Selasa, 23 Jun 2015

Hadith Palsu Ruh Balik Semasa Ramadhan

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
رب اشرح لي صدري ويسر لي أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي
,وبعد

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Katakanlah (wahai Muhammad), tiada sesiapa pon di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah, dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).”
Surah Al Naml (27) : ayat 65

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Saya ada juga mendapat 5 pertanyaan berkenaan kisah ruh kembali ke dunia semasa Ramadhan yang galak disebarkan setiap kali menjelang Ramadhan. Kisah yang disebarkan itu berbunyi begini :

Apabila tiba bulan Ramadhan, semua roh berkumpul di Luh Mahfuz memohon kepada Allah S.W.T untuk kembali ke bumi.

Ada roh yang dibenarkan pulang ke bumi dan ada yang tidak dibenarkan.

Roh yang dibenarkan pulang adalah kerana amalan baik mereka semasa hayat mereka ataupun ada penjamin-penjamin yang mendoakan mereka.

Manakala roh-roh yang tidak dibenarkan pulang disebabkan kesalahan mereka semasa hayat mereka akan terus di penjara di Luh Mahfuz.

Apabila roh dibenarkan pulang, perkara pertama yang mereka lakukan adalah pergi ke tanah perkuburan untuk melihat jasad mereka.

Kemudian mereka akan pergi ke rumah anak2 mereka, orang yang mendapat harta pusaka mereka dan ke rumah orang yang mendoakan mereka dengan harapan orang yang mereka lawati itu memberi hadiah untuk bekalan mereka.

Perkara ini akan berlarutan sehinggalah tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Pada saat ini mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada jasad dan pulang semula ke Luh Mahfuz dengan bekalan yang diberikan oleh mereka2 yang masih hidup.

Saya sendiri pon ada menerima kiriman kisah ini di laman sosial. Namun apabila ditanya kembali kepada pengirim apa asal muasal dan dasarnya kisah ini, beginilah antara jawabannya :

Tak tahu, saya C&P saja
Tak tahu la pulak, dari bilik sebelah, saya forward saja
Tak percaya sudah la
Nak percaya pon boleh, tak mahu pun tak apa
Ustaz yang cakap takkan tak betul
Kalau pandai sangat, bagi tahulah apa yang betul

Apa jua alasan dan jawaban, sama ada ikhlas benar mengakui ketidaktahuan, tukang forward saja, lempar bola ke orang lain pula atau yang rasa tercabar marah dan mula mencari gaduh, haqiqatnya semua itu tukang sebar sahaja dan mempercayainya secara buta tuli tanpa dicari kebenaran atau disemak terlebih dahulu.

Jawaban secara ringkas sahaja kepada pertanyaan.

Apabila ruh sudah berpisah dari tubuh/jasad (ya’ni sesudah mati), ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan sekali-kali boleh untuk kembali ke alam dunia semula dalam apa jua keadaan pon. Dakwaan malah juga kepercayaan bahawa ruh boleh pulang kembali ke rumahnya (alam dunia) setelah hari-hari tertentu atau pada waqtu-waqtu tertentu dan special adalah tidak benar, karut marut, bathil dan palsu.

Dakwaan malah juga kepercayaan seumpama itu jelas bertentangan/berlawanan dengan Kalamullah :

"Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada seseorang dari mereka (orang kafir), dia berkata : Ya Tuhanku! kembalikanlah aku (ke dunia).
Supaya aku (dapat) berbuat amal yang solih terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawaban Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sendiri sahaja (cakap kosong), sedangkan di hadapan mereka ada barzakh (dinding) sampai hari mereka dibangkitkan (hari akhirat)."
Surah Al-Mu'minuun (23) : ayat 99-100

[Barzakh secara lughah adalah dindingan / hadangan yang memisahkan antara dua keadaan. Secara syara’ adalah tempat sementara bagi ruh yang telah meninggal terlebih dahulu sebelum memasuki alam akhirat.
Syaikh Muhammad Soleh Al-Munajid dan Syaikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin Rhm. Kitab Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi’ah, halaman 338]

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala memberitahu bahawa ruh manusia mati berada di alam barzakh ya’ni dalam keadaan mereka terdinding/ terhadang dari keluar dari alam barzakh yang mereka berada itu, melainkan terus berada di situ sehingga hari qiyamat.

"Allah (Yang Menguasai Segala-galanya) Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati (dalam masa tidurnya), kemudian Dia memegang jiwa (ruh) orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badan orang yang tidur) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan ……..."
Surah Az Zumar (39) : ayat 42

Dalam ayat ini, jelas bahawa ruh orang mati berada di dalam pegangan/tahanan Allah Ta’ala, dan Allah Ta’ala tidak membenarkan sama sekali ruh untuk kembali ke alam dunia, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam ayat sebelum ini,

Saya sendiri tidak menemui dari mana sumber kisah ini dan tidak berminat untuk terus membuat soal selidik. Malah dengan jelas mahu disebutkan, kisah ini tertolak dalam apa jua keadaannya, kerana terang-terangan bertentangan dengan nas soreh, sohih dan qot’ie Kalamullah.

Dikesempatan ini, saya ingin berpesan kepada sesiapa jua yang menganggap enteng perkara ini dan bercakap sesedap rasa hal ruh ini, supaya berfikir balik dalam-dalam dan banyak istighfar, jangan sampai jadi kafir terhadap Allah Ta’ala dan rasul-Nya. Urusan ruh ini adalah salah satu perkara ghaib yang wajib kita imani, dan mempercayai hal yang ghaib adalah aqidah suci ummat Muslimin, juga aqidah inilah yang menjadi teras membezakan antara Muslimin dan kafiriin

Ini disebutkan oleh Kalamullah tentang sifat orang bertaqwa :

“yaitu orang-orang yang beriman kepada perkara yang ghaib ……”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 3

Dan Allah Ta’ala sendiri menjawab pertanyaan orang Yahudi kepada Nabi Saw. :

“Mereka bertanya kepadamu tentang ruh, katakanlah : ruh itu perkara urusan Tuhan-ku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan (tentang ruh) melainkan sedikit sahaja.”
Surah Al Isra’ (17) : ayat 85

Ruh ini perkara urusan Allah Ta’ala, yang pengetahuan amat sedikit diberikan-Nya kepada manusia tentang perkara ruh ini. Yang sedikit itu pun datangnya dari Allah Ta’ala menerusi Kalam-Nya ataupun sabdaan rasul-Nya yang sohih, soreh dan qot’ie. Ia tidak boleh terhasil dari sangkaan, mimpi-mimpi, aqal-aqalan, tekaan, cerita-cerita penglipurlara, tukang karut, awang bathil dan sebagainya yang tidak berlandaskan nas sohihah.

Justeru janganlah, elakkanlah sekali-kali berkata itu ini, begitu begini tentang sesuatu yang ghaib, tidak dikenal, majhul, tidak boleh dilihat, tidak boleh dirasa, tidak boleh dipegang. Jangan sampai mempercayai bahawa ruh boleh balik ke alam dunia sepertimana aqidah Hindu Buddha dan aqidah hulul majusi. Apabila ada nas sohihah, maka berkatalah dan sampaikanlah. Tanpa nas sohihah lebih baik diam.

Sekian, semoga telah menjawab persoalan.

والله أعلم. وصلى الله على محمد وآله وصحبه أجمعين

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam


Read more...

Hadith Palsu Doa Jibril Menjelang Ramadhan.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


رب اشرح لي صدري ويسر لي أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي
,وبعد
Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh ia menang dengan kemenangan yang besar.”
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 70-71

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Saya ada mendapat 5 pertanyaan berkenaan kisah doa malaikat Jibril Ahs. yang disebarkan setiap kali menjelang Ramadhan. Kisah yang disebarkan itu berbunyi begini :

"Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut ini :
1. Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)
2. Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri
3. Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.
Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali.
Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pula pada hari Jumaat .

Setelah membuat semakan didapati :
Tiada ditemui suatu hadits dari mana-mana kitab hadits muktabar yang mencatatkan kisah seperti ini. Namun terdapat sebuah hadits yang matannya didapati mirip seperti kisah disebutkan.
Kemungkinan kisah ini adalah adaptasi/petikan secara palsu dan bathil daripada hadits tersebut. Butiran hadits itu dinyatakan di bawah.

أن النبي صلى الله عليه وسلم رَقَى المِنبر فَلما رَقَى الدَّرجة الأُولى قال : ( آمِين ) ثُم رَقى الثَانية فَقال : ( آمِينَ ) ثُم رَقى الثَالثة فَقال : ( آمِينَ ) فقالوا : يا رسول الله سَمعنَاك تَقولُ : ( آمينَ ) ثَلاث مَرات ؟ قال : ( لَما رَقيتُ الدَّرجةَ الأُولى جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ، ثُم قَال شَقي عَبدٌ أَدرك والدَيهِ أَو أَحدَهُما فَلم يُدخِلاهُ الجنَّةَ . فَقلتُ : آمينَ . ثُم قَال شَقي عَبدٌ ذُكرتَ عِندهُ ولَم يُصلِ عَليك . فَقلتُ : آمينَ )
Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami (para Sahabat) pun berhimpun. Lalu Baginda menaiki anak tangga (pertama) mimbar, Baginda berkata : Amin.
Ketika naik ke anak tangga kedua, Baginda berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, Baginda berkata lagi: Amin.
Dan ketika Baginda turun (dari mimbar) kami pun bertanya : Ya Rasulullah, kami telah mendengar (juga melihat) sesuatu dari Tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.
Lalu Baginda menjawab : Sesungguhnya Jibrail Ahs. telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya : Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.
Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya.
Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibu-bapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya
Hadits riwayat :
imam Al Bazzar Rhm. dalam Majma'uz Zawaid, jillid 10, halaman 165-166
imam Al Hakim Rhm. dalam Al Mustadrak, jilid 4 halaman 153, dan disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi Rhm.
Diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari Rhm. dalam kitab Al Adabul Mufrad no. 644 (Sohih Al-Adabul Mufrad No. 500 dari Jabir bin Abdillah, oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani Rhm.)

Maka kisah seperti itu adalah bathil dan palsu. Justeru adalah dipohon, sesiapa yang terlibat menyebarkan hadis palsu ini silalah hentikannya dan, sesiapa yang ada menerimanya supaya memadamkan dan tidak terus menyebarluaskan lagi. Sekiranya berniyat mahu memanjangkan ilmu dan khabar kebaikkan kepada manusia, maka sebarkanlah versi hadits yang sohih dan benar itu.

Elok sekali diperingatkan sabdaan Nabi Saw. :
   
"إن كذبا علي ليس ككذب على أحد من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار "
“Sesungguhnya berdusta ke atasku bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan senghaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.”
Hadits riwayat imam Bukhari Rhm. Kitab Janaiz dan imam Muslim Rhm. Muqaddimah Sahih Muslim

Terdapat juga pesanan Baginda lagi :

“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka.”
Hadis sohih (Mutawattir) diriwayatkan oleh imam Bukhari, imam Muslim, imam Ibnu Majah, imam ad Darimy dan lain-lain.
Lihat sohih al-Bukhari, hadis no. 109 (Kitab al-Ilm, Bab dosa berdusta ke atas Nabi Saw.).
Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sohih Muslim, hadis no.  3 dan 4 (Muqaddimah - Bab berdusta ke atas Rasulullah Saw.)

“Barangsiapa yang menceritakan dariku satu hadits yang dia sangka, sesungguhnya hadis tersebut dusta/palsu, maka ia termasuk salah seorang dari para pendusta.”
Hadits riwayat imam Muslim, imam Ibnu Majah, imam Thurmidzi, imam Ahmad.
Lihat Muqaddimah Sahih Muslim. Lihat juga Musnad Ahmad (Hadits daripada Samuroh Bin Jundud Rhu. dengan lafaz yang sedikit berbeza)

Sekian, semoga telah menjawab persoalan.


والله أعلم. وصلى الله على محمد وآله وصحبه أجمعين


Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Read more...

Khamis, 21 Mei 2015

Sifat Takbiratul ihram Nabi SAW

0 ulasan
On Tuesday, November 25, 2014 1:53 AM, Ernest Ibrahim wrote :

Salaamun’alaik syeh

Lama dah nak tanya ni, dok tangguh-tangguh pon lama. Macam mana takbiratul ihram yang betoi. La ni ada macam-macam. Ada yang telungkop telinga, ibu jari kena cuping, lelaki tak sama wanita, ada yang baca doa panjang-panjang sebelum angkat tangan, ada yang berkali-kali (tak menjadi la kut), ada yang laju semacam (tak ketahuan tangan di mana), ada yang angkat punya lama,

Ada pelik sikit, apa semua ini nak dikata betoi ka. Kalau semua betoi, betapa banyak cara Nabi Saw. tunjukkan cara takbir? Ada Nabi bagi tahu ka beza takbir antara lelaki dengan wanita? kalau tak betoi, apa pulak yang betoi?

Dok tanya nih pasal nak dapat yang betoi, yang tak betoi tak payah la dok cerita, banyak dah pon dok ada, segala macam jenis lagi.

Wassalam, macam tu lah pertanyaannya, jangan tak jawab syeh, lama pon takpa. Ambil masa slow-slow pon ok ja.


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Dari Mutharrif bin Abdullah Rhu.,dia berkata : Aku dan Imran bin Husein solat di belakang Ali bin Abi Tholib. Saat sujud beliau bertakbir. Saat mengangkat kepalanya beliau bertakbir. Saat bangun dari dua rakaat beliau bertakbir. Selesai solat Imran memegang tanganku dan berkata : Sesungguhnya Ali telah mengimami solat kita dengan solat sepertimana solat Muhammad Saw. atau katanya : Sesungguhnya Ali telah mengingatkan aku dengan solat Muhammad Saw.
Riwayat imam Muslim Rhm. No. 594

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Syukron syeh kerana bertanya. Harap maaf Tuan, lambat balas, ada urusan yang perlu didahulukan. Tiap kali Tuan bertanya saja, buat saya susah hati, tak boleh nak elak melainkan kena jawab juga. Apa pun, tradisi soalan yang pelik-pelik tu masih kekal, hak nih memang sempoi.

Saya tuliskan secara ringkas sahaja, ada kekangan masa.

Takbiratul ihram merupakan takbir yang pertama kali disebut / dibaca diikuti perbuatan mengangkat tangan ketika solat, ia sebagai pembuka / pemula amaliyah solat.

Disebutkan takbiratul ihram yang artinya : takbir yang mengharamkan, kerana takbir ini menjadi batas diharamkan melakukan hal-hal lain yang tidak berkaitan dengan solat (perlakuan/perbuatan bukan solat).

Berikut perincian (kaifiyat) tata cara takbiratul ihram yang disimpulkan dari Al Quran dan As Sunah yang sohih, seqadar yang saya mampu.

1. Takbiratul Ihram merupakan rukun solat. Wajib dilakukan baik menjadi imam, makmum, mahu pun ketika solat sendirian.

Nabi Saw. bersabda :

مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

“Kunci solat adalah bersuci, memulainya dengan takbir, dan mengakhirinya dengan salam.”
Hadits riwayat imam Abu Daud Rhm. dan imam Thurmidzie Rhm. disohihkan oleh Syaikh Al Albani Rhm.

Nota : tanpa memperbuat takbiratul ihram, solat tidak sah.

2. Yang dimaqsud takbiratul ihram itu adalah ucapan / lafadz : Allaahu Akbar, diikuti mengangkat tangan, bukan mengangkat tangan sahaja ketika takbir. Sementara mengangkat tangan ketika takbiratul ihram itu hukumnya dianjurkan dan tidak wajib.

Imam Muhammad Ibnu Utsaimin Rhm. mengatakan :

رفع اليدين عند تكبيرة الإحرام، وعند الركوع، وعند الرفع منه، وعند القيام من التشهد الأول سنة

“Mengangkat tangan ketika takbiratul ihram, ketika rukuk, ketika i’tidal, dan ketika bangkit ke rakaat ketiga dari tasyahud awal, hukumnya sunnah.”
Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin, jilid 13

Nota : berdasarkan keterangan di atas, yang menjadi rukun adalah mengucapkan / melafadzkan Allahu Akbar manakala perbuatan mengangkat tangan adalah sunnah. Tanpa lafadz Allahu Akbar itu solat tidak sah.

Namun harus diingat, mengangkat tangan itu adalah sunnah amaliyah Nabi Saw. semasa bertakbir untuk solat, maka tiada sebab untuk senghaja ditinggalkan kalau pun ia bukan rukun.

3. Keadaan telapak tangan ketika takbir

a.  Telapak tangan dibentangkan secara sempurna (terbuka, rapat dan tersusun) dan tidak menggenggam

b. Jari-jari telapak tangan tidak terlalu lebar dan tidak terlalu rapat (sederhana)

Dari Abu Hurairah Rhu. dia menceritakan :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ فِي الصَّلَاةِ رَفَعَ يَدَيْهِ مَدًّا

”Rasulullah Saw. ketika memulai solat, Baginda mengangkat kedua tangannya dengan dibentangkan.”
Hadits riwayat imam Abu Daud Rhm. dan imam Thurmidzie Rhm. disohihkan oleh Syaikh Al Albani Rhm.

c. Telapak tangan dihadapkan ke qiblat dan diangkat setinggi pundak (bahu) atau bawah telinga (atau diantara keduanya)

Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. beliau menceritakan :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ

“Bahawa Rasulullah Saw. mengangkat kedua tangannya setinggi pundak, ketika memulai solat.”
Hadits riwayat imam Bukhari Rhm. (735) dan imam Muslim Rhm. (390).

Dari Malik bin al-Huwairits Rhu. dia menceritakan :

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ إِذَا كَبَّرَ، وَإِذَا رَكَعَ، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ حَتَّى بَلَغَتَا فُرُوعَ أُذُنَيْهِ

“Saya melihat Rasulullah Saw. mengangkat kedua tangannya ketika takbiratul ihram, ketika rukuk, ketika i’tidal, hingga setinggi daun telinga.”
Hadits riwayat imam Nasa’ie Rhm. (1024) dan yang lainnya

4. Cara mengangkat tangan ketika takbir ada 3:

a. Mengangkat tangan sampai pundak lalu membaca / melafadzkan takbir

Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. beliau menceritakan :

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا قام إلى الصلاة؛ رفع يديه حتى تكونا حذو منكبيه، ثم كبَّر

“Apabila Rasulullah Saw. memulai solat, Baginda mengangkat kedua tangannya hingga setinggi pundak, kemudian Baginda bertakbir”
Hadits riwayat imam Muslim Rhm. (390)

b. Mengangkat tangan lalu sedekap bersamaan dengan takbir

Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. beliau menceritakan :

رأيت النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افتتح التكبير في الصلاة، فرفع يديه حين يكبر

”Saya melihat Nabi Saw. memulai takbiratul ihram ketika solat, Baginda mengangkat kedua tangannya  ketika takbir”
Hadits riwayat imam Bukhari Rhm. (738)

c. Membaca takbir, lalu mengangkat tangan

Dari Malik bin al-Huwairits Rhu. dia menceritakan :

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا كبر؛ رفع يديه

”Rasulullah Saw. ketika usai (siap) takbir, Baginda mengangkat tangan”
Hadits riwayat imam Muslim Rhm. (391)

5. Takbiratul ihram wajib dilakukan dalam keadaan posisi tubuh berdiri tegak sempurna, menghadap qiblat dan tidak boleh ada dalam kondisi yang berbeza dari itu.

Nota : kerana syarat sah-nya takbiratul ihram adalah wajib dilakukan sambil berdiri bagi yang mampu. Melakukan dengan cara selain dari itu, menjadikan solat tidak sah.

6. Takbiratul ihram tidak pernah ada disyaratkan harus diseiringkan dengan niyat solat.

Menggabungkan dua hal ini adalah mustahil. Kerana anggapan inilah, banyak orang yang ditimpa penyakit was-was ketika takbir, sehingga lafadz / perbuatan takbirnya dilakukan berulang-ulang kali.

Imam Al-Kasani Rhm. mengatakan :

إن تقديم النية على التحريمة جائز عندنا إذا لم يوجد بينهما عمل يقطع أحدهما عن الآخر

“Boleh mendahulukan niyat dari pada takbiratul ihram menurut madzhab kami (Hanafi),  tidak ada kegiatan apa pun yang menyelai (serentak) antara niyat dan takbiratul ihram.” Kitab Badai As Sonai, jilid 1 hal. 329

Imam Ibnu Qudamah Rhm. juga menegaskan :

قال أصحابنا: يجوز تقديم النية على التكبير بالزمن اليسير

“Para ulama madzhab kami (Hambali) mengatakan : Boleh mendahulukan niyat sebelum takbiratul ihram, selama tempohnya tidak lama.”
Kitab Al Mughni, jilid 1 hal. 339

7. Takbiratul ihram hanya dilakukan sekali dan tidak perlu diulang-ulang kali, yang ini umumnya terjadi kerana was-was dan tanpa ilmu.

8. Imam wajib menyebut / melafadzkan dengan kuat, manakala makmum dan yang solat sendirian, takbirnya dibaca perlahan, hanya terdengar pada dirinya sendiri.

Setakat ini yang termampu saya nukilkan. Insya”Allah boleh didapatkan lebih baik lagi pengetahuan dari pihak-pihak yang lebih faqih lagi.

Syukron jaazilan kepada Al Fadhil Ustadz Ammi Nur Baits Hfzh., anggota dari Dewan Pembina KonsultasiSyariah.com yang telah menyediakan kerangka tulisan asas.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

Nota : Tiada perbezaan diantara takbiratul ihram lelaki dan perempuan.


سكيان , والسلام


Read more...

Sifat Amalan Tahiyat Nabi S.A.W (siri 2)

0 ulasan
On Friday, August 30, 2013 6:32 PM, Abdul Razzaq Muhammad wrote :

Assalaam. sheikh.

Ada seorang kawan tanya sama ana soalan ni. Dia kata, dia ada menyaksi satu kes kat surau tempat dia tinggal. Dia mahukan kepastian dan pemahaman.

Ada beberapa jamaah mengerakkan lama-lama jari telunjuk semasa tahiyat, dan dihukum orang sebagai batal solatnya kerana bergerak lebih dari 3 kali. Ada ustaz datang bagi kuliah, seorang kata salah perbuatan itu dan seorang lagi kata tiada masalah dengannya dan dikatakan ada dalil pulak. Dah ramai yang pening apa sebenarnya hukum ini.

Nak pohon apa pandangan dan panduan dari tuan sheikh?

Wassalam

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

"Dia-lah yang mengutus kepada qaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Qur’an) dan Al Hikmah (As-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata."
Surah Al Jumu'ah : ayat 2

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

sambungan / (dari siri 1)……………..

Betapa para alim yang cetak fikirannya dalam menilai sesuatu perkara, ya’ni, apabila dia memilih/menerima salah satu cara sahaja seterusnya mendha’ifkan dan menghukum bid’ah dholalah (sesat) pula cara yang lain. Walhal amat jelas tiada apa pun yang bercanggah dengan hadis yang menyebutkan isyarat (angkat jari) sahaja dengan menggerak-gerakkan jari (tahrik) lantaran kedua-duanya sahih.

Justeru itu, bagi menerangkan perkara ini, Nabi S.a.w  kadang-kadang Yuharrik (menggerak-gerakkan jari telunjuk) dan kadang-kadang La Yuharriku (tidak menggerakkan, hanya memberi isyarat sahaja). Malah ini menunjukkan bahawa menggerakkan atau tidak menggerakkan itu bukanlah wajib dan sentiasa ada keluasan padanya (ya’ni perkara ikhtilaf, yang sentiasa boleh dipilih salah satu untuk diperlakukan), sehingga tidaklah layak sama sekali hal ini menjadi sebab untuk saling membid’ahkan dan mengkafirkan.

Baik sekali disebutkan kepada semua jamaah dan diri saya sendiri :

1.    Secara perkataan Nabi Saw. menyatakan perihal binatang aqiqah : 1 untuk perempuan dan 2 untuk lelaki. Tetapi dalam perbuatan terhadap cucunya Hassan dan Hussin Rhu. Baginda sembelih 1 sahaja tiap-tiap seorang.

2.    Kaifiyat tayamum : Baginda ada lakukan muka dahulu dan ada Baginda mulakan telapak tangan hingga pergelangan tangan dahulu

3.    Bab menyentuh kemaluan : ada Baginda sebutkan “ia hanya sebahagian dari anggota badan” bermaqsud tidak perlu berwudhuk semula dan ada Baginda sebutkan “berwudhuklah”.

Semua hadis ini adalah sahih dan matannya nampak jelas bersilang maqsud. Dan sesiapa yang lebih cenderung/suka kepada salah satu amalan, tiada hak sama sekali untuk menghukumkan haram, sesat, bid’ah atau kafir kepada amalan yang lagi satu. Ingatlah sekuatnya bahawa apa-apa yang telah diluaskan oleh Nabi Saw. sehingga wafatnya, tiada sesiapa pun berhak menyempitkannya.

Sekiranya ada, apa-apa jua ketetapan mahu pun keputusan yang bertentangan dengan keputusan Nabi Saw, maka kalamnya itu malah dia itu sendiri pun adalah bathil dan wajib ditolak, lantaran yang boleh membathalkan kalam Nabi Saw. adalah Baginda sendiri, dan tak pernah ada mana manusia pun diberi hak/kuasa setaraf Nabi Saw.

Banyak juga dilihat cara-cara lain dari cara yang dinyatakan ini, namun tidak pernah saya ketemui sebarang keterangan yang sahih dan qot’ie ke atasnya, melainkan mendengar cerita-ceriti dan pengkisahan begitu-begini dari bermacam ragam orang dan sumber, tetapi tidak dapat satu pun memberikan dasar kepada hukum itu apabila diminta. Ramai yang mengakui ia hanyalah dari pendapat, ijtihad, pandangan atau sangkaan sahaja.

Oleh yang demikian, untuk melaksanakan amalan tatacara solat ini, mestilah kembali kepada dasar paling asas ya’ni berdasarkan taufiqiyah (tawaqquf) yaitu bersumberkan amalan yang sohih. soreh dan qot’ie dari Nabi Saw. sendiri. Terhenti ia pada dalil dan nas.

Haram hukumnya mengadakan amalan dalam solat berdasarkan teka-tekaan, pendapat, pandangan dan suka-suka sahaja sedangkan setiap ciri/sifat amalan solat itu telah jelas dan tepat ditunjukkan lengkap contohnya / dan diwariskan oleh Nabi Saw. kepada kita semua. Sekaligus menafikan segala bentuk perbuatan, amalan atau pun kepercayaan bahawa amalan ibadah khusussiyah ini boleh ditambahi/dikurangi mahu pun direkacipta oleh manusia.

Ada pun mengenai amalan ketika tasyahhud yang masyhur dikalangan kita ini, hanya mengangkat jari telunjuk ketika melafadzkan إِلاَّ اللَّهُ illallah (dari kalimah لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ laa ilaaha illallah) ketika ber-syahadah. sebenarnya amalan ini tidak pernah saya ketemui ada keterangan contohnya dari Rasulullah Saw., para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-Tabi’in, malahan amalan ini juga bukannya ajaran imam Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i Rhm. Inilah perkara yang sepatutnya diperakkan dan dijakunkan, bukannya apa yang tsabit dari hadis sahihah.

Imam Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i Rhm. sendiri di dalam kitabnya agungnya Al-Umm berpendirian sama dengan jari telunjuk diangkat secara terus-menerus dari awal hingga akhir tahiyat, ya’ni pendirian yang jelas amat selaras dengan salah satu hadis yang telah dikemukakan di atas. Beliau Rhm. mencatatkan :

Dia menghamparkan tangannya yang kiri atas pahanya yang kiri. Dia menggenggam anak jari tangannya yang kanan atas pahanya yang kanan, selain telunjuk dan ibu jari. Dan dia menunjukkan (mengisyaratkan) dengan telunjuk.
Naqalan dari Kitab Al-Umm (Kitab Induk), jilid 1, halaman 277

Imam yang mulia Asy-Syafi’i Rhm. juga membawakan hadis riwayat dari Ibnu Umar  Rhu. sebagai sandaran dan pegangan, lalu beliau berkata :

Adalah Nabi S.a.w apabila beliau duduk dalam solat (ketika tahiyat – pen), beliau meletakkan telapak tangannya yang kanan atas pahanya yang kanan. Beliau menggenggam seluruh anak jarinya dan beliau mengisyaratkan dengan anak jarinya yang mengiringi ibu jari (jari telunjuk maqsudnya). Dan beliau meletakkan telapak tangannya yang kiri di atas pahanya yang kiri.
Naqalan dari Kitab Al-Umm (Kitab Induk), jilid 1, halaman 277

Demikianlah pendirian sebenar Imam Syafie Rhm. dalam hal ini. Para fuqaha’ Syafi’iyyah terawal  seperti al-Baihaqi, al-Mawarzi dan al-Mawardi Rhm. berpegang dengan pendirian ini. Malah imam al-Mawardi (Lahir di Basrah pada tahun 364H) menyatakan dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir Syarah Mukhtasar al-Muzani (jld. 2, ms. 132-133) bahawa fuqaha’ Syafi’iyyah pada zamannya mengamalkan kedua-dua pendapat iaitu :

1.    Mengangkat dan menggerak-gerakkan jari telunjuk dari awal sehingga salam, atau.
2.    Mengangkat jari telunjuk tapi tidak menggerakkannya secara terus dari awal sehingga salam.

Tidak ada pendapat bahawa mereka mengangkat jari hanya ketika menyebut kalimah (اللَّهُ إِلاَّ) illallah dalam tasyahhud. Dari sudut pertimbangan syara’, amalan ini tidak ada contohnya daripada Nabi Saw, para sahabat, tabi’ tabi’in dan tabi’in. Malah ia bukan juga dari pandangan Imam Syafi’e atau mana-mana ulama’ bermazhab Syafi’e yang muktabar sebelum kurun 5 hijrah.

Nota 1 : Justeru duduk semasa tahiyat ini melibatkan 2 bentuk ya’ni tahiyat awal (duduk iftirash) dan tahiyat akhir (duduk tawarruk), baik sekali saya nyatakan hadis yang jelas menunjukkan perbezaan antara keduanya. Antaranya adalah hadis berikut :

Dari Muhammad bin Amr bin Atha’ Rhu. menceritakan bahawa : kami pernah duduk bersama beberapa orang dari sahabat Nabi Saw. lalu kami pun menyebutkan tentang solatnya RasulullahSaw. Lalu berkata Abu Humaid As-Sa’idi Rhu. :

”Aku adalah orang yang paling menghafal diantara kalian tentang solatnya Rasulullah Saw.. Aku melihatnya tatkala bertakbir, menjadikan kedua tangannya sejajar dengan kedua pundaknya (bahu), dan jika ruku’, Baginda menetapkan kedua tangannya pada kedua lututnya, lalu meluruskan punggungnya. Dan jika Baginda mengangkat kepalanya , maka ia berdiri tegak hingga kembali setiap dari tulang belakangnya ke tempatnya.

Dan jika Baginda sujud, maka Baginda meletakkan kedua tangannya tanpa menidurkan kedua lengannya dan tidak pula melekatkannya (pada lambungnya - rusuk), dan menghadapkan jari-jari kakinya ke arah kiblat.

Dan jika Baginda duduk pada raka’at kedua, maka Baginda duduk diatas kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan (duduk iftirasy), dan jika Baginda duduk pada raka’at terakhir, maka Baginda mengkedepankan kaki kirinya dan menegakkan kaki yang lain, dan duduk diatas tempat duduknya – bukan di atas kaki kiri- (duduk tawarruk).
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. Kitab Al-Adzan, Bab: Sunnatul Julus Fis Solaah: Jilid 2 halaman 828

Dari matan semua hadis yang dinyatakan di atas, setakat yang mampu, telah ternyata sifat dan tatacara duduk semasa tahiyat di dalam solat. Cuma yang masih belum dinyatakan adalah bacaan-bacaan di dalamnya.

Nota  2 : Beberapa kali saya ulangi bahawa saya tidak ketemui keterangan (dalil) yang soreh, sahih dan qot’ie ke atas sesuatu amalan. Ini adalah kelemahan diri saya sendiri yang serba kekurangan dalam ilmu Allah Swt. dan rasul-Nya ini. Maka sesiapa jua yang lebih baik boleh memberikan butiran terperinci dan menampung segala kekurangan itu, sangat-sangat dihargai, dan boleh dikongsikan dengan saya.

Setakat ini sahaja lah yang dapat saya memberikan penjelasan dan pandangan seperti yang Tuan minta. Dan insyaAllah, saya telah pun menggunakan segala daya upaya saya yang termampu untuk menghasilkannya. Mudahan ia memberikan petunjuk yang jelas terhadap tatacara sebenar sifat tahiyat Nabi Saw. untuk dijadkan amalan.

Amat baik sekiranya Tuan dapatkan penjelasan orang lain yang lebih alim, faqih dan hebat berbanding saya yang serba faqir ini. Saya yaqin mereka mampu memberi penjelasan jauh lebih baik lagi.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.



سكيان , والسلام
Read more...