Khamis, 24 Februari 2011

Maulid Rasul SAW - Bahagian 2

0 ulasan
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Segala puji bagi Allah swt., Pencipta Sekelian Alam. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh. A'mma ba'du.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi maklumbalas ke atas artikel no. 1 terdahulu. Ada soalan menarik, kenapa saya menulis panjang. Jawaban mudah saya, prinsip dan dasar ilmu adalah ketepatan fakta dan hujjah seterusnya menghasilkan kesimpulan berdasarkan dalil qati'e. Perayaan maulid ini, hal amaliyah yang disandar dan ditujukan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Tidaklah layak sama sekali, apa jua ketetapan datangnya dari ilmu sangka-sangkaan, teka meneka, hearsay dan percaya membuta tuli sahaja. Kerana itu, tiada lain melainkan susur galur data dan hujjah itu mesti diterangkan dan difahami. Hakikatnya apa yang ditulis disini, adalah mukhtasor amat pendek sebenarnya. Atas satu-satunya sebab, supaya tidak kita menipu atas nama mulia Nabi SAW..
Saya sambung sedikit lagi perihal masyarakat Mesir sepanjang pemerintahan kelompok Ubaidiyun Batiniyah ini. Imam Ahmad bin Muhammad Ibnu Khallikan rohimahullah (608H - 681H) dalam kitab Tarikh Ad Daulah Al Fathimiyah (ms 202-218), menghuraikan 'sebahagian khalifah kelompok Ubaidiyun ini misalnya Al Hafiz (467H-544H) gemar mengunjungi gereja kristian, Al Amir (490H-524H) suka memberikan kepada pendeta di gereja sepuluh ribu darham setiap kali keluar berburu sehingga menyebabkan gereja sangat kaya dalam era pemerintahan Ubaidiyun. Ubaidiyun memperlakukan orang-orang yahudi dan nasrani dengan penuh ramah, melindungi, diberi pangkat dan harta.

Namun sikap mereka terhadap Ahli Sunnah amat berbeza. Ubaidiyun telah melaknat 3 Khalifah ar Rasyidin iaitu Abu Bakar, Umar dan Usman rha dan sahabat-sahabat lainnya dan menganggap mereka sebagai musuh Ali KMWJ. Keutamaan Ali KMWJ dan keturunannya di tulis di dinding masjid manakala seluruh khatib Jumaat melaknat, mencerca dan mencela amat hina 3 khulafa ar Rasyidin dan sahabat lain.

Ubaidiyun telah mewajibkan kepada seluruh pegawai Mesir untuk menganut mazhab Ubaidiyun Batiniyah, serta semua qadhi mesti menetapkan hukum mereka sesuai dengan fahaman undang-undang mazhab itu. Bahkan, untuk boleh menjadi pegawai pemerintah disyaratkan mesti masuk ke mazhab syiah itu sehingga mendorong sebahagian besar kafir dzimmi memeluk Islam, menganut mazhab itu dan diberikan kedudukan.

Diantara bukti jelas kebencian dan permusuhan Ubaidiyun batiniyah terhadap Ahlus Sunnah adalah perintah Al Aziz untuk menghentikan solat tarawih di seluruh Mesir pada tahun 372 Hijrah. Pada tahun 393 Hijrah, beliau menangkap 13 orang lalu dipukul, diseret dengan unta dan dipenjara kerana mereka solat dhuha. Pada tahun 381 Hijrah, seorang lelaki dipukul dan diarak keliling kota hanya kerana dia memiliki kitab Al Muwattha karya imam Malik bin Anas rohimahullah.

Butiran yang dinyatakan diatas dan sebelumnya adalah bukti jelas yang perayaan maulid nabi yang dimulakan oleh golongan ini seterusnya diikuti banyak manusia sehingga ke hari ini, adalah perlakuan satu mazhab sesat yang asasnya satu ritual yang diada-adakan bukan atas dasar taqwa dan penghormatan ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW sendiri.
Perayaan itu mereka lakukan bagi meyakinkan masyarakat pada masa itu bahawa mereka adalah keturunan Ahlul Baits seperti yang mereka dakwa. Selain itu, mereka menggunakan pelbagai bentuk perayaan ini bagi menjarakkan diri mereka daripada Khilafah Islamiyyah Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad. Imam Ibnul Muqrizi dalam kitabnya al Khuthathul Muqriziyah menceritakan mengenai bentuk dan perlaksanaan setiap perayaan tersebut. Ia dipenuhi ritual perbuatan, amalan dan kepercayaan yang bertentangan dengan Islam. Tidak saya naqal disini kerana pengkisahannya amat panjang.

Ingin juga saya sebutkan, adat sebagai manusia, tidak semuanya berkelakuan buruk.
Pada tahun 488H di zaman pemerintahan Khalifah Al-Musta’li Billah, perayaan ini telah dihentikan serta semua bentuk cercaan, hinaan dan cacian ke atas para sahabat Rasulullah turut dihentikan. Ini adalah jasa amat besar yang dibuat oleh seorang penglima perang  bernama Badrul Jamali rohimahullah. Namun begitu, keadaan ini tidak bertahan lama apabila ia diamalkan semula pada tahun 495H.

Para ilmuwan, fuqaha dan mufasirin terdahulu telah pun memberikan pandangan mereka berkenaan sambutan maulid nabi ini. Harus diingat baik-baik, hal maulid nabi ini tidak pernah disebut dan diperakui oleh imam mazhab yang empat, hanya ia dilakukan oleh orang-orang yang ratusan tahun selepas mereka. Ini terbukti oleh perakuan dan catatan oleh para ilmuwan dan fuqaha' yang antaranya :-
1. Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rohimahullah (700H-774H) mencatatkan dalam kitabnya al Bidayah wan Nihaayah (XI/ms 306) menyebutkan 'kolompok Ubaidiyun batiniyyah mengaku Fathimiyyin ini telah mula memerintah Mesir pada Ramadhan 362H. .... . Tidak pernah ada sesiapapun yang pernah mendahului mereka dalam melakukannya'.2. Imam Abdurrahman bin Ismail Abu Syamah rohimahullah (599H-665H) dalam kitab al Baits Ala Inkaril Bidah wal Hawadis menyebut 'maulid nabi merupakan bidah terbaik dilakukan pada masanya'.
3. Imam Al Hafiz Jalaluddin Abdurrahman As Suyuthi rohimahullah (849H-911H) dalam kitabnya Husnul Maqsud Fi Amali Maulid yang menyebut 'orang yang pertama melakukan maulid nabi adalah penguasa Irbil yaitu raja Abi Said Kaukaburi bin Zainudin Ali, salah seorang raja yang mulia'.
4. Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu Syeikh rohimahullah (1311H-1398H) dalam kitabnya Majmuu Fatawa war Rasaail (III/ms 59) menyebutkan 'bidah maulid nabi ini pertama kali diadakan oleh Abu Said Kaukaburi pada abad keenam hijrah'.

5. Lebih jelas lagi bahawa perayaan maulid nabi ini tidak pernah dilakukan oleh para salafus soleh menerusi kata-kata Imam Al Hafiz Ahmad bin Ali Ibnu Hajar Al Asqalani rohimahullah (773H-852H) 'pada dasarnya peringatan maulid nabi adalah bidah kerana tidak seorang pun dari kalangan salafus soleh tiga abad pertama yang melakukannya'. Catatan ini dipetik oleh imam As Suyuthi rohimahullah dalam kitabnya Husnul Maqsud Fi Amali Maulid.

Hal amat menjengkelkan yang berlaku dikalangan kita sekarang ini adalah, para pelaku perayaan maulid nabi ini membuat dakwaan bahawa perbuatan mereka adalah bersumberkan perbuatan Nabi SAW sendiri dan para salafus soleh. Walhal, amat jelas bahawa para imam muktabar dan ahli tarikh telah pun membuktikan bahawa faktanya bukanlah begitu. Salah satu punca perbuatan ini adalah didasarkan kepada hadis maudhu' dan munkar yang tidak pernah dihafaz, dikenal dan direkodkan oleh para muhadditsin seperti
'Barangsiapa yang menginfaqkan satu dirham pada hari kelahiranku, seakan-akan ia menginfaqkan emas seberat gunung Uhud' dan 'Barangsiapa yang mengagungkan hari kelahiranku, maka wajib baginya (mendapat) syafaatku pada hari qiamat'. Moga Allah SWT menganugerahkan siksaan, kecelakaan dan laknat tertinggi kepada manusia-manusia yang sebegitu berani menipu atas nama junjungan mulia Muhammad SAW dan menyesatkan jutaan ummat Islam.
Ada juga juga yang beralasankan hadis ini,
dari Abu Qatadah rodhiallahu anhu, beliau menceritakan 'Rasulullah ditanya tentang puasa hari Isnin? Baginda menjawab 'Itu adalah hari kelahiranku dan hari aku diutus menjadi nabi'.
Hadis sahih diriwayatkan oleh imam Muslim (II, no. 1162), imam Ahmad (V, no. 297) dan imam Ibnu Khuzaimah (III, no. 2117)
 
Secara begitu rambang mentakwil hadis ini, menggunakan secara salah perkataan Rasulullah ini untuk menghalalkan perayaan maulid nabi yang mereka buat, walhal apa yang Rasulullah buat hanyalah berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis sebagai cara Baginda mengingati hari kelahiran dan hari diutus menjadi nabi. Tidak lebih dari itu perbuatan Rasulullah, bahkan tidak sama sekali baginda menyambutnya pada tanggal 12 Rabiul Awwal setiap tahun dengan segala macam pesta-pestaan, upacara begitu begini dan pembaziran seperti sekarang ini. Jika benar mahu menyambut maulid seperti yang diperintahkan Rasul, maka berpuasalah (sunnat) setiap hari Isnin dan Khamis. Itulah contoh amalan Rasulullah dan tiada yang lebih dari itu. Sekadar bertanya, kenapa tidak dibuat apa yang dicontohkan Rasul ini?
 
Nota : Rasulullah SAW menganjurkan untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis secara serentak. Ini adalah hadis hasan diriwayatkan oleh imam Ahmad (VI, no. 80), imam Abu Daud (II, no. 814), imam Tarmizi (II, no. 744), imam Nasaie (IV, no. 152-153) dan imam Ibnu Majah (I, no. 1739). Rasulullah juga ada mengatakan bahawa Baginda suka amal perbuatannya dilaporkan pada hari Isnin dan Khamis dalam keadaan berpuasa. Ini adalah hadis hasan diriwayatkan oleh Ahmad (V, no. 20), imam Abu Daud (II, no. 814), imam Tarmizi (II, no. 214), imam Nasaie (IV, no. 201-202).     
Disebuah negara jiran (saya berada di sana satu minggu sebelum 12 Rabiul Awwal 1432H) terdapat gerakan besar-besaran untuk mengumpulkan orang untuk bersalawat beramai-ramai sempena maulid nabi bagi membuat rekod dunia manusia paling ramai bersalawat serentak. Saya ikuti juga perbahasan di sana tentang hal ini dan para pendokong gerakan ini menjelaskan perbuatan itu adalah untuk memakmurkan Islam dan Rasul sendiri merayakan maulid baginda. Saya nak beritahu, mungkin ada perintah nabi yang menyuruh berbuat seperti itu, tapi bukan nabi Muhammad SAW. Rekod perkumpulan manusia itu telah pun ada setiap 10 Zulhijjah, setiap tahun di Baitullah dan tanah haram dan semakin bertambah pun setiap tahun. 
 
Persoalan paling besar disini adalah mengkaitkan nama junjungan mulia nabi Muhammad SAW ke atas suatu amalan yang tidak Baginda buat dan tidak Baginda perintahkan. Ini adalah adalah satu penipuan dan kepalsuan jelas yang di'parking' ke atas peribadi suci Baginda. Tidak sepatutnya sama sekali perkara ini diperlakukan. Sesungguhnya Allah SWT telah berpesan kepada seluruh ummat Islam di dalam Al Qur'an ul Hakiim :
 
'Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui'.
Surah Al Hujurat (49) : ayat 1
 
Dan, Rasulullah SAW juga berpesan dalam sebuah hadis dari Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar :
 
'Barangsiapa yang mengerjakan suatu perbuatan yang tidak kami perintahkan (bid'ah), amalnya itu tertolak'
Hadis sahih riwayat imam Bukhari dan Imam Muslim rohimahullah.
 Wallahu a’lam...bersambung
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.
سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Khamis, 17 Februari 2011

Amalan Semasa Sakaratul Maut

2 ulasan

Subject: Amalan Semasa Sakaratul Maut

Salaam Tuan Haji,

Macam mana pendapat Tuan Haji tentang artikel yang saya dapat ni.


Assalammualaikum,

Menurut Ustaz, masyarakat Melayu telah lama buat salah dalam 'membantu' seseorang menghadapi sakaratul maut. Menjadi kebiasaan, kita akan mengelilingi orang yang tengah nazak dengan masing2 membaca surah Yasin, dengan bacaan yang tersendiri dan bermacam2 ragam (setengah dengan tartil, setengah bacaan laju). Perbuatan sebegini akan menjadikan orang yang tengah nazak merasa lebih kelam kabut (kerana menurut ustaz sebelum datangnya kematian, kita 'disibukkan' dengan segala gambaran perbuatan kita di dunia).

Kaedah yang sepatutnya diamalkan ialah:-

i) Lantik seorang yang bacaan Alquran nya baik (dari segi tajwid) untuk membaca surah Yasin - yang lain2 boleh bersama2 semak.

ii) Sebaik2 orang yang dilantik itu adalah anak ataupun saudara terdekat yang mempunyai perasaan kasih pada orang yang tengah nazak.

iii) Merenung wajah orang tengah nazak sebelum surah Yasin dibaca untuk menimbulkan rasa belas kasihan dan mudah2an surah yang dibaca boleh membantu pencabutan nyawa beliau.

iv) Membaca 3 hingga 4 kalimah Surah Yasin, berhenti, dan menolong (menuntun) beliau untuk melafaz "Laa ila ha illallah".

v) Kemudian menyambung semula bacaan, baca 3 hingga 4 kalimah, berhenti lagi, dan menolong beliau mengucap "Laa ila haillallah" lagi.

vi) Diteruskan sehingga lah beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Semoga ini dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuan kita dalam 'membantu' saudara mara atau mak ayah kita dalam menghadapi sakaratul maut. Dan semoga kita mendapat segala rahmat serta hidayah NYA dlm membuat amal kebajikan dengan cara yang betul bukan semata2 melalui ikutan adat. Amiin.

Wassalam.


وعليكم السلام
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah swt., Pencipta Sekelian Alam. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu, saya amat berterima kasih kepada Abang Z kerana sudi bersama-sama dalam group ini. Juga atas beberapa kali memberikan sumbangan idea dan dorongan. Sebenarnya, saya cuba untuk mengelak dari memberikan maklumbalas secara langsung dalam hal hukum dan amalan syari'at (Fiqh). Ini disebabkan beberapa hal yang antaranya, sikap suka menghukum membuta tuli tanpa melihat dan meneliti kepada kesahan hujjah dan dalil. Apa-apa butiran yang bertentangan dengan amalan semasa tidak dinilai kepada fakta dan buktinya tetapi dibenci dan ditohmah dengan nista. Keadaan ini begitu berleluasa. Lebih teruk lagi, sikap begini bukan sahaja lahir dikalangan orang awam yang pastinya kita maklum bahawa mereka kurang mengerti, tetapi didokong pula oleh golongan asatizah, yang sepatutnya lebih tenang dan terbuka dengan ilmu, bukannya sebagai penutup ruang ilmu dan pembuka ruang kepalsuan malah menjadi peniup bara fitnah dan kebencian.

Kerana itu, banyak sekali soalan Fiqh yang tertangguh dalam stok soalan, banyak juga yang agak sensitif sebenarnya, kalaupun saya amat berhasrat memberikan maklumbalas. Pengalaman terdahulu dalam hal tohmahan, penghinaan dan cercaan masyarakat, saya akui sedikit sebanyak telah menyentap semangat saya. Biarpun, tidaklah pernah ia mematikan semangat saya untuk terus menyampaikan da'wah ilmu ini. InsyaAllah, akan saya balasi yang lain-lain itu, apabila tiba masanya. Kepada rakan-rakan pemilik soalan-soalan itu, bersabarlah.

Bagi memenuhi permintaan Abang, maklumbalas saya adalah begini :- Sesungguhnya, amalan semasa sakaratul maut seseorang ummat Muslim itu telah pun ditunjukkan secara amaliyah oleh Nabi Muhammad saw.dan para sahabat Baginda. Itulah sebaik-baik contoh tauladan yang wajib diikuti oleh setiap ummat yang bersyahadah kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw. berbanding menggunakan akal-akalan, suka-sukaan dan adat resam yang tidak pun diketahui mana asal usulnya.

Antara perkara yang bermanfaat dan dituntut dikala berada dengan seseorang di sakaratul maut adalah mengajarinya dan membimbingnya menyebut Kalimah Tauhid (Tahlil). Ini ditegaskan oleh sabda Nabi saw:-

"Ajarilah (laqinu,talqin) orang-orang yang hampir mati dikalanganmu (mautaakum) akan ucapan (La ilaaha illallah) : Tiada Tuhan Melainkan Allah"
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh.

Menurut imam Zakaria Yahya bin Sharaf An Nawawi rh., lafaz 'mautaakum' di dalam hadis imam Muslim rh. ini bermaksud 'orang yang hampir mati dikalanganmu'. Orang-orang yang hadir disuruh mengingatkan pesakit agar mengucapkan Kalimah Tauhid (Tahlil) supaya ia menjadi ucapannya yang terakhir sepertimana kehendak Nabi saw. menerusi sabdanya :-

'Siapa yang akhir ucapannya : La ilaaha illallah, dikala hampir mati, maka dia akan dapat memasuki syurga pada suatu hari nanti, disuatu tempoh masa, sekalipun sebelum itu ia ditimpai sebarang halangan yang menimpainya'
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh.

Maksud mengajar (talqin) orang yang hampir mati itu, bukanlah dengan seseorang menyebut-nyebutnya (Kalimah Tauhid) dan memperdengarkan sahaja, malah beliau hendaklah menyuruh sisakit itu sendiri mengucapkannya dikala berasa ringan lidah (mudah) untuk menyebutkannya. Apabila sisakit telah mengucapkannya sendiri, maka tiadalah lagi perlu diulangi, melainkan setelah ia menuturkan kata-kata yang lain selepasnya, maka barulah diulangi kata-kata bimbingan Kalimah Tauhid (Tahlil) itu, supaya sentiasa tetap ia mengucapkannya sehingga akhir hayat. Inilah contoh amaliyah yang diperkenan oleh Nabi saw. menerusi sabda Baginda :-

'Bahawa seorang lelaki menziarahi seorang lelaki Ansaar, maka beliau berkata : Wahai pakcik, ucapkanlah La ilaaha illallah. Maka ada orang bertanya kepada Nabi saw. : Adakah orang itu pakcik sebelah ibu atau pakcik sebelah bapa? Maka Nabi saw. menjawab : Malah pakcik sebelah ibu. Sisakit itu bertanya kepada Nabi saw. : Adakah lebih baik saya yang mengucapkan La ilaaha illallah? Maka Nabi saw. menjawab : Ya'.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. Sanadnya adalah sahih mengikut kriteria imam Muslim rh. menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin Albani rh.

Pengajaran dari hadis ini, peranan orang sekitar sisakit adalah mengajarnya Kalimat Tauhid (Tahlil) itu sebagai usaha membimbing dan memperingatinya, supaya dia sentiasa menyebutnya sehingga ia menghembuskan nafas yang terakhir.

Didalam satu hadis lain, Nabi saw. bersabda :

'Siapa meninggal dunia sedangkan dia mengetahui bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah (Kalimah Tauhid), maka dapatlah (juga) dia memasuki syurga'
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh. Manakala yang terakhir ini adalah tambahan dalam riwayat imam Ibnu Hibban rh.

Perintah mengajar mengucap Kalimah Tauhid (Tahlil) ini merupakan satu perintah sunnat muakkadah (digalakkan), manakala ucapan yang pendek ini (tanpa Muhammad arRasulullah) adalah mencukupi sepertimana yang diperkenankan oleh Nabi saw. sendiri sepertimana haids-hadis di atas. Ini supaya sisakit itu tidak kelam kabut dengan kesempitan menghadapi maut dan kepedihan bala'nya, yang boleh menyebabkan hatinya tidak terbuka, dan boleh menyebabkan ia menuturkan kata-kata yang tidak menentu.

Amat perlu sekali, kepada kita yang hidup sihat ini, berpesan dan memperingati Kalimah Tauhid (Tahlil) kepada seseorang yang sedang menghadapi ketika genting sakaratul maut, sedang bersiap dan tengah mengalami kesengsaraan mati (yang tiada sunyi) dari hasutan syaitan la'natullah yang sentiasa mencari peluang (memesongkan aqidah), maka dengan cara sentiasa mengajar dan memperingatkan ia, maka dapatlah ia mengawasinya dan tetaplah tauhidnya kepada Allah swt. InsyaAllah. Sesungguhnya Allah swt. menyeru ummat mukminin agar selalu saling memperingati sepertimana firmanNya di dalam Al Qur'an ul Hakiim :

'Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman'.
Surah Adz Dzaariyat (52 ) : ayat 55.

Junjungan besar Nabi Muhammad saw. menyuruh orang-orang yang hadir mengajar bagi memperingatkan orang yang hampir mati (Kalimah Tauhid), dan menenangkannya (untuk menemui Allah swt.), memejamkan matanya selepas dia menghembuskan nafas yang terakhir dan menyempurnakan segala hak-haknya (menguruskan jenazah sehingga selesai).

Begitulah cara amaliyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. ke atas mukmin yang sedang menghadapi sakaratul maut. Dan, inilah tatacara yang sepatutnya diamalkan oleh kita. Berkenaan amalan membaca Surah Yaasin yang popular dilakukan oleh masyarakat kita di saat seseorang hamba Allah menghadapi ketika sakaratul maut, tiadalah lain ia merupakan adat budaya yang menjadi amalan sejak zaman berzaman. Amalan ini dikatakan bersumberkan kepada beberapa hadis, begini :

'Bacakanlah surat Yaasin kepada orang yang akan mati di antara kamu".
Diantara yang meriwayatkan hadits ini adalah imam Ibnu Abi Syaibah rh. (4:74) dan imam Abu Daud rh. (No. 3121).

Hadits ini lemah karena terdapat salah satu rawinya bernama Abu Utsman, beliau adalah seorang yang majhul (tidak diketahui), demikian juga dengan ayahnya yang juga majhul. Hadits ini juga mudtharib (goncang sanadnya/tidak jelas).

'Tidak seorang pun akan mati, lalu dibacakan Yasin di sisinya (maksudnya sedang naza') melainkan Allah akan memudahkan (kematian itu) atasnya'.
Hadits ini diriwayatkan oleh imam Abu Nu'aim rh. dalam kitab Akhbaru Asbahan (1:188).
 
Hadis ini adalah hadis palsu (maudhu') kerana di dalam sanad hadits ini terdapat seorang rawi bernama Marwan bin Salim Al Jazari. Berkenaan beliau ini, imam Ahmad rh. dan imam An Nasa'i rh. berkata, dia tidak bisa dipercaya. Imam Bukhari rh, imam Muslim rh. dan imam Abu Hatim rh. berkata, ia munkarul hadits. Kata imam Abu 'Arubah Al Harrani rh., dia sering memalsukan hadits.

Dan ada juga yang diqiaskan daripada hadis ini,

'Barangsiapa yang menziarahi kuburan kedua orang tuanya, lalu membacakan Surah Yaasin kepadanya, maka akan diampuni dosanya sebanyak jumlah kalimat atau hurufnya...'.
Hadis diriwayatkan oleh imam Ibnu Adi rh. (1/286), imam Abu Nua'im rh. dalam Akhbar Asbahan (2/344) dan Abdul Ghoni Al Maqdisi rh. dalam As Sunan (2/91).

Hadis ini berstatus dhaif kerana terdapat rawinya bernama Amr bin Ziyad, yang dikatakan oleh imam Daruquthni rh. sebagai 'Tukang Pemalsu Hadis'. Imam Ibnu Adi rh. sendiri mencatatkan : 'Amr bin Ziyad mempunyai hadis lain selain ini, sebahagiannya adalah hasil curian daripada orang-orang tsiqah (terpercaya), namun diantaranya ada yang palsu, dan dia itu tertuduh sebagai orang yang memalsukannya'.

Maka itu, tidak boleh sama sekali, sesuatu amalan itu diperbuat tanpa sumber yang sahih dan qati'e (putus). Melakukan amalan bersumberkan sebuah keterangan dhaif dan palsu, adalah terlarang dan merupakan suatu fitnah amat besar ke atas kesucian Islam. Maha suci Addin ul Allah ini dari segala macam kepalsuan. Imam Muhammad bin Idris asy Syafi'i rh. dengan tegas menyatakan : apabila sah sesuatu hadis, itulah mazhabku.

Sesungguhnya. apa yang telah ditunjukkan dan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw., dalam amalan menghadapi sakaratul maut, itu lebih dari cukup sebagai amalan kepada kita. Apabila hal ini difahami betul-betul, maka tidaklah berlaku kepeningan dan kerumitan seperti yang Abang Z tanyakan. Hakikatnya, apabila suka mengadakan sesuatu yang tak ada, maka bersusah-susahlah pula dengan begitu-begini untuk mengadakannya, maka amat baik sekali, tiadakannya. Selalunya, bersibuklah sangat kita-kita ini dengan hal tak disuruh malah hal terlarang, sedangkan begitu banyak suruhan yang sahih dan qati'e, kita tak buat pun. Begitulah.

Wallahu a'lam

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Rabu, 16 Februari 2011

Maulid Rasul SAW - Bahagian 1

2 ulasan
Salam Ustaz Zainon, Md Zahir

Apa khabar sekarang ?

Disini pun hebat juga dikalangan orang Malaysia yang baru datang ke Saudi ni sebab perkara-perkara seperti dibawah ini yang terbawa- bawa dari Malaysia semasa berada disini dan ada yang baru menyedari mengenai perkara itu bidaah.
Tapi, bagi yang tidak mahu menerima hakikat apa itu bidaah, masih kuat pegangan mereka sebab mereka juga di bantu dari belakang dengan hujah-hujah dari Ustad ustaz yang terbilang di Malaysia.

Sila beri komen dengan soal jawab yang di berikan oleh individu individu seperti dalam email dibawah ini.
Ada lagi issu isu yang saya akan hantar lagi lepas ni untuk dikomen dengan bersandarkan Quran dan Hadits supaya mendapat pertunjuk untuk dikongsi bersama.

Wassalam


Salaam,

May be Bro Dr Ismail can give some example,  how the the Khalifah ie Syadina Abu Bakar, Syadina Omar, Syadina Othman or Syadina Ali celebrated the birthday  ( Maulid)  of Our beloved Prophet.


As recorded in authentic books of Tradition, including Bukhari and Muslim, God’s Messenger, upon him be peace and blessings, declared:

        The best of people are those living in my time. Then come those who follow them, and then come those who follow them. Those will be followed by a generation whose witness is sometimes true, sometimes false.4

In his Hilyat al-Awliya’, Abu Nu‘aym quotes ‘Abdullah ibn ‘Umar as saying:

        Whoever desires to follow a straight path, should follow the path of those who passed away. They are the Companions of Muhammad, upon him be peace and blessings. They are the best among his Ummah, the purest in heart, the deepest in knowledge, and the farthest from false display of piety. They are a community whom God chose for the company of His Prophet and the conveyance of His religion. Try to be like them in conduct and follow their way. They are the Companions of Muhammad, upon him be peace and blessings. I swear by God, the Lord of the Ka‘ba, that they were on true guidance.5


Asalamualaikum,
I have been asked many times about the Miladu Nabi SAW
Herwith i attach those that critize about the participation on the Majlis Maulidu Rasul SAW.

I have referred to many JAKIM - JAIS and YADIM books and they have more than 350 Sanads
and evidences that Maulidu Rasool SAW as a well regarded act that brings Blessings, Mercy, Peace
Happiness into the Life of the believer of the Holy Prophet (SAW). Below questions and answers are
very good for the wahabbis and those who avoid participating in the majlis. If it is bidaah Sayeeah definetely
JAKIM and YADIm will never promote it to create confusion and chaos of Aqeedah among the Ummah.
Allah SWT Does Make Salawat to His Beloved Prophet (SAW) with all Malaikaats every moment of the time.

Dr Ismail Kassim

SOALAN
Ada Nabi Mulia SAW meraikan hari jadi baginda?
Pada suatu hari, ramai sahabat mendapati Nabi (SAW) berpuasa pada hari Isnin - dan bertanya Ya Rasool Allah , kenapa RasulALLAH SAW Berpuasa pada hari Isnin dan apa ke istemewaan-nya?
- Jawab Nabi SAW - Hari ini adalah hari kelahiran aku.

Ada Rasool SAW mengalakan pembacaan Qasidah dan syair-syair memuji Nabi SAW semasa beliau di Madinah dan Makkah?
Ramai dari para kalangan Sahabat - sahabat Nabi SAW yang membacakan Qasidah kepada Nabi (SAW) dan Nabi SAW memuji mereka dan memberi bermacam gelaran yang terpuji dihadapan para-para sahabat. ( Banyak Hadis dari Kitab Tarmizi , Sanad Abu Sunan dan lain-lain)

I will try to get the full hadis ( this is good enough to let everyone Know - It was our Holy Prophet (SAW) that celebrated his Own birthday)

Adakah Nabi SAW mendengar dan mempergalakan para sahabat-sahabat membaca Qasidah dan juga sambutan meriah ke Madinah oleh para ansar ?

Terbukti dalam sejarah Nabi SAW dan juga para sahabat yang di sambut dengan Semulia -mulia sambutan memperdengarkan Qasidah Tholaal Badru Alaina , dan beberapa Qasidah yang lain. Ini sduah cukup sebagai bukti kukoh bahawa Qasidah dan Bacaan Kisah kelahiran Nabi Mulia Muhamaad (SAW) adalah satu amalan yang di kasihi Nabi SAW sendiri dan membawa Rahmat dan berkat.Dan dengan bacaan salawat dan Qasidah itu Allah SWT dan Para Malaikat -malaikat membaca Salawat bersama-sama mereka yang bersalawat pada Nabi (SAW).

Kenapa kita ucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW sahaja, sedangkan Nabi-nabi dan Rasulul-rasul yang lain kita hanya ucapkan selamat sejahtera?

Jawapan
Selawat ke atas Nabi SAW adalah perintah wajib daripada Allah SWT. Selawat ke atas Nabi-nabi yang lain tidak diperintah, cuma adabnya apabila kita menyebut nama mana-mana Nabi atau Rasul adalah elok kalau diucapkan selamat atau sejahtera (‘Alaihi al-Salam).

Manakala apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau apa-apa nama baginda hendaklah berselawat ke atas baginda (Sallallahu alaihi wa sallam). Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke atas baginda digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi serta macam-macam ancaman lain.

Maka ada beberapa perkara yang perlu diketahui umum kenapa wajib kita berselawat ke atas Nabi SAW berbanding Nabi-Nabi yang lain.

1- Apabila seseorang itu berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana menurut perintah Allah SWT sedang Allah juga berselawat ke atas baginda maka selawat Allah SWT bermaksud pujian dan kemuliaan baginda berbanding Rasul dan Nabi yang lain. Manakala selawat manusia ke atas baginda bermaksud doa supaya Allah SWT mengangkat kedudukan baginda ke tempat yang lebih terpuji.

2- Sebagai mentaati perintah Allah SWT ke atas hamba-hambanya agar berselawat ke atas baginda SAW. Dalam surah al-Ahzab Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56).

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa berterusan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Juga bermaksud kedudukan baginda serta kenikmatan yang diperoleh baginda sama ada di dalam alam barzakh mahupun di dalam syurga adalah sentiasa bertambah dan lebih mulia berbanding dengan Nabi-nabi yang lian.

Sekali gus para ulama berpendapat bahawa Allah SWT hanya berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW secara khusus berbanding dengan Nabi-nabi yang lain. Adapun Nabi dan Rasul-rasul yang lain menerima ucapan kesejahteraan dengan ucapan salam tanpa selawat. Di dalam sepotong hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat yang bernama Bashir bin Sa’ad:
Kami diperintah Allah agar mengucapkan selawat ke atas kamu wahai Rasulullah, maka bagaimana caranya kami harus mengucapkan selawat itu, lalu baginda diam terlalu lama sehingga ada yang mengharap alangkah baiknya kalu dia tidak bertanya soalan itu kepada baginda. Kemudian barulah baginda bersabda bahawa: ” Ya Allah selawatlah atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah memberikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan anugerahi ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau anugerahi Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Nabi Ibrahim di dalam alam sekelian, sesungguhnya engkau adalah yang Maha terpuji lagi Maha Mulia. Kemudian ucapkanlah salam sebagaimana yang telah kamu ketahui. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tarmidzhi).

3- Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah wajib berdasarkan ayat di atas. Kewajipan ini ditunaikan melalui solat lima waktu yang menjadi selawat itu wajib dalam setiap tasyahud.

3- Baginda Rasulullah SAW adalah penghulu kepada Semua Para Rassol dan Anbiya dan juga penutup seluruh Anbiya, baginda telah menyempurnakan syariat bagi panduan hidup manusia.

4- Baginda Rasulullah SAW adalah pemilik syafaat di mahsyar, bagi mereka yang taat kepada perintah Allah dan Rasulul-Nya juga memperbanyakkan selawat ke atas baginda akan mendapat syafaat.

5- fadilat selawat yang sangat agung, melalui selawat Allah menjanjikan keampunan, kelapangan, keberkatan, kerahmatan dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang menanti orang yang banyak berselawat.

-
Dr Ismail Bin Hj Kassim




Subject: Maulid Rasul SAW - Bahagian 1

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah swt., Pencipta Sekelian Alam. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh. A'mma ba'du.


Terima kasih atas pertanyaan yang dikemukakan oleh Abang Zin. Saya mengambil sedikit masa bagi menyediakan maklumbalas berikutan memerlukan beberapa rujukan. Menerusi artikel ini saya mencuba sebaiknya untuk memberikan fakta sebenar tentang perayaan maulid rasul. Saya juga turut dipanggil memberikan kuliah sempena sambutannya beberapa kali. Dan setiap kali itu juga saya menceritakan fakta tepatnya. Pernah ada soalan dari hadirin mengenai hukum orang menyambut dengan begitu-begini, lantas jawaban mudah, saya hanya memberitahu apa yang sebenarnya untuk kebaikan semua dan itulah hakiki peranan saya. Hal hukum ke atas orang yang tahu tetapi masih melakukan, Allah dan Rasul-Nya telah pun memberikan jawabannya. Besar amat beban yang saya sendiri tanggung sekiranya tidak menyampaikan kebenaran, berbanding memikirkan hukuman ke atas perbuatan orang lain yang saya tiada kuasa pun ke atas mereka.

Kurun utama yang disabdakan oleh Rasul SAW iaitu abad pertama, kedua dan yang ketiga Hijriyah telah berlalu. Dalam tempoh itu, tiada tercatat walau seorang pun Sahabat, Tabiin, Tabiut Tabiin, imam mahazibul arbaah dan para ulamak selepasnya melakukan ritual perayaan maulidur rasul ini. Padahal, berbanding sesiapapun di kalangan kita yang mutakhirin ini, mereka adalah orang paling hampir kepada Nabi SAW, mengenali Baginda lahir batin, mencintai Baginda melepasi kecintaan dunia dan diri sendiri selain Allah SWT, paling tahu dan taati sunnahnya dan paling komited mengikuti perintah dan syariatnya. Jika benar sambutan maulid itu mulia, dituntut dan disunnahkan oleh Rasul SAW, apa mungkin golongan mulia ini menolak sunnah Rasul dan meninggalkannya?

Kelompok pertama yang mengadakan sambutan maulidur rasul ini adalah Bani Ubaid Al Qaddah, yang mengangkat diri mereka sendiri sebagai Fathimiyyin dengan, menisbatkan diri kepada keturunan Amirul Mukminin Ali Bin Abi Talib KMWJ. Padahal, sebenarnya mereka adalah pendiri dakwah Batiniyyah, disebabkan nenek moyang mereka adalah aslinya Ibnu Dishan (juga dikenal al Qaddah), berasal dari Al Ahwaz (kota antara Basrah dengan Farsi) yang turut dikenali sebagai salah seorang pendiri mazhab batiniyyah. Lantas dakwaan nasab mereka kepada Ali KMWJ adalah pembohongan semata-mata. Imam Ahmad bin Muhammad Ibnu Khallikan rohimahullah (608H - 681H) dalam kitab kibarnya Wafayaatul Ayaan (Jilid III/ms 117-118), telah menghuraikan panjang lebar kisah penipuan nasab (garis keturunan) mereka ini dengan menyimpulkan 'para ulamak yang terpecaya dalam bidang ilmu nasab telah menyanggah dakwaan garis keturunan mereka itu'.

Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rohimahullah (700H-774H) mencatatakan dalam kitabnya al Bidayah wan Nihaayah (XI/ms 306) menyebutkan 'kolompok Ubaidiyun batiniyyah mengaku Fathimiyyin ini telah mula memerintah Mesir pada Ramadhan 362H. Perlu diketahui, dalam tempoh pemerintahan kelompok inilah bermula adanya berbagai sambutan maulid dan perayaan yang tak pernah ada sebelumnya di dalam syariat islam, khususnya sambutan maulid Rasul. Tidak pernah ada sesiapapun yang pernah mendahului mereka dalam melakukannya'. Disinilah asal sambutan perayaan maulidur rasul ini bermula.

Imam Ahmad bin Ali Al Ubaidi Ibnul Muqrizi rohimahullah (766H-845H) dalam kitabnya al Khuthathul Muqriziyah (I/ms 490) yang banyak menceritakan perihal perayaan kelompok Ubaidiyun batiniyyah ini berikutan, beliau adalah pemuka kelompok ini dengan mencatatkan 'para khalifah Dinasti Fathimiyyah memiliki beberapa hari raya dan hari peringatan dalam setahun penuh yaitu : perayaan tahun baru dan awal tahun, perayaan hari Asyuura, perayaan maulid Nabi, perayaan maulid Ali bin Abi Talib, perayaan maulid Hassan bin Ali, perayaan maulid Hussin bin Ali, perayaan maulid Fathimah binti Muhammad SAW, perayaan maulid khalifah yang sedang berkuasa, perayaan awal Rajab, perayaan malam nisfu Rajab, perayaan awal Sya'ban, perayaan malam nisfu Sya'ban, perayaan awal dan tengah dan akhir Ramadhan, perayaan Iedul Fitri, Perayaan Iedul Adha, perayaan upacara kematian, perayaan menyambut musim hujan, perayaan menyambut musim kemarau, perayaan penaklukan Teluk Arab, perayaan hariraya Nairuz (tahun baru Iran), perayaan hari al Ghutas (hari ke 6 bulan Januari), perayaan hari ulang tahun, perayaan hari khamisal ads (membawa kacang ads pada hari Khamis), perayaan hari Rukubat (hari keluarnya khalifah ke tempat rekreasi dengan menaiki kenderaan, Sabtu dan Selasa) dan sebagainya'. Malah Ibnul Muqrizi menceritakan mengenai bentuk dan perlaksanaan setiap perayaan tersebut.

Saya petik penjelasan dari imam Ibnul Muqrizi ini lantaran beliau adalah pemuka kelompok Ubaidiyun sendiri bukannya musuh mereka supaya faktanya adil, bagi menegaskan bahawa kelompok Ubaidiyun inilah penyebab terjadinya bencana ke atas umat muslimin dengan membuka pintu perayaan tanpa contoh rasul SAW dan diluar syariat Allah SWT seluasnya. Hinggakan mereka merayakan hariraya majusi dan kristian (hari Nairuz, tahun baru Iran yang orang saling menumpahkan air diantara mereka/ hari al Ghutas/ hari ulang tahun/ hari Khamis Ads). Sekilas pandang tiada apa yang tidak kena dengan sambutan perayaan ini, namun hakikatnya itu adalah bukti nyata mereka menjauhi Islam. Kelompok ini menghidupkan 6 bentuk maulid sekaligus, maulidur Rasul salah satunya, bukannya atas hasrat cinta kepada Rasul SAW dan ahlul baits Baginda, akan tetapi sebenarnya mahu menyebarluaskan fahaman Ismailiyah Batiniyah anutan mereka serta menyerukan aqidah sesat itu kepada manusia. Mereka hakikatnya menjauhkan muslimin daripada aqidah suci menerusi perayaan sebegitu dengan cara menggalakkan muslimin menghidupkannya. Barang tentu juga, supaya mereka boleh mendapat faedah dan keuntungan harta dari ritual perayaan sebegitu.

Dasar kelompok Ubaidiyah Batiniyah yang taksub Syiah dan memusuhi Islam dan para Muslimin amat jelas seperti yang diceritakan oleh Ibnul Muqrizi dalam al Khuthathul Muqriziyah (II/ms 246) 'pada bulan Safar 395H, cercaan dan laknat untuk para salaf (yakni para sahabat dan orang bukan Syi'ah) ditulis diseluruh masjid, termasuk di masjid Al Atiq (di Qahirah, masjid pertama di Mesir) baik di bahagian atas, bahagian bawah malah sekelilingnya. Cercaan dan laknat itupun ditulis dipintu-pintu kedai, di batu, dan dimakam-makam. Bahkan, cercaan dan laknat itu diukir dan diberi warna dengan warna tembaga dan warna emas. Hal itu juga dilakukan dipintu-pintu rumah dan pintu kompleks rumah besar. Lebih dari itu, orang ramai dipaksa untuk terlibat dalam perlaksanaannya'. Dan di dalam kitab Wafayaatul A'yaan (III/ms 110) menceritakan 'hampir sepanjang pemerintahan Ubaidiyun, laknat terhadap Ahlus Sunnah terus mengalir dibibir para khatib diseluruh Mesir. Pemandangan tersebut berterusan hinggalah kepada zaman pemerintahan Al Adid (khalifah terakhir) yang amat fanatik terhadap mazhab Syiah dan berlebihan dalam mencela para sahabat. Sampaikan, ia menghalalkan darah setiap Ahlus Sunnah yang dilihatnya'.

Namun begitu, terdapat riwayat lain yang menyatakan maulid rasul ini dimulakan di tempat lain seperti :
A.     Imam Abu Syamah rohimahullah dalam kitabnya al baits Ala Inkaril Bidah wal Hawadis yang menyebut 'maulid nabi merupakan bidah terbaik dilakukan pada masanya. Orang pertama sekali melakukan perayaan itu di kot Mosul (Iraq) adalah Syeikh Umar bin Muhammad Al Mala, seorang salih yag terkenal kemudian diikuti oleh Penguasa Irbil'.
B.     Imam Al Hafiz Jalaluddin As Suyuthi rohimahullah dalam kitabnya Husnul Maqsud fi Amali Maulid yang menyebut 'orang yang pertama melakukan maulid nabi adalah penguasa Irbil yaitu raja Abi Said Kaukaburi bin Zainudin Ali, salah seorang raja yang mulia'.
C.     Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu Syeikh rohimahullah (1311H-1398H) dalam kitabnya Majmuu Fatawa war Rasaail (III/ms 59) menyebutkan 'bidah maulid nabi ini pertama kali diadakan oleh Abu Said Kaukaburi pada abad keenam hijrah'.      

Contoh 3 riwayat tersebut setelah disemak juga adalah benar tsiqah, sama seperti pernyataan imam-imam sebelumnya di atas. Setelah disemak dari sudut tarikhnya, didapati yang zaman pemerintahan Ubaidiyun Batiniyah di Mesir adalah berlaku terlebih dahulu (bermula 362H) berbanding catatan oleh Imam Abu Syamah dan Imam Suyuthi yang merujuk peristiwa di Mosul dan Irbil (Iraq) yang bermula pada 549H. Tiada apa yang bercanggah pun dalam dua keadaan ini melainkan satu menceritakan apa yang berlaku di Mesir (yang lebih dahulu) dan satu lagi di Mosul dan Irbil (Iraq, yang terkemudian).

Adalah jelas disini, berdasarkan catatan sejarah yang tsiqah ini, perayaan maulid nabi ini adalah mula dirayakan di Mesir oleh kelompok pemerintah Bani Ubaidiyun sekitar pertengahan kurun ke 4 Hijrah seterusnya dibuat di Iraq pada pertengahan kurun ke 6 di Iraq. Ia bukanlah amalan Nabi SAW sendiri dan kurun-kurun generasi mulia selepas Baginda wafat. Bagaimana perayaan maulid ini berkembang dan diamalkan di nusantara melayu ini, tidak pula saya ketahui. Mungkin ada sarjana lain yang membuat kajian khuus tentang hal ini.

Wallahu a’lam...bersambung

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام
      

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...