Sabtu, 30 Oktober 2010

PERTANYAAN MENGENAI KAYU KOKKA

0 ulasan

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

SALAM ABANG MAD, moga selamat sejahtera. Saya nak tanya kat Abang Mad, soalan mengenai KAYU KOKKA. Boleh tak terang lebih terperinci, apa sebenarnya yang ada kelebihan pasal KAYU KOKKA ini, sebab dalam masyarakat Melayu kita sekarang ini dah terlalu obses pasal benda-benda KAYU KOKKA ni.

Ada sesetengah beranggapan dan percaya yang
KAYU KOKKA ini sebagai pendinding diri dari gangguan jin serta setan, sihir dan benda-benda halus, membawa berkat, airnya jadi penawar penyakitnya, pelaris berniaga, murah rezeki la kalau disimpan dan macam-macam lagi la. Kerana tulah ramai orang buat tangkal, simpan dalam rumah, kereta, kedai, buat cincin dan macam-macam lagi. Bukankah kepercayaan yang pelik-pelik ini tahyul?

Harap Abang Mad boleh bagi penerangan lebih detail pasal
KAYU KOKKA ni. Saya hairan sungguh dengan tanggapan orang pada KAYU KOKKA ni. Tq
Regards
asmeer_ahmad@yahoo.com.my



السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, sahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh.

Saya mendapat soalan daripada asmeer_ahmad@yahoo.com.my, berkenaan kayu koka seperti dinukilkan dibawah. Sukar juga untuk saya menyediakan dan memaklumbalas jawaban ini lantaran melibatkan beberapa rujukan. Saya pernah melihat kayu koka dalam berbagai saiz dan rekabentuk dan juga harganya, terutamanya semasa di 2 Tanah Suci. Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang ceritera kayu koka ini, melainkan sejak tiga empat tahun kebelakangan ini.

Dari apa yang saya lihat sendiri, memang benar, orang sekarang telah mengguna pakai kayu koka ini dalam berbagai cara seperti cincin, buah rantai, tongkat, tasbih, manik-manik dan gelang tangan. Saya akui juga ada yang jadikan tangkal azimat, pendinding dari bala, pelaris berniaga, penghalang hantu syaitan dan macam-macam lagi. Sering juga saya terdengar cerita-ceriti tentangnya yang boleh berupaya itu ini dan memberikan kesan begitu dan begini. Pernah juga saya membaca buku kecil yang menyebutkan tentang bermacam penggunaan dan kebaikan kayu koka ini. Saya ada juga membaca flyers yang diberikan semasa di 2 Tanah Suci, juga menyebutkan hal kaifiat kayu koka dengan berbagai cerita.


Sepanjang pengetahuan saya, kayu koka ini adalah sejenis kayu keras, tahan lama dan berbau wangi yang pohonnya tumbuh di negara sub-gurun meliputi negara Arab, Turki sehinggalah ke Magrhribi dan utara Nigeria. Antara alkisah paling hebat pernah saya baca dan dengar-dengar tu :

1. Allah swt. perintahkan Nabi Nuh as. gunakan kayu koka bagi membuat kapal.
2. Allah swt. menjadikan tongkat Musa as. juga daripada kayu koka.
3. Kayu koka adalah yang paling direstui Allah swt. maka itu mempunyai banyak manfaat dan kelebihan.
4. Kayu koka digunapakai oleh para Anbiya' dan orang-orang alim dahulu lagi.


Di 2 Tanah Suci, orang negara kita suka mencari-cari kayu ini, sementelahan pula pilihan banyak dan berbagai bentuk. Sibuklah para pekerja hotel menjadi broker dan servis jual beli sampai ke dalam bilik. Pada saya, harganya mahal, namun banyak orang beli juga. Malah tiap kali rombongan negara kita sampai di mana-mana tempat berziarah, berduyun-duyun penjual kerumuni untuk menjual. Saat itu, terdengarlah macam-macam lagi kaifiat kayu koka itu, yang jauh lebih pelik dari yang biasa saya dengar dan baca. Memang sungguh memukau dan memikat, tak hairanlah ramai yang percaya dan rela membeli, kalaupun harga mahal dan tidak munasabah. Ditempat kita ini pun ramai para penjual, dengan ayat-ayat syahdu dan sedap bersulam segala macam cerita indah dan menusuk hati. Maka ramai yang terpikat juga, lantas membeli.


Untuk makluman semua, Islam sememangnya membenarkan ummatnya memakai dan menggunakan perhiasan. Kerana itulah, sejak zaman Nabi Muhammad saw. lagi, para sahabat memakai perhiasan dan tidak dilarang. Hal ini dinukilkan dalam banyak riwayat shohih. Ini termasuklah menggunakan batu permata, emas, perak, kayu dalam bentuk perhiasan di tubuh badan atau di rumah. Kerana itu, sekiranya kayu koka ini, semata-mata digunakan sebagai perhiasan, atas sebab seni, indah dan wanginya ataupun sebagai cenderahati kepada sahabat handai, tiada salahnya. Boleh juga diterima sekiranya atas dasar mewahnya dan uniknya. Maklumlah di zaman ini orang sukakan kelainan dan eksklusif, sementelahan pula berkemampuan. Ini adalah diharuskan.


Sepanjang saya belajar dan terus belajar sehingga kini, tiada pernah saya menemukan biarpun satu ayat Al Qur'an ul Aziiz mahupun sepotong hadis Nabi saw. yang menyebut tentang kayu koka, kaifiatnya, perintahNya untuk itu ini, kaitannya dengan para Anbiya' dan Auliya',  sepertimana yang disebut-sebut dan dipercaya oleh orang banyak. Memang tiada, dan saya pelik juga dari mana asal-usul, sumber dan epistimologi kepada segala alkisah dan ceritera itu. Harapnya para pembawa ceritera itu dapat kemukakan dalil-dalil shohih atas kata-kata mereka. Jika tidak dapat, hentikan saja amalan itu. Tolong ingat betul-betul, sesuatu yang dikaitkan dengan kepercayaan (iman) dan perlakuan para Nabi a'laihissalaatu wassalam, mesti dengan dalil shohih dan qati'e, bukan fiksyen atau dongeng. Allah swt.dan Nabi saw. tidak pernah mengkhabarkan dan mencontohkan seterusnya mewariskan kepada kita-kita ini, cerita dongeng dan karut marut serta sangka-sangkaan. Sepertimana kisah Ashabul Kahfi yang tidak mati, cuma tidur ratusan tahun dalam gua, yang kemudian bangkit semula, kalaupun logik akal kita hari ini tak boleh terima, namun ia adalah realiti. Wajib ke atas kita, yang mengucapkan 2 syahadah, mempercayainya tanpa rasa ragu atau ingkar. 


Permasalahan yang timbul seputar kayu koka ini dalam masyarakat kita adalah wujudnya hal-hal dan tanggapan lain yang bukan berkisar kepada perhiasaan semata-semata. Saya rungkaikan masalah itu mengikut kes begini ;

1. Halatujunya Adalah Perniagaan - para pengusaha dan penjual mengggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan untuk memasarkan kayu koka. Pasti sekali mereka ini pandai bermuka, bermadah dan merayu-rayu. Pastinya juga memasukkan unsur Islam iaitu mengaitkan dengan Allah swt. dan nabi-nabi merupakan cara paling ampuh untuk mendapat pasaran.  Tidak hairanlah dari mulut-mulut penjual itu akan terkeluar berbagai cerita ajaib dan pelik-pelik, menakjubkan orang mendengarnya, lantas percaya yang kata-kata palsu itu benar belaka, lalu membeli dan seronok pula dengannya. Maka, matlamat penjual itu dah tercapai tanpa mengira cara menjualnya. Pesanan saya, jangan permain iman dan tawadhuk orang dan jangan perguna Allah swt. dan para nabi-Nya untuk berniaga.   

2. Kepercayaan Membuta Tuli dan Mendekatkan Diri Kepada Ditipu - pernah saya terjumpa sekumpulan orang (sebenarnya rakan-rakan sebilik) masing-masing mendakwa yang kayu koka merekalah yang asli dengan pernyataan itu ini. Masing-masing mendakwa hak mereka itu boleh itu ini dengan harga begitu begini. Apa yang saya lihat adalah, berbagai jenis kayu sebenarnya, ada sangat keras, ada agak lembut, ada yang tiada bau, ada pula yang wangi. wangi itu pun bermacam, warna dan tona warna juga berbagai ragam, ada yang berat dan ada yang ringan. Memang tiada siapa pun boleh pastikan mana yang asli. Itulah sebenarnya berlaku. Dua-dua asli atau palsu itu tak dikenali pun. Namun, masih ramai yang tetap berbelanja sakan ke atas 'kayu koka asli' itu. Apa yang lebih patut, adalah tak beli langsung. Itulah yang sebaik-baiknya.

3.
Mengkaitkan Kayu Koka dengan Hal Ghaib Tanpa Dalil atau PerintahNya - kayu koka ini dipercayai boleh memberi barokah, berupaya memberi bekas, kemudharatan atau kemanfaatan, inilah i'tiqad, amalan dan perkataan yang dilarang oleh Islam. Malah, perbuatan itu adalah syirik yang amat jelas kepada Allah swt. dengan meyakini bahawa ada sesuatu selain Allah swt. yang boleh memberi kesan, mudharat atau manfaat. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah saw. dalam beberapa hadis :

“Barang siapa menggantungkan tangkal, maka Allah tidak akan menyempurnakan (imannya) dan barang siapa menggantungkan azimat, maka Allah tidak akan mempercayakan kepadanya.”
Hadis shohih riwayat imam Ahmad rh., imam Abu Ya’la rh. dan imam Hakim rh.

Abdullah bin Mas’ud ra. pernah mendapati isterinya memakai kalung yang ada padanya tangkal (benang dililit di lehernya). Beliau melucutkan tangkal itu dan memotongnya sambil berkata: “Seluruh keluarga Abdullah tidak boleh melakukan amalan syirik kepada Allah dengan sesuatu yang tidak pernah diturunkan oleh Allah keterangannya.” Kemudian beliau menyatakan yang beliau pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik. Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, jampi dan tangkal sudah kami tahu, apakah yang dinamakan ‘tiwalah’ itu? Baginda menjawab: Tiwalah itu ialah pekerjaan yang dilakukan kaum wanita supaya dengannya suami menyayangi isteri mereka.”
Hadis riwayat imam Ibnu Hibban rh. dan imam Hakim rh.

Menggantung dan memakai tangkal, menyimpan apa jua tangkal dalam bentuk batu, permata, kayu, kain, kertas, tulisan dan berbagai lagi asalnya adalah amalan jahiliah yang menggunakan sihir untuk sesuatu maksud. Setelah kedatangan Islam dan wahyu Allah, sudah tentulah amalan sebegini dihapuskan kerana harapan dan munajat orang Islam hanyalah kepada Allah, berdoa serta mengharapkan rahmat-Nya tanpa ada sesuatu lain dijadikan alat. Hari ini ada dua jenis tangkal yang berbeza, iaitu tangkal dibacakan ayat al-Quran, nama Allah atau doa dan jenis kedua, alat diperbuat daripada logam iaitu keris, paku, jarum, duit syiling, cincin, tembaga, timah, kulit binatang, misai atau kuku harimau, sisik tenggiling, benang, tasbih, kayu dan sebagainya.

Menurut ulama, tangkal yang ditulis ayat al-Quran, nama Allah, sifat-Nya dan doa tidak kira di mana digunakan, sama ada digantung di leher, diikat di pergelangan tangan, di pinggang, diletak di bawah bantal, di bawah alas tempat tidur, digantung di dinding, atau di atas rangka pintu tidak boleh digunakan berdasarkan kepada hadis umum :
“Sesungguhnya jampi dan tangkal juga tiwalah itu syirik.”
Hadis riwayat imam Ahmad rh. dan imam Abu Daud rh.

Juga berdasarkan kepada hadis daripada Aqabah bin Amir ra. yang bermaksud:
“Barang siapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia sudah syirik.”
Hadis riwayat imam Ahmad rh. imam Abu Daud rh. imam Ibn Majah rh. dan imam Ibn Hibban rh.

Bukanlah manusia tidak perlu berbuat apa-apa untuk mengelak daripada kecelakaan, tetapi ia harus dilakukan dengan ikhtiar yang tidak menyekutukan Allah. Untuk melariskan perniagaan, bukanlah dengan pelaris yang berupa tangkal, dijampi serapah dan dipacakkan di tengah gerai. Dan, bukanlah juga untuk menghalau hantu setan dan sihir dengan menggantungkan kayu koka ditubuh badan atau menyimpannya di dalam rumah.

Rasulullah SAW bersabda : “Berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Zat yang membuat penyakit, Dia pula yang membuat ubatnya.”
Hadis riwayat imam Ahmad rh.



Pasti juga, jika dikatakan ini kepada mereka yang mengamalkan kepercayaan dan perbuatan menghampiri tahyul dan khurafat ini, dengan bersifat tangkalan dan azimatan terhadap kayu koka, barang tentu mereka akan nafikan dengan sekerasnya. Maka, akan dikatakan itu hanyalah usaha dan ikhtiar semata-mata. Padahal mereka ini dengan jelas mencampuradukkan yang haaq dengan yang batil (dengan mempersekutukan Allah dengan selainnya). 

Sesungguhnya amalan mereka ini tertolak sepertimana disabdakan oleh Rasulullah saw. dalam sebuah khabar rabbani (hadis qudsi) :

dari Abu Hurairah ra, bahawasanya aku mendengar Nabi saw. bersabda : "Allah swt. berfirman, Aku adalah Zat yang paling tidak memerlukan persekutuan. Oleh kerana itu, barangsiapa mengerjakan suatu amalan yang ia persekutukan amalan itu untukKu dengan selainKu, maka Aku berlepas diri darinya".
Hadis riwayat imam Muslim rh. imam Ibnu Majah rh. imam Ahmad rh. dan imam at Thayalisi rh.

Maka, berhati-hatilah ke atas apa-apa amalan dan kerpercayaan ke atas kayu koka ini, agar tidak kita berlaku syirik kepada Yang Maha Agung, Allah swt. Moga saya telah membantu.

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام 

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Read more...

Sabtu, 16 Oktober 2010

Halalan Toyyiban.

0 ulasan
 

Assalamualaikum En Mad Zahir.
Isu makanan halal tidak pernah selesai dari dulu lagi. Baru-baru ini, saya ada mendapat e-mail serta risalah mengenai hidangan buffet(menu ramadhan) yang disediakan pihak hotel terkenal di Malaysia. Siap ada hidangan wine lagi. Bolehkah En Mad kupas sedikit isu makanan halal ini.



السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 
 بسم الله الرحمن الرحيم

Entah berapa kali, saya juga menerima email begini, juga sudah tidak terbilang kali saya membaca dan mendengar berita begini. Sekadar untuk menyatakan betapa hairan dan sedih kerana :

1. Para peniaga ini jelas sekali memang tidak ambil kisah Halal Haram, kalaupun memang menipu ummat Islam secara sedar (dengan niat). 
2. Ummat Islam sendiri pun kurang ambil kisah, masih mengunjungi kedai yang tidak tentu status, tanpa banyak soal.

3. Penguatkuasaan pun lembab juga (tak mahu komen panjang, sensitif). Sepatutnya dicadangkan begini, diinstitusikan saja apa-apa yang tidak mendapat sijil halal, ia adalah haram. Maka, tiada sijil Halal, tampal saja Sijil Haram. Rasanya dengan kaedah itu lebih mudah untuk ummat Islam memilih. Biar mereka menilai sendiri nak masuk atau tidak ke premis tersebut
Sempena bulan mulia ini, ingin saya berpesan sedikit kepada rakan-rakan tentang makanan halal ini. Permulaannya, apa yang penting sangat hal ehwal makanan halal ni! 

Harap difahami, Halal Haram mempunyai kaitan penuh dengan hidup manusia di dunia hingga akhirat, bukan setakat hal kenyang buncit perut sahaja. Ia adalah hal ketetapan dan perintah Allah swt. dan Rasul-Nya yang jelas dan qati’e, bahawa mesti tinggalkan yang Haram dan boleh mengambil yang Halal. Ini adalah hal ibadah dan syaria’h, penentu syurga atau neraka, neraca taqwa atau ingkar, dacing haaq atau batil, yang tidak boleh kita ambil mudah akan ia. Ini bukan perkara kecil.

Apa itu Halal : Secara bahasa ia bermakna dibenarkan (lawful). Secara syara’, makanan dan minuman yang diizinkan mengambilnya mengikut peraturan Islam dan tidak berdosa.
 
Apa itu Haram : Secara bahasa ia bermakna tidak dibenarkan (unlawful). Secara syara’, makanan dan minuman yang tidak diizinkan mengambilnya oleh peraturan Islam dan berdosa jika mengambilnya.
 
Yang tengah-tengah, Tak pasti, Shak atau Syubhah : Secara bahasa bermaksud meragukan. Secara syara’ bermaksud sesuatu pemakanan yang tidak jelas status hukumnya apakah ia Halal atau Haram. Perkara ragu-ragu ini boleh terjadi ke atas sesuatu yang jelas Halal atau Haram dulunya, kini tak pasti pula.
 
Mungkin sekali, di negara kita yang hebat ini, semua tempat makan berstatus Halal atau Ragu saja, tiada yang Haram, kerana itu orang kita berani masuk dan bedal saja, tanpa berkira-kira, tak ambil pusing. Bak kata Aiman, Aiman tak kisah.
Saya pun bukannya pakar pemakanan untuk cakap lebih-lebih, sekadar berpesan apa-apa yang tahu, untuk kebaikan kita bersama. 

Begini, 
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Jabbar,
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 168.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 87.

“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 88

Allah swt. Yang maha Memiliki apa-apa yang ada di langit dan di bumi, telah menciptakan makanan-makanan bagi manusia dan telah memisahkan yang Halal dan Haram daripada makanan-makanan tersebut. Dia-lah yang telah menentukan apa yang baik dan yang buruk bagi manusia. 


Dalam sebuah hadits, Rasulullah saw. pernah bersabda, 
Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas; dan di antara keduanya ada hal-hal yang musytabihat (syubhat, samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barangsiapa hati-hati dari perkara syubhat, sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya”
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh. Ini dari lafaz Muslim. 

Mengambil sesuatu makanan, selama tidak ada dalil shohih, baik dalam Al Qur’an maupun Al Hadits yang menggolongkannya sebagai Haram, maka sebaiknya kita kembali kepada hukum yang asal, yakni halal atau mubah. Namun harus diingat, mengelakkan hal syubhat atau meragukan, adalah tindakan yang sebaik-baiknya. 

Walaubagaimanapun, kedai mana, di mana, makanan apa, minuman apa, jelas sekali adalah hak kita untuk memilih, tiada siapa pun boleh memaksa sekiranya kita tak mahu. Sesungguhnya Halal, Haram dan Syubhat itu adalah jelas terpampang di depan kita. Tanyalah diri sendiri, apa yang kita mahu. Maka, pilihlah yang betul.

Wassalam. bersambung
Read more...