Rabu, 16 Januari 2013

Tanda Qiamat : Bernarkah dunia akan bergelap 3 hari.

5 ulasan

From: "Syalikh Nizar, Abdul Malek"
To: edd zahir
Sent: Monday, November 19, 2012 3:45 PM
Subject: BETUL KE? Dunia akan bergelap 23 hingga 25 Dec 2012 ataupun .............?

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga Pak Lang dalam rahmat Allah Swt. sentiasa. Ada sedikit hal saya nak dapatkan penjelasan. Saya ada menerima satu email yang memberitahu berkenaan dunia akan bergelap selama 3 hari pada 23 hingga 25 Disember 2012. Saya sertakan kandungan email itu dan mohon Pak Lang buat sedikit kupasan berkenaan hal ini.

Jasa baik sangat dihargai.

Wassalam

Assalamualaikum untuk semua pembaca. 

Semalam 18/11/12 (Ahad) Ada Ceramah Maal Hijrah di Surau XXXXX, Spg Ampat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang selepas solat isyak dimana penceramah undangan Ust XXXXXXXX dari Kulim. Pertama kalinya ust. meminta persetujuan dari jemaah utk tidak membincangkan cerita penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W kerana tajuk yang sama selalu dicerita setiap kali ada ceramah Maal Hijrah. Ia cuma ingin menyetuh bab Qiamat.

Dan selesai menceritakan bab tanda-tanda qiamat. Ia pun mengeluarkan satu risalah bahawa dunia akan bergelap dari tarikh 23, 24 & 25 Decembar 2012 kajian yg dibuat oleh NASA dan dibandingkan dengan buku yang bertajuk "Peringatan Di Akhir Zaman" Oleh Ust XXXXX keluaran tahun 1995.

dimana didalam buku tersebut ada menyebutkan akan terjadinya gelap dalam tiga malam iaitu sama dengan kajian yang dibuat oleh NASA. Ust berpesan pada semua jemaah berhijrahlah bermula malam ini dengan banyak membaca Al-Quran, Bertahajjud, Solat Berjemaah dan banyak melakukan kebaikan dan menjauhkan yang dilarang oleh Allah kerana kita tidak tahu apa akan terjadi hanya Allah yang tahu bila Qiamat akan berlaku walau bagaimanapun kita harus berwaspada & beringat kerana tanda-tanda qiamat semankin lama semankin banyak.

Setelah balik saya pun memasuk blog-blog di Internet, banyak juga blog yang membincangkan hal yang disebutkan oleh ustaz dan macam-macam pandangan dari blogger ada yang setuju, ada yang menafikan dan ada yang neutral mengenai (Dark of the Earth). Saya ada sertakan lebih kurang 6 atau 7  dari ulasan yang sempat saya ambil dari internet untuk tatapan kawan2 semua termasuk dari halaman dari buku yang saya copy dari ustaz tersebut.

Mungkin betul teori oleh NASA ramalan yang di dunia ni akan bergelap pada tarikh tersebut?? & mungkin kiamat yang akan terjadi pada tahun 2012?? .. betul ke semua tu .. percaya tu bole la .. tapi jangan percaya sangat .. kang jadi syirik pulak .. qiamat hanya ALLAH S.W.T yang tahu manusia tak ada yang tahu kiamat tu bila nak datang .. ade yang cakap qiamat esok datang .... qiamat sudah dekat ??? betul la tu .. sekarang banyak sangat manusia yang bertukar jantina .. buang bayi merata-rata .. pembunuhan & bunuh diri....zina... bermegah ngan mesjid & bangunan tinggi...banyak berlaku gempa bumi...itu semua tanda kiamat deh ..

ok balik ke topik semula.

Kiamat pasti berlaku seperti yang dinyatakan Allah di dalam Kitab Al-Quran dan dinyatakan kebenarannya di dalam banyak hadith rasulullah s.a.w. Apa yang penting ialah persiapan kita untuk menghadapinya. Perbanyakkan taubat dan pertingkatkan amal soleh untuk bekalan kita kembali menghadap Allah di akhirat kelak. Penghayatan tentang kiamat itu amat penting agar kita sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhkan diri daripada menjadi pengikut iblis dan syaitan alaihi laknatullah.

Ramai di kalangan kita umat islam sudah tahu dengan yakin akan berlakunya hari kiamat itu, akan tetapi ramai yang tidak mahu mengambil iktibar mengenainya. Malah semakin aktif melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Mudah-mudahan kita tidak termasuk di dalam golongan ini. Na'uzubillahi min zaalik. Setakat itu ajelah ilmu yang dapat saya ambil dari ceramah tersebut. 

Sekian.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعديسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya memberikan sedikit ulasan berdasarkan pengkisahan yang Tuan berikan tersebut.

Mempercayai adanya dan berlakunya hari qiyamat adalah Rukun Iman yang seluruh ummat mukminin tiada pilihan, yang tidak boleh tidak, mesti beriman kepadanya. Ketentuan ini djelaskan oleh Allah Swt. dan junjungan mulia Rasulullah Saw. :

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan ……………”.
Surah Al Baqarah (2) : sebahagian ayat 177

Iman adalah suatu kepercayaan amat teguh dan tersimpul mati yang tersemat di dalam hati terhadap Allah Swt.. Lantaran itu, membicarakan hari qiyamat mestilah berdasarkan fakta qat’ie dan sahih sahaja seraya menafikan apa jua rekaan, pendapat dan ramalan yang pastinya bathil. Iman yang suci tidak sesekali tertegak di atas ilmu yang bathil. Mempercayai sesuatu yang bathil tentang qiyamat atau sekurang-kurang terpengaruh kepadanya, telah menggoncangkan tahap iman seseorang, malah boleh merosakkannya sehingga terjerumus menjadi kufur (ya’ni terkeluar dari Islam). Moga Allah Swt. melindungi kita dari terjadi begini.

Seterusnya lagi, Allah Swt. telah berfirman :

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah, dan mereka tidak mengetahui (pun) bila mereka akan dibangkitkan. Sebenarnya pengetahuan mereka tentang akhirat tidak sampai (kesana) malahan mereka ragu-ragu tentang akhirat itu, lebih-lebih lagi mereka buta daripadanya”.
Surah An Naml (27) : ayat 65-66

Ayat ini tegas menunjukkan tidak ada satu apa pun makhluk yang mengetahui perkara ghaib, termasuklah bila waktu terjadinya hari qiyamat. Lantaran itu, dalam membicarakan perihal qiyamat, berpeganglah kepada dalil-dalil dari Al Qur’an dan hadis sahih semata-mata. Seraya menolak hadis-hadis dan segala perkhabaran dhaif, mungkar dan maudhuk demi kerana mengambil jalan paling benar dan selamat, demi sesungguhnya berurusan dengan alam ghaib, alam yang lain dari alam fana yang kita duduki sekarang, yang hanyalah Allah Swt. dan rasulNya sahaja yang lebih mengetahui.

Oleh kerana itu, akal-akalan, pendapat, pandangan, tekaan, ramalan dan sangka-sangkaan tidak boleh dipakai sama sekali kerana Allah Swt. telah menghadkan akal pemikiran manusia setakat mana Dia ingini yang tertakluk dibawah KuasaNya. Memandangkan dunia ghaib ini tidak dapat kita lihat mahupun rasai, maka kita mesti kembali kepada Allah Swt. Yang Ma’bud di samping Nabi Muhammad Saw. untuk menjelaskannya dan menetapkan segala hukumnya.

Hal hari qiyamat ini sering disebut-sebut bukanlah senghaja untuk menakutkan orang atau pun mendesak-desak orang sehingga bingung dan terketar-ketar, akan tetapi sebagai seruan dan peringatan supaya mereka kekal dalam mentaati Allah Swt. dan berpegang teguh selamanya dengan Islam. Lantaran itu, mestilah ia diceritakan dengan kisah-kisah yang benar bukannya cerita karut marut. Allah Swt. menjelaskan menerusi firmanNya :

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”.
Surah Adz Dzaariyat (51)  : ayat 55

Persoalan oleh orang-orang bebal dan pembawa kisah karut marut ini juga turut diungkapkan oleh Allah Swt. dalam beberapa ayat, bahawa orang selalu bertanya kepada Rasulullah Saw. mengenai bila bakal terjadinya hari qiyamat sepertimana firmanNya :

“Mereka bertanya kepada engkau tentang sa’ah (hari qiyamat) ; Bilakah datangnya?”. Surah Al A’raaf (7) : ayat 187

Dan dijawab dalam  firmanNya lagi :

“Siapakah kamu (sehingga) dapat menyebutkan (waqtunya)?. Kepada Tuhanmu lah dikembalikan kesudahannya (ketentuan waqtunya). Kamu hanyalah pemberi peringatan kepada sesiapa yang takut kepadanya (hari qiyamat)”.
Surah An Naazi’at (79) : ayat 43-45

Sesungguhnya bilakah qiyamat itu akan berlaku adalah hak mutlak Allah Swt. semata-mata dan tiada siapa pun pun mengetahuinya. Sayugia diingatkan, orang yang bertanya tentang bilakah hari qiyamat dalam dua ayat Allah di atas, adalah orang-orang kafir yang hasratnya untuk memperolok-olokkan, mempermainkan, mengejek dan mentertawakan Nabi Saw. dan ummat Islam, bukanlah pertanyaan itu kerana mereka berhasrat untuk memahami Islam. Lantaran itu, sehingga saat kini pun, pihak yang sering membangkitkan hal sebegini adalah golongan kafir atas niyat memperolok-olokkan aqidah ummat Islam, menafikan terjadinya peristiwa itu dan mendustakan kejadiannya.

Sudah menjadi kesepakatan kaum muslimin dan termasuk dari rahmat Allah Swt., bahawa qiyamat tidak datang dengan tiba-tiba, akan tetapi setelah berlakunya tanda-tanda (sebagai peringatan bagi manusia) yang akan terjadi sebelumnya. Al Qur’an sendiri tidak menyatakan dengan tepat bilakah akan berlakunya qiyamat, akan tetapi dengan jelas menyebutkan ada tanda-tandanya. Allah Swt. menjelaskan dalam firmanNya berikut :

“Maka tidaklah mereka tunggu-tunggu melainkan sa’ah (hari qiyamat), yaitu kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila sa’ah (hari qiyamat) telah datang”.
Surah Muhammad (47) : ayat 18

Rasulullah Saw. juga menyatakan tanda-tanda besar menerusi sabdanya :

“Dari Hudzaifah bin Usaid Al Ghiffari Rhu. ia berkata : Rasulullah Saw. pernah muncul di hadapan kami ketika kami sedang berbincang-bincang. Lalu Baginda bertanya : Apakah yang sedang kamu bincangkan?, Para sahabat menjawab : Kami sedang membincangkan as sa’ah (hati qiyamat). Baginda kemudian bersabda : Sesungguhnya qiyamat itu tidak akan datang (berlaku) sehingga kamu melihat sepuluh ayat (tanda) sebelumnya. Lalu Baginda menyebutkan: Dukhan (kabut/asap), Dajjal, Daabbah (binatang yang boleh berbicara yang akan keluar dari perut bumi), terbitnya matahari dari tempat terbenamnya, turunnya Isa bin Maryam Ahs., keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, terjadinya tiga gempa bumi di timur, barat dan jazirah Arab, dan yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menggiring manusia ke tempat berkumpulnya mereka”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 2901)

Diantara tanda-tanda kecilnya telah dinyatakan oleh Rasulullah Saw. menerusi sabdanya :

Dari Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab Rhu. ia berkata : ....... Kalau begitu katanya, khabarkan kepadaku dari tanda-tandanya sahaja. Rasulullah menjawab : tanda-tandanya itu ialah bila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, penggembala kambing (berbangga-bangga) menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan. Kemudian ia pun pergi ……”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 50) dan imam Muslim rh. (no. 9 dan 10)

Terdapat banyak lagi hadis-hadis sahih yang mengkisahkan tanda-tanda kecil qiyamat ini. Sepanjang pengetahuan dan pengajian saya, tidak kurang 42 hadis kesemuanya yang menyatakan tanda-tanda itu merangkumi berbagai bab, antaranya :

1. Al Qur'an diangkat daripada dada (tiada lagi orang menghafaz), Al Qur’an dilagu-lagukan dan dipertandingkan tetapi tidak dilaksanakan pengajarannya. Al Qur’an ditulis cantik dan dijadikan hiasan dinding
2. Banyak berlaku perzinaan, homoseks dan lesbian
3. Masjid dibina indah, hebat dan mahal-mahal tetapi tidak banyak ahli jama'ah dan tidak dijadikan sebagai pusat gerakan Islam
4. Orang yang tak amanah diberi tanggungjawab, orang yang amanah disingkirkan
5. Lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki secara terbuka tanpa segan silu
6. Pembunuhan secara aniaya berlaku secara terang-terangan tanpa pembelaan
7. Ucapan salaam cuma diucapkan kepada orang yang dikenali sahaja
8. Ibadah solat dan ibadah lain tidak dihormati dan ditinggalkan
9. Orang jahat dan perosak diangkat menjadi pemimpin dan ditaati
10. Ulama' menjual agama kerana kepentingan dunia yang ditaati, ulama’ yang benar dikesampingkan

Sebegitu banyak Kalamullah dan kalam rasulNya yang mengkisahkan tanda-tanda qiyamat sama ada tanda besar atau tanda kecil, tiada satu pun yang membicarakan dunia akan bergelap selama 3 hari sebagai salah satu tandanya.  Malah baru sahaja berlalu, yang dikatakan akan berlalu sesuatu kegemparan dengan segala macam keluh kesah, pada pada  hari Jumaat, 15 Ramadhan tahun 1433 Hijriyah. Walhal hari itu telah pun berlalu tanpa berlaku suatu apa pun seperti yang disebutkan. Cukup-cukuplah hidup kita dikelilingi kebathilan tanpa perlu biarkan diri kita terus dihambakan oleh para penipu lagi.

Justeru itu, menetapkan tanda-tanda qiyamat, sama ada telah, sedang atau akan berlaku merupakan satu aqidah yang benar-benar sesat lagi menyesatkan, selagimana ia bertentangan sama sekali dengan nas-nas sahih dari Allah Swt. dan rasulNya yang menjadi aqidah ummat Islam. Membuat ramalan, meneka tarikh itu ini dan menceritakan kisah begitu begini tentang qiyamat atau tanda-tandanya, kalau pun cerita yang amat menarik hati atau pun berniyat untuk memperingati orang banyak, tetapi bukan bersumber nas sahih dan qati’e, sesungguhnya ia suatu perbuatan bathil dan berhasrat menggugat iman ummat Muslimin.

Sebenarnya, segala macam cerita dan kisah-kisah tentang tanda qiyamat sebegini pada tahun 2012 ini dihasilkan sebahagian besarnya oleh golongan kaafirun. Ia memang tidak lebih dari bentuk ramalan, teka-tekaan, falsafah, luahan perasaan, hipotesis, teori, kisah fiksyen (kisah rekaan), khayalan dan analisis palsu, yang ditaburkan ke merata-rata dunia, dalam berbagai media dengan berbagai maksud.

Maka itu, sesiapa jua yang mahu memetik cerita-cerita begini yang berkaitan hal ghaib dan qiyamat, wajib atasnya memeriksa terlebih dahulu akan keabsahannya dari sudut syara’ sebelum dikhabarkan secara semberono kepada orang banyak. Atas apa alasan pun ia diungkapkan, adakah tidak cukup perkhabaran sahih, soreh dan qot’ie untuk diperingatkan kepada manusia. Malah adalah wajib menjelaskan status sebenar segala perkhabaran itu supaya ia tidak memperbodoh-bodohkan orang banyak yang pastinya serba tidak tahu, yang sangat bergantung harap pengetahuannya kepada orang yang mereka anggap serba tahu. Dan inilah amanah All;ah Swt. dan rasulNya kepada setiap mu’allim, supaya berkata yang benar.   

Justeru itu, sekiranya ada apa jua cerita atau kisah yang berkaitan dengan qiyamat serta perkara ghaib waima dari sesiapa pun, tanpa didasari nas sahihah, perkhabaran itu adalah bathil dan dia adalah penipu. Tiada lainlah bahawasanya, wajib kita imani dengan sekuat-kuatnya hanya Allah Swt. Yang Maha Tahu akan hal yang ghaib atau perkara belum pernah terjadi sepertimana fimanNya :

”Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)”.
Surah Al An’aam (6) : ayat 59

Kewajiban setiap hamba mukmin adalah untuk mengimani dengan sebenar-benarnya bahawa Allah Swt. sahajalah yang mengetahui perkara ghaib termasuk qiyamat.. Maka itu, barangsiapa yang mempercayai ramalan dukun, tok nujum, paranormal, tukang ramal ataupun ramalan bintang tentang masa depan, bererti dia telah menyekutukan Allah Tabaraka wa Ta’ala dengan sesuatu. Asasnya, mempercayai ramalan adalah diharamkan sepertimana firman Allah Swt. berikut :

“Wahai orang-orang yang beriman! sesungguhnya (meminum) arak, (bermain) judi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 90

Malahan, jika sekadar bertanya untuk ambil tahu tanpa membenarkan atau mempercayai pun ucapan paranormal tersebut, ia suatu dosa besar yang akan mengakibatkan tertolaknya solat seseorang selama 40 hari, tanpa menggugurkan kewajiban solat dari dirinya. Inilah maksud sabdaan Nabi Saw. berikut :

“Barangsiapa yang mendatangi peramal lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. no. 2230

Maka itu, berpeganglah benar-benar segala apa perkhabaran tentang hal qiyamat dan tanda-tandanya ini berdasarkan sumber otentik dan qat’ie yaitu Kitabullah dan as sunnah rasulNya yang sahihah. Inilah jalan yang lurus, yang tidak akan kita sesat selama-lamanya selagi kita berpegang teguh akan keduanya. Dan kepada para kafirun dan para pengekor mereka (orang yang rosak aqidahnya tentang hari qiyamat ini), Allah Swt. menyatakan dalam firmanNya :

“Allah-lah yang menurunkan Kitab dengan (membawa) kebenaran dan (menurunkan) neraca (keadilan). Dan tahukah kamu, boleh jadi hari qiyamat itu (sudah) dekat. Orang-orang yang tidak beriman kepada hari qiyamat meminta supaya hari itu segera didatangkan dan orang-orang yang beriman merasa takut kepadanya dan mereka yakin bahawa qiyamat itu adalah benar (akan terjadi). Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang-orang yang membantah tentang terjadinya qiyamat itu benar-benar dalam kesesatan yang jauh”.
Surah Asy Syu'ura (42) : ayat 17-18

Seruan Allah Swt. dan rasulNya kepada seluruh ummat Muslimin supaya tunduk patuh kepadaNya, sudah jelas dan termaktub dan sentiasa berterusan seumur hidup, tanpa perlu menunggu hari hampir qiyamat barulah mahu berbuat amal soleh.

Nota : Kepada rakan-rakan jamaah dan pembaca yang dihormati, boleh merujuk kepada artikel bertajuk Benarkah Qiyamat 2012? Siri 1 dan siri 2, yang telah disiarkan dalam weblog : www.salnboru.blogspot.com yang membicarakan lebih panjang dalam hal ini.

والله اعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام
Read more...

Jumaat, 30 November 2012

Makna Tiada Paksaan Di Dalam Islam (siri 2)

8 ulasan

From: poison ivy
To: edd zahir edd_zahir@yahoo.com
Sent: Wednesday, November 7, 2012 4:49 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya juga nak ucapkan ribuan terima kasih atas kupasan yang lengkap ini. Saya mohon izin untuk dipanjangkan kepada rakan-rakan yang lain.

Satu lagi saya nak bertanya :

1. Benarkah ayat "tiada paksaan dalam agama "membawa maksud yang orang Islam pun boleh tukar-tukar agama.
2. Apakah boleh seperti fahaman sesetengah orang yang anak-anak bila cukup umur 18 tahun maka boleh dia sendiri memilih agama yang dia sukai.

Saya dapati sudah banyak fahaman macam ini dikalangan masyarakat kita. Saya mahukan maklumbalas yang urgent juga.

Wassalam.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Berkenaan soalan yang kedua, saya tidak pernah tahu akan adanya hukum “anak-anak bila cukup umur 18 tahun maka boleh dia sendiri memilih agama yang dia sukai”. Selama hidup saya sebagai rakyat Malaya ini, tak pernah ada pun hukum sebegitu dalam undang-undang sivil di negara kita, dan tak pernah juga ada tersebut di dalam enakmen syari’ah mana-mana negeri pun. Tak tahulah macam mana asal-usulnya hukum @ kepercayaan ini timbul sehingga disebut-sebut telah memasuki pemikiran kebanyakan ummat Muslimin sepertimana yang Tuan sebutkan.

Pernah juga saya terbaca ada hukum sebegini disebut oleh seseorang ahli politik, tetapi ia bukanlah terhasil dari suatu hukum termaktub, tetapi ia zahir dari penfasiran gila dia sendiri ke atas peruntukkan undang-undang.  Maka itu seruan pertama, jangan ikut aqal orang gila. Malahan dari sudut syara’, sepanjang pengetahuan saya yang serba dhaif ini, tak pernah ada pun hukum sebegitu, yang tiada lain hasratnya, membuka ruang kepada ibubapa Muslimin untuk menjauhkan diri dari amalan syara’, yang natijah akhirnya secara langsung memberikan kebenaran kepada anak-anak Muslimin sendiri pun untuk menjadi kafir la’natullah.

Sebaliknya, yang saya temui hanyalah begini,  :

"Wahai orang-orang beriman! peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu ………………."
Surah At Tahrim (66) : ayat 6

Ali bin Abi Thalhah Rhm. menuturkan dari Abdullah Ibnu 'Abbas Rhu., ia berkata, "Firman-Nya 'peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka', yakni ajarilah mereka untuk taat kepadaNya dan tidak bermaksiyat kepadaNya. Dan perintahkanlah kepada keluarga kalian untuk berzikir agar Allah Swt. menjauhkan mereka dari api neraka.
Kitab Jami’ ul-Bayan Fi Ta’wil il-Qur’an (Tafsir Ath-Thabari), Jilid 23, halaman 491

Mengenai firman Allah “peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka”, Mujahid Rhm. menyatakan  : Bertaqwalah kepada Allah dan berpesanlah kepada keluarga kalian supaya bertaqwa kepada Allah. Sedangkan Qatadah Rhm. mengemukakan : Ya’ni, hendaklah engkau menyuruh mereka berbuat taat kepada Allah dan mencegah mereka durhaka kepadaNya. Dan hendaklah engkau menjalankan perintah Allah kepada mereka dan perintahkan mereka untuk menjalankannya, serta membantui mereka dalam menjalankannya. Jika engkau melihat mereka berbuat maksiyat kepada Allah, peringatkan dan cegahlah mereka.

Demikian pula yang dikemukakan oleh Adh Dhahak dan Muqatil bin Hayyan Rhm., di mana mereka mengatakan : Setiap Muslim berkewajiban mengajari keluarganya (tentang Islam), termasuk kerabat dan budaknya, berbagai hal berkenaan hal yang diwajibkan Allah Ta’ala ke atas mereka (sebagai Muslim) dan apa yang dilarangNya.
Kitab Tafsiir ul Qur’an il Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 10 halaman 35

Kalamullah ini semakna dan diperjelaskan lagi oleh Rasulullah Saw. tentang tanggungjawab setiap ibu bapa Muslimin ke atas anak-anak dan keluarganya menerusi hadis berikut :

“Dari Ar Rabi' bin Sabrah, dari bapaknya, ia mengatakan bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda : Perintahkanlah anak kecil untuk solat jika telah berumur 7 tahun. Apabila dia telah berumur 10 tahun, perintahkanlah mereka dengan pukulan.”
Hadis sahih diriwayatkan oleh imam Ahmad Rhm. Jilid 3 no. 404, juga diriwayatkan oleh imam Abu Daud Rhm. dan imam Tarmidzi Rhm. (Sahihul Jaami' no 5867)

Jelas sekali perintah Allah Swt. dan rasulNya supaya ibubapa Muslimin mengajarkan Islam kepada anak-anak mereka supaya mereka berlatih membuat amalan ibadah Islam juga supaya menjadi Muslimin. Sekiranya ada peruntukan undang-undang sivil yang memperuntukkan sepertimana hukum yang Tuan sebutkan, maka jelas benar ia adalah undang-undang taghut lantaran bertentangan dengan perintah Allah Swt. dan rasulNya. Para penggubal dan pelulusnya adalah agen taghut, para pengamal dan pengikutnya pula adalah pemuja taghut. Kesemua yang tersebut ini sudah sewajibnya dibuang sahaja.    

Selamat dari neraka dan masuk syurga menerusi ketaatan terhadap Allah Azzawajalla adalah cita-cita terbesar dalam hidup kita dan demikianlah juga harapan terhadap seluruh ahli keluarga kita. Kerana di akhirat kelak hanya ada dua tempat kembali, ya’ni neraka dengan segala kedahsyatan api dan siksaannya manakala syurga dengan segala kedahsyatan nikmat dan kesenangan yang ada di dalamnya. Tidak ada cita-cita dan harapan seorang Muslimin dan Mukminin pun yang melebihi setinggi harapannya untuk memastikan keselamatannya dan seluruh ahli keluarganya dari api neraka dan masuk ke syurga. Kesemua ibubapa Muslim pasti sekali menginginkan anak-anak yang soleh Hal ini telah Allah Swt. sebutkan :

 “…..Maka setelah dicampurinya, isterinya mengandung kandungan yang ringan, dan teruslah dia berasa ringan (beberapa waqtu). Kemudian tatkala dia merasa berat, keduanya (suami isteri itu) bermohon kepada Allah, Tuhannya seraya berkata : Sesungguhnya jika engkau memberi kami anak yang soleh tentulah kami termasuk orang-orang yang bersyukur”
Surah Al A`raaf (7) : ayat 189

Demikian juga yang diharapkan dan didoakan oleh setiap ummat Muslimin meliputi pasangannya dan seluruh keturunannya, sepertimana firman Allah Swt. :

“Dan orang-orang yang berkata : Ya Tuhan kami anugerahkan kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Surah Al Furqan (25) : ayat 74

Di dalam ayat-ayat ini terdapat doa memohon kebaikan bagi isteri dan seluruh keturunan yang menyenangkan hati. Doa ini adalah doa orang yang memohon kepada Allah Ta’ala agar keluar dari tulang rusuk mereka keturunan yang taat dan menyembah Allah. Abdullah Ibnu Abbas Rhu. menyatakan : Maqsudnya adalah orang yang taat kepada Allah Ta’ala sehingga dapat menyenangkan hati mereka (ibubapa) di dunia dan akhirat. Yaitu mereka meminta kepada Allah Ta’ala untuk isteri dan keturunan mereka agar diberi hidayah kepada Islam.

Selanjutnya Abdullah Ibu Abbas Rhu. Hassan. As Saddi, Qatadah dan Rabi’ bin Anas Rhm. menuturkan makna akhir doa ini : (Yaitu) para pemimpin yang dapat menuntun dalam kebaikan. Mufassirun lainnya mengatakan : Para penunjuk jalan kebenaran yang mendapat petunjuk dari Allah dan yang menyeru kepada kebaikan. Mereka suka jika amal ibadah mereka bertalian dengan ibadah anak-anak dan keturunan mereka serta mengharapkan petunjuk yang telah dianugerahkan kepada mereka menular manfaatnya bagi orang yang lain. Dengan begitu, dia berharap agar mendapat sebanyak-banyak pahala dan sebaik-baik tempat kembali. Untuk itu tercantum di dalam Kitab Sahih Muslim bahawa Abu Hurairah Rhu. berkata bahawasanya Rasulullah Saw. telah bersabda :

Apabila (seseorang) anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah (segala) amalnya, kecuali tiga perkara : (yaitu) anak solih yang mendoakannya, ilmu yang bermanfaat setelahnya dan sadaqah jariyah (yang dibuatnya).
Tafsiirul Qur’anil Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 6 halaman 382-384

Sungguh amat menghairankan, sekiranya seseorang Muslim tiada niyat, harapan dan usahanya ke arah itu. Sekiranya tiada hasrat rasa sebegitu, jelas benar segala apa yang dia faham tentang Islam selama ini hanyalah khayalan, dongengan dan serba tak kena. Wajib atasnya untuk belajar semula sehingga faham dan mengamali yang sebetulnya.

Dan baginda Rasulullah Saw. telah menjelaskan tentang tanggungjawab seorang Muslimin dalam hadis berikut :

“Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu., ia berkata, Aku mendengar Rasulullah Saw. bersabda : Setiap kamu  adalah ra’in (pemimpin) dan setiap kamu akan ditanya tentang ra’iyahnya (yang dipimpinnya). Imam a’zham (pemimpin negara) yang berkuasa atas manusia adalah ra’in dan ia akan ditanya tentang ra’iyahnya. Seorang lelaki/suami adalah ra’in bagi ahli bait (keluarga)nya dan ia akan ditanya tentang ra’iyahnya. Seorang wanita/isteri adalah ra’iyah terhadap ahli bait suaminya dan anak suaminya dan ia akan ditanya tentang mereka. Budak seseorang adalah ra’in terhadap harta tuannya dan ia akan ditanya tentang harta tersebut. Ketahuilah setiap kamu adalah ra’in dan setiap kalian akan ditanya tentang ra’iyahnya."
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. no. 5200 dan imam Muslim Rhm. no. 4701

Nota : Makna ra’in adalah seorang penjaga/penggembala, yang diberi amanah, yang harus memegangi perkara yang dapat membaikkan amanah yang ada dalam penjagaannya. Ia dituntut untuk berlaku adil dan menunaikan perkara yang dapat memberi maslahat bagi apa yang diamanahkan kepadanya.
Imam Al Hafiz Ahmad bin Ali Ibnu Hajar Al Asqolani Rhm. Kitab Fathul Bari Fi Syarah Sahih Bukhari, Jilid 13 halaman 140

Benar, prinsip bertanggung-jawaban yang disentuh dalam hadits di atas bersifat mujmal dan komprehensif. Namun ia menjelaskan bahawa, tanggung jawab seorang suami/isteri tidaklah hanya terbatas kepada memenuhi keperluan fizikal dan material saja, tetapi ia meliputi dari dunia sehinggalah ke akhirat. Tidaklah ia hanya bertanggungjawab terhadap makan minum, pakaian, kediaman, perhiasan, menghulur kewangan dan memberi pelajaran semata-mata. Akan tetapi, keduanya diletakkan mempunyai tanggung jawab terhadap pendidikan keimanan keluarga, termasuk di dalamnya rangka tanggung jawab memastikan anak-anak dan keturunan menjadi insan soleh dan bertaqwa kepada Allah Swt.

Seterusnya seruan kepada semua ummat Muslimin, ingatlah pesan Nabi Saw. :

“Dari Abu Hurairah Rhu. bahawasanya ia telah berkata, Rasulullah Saw. telah bersabda : Tidak ada anak yang dilahirkan, kecuali dilahirkan atas kesucian. Dua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana binatang itu dilahirkan dengan lengkap. Apakah kamu melihat binatang lahir dengan terputus (hidung, telinga, dan sebagainya)?" Kemudian Abu Hurairah membaca ayat, 'fithratallaahil-latii fatharannaasa 'alaihaa' 'Fitrah Allah yang Dia menciptakan manusia menurut fitrah itu'."
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. no. 1270 dan imam Muslim Rhm. no. 4803

Suka atau tidak namun itulah realitinya, bersamalah kita menerima hakikat bahawa kalam Rasulullah Saw. tersebut dengan jelas menyatakan bahawa baik buruknya anak-anak memang bermula dari ibubapa, bukan disebabkan oleh orang lain. Justeru itu, setiap ibubapa Muslimin sewajibnya sedar akan tanggungjawab mereka yang diamanahkan oleh Allah Ta’ala supaya membentuk anak-anak dan keturunan menjadi ummat Muslimin bertaqwa.

Adalah menjadi hak dan tanggungjawab setiap ibubapa Muslim untuk menjadikan dirinya benar-benar Muslim yang soleh dan bertaqwa, seterusnya membentuk anak-anak dan keturunannya pula sebagai seorang Muslimin yang soleh dan bertaqwa, dan tanggungjawab itu akan dipersoalkan oleh Allah Swt. di akhirat nanti, bukannya anak-anak bila cukup umur 18 tahun maka boleh dia sendiri memilih agama yang dia sukai”.

Hukum sebegini datangnya dari fikrah dan mulut syaithan bertopengkan manusia yang tiada lain hasratnya melainkan untuk menyesatkan ummat Muslimin dari jalan diredhai Allah Ta’ala, dan memaksakan fahaman bathil mereka untuk dilaksanakan ke atas ummat Muslimin. Yang paling dahsyat kedzalimannya adalah mereka ini datang dari jenis syaithan yang bertopengkan manusia mengaku Islam.

Semoga saya telah menjawab pertanyaan Tuan.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام
Read more...

Khamis, 22 November 2012

Makna Tiada Paksaan Dalam Agama(Siri 1)

0 ulasan

From: poison ivy
To: edd zahir edd_zahir@yahoo.com
Sent: Wednesday, November 7, 2012 4:49 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya juga nak ucapkan ribuan terima kasih atas kupasan yang lengkap ini. Saya mohon izin untuk dipanjangkan kepada rakan-rakan yang lain.

Satu lagi saya nak bertanya :

1. Benarkah ayat "tiada paksaan dalam agama "membawa maksud yang orang Islam pun boleh tukar-tukar agama.
2. Apakah boleh seperti fahaman sesetengah orang yang anak-anak bila cukup umur 18 tahun maka boleh dia sendiri memilih agama yang dia sukai.

Saya dapati sudah banyak fahaman macam ini dikalangan masyarakat kita. Saya mahukan maklumbalas yang urgent juga.

Wassalam.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terima kasih kerana mengajukan pertanyaan ini. Nada ayat yang terakhir seolah-olah satu titah perintah pula kepada saya. Namun tak mengapa, kalau pun dalam serba kekurangan saya cuba juga sebaik mungkin untuk mematuhi titah perintah Tuan itu, dengan menulis jua artikel jawaban yang serba dhaif ini. Didapati lafaz yang Tuan sebutkan itu terdapat di dalam Al Furqan, Surah Al Baqarah (2) : ayat 256.

Tidak ada paksaan dalam (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada taghut (A) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.”
(A)              : taghut adalah syaithan dan apa jua yang disembah, ditaati, dipatuhi, ditunduki dan diibadahi selain dari Allah Swt.

Dari kecil sampailah ke tua saya sendiri pun ada mendengar bermacam ragam orang memaknakan dan menafsirkan ayat ini. Di kesempatan ini, saya akan cuba memberikan penjelasan sebaik mungkin supaya ia memberi fahaman sebenar, selaras dengan maqsud sebenar ayatullah ini, insyaAllah. Dimulai dengan kisah asbaabun nuzuul (sebab-sebab turunnya ayat).

Imam Abu Daud Rhm. dan imam Ibnu Hibban Rhm. meriwayatkan dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu. Bahawa dia berkata : Dulu kala ada seorang wanita yang setiap kali melahirkannya anaknya selalu mati. Lalu dia bernazar jika anaknya hidup, maka dia akan menjadikannya seorang yahudi. Ketika Bani Nadhir (yahudi) diusir dari Madinah (akibat melanggar perjanjian dengan ummat Muslimin), diantara mereka terdapat anak-anak orang Ansar (termasuk anak ibu tadi). Maka mereka pun berkata : Maka kita tidak boleh membiarkan anak-anak kita. Maka turunlah firman Allah tersebut.

Ibnu Jarir Rhm. meriwayatkan dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu. Dia berkata : Firman Allah Ta’ala ini turun kepada seorang lalaki Ansar yang berasal dari Bani Salim bin Auf yang bernama Al Husain. Dia mempunyai 2 orang anak yang keduanya beragama nasrani, sedangkan ia sendiri adalah seorang Muslim. Maka dia pun mengadu kepada Nabi Saw. : Apakah saya perlu memaksa mereka berdua untuk masuk Islam kerana mereka tetap ingin masuk agama nasrani?. Maka Allah menurunkan firmanNya ini.
Imam Al Hafiz Abdul Rahman Ibni Abi Bakr Jalal ad-Din As Suyuthi Al Misri Rhm. Kitab Lubaabun Nuquul Fi Asbaabun Nuzuul, halaman 107-108, berdasarkan hadis sahih riwayat imam Abu Daud Rhm. no. 2682 dan imam Ibnu Hibban Rhm. no. 140

Penjelasan dari kisah asbaabun nuzuul ini memberitahukan bahawa ayat ini membawa maqsud : orang kafir tidak boleh dipaksa memasuki agama Islam.

Imam Al Hafiz Al Mufassir Abu Ja’far Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Khalid Ath Thabari Rhm. menjelaskan : Ayat ini mengandung makna seseorang dilarang memaksa seseorang lainnya yang mereka redha dengan hukum untuk masuk Islam. Lalu mereka pun dipungut jizyahnya. Ayat ini diberlakukan bagi dua golongan, ahli kitab (yahudi dan nasrani) dan majusi. Mereka dibiarkan memeluk agama yang bertentangan dengan agama Islam, namun dipungut pembayaran jizyah.

Maqsud ayat “sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat yaitu telah jelas bagi pencari kebenaran dan petunjuk, yang boleh membezakan kesesatan dengan kekeliruan. Kerana itu, sesiapa pun tidak boleh memaksa 2 golongan ahli kitab yang telah dipungut jizyah untuk memasuki agama Islam yang haq. Maka bagi siapa yang menolak dari petunjuk setelah diberikan penjelasan kepadanya, maka urusannya diserahkan kepada Allah Ta’ala yang akan menghukumi di hari akhirat nanti.

Barangsiapa yang setiap hamba kufur terhadap rububiyah selain Allah, dan dia kufur terhadap taghut, membenarkan Allah bahawa Dia adalah Tuhan yang layak disembah, berarti dia telah berpegang teguh kepada pegangan orang yang berharap dihindarkan dirinya dari siksa dan hukuman Allah. Ayat ini juga menjelaskan bahawa Allah Maha mendengar iqrar seorang Mukmin akan keesaan Allah Ta’ala dan berlepas diri dari sekutu dan berhala yang disembah. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang menjadi tekad orang Mukmin terhadap keesaan Allah, sedang hatinya ikhlas dalam menyembah Allah.
Kitab Jami’ ul-Bayan Fi Ta’wil il-Qur’an (Tafsir Ath-Thabari), Jilid 4, halaman 546-562    

Imam Al Hafiz Al Mufassir Ismail bin Umar Ibnu Katsir Ad Dimasyqi Rhm. menjelaskan : Ayat ini menyatakan tidak ada paksaan dalam beragama. Ketika kita telah menyampaikan kepada pemeluk agama lain, tentang kebenaran Islam berikutan bukti-buktinya, lalu mereka masih belum beriman, maka kita tidak boleh memaksa mereka. Hal itu barangkali kerana hati mereka mengeras dan tertutup dari hidayah Allah Ta’ala. Kita perlu mengkedepankan tolak ansur dalam beragama.

Disebutkan dalam sebuah riwayat, ayat ini ditujukan kepada sahabat Ansar. Seorang sahabat menyusukan anaknya kepada orang yahudi, lalu ia hendak memaksa orang yahudi itu memeluk Islam. Maka turunlah ayat ini. Secara asasnya, kata “buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus” bermakna tali yang kuat. Para ulama’ berbeza pendapat tentang makna sebenarnya. Menurut Mujahid, dua kata ini bermakna iman. Adapun menurut As Saddi, maknanya adalah Islam.

Disebutkan dalam ayat tadi bahawa ketika seseorang memeluk Islam dan beriqrar bahawa tiada Tuhan selain Allah Ta’ala, maka ia telah berpegangan kepada tali yang sangat kuat (tidak akan putus lagi), yang akan menjadi pegangan hidupnya. Tali ini akan menyelamatkannya dari pujuk rayu syaithan yang akan selalu berupaya untuk menjerumuskan manusia ke jurang kekufuran. Tali inilah yang akan menjadi senjata untuk mengalahkan pasukan-pasukan syaithan.
Kitab Tafsiir ul Qur’an il Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 2 halaman 515-518

Penjelasan dari 2 tokoh tafsir muktabar ini juga memberitahukan makna yang sama yaitu bahawa ayat ini membawa maqsud : orang kafir tidak boleh dipaksa memasuki agama Islam. Ketika kita telah menyampaikan kepada pemeluk agama lain, tentang kebenaran Islam berikutan bukti-buktinya, lalu mereka masih belum beriman, maka kita tidak boleh memaksa mereka. Maka bagi siapa yang menolak dari petunjuk setelah diberikan penjelasan kepadanya, maka urusannya diserahkan kepada Allah Ta’ala yang akan menghukumi di hari akhirat nanti.

Walaupun orang Islam tidak dibenarkan memaksa, tetapi adalah menjadi kewajiban ke atas setiap Muslimin  untuk menyeru dan mengajak manusia kepada Islam, agama suci yang haq yang membawa kesejahteraan kepada seluruh manusia. Tanggungjawab menyebarkan Islam mesti disampaikan walau di mana saja berada. Ia terpulang kepada orang ramai untuk menerima atau menolaknya, sebagaimana firman Allah Swt. :

"Katakanlah (wahai Muhammad): kebenaran itu datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman dan sesiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orag-orang yang dzalim itu neraka yang gejolaknya mengepung mereka……………..."
Surah Al Kahfi (18) : ayat 29

Segala keterangan diatas, ya’ni ummat Muslimin dikehendaki menyeru orang kafir kepada memasuki Islam tetapi tidak boleh memaksa mereka, dijelaskan lagi oleh Kalamullah berikut :

"Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya berimanlah sekelian manusia yang ada di muka bumi seluruhnya. Maka apakah engkau (hendak) memaksa manusia (pula) supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?"
Surah Yunus (10) : ayat 99

"Maka berikanlah peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul yang memberi peringatan, engkau bukanlah orang yang berkuasa ke atas mereka. Tetapi orang yang berpaling dan kafir (menolak ajaran Islam yang engkau sampaikan itu). Maka Allah akan mengazab mereka dengan azab yang besar."
Surah Al Ghasyiyah (88) : ayat 21-24

Ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa Islam menjamin kebebasan beragama dan menghormati kepelbagaian dalam segala aspek kehidupan manusia. Dalam sistem pemerintahan Islam, pemerintah tidak berhak untuk memaksa penganut agama lain untuk memeluk agama Islam sekalipun orang itu tidak mempunyai apa-apa agama. Mereka berhak mengamalkan adat istiadat dan cara hidup mereka selagi mana, tidak menimbulkan perkara yang tidak sihat dalam masyarakat umum dan membahayakan Islam dan ummatnya. Demikianlah moleknya dan begitulah lunaknya ajaran Ad Diin ul Islam yang diwahyukan oleh Allah Swt.

Agama Islam tidak sekali-kali memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam. Islam mengikhtiraf dan menghormati kewujudan pelbagai agama, bangsa, suku-suku, wilayah-wilayah dan warna kulit. Firman Allah Swt. yang bermaksud,

"Hai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu dari seorang laki-laki, seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Swt. ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu."
Surah Al Hujurat (49) : ayat 13

Islam adalah agama yang berteraskan kepada kepercayaan dan keyaqinan yang terbit dari hati nan suci. Pengakuan ketaatan kepada Allah Yang Satu dan Nabi Muhammad Saw. sebagai pesuruhNya (2 Kalimah Toyyibah) tidak dianggap sah sekiranya tidak dituruti dengan waras dan penuh keikhlasan hati. Dari itu, orang Islam tidak dibenarkan memaksa orang kafir untuk memeluk agama Islam biar pun mereka itu terdiri dari kaum kerabatnya atau teman rapatnya. Agama Islam tidak boleh dipaksa kepada sesiapa pun lantaran melakukan paksaan adalah perbuatan yang keji dan dikutuk oleh Allah Swt. Islam sesekali tidak pernah menganjurkan paksaan dalam keadaan apa jua cara sekali pun dalam menyebarkan ajaranNya kerana tindakan sedemikian hanya akan menghancurkan tujuan, kebenaran dan falsafah hidup Islam yang suci itu sendiri.

Maka itu, ayat "tiada paksaan dalam agama" membawa maqsud tidak boleh memaksa orang kafir memasuki Islam, bukannya bermaqsud sebaliknya yang orang Islam pun boleh tukar-tukar agama sesuka hati. Melainkan hendaklah difahami benar-benar, apabila seseorang telah memasuki Islam, telah tertakluklah seluruh hidupnya kepada ketentuan dan ketetapan syari’at Islam sepenuhnya, dalam kata lain “NO WAY OUT”. Hal ketentuan dan ketetapan syari’at Islam ke atas ummat Muslimin ini boleh dibicarakan pada forum yang lain.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

From: Izana Hani <izanahani@yahoo.com>
To: edd zahir
Sent: Wednesday, November 14, 2012 9:55 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Semoga Ustaz dalam kebaikan dan dalam rahmah Allah Swt. sentiasa. Saya ucapkan terima kasih atas kiriman artikel ini yang memberi kefahaman dan amat bernilai kepada saya. Sebelum ini ramai yang hanya merasakan faham tetapi tak dapat menyatakan bagaimana faham itu. InsyaAllah, artikel lengkap dari ustaz ini akan membantu menjelaskan supaya benar-benar faham. Bukan saja tahu tapi turut mengetahui yang sebenarnya. Soalan mungkin datang dari kronologi kes ini :

Soalan : But mainly my question is, when you speak of freedom of religion, are you actually applying to the Malays as well?

Jawapan :  “When you ask me, there is no compulsion in religion…how can anyone say sorry, this only applies to non-Malays, it has to apply equally”

Lanjutan itu sebuah akhbar portal online melaporkan : Nurul : There should be no compulsion in choosing faith.  People should not be compelled to adopt a particular religion and this should also apply to Malays, says Lembah Pantai MP.

Saya mohon ulasan lanjut al fadhil Ustaz ke atas ahli politik itu dan nilai politik sebegini. Urgent nih. Hanya untuk mendengar ulasan sahaja, bagi manfaat bersama.

Wassalam

2012/11/15 edd zahir <edd_zahir@yahoo.com>

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih kepada Puan kerana memberikan detail tersebut. Saya melihat youtube, mendengar ucapan itu dan membaca transkrip ucapan, dan dapati ia memang begitu. Ulasan saya pendek sahaja, begini :

MP tersebut telah pun menyatakan  beberapa hari selepas forum itu : Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

Memang kenyataan asal menimbulkan permasalahan, tetapi kenyataan kedua (sambungan) ini telah menjelaskan semula maksud sebenar. Kedua-dua kenyataan itu datang dari beliau, maka begitulah yang selayaknya diterima, bukannya statement dari pihak lain. Beliau yang memberikan titik persoalan, namun beliau sendiri yang telah menjawabnya. Maka itu, tiada apa yang nak dibangkitkan lagi.

Cuma saya percaya bahawa yang paling baik adalah, kenyataan kedua (sambungan itu), sepatutnya diucapkan di dalam forum itu sendiri, bukannya di tempat lain. Apatah lagi setelah kenyataan asal menjadi kontroversi umum. Kronologi event sebegini memang membuka ruang kepada kontroversi dan pertikaian.

Hal ahli politik itu dan nilai politik sebegitu, saya tidak mahu mencampurinya, yang saya sentuh hanya kalamullah yang disalahfahami supaya difahami dengan benar, insyaAllah.

والسلام

From: poison ivy ivy7003@gmail.com
To: edd zahir
Sent: Friday, November 16, 2012 3:06 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Alhamdulillah, saya sangat bersetuju dengan penjelasan yang Ustaz berikan berkenaan makna ayat tiada paksaan dalam agama itu. Memang soalan ini saya tanyakan berikutan kenyataan awal dari ahli politik tersebut yang memberikan tanggapan seolah-olah bahawa orang Islam pun boleh murtad kerana tiada paksaan dalam agama.

Yang lebih menakutkan, sudah ada sebahagian orang Islam sendiri yang menafsirkan dan memahami maksud ayat tersebut seperti itu. Yang paling teruk sekali, sudah banyak terdengar cakap-cakap dari mulut orang Islam sendiri yang yang murtad itu boleh kerana itu adalah hak asasi manusia dalam beragama dan selaras dengan prinsip demokrasi. Harap nanti Ustaz dapat buat kupasan dalam hal ini.

Saya ada bersembang dengan rakan-rakan berkenaan hal ini, ramai yang kata sangat ok dan betul artikel itu. Cuma mereka mengatakan kurang wajar diguna perkataan kafir secara langsung seperti yang Ustaz sebutkan, baik sekali diguna bukan Islam kerana lebih baik untuk tujuan dakwah.

Wassalam.

2012/11/19 edd zahir <edd_zahir@yahoo.com>

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih atas maklumbalas Tuan. Saya bergembira kerana Tuan telah dapat mengambil pengajaran dari nukilan saya malah dapat dikongsikan dengan beberapa rakan lain. Mudah-mudahan Allah Swt. sentiasa memberikan petunjukNya dan rahmahNya kepada kita semua untuk terus kekal di landasan As Siraat ul Mustaqiim. Sedikit peringatan! janganlah jadikan apa yang saya tulis ini satu-satunya sumber malah paling bagus sekali dirujuki lagi hal ini kepada ramai ilmuwan dan ulama’ lain supaya mendapat penjelasan lebih baik. Saya sekadar memberikan penjelasan yang termampu dan pasti sekali ia serba kekurangan.

Saya bersetuju dengan Tuan bahawa “dari mulut orang Islam sendiri yang yang murtad itu boleh kerana itu adalah hak asasi manusia dalam beragama dan selaras dengan prinsip demokrasi”. Ini adalah fikrah dan pendirian amat bathil hakikatnya, yang tidak tahu membezakan antara Hukum Syara’ yang wajib dipatuhi (ketetapan Allah Swt. dan rasulNya) berbanding dengan hukum ciptaan aqal manusia, malah dianggap hukum buatan manusia itu lebih tinggi (untuk ditunduk patuhi) pula dari hukum syara’. Memang pelik tapi  benar, apabila ada dikalangan ummat Muslimin sendiri tidak faham perkara paling asas dalam aqidah ini, dan itulah yang sedang berlaku. Namun wajar sekali hal ini dibicarakan dalam forum yang lain lantaran ia adalah hal yang menuntut penghuraian tersendiri.

Persoalan seterusnya berkenaan lafaz Kafir. Adakah dianggap bahawa ummat Muslimin ini menghina dan menistai orang bukan Islam apabila menyebut mereka dengan panggilan kafir?. Bukankah mereka juga ada agama yang dianuti, malah ada sebahagian lagi yang mengaku tidak langsung beragama.? Malah pernah saya dihujjah, bukankah sepatutnya orang yang tidak beragama sahaja yang digelar kafir, yang ada apa jua agama tidak boleh disebut kafir. Setakat pengetahuan saya, orang-orang kafir pula memahami bahawa hanya orang yang tak beragama sahaja digelar sebagai kafir, dan ini terbalik dari pemahaman syara’ sebenarnya.

Sudah ada beberapa artikel saya membicarakan takrifan/makna kafir ini. Sedikit ulangsorot : perkataan kafir berasal daripada bahasa (lughah) Arab "kafara' yang membawa arti menyembunyikan atau ingkar. Takrifan kafir menurut Islam (isthilah/syara’), berarti seseorang yang menyembunyikan atau ingkar terhadap kebenaran Islam lalu enggan menerima Islam sebagai agama anutannya. Jelas sekali, sesiapa pun jua yang tidak menerima Islam sebagai agama anutannya, maka dia adalah kafir. Tidak kira sama ada, dia ada menganuti agama lain atau pun langsung tidak beragama. Kerana itu, kafir adalah sama sahaja maknanya dengan Bukan Islam, orang kafir bermaksud orang bukan Islam.

Namun seharusnya dimaklumkan kepada ummat Muslimin sendiri dan kepada kafirin juga, lafaz kafir itu bukanlah sesuatu yang boleh disebut-sebutkan secara semberono sahaja sesedap mulut untuk tujuan menghina atau menistai. Ummat Muslimin sebenarnya hanya menggelar kafir kepada orang yang sudah sampai berita kebenaran Islam kepada mereka tetapi mereka menolaknya malah sebahagian mereka memusuhinya. Manakala orang bukan Islam yang belum sampai kebenaran Islam dan mereka tidak beriman dengan Islam disebabkan itu, maka mereka tidak layak sewenangnya digelar sebagai kafir, atas sebab Allah telah menghantar utusan atau nabi kepada setiap kaumnya untuk menyampaikan da’wah kebenaran Islam, seperti tersebut dalam Kalamullah berikut :

"Dan tidak ada satu ummat pun melainkan telah dihantar seorang utusan yang memberi peringatan kepadanya.”
Surah Al Fathir (35) : ayat 24

"...Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan, dan bagi setiap kaum terdapat utusan yang memberi petunjuk.”
Surah Ar Ra'd (13) : ayat 7

Hal ini disebutkan supaya ummat Muslimin sendiri tidak sewenangnya menggelarkan orang lain sebagai kafir sedangkan kebenaran Islam itu tidak pun disampaikan (dida’wah) kepada mereka terlebih dahulu. Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajiban seluruh ummat Muslimin untuk menyampaikan da’wah kebenaran Islam itu. Dan status orang yang tidak pernah menerima da’wah kebenaran Islam itu kita serahkan kepada Allah Swt. Yang Ma’bud Yang Maha Berkuasa untuk menetapkannya.

Maka itu, kafir yang dimaksudkan dalam artikel ini, malah sepertimana juga yang disebut-sebut oleh ummat Muslimin selama ini adalah merujuk kepada mereka yang bukan Islam, yang menolak Islam sebagai Ad Diin dan memusuhinya dan berusaha untuk merosakkannya. Banyak ciri mereka ini dinyatakan oleh Allah Swt. lewat KalamNya yang antaranya :

“Sesungguhnya orang-orang kafir, sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah telah mengunci-mati hati mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka siksa yang cukup berat.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 6

“Orang-orang kafir daripada ahli kitab dan orang-orang musyrik tidak menginginkan diturunkan sesuatu kebaikan daripada Tuhan mu kepada mu.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 105

“... Dan sesiapa yang menukar iman dengan kekafiran, sungguh telah sesat daripada jalan yang lurus.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 108

“Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.”
Surah Ali Imran  (3) : ayat 120

Ayat-ayat di atas menerangkan bahawa orang kafir adalah orang-orang yang tidak menggunakan mata untuk melihat kekuasaan Allah, telinga untuk mendengar ayat-ayat Allah ketika disampaikan, lebih rela menerima kesesatan berbanding iman sesudah didatangkan peringatan kepada mereka dan bergembira sekiranya ummat Muslimin ditimpa bencana.

Dalam satu sudut lain, mari kita lihat lafaz khinzir yang sekarang diguna menggantikan lafaz babi. Pada awalnya ia menjadi persoalan tetapi akhirnya diterima penuh dengan alasan ia adalah lafaz dari Allah Swt. di dalam Al Qur‘an sendiri. Justeru itu, sangat bermasalahkah untuk menerimapakai lafaz kafir itu, bukankah ia juga lafaz dari Allah Swt. di dalam Al Qur‘an sendiri. Atau mungkinkah kita bersikap hanya mahu menerima sebahagian Kalamullah yang kita suka dan menolak sebahagian yang lain yang kita rasa tak seronok padanya, sama seperti perangai orang munafiq? Banyak hal asas aqidah yang perlu diperbetulkan nampaknya pada orang yang bersikap begini.

Kerana itulah di dalam artikel ini disebut berulang kali lafaz kafir yang hakikinya merujuk kepada Orang Bukan Islam dan berkelakuan seperti yang dijelaskan oleh Allah Swt. Sekiranya mereka berasa terhina dan dinistai dengan lafaz kafir itu, maka dia harus menerima Islam sebagai Ad Diin, memasukinya dan tunduk patuh kepadanya, dan pasti selepas itu tidak lagi dia dipanggil kafir.

والسلام

To: edd zahir
Sent: Monday, November 19, 2012 4:52 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Terima kasih atas penjelasan yang lengkap ni. Mudah-mudahan nukilan ini memberi pengajaran dan semangat kepada kita semua. Kadang-kadang adanya perkataan sebegini, barulah kita terbuka minda sikit dan berfikir secara lain. Keselesaan selalunya memuatkan kita leka, ambil mudah hal aqidah sebegini, terus terikut arus dan tanpa mahu membuat dan memahami sesuatu perkara secara terperinci. Penjelasan ini sangat jelas dan lengkap sehingga tiada apa yang dapat nak dikatakan lagi.

Saya dah tak tahu pun nok komen macam mana, cuma nak kata yang saya setuju, hanya setuju. Itu sajalah.

Wassalam.

To: edd zahir
Sent: Monday, November 19, 2012 8:31 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Keras dan tegas bahasa ni syeh, jarang enta tulis macam ni. Kalau yang baca tak mau nak faham juga, tak tau lah macam mana. Yang lain-lain tu, insyaAllah saya faham segala maksudnya, saya setuju 100%. Itu saja.

Wassalam

To: edd zahir
Sent: Monday, November 19, 2012 10:33 PM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Ana hanya nak bagitahu yang ana setuju. Lain-lain artikel pun sepatutnya ditulis clear dan tegas macam ni. Keras dan tegas bahasa ni takpa, yang penting maksud jelas dan terang, tak berpusing-pusing sampai tak tahu yang mana satu nak diikut. Terima kasih kat anta. Moga terus rajin menulis dan berkuliyah untuk menyampaikan yang haq. Ana jauh, tak dapat nak join.

Moga enta selamat sentiasa syeh.

Wassalam

From: poison ivy ivy7003@gmail.com
To: edd zahir
Sent: Tuesday, November 19, 2012 7:21 AM
Subject: Makna Tiada Paksaan Dalam Agama

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, saya dah terima maklumbalas dan dah hantar kepada beberapa kawan lain. InsyaAllah dah boleh faham apa yang Ustaz maksudkan. Saya pun nak katakan yang saya setuju, sangat setuju. Kawan-kawan pun setuju. Patutnya orang-orang politik pun baca artikel nih, supaya diorang pun dapat faham apa yang Islam mahukan, bukan setakat berpusing-pusing dalam hal politik dan undi saja.

Dah tak ada soalan lain lagi dah. Semuanya yang nak disoal pun telah dijawab. Terima kasih daun keladi, nanti ada soalan kena jawab lagi.

Wassalam.




Read more...