Isnin, 13 Januari 2014

PERJALANAN HIJRAH NABI MUHAMMAD (SIRI 2)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعديسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekalian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Solih serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Hijriyah ke 1435, juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa membimbing kita ke As Siraatul Mustaqiim dan menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah.

sambungan……………

Anak-anak perempuan Abu Bakar, Aishah dan kakaknya Asma' telah menyediakan bekalan makanan untuk mereka berdua. Asma' telah memotong sebahagian daripada tali ikat pinggangnya, lalu mengikat mulut karung makanan tersebut. Daripada peristiwa itu, dia digelar "Zat an-Nitoqain" (Perempuan yang mempunyai dua tali ikat pinggang). Dengan bantuan Abdullah bin Uraiqit, mereka berdua tidak terus ke Madinah (hala utara) menerusi jalan biasa, tetapi menghala ke Yaman (hala selatan) untuk mengelirukan pasukan penjejak Quraisy sehingga sampai ke Gua Tsur (kira-kira 7.5 km daripada Baitullah). Mereka bersembunyi di dalamnya selama 3 malam yaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad (28, 29 dan 30 Safar).

Kafir Quraisy menjadi sangat marah kerana ternyata adalah Ali Rhu. yang berada di tempat tidur Nabi Saw. sedangkan Baginda telah pun hilang, Lalu mereka membawa Ali ke dekat Ka’bah dan menyoalnya habis-habisan, pukulan demi pukulan dijatuhkan ke tubuhnya dengan harapan memperoleh keterangan tentang dimana keberadaan Nabi Saw. Walau hanya kesakitan yang dirasakan tubuhnya, tetapi tidak keluar ucapan apa pun dari mulut Ali kecuali jawaban : Aku tidak tahu.

Setelah putus asa mengorek keterangan dari Ali, mereka berbondong-bondong pula bergegas ke rumah Abu Bakar. Abu Jahal La’natullah sendiri yang memimpinnya dan dia langsung memukul pintu rumah. Ketika pintu dibuka oleh Asma’ binti Abu Bakar, dia dengan garang berkata : Mana ayahmu? Asma’ menjawab : Demi Allah, aku tidak tahu dimana ayahku berada. Abu Jahal sangat marah dengan jawaban itu, lalu dia menampar pipi Asma’ sangat kuat hingga anting-antingnya terlepas dan mulutnya berdarah.

Maka usaha pencarian dan pengejaran secara besar-besaran pun mereka lakukan. Qiyamat seolah-olah berlaku kepada kafir Quraisy setelah Rasulullah Saw. terlepas daripada usaha membunuhnya. Mereka keluar mengejar Baginda mengikut jalan Makkah yang biasa dan di merata-rata tempat, tetapi tetap gagal menemui Baginda.

Selama tempoh persembunyian itu, berlangsung pertolongan bagi mereka berdua.
1. Abdullah bin Abu Bakar Rhu. yang ketika itu sangat remaja, mendatangi gua pada malam hari dan menyampaikan berita perihal berbagai rencana dan kegiatan orang-orang kafir kepada mereka berdua. Sebelum fajar dia sudah kembali ke Makkah sehingga seolah-olah dia selalu berada di Makkah. Menerusi perkhabaran dari Abdullah, pergerakan ke Madinah dapat direncanakan supaya dalam keadaan selamat.
2. Amar bin Fuhairah (budak Abu Bakar) menggiring domba-domba gembalaannya ke dalam goa pada malam hari sehingga mereka berdua dapat minum susu domba hingga cukup kenyang. Amar menggiring kembali domba-dombanya ke Makkah sebelum fajar selang beberapa waktu setelah Abdullah bin Abu Bakar kembali ke Makkah, dengan demikian jejak kaki Abdullah terhapus oleh jejak domba-domba itu.
3. Dalam tempoh itu, Aishah dan Asma' tetap menitipkan bekalan makanan menerusi Abdullah kepada Rasulullah Saw. dan bapa mereka.

Sepasukan penjejak orang kafir telah sampai di depan gua Tsur. Mereka mendapati adanya sarang labah-labah di mulut gua. Mereka pun berkesimpulan bahawa Rasulullah Saw. tidak masuk ke dalam gua, sebab jika Baginda memasukinya, sudah tentu sarang labah-labah itu telah rosak. Sekelompok yang lain, juga sampai di mulut gua itu dan mendapati sebuah sarang burung lengkap dengan beberapa butir telur burung yang berada tepat di mulut gua Tsur. Mereka pun berkesimpulan bahawa Rasulullah Saw. tidak pernah masuk ke dalam gua ini, sebab jika hal itu terjadi maka tentulah jaring labah-labah dan sarang burung itu sudah tidak lagi berada pada tempatnya.

Setiap kali Abu Bakar Rhu. menyebut : Jika saja musuh kita membongkokkan badan, mereka pasti dapat melihat kita. Rasulullah pun menjawab :Wahai Abu Bakar, kamu sangka kita berdua, sedangkan Allah adalah yang ketiga (menyertai kita). Hal ini diceritakan oleh Allah Swt. lewat Kalam-Nya :

 “Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka-cita, sesungguhnya Allah beserta kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Surah At Taubah (9) : ayat 40

Persaksikanlah hal ini : musuh sebenarnya hanyalah kira-kira satu meter dari kedudukan Baginda, namun Allah Swt. melindungi Nabi-Nya dengan ciptaan-Nya yang paling rapuh; ya’ni sebuah jaring labah-labah, demikianlah hebatnya Kekuasaan Allah Swt. Maka hanya atas Kasih-sayang Allah Swt. sahajalah mereka berdua dapat bersikap tenang di dalam keadaan yang sedemikian genting, dan Allah pun menolong mereka berdua dengan pasukan-Nya yang tak terlihat oleh mata manusia.

Hijrah Rasulullah Saw. bersama Abu Bakar Rhu. sebagai individu terakhir tidaklah bermaqsud bahawa tiada lagi ummat Islam yang tersisa di Makkah. Haqiqatnya masih ada golongan tidak berupaya, orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak yang tidak mampu untuk melakukan perjalanan hijrah (termasuk Aisyah binti Abu Bakar Rha, Asma’ binti Abu Bakar Rha., isteri Baginda Sa’udah binti Zam'ah al-Amiriyah al Quraisiyah Rha. dan Ali bin Abu Talib Kmwj.). Mereka ini dikecualikan daripada perintah kewajiban hijrah dan dimaafkan oleh Allah Swt. sepertimana firmanNya :

“Kecuali mereka yang tertindas baik laki-laki atau wanita ataupun anak-anak yang tidak mampu berdaya upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk berhijrah). Mereka itu, mudah mudahan Allah memaafkannya. Dan Allah Maha Pemaaf dan Maha Pengampun”. 
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 98-99

Pada malam Isnin, 1 Rabi’ul Awwal, bersamaan 16 September 622M, Setelah mendapat khabar usaha memburu dan mencari berkurangan dansuasana agak sudah selamat, Abdullah bin Uraiqit datang ke gua Tsur membawa dua ekor unta. Abu Bakar menawarkan satu dari unta itu kepada Nabi Saw. sebagai hadiah. Namun Baginda Saw. memaksa untuk membeli unta itu. Abu Bakar pun akhirnya bersedia menerima pembayaran sebesar 400 dirham untuk unta itu. Unta inilah yang kemudian dikenal sebagai unta Rasulullah Saw. yang dinamai Al-Quswa.

Dengan dipandu oleh Abdullah bin Uraiqit, mereka berdua keluar dari gua dan memulai perjalanan menuju Madinah. Amar juga menyertai perjalanan mereka. Maka bermulalah suatu perjalanan hijrah yang penuh getir oleh Nabi Saw. ke Madinah. Abdullah memandu mereka menerusi jalan berbeza yang sukar dijejaki oleh kafir Quraisy. Mereka melalui jalan pantai (pantai Laut Merah) seraya merentasi jarak perjalanan yang jauh.

Para pemuka kafir Quraisy telah berkumpul semula lalu setuju mengumumkan sayembara berhadiah bernilai 100 ekor unta, satu jumlah tawaran harta sangat besar pada waqtu itu yang cukup menggoda sesiapa jua yang tamak haloba. Tawaran ini ditujukan kepada sesiapa jua yang menemui Rasul Saw. dan teman Baginda, lalu membunuhnya atau menawannya. Khabar tentang kepergian Nabi SAW dari Makkah, dan sayembara yang diadakan oleh kaum Quraisy untuk menemukan dan menangkap beliau memang telah menyebar cepat di seluruh jazirah Arab. Hadiah ini menarik minat banyak pihak. Beberapa hari lamanya qaum Quraisy melakukan pencarian dan pengejaran, termasuk juga pencarian oleh pihak lain yaitu para ‘pemburu hadiah’ 100 ekor unta yang dijanjikan.

Walau pun dikatakan perjalanan itu selamat kerana melalui laluan asing, namun ada juga pihak yang berjaya menjejaki rombongan Nabi Saw.Salah seorang yang menyahut tawaran itu adalah seorang pemuda, Suraqah bin Malik bin Ju’tsum Al Mudlaji, dan dia bertekad dalam dirinya untuk mencari Rasulullah Saw. dan Abu Bakar demi membolot sendiri hadiah lumayan tersebut.

Ketika rombongan Nabi Saw. melintasi satu kebun, salah seorang penjaga telah mengenali dan kemudian menceritakan kepada Suraqah. Demi mendengar berita dari kaumnya itu, Suraqah yakin bahawa musafir di pesisir itu adalah Nabi SAW dan rombongannya, tetapi dia tidak ingin ada orang lain yang mendahuluinya. Kerana itu dia berkata, “Diamlah, mereka itu bukan Muhammad, tetapi adalah Fulan bin Fulan yang pergi tetapi tidak ingin diketahui keberadaannya oleh qaum mereka. Maqsud sebenarnya adalah, dia tidak mahu orang lain tahu tentang hal itu, dan dia akan menguruskannnya sendiri. Dia kemudian menunggang kuda dan memacunya secepat mungkin ke arah yang ditunjukkan qaumnya itu. Bayangan memperoleh kekayaan 100 ekor unta dari Abu Jahal La’natullah membuat semangatnya begitu memuncak untuk mengejar Nabi Saw.

Dia telah berjaya mengejar mereka dengan menunggang kuda. Namun begitu, apabila dia telah begitu dekat dengan rombongan itu, kuda yang ditungganginya terjatuh. Entah bagaimana, kaki kuda itu terbenam ke dalam pasir. Dia telah berusaha sebanyak 4 kali tetapi keadaaannya tetap yang sama. Suraqah akhirnya menyedari bahawa dia telah berhadapan dengan seorang manusia yang benar. Dengan lemah dan lesu, dia berjalan menghampiri Nabi Saw. dan mengkhabarkan maqsud jahat kehadirannya disitu. Suraqah memohon agar Rasulullah Saw. memaafkan dirinya beserta semua warga sukunya, dan juga memohon agar Baginda tidak menuntut balas terhadap mereka kelak.

Beliau juga meminta Baginda berjanji memberikannya sesuatu, jika dia menolong Baginda lantaran dia memang memerlukan habuan untuk meneruskan hidup. Baginda menjanjikan untuknya 2 gelang tangan yang dipakai oleh Kisra. Baginda dengan sangat bijaksana meluluskan permintaan Suraqah dan butiran itu ditulis oleh Abu Bakar. Suraqah kemudiannya pulang ke Makkah dan berlakon seolah-olah dia tidak menemui sesiapa malah mengelirukan pula pasukan penjejak yang lain. Menurut catatan sejarah : Suraqah telah memeluk Islam selepas pembukaan Makkah Tahun 8 Hijrah dan ikut serta menjadi pejuang dalam peperangan.

Nota : Pada zaman perintahan Amirul Mukminin Umar Al Khattab Rhu, Kisra (Maharaja Majusi dan Farsi) telah dikalahkan, istananya ditawan serta kedua-dua gelang Kisra menjadi harta rampasan perang. Pada saat itu janji Rasulullah Saw. kepada benar-benar terjadi. Amirul Mukminin Umar Rhu. telah melunaskan perjanjian Nabi Saw. tersebut dengan memakaikan 2 gelang tangan itu kepada Suraqah di hadapan himpunan besar sahabat, seraya berkata :  Segala puji bagi Allah Swt. yang merampas gelang daripada Kisra dan memakaikannya kepada Suraqah bin Ju’tsum Al Arabi.

Selama menempuh perjalanan hijrah yang begitu sukar, termasuk lapar dan dahaga, rombongan Nabi Saw.  lewat di dekat khemah Ummu Ma’abad. Nabi Saw. pun bertanya kepadanya : Adakah kamu memiliki sesuatu yang boleh kami makan atau minum?. Dia menjawab : Maaf, sudah tidak ada sama sekali. Bahkan domba-domba kami pun sedang digembalakan jauh dari sini oleh suamiku. Nabi Saw. ada melihat seekor domba berada di dekat khemah, maka Baginda pun bertanya : Bagaimana dengan domba ini?” Ummu Ma’abad menjawab : Domba ini sangat lemah, sudah tua, tidak ada susu padanya setitis pun.” Nabi Saw. bertanya lagi : Bolehkah aku cuba memerah susunya?” Ummu Ma’abad  pun mempersilakan : Cubalah, sekiranya boleh mendapatkan susu darinya.”

Lalu Nabi Saw. mengelus (mnggosok badan) domba itu seraya memanjatkan doa ke hadhrat Allah Azzawajalla dan mulai memerah susu. Dengan kebesaran Allah Swt. domba itu telah mengeluarkan susu dan ditampung dalam sebuah wadah (besen). Ummu Ma’abad pun turut diberi minum susu domba itu hingga puas. Begitu juga dengan mereka yang menyertai Baginda, mereka pun minum hingga puas. Sekali lagi Baginda memerah susu domba itu sepenuh wadah dan meninggalkannya untuk Ummu Ma’abad.

Manakala suami Ummu Ma’abad kembali ke khemahnya, ia pun sangat terperanjat melihat adanya sediaan susu. Maka diceritakanlah kepada sang suami bahawa seorang yang sangat mulia akhlaqnya baru saja mengunjunginya. Dan orang yang mulia itu mempunyai kebesaran sehingga domba yang tua dan lemah itu mengalirkan susu apabila diperahnya. Dia gambarkan juga ciri-ciri tamunya itu. Sang suami pun berkata : Ciri-cirinya serupa benar dengan seseorang yang sedang dicari-cari oleh orang-orang Quraisy. Semoga saja aku dapat menjadi sahabatnya nanti.

Satu lagi kisah, Buraidah bin Al Hasib Al Aslamy, seorang kepala suku, juga ikut melakukan pengejaran dan pencarian terhadap Rasulullah Saw. demi memenangi sayembara berhadiah yang diadakan oleh kafir Quraisy. Dia telah mengetahui posisi rombongan Nabi Saw. dan dia pun mendekat dan berbicara kepada Baginda, namun pada akhirnya Baginda telah pun dapat menundukkan hati Buraidah, sehingga Buraidah bersama 70 orang lelaki warga sukunya pun memeluk Islam, ada diantaranya langsung pada saat itu dan ada juga pada waqtu yang kemudian. Lalu dia kibarkan bendera putih yang terbuat dari serbannya dan kembali pulang ke Makkah sambil mengumumkan dengan suara keras : Rasulullah! sang raja perdamaian dan keadilan; sedang dalam perjalanan.

Abu Bakar Rhu. mempunyai kebiasaan duduk membonceng di belakang Nabi Saw. dan dia seseorang yang cukup dikenal di kawasan Jazirah Arab. Ada dicatatkan, pada ketika bertemu beberapa orang yang mengenalnya dalam perjalanan hijrah itu,
Mereka bertanyakan kepadanya  : Siapakah orang yang di depanmu itu?
Abu Bakar selalu menjawab : Dialah orang yang menunjukkan jalan kepadaku.

Jawaban itu seolah-olah suatu kebohongan untuk menyelamatkan Nabi Saw. Akan tetapi haqiqatnya Abu Bakar tidak berbohong sama sekali, kalau pun orang yang menanyakan mempunyai persepsi yang berbeza atas jawabannya tersebut. Namun bagi Abu Bakar, Nabi Saw. memang orang yang menunjukkan jalan kebenaran, jalan keselamatan baginya di dunia dan akhirat. Sedang persepsi orang-orang itu, beliau adalah seqadar penunjuk jalan kepada Abu Bakar untuk perjalanannya menuju Madinah.

Selepas menempuh perjalanan getir dan payah selama 8 hari, pada hari Isnin 8 Rabi’ul Awwal bersamaan 23 Sept. 622M, Baginda telah sampai ke perkampungan Quba’ (kira-kira 3.5 km arah selatan dari pusat bandar Madinah ya’ni lokasi Masjid Nabawi). Ummat Muslim Quba’ pun bergegas keluar rumah berhiaskan pedang di tangan, penuh keriangan menyambut kehadiran Baginda. Abu Bakar Rhu. menjabat tangan dengan mereka satu-persatu dengan penuh kesyukuran manakala Nabi Saw. duduk beristirehat. Pada waqtu bersamaan, sinar matahari jatuh tepat ke wajah Baginda, Abu Bakar pun segera memayungkan selembar kain alas ke atas Nabi Saw. untuk melindungi beliau dari sengatan sinar matahari. Dengan demikan mengertilah mereka penduduk Quba’ bahawa itulah dia Rasulullah Saw. yang mereka nanti-nantikan.

Baginda berdiam di Quba’ selama 4 hari yaitu Isnin hingga Khamis (8 hingga 11 Rabi’ul Awwal). Dalam tempoh itu, Nabi Saw. tinggal bersama Bani Amru bin Auf di rumah Kalthum bin Al Hadm. Sejak pada hari pertama itu lagi Baginda terus membina Masjid Quba’, iaitu masjid yang pertama dibina dalam sejarah umat ini. Baginda sendiri turut serta dalam pembinaan ini dengan mengangkut batu-bata dan pasir-pasir bersama para sahabatnya. Setelah siap, Baginda mengimami sendiri solat berjamaah secara terbuka bersama para sahabat di Masjid Quba’, berqiblatkan Masjid al-Aqsa pada waqtu itu. Di tempat ini Ali bin Abu Talib Rhu. tampil menyusul, setelah mengembalikan barang-barang amanat, yang dititipkan oleh Rasulullah Saw. kepada pemilik-pemiliknya di Makkah. Ali menempuh perjalanannya ke Madinah dengan berjalan kaki.

Masjid Quba’ ini adalah masjid yang pertama dibina setelah Baginda diangkat menjadi Rasulullah, yang ia dibina berasaskan iman dan taqwa. Allah Swt. memperakui hal ini menerusi firmanNya :

“………..… sesungguhnya Masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”.
Surah At Taubah (9) : ayat 108

Nota : Imam Bukhari Rhm. meriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Umar Rhu. bahawasanya Rasulullah Saw. selalu datang ke Masjid Quba’ ini pada setiap hari Sabtu sama ada menaiki unta atau berjalan kaki. Kadang-kadang Baginda datang pada hari Isnin dan Khamis.

Pada pagi 12 Rabi’ul Awwal bersamaan 26 September 622M Baginda berangkat meninggalkan perkampungan Quba’ menuju pusat bandar Madinah. Pada waqtu tengahari dan telah masuk waqtu solat, Baginda telah sampai di perkampungan Bani Salim bin Auf. Baginda berhenti di situ dan mendirikan solat Jumaat. Itulah pertama kalinya syari’at Solat Juma’at diperbuat dan Baginda sendiri yang membacakan khutbah dan menjadi imam. Sekitar 100 orang Muslimin menyertai dalam solat Jumaat pertama tersebut. Di antara mereka adalah kerabat Rasulullah Saw. dari Bani an-Najjar yang datang menemuinya dan beberapa dari Bani Amr yang mengawalnya dari Quba'. Tempat itu didirikan sebuah masjid bernama Masjid Jum’ah yang juga dikenali dengan Masjid Bani Salim, yang terletak kira-kira 2.5 km dari arah selatan Masjid Nabawi.

Selepas mengerjakan Solat Juma’at, Baginda bersama rombongannya melanjutkan perjalanan memasuki Madinah pada petang hari diketuai oleh Ali bin Abu Thalib. Ketibaan Baginda dan rombongan disambut meriah dan penuh kesyukuran, setelah para sahabatnya menunggunya dengan penantian yang begitu lama, setiap subuh mereka keluar ke pinggir kota untuk menanti, dan mereka tidak kembali kecuali setelah sinar matahari telah memanas (waktu dzuhur), maka ketika Rasulullah Saw. telah tiba di Madinah, mereka sangat bahagia, dan anak-anak menyambut kedatangannya dengan bernasyid.

Ramai penduduk Madinah menjemput Baginda untuk tinggal di rumah mereka, Setiap orang berebut memegang tali untanya, kerana mengharapkan Rasulullah Saw. sudi tinggal di rumahnya, sehingga Baginda berpesan kepada mereka : Biarkan saja tali unta itu kerana ia berjalan menurut perintah. Unta itu pun terus berjalan memasuki lorong-lorong Madinah hingga sampai pada sebidang tanah tempat pengeringan kurma milik dua anak yatim dari Bani Najjar di depan rumah Abu Ayyub Al-Ansory. Kemudian Rasulullah Saw. Bersabda : Di sinilah tempatnya, insyaAllah. Lalu Abu Ayyub segera membawa Al Quswa ke rumahnya, dan menyambut kedatangan Baginda dengan penuh bahagia.

Antara tindakan pertama yang Baginda lakukan ialah memilih tempat unta Baginda berhenti duduk, untuk dijadikan sebagai masjid. Baginda tawar menawar harga tanah tersebut dengan mereka berdua. Kedua-dua kanak-kanak itu berkata : Kami berikannya kepada kamu, wahai Rasulullah. Namun Baginda berkeras untuk membelinya dengan harga 10 dinar emas yang dibayar menggunakan harta Abu Bakar.

Kemudian Baginda melakukan kempen agar orang Islam turut serta membina masjid. Mereka segera melakukannya. Baginda turut bersama mereka memindahkan batu bata, sehinggalah sempurna pembinaan masjid tersebut. Dinding masjid itu dibina daripada batu bata dan bumbungnya daripada pelepah-pelepah kurma yang diletakkan pada batang-batang kurma. Dibina juga sebuah rumah kediaman disebelahnya dan setelah siap, Baginda berdiam di rumah tersebut bersama isteri Ummul Mukminin Aisyah Rha., juga Baginda wafat di situ juga

Nota : Baginda dimaqamkan di dalam rumah tersebut dengan kesepakatan seluruh Ahlul Bait dan sahabat Baginda. Janazah Amirul Mukminin Abu Bakar bin Abi Quhafah serta Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab juga disemadikan bersebelahan dengan janazah Baginda Saw. di dalam rumah tersebut.

Kemudian Baginda Saw.  mempersaudarakan di antara Muhajjirin dan Ansor. Baginda menjadikan untuk setiap Ansor seorang saudara daripada Muhajirin. Ada suatu kisah : seorang Ansor telah membawa saudara Muhajirinnya ke rumah. Beliau menawarkan kepada saudara Muhajirinnya untuk membahagi sama rata semua barang yang terdapat di dalam rumahnya. Ada banyak lagi kisah menyayukan dan mengejutkan tentang penerimaan konsep persaudaraan antara Muhajjirin dan Ansor ini.

Intipatinya, konsep persaudaraan yang ditetapkan Nabi Saw. ini amat berjaya menyatukan manusia atas dasar iman dan taqwa, dan itulah asas yang menjadi tonggak kejayaan ummat Muslimin yang berpusat di Madinah sehingga berjaya menguasai dunia. Namun ada juga sahabat Muhajjirin yang tidak mahukan harta apa-apa. Diantaranya Abdurrahman bin Auf Rhu. misalnya, tidak mahukan apa-apa harta, tetapi cuma meminta suatu ruang kecil sahaja untuk membolehkan dia berniaga di pasar Madinah.

Setakat ini sahaja yang termampu dapat saya catatkan secara amat ringkas sirah perjalanan hijrah Nabi Saw. dari sebuah kisah yang amat panjang sebenarnya. Haqiqat dan hikmah dari perbuatan hijrah ini ialah, agama Islam boleh berkembang secara aman dan leluasa, da’wah Islamiyah menjadi lebih pesat, diterima dan diiktiraf di seluruh pelusuk jazirah Arab, terbentuknya Sahifah (perlembagaan) Madinah dan sistem pemerintahan negara Islam Madinah, penyatuan seluruh bangsa Arab dibawah panji Dua Kalimah Syahadah dan ketundukan kepada rasulNya. Bermula dari titik ini jugalah, kekuatan ummat Islam meningkat dan sempurna dari segi ekonomi, keilmuan, kemasyarakatan, peradaban, ketenteraan dan pemerintahan.

Berpusat di Madinah inilah, Islam menjadi kukuh dan berkuasa tidak terkalahkan sehingga mengalahkan empayar lebih besar, lebih tinggi ketamadunannya dan lebih kuat yaitu Rom dan Farsi sehinggalah agama Islam tersebar luas ke seluruh dunia, seterusnya menjadi tonggak perubahan ke atas seluruh corak peradaban dunia. Demikianlah peri pentingnya impak dari perbuatan hijrah Nabi Saw. ke Madinah di dalam agama Islam.

Sesungguhnya hijrah Nabi Saw. meninggalkan satu tempat yang paling disayangi oleh Baginda, yang juga paling disukai oleh Allah Swt. Ia juga adalah tanah tempat tumpah darah Baginda, tempat yang penuh kenangan baginya, tempat Baginda membesar, tempat bermulanya kenabian dan kerasulan Baginda. Lebih-lebih lagi, ia adalah tanah haram yang diberkahi Allah Swt. ya’ni Makkah Al-Mukarramah. Sekiranya bukan kerana iman, taqwa dan kecintaan kepada Allah Swt. hjrah ini tidak akan berlaku.

Sesungguhnya perbuatan hijrah Nabi Saw. telah mengajarkan, jika bertemu antara tuntutan penegakan aqidah berbanding dengan kecintaan kepada tanah air, maka tuntutan aqidah lebih tinggi kedudukannya dan mesti didahulukan ke atas yang lain. Tuntutan aqidah lebih berharga dari keluarga, rumah, harta dan apa sahaja yang disukai oleh manusia. Baginda telah berhijrah meninggalkan negaranya yang tercinta demi semata-mata kerana Allah Yang Esa. Dan ini dinyatakan oleh Yang Ma’bud :

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.
(yaitu – orang teraniaya) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata : "Rabb kami hanyalah Allah". Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
(yaitu – orang beriman kepada Allah) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, niscaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.”
Surah Al-Hajj (22) : ayat 39-41

Dan yang dikatakan Maal Hijrah itu, ia berlaku pada 27/28 Safar hingga 12 Rabi’ul Awwal (15 hari), itulah tempoh sebenarnya, bukan pada 1 Muharram dan pada bulan Muharram sertimana yang disangkakan orang banyak. InsyaAllah, sepanjang tempoh 15 hari ini, mari bersama kita khabarkan kisah perjalanan Hjrah Baginda Saw. untuk mengambil i’tibar darinya dan menghayatinya dengan keinsafan seterusnya, dijadikan panduan dalam meneruskan perjalanan iman dan taqwa hidup kita selamanya.

Sekian.

Sumber semakan dan rujukan :
1.    Imam Abu Ja'far Muhammad ibnu Jarir ibnu Yazid Al Thabari Rhm. (224–310 Hijrah), Tarikh Al Umam Wa Al Muluk At Thabari (Tarikh At Thabari), Jilid 2, halaman 98-100
2.    Imam Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam Rhm. (218 Hijrah), Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam, Jilid 2, halaman 88-92
3. Imam Muhammad Ibn Abi Bakr bin Ayyub Ibnu Qayyim Al Juwziyyah Ad Dimasyqi Rhm. , (1292–1350 M/691–751 H). Kitab Zaad ul Ma’ad, Jilid 3 halaman 267-273
4.    Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir Ad Dimasyqi Rhm. (700-774 Hijrah), Al Fusuul Fi Siiratir Rasul, halaman 57-60
5.    Syaikh Abu Hashim Sofi ur-rahman bin Abdullah bin Muhammad Akbar bin Muhammad Ali bin Abdul Mu’min bin Faqirullah Al Mubarakpuri Al Adzami Rhm. (1360H/1942- 1427H/2006), Raheeq ul Makhtum, halaman 232-252
6.    Syaikh Prof. Dr. Ali Muhammad As Sallabi hafidzahullah, Biografi Rasulullah Saw. Jilid 1, halaman 470-482
7. Syeikh Dr. Musthofa As Siba’ie Rhm., Sirah Nabi Muhammad Saw. : Pengajaran & Pedoman, Bab 4, halaman 32-43

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

PERJALANAN HIRJAH NABI MUHAMMAD S.A.W (SIRI 1)

1 ulasan
PERJALANAN HIJRAH NABI MUHAMMAD S.A.W (SIRI 1).

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعديسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekalian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Solih serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Hijriyah ke 1435, juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa membimbing kita ke As Siraathul Mustaqiim dan menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah.
 
Setiap kali menjelangnya dan pada 1 Muharram acap tahun, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul Saw. Hari ini disambut dengan aneka macam acara, dari perhimpuan hinggalah perarakan, ceramah, kuliyah, kenduri kendara, forum bersaiz kecil hinggalah ke forum bersaiz perdana. Di media cetak dan elektronik juga, berbagai cerita, kisah, iklan dan pesanan dimuatkan dari beberapa hari sebelum sehingga beberapa hari sesudahnya. Tambah lagi dijadikan pula hari cuti umum nasional. Demikianlah cara kita menyambut hari yang disebut Maal Hijrah. Asalnya hari itu disebut Awal Muharram yaitu sambutan tahun baharu mengikut calendar Islam, dan itulah maqsud perbuatan yang tepat sebenarnya.
 
Dalam tempoh beberapa hari lagi kita akan menelusuri hari-hari perjalanan hijrah Baginda Nabi Saw. Ia berlangsung selama 15 hari bermula dari malam Nabi Saw. mula bergerak ke Gua Tsur. Pada tahun ini, tarikh perjalanan itu jatuh pada Isnin malam 30 Disember 2013 sehingga kemuncaknya pada selepas Zuhur hari Selasa 14 Januari 2014. Itulah tempoh hari-hari sebenar Nabi Saw. menempuhi perjalanan hijrah.
 
Mudah-mudahan catatan perjalanan ringkas ini boleh menjawab sebahagian salah fahaman yang banyak berlaku sekarang, bahawa peristiwa hijrah itu berlaku pada 1 Muharram dan pada bulan Muharram.
 
Disebut ia Ma’al Hijrah (maqsud - Bersama Hijrah) kerana merujuk kepada peristiwa hijrah Rasul Saw. dari Makkah ke Madinah, yang merupakan satu perkara sangat utama dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum Muslimin, bahkan juga kepada alam keseluruhannya. Betapa tidaknya, hijrah Rasul Saw. ini telah menjadi tonggak perubahan ke atas seluruh corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga ke hari ini. Justeru itulah, Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab Rhu. dengan persetujuan para sahabat Rhu. bersetuju dan menetapkan mengambil peristiwa hijrah ini sebagai nama bagi tahun calendar Islam pada tahun 17 Hijriyah.
 
Amirul Mukminin Umar Rhu. juga menetapkan tarikh 1 Muharram pada tahun bermulanya hijrah Nabi Saw. sendiri sebagai tarikh bermulanya tahun hijrah yang pertama (tahun ke 14 selepas kerasulan). Bulan Muharram dipilih sebagai bulan pertama dalam calendar Islam setelah mengambil kira semua pengibadatan dalam tempoh 1 tahun telah dilengkapkan pada bulan Zulhijjah (ya’ni ibadah haji) dan bermulalah musim baharu.
 
Perkataan hijrah berasal dari Bahasa Arab yang pada segi lughah (bahasa) ism masdar/mufradatnya “hajara” yang berarti “meninggalkan”. Dari segi istilah (syara’), ia berarti meninggalkan satu tempat dan berpindah ke satu tempat yang lain. Dari contoh perbuatan Rasulullah Saw., : meninggalkan Makkah dan berpindah ke Yathrib (nama itu ditukar oleh Rasulullah Saw. kepada Madinah Al Munawwarah setelah Baginda sampai dan menetap disana).
 
Amalan hijrah bukan sahaja berlaku ke atas diri Nabi Muhammad Saw. sahaja, malah telah dilakukan terdahulu daripadanya oleh para Anbiya’ seperti Nabi Ibrahim, Musa, Isa, Yusuf, Luth, Nuh ‘alaihimussolatu wassalam dan lain-lain. Ia berlaku kerana penentangan yang amat keras di kalangan masyarakatnya yang tidak dapat menerima da’wah yang dibawa oleh mereka, dan mereka berpindah ke tempat yang penduduknya boleh menerima da’wah dan/atau keluar bebas mer­deka dari sistem jahiliyah dan penin­dasan yang dilakukan para penguasa dzalim terhadap mereka, seterusnyaboleh meneruskan da’wah Islamiyah dengan lebih aman. Sebab itu juga, Allah Swt. jadikan hijrah itu salah satu tiang utama penegakan syari’at Islam. Di samping itu, dengan berhijrah seorang mukmin mendapat perlindung­an dari saudara-saudaranya yang lain. Ini dinyatakan dalam firman Allah Swt. :
 
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhij­rah serta berjihad dengan harta dan jiwa­nya pada jalan Allah dan orang-orang yang mem­berikan tempat ke­diam­an dan pertolong­an (kepada orang-orang muhajirin), me­reka itu lindung-melindungi. Dan (terha­dap) orang-orang yang beriman tetapi belum berhijrah, tidak ada kewajiban sedikit pun atasmu melindungi mereka sebe­lum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan ke­pada­mu dalam (urusan pembelaan) aga­ma, kamu wajib memberikan pertolong­an, kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
Surah Al-Anfal (8) : ayat 72
 
Rasulullah Saw. mula berda’wah menyampaikan syari’at Islam di kalangan orang yang dipercayai (kerasionalan) aqalnya selama 3 tahun. Hasilnya, beberapa orang lelaki dan wanita yang terkenal dengan pemikiran yang matang dan jiwa yang sejahtera, telah memeluk Islam. Setelah bilangan mereka yang memeluk Islam mencapai kira-kira 30 orang, Allah Swt. memerintahkan Rasul-Nya untuk menyampaikan da’wah secara terang-terangan. Ini dinyatakan dalam firman-Nya :
 
“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus terang apa yang telah disampaikan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan qaum kafir musyrik itu.”
Surah Al Hijr (15) : ayat 94
 
Ekoran da’wah secara terang-terangan itu, bermulalah peringkat menyakiti orang-orang mukmin yang baharu memeluk Islam secara terang-terangan juga. Bahkan diri Baginda turut disakiti. Orang musyrik merasa bimbang dan dengki apabila Rasul dapat memperbodohkan pemikiran jahil mereka, membongkar tembelang segala macam kecacatan dan kepalsuan kepercayaan ketuhanan mereka dan mengemukakan agama baharu kepada mereka. Agama itu mengajak kepada Tuhan yang Esa. Tuhan yang tidak dapat dilihat oleh mata dan pandangan, sedangkan Dia yang mengetahui hakikat pandangan mata. Dia juga Tuhan yang Maha Berkuasa, Maha Dermawan Maha Lemah Lembut lagi Maha Mengetahui apa yang telah dan akan berlaku. Agama baharu ini telah menggugat tradisi dan hegemoni masyarakat jahiliyah, maka itu mereka menindas agama baharu ini dan para pengikutnya.
 
Tekanan dan penyiksaan oleh kafir musyrik akhirnya telah sampai ke tahap mengancam Islam dan ummatnya, perkara itulah yang menjadi punca kepada perbuatan hijrah. Dalam seluruh perjuangan Nabi Saw. selama 63 tahun, Baginda telah melalui peristiwa hijrah ini dalam beberapa frasa :
 
1.    Ke Habsyah : hijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun ke 5 selepas kerasulan. Ia dipimpin oleh Utsman bin Mazh`un Rhu. terdiri dari lebih kurang 11 lelaki dan 4 wanita, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. Antara sahabat yang turut serta adalah Zubir bin Al Awwam, Abdurrahman bin Auf, Ja'far bin Abu Thalib serta anak menantu Baginda yaitu Ruqayyah dan Utsman bin Affan.
 
2.    Ke Habsyah : hijrah ini berlaku pada tahun ke 7 selepas kerasulan,  yang terdiri dari lebih kurang 83  tiga orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing.
 
2 kali Hijrah ini diarahkan oleh Nabi Saw. disebabkan tekanan amat kuat dikenakan oleh kafir Quraisy di Makkah yang memulau dan menyiksa dengan kejam ummat Islam sehinggakan ada yang dibunuh. Dari satu sisi lain, Raja Habsyah (Najasyi) yang beragama kristian menyambut baik kehadiran ummat Islam dan menjaga dengan baik. Dengan adanya hijrah ke tempat yang sejahtera, ummat Islam terjaga dan agama Islam itu sendiri terpelihara.
 
Nafsu kaum Quraisy Makkah untuk mematahkan semangat perjuangan Nabi Muhammad Saw. sangat besar, sehingga mereka mengutus Amr bin Ash dan Amr bin al-Walid untuk memohon kepada Raja Najasyi agar pelarian dari Makkah itu dikembalikan dengan alasan bahawa mereka adalah pengacau agama dan perosak kekeluargaan serta kehormatan Quraisy. Oleh kerana semua tuduhan yang dikemukakan oleh orang-orang Quraisy tidak terbuktikan, maka permohonan mereka ditolak dan orang-orang Islam tetap diizinkan untuk tinggal di Habsyah dengan jaminan keamanan. Akhirnya mereka kembali dari Habsyah dengan penuh kecewa. Penolakan tersebut menyebabkan kaum Quraisy memboikot Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib selama 3 tahun di Lembah Bani Tsaqif.
 
Bertahun-tahun Nabi Saw. menyerukan Islam di bumi Makkah, sekalipun disokong oleh beberapa tokoh ternama Quraisy antaranya Khadijah, Abu Thalib, Hamzah, Abu Bakar dan Umar, akan tetapi hasil yang dicapai sangat minima dan tidak seimbang dengan tenaga serta pengorbanan yang telah diberikan. Buah fikiran dan perilaku Nabi Saw. yang dinamis serta didasari wahyu Allah Swt. terasa buntu berhadapan dengan masyarakat yang ultra tradisional, jahil dan cintakan kesedapan dunia. Peliknya, kafir Quraisy ini amat mengikiraf Nabi Saw. sebagai seorang yang benar dan amanah sehingga mereka gelarkan Al Amin (yang terpercaya) dan diberikan amanah untuk menjaga banyak harta berharga mereka. Rupanya dalam hal agama, ritual amalan, gaya hidup dan adat resam mereka secara total menolak seruan Baginda.
 
Demikianlah rupa keadaan masyarakat jahiliyah yang bertuhankan patung-patung dan hawa nafsu. Mereka merasakan Ad Din ul Islam yang membawa kebenaran dan aqidah yang suci itu pula sebagai perosak dan pengacau. Sebaliknya mempercayai dan mempertahankan ajaran sesat nenek moyang mereka yang menyembah patung dan dewa-dewa sebagai benar belaka. Maka seluruh ummat Muslimin dibenci, dicaci, dipulaukan, disiksa dan dihina lantaran dirasakan mereka ini pembawa ilmu pelik, asing. pengacau dan pengganggu keharmonian. Tidak sedikit kata cela dan perlakuan kasar diperlakukan ke atas Nabi Saw. sendiri. Malah kenistaan dan penyiksaan yang diperbuat ke atas ummat Muslimin lain adalah jauh lebih dahsyat.  
 
Pada Tahun 10 selepas kerasulan, telah berlaku 2 peristiwa yang amat menyedihkan Nabi Saw.  yaitu kewafatan tokoh Quraisy yang mendokong dan melindungi kuat Baginda yaitu bapa saudaranya Abu Thalib Bin Abdul Mutalib dan isteri tercinta, Ummul Mukminin Khadijah Binti Khuwailid Rha. Tahun itu juga disebut “Tahun Kesedihan”. Dengan ketiadaan 2 tokoh yang mereka segani ini, kafir Quraisy menjadi lebih berani dan terbuka penentangannya. Baginda dalam tempoh itu banyak dibantu kuat oleh 3 tokoh Quraisy Muslimin yaitu Abu Bakar, Umar Al Khattab dan Hamzah bin Abdul Mutalib. Baginda tetap meneruskan da’wah dan sentiasa ada orang yang menerima Islam. Di masa itu juga, ummat Islam di Makkah menghadapi kesulitan yang amat sangat kerana tindakan pemulauan, pengasingan dan penyiksaan.
 
Hijrah ke Thaif pada tahun ke 10 selepas kerasulan : akibat tekanan dan penyiksaan terlalu kuat, Baginda bersama Zaid bin Haritsah Rhu. telah cuba untuk mendapatkan pusat gerakan baru sekitar Makkah yaitu Thaif, tetapi hasrat dan da’wah Baginda ditolak dengan amat kasar oleh suku Arab Tsaqif ya’ni pemuka Thaif pada masa itu. Para penduduknya mencaci, mencela seterusnya menghalau Baginda keluar malah anak-anak mereka disuruh merejam batu ke arah Baginda dan Zaid Rhu. sehingga Baginda luka-luka di kepala dan badan serta berdarah meleleh hingga ke kaki.
 
Suatu peristiwa amat penting juga telah terjadi semasa Baginda masih berada di Makkah. Peristiwa tersebut dikenal dengan Isra’ dan Mi’raj. Isra, yaitu perjalanan malam hari dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitul Muqaddis. Mi’raj, yaitu kenaikan/terangkatnya Nabi Muhammad Saw. dari Masjidil Aqsa ke langit melalui beberapa tingkatan, terus menuju Baitulmakmur, sidratulmuntaha, arsy (takhta Allah), dan dalam peristiwa ini juga, Baginda telah menerima perintah amalan ibadah teragung dalam Islam yaitu kewajiban untuk melaksanakan solat 5 waqtu dalam sehari semalam.
 
Dalam peristiwa ini, Allah Swt. memperlihatkan tanda-tanda keagungan dan kekuasaan-Nya sebagai penguat kepada Nabi Muhammad Saw. yang sedang dirundung kesedihan. Peristiwa ini memberikan pelajaran yang sangat berharga kepada Baginda dalam usaha da’wah dan mengajarkan agama Islam yang lebih jelas. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini dinyatakan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur’an :
 
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. :
Surah Al-Isra’ (17) : ayat 1
 
Segala kebesaran hanya bagi Allah Swt., rupanya peristiwa ini menjadi titik koreksi dan ujian bagi ummat Islam yang beriman. Peristiwa ini menyerlahkan siapa yang beriman dengan mantap dan siapa saja yang rapuh imannya. Ummat Muslimin bercelaru penerimaannya ke atas peristiwa ini sehinggalah Abu Bakar Rhu. hadir dengan tegas membenarkannya. Setelah peristiwa itulah beliau digelar As Siddiq. Terbukti setelah Baginda menyampaikan peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini, ada diantara pengikutnya yang berpaling tadah meninggalkan Baginda. Sementara ada pula yang tetap beriman, semakin mantap dan terus bertingkat imannya dan terus tabah menghadapai segala ujian.
 
MahaSuci Allah, disebalik segala macam ujian dan penyiksaan, pertolongan Allah Swt. sentiasa ada yang mana, walaupun berlaku penolakan kuat dan agresif oleh kafir Quraisy Makkah dan penduduk sekitarnya, da’wah Nabi Saw. tetap tersebar luas. Sentiasa ada orang yang menerima seruan Islam kalau pun secara sembunyi. Salah satu golongan adalah orang luar dari Yathrib yang lebih mudah menerima seruan Islam.
 
Pada tahun ke 11 selepas kerasulan, Nabi Saw. pergi menemui kabilah-kabilah Arab yang datang semasa musim haji, mengajak  mereka kepada aqidah suci Islam dan menyeru supaya meninggalkan penyembahan berhala, cara hidup nista dan amalan syirik. Pada ketika Baginda berada di Aqabah, salah satu tempat melontar jamrah, Baginda telah menemui rombongan qaum Aus dan Khazraj, yaitu qaum Arab dari Madinah. Lantas Baginda mengajak mereka kepada Islam, menjelaskannya dan mereka menerimanya. Bilangan mereka pada waqtu itu adalah 7 orang termasuk 1 wanita.
 
Mereka berkata : “Bangsa kami sudah lama terlibat dalam permusuhan, yaitu antara suku Khazraj dan Aus. Mereka benar-benar merindukan perdamaian. Kiranya kini Tuhan mempersatukan mereka kembali dengan perantaramu dan ajaran-ajaran yang kamu bawa. Oleh karena itu kami akan berda’wah agar mereka mengetahui agama yang kami terima dari kamu ini.” Setelah pulang, mereka lalu menceritakan kepada kaum mereka tentang pertemuan tersebut dan agama Islam yang mereka anuti. Penjelasan ini menarik minat ramai orang Madinah terhadap Islam.
 
Pada tahun ke 12 selepas kerasulan, pada ketika musim haji juga, 12 orang lelaki Madinah telah datang ke Makkah. Mereka berhimpun dan berbai’ah (berjanji setia) dengan Nabi Saw. Ini kemudiannya disebut sebagai Perjanjian Aqabah 1. Ubadah bin Samit Rhu. salah seorang peserta perjanjian tersebut menceritakan kandungan perjanjian itu sebagai berikut : “kami tidak akan mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, kami tiada akan mencuri, kami tiada akan berzina, kami tiada akan membunuh anak-anak kami, tiada akan fitnah memfitnah, dan tiada akan mendurhakai Nabi Muhammad Saw. pada sesuatu yang tidak kami kehendaki”.
 
Setelah itu mereka pulang dan mengkhabarkan Islam lagi kepada penduduk Madinah. Tidak berapa lama kemudian, Nabi Saw. telah mengutuskan Mus’ab bin Umair Rhu. ke Madinah untuk membacakan Al Qur’an dan mengajarkan Islam di sana. Ini sebagai memenuhi sebahagian daripada syarat perjanjian dan juga amat perlu memandangkan Islam telah mula diterima secara meluas. Selain itu, Mus’ab ini merupakan individu Muslim dari Makkah yang pertama sekali hijrah ke Madinah.
 
Bermula dari detik ini, Islam telah berkembang pesat dan diterima ramai qum Arab di Madinah. Salah satu sebabnya, mereka lebih hampir dengan orang yahudi yang banyak di Madinah, yang mendedahkan kepada mereka kisah dan amalan agama samawi. Selain itu, Madinah pada masa itu adalah kawasan pertanian yang penduduknya lebih lembut, hidup aman damai dan tidak menerima kekasaran. Islam juga telah membawa dimensi dan memberi kekuatan baru kepada masyarakat Arab di Madinah yang begitu lama ditindas oleh yahudi.
 
Pada tahun seterusnya (tahun ke-13 kerasulan), sekumpulan Ansar telah datang pada musim haji. Mereka berhimpun dengan Nabi Saw. secara sembunyi. Bilangan mereka seramai 70 orang lelaki dan 2 orang wanita. Mereka menerima Islam juga berbai’ah untuk menolong dan menyokong Baginda, mempertahankan Baginda sebagaimana mereka mempertahankan diri, wanita dan anak-anak mereka sendiri. Ini disebut sebagai Perjanjian Aqabah 2. Mereka juga menjemput Nabi Saw. dan ummat Muslimin untuk berhijrah ke Madinah. Mereka pulang ke Madinah setelah Baginda memilih 12 orang ketua dari kalangan mereka sebagai wakil kepada qaum mereka.
 
Kafir Quraisy akhirnya mendapat tahu tentang keIslaman sekumpulan penduduk Madinah. Lantaran itu, mereka semakin marah dan terus meningkatkan penyiksaan kepada orang-orang Muslimin di Makkah. Situasi itu amat genting dan merbahaya, malah turut mengancam da’wah Islamiyah yang tidak dapat berkembang lagi. Berikutan tekanan yang semakin kuat, Nabi Saw. lalu mengarahkan ummat Muslimin berhijrah ke Madinah sepertimana setelah turunnya ayat perintah Allah Swt. yang firmanNya :
 
“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rizqi yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maqsud kepada Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 100
 
Atas dasar itu, Allah Swt. memerintahkan Baginda dan seluruh umat Islam yang masih berada di Makkah supaya meninggalkan tempat itu dan berhijrah ke Madinah. Bagi yang mengingkari arahan supaya berhijrah ke Madinah, mereka dijanjikan dengan neraka dan ditimpakan dengan siksaan yang amat pedih sepertimana yang ditegaskan Allah Swt. menerusi firmanNya :
 
“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaaan menzalimi diri mereka sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya : Dalam keadaan bagaimana kamu ini? Mereka menjawab : Kami adalah orang-orang yang tertindas di negeri kami sendiri (Makkah). Para malaikat berkata : Bukankah bumi Allah itu luas hingga kamu dapat berhijrah di bumi itu? Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan ia seburuk-buruk tempat kembali”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 97
 
Maka bermulalah hijrah ummat Muslimin ke Madinah secara berkumpulan kecil dan sembunyi-sembunyi. Tidak seorang pun dari sahabat Rasulullah Saw. yang berani hijrah secara terang-terangan kecuali Umar bin al-Khattab Rhu. Ali bin Abi Thalib meriwayatkan bahawa ketika Umar hendak berhijrah, dia membawa pedang, busur panah dan tongkat di tangannya menuju Ka’bah dengan sambil disaksikan oleh tokoh-tokoh Quraisy. Umar melakukan thawaf 7 kali dengan tenang. Setelah thawaf dia datang ke belakang Maqam Ibrahim dan mengerjakan solat 2 raka’at. Kemudian berdiri seraya berkata : Semoga celakalah wajah-wajah ini! Wajah-wajah inilah yang akan dikalahkan Allah! Barangsiapa ingin ibunya kehilangan anaknya, atau isterinya menjadi janda, atau anaknya menjadi yatim piatu, hendaklah ia menghadangku di balik lembah ini esok pagi”. Namun tiada seorang pun berani keluar menyahut cabarannya itu esok pagi, dan beliau pun keluar meninggalkan bumi Makkah dengan aman diikuti beberapa orang Muslimin yang serba kedhaifan.
 
Kafir Quraisy di Makkah berbuat segala macam cara untuk menimpakan penderitaan kepada kaum Muslim atas hijrah mereka itu. Salah satu contoh, sebagaimana diriwayatkan Ibnu Ishaq, Abu Salamah Rhu. mencuba untuk hijrah bersama isteri dan seorang anak mereka. Maka para iparnya pun mengambil lari isterinya secara paksa, sedangkan keluarganya sendiri pula melarikan anaknya. Maka ia pun pergi berhijrah seorang diri dengan penuh kehibaan. Sang isteri menangis berhari-hari kerana dipisahkan dari suami dan anaknya. Selang setahun kemudian seorang dari suku si isteri menaruh hiba kepadanya dan membantu mendapatkan izin hijrah bagi isteri dan anak Abu Salamah Rhu.
 
Ibnu Hisyam meriwayatkan bahawa ketika Suhaib Rhu. berusaha hijrah, kafir Quraisy berkata kepadanya : Ketika dulu kamu datang kemari, kamu sangat miskin dan tak dipandang sebelah mata pun. Kini kamu kaya raya. Kami tak akan relakan kamu pergi membawa harta kekayaanmu. Lalu Suhaib Rhu. menjawab : Jika kuberikan semua kekayaanku kepada kalian, akankah kalian relakan aku pergi?" Mereka menyetujui. Suhaib Rhu.  pun menyerahkan semua hartanya kepada mereka dan berhijrahlah dia ke Madinah tanpa ada sesuatu apa pun. Mengetahui hal ini Rasulullah Saw. berkata : Suhaib telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya. Sungguh, Suhaib benar-benar telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya.”
 
Semua muhajirin mengalami hal-hal penyiksaan hampir serupa itu. Meskipun harus menghadapi hal sedemikian, hampir semua Muslim tetap memilih berhijrah ke Madinah.
 
Dalam beberapa riwayat disebutkan bahawa, setelah Abu Bakar Rhu. melihat kaum Muslim sudah banyak yang berangkat hijrah ke Madinah, dia datang kepada Rasulullah Saw. meminta izin untuk berhijrah. Tetapi dijawab oleh Rasulullah Saw. : Jangan tergesa-gesa, aku ingin memperoleh izin dulu dari Allah” Abu Bakar bertanya : Apakah engkau juga menginginkannya?“ Jawab Nabi Saw. : Ya. Kemudian Abu Bakar pun menangguhkan niyat keberangkatannya dan telah memahami bahawa Rasulullah Saw. menginginkan beliau menemani Baginda berhijrah. Setelah itu, Abu Bakar telah membeli dua ekor unta dan dipelihara oleh Abdullah bin Uraiqit Ad-Da’ily selama empat bulan.
 
Kafir Quraisy menjadi sangat marah lagi cemburu apabila mengetahui kaum Muslimin telah bersama dengan suku-suku berkuasa di Madinah dan mendapat kebaikan. Kemuncaknya pada 26 Safar mereka mengadakan satu persidangan di Dar un-Nadwah menghimpunkan semua kabilah Quraisy di Makkah pada masa itu. Mereka memutuskan untuk memilih seorang pemuda yang gagah daripada setiap kabilah. Kemudian kesemua pemuda tersebut dikehendaki membunuh Baginda secara serentak. Justeru itu, tuntutan darah Baginda akan teragih kepada setiap kabilah. Ini menyebabkan Bani Abdul Manaf (keluarga Rasulullah) tidak upaya memerangi mereka semua lagi dan terpaksa menerima bayaran diyat (denda gantirugi) sahaja.
 
Allah Swt. memberitahukan Rasulullah Saw. perihal rancangan jahat orang kafir Quraisy ini menerusi Kalam-Nya :

“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu-daya.”
Surah Al-Anfal (8) : ayat 30 Bersamaan 28 Safar kerana hari dalam calendar islam bermula selepas Maghrib)
 
Pada malam 27 Safar (bersamaan 28 Safar kerana hari dalam calendar Islam bermula dari waqtu Maghrib), pemuda-pemuda yang diwakilkan untuk membunuh Rasulullah Saw. berhimpun di muka pintu rumah Baginda, menunggu Baginda keluar untuk membunuhnya. Pada malam tersebut Baginda tidak tidur di tempatnya sebaliknya telah meminta Ali Rhu. tidur di tempatnya itu. Baginda juga memerintahkan beliau agar memulangkan barang-barang amanah yang disimpan oleh orang kafir Quraisy kepada Baginda pada keesokan hari kepada pemiliknya. Baginda pergi meninggalkan rumahnya pada malam hari dengan berjalan-kaki melewat musuh-musuh yang mengepung rumah beliau, sambil membaca Kalamullah :

“Dan Kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula), dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat.”
Surah Yaasin (36) : ayat 9
 
Maka Allah Swt. pun menghalangi penglihatan mereka sehingga mereka tak dapat melihat Rasulullah Saw. meski pun Baginda sempat menaburkan debu ke atas kepala setiap pemuda yang mengepung di sekitar rumah. Baginda lalu pergi ke rumah Abu Bakar. Sebelum itu, Abu Bakar telah pun menyiapkan 2 ekor unta kenderaan bagi mereka berdua untuk keluar dari Makkah. Abu Bakar mengupah Abdullah bin Uraiqit Ad-Da’ily, seorang yang masih kafir untuk menjadi penunjuk jalan ke Madinah, dengan syarat mengelakkan jalan yang biasa dilalui dan menggunakan jalan lain yang tidak diketahui oleh kafir Quraisy. Mereka berdua melompat keluar melalui jendela belakang rumah dan melarikan diri di kegelapan malam sebagaimana telah direncanakan.
 
Di sinilah bermulanya kisah yang paling cemerlang dan indah yang pernah dikenal manusia dalam sejarah Nabi Saw. Ia melibatkan perjalanan yang penuh bahaya tetapi amat strategic dan penuh hikmah, demi kebenaran, keyaqinan dan keimanan. Dan perjalanan inilah, yang telah menjadi tonggak kepada kejayaan Islam akhirnya. Bermulalah perjalanan hijrah Nabi Saw. pada malam itu (27/28 Safar tahun ke 14 selepas kerasulan bersamaan 12 atau 13hb September 622M) bersama sahabat Baginda, Abu Bakar Rhu. Hanya Ali Rhu. dan keluarga Abu Bakar sahaja yang mengetahui tentang hijrah Baginda tersebut.
 
bersambung……………….
 
والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
 
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان , والسلام
 
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...