Selasa, 2 Mei 2017

Sahabat Pon Buat Bid'ah ???

0 ulasan
On Wednesday, February 15, 2017 03:49 AM, wrote :



بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته



Lama dah saya nak tanya, betul ka bid’ah boleh dibuat, tak salah pun. Ada ustad mai ceramah kat masjid bagi tahu para sahabat pun buat bid’ah, tapi nabi tak larang, jadi bid’ah tak salah. Dia sebut solat sunat wuduk adalah bid’ah yang sahabat buat dan tak salah.

Saya nak mohon penjelasan dari ustad, betul ka apa yang dikata ni.



Setakat ni dulu ustad, banyak banyak cerita pun buat serabut saja, in shaa Allah



والسلام



---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.



Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.



Pertamanya, saya mohon maaf kerana lewat membalas. Jawaban secara ringkas sahaja.



Adalah benar yang solat sunnat wudhu’ dbuat mula oleh Sahabat ya’ni Bilal bin Rabah Rhu. namun menyangka dan mengistinbatkan ia adalah suatu bid’ah yang dihalalkan adalah silap besar lagi bathil sama sekali.

Saya berikan sedikit rincian dalil/nas pensyari’atan solat tersebut, berikut :

Dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah Saw. bertanya kepada Bilal pada waqtu solat Subuh :

“Hai Bilal..! Ceritakanlah kepadaku, amal apakah yang telah engkau lakukan dalam Islam sehingga aku mendengar derap bunyi sandalmu di syurga?”

Bilal menjawab : Aku tidak melakukan sesuatu amalan yang aku sangat harapkan pahalanya melainkan daripada kalau aku habis bersuci (wudhu’) pada waqtu malam atau pon siang, kecuali aku tentu bersolat dengan kesucianku (wudhu’) itu, sebagaimana yang disarankan kepadaku untuk melakukan Solat Sunat Wudhuk’.”

Hadits Muttafaqun ‘alaih



Lihatlah, pertanyaan Nabi Saw. membawa maqsud yang Baginda sendiri pon tidak tahu apa yang dibuat oleh Bilal, sehingga Bilal memberitahu bahawa dia ada melakukan solat 2 rokaat setiap kali selepas berwudhu’, yang dikenali sebagai Solat Sunnat Wudhu’. Justeru memberitahu yang haqiqi sememangnya Bilal bin Rabah adalah pemula kepada solat sunnat tersebut.



Bilal bin Rabah telah melakukan bid’ah?? Ini merupakan tanggapan amat dangkal malah menjengkelkan. Ia berupa suatu tudohan palsu, sangkaan jahat dan amat dzalim yang tiada taranya terhadap peribadi mulia dan luhur dalam beragama para Sahabat Baginda khasnya Bilal bin Rabah Rhu. yang merupakan golongan para ‘as saabiquna awwaluun’ dan “rodhiyallahu ‘anhum wa rodhi ‘an”.



Apakah jenis tuduhan dan kedzaliman terhadap Bilal bin Rabah, bahawa dia telah melakukan bid’ah sedangkan beliau adalah salah seorang saksi mata dan telinga terhadap sabdaan junjungan mulia kita yang berbunyi “tiap-tiap bid’ah itu sesat”. Apakah jenis penghinaan dan cacian terhadap beliau, sosok kesayangan Nabi ini.



Apakah jenis manusia yang begitu tergamak menda’wa bathil dan palsu bahawa Bilal bin Rabah telah mencipta suatu bid’ah sedangkan beliau, tentu-tentunya termasuk dalam golongan ummat yang paling mulia dan tersanjung dalam Islam ya’ni para sahabat, yang sifat dan pendirian mereka sangat jelas dan pasti : “sami’na wa atho’na” tanpa sedikit pon keraguan, bantahan atau bangkangan ke atas apa-apa jua Kalamullah dan sabdaan rasul-Nya biar pon sebesar zarah, biar pon sekelumit.



Na’uzubillahi min zaalik, moga Allahu Ta’ala tunjukkan jalan kebenaran kepada para penghasad, pencemar kemuliaan para sahabat, penyebar kebathilan dan fitnah ini.



Moga Allah ‘Azzawajalla membuka pekung di dada dan matahati hitam mereka ini, supaya dapat mereka mengenal apa itu sunnah, apa itu bid’ah. Supaya otak-otak karat mereka dapat bertukar dari belenggu kegelapan belitan syaithon kepada kecerahan cahaya syari’at-Nya.



Kebenarannya, apa yang dilakukan oleh Bilal bin Rabah adalah suatu sunnah ya’ni Sunnah Taqririyah (diam, setuju, perakuan) oleh Nabi Saw. seterusnya menjadikan ianya bukanlah bid’ah sepertimana yang Baginda haramkan. Lantaran, jika Baginda tidak bersetuju dengan perbuatan Bilal itu, barang tentu Baginda akan menegah/melarangnya pada masa itu juga, dan pasti juga sahabat yang mulia Bilal bin Rabah akan menghentikan pada masa itu juga.



Entah apa yang telah terjadi dalam diri-diri mereka ini, yang mengaku dan berasa serba serbi pandai dalam agama, dikelek orang ke sana sini, yang dipuja puji, malah ada yang cakap-cakapnya saja pon ditelan bulat-bulat, tanpa diperhalusi ditabayyun barang sedikit pon, walhal antara sunnah dan bid’ah yang antara langit dan bumi bezanya, pon tidak dikenal. Subhanallah, sunggoh buta mata hati.



Terbukti, ini adalah sunnah taqriri Nabi Saw. bukannya bid’ah. Justeru, selepasnya Baginda ada mengatakan dalam suatu hadits lain ;



Menurut Humran pembantu ‘Utsman bin ‘Affan Rhu., ‘Utsman pernah menceritakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda :

Barangsiapa berwudhu’ sepertimana wudhu’ku ini lalu mengerjakan solat dua rokaat, yang pada solatnya dia tidak berbicara pada dirinya sendiri (ya’ni mengerjakannya dengan khusyu’) nescaya Allah akan memberikan ampunan kepadanya atas dosa-dosanya yang lampau.

Riwayat Imam Bukhori Rhm. Kitab al Wudhu’, no: 159



Lalu, setelah terbukti yang Nabi Saw. telah memberikan taqrirnya ya’ni membenarkan Solat Sunnat Wudhu’ itu, bid’ah apa lagi yang dibuat oleh Bilal bin Rabah ??? atau, terlalu kelamkah matahati dan aqal, sehingga sunnah dan bid’ah pon tidak dikenal. Na’uzubillahi min zaalik.



Malah ingin sekali saya sebutkan, mereka-mereka yang menjaja dan menyebarkan fahaman bathil dan menghina kemuliaan sahabat ini, tidak lain adalah golongan yang mahu memperalatkan alasan “bida’ah oleh sahabat” ini, untuk menghalalkan apa saja yang mereka rekaciptakan dalam ibadah, apa-apa yang umum yang mereka khususkan juga apa–apa yang tiada yang mereka ada-adakan.



Memang sesunggohnya itulah maqsud mereka, dan kerana itulah mereka tanpa segan silu, tanpa sedikit pon rasa takut kepada Allahu Ta’ala dan rosul-Nya, memperalatkan golongan mulia dan ahli syurga ini, dengan cara amat jijik dan bathil, untuk mencapai hasrat kebejatan mereka.



Dari satu sisi lain, jikalau jahat sunggohlah si Bilal bin Rabah ini sehingga berbuat bid’ah, hal yang terang-terangan ditolak oleh Nabi Saw., namun tetap jua dalam kes beliau, Nabi Saw. ada disisinya dan telah menetapkan keputusannya (taqrirnya). Dan apa-apa yang ditetapkan oleh Junjungan Mulia Nabi Saw.  itulah haqiqinya yang dipegang dan dipanuti oleh seluruh ummat Muslimin dan Mu’minin. Bulat kata Baginda, bulatlah kata seluruh ummat Muslimin dan Mu’minin, lantaran yang diikut patuhi itu adalah taqrirnya Baginda, bukannya kata sesiapa pon selain Baginda.



Tapi, mereka-mereka para perekacipta ibadah dan penokok tambah dalam syari’at yang telah lengkap sempurna ini, siapakah pula yang memberikan taqrir ??? kata-kata siapakah pula yang mereka nabikan ??? tepuklah dada, tanyalah iman.



Setakat itu yang dapat saya bantu. Benar sunggoh, malu bertanya sesat jalan.



والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.



Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.



سكيان , والسلام



eddzahir@38

tanah liat

bukit mertajam

Read more...

Wahai Saudaraku - Kita Hanya Hamba Allah

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته



Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekalian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, para Sahabatnya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.



Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.



Para sahabat jamaah yang dihormati, moga rahmat Allahu Ta’ala senantiasa mengiringi hidup kita,



Sungguh Allahu Ta’ala telah mengkhabarkan pesanan buat kita lewat Kalam Agung-Nya, Al Qur’an :

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah aku”.

Surah Adz Dzaariyat, 51 : ayat 56



Dan lewat Kalam-Nya juga, Allahu Ta’ala telah berfirman :

“Dia menciptakan manusia dari tanah kering seperti tembikar. Dan Dia menciptakan jin dari nyala api. Maka ni’mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?.

Surah Ar Rahman, 55 : ayat 14, 15 dan 16



Wahai saudaraku,

Cuba perhatikan siapa yang menciptakan langit sebagai bumbungan dan bumi sebagai hamparan? Yang menciptakan laut yang bergelombang? Yang menciptakan tetumbuhan? Yang menciptakan makanan? Yang menciptakan sekalian alam dan segala isi kandungannya. Bahkan siapakah pula yang menciptakan diri-diri kita ini? Berpasangan? Berkehidupan?



Pasti dan tentu sekali, Dia-lah Allahu Ta’ala. Dia-lah Yang Maha Kuasa, Maha Pencipta, Maha Kaya dan Maha Dermawan. Allah Subhaanahu Wa Ta’ala menciptakan tiap-tiap sesuatu kerana adanya hikmah. Sungguh manusia diciptakan tidak mungkin diciptakan sia-sia begitu saja.



Allahu Ta’ala berfirman :

“apakah kalian mengira bahawa Kami menciptakan kalian itu dengan sia-sia? Dan apakah kalian mengira bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Surah Al Mu’minun, 23 : ayat 115



Kalamullah itu jelas dan nyata, manusia tidak sekali kali diciptakan hanya sia-sia begitu sahaja, melainkan kerana ada hak dan fungsi yang perlu dijalankan. Dan akhirnya, kepada Allah jualah manusia dikembalikan.



Wahai saudaraku,

Sedarikah anda bahawa kita ini tidak lain hanyalah hamba kepada Allahu Ta’ala. Bahawa kita ini adalah saorang budak, saorang ‘abdun kepada-Nya semata. Kita inilah yang sangat memerlukan kepada ni’mat, kurnia dan rizqi Allah.



Pernahkah kita berkata : “saya tidak perlu kepada ni’mat Allah”, barang sekejap mata? Pernahkah kita berkata : “saya tidak perlu kepada nikmat Allah dan kurnia-Nya”, walaupun hanya sedetik? Sementara kurniaan-Nya : udara yang terus kita hirup, air terus kita minum, makanan terus kita hadam, setiap hari, setiap detik, setiap ketika.



Bayangkan apa jadinya jika kita tidak lagi dapat menghirup udara! Bayangkan jika Allahu Ta’ala jadikan alam kering kontang tak ada yang dapat diminum! Bayangkan apa jadinya bila Allahu Ta’ala tahan air hujan sehinggakan kita tidak dapat merasakan banyak keni’matan! Bayangkan apabila Allahu Ta’ala menghentikan buah-buahan dari tumbuh dan berkembang!



Wahai saudaraku,

Semoga Allah memuliakanmu, sedarlah bahawa kita ini adalah hamba Allah Subhaanahu Wa Ta’ala.



Tanyakan pada diri kita, apakah kita lebih suka menjadi hamba Allah atau menjadi hamba hawa nafsu? Atau kita lebih suka menjadi hamba dinar, harta, takhta atau hamba manusia? Sedangkan jelas ternyata semua itu tidak dapat memberikan sedikit pun munafaat dan mudhorat (tanpa izin Allah), tidak juga dapat memberikan pahala dan siksa (tanpa izin Allah).



Wahai saudaraku,

Kita diciptakan oleh Allah dalam bentuk yang paling sempurna. Allah Ta’ala telah menegaskan lewat Kalam-Nya :

“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya bagus”

Surah At Tiin, 95 : ayat 4



Akan tetapi, pada ketika kita lupa bahawa kita adalah hamba, bahawa kita adalah makhluq yang diciptakan oleh Allah Ta’ala untuk tunduk patuh menyembah-Nya, maka kita ciptaan yang mulia ini, menjadi amat rendah darjat martabatnya. Oleh kerana itu, setelahnya Allahu Ta’ala selanjutnya berfirman :



“kemudian Kami kembali dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka)”

Surah At Tiin, 95 : ayat 5



Akibat dari apa semua ini? Tidak lain akibat kita tidak sedar, lupa malah melalaikan bahawa kita adalah hamba Allah Subhaanahu Wa Ta’ala semata.



Wahai saudaraku, semoga Allah memuliakanmu.



Betapa kita harus menyedari bahawa kita adalah hamba Allah yang telah diberikan berbagai macam nikmat. Tidak ada yang dapat disombongkan dari kita. Kita serba lemah. Harta yang kita miliki, kedudukan yang kita tempati, ketampanan yang kita miliki, semuanya diberikan oleh Allah. Jadi untuk apa kita sombong? Malah semua itu suatu tanggungan dan pertanggungjawaban, akan di soal oleh Allah kelak.



Allah Rabbul Izzati wal Jalalah, menyebut hamba-hamba-Nya dengan pemuliaan. Allahu Ta’ala berfirman :

“dan hamba-hamba Ar Rahman yang itu adalah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan”

Surah Al Furqan, 25 : ayat 63



Di sini, Allahu Ta’ala menisbatkan “hamba-hamba” dengan “Ar Rahman” yang menunjukkan pemuliaan. Justeru, kita tidak seharusnya ingin menjadi hamba harta, hamba kedudukan, hamba dunia.



Sabda Rasulullah Saw. : “celaka hambanya dinar, celaka hambanya dirham, celaka hambanya khamisah (sejenis baju)” Riwayat Al Bukhori)

Subhaanallah, tentu sekali kita tidak ingin, kita yang asal diciptakan sebagai hamba yang serba mulia ini, kemudian kita menjadi rendah harga kerana menghambakan diri-diri kita kepada makhluq.



Wahai suadaraku,

Kita hamba Allah, dan kita bangga dengan penghambaan kita kepada Allah, lantaran menghambakan diri kepada Allah adalah kemuliaan yang tiada taranya dengan apa pon. Kerana Allah-lah yang memiliki kemuliaan. Oleh kerana itu, Rasulullah Saw. ada bersabda : “perbanyaklah mengucapkan ‘yaa dzal jalaali wal ikram”

Riwayat at Tirmidzi (sohih)



Pasti sekali kita ingin mendapatkan keagungan, juga pasti sekali kita ingin mendapatkan kemuliaan, Maka ingatlah, keagungan dan kemuliaan itu milik Allah. Siapa yang memuliakan Allah, pasti Allah jadikan dia mulia di kalangan manusia. Siapa yang mengagungkan Allah, tentu Allah jadikan dia agung di hadapan manusia.



Lihatlah para Nabi, mereka agung dan mulia di mata manusia, kerana mereka memuliakan dan mengagungkan Allah. Lihatlah para Malaikat, mereka mulia di mata manusia. Lalu, siapa diantara kita yang tidak ingin disebut “kamu bagaikan malaikat!”. Saya yaqin kalau ada orang yang disebut “kamu bagaikan malaikat” dia akan tersanjung, dan berbunga bunga hatinya. Kerana dia tahu bahawa Malaikat adalah makhluq yang senantiasa taat kepada Allah Subhaanahu Wa Ta’ala.



Seballiknya, bagaimana jika kita dikatakan “kamu seperti iblis”, pastinya kita akan marah. Kenapa? Lantaran iblis dikenal sebagai puncak ma’siyat kepada Allah. Demikian jugalah orang-orang yang berma’siyat kepada Allah, yang tidak sedar bahawa dirinya adalah hamba. Yang dia pon sombong dari menjalankan perintah-perintah Allah. Maka Allah jadikan dia hina di hadapan manusia, Allah jadikan dia hina di hadapan seluruh makhluq.



Mana yang lebih kita sukai? Nanti pada hari qiyamat kita berkumpul dengan para Nabi dan orang-orang solih? Atau berkumpul dengan Fir’aun, Qarun dan Haman? Tentu kita  akan berkata “saya ingin berkumpul dengan para Nabi”. Kenapa? Justeru kerana mereka orang-orang yang mentaati Allah, mengagungkan Allah dan memuliakan Allah.



Wahai saudaraku,

Apabila kita sebagai seorang hamba ingin mencari kemuliaan, muliakanlah Allah. Apabila kita sebagai seorang hamba ingin mencari keagungan, agungkanlah Allah. Kerana Allah-lah yang memiliki kemuliaan dan keagungan.



Sedarilah bahawa diri kita adalah seorang hamba. Makanya disebutkan dalam sebuah atsar, “semoga Allah merahmati seorang hamba, yang menyadari siapa dirinya”. Kita harus tahu diri, bahawa kita ini hamba Allah, diciptakan oleh Allah, diberi segala keni’matan oleh Allah, berarti tugas kita adalah bersyukur kepada Allah dan menyedari bahawa kita akan kembali kepada Allah. Kemudian pada hari itu, kita akan ditanya oleh Allah tentang amal perbuatan kita.



Kita diciptakan oleh Allah untuk tujuan yang agung yaitu ibadah. Maka mintalah pertolongan dari Allah agar kita dibantu memperbaiki ibadah kita kepada Allah. Makanya Rasulullah Saw. berdoa :

“Allahumma a’inni ‘ala zikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatika”

“Ya Allah! bantulah aku agar senantiasa berzikir kepada-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperbaiki ibadahku kepada-Mu”

Riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban (sohih)



Rasulullah Saw. merasa bangga dengan dirinya sebagai hamba. Baginda bersabda : “Sesungguhnya aku ini adalah hamba. Maka katakanlah tentangku: hamba Allah dan Rasul-Nya” Riwayat Al Bukhori

Lihatlah, Rasulullah Saw. manusia agung, ma’sum dan mulia mengatakan : “aku ini adalah hamba”. Manusia yang paling tinggi darjatnya di sisi Allahu Ta’ala ini, ternyata dia tidak malu untuk menyatakan : “aku ini hamba Allah”.



Bahkan, para malaikat pun tidak merasa sombong untuk berkata bahawa mereka adalah hamba Allah. Kerana menjadi hamba Allah itu mulia. Sedangkan mereka yang mencari kedudukan duniawi dan kesedapan nafsu , mereka tidak sedar bahawa mereka sedang menghambakan diri kepada makhluq. Mereka tidak sedar bahawa mereka sedang menghambakan diri kepada harta benda. Mereka tidak sedar bahawa mereka sedang menghambakan diri kepada hawa nafsu.



Justeru, Allahu Ta’ala telah awal-awal lagi mengkhabarkan pesan-Nya :

“Sesungguhnya hawa nafsu selalu menyeret kepada keburukan”

Surah Yusuf, 12 : ayat 53



Maka saudaraku,

Sedarkan bahawa kita ini adalah hamba? Sabda Rasulullah Saw. :  “siapa yang mengucapkan : Aku redho Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan Nabi Muhammad Saw. sebagai Nabiku, maka ia wajib masuk ke dalam syurga”

Riwayat Muslim



Mulia sungguh jika kita menghambakan diri kepada Allah. Semakin kita berusaha menghambakan diri, kita akan semakin mendapatkan kesempurnaan di sisi-Nya.



Semoga peringatan yang sedikit ini mengingatkan diri kita, bahawa kita ini hamba, dan bahawa kewajiban kita adalah menghambakan diri kepada Allah dengan merealisasikan semua ibadah hanya kepada-Nya. Doa kita hanya kepada Allah, tawakkal kita hanya kepada Allah, harap kita kepada Allah, cinta dan benci kita kerana Allah, dan semua ibadah kita hanya kepada Allah semata. Allahu Ta’ala berfirman :



“Katakanlah, sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Rabbul ‘alamin”

Surah Al An’aam, 6 : ayat 162



Subhaanallah, itulah mereka hamba-hamba yang mulia. Maka jadikanlah kita mulia dengan menghambakan diri kepada Allah.




Read more...