Selasa, 2 Mei 2017

Sahabat Pon Buat Bid'ah ???

0 ulasan
On Wednesday, February 15, 2017 03:49 AM, wrote :



بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته



Lama dah saya nak tanya, betul ka bid’ah boleh dibuat, tak salah pun. Ada ustad mai ceramah kat masjid bagi tahu para sahabat pun buat bid’ah, tapi nabi tak larang, jadi bid’ah tak salah. Dia sebut solat sunat wuduk adalah bid’ah yang sahabat buat dan tak salah.

Saya nak mohon penjelasan dari ustad, betul ka apa yang dikata ni.



Setakat ni dulu ustad, banyak banyak cerita pun buat serabut saja, in shaa Allah



والسلام



---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.



Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.



Pertamanya, saya mohon maaf kerana lewat membalas. Jawaban secara ringkas sahaja.



Adalah benar yang solat sunnat wudhu’ dbuat mula oleh Sahabat ya’ni Bilal bin Rabah Rhu. namun menyangka dan mengistinbatkan ia adalah suatu bid’ah yang dihalalkan adalah silap besar lagi bathil sama sekali.

Saya berikan sedikit rincian dalil/nas pensyari’atan solat tersebut, berikut :

Dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah Saw. bertanya kepada Bilal pada waqtu solat Subuh :

“Hai Bilal..! Ceritakanlah kepadaku, amal apakah yang telah engkau lakukan dalam Islam sehingga aku mendengar derap bunyi sandalmu di syurga?”

Bilal menjawab : Aku tidak melakukan sesuatu amalan yang aku sangat harapkan pahalanya melainkan daripada kalau aku habis bersuci (wudhu’) pada waqtu malam atau pon siang, kecuali aku tentu bersolat dengan kesucianku (wudhu’) itu, sebagaimana yang disarankan kepadaku untuk melakukan Solat Sunat Wudhuk’.”

Hadits Muttafaqun ‘alaih



Lihatlah, pertanyaan Nabi Saw. membawa maqsud yang Baginda sendiri pon tidak tahu apa yang dibuat oleh Bilal, sehingga Bilal memberitahu bahawa dia ada melakukan solat 2 rokaat setiap kali selepas berwudhu’, yang dikenali sebagai Solat Sunnat Wudhu’. Justeru memberitahu yang haqiqi sememangnya Bilal bin Rabah adalah pemula kepada solat sunnat tersebut.



Bilal bin Rabah telah melakukan bid’ah?? Ini merupakan tanggapan amat dangkal malah menjengkelkan. Ia berupa suatu tudohan palsu, sangkaan jahat dan amat dzalim yang tiada taranya terhadap peribadi mulia dan luhur dalam beragama para Sahabat Baginda khasnya Bilal bin Rabah Rhu. yang merupakan golongan para ‘as saabiquna awwaluun’ dan “rodhiyallahu ‘anhum wa rodhi ‘an”.



Apakah jenis tuduhan dan kedzaliman terhadap Bilal bin Rabah, bahawa dia telah melakukan bid’ah sedangkan beliau adalah salah seorang saksi mata dan telinga terhadap sabdaan junjungan mulia kita yang berbunyi “tiap-tiap bid’ah itu sesat”. Apakah jenis penghinaan dan cacian terhadap beliau, sosok kesayangan Nabi ini.



Apakah jenis manusia yang begitu tergamak menda’wa bathil dan palsu bahawa Bilal bin Rabah telah mencipta suatu bid’ah sedangkan beliau, tentu-tentunya termasuk dalam golongan ummat yang paling mulia dan tersanjung dalam Islam ya’ni para sahabat, yang sifat dan pendirian mereka sangat jelas dan pasti : “sami’na wa atho’na” tanpa sedikit pon keraguan, bantahan atau bangkangan ke atas apa-apa jua Kalamullah dan sabdaan rasul-Nya biar pon sebesar zarah, biar pon sekelumit.



Na’uzubillahi min zaalik, moga Allahu Ta’ala tunjukkan jalan kebenaran kepada para penghasad, pencemar kemuliaan para sahabat, penyebar kebathilan dan fitnah ini.



Moga Allah ‘Azzawajalla membuka pekung di dada dan matahati hitam mereka ini, supaya dapat mereka mengenal apa itu sunnah, apa itu bid’ah. Supaya otak-otak karat mereka dapat bertukar dari belenggu kegelapan belitan syaithon kepada kecerahan cahaya syari’at-Nya.



Kebenarannya, apa yang dilakukan oleh Bilal bin Rabah adalah suatu sunnah ya’ni Sunnah Taqririyah (diam, setuju, perakuan) oleh Nabi Saw. seterusnya menjadikan ianya bukanlah bid’ah sepertimana yang Baginda haramkan. Lantaran, jika Baginda tidak bersetuju dengan perbuatan Bilal itu, barang tentu Baginda akan menegah/melarangnya pada masa itu juga, dan pasti juga sahabat yang mulia Bilal bin Rabah akan menghentikan pada masa itu juga.



Entah apa yang telah terjadi dalam diri-diri mereka ini, yang mengaku dan berasa serba serbi pandai dalam agama, dikelek orang ke sana sini, yang dipuja puji, malah ada yang cakap-cakapnya saja pon ditelan bulat-bulat, tanpa diperhalusi ditabayyun barang sedikit pon, walhal antara sunnah dan bid’ah yang antara langit dan bumi bezanya, pon tidak dikenal. Subhanallah, sunggoh buta mata hati.



Terbukti, ini adalah sunnah taqriri Nabi Saw. bukannya bid’ah. Justeru, selepasnya Baginda ada mengatakan dalam suatu hadits lain ;



Menurut Humran pembantu ‘Utsman bin ‘Affan Rhu., ‘Utsman pernah menceritakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda :

Barangsiapa berwudhu’ sepertimana wudhu’ku ini lalu mengerjakan solat dua rokaat, yang pada solatnya dia tidak berbicara pada dirinya sendiri (ya’ni mengerjakannya dengan khusyu’) nescaya Allah akan memberikan ampunan kepadanya atas dosa-dosanya yang lampau.

Riwayat Imam Bukhori Rhm. Kitab al Wudhu’, no: 159



Lalu, setelah terbukti yang Nabi Saw. telah memberikan taqrirnya ya’ni membenarkan Solat Sunnat Wudhu’ itu, bid’ah apa lagi yang dibuat oleh Bilal bin Rabah ??? atau, terlalu kelamkah matahati dan aqal, sehingga sunnah dan bid’ah pon tidak dikenal. Na’uzubillahi min zaalik.



Malah ingin sekali saya sebutkan, mereka-mereka yang menjaja dan menyebarkan fahaman bathil dan menghina kemuliaan sahabat ini, tidak lain adalah golongan yang mahu memperalatkan alasan “bida’ah oleh sahabat” ini, untuk menghalalkan apa saja yang mereka rekaciptakan dalam ibadah, apa-apa yang umum yang mereka khususkan juga apa–apa yang tiada yang mereka ada-adakan.



Memang sesunggohnya itulah maqsud mereka, dan kerana itulah mereka tanpa segan silu, tanpa sedikit pon rasa takut kepada Allahu Ta’ala dan rosul-Nya, memperalatkan golongan mulia dan ahli syurga ini, dengan cara amat jijik dan bathil, untuk mencapai hasrat kebejatan mereka.



Dari satu sisi lain, jikalau jahat sunggohlah si Bilal bin Rabah ini sehingga berbuat bid’ah, hal yang terang-terangan ditolak oleh Nabi Saw., namun tetap jua dalam kes beliau, Nabi Saw. ada disisinya dan telah menetapkan keputusannya (taqrirnya). Dan apa-apa yang ditetapkan oleh Junjungan Mulia Nabi Saw.  itulah haqiqinya yang dipegang dan dipanuti oleh seluruh ummat Muslimin dan Mu’minin. Bulat kata Baginda, bulatlah kata seluruh ummat Muslimin dan Mu’minin, lantaran yang diikut patuhi itu adalah taqrirnya Baginda, bukannya kata sesiapa pon selain Baginda.



Tapi, mereka-mereka para perekacipta ibadah dan penokok tambah dalam syari’at yang telah lengkap sempurna ini, siapakah pula yang memberikan taqrir ??? kata-kata siapakah pula yang mereka nabikan ??? tepuklah dada, tanyalah iman.



Setakat itu yang dapat saya bantu. Benar sunggoh, malu bertanya sesat jalan.



والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.



Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.



سكيان , والسلام



eddzahir@38

tanah liat

bukit mertajam

Read more...

Wahai Saudaraku - Kita Hanya Hamba Allah

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته



Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekalian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, para Sahabatnya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.



Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.



Para sahabat jamaah yang dihormati, moga rahmat Allahu Ta’ala senantiasa mengiringi hidup kita,



Sungguh Allahu Ta’ala telah mengkhabarkan pesanan buat kita lewat Kalam Agung-Nya, Al Qur’an :

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah aku”.

Surah Adz Dzaariyat, 51 : ayat 56



Dan lewat Kalam-Nya juga, Allahu Ta’ala telah berfirman :

“Dia menciptakan manusia dari tanah kering seperti tembikar. Dan Dia menciptakan jin dari nyala api. Maka ni’mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?.

Surah Ar Rahman, 55 : ayat 14, 15 dan 16



Wahai saudaraku,

Cuba perhatikan siapa yang menciptakan langit sebagai bumbungan dan bumi sebagai hamparan? Yang menciptakan laut yang bergelombang? Yang menciptakan tetumbuhan? Yang menciptakan makanan? Yang menciptakan sekalian alam dan segala isi kandungannya. Bahkan siapakah pula yang menciptakan diri-diri kita ini? Berpasangan? Berkehidupan?



Pasti dan tentu sekali, Dia-lah Allahu Ta’ala. Dia-lah Yang Maha Kuasa, Maha Pencipta, Maha Kaya dan Maha Dermawan. Allah Subhaanahu Wa Ta’ala menciptakan tiap-tiap sesuatu kerana adanya hikmah. Sungguh manusia diciptakan tidak mungkin diciptakan sia-sia begitu saja.



Allahu Ta’ala berfirman :

“apakah kalian mengira bahawa Kami menciptakan kalian itu dengan sia-sia? Dan apakah kalian mengira bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Surah Al Mu’minun, 23 : ayat 115



Kalamullah itu jelas dan nyata, manusia tidak sekali kali diciptakan hanya sia-sia begitu sahaja, melainkan kerana ada hak dan fungsi yang perlu dijalankan. Dan akhirnya, kepada Allah jualah manusia dikembalikan.



Wahai saudaraku,

Sedarikah anda bahawa kita ini tidak lain hanyalah hamba kepada Allahu Ta’ala. Bahawa kita ini adalah saorang budak, saorang ‘abdun kepada-Nya semata. Kita inilah yang sangat memerlukan kepada ni’mat, kurnia dan rizqi Allah.



Pernahkah kita berkata : “saya tidak perlu kepada ni’mat Allah”, barang sekejap mata? Pernahkah kita berkata : “saya tidak perlu kepada nikmat Allah dan kurnia-Nya”, walaupun hanya sedetik? Sementara kurniaan-Nya : udara yang terus kita hirup, air terus kita minum, makanan terus kita hadam, setiap hari, setiap detik, setiap ketika.



Bayangkan apa jadinya jika kita tidak lagi dapat menghirup udara! Bayangkan jika Allahu Ta’ala jadikan alam kering kontang tak ada yang dapat diminum! Bayangkan apa jadinya bila Allahu Ta’ala tahan air hujan sehinggakan kita tidak dapat merasakan banyak keni’matan! Bayangkan apabila Allahu Ta’ala menghentikan buah-buahan dari tumbuh dan berkembang!



Wahai saudaraku,

Semoga Allah memuliakanmu, sedarlah bahawa kita ini adalah hamba Allah Subhaanahu Wa Ta’ala.



Tanyakan pada diri kita, apakah kita lebih suka menjadi hamba Allah atau menjadi hamba hawa nafsu? Atau kita lebih suka menjadi hamba dinar, harta, takhta atau hamba manusia? Sedangkan jelas ternyata semua itu tidak dapat memberikan sedikit pun munafaat dan mudhorat (tanpa izin Allah), tidak juga dapat memberikan pahala dan siksa (tanpa izin Allah).



Wahai saudaraku,

Kita diciptakan oleh Allah dalam bentuk yang paling sempurna. Allah Ta’ala telah menegaskan lewat Kalam-Nya :

“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya bagus”

Surah At Tiin, 95 : ayat 4



Akan tetapi, pada ketika kita lupa bahawa kita adalah hamba, bahawa kita adalah makhluq yang diciptakan oleh Allah Ta’ala untuk tunduk patuh menyembah-Nya, maka kita ciptaan yang mulia ini, menjadi amat rendah darjat martabatnya. Oleh kerana itu, setelahnya Allahu Ta’ala selanjutnya berfirman :



“kemudian Kami kembali dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka)”

Surah At Tiin, 95 : ayat 5



Akibat dari apa semua ini? Tidak lain akibat kita tidak sedar, lupa malah melalaikan bahawa kita adalah hamba Allah Subhaanahu Wa Ta’ala semata.



Wahai saudaraku, semoga Allah memuliakanmu.



Betapa kita harus menyedari bahawa kita adalah hamba Allah yang telah diberikan berbagai macam nikmat. Tidak ada yang dapat disombongkan dari kita. Kita serba lemah. Harta yang kita miliki, kedudukan yang kita tempati, ketampanan yang kita miliki, semuanya diberikan oleh Allah. Jadi untuk apa kita sombong? Malah semua itu suatu tanggungan dan pertanggungjawaban, akan di soal oleh Allah kelak.



Allah Rabbul Izzati wal Jalalah, menyebut hamba-hamba-Nya dengan pemuliaan. Allahu Ta’ala berfirman :

“dan hamba-hamba Ar Rahman yang itu adalah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan”

Surah Al Furqan, 25 : ayat 63



Di sini, Allahu Ta’ala menisbatkan “hamba-hamba” dengan “Ar Rahman” yang menunjukkan pemuliaan. Justeru, kita tidak seharusnya ingin menjadi hamba harta, hamba kedudukan, hamba dunia.



Sabda Rasulullah Saw. : “celaka hambanya dinar, celaka hambanya dirham, celaka hambanya khamisah (sejenis baju)” Riwayat Al Bukhori)

Subhaanallah, tentu sekali kita tidak ingin, kita yang asal diciptakan sebagai hamba yang serba mulia ini, kemudian kita menjadi rendah harga kerana menghambakan diri-diri kita kepada makhluq.



Wahai suadaraku,

Kita hamba Allah, dan kita bangga dengan penghambaan kita kepada Allah, lantaran menghambakan diri kepada Allah adalah kemuliaan yang tiada taranya dengan apa pon. Kerana Allah-lah yang memiliki kemuliaan. Oleh kerana itu, Rasulullah Saw. ada bersabda : “perbanyaklah mengucapkan ‘yaa dzal jalaali wal ikram”

Riwayat at Tirmidzi (sohih)



Pasti sekali kita ingin mendapatkan keagungan, juga pasti sekali kita ingin mendapatkan kemuliaan, Maka ingatlah, keagungan dan kemuliaan itu milik Allah. Siapa yang memuliakan Allah, pasti Allah jadikan dia mulia di kalangan manusia. Siapa yang mengagungkan Allah, tentu Allah jadikan dia agung di hadapan manusia.



Lihatlah para Nabi, mereka agung dan mulia di mata manusia, kerana mereka memuliakan dan mengagungkan Allah. Lihatlah para Malaikat, mereka mulia di mata manusia. Lalu, siapa diantara kita yang tidak ingin disebut “kamu bagaikan malaikat!”. Saya yaqin kalau ada orang yang disebut “kamu bagaikan malaikat” dia akan tersanjung, dan berbunga bunga hatinya. Kerana dia tahu bahawa Malaikat adalah makhluq yang senantiasa taat kepada Allah Subhaanahu Wa Ta’ala.



Seballiknya, bagaimana jika kita dikatakan “kamu seperti iblis”, pastinya kita akan marah. Kenapa? Lantaran iblis dikenal sebagai puncak ma’siyat kepada Allah. Demikian jugalah orang-orang yang berma’siyat kepada Allah, yang tidak sedar bahawa dirinya adalah hamba. Yang dia pon sombong dari menjalankan perintah-perintah Allah. Maka Allah jadikan dia hina di hadapan manusia, Allah jadikan dia hina di hadapan seluruh makhluq.



Mana yang lebih kita sukai? Nanti pada hari qiyamat kita berkumpul dengan para Nabi dan orang-orang solih? Atau berkumpul dengan Fir’aun, Qarun dan Haman? Tentu kita  akan berkata “saya ingin berkumpul dengan para Nabi”. Kenapa? Justeru kerana mereka orang-orang yang mentaati Allah, mengagungkan Allah dan memuliakan Allah.



Wahai saudaraku,

Apabila kita sebagai seorang hamba ingin mencari kemuliaan, muliakanlah Allah. Apabila kita sebagai seorang hamba ingin mencari keagungan, agungkanlah Allah. Kerana Allah-lah yang memiliki kemuliaan dan keagungan.



Sedarilah bahawa diri kita adalah seorang hamba. Makanya disebutkan dalam sebuah atsar, “semoga Allah merahmati seorang hamba, yang menyadari siapa dirinya”. Kita harus tahu diri, bahawa kita ini hamba Allah, diciptakan oleh Allah, diberi segala keni’matan oleh Allah, berarti tugas kita adalah bersyukur kepada Allah dan menyedari bahawa kita akan kembali kepada Allah. Kemudian pada hari itu, kita akan ditanya oleh Allah tentang amal perbuatan kita.



Kita diciptakan oleh Allah untuk tujuan yang agung yaitu ibadah. Maka mintalah pertolongan dari Allah agar kita dibantu memperbaiki ibadah kita kepada Allah. Makanya Rasulullah Saw. berdoa :

“Allahumma a’inni ‘ala zikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatika”

“Ya Allah! bantulah aku agar senantiasa berzikir kepada-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperbaiki ibadahku kepada-Mu”

Riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban (sohih)



Rasulullah Saw. merasa bangga dengan dirinya sebagai hamba. Baginda bersabda : “Sesungguhnya aku ini adalah hamba. Maka katakanlah tentangku: hamba Allah dan Rasul-Nya” Riwayat Al Bukhori

Lihatlah, Rasulullah Saw. manusia agung, ma’sum dan mulia mengatakan : “aku ini adalah hamba”. Manusia yang paling tinggi darjatnya di sisi Allahu Ta’ala ini, ternyata dia tidak malu untuk menyatakan : “aku ini hamba Allah”.



Bahkan, para malaikat pun tidak merasa sombong untuk berkata bahawa mereka adalah hamba Allah. Kerana menjadi hamba Allah itu mulia. Sedangkan mereka yang mencari kedudukan duniawi dan kesedapan nafsu , mereka tidak sedar bahawa mereka sedang menghambakan diri kepada makhluq. Mereka tidak sedar bahawa mereka sedang menghambakan diri kepada harta benda. Mereka tidak sedar bahawa mereka sedang menghambakan diri kepada hawa nafsu.



Justeru, Allahu Ta’ala telah awal-awal lagi mengkhabarkan pesan-Nya :

“Sesungguhnya hawa nafsu selalu menyeret kepada keburukan”

Surah Yusuf, 12 : ayat 53



Maka saudaraku,

Sedarkan bahawa kita ini adalah hamba? Sabda Rasulullah Saw. :  “siapa yang mengucapkan : Aku redho Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan Nabi Muhammad Saw. sebagai Nabiku, maka ia wajib masuk ke dalam syurga”

Riwayat Muslim



Mulia sungguh jika kita menghambakan diri kepada Allah. Semakin kita berusaha menghambakan diri, kita akan semakin mendapatkan kesempurnaan di sisi-Nya.



Semoga peringatan yang sedikit ini mengingatkan diri kita, bahawa kita ini hamba, dan bahawa kewajiban kita adalah menghambakan diri kepada Allah dengan merealisasikan semua ibadah hanya kepada-Nya. Doa kita hanya kepada Allah, tawakkal kita hanya kepada Allah, harap kita kepada Allah, cinta dan benci kita kerana Allah, dan semua ibadah kita hanya kepada Allah semata. Allahu Ta’ala berfirman :



“Katakanlah, sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Rabbul ‘alamin”

Surah Al An’aam, 6 : ayat 162



Subhaanallah, itulah mereka hamba-hamba yang mulia. Maka jadikanlah kita mulia dengan menghambakan diri kepada Allah.




Read more...

Selasa, 7 Mac 2017

Wahai Hati: Kemana Hilangnya Rasa Takut Kepada Allah.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekalian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Para sahabat jamaah yang dikasihi, pilihlah jalan kebaikan agar redho Allahu Ta’ala senantiasa mengiringi hidup kita.

Muqaddimah

Saudaraku para sahabat jamaah yang dikasihi, semoga senantiasa dalam rahmat Allahu Ta’ala.

Dimulakan nukilan kali ini dengan pertanyaan : pernahkah kita merasa begitu mudahnya kita melanggar aturan Rabb kita? Begitu mudahnya hati kita-kita ini merasa enteng atas ma’siyat yang kita lakukan. “Takpelah ! Allah kan Maha Pengampun. Begitulah rasa nurani kita untuk terus merasa aman dalam kedurhakaan. Berfikir bahawa kesempatan bertaubat masih ada, masih lama, sedangkan haqiqinya pintu neraka semakin terbuka. Hati tetap merasa tenteram, padahal kain kafan kita sedang dianyam.

Saudaraku sahabat jamaah yang dikasihi, semua itu tiada lain, kerana sedikitnya rasa takut kita kepada Allahu Ta`ala……

Allahu Ta’ala berfirman :
"Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! Dan hendaklah (tiap-tiap) orang memerhatikan apa yang diusahakan besok (hari qiyamat). Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan."
Surah Al Hasyr : ayat 18

Keagungan Amalan Hati

Rasa takut kepada Allahu Ta’ala merupakan salah satu bentuk amalan hati seorang hamba kepada Rabb-nya. Adalah suatu hal yang amat menyedihkan dan pantas menjadi renungan bagi kita, bahawa masih begitu banyak dari kita yang memberi perhatian besar terhadap amalan-amalan dzahir (amalan lahiriah), tetapi ternyata amat lalai dari amalan hati.

Padahal, amalan hati adalah penentu bagi amalan dzahir. Diterima-tidaknya amal dan besar-kecilnya pahala yang kita peroleh dari amalan dzahir sangat ditentukan oleh amalan hati.

Rasulullah Saw. bersabda : 
“…….. Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging. Jika ia baik, seluruh tubuh baik. Jika ia rosak, seluruh tubuh juga rosak. Ketahuilah (segumpal daging) itu ialah hati..”
Hadits riwayat imam Muslim rhm.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rhm. menjelaskan :
”Sesungguhnya amalan-amalan dzahir (lahiriah) menjadi besar atau kecil nilainya tergantung apa yang ada di dalam hati, dan apa yang ada di hati bertingkat-tingkat. Tidak ada yang mengetahui tingkatan – tingkatan keimanan dalam hati manusia kecuali Allahu Ta`ala”
Kitab Minhaajus Sunnah, Jilid 6 hal. 137

Allahu Ta`ala pun mengangkat darjat para sahabat radhiyallahu `anhum dengan sebab amalan-amalan hati mereka. Amalan dzahir mereka yang luar biasa memang dapat diikut oleh generasi setelahnya. Akan tetapi, Allahu Ta’ala tetap jadikan mereka golongan amat istimewa, kerana orang-orang yang datang setelah para sahabat tidak akan mampu menyamai amalan hati dan keimanan mereka.

Imam Abu Bakar bin `Ayyaasy rhm. (seorang ulama generasi tabi`in) ada mengatakan : ”Tidaklah Abu Bakar mengungguli para sahabat yang lain dengan banyaknya solat dan puasa, tetapi kerana sesuatu yang terpateri kukuh di dalam hatinya.”
Kitab Miftah Daris Sa`adah, Jilid 1 hal. 82

Rasa Takut kepada Allah, Sifat Saorang yang Bertaqwa

Rasa takut kepada Allahu Ta’ala adalah sifat saorang yang bertaqwa. Bahkan, hal tersebut merupakan bukti keimanan mereka kepada Allahu Ta`ala. Allah telah sifati hamba-hambanya yang mulia, yaitu para Nabi `alaihimussolatu wassalam, sebagai orang-orang yang senantiasa berdoa dengan rasa harap dan takut.

Kemudian Allahu Ta`ala berfirman : “Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdu’a kepada Kami dengan harap dan takut. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami”
Surah Al  Anbiyaa’ : ayat 90

Semakin Berilmu, Semakin Takut Kepada-Nya

Allahu Ta`ala berfirman : 
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah para ulama
Surah Al Fathir : ayat 28

Syaikh Dr. `Abdul `Aziz bin Muhammad As-Sadhan hafizhahullah mengatakan :
”(Di dalam ayat ini) Allahu Ta’ala mengkhususkan dan menyifati para ulama dengan rasa takut kepada-Nya, kerana mereka adalah orang yang paling mengenal Allah. Semakin besar pengenalan seorang hamba kepada Rabb-nya, semakin besar raja’ (rasa harap) dan khauf (rasa takut) dia kepada Allah.
Kitab Ma`alim Fi Thariq Thalabi al-`ilmi, hal. 13

Rasa takut kepada Allahu Ta’ala muncul dari sikap ma`rifatullah (mengenal Allah) yang mendalam. Sesaorang yang berani berma’siyat kepada Allah, tidak lain disebabkan oleh minimumnya rasa takut kepada Allah dalam dirinya, dan hal tersebut tidak lain disebabkan oleh kurangnya ilmu syari’at dan ma’rifatullah.

Menumbuhkan Rasa Takut Kepada Allahu Ta’ala

Selanjutnya, bagaimanakah cara menumbuhkan rasa takut kepada Allah? Diantara caranya adalah :

1. Menempuh jalan menuntut ilmu syar’i yang bersumber dari Al Quran ul Kariim dan hadits-hadits Nabi Saw. yang sohih

Inilah jalan yang paling tepat dan haq, agar kita boleh menjadi hamba Allah yang hanya takut kepada-Nya. Allahu Ta`ala ada berfirman : 
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah para ulama
Surah Al Fathir : ayat 28

Syaikh `Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di rhm. berkata :
”Semakin sesaorang berilmu tentang Allahu Ta`ala, semakin besar juga rasa takutnya kepada Allah. Rasa takutnya kepada Allah tersebut membuatnya meninggalkan perbuatan ma’siyat dan mempersiapkan diri untuk bertemu dengan Dzat yang dia takuti.

Ayat ini sebagai dalil tentang keutamaan ilmu, kerana ilmu akan menumbuhkan rasa takut kepada Allah. Orang-orang yang takut kepada Allah adalah orang-orang yang mendapat kemuliaan-Nya, sepertimana firman Allahu Ta`ala :

’Balasan mereka di sisi Rabb mereka ialah syurga Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redho terhadap mereka dan mereka pun redho kepada-Nya. Hal itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Rabbnya.’ (Surah Al Bayyinah : ayat 8)
Taisir al-Karimir Rahman, hal. 656

Imam Al-Hafidz Ibnu Katsir rhm. mengatakan : ”Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah dengan sebenar-benar rasa takut, hanyalah para ulama yang memiliki pengetahuan tentang Allah (ma’rifatullah). Hal ini disebabkan semakin bertambah pengenalan seseorang terhadap Dzat Yang Maha Agung, Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Berilmu, Yang memiliki sifat yang Maha Sempurna disertai Asma’ ul Husna, maka akan semakin bertambah dan sempurna pengetahuan sesaorang kepada Rabb-nya. Dengan demikian, ketakutannya kepada Allah akan semakin bertambah dan menguat.
Tafsiirul Qur’anul `Adzim, Jilid 3 hal. 697

2. Mengingati Bahawa Adzab Allahu Ta’ala Sangatlah Pedih

Allahu Ta`ala berfirman :
“hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih”
Surah An Nur : ayat 63

Dan ingatlah juga, bahawa seringan-ringan siksaan di neraka kelak adalah sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah Saw. haditsnya :
“Sesungguhnya penduduk neraka yang paling ringan siksanya ialah orang yang mengenakan dua sandal dari neraka lalu mendidih otaknya kerana sangat mencekam panas dua sandalnya.”
Hadits riwayat imam Muslim rhm.

Pedihnya adzab Allahu Ta’ala, sampai-sampai disebutkan dalam Al-Qur’an bahawa syaithan turut berkata :
“Sesungguhnya aku takut kepada Allah. Dan Allah sangat keras siksa-Nya”
Surah Al Anfal : ayat 48

Mereka yang Takut Kepada Allahu Ta’ala

Dari Al-Qaasim bin Muhammad rhm. da menceritakan :
”Suatu ketika kami pernah melakukan suatu perjalanan bersama Ibnul Mubarak. Seringkali terlintas dalam benakku (tentang kemasyhuran Ibnul Mubarak) hingga aku berkata pada diriku sendiri : Apakah gerangan yang membuat laki-laki ini lebih utama dibandingkan kami sehingga dia begitu terkenal di khalayak banyak? Jika dia solat, kami pon melakukan solat. Jika dia berpuasa, kami pon berpuasa. Jika dia berjihad, kami pon berjihad.”

Al-Qaasim rhm. pon melanjutkan bicara : “Dalam suatu perjalanan kami kemudian, ketika kami sampai di negeri Syam pada suatu malam. Kami sedang makan malam di sebuah rumah. Tiba-tiba lampu padam. Maka saorang diantara kami pon bangkit untuk mengambil lampu. [keluar untuk beberapa saat untuk menyalakan lampu, kemudian datang membawa lampu yang telah menyala].

(Setelah terang) aku melihat wajah dan janggut Ibnul Mubarak telah basah kerana air mata. Maka aku berujar pada diriku sendiri : “Dengan rasa takut inilah laki-laki ini lebih utama dibandingkan dengan kami. Mungkin tadi ketika lampu padam, dan keadaan menjadi gsahabat jamaah gelap gulita, beliau teringat akan hari qiyamat.”
Kitab Ayna Nahnu min Akhlaq us-Salaf, hal. 18-19

Para sahabat jamaah yang dirahmati oleh Allahu Ta’ala, demikianlah huraian singkat yang dapat saya nukilkan, yang semoga dengannya membuat kita tahu dan tersedar untuk menumbuhkan rasa takut kepada Allahu Ta’ala di dalam hati kita, sehingga menjaga kita dari melakukan perbuatan ma’siyat.

Sebagaimana yang dikatakan Sa’id bin Jubair rhm. : “Sesungguhnya rasa takut yang sejati itu adalah kamu takut kepada Allahu Ta’ala sehingga menghalangi dirimu dari berbuat ma’siyat kepada-Nya.”
Kitab Sittu Durar min Usul Ahli al-Atsar, hal. 31

Akhiirul Kalam

Benar, kita manusia tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan, justeru tiada lain, kita sangat perlu mengharap keampunan (maghfirah) daripada Ilahi. Harapan ini akan memberi dorongan yang berterusan untuk maju mendekatkan diri kepada Allahu Ta’ala, kerana percaya bahawa Allahu Ta’ala akan menyambut setiap langkah pendekatan hamba-Nya sebagaimana yang dinyatakan di dalam khabar rabbani ini :

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda pahala, bahkan mungkin lebih. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dibalas dengan satu dosa, bahkan mungkin diampuni. Dan sesiapa yang menghampiri~Ku (Allah) sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. Sesiapa yang datang kepada~Ku berjalan, maka Aku akan berlari kepadanya. Sesiapa yang menghadap kepada~Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, sedangkan dia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pon, nescaya Aku akan menemuinya dengan keampunan sebesar itu pula.”
Hadits riwayat imam Muslim rhm.

Demikian yang dapat saya nukilkan kali ini, semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang yang paling bertaqwa, menghiasi hidup seharian dengan rasa takut kepada Allahu Ta’ala, dan agar kita tergolong bersama orang-orang yang mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat nanti.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38, tanah liat
bukit mertajam


Read more...

ZIKIR : Ikutilah Yang Sohih Dan Bukannya Rekaciptaan.

0 ulasan
On Monday, September 05, 2016 16:44 PM, wrote

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya nak tanya apa cerita sebenarnya, 2 malam lepas, seorang ustaz datang ceramah di masjid, dia ajarkan :

1.    Beberapa lafaz zikir yang dia kata diijazahkan kepadanya oleh gurunya, yang didapati menerusi mimpi bertemu wali Allah.
2.    Kami diminta menyebut dengan mengikut beliau, kemudian disebutkan yang zikir-zikir itu telah diijazahkan kepada kami untuk diamalkan.
3.    Zikir itu berkah diamalkan mengikut jumlah tertentu, ada yang pagi, petang atau malam
4.    Dengan mengamalkan zikir-zikir itu ustaz itu kata, akan terhindar mala petaka, terpelihara dari sihir, terjaga dari rasukan makhluk halus, hati akan tenang, wajah akan ceria, murah rezeki, tiada musuh, orang akan tunduk kepada kita

Saya nak mohon pengesahan dari ustaz, betulkah ajaran sebegini.
Maklumbalas ustaz sangat saya hargai.

والسلام


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Saya jawab secara ringkas sahaja.

Secara lughah, zikr bermaqsud ingat
Jika disebutkan Az Zikra, ia merujuk kepada Al Qur’an sebagai Pembawa Peringatan ya’ni salah satu sifat dan peranan Kalamullah itu
Secara isthilah (syara’), maqsud zikr adalah amalan perbuatan hanya saja untuk mengingati Yang Ma’bud Allahu Ta’ala semata mengikut kaifiyat (tatacara) yang ditetapkan oleh Nabi Saw.

Mengingati Allahu Ta’ala (baca : zikr) merupakan pokok daripada rasa syukur saorang makhluq atas segala macam kurniaan oleh Rabb-nya Sang Khaliq Allahu Ta’ala. Munafaat yang besar dapat diperoleh dengan mengerjakan amalan ini. Namun, sayang sekali kebanyakan orang melupakan, melalaikannya atau pon kurang ambil berat terhadap amalan ini.

Saya benar-benar tidak tahu akan adanya fadhilat, faidah dan munafaat amalan zikr seperti yang disebutkan, biar pon memang sebegitulah yang disebutkan oleh orang banyak disana sini. Secara jelas juga mahu saya sebutkan, zikr-zikr yang Puan sebutkan itu adalah hasil rekaciptaan dan fadhilatnya juga adalah hasil rekaciptaan semata juga.

Sunggoh Nabi Saw. sebelum wafat telah pon meninggalkan segala macam lafadz dan bentuk zikr, sehingga tidak perlu lagi mencari dan beramal dengan yang direkacipta, lantaran Islam itu sudah lengkap. Lainlah kalau merasakan Islam belum lengkap lagi dan kena ditokok tambah bagi lebih melengkapkan pula. Demikianlah gamaknya yang difikirkan dan diimani oleh golongan penokok tambah dalam agama ini.

Padahal, fadhilat, faidah dan munafaat amalan zikr itu banyak sekali, sudah pon termaktub dikhabarkan oleh Allahu Ta’ala sendiri, tanpa perlu dimimpikan dan direkaciptakan lagi. Antaranya :-

1. Mendatangkan Pertolongan Allah

Allahu Ta’ala berfirman (yang artinya) : “Maka ingatlah kalian kepada-Ku, niscaya Aku pon akan mengingat kalian.”
Surah al Baqarah : ayat 152

2. Mendatangkan Ampunan Dan Pahala Yang Besar

Allahu Ta’ala berfirman (yang artinya) : “Orang-orang yang banyak berzikr kepada Allah, lelaki mahu pon perempuan, maka Allah sediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang sangat besar.”
Surah al Ahzab : ayat 35

3. Sebab Hidupnya Hati

Rasulullah Saw. telah bersabda : “Perumpamaan orang yang mengingat Rabb-nya (Allah) dengan orang yang tidak mengingat Rabb-nya, seperti perumpamaan orang yang hidup dengan orang yang sudah mati.”
Hadits riwayat imam Bukhori rhm.

4. Mendatangkan Ketenteraman Jiwa

Allahu Ta’ala berfirman (yang artinya) : “Ingatlah, dengan mengingat Allah maka hati akan menjadi tenteram.”.
Surah ar Ra’d : ayat 28

5. Jauh Dari Perangkap Syaithan

Allahu Ta’ala berfirman (yang artinya) : “Barang siapa yang berpaling dari mengingat ar-Rahman, maka akan Kami jadikan syaithan sebagai pendamping yang selalu menemaninya.”
Surah az Zukhruf : ayat 36

6. Jalan Menuju Keikhlasan

Allahu Ta’ala berfirman (yang artinya) : “Sesunggohnya orang-orang munafiq itu berusaha mengelabui Allah, sedangkan Allah justeru mengelabui mereka. Apabila mereka berdiri untuk solat maka mereka berdiri dengan penuh kemalasan, mereka mencari-cari pujian manusia, dan mereka sama sekali tidak mengingat Allah kecuali sedikit.”
Surah an-Nisa’: ayat 142

7. Mendapat Perlindungan Allah Pada Hari Qiyamat

Rasulullah Saw. telah bersabda : “Ada tujuh golongan yang mendapatkan naungan Allah pada hari qiyamat… di antaranya adalah saorang lelaki yang mengingat Allah dalam keadaan sepi, kemudian menitislah air matanya.”
Hadits riwayat imam Bukhori dan Muslim rhm.

Demikianlah yang seqadar mampu saya catatkan. Insya’Allah! ia jauh lebih banyak lagi yang tidak termampu saya catatkan semuanya disini.

Dan yang perlu sekali diingatkan, bahawasanya zikir yang benar adalah yang dilandasi keikhlasan niyat melakukankannya ya’ni kerana Allahu Ta’ala semata, dan dikerjakan pula dengan mengikuti sunnah Nabi Saw. dan amalan para sahabat Baginda. Sesunggohnya lafadz dan kaifiyat yang sohih dari syara’ (bil ma’tsur) ini amat banyak untuk diamalkan sehingga tidak perlu lagi dimimpi-mimpikan.

Boleh saja Puan dapatkan dalam kitab Hisnul Muslim (Perisai Muslim), terkandung di dalamnya zikr-zikr yang sohih amalan Nabi Saw. untuk Puan pelajari dan amalkan. Insya’Allah, akan saya hantarkan kulit depan kitab tersebut untuk tindakan lanjut Puan. Ia boleh didapatkan dimana-mana kedai kitab.

Allahul muwaffiq. Semoga maklumbalas saya ini telah menjawab pertanyaan Puan dan telah membantu.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

eddzahir@38, tanah liat
bukit mertajam




Read more...

Khamis, 22 Disember 2016

Hanya Allah Yang Disembah : Pengagungan Quburan Perosak Aqidah Ummat

0 ulasan
حمن الرحيم بسم الله الر
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Para sahabat jamaah yang dikasihi, pilihlah jalan kebaikan agar redho Allahu Ta’ala senantiasa mengiringi hidup kita.

Hanya Allah Yang Disembah : Pengagungan Quburan Perosak Aqidah Ummat

Sunggoh Nabi Saw. dalam seluroh usia da'wah Baginda :  menyeru ummat untuk meninggalkan dan menjauhi kesyirikan. Bahkan, Baginda Saw. telah menghancurkan patung-patung berhala ketika Fathu Makkah dan mengutus para sahabat Baginda untuk menghancurkan berhala-berhala yang telah dijadikan sesembahan selain dari Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Di antara hal yang juga Baginda Saw. ingatkan untuk dijauhi oleh ummatnya adalah sifat ghuluw (berlebih-lebihan) terhadap orang solih dan mengagungkan, sujud sembah, merintih, merayu, memohon niyat di quburan mereka.

Beginilah perbuatan yang semakin berleluasa dalam kalangan ummat, sedangkan Rasulullah Saw. dengan terang jelas telah menyatakan bahawa para penyembah quburan ini, adalah orang-orang terburuk (dan terkutuk).

Ketika Ummu Salamah Rha. menceritakan perbuatan kaum Nasrani yang beliau lihat di Habasyah, Rasulullah Saw. bersabda balas :

أُولَئِكَ قَوْمٌ إِذَا مَاتَ فِيهِمُ الْعَبْدُ الصَّالِحُ أَوِ الرَّجُلُ الصَّالِحُ بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلْكَ الصُّوَرَ، أُولَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللهِ

“Mereka itu, jika ada orang solih (meninggal) di antara mereka, mereka membangun masjid di atas quburnya dan membuat gambarnya (untuk dipuja dan disembah). Mereka adalah orang-orang terjelek di sisi Allah.”
Riwayat imam Bukhori dan Muslim Rhm.

Al Allamah Asy-Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah Baaz Rhm. menerangkan :

“Maqsud ucapan Rasulullah Saw. ini adalah peringatan agar perbuatan mereka tidak sekali~kali layak diikuti. Namun, ada dari ummat ini yang terjatuh dalam perbuatan tersebut. Yang paling banyak melakukannya adalah Syiah Rafidhah yang ghuluw terhadap ahlul bait.”* 
Lihat : Syarah Kitabut Tauhid, hlm. 105

Bahkan sekarang ini, yang terjatuh ke dalam kesyirikkan ini adalah golongan sufi yang ghuluw. Mereka menuruti jejak Syi’ah dalam pengagungan terhadap qubur para manusia yang mereka sendiri tetapkan ia sebagai wali dari dalam kalangan mereka sendiri, tanpa landasan kebenaran syara’.

Dan, lima hari menjelang wafat, Baginda Saw. telah bersabda, sesuatu wasiyat yang amat penting kepada seluroh ummatnya :

أَلَا وَإِنَّ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَانُوا يَتَّخِذُونَ قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ وَصَالِحِيهِمْ مَسَاجِدَ، أَلَا فَلَا تَتَّخِذُوا الْقُبُورَ مَسَاجِدَ إِنِّي أَنْهَاكُمْ عَنْ ذَلِكَ

“Ketahuilah, orang-orang sebelum kalian telah menjadikan quburan para nabi dan orang solih sebagai masjid (ya'ni pusat pengibadahan / pengabadian kepada Allahu Ta'ala).
Ketahuilah, janganlah kalian menjadikan quburan sebagai masjid kerana aku melarang dari hal tersebut.”
Riwayat imam Muslim Rhm.

Bahkan, ketika sedang sakaratul maut, Baginda Saw. telah bersabda lagi :

لَعْنَةُ اللهِ عَلَى الْيَهُودِ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ؛ يُحَذِّرُ مَا صَنَعُوا

“La'nat Allah atas Yahudi dan Nasrani kerana mereka telah menjadikan qubur nabi-nabi mereka sebagai masjid. Baginda memperingatkan (agar jangan sampai mengikut) perbuatan mereka….”*
Riwayat imam Bukhori dan Muslim Rhm.

Justeru, hanya Allahu Ta'ala lah satu~satunya Dzat Yang Berhak Disembah dan tiada suatu apa pon lagi yang ada hak sebegitu selain dari~Nya. Dan Allahu Ta'ala telah menegaskan lewat Kalam~Nya :

.... ولم يكن له كفوا احد

Pengibadahan, pengabadian juga kepercayaan bahawa adanya sesuatu selain~Nya yang boleh memberi munafaat dan/atau mudhorat, jelas sekali suatu kesyirikan. Dan kesyirikan itu benar-benar telah diperlakukan dengan menyembah dan memuja quburan, bertawassul, isti’anah dan istighotsah kepada mayyit, juga dengan meyaqini bahawa mayyit boleh mendatangkan mudhorat atau munafaat.

Semoga semua kita terhindar dari segala macam syirik akbar ini.

Wa sollallahu wa salaamu ‘alaa Nabiyyinaa Muhammad

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38 tanah liat
bukit mertajam


Read more...