Sabtu, 21 April 2012

Soal Jawab Faraaid (Bahagian 2)

0 ulasan

Sent: Fri, October 15, 2010 11:04:42 PM
Subject: Faraaid / Warisan Harta Pusaka

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta Sekelian Alam. Solawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, sahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh.

Saya mahu bertanya bagi pihak rakan baik saya, yang ayahnya,seorang usahawan,  meninggal dunia kira-kira 4 bulan lepas. Arwah ada meninggalkan harta persendirian seperti tanah, rumah, kenderaan, wang tunai dan saham. Selain itu, juga banyak memegang saham dalam syarikat perkongsian. Salah satu yang menjadi isu adalah saham dalam syarikat dan tanah yang dikongsi dengan adik beradik atau dengan rakan-rakan.

Arwah meninggalkan seorang balu dan 3 anak perempuan dan 1 anak lelaki. Ayah dan ibu telah meninggal dunia tetapi masih ada adik beradik lelaki dan perempuan.

Sehingga kini, pembahagian harta pusaka arwah masih tidak dapat dibuat disebabkan ada isu-isu berbangkit berkenaan perkongsian perniagaan. Malah sehinga sekarang juga, rakan saya masih belum menerima apa-apa bayaran atau imbuhan dari syarikat perkongsian itu.

Dipohon pencerahan sedikit kerana arwah tidak meninggalkan sebarang wasiat atau hibah.

Wassalam.

Sent: Tue, October 19, 2010 11:04:42 PM
Subject: Faraaid / Warisan Harta Pusaka

Saya merujuk kepada persoalan yang dikemukakan oleh pedu_oo@yahoo.com pada hari Sabtu, 15 Oktober 2010. Perincian soalan telah dikepilkan dalam Siri 2 dan telah di c.c. oleh beliau kepada semua rakan-rakan. Sedikit perincian tentang soalan ini adalah, bagaimanakah pembahagian harta pusaka boleh dibuat ke atas harta tanah yang dimiliki sendiri dan yang dikongsi termasuk syarikat dan saham amanah.

Sebelum saya terus menjawab persoalan ini, ingin saya maklumkan terlebih dahulu beberapa prinsip asas dalam ilmu dan qaedah al faraaid supaya pengiraan dan pembahagain yang bakal saya nyatakan nanti tidak menimbulkan kekeliruan. Berdasarkan butiran yang diberikan :

1. Waris yang sah kepada Simati hanyalah 1 isteri, 3 anak perempuan dan 1 anak lelaki.

2. Disebabkan adanya anak lelaki, dia telah menjadi Hijab (pendinding/pelindung) dan waris-waris lain telah Mahjub (terlindung) dari mendapat harta warisan.

3. Secara pembahagian faraaid Islam, isteri mendapat 1/8 manakala baki bahagian adalah kepada semua anak-anak yang mana, perempuan mendapat 1 bahagian dan lelaki mendapat 2 bahagian.

4. Semua harta pusaka Simati dalam bentuk simpanan tunai, kenderaan, pegangan saham amanah, pegangan saham dalam syarikat perkongsian adalah Harta Alih. Bagi kes pegangan saham syarikat perkongsian, nilai kepada pemilikan beliau adalah % jumlah nilai saham yang dimiliki oleh Simati pada tarikh masa kematiannya. Hal ini tercatat dalam Borang 24 dan Borang 49, Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Butiran terperinci dipegang oleh setiausaha syarikat. Yang diambilkira dalam pecahbahagi adalah sekadar hakmilik Simati sahaja.

5. Sekiranya ada isu berbangkit dalam hal syarikat selepas kematian Simati, ia bergantung kepada polisi semasa syarikat atau persetujuan Ahli Lembaga Pengarah untuk membuat keputusan.

6. Semua harta pusaka Simati dalam bentuk harta tanah sama ada dimiliki penuh sendiri atau dikongsi ramai adalah Harta Alih. Bagi kes pemilikan harta tanah dikongsi ramai ini, adalah tertera di suratan hakmilik tanah (geran tanah) nilai pegangan setiap individu. Yang diambilkira dalam pecahbahagi adalah sekadar hakmilik Simati sahaja.

A. Pembahagian Harta Pusaka Mengikut Waris

1 isteri     =    1/8            =  (1x5)                       5

Semua anak-anak mendapat baki  7/8 (Lelaki 2 bahagian : Perempuan 1 bahagian)
Pendaraban kepada angka bulat  :  7 x 5    =  35

Anak Lelaki    1                                                14

Anak Perempuan  1                                          7
Anak Perempuan  2                                          7
Anak Perempuan  3                                          7
                                                        -----------------------------
                                    Semua Bahagian        40

B. Pembahagian seperti yang ditunjukkan di atas adalah berguna pakai bagi semua harta pusaka Simati sama ada Harta Alih mahupun Harta Tak Alih.

C. Masalah akan timbul sekiranya perkongsian itu tidak jelas nilai pegangan ahli-ahli pemegang sahamnya, boleh terjadi disebabkan cakap mulut dan saling percaya sahaja. Jika terjadi keadaan seperti ini, cubalah cari apa-apa sumber bertulis bagi membuktikan nilai pegangan atau mengadakan perundingan dengan pihak lain itu bagi mendapatkan penyelesaian terbaik. Hal ini memang sukar untuk mendapatkan sesuatu yang pasti kerana semuanya berasaskan lisan oleh 2 orang sahaja, tanpa saksi pula. Ini benar-benar mengharapkan keikhlasan hati dan kejujuran di pihak yang masih hidup.

Saya mencadangkan kepada kita semua termasuk diri saya sendiri, jika boleh elakkan sungguh-sungguh sebarang janji lisan sahaja ini. Kalau pun tidak ada perjanjian rasmi, sebaiknya paling kurang biar bersaksi, supaya sekiranya berlaku sesuatu yang diluar dugaan, boleh ada pertanggungjawaban kepada waris-waris.

D. Berikutan hal syarikat perkongsian itu sehingga sekarang masih tak menentu, baik sekali hal ini dipercepatkan prosesnya dengan menemui lembaga pengarah dan setiausaha syarikat. InsyaAllah cara ini akan dapat membantu.

E. Berikutan pembahagian ini melibatkan hartanah, ia boleh dibuat di Pejabat Tanah meliputi semua hartanah dan semua harta pusaka yang lain atau boleh dibuat pembahagian di Mahkamah Syari'ah atau, boleh juga menggunakan khidmat peguam yang mana pihak peguam akan menguruskan semua urusan sehingga urusan pembahagian itu selesai kepada semua waris mengikut bahagian masing-masing.

Saya sekadar ingin berpesan dan menggalakkan supaya, sekiranya harta pusaka tinggalan Simati itu besar jumlahnya, baiklah di waqaf atau infaqkan sedikit kepada mana-mana badan kebajikan Islam. Seruan ini saya buat supaya dapatlah nanti ia dimanfaatkan oleh seluruh ummat Islam selain melimpahkan pahala kepada Simati.

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكين
والسلام

From: <izanahani@yahoo.com>
Sent: Fri, October 15, 2010 12:59:22 PM
Subject: Faraaid / Warisan Harta Pusaka 2

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya ucapkan terima kasih sungguh atas usaha Ustaz Mad. Banyak ilmu, pengajaran dan pedoman yang saya dan rakan-rakan perolehi dan bab faraid ini. InsyaAllah akan saya amalkan setakat yang mampu. Biarpun ustaz sebut ini siri akhir, harapnya tidaklah berakhir disini saja.

Saya tetap juga nak membuat seruan yang sama, supaya boleh semua artikel ini dikompilasikan. Saya rasa dah boleh dibuat buku ni.

Saya juga ingin bertanya, Ayah saya ada tanah kampung yang diwarisi dari datuk. tetapi untuk ayah saya dengan PakLong sama banyak. Datuk saya asalnya dulu berkongsi sama 1/2 dengan sepupunya di atas tanah itu. Ayah saya dengan PakLong tidak pernah menukar tanah itu ke nama mereka sehinggalah PakLong dan sepupu datuk itu dah meninggal dunia sekarang.

PakLong meninggalkan balu, 3 anak lelaki dan 4 anak perempuan. sepupu datuk pula meninggalkan 2 balu, 5 anak lelaki dan 6 anak perempuan. Sekarang ayah saya sedang usaha untuk buat pecah kuasa atas tanah itu, kerana dia pun sudah sakit-sakit, tapi DO mintak pecah kuasa dengan melibatkan semua waris-waris dulu dan kos kami tak boleh nak tanggung sendiri serta semua waris kena setuju pula.

Nak minta nasihat tentang pembahagian ikut hukum syara' serta macam mana dengan proses pecah kuasa itu mengikut undang-undang tanah. Jasa baik ustaz sangat dihargai dan diperlukan. Moga Allah merahmati.

Wassalam

Sent: Wed, November 3, 2010 2:57:07 PM
Subject: Faraid / Warisan Harta Pusaka 3

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah Swt. Solawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, sahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh.

Saya merujuk kepada persoalan yang dikemukakan oleh izanahani@yahoo.com pada Jumaat, 15 Oktober, 2010. Perincian soalan telah dikepilkan dalam Siri 2 dan telah di c.c. oleh beliau kepada semua rakan-rakan. Sedikit perincian tentang soalan ini adalah, bagaimanakah pembahagian harta pusaka boleh dibuat ke atas harta tanah yang dikongsi (ramai nama) serta proses pembahagian kepada waris-waris setelah salah seorang pemilik meninggal dunia. Dalam kes ini adalah datuk dan sepupu datuk pemilik yang sah.

Berdasarkan pernyataan yang diberikan, status pemilikan tanah tersebut adalah :

Datuk  1/2 dan sepupu datuk  1/2 (nama mereka tercatat atas geran hakmilik). Setelah Datuk meninggal, status pemilikan menjadi seperti berikut :

Ayah dan PakLong masing-masing ¼ = 2/4 dan sepupu datuk   2/4 (= 1/2). Masalah timbul bagaimana untuk membuat pembahagian faraaid setelah PakLong dan sepupu datuk meninggal dunia, sedangkan nama pemilik atas suratan hakmilik tanah (geran) belum ditukar, masih nama datuk dan sepupu datuk yang telah meninggal dunia. Berdasarkan undang-undang semasa, pemilik tanah yang sah adalah orang yang namanya tercatat di atas geran tanah. D

Isu-isu yang timbul dari keadaan ini adalah :

A. Nama Datuk masih tertera di atas geran sebagai pemilik tanah bersama tanpa ada nama Ayah dan PakLong. Saya andaikan, Ayah dan Pak Long disepakati oleh semua waris terdahulu sebagai waris kepada bahagian Datuk itu. Sepatutnya nama Ayah dan PakLong telah dimasukkan ke dalam geran sebelum PakLong dan sepupu datuk meninggal. Ini hal kritikal sebenarnya.

Berdasarkan proses undang-undang semasa, puan kena faham bahawa, bahagian tanah itu secara rasmi dan teknikalnya masih milik Datuk, bukan milik Ayah dan arwah PakLong. Kalaupun semua waris telah bersetuju sebelum ini, semua waris kepada Datuk mesti buat perakuan rasmi pembahagian semula di Pejabat Tanah atau dapatkan perintah mahkamah yang, bahawa hanya Ayah dan PakLong sahaja yang mewarisi bahagian tanah itu. Proses ini memang panjang dan memakan masa serta kos. Akan melibatkan banyak pihak juga sekiranya ramai waris asal telah meninggal dunia. Ini adalah Tahap 1 dan perkara ini mesti diselesaikan terlebih dahulu.

B. Bahagian sepupu datuk yang telah meninggal dunia tiada berkenaan dalam kes ini. Mereka anak-anaknya dan waris lain boleh membuat pembahagian mereka sendiri secara berasingan. Namun begitu, saya nyatakan disini pembahagian faraaidnya berdasarkan maklumat yang Puan berikan :

Isteri 1    1/16        2/16                             8
Isteri 2    1/16                                            8

Baki iaitu 14/16 adalah kepada semua anak (Lelaki 2 bahagian : Perempuan 1 bahagian)
Pendaraban ke angka bulat 14 x 8 =    112

Anak Lelaki 1                                            14
Anak Lelaki 2                                            14
Anak Lelaki 3                                            14
Anak Lelaki 4                                            14
Anak Lelaki 5                                            14

Anak Perempuan 1                                    7
Anak Perempuan 2                                    7
Anak Perempuan 3                                    7
Anak Perempuan 4                                    7
Anak Perempuan 5                                    7
Anak Perempuan 6                                    7
                                                        ----------------
                                        Semua             128  bahagian

C. Berikutan Pak Long telah meninggal dunia, pembahagian mesti dibuat terus kepada waris-warisnya. Berdasarkan data yang diberikan, pembahagian adalah seperti berikut,

Isteri    1/8                                                 10

Baki iaitu 7/8 adalah kepada semua anak (Lelaki 2 bahagian : Perempuan 1 bahagian)
Pendaraban ke angka bulat 7 x 10 =    70

Anak Lelaki 1                                            14
Anak Lelaki 2                                            14
Anak Lelaki 3                                            14

Anak Perempuan 1                                    7
Anak Perempuan 2                                    7
Anak Perempuan 3                                    7
Anak Perempuan 4                                    7
                                                        ----------------
                                        Semua              80  bahagian

D. Berikutan Ayah juga berhasrat menyerah terus bahagian hartanah kepada anak-anak, ia hasrat yang amat baik dan molek diteruskan. Memandangkan ia bersifat penyerahan semasa hidup yaitu proses hibah, puan dan seisi keluarga boleh berbincang baik-baik bagi mendapatkan persetujuan kaedah dan tatacara pembahagian secara bersama. Boleh dipecahbahagi mengikut pembahagian faraaid atau satu mengikut satu persetujuan bersama yang lain.

E. Setelah A diselesaikan terlebih dahulu, bolehlah perkara C dibuat.

F. Berkenaan perkataan 'pecah kuasa' itu, ia adalah istilah biasa dicakap sebut orang. Maksud sebenarnya adalah proses pecahbahagi harta pusaka kepada para waris yang berhak, mengikut bahagian masing-masing. Praktikalnya seperti saya nyatakan di atas.

G.  Setelah semua dinyatakan diatas siap, barulah ke Tahap 2 iaitu membuat pecahbahagi seperti dikehendaki dan didaftarkan di Pejabat Tanah. Itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh DO terbabit. Proses memang akan panjang dan memakan masa. Namun begitu, oleh kerana ia melibatkan harta tanah, maka proses pecahbahagi pusaka A dan C, boleh dibuat di Pejabat Tanah sahaja. Amat baik sekiranya boleh dijalankan serentak. Tapi semua waris kena hadir.

Yang menjadi hal selalunya adalah masa dan kos serta mendapatkan kehadiran semua waris terlibat. Puan dan semua waris mesti mencari persetujuan dalam hal ini, daripada membiarkan hal ini berlanjutan. Hal ini akan menjadi lebih sukar sekiranya selepas ini ada lagi waris meninggal dunia sebelum urusan pindahmilik ini disiapkan.

G. Bagi kes Ayah, beliau sendiri boleh pergi ke Pejabat Tanah bersama semua waris yang dipersetujui (rujuk D) untuk menerima bahagian tersebut, untuk membuat pindahmilik. Hal ini tidak melibatkan sebarang perbicaraan mahkamah atau pun pecahbahagi pusaka di Pejabat Tanah.

Satu lagi ingin saya peringatkan, memandangkan akhirnya akan terjadi 3 pihak pemilik di atas satu geran (perkongsian mengikut bahagian masing-masing), satu lagi keadaan akan timbul berdasarkan undang-undang tanah semasa yaitu, sebarang perubahan status ke atas salah satu pemilik, ia mesti diperakui juga oleh pemilik-pemilik yang lain. Jika tidak, perubahan itu tidak boleh berkuatkuasa. Maksud berkuatkuasa ini adalah, perubahan status itu diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Justeru itu, semua pemilik boleh berbuat begini :

1.    Memasukkan nama semua waris yang berhak ke dalam geran tanah mengikut bahagian masing-masing. Ini cara paling benar mengikut hukum. Cuma, kesannya jumlah pemilik akan jadi sangat ramai dan sebarang perubahan perlukan perakuan semua sekali bermaksud, akan memberikan kesukaran dalam aspek pentadbiran.

2.    Memasukkan nama semua waris yang berhak ke dalam geran tanah mengikut bahagian masing-masing tetapi dilantik juga seorang penama/pentadbir/ pemegang amanah bagi pihak setiap satu keluarga pemilik supaya memudahkan urusan pentadbiran. Maksudnya sebarang perubahan status melibatkan salah satu pihak, cukup hanya 3 orang penama ini sahaja memberikan perakuan

Puan boleh berbincang lanjut dengan kaum keluarga semua pihak tentang cadangan yang saya nyatakan. Saya mendoakan yang terbaik untuk Puan.

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu pihak Puan. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكين
والسلام
 
eddzahir@38
Tanah Liat
, Bukit Mertajam
Read more...

Ahad, 8 April 2012

Soal Jawab Puasa (Siri 5)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini. Bersama ini saya sertakan sebahagian jawaban terhadap beberapa persoalan lanjut yang dikemukakan. Ini adalah sekumpulan dari beberapa siri maklumbalas. Selalunya maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah bersama.

Soalan daripada : shamsuri@asemal.com.my

Salaamun’alaik ustaz Mad,

Saya pun nak ucapkan terima kasih atas kuliah panjang lebar pasal puasa Ramadan dan juga soal jawabnya. Menang sangat memberi manfaat. Lagipun saya memang kurang kesempatan untuk hadir kuliah.

Soalan saya begini, saya terlibat dengan sejenis perniagaan yang memerlukan berjalan jauh (musafir) atas alasan tugasan. Terjadi satu keadaan yang rakan-rakan agak keliru dengan hokum-hakam boleh berbuka bagi orang yang bermusafir. Ada yang mengatakan :

1.    Terus berpuasa lebih baik kerana kemudahan sekarang tidak memberatkan.
2.    Kena berpuasa dulu jika tidak tahan baru boleh berbuka.
3.    Boleh saja terus tidak puasa, kalaupun masih ditempat sendiri (bermukim) sebelum bertolak.

Kami yang awam ini tak opasi macam mana sebenarnya. Penjelasan dari ustaz sangat kami hargai.

Wassalam

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih tuan kerana masih bersama jamaah. Lama juga menghilang, sekarang dah timbul balik. Alhamdulillah, semoga tuan dalam keadaan sihat.

Orang yang dalam musafir dibenarkan meninggalkan puasa wajib dan wajib diganti (qadha) jumlah hari yang ditingalkannya itu berdasarkan firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Aziiz :

“……… Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain………..”
Surah Al Baqarah (2) ayat 184.

Ayat ini tidak pula menyebut bahawa haram berpuasa semasa musafir, mesti mencuba puasa dahulu baru berbuka, lebih afdhal berpuasa dan segala macam fatwa lagi yang banyak disebut-sebut orang sekarang.

Sebenarnya berpuasa atau berbuka puasa dalam musafir ini adalah pilihan individu, yang boleh memilih tidak berpuasa atau mahu berpuasa. Justeru itu, amat salah pandangan yang mengatakan lebih afdhal berpuasa atau pun mahu mencuba setakat mampu terlebih dahulu. Ini semua fatwa mainan akal-akalan dan perasaan semata-mata, bukan dalil syara’. Begitu juga dengan pendapat bahawa tak perlu lagi meninggalkan puasa kerana sekarang fasiliti menyenangkan, tidak lagi memberatkan sehingga memerlukan tidak berpuasa. Malah orang yang jelas pasti akan bermusafir boleh tidak berpuasa sejak dalam mukim lagi, misalnya makan terlebih dahulu lantaran sukar mendapatkan bekalan di sepanjang perjalanan.

Perbuatan Nabi Saw. bermusafir dalam bulan Ramadhan dinyatakan dalam banyak hadis, saya nyatakan disini beberapa sahaja antaranya untuk iktibar kita bersama :

Dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu. ia berkata : Rasulullah Saw. pernah mengadakan perjalanan di bulan Ramadhan, Baginda tetap puasa sampai tiba di Asfan, kemudian Baginda minta diambilkan bijana yang berisi air dan meminumnya pada waqtu siang hari, supaya orang-orang boleh melihatnya. Beliau tetap tidak berpuasa sehingga memasuki kota Makkah. Selanjutnya Ibnu Abbas berkata : Rasulullah Saw. berpuasa dan juga berbuka, siapa yang ingin maka ia boleh berpuasa, dan siapa yang ingin maka ia boleh berbuka”.
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. imam Muslim rh. imam Abu Daud rh. dan imam Nasaaie rh. Ini dari lafaz Muslim.

Dalam satu hadis lagi disebutkan :

“Anas bin Malik Rhu. pernah ditanya tentang berpuasa di Ramadhan di dalam perjalanan, maka dia menjawab : Kami pernah melakukan perjalanan bersama Rasulullah Saw. di bulan Ramadhan, maka orang yang berpuasa tidak mencela orang yang berbuka, dan orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa”.
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh.

Justeru itu, langsung tiada masalah sama ada mahu terus berpuasa atau tidak berpuasa.

Sekiranya ingin menetapkan mana lebih afdhal pula, jawabnya tidak berpuasa itu lebih afdhal sepertimana sabda Rasulullah Saw. dalam hadis ini :

Dari Jabir bin Abdullah Rhu. ia berkata : Suatu ketika Rasulullah Saw. berada dalam sebuah  perjalanan, lalu Baginda melihat seorang laki-laki yang dikerumuni oleh orang banyak, laki-laki itu diberi naungan. Maka Nabi bertanya : Apa yang terjadi dengannya. Orang-orang mengatakan : Orang itu sedang berpuasa. Rasulullah Saw. pun bersabda : Bukan merupakan kebaikan apabila kamu berpuasa ketika melakukan perjalanan.
Dalam satu riwayat lain, Baginda menyebutkan : Hendaknya kamu mengambil rukhsah (keringanan) dari Allah yang Dia berikan kepada kamu”.
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. imam Muslim rh. imam Abu Daud rh. dan imam Nasaaie rh. Ini dari lafaz Muslim.

Justeru itu, hal untuk berpuasa atau tidak berpuasa di dalam musafir ini adalah terbuka kepada pilihan masing-masing. Maka tak perlulah adanya fatwa-fatwa sesedap rasa yang menyebabkan banyak orang pening. Tidak boleh sama sekali meletakkan hukum akal dalam hal syara’ ini. Sekiranya kita cenderung untuk memilih salah satu pilihan dengan sebab tersendiri, ia adalah hak peribadi yang tak boleh dijadikan hukum kepada individu lain.

Setakat ini dahulu. Semoga saya telah membantu.

والله اعلم           


Maklumbalas daripada Saudara Pyan : sabja114@yahoo.com

Salaam syeh.

Seputar dalil tentang istimna’, saya menyebut dalam posting yang lepas, Syeikh Al Albani rh. punya pandangan yang tersendiri dan menyalahi jumhur. Namun ia dirasakan pandangan yang kuat. Insyaallah, seputar dalil yang membenarkan jima’ bersama isteri di siang hari dengan syarat musafir akan menyusul.

Pertamanya yang dimaksudkan dengan Istimna’ الاستمناء ialah perbuatan mengeluarkan mani selain jimak, dengan apa jua cara sama ada dengan tangan (onani) atau ketika sedang bersedap-sedapan dengan isteri atau sebagainya.

Ramai yang bertanya tentang persoalan ini “adakah terbatal puasa seseorang jika dia mengeluarkan maninya “al-Istimna’” dengan apa jua cara sama ada dengan mengeluarkannya dengan menggunakan tangan (onani) atau ketika bersama dengan isterinya atau yang seumpamanya”.

Persoalan ini merupakan perkara yang diperselisihkan oleh para ulamak. Maka Jumhur atau majoriti ulamak berpendapat perbuatan mengeluarkan mani tersebut membatalkan puasa. Sementara sebahagian yang lain menyatakan sebaliknya iaitu tidak membatalkan puasa. Adapun jimak pada siang hari Ramadhan, sepakat mengatakan hukumnya haram dan dikenakan kaffarah dengan nas.

Kaedah
Jika ditinjau dari sudut yang disepakati oleh para ulamak, maka kesemua mereka bersetuju di atas : الأصل عدم الإفطار yang membawa pengertian, kaedah asalnya seseorang yang berpuasa itu tidak terbatal puasanya dengan sesuatu tindakan kecuali jika adanya dalil yang menyatakan bahawa tindakan tersebut membatalkan puasanya. Oleh itu, sesiapa yang ingin menyatakan tindakan tertentu apabila dilakukan oleh seorang yang berpuasa akan menyebabkan puasanya terbatal perlu membawakan dalil dari al-Qur’an atau sunnah bagi membuktikan perkara tersebut. Bertitik-tolak daripada kaedah ini, maka perbuatan istimna’ dengan apa jua cara sekalipun tidak membatalkan puasa serta tidak perlu diganti (Qada’) di sisi sebahagian ulamak.

Perbincangan Ulamak Terhadap Dalil Yang Mengatakan Batal
Oleh kerana kaedah asal menyatakan sesuatu itu tidak membatalkan puasa seseorang kecuali dengan dalil, maka para ulamak yang berpendapat terbatalnya puasa dengan istimna’ pada siang hari Ramadhan membawakan beberapa dalil bagi menyokong pendapat mereka. Antara dalilnya ialah dengan menggunakan kaedah Qias. Maka diqiaskan perbuatan istimna’ itu dengan perbuatan jimak pada siang hari Ramadhan.

Hujah ini dijawab oleh Syeikh al-Albani rh. Ketika memberi komentar beliau terhadap apa yang ditulis oleh Syeikh Sayyid Sabiq di dalam fiqh al-sunnah :

الإستمناء (إخراج المني) سواء أكان سببه تقبيل الرجل لزوجته أو ضمها إليه، أو كان باليد، فهذا يبطل
الصوم ويوجب القضاء.

Mengeluarkan mani sama ada disebabkan seorang lelaki mencium isterinya, atau rapatnya (isteri) kepadanya atau dengan mengunakan tangan, maka ini membatalkan puasa dan wajib menggantikannya.

Syeikh al-Albani berkata :

لا دليل على الإبطال بذلك وإلحاقه بالجماع غير ظاهر، ولذلك قال الصنعاني: الأظهر أنه لا قضاء ولا كفارة إلا على من جامع، وإلحاق غير المجامع به بعيد. وإليه مال الشوكاني، وهو مذهب ابن حزم.

Tiada dalil batalnya (puasa) dengan perkara-perkara yang disebutkan dan mengqiaskannya dengan perbuatan jimak adalah suatu yang tidak jelas. Oleh sebab itu berkata imam al-Shana’ni rh. : Yang jelasnya, perbuatan tersebut tiada ganti (qada’) dan tiada kaffarah kecuali ke atas mereka yang melakukan jimak, dan mengqiaskan dengan selain jimak maka ianya tersasar jauh. Imam Al-Syaukani rh. juga cenderung kepada pendapat ini dan ianya merupakan mazhab Ibn Hazm Al Andalusi rh.
(rujuk Tamamul Minnah, halaman 418. Perkataan Imam al-Son’ani boleh dirujuk di dalam Subulus Salam, Jilid 2, halaman 644)

Imam Ibn Hazm menyatakan di dalam kitabnya :

وأما الإستمناء فإنه لم يأتي نص بأنه ينقض الصوم

Adapun Istimna’ tidak ada nas yang menyatakan ianya membatalkan puasa. (rujuk kitab Al Muhalla, Jilid 6, hlm. 205)

Syeikh al-Albani menyatakan lagi bahawa mengqiaskan perbuatan istimna’ dengan jimak merupakan قياس مع الفارق iaitu Qias dengan sesuatu yang berbeza sama sekali. Ini dapat dilihat kepada sebahagian mereka yang berpendapat istimna’ membatalkan puasa tetapi dalam masa yang sama mereka tidak menyatakan wajibnya kaffarah seperti ke atas kaffarah mereka yang melakukan jimak pada siang hari Ramadhan. Hujah mereka ialah kerana jimak itu lebih berat daripada istimna’, maka kembali kepada hukum asalnya tiada kaffarah.

Syeikh al-Albani rh. Menjawab: sekiranya begitu maka kami juga katakan hukum asal ialah sesuatu itu tidak membatalkan puasa, jadi perbuatan jimak itu lebih berat daripada istimna’, maka tidaklah boleh diqiaskan istimna’ itu dengan jimak, perhatikan dan fikirkanlah.
(Tamamul Minnah, halaman 418-419)

Sekiranya hendak menggunakan Qias di dalam masalah ini, maka hukum akhirnya juga mesti sama dengan perkara atau benda yang diqiaskan kepadanya.

Sebahagian ulamak menyatakan batalnya puasa dengan istimna’ berdalilkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari rh., Allah Swt. menyatakan hal keadaan mereka yang berpuasa :

يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي الصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

“Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya disebabkan kerana Aku, Puasa itu untuk Ku dan Aku yang akan memberi ganjaran dengannya”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Hadis ini menjelaskan keadaan mereka yang berpuasa, iaitu mereka meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya. Jika sekiranya seseorang yang berpuasa itu makan, minum serta tidak menahan syahwatnya maka batallah puasanya. Oleh yang demikian istimna’ itu syahwat dan keluarnya mani itu syahwat. Maka jika melakukan istimna’, mengeluarkan mani dengan tangan atau ketika melihat isteri atau dengan apa cara sekalipun menyebabkan puasanya terbatal.

Tetapi sekiranya diterima pakai hujah di atas maka bagaimanakah hadis-hadis Baginda Saw. yang menyatakan baginda mencium dan menyentuh isterinya pada siang hari Ramadhan? Adakah itu tidak dikira syahwat?

Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah Rha. Menyatakan :

كان النبي صلى الله عليه وسلم يُقَبِّل ويباشر وهو صائم، وكان أملككم لاربه

“Adalah Nabi Saw. mencium dan menyentuh (isterinya) sedang baginda berpuasa, dan Baginda ialah orang yang paling mampu mengawal kemaluannya”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Maksud mengawal kemaluan adalah mengawal diri dari melakukan jimak.

Perkataan يُبَاشِر-الْمُبَاشَرَة kebiasaannya digunakan untuk perkataan jimak, di dalam hadis ini ia bermaksud sesuatu yang lebih dari hanya sekadar mencium. Juga boleh bermaksud menyentuh atau meraba dengan tangan.

Maka Al Imam Ibnu Hajar Asqolani rh. di dalam kitab Fath ul-Bari menyatakan yang dimaksudkan dengan syahwat di dalam hadis “Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya disebabkan kerana Aku” ialah syahwat jimak.

Perhatian
Disebutkan sebelum ini, istimna’ iaitu mengeluarkan mani dengan tangan atau onani bukan bermaksud perbuatan itu dibenarkan tanpa ada perincian tetapi ianya hanya menjelaskan sama ada membatalkan puasa atau tidak.

Adapun pendapat yang benar di dalam masalah onani ialah pendapat yang mengharamkannya berdasarkan firman Allah Ta’ala di dalam Al Qur’an ul Haaq :

]وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ[ (5) ]إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ[ (6)] فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ[ (7)

Maksudnya :

“Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tiada tercela, barangsiapa mencari cara sebaliknya, mereka ialah orang-orang yang melampaui batas”.
Surah Al Mukminun (23) : ayat 5-7

Maka perbuatan onani termasuk di dalam maksud ayat barangsiapa yang mencari jalan yang lain daripada jalan yang telah dibenarkan. Dan jalan yang dibenarkan oleh syarak ialah dengan isteri ataupun hamba-hamba yang dimiliki tetapi pada zaman ini, kondisi hamba sebegitu sudah tiada lagi.

Kesimpulan
Di sini terdapat ulamak yang mengatakan istimna’ dengan erti kata menggunakan tangan atau onani membatalkan puasa dan ada juga yang berpendapat sebaliknya iaitu tidak membatalkan puasa. Tetapi tidak mereka berselisih dan diragukan lagi bahawa ianya haram.

Adapun istimna mengeluarkan mani sewaktu bersama dengan isteri selagi mana tidak melakukan jimak, maka setelah melihat kepada pendapat para ulamak ianya tidak membatalkan puasa.

Walaupun demikian, kedua-dua belah pihak tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima pendapatnya. Perlu diingat yang penting seseorang itu tidak mengikut hawa nafsu. Selagi mana seseorang itu merujuk dan bergantung kepada pendapat ulamak serta cuba sedaya upaya untuk mengetahui kebenaran dengan menjauhkan diri dari sifat ta’asub dan dari mengikut hawa nafsu, maka insyaAllah dia akan berjaya dengan izin Allah Swt.

Wallahu Ta’ala a’lam

والله اعلم           

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام


Read more...

Soal Jawab Puasa (Siri 4)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini. Bersama ini saya sertakan sebahagian jawaban terhadap beberapa persoalan lanjut yang dikemukakan. Ini adalah sekumpulan dari beberapa siri maklumbalas. Selalunya maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah bersama.

Soalan daripada : tkjudi@yahoo.com

Salaamun’alaik ustaz, mula-mula saya ucapkan terima kasih atas kuliah panjang lebar pasal puasa Ramadan dan juga soal jawabnya. Sangat memberi manfaat.

Soalan saya begini, saya dan rakan-rakan agak terkeliru dengan penetapan waktu imsak, yang kami faham sudah tidak boleh makan, jika makan akan membatalkan puasa.  Bolehkah kita makan pada waktu Imsak sebenarnya? Apa dasarnya pada hukum syara’ ketetapan waktu imsak ini?

Penjelasan dari ustaz sangat kami hargai.

Wassalam

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih tuan kerana masih bersama jamaah. Lama-lama menghilang, tup-tup timbul menerusi email pulak. Alhamdulillah, moga tuan dalam keadaan sihat.

Sering juga saya mendapat pertanyaan begini : Bolehkah atau batalkah puasa kami kerana kami bersahur melewati waqtu imsak. Ini disebabkan kami terlewat bangun. Untuk menjawabnya juga saya perlu berhati-hati. Tetapi untuk maklumat dan amalan bersama, jawaban saya begini,

Yang dimaksudkan Waqtu Imsak (kira-kira 20-30 minit sebelum masuk waqtu Subuh) adalah batasan waqtu yang ditetapkan oleh para fuqaha dan ulama’ sebagai waqtu berjaga-jaga atau waqtu kritikal iaitu menandakan waqtu bersahur telah hampir luput. Itulah sebenarnya. Ia bukan bermaksud yang waqtu bersahur itu telah luput. Bagaimana asal datangnya ketetapan hukum waqtu imsak ini, wallahua’lam, tidak saya ketahui. Cuma sepanjang semakan saya menerusi hadis dan beberapa kitab fiqh lama yang muktabar, tiada pun menceritakan perihal waqtu imsak ini. Tuan boleh merujuk kepada ilmuwan lain yang lebih faqih daripada saya untuk mendapatkan perincian lanjut hal asal muasal penetapan waqtu imsak ini.

Sepanjang pengetahuan saya (mungkin juga agakan sahaja), lantaran saya tidak menemui asal muasal penetapan hukum ini, kefahaman dan penetapan tentang Waqtu Imsak itu adalah mungkin diambil dari hadis ini,

"Telah menceritakan oleh Anas bin Malik Rhu. : Zaid bin Tsabit memberitahu kepadaku bahawa ia telah bersahur dengan Nabi Saw. Kemudian langsung keluar untuk solat subuh. Berapa lama antara sahur dengan solat?. Jawab Zaid : Sekadar seorang membaca 50 atau 60 ayat (maksudnya ayat suci Al Qur’an)".
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

"Sekadar orang membaca 50 atau 60 ayat" membawa maksud ia boleh dibuat diantara 20-30 minit dalam keupayaan biasa manusia sekarang ini. Hadis ini adalah menceritakan kisah Zaid Rhu. bersama Rasulullah Saw. melakukan sahur sebelum melakukan solat Subuh. Akan tetapi, hadis ini tidak menyebut pula ia adalah batasan waqtu sahur secara sarih dan qat’ie. Akan tetapi, batasan waqtu sahur sebenar yang sarih dan qat’ie telah ditetapkan menerusi hadis-hadis lain (saya nukilkan 2 daripadanya) :

Berdasarkan sabda dan kalam Rasulullah Saw. bahawa waqtu bersahur itu luput dengan adanya fajar sadiq yaitu telah masuknya waqtu subuh.

"Telah menceritakan oleh Abdullah Ibnu Umar Rhu. bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Sesungguhnya Bilal itu azan agak malam, kerana itu kamu boleh makan dan minum sehingga Abdullah Ibnu Ummi Maktum berazan".
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Sesuatu yang mesi difahami oleh masyarakat sekarang adalah, azan Subuh di zaman Nabi Saw. adalah 2 kali. Yang pertama dilaungkan oleh Bilal bin Rabah Rhu. sebelum masuk waqtu Subuh dengan tujuan membangkitkan manusia dari tidur. Manakala azan kedua dilaungkan oleh  Abdullah Ibnu Ummi Maktum Rhu. menandakan telah masuknya waqtu solat Subuh dengan menyeru manusia supaya melakukan solat.

Lantaran itu, hadis di atas dengan jelas memberitahu bahawa batasan waqtu sahur yang ditetapkan oleh Nabi Saw. adalah sehingga masuknya waqtu Subuh. Ini diperkuatkan lagi oleh sebuah hadis lain :

 "Telah berkata ummul mukminin A'isyah binti Abu Bakar Rha. : Sesungguhnya Bilal azan agak malam, maka Nabi Saw. Bersabda : Kamu boleh makan dan minum sehingga azannya Abdullah Ibnu Ummi Maktum, sebab ia tidak azan kecuali sesudah terbit fajar".
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Justeru itu, batasan sebenar waqtu sahur adalah masuknya waqtu Subuh dan memakan sesuatu selepas waqtu itu adalah membatalkan puasa. Saya tiada halangan menerima ketetapan waqtu imsak atas tujuan yang telah dinyatakan, akan tetapi penetapan bahawa waqtu imsak adalah waqtu tidak boleh makan dan sekiranya makan dlam waqtu itu membatalkan puasa, adalah suatu hokum yang batil kerana bertentangan dengan dalil-dalil sunnah yang sohih daripada Nabi Saw. sendiri. Penetapan hukum sebegini adalah menentang kalam Nabi Saw. yang satu-satunya penunjuk contoh amalan puasa yang paling baik. Mana mungkin ada sesiapa pun boleh membuat suatu hukum yang lebih baik daripada Nabi Saw. sendiri. Jadi, boleh makan dalam waqtu imsak.

Moga saya telah membantu tuan dan rakan-rakan.

والله اعلم

Soalan daripada : tajdid_hadhari@yahoo.com

Assalamu’alaikum Pak Lang, saya nak bertanya sikit, yang mudah-mudah saja, untuk mendapatkan kepastian hukum sebenarnya.

Saya pernah hadiri satu kuliah dulu berkenaan puasa, dan ustaz itu bagi tahu tidak boleh melakukan puasa pada hari Jumaat, tapi tidak pula disebutkan perinciannya, atau mungkin juga saya tidak mendengar semasa penjelasan beliau buat. Jadi, macam mana dengan puasa qada pada hari Jumaat atau puasa 6. Puasa Ramadan saya faham tak apa, kerana perintahnya satu bulan termasuk hari Jumaat.

Penjelasan Pak Lang sangat dihargai, raya nanti kita jumpa. Saya akan balik agak lewat.

Wassalam.

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga dalam sihat-sihat saja ya Along. Pak Lang kat sini ok. Nanti kita jumpa, hari raya.

Memang ada beberapa hadis sohih yang menyatakan larangan berpuasa pada hari Jumaat. Baik saya nukilkan untuk pemahaman kita kita semua. Hadis salah satu yang umum menyatakan larangan ini adalah seperti berikut :

“Dari Muhammad bin Abbad bin bin Jaafar Rhu. ia berkata : Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah Rhu. sementara dia sedang melakukan tawaf di sekeliling ka’abah : Apakah Rasulullah Saw. melarang berpuasa pada hari Jumaat. Maka ia menjawab : Ya, demi Rabb Ka’abah ini”
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh., imam Muslim rh. dan imam Ibnu Majah rh.

Matan hadis ini secara umum menyatakan secara total tidak boleh berpuasa pada hari Jumaat kecuali puasa Ramadhan (lantaran ada dalil lain). Begitulah secara umumnya. Namun begitu, maksud sebenar hadis ini ada dinyatakan dalam satu hadis lain, begini :

Boleh dilakukan puasa pada hari Jumaat apabila berpuasa sebelumnya (Khamis) atau sesudahnya (Sabtu) sepertimana hadis berikut :

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata, Rasulullah Saw. bersabda : Janganlah salah seorang daripada kamu berpuasa pada hari Jumaat secara tersendiri, kecuali dengan berpuasa sebelumnya atau setelahnya”.
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh., imam Muslim rh. imam Ibnu Majah rh. dan imam Abu Daud rh.

Dalam satu hadis lain, ada lagi penjelasannya :

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata, Rasulullah Saw. bersabda : Janganlah kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat malam di antara malam-malam lainnya. Jangan pula kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan berpuasa di antara hari-hari lainnya, kecuali bertepatan dengan puasa yang biasa dilakukan oleh salah seorang dari kamu”.
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh.

Secara ringkas tafsir hadis ini adalah :

1.    Larangan yang dimaksudkan adalah tindakan membuat puasa pada hari Jumaat sahaja secara khusus dan tersendiri. Begitulah sebabnya imam Muslim rh. menjadikan pernyataan ini sebagai bab penjelasan hadisnya.
2.    Puasa yang dimaksudkan itu adalah puasa sunnat yang dikhususkan dan tersendiri pada hari Jumaat sahaja.
3.    Larangan puasa pada hari Jumaat ini disebutkan sebagai makruh sahaja oleh imam Asy Syafi’i rh. dan imam Nawawi rh. bukannya haram secara mutlaq
4.    Boleh dilakukan puasa itu sekiranya berpuasa pada hari sebelum atau sesudahnya
5.    Boleh melakukan puasa pada hari Jumaat atas sebab-sebab lain misalnya puasa Ramadhan, puasa qadha, puasa 6, puasa hari Arafah, puasa hari Asyura dan beberapa lagi yang disyari’atkan kerana ia bukanlah bersifat khusus dan tersendiri untuk hari Jumaat.

Mengenai larangan itu, ia terkandung hikmah yaitu : Hari Jumaat adalah hari untuk berdoa, bersegera menuju solat, menunggunya, mendengarkan khutbah dan memperbanyakkan zikir sesudahnya sebagaimana firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Haliim :

“Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung”
Surah Al Jumu’ah (62) : ayat 10

Begitu juga halnya ibadah-ibadah lain yang berhubungan dengan hari Jumaat itu. Oleh kerana itu, disunnahkan untuk tidak berpuasa, sehingga boleh lebih membantu seseorang dalam melaksanakan kegiatan-kegiatan tersebut, lebih bersemangat dan lebih bersiap sedia dalam melakukannya, menikmati hal itu tanpa ada rasa bosan dan jemu.
Sila rujuk kitab Syarah Sahih Muslim oleh imam Nawawi rh. Jilid 5 halaman 682-687 
 
Begitulah, mudah mudahan segala kemusykilan telah terjawab. Yeap, kita jumpa hari raya nanti. Pak Lang tak tetap lagi bila nak balik kampung.

والله اعلم

Soalan daripada : abumaisarah@yahoo.com

Assalamu’alaikum Wr. Wbt. Haji Mad,

Saya nak tanya berkenaan hari syak nak puasa (1 Ramadan) dan nak raya (1 Syawal). Bolehkah kita berpuasa. Sebagai contoh negara kita tak raya lagi, tetapi kita tahu tempat lain dah raya, bukankah itu telah jadi hari syak dan kita tak boleh puasa. Apa hukumnya kalau kita tetap puasa.

Mohon penjelasan sedikit. Wassalam

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Selama sejahtera juga untuk tuan, mudah-mudahan dalam keadaan sihat dan murah rizqi sentiasa. Tuan pun sama juga, macam biskut, kejap ada kekadang tiada.

Sedikit asas, jumlah hari dalam bulan-bulan kalendar Islam (Hijriyah) adalah sama ada 29 atau 30 hari sahaja. Maksud hari syak (diragukan) yang dimaksudkan di dalam hadis-hadis sohih adalah sama ada bulan Sya’aban mempunyai hari yang ke 30 atau hari itu adalah 1 Ramadhan. Keadaan ini boleh terjadi apabila anak bulan Ramadhan yang dicerap (ru’yah) pada petang 29 Sya’aban tidak kelihatan. Sekiranya dapat dilihat, tidak timbul perkara hari syak ini. Lantaran itu saya kurang pasti bagaimana tuan mendapati adanya hari syak tentang 1 Syawal.

Apabila anak bulan tidak kelihatan, maka akan diputuskan bulan Sya’aban dijadikan 30 hari dan yang tarikh 1 Ramadhan (permulaan puasa) adalah pada lusa. Sekali pun penetapan sebegini dibuat, tetap jualah pada hari 30 Sya’aban yang ditetapkan itu menjadi hari syak lantaran tidak dapat dilihat itu berpunca daripada kelemahan sifat manusia yang serba kekurangan atau pun ketentuan Allah menerusi tabiat alam seperti mendung atau hujan. Dan tidak boleh berpuasa padanya. Ini berdasarkan hadis berikut :

“Dari Ammar bin Yasir Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Barangsiapa yang berpuasa pada hari yang diragukannya (syak) bererti ia telah durhaka kepada Abul Qasim (kunyah Nabi Muhammad Saw.)”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh. dan. Imam Tarmidzi rh. dan beliau mengatakannya hasan sahih.

Hukum dari hadis ini adalah tetap, jelas berkuatkuasa dan tidak boleh ditentang atau diragui. Tiada jua keterangan hadis lain yang mengatakan sebaliknya. Maka itu tetaplah tidak boleh (diharamkan) berpuasa pada hari syak iaitu 30 Sya’aban.

Bagaimana pun, ada hadis lain yang memberikan rukhsah (keringanan, pengecualian) dalam kes puasa tertentu sepertimana hadis berikut :

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw bersabda : Jangan kamu semua mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari (sebelumnya), kecuali bagi orang yang ia terbiasa  dengan berpuasa (pada hari itu), maka bolehlah dia berpuasa”.
Hadis riwayat imam Bukhari rh. imam Muslim rh. imam Abu Daud rh. dan Imam Tarmidzi rh. Ini dari lafaz Muslim.

Maka berdasarkan hadis ini, apabila seseorang yang telah menjadi kebiasaannya berpuasa pada hari Isnin dan Khamis atau pun puasa nabi Daud Ahs. (puasa selang satu hari) sebagai contoh, yang  berkebetulan pula hari syak itu jatuh pada hari Isnin/Khamis atau hari dia kena berpuasa padanya tersebut, maka dia boleh berpuasa sunat pada hari tersebut dan tidak ada larangan untuknya. Akan tetapi, kepada orang lain yang senghaja memilih untuk berpuasa pada hari itu, hukumnya tidak dibolehkan (haram) itu tetap kekal.

Saya tidak membincangkan hal hari syak yang tuan sebutkan yaitu sama ada 30 Ramadhan atau 1 Syawal kerana tidak pernah saya temui keterangan atau perbincangan para ilmuwan dan fuqaha’ yang mensabitkan keadaan itu sebagai hari syak.

والله اعلم

Soalan tambahan daripada : abumaisarah@yahoo.com

Assalamu’alaikum Wr. Wbt. Haji Mad, terima kasih atas maklumbalas.

Saya nak tanya lebih sikit, merujuk kepada jawaban Tuan Haji yang lepas, adalah dicela perbuatan seseorang yang masih belum menghabiskan qadha puasa sehingga datangnya Ramadhan yang baru. Dan pada hari syak adalah diharamkan berpuasa.

Sekiranya terjadi hanya lagi 1 hari untuk menamatkan qadha puasa dan baki hari yang ada itu adalah hari syak berkenaan, bolehkah dia berpuasa juga pada hari itu. Itu saja yang nak ditanya.

Mohon penjelasan sedikit. Wassalam

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih tuan kerana memberikan soalan yang sangat mencabar untuk menjawabnya. Saya akui petikan pernyataan itu adalah sebahagian daripada maklumbalas saya terdahulu.

Baik saya teruskan saja kepada jawabannya. Hanya yang boleh saya katakan adalah dalam 2 situasi sahaja, begini :

1.            Berdasarkan hadis sohih, tidak boleh berpuasa pada hari syak kecuali atas sebab jenis puasa yang telah dinyatakan. Ia adalah puasa sunnat/tathawwu’. Maka, puasa qadha adalah puasa ganti wajib yang tidak termasuk dalam kategori yang dibenarkan dalam hadis sohih tersebut. Maka itu tidak boleh melakukan puasa qadha pada hari syak, demikianlah pegangan saya.

2.            Namun begitu terdapat fatwa mahu pun ijtihad dari kalangan para fuqaha’ dan ulamak muktabar yang membolehkan ia dibuat dan menganggap yang larangan puasa pada hari syak bukanlah bersifat haram mutlak tetapi ia hanya makruh sahaja. Antaranya adalah imam Yahya bin Syaraf An Nawawi rh. yang menyatakan :

 “Berkata sahabat-sahabat kami (dari mazhab Asy Syaf’i’i) : “Tidak sah puasa pada hari syak dari masuknya Ramadhan tanpa khilaf…, Jika dilakukan padanya puasa qadha atau Nazar atau kafarah, ianya diterima, ini kerana apabila diharuskan puasa padanya (hari syak) dengan puasa sunat yang telah menjadi kebiasaan, maka puasa fardhu (seperti qadha dan seumpamanya) adalah lebih utama (untuk dikatakan harus), ini seperti mana waktu-waktu yang diharamkan solat, kerana jika pada seseorang itu ada puasa qadha Ramadhan sehari, maka sesungguhnya dia mesti mengqadhakannya, kerana waktu qadhanya telah menjadi sempit".
Kitab Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab, Jilid 6 halaman 400

Saya telah memberikan jawaban saya lengkap dengan dalil dan sepatutnya. Juga telah saya nyatakan pendirian saya dan pandangan yang bertentangan dengannya lengkap dengan pernyataan fatwa dan rujukannya sekali. Maka, tuan hanya perlu membuat pilihan atau pun, dapatkan penjelasan dari orang yang lebih faqih daripada saya, yang serba dhoif ini supaya boleh tuan mendapat ta’liq yang lebih baik.

والله اعلم           

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام


Read more...