Jumaat, 26 Oktober 2012

Peringatan Allah Tentang Orang Kafir

0 ulasan


Peringatan Allah Tentang Orang Kafir

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani rutin kehidupan sehari-hari kepada semua jamaah seraya mendoakan agar sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang teguh kepadaNya dan menerima semua amalan kita. Saya berlindung diri dengan Allah Tabaraka Wata’ala dari sebarang kesilapan dan kekhilafan, serta memohon pimpinanNya sentiasa dalam menukilkan artikel ini.

Saya ada menerima 7 soalan juga permintaan supaya memberikan maklumbalas berkenaan hal mengundi orang kafir, memilih orang kafir sebagai pemimpin, menjadikan orang kafir sebagai idola, sebagai teman aqrab, mempercayai orang kafir sebagai pemimpin lebih baik dari saudara Muslim sendiri dan seterusnya menuntut penjelasan menurut syara’ yang sebenarnya. Saya dapati soalan-soalan sebegini hadir pada musim politik tanahair ketika ini sedang hangat dengan isu kafir dan yang sama waqtu dengannya.

Alam politik ini rupanya macam buah-buahan juga, ada musim-musimnya. Sepanjang pengetahuan saya juga, perkara ini sudah pun berlarutan puluhan tahun, macam biskut sekejap timbul sekejap tenggelam. Selalunya timbul dengan hangat bila menjelang pilihanraya. Yang menjengkelkan, sehingga kini tiada satu apa pun consensus dan kesudahan yang dapat dicapai, melainkan terus menjadi polemic dan punca perbalahan tanpa henti-henti.

Baik sekali saya sebutkan, ulangan yang entah ke berapa kali, saya memang kurang gemar memberikan ulasan ke atas isu semasa begini kerana tidak suka terlibat dengan kontroversi dan kekecohan. Terlalu banyak hal yang kita-kita ini terlebih emosional dari rasional serta lebih perasaan dari fikiran terutamanya dalam hal politik dan agama. Kita-kita ini lebih suka mengikut "lubang biawak' masing-masing berbanding bermanhaj “Wasithiyah” seterusnya mencari yang Haq yaitu Kitabullah dan as sunnah rasulNya sebagai "sebaik-baik penghuraian".

Oleh itu, sesiapa rakan serta pembaca yang berminat untuk terus membaca artikel maklumbalas ini disebalik muqaddimah yang tak sedap di dengar ini, dipersilakanlah membacanya sehingga habis dan boleh di'forward'kan kemana-mana, hakcipta tak terpelihara dan saya bertangungjawab penuh ke atasnya.

Baik sekali saya mulakan dengan ayat Allah Swt. yang dengan sendiri telah menjelaskan maksudnya.

“Sekali-kali tidak akan orang yahudi dan nasrani redha (suka) kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar). Dan sesungguhnya, jika kamu ikut kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepada kamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 120

Ibnu Jarir rh. menyatakan : yang dimaksudkan dengan firmanNya itu adalah, Wahai Muhammad, orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan pernah redha kepadamu selamanya, kerana itu tak usah lagi kamu cari hal yang dapat menjadikan mereka rela dan sejalan dengan mereka. Akan tetapi, arahkan perhatian kamu untuk mencapai redha Allah dengan mengajak mereka kepada Al Haq (kebenaran) yang kamu diutus dengannya. Dan firmanNya “Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)” berarti : Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya petunjuk Allah yang Dia telah mengutusku dengannya adalah petunjuk yang sebenarnya, yaitu Ad Diin yang lurus, benar, sempurna dan menyeluruh.

Dalam ayat tersebut terdapat ancaman keras terhadap ummat yang mengikuti cara-cara yahudi dan nasrani setelah mengetahui isi Al Qur’an dan As Sunnah. Kita memohon perlindungan kepada Allah dari hal itu. Khithab (sasaran pembicaraan) dalam ayat ini ditujukan kepada Rasulullah Saw. tetapi perintahnya ditujukan kepada seluruh ummatnya. Majoriti fuqaha’ menggunakan firman Allah “sehingga kamu mengikut agama mereka” sebagai dalil bahawa semua kekufuran itu adalah satu Millah (agama), kerana Allah telah menggunakan kata Millah dalam bentuk mufrad (tunggal) seperti juga yang difirmankan Allah Ta’ala “bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku” (Surah Al Kafirun (109) : ayat 6).
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Tafsiir ul Qur’an ul Adziim, Jilid 1, halaman 242    

Secara ringkas, makna kafir secara lughah (bahasa) berasal dari mufradat kufr yang berarti ingkar, menolak atau menutup. Ingkar yang dimaksudkan adalah tidak mahu patuh dan menentang arahan Allah Swt. dan rasulNya. Lantaran lafadz kata kafir ini datangnya dari Kalamullah, ia telah diterangkan sendiri oleh Allah Swt. di dalam Al Qur'an ul Adziim dalam banyak ayat dengan berbagai bentuk dan sifat. Secara umum, dari segi isthilah (syara’) berarti orang-orang yang (secara i’tiqad dan amaliyah) tidak menerima Islam sebagai Ad Diin dan tidak mahu tunduk patuh kepadanya. Dalam kata lain, orang-orang tidak beriman kepada Allah Swt. dan rasulNya ya’ni bukan Islam.

Diantara ayat yang memberikan makna kafir secara umum ini adalah :-

“Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, (sama ada) kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 6

"… Maka ada di antara mereka yang beriman dan ada pula di antara mereka yang kafir.."
Surah Al Baqarah (2) : ayat 253

"Allah pelindung bagi orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah taghut (syaitan) yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka, mereka kekal didalamnya."
Surah Al Baqarah (2) : ayat 257

Allah Ta’ala memberitahukan, bahawa Dia akan memberikan hidayah kepada orang-orang yang mengikuti keredhaanNya menuju jalan keselamatan. Dia mengeluarkan hamba-hambaNya yang beriman dari gelapnya kekufuran dan keraguan menuju cahaya kebenaran yang sangat jelas, terang, mudah dan bersinar. Sedangkan pelindung orang-orang kafir adalah syaitan yang menjadikan kebodohan dan kesesatan itu indah dalam pandangan mereka serta mengeluarkan mereka dari jalan kebenaran menuju kekufuran, kesesatan dan kebohongan, dan “mereka itu adalah penghuni neraka, mereka kekal didalamnya".

Oleh kerana itu, Allah Ta’ala menyebutkan kata an-nuur dalam bentuk mufrad (tunggal) dan kata adz-dzulumaat dalam bentuk jama’ (banyak) kerana kebenaran itu hanyalah satu sedangkan kekufuran mempunyai jenis yang beragam dan semua sekalinya adalah batil (palsu), sebagaimana firmanNya : Dan bahawasanya (yang kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, ikutilah dia, dan jangan kamu ikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa (surah Al An’am (6) : ayat 153).
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Tafsiir ul Qur’an ul Adziim, Jilid 1, halaman 518-519

Begitu juga, sifat kufur itu boleh terjadi ke atas sesiapa sahaja termasuk ummat Islam sendiri pun sekiranya disebalik segala macam sifat dan gambaran keIslaman yang mereka bawa, tersembunyi hakikat bahawa mereka meyakini, melazimi, mempercayai dan mengamalkan sesuatu amalan, perbuatan, kepercayaan dan apa-apa jua amalan ritual dan spiritual yang bertentangan dengan perintah Allah Swt. dan As Sunnah rasulNya. Ini dinyatakan oleh Allah Ta’ala dalam firmanNya :

“Dan barangsiapa yang mencari (memilih) agama selain Ad Diin ul Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia diakhirat (nanti) termasuk orang-orang yang rugi”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 85

Orang-orang yang beriman dari ummat ini (ummat Muhammad) beriman kepada seluruh nabi yang diutusNya dan semua Kitab yang diturunkan, tidak sedikit pun yang mengingkarinya, bahkan mereka membenarkan apa saja yang diturunkan dari sisi Allah, dan membenarkan semua nabi yang diutus Allah. Maka barangsiapa yang memilih (menempuh) jalan selain yang telah disyariatkan Allah, maka Dia tidak akan menerimanya. Sebagaimana yang 1elah disabdakan oleh Rasulullah dalam hadis sahih : Barangsiapa mengerjakan suatu amalan yang tidak ada dasar perintahnya dari kami, maka amalan itu ditolak.
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Tafsiir ul Qur’an ul Adziim, Jilid 2, halaman 84-85
   
Arti dinyatakan Al Qur’an itu sudah cukup jelas memberitahukan apa dan siapa yang dimaksudkan kafir itu. Waima siapa pun orangnya, jika tidak mahu mengucapkan 2 kalimah syahadah adalah kafir. Barang siapa yang tidak mahu mengakui Allah Ta’ala sebagai satu-satunya Tuhan yang berhak diibadahi, tiada yang selainNya dan mengingkari (menolak) bahawa Nabi Muhammad Saw. sebagai utusanNya adalah juga kafir. Begitu juga sesiapa pun jua yang membesarkan sesuatu yang dibikin manusia atau syaitan bertopengkan manusia sebagai lebih tinggi dari ketentuan yang dibuat oleh Allah dan utusanNya, maka adalah juga kafir.

Justeru itu, tidak perlulah berdolak dalik lagi dengan segala bentuk kata-kata merapu meraban kalau pun dengan bahasa yang sedap didengar seraya memukaukan, tiada yang tidak jelas pada kalamullah dan as sunnah rasulNya dalam memaknakan siapa kafir itu termasuk segala macam sikap dan sifat perbuatannya, sehingga tidak memerlukan sesiapa pun ummat manusia untuk bersusah payah lagi memutar otak yang sedia berkarat bagi mencari makna dan definisi kafir, secara syok sendiri.

Tidak usah diserabutkan dan diselewengkan lagi dengan makna yang kabur-kabur dan memualkan, misalnya slogan janganlah menyebut orang sebagai kafir sekalipun jelas terang lagi bersuluh di tengah hari bahawa mereka menolak hukum Allah, menghukumi orang yang mau belajar Al Qur’an tapi tidak mau masuk Islam, mereka ini tidak boleh disebut kafir, orang yang memberi lebih banyak wang bajet tidak boleh disebut kafir, orang yang lebih pandai belit dan bodek tidak boleh disebut kafir, padahal jelas mereka ini bukan Islam. Begitulah tafsiran dan fahaman amat aneh yang sudah merebak dalam pikiran banyak orang. Jelasnya, kalaulah bukan Islam tidak boleh dikatakan kafir, lantas untuk apa lafaz kafir itu disebutkan Allah Ta’ala lewat kalamNya?

Paling menjengkelkan, hal sebaliknya pula berlaku dalam muammalah sesama Muslim, bahkan dengan begitu berleluasa. Pantang ada salah silap, pantang ada beza pendapat, pantang ada beza pendirian kalau pun perkara titik bengek, maka lancang lah mulut mengungkapkan kata kafir. Habis segala macam ayat, hadis dan kalam para ulama’ dipilih dan ditapis lantas diguna untuk semata-mata mengkafirkan orang disamping membetulkan diri sendiri. Entah apalah jenis fahaman ini, kepada bukan Islam dicipta segala macam alasan lantaran tidak tergamak menyebut kafir, tetapi sesama Islam menjadi begitu mudah pula. Mungkin juga, sekarang sudah ada tafsiran kafir lebih baharu yang saya serba dhaif ini telah pun ketinggalan.         

Saya menyedari bahawa semua penanya bertumpu kepada situasi yang berlaku dalam gerakan hizbi dan haraki (parti politik) semasa. Namun dengan jelas ingin saya maklumkan bahawa, amat tidak wajar untuk saya bercakap dalam perspektif mereka, lantaran saya bukanlah sebahagian dari mereka sementelahan saya memang tidak berminat pun. Dalam beberapa hal tertentu, lebih molek mereka sendiri yang menjawab dan memberi hujjah ke atas kata-kata dan pendirian mereka. Begitulah sebaik-baiknya. Apa yang mampu saya katakan hanyalah menyampaikan kalamullah dengan segala peringatan lantaran Islam yang suci ini adalah rahmat kepada seluruh alam, bukan sekadar terbantut dan berlegar-legar dalam dalam tempurung gerakan hizbi dan haraki sahaja.

Seharusnya kita sedari dan akui, salah satu faktor susahnya ummat Islam bersatu dan bersepakat dalam bayak hal adalah disebabkan peranan orang kafir dalam mengadu-dombakan ummat Islam. Kerana itulah, Allah Swt. melarang ummat Mukmin, supaya tidak mengambil orang kafir sebagai orang kepercayaan disebabkan sikap dan hasad buruk yang tersirat di dalam diri mereka. Mereka berpura baik dan manis mulut di depan kita tetapi mendoakan dan mengusahakan kecelakaan ke atas kita dibelakang. Itulah yang disebut Allah Swt. di dalam Al Qur'an ul Qadiir :

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya".
Surah Ali Imran (3) : ayat 118

“Beginilah kamu (orang-orang yang melanggar larangan), kamu (sahajalah) yang menyukai (percayakan) mereka, sedangkan mereka tidak suka kepada kamu. kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 119


“Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 120

Allah Tabaraka Wata’ala melarang hamba-hambanya yang beriman menjadikan orang kafir sebagai teman kepercayaan. Yakni mereka akan membukakan rahsia dan segala yang tersembunyi kepada musuh orang-orang Islam. Dan orang-orang kafir itu, dengan segenap daya dan kekuatannya, tidak henti-hentinya menimbulkan kemudharatan bagi orang-orang Islam. Yakni selalu berusaha keras untuk menyelisihi dan menjerumuskan orang Islam ke dalam bahaya dengan segala cara serta melakukan berbagai tipu muslihat yang dapat dilakukan. Mereka juga menyukai dapat menyulitkan, melukai dan menyusahkan orang-orang Islam.

Keadaan ini menunjukkan kerasnya permusuhan (dan kebencian) mereka terhadap orang Islam. Yaitu ketika orang Islam mendapatkan kebahagiaan, kemenangan dan dokongan, serta bertambah banyak dan semakin kuat para pendokongnya, maka orang kafir itu bersedih hati. Dan sebaliknya jika ummat Islam ditimpa kesulitan atau menderita kekalahan dari musuh-musuhnya, berupa kekalahan kerana suatu hikmah yang dikehendaki Allah, maka orang kafir itu bergembira dan bersuka-cita.
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Tafsiir ul Qur’an ul Adziim, Jilid 2, halaman 121-123

Sebahagian besar ahli kitab berhasrat dan berangan-angan supaya mereka dapat mengembalikan orang Islam kepada kekafiran (murtad) yakni menyembah berhala setelah beriman. Ini disebabkan rasa kedengkian yang amat menebal di dalam hati mereka. Hal ini dijelaskan Allah Swt. dalam ayat berikut :

“Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 109

Sesungguhnya Allah melarang keras orang-orang mukmin dari mengambil yahudi dan nasrani sebagai teman rapat dan kepercayaan, lantaran mereka ini rapat antara satu sama lain dalam memusuhi Islam. Mala h Allah memberikan amaran bahawa sesiapa yang melanggar perintahnya dengan mengambil yahudi dan nasrani sebagai teman rapat, sesungguhnya dia termasuk golongan mereka.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 51

Demi untuk menentang Islam, mereka bersatu. Bahkan mereka juga mengatakan : 

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula : “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani“. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad) : “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 111

Sesungguhnya Allah melarang keras orang-orang mukmin mengambil para kafirin sebagai wali sehingga meninggalkan orang Islam sendiri, menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Razaaq :

“Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali(A) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barangsiapa berbuat demikian, nescaya lepaslah dia dari pertolongan Allah kecuali kerana (siyasah) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri-(siksaan)Nya. Dan hanya kepada Allah kembali mu”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 28
(A) : bermakna teman akrab, pemimpin, pelindung atau penolong

Allah melarang hamba-hambanya yang beriman untuk mengangkat orang kafir sebagai wali dan pemimpin dengan kecintaan kepada mereka dan mengabaikan orang-orang yang beriman. Barang siapa yang melanggar larangan ini maka terlepaslah dia dari pertolongan Allah. Kecuali bagi orang yang berada di suatu negeri dan pada waqtu tertentu, merasa takut terhadap kejahatan orang kafir, maka baginya dibolehkan bersiyasah kepada mereka secara zahirnya sahaja, bukan secara batin dan niyatnya. Sebagaimana imam Al Bukhari rh. meriwayatkan dari Abu Darda’ Rhu. ia berkata : Sesungguhnya kami menampakkan wajah cerah kepada beberapa orang kafir, sedang hati kami melaknat mereka.
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Tafsiir ul Qur’an ul Adziim, Jilid 2, halaman 32-33

Barangsiapa yang bertauhidkan Allah Swt. dan mentaati pesuruhNya, tidak boleh baginya berkasih sayang dan terlalu mempercayai dengan orang yang menolak keesaan Allah dan kerasulan pesuruhNya, walaupun mereka adalah kerabat yang paling aqrab (dekat). Sesungguhnya Allah Azzawajalla telah memberi pesan di dalam Al Qur’an ul Hamiid :
 
“Kamu tidak akan mendapati satu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan rasulNya, sekalipun orang itu bapa-bapa atau anak-anak atau saudara mara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang dariNya, dan memasukkan mereka kedalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Allah rela terhadap mereka dan mereka rela kepada Allah. Mereka itulah golongan Allah, ketahuilah bahawa golongan Allah itulah golongan yang beruntung”.
Surah Al Mujadalah (58) : ayat 22

Allah Swt. turut memberikan peringatan tentang perangai kafiriin ini, meski pun diantara mereka terjadi perselisihan dalam banyak hal, tetapi mereka tetap bersatu dalam menghadapi musuh yaitu ummat Islam.  Inilah yang  diperingatkan dengan keras oleh Al Qur’an,  yaitu  orang-orang  kafir  tolong-menolong antara  sesama mereka, sementara orang-orang Islam tidak mahu tolong-menolong sesama Muslimin sepertimana firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Hassan :
 
“Adapun orang-orang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (hai para Muslimin) tidak melaksanakan apa yang diperintahkan Allah itu, (yang dimaksud dengan apa yang Telah diperintahkan Allah itu: keharusan adanya persaudaraan yang teguh antara kaum Muslimin) nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.”
Surah Al Anfaal (8) : ayat 73

Boleh jadi ramai yang takkan suka dengan apa yang telah saya sebutkan ini. Namun baiklah disampaikan juga peringatan dari Allah Swt. lantaran banyak orang sudah terleka atau telah melupakannya. Jelas benar sekarang ini, ramai golongan mukmin sanggup mengenepikan rakan seagama demi membela rakan kafir mereka biarpun atas perkara-perkara sangat sensitif dan melukakan hati ummat Islam. Pemerhatian saya mendapati, perbuatan sebegini diperlakukan kerana adanya kepentingan-kepentingan tersendiri yang tidak menyangkut pun kepada kepentingan Islam.

Kerana itu, saya mahu sampaikan peringatan ini :

 "...... Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya".
Surah Al Maaidah (5) : ayat 2

Janganlah sekali-kali kita berlaku tidak adil sehingga mengenepikan, mencerca, membenci dan memusuhi saudara seagama dan sebangsa kita demi menegakkan rakan kafiriin kita atau, menggunakan rakan kafiriin pula untuk membantai saudara Muslim kita hanya kerana mengharapkan keuntungan sosial, politik dan ekonomi. Lebih dahsyat lagi, kita pula hakikatnya menjadi alat kafiriin untuk membantai rakan seagama sendiri waima secara sedar ataupun tidak sedar. Begitu juga, atas dasar mahu berbaik dalam ukhuwwah dengan kafiriin itu, tidaklah sama sekali melayakkan kita berperilaku semberono sehingga melepasi batasan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Justeru itu, Allah Swt. telah memberi peringatan lagi kepada ummat Muslimin supaya berhati-hati dengan da’yah orang kafir dan tidak mengikuti hawa nafsu mereka lantaran mereka akan memesongkan kita dari kebenaran.Ini djelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Majiid :

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyiksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq.
Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal (kepada orang-orang yang penuh keyaqinan) tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih daripada Allah".
Surah Al Maaidah (5) : ayat 49 dan 50

Sesungguhnya tiada kurang satu apa pun peringatan Allah Swt. tentang orang kafir dan gejala kekafiran ini. Hanya terpulanglah kepada kita untuk mengambil pelajaran darinya atau sekadar hanya membaca tanpa sahaja tanpa memberi apa-apa makna. Mudah-mudahan Allah menguatkan iman dan keyakinan diri kita kepada agamaNya, dan menjadikan kita ummat yang kukuh keIslaman selama-lamanya, dengan tidak mengikut atau pun terpedaya dengan da’yah kaum kafirin. Setakat ini yang dapat saya nukilkan.

والله تعالى أعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Soal Jawab Ibadah Korban ( Siri 5 )

0 ulasan

Soal Jawab Ibadah Korban (siri 5)

From: mohdpoziatan@yahoo.com
Sent: Thursday, October 4, 2012 22:37 PM
Subject: Larangan Potong Kuku Apabila Membuat Korban

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Tuan syeikh, moga anta dalam sihat-sihat sentiasa dan tenang selalu. Hasratnya kali ni nak tanya satu hal berkenaan ibadah korban juga.

Ana dan beberapa rakan ditempat kerja ada berbincang dan bertukar fikiran mengenai ibadah koban. Antara yang disebutkan adalah tidak boleh bercukur dan memotong kuku selama 3 hari apabila mahu membuat korban. Pantang itu hanya boleh clear setelah lembu disembelih. Tapi ada yang kata hanya tukang sembelih sahaja yang disuruh buat begitu.

Harap dapat anta berikan mafhum sebenarnya.

Terlebih dahulu syukran.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan artikel jawaban ini.

Saya dapati ceritera yang tuan kisahkan itu berasas dari hadis ini :

“Dari Sa’id bin Al Musayyab Rhu. dari Ummu Salamah Rha. bahawasanya Nabi Saw. bersabda :  Apabila telah masuk sepuluh hari (awal bulan Zulhijjah) dan seseorang itu memiliki haiwan sembelihan yang hendak (telah berniyat) dijadikan ibadah qurban, maka janganlah sesekali dia mengambil  (memotong) bulu dan kukunya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. no. 5090. Juga diriwayatkan oleh imam Abu Daud rh. imam Tarmidzi rh. imam Nasa’ie rh. dan imam Ibnu Majah rh.

Nota : Imam Muslim rh. meriwayatkan 6 hadis sahih dari beberapa jalur rawi dalam bab ini, dengan matan yang sama maqsudnya.  

Imam Yahya bin Syaraf An Nawawi rh. menjelaskan : Para ulama' berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad rh. dan sebahagian ulama' Syafi’e mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu dan kuku tadi, tetapi Imam Syafi’e rh. dan ulama'nya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang sangat besar dan hampir sangat kepada haram). Imam Malik rh. dalam suatu riwayat menyatakan makruh dan dalam suatu riwayat yang lain menyatakan : diharamkan pada sembelihan sunnat dan bukan pada sembelihan wajib.
Syarah Sahih Muslim, Jilid 9, halaman 572-573.

Matan hadis sahih ini jelas menyebut perintah hukum ke atas orang yang membuat qurban, bukannya orang yang menyembelih dan ia melibatkan larangan dalam tempoh 10 hari awal Zulhijjah, bukannya 3 hari sahaja. Adalah benar pantang larang itu terlepas selepas mengerjakan Solat I’ed dan binatang qurban itu telah disembelih.

Sekalipun tiada kesepakatan di kalangan ulama’ dan fuqaha’ dalam menetapkan status hukum larangan sebenar sama ada ia haram atau makruh sahaja ke atas hadis sahih ini, namun matannya yang bersifat perintah adalah jelas, dan tiada satu pun ulama’ muktabar yang memutuskan bahawa hadis ini tidak perlu dipatuhi. Maka sebaik-baiknya adalah melakukan sepertimana yang ditetapkan oleh Rasulullah tersebut lantaran itulah lafaz perintah yang soreh dan qoti’e. Kepada sesiapa yang mahu membuat qurban, lakukan persediaan pada awal lagi untuk menghadapi larangan ini.

Seharusnya kita sedar dan insaf, terlalu banyak perkara suruhan dan larangan langsung dari Nabi Saw. yang diabaikan pun selama ini, maka hal sekelumit ini sewajibnya dipatuhi. Tidak sepatutnya sama sekali perkara perbahasan tentang status sebenar hukumnya menjadi alasan untuk tidak mahu mematuhinya. Lantaran itu, saya ingin berpesan kepada tuan malah terutamanya kepada diri saya sendiri mengenai perintah Allah Swt. :

“Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (darinya).”
Surah Al A’raf (7) : ayat 3

“Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.”
Surah Al Hasyr (59) : ayat 7

Apa jua perintah Nabi Saw. (sama ada suruhan atau pun larangan) adalah untuk diikuti dan dipatuhi bukannya untuk dihujjah dan dipertikaikan. Bersama-samalah kita berdoa semoga kita dipilih oleh Allah Swt. untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Wassalam.

From: prtdi@yahoo.com
Sent: Saturday, October 6, 2012 11:02 AM
Subject: Larangan Potong Kuku Apabila Membuat Korban

بسم الله الرحمن الرحيم

Syukran syeikh atas jawapan tu. InsyaAllah saya dapat faham maksudnya. Sekadar nak tanya lebih sikit lagi supaya jelas dan faham. Selalunya sekarang ni, orang tercari-cari 7 orang nak kongsi lembu ka, kerbau ka, sampai last minit baru dapat, kadang-kadang lagi 3 atau 4 hari baru dapat cukup geng. Maklum lah, nak confirm awal pun rezeki tak menentu, hujung-hujung baru ada dan boleh buat lah.

Jadi macam mana dengan pantang larang ni, dah tak cukup 10 hari. Maka nak kena buat juga ka atau dah tak payah ikut tapi boleh buat korban. Hal ini pernah terjadi kepada saya sendiri tapi masa tu tak tau pun ada pantang larang macam ni. Terus terang saja, saya tak ikut pun pantang larang ni fasal tak tahu. Selalunya bayar saja dan yang lain-lain hal tak ambil tahu lagi dah.

Harap dapatlah jawapan yang meyakinkan, insyaAllah.

Wassalam  

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Terima kasih lah Tuan Ibrahim atas kebiasaan memberikan soalan yang pelik-pelik tapi munasabah. Bagus juga ada soalan sebegini yang sesuai dengan situasi semasa (waqi’ dan mu’asirah) biar pun memang membuatkan saya pening dan terkial-kial nak menjawabnya. Nak memberikan jawaban “yang meyaqinkan” sepertimana Tuan minta pun sudah amat meletihkan. Paling saya suka adalah sifat tuan yang berterus terang.

Saya telah sedaya mampu menyemak bagi mendapatkan ta’liq dalam hal sebegini dari para ulama’ dan fuqaha’ muktabar terdahulu, tetapi tidak saya temui perbahasannya. Maka benarlah saya memang terkial-kial nak memberi jawaban “yang meyaqinkan”. Demikianlah saya yang serba dhaif dan kekurangan ini. Apa yang diputuskan nanti sekadar panduan sahaja dan baik sekali tuan merujuk kepada ilmuwan lain yang lebih faqih dan hebat bagi mendapatkan jawaban “yang lebih meyaqinkan”.

Hadis tersebut di atas dengan jelas memberikan syarat :
1.            Apabila telah masuk sepuluh hari (awal bulan Zulhijjah)
2.            Memiliki haiwan sembelihan
3.            Yang hendak (telah berniyat) dijadikan ibadah qurban

Hal-hal selain dari 3 syarat yang dinyatakan atau kekurangan salah satunya, tiada perlu diambilkira. Bagi kes tuan, kalau pun kurang dari 10 hari, tetap jua ia termasuk di dalam tempoh 10 hari itu dan 2 syarat lain telah dilengkapkan. Maka, perintah Nabi Saw. itu tetap jua berkuatkuasa bermula dari masa 3 syarat itu dilengkapi, dan lakukan persediaan pada awal lagi untuk menghadapi larangan ini.

Sedikit ulasan berkenaan : Selalunya bayar saja dan yang lain-lain hal tak ambil tahu lagi dah. Adalah benar sifat begini sudah pun menjadi waqi’ dan mu’asirah juga. Sudah semakin banyak yang menganggap selepas membayar selesailah ibadah qurbannya. Walhal ibadah qurban bukanlah terhenti setakat itu sahaja. Sepatutnya difahami benar segala dalil dan nas pensyari’atannya, dipenuhi segala hikmah perlaksanaannya, dilaksana segala syia’r-syi’arnya (menyembelih, terlibat bersama mengurusi, mengagihkan daging, berkenduri dsb.). Cubalah sedaya upaya untuk terlibat sama sekali pun dengan sekecil-kecil peranan dalam perlaksanaan ibadah qurban itu, kerana dengan cara itu akan terpancarlah segala hikmah dan terlaksanalah segala syi’arnya, bukan hanya sekadar membayar kosnya.

Mudah-mudahan jawaban ini “yang meyaqinkan”.

Wassalam.

From: Abdul Razak b. Muhamed
To:
Sent: Friday, October 19, 2012 7:05 AM
Subject: Amalan Zulhijjah dan Solat Semoga Roh Senang Keluar Bila Sakaratul Maut

Assalam tuan sheikh...

Nak tanya pasal puasa sunat Zulhijjah ni. Mesti kena buat ka dalam 1-9 Zulhijjah?
Aku buat 1 Zulhijjah, Rabu. Tapi semalam demam. Tak larat nak buat. Hari ni cadang nak puasa. Tapi esok tak tau dapat buat ke dak... Macamana tu?

Boleh tolong cek sohih ka solat ni? Memang ada ka nabi or para sahabat amalkan ka? Didapati dari satu sumber hukum hakam solat nih.

Allah Swt berfirman : “Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat pada saat orang-orang zhalim berada dalam tekanan sakaratul maut” ( Al-an’am 93 )

Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya semua manusia pasti mengalami sakaratul maut. Dan sesungguhnya sendi-sendi tulangnya, masing-masing mengucapkan salam perpisahan kepada yang lain seraya berkata, “Semoga kamu sejahtera. Kamu berpisah dariku, dan aku pun berpisah darimu sampai hari kiamat.”(dikeluarkan oleh Said bin Mansur ).

Sesungguhnya sakaratul maut adalah perkara yang sangat menyakitkan. Lebih sakit daripada dipenggal dengan pedang, atau digergaji dengan gergaji atau digunting dengan gunting. Subahanallah, walhamdulillah wa lailahaillallah wawllahuakbar walahaula walaquwata illabillahil ngaliyil ngadzim.

Cara melaksanakan solat:

Dilaksanakan solat ini selepas Fardu Maghrib pada malam jumaat, disunatkan mendirikan solat sunat dua rakaat meminta Allah SWT agar dipermudahkan roh keluar sewaktu sakaratul maut. 

Tq sheikh...Wassalam

بسم الله الرحمن الرحيم
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Wa’alaika syeh, terima kasih atas soalan. Lama kita tak jumpa dan hanya berterusan silaturrahim menerusi email saja.

Pensyari’atan Kelebihan 10 hari Awal Zulhijjah

Di antara kelebihan dan kurniaan Allah Swt. untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadah dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya.

Salah satunya ialah : Sepuluh (10) hari yang terawal pada setiap bulan Zulhijjah.

Beberapa dalil dari Al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya :

1. Firman Allah Swt.
] وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْر[  [سورة الفجر: 1-2]
“Demi fajar dan malam yang sepuluh”. (Surah Al-Fajr : ayat 1-2)

Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. menyatakan : Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. [HR: Imam Bukhari].

2. Dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu.,bahawasanya  Rasulullah Saw. telah bersabda :

((مَا مِنْ أَيَّامٍ، الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ  -يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ- قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ)).
[رواه اأحمد 1968، والترمذي 757، واللفظ له].
“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”
Hadis sahih riwayat imam Ahmad rh. dan imam  At Tarmidzi rh.

Adalah Said bin Jubir rh. (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya.

3. Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda :

((مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ، وَلا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ،
فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ)) [رواه أحمد 5446-صحيح]
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah Swt.  dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
Hadis hasan riwayat imam Ad-Darimy rh.

Amalan Yang Baik Dilakukan Pada Hari-Hari Tersebut

1.            Solat Sunnat
Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjamaah) dan memperbanyakkan solat sunnat dalam tempoh ini kerana ianya sebaik-baik amalan.

“Dari Tsauban Rhu. ia berkata : Aku mendengar Rasulullah Saw. bersabda : Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.

Hadis ini menjelaskan keutamaan melakukan solat sunnat, secara umum untuk semua waqtu termasuklah ketika 10 hari awwal Zulhijjah.

2.            Puasa Sunnat
Berpuasa ini sangat digalakkan lantaran ia juga termasuk di dalam amalan soleh.

“Dari Hunaidah bin Khalid Rhu., dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah berkata : Rasulullah Saw. berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.”
Hadis sahih riwayat imam Ahmad rh., imam Abu Daud rh. dan imam Nasa’ie rh.

Hadis ini menjelaskan dengan khusus amalan berpuasa pada hari 9 Zulhijjah dan pada mana-mana 3 hari yang awalnya.  Malah boleh juga dilakukan puasa sunnat pada setiap hari Isnin dan Khamis dalam tempoh itu, ini berdasarkan satu hadis yang lain.

Telah berkata imam Yahya bin Syaraf An Nawawi rh. dalam Syarah Sahih Muslim, Jilid 5, halaman 773-777 : Dari Ummul Mukminin Aisyah Rha. bahawa Nabi Saw. biasa berpuasa 3 hari pada setiap bulannya dan Baginda tidak pernah memperdulikan hari apa pun di setiap bulan untuk berpuasa. Juga menyebutkan : Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunnat yang sangat digalakkan.

3.    Puasa pada Hari Arafah
Secara spesifik puasa ini mempunyai kelebihannya. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah Saw. sendiri. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.

((صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ)) [رواه مسلم]
“Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.

Peringatan : Amalan puasa Arafah ini hanyalah disunnatkan untuk orang  yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jamaah haji yang sedang berwuquf di Arafah, tidak disunnatkan berpuasa kerana baginda Rasulullah Saw. tidak berpuasa sewaktu Baginda wuquf di Arafah, yaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.

Oleh yang demikian, bolehlah tuan berpuasa sunnat pada hari-hari yang dinyatakan dan sentiasa melakukan amalan soleh yang lain dalam tempoh 10 hari awal Zulhijjah, dan seterusnya berterusan pada waqtu-waqtu yang lain, lantaran amalan soleh ini tidak terhad dalam tempoh itu sahaja..  

Solat Sunnat Memudahkan Sakaratul Maut

Pernyataan ini : Dilaksanakan solat ini selepas Fardu Maghrib pada malam Jumaat, disunatkan mendirikan solat sunat dua rakaat meminta Allah SWT agar dipermudahkan roh keluar sewaktu sakaratul maut. 

Ini adalah satu pernyataan penetapan hukum dalam ibadah solat yang jelas menyatakan bila masa ia diperlakukan, kaifiyatnya dan maqasidnya. Orang yang membuat da’waan ini diwajibkan atasnya memberikan keterangan ke atas pernyataannya, lantaran hukum dan kaifiyat solat ini datangnya dari Allah Swt. dan ditunjuki oleh rasulNya, bukannya boleh dibuat sendiri.

Saya tidak pernah sama sekali menemui dalil dan nas kepada hukum ini, mahu pun mendengar tentangnya malah tidak juga pernah diajar sebarang bentuk amalan solat sebegini. Sepanjang rujukan saya dalam banyak kitab fiqh solat, hukum solat sebegini memang tidak ada.  Lantaran itu, saya menyeru sewajibnya amalan ini ditinggalkan sehinggalah didatangkan dalil dan nas yang sahih, soreh dan qot’ie ke atasnya.

Bersamalah diingati : Asas paling dasar adalah melakukan sesuatu amal ibadah mesti dengan ilmu. Ini berdasarkan kalamullah di dalam Al Qur’an ul Hakiim :

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab”.
Surah Al Isra’ (17) : ayat 36

Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah, malah melakukan dosa pula kerana merekacipta/menambah sesuatu yang baru pula kepada Agama Allah Swt. seolah-olah Islam ini tidak lengkap dan boleh diubah-ubah lagi.

Tambahan pula, Rasulullah Saw. ialah pemberi contoh amalan solat terbaik kepada seluruh umat Islam. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah Swt. :

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 21

Dan Baginda Saw. sendiri menyebutkan :

“Dari Malik bin Al Huwairits Rhu., dia menceritakan : …(sebuah hadis panjang)……. dan bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. Bab Solat, no. 82

Oleh itu, sewajarnyanya difahami benar-benar oleh setiap Muslimin bahawa dalam rangka melaksanakan ibadah solat, tiadalah lain sewajibnya kita berusaha sedaya upaya mencontohi sunnah Baginda Saw. Lantaran ibadah solat itu adalah perintah langsung dari Allah Azzawajalla dan ditunjukkan tatacara amalannya oleh Nabi Saw. sendiri, yang cukup lengkap dan sempurna, sehingga tidak melayakkan waima sesiapa pun untuk menambah atau menguranginya biar sedikit pun.

Sekiranya ada dalilnya yang sahih, soreh dan qat’ie, saya pun akan turut membuatnya. Boleh saja tuan dapatkan keterangan dari pihak ilmuwan dan ulama’ lain, yang lebih faqih berbanding saya, lantaran mungkin sahaja saya yang serba dhaif dan kekurangan ini terlepas pandang dan tidak mengetahui adanya hukum solat sebegini. Semoga saya telah menjawab persoalan tuan.

Wassalam.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Read more...