Rabu, 23 April 2014

Ahlus Sunnah: Sekadar Pengakuan Atau Sangkaan.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Aku bersaksi bahawasa sesungguhnya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah (kamu) kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.”
Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 102

Para jamaah yang diberkati Allah Swt.

Istilah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah sudah sering kita dengar. Banyak orang atau kelompok yang mengaku berada di atas pemahaman/manhaj Ahlus Sunnah. Masing-masing merasa dirinya di atas kebenaran, manakala kelompok lain dirasakan menyimpang belaka. Namun, yang lebih penting untuk kita kaji sekarang adalah, apakah di dalam diri kita sudah terdapat ciri-ciri Ahlus Sunnah itu, dan apakah benar kita telah menepati sebagai pendokong dan pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Saya terpanggil untuk membicarakan/menuliskan tentang masalah ini setelah berlakunya diskusi santai bersama rakan-rakan selepas memberikan kuliyah. Saya merasakan senario semasa amat pelik : pemuja dan penurun hantu-hantuan pun mengaku sebagai Ahlus Sunnah, pelaku dan tekong bid’ah pun mengaku begitu juga malah mengkhabarkan pula kepada orang-orang yang bid’ah pun sebagai sunnah, pelaku dan pendokong khurafat serta tahayul pun mengaku mereka pejuang sunnah, tukang sepak terajang anak isteri pun mengaku ikut sunnah, pengikut dan penegak sekular pun mengaku ahli sunnah, pendusta dan pemakan riba pun seperti itu juga. Bahkan banyak lagi jika mahu ditulis.

Para sahabat mahukan saya menulis sesuatu tentang perkara ini. Sememangnya hal ini memerlukan waktu yang lama lantaran banyak yang perlu disemak dan diteliti sebaiknya. Alhamdulillah, disebalik segala macam kekangan dan kesulitan, catatan yang serba kekurangan ini disiapkan dalam tempoh 4 bulan.

Pada masa ini, begitu mudahnya masyarakat kita meletakkan setiap perkara yang dilakukan  dengan berkata : "Ini berdasarkan Al Quran dan As Sunnah", sedangkan jika benar-benar diteliti sesuatu amalan tersebut ianya bercanggah dengan kehendak Al Quran dan As Sunnah. Dari manakah datangnya kepercayaan ini, sesuatu yang bukan datang daripada Allah SWT dan Rasul tiba-tiba diperakui, inilah yang menepati Al Quran dan As Sunnah. Wallahu a'lam. Ternyata, ini adalah satu pendustaan/penipuan atas nama Allah dan Rasul-Nya.

Sementara itu, kata-kata dan kenyataan serta dakwaan mereka telah mempengaruhi pemikiran masyarakat umum kerana kekurangan ilmu pengetahuan dan kebergantungan ilmu terhadap Asatizah(kata jamak bagi ustaz dan ustazah). Bagi kebanyakkan masyarakat umum, apalah yang mampu mereka lakukan selain daripada mempercayai golongan yang serba tahu ini, lantas turut sama terlibat dalam mengabarkan setiap amal perbuatan yang dhaif, maudhu' dan dari sumber bercampur aduk tetapi dengan penuh keyakinan menyatakan: Ini berdasarkan Al Quran dan As Sunnah. Semoga sebahagian besar masyarakat kita diberi hidayah untuk menilai setiap amalan mereka supaya bertepatan dengan Al Quran dan As Sunnah 

Justeru itu, kepada Si pengabar berita, kisah dan cerita ini, saya serukan kepada diri saya sendiri dan juga kepada mereka, ingatlah sabdaan Nabi Saw. yang mulia :

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan senghaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. dan imam Muslim Rhm.

Seorang tokoh pengkaji hadis, Syaikh Dr. Hammam Abdur Rahiiim As Sa`id menyatakan :

“Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan mereka telah membawa mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam fadhilat-fadhilat amal, fadhilat surah-surah Al-Quran dan solat-solat sunat, untuk menggalakkan orang ramai beramal. Seperti juga mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam menakut-nakutkan orang ramai terhadap ma’siyat. Mereka menyangka mereka telah membela Islam (malah haqiqat adalah sebaliknya). Golongan yang jahil ini tidak tahu bahawa pendustaan ke atas RasululLah Saw. boleh menurunkan mereka ke dalam tingkatan-tingkatan yang paling bawah dalam neraka jahannam”
Kitab Al-Tamhid fi `Ulum ul-Hadis, halaman 140, Jordan: Dar ul-Furqan

Demikianlah kalam muqaddimah siri kali ini. InsyaAllah, nukilan serba ringkas dan amat dangkal ini dapat membantu semua jamaah yang dikasihi memahami serba sedikit apa yang dimaqsudkan Ahlus Sunnah berdasarkan reality amalan dan kebenaran, bukan sekadar ungkapan dan sangkaan semata-mata.

Maqsud Ahli Sunnah

Maqsud dan ta’rifan Ahlus Sunah memang berbagai-bagai. Ratusan tahun jua hal ini sudah diperbahaskan. Ada sebahagian yang memberikan makna mengikut kecenderungan dan kepentingan puak sediri. Tidak kurang juga yang menggunakan bahasa berbelit-belit dan rujukan pelik-pelik sehingga memeningkan khalayak ramai. Ada yang menaqal (petikan) sana sini tanpa ketahuan dijuruskan kemana, untuk tujuan apa seterusnya diikuti kesimpulan lebih membingungkan yang tidak pun menjawab persoalan. InsyaAllah, dengan pengetahuan serba dhaif ini, saya rangkumkan secara amat ringkas yang dimaqsudkan Ahlus Sunnah :

Nabi Saw. bersabda : "Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (yaitu) Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya".
Hadis Sahih Lighairihi, riwayat imam Malik, imam Hakim, imam Baihaqi, imam Ibnu Nasr dan imam Ibnu Hazm Rhm. Disahihkan oleh Syaikh Salim bin ‘Ied al Hilali di dalam kitab At Ta’zhim wal Minnah fil Intisaris Sunnah, halaman 12-13

“Dan orang-orang yang terdahulu dan pertama-tama yaitu kaum Muhajirin dan Ansar, serta orang-orang yag mengikuti mereka dengan baik. Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada-Nya.”
Surah at Taubah (9) : ayat 100

Nabi Saw. telah bersabda : “Sebaik-baik manusia adalah di zamanku. Kemudian orang-orang yang mengikuti mereka. Kemudian berikutnya yang mengikutinya sesudahnya.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm.

Oleh yang demikian, secara ringkas yang dimaqsudkan Ahlus Sunnah adalah mereka-mereka dikalangan Ummat Muslimin yang mengikut dan berpegang teguh kepada Allah Swt. dan rasul-Nya serta mencontohi/mengikuti generasi para Salafus Solih atau pendahulu yang baik dalam segala aspek kehidupan di dunia sehingga akhirat. (Salafus Solih merupakan sebutan bagi tiga generasi terbaik umat ini, yaitu para sahabat (Muhajirin dan Ansar), tabi’in (murid para sahabat) dan tabi’ut tabi’in (murid para tabi’in). Mudah-mudahan bahasa ringkas, terus terang tanpa berbelit-belit ini difahami.

Sesungguhnya, kesimpulan yang terus terang, berbahasa ringkas dan mudah ini pun masih lagi bersifat umum juga. Maka itu, hampir semua orang pun membawa dan menggunakan 3 dalil di atas (2 hadis dan 1 Kalamullah) sebagai sandaran bahawa dia juga adalah Ahlus Sunnah dan pengikut Salafus Solih (disebut Salafi). Amat menghairankan, disaat semuanya mengaku Ahlus Sunnah, pernah terjadi di dalam Baitullah yang mulia, ibadah solat dengan 4 imam berbeza di setiap penjuru Ka’abah (banyak lagi contoh dahulu dan sekarang yang tidak disebutkan disini).

Jika diteliti lagi segala macam orang yang mendakwa itu, akan terlihatlah betapa berbezanya antara mereka. Sekiranya perbezaan dalam bentuk fikrah mungkin sahaja ia boleh diterima lantaran keadaan, masa dan tempat yang tidak sama. Tetapi apabila melibatkan hal ibadah khususiyah, persoalan halal haram dan antara bid’ah VS sunnah pun berbagai-bagai, ini pasti sesuatu yang amat menjengkelkan. Pasti sekali hal ini membingungkan ummat yang mahu ambil tahu, yang mana satu Ahlus Sunnah sebenarnya disebalik segala macam perbezaan dan pendakwaan. Bagaimana boleh terjadinya sebegitu banyak perbezaan sedangkan Rasulullah tetap jua 1?

Jika diambil sahaja keputusan mudah bahawa semuanya tidak betul, lantas apa pula yang betul dan apa lagi yang tinggal kepada Islam ini? Atau diputuskan sahaja semuanya adalah betul, maka berapa ramai pula nabi yang membawa pengajaran sehingga begitu banyak berbeza sedangkan telah soreh, sahih dan qot’ie bahawa sumber syari’at dan contoh ibadah Islam ini datangnya dari Rasul yang 1. Ini hanyalah diperkatakan dalam konteks ibadah.

Sekiranya diperhatikan dalam konteks perangai dan tingkahlaku, ia malah jauh lebih buruk dan mengarut lagi. Bukanlah asing malah tak tersembunyikan pun dikalangan mereka yang mengaku Ahlus Sunah ini saling bergaduh sesama sendiri, saling kafir mengkafir, saling membenci, saling menghina, saling mencela, saling tuduh menuduh sekalipun berpunca dari hal yang amat kecil, yang tidak patut langsung dipergaduhkan seumpama budak-budak berebut guli. Di saat itu akan terkeluarlah segala macam dalil mengarut sesedap rasa terkadang tak termasuk dek akal tapi semuanya dilapikkan jua : berdasarkan Al Qur’an dan As Sunnah.

Tidak hairan juga, selepas artikel ini disiarkan, akan ada komentar yang membantah seterusnya menegaskan bahawa segala perangai kafir-mengkafir, menghina, mencela, mencari gaduh itu molek belaka, sangat digalakkan, tak salah dan semuanya jua dilapikkan : berdasarkan Al Qur’an dan As Sunnah.   

Setelah menyatakan makna Ahlus Sunnah sebaik termampu, baik sekali diteruskan lagi perbicaraan ini kepada suatu hal yang lebih menjelaskan lagi tentang Ahlus Sunnah ya’ni berdasarkan sifat dan cirinya. Moga-moga memberi kefahaman.

Yang dikatakan Ahli Sunnah ini adalah Ummat Muslimin yang mempunyai sifat/ciri-ciri seperti berikut : 

Berpegang Teguh Kepada Allah Swt. dan rasul-Nya : tidak sesekali memilih selain dari itu sebagai ikutan, pegangan dan kepercayaan

“Sesungguhnya ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia! Dan janganlah kalian mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana itu akan memecah-belah kalian dari jalan-Nya.”
Surah al An’am (6) : ayat 153

“Barangsiapa mencari agama selain dari agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”
Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 85

Allah Azza wa Jalla telah mewajibkan kepada seluruh manusia untuk memeluk agama Islam kerana Rasulullah Saw. diutus untuk seluruh manusia, sebagaimana firman-Nya :

“Katakanlah : Hai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua, yaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi, tidak ada yang berhak disembah selain Dia, Yang menghidupkan dan Yang mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada Kalimat-KalimatNya (Kitab-Kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk.”
Surah al A’raaf (7) : ayat 158

Bersatu Di Atas Al Haq : (kebenaran) yang datangnya dari Allah Swt. dan rasul-Nya ya’ni Islam

“Sesungguhnya orang-orang yang suka memecah-belah agama mereka sehingga menjadi bergolong-golongan (berpuak-puak) maka engkau (Muhammad) sama sekali tidak termasuk sebahagian (daripada) mereka”.
Surah al An’am (6) : ayat 159

“Dan berpegang teguhlah kalian dengan tali (agama) Allah semuanya (secara bersama-sama) dan janganlah berpecah belah.’
Surah Ali Imran (3) : ayat 103

Hanya Ketetapan Dari Allah Swt. dan Rasul-Nya Yang diikuti dan Ditunduk Patuhi : tidak sesekali memilih ketetapan yang lain apabila Allah Swt. telah menetapkan urusannya

“Barangsesiapa yang mentaati Allah dan Rasul, maka mereka itulah orang-orang yang akan bersama dengan kaum yang diberikan kenikmatan oleh Allah yaitu para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin. Dan mereka itu adalah sebaik-baik teman.”
Surah an Nisaa’ (4) : ayat 69-70

“Barangsesiapa yang menentang Rasul setelah baginya petunjuk dan dia mengikuti jalan selain orang-orang yang beriman, maka Kami akan biarkan dia terumbang ambing dalam kesesatan yang dia pilih, dan Kami memasukkannya ke dalam (neraka) Jahannam, dan sesungguhnya jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”
Surah an-Nisaa’ (4) : ayat 115

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mu’min dan dan tidak (pula) bagi perempuan yang mu’min,  apabila Allah dan RasulNya menetapkan suatu ketetapan (keputusan mengenai sesuatu perkara), akan ada bagi mereka (hak) pilihan (yang lain) sendiri mengenai urusan mereka (itu). Dan barangsesiapa yang mendurhakai (hukum ketetapan) Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat, (dengan) kesesatan yang jelas nyata.”
Surah al Ahzab (33) : ayat 36

Menerima Setiap Ketetapan Rasulullah Saw. : tanpa mempertikai/mempersoalkan walau sedikit pun malah hanya mematuhinya

“………. Apa yang diberikan oleh Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah : dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukuman-Nya”.
Surah Al Hasyr (59) : sebahagian ayat 7

"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya (Al Qur’an) dari Penciptanya, dan begitu juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan para malaikatNya dan kitab-kitabNya dan para rasulNya. (Mereka berkata); "Kami tidak membezakan antara seorang pun (dengan yang lain) dari kalangan para rasulNya". Dan mereka mengatakan : “Kami dengar dan kami taat, (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali."
Surah Al Baqarah (2) : ayat 285

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan (beruntung).”
Surah an Nuur (24) : ayat 51

Kembali Kepada Allah Swt. Dan Rasul-Nya : dalam segala urusan dan perselisihan

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta Ulil Amri diantara kalian. Maka jika kalian berselisih tentang sesuatu perkara maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul dan hari akhir. Hal itu lebih baik dan lebih bagus hasilnya.”
Surah an Nisaa’ (4) : ayat 59

“Dan apa pun yang kalian perselisihkan, maka hukumnya adalah kepada Allah.”
Surah asy Syura (42) : ayat 10

“Tunjukkilah kami jalan yang lurus, yaitu jalannya orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka. Bukan jalannya orang-orang yang dimurkai, dan bukan pula jalannya orang-orang yang sesat.”
Surah al Fatihah (1) : ayat 4-7

Syaikhul Islam imam Ibnul Qoyyim Al Jauziyyah Rhm. menyebutkan : “Sesungguhnya kebenaran itu hanyalah satu, yaitu jalan Allah Swt. yang lurus, tiada jalan yang menghantarkan kepada-Nya  selain jalan itu. Yaitu beribadah kepada Allah tanpa mempersekutukan-Nya dengan apa pun, dengan cara menjalankan syari’at yang ditetapkan-Nya melalui lisan Rasul-Nya Saw. bukan dengan hawa nafsu dan bid’ah-bid’ah.”
Tafsir Ayat-Ayat Terpilih Ibnul Qoyyim, halaman 116-117

Sentiasa Memberi Nasihat dan Peringatan Kepada Sesama Muslimin : bukannya mencela, memaki hamun, menghina, mengkafirkan dan berprasangka terhadap sesama Muslim

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”.
Surah adz Dzaariyat (51)  : ayat 55

“Dari Tamim Ad Daari Rhu. bahawasanya Nabi Saw. telah bersabda : Agama (Islam itu) adalah nasihat. Kami bertanya : Untuk siapa?. Baginda menjawab : Untuk Allah, KitabNya, rasulNya dan untuk para pemimpin qaum Muslimin dan ummat Muslimin keseluruhan.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. imam Abu Daud dan imam Nasaa’ie

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Zikra (peringatan - A) dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.”
Surah al Hijr (15) : ayat  9
A : Al Zikra yang dimaksudkan adalah Al Qur’an

“Haa Miim, (Al Qur’an ini) Diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pemurah Yang Maha Penyayang. Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, ya’ni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang mengetahui. yang membawa khabar gembira dan yang membawa peringatan, tetapi kebanyakan mereka berpaling (daripadanya), maka mereka tidak mahu mendengarkan. ”
Surah al Fussilat (41) : ayat 2, 3-4

Allah Swt. berfirman “Haa Miim, (Al Qur’an ini) Diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pemurah Yang Maha Penyayang” maqsudnya Al Qur’an diturunkan dari Tuhan Yang Esa. FirmanNya lagi “Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya” yaitu kitab yang diterangkan ma’na-ma’nanya dan ditegaskan segala hukumnya. “bacaan dalam bahasa Arab” maqsudnya berupa bacaan dalam bahasa Arab yang jelas dan terang, ma’na-ma’nanya terperinci, lafaz-lafaznya amat jelas dan tidak ada kemusykilan kesulitan di dalamnya. Maqsudnya Al Qur’an itu merupakan mu’jizat baik dari lafaz dan ma’nanya.

Maqsud firman Allah “untuk kaum yang mengetahui” yaitu bahawa yang mengetahui kejelasan dan kenyataan ini hanyalah para ulama’ dan fuqaha’ yang mendalam (rasikh)  pengetahuannya. Maqsud firman Allah “yang membawa khabar gembira dan yang membawa peringatan” yaitu Al Qur’an memberi khabar gembira untuk orang-orang yang beriman dan sesekali memberikan peringatan kepada orang-orang yang kafir. Ayat “tetapi kebanyakan mereka berpaling (daripadanya), maka mereka tidak mahu mendengarkan” yaitu kebanyakan orang Quraisy tidak memahami sedikit pun dari Al Qur’an itu padahal ia begitu terang dan jelas.
Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir Rhm. Tafsiir ul Qur’aanil Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 8 halaman 236-237

Sentiasa Beri’tiqad, Berkata-Kata dan Beramal Ibadah Berdasarkan Ilmu : bukannya menurut hawa nafsu, mengikut perasaan, ta’asub golongan, bersifat taqlid buta dan peniru nenek moyang semata-mata

“Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu.” Maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
Surah al Mujadilah (58) : ayat 11

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab (di akhirat nanti).”
Surah al Isra’ (17) : ayat 3)

Abdullah Ibnu Mas’oud Rhu. berkata : “Wahai manusia, sesiapa yang mengetahui sesuatu hendaklah dia mengatakannya, dan sesiapa yang tidak mengetahui hendaklah dia mengatakan, “Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui).”
Kerana termasuk sebahagian dari ilmu adalah mengatakan “Allahu A’lam” bagi sesuatu yang tidak diketahuinya.” Kemudian beliau menyebutkan firman Allah Surah Saad (38: ayat 86) : “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikitpun padamu atas da’wahku dan bukanlah aku dari kalangan orang yang mengada-adakan (dari apa yang tidak diketahui).”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm.

“Maksudnya : ilmu adalah syarat sahnya suatu ucapan dan perbuatan. Ucapan dan perbuatan tidak akan bermakna melainkan dengan ilmu. Ilmu lebih didahulukan dari keduanya (ucapan dan amal). Kerana ilmu akan meluruskan niyat dan membenarkan amal.”
Imam Ahmad bin Ali Ibnu Hajar Al Asqolany Rhm. Kitab Fathul Bari, Jilid 1 halaman 160

bersambung ……………..

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...