Khamis, 4 November 2010

MY SIDE OF MERDEKA (2010)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته 
 
Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.


Muqaddimah Kata, Alhamdulillah, sekali lagi kita menyambut Merdeka dalam kemuliaaan syahri Ramadhan. Seingat saya, ini adalah kali ke3 dalam tempoh 40 tahun hidup saya.
 
Merdeka yang kita sambut ini adalah bebasnya negara kita dari penjajahan totalitarian British yang mana, pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, telah bertukarnya teraju pemerintahan daripada Pesuruhjaya Tinggi Kerajaan British kepada Perdana Menteri, mewakili kerajaan yang digerakkan oleh anak-anak watan sendiri. Hari dimana Union Jack diturunkan dan ditukarganti bendera Persekutuan Tanah Melayu (kini Jalur Gemilang) dikibarkan. Perlembagaan negara yang digunapakai sekarang adalah hasil jawatankuasa yang diketuai Lord Reid (bermula 1955). Seterusnya pewujudan negara Malaysia pada 16 September 1963 dengan penyertaan Sabah dan Sarawak, setelah usainya referendum Suruhanjaya Cobbold (bermula 1961).
 
Manifestasi Merdeka, ekoran kemerdekaan itu telah tertonjollah beberapa perkara asas yang diamalkan sebagai menifestasi kepada hasil merdeka itu,
 
1.      Pemerintahan dijalankan dan digerakkan oleh rakyat sendiri. Tetap jua, secara tanpa sedar atau memang dirancang, pemerintah itu diterajui oleh sekumpulan aristokrat dari dahulu hingga sekarang. Malah trend semasa, aristokrat itu telah berubah menjadi feudal pula, yaitu mengikut keturunan.

2.      Hakikat yang terpaksa diterima oleh orang Melayu Islam dari kemerdekaan ini adalah, hilangnya hegemoni hak ke atas Tanah Melayu yang mana, golongan pendatang diterima sebagai rakyat biasa dengan kad pengenalan biru. Dalam kata lain, golongan pendatang mendapat hak yang sama.
 
3.      Yang berubah adalah orang yang menerajuinya, bukan semangat, jiwa atau paradigmnya yang hakikatnya tetap sama. Kerana itu tidak hairanlah, kalau kiblat kita dalam terlalu banyak perkara, tetap kepada UK biarpun dalam hal-hal pentadbiran negara sehingga kini.
 
4.     Menerimapakai, menghayati dan mempercayai doktrin atau falsafah ciptaan manusia iaitu ideologi kesamarataan (Liberalisme) yang diterjemahkan sebagai Demokrasi (sistem politik) dan Kapitalisme (ekonomi Laissez Faire), dalam erti kata lain menjadi sebuah negara Sekular (memisahkan hal agama dengan pentadbiran) sebagai tonggak dasar dan amalan negara.
 
5.     Meneruskan tradisi penjajah menjadikan Raja-Raja sebagai lambang boneka tanpa kuasa dan hanya “bertindak mengikut nasihat”, juga menjadikan hal Ehwal Agama Islam sebagai undang-undang kelas 2.
 
6.     Yang paling dahsyat hebatnya, adalah kejayaan seiring Kerajaan Penjajah dan Kerajaan anak watan ini sendiri, dalam hal mengekalkan kecemerlangan manusia Melayu Islam, sebagai juara dalam hal papa kedana berbanding bangsa lain dari dulu, kini dan selamanya.
 
Intipati Merdeka, adalah suatu kebebasan menyeluruh (holistic)
1.  Jasmaniyah : bebas untuk bersuara, memilih atau menolak, bertindak dan berperilaku tanpa sebarang sekatan, paksaan dan kawalan oleh individu/sekumpulan individu lain. Bebas untuk menggerak dan menjalankan apa jua hasrat dan amalan hidup sendiri tanpa belenggu larangan atau pengaruh orang lain. Dalam konteks negara, bebas untuk mengurustadbir negara dan menjaga kedaulatannya, mengikut acuan, keupayaan dan kemahuan kita sendiri, tanpa sebarang pengaruh/tunjukan secara langsung atau tidak langsung oleh kuasa/negara lain.
 
2.  Rohaniyah : bebas melaksanakan dan mengamalkan fahaman, ideologi, isme dan sistem kepercayaan sendiri (ritual dan spiritual) tanpa disekat dan dihalang. Kerana itu, manifestasi dari merdeka itu adalah minda dan jiwa yang luhur dan lurus kepada kebenaran bersandarkan kepada fakta dan hujjah, berteraskan kepada fahaman yang benar. Bukannya fakta dan jiwa yang dicedok dari fahaman asing diiringi rasa ria’, hasad dan hasrat menguasai, seterusnya sarat dengan pengaruh kesesatan.
 
Persoalan, sudah merdekakah kita atau, setahap mana telah kita merdeka? Mudah-mudahan masa akan memberi ruang kepada kita menjawabnya.
 
Di bulan mulia ini, ingin saya terangkan sedikit, secara ringkas tentang manifestasi merdeka pada diri seorang Muslim, untuk panduan kita bersama. Merdeka yang saya maqsudkan adalah hak penuh untuk melaksanakan peranan kita sebagai seorang Muslim tanpa pedulikan apa pun halangan. Ringkasannya begini,
 
Memasuki dan Menerima Islam dengan yaqin sebagai sesatunya Ad-Din, yang menjamin kebahagiaan, kemuliaan dan kemenangan dan menerapkannya dalam kehidupan, baik secara individu mahupun masyarakat. Akan menolak apa-apa jua yang lain dari Islam.
  
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Kabiir,
 
“dan Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman diantaramu dan mengerjakan amal-amal sholih bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dibumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan merubah (keadaan) mereka, setelah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka (tetap) beribadah kepadaKu dengan tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq”.
Surah An Nur (24) : ayat 55.
 
Mendahulukan dan Meninggikan al Islam (yaitu Alllah swt dan RasulNya) dalam semua urusan melepasi semua bentuk peraturan, fahaman, isme, sistem dan ideologi ciptaan manusia.
 
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Jabbar,
“sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Kitab, kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barangsiapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh, Allah sangat cepat perhitunganNya”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 19.
 
“Dia-lah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk (Al Qur’an) dan agama yang benar untuk diunggulkan atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai”.
Surah At Taubah (9) : ayat 33.

Tunduk dan Patuh sepenuhnya kepada Allah swt. dan RasulNya, bukan kepada selainNya, selaras dengan apa yang dituntut oleh Kalimah Toyyibah (2 kalimat syahadat), hanya beribadah kepada Allah swt. mengamalkan syariat-syariatNya, beriman denganNya, dan yaqin bahawa hal itu adalah sebenar-benarnya.
 
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Hakiim,
 
“dan barangsiapa berserah diri kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang kukuh. Hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan”.
Surah Luqman (31) : ayat 22.
 
Sabda Rasulullah saw.
“dari Muadz bin Jabal ra., ia berkata, telah berkata Nabi saw. : Tidaklah seseorang bersaksi bahawa tidak ada ilah (sesembahan) yang berhak diibadahi dengan benar selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah, dengan jujur dari hatinya, melainkan Allah mengharamkannya masuk neraka”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. Dan imam Muslim rh.
 
Meninggalkan Larangan, yang ditetapkan oleh Allah swt. dan RasulNya sekalipun perbuatan-perbuatan itu tidak dikatakan salah dalam peraturan manusia. Dan berusaha sebaik mungkin dari melakukan perkara yang dilarang dan dosa.
 
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Hamiid,
 
“dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), `Beribadalah kepada Allah sahaja dan jauhilah taghut`. Kemudian diantara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula dikalangan  mereka yang tetap dalam kesesatan. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan oarang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).
Surah An Nahl (16) : ayat 36.

Melaksanakan Sepenuhnya, peraturan dan hukum hakam Islam. Pada hemat saya, merdeka sebagai Muslim itu adalah kita boleh melaksanakan sepenuhnya syariat Islam dalam kehidupan kita. Bukan mengambil sebahagian sahaja dan meninggalkan sebahagian yang lain.
 
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Majiid,
 
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam keseluruhan (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 208

Moga hasil usaha amat sedikit ini boleh jua memberi manfaat, meningkatkan ilmiah serta iltizam rakan-rakan, untuk insan lebih baik sempena ramadhan yang Barokah ini.
Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.
سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam


Read more...

FIQH TENTANG MAKAN

0 ulasan


السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
   
بسم الله الرحمن الرحيم

 

Dalam hadis yang muttafaqun ‘alaih,

يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ
Wahai anak, sebutlah nama Allah, dan makanlah dengan tangan kananmu, serta makanlah yang ada di hadapanmu." (HR. Al-Bukhari no. 5376, Bab Membaca Basmalah ketika Makan dan Makan dengan Tangan Kanan; Muslim no. 2022, Bab Adab Makan-Minum dan Hukumnya)
 
Dalam Sahih Muslim disebutkan sebuah riwayat,
« إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ ».
"Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaknya juga minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula." (HR. Muslim no. 2020, Bab Adab Makan-Minum dan Hukumnya)
 
Dalam kitab yang sama disebutkan riwayat lainnya,
 
أَنَّ رَجُلاً أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِشِمَالِهِ فَقَالَ « كُلْ بِيَمِينِكَ ». قَالَ لاَ أَسْتَطِيعُ قَالَ « لاَ اسْتَطَعْتَ ». مَا مَنَعَهُ إِلاَّ الْكِبْرُ. قَالَ فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ.
Ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam dengan tangan kirinya. Lalu Rasulullah bersabda, ‘Makanlah dengan tangan kananmu!’ Dia malah menjawab, 'Aku tidak mampu.' Baginda bersabda, ‘Engkau tidak akan mampu’ –tidak ada yang menghalangnya (daripada makan dengan tangan kanan) kecuali kerana sifat sombong -. Setelah itu tangannya tidak boleh sampai ke mulutnya.” (HR. Muslim no. 2021)
 
Dari beberapa hadis di atas, kita dapat menarik pelajaran bahawa dilarang makan dengan tangan kiri.
 
Kebanyakan ulama Syafi’iyah berpandangan bahawa hukum makan dengan tangan kanan hanyalah sunat (dianjurkan). Demikianlah yang dipilih oleh Al Ghazali kemudian An Nawawi. Akan tetapi, ada pendapat tegas daripada Imam Asy Syafi’i dalam kitab “Ar Risalah” dan di tempat lain dalam “Al Umm” yang menyatakan bahawa hukum makan dengan tangan kanan adalah wajib.[1]
 
Pendapat yang dikatakan oleh Imam Asy Syafi’i, itulah yang dinilai lebih kuat.
Penulis ‘Aunul Ma’bud, Al ‘Azhim Abadi memberikan penjelasan, “Pada hadis (urutan kedua seperti di atas, pen) secara zahir menunjukkan perintah untuk makan dan minum dengan tangan kanan adalah wajib. Demikianlah pendapat sebahagian ulama. Bahkan hal ini dikuatkan oleh riwayat Muslim, “Ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam dengan tangan kirinya. Lalu Rasulullah bersabda, ‘Makanlah dengan tangan kananmu!’ Dia malah menjawab, 'Aku tidak boleh.' Baginda bersabda: Engkau tidak akan mampu’ –tidak ada yang menghalangnya (daripada makan dengan tangan kanan) kecuali kerana sifat sombong -. Setelah itu tangannya tidak boleh sampai ke mulutnya..”[2]
 
Ertinya jika dikatakan wajib, maka yang makan atau minum dengan tangan kiri dengan sengaja, bererti melakukan hal yang haram. Demikianlah yang lebih tepat kerana ada penguat dalam riwayat Muslim yang menyatakan bahawa makan dengan tangan kiri menyerupai perbuatan syaitan. Inilah yang menjadi alasan wajibnya sebagaimana telah jelas dalam kaedah fiqhiyah. Wallahu a’lam.
 
Namun jika ada uzur (halangan) menggunakan tangan kanan kala itu, maka dimaafkan jika terpaksa menggunakan tangan kiri. Ibnu Baththal menukil perkataan Ath Thabari, di mana beliau berkata, “Tidak boleh makan dan minum dengan tangan kiri kecuali bagi orang yang tangan kanannya dalam kesulitan untuk digunakan kerana mesti melakukan hal lainnya seperti digunakan untuk mengambil, memberi, mengangkat, meletakkan atau membentangkan sesuatu.” Lalu Ath Thabari menyebutkan riwayat ‘Ali yang mendukung hal ini.[3] Ingat sekali lagi, dibolehkan dengan tangan kiri di sini ketika memang darurat, bukan kerana malas.
 
Demikian sajian singkat malam hari ini. Semoga yang sedikit ini bermanfaat.
Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi tatimmush sholihaat.





[1] Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqolani, Darul Ma’rifah, 1379, 9/522
[2] ‘Aunul Ma’bud, Al ‘Azhim Abadi, Abuth Thoyib, Darul Kutub Al ‘Ilmiyyah, cetakan kedua, 1415 H, 10/179
[3] Syarh Al Al-Bukhari, Ibnu Baththol, Asy Syamilah, 18/27


dipetik dari:

Read more...

Isnin, 1 November 2010

Di Sebalik Ucapan Salam

0 ulasan





السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
   
بسم الله الرحمن الرحيم


Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, sahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh.
“Assalamualaikum” merupakan ucapan salam dalam bahasa Arab, dan digunakan oleh seluruh umat Islam. Ucapan ini adalah sunnah Nabi Muhammad s.a.w., bagi mendekatkan ukhuwwah dan silaturrahmi Islamiyyah umat Muslim di seluruh dunia. Status hukum memberi salam ini adalah sunnat mua’kkadah, sedangkan menjawabnya adalah wajib. Sedikit pencerahan asas :

Lafaz salam membawa maksud ‘sejahtera’ atau ‘’kesejahteraan’. Memberi salam membawa maksud mendoakan kesejahteraan dari segala bencana ke atas seseorang. Dari segi bahasa Arab, sekiranya digunakan ungkapan al salam (sebutan as salam), ia merujuk kepada asma (nama) dan sifat Allah swt yaitu Yang Maha Sejahtera. Memandangkan lafaz as salam itu adalah sebahagian nama Allah swt., sebar-sebarkanlah ia diseluruh muka bumi ini. Namun, haruslah berhati-hati agar tidak diungkapkan perkataan as salam itu secara silap.

Sesungguhnya memberi salam ini memberikan hikmah amat banyak kepada ummat Islam. Perkara hikmah, adab-adabnya (suruhan serta larangan) dan persoalan salam dengan bukan Muslim tidak saya nyatakan dalam artikel ini. Mungkin dalam ketika yang lain. InsyaAllah.

Asas kepada as sunnah (perkataan, perbuatan dan persetujuan) baginda Rasulullah saw. dalam hal salam ini, adalah perintah Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Hakiim berikut :

“Apabila orang-orang yang  beriman kepada ayat-ayat Kami (Al-Qur’an) itu datang kepadamu, maka katakanlah “Salaamun’alaikum (A)”, Tuhanmu telah menetapkan atas diri-Nya kasih-sayang (B). (yaitu) Bahawasanya barangsiapa yang berbuat kejahatan diantara lantaran karena kejahilannya (C) kemudian dia bertaubat setelah mengerjakannya dan mengadakan perbaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Surah Al An’aam (6) : ayat 54

A : bermaksud – mudah-mudahan Allah swt. melimpahkan kesejahteraan ke atas kamu
B : bermaksud – Allah swt. Telah berjanji sebagai kemurahan daripadaNya akan melimpahkan rahmat kepada makhlukNya
C : bermaksud – orang yang melakukan kejahatan kerana kurang kesedaran lantaran sangat marah atau terlalu mengikut hawa nafsu.

"…….. Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah-rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang beerti memberi salam) kepada dirimu sendiri, salam yang ditetapkan disisi Allah, yang diberi berkat lagi baik. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatNya bagimu, agar kamu mengerti”.
Surah An Nur (24) : ayat 61

Baginda Nabi saw. memerintahkan ummatNya untuk memberi salam ini menerusi sabdanya dibawah :

Dari Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah saw. telah  bersabda: “Kamu tidak dapat memasuki Syurga kecuali bila kamu beriman. Imanmu belumlah lengkap sehingga kamu berkasih-sayang satu sama lain. Mahukah kuberitahukan kepadamu sesuatu yang jika kamu kerjakan, kamu akan menanamkan dan memperkuat kasih-sayang diantara kamu sekalian? Sebarkanlah ucapan salam satu sama lain, baik kepada yang kamu kenal mahupun yang belum kamu kenal.”
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh.

Dari Abdullah bin Mas’ud ra. beliau mendengar bahawa Rasulullah saw. bersabda, “Salam adalah salah satu Asma Allah swt. yang telah Allah turunkan ke bumi, maka tebarkanlah salam. Ketika seseorang memberi salam kepada yang lain, darjatnya ditinggikan dihadapan Allah. Jika jama’ah suatu majlis tidak menjawab ucapan salamnya itu, maka makhluk yang lebih baik dari merekalah (yakni para malaikat) yang menjawab ucapan salam.”
Hadis diriwayatkan oleh imam Al Bazaar rh. dalam kitabnya al Musnad dan dishohihkan oleh imam at Thabarani h. dalam kitabnya Al Mu’jam Al Kabir.

Dari Abu Umammah ra. meriwayatkan bahwa beliau mendengar baginda Rasulullah saw.  Bersabda :”Orang yang lebih dekat kepada Allah adalah yang lebih dahulu memberi Salam.”
Hadis riwayat imam Ahmad rh. imam Abu Dawud rh. dan imam At Tirmidzi rh.

Menjawab salam yang diterima adalah wajib berdasarkan hadis ini :

Dari Abu Hurairah ra. ia berkata : aku mendengar Rasulullah saw. Bersabda : “Kewajiban sesorang Muslim terhadap sesama Muslim ada lima : Menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantar janazah, mendatangi undangan dan mendoakan orang bersin jika ia membacakan alhamdulillah (segala puji bagi Allah)”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Terdapat perintah Allah swt. yang menuntut orang mukmin membalas penghormatan dan kebaikan yang diberikan kepada hambaNya, sepertimana firmanNya di dalam Al Qur’an ul Hakiim :

“Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa. Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu (yang kamu kerjakan)”.
Surah An Nisa’ (4) : ayat 86.

Allah swt. menceritakan juga bahawa perbuatan memberi salam ini adalah amalan perbuatan para ahli syurga sepertimana firmanNya di dalam Al Qur’an ul Kabiir :

"Doa (A) mereka di dalamnya (syurga), 'SubhanakAllahumma (B) ', dan salam penghormatan mereka : 'Salam (C)', dan penutup doa mereka adalah : akhir seruan mereka : 'Alhamdulillahi rabbil a’alamin (D)".
Surah Yunus (10) : ayat 10.

A : bermaksud – puja dan puji mereka kepada Allah wt.
B : bermaksud – Maha Suci Engkau, wahai tuhan kami.
C : bermaksud – sejahtera dari segala bencana.
D : bermaksud - segala puji bagi Allah, Pencipta semesta alam

Ayat  Allah swt. yang disebutkan di atas, sering digunakan dalam pengakhiran doa sekarang ini.

"dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal solih ke dalam syurga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai,  mereka kekal di dalamnya dengan seizin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka di dalam syurga itu ialah Salaam (A)".
Surah Ibrahim (14) : ayat 23.

A : bermaksud – sejahtera dari segala bencana

Di hari akhirat nanti, golongan mukmin dan ahli syurga yang bertemu Allah swt. akan mengucapkan salam, sepertimana firman Allah swt. di bawah :

“Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemuiNya ialah Salaam, dan Dia menyediakan pahala yang mulia kepada mereka”.
Surah Al Ahzab (33) : ayat 44.

Perbuatan mengucapkan salam ini adalah juga amalan para Nabi as. terdahulu sepertimana keterangan berikut :

Dari Abu Hurairah ra. adalah beliau mendengar bahawasanya Nabi saw. bersabda : “Dahulu Allah swt. telah menciptakan Adam as. yang tingginya 60 hasta (tangan kalian) kemudian berfirman: Pergilah kamu dan serilah salam kepada mereka para malaikat dan dengarkanlah bagaimana mereka menjawab salam penghormatan kepadamu dan juga salam penghormatan daripada anak keturunanmu. Maka Adam menyampaikan salam ‘As salaamu a’laikum’. Mereka menjawab ‘As salaamu a’laika warahmatullah’. Mereka menambahklan kalimat ‘warahmatullah’. Nanti setiap orang yang masuk syurga bentuknya sama seperti Adam as. dan manusia terus sahaja berkurang (tingginya) hingga sekarang”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh.

Terdapat firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Aziiz yang menunjukkan perilaku memberi salam oleh para Nabi terdahulu, sepertimana berikut :-

"Dan sesungguhnya utusan-utusan kami (malaikat-malaikat) telah datang kepada Ibrahim dengan membawa khabar gembira, mereka mengucapkan Salaaman (selamat). Ibrahim menjawab, Salaamun (Selamatlah), maka tidak lama kemudian Ibrahim menyuguhkan daging anak sapi yang dipanggang”.
Surah Hud (11) : ayat 69.

"Berkata Ibrahim : 'Salaamun alaika (semoga kesejahteraan dilimpahkan kepadamu)', Aku akan meminta ampun untuk kamu kepada Penciptaku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku”.
Surah Maryam (19) : ayat 47. Ini adalah ayat dialog Nabi Ibrahim as. dengan ayahnya.

Di dalam Surah Al An’aam (6) : ayat 54 di atas, adalah jelas bahawa Allah swt. telah menetapkan penggunaan perkataan “Salaamun’alaikum” sebagai lafaz atau seruan salam. Oleh itu, lafaz ini boleh digunakan untuk memberikan salam. Namun, terdapat lafaz lain yang digunakan oleh para sahabat ra. dan diperakui oleh baginda Rasulullah saw. sepertimana hadis di bawah :

Dari Ibnu Jarir ra. dan Ibnu Abi Hathim ra. mereka menceritakan : Suatu hari ketika Rasulullah saw. sedang duduk bersama para sahabatnya, seseorang datang dan mengucapkan, “Assalaamu’alaikum.” Maka Rasulullah saw. pun membalas dengan ucapan “Wa’alaikum salaam wa rahmah”. Orang kedua datang dengan mengucapkan “Assalaamu’alikum wa rahmatullah” Maka Rasulullah membalas dengan, “Wa’alaikum salaam wa rahmatullah wabarakatuh”. Ketika orang ketiga datang dan mengucapkan “Assalaamu’alikum wa rahmatullah wabarakatuhu.” Rasulullah SAW menjawab: ”Wa’alaika”.
Orang yang ketiga pun terperanjat dan bertanya, namun tetap dengan kerendah-hatian, “Wahai Rasulullah, ketika mereka mengucapkan Salam yang ringkas kepadamu, Engkau membalas dengan Salam yang lebih baik kalimatnya. Sedangkan aku memberi Salam yang lengkap kepadamu, aku terkejut, Engkau membalasku dengan sangat singkat hanya dengan wa’alaika.” Rasulullah SAW menjawab, “Engkau sama sekali tidak menyisakan ruang bagiku untuk yang lebih baik. Kerana itulah aku membalasmu dengan ucapan yang sama sebagaimana yang di khabarkan Allah didalam Al-Qur’an (Surah An Nisa’ (4) : ayat 86)”.

Mengikut keterangan yang dinyatakan di atas, sebutan lafaz memberi salam mempunyai 4 frasa manakala jawabnya mempunyai 3 frasa sepertimana yang diamalkan oleh Nabi saw. dan para sahabatnya. Maka boleh mengguna pakai mana-mana satu frasa yang dinyatakan itu.

Bagaimanapun, ingin saya peringatkan bahawa, tambahan lafaz “ta’ala” dalam memberi dan menjawab salam, langsung tiada keterangannya. Sepanjang pengajian dan rujukan saya, tidak pernah ditemui keterangan adanya lafaz “ta’ala” itu dalam ucapan salam. Perkara yang tiada contoh syara’ ini, mestilah ditinggalkan. Oleh itu, janganlah diamalkan.

Berdasarkan keterangan yang dinyatakan diatas, telah jelas dan terang lafaz bagi memberi dan menjawab salam telah ditunjukkan oleh Allah swt. dan Rasul-Nya. Maka itu, jangan sekali-kali disebut lafaz yang lain seperti semekom, akum, askum, salam dan berbagai lagi yang lafaz yang tidak pernah diajar dan dicontohkan. Sesungguhnya, lafaz salaam ini kalaupun dihukumkan sunnat muakkadah sahaja, mestilah diucapkan mengikut ketetapan Allah swt dan Rasul-Nya. Tidaklah boleh ia dibuat sesuka hati dan dijadikan bahan senda gurau.

Sekarang ini, timbul persoalan berkenaan sikap banyak orang yang suka meringkaskan penulisan lafaz salam itu. Dan ia kini menjadi polemic. Isu yang paling sering dibangkitkan adalah ia membawa makna yang lain, bukan maksud salam, malah ada yang membawa maksud yang buruk-buruk dan hina. Beberapa kali juga saya ditanya berkenaan hal ini. Dalam beberapa kuliah juga saya ditanya dan maklumbalas saya adalah begini.

1.     Tiada kompromi bahawa lafaz memberi salam dan menjawab itu, apabila disebutkan, mestilah ia dengan jelas sepertimana ditetapkan oleh ayat Al Qur’an dan hadis-hadis shohih dari Rasul-Nya.

Saya tiada halangan ke atas meringkaskan tulisan kerana,

2.     Secara penulisan, adalah biasa dilakukan ringkasan sepertimana dilakukan ke atas ra. (Rodhiallahu anhu), swt. (Subhnahu Wa Ta’ala), saw. (Solallahu alaihi wassalam), rh. (Rohimahullah), as. (A’laihissalam) dan beberapa lagi. Dalam berbahasa, harus difahami bahawa, terdapat perbezaan amat jelas antara sebutan (makhraj), makna (maqasid) dan tulisan (harf). Kerana itu wujudnya disiplin ilmu Translation & Interpretation yang bergerak sekaligus.

3.     Kalaupun ia diringkaskan, maqasidnya adalah juga tetap sama dan difahami. Sama juga dengan niat dan maksud, bagi ringkasan yang dibuat ke atas perkara-perkara lain. Saya bersangka baik bahawa, niat penulis ringkasan itu bermaksud memberi salam, tiada niat selainnya. Ia difahami oleh pemberi dan penerima.

4.     Pernah berlaku perbalahan tentang ringkasan ‘saw’ yang dikata sebahagian orang bermaksud ‘gergaji’ (English). Padahal dalam kitab-kitab dan penulisan English pun, mereka gunakan ringkasan ‘pbuh’ dari asal ‘peace be upon him’. Adalah menjengkelkan sekiranya, perkataan ringkas diberimaknakan mengikut bahasa dan budaya lain. Ini kerana ta’rif dan maqasidnya tentu sekali berbeza. Ayat ringkas saya, fahami teks (tersurat) betul-betul dan fahami konteks (tersirat) juga betul-betul. Ia dua perkara tidak sama.

5.     Namun begitu, sekiranya jelas diketahui bahawa ringkasan itu membawa maksud lain seumpama menyerupai maksud perkataan lain yang tidak baik, mesti ia ditinggalkan. Sebagai contoh AKUM yang bermaksud binatang hina dalam Bahasa Ibrani. Namun begitu, sekiranya mahu diambil makna secara penuh perkataan itu, bukan maqasid ringkasan asalnya, baiklah dilanjutkan juga hasrat itu ke perkataan lain yang memberi maksud berbeza (dalam bahasa dan budaya lain). Itu lebih adil.

Kecelaruan juga timbul akibat tiada tarjih dan ijma’ ke atas kata ringkas yang boleh digunakan. Kerana itu wujud inconsistency dalam penggunaannya dan timbul bermacam perkataan dan kelihatan lucu. Untuk itu, saya cadangkan supaya menggunakan perkataan ‘Salaam’ sebagai ringkasan, kerana lafaz ini adalah digunakan oleh Allah swt. sendiri didalam KitabNya (seperti petikan di atas) dan disepakati oleh semua fuqaha dan mufassirin sama ada salaf atau khalaf yang ia bermaksud “mudah-mudahan Allah swt. melimpahkan kesejahteraan ke atas kamu”.

Ataupun, sekiranya masih dok bergaduh dan menghukum itu ini disebabkan perkataan ringkasan itu, tak buat pun tak apa (ia sunnat sahaja), itu lebih baik daripada buat dan menjadi masalah pula. Yang jelas, rupa-rupanya dalam perkara kecil dan semudah ini pun, kita tak boleh nak berpakat, apatah pula dengan hal lebih besar?

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام 

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Read more...

Sabtu, 30 Oktober 2010

PERTANYAAN MENGENAI KAYU KOKKA

0 ulasan

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

SALAM ABANG MAD, moga selamat sejahtera. Saya nak tanya kat Abang Mad, soalan mengenai KAYU KOKKA. Boleh tak terang lebih terperinci, apa sebenarnya yang ada kelebihan pasal KAYU KOKKA ini, sebab dalam masyarakat Melayu kita sekarang ini dah terlalu obses pasal benda-benda KAYU KOKKA ni.

Ada sesetengah beranggapan dan percaya yang
KAYU KOKKA ini sebagai pendinding diri dari gangguan jin serta setan, sihir dan benda-benda halus, membawa berkat, airnya jadi penawar penyakitnya, pelaris berniaga, murah rezeki la kalau disimpan dan macam-macam lagi la. Kerana tulah ramai orang buat tangkal, simpan dalam rumah, kereta, kedai, buat cincin dan macam-macam lagi. Bukankah kepercayaan yang pelik-pelik ini tahyul?

Harap Abang Mad boleh bagi penerangan lebih detail pasal
KAYU KOKKA ni. Saya hairan sungguh dengan tanggapan orang pada KAYU KOKKA ni. Tq
Regards
asmeer_ahmad@yahoo.com.my



السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, sahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh.

Saya mendapat soalan daripada asmeer_ahmad@yahoo.com.my, berkenaan kayu koka seperti dinukilkan dibawah. Sukar juga untuk saya menyediakan dan memaklumbalas jawaban ini lantaran melibatkan beberapa rujukan. Saya pernah melihat kayu koka dalam berbagai saiz dan rekabentuk dan juga harganya, terutamanya semasa di 2 Tanah Suci. Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang ceritera kayu koka ini, melainkan sejak tiga empat tahun kebelakangan ini.

Dari apa yang saya lihat sendiri, memang benar, orang sekarang telah mengguna pakai kayu koka ini dalam berbagai cara seperti cincin, buah rantai, tongkat, tasbih, manik-manik dan gelang tangan. Saya akui juga ada yang jadikan tangkal azimat, pendinding dari bala, pelaris berniaga, penghalang hantu syaitan dan macam-macam lagi. Sering juga saya terdengar cerita-ceriti tentangnya yang boleh berupaya itu ini dan memberikan kesan begitu dan begini. Pernah juga saya membaca buku kecil yang menyebutkan tentang bermacam penggunaan dan kebaikan kayu koka ini. Saya ada juga membaca flyers yang diberikan semasa di 2 Tanah Suci, juga menyebutkan hal kaifiat kayu koka dengan berbagai cerita.


Sepanjang pengetahuan saya, kayu koka ini adalah sejenis kayu keras, tahan lama dan berbau wangi yang pohonnya tumbuh di negara sub-gurun meliputi negara Arab, Turki sehinggalah ke Magrhribi dan utara Nigeria. Antara alkisah paling hebat pernah saya baca dan dengar-dengar tu :

1. Allah swt. perintahkan Nabi Nuh as. gunakan kayu koka bagi membuat kapal.
2. Allah swt. menjadikan tongkat Musa as. juga daripada kayu koka.
3. Kayu koka adalah yang paling direstui Allah swt. maka itu mempunyai banyak manfaat dan kelebihan.
4. Kayu koka digunapakai oleh para Anbiya' dan orang-orang alim dahulu lagi.


Di 2 Tanah Suci, orang negara kita suka mencari-cari kayu ini, sementelahan pula pilihan banyak dan berbagai bentuk. Sibuklah para pekerja hotel menjadi broker dan servis jual beli sampai ke dalam bilik. Pada saya, harganya mahal, namun banyak orang beli juga. Malah tiap kali rombongan negara kita sampai di mana-mana tempat berziarah, berduyun-duyun penjual kerumuni untuk menjual. Saat itu, terdengarlah macam-macam lagi kaifiat kayu koka itu, yang jauh lebih pelik dari yang biasa saya dengar dan baca. Memang sungguh memukau dan memikat, tak hairanlah ramai yang percaya dan rela membeli, kalaupun harga mahal dan tidak munasabah. Ditempat kita ini pun ramai para penjual, dengan ayat-ayat syahdu dan sedap bersulam segala macam cerita indah dan menusuk hati. Maka ramai yang terpikat juga, lantas membeli.


Untuk makluman semua, Islam sememangnya membenarkan ummatnya memakai dan menggunakan perhiasan. Kerana itulah, sejak zaman Nabi Muhammad saw. lagi, para sahabat memakai perhiasan dan tidak dilarang. Hal ini dinukilkan dalam banyak riwayat shohih. Ini termasuklah menggunakan batu permata, emas, perak, kayu dalam bentuk perhiasan di tubuh badan atau di rumah. Kerana itu, sekiranya kayu koka ini, semata-mata digunakan sebagai perhiasan, atas sebab seni, indah dan wanginya ataupun sebagai cenderahati kepada sahabat handai, tiada salahnya. Boleh juga diterima sekiranya atas dasar mewahnya dan uniknya. Maklumlah di zaman ini orang sukakan kelainan dan eksklusif, sementelahan pula berkemampuan. Ini adalah diharuskan.


Sepanjang saya belajar dan terus belajar sehingga kini, tiada pernah saya menemukan biarpun satu ayat Al Qur'an ul Aziiz mahupun sepotong hadis Nabi saw. yang menyebut tentang kayu koka, kaifiatnya, perintahNya untuk itu ini, kaitannya dengan para Anbiya' dan Auliya',  sepertimana yang disebut-sebut dan dipercaya oleh orang banyak. Memang tiada, dan saya pelik juga dari mana asal-usul, sumber dan epistimologi kepada segala alkisah dan ceritera itu. Harapnya para pembawa ceritera itu dapat kemukakan dalil-dalil shohih atas kata-kata mereka. Jika tidak dapat, hentikan saja amalan itu. Tolong ingat betul-betul, sesuatu yang dikaitkan dengan kepercayaan (iman) dan perlakuan para Nabi a'laihissalaatu wassalam, mesti dengan dalil shohih dan qati'e, bukan fiksyen atau dongeng. Allah swt.dan Nabi saw. tidak pernah mengkhabarkan dan mencontohkan seterusnya mewariskan kepada kita-kita ini, cerita dongeng dan karut marut serta sangka-sangkaan. Sepertimana kisah Ashabul Kahfi yang tidak mati, cuma tidur ratusan tahun dalam gua, yang kemudian bangkit semula, kalaupun logik akal kita hari ini tak boleh terima, namun ia adalah realiti. Wajib ke atas kita, yang mengucapkan 2 syahadah, mempercayainya tanpa rasa ragu atau ingkar. 


Permasalahan yang timbul seputar kayu koka ini dalam masyarakat kita adalah wujudnya hal-hal dan tanggapan lain yang bukan berkisar kepada perhiasaan semata-semata. Saya rungkaikan masalah itu mengikut kes begini ;

1. Halatujunya Adalah Perniagaan - para pengusaha dan penjual mengggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan untuk memasarkan kayu koka. Pasti sekali mereka ini pandai bermuka, bermadah dan merayu-rayu. Pastinya juga memasukkan unsur Islam iaitu mengaitkan dengan Allah swt. dan nabi-nabi merupakan cara paling ampuh untuk mendapat pasaran.  Tidak hairanlah dari mulut-mulut penjual itu akan terkeluar berbagai cerita ajaib dan pelik-pelik, menakjubkan orang mendengarnya, lantas percaya yang kata-kata palsu itu benar belaka, lalu membeli dan seronok pula dengannya. Maka, matlamat penjual itu dah tercapai tanpa mengira cara menjualnya. Pesanan saya, jangan permain iman dan tawadhuk orang dan jangan perguna Allah swt. dan para nabi-Nya untuk berniaga.   

2. Kepercayaan Membuta Tuli dan Mendekatkan Diri Kepada Ditipu - pernah saya terjumpa sekumpulan orang (sebenarnya rakan-rakan sebilik) masing-masing mendakwa yang kayu koka merekalah yang asli dengan pernyataan itu ini. Masing-masing mendakwa hak mereka itu boleh itu ini dengan harga begitu begini. Apa yang saya lihat adalah, berbagai jenis kayu sebenarnya, ada sangat keras, ada agak lembut, ada yang tiada bau, ada pula yang wangi. wangi itu pun bermacam, warna dan tona warna juga berbagai ragam, ada yang berat dan ada yang ringan. Memang tiada siapa pun boleh pastikan mana yang asli. Itulah sebenarnya berlaku. Dua-dua asli atau palsu itu tak dikenali pun. Namun, masih ramai yang tetap berbelanja sakan ke atas 'kayu koka asli' itu. Apa yang lebih patut, adalah tak beli langsung. Itulah yang sebaik-baiknya.

3.
Mengkaitkan Kayu Koka dengan Hal Ghaib Tanpa Dalil atau PerintahNya - kayu koka ini dipercayai boleh memberi barokah, berupaya memberi bekas, kemudharatan atau kemanfaatan, inilah i'tiqad, amalan dan perkataan yang dilarang oleh Islam. Malah, perbuatan itu adalah syirik yang amat jelas kepada Allah swt. dengan meyakini bahawa ada sesuatu selain Allah swt. yang boleh memberi kesan, mudharat atau manfaat. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah saw. dalam beberapa hadis :

“Barang siapa menggantungkan tangkal, maka Allah tidak akan menyempurnakan (imannya) dan barang siapa menggantungkan azimat, maka Allah tidak akan mempercayakan kepadanya.”
Hadis shohih riwayat imam Ahmad rh., imam Abu Ya’la rh. dan imam Hakim rh.

Abdullah bin Mas’ud ra. pernah mendapati isterinya memakai kalung yang ada padanya tangkal (benang dililit di lehernya). Beliau melucutkan tangkal itu dan memotongnya sambil berkata: “Seluruh keluarga Abdullah tidak boleh melakukan amalan syirik kepada Allah dengan sesuatu yang tidak pernah diturunkan oleh Allah keterangannya.” Kemudian beliau menyatakan yang beliau pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik. Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, jampi dan tangkal sudah kami tahu, apakah yang dinamakan ‘tiwalah’ itu? Baginda menjawab: Tiwalah itu ialah pekerjaan yang dilakukan kaum wanita supaya dengannya suami menyayangi isteri mereka.”
Hadis riwayat imam Ibnu Hibban rh. dan imam Hakim rh.

Menggantung dan memakai tangkal, menyimpan apa jua tangkal dalam bentuk batu, permata, kayu, kain, kertas, tulisan dan berbagai lagi asalnya adalah amalan jahiliah yang menggunakan sihir untuk sesuatu maksud. Setelah kedatangan Islam dan wahyu Allah, sudah tentulah amalan sebegini dihapuskan kerana harapan dan munajat orang Islam hanyalah kepada Allah, berdoa serta mengharapkan rahmat-Nya tanpa ada sesuatu lain dijadikan alat. Hari ini ada dua jenis tangkal yang berbeza, iaitu tangkal dibacakan ayat al-Quran, nama Allah atau doa dan jenis kedua, alat diperbuat daripada logam iaitu keris, paku, jarum, duit syiling, cincin, tembaga, timah, kulit binatang, misai atau kuku harimau, sisik tenggiling, benang, tasbih, kayu dan sebagainya.

Menurut ulama, tangkal yang ditulis ayat al-Quran, nama Allah, sifat-Nya dan doa tidak kira di mana digunakan, sama ada digantung di leher, diikat di pergelangan tangan, di pinggang, diletak di bawah bantal, di bawah alas tempat tidur, digantung di dinding, atau di atas rangka pintu tidak boleh digunakan berdasarkan kepada hadis umum :
“Sesungguhnya jampi dan tangkal juga tiwalah itu syirik.”
Hadis riwayat imam Ahmad rh. dan imam Abu Daud rh.

Juga berdasarkan kepada hadis daripada Aqabah bin Amir ra. yang bermaksud:
“Barang siapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia sudah syirik.”
Hadis riwayat imam Ahmad rh. imam Abu Daud rh. imam Ibn Majah rh. dan imam Ibn Hibban rh.

Bukanlah manusia tidak perlu berbuat apa-apa untuk mengelak daripada kecelakaan, tetapi ia harus dilakukan dengan ikhtiar yang tidak menyekutukan Allah. Untuk melariskan perniagaan, bukanlah dengan pelaris yang berupa tangkal, dijampi serapah dan dipacakkan di tengah gerai. Dan, bukanlah juga untuk menghalau hantu setan dan sihir dengan menggantungkan kayu koka ditubuh badan atau menyimpannya di dalam rumah.

Rasulullah SAW bersabda : “Berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Zat yang membuat penyakit, Dia pula yang membuat ubatnya.”
Hadis riwayat imam Ahmad rh.



Pasti juga, jika dikatakan ini kepada mereka yang mengamalkan kepercayaan dan perbuatan menghampiri tahyul dan khurafat ini, dengan bersifat tangkalan dan azimatan terhadap kayu koka, barang tentu mereka akan nafikan dengan sekerasnya. Maka, akan dikatakan itu hanyalah usaha dan ikhtiar semata-mata. Padahal mereka ini dengan jelas mencampuradukkan yang haaq dengan yang batil (dengan mempersekutukan Allah dengan selainnya). 

Sesungguhnya amalan mereka ini tertolak sepertimana disabdakan oleh Rasulullah saw. dalam sebuah khabar rabbani (hadis qudsi) :

dari Abu Hurairah ra, bahawasanya aku mendengar Nabi saw. bersabda : "Allah swt. berfirman, Aku adalah Zat yang paling tidak memerlukan persekutuan. Oleh kerana itu, barangsiapa mengerjakan suatu amalan yang ia persekutukan amalan itu untukKu dengan selainKu, maka Aku berlepas diri darinya".
Hadis riwayat imam Muslim rh. imam Ibnu Majah rh. imam Ahmad rh. dan imam at Thayalisi rh.

Maka, berhati-hatilah ke atas apa-apa amalan dan kerpercayaan ke atas kayu koka ini, agar tidak kita berlaku syirik kepada Yang Maha Agung, Allah swt. Moga saya telah membantu.

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام 

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Read more...