Isnin, 13 Januari 2014

Soal Jawab : Walimatul Urus

0 ulasan

On Tuesday, December 17, 2013 9:30 AM, Abdurrazaq Muhammad wrote:

وَعَلَيْكُمْ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُُ

…… Syukron Syeikh
Sangat  berguna kuliyah ilmu nih, lebih-lebih lagi kat ana yang bakal …… beberapa hari lagi nih. Banyak membantu sungguh

Majlis.sebelah perempuan, insyaAllah pada 31/1/2014.di Alor Gajah, Melaka. Tempat ana pulak insyaAllah pada 8/2/2014...
Ana dan keluarga  tengah usaha nak dapatkan dewan kat UPM ni. InsyaAllah, once dah dapat tempat yang sesuai, barulah akan print kad.jemputan dan diwar-warkan kepada jemputan.

Majlis ana nih ringkas dan sangat simple saja, bertunang pada hari Sabtu ni. Tempoh tunang nih pun pendek sangat, fasal niyat kita nih nak bernikah bukan nak bertunang sampai tak tahu bila nak nikah.

Kawan kuliyah dan sekolah kita nanti, insyaAllah tidak akan dilupakan. Yeap tentulah sekali berdasarkan kemampuan yang ada. Setakat yang termampu. Macam yang enta sebut : utamakan maqasid syari’ah dan tanda kesyukuran kepada Allah Swt. InsyaAllah begitulah.

Email nih jugak adalah sebagai jemputan istimewa untuk enta dan seisi keluarga daripada ana dan keluarga. Marilah bersama. Reserve.lah tarikh tu awal-awal lagi yer..., ana menunggu, lama pun tak jumpa enta. Banyak hal yang boleh disibuk-sibukkan nanti

Syukron atas doa dan usaha enta yang tak pernah putus.

Wassalam.

Regards,
Abdurrazaq


On Wednesday, December 18, 2013 11:04 AM, Ernest Ibrahim wrote :

Wa’alaikumussalaam banyak-banyak abang syeh ustaz Mad. Memang betul orang-orang kita dalam kenduri kendara nih sangat banyak dah jadi,

bukannya dapat berkat, tapi mengumpat (perangai nak berjoli, dikata dek orang)
bukannya sunnah, tapi punah (gila-gila dok harap kutipan tol)
bukannya baik, tapi sakit (hutang kenduri tak habis bayar lagi, anak menantu dah bercerai berai)
bukannya pahala, tapi dosa (segala macam budaya amalan khurafat/merapu dibuat sekali)
bukannya kenyang, tapi kebulur di akhirat (majlis penuh pembaziran)
bukannya bahagia, tapi derita (elok habis kenduri, ceti dok hambat sana sini)
bukannya senang, tapi tambah susah (fasal nak berlawan hebat, jadi papa kedana lepas kenduri)
Bla…..Bla…. Bla… macam-macam lagi

Pernah juga saya tengok, dek kerana sikap sombong dan besar diri dengan jiran-jiran sekampung yang dianggap tak berguna belaka, pemalas nak beramah mesra dengan rakan dan jiran-jiran, kena masa nak buat kenduri anak-anak atau ada kematian,barulah terhegah-hegeh, buat-buat senyum kelat, tersengih sana tersengih sini tunjuk bagus. Tiba-tiba saja pulak boleh tunjuk baik kat orang, tu pun memang sah ada udang sebalik batu. Nasib baiklah masyarakat kita nih bukan pendendam. Kalau tidak bertambah punah ranah.

Maap la syeh, panjang saya celoteh, bercerita itu ini. Apa pun, terima kasih la atas kiriman kuliyah nih. Cuma segan silu pun dok ada, lama dah saya tak joint kuliyah dan usrah, ada hal. InsyaAllah lain kali. Memang memberi manfaat.

Wassalam.


On Wednesday, December 18, 2013 11:04 AM, Haniffa Syazman wrote :

Wa’alaikum syeh, tak dak apa nak dikata, tiada yang tidak benar, melainkan betul-betul belaka. Memang camtu la orang kita dok berkenduri. Tapi yang betul ikut syari’at ada juga, cuma mungkin tidaklah lembu terlihat dalam kawanan kerbau.

Tentu sekali, majlis orang apa kita boleh kata, hak kita sendiri mai kita buat betul-betul. InsyaAllah setakat gu ja mungkin yang mampu kita buat. Nak pi habaq kat orang pun boleh, Cuma harap dia mahu dengar dan ambil pelajaran. Kalau tak mahu ikut jugak, memang dia punya fasal lah, kita hanya mampu tengok ja lagi.

Aaaa…. haaaa…! Saya paling setuju dengan syeh Brahim nih, yang dia mengaku dah sedar sendiri, dia suka celoteh panjang berjela, padahai kuliyah tak mai pun, ada-ada saja isu nak skip dan skip. Banyak yang tak kena ni woooooo! awat tidoq lama sangat

Bila nak mai, jangan berguru dengan internet dan tanya habaq kut talipon ja! Kalut nanti syeh, kami dah melangkaui beratus mukasurat, rugi tuh…… takkan tak teringin mee kari lagi dah. Tak pun sup ekor!

Tapi bila dah ada kesedaran tu pun dah kira bagus. So mai la kuliyah syeh, kami dok tunggu, tak meriah enta tak dak. Atau, Lamaaaaaa daaaaah! Lupaaaa daaaah

Wassalam


On Wednesday, December 18, 2013 2:38 PM, Mohdpoziatan wrote :

Assalamu’alaikum Wr Wbt.

Moga kenduri kendara semua kita ini mengikut syari’at. Yang terlepas pandang tu selalunya kerana terikut-ikut dengan persekitaran sahaja. Bercampur dengan ada rasa tak mahu kalah, nak lebih gah lagi. Kadang-kadang lebih kesian lagi kat tuan rumah yang tak mampu, terpaksalah juga kena sedia itu ini kerana kaum keluarga dok minta macam paksa pula (alasan takut malu kat orang).

Baik sekali, mari bersama kita didik diri – berkenduri ikut syari’at, apa-apa yang bukan dari itu, kita tolak. Jadikan majlis walimah benar-benar – suatu acara menzahirkan kesyukuran kepada Allah Swt.

Kepada sahabat yang bakal melangsungkan walimah diucapkan : Selamat Penganting baharu dan Semoga Allah memberi barokah kepadamu (ketika dirimu bahagia dan harmoni), dan semoga Allah (tetap) memberi barokah ke atasmu (ketika keadaanmu bergolak), dan semoga Allah (senantiasa) mengumpulkan kamu berdua dalam kebaikan.”

Wassalam


On Thursday, December 19, 2013 11:42 AM, Bukhari Shamsudin wrote :

Assalamualaikum wr wbt.

Jazakallahu khair, moga saudaraku ini sihat dan dirahmati Allah sentiasa. Moga-moga do’a ini sentiasa Allah maqbulkan. Maap kerana tak dapat ziarah sepanjang saudara dalam perawatan, ada hal yang perlu disegerakan dan tidak dapat dielak.

Ini kuliyah ilmu dan maklumat yang sangat bermanafaat untuk diamalkan. Dah pun terjadi dan bakal terjadi lagi, tentunya. Banyak sungguh manfaat dari kiriman email nih. InsyaAllah memberi iktibar untuk diri, dan mudahan boleh juga nanti disambung-sambungkan kepada yang lain, jika ada kekuatan, insyaAllah.

Terima kasih saudaraku... Hanya Allah yang boleh membalas segala jasa baik, dan saya ini hanya dapat mendo’akan disamping mendapat manfaat darinya

InsyaAllah.


On Friday, December 20, 2013 3:52 PM, Armina Amisha Shamsuri wrote :

Wa’alaikumussalam ustaz,

Syukran bebanyak atas pencerahan nih. Saya nak bercerita pengalaman sendiri untuk iktibar semua. Nak buat kenduri besar-besaran bukannya mampu sangat. Saya bergaji kecil dan baru bekerja. Lainlah yang kerja gomen ada macam-macam kemudahan. Macam-macm cara nak pekin duit untuk membuat persiapan diri sendiri. Tunang pun hampir serupa saja. Bukan senang nak mulakan hidup.

Tapi keluarga mintak macam-macam untuk kenduri. Bila dibantah kita kena tengking dan dimarah. dikata macam-macam. Antara yang paling tak boleh didengar dan tak munasabah adalah :
1.     Nanti apa orang kata, malu la
2.     Orang itu ini kenduri macam tu lah, ini lah, kita tak boleh la macam lain
3.     Kena bersandinglah, ikut adat lah, kena itu ini
4.     Majlis kena grand la, paling kurang kena sama dengan orang itu ini.
5.     Habis kesemua orang satu negara nak kena dipanggil, kena prepare makanan itu ini

Semua melibatkan kos tinggi dan memang saya tak mampu pun. Tapi macam dipaksa untuk buat itu ini,  suka atau tidak kena buat juga. Setakat mana lah kita nak bertegang leher dengan mak bapak. Memang la orang tua rasa suka, tapi kesan sungguh teruk kepada saya dan suami. Anak dah ada tapi hutang dulu kami tak habis bayar lagi pun. Dah ada anak, usaha juga beli kereta proton lama yang murah, cukuplah untuk keperluan, itu pun kena marah juga.

Bila lihat kami susah, kata-kata pedas dan biadab pula dikata kepada kami bahawa kami lah dulu yang lupa daratan, sangat nak majlis hebat sehingga berhutang, walhal kami memang tak mahu dari awal lagi dan dipaksa sebenarnya.

Saya setuju dengan saranan Ustaz, buatlah kenduri dengan kemampuan dan untuk tanda kesyukuran. Memang lain dari itu, kesannya sangat buruk seperti yang kami tanggung sekarang. Mudahan Allah Swt. memberikan petunjuk dan jalan keluar yang baik, insyaAllah.

Wassalam 


On Friday, December 20, 2013 4:14 PM, Cenoney Aauuss wrote :

Terima kasih sungguh atas butiran email yang bermanfaat ni.

Alhamdulillah saya buat majlis kenduri anak-anak setakat yang mampu sahaja. Memang macam-macam tong-tong kosong dok berbunyi keliling kelalang. Saya buat pekak saja. Kalau dilayan kita boleh muflis. Setakat nak cakap itu ini memang lah semua orang pandai, yang nak tanggung tu yang teruk. Yang tukang cakap tu nanti berambus tak ambil tahu dah kita senang ke susah dok tanggung semua beban.

Yang betulnya dan tentu sekali betul, ikut syara’, Selesai semua masalah. Yang tuntutan syara’ itu didahulukan, yang lain tu aksesori saja, tak ada pun tak memberi kesan apa-apa, ada pun lebih bagi susah dan memeningkan kepala. Lain lah orang kaya, duit ada banyak untuk di perabis. Diaorang ni tolak tak jatuh, pusing kut mana pun tak jatuh. Kita yang tak mampu ni kena potong baju ikut badan.

Tut.. tut… dalam ramai-ramai, ada juga yang kata kita ni kedekut, majlis tak glamer la, tak serupa orang bla..bla..bla, macam lah dia nak tolong bagi duit, tak jugak. Saya buat setakat yang mampu, habis cerita. Lantak pi lah apa dia orang nak kata, dah lebih pandai, lebih kaya, lebih mampu, nanti dia orang buatlah sendiri.

Memang kalau buat kenduri kerana ikut cakap dan syok orang lain, kita akan lebih bengkok dari udang bakar, bankrupsi. Begitu lah……

Wassalam


On Friday, December 20, 2013 4:43 PM, pedu_00 wrote :

Assalamu’alaikum,

Mohon izin untuk share dalam fb dan panjangklan kepada kawan-kawan.

Wassalam.


On Saturday, December 21, 2013 10:09 AM, eddzahir wrote :

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih atas segala maklumbalas.

Nota : ada jua maklumbalas yang kurang beradab, emosi kalut dan kata-katanya mencelakakan orang sahaja, telah saya delete. Dan ingin saya maklumkan bahawa, segala komen berbentuk begitu tidak dialukan serta tidak diperlukan disini. Langsung tiada faedah dan tidak berguna. Sekiranya suka dan amat seronok untuk berbuat dosa, silakan ke forum lain yang sama waqtu dengannya. Jangan heret group ini turut sama ke dalam neraka ciptaan sendiri.

Perkara yang lepas, apa lagi yang boleh dibuat. Segala yang baik itu dijadikan tauladan, segala yang buruk dijadikan sempadan. Memang macam-macam cerita kita dengar alkisah orang kita berkenduri. Yang lebih beradat dari syara’ pun ada. Yang lebih bengkok dari udang bakar selepas kenduri pun ada. Yang kenduri gah seantero Malaya, tak berapa bulan sudah bercerai berai pun ada. Ada juga yang sudah beranak pinak, hutang kenduri belum habis pun ada.

Paling penting, jangan nanti kita yang ulangi skrip yang sama pula, mengata dulang paku serpih. Mudahan-mudahan kita-kita yang ada kesedaran, tidak ulangi apa yang tidak kena. Seperti mana kita merasai susahnya, begitu juga orang lain. Justeru, maqasid artikel ini adalah menyeru seluruh ummat Muslimin supaya kembali berwalimah mengikut landasan syara’. Dalam apa keadaan pun, hak syara’ itu senantiasa didahulukan berbanding yang lain.

Setakat itulah yang dapat diusahakan. Semoga seruan ini boleh didengari, diberi perhatian dan memberi manfaat.

Wassalam





Read more...

Soal Jawab : Jangan Herdik Orang Bersedekah

0 ulasan
On Monday, December 2, 2013 2:03 AM, abu_hadhari wrote :

Assalamu’alaikum ustaz mad,

Nilai keajaiban dari amal sedakah ini sebenarnya telah terungkap pada arti namanya, sedekah yang berakar dari kata Sidiq ini menunjukkan bahawa amal tersebut merupakan batu uji yang akan menyerlahkan sejauh mana keberadaan dan kekuatan iman yang dimiliki oleh seorang Muslim.

Sedekah memiliki khasiat yang amat menakjubkan dalam menangkal bencana, juga sebagai ubat bagi penyakit, sekalipun mereka berbuat dosa. Ibnu Mas’ud berkata bahawa Rasulullah bersabda,
‘Berubatlah kalian dengan sedekah.’ Hadis hasan riwayat imam Baihaqi (III/383)]

Al-Hafidz al-Mundziri berkata bahawa dari Ali bin al-Husein bin Syaqiq berkata, ‘Aku mendengar Ibnu al-Mubarak pernah ditanya oleh seseorang, ‘Wahai Abu Abdurrahman, aku memiliki sebuah luka, luka ini telah ada sejak 7 tahun. Sungguh aku telah berubat dengan berbagai macam pengubatan, aku bertanya pada para tabib, dan aku tidak mengambil manfaat darinya.’

Abdullah bin Mubarak berkata, ‘Carilah tempat manusia memerlukan air dan galilah sumur di sana, aku berharap semoga memancar mata air darinya, dan air tersebut dapat menahan darah dari tubuhmu.’ Lalu orang tersebut melakukannya, ia pun sembuh dari penyakitnya.”
Lihat At Targhib wa Tarhib karya Syeikh Al-Albani, hadis no. 953 dan 954

Demikian hebat dan mulianya sedekah. Apa lah malang dan bebalnya ada orang berstatus ustaz pula dok jadikan amal sedekah orang bahan hinaan dan cacian. Ingatkan orang awam saja yang jahil, rupanya dah menjadi ustaz pun jahil jugak, mungkin ini yang dikatakan jahil murakkab (bodoh 2 kali ganda).

Wallahu a’lam


On Monday, December 2, 10:42 AM, ernest prtdi wrote :

Assalamu’alaikum, moga tuan ustaz mad baik-baik saja. Apa pun syukron atas artikel yang memberi menafaat banyak ni.

Mula-mula baca ada rasa tak percaya yang ada lagi ustaz perangai macam ni.  Macam ni punya spesis pun masih dok ada lagi kah! Ingatkan dah habis pupus dah. Selagi dok ada spesis macam ni, selagi itulah dunia takkan aman dan Islam akan terus difitnah. Macam manalah jadi ustaz pastu dipuja puji orang sedangkan perangai macam ………

Tapi lama-lama dok pikir, apalah yang nak dihairankan, malah tak pelik langsung pun hal adanya penceramah ugama merapu macam ni. Dia ingat hukum hakam sedekah ni seperti yang keluar dari akal pikiran dia saja. Memang la kalau ikut akal dia, bagi semua sedekah tu kat dia lagi bagus. Dan haktu lah yang dia mahu sangat pun.

Saya setuju dengan syeih Mad, orang berilmu takkan berperangai macam ni, mustahil tak tahu hukum hakam, adab sopan dan cara berda’wah. Bukan nak tuduh tapi nak kata saja ; dia nak duit tu sebetulnya. Banyak dah penda’wah yang macam tu, cakap punya lah sedap. Walhal akhir-akhirnya jelas sekali matlamatnya menuju ke RM.

Memang dunia akhir zaman penuh dugaan, so teruskan ja sedekah apa yang kita mampu, dengan sebaik mungkin supaya mendapat redho Allah, bukan kerana yang selainnya. Lagi pun, bukan ustaz tu pulak yang boleh jadi hakim dan bagi pahala.

Wassalam


On Monday, December 2, 10:42 AM, mohdpoziatan wrote :

Assalamu’alaikum, moga semua rakan jamaah khususnya al fadhil ustaz abang mad dalam rahmat Allah sentiasa. Saya pun nak ambil kesempatan menulis dalam suasana yang baik ini.

Dari Salim bin Abdullah bin Umar dari ayahnya Rhu. bahawasanya Rasulullah Saw. telah memberi sesuatu kepada Umar bin al-Khattab. Maka Umar berkata : Berikanlah kepada orang yang lebih fakir daripada aku. Nabi bersabda : Ambillah lalu kembangkan atau engkau sedekahkan. Sesuatu yang datang kepada mu dari harta ini sedangkan engkau tidak mengharap dan tidak memintanya maka ambillah dan sesuatu yang tidak datang kepada mu maka janganlah engkau ikutkan diri mu pada sesuatu itu."
Hadis sahih riwayat imam Muslim

kita-kita sekarang ni lebih mudah dan senang bersedekah. Ini bersesuaian dengan arus semasa yang membolehkan kita bersedekah menggunakan potongan bank, mnerusi SMS dan macam-macam kemudahan lain. Lebih-lebih lagi sebahagian besar ummat muslimin boleh dikatakan sudah memiliki lebih dari keperluan diri sendiri.

Sekarang ni pun ramai manusia sanggup menipu untuk mendapatkan sedekah. Penipu amatur dan pro ribuan tahun dah ada. Yang paling ditakuti sekarang penipu atas nama agama : jual jampi, jual serampah, jual ayaq sejuk, upah amal, upah buat ibadah, upah baca ayat Allah dan macam-macam perbuatan karut lagi, yang nampak macam alim sesangat, walhal nak cari duit saja. Yang tepatnya menjual agama untuk mendapat untung wang mudah. Lagi pun orang ramai dah macam kena psiko : takkan bertanya banyak kerana nak menyumbang kepada agama.

Cerita dan penjelasan dari ustaz mad ni memang betul. Terpulang lah kepada kita untuk membuat penilaian, supaya jangan kerana nak taat ugama rupanya kita tertipu atas kebatilan yang disangka agama.

Moga Allah Swt. rahmati kita semua. Nak sedekah pun ada tatacaranya, nak meminta pun ada tatacaranya. Dengan menghalusi hal ini, takkan kita tertipu dan dapat tangkap penipu jual agama.

InsyaAllah.


On Monday, December 2, 3.03 PM, poison_ivy wrote :

Wa’alaikumussalam ustaz,

Terima kasihlah atas pencerahan ustaz, panjang berjela, baca 3 round baru abis.

Marilah kita terus bersedekah dengan apa yang kita mampu. Kalau nak ikut apa orang kata, memang susah hidup, tambah lagi yang ada kepentingan sebalik mee, apa saja yang kita sedekah pun semua tak betul, maksud sebenar, bagi kat dia baru betul, lagi banyak lagi bagus.

Ramadhan lepas, ada cara kutip duit baru – upah sembahyang sunnat, upah baca Al Qur’an, baca doa, berzikir lengkap dengan pakej-pakej dan rating lagi. Apa nak jadi dah nih, harap dapat al fadhil ustaz tulis juga hal trend baru kutip duit ni. Lama-lama nanti orang dah tak mau buat amal ibadat lagi dah, upah orang tolong buat sudah la.

Terima kasih la atas artikel yang bermanfaat nih.

Wassalam.


On Tuesday, December 3, 10.41 AM, Jalal Unimap wrote :

Assalamu’alaikum

Terima kasih tuan, tak henti-henti memberi kat saya nih kuliah yang bagus, mudah-mudahan mendapat balasan kebaikan dan saya pun mendapat banyak pengajaran. Banyak perkara yang tak kena berlaku dan masih berlaku dalam masyarakat Melayu Islam kita nih, begitulah hakikatnya.

Cara teguran diikuti pesanan dan pengajaran macam nih memang bagus. Memang inilah cara terbaik, bukan setakat komen dan bangkang sahaja yang tahu, semua perkara nak bangkang saja, mendorong ke jalan yang betul tak tahu pula, malah tak satu apa pun yang tahu. Inilah penyakit yang lebih teruk.

InsyaAllah, kalau ada kesempatan nanti saya singgah di rumah. Nak joint kuliah pun payah, duduk jauh ni. Apa pun selamat maju jaya

Wassalam


On Tuesday, December 3, 11.54 AM, Wan Arzuan wrote :

Assalamu’alaikum Wr Wbt.

Terima kasih atas pencerahan nih. Sungguh pelik kalau usaha sedekah orang yang menjadi bahan cercaan dan hinaan. Apa tiada modal lain kah untuk di kuliyahkan selain mengata kepada orang yang bersedekah. Memang pelik. Lagi pelik pulak, dalam masjid/rumah Allah yang mulia jadi tempat membuat kata-kata nista macam ni. Na’uzubillah. Apa ustaz sekor nih takder rasa malu kepada Allah Swt. kalau pun pada manusia dia dah tak rasa heran.

Saya perhatikan tulisan nih, Alhamdulillah tiada pulak nak mengata ke orang sebaliknya memberi penjelasan yang umum iaitu semua orang, yang terkena sendiri rasa lah. Dah makan cabai sendiri rasa pedas. Tak perlulah sampai orang tolong cabaikan mulut tuh.

Harap nanti ustaz dapat tulis fasal peminta sedekah moden nih, dah macam-macam style. Kat tempat saya nih dah berselang hari, ada saja orang datang mintak derma atas nama rumah anak yatim, rumah kebajikan, pusat tahfiz, rumah orang tua-tua, sekolah agama, dan macam-macam lagi. Rata-rata orang tempatan, Tapi ada juga yang mengaku datang dari Kemboja, Myanmar, Bangladesh, Pakistan, Siam dan semuanya bawa trend yang serupa – atas jenama Islam. Merayu-rayu dan bercerita macam-macam.

Tak nak bagi ada jga rasa nak menyumbang kepada so called Islam, mahu tak mahu kita bagi juga walau pun sikit. Dengan harapan sumbangan kita itu membantu. Tapi bila terdengar para peminta sedekah pro atau semi pro nih dok buat kekayaan, malah dah jadi macan orang kaya, rasa lemas pun ada. Segala macam rasa dah bercampur baur.

Harap dapat al fadhil ustaz ceritakan hal ini dan bongkarkan alkisah sebenarnya. Supaya yang benar itu terserlah. Akhirnya yang benar itu diperkuatkan dan para penipu pula dihukum berat-berat, jangan dibiar bermaharajalela membuat fitnah ke atas Islam.

Setakat itu saja, wassalam


On Tuesday, December 3, 10.44 PM, eddzahir wrote :

Wa’alaikumussalaam,

1.    Terima kasih kerana ulasan Tuan serta rakan-rakan lain amat baik dan bernas.
2.    Tidak patut sama sekali gunakan media untuk pin point mengata / mencerca satu orang lain. Ini hal personality orang itu, baik sekali jika ada rasa tidak berapa kena padanya, hulurkan teguran secara peribadi, bukan diumumkan.
3.    Niyat di hati pabila menegur adalah supaya kesilapan itu disedari dan diperbaiki, seterusnya semua pihak mendapat manfa’at. Bukannya memalukan dan mengata kembali menerusi media. Ini perbuatan bukan nak memperbaiki tetapi mengata, menghina, membuka aib dan mencerca. Sikap ini lebih membawa keburukan bukan kebaikan.
4.    Untuk mengawal para peminta sadaqah pro / semi pro ni adalah 1. Menerusi ketetapan undang-undang (pihak yang memerintah kenalah membuat tindakan sepatutnya), dan 2. Orang ramai hendaklah jangan bagi sekiranya ada rasa was-was, kerana selalunya mereka ini bersemangat kerana banyak mendapat habuan.
5.    InsyaAllah, saya akan tulis sekiranya ada kesempatan. Cuma baik sekali dinyatakan awal-awal lagi, ini kerja berat kerana melibatkan case study dan participation observation, bukannya boleh terhasil dari dengar cakap, cerita ceriti, mimpi-mimpi dan teka meneka sahaja.

Wassalaam.


On Wednesday, December 4, 11.17 AM, adik manja wrote :

Saya setuju sangat dengan saranan supaya meletakkan balang transparent kat tengah-tengah laman majlis tu dilupuskan. Jelas sekali ia bertentangan dengan suruhan sunnah – sembunyikan pemberian. Macam manalah amalan ni boleh ada. Yang jelas-jelas dituntut sunnah dalam hal jenazah seperti diletakkan menghala ke kiblat dan cepat dikebumikan kurang pulak diambil pusing, tapi hal balang telus sekaligus matlamat RM ni jadi hal besar pulak. Pelik sungguh orang-orang kita.

Harapnya dapatlah kita semua mulakan dalam diri kita sendiri dan seluruh kaum keluarga kita dulu. Saya pernah cuba dan tidak benarkan dalam kes kaum keluarga, tapi kena marah dan menjadi alasan bermasam muka pula. Apa nak buat, kepada Allah Swt. lah dikembalikan segala kebenarannya.

Terima kasih atas kiriman email pencerahan ini, yang tak tahu dah jadi tahu, yang kurang jelas dah jadi jelas. Hanya Allah Swt. yang boleh membalas segala jasa baik.

Wassalam


On Wednesday, December 4, 11.39 AM, hadi mus wrote :

Assalamu’alaikum Wr Wbt

Apalah yang dikalutkan hal sedekah ni, dah jelas pun yang hukumnya sunat dan ia memang pilihan pun, bukannya wajib dan paksaan pun. Ribuan tahun hukum ni dah ada, takkan la sampai sekarang tak boleh nak faham lagi.

So, jom kita bagi apa yang kita mampu dan apa yang kita boleh bagi seadanya. Apa yang susah sangat! Jangan pedulikan golongan senak otak yang takdak kerja lain, selain dok komen amal sedekah orang.

p/s ; hadis sahih sebut, yang dok suka mengherdik, menghina dan komen amal sedekah orang ni hanyalah orang munafiq. Moga kita terpelihara dari perangai macam nih.

Dan selalunya juga, tukang komen nih tak pernah buat apa pun selain komen saja. Itu saja yang depa reti. Otak depa nih memang dah rosak, depa sangka dengan komen itu ini saja perut boleh kenyang.

Wassalam


Read more...

Selasa, 24 Disember 2013

Walimatul Urus Dengan IKhlas

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh ia menang dengan kemenangan yang besar.”
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 70-71

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di Neraka. Amma ba’du.
 
Sekarang kita berada di Bulan Disember, yang dalam amalan kebiasaan masyarakat, ketika ini adalah musim cuti panjang dan musim pasangan melangsungkan pernikahan (walimah). Seingatnya, sejak dahulu lagi, masyarakat kita memberi tumpuan kepada musim cuti persekolahan atau pun hujung-hujung minggu untuk menjalankan walimah. Boleh difahami ini disebabkan oleh suasana cuti ini memudahkan banyak hal pengurusan majlis dibuat dan ramai sahabat handai serta kaum keluarga mempunyai lebih ruang kesempatan untuk turut terlibat sama membantu dan mera’ikan.
 
Mengadakan majlis walimah amat dituntut dan merupakan anjuran (sunnat muakkadah) dan sunnah Rasulullah Saw. kerana dengan adanya majlis walimah ini, sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah Swt. yang telah menemukan dan mencantumkan hati dua insan dengan cara syara’. Juga sebagai pengisytiharan rasmi kepada masyarakat bahawa pasangan ini telah diikat secara sah sebagai suami isteri supaya dapat mengelak prasangka, fitnah dan salah faham. Juga sebagai satu manifestasi kesyukuran kerana diberikan rahmat-Nya yaitu bertambahnya seorang ahli keluarga (menantu), bercantumnya 2 keluarga (berbesan) yang dengannya akan bertambah lagi ummat Muslimin (anak-anak baru zahir), dan menerusi walimah ini menjadi wadah mempereratkan silaturrahim, berkenal-kenalan dan mu’ammalah dalam keluarga seterusnya sesama Muslimin.
 
“Dari Buraidah bin Al Hashib Rhu. dia berkata bahawasanya : tatkala ‘Ali meminang Fatimah Rha., Rasulullah Saw. bersabda : Sesungguhnya merupakan keharusan bagi pengantin untuk menyelenggarakan walimah.”
Hadis sahih riwayat imam Ahmad Rhm. jilid 18 no. 175, juga dalam Sahiih al-Jaami’ is Saghiir no. 2419
 
“Dari Anas bin Malik Rhu. dia berkata : Bahawasanya Nabi Saw. menikahi Safiyyah dan kemerdekaannya sebagai mas kahwinnya, kemudian Baginda menyelenggarakan walimah selama tiga hari.”
Sanadnya sahih : [Kitab Adaab uz Zifaz, hal. 74], Dikeluarkan oleh Abu Ya’la dengan sanad seperti yang terdapat dalam Fat-hul Bari (IX/199), dan riwayat tersebut juga terdapat dalam Sahih al-Bukhari dengan maknanya, no. 1559.
 
Walimah ini dituntut diperbuat mengikut kadar kemampuan dan keupayaan supaya tidak membebankan mana-mana pihak. Jika kurang berkemampuan, adakanlah majlis sederhana dan hanya perlu mengundang saudara mara terdekat, jiran tetangga dan sahabat handai yang rapat sahaja. Tidak perlu berhutang dan bergolok bergadai semata-mata untuk mengadakan majlis gilang gemilang sekiranya tidak mampu. Perbuatan membebankan diri dan merosakkan seperti ini dilarang dan ditegah oleh syara’.
 
Majlis yang dipenuhi dengan amalan khurafat, ma’siyat, membazir dan diperbuat untuk menunjuk-nunjuk dan riya’ tidak pernah diterima di dalam Islam. Lantaran kebenaran untuk membuat apa jua dalam Islam ini bukanlah hak mutlak mengikut kehendak hati, tetapi dalam ke adaan apa pun, tetap ia tertakluk kepada syari’at dan tidak sesekali boleh terkeluar darinya. Tidak salah juga adanya unsur adat dan budaya selagi mana ia tidak terkeluar dari batasan syari’at. Situasi ini jelas dalam banyak catatan-catatan amalan para salafus solih terdahulu. Dan di dalam satu hadis Nabi Saw. memperjelaskan ;
 
“Dari Anas bin Malik Rhu. dia menceritakan : Bahawa Nabi Saw. melihat warna bekas wangian pengantin di tubuh Abdurrahman bin Auf Rhu., lalu Baginda bertanya : Apakah ini? Abdurrahman menjawab : Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru saja menikahi seorang wanita dengan mahar seharga lima dirham emas. Rasulullah Saw. lalu bersabda : Semoga Allah memberkahimu dan rayakanlah walau pun hanya dengan seekor kambing.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2556
 
Majlis walimah ini menyerlahkan betapa telitinya syari’at Islam dalam menjaga keharmonian serta kesejahteraan ummatnya dan menjamin kehormatan maruah seseorang individu dan sesebuah keluarga. Salah satu acara utama dalam majlis walimah adalah memberi makan kepada  para tetamu. Sebaik-baiknya amalan menjamu ini adalah dengan memberi makan golongan miskin dan memerlukan lantaran Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan muslimin yang fakir miskin. Hal ini diperingatkan oleh Nabi Saw. :
 
“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda :
Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah di mana yang diundang hanyalah orang-orang kaya saja sementara orang-orang yang miskin tidak diundang……..”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2585
 
Dan insyaAllah, sebaik-baik orang yang dijemput dan dijamu itu adalah dari kalangan orang-orang yang solih, baik yang miskin mahu pun kaya, dari apa jua bangsa juga keturunan kerana Nabi Saw. telah berpesan :
 
“Dari Abu Sa’id Al Khudri Rhu. dia berkata bahawa ada mendengar Nabi Saw. bersabda :
Janganlah kamu bergaul melainkan dengan orang-orang mukmin dan jangan makan makananmu melainkan orang-orang yang taqwa".
Hadis sahih riwayat imam Hakim Rhm. jilid 4 no. 128, imam Ahmad Rhm. jilid 3 no. 38, imam Abu Daud Rhm dan imam Tarmidzi Rhm.
 
Ingatlah selalu, sematkan kuat-kuat dalam hati sanubari, sesungguhnya VVIP dari kalangan ummat Muslimin ini ialah orang yang bertaqwa, orang alim, orang wara’ dan anak-anak yatim serta faqir miskin, Muslimin yang berada di dalam kesusahan dan para mustadh’afin (golongan tertindas). Mereka inilah VVIP dan orang besar sebenar yang perlu diberi perhatian kerana rizqi dan ma’unah (pertolongan) Allah Swt. kepada kita sebenarnya tergantung kepada mereka.
 
Maka, laksanakanlah, permudahkanlah dan ra’ikanlah majlis walimah dengan sebenar-benarnya sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah Swt. Dan janganlah sesekali tergelincir dari landasan maqasid itu. Pesanan disebutkan ini kerana disedari ada kes yang tak berapa kena dalam cara orang kita membuat walimah. Pernah terjadi di tempat terhampir dengan saya sendiri, ada yang membuat kenduri walhal sebelah menyebelah rumah tidak dijemput. Pernah juga saya sedari ada seseorang yang hanya menjemput kawan rakan berpilih-pilih, yang jauh diutamakan, dalam satu taman pun jemputan berselang rumah. Maka kita yang hadir ini pula bergundah gulana, serba salah dan bermacam rasa semua ada dengan rakan-rakan dan jiran-jiran tidak berjemput.
 
Maka jadilah kenduri itu kategori berpilih-pilih, hanya yang lebih status social dan ekonominya yang dijemput. Yang sedikit kekurangan atau pun kurang glamer dilupakan dan diabaikan saja kalau pun sahabat handai dan jiran-jiran.  Bukan satu kali saya alami hal begini, pernah juga saya menjadi orang yang tidak dijemput. Akhirnya terdengarlah jua cerita (masakan mulut tempayan boleh ditutup oleh piring) : nak tunjuk kat orang mempunyai sahabat yang status besar-besar dan pastinya nanti dapat habuan yang besar juga. Suka atau tidak, semestinya disebutkan : perbuatan dan sikap ini salah dan melanggar ketentuan syari’at dengan dalil yang telah dinyatakan di atas. Sepatutnya, ketentuan hukum ini tak perlu lagi disebut dan diperingatkan pun, justeru kita telah menganut Islam berpuluh keturunan.
 
Kerana itu jugalah tidak menghairankan ada sebahagian kita berlawan-lawan buat kenduri. Seolah ada pertandingan pula siapa yang lebih hebat. Seterusnya rasa besar dan hebat itu dijaja pula, dan yang paling gah dijaja itu adalah berapa jumlah kutipan tolnya. Subhanallah, kenapalah jadi jadi begini. Apa mungkin walimah ini hanya untuk orang berada sahaja, orang besar sahaja dan orang kekurangan dipincingkan mata. Sanggup pula bergolok bergadai dengan harapan nanti akan mendapat habuan besar dan mendapat untung. Adakah dirasakan sekiranya dijemput orang kebanyakan ini akan menyebabkan kerugian, hilang kemegahan dan tidak mendatangkan faedah. Baik sekali disampaikan sedikit pesanan firman Allah Swt. untuk manfaat semua :
 
“Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.”
Surah Al Mudatstsir (74) : ayat 6
 
Ibnu Abbas mengatakan : janganlah kamu memberikan suatu pemberian dengan maqsud agar memperoleh balasan yang lebih banyak darinya. Hal yang sama dikatakan oleh Ikrimah, Mujahid, Atha’, Thawus, Abul Ahwash, Ibrahim An Nakha’i, Adh Dhahhak, Qadatah, dan As Saddi serta lainnya. Mujahid mengatakan bahawa orang Arab mengatakan tamannana, artinya merasa lemah diri. Ibnu Zaid mengatakan, janganlah kamu merasa berjasa dengan kenabianmu terhadap manusia dengan maqsud ingin memperbanyak dari mereka imbalan jasa berupa dunia. Wallahu a’lam.
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir Rhm. Tafsiirul Qur’an ul Adziim, jilid 10 halaman 142
 
Setelah sebegitu lama walimah berlaku dalam seluruh hidup kita termasuk diri kita sendiri, sama ada sebagai pasangan yang diraikan mahu pun selaku tuan rumahnya atau sekurang-kurangnya dalam ahli keluarga kita yang kita terlibat secara langsung, yaqinkan lah hati nurani dan kuatkanlah semangat bahawa semua walimah yang telah berlaku itu sebaik mungkin kita telah lakukan selaras dengan kehendak Allah Swt. dan rasul-Nya.  Sekiranya ada serba sedikit kekurangan, mari bersama kita bina azam, sekiranya ada ruang kesempatan lagi akan kita perbetulkan segala kekhilafan itu, insyaAllah.
 
Pada musim begini, sungguh banyak menerima kad undangan tidak kira dari jauh dekat, dari kaum keluarga, sahabat handai dari mana jua. Malah yang datangnya dari orang yang tidak kita kenal pun ada. Jumlahnya mencecah berpuluh-puluh dan ada saja majlis pada setiap hujung minggu terkadang bertindih-tindih hari dan waqtunya Disekeliling rumah tangga sendiri pun banyak. Justeru kita ini hanyalah manusia yang pastinya serba kekurangan dan kedhaifan, pasti sekali kita tidak akan mampu memenuhi semuanya, sedangkan Nabi Saw. telah pun memberikan perintahnya dengan jelas :
 
“Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu., dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Apabila seorang di antara kamu diundang untuk menghadiri pesta perkahwinan, maka hendaklah ia menghadirinya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2574

“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. ada bersabda : Ada enam kewajiban bagi seorang Muslim terhadap saudaranya yang Muslim ; (1) Apabila engkau bertemu, berilah salam padanya, (2) Apabila engkau diundang, penuhilah undangannya, (3) Apabila engkau dimintai nasihat, berilah nasihat padanya, (4) Apabila dia bersin lalu mengucapkan ’alhamdulillah’, doakanlah dia (dengan mengucapkan ’yarhamukallah’, pen), (5) Apabila dia sakit, jenguklah dia, dan (6) Apabila dia meninggal dunia, iringilah janazahnya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2162
 
Dan Nabi Saw. telah berpesan juga : Sesungguhnya orang yang ingkar memenuhi jemputan ini berarti dia telah berbuat durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya.
 
“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. ada bersabda : Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah di mana yang diundang hanyalah orang-orang kaya saja sementara orang-orang yang miskin tidak diundang. Dan barang siapa yang tidak memenuhi undangan, maka berarti ia telah berbuat durhaka (ma’siyat) kepada Allah dan Rasul-Nya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2585 dan imam Bukhari Rhm. no 5177 dari jalur Ibnu Umar Rhu.
 
Di antara hak yang mesti ditunaikan seorang Muslim pada Muslim yang lain, ternyata dari hadis ini adalah memenuhi undangan. Hukumnya wajib memenuhi undangan seorang muslim adalah disyari’atkan, tanpa adanya perselisihan di antara para ulama. Pandangan kesepakatan tentang kewajiban ini disebut oleh para ulamak antaranya Ibnu ‘Abdil Barr, Imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Imam Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan lain-lain. Hukum kewajiban ini dikuatkan lagi sehinggakan mereka yang sedang berpuasa juga diwajibkan memenuhi undangan majlis walimah walau pun dalam keadaan berpuasa, dan yang berpuasa sunnat boleh berbuka bagi menghormati dan menghargai undangan itu.
 
Berat sungguh nampaknya kepada kita yang serba ada keuzuran dalam berbagai segi  untuk memenuhi kewajiban ini. Mungkin saja kita terikat dengan masa kerja, ada keperluan keluarga, halangan jarak, mungkin juga tahap kesihatan mungkin juga pertembungan jadual kenduri yang banyak telah menghalang kita dari menghadiri. InsyaAllah, fatwa di bawah serba sedikit boleh membantu pemahaman, memperjelaskan keributan dan menjawab segala kesangsian.
 
Hukum memenuhi jemputan ke majlis atau jamuan adalah wajib sekiranya tiada perkara-perkara ma’siyat di dalamnya dan tiada keuzuran syar'ie kerana ia adalah satu daripada hak-hak Muslim. Walau bagaimana pun, kewajiban memenuhi undangan tersebut juga bergantung kepada syarat-syarat yang tertentu. Antaranya :
 
Orang yang mengundang adalah seorang Muslim, yang tidak terang-terangan dalam berbuat ma’siyat
Orang yang dijemput tidak mempunyai keuzuran syar’ie yang akan menghalangnya dari menghadiri undangan tersebut
Tidak terdapat perkara mungkar dan ma’siyat yang tidak mampu dihilangkan dalam acara yang akan dilangsungkan seperti disediakan minuman arak, mengadakan majlis tari-menari, alunan dari alat-alat atau bunyi-bunyian yang haram dan sebagainya. Jika didapati majlis tersebut mengadakan acara yang mungkar maka gugurlah kewajiban untuk menghadiri majlis tersebut.
 
Akan tetapi, majority ulama’ berpendapat bahawa undangan yang wajib dipenuhi hanya undangan walimah (resepsi pernikahan). Sedangkan undangan selain walimah hanya dianjurkan (tidak wajib) untuk dipenuhi. Undangan tersebut juga wajib dipenuhi jika undangan tersebut adalah undangan pertama, dan pada hari pertama (jika walimahnya lebih dari sehari, yang wajib dipenuhi hanya hari pertama saja).
Syaikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin Rhm. Kitab Syarah Riyadhus Solihin dan Kitab Al Qoulul Mufid ’ala Kitabit Tauhid
Syaikh Abdurrahman Ali Bassam Hfzh. Kitab Taudhihul Ahkam Syarah Bulughul Maram
 
Fatwa ini berasas dari amalan para sahabat, apabila pihak yang diundang memiliki alasan yang kuat atau kerana perjalanan jauh sehingga menyulitkan atau sibuk yang menghalangi (uzur syar’ie), maka boleh baginya untuk tidak menghadiri undangan tersebut.
 
Berdasarkan atsar diriwayat dari ‘Atha’ bahawa Abdullah Ibnu ‘Abbas Rhu. pernah diundang acara walimah, sementara dia sendiri sedang sibuk membereskan urusan pengairan. Dia berkata kepada orang-orang : “Datangilah undangan saudara kalian, sampaikanlah salamku kepadanya dan khabarkanlah bahawa aku sedang sibuk”
Diriwayatkan oleh imam ‘Abdurrazzaq dalam Al Musannaf (no. 19664). Al-Hafiz Ibnu Hajar Al Asqolany Rhm. berkata : “sanadnya sahih.” (Kitab Fat-hul Baari, Jilid IX halaman 247).
 
Nabi Saw. sendiri ada menganjurkan qaidah penyelesaian yang selamat kepada kita ummatnya ya’ni sekiranya terdapat dua (atau lebih) undangan dalam satu waqtu yang bersamaan, yang tidak mungkin dapat untuk dikompromikan (dipenuhi semuanya melainkan ada yang tercicir), maka hendaklah didahulukan mereka yang terdekat rumahnya atau mereka yang terlebih dahulu menyampaikan undangannya.
 
“Dari Humaid bin 'Abdur Rahman Al Himyari, dari seorang laki-laki sahabat Rasulullah Saw. dari Nabi Saw. Baginda bersabda : Apabila ada dua undangan yang bersamaan, maka penuhilah yang lebih dekat pintunya di antara keduanya itu, sebab yang lebih dekat pintunya itulah tetangga yang paling dekat. Lalu apabila salah satu diantara dua undangan itu datang lebih dahulu, maka penuhilah undangan yang datang lebih dahulu itu".
Hadis riwayat imam Ahmad Rhm, jilid 5 no. 408 dan imam Abu Daud Rhm. Hadis ini dinyatakan dhaif oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin al Albaani Rhm. tetapi dihasankan oleh Syaikh Syu’aib al Arnauth Rhm. Adalah boleh digunapakai kerana matannya hampir sama maqsud dengan hadis sahih dari Ummul Mukminin Aisyah Rha. (riwayat imam Bukhari Rhm, jilid 6 no. 477)
 
Telah menjadi kebiasaan juga, kita menyumbangkan sesuatu hadiah kepada pengantin atau pun kepada tuan rumah. Ini adalah cara menzahirkan kesyukuran, kegembiraan  dan berkongsi  mera’ikan walimah. Pemberian itu pula sesungguhnya banyak memberi manfaat dan mewujudkan kegembiraan. Dicadangkan : apabila hendak membeli hadiah, pilihlah hadiah yang bermanfaat lagi tersendiri yang boleh membawa faedah berpanjangan. Hadiah-hadiah seperti seperti al-Qur’an, tafsir al-Qur’an, kitab-kitab hadis dan buku-buku agama yang ilmiah dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pengantin untuk jangka masa yang lama. Selagi mana ia dipelajari dan dipraktikkan, pahalanya akan terus mengalir kepada mereka dan kepada orang yang menghadiahkannya.
 
Demi kemudahan, banyak orang yang menyumbangkan wang tunai sahaja kepada pengantin atau tuan rumah, yang sebenarnya adalah sebagai ganti kepada hadiah mata benda. Ramai yang tidak faham asas amalan ini lalu menanggapinya sebagai adat sahaja. Dalam Islam, perbuatan memberi hadiah atau sumbangan di majlis walimah adalah sunnah yang dituntut dan dicontohkan oleh Rasulullah Saw.
 
Dari Abu Hurairah Rhu. dia mengatakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda : “Salinglah kalian memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai.”
Hadis hasan riwayat imam Bukhari Rhm. Kitab Al Adabul Mufrad, no: 594. Turut diriwayatkan oleh imam Baihaqi, imam Abu Ya’la, imam Ibnu Abdil Barr dan imam Al Qadha’ie Rhm.
 
“Dari Anas bin Malim Rhu. dia mengkisahkan : Setelah Nabi Saw. menikahi Safiyyah, pada pagi harinya Nabi pun bersabda : Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”. Baginda pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak).”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. no. 2048
 
Berdasarkan hadis ini, Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani Rhm. menyatakan :
“Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (berkemampuan) dianjurkan untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya.”
Kitab Adaab uz Zifaz, halaman 139
 
Memberi hadiah atau sumbangan ini adalah suatu kemuliaan yang dilakukan dengan penuh ikhlas, penuh keyaqinan dan mengharap redho tanpa dimaksudkan ada tujuan lain yang diinginkan. Dikhuatiri amalan memberi sumbangan saat ini terkadang disalah tanggapi, bahkan disalah artikan hanya sebagai sarana untuk mendapatkan sesuatu tanpa melihat kembali ma’na dan maqasidnya. Sesungguhnya memberi ini adalah dituntut bukan diwajibkan, ia berdasarkan kemampuan, rela hati dan tidak dipaksakan pun terhadap sesiapa yang tidak mampu. Prinsip asas ini telah dijelaskan oleh Allah Swt. lewat kalam-Nya :
 
“Hendaklah orang yang mampu (ada lebihan rizqi) memberi nafqah mengikut kemampuannya. Dan orang yang terbatas rizqinya memberi nafqah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sesuai) dengan apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan setelah kesempitan.”
Surah Ath Thalaq (65) : ayat 7
 
Dibangkitkan hal ini kerana telah ada yang menolak jemputan kerana serba hidup kedhaifan untuk menyumbang apa-apa, justeru rasa segan dan rendah diri. Merasakan kurang layak untuk berada di majlis-majlis. Ada juga yang tidak mahu kalah bertangan kosong sahaja, tetapi sampul hulurannya kosong pula. Tidak kurang pula yang berkeluh kesah untuk penuhi jemputan yang mana, menjadikan akhirnya berpilih-pilih atau sebahagian ditinggalkan terus. Perlakuan sebegini bukanlah bentuk uzur syar’ie yang dibenarkan.
 
Terkadang situasi ini melahirkan pertimbangan pelik : tidak kurang yang sanggup berbelanja dan berhias indah-indah dek kerana mahu hadiri tunjuk muka di kenduri orang besar dan berada (dirasakan sangat perlu untuk pergi), namun apabila ke rumah orang kebanyakan, cukuplah sekadar ada-ada saja (tidak pergi pun tidak terasa apa-apa). Lantaran pertimbangan pelik ini juga terjadilah : yang gemuk diberi isi, yang kurus diberi tulang kalau pun dia sepatutnya pihak yang lebih disumbangi. Pada tahap ini, justifikasi ke atas segala macam pemberian itu, memang betul-betul pelik, maka itu tentu sekali maqasid sebenar perlakuan sebegini dipersoalkan.
 
Kepada yang melangsungkan majlis walimah, berpada-padalah dan ikutlah kemampuan, terimalah apa jua sumbangan dan hadiah seadanya. Sebarkanlah berita pernikahan, undanglah khalayak sepatutnya dan jamulah jemputan sebaiknya. Manakala para jemputan, sumbanglah apa yang termampu disamping penuhi kewajiban undangan. Haqiqatnya, kehadiran sahaja pun sudah cukup memberikan kegembiraan. InsyaAllah, semua ini menjadikan majlis walimah itu menepati tanda kesyukuran kita kepada Allah Swt. Maka itu berkendurilah, memberi dan menerima dengan penuh ikhlas ya’ni hanya kerana ketundukpatuhan kepada Allah Swt. semata-mata bukan kerana selainNya.
 
Aakhirul kalaam, kepada para pengantin yang diberkahi, saya ucapkan :
 
 “Semoga Allah memberi barokah kepadamu (ketika dirimu bahagia dan harmoni), dan semoga Allah (tetap) memberi barokah ke atasmu (ketika keadaanmu bergolak), dan semoga Allah (senantiasa) mengumpulkan kamu berdua dalam kebaikan.”
Hadis riwayat imam Tarmidzi Rhm. jilid 1 no. 316. disahihkan oleh imam Hakim Rhm. dan disepakati oleh imam Dzahabi Rhm. Juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Baihaqi Rhm. (Syaikh Ahmad bin Muhammad Syakir Rhm. mengatakan sanadnya kuat, perawinya dikalangan perawi as-sahihah), dari Abu Hurairah Rhu.
 
والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
 
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
 سكيان , والسلام
 
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...