar kamu datang ke sini?  Bukankah kamu semua datang ke sini untuk MATI SYAHID.  Kita sebagai pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera.  Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah Swt. ke atas setiap kita pejuang-pejuang agama-Nya.  Kita hendaklah mempastikan salah satu antara dua, Kemenangan atau Syahid.

Apabila para sahabat yang lain mendengar kata-kata semangat dari Abdullah Bin Rawahah itu, maka para sahabat pun beri’tiqad untuk tetap bertemu dengan tentera-tentera Kristian di medan perang Mu’tah.

Saat medan pertempuran, Zaid mengenggam bendera di tangan dan mengarahkan tugas bagi menghadapi pertempuran.  Maka berlakulah pertempuran yang sengit. Dalam pertempuran yang sedang rancak berjalan itu, saudara lelaki Sarjil mati dan Sarjil sendiri melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah kubu. Tentera Islam tetap bertarung dengan semangat jihad walaupun angka tentera musuh jauh berbeza dari tentera Islam yang cuma 3,000 orang sahaja.  dalam pertempuran yang sengit itu, maka syahidlah Zaid, Ketua Panglima tentera Islam.

Ja’far mengambil alih sebagai ketua dan menggenggam bendera. Beliau dengan senghaja melumpuhkan kaki kudanya agar beliau tidak dapat meninggalkan medan pertempuran jika datang perasaannya untuk meninggalkan medan pertempuran itu. Dengan memegang bendera Islam yang berkibaran di sebelah tangan, dan sebelah tangan lagi beliau memegang pedang, beliau terus meluru ke arah musuh. Sewaktu meluru tangan kanan beliau yang memegang bendera telah ditetak, beliau dengan segera memegang bendera dengan tangan kiri, tetapi tangan kiri beliau juga ditetak, beliau tetap memegang kuat dengan mengigit bendera dengan bantuan kedua belah bahunya yang telah kudung. darah mengalir seperti air paip, datanglah musuh dari arah belakang lalu menetak Ja’far sehingga terbelah dua, dan syahidlah Ja’far pada usia ketika itu 33 tahun.

Abdullah Bin Umar Rhu. menceritakan : Ketika kami mengangkat janazah beliau keluar dari medan pertempuran, kami mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau.

Sewaktu Ja’far syahid, Abdullah Bin Rawahah sedang makan daging di penjuru medan, beliau sudah 3 hari kelaparan.  Sebaik sahaja beliau mendengar tentang kematian Ja’far, dengan segera beliau mencampakkan daging dengan berkata : Abdullah kamu ini asyik sibuk dengan makan, sedang Ja’far telah pun sampai ke syurga.

Abdullah terus mencapai bendera dan meluru ke arah musuh.  Dalam pertempuran itu anak-anak jarinya banyak yang parah dan tergantung isi.  Beliau meletakkan anak-anak jarinya ke bawah lalu dipijak dengan kaki dan ditarik sehingga jari-jarinya bercerai dari tangannya.  Kemudian  beliau terus mara dan beliau berhenti sebentar dan memikirkan tentera Islam yang sedikit berbanding tentera musuh yang ramai.  Dalam tengah berangan-angan itu, dia tersentak dan berkata : Wahai hati, apa yang menyebabkan kamu memikirkan demikian? Adakah kerana cinta kepada isteriku? Kalau begitu aku ceraikan kamu pada saat ini juga.  Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu aku bebaskan mereka semua. Adakah kerana kebun? Kalau begitu aku berikan sebagai sadaqah.

Oleh kerana keletihan dan kelaparan, beliau turun dari kudanya, sementara sepupunya datang membawa sekeping daging kepadanya dengan berkata : Kamu tidak dapat tidur dan makan kerana kelaparanmu selama 3 hari. Apabila Abdullah hendak mengambil daging tersebut, beliau telah mendengar laungan musuh di satu sudut medan pertempuran, beliau melempar daging tersebut, dengan pedang yang terhunus, beliau meluru ke arah musuh dan berjuang sehingga beliau juga syahid di medan pertempuran itu.

Banyak diriwayatkan dalam catatan sejarah bahawa sebaik sahaja Ja’far gugur syahid itu, Allah Swt. telah menggantikan kedua-dua belah tangannya yang putus itu dengan sepasang sayap berhias permata yakut dan terus terbang menuju ke syurga milik-Nya. Maka Ja’far juga turut dikenali dalam sejarah sebagai Ja’far At Tuyyur (Terbang ke Syurga) atau Ja’far Dhu Al Jinahayn (empunya sepasang sayap). Begitulah balasan besar Allah Swt. ke atas pengorbanan Ja’far dalam mempertahankan Islam.

Disaat Ja’far gugur syahid dan pergi ke syurga Allah, Rasulullah Saw. mendapat khabar kesyahidan itu menerusi Jibril Ahs. Baginda mengunjungi rumah beliau dan menemui Asma’ dan bersabda : Wahai Asma’, dimanakah anak-anak kamu Muhammad, Abdullah dan Auf, bawalah mereka semua kepadaku.

Asma’ membalas : Wahai Pesuruh Allah, apakah ada berita mengenai suamiku Ja’far yang sampai kepadamu?. Sambil memeluk anak-anak lelaki Ja’far yang tidak mengerti apa-apa itu, Baginda menangis dengan suara yang tersekat-sekat penuh kesedihan seraya bersabda : Ja’far kini telah syahid wahai Asma’ di jalan Allah. Dia kini sedang berada di samping-Nya di syurga atas segala pengorbanannya memerangi pihak musuh tanpa sebarang perasaan gentar dan takut sedikit pun.

: Tetapi janganlah kamu meraung dan meratap sehingga menepuk dada, kepala dan mengoyakkan pakaian kerana terlalu sedih. Baginda Saw. memberi panduan kepada isteri Ja’far dan semua ummat Baginda supaya terus bersabar dan berserah kepada Allah Swt., tidak meratapi kematian seperti adat perbuatan orang Arab jahiliyah dahulu kala. Sedangkan pada saat itu, Baginda sendiri pun berasa sangat sedih atas kematian sepupu yang disayanginya itu sehingga menitiskan air mata kepiluan.

Pertalian rapat antara mereka digambarkan seperti antara saudara yang paling mirip kepada Baginda dalam apa juga aspek termasuk akhlak, tubuh badan dan rupa paras. Maka tidak menghairankan Baginda begitu merasai kehilangan Ja’far. Bagi mengubati kesedihan dan meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga Ja’far, Baginda meminta para sahabat yang lain supaya mengunjungi dan menghantar makanan kepada isteri dan anak-anak Ja’far. Baginda bersabda :

Dari Abdulllah bin Ja’far Rhu. beliau berkata : Apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Tholib) Rhu., Nabi Saw. bersabda : Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli (keluarga) Ja’far (isteri-isteri dan anak-anaknya). Sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”.
Hadis riwayat imam Abu Dawud Rhm, imam Tirmidzi Rhm. dan imam Ibnu Majah Rhm. dengan sanad yang sahih

Demikianlah serba ringkas riwayat perjuangan seorang pejuang Islam yang telah meletakkan segala hidupnya kepada Allah dan Islam semata-mata yang dapat dicatatkan. Moga rohnya terus dirahmati Allah Swt. Mudah-mudahan riwayat perjuangan Asy Syahid Ja’far bin Abi Tholib Rhu. ini memberi i’tibar kepada kita semua. Mohon maaf juga atas kerja terjemahan yang kurang kemas.


والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Ahad, 31 Ogos 2014

Asas Jihad Menurut Islam ( Siri 1 )

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka fi sabilillah (pada jalan Allah). Mereka itulah orang-orang yang benar.”
Surah Al Hujuraat (49) : ayat 15

 “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 218

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Prakata

Terima kasih kepada Tuan dan Puan yang bertanya berbagai macam hal dalam bab jihad ini. Maaf kerana tidak dicatatkan semua 17 pertanyaan terbabit kerana ia akan memendekkan ruang penulisan. Penulisan ini juga cuba menjawab secara keseluruhan dengan tidak spesifik kepada persoalan individu yang ditanya. Ini disebabkan saya berhasrat untuk memberitahu asas-asas jihad sebenar mengikut syara’ terlebih dahulu, sebelum jawaban khusus mengikut isu diberikan.

Adalah dikhuatiri sekiranya diberi jawaban secara terus khusus ke atas soalan, ia akan membawa lebih kesukaran dan kekeliruan kepada Jama’ah dan para pembaca, lantaran harus kita akui, banyak di kalangan ummat Muslimin kini kurang faham, keliru, tenggelam punca, tidak tahu atau tak ambil tahu lagi tentang hal jihad. Mungkin saja pernyataan ini bakal dihujjah balas, namun baik sekali diakui itulah haqiqat keadaannya.

Selalunya, apabila tiba saat ketika tersedar diri dan sudah ada rasa untuk ambil tahu, secara semberono pula mereka akan percaya melulu kepada cakap orang itu ini, terpengaruh dengan sekumpulan orang atau fahaman satu gerombolan, mempercayai takrifan begitu-begini seterusnya akan rela mengikut melulu apa saja aliran fahaman yang dirasakan ia betul dan seronok diikuti. Disebabkan itulah kekalutan fahaman dan kepeningan dalam perlaksanaan jihad berlaku.

Tidak kurang juga, sebahagian yang mahu ambil tahu, haqiqatnya hanya terpusing-pusing dalam kerangka teoritikal. Ada juga yang terbelenggu dalam ruang litup kalamiyah yang reality amalannya entah dimana. Tidak kurang juga yang memahami jihad semudah perbuatan dan semudah apa jua yang mahu dikata. Maka berpegang teguhlah mereka terhadap apa yang mereka faham dan itulah juga yang didakwa dakwi dan dipertontonkan kepada orang banyak. Intipati fahaman mereka adalah, mereka sahaja yang betul dan selain dari itu salah belaka. Begitulah yang mereka faham sebagaimana yang diberitahukan kepada mereka.

Ada juga sebahagian tenaga pengajar dan orang terkenal dikelek orang kesana sini apabila diminta membicarakan perihal jihad, maka berpusing-pusinglah lidahnya. Dan selalunya cepat-cepat disimpulkan kepada “jihad yang paling besar adalah melawan hawa nafsu” dan terus disambung kepada persoalan lain. Tiada lain hasratnya supaya persoalan itu ditutup dan tidak diperbahaskan lagi.

Maka khalayak yang tidak faham akan terus tidak faham, terus pening seraya tertanya-tanya. Dan kekaburan sebegitulah yang dianuti seumur hidup kemudian yang kabur itu pula diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Kadangkala ada rasa pelik, kenapalah jihad ini seolah-olah sesuatu yang taboo, kena ditutup sembunyikan kalau pun sehingga para ummat menjadi jahil terhadapnya, yang amat-amat ditakuti seolah-olah akan meletopnya bom nuklear sekiranya disebutkan.

Penulisan ini secara langsung mahu pun tidak langsung telah menjawab sebahagian besar dari persoalan itu. Sesungguhnya untuk menghasilkan penulisan ini memerlukan banyak masa dan rujukan. Kadangkala, data demi data yang diperolehi itu membuatkan saya menjadi pening untuk membuat ketetapan serta pendirian terhadapnya lantaran hujjah-hujjahnya mempunyai kemunasabahan, tsabit dan dan credible. Namun insyaAllah, bersandarkan serba sedikit ilmu yang ada ini, terhasillah nukilan ini yang asasnya merupakan suatu kesimpulan dari suatu proses kajian dan penelitian.

Mudah-mudahan, nukilan serba kekurangan dari saya, seorang faqir lagi amat dho’if ini akan dapat memberikan sedikit penjelasan tentang jihad seqadar yang termampu, atas niyat bagi membantu para Jama’ah dan pembaca memahami jihad dalam konteks yang sebenar berpandukan Al Qur’an dan As Sunnah sahihah, juga berpandukan keterangan dari para ulama’ muktabar. Dan pasti sekali, mendapatkan penjelasan dan huraian lengkap dari ulama’ dan ilmuwan lain adalah lebih baik dan sangat-sangat digalakkan.

Nota : Artikel ini agak panjang dan meliputi beberapa bab. Aturan bab tidak tersusun kerana saya menghadkan setiap posting kepada beberapa muka surat tertentu sahaja. Langkah ini dibuat supaya setiap bab ditamatkan dalam satu posting sahaja dan setiap posting selanjutnya bermula dengan bab baharu. Saya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku disebabkan oleh situasi ini.

Muqaddimah

Jihad merupakan salah satu ajaran dan tuntutan ibadah dalam Islam yang sangat penting dan utama. Jihad merupakan bahagian yang tak terpisahkan dari iman. Kuat atau lemahnya iman seseorang itu, salah satunya diukur dari keberaniannya, kesanggupannya dan kesabarannya berjihad di jalan Allah Ta’ala. Iman yang kuat akan senantiasa menggelorakan semangat seorang Mukmin untuk berjihad. Sebaliknya, iman yang lemah membuat seorang Mukmin takut berjihad kerana kesulitan dan tentangan yang sangat berat yang bakal dihadapinya. Bagi Mukmin yang beriman dan berjihad, dijanjikan oleh Allah Ta’ala pahala syurga, kehidupan yang mulia dan kedudukan yang terhormat di sisi-Nya.

Kehadiran Islam dikhususkan untuk mengembalikan dan membetulkan keadaan yang telah dirosaki oleh tangan-tangan jahiliyah dan langkah-langkah syaithan, membebaskan manusia daripada “úbudiyyah” (penyembahan) palsu terhadap sesama manusia kepada ketulusan “ubudiyyah” terhadap Allah Ta’ala Yang Maha Kuasa semata, mencabut dan menumbangkan sistem hidup jahiliyah dan syaithan, lalu menegakkan sistem dan hukum Allah Ta’ala di seluruh alam. Begitulah hasrat mulia Islam yang wajib didokong oleh setiap ummat Muslimin.

Adalah Rasulullah Saw. ketika menyeru dan menda’wahkan Islam kepada manusia, Baginda melalui beberapa frasa dan peringkat penyampaian. Bermula dengan frasa dengan da’wah bil haq yang meliputi dalam diri, kemudian kepada keluarga, kemudian kepada rakan taulan terhampir, kemudian masyarakat setempat seterusnya secara terang terangan kepada seluruh masyarakat umum. Jihad da’wah Baginda bermula secara berterusan dari zaman Makkah lagi sehinggalah pasca hijrah ke Madinah dan terbentuknya Negara Islam Madinah, dimana da’wah itu berterusan lagi dengan memasuki frasa baharu yaitu menerusi al jihad fi sabilillah.

Dengan da’wah, Baginda menerangkan kebenaran Islam, dan dengan jihad, Baginda menundukkan para penentang-penentang dan musuh-musuh seruan da’wah tersebut. Begitulah Islam tersebar ke seluruh pelosok bumi dan seantero dunia mengikut qaidah asal yang menjadi sunnah Baginda. Setelah kewafatan Baginda, qaidah asal itu dikekalkan oleh para Sahabat Rodhiyallahu’anhuma yang mulia seterusnya diikuti oleh tabi’ien dan tabi’ut tabi’ien dan akan terus dikekalkan sebagaimana pada peringkat awalnya, sehingga Islam menjadi asas tunjang terhadap segala sesuatu dengan al jihad adalah puncaknya. Demikian dinyatakan dalam hadis beikut :

“dari Mu’adz bin Jabbal Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : …….. Sukakah engkau khabarkan yang menjadi ketua (kepala) segala urusan (pekerjaan), tiang-tiangnya (penguat-penguatnya) dan puncak ketinggiannya?” Aku (Mu’adz bin Jabbal) berkata : Baiklah ya Rasulullah. Lalu sabdanya : Kepala segala urusan ialah Islam, tiang-tiang penguatnya ialah solat dan puncak ketinggiannya ialah al-Jihad …………..”.
Hadis riwayat imam Tarmidzie Rhm. dan beliau mengatakan ia hasan sahih

Maqsud hadis di atas, Rasulullah Saw. memberitahukan bahawa segala urusan hidup di alam ini, seperti urusan peribadi, rumah-tangga, kemasyarakatan, pentadbiran, pendidikan, ekonomi hingga kepada urusan politik pemerintahan, mesti berada di bawah naungan Islam dan syari’at-Nya. Apabila segala urusan itu berada di bawah naungan Islam dan memenuhi syari’at-Nya, pasti selamat sejahtera dan bahagia. Sebaliknya jika urusan-urusan itu terlepas dari Islam dan menolak syari’at-Nya, maka lambat-laun urusan itu pasti hancur dan binasa. Selanjutnya hadis diatas menerangkan “Puncak ketinggian Islam adalah Jihad”. Kalau Islam itu diumpamakan sebuah gunung, maka permukaan puncak yang tertinggi di gunung itulah jihad. 

Jihad adalah salah satu amal kebaikan yang Allah Ta’ala syari’atkan dan menjadi sebab penguat dan kemuliaan ummat Islam. Sebaliknya (mendapatkan kehinaan) bila mereka meninggalkan jihad di jalan Allah, sebagaimana dijelaskan dalam hadis yang sahih :

“Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah Saw. bersabda : Apabila kalian telah berjual beli ‘inah, mengambil ekor sapi dan redho dengan pertanian serta meninggalkan jihad, maka Allah akan menimpakan kalian kerendahan (kehinaan). Allah tidak mencabutnya dari kalian sampai kalian kembali kepada agama kalian.”
Hadis riwayat imam Abu Dawud Rhm.

Dan semua ini diperjelaskan lagi oleh Rasulullah Saw. bahawa jihad adalah amalan utama yang dituntut ke atas para ummatnya :

“Dari Abdullah bin Mas’ud Rhu. dia bertanya : Wahai Rasulullah, amal apakah yang paling utama di sisi Allah 'Azza wa Jalla?” Baginda menjawab : Solat tepat pada waktunya. Aku bertanya : Lalu apa?” Baginda menjawab : Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya : Lalu apa?” Baginda menjawab : Berjihad di jalan Allah.” Dia berkata : Rasulullah Saw. menyampaikan semua itu kepadaku, dan kalau aku bertanya lagi pasti beliau menambahinya untukku.”
Hadis sahih Muttafaqun Alaihi

Oleh kerana itu, sudah menjadi kewajiban bagi setiap Muslimin untuk belajar dan faham mengenai konsep dan dasar Islam tentang jihad secara benar dan bertanya kepada para ulama pewaris nabi tentang hal-hal yang belum ia ketahui. Apalagi dalam permasalahan yang sangat penting dan utama ini, di saat banyak qaum Muslimin yang tidak lagi mengenal syari’atnya dengan benar. Lantaran boleh saja terjadi, jihad yang dianggapnya jihad syar’ie itu sebenarnya tiada lain hanyalah jihad bid’ah, kesesatan, sia-sia, perbuatan dosa atau hanya mengikut langkah-langkah syaithan dan jahiliyah.

Imbas Semula Isu Berkaitan Jihad

Sejarah gemilang perjuangan ummat Muslimin terdahulu dalam membina dan membangun masyarakat Muslim terkait erat dengan cara jihad tuntunan Rasulullah Saw. dan para Sahabatnya. Baginda Saw. berserta para Sahabatnya menjadikan jihad sebagai salah satu tonggak ibadah menegakkan syari’at Islam. Para pejuang Muslim zaman berzaman mengobarkan semangat jihad melawan penjajahan yang bertentangan dengan tauhid, tidak sesuai dangan peri kemanusiaan dan keadilan Islam. Dengan semangat jihad jua, Islam berkembang dan telah menjadi tonggak kemakmuran dan kejayaan tamaddun dunia dari dahulu, hingga sekarang malah selamanya.

Dengan semangat ibadah jihad, para ulama’ dan pejuang Islam tidak pernah berhenti melawan apa-apa jua bentuk agama, dogma, kepercayaan, anutan, ideology dan sistem yang menjurus ummat Muslimin kepada penyekutuan terhadap Yang Khaliq, keruntuhan kepada syari’at Islam dan penjajahan sama ada secara fizikal atau pun mental dalam berbagai segi, yang menimbulkan penderitaan, kebodohan, penindasan, kedzaliman dan ketidakadilan terhadap manusiawi.

Demikianlah semangat murni jihad yang ditanam ribuan tahun secara jitu dalam setiap jiwa sanubari ummat Muslimin. Sayangnya, jihad sebagai ajaran ibadah Islam yang suci ini telah mengalami suatu waqtu pergeseran makna, kekeliruan penafsiran dan salahfaham pengamalannya. Malah ada juga yang amat parah sehingga mengkucar-kacirkan saf ummat Muslimin sendiri sehingga berpecah dan berbalah sesama sendiri.

Antara beberapa isu terkait dengan dengan jihad pada darsawarsa (dekad) ini adalah :

1.    Beberapa kelompok Muslim menyalahgunakan ibadah jihad sebagai dalih untuk melawan tindakan kekerasan, terorisme dan pembuatan jahat. Paling menjengkelkan adalah cara mereka bertindak adalah sama seperti musuh mereka itu juga. Dalam beberapa darsawarsa terakhir jihad secara sangat ekstensif dipergunakan oleh kelompok-kelompok Muslim tertentu untuk menghalalkan perbuatan bom bunuh diri. Kalau pun berbagai alasan boleh direkacipta untuk menjustifikasikannya, namun mesti diingat bahawa pembunuhan jiwa adalah hal amat besar dalam syari’at Islam, yang demikian itu sebab musababnya mesti diteliti.

2.    Atas nama jihad juga sekumpulan Muslimin menghalalkan perbuatan pembunuhan anak-anak kecil, wanita dan orang-orang tua. Sedangkan amat jelas mereka adalah orang awwam yang tidak terkait dalam peperangan. Malah amat jelas Islam melarang penindasan terhadap golongan awwam ini. Seringkali juga hal sebegini dinafikan atas alasan tidak senghaja, namun galuran peristiwa menunjukkan penfian itu adalah dangkal semata-mta. Kalau pun hal ini dianggap remeh, jelas sekali ini menjadi ciri yang membezakan antara perilaku orang kafir dengan ummat Muslimin.

3.    Ada juga kumpulan-kumpulan dalam kalangan Muslimin yang meletakkan fahaman dan perjuangan jihad dalam kerangka aqal-aqalan dan hawa nafsu. Asalnya mereka ini adalah Muslimin yang ada kesedaran terhadap Islam dan mahu memperjuangkan nasib ummat Muslimin yang tertindas, didzalimi dan diperangi di mana-mana. Maka mereka membentuk kumpulan kecil tersendiri yang akhirnya mereka pula menjadi penentang arus dimana sahaja malah di tempat yang aman damai dan sejahtera pun mereka mencipta kekecohan dan mahu berperang. Malah ada juga yang menyerang pihak kafirin yang tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku di tempat lain atas alasan qisas dan dendam.

4.    Terdapat sekumpulan Muslimin yang gemar bercakaran sesama sendiri, saling berantakan dan kadangkala berbunuhan, menghalalkan darah seorang Muslimin lain. Kadangkala hanya disebabkan sedikit salah faham yang langsung tidak signifikan pun untuk digaduhkan. Selalu juga terjadi hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik sepertimana yang banyak terjadi di negara-negara ummat Islam, sedangkan sistem amalan politik itu sendiri pun memang sah bukan dari Islam. Secara mikro perbalahan boleh terjadi disebabkan oleh beza mazhab, beza qaum, beza daerah, beza kabilah dan beza fikrah. Secara makro perbalahan terjadi antara negara. Semua kebobrokan dan kejengkelan ini disandarkan kepada jihad juga.

5.    Disebabkan perubahan masa dan keadaan, cara pemahaman ummat Muslimin terhadap asas jihad menurut syara’ juga berbeza-beza, saling bersilang dan culang-caling. Amat pelik, apabila sekumpulan Muslimin yang sedang berperang bermati-matian bermandi darah mempertahankan hak (misalnya di Falestin), ada pula sebahagian lain yang sedang hidup mewah berperut kenyang, lebih sibuk mencari segala macam asbab untuk menghukum perbuatan itu sebagai sia-sia (maqsudnya bukan jihad), Dan mereka merasakan pula bahawa perangai bercakap kuat dan berdegar-degar seumpama mereka itu walhal tidak membantu apa-apa pun, sebagai jihad yang betul.

6.    Sekumpulan lagi, apabila terlibat dengan sedikit perjuangan dalam apa jua bentuk, berdegar-degar menda’wa bahawa mereka telah jihad fi sabilillah. Malah lebih teruk lagi, sekiranya ada sekumpulan lain yang turut berjuang dalam bentuk yang lain pula, masih tetap dianggap tidak betul. Setiap kumpulan juga ditanam fikrah sebegitu. Dalam kata lain, setiap kumpulan saling mendakwa dan menuduh, dia sahajalah yang jihad fi sabilillah dan segala yang bukan seperti mereka, tidak betul belaka. Pemikiran cult/ta’asub kumpulan sebegini begitu mendalam sehingga mereka merasakan setiap orang diluar kumpulan mereka tidak cukup beriman belaka.

7.    Terdapat juga kumpulan yang secara gaya, pakaian, penampilan dan penguasaan ilmunya kelihatan amat hebat dan menjadi ikutan dalam kalangan ummat Muslimin yang menonjolkan jihad. Haqiqatnya mereka adalah pengekor dan pendokong agenda yahudi nasrani secara langsung atau tidak langsung supaya ummat Muslimin meninggalkan jihad yang sebenarnya. Mereka mencucuk-cucuk ke dalam otak ummat Muslimin supaya mengenal dan mengamalkan Islam secara ritual-ritual semata, majlis-majlis, pemahaman sekadar permukaan sahaja dan sumber asas ya’ni Al Qur’an dan As Sunnah sahihah tidak pun dikembangkan. Yang disebarkan adalah cerita karut, palsu dan kisah-kisah dongeng tentang jihad agar yang benar itu tersembunyi, supaya ummat Muslimin khayal dan bergelumang dalam ilmu serta fahaman sangka-sangkaan. Hasrat utama mereka ini adalah supaya ummat Muslimin tidak cerdik dan terusan menjadi pak turut melulu kepada mereka atau mengikut cara yang mereka mahu. Antara sebab mereka bertindak adalah supaya kekuasaan mereka tidak tergugat. Paling malang sekali segolongan sebegini yang banyak berkuasa di negara-negara ummat Islam.

8.    Paling banyak sekali adalah golongan yang tidak ambil pusing, tidak ambil tahu dan pengikut arus semata dalam hal jihad ini. Sebahagian darinya mengikut arus dan isu, ada terjadi sesuatu hal utama maka berbondong-bondonglah mereka kepadanya tanpa soal lagi. Malangnya mereka ini sering pula terikut kepala yang dangkal dan serong. Sebahagian lagi memang tidak langsung ambil pusing kecuali terjadi sesuatu yang terkena kepada batang hidung sendiri. Setelah terkena, terlompat-lompatlah mereka tak tentu hala.

Semua di atas menjelaskan betapa kecelaruan fahaman tentang Islam, tentang ilmu yang benar mengenai jihad dan kaifiyat perlaksanaannya yang sedang berlaku dalam kalangan ummat Muslimin sendiri. Inilah isu yang paling besar yang menjadi punca kepada semua kecelaruan. Dan kerananya ummat Muslimin saling berbantah, bergaduh dan bercakaran sama sendiri. Disebabkan tidak faham asas juga, maka banyak perlakuan dan tindakan yang dirasakan jihad yang benar itu haqiqatnya jihad yang bathil, merapu, mengarut dan hanya menambah kerosakan ke atas sesuatu yang memang telah sedia kelam kabut.

Pemahaman asas jihad yang keliru dan perlaksanaan jihad mengikut sesedap rasa ini sudah terbukti amat menodai kesucian jihad dan mencoreng hitam wajah Islam yang suci, mulia, damai dan sejahtera. Bahkan kesukaran itu bertambah-tambah dek kerana ummat Islam sendiri yang saling bercakaran, tidak tetap hala tuju, saling berburuk sangka, saling membenci malah paling dahsyat saling bergaduh sehingga berbunuhan sesama sendiri. Ini semua adalah fitnah amat besar, rasukan ejen-ejen dajjal dan langkah-langkah syaithan yang sedang berleluasa dalam jiwa-jiwa ummat Muslimin. Ia seumpama kuman barah yang sedang merebak tanpa dapat diubati, merosakkan sedikit demi sedikit tubuh badan seterusnya membunuh jiwa-jiwa.

Sehubungan dengan aksi-aksi mengatasnamakan jihad yang keliru tersebut, kesan yang ditanggung oleh Islam, institusi-institusinya dan ummat Muslimin keseluruhannya amat mendukacitakan. Para musuh mengambil kesempatan ini untuk memburukkan Islam sendiri sebagai agama wahyu sedangkan yang pening itu adalah para penganut yang keliru. Disebabkan itu, banyak Individu atau institusi Islam sewenang-wenangnya disorot tajam, bahkan dituduh sebagai teroris, ekstrimis, sesat dan segala macam hinaan dan nistaan yang tidak selayaknya. Paling menjengkelkan lagi, tuduhan liar sebegini tanpa usul periksa atau kerana hasad atau kerana hasutan musuh yang bersekongkol, terkeluar dari lidah rakan Muslimin sendiri. Sesuatu yang sungguh merugikan citra Islam.

Maka itu, marilah kita mengambil peringatan dari Allah Swt. dan rasul-Nya :

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk”.
Surah Ali Imran (3) : ayat : 103

“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Sesungguhnya Allah meredhai kamu dalam tiga perkara dan membenci kamu dalam  tiga perkara : Dia meredhai kamu apabila kamu beribadah (semata-mata) kepada-Nya dan tidak menyekutukan sesuatu kepada-Nya, dan apabila kamu berpegang teguh kepada tali Allah semua dan kamu tidak berpecah-belah. Dan Allah membenci kamu bila kamu suka berkata tanpa asas dan banyak bertanya (yang tidak berfaedah) dan mensia-siakan harta”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 3236

Bersambung….. Semoga nukilan ini telah membantu dan memberikan pedoman seqadar yang termampu kepada para penanya. InsyaAllah.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...