Khamis, 21 Mei 2015
Sifat Takbiratul ihram Nabi SAW
On Tuesday, November 25, 2014 1:53 AM,
Ernest Ibrahim wrote :
Salaamun’alaik syeh
Lama dah nak tanya ni, dok
tangguh-tangguh pon lama. Macam mana takbiratul ihram yang betoi. La ni ada
macam-macam. Ada yang telungkop telinga, ibu jari kena cuping, lelaki tak sama
wanita, ada yang baca doa panjang-panjang sebelum angkat tangan, ada yang
berkali-kali (tak menjadi la kut), ada yang laju semacam (tak ketahuan tangan
di mana), ada yang angkat punya lama,
Ada pelik sikit, apa semua ini nak
dikata betoi ka. Kalau semua betoi, betapa banyak cara Nabi Saw. tunjukkan cara
takbir? Ada Nabi bagi tahu ka beza takbir antara lelaki dengan wanita? kalau
tak betoi, apa pulak yang betoi?
Dok tanya nih pasal nak dapat yang
betoi, yang tak betoi tak payah la dok cerita, banyak dah pon dok ada, segala
macam jenis lagi.
Wassalam, macam tu lah
pertanyaannya, jangan tak jawab syeh, lama pon takpa. Ambil masa slow-slow pon
ok ja.
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله
و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من
لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Dari Mutharrif bin Abdullah Rhu.,dia berkata
: Aku dan Imran bin Husein solat di belakang Ali bin Abi Tholib. Saat sujud
beliau bertakbir. Saat mengangkat kepalanya beliau bertakbir. Saat bangun dari
dua rakaat beliau bertakbir. Selesai solat Imran memegang tanganku dan berkata
: Sesungguhnya Ali telah mengimami solat kita dengan solat sepertimana solat
Muhammad Saw. atau katanya : Sesungguhnya Ali telah mengingatkan aku dengan
solat Muhammad Saw.
Riwayat imam Muslim Rhm. No. 594
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita
seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang
mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan
dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.
Syukron syeh kerana bertanya. Harap
maaf Tuan, lambat balas, ada urusan yang perlu didahulukan. Tiap kali Tuan
bertanya saja, buat saya susah hati, tak boleh nak elak melainkan kena jawab
juga. Apa pun, tradisi soalan yang pelik-pelik tu masih kekal, hak nih memang sempoi.
Saya tuliskan secara ringkas sahaja,
ada kekangan masa.
Takbiratul ihram merupakan takbir
yang pertama kali disebut / dibaca diikuti perbuatan mengangkat tangan ketika
solat, ia sebagai pembuka / pemula amaliyah solat.
Disebutkan takbiratul ihram yang artinya : takbir yang
mengharamkan, kerana takbir ini menjadi batas diharamkan melakukan hal-hal lain yang tidak berkaitan dengan solat
(perlakuan/perbuatan bukan solat).
Berikut perincian (kaifiyat) tata cara
takbiratul ihram yang disimpulkan dari Al Quran dan As Sunah
yang sohih, seqadar yang saya mampu.
1. Takbiratul Ihram merupakan rukun
solat. Wajib dilakukan baik menjadi imam, makmum, mahu pun ketika solat sendirian.
Nabi Saw. bersabda :
مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ،
وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ
“Kunci solat
adalah bersuci, memulainya dengan takbir, dan mengakhirinya dengan salam.”
Hadits riwayat imam Abu Daud Rhm.
dan imam Thurmidzie Rhm. disohihkan oleh Syaikh Al Albani Rhm.
Nota : tanpa memperbuat takbiratul
ihram, solat tidak sah.
2. Yang dimaqsud takbiratul ihram itu
adalah ucapan / lafadz : Allaahu Akbar…, diikuti mengangkat tangan, bukan mengangkat tangan sahaja ketika
takbir. Sementara mengangkat tangan ketika takbiratul ihram itu hukumnya
dianjurkan dan tidak wajib.
Imam Muhammad Ibnu Utsaimin Rhm. mengatakan
:
رفع اليدين عند تكبيرة الإحرام، وعند
الركوع، وعند الرفع منه، وعند القيام من التشهد الأول سنة
“Mengangkat tangan ketika takbiratul
ihram, ketika rukuk, ketika i’tidal, dan ketika bangkit ke rakaat ketiga dari
tasyahud awal, hukumnya sunnah.”
Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin, jilid
13
Nota : berdasarkan keterangan di
atas, yang menjadi rukun adalah mengucapkan / melafadzkan Allahu Akbar manakala
perbuatan mengangkat tangan adalah sunnah. Tanpa lafadz Allahu Akbar itu solat
tidak sah.
Namun harus diingat, mengangkat
tangan itu adalah sunnah amaliyah Nabi Saw. semasa bertakbir untuk solat, maka
tiada sebab untuk senghaja ditinggalkan kalau pun ia bukan rukun.
3. Keadaan telapak tangan ketika
takbir
a.
Telapak tangan dibentangkan secara
sempurna (terbuka, rapat dan tersusun) dan tidak menggenggam
b. Jari-jari telapak tangan tidak
terlalu lebar dan tidak terlalu rapat (sederhana)
Dari Abu Hurairah Rhu. dia
menceritakan :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ فِي الصَّلَاةِ رَفَعَ يَدَيْهِ مَدًّا
”Rasulullah
Saw. ketika memulai solat, Baginda mengangkat kedua tangannya dengan
dibentangkan.”
Hadits riwayat imam Abu Daud Rhm.
dan imam Thurmidzie Rhm. disohihkan oleh Syaikh Al Albani Rhm.
c. Telapak tangan dihadapkan ke qiblat
dan diangkat setinggi pundak (bahu) atau bawah telinga (atau diantara keduanya)
Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. beliau
menceritakan :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ إِذَا افْتَتَحَ
الصَّلاَةَ
“Bahawa Rasulullah Saw. mengangkat
kedua tangannya setinggi pundak, ketika memulai solat.”
Hadits riwayat imam Bukhari Rhm. (735)
dan imam Muslim Rhm. (390).
Dari Malik bin al-Huwairits Rhu. dia
menceritakan :
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ إِذَا كَبَّرَ، وَإِذَا رَكَعَ،
وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ حَتَّى بَلَغَتَا فُرُوعَ أُذُنَيْهِ
“Saya melihat Rasulullah Saw. mengangkat
kedua tangannya ketika takbiratul ihram, ketika rukuk, ketika i’tidal, hingga
setinggi daun telinga.”
Hadits riwayat imam Nasa’ie Rhm. (1024)
dan yang lainnya
4. Cara mengangkat tangan ketika
takbir ada 3:
a. Mengangkat tangan sampai pundak
lalu membaca / melafadzkan takbir
Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. beliau
menceritakan :
كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا قام إلى الصلاة؛ رفع يديه حتى تكونا حذو منكبيه، ثم كبَّر
“Apabila Rasulullah Saw. memulai solat,
Baginda mengangkat kedua tangannya hingga setinggi pundak, kemudian Baginda bertakbir”
Hadits riwayat imam Muslim Rhm. (390)
b. Mengangkat tangan lalu sedekap
bersamaan dengan takbir
Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. beliau
menceritakan :
رأيت النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ افتتح التكبير في الصلاة، فرفع يديه حين يكبر
”Saya melihat Nabi Saw. memulai
takbiratul ihram ketika solat, Baginda mengangkat kedua tangannya ketika
takbir”
Hadits riwayat imam Bukhari Rhm. (738)
c. Membaca takbir, lalu mengangkat
tangan
Dari Malik bin al-Huwairits Rhu. dia
menceritakan :
كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا كبر؛ رفع يديه
”Rasulullah Saw. ketika usai (siap) takbir,
Baginda mengangkat tangan”
Hadits riwayat imam Muslim Rhm.
(391)
5. Takbiratul ihram wajib dilakukan
dalam keadaan posisi tubuh berdiri tegak sempurna, menghadap qiblat dan tidak boleh
ada dalam kondisi yang berbeza dari itu.
Nota : kerana syarat sah-nya
takbiratul ihram adalah wajib dilakukan sambil berdiri bagi yang mampu.
Melakukan dengan cara selain dari itu, menjadikan solat tidak sah.
6. Takbiratul ihram tidak pernah ada
disyaratkan harus diseiringkan dengan niyat solat.
Menggabungkan dua hal ini adalah
mustahil. Kerana anggapan inilah, banyak orang yang ditimpa penyakit was-was
ketika takbir, sehingga lafadz / perbuatan takbirnya dilakukan berulang-ulang
kali.
Imam Al-Kasani Rhm. mengatakan :
إن تقديم النية على التحريمة جائز
عندنا إذا لم يوجد بينهما عمل يقطع أحدهما عن الآخر
“Boleh mendahulukan niyat dari pada
takbiratul ihram menurut madzhab kami (Hanafi),
tidak ada kegiatan apa pun yang menyelai (serentak) antara niyat dan
takbiratul ihram.” Kitab Badai As Sonai, jilid 1 hal. 329
Imam Ibnu Qudamah Rhm. juga
menegaskan :
قال أصحابنا: يجوز تقديم النية على
التكبير بالزمن اليسير
“Para ulama madzhab kami (Hambali)
mengatakan : Boleh mendahulukan niyat sebelum takbiratul ihram, selama tempohnya
tidak lama.”
Kitab Al Mughni, jilid 1 hal. 339
7. Takbiratul ihram hanya dilakukan
sekali dan tidak perlu diulang-ulang kali, yang ini umumnya terjadi kerana
was-was dan tanpa ilmu.
8. Imam wajib menyebut / melafadzkan
dengan kuat, manakala makmum dan yang solat sendirian, takbirnya dibaca perlahan,
hanya
terdengar pada dirinya sendiri.
Setakat
ini yang termampu saya nukilkan. Insya”Allah boleh didapatkan lebih baik lagi
pengetahuan dari pihak-pihak yang lebih faqih lagi.
Syukron
jaazilan kepada Al Fadhil Ustadz Ammi Nur Baits Hfzh., anggota dari Dewan
Pembina KonsultasiSyariah.com
yang telah menyediakan kerangka tulisan asas.
والله تعالى أعلم , وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه
أجمعين.
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang
tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
Nota : Tiada perbezaan diantara takbiratul ihram lelaki dan perempuan.
سكيان , والسلام
Sifat Amalan Tahiyat Nabi S.A.W (siri 2)
On Friday, August 30, 2013 6:32 PM,
Abdul Razzaq Muhammad wrote :
Assalaam. sheikh.
Ada seorang kawan tanya sama ana
soalan ni. Dia kata, dia ada menyaksi satu kes kat surau tempat dia tinggal.
Dia mahukan kepastian dan pemahaman.
Ada beberapa jamaah mengerakkan lama-lama
jari telunjuk semasa tahiyat, dan dihukum orang sebagai batal solatnya kerana
bergerak lebih dari 3 kali. Ada ustaz datang bagi kuliah, seorang kata salah
perbuatan itu dan seorang lagi kata tiada masalah dengannya dan dikatakan ada
dalil pulak. Dah ramai yang pening apa sebenarnya hukum ini.
Nak pohon apa pandangan dan panduan
dari tuan sheikh?
Wassalam
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله
و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من
لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
"Dia-lah
yang mengutus kepada qaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang
membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan
kepada mereka Al Kitab (Al Qur’an) dan Al Hikmah (As-Sunnah). Dan sesungguhnya
mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata."
Surah Al Jumu'ah : ayat 2
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita
seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang
mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan
dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.
sambungan / (dari siri 1)……………..
Betapa para alim yang cetak fikirannya
dalam menilai sesuatu perkara, ya’ni, apabila dia memilih/menerima salah satu
cara sahaja seterusnya mendha’ifkan dan menghukum bid’ah dholalah (sesat) pula
cara yang lain. Walhal amat jelas tiada apa pun yang bercanggah dengan hadis
yang menyebutkan isyarat (angkat jari) sahaja dengan menggerak-gerakkan jari (tahrik)
lantaran kedua-duanya sahih.
Justeru itu, bagi menerangkan perkara
ini, Nabi S.a.w kadang-kadang Yuharrik
(menggerak-gerakkan jari telunjuk) dan kadang-kadang La Yuharriku (tidak
menggerakkan, hanya memberi isyarat sahaja). Malah ini menunjukkan bahawa
menggerakkan atau tidak menggerakkan itu bukanlah wajib dan sentiasa ada
keluasan padanya (ya’ni perkara ikhtilaf, yang sentiasa boleh dipilih salah
satu untuk diperlakukan), sehingga tidaklah layak sama sekali hal ini menjadi
sebab untuk saling membid’ahkan dan mengkafirkan.
Baik sekali disebutkan kepada semua
jamaah dan diri saya sendiri :
1.
Secara
perkataan Nabi Saw. menyatakan perihal binatang aqiqah : 1 untuk perempuan dan
2 untuk lelaki. Tetapi dalam perbuatan terhadap cucunya Hassan dan Hussin Rhu.
Baginda sembelih 1 sahaja tiap-tiap seorang.
2.
Kaifiyat
tayamum : Baginda ada lakukan muka dahulu dan ada Baginda mulakan telapak
tangan hingga pergelangan tangan dahulu
3.
Bab
menyentuh kemaluan : ada Baginda sebutkan “ia hanya sebahagian dari anggota
badan” bermaqsud tidak perlu berwudhuk semula dan ada Baginda sebutkan
“berwudhuklah”.
Semua hadis ini adalah sahih dan
matannya nampak jelas bersilang maqsud. Dan sesiapa yang lebih cenderung/suka
kepada salah satu amalan, tiada hak sama sekali untuk menghukumkan haram,
sesat, bid’ah atau kafir kepada amalan yang lagi satu. Ingatlah sekuatnya
bahawa apa-apa yang telah diluaskan oleh Nabi Saw. sehingga wafatnya, tiada sesiapa
pun berhak menyempitkannya.
Sekiranya ada, apa-apa jua ketetapan
mahu pun keputusan yang bertentangan dengan keputusan Nabi Saw, maka kalamnya
itu malah dia itu sendiri pun adalah bathil dan wajib ditolak, lantaran yang
boleh membathalkan kalam Nabi Saw. adalah Baginda sendiri, dan tak pernah ada
mana manusia pun diberi hak/kuasa setaraf Nabi Saw.
Banyak juga dilihat cara-cara lain
dari cara yang dinyatakan ini, namun tidak pernah saya ketemui sebarang
keterangan yang sahih dan qot’ie ke atasnya, melainkan mendengar cerita-ceriti
dan pengkisahan begitu-begini dari bermacam ragam orang dan sumber, tetapi
tidak dapat satu pun memberikan dasar kepada hukum itu apabila diminta. Ramai
yang mengakui ia hanyalah dari pendapat, ijtihad, pandangan atau sangkaan sahaja.
Oleh yang demikian, untuk melaksanakan
amalan tatacara solat ini, mestilah kembali kepada dasar paling asas ya’ni berdasarkan
taufiqiyah (tawaqquf) yaitu bersumberkan amalan yang sohih. soreh dan qot’ie
dari Nabi Saw. sendiri. Terhenti ia pada dalil dan nas.
Haram hukumnya mengadakan amalan dalam
solat berdasarkan teka-tekaan, pendapat, pandangan dan suka-suka sahaja
sedangkan setiap ciri/sifat amalan solat itu telah jelas dan tepat ditunjukkan lengkap
contohnya / dan diwariskan oleh Nabi Saw. kepada kita semua. Sekaligus
menafikan segala bentuk perbuatan, amalan atau pun kepercayaan bahawa amalan
ibadah khusussiyah ini boleh ditambahi/dikurangi mahu pun direkacipta oleh
manusia.
Ada
pun mengenai amalan ketika tasyahhud yang masyhur dikalangan kita ini, hanya
mengangkat jari telunjuk ketika melafadzkan إِلاَّ اللَّهُ illallah (dari kalimah
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ laa ilaaha illallah) ketika ber-syahadah. sebenarnya
amalan ini tidak pernah saya ketemui ada keterangan contohnya dari Rasulullah
Saw., para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-Tabi’in, malahan amalan ini juga
bukannya ajaran imam Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i Rhm. Inilah perkara yang sepatutnya
diperakkan dan dijakunkan, bukannya apa yang tsabit dari hadis sahihah.
Imam
Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i Rhm. sendiri di dalam kitabnya agungnya Al-Umm
berpendirian sama dengan jari telunjuk diangkat secara terus-menerus dari awal
hingga akhir tahiyat, ya’ni pendirian yang jelas amat selaras dengan salah satu
hadis yang telah dikemukakan di atas. Beliau Rhm. mencatatkan :
Dia menghamparkan tangannya yang kiri atas pahanya yang kiri. Dia menggenggam anak jari tangannya yang kanan atas pahanya yang kanan, selain telunjuk dan ibu jari. Dan dia menunjukkan (mengisyaratkan) dengan telunjuk.
Naqalan
dari Kitab Al-Umm (Kitab Induk), jilid 1, halaman 277
Imam yang mulia Asy-Syafi’i Rhm. juga membawakan hadis riwayat dari Ibnu Umar Rhu. sebagai sandaran dan pegangan, lalu beliau berkata :
Adalah Nabi S.a.w apabila beliau duduk dalam solat (ketika tahiyat – pen), beliau meletakkan telapak tangannya yang kanan atas pahanya yang kanan. Beliau menggenggam seluruh anak jarinya dan beliau mengisyaratkan dengan anak jarinya yang mengiringi ibu jari (jari telunjuk maqsudnya). Dan beliau meletakkan telapak tangannya yang kiri di atas pahanya yang kiri.
Naqalan
dari Kitab Al-Umm (Kitab Induk), jilid 1, halaman 277
Demikianlah
pendirian sebenar Imam Syafie Rhm. dalam hal ini. Para fuqaha’ Syafi’iyyah
terawal seperti al-Baihaqi, al-Mawarzi
dan al-Mawardi Rhm. berpegang dengan pendirian ini. Malah imam al-Mawardi (Lahir
di Basrah pada tahun 364H) menyatakan dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir Syarah
Mukhtasar al-Muzani (jld. 2, ms. 132-133) bahawa fuqaha’ Syafi’iyyah pada
zamannya mengamalkan kedua-dua pendapat iaitu :
1.
Mengangkat
dan menggerak-gerakkan jari telunjuk dari awal sehingga salam, atau.
2.
Mengangkat
jari telunjuk tapi tidak menggerakkannya secara terus dari awal sehingga salam.
Tidak
ada pendapat bahawa mereka mengangkat jari hanya ketika menyebut kalimah (اللَّهُ إِلاَّ)
illallah dalam tasyahhud. Dari sudut pertimbangan syara’, amalan ini tidak ada
contohnya daripada Nabi Saw, para sahabat, tabi’ tabi’in dan tabi’in. Malah ia
bukan juga dari pandangan Imam Syafi’e atau mana-mana ulama’ bermazhab Syafi’e yang
muktabar sebelum kurun 5 hijrah.
Nota
1 : Justeru duduk semasa tahiyat ini melibatkan 2 bentuk ya’ni tahiyat awal (duduk iftirash) dan tahiyat akhir (duduk tawarruk), baik sekali saya
nyatakan hadis yang jelas menunjukkan perbezaan antara keduanya. Antaranya adalah hadis berikut :
Dari
Muhammad bin Amr bin Atha’ Rhu. menceritakan bahawa : kami pernah duduk bersama
beberapa orang dari sahabat Nabi Saw. lalu kami pun menyebutkan tentang
solatnya RasulullahSaw. Lalu berkata Abu Humaid As-Sa’idi Rhu. :
”Aku adalah orang yang paling menghafal diantara kalian tentang
solatnya Rasulullah Saw.. Aku melihatnya tatkala bertakbir, menjadikan kedua
tangannya sejajar dengan kedua pundaknya (bahu), dan jika ruku’, Baginda
menetapkan kedua tangannya pada kedua lututnya, lalu meluruskan punggungnya.
Dan jika Baginda mengangkat kepalanya , maka ia berdiri tegak hingga kembali
setiap dari tulang belakangnya ke tempatnya.
Dan jika Baginda sujud, maka Baginda meletakkan kedua tangannya
tanpa menidurkan kedua lengannya dan tidak pula melekatkannya (pada lambungnya
- rusuk), dan menghadapkan jari-jari kakinya ke arah kiblat.
Dan jika Baginda duduk pada raka’at kedua, maka Baginda duduk
diatas kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan (duduk iftirasy), dan jika Baginda duduk pada raka’at
terakhir, maka Baginda mengkedepankan kaki kirinya dan menegakkan kaki yang
lain, dan duduk diatas tempat duduknya – bukan di atas kaki kiri- (duduk tawarruk).
Hadis
sahih riwayat imam Bukhari Rhm. Kitab Al-Adzan, Bab: Sunnatul Julus Fis Solaah:
Jilid 2 halaman 828
Dari
matan semua hadis yang dinyatakan di atas, setakat yang mampu, telah ternyata
sifat dan tatacara duduk semasa tahiyat di dalam solat. Cuma yang masih belum
dinyatakan adalah bacaan-bacaan di dalamnya.
Nota 2 : Beberapa kali saya ulangi bahawa saya
tidak ketemui keterangan (dalil) yang soreh, sahih dan qot’ie ke atas sesuatu
amalan. Ini adalah kelemahan diri saya sendiri yang serba kekurangan dalam ilmu
Allah Swt. dan rasul-Nya ini. Maka sesiapa jua yang lebih baik boleh memberikan
butiran terperinci dan menampung segala kekurangan itu, sangat-sangat dihargai,
dan boleh dikongsikan dengan saya.
Setakat
ini sahaja lah yang dapat saya memberikan penjelasan dan pandangan seperti yang
Tuan minta. Dan insyaAllah, saya telah pun menggunakan segala daya upaya saya
yang termampu untuk menghasilkannya. Mudahan ia memberikan petunjuk yang jelas
terhadap tatacara sebenar sifat tahiyat Nabi Saw. untuk dijadkan amalan.
Amat
baik sekiranya Tuan dapatkan penjelasan orang lain yang lebih alim, faqih dan
hebat berbanding saya yang serba faqir ini. Saya yaqin mereka mampu memberi
penjelasan jauh lebih baik lagi.
والله تعالى أعلم
, وصلى
الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله
وأصحابه أجمعين.
Yang
benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari
saya yang amat dhaif ini.
سكيان
, والسلام
Sifat Amalan Tahiyat Nabi S.A.W (siri 1)
On Friday, August 30, 2013 6:32 PM,
Abdul Razzaq Muhammad wrote :
Assalaam. sheikh.
Ada seorang kawan tanya sama ana
soalan ni. Dia kata, dia ada menyaksi satu kes kat surau tempat dia tinggal.
Dia mahukan kepastian dan pemahaman.
Ada beberapa jamaah mengerakkan lama-lama
jari telunjuk semasa tahiyat, dan dihukum orang sebagai batal solatnya kerana
bergerak lebih dari 3 kali. Ada ustaz datang bagi kuliah, seorang kata salah
perbuatan itu dan seorang lagi kata tiada masalah dengannya dan dikatakan ada
dalil pulak. Dah ramai yang pening apa sebenarnya hukum ini.
Nak pohon apa pandangan dan panduan
dari tuan sheikh?
Wassalam
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله
و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من
لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita
seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang
mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan
dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.
Syukron syeh kerana bertanya. Saya memohon
maaf kerana lambat memberi maklum balas kerana ada urusan yang perlu
didahulukan. Persoalan ini pernah diajukan dan telah diberikan jawapanya, namun
begitu inilah kali pertama ia ditulis dan disiarkan kepada umum. Pernah jua ada
gegak gempita seketika seantero Malaya disebabkan hal sifat tahiyat dengan mengerakkan
jari. Berbagai macam kata-mengata sudah dan sedang berlaku.
Yang menariknya, tiada satu apa pun jalan
penyelesaian yang diperolehi melainkan hanya menambah serabut. Nampaknya mereka
ini tidak berminat pun mencari jalan penyelesaian melainkan sekadar bagai enau
dalam belukar. Macam ahlil politik mencari-cari apa saja sebagai isu, untuk sensasi,
untuk popularity, yang akhirnya untuk undi, dan senantiasa berpusing-pusing
dalam suatu tempurung lapok tanpa pernah berakhir.
Setakat yang saya ikuti, ramai juga
yang sudah dan sedang bercakap macam-macam mengenainya, kalau pun sebahagian
besar kata-kata itu hanya menyerlahkan betapa daifnya mereka tentang dalil
syari’atnya. Malah ramai juga yang kata-katanya sekadar menyerlahkan betapa lemahnya
pengetahuan mereka.
Mungkin juga sebahagian masyarakat kita
jarang berpeluang ke luar negara dan tidak
pernah merasai ataupun melihat bentuk amalan-amalan ibadah berbeza,
berbagai ragam, berbagai cara yang sungguh banyak sebenarnya. Sesiapa yang
mengerjakan umrah atau haji, berpeluang untuk melihat dan merasai sendiri
pengalaman itu.
Masalah menggerakkan jari telunjuk
saat tahiyat di dalam solat adalah masalah khilafiyah yang termasuk antara
paling klasik. Dikatakan klasik, kerana
sejak berzaman 1000 tahun dahulu lagi, para ulama sudah pun berbeza
pendapat. Perbezaan pendapat di antara mereka ini tidak kunjung selesai bahkan
sampai ke hari ini.
Harus difahami dan dimengertikan, hal
ini berlaku bukanlah kerana perangai jelek para ulama’ ini yang hobinya suka berbalah,
mencari salah, saling mencaci dan berbeza pendapat, juga bukan kerana yang satu
lebih betul dan yang lain sesat belaka. Juga bukan kerana yang satu lebih
mendekat kepada sunnah dan yang lain hanya punah. Intisari permasalahannya
sangat jauh dan tidak ada kaitan langsung dengan semua itu.
Titik masalahnya hanya kembali kepada
cara memahami naskhah/matan hadis, di mana ada dalil yang sahih, disepakati
bersama tentang kesahihannya, namun difahami dengan cara yang berbeza. Ini
terjadi justeru teks hadis itu sendiri memang sangat dimungkinkan untuk ditafsiri
dan ditanggapi dengan cara fahaman yang berbeza-beza, lantaran ia tidak secara
spesifik menyebutkan kaifiyat perbuatan dengan detail dan rinci.
Demikianlah adab dan asbab ulama’
terdahulu berselisih pendapat. Bukannya seperti para so called ulama’ sekarang
yang berbalah tak tentu hala sehinggakan bid’ah pun dikatakan sunnah. Malah ada
yang mengarang kitab “amalan nabi yang sohih”, padahal ;penuh dengan hadis
maudhu’ (palsu). Entah apalah jenis khilaf sebegini sehinggakan khabar maudhu’
pun dah setaraf khabar sahih.
Apa pun bagus sangat kerana mahu
bertanya berkenaan hal ini. InsyaAllah, saya akan cuba membantu dengan
penjelasan sebaik mungkin. Benar sungguh pepatah nenek moyang kita : malu
bertanya sesat jalan. Dan pasti sekali kenyataan saya ini akan disanggah kuat,
kerana orang-orang sekarang pepatah semasanya begini : ‘nak berjalan bawalah GPS,
takkan sesat’.
Para ulama’ dan
fuqaha’ sejak lebih 1000 tahun dahulu telah sepakat akan adanya isyarat dengan
jari telunjuk pada ketika bertahiyat di dalam solat. Ini berpandukan petunjuk
dari beberapa hadis yang
sahih. Antaranya :
“Abu Humaid Rhu. dia berkata : “Akulah orang yang paling tahu di
antara kalian tentang cara solat Rasulullah Saw., (kemudian dia menerangkan),
sesungguhnya Rasulullah duduk (untuk tasyahhud) Baginda hamparkan kaki kirinya,
dan Baginda hadapkan kaki kanan ke arah qiblat, dan Baginda letak telapak
kanannya di lutut kanan dan telapak kirinya di lutut kiri, lalu Baginda berisyarat
dengan jarinya ya’ni jari telunjuk.”
Hadis sahih oleh imam
Tirmidzi Rhm. dan beliau berkata “hadis ini hasan sahih”. Juga dinilai sahih
oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani Rhm. dalam Sahih Sunan at Tirmidzi,
hadis no. 293.
Mereka sepakat jua
yang dimaqsudkan dengan memberi isyarat itu adalah mengangkat jari telunjuk dan
dihalakan (diancung) ke arah qiblat. Ini berpandukan petunjuk dari beberapa
hadis yang sahih. Antaranya :
“Dari Numeir Al Khuza’ie Rhu., dia berkata : Aku melihat
Rasulullah Saw. ketika Baginda duduk dalam solat. Baginda meletakkan tangan
kanannya di atas pahanya yang kanan sambil mengangkat jari telunjuknya,
dengan membongkokkannya sedikit ketika berdoa.”
Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, Nasa’ie, Ibnu Majah dan Ibnu
Khuzaimah dengan sanad yang cukup baik.
Cumanya mereka ada berbeza
pandangan tentang :
(1) Bilakah isyarat
itu dilakukan
(2) Apakah rupa bentuk
isyarat itu beserta dengan gerakkan jari secara berterusan
(3) atau, diam
tegak sahaja
(4) atau, pun hanya
digerakkan pada waqtu tertentu sahaja.
Ada
pun fahaman dan pegangan saya adalah sepertimana penjelasan dinyatakan dibawah,
semoga memberikan kesedaran, pedoman, manfaat ilmiyah dan kebaikan kepada kita
bersama, insyaAllah.
Dari Za`idah bin Qudamah
dari ‘Ashim bin Kulaib bin Syihab dari ayahnya dari Wa`il bin
Hujr. Rhu. bahawasanya dia mengkhabarkan kepadanya, dia berkata :
“Aku melihat cara solat Rasulullah Saw. Aku melihat Baginda
berdiri untuk solat, kemudian takbir dengan mengangkat kedua tangannya sejajar
dengan kedua telinganya. Lantas Baginda meletakkan tangan kanannya di atas
telapak kirinya, juga di atas pergelangan tangannya, dan meletakkannya di atas
lengannya. Ketika hendak ruku’ Baginda mengangkat kedua tangannya sama seperti
tadi (sejajar dengan kedua telinganya).
Baginda meletakkan kedua tangannya di kedua lututnya, kemudian
mengangkat kepalanya sambil mengangkat kedua tangannya, sejajar dengan kedua
telinganya, kemudian sujud dan meletakkan kedua tangannya sejajar dengan kedua
telinganya, kemudian duduk di atas kaki kiri. Beliau juga meletakkan telapak
tangan kiri diantara paha dan lutut kiri. Lalu Baginda meletakkan hujung lengan
kanan di atas paha kanan. Kemudian ia menggenggam dua jarinya serta membentuk
lingkaran, lantas mengangkat jarinya. Aku melihat Baginda menggerak-gerakkannya
dan berdoa dengannya."
Hadits sahih ini
diriwayatkan oleh :
Imam Ahmad bin Hanbal Rhm.
Kitab Al Musnad jilid 4 no. 318
Imam Ad-Darimy Rhm.
Kitab Sunan jilid 1 no. 362 dan no.1357
Imam An-Nasaie Rhm.
Kitab Sunan jilid 2 halaman 126 no.889 dan jilid 3 halaman 37 no.1268 dan dalam
Kitab Al-Kubro jilid
1 halaman 310 no.963 dan halaman 376 no.1191
Imam Ibnul Jarud Rhm. dalam
Kitab Al-Muntaqa’
no.208
Imam Ibnu Hibban Rhm.
dalam Kitab Al-Ihsan jilid
5 halaman 170 no.1860 dan Kitab Al-Mawarid no. 485,
Imam Ibnu Khuzaimah Rhm.
Kitab Sahih jilid 1 halaman 354 no.714
Imam Ath-Thobarany Rhm.
Jilid 22 halaman 35 no.82
Imam Al-Baihaqy Rhm. Kitab
Sunan jilid 2 no. 131
Imam Khatib Al-Baghdady
Rhm. dalam Kitab Al-Fashl Li Washil Mudraj
jilid 1 no. 425-427.
Imam Ibnu Majah Rhm. Kitab Sunan jilid
1 no. 354
Imam Ibnu Hibban Rhm. jilid 5 no.170
Syeikh Muhammad Nasiruddin Al Albany Rhm.
di dalam Kitab Irwa al Ghalil, halaman 367
Berdasarkan
hadis ini terdapat lafadz : mengangkat
jarinya (telunjuk), menggerak-gerakkannya dan berdoa dengannya. Demikianlah
lafadz hadis itu yang menunjukkan sifat perbuatan Nabi Saw. semasa melakukan tahiyat
awal dan akhir
Perselisihan yang berlaku
kepada para ulama’ dan fuqaha sejak dahulu lagi adalah dalam menafsirkan,
memberi makna dan memperlakukan amalan fiqhiyahnya. Moleknya, tidak pernah pula
ada tercatat dalam kitab-kitab mereka ini bahawa sesiapa yang tidak sehaluan
dengan fahaman penafsiran dan amalan fiqhiyah mereka sebagai tak betul, bodoh
dan sesat belaka. Lantaran, prinsip asasnya sepakat diterima ya’ni hadis ini
diterima pakai. Manakala perbezaan penafsiran dan amalan fiqhiyah ke atas
matannya itu tertakluk di dalam ruang litup perbezaan (ikhtilaf) yang sukar dielakkan,
dimaafkan dan diterima.
Begitulah bezanya dengan
situasi sekarang yang Tuan tanyai. Dalam menghadapi perbezaan ini ada
ditanggapi oleh sebahagian qaul yang senak otak dan hati dengan saling tuduh
menuduh, sesat menyesatkan sehinggakan kafir mengkafir. Malah ada yang mengeluarkan
menghukum bahawa sesiapa yang mengerakkan jari semasa tahiyat adalah solat
ultraman diikuti dengan segala macam kata nista yang tak layak sama sekali dikeluarkan
oleh lidah seorang manusia. Biawak sahaja yang layak ada lidah sebegini. Beginilah
rupa orang alim kita, yang bukannya mendorong ummat supaya mengkaji untuk
dapatkan kebenaran, akan tetapi menjadi penghasut, pendorong dan penyampai
khabar dusta dan palsu dikalangan ummat supaya saling mengkeji dan menuju
kebinasaan. .
Berdasarkan hadis ini,
telah menimbulkan 2 qaul :
Cara 1 : Ada yang berpendirian berpegang kepada zahir matan hadis ya’ni
sentiasa menggerakkan jari dari mula tahiyat sehingga bangkit semula (tahiyat awal)
dan sehingga memberi salaam (tahiyat akhir). Ini adalah fahaman penafsiran /
pemberian makna yang zahiriyah (mataniyah, literasi, very direct) dengan matan
hadis.
Saya tak dapat nak ulas
apa-apa pemahaman Cara 1 ini malahan menerimanya lantaran ia benar-benar
mengikut zahir matan hadis.
Cara 2 : Ada yang berpendirian lebih terperinci lagi ya’ni hanya mengangkat jari telunjuknya dan berdo’a sambil
menggerakkannya. Dalam kata lain, fahaman tafsirannya adalah hanya mengangkat
jari dan menggerakkanya semasa dalam situasi berdo’a pada semasa sedang bertahiyat.
Qaul ini dijelaskan oleh Al
‘Allamah Syeikh
Muhammad bin Solih bin Muhammad Al ‘Utsaimin Rhm. dalam kitabnya Fatawa Arkanul Islam
dan kitab Asy Syarh al Mumti bahawa
mengangkat dan menggerak-gerakkan jari telunjuk di dalam tahiyat pada seluruh
kalimat doa. Beliau (semoga Allah merahmatinya) mengatakan : “sunnah (perbuatan
Nabi Saw.) menunjukkan bahawa memberikan isyarat dengannya (jari telunjuk)
adalah pada saat berdoa kerana lafadz hadisnya “menggerak-gerakkan dan berdoa
dengannya”. Maka setiap kali anda berdoa gerakkanlah sebagai isyarat akan ketinggian
Allah Swt. untuk itu, dan ketika kita mengucapkan :
“Assalaamualaika
Ayyuhan Nabiyyu— di sini memberikan isyarat kerana as salam bermakna doa. Assalaamu ‘Alainaa— di sini memberikan
isyarat. Allahumma Solli ‘Ala Muhammad—
di sini memberikan isyarat. Allahumma
Barik ‘Ala Muhammad—di sini memberikan isyarat. A’udzu billah Min ‘Adzaabi Jahannam— disini memberikan isyarat. Wa Min
‘Adzaabil Kubr— di sini memberikan isyarat. Wa Min Fitnatil Mahyaa wal Mamaat— di sini memberikan isyarat. Wa Min Fitnatil Masih ad Dajjal— di sini
memberikan isyarat—dan setiap anda berdoa berikanlah isyarat sebagai isyarat
kepada ketinggian Allah Swt, dan perbuatan inilah yang paling dekat dengan
sunnah (berdasarkan hadis sahih di atas).
Dan, perbuatan mengangkat dan
menggerakkan jari telunjuk ketika lafadz doa dalam masa bertahiyat ini diperkuatkan
(syawahid) oleh atsar (perbuatan/amalan) para sahabat sepertimana diriwayatkan
oleh imam Ibnu Syaibah Rhm. dengan turutan perawi yang hasan :
“Sebahagian sahabat Nabi Saw. yang tidak mengetahui
perbuatan ini meniru perbuatan sahabat lain yang mengetahuinya, yaitu
menggerakkan telunjuknya sambil mengucapkan do’a.”
Bagi fahaman penafsiran Cara
2 ini juga, saya tak dapat nak ulas apa-apa malahan menerimanya lantaran ia
benar-benar terperinci dan mempunyai syawahid ke atas setiap penjelasan mereka.
Cara 3 : Semasa tahiyat (awal
dan akhir) Baginda Nabi Saw. berterusan mengangkat jari telunjuk dan dihalakan
ke qiblat tanpa menggerakkannya. Dan diangkat jari telunjuk itu adalah pada
sepanjang masa tahiyat. Ini adalah berdasarkan keterangan seperti dibawah :
Dari ‘Abdullah bin ‘Umar
Rhu. dia melihat seorang laki-laki
menggerak-gerakkan kerikil (batu kecil) dengan tangannya saat solat. Setelah
selesai, Abdullah berkata kepadanya : Janganlah kamu menggerak-gerakkan kerikil
saat solat, sesungguhnya itu perbuatan syaitan. Berbuatlah sebagaimana yang
dilakukan oleh Rasulullah Saw. la berkata : Bagaimana cara Rasulullah Saw.
melakukannya?" Aku menjawab : Baginda meletakkan tangan kanan di atas paha
kanan, lalu menunjukkan jari telunjuknya ke qiblat dan mengarahkan pandangan (mata)
ke jari tersebut atau ke sekitarnya." Kemudian dia berkata : Begitulah
cara Rasulullah Saw. melakukannya."
Hadis sahih. Diriwayatkan oleh imam An
Nasa’ie Rhm. (no. 1160)
imam Ibnu Khuzaimah Rhm. (Kitab Sahih
jilid 1 no. 355)
imam Ibnu Hibban Rhm. (Kitab Sunan
jilid 5 no. 273)
Disahihkan juga oleh Syeikh Al Albani
di dalam Kitab Sahih An Nasa’ie hadis no. 1275
Dari Abdullah bin Zubair
Rhu. ia berkata : Jika Rasulullah Saw. duduk dalam solat (ya’ni semasa tahiyat),
beliau meletakkan telapak kaki kirinya diantara pahanya dan betisnya, serta
menghamparkan telapak kaki kanannya, sambil meletakkan tangan kirinya diatas
lutut kirinya, dan beliau letakkan tangan kanannya diatas paha kanannya, lalu
beliau memberi isyarat dengan (jari) telunjuknya."
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm.
no. 579
Dan, di dalam periwayatan imam An Nasa’ie
Rhm. (no. 1270) dan imam Abu Daud Rhm. (no. 989), terdapat tambahan lafadz : Memberi
isyarat dengan jarinya ketika berdo’a, tanpa menggerakkannya.
Lafadz tambahan “tanpa
menggerakkannya” ini dilemahkan oleh imam Ibnul Qoyyim Al Jauziyyah Rhm. di dalam
kitabnya “Zaadul Ma’ad” (jilid 1 halaman 238)
dan dilemahkan pula oleh Syeikh Muhammad
Nasiruddin Al Albani Rhm. di dalam kitab “Tamam ul Minnah” (halaman 218)
Berdasarkan hadis-hadis ini, difahami
bahawa :
1.
Lafadz
“lalu beliau memberi isyarat dengan
(jari) telunjuknya ke qiblat." menunjukkan bahawa jari telunjuk
diangkat menghala ke qiblat semasa bertahiyat tanpa dinyatakan bila waqtu
dinaikkan dan bila diturunkan pula, bermaqsud diperbuat sejak awal tahiyat
sehingga berakhir
2.
Pandangan
mata hendaklah dihalakan/ditumpukan kepada jari telunjuk itu atau sekitarnya
semasa tasyahud, tidak boleh ke arah lain atau dipejamkan.
3.
Lafadz
“menggerak-gerakkannya” kalau pun tiada pada 2 hadis ini, akan tetapi tidak
menghalangi perbuatan itu kerana adanya hadis sahih sebelumnya (riwayat Wail
bin Hujr) seperti di atas tadi yang menjadi dasar amalannya.
Demikianlah 3 cara yang sahih dari
sunnah Nabi Saw. bagaimana mempraktikkan jari semasa bertahiyat di dalam solat.
Dan begitulah juga tatacara yang sepatutnya menjadi amalan kita.
Justeru itu, selama mana seseorang
mempraktikkan menggerakkan jari secara berterusan atau hanya semasa lafadz
do’a, atau juga dalam keadaan menegakkannya sahaja menghala ke qiblat sepanjang
tahiyat, perbuatan itu adalah benar dan tsabit datangnya dari as sunnah Nabi
Saw. dan tidak sama sekali boleh ada pertikaian ke atasnya. Yang sepatutnya menjadi
pertikaian, kesalahan dan layak digegak gempitakan adalah perbuatan/amalan yang
lain dari amalan yang tsabit ini.
bersambung
/ …………….
والله تعالى أعلم
, وصلى
الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله
وأصحابه أجمعين.
Yang
benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari
saya yang amat dhaif ini.
سكيان
, والسلام
Jumaat, 3 April 2015
Bernikahlah Dengan Keredhoan Ibubapa
From : Ummul ASY-SYIFA', December
18, 2014
Assalamualaikum...
Ustaz yang dihormati,
Saya dan tunang lelaki saya
berkenalan atas dasar memang ingin berkahwin.. saya seorang mahasiswi yang
masih menuntut manakala tunang saya masih berusaha memperbaiki taraf hidupnya.
hanya ibu saya yang mengetahui hubungan pertunangan kami memandangkan kami
bertunang sekadar cukup syarat tunang oleh sebab kedua dua kami datang dari
keluarga yang bermasalah.
Saya merupakan individu yang seolah-olah telah tercicir dari keluarga, segala tanggungan hidup saya, saya tanggung
sendiri dan saya tidak lagi tinggal bersama keluarga. Manakala tunang saya, ibu
bapanya telah bercerai beberapa tahun yang lalu dan hubungan antara ahli
keluarganya tidak begitu baik. Dan tunang saya seolah olah terbuang dari
keluarganya.
Perkenalan kami singkat, dan kami
tidak ingin bertunang lama memandangkan masing- masing kami ingin membaiki
hidup, menjadi lebih matang dan bertanggungjawab, dan melalui perkahwinan kami
boleh menyokong dan menjaga sesama sendiri demi meraih redha Allah.
Disebabkan konflik keluarga tunang
saya, tunang saya terpaksa membatalkan hasratnya untuk memaklumkan kepada
keluarganya mengenai hubungan kami dan hasrat kami untuk berkahwin. Dan pihak
sebelah saya, memang sudah lama memberi saya lampu hijau untuk berkahwin
kerana, orang tua saya memang tidak terlalu kisah mengenai hidup saya.. Dan
hanya ibu saya yang masih menghubungi saya.
Oleh sebab itu, saya dan tunang saya
ingin berkahwin tanpa pengetahuan keluarga sebelah pihak lelaki, dan hanya
sampai kepada pengetahuan sebelah pihak keluarga saya dan rakan-rakan kami yang
lain. Kami bercadang untuk memaklumkan keluarga sebelah pihak lelaki setelah
tempoh kami berkahwin cukup 6 bulan. Bukan niat kami membelakangkan orang tua, tetapi
kami tersepit dalam situasi yang kami tidak sangka- sangka.
Justeru, saya mohon pendapat dan
nasihat, apakah langkah yang ingin kami ambil itu adalah wajar, demi kebaikan
kami dan masa depan kami.
tunang dan tunangan yang ingin
berkahwin.
wassalam
To : Ummul ASY-SYIFA', December 20,
2014
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح
لي صدري و
Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan
dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri
kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk,
maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan,
maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.
Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.
“Pernah
suatu ketika tiga orang sahabat datang bertanya kepada isteri-isteri Nabi Saw.
tentang peribadatan Baginda, kemudian setelah diterangkan, masing-masing ingin
meningkatkan peribadatan mereka. Salah seorang berkata : Ada pun saya, akan
puasa sepanjang masa tanpa putus. Saorang lagi berkata :Saya akan solat siang dan malam tanpa henti. Dan
yang lain berkata : Ada pun saya akan menjauhi wanita, saya tidak akan kahwin
selamanya. Ketika hal itu di dengar oleh Nabi Saw., Baginda keluar seraya
bersabda :
Benarkah
kalian telah berkata begini dan begitu, demi Allah, sesungguhnya akulah yang
paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa di antara kalian. Akan tetapi aku
berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku juga tidur dan aku juga mengahwini
perempuan. Maka barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku, maka dia tidak
termasuk golongannku”
Hadits
riwayat imam Bukhari Rhm. no. 4776 dan imam Muslim Rhm.
Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an)
dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah).
Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap
yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan
setiap kesesatan tempatnya di Neraka. Amma ba’du.
Moga ukhti dalam rahmah dan
penjagaan Allah Swt senantiasa. Syukron kerana sudi bertanya kepada saya
berkenaan hal disebutkan. Insya'Allah saya akan membantu seqadar yang boleh.
Maklumbalas saya berdasarkan kes
yang disebutkan, maka itu diharapkan segala ungkapan ukhti ini benar belaka. Maklumbalas
tertakluk kepada kes ini sahaja dan keadaan sebegini sahaja, tiada kena mengena
dengan kes-kes yang lain.
Pertamanya, tahniah saya ucapkan
atas kesedaran dan bulat tekad ukhti dan tunang untuk melangsungkan nikah dalam
tempoh terdekat, kalau pun dalam serba kekurangan. Itu adalah langkah paling
baik bagi mengelakkan banyak hal buruk dan luar jangka, berbanding anda berdua
sentiasa bersama tanpa ikatan nikah.
Islam
adalah agama fithrah, dan manusia diciptakan Allah Ta’ala secocok dengan
fithrah ini, kerana itu Allah Ta’ala menyuruh manusia menghadapkan diri ke
agama fithrah ini agar tidak terjadi
penyelewengan dan penyimpangan. Sehingga manusia berjalan di atas fithrah
kebenarannya.
Perkahwinan
adalah fithrah kemanusiaan, maka dari itu Islam menganjurkan untuk nikah,
kerana nikah merupakan gharizah insaniyah (naluri kemanusiaan). Bila gharizah
ini tidak dipenuhi dengan jalan yang sah yaitu perkahwinan mengikut syara’,
maka manusia akan mencari jalan-jalan petunjuk syaithan yang banyak
menjerumuskan manusia ke lembah hitam. Pesanan Allah Ta’ala :
“Maka
hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah) ; (tetaplah atas) fithrah
Allah yang telah menciptakan manusia menurut fithrah itu. Tidak ada perubahan
pada fithrah Allah. (Itulah) agama yang lurus ; tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui”.
Surah
Ar-Ruum (30) : ayat 30
Secara
syara’, nikah ialah suatu proses berlakunya ijab dan qabul (‘aqad) yang dengannya
menghalalkan persetubuhan antara saorang lelaki dengan saorang perempuan, yang
diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang
ditentukan oleh oleh syari’at Islam. Perkataan zawaj/zauja digunakan di dalam
Al Qur’an membawa maqsud pasangan, dalam penggunaannya perkataan ini juga
bermaqsud perkahwinan. Sesungguhnya Allat Ta’ala menjadikan manusia itu
berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.
Demikianlah
muqaddimahnya. Seterusnya merujuk kepada persoalan ukhti.
Teruskanlah hasrat bernikah, namun harus
diingat beberapa perkara :
1.
Pernikahan adalah menghalalkan
hubungan seorang lelaki dengan wanita yang sebelumnya haram.
2.
Pernikahan mencantumkan dua jiwa ke
dalam satu ikatan suci bernama rumahtangga. Mesti ada rasa tolak ansur, saling
memahami, saling menerima kelebihan mahu pun kekurangan, sentiasa bersedia
untuk menempuh segala macam onak dan duri dengan penuh sabar dan memahami.
3.
Pernikahan membawa dimensi baharu
kepada setiap individu pasangan. Kena sedia berkompromi dalam banyak hal, kena
sedia mengalah sesekali, perlahan-lahan membuang perasaan sendiri dan rasa hak
individu kepada suatu perkongsian bersama. Banyak hal individu yang saling
perlu dikorbankan dan dikesampingkan, supaya kebahagiaan bersama diperolehi.
4. Amal ibadah seorang yang telah
bernikah berlipat ganda kebaikkannya berbanding seorang bujang.
Kena bersedia dengan keadaan ini.
Ini semua secara individu. Selain itu pernikahan turut melibatkan :
5. Percantuman dan mengembangkan
silaturrahim dan ukhuwwah dalam dua keluarga.
6. Menambahkan jumlah ummat
Muslimin.
7. Syi'ar dan kebesaran Agama Allah
Ta'ala diangkat apabila ummat-Nya menjalankan syari'at (kes ini nikah).
Kesemua ini dijalankan bermula
dengan satu adzam / niyat yang jelas nyata : kerana dan untuk Allah Ta'ala
semata-mata, tidak sekali-kali untuk selainnya. Hal ini ukhti dan tunang mesti
jelas dan tegas.
Kepada kondisi ukhti : Bersabarlah
atas segala kesulitan dan kekurangan. Suratan dan taqdir hidup manusia si alam
fana ini sememangnya tidak sama. Semua itu adalah ujian dan cabaran, supaya
ukhti bertambah iman dan taqwa. Dan yaqinlah, bahawa suatu ketika nanti,
kejayaan dan kebahagiaan pasti milik ukhti. Percayalah janji Allah Ta’ala
kepada hamba-hambaNya yang diuji.
1. Boleh teruskan pernikahan,
memandangkan dalam suasana sekarang, itu keputusan terbaik untuk antum berdua.
2. Uruskanlah sendiri pernikahan itu
dengan Pejabat Agama, tanpa bebankan keluarga yang sedia ada dengan masalah dan
serba kesulitan.
3. Tetapkan tarikh, aturcara dan
serba sedikit persiapan yang selayaknya dan semampu disediakan.
4. Adakan sedikit majlis walimah
walau pun kecil, kumpulkan keluarga terhampir 2 pihak dan rakan terdekat.
5.
Setelah semua tersedia, maklumkan
kepada keluarga untuk pengetahuan mereka. Ia seqadar makluman, bukannya memohon
persetujuan, meminta apa-apa bantuan atau campurtangan, supaya tiada yang
terkejut, berkecil hati juga mengelakkan salah sangka, seterusnya boleh
mengeruhkan lagi hubungan yang sedia kurang mesra. Ingatlah, haqiqatnya kita
tidak boleh lari dari qaum keluarga juga suatu ketika nanti, terutama ibu-bapa
dan adik beradik. Penerimaan dan redha mereka amat perlu kepada kita selaku anak-anak.
Dengan merujuk kepada perkara 5,
harapnya ukhti dan tunang telah faham dengan jelas, jangan kesampingkan ibu
bapa dan adik beradik. Jadikanlah segala kesulitan dan kekurangan sebagai asbab
untuk tidak menambahkan beban, bukan asbab untuk mengkesampingkan.
Semoga saya telah membantu.
Semoga solawat dan salaam senantiasa dilimpah-kan kepada
Rasulullah Saw., keluarga dan para Sahabat Baginda, para Salafus Solih, para
syuhada’ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dengan kebaikan
hingga hari qiyamat.
والله تعالى أعلم , وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه
أجمعين.
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang
tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
Langgan:
Catatan (Atom)



