Selasa, 9 November 2010

Hukum Daging Korban Dan Akikah DiMakan Bukan Muslim.

2 ulasan
Hukum Daging Korban Dan Akikah DiMakan Bukan Muslim.
Himpunan pendapat ulama tentang hukum daging korban dan akikah dimakan bukan muslim.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan : Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi dinyatakan : tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` : disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan : ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri rh. : memberi keringanan mereka memakannya. Imam Abu Thur rh. juga berpendapat demikian. Disebutkan juga bahawa Imam Malik rh. : lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Imam Al-Lith rh. : menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Imam Ibni Qudamah rh. dalam kitab al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan Imam al-Syarbini rh. dalam al-Iqna' menyebutkan : Mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, Imam al-Hasan rh. dan Imam Abu Thur rh., berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus. Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah.

Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Imam Ibnu Hazmin rh. dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan : tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan para pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:

l. Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.

2. Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

3. Mazhab Hanbali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

4. Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti, hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat, kedua-dua daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat, harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai.

Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan silang agama.

Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka.


السلام عليكم و رحمة الله و بركاته بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, sahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh.
Saya amat berterima kasih (daun keladi) kepada akhi Pyan SiPitong atas sumbangan artikel seperti di bawah. Memang kena pada masanya juga, artikel ini beliau nukilkan memandangkan sekitar 11 hari saja lagi kita akan menyambut I'edul Adha @ Hari Raya Qurban iaitu salah satu dari 2 hari akbar (besar) ummat Islam.
Dikesempatan amat berharga ini, ingin saya menokok tambah sedikit. Saya melihat pemberian sumbangan kepada jiran dan para fakir miskin dikalangan kafirin ini sebagai salah satu cabang da'wah. Da'wah yang saya ertikan itu, adalah mengajak, menyeru, menyampaikan pengajaran dan nasihat kepada manusia supaya taat kepada Allah swt., menyeru kepada kebenaranNya, kebaikanNya seterusnya menerimaNya, dan meninggalkan segala larangan ataupun tegahanNya. Da'wah kepada kafirin mahupun kepada ummat Islam sendiri, menyeru mereka agar memahami hakikat sebenarnya ajaran agama Islam dan seterusnya menerima Islam menjadi cara hidup mereka yang luhur. 

Bermula daripada khalifah pertama, Nabi Adam as. sehinggalah ke zaman khataman nabi, Muhammad saw., para Anbiya' menyampaikan dan mengajak anak cucunya dan seluruh manusia supaya hidup di muka bumi ini berpegangkan kepada syariat Allah. Seterusnya perjalanan da'wah ini disambung pula oleh para ulamak dan pencinta agama Allah hingga ke akhir zaman. Maka itu, perbuatan da'wah ini adalah satu proses berterusan tanpa henti dan menjadi tanggungjawab setiap Mukmin.

Cuma, cara penyampaian, pendekatan dan bentuk strategi hendaklah mengikut acuan keperluan masyarakat semasa dan zaman, di mana masyarakat itu hidup dan berkembang, sebagaimana firman Allah swt. di dalam Al Qur'an ul Aziim :

"(Kami telah mengutus mereka) sebagai rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, supaya tiada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah (diutuskan) rasul-rasul itu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".
Surah An-Nisa’ (4) : ayat 165.

Sama ada suka ataupun tidak, Allah swt. dan Rasul-Nya, telah meletakkan tanggungjawab da'wah ini ke atas semua ummat mukmin. Maka, laksanakanlah sedaya upaya yang ada, tidak kira umat suka atau tidak, tidak boleh dijalankan secara bermusim atau terikat kepada bulan-bulan tertentu sahaja, atau bersempena dengan hari–hari kebesaran Islam tertentu sahaja, di tempat-tempat tertentu sahaja atau kepada orang-orang tertentu sahaja. Da'wah ke jalan Allah swt. adalah satu perintah universal tanpa sempadan dan sekatan sepertimana firman Allah swt. di dalam Al Qur'an ul Haaq :

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan ummat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'aruf dan mencegah dari yang munkar, Merekalah orang-orang yang beruntung".
Surah Ali Imran (3) : ayat 104.

Pada hemat saya, memberikan makanan dari qurban, akikah dan apa jua sadaqah kepada kafirun terutamanya yang fakir miskin dan jiran terdekat, adalah satu uslub da'wah bagi menserlahkan kesucian dan kebenaran Islam kepada mereka. Badan Fatwa Tetap Arab Saudi ketika ditanya tentang hal ini menjawab dengan tegas :
"Boleh untuk kita memberikan daging qurban kepada bukan Muslim, yang tidak memerangi Islam atau tawanan perang (yang bukan Muslim). Boleh kita berikan itu tertakluk kepada fakirnya, hubungan kekeluargan atau kejiranan atau untuk menjinakkan hatinya". Rujuk bab 11, halaman 424.

Namun begitu, harus diingat, golongan kafirun yang dimaksudkan itu adalah meliputi :
a. Kafir Zhimmi yaitu tidak memusuhi Islam.
b. Orang yang berkemungkinan menerima Islam.
c. Seorang yang fakir dan miskin
d. Jiran tetangga.


Saya tokok hal yang dicerahkan oleh akhi Pyan ini berikutan, telah pun terjadi dalam masyarakat kita hari ini, pemberian seperti daging korban dan akikah tidak diberikan kepada mereka bukan Islam sekalipun mereka itu jiran di sebelah rumah atau sekampung. Malah ada yang membuat kenduri qurban atau akikah, kita boleh menjemput begitu ramai tetamu untuk makan, tetapi jiran tetangga bukan Muslim tidak dijemput. Pernah saya bertanya hal sebegini, jawapan yang saya perolehi : kerana khuatir nanti qurban atau akikah itu terbatal kerana diberikan kepada bukan Muslim. Malah lebih keras lagi, ada yang menghukum haram perbuatan seperti itu.


Sesungguhnya, tiada satu pun dalil Al Qur'an atau hadis Nabi saw. yang menghalang pemberian kepada bukan Muslim, atau perbuatan seperti itu akan membatalkan qurban ataupun mengharamkannya. Dalam konteks negara kita yang begitu tebal dengan politik perkauman, kebanggaan kepada bangsa serta rasa saling mencurigai tahap tinggi, perilaku sedemikian amat bertentangan dengan prinsip da'wah kepada bukan Muslim. Malah, menambahkan lagi ketakfahaman dan rasa curiga. Misal kata, terdapat jiran tetangga bukan Muslim yang papa kedana pun tidak dapat ditolong. Pasti ini akan menimbulkan tanggapan amat buruk berpunca dari sikap ummat Muslim ke atas agama Islam itu sendiri. Seruan saya, marilah kita wujudkan keseimbangan dan keadilan diantara hablum min Allah dan hablum min Annas.


Akhir sekali, saya ingin berpesan, tugas kita sebagai dai'e ke jalan Allah swt, mestilah kita penuhi dengan menggunakan apa jua cara dan pendekatan yang selaras dengan ketetapan Allah swt. dan Rasul-Nya. Persoalan sama ada dai'e kita itu diterima atau tidak, bukanlah hak kita untuk memperhitungkannya kerana urusan itu benar-benar hak Allah untuk memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Demikian juga, dalam apa jua pemberian yang kita belanjakan demi kerana Allah swt. pasti tentu ada ganjaran buat kita sekalipun pihak yang menerima itu adalah kafirun. Inilah ketentuan dan janji Allah swt. kepada semua ummat Mukmin sepertimana  firmanNya di dalam Al Qur'an ul Aziiz :


"Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang tidak beriman) mendapat petunjuk (kerana kewajibanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturanNya). Dan apa jua harta yang baik yang kamu belanjakan (pada jalan Allah), maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan".

Surah Al Baqarah (2) : ayat 272.

Setakat ini yang mampu saya nukilkan kali ini. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua.Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ingin saya bertanya apa maskud korban sunat dan korban wajib?..dan apa maksud aqiqah sunat dan aqiqah wajib?

Tanpa Nama berkata...

Assalamu’alaikum Wr Wbt
 
Terima kasih kerana pertanyaan dan sambutan terhadap artikel. Saya mohon maaf kerana lambat memberi maklumbalas.
 
Asas mengikut syara’ : kedua-dua ibadah qurban dan aqiqah adalah berhukum sunnat mu’akkad (yang dituntut melakukannya) sahaja, bukan suatu kewajiban. Ia boleh menjadi suatu kewajiban (ya’ni mesti dilaksanakan dan meninggalkannya adalah berdosa) apabila terjadinya hal seperti berikut :
 
1.    Adanya nadzar untuk melakukannya (nadzar - adanya ikat janji untuk melakukan sesuatu dengan Allah Swt., yang dengannya telah mewajibkan sesuatu ketaatan yang tidak wajib pada asalnya, dan ia diperlakukan untuk mendekatkan diri seseorang  hamba kepada Rabb-nya)
 
2.    Adanya wasiyat daripada seseorang. Misalnya seseorang telah menyediakan semua yang perlu tetapi dia wafat terlebih dahulu, dan dia telah berwasiyat supaya hasrat itu diteruskan, maka wajib lah ia diteruskan. Sekiranya ada berwasiyat tetapi tidak meninggalkan sebarang usaha, maka kewajiban itu tergantung kepada kemampuan si penerima wasiyat itu, jika dia mampu baiklah diteruskan, jika tidak mampu gugurlah kewajiban itu daripadanya.
 
Wassalam
 
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam