Khamis, 28 Julai 2011

Antara Belanja Hangus Dan Mas Kahwin

0 ulasan
Cc:
Sent: Sat, May 12, 2011 11:49:51 PM
Subject: Wang Hantaran Dan Mas Kahwin

Salaam! moga Abang Mad dalam baik-baik sahaja.

Saya nak bertanya hukum sebenar hal wang hantaran atau belanja hangus yang diberikan oleh pengantin lelaki. Adakah ia wajib dan boleh membatalkan akad nikah. Ini disebabkan terdapat kes baru-baru ini orang yang berkali-kali tangguhkan akad nikah kerana tak mampu sediakan wang hantaran, ada yang tak jadi kahwin terus dan, yang terbaru pengantin melarikan diri juga kerana tak cukup duit hantaran. Adakah wang hantaran ini wajib hukumnya di dalam Islam.

Bukankah yang dituntut itu mas kahwin yang dalam bentuk duit juga. Ada juga saya dengar yang mas kahwin boleh berbentuk selain duit. Bagaimana kedudukan wang hantaran dan mas kahwin di dalam Islam, apakah pula hukumnya sehingga menyebabkan terbatalnya hasrat orang nak berkahwin? apakah boleh syarat wang hantaran sehingga membatalkan hasrat orang mahu berkahwin?

Kami kat rumah bujang ni dok bercakap-cakap hal ini, harapnya kami mendapat jalan selamat bila mahu mendirikan rumahtangga nanti, InsyaAllah. Maklumlah, kerja dan pendapatan pun tidak menentu.

Maklumbalas sangat saya hargai.

Sekian. Wassalam.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, Sahabat, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh. A'mma ba'du.

Muqaddimah
Terima kasih kepada Saudara penanya. Saya baru saja pulang dari China. Disaat masih demam dan batuk, sempat juga menyelak akhbar. Antaranya, saya terbaca dalam headline sebuah akhbar harian popular : pasangan pengantin lari pada hari kenduri kahwin, dipercayai disebabkan tidak mampu menyediakan wang hantaran. Sekiranya benarlah apa yang ditulis itu, tercatatlah sekali lagi episod sedih, mewakili banyak lagi episod sama waktu dengannya yang telah, sedang dan akan berlaku, tetapi tidak terpampang di dada akhbar. Saya amat sedar, ini isu sensitif kerana menyentuh peribadi dan menongkah aliran arus perdana, malah boleh ‘ditembak’ kerana bercakap mengenainya. Maka itu, awal-awal lagi saya merafak ribuan maaf sekiranya penulisan ini menyentuh para pembaca yang budiman. Tiada lain, saya sekadar menjawab soalan, seadanya.

Kekhuatiran Saudara penanya yang masih bujang, juga para pembaca lain yang masih ada 3 kali bujang, memang ada asasnya. Mungkin Saudara boleh kecut perut mendengar berita-berita sebegini. Janganlah dirisaukan sangat, qada’ dan qadar seseorang yang tercatat di Lauh Mahfuz tak sama, berdoalah agar walimah Saudara nanti lancar dan penuh barokah, maka tak perlu lari. InsyaAllah, selamat.

Selayang Pandang
Sebenarnya, telah terlalu banyak cerita-ceriti tentang hal wang hantaran @ belanja hangus ini. Puluhan tahun saya hidup, amalan wang hantaran ini telah pun ada. Terlibat langsung juga beberapa kali bila dijemput menjadi wakil peminang atau kena pinang. Bukan sedikit juga hal ini diperkatakan sejk dulu lagi, penuh warna warni dan pro kontra. Namun tidak pernah ada kesudahan. Maka jadilah ia alkisah yang tidak ketahuan bila bermula malah tidak ketahuan juga dimana penghujungnya. Ia sudah melekat dan terlekat dalam masyarakat kita. Tidak boleh tidak, ia mesti diperbuat dalam setiap kali ritual perkahwinan masyarakat kita.

Dalam pengamatan saya, yang menarik sekali, kadar wang hantaran ini menepati teori dan amalan ekonomi kapitalisme laissez faire iaitu mempunyai nilai inflasi (kenaikan) dari tahun ke tahun. Yang pasti, naik tanpa turun dan semua orang suka pula untuk menaikkannya. Lebih gah lagi, kenaikan itu pula tiada had, ia berasaskan skala nominal @ rasa kepada status sosial, keturunan, rupa paras, status pekerjaan dan pendidikan seseorang. Dan kayu ukur terbaru dan paling umpph, tahap glamour seseorang sangat dikira kalaupun tahap mengaji dan sohornya itu hakikatnya sekadar cukup makan sahaja.

Malah, banyak lagi skala @ parameter lain yang diaplikasi (luar pengetahuan saya) untuk dijadikan sebab musabab bagi menghalalkan kenaikan demi kenaikan. Pendek kata, apa-apa jua pun menjustifikasikan : naik dan naik. Peliknya pula, apabila faktor syara’ mahu diambilkira, rata-rata orang pun akan sendiri faham dan menyebut : turun dan turun. Demikianlah bahana pemikiran dualisme sekular yang berakar umbi dalam diri kita-kita ini. Sendiri dengan waras menjadikan antara perkara adat dunia dan tuntunan syara’ itu, 2 perkara terpisah. Satu sentiasa mahu naik manakala satu lagi, sentiasa mahu turun.

Prinsip Perkahwinan Mengikut Islam
Sebelum saya menjawab terus persoalan, baik sekali saya memberikan sedikit asas perkahwinan menurut syari’at Islam secara ringkas. Asas ini amat perlu saya nukilkan supaya perbincangan lanjut nanti jelas halatujunya dan tidak ditafsirkan terkeluar dari landasan syara’. Juga menjadi pengajaran dan peringatan kepada kita bersama. Kalaupun serba ringkas, harapnya yang rincinya telah difahami.

"Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isterimu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.
Surah Ar Ruum (30) : ayat 21

Takhrij ayat :Diantara rahmatNya kepada manusia adalah menjadikan pasangan-pasangan mereka dari jenis mereka sendiri serta menjadikan perasaan cinta dan kasih sayang sesama mereka. Dimana seorang lelaki mengikat seorang wanita adakalanya disebabkan rasa cinta atau rasa kasih sayang dengan lahirnya seorang anak, saling memerlukan dan menafkahkan dan berkasih sayang di antara mereka.
"...... kerana itu, kahwinilah mereka dengan seizin tuan mereka dan berilah maskahwin mereka menurut yang patut, sedang merekapun wanita-wanita yang memelihara diri, bukan penzina dan bukan (pula) wanita yang mengambil lelaki lain sebagai piaraannya, ....".
Surah An Nisa' (4) : ayat 25

Takhrij ayat : Allah Swt. menyuruh supaya perkahwinan dimulakan dengan penuh kehormatan, kemuliaan dan keihkhlasan. Barang siapa diantara kamu yang tidak cukup perbelanjaan (kemampuan) bolehlah ia memilih di kalangan budak-budak yang beriman dengan keizinan tuan dan wali mereka.

"Bagaimana kamu akan mengambilnya kembali, padahal sebahagian kamu telah bergaul (bercampur) dengan yang lain sebagai suami isteri. Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil darimu perjanjian yang kuat".
Surah An Nisaa' (4) : ayat 21

Takhrij ayat :
a. Dari Sufyan ats Tsaury rohimahullah dari kata-kata Abdullah Ibnu Mas'ud rodiallhu'anhu : Yaitu mempertahankan isteri-isteri itu dengan ma'ruf atau melepaskannya dengan ihsan".
b. Dari Ibnu Abi Hatim dari Abu Ja'far ar Razi rohimahullah dari kata-kata Ar Rabi' bin Anas rodhiallahu’anhu : Menjadikan mereka isteri-isteri kalian dengan amanat dari Allah dan kalian telah menghalalkan kemaluan mereka dengan menyebut kalimat Allah".
c. Dari Jabir rodhiallahu’anhu tentang khutbah Haji Wadaa', bahawasanya Nabi SAW bersabda : Berwasiyatlah dengan kebaikan untuk para wanita, kerana kalian mengambil mereka dengan amanat Allah dan menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimat Allah".
Hadis sahih riwayat imam Muslim rohimahullah.

“Dan orang-orang yang berkata : Wahai Pencipta kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa”.
Surah Al Furqan (25) : ayat 74

Takhrij ayat : Setiap orang harus mengetahui bahawa nikah adalah salah satu nikmat Allah ke atas hambaNya. Oleh itu, setiap hamba wajib mensyukuri dan tidak mengingkarinya. Pernikahan adalah kenikmatan besar yang menolong hamba untuk mentaati Penciptanya, menjauhi kemaksiatan dan membantunya untuk menahan pandangan serta memelihara kemaluan (menjauhi zina).
(Rujukan : Tafsiirul Qur’anil Adziim oleh imam Imaduddin Ismail bin Umar bin Katsir ad Dimasyqi rohimahullah)

Kesimpulan ringkas – pernikahan adalah menifestasi ketaatan dan kesyukuran hamba kepada nikmat yang diberi oleh Penciptanya (taqwa) bukan kerana hawa nafsu, menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, mengembang biakkan keturunan ummat Islam, menyatukan ukhuwwah kekeluargaan Islam, mendapatkan kenikmatan hubungan suami isteri, memperoleh pahala dalam melayarinya, memenuhi segala tanggungjawab ke atasnya dan memelihara manusia supaya tidak terjatuh ke dalam perkara yang diharamkan oleh Allah (dengan mendekatkan diri dan/atau melakukan zina).
(Rujukan : Isyratun Nisaa’ Minal Alif Ilal Yaa’ oleh Syeikh Usamah bin Kamal bin Abdir Razaaq, halaman 17-27)

Wang Hantaran @ Belanja Hangus
Maksudnya adalah pemberian sejumlah wang dan/atau harta benda oleh pihak pengantin lelaki kepada pihak keluarga bakal isteri. Secara mudah, hantaran merupakan hadiah pemberian dari suami kepada isteri dan keluarganya sebagai tanda persetujuan dan kegembiraan untuk hidup bersama. Amalan ini adalah salah satu adat resam dari sekian banyak ritual adat yang diperbuat dalam upacara perkahwinan, yang telah menjadi budaya turun-temurun dan bukanlah ia tuntutan atau dicontohkan oleh syara’. Kebiasaannya sebahagian daripada hantaran ini akan diberikan pada hari pertunangan dan sebahagian lagi akan diberikan pada hari akad nikah dijalankan.

Hantaran bukanlah wajib tetapi hukumnya harus diperbuat. Islam tidak pernah memusuhi adat dan budaya, selagi mana adat itu tidak bercanggah dengan prinsip asas yang ada dalam ajaran Islam serta menguntungkan umat Islam. Amalan adat resam ini diterima pakai juga sebagai satu permulaan tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri. Saya kekurangan sumber serta memang tidak tahu bagaimana epistimologi amalan ini diperbuat dikalangan ummat Islam diseluruh nusantara. Mungkin ada sarjana lain dalam bidang Pengajian Melayu atau Sosiologi yang membuat kajian khusus tentang hal ini. Yang saya pasti, ia memang ritual adat resam dalam upacara perkahwinan. Namun dalam beberapa siri perbincangan sepanjang pengajian terdahulu, ada yang mengaitkannya bermula dengan amalan memberi dowri dalam masyarakat Hindu. Wallahua’lam.

Dalam amalan terdahulu masyarakat Melayu Islam di negara kita, memberi hantaran wang ini (yang tinggi jumlahnya) adalah hanya kepada keluarga bakal isteri sahaja, bukan kepada beliau yang mana beliau hanya mendapat mas kahwin (yang rendah jumlahnya). Hantaran harta benda (sepersalinan dan sebagainya) memang untuk bakal isteri. Namun begitu, ada juga pemberian harta benda yang diberi kepada selain bakal isteri dalam kes melibatkan melangkah tunggul (kakak bakal isteri belum berkahwin). Pemberian ini selalunya bagi diguna pakai oleh keluarga bakal isteri untuk mengadakan majlis kenduri. Maka itu, lebih besar cadangan majlis kendurinya maka lebih tinggilah si lelaki dikenakan membayar. Keadaan masyarakat terdahulu serba kekurangan dan majlis kenduri kahwin seumpama pesta kecil bagi penduduk kampung dan mereka boleh berkumpul bersama dan menikmati juadah lebih baik. Demikianlah suasana dahulu.

Boleh difahami bahawa, asas kepada amalan orang-orang dahulu adalah wang hantaran dituntut untuk membantu keluarga bakal isteri membuat majlis kenduri kahwin supaya lebih meriah, meraikan mempelai dan menjamu lebih ramai orang.

Mas Kahwin/Mahar (Nihlah)
Mahar adalah apa yang diberikan kepada isteri berupa wang, harta benda atau selainnya yang diperakui oleh syara’ dengan sebab pernikahan. Hukumnya diwajibkan oleh Allah SWT ke atas suami untuk isterinya sebagai tanda penghormatan, kecintaan dan kasih sayang. Kewajiban ini ditetapkan oleh Allah SWT menerusi firmanNya :

"Dan berikanlah mas kahwin (nihlah/mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu kepada kamu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya”.
Surah An Nisaa' (4) : ayat 4.

Mahar yang disifatkan sebagai pemberian dengan penuh kerelaan adalah yang besar kecil nilainya ditetapkan oleh persetujuan kedua belah pihak. Adanya persetujuan bersama ini melahirkan penuh kerelaan dan keikhlasan. Yang dituntut syara’ berdasarkan sabda Rasulullah SAW adalah mahar yang mudah dan murah.

“Diantara kebaikan wanita adalah memudahkan maharnya dan memudahkan rahimnya”.
Hadis hasan riwayat imam Ahmad rh. dan imam Hakim rh.

“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah”
Hadis sahih riwayat imam Abu Daud rh. dan imam Hakim rh.

“Pernikahan yang paling besar berkahnya adalah yang paling mudah maharnya”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. dan imam Hakim rh.

Nota : semua hadis di atas sebenarnya ada mempunyai kisah dan panjang. Catatan ini adalah sebahagian darinya.

Rasulullah SAW mengajarkan kemudahan dalam pemberian mahar dan mahar wajib dijelaskan sebelum menggauli isteri. Ini diceritakan dalam hal perkahwinan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib Kmwj. dengan isterinya Fatimah binti Muhammad rha. :

“Ketika Ali menikah dengan Fatimah dan hendak menggaulinya, Rasulullah bersabda : Berikanlah sesuatu kepadanya. Lalu Ali mengatakan : Aku tidak mempunyai sesuatu. Baginda bertanya : Dimana baju besimu?. Lalu Ali memberikan baju besinya kepada Fatimah, kemudian menggaulinya”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh. dan imam Nasaaie rh. Semua perawinya adalah tsiqah.

Bentuk mahar yang diterima dan dicontohkan dalam syara’ ini tidak hanya wang dan harta benda, akan tetapi termasuk juga bacaan satu surah Al Qur’an, kebebasan dari hamba, masuknya seseorang kepada Islam juga boleh memberikan gandum atau kurma.

Kewajiban memberi mahar ini adalah suatu penghormatan amat tinggi Islam ke atas kedudukan wanita yang mana, mahar itu menjadi hak mutlak wanita itu. Rasulullh Saw. mengancam dengan keras orang-orang yang mempermainkan nikah, wanita dan mahar sebagaimana sabda Baginda menerusi hadis dari Ibnu Umar rhu. :

“Dosa yang paling besar disisi Allah adalah orang yang menikahi wanita lalu ketika telah menyelesaikan hajatnya (bersetubuh) darinya, maka dia menceraikannya dan pergi dengan membawa maharnya, orang yang mempekerjakan seseorang lalu pergi membawa upahnya dan seseorang yang membunuh binatang dengan sia-sia”.
Hadis sahih riwayat imam Hakim rh. dan dipersetujui oleh imam Dzahabi rh.
(Rujukan : Isyratun Nisaa’ Minal Alif Ilal Yaa’ oleh Syeikh Usamah bin Kamal bin Abdir Razaaq, halaman 141-151)

Islam memudahkan mahar ini supaya prinsip perkahwinan menurut Islam itu boleh dijalankan dengan senang. Itulah keutamaan di dalam Islam. Begitu juga untuk mengadakan kenduri, Islam menuntut ia diadakan mengikut kadar kemampuan supaya keutamaan nikah itu boleh dijalankan dengan tidak terhalang, sepertimana sabda Nabi Saw. dalam perbicaraan panjang Baginda bersama Abdurrahman bin Auf rhu. :

“.... Rasulullah bertanya kepadanya : “Ada apa denganmu?”. Beliau menjawab : “Saya telah bernikah dengan wanita Ansar”. Baginda bertanya : “Apa maharnya?”. Beliau menjawab : “emas satu nawat”. Baginda bersabda : Semoga Allah memberkahi pernikahanmu. Adakanlah walimah meskipun hanya dengan seekor kambing”.........
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh., imam Nasaai rh., imam Baihaqi rh. dan imam Ahmad rh. Catatan ini adalah sebahagian dari hadis yang panjang.

Oleh itu, pemberian mahar adalah wajib, Islam menuntut supaya memudahkan dan memurahkan mahar serta mengadakan walimah (kenduri) mengikut kemampuan disebabkan keutaman adalah melunaskan maqasid dan akad pernikahan itu sendiri, bukan selainnya.

Isu-Isu Berkaitan
Pada masa kini, hal jumlah wang hantaran, kehebatan majlis walimah, jumlah tetamu dan siapa VIP, pakaian dan perhiasan serta jumlah kutipan ‘tol’ lebih mendapat keutamaan masyarakat berbanding hal mahar dan prinsip pernikahan itu sendiri. Buktinya, rata-rata mahar yang disebut ketika akad berbentuk puluhan ringgit atau ratusan ringgit sahaja, manakala wang hantaran pula mencecah banyak ribuan ringgit tidak dikira lagi hantaran harta benda dan kos penyediaan majlis. Karenah-karenah sebegini, telah memangsai pasangan daripada melunaskan prinsip perkahwinan menurut syara’ dengan mudah untuk mereka mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan lagi, apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan itu secara langsung. Ini bermakna kita mementingkan dan mengutamakan perkara harus melebihi perkara wajib.

Contohnya, urusan walimah telah menjadi agenda terbesar, medan untuk para ibubapa dan keluarga menonjolkan status dan kehebatan, dijadikan pentas untuk menunjuk-nunjuk kelebihan dan kesombongan. Tidak hairanlah, berapa ramai pasangan yang terpaksa menangguh perkawinan berkali-kali dan ‘berpuasa’ kerana tak mampu memenuhi syarat atau, untuk memberi peluang kepada hawa nafsu pihak-pihak yang tak berkahwin dipuaskan. Sehinggakan ada pasangan yang terpaksa bertangguh bertahun kerananya. Apatah lagi, apabila segala kos dan syarat dilonggokkan di atas batu jemala pasangan yang hakikatnya bergaji pun sekadar cukup makan pakai malah kadang-kadang tidak menentu tanpa diambil kira bebanan kos hidup seharian.

Dalam era individualistik ini, semangat wang dan menunjuk hebat melepasi prinsip perkahwinan yang dituntut syara’. Tambahan lagi semangat gotong royong dan saling membantu pula semakin pudar. Maka jadilah majlis walimah dan jumlah hantaran sebagai landasan persaingan. Masing-masing nak menunjuk lebih hebat, tak mahu lekeh, sentiasa mahu lebih dari orang lain dan berasa senang dipuji-puji. Tidak kurang juga, ada gerombolan yang kerja rasminya mensoksek-soksek majlis orang dan membuat perbandingan begitu begini seterusnya menjaja cerita buruk baik orang. Kerana itulah, justifikasi hantaran dan walimah bersandar kepada ikut orang, takut apa orang kata dan selalunya kerana mahu orang kata yang enak-enak kalaupun perlu berhabis-habisan kerananya. Aturan dan tuntutan syara' telah dikesamping.

Walaupun walimah itu disuruh dan memberi hantaran itu hukumnya harus, namun ia bukanlah lesen untuk menjadikan 2 hal ini perkara utama berbanding prinsip perkahwinan mengikut syara’. Kerana itu, ia mesti dilaksanakan mengikut kadar kemampuan selayaknya dan tiada sama sekali unsur paksaan. Amat tidak wajar jika keluarga membebankan semua belanja dan kos kepada bakal pengantin. Sekiranya keluarga berkemampuan, laksanakan walimah dalam keupayaan seadanya dan bakal pengantin pula melaksanakan apa-apa jua hal yang melibatkan persediaan diri mereka sendiri. Pasti sekali majlis yang hebat dan disebut-sebut orang itu akan menggembirakan kaum keluarga, namun apa pula yang akan terjadi kepada pasangan selepas itu? Adakah boleh majlis hebat itu menentukan kebahagiaan hidup mereka.

Bukan sekali juga kita melihat pernikahan langsung menerusi saluran media seantero Malaya, realitinya hanya mampu bertahan seminggu atau sebulan atau setahun sebelum bergaduh, berbalas ‘tumbukan’ seterusnya bercerai yang juga disiarkan secara langsung seantero Malaya. Kemana hilangnya sifat malu dan kerahsiaan rumahtangga yang wajib dijaga dan dipelihara oleh pasangan. Lebih memilukan, rumah tangga 'terbakar hangus' bersama belanja hangusnya. Maka, hantaran tidaklah perlu mahal, sudah nama pun sebagai hadiah, biarlah jumlah hantaran dalam kemampuan pihak terlibat. Jika untuk melunaskan hantaran memaksa pihak-pihak terlibat berhutang, pasti lebih sukar dan payah untuk mereka meneruskan kehidupan selepas bergelar suami isteri sedangkan hakikatnya kehidupan sebenar suami isteri bermula selepas sah ijab dan kabul.

Wajar sekali penilaian semula perlu dibuat ke atas ritual adat resam yang tidak menguntungkan masyarakat malah menekan mereka yang tidak berkemampuan. Sepatutnya prinsip 'biar papa asal bergaya' sudah dibuang jauh-jauh dari amalan dan pemikiran masyarakat. Amat malang, sudah jatuh ditimpa lagi dengan tangga bagi pengantin lelaki yang tidak berkemampuan kerana terpaksa membiayai dua kenduri sekaligus tidak termasuk perbelanjan runcit lain untuk diri sendiri, hal ini tentulah membebankan. Apalah gunanya menjadi raja sehari tetapi menjadi hamba sahaya pula selepasnya dengan menanggung hutang beberapa lama lantaran tingginya wang hantaran yang ditetapkan.

Saya bukannya mencanangkan disini supaya ditolak terus amalan masyarakat hari ini tetapi saya sekadar berusaha menjelaskan satu hakikat yang disembunyikan bawah tikar. Ramai ahli masyarakat kini yang berbangga bila hantaran anaknya tinggi, demi mengikut rentak persekitaran dan seronok pula mencanang dan bermegah kepada orang, padahal tanpa mempedulikan sukarnya bakal menantu seterusnya nak sendiri untuk memenuhi kehendak tersebut serta kesan berpanjangan selepasnya. Dari pengamatan saya, tidak sedikit rumahtangga berantakan dan bercerai berai sebelum hutang hantaran dan perbelanjaan walimah diselesaikan pun.

Trend dalam masyarakat kita adalah mengekalkan mahar yang rendah atas dasar ketaatan kepada syara’. Kerana itu adanya nilai tak masuk akal seperti RM20 - 30 sahaja. Apabila ada sebuah negeri menaikkan mahar kepada RM300 dahulu, gegak gempitalah seantero Malaya ini tidak berpuashati. Habis semua bentuk dalil syara’ dan pendapat itu ini digunapakai untuk menentangnya. Walhal, isu sebenar iaitu nilai hantaran dan syarat itu ini yang menekan pasangan dibuat-buat tak nampak. Ramai yang sepakat sekata menjadi syaitan bisu dengan harapan Allah Swt. akan dapat ditipu kerana jumlah mahar tercatat di atas kertas dan yang diaqadkan amat rendah, sedang hakikat yang tersembunyi disebaliknya amat tidak wajar. Maha Suci Allah Swt. dari segala kejahilan dan kealpaan.

Aakhirul Kalaam,
Seruan saya, lakukanlah pernikahan sebagai menifestasi ketaatan dan kesyukuran hamba kepada nikmat yang diberi oleh Penciptanya (taqwa) bukan kerana hawa nafsu, menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, mengembang biakkan keturunan ummat Islam, menyatukan ukhuwwah kekeluargaan Islam, mendapatkan kenikmatan hubungan suami isteri, memperoleh pahala dalam melayarinya, memenuhi segala tanggungjawab ke atasnya dan memelihara manusia supaya tidak terjatuh ke dalam perkara yang diharamkan oleh Allah (dengan mendekatkan diri dan/atau melakukan zina). Lakukanlah semudah mungkin agar prinsip taqwa kepada Allah dapat dilaksanakan. Itulah tugasan kita sebagi hamba kepadaNya.

Segala yang benar itu datang dari Allah Swt. dan segala tidak benar datangnya dari saya yang dhoif ini.
Wallahu a’lam...

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Hadis 40

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, Sahabat, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh dan orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari qiyamat. A'mma ba'du.

Moga semua para sahabat dalam sejahtera dan dirahmati Allah sentiasa. Bersama ini disertakan ringkasan nota kuliah di Surau Taman Kijang. Ini adalah sebahagian daripada penjelasan Hadis 2. Untuk manfaat ilmiah bersama, InsyaAllah.

Matan Arba’in An Nawawi – Hadis 40 (Hadis No. 2)
Kuliah No. 2
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Dari Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab Rodiallahu‘anhu, ia berkata :

Pada suatu hari sedang kami duduk disisi Rasulullah Saw, tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang bersangatan putih kainnya, bersangatan hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga ia duduk berdekatan Nabi Saw. lalu dia menyandarkan kedua lututnya kepada 2 lutut Nabi Saw. dan meletakkan kedua telapak tangannnya ke atas 2 paha Nabi Saw.

Kemudian ia berkata : Hai Muhammad! khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah Saw. menjawab : Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat dan engkau puasa Ramadhan dan engkau mengerjakan haji di Baitullah, jika engkau sanggup pergi kepadanya. Ia berkata : benarlah engkau! Maka kami pun tercengang kerana ia yang bertanya dan ia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi : maka khabarkan kepadaku darihal iman. Rasulullah menjawab : iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikatnya dan segala kitabnya dan para rasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada taqdir baikNya dan jahatNya. Ia berkata : benarlah engkau!.

Kemudian ia bertanya lagi : maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal ihsan. Rasulullah menjawab : ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olahnya engkau melihatnya, tetapi jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya ia melihat engkau. Akhirnya ia berkata (meneruskan pertanyaannya lagi) : maka khabarkan kepadaku darihal hari qiamat. Rasulullah menjawab : tidaklah yang datang daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya.

Kalau begitu katanya, khabarkan kepadaku dari tanda-tandanya sahaja. Rasulullah menjawab : tanda-tandanya itu ialah bila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, penggembala kambing (berbangga-bangga) menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan. Kemudian ia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu Rasulullah bertanya : hai Umar! adakah engkau tahu siapa orang yang bertanya itu? Kataku : Allah dan rasulNya yang lebih tahu. Rasulullah berkata : sesungguhnya itulah dia Jibril (malaikat) yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu”.

Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh. Lafaz di atas adalah riwayat imam Muslim (No. 8) dari Umar Al Khattab rhu. manakala imam Bukhari rh. meriwayatkan dari jalur Abu Hurairah rhu.

Kehadiran Malaikat Untuk Menyampaikan Ilmu
Hadis dari Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab rhu. ini menceritakan sifat kehadiran malaikat yang bertujuan untuk menyampaikan ilmu kepada manusia. Yang jelas, malaikat telah menjelmakan dirinya seperti manusia tetapi dalam keadaan amat menghairankan dan luar biasa berbanding manusia biasa. Hal yang paling menghairankan adalah malaikat ini yang bertanya kemudian dia pula yang membenarkan kata-kata Rasul Saw., melambangkan bahawa dia sudah tahu akan jawabannya. Antara perkara yang boleh dipelajari dari peristiwa kehadiran malaikat ini adalah :

1. Kaedah tanya jawab merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran, ia melibatkan komunikasi 2 hala dan berupaya meningkatkan pemahaman.
2. Kehadiran malaikat memberi pengajaran bahawa, tidak semestinya soalan ditanya kerana penanya tidak tahu, tetapi untuk memastikan bahawa penjawab yang benar-benar tahu.
3. Perkataan Rasul Saw. ‘tidaklah yang datang daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya’ adalah contoh peribadi amat mulia, iaitu berkata benar bahawa tidak tahu dan tidak mereka-reka serta meneka jawaban.
4. Menerusi kaedah tanya jawab, ilmu disampaikan kepada semua orang.

Agama Islam/Ad Diin ul Islam
Islam adalah agama wahyu (samawi) yang diwahyukan kepada RasulNya bagi disebarkan kepada seluruh manusia. Yang menjaminkan keselamatan hidup pemeluknya, yang menegaskan janji balasan baik dan jahat kepada orang yang melakukan amal perbuatan dalam semua aspek kehidupan manusia, dari dunia sampai akhirat. Syeikh Abul A’la Al Maududi rohimahullah menyebutnya sebagai “the way of life”.

Islam : berasal dari masdar (kata dasar) Salima yang erti dari segi lughah (bahasa) membawa maksud Berserah diri, Damai, Suci, Patuh dan Taat (tidak membantah). Dijelaskan sepertimana sabda Nabi Ibrahim alaihissalam :

“Ketika Penciptanya berfirman kepadanya ‘tunduk patuhlah’. Ibrahim menjawab ‘aku tunduk patuh kepada Pencipta semesta alam”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 131

Erti dari segi istilah (syara’) adalah “Berserah diri kepada Allah dengan cara mentauhidkanNya, tunduk dan patuh kepadaNya dengan melaksanakan ketaatan (terhadap kehendak dan kemahuan Allah serta kepada hukum-hukumNya dan meninggalkan laranganNya), serta membebaskan diri dari perbuatan syirik dan dari orang-orang yang berbuat syirik”.

Hubungan antara erti menurut lughah dengan erti menurut syara’ amat erat dan nyata sekali yaitu : “Hanya dengan kepatuhan kepada kehendak Allah dan tunduk kepada hukum-hukumNya dan meninggalkan laranganNya, seseorang dapat mencapai kedamaian yang sesungguhnya dan memperolehi kesucian yang abadi”.

Islam adalah satu-satunya sahaja agama yang benar, satu-satunya agama yang diterima olehNya, sebagai nikmat tertinggi kepada manusia dan agama yang diredhainya. Agama dan kepercayaan lain tidak akan diterima Allah, sepertimana firmanNya :

“Sesungguhnya agama disisi Allah adalah Islam”. Surah Ali Imran (3) : ayat 19

“Dan Aku telah redha Islam itu sebagai agama untuk kamu”. Surah Al Maidah (4) : ayat 3

Agama Islam yang diturunkan menerusi Nabi Muhammad Saw. hakikatnya adalah kesinambungan daripada agama Allah yang diturunkan kepada Nabi-Nabi dan ummat terdahulu, sepertimana firmanNya :

“Katakanlah (wahai Muhammad), kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’qub dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan para nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka dan hanya kepada Nya lah kami menyerah diri”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 84

Agama Islam adalah pelengkap kepada semua agama samawi terdahulu, maka terpadamlah seluruh agama samawi lain sebelumnya dengan turunnya Islam. Islam merangkumi seluruh kemaslahatan yang terkandung di dalam agama samawi dan kitab-kitab terdahulu. Ini dijelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :

“Dan Kami turunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepadamu dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan sebagai batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain”.
Surah Al Maidah (5) : ayat 48

Islam adalah agama yang benar. Allah Swt. menjanjikan kemenangan kepada orang-orang yang berpegang teguh kepada Islam dengan baik, mentauhidkan Allah, menjauhi syirik, menuntut ilmu syara’ dan menyampaikannya serta memperbuat amal solih (ikhlas kepada Allah semata-mata dan diperbuat mengikut peraturanNya). Ini dijelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :

“Dialah yang mengutus rasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al Qur’an) dan agama yang haq (benar), untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”.
Surah At Taubah (9) : ayat 33

Islam memiliki keistimewaan, yaitu sepadan dan sesuai untuk setiap masa, tempat mana pun dan apa jua keadaan ummat. Ruanglitup kekuasaannya meliputi seluruh alam, dari dunia sampai akhirat. Demikianlah yang dijelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :

“Alif Laam Raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. Allah yang memiliki segala apa yang dilangit dan di bumi. Dan celakalah bagi orang-orang yang kafir kerana siksaan yang amat pedih”.
Surah Ibrahim (14) : ayat 1-2

Kepada manusia-manusia yang menolak Islam dan menentangnya, mereka tidak akan diterima dan akan ditimpai azab yang pedih akibat keingkaran mereka, sepertimana firmanNya :

“Barangsiapa mencari agama selain Agama Islam, maka tidaklah sekali-kali akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia diakhirat nanti termasuk orang-orang yang rugi”. “Bagaimana Allah akan menunjuki satu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahawa rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul, dan keterangan-keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak menunjuki orang-orang yang zalim”. “Mereka itu, balasannya adalah, bahawasanya laknat Allah ditimpakan kepada mereka (demikian pula) laknat para malaikat dan manusia seluruhnya”. “mereka kekal didalamnya, tidak diringankan siksa dari mereka dan tidak (pula) mereka diberi tangguh”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 85, 86, 87 dan 88.

Yang demikian itu, tiadalah ada sebarang alasan untuk memilih agama lain sebagai ikutan, yang sudah terang tidak diredhai dan tidak dibenar oleh Allah Swt. Allah Swt. menuntut kepada semua ummat mukmin supaya berpegang teguh kepada Islam sepertimana firmanNya :

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutlah kamu akan dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa”.
Surah Al An’aam (6) : ayat 153

Seluruh alam dan sekelian makhluk, yang ada diantara 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi sebelum alam akhirat, adalah terjadi menurut kehendak dan qudrat Allah. Oleh kerana itu, tidak ada dari kejadian alam dan perjalanan makhluk yang dapat menyimpang dari peraturan yang ditetapkanNya, semuanya Islam dalam ertikata tunduk kepada kekuasaanNya dan patuh kepada peraturanNya, sama ada secara sukarela atau dengan paksa sepertimana firmanNya :

“Adakah mereka mahu yang lain daripada agama Allah, padahal apa-apa yang pada langit-langit dan bumi telah menyerah diri (tunduk dan patuh) kepadaNya dengan suka dan dengan paksa, dan kepadaNya lah mereka akan dikembalikan”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 83.

Demikianlah Islam yang diwahyu dan ditunjukkan oleh Allah Swt. (terkandung didalam Al Qur’an / Kitabullah) dan diperlakukan oleh rasulNya Muhammad Saw. (sebagai As Sunnah) untuk ikutan, contoh, teladan dan pegangan seluruh alam dan makhluk. Maka itu, marilah kita berdoa ke hadhrat Allah Swt. agar ditetapkan hati dan jiwa kita kepada Islam dan sentiasa kekal tergolong dalam manusia beriman sepertimana firmanNya :

“Sesungguhnya jawaban orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasulNya agar rasul mengadili (menghukum) diantara mereka ialah ucapan : Kami mendengar dan kami taat (patuh). Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”.
Surah An Nuur (24) : ayat 51

Begitulah serba ringkas makna dan pengertian Islam, agama suci anutan kita.

Rukun Islam
Menerusi hadis ini, Rasulullah Saw. mengajar dan menetapkan kepada ummat manusia bahawa Rukun Islam terkandung 5 perkara dan ia dibenarkan oleh Jibril. Rukun yang disebutkan itu adalah :

1. Bermula dengan mengucapkan 2 kalimah syahadah atau disebut juga kalimah toyyibah yaitu : engkau mengakui bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan engkau mengakui bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.
2. Mendirikan solat (sembahyang) 5 waqtu setiap hari yang diwajibkan, termasuk mendirikan solat-solat sunnat lain yang dicontohkan oleh Rasulullah Saw.
3. Mengeluarkan zakat dari segala harta dan kekayaan yang ada, setelah dicukupi semua syarat pengeluaran dan ditolak dari keperluan diri.
4. Berpuasa Ramadhan yaitu meninggalkan makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkannya pada siang hari di bulan Ramadhan.
5. Akhir sekali, mengerjakan ibadah haji di Baitullah pada bulan-bulan haji, sekiranya engkau sanggup dan mempunyai kemampuan untuk pergi kepadanya.

Inilah Rukun Islam yang 5, yang dengannya menjadikan seseorang manusia itu sah beragama Islam. Yang apabila ditunaikan satu demi satu rukun itu dengan cara yang sebaik-baiknya, dilakukan dengan penuh taat tanpa ada sedikit pun keraguan padanya, dan dilaksanakan pula segala hukum yang bertalian dengan syariatnya, maka terpeliharalah seseorang itu dari kemurkaan dan siksaan Allah.

Bersambung,

Segala yang benar itu datang dari Allah Swt. dan segala tidak benar datangnya dari saya yang dhoif ini.
Wallahu a’lam...

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...