Isnin, 30 Julai 2012

Soal Jawab Puasa (Siri 7)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini. Bersama ini saya sertakan sebahagian jawaban terhadap beberapa persoalan lanjut yang dikemukakan. Ini adalah sekumpulan dari beberapa siri maklumbalas. Selalunya maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah bersama.

Soalan daripada : abu_hadhari@yahoo.com

Assalamu’alaikum, saya nak bertanya sikit tentang 2 situasi. Saya dan rakan-rakan ada membincangkan hal ini. Berbagai pendapat dikeluarkan, tetapi kami pun tidaklah pasti selaras dengan taraf kami-kami nih. InsyaAllah dapatlah kiranya Ustaz berikan kepastian. Halnya begini :

1.            Abu menunaikan umrah dalam bulan Ramadan. Selepas berpuasa 28 hari di Mekah ia pulang ke Malaysia sedang orang Islam di Malaysia sudahpun menyambut hari raya. Apakah yang perlu dilakukan oleh Abu?

2.            Ahmad menunaikan umrah dalam bulan Ramadan. Selepas berpuasa 30 hari di Mekah (termasuk hari dalam perjalanan) ia pulang ke Malaysia sedang orang Islam di Malaysia hanya berpuasa 29 hari dan esok akan berpuasa lagi satu hari bagi mencukupi 30 hari. Apakah yang perlu dilakukan oleh Ahmad?

Terima kasih terlebih dahulu atas jawaban. Wassalam.

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Semoga Allah merahmati tuan penanya. 2 situasi seperti ditanyakan memang boleh berlaku disebabkan adanya perbezaan mathla’ (waqtu keluar dan tenggelam matahari) di antara negara. Segala persoalan berbangkit berkaitan dengannya akan terjawab, InsyaAllah. Saya ringkaskan jawabannya secara begini :

Sepanjang pengetahuan saya, tiada pernah hal sebegini disebutkan dan difatwakan oleh para ilmuwan generasi salaf. Yang ada setakat yang saya temui hanyalah di kalangan ulama’ dan fuqaha’ muta’khirin sahaja. Perkara sebegini terjadi disebabkan adanya kemajuan teknologi yang membolehkan manusia bergerak dengan cepat dari satu tempat ke satu tempat kalau pun ribuan batu jaraknya, tidak seperti dahulu. Justeru itu, saya sendiri hanya mampu berittiba’ kepada mereka (para ulama’ dan fuqaha’) itu lantaran saya ini serba dhaif.

Prinsip paling penting yang mesti difahami dalam hal memutuskan sebegini adalah :

A.           Puasa Ramadhan hendaklah diperbuat antara 29 hari atau 30 hari sahaja mengikut jumlah hari dalam bulan-bulan Islam, tidak boleh kurang atau lebih daripada itu. Dalil bagi ketetapan ini adalah berdasarkan hadis berikut :

“Dari Said bin Amr Rhu. sesungguhnya dia mendengarnya dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. dari Nabi Saw. bahawa baginda bersabda : Sesungguhnya kita adalah ummat yang buta huruf, yang tidak pandai menulis dan tidak pandai pula mengira. Satu bulan itu adalah begini dan begini (ertinya satu bulan itu terkadang 29 hari dan terkadang 30 hari)”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. no. 1913 – Kitab puasa

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Puasalah kalian kerana melihat hilal (anak bulan), dan berbukalah setelah melihatnya pula. Jika hilal itu tertutup dari pandangan kalian (terhalangi awan), sempurnakanlah bulan Sya'ban tiga puluh (hari)."
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (1909) dan imam Muslim rh. (1081)

B.                Penetapan 1 Ramadhan dan/atau juga 1 Syawal adalah berdasarkan keputusan pemerintah (ulil amri) tempatan itu sendiri, dimana seseorang itu berada yang mesti ditaati.   

Bagi kes sebegini, saya bersetuju dengan fatwa Syeikh Muhammad bin Solih bin Sulaiman Al Utsaimin rh. yang menetapkan :

1.            Jika anda memulakan puasa Ramadhan mengikut sebuah negara (kerana pada masa itu berada di sana pada masa tersebut) dan berhari raya pula mengikut sebuah negara lain (pada masa itu anda berada di sana), walaupun puasa anda sudah cukup 30 hari, anda tidak dibenarkan berbuka puasa walaupun hari tersebut merupakan hari ke 31 anda berpuasa. Ini disebabkan tempat (negara) tersebut belum melihat anak bulan baru (1 Syawal – syarat untuk berbuka).

2.            Jika anda telah pun berpuasa 28 hari, sedangkan pada waktu itu telah bermula 1 Syawal di tempat yang anda sedang berada, adalah haram berpuasa pada hari tersebut (kerana anak bulan 1 Syawal telah kelihatan dan wajib berbuka). Akan tetapi, hendaklah anda mengqadha 1 hari yang tidak cukup tadi di hari yang lain, kerana orang Islam mesti sekurang-kurangnya berpuasa selama 29 hari di dalam bulan Ramadhan.
Rujuk Majmu’ Fataawa Al Syeikh Ibn Utsaimin, Bab 19 soalan no. 24-25

Nota : Pernyataan fatwa yang hampir sama juga dibuat oleh bekas mufti Arab Saudi, Syeikh Abdullah bin Abdul Aziiz bin Baaz rh. Rujuk Majmu' Fataawa Ibn Baaz, Jilid 15 halaman 155

Pada hemat saya, inilah pandangan terbaik yang mana ia memberikan keputusan jalan tengah (seimbang) paling benar diantara dalil-dalil syara’ seperti dinyatakan di awal tadi. Puasa dan Hari Raya hendaklah menurut ketetapan negara mana kita berada. Akan kelam kabut jadinya sekiranya penetapan itu dilakukan sesuka hati. Sekali pun puasa tersebut melebihi 30 hari, tidaklah ia menjadi masalah. Akan tetapi, jika puasa anda tidak mencukupi 29 hari, hendaklah mengqanti puasa tersebut di hari yang lain, untuk mencukupkan 29 hari (bilangan minimum jumlah hari dalam bulan-bulan Islam).

Mudah-mudahan kedua-dua situasi yang tuan tanyakan itu sudah terjawab. Sebarang kekurangan memang diluar kemampuan saya yang serba dhaif ini. Tuan boleh juga dapatkan penjelasan dari ulama’ lain yang lebih faqih berbanding saya untuk keputusan lebih baik.

Mudah-mudahan saya telah membantu.

والله اعلم

Soalan dari : shamsuri@asemal.com.my

Assalamu’alaikum Ustaz Mad, soalan saya ini ringkas saja,

1.            Apakah hukumnya seorang yang berjima’ pada malam bulan puasa tetapi terlajak tidur sehingga lepas waktu Subuh. Apakah yang boleh dia buat dan sah ke puasanya pada hari itu
2.            Begitu juga orang yang bermimpi sehingga keluar mani pada malamnya dan terlajak tidur juga, dan
3.            Kalau lah terjadi keluar mani seseorang pada siang hari disebabkan bermimpi atau disebabkan melihat hal mengghairahkan, adakah batal puasanya?

Kami dok bincang hal ini, tapi tiadalah kesimpulan yang tepat, sekadar bertukar fikiran sahaja.

Setakat itu sahaja.

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Waktu yang paling sesuai untuk mandi wajib ialah sebelum terbit fajar Subuh. Waktu subuh tempohnya pendek dan solat yang afdhal ialah solat yang dilakukan pada awal waktu. Melambat-lambatkan mandi wajib adalah makruh. Ini kerana apabila seseorang itu berada dalam hadas besar maka banyak perkara yang tidak boleh dilakukannya seperti solat dan sebagainya. Justeru itu, adalah dituntut seseorang yang berhadas besar agar segera menyucikan dirinya dengan mandi wajib. Selain itu, secara fitrah manusia, naluri insan seseorang itu tidak suka dirinya berada dalam keadaan junub. Orang berhadas besar tidak berapa selesa berbanding dengan waktu dia bersih daripada hadas besar.

Sekiranya seseorang lelaki atau perempuan berjunub pada malam hari dalam bulan Ramadan dan tidak sempat mengangkat hadas besar sehingga terbit fajar (masuk waktu subuh), maka puasa kedua-dua mereka tetap juga sah. Hukum yang sama juga keadaan ini bagi mereka yang bermimpi basah pada malam hari sehingga keluar air mani.

Bagi seseorang orang yang keluar air mani pada siang hari disebabkan bermimpi atau disebabkan melihat hal mengghairahkan, hukumnya juga tidak batal puasa, hendaklah ia mandi wajib kemudian solat dan meneruskan puasa.

Hukum ini diperolehi berdasarkan kepada apa yang diberitakan oleh isteri-isteri Rasulullah Saw. iaitu Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar Rha. dan Ummu Salamah Rha. berikut :

“Sesungguhnya Rasulullah dalam keadaan junub ketika saat waktu subuh telah tiba, kemudian baginda mandi wajib dan berpuasa”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 1926 dari Abdurrahman bin Harits Rhu.) dan imam Muslim rh.

Imam Bukhari rh. mencatatkan dalam Kitab Sahihnya (Kitab puasa, Bab : Berciuman saat berpuasa) perkataan dari Jarir bin Yazid rh. berkata : Apabila orang yang berpuasa melihat sesuatu (yang mengghairahkan) lalu keluar air maninya, hendaklah ia tetap meneruskan puasanya. (Jilid 2, halaman 304)

Disertakan fatwa Syeikh Dr. Abdullah bin Abdurrahman Al Jibrin rh. : Disebutkan dalam sebuah hadis, bahawa pada suatu Subuh Nabi Saw. pernah junub kerana menggauli isterinya, kemudian baginda mandi, solat dan berpuasa. Mandi junub itu adalah syarat sahnya solat, sehingga tidak boleh menundakannya, kerana melaksanakan solat Subuh itu harus pada waktunya. Tapi jika ia tertidur dalam keadaan junub dan baru bangun waktu dhuha, maka saat itu ia harus segera mandi dan menyempurnakan solat Subuh serta melanjutkan puasanya. Demikian juga jika ia tertidur di siang hari dalam keadaan berpuasa, lalu mimpi junub, maka ia harus mandi untuk solat Zuhur atau Asar dan tetap melanjutkan puasanya.
Kitab Fatawa As Siyam, disusun oleh Syeikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin rh. halaman 31

Mudah-mudahan saya telah membantu.

والله اعلم

Soalan dari : hisbulyusof@yahoo.com

Salaam Abang Mad, saya nak tanya yang mudah saja. Bolehkah bernikah dalam bulan Ramadhan. Adakah dilarang di dalam islam kerana itu tak pernah orang buat.

Wassalam

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih kepada tuan. Saya tak mahulah merepek panjang lantaran tuan yang bertanya ini orang bujang yang dengar ceritanya bakal bernikah dalam tempoh terdekat. 

Tiada wujud hari/ bulan/ tahun tertentu yang dilarang dalam Islam untuk diadakan aqad nikah. Di dalam syari’at Islam semua hari dan waktu adalah baik untuk bernikah. Yang menjadi pertimbangan selalunya (namun diperingkat peribadi pasangan dan keluarga sahaja yang tak sama dengan orang lain) hanyalah dalam beberapa faktor antaranya kesesuaian masa dan tempoh cuti atau tidak, supaya memudahkan.

Maka itu, boleh melakukan aqad nikah dalam bulan Ramadhan. Cuma dalam masyarakat kita ini, jarang sekali dibuat orang bernikah dalam bulan Ramadhan, malah hampir-hampir tak pernah berlaku pun. Itu hanyalah adat kebiasaan masyarakat bukannya ketetapan syara’. Sekiranya tuan berminat mengadakan aqad nikah dalam bulan Ramadhan, boleh saja.

Begitulah ceritanya.

والله اعلم


Soalan dari : amziehajati@yahoo.com

Assalamualaikum Edd, ......

Ada sedikit kemusykilan yang nak ditanya. Baru-baru ni terjadi kat anak den, dio pitam/pingsan kira-kira 30 minit. Adakah batal puasa kerana pitam/pengsan tu? Pening den fasal macam-macam hukuman bagi dek orang sampai tak tahu mana nak diikut. Selamat puasa dan raya, datanglah nanti rumah den.

Itu je, wassalam.

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Menarik soalan ni waghih. Cuma saya ni serba dhaif, tidak saya ketemui penjelasan yang jelas dari sumber yang qat’ie dari dalil-dalil syara’ berkenaan hal ini. Justeru itu, saya nukilkan jawaban yang diberikan oleh rakan-rakan dalam panel fiqh Al Ahkam.net sebagai pedoman. Pasti sekali kerana setuju dengannya.

Menurut Imam Syafie rh. dan Imam Ahmad rh, hukum berpuasa bagi seseorang yang pitam, tidur berpanjangan, koma dan sebagainya mempunyai 2 senario :

1. Tidak sedar diri dari sebelum fajar sehinggalah terbenam matahari. Puasa begini tidak sah. Ini disebabkan konsep puasa adalah menahan diri dari makan dan minum di dalam keadaan sedar, dengan niat melakukannya, dan dilakukan kerana Allah Swt. Sabda Nabi Saw. :

يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي
"Meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya keranaKu."
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. no. 1894 dan imam Muslim rh. no. 1151

2. Dia terjaga/sedar di sebahagian waktu, samada pada awal, pertengahan atau hujung waktu berpuasa, maka puasanya itu SAH. Menurut Al Hafiz Imam Yahya bin Sharaf An Nawawi rh. setelah meneliti kesemua pandangan, beliau berkata bahawa :-

وأصح الأقوال : يشترط الإفاقة في جزءٍ منه
"Pandangan yang benar mengenai perkara ini adalah dengan syarat dia bangkit (sedar) pada sebahagian dari hari". Alasannya adalah kerana seseorang yang bangkit pada siang hari puasa dapat akan menahan diri dari makan, minum dan syahwat di dalam keadaan sedar.

Kesimpulan yang dapat kita ambil adalah, jika sseorang itu tidak sedarkan diri berpanjangan (dari sebelum fajar hingga terbenam matahari), maka puasanya batal dan dikehendaki mengqadha puasanya. Bagi seseorang yang sedarkan diri disebahagian harinya maka puasanya sah. Ini adalah pandangan imam Syafi’ie rh. dan imam Ahmad rh., dan juga disukai oleh Syeikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin rh.
Lihat kitab Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab, Jilid 6 halaman 346, kitab Al Mughni, Jilid 4 halaman 344 dan kitab Al Syarh Al Mumti’, Jilid 6 halaman 365

Lantaran itu, bagi kes yang disebutkan diatas, disebabkan pengsannya hanya kira-kira 30 minit, maka puasanya masih lagi sah. Setakat ini yang saya boleh membantu.

والله اعلم

Soalan dari : tkijang@gmail.com

Assalamu’alaikum Wbt.

Saya nak tanya sikit Abang Mad, ini berkenaan melakukan proses heamodialisis bagi orang yang sakit buah pinggang kritikal 3 kali seminggu. Ini terjadi kepada kaum keluarga saya. Adakah proses heamodialisis ini menyebabkan batal puasa. Adakah boleh orang itu terus sahaja membayar fidyah sepanjang bulan Ramadhan kerana dia sentiasa letih, lagi pun sakit ini adalah kekal yang tiada harapan baik lagi kecuali ditukar buah pinggang. Setakat ini dia masih tetap mahu berpuasa, tapi tak semua hari yang dapat dia buat. Lebih banyak yang dia tak boleh kerana tidak mampu berbanding yang boleh. Adakah perlu di qadha atau fidyah.

Sekian, wassalam.

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih kerana memberikan soalan mencabar ni syeh. Agak panjang sebenarnya dan tak tersusun hingga saya tak tahu yang mana satu nak dijawab dulu. Bagaimana pun, saya akan cuba memberikan maklumbalas sebaik mungkin, insyaAllah, begini :

Menjalani proses heamodialisis tidak membatalkan puasa disebabkan yang membatalkan adalah masuknya sesuatu ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut manakala heamodialisis pula adalah satu proses ‘darah yang keluar untuk dibersihkan' dan ‘darah yang masuk semula' ke dalam tubuh melalui salur darah. Selain itu proses heamodialisis itu bukan menyebabkan berlakunya penggugatan (makan, minum dan perkara mengenyangkan) ke atas puasa. Dalam kes ini, penyebab sebenar kepada dia mampu menjalani puasa atau tidak, adalah sakit yang dihadapinya itu bukannya proses heamodialisis.

Ada hadis menarik bagi membicarakan hal ini ;

"Diriwayatkan dari Mu'adz bin Jabal Rhu., dia berkata : Sesungguhnya Allah Swt. telah mewajibkan atas nabi untuk puasa, maka DIA turunkan ayat (dalam surat Al Baqarah (2) : ayat 183-184), maka pada saat itu barangsiapa mahu puasa dan barangsiapa mahu memberi makan seorang miskin, keduanya diterima. Kemudian Allah menurunkan ayat lain (Al Baqarah (2)  : ayat 185), maka ditetapkanlah kewajiban puasa bagi setiap orang yang mukim dan sihat dan diberi rukhsah (keringanan) untuk orang yang sakit dan bermusafir dan ditetapkan cukup memberi makan orang miskin bagi orang yang sudah sangat tua dan tidak mampu puasa".
Hadis riwayat imam  Ahmad rh., imam Abu Daud rh. dan imam Baihaqi rh. dengan sanad yang sahih

Fidyah boleh dibayar sebagai sebagai ganti kewajiban puasa oleh orang yang mengidap sakit kekal dan tiada harapan untuk sembuh lagi (juga tiada upaya untuk dia membuat qadha puasa di masa depan). Dalam kes ini, dia memang telah mengidap sakit kekal, tidak mampu lagi berpuasa dan layak untuk membayar fidyah sahaja lantaran sekiranya dia terus berpuasa akan menggugat tahap kesihatannya dan boleh menjadikan keadaan lebih teruk lagi. Hari-hari yang tidak dia dapat berpuasa padanya sejak dia mengidap sakit ini, hendaklah dibayar fidyah. Huraian lengkap berkenaan fidyah telah saya nyatakan dalam bab sebelum ini.

Sikap dia untuk berusaha juga berpuasa seperti orang banyak memanglah amat terpuji. Baik sekali didapatkan testimony daripada doktor Muslim berwibawa tentang adakah dia masih boleh juga berpuasa atau terus membayar fidyah sahaja. Mudah-mudahan Allah Swt. merahmati, memberikan kekuatan dan kesihatan kepadanya. Moga saya telah membantu tuan yang bertanya dan orang yang terbabit.

والله اعلم           

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام



Read more...

Soal Jawab Puasa (Siri 6)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini. Bersama ini saya sertakan sebahagian jawaban terhadap beberapa persoalan lanjut yang dikemukakan. Ini adalah sekumpulan dari beberapa siri maklumbalas. Selalunya maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah bersama.

Soalan tambahan daripada : abumaisarah@yahoo.com

Assalamu’alaikum Wr. Wbt. Tuan Haji Mad,

Saya nak tanya lebih sikit, masih ada kekeliruan pada saya berkenaan jawaban Tuan Haji mengenai perbuatan membuat qadha puasa pada hari syak sedangkan hari itu adalah diharamkan berpuasa. Sukar saya nak memilih sebenarnya walau pun sebenarnya saya lebih untuk bersetuju dengan pendirian Tuan Haji. Sebenarnya boleh atau tidak boleh berpuasa qadha juga pada hari itu. Itu saja yang nak ditanya.

Mohon penjelasan sedikit. Wassalam

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih tuan kerana menuntut penjelasan lanjut, ini perkara yang amat baik sebenarnya supaya dapat kita melakukan amal dengan ketetapan yang pasti dan ilmu yang yaqin. Tidak boleh amal dilakukan secara sangka-sangkaan sahaja atau hanya ikut-ikut sahaja. Saya nukilkan sedikit petikan pernyataan jawaban saya terdahulu (Siri 5).

1.            Berdasarkan hadis sohih, tidak boleh berpuasa pada hari syak kecuali atas sebab jenis puasa yang telah dinyatakan. Ia adalah puasa sunnat/tathawwu’. Maka, puasa qadha adalah puasa ganti wajib yang tidak termasuk dalam kategori yang dibenarkan dalam hadis sohih tersebut. Maka itu tidak boleh melakukan puasa qadha pada hari syak, demikianlah pegangan saya.

2.            Namun begitu, terdapat fatwa mahu pun ijtihad dari kalangan para fuqaha’ dan ulamak muktabar yang membolehkan ia dibuat dan menganggap yang larangan puasa pada hari syak bukanlah bersifat haram mutlak tetapi ia hanya makruh sahaja, maka boleh dibuat puasa qadha. Antaranya adalah imam Yahya bin Syaraf An Nawawi rh. (rujuk Kitab Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab, Jilid 6 halaman 400)

Kes ini hakikatnya membuktikan, betapa syumul (lengkap)nya agama Islam, yang mana sesudah menyatakan haramnya berpuasa pada hari syak, Rasulullah Saw. sendiri telah menyatakan pula apa yang diperbolehkan dibuat padanya. Lantaran itu, sepatutnya para mukminin faham benar-benar bahawa apa yang haram dan apa yang boleh diperbuat itu telah pun ditetapkan oleh Nabi Saw. sehingga tidak memerlukan sebarang apa jua pandangan atau pendapat selainnya. Demikianlah sifat orang mukminin yang sebenar sepertimana yang dinyatakan oleh Allah Swt. :

“Sesungguhnya jawaban orang-orang mukmin apabila mereka dipangil kepada Allah dan rasulNya agar rasul menghukum (mengadili) diantara mereka ialah ucapan : Kami dengar dan kami taat (patuh). Mereka itulah orang-orang yang beruntung”.
Suah An Nuur (24) : ayat 51

Kerana itu, saya berpendirian bahawa berpuasa sunnat mahu pun qadha pada hari syak adalah tergolong amalan yang diharamkan dan hanya boleh diperbuat puasa sunnat biasa yang sering diamalkan seperti mana yang dibenarkan oleh Nabi Saw sendiri (Isnin – Khamis atau pun puasa Nabi Daud Ahs. – berselang seli 1 hari). Ini ketetapan Nabi Saw. secara sohih dan qat’ie, bukannya saya rekacipta. 

Saya telah memberikan jawaban saya lengkap dengan dalil dan sepatutnya. Juga telah saya nyatakan pendirian saya dan pandangan yang bertentangan dengannya lengkap dengan pernyataan fatwa dan rujukannya sekali. Maka itu seruan saya, ikutilah dalil dan nas yang sohih lantaran itulah pesanan Allah Swt. :

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat, (dengan) sesat yang nyata”.
Surah Al Ahzab (33) : ayat 36

Sudah sepatut dan sepadannya, pada tahap usia dan keilmuan yang ada, kita sudah dapat membezakan antara dalil sohih dengan pendapat, juga sepatutnya yang mana satu perlu dipilih dan ditaati.

والله اعلم           

Soalan daripada : asmeer_ahmad@yahoo.com

Salaam Abang Mad, moga dalam keadaan sihat sekarang ni. Saya nak bertanya ni bagi pihak seorang kawan, situasinya begini ;

1.            Ayah telah meninggal dunia beberapa tahun lepas. Pada beberapa tahun terakhir ayah sering sakit-sakit dan tak berupaya lagi melakukan puasa. Sekarang ini barulah anak-anak ada kesedaran untuk bertanggungjawab berkenaan hal itu. Seingat mereka tiada ayah membuat qadha atau pun membayar fidyah pada masa itu. Sekarang ini, apa yang anak-anak boleh buat untuk membaiki keadaan itu.
2.            Emak juga dalam situasi yang sama macam ayah sekarang ini, sudah sakit-sakit dan tak boleh berpuasa lagi. Apa yang boleh dibuat oleh anak-anak.

Harap dapat dibalas dengan segera kerana mereka sedang menunggu. Segala kerjasama diucapkan terima kasih.

Wassalam.

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih atas soalan dari tuan yang dihormati.

Pertamanya saya ingin mengucapkan syukur ke hadhrah Allah Swt. kerana memberikan petunjukNya dan hikmahNya lantaran akhirnya, anak-anak yang juga waris mereka (bapa yang telah meninggal dan ibu yang masih hidup) telah sedar akan tanggungjawab mereka terhadap keduanya. Moga Allah Swt. merahmati semua anak-anak dan memimpin mereka senantiasa di Jalan Yang Lurus. Sedikit pesanan dari saya, apa-apa yang sudah berlaku dulu biarlah berlalu dan tak perlu diulangi. Sekiranya ada melakukan salah dan silap, mohon keampunan dariNya dan mulakan episod hidup baru. InsyaAllah, redha Allah Azza wa Jalla mengiringi selamanya.

Kes 2 : Dalam kes ini seperti dinyatakan, ibu sudah di akhir usia, telah alami sakit kekal yang tiada harapan untuk sembuh dan tidak berupaya untuk berpuasa lagi secara kekal. Lantaran itu, puasa itu hendaklah digantikan dengan membayar fidyah yaitu memberi makan kepada orang miskin atau fakir untuk 1 hari, sebagai ganti kepada 1 hari atau berbilang hari (dalam bulan Ramadhan) yang tidak dapat dia berpuasa padanya, mengikut landasan syara'.

Dalil perbuatan fidyah ini adalah menerusi firman Allah swt. di dalam Al Qur'an ul Aziiz :

"Dan terhadap orang-orang yang boleh berpuasa tetapi dengan susah payah (kalau tidak puasa) wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan orang miskin".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 184.

Dalam kes sebegini, kejujuran dari para waris amat diperlukan. Yang dimaksudkan adalah, para waris hendaklah jujur membuat pengiraan jumlah hari sebenar yang terlibat, kemudian membayar mengikut jumlah yang terlibat itu. Kefahaman lanjut berkenaan hal fidyah ini telah saya nyatakan dalam artikel khusus mengenainya. Sila rujuk kepada artikel tersebut untuk perincian (jumlah bayaran sehari, cara bayar, golongan layak menerima) mengenai fidyah.

Kes 1 : Kes ini melibatkan bapa yang telah meninggal dunia. Dari penceritaan penanya, bapa berada dalam keadaan yang sama seperti ibu pada akhir hayatnya, telah alami sakit kekal yang tiada harapan untuk sembuh dan tidak berupaya untuk berpuasa lagi secara kekal. Namun dari segi hukum syara’, hukum ke atas orang telah mati dengan orang yang masih hidup tidak sama.

Prinsip yang mesti difahami dalam menyikapi situasi ini adalah :

1.            Perintah melakukan amalan badaniyah terjatuh khusus ke atas satu individu muslim dan tidak boleh ditanggung oleh individu muslim lain.
2.            Perintah itu berkuatkuasa semasa individu itu masih hidup, bukan selepas matinya yang pasti sekali tidak lagi dia boleh berbuat amal seumpama hidup di alam fana ini.
3.            Boleh atau tidak boleh diperbuat sesuatu amalan bagi pihak simati hanya boleh diperbuat berdasarkan nas sahihah yang khusus berkenaannya. Tidak boleh dengan hanya berdasarkan akal-akalan, pendapat, pandangan atau pun qiyas semberono dari satu amalan lain yang tidak berkaitan dengannya.

Justeru itu, dalam kes amalan ibadah puasa yang melibatkan orang mati ini terdapat hadis sahih yang membenarkan para wali/waris melakukan qadha puasa bagi membayar hutang puasa simati. Dalam kes ini, saya bersetuju dengan fatwa Syeikh Prof. Dr. Yusuf bin Abdullah Al Qaradhawy Hfzh. begini :

Puasa boleh di qadha oleh walinya atau pewarisnya, sebagaimana hadis marfu' dari Ummul Mukminin 'Aisyah binti Abu Bakar Rha. dia berkata :-

"Barangsiapa yang meninggal dalam keadaan mempunyai (menanggung) hutang puasa, maka ia dipuasakan (dibayar puasanya) oleh kerabat (wali)nya".
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 1952), imam Muslim rh. (no. 2687) dan imam Abu Daud rh. (2400). Juga dalam kitab Al Lu'lu' wa Al Marjan, no. 704

Di dalam riwayat imam Al Bazzar rh., terdapat penambahan lafaz "Jika dia mahu" [rujuk di dalam kitab Majmu’ Al Zawaaid, Jilid 3 halaman 179]. Maka, ini jelas menunjukkan bahawa tidak wajib bagi para wali/waris melakukannya, dan ia dilakukan bagi tujuan kebaikan si mati. Konsep asas ini disokong oleh sebuah lagi hadis dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu., dia berkata :

“Bahawa ada seorang wanita datang kepada Rasulullah Saw. kemudian berkata : Ya Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan dia masih punyai tanggungan (berhutang) puasa satu bulan. Maka baginda bersabda : Bagaimana pendapatmu apabila ibumu mempunyai hutang, apakah engkau akan membayarnya?. Wanita itu menjawab : Ya. Nabi pun bersabda : Maka hutang kepada Allah lebih berhak dibayarkan”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 1953), imam Muslim rh. (no. 2688), imam Abu Daud rh. (3310), imam Tarmidzi rh. (no. 716 dan 717) dan imam Ibnu Majah rh. (no. 1758). Juga dalam kitab Al Lu'lu' wa Al Marjan, no. 705

Syeikh Prof. Dr. Yusuf bin Abdullah Al Qaradhawy Hfzh. menyimpulkan : Maka yang sahih/benar ialah dibolehkan berpuasa bagi pihak mayat oleh wali/warisnya dan ia bukannya wajib, dan dengan melakukannya maka terlepaslah tanggungan si mayat".
Kitab Fiqh As Siyaam : Taisir Al Fiqh Fi Dau' Al Qur’an wa As Sunnah. Halaman 76.

Penjelasan tentang hukum bukannya wajib itu dijelaskan lagi dalam riwayat berikut : Diriwayatkan oleh 'Amrah Rhu. bahawa ibunya telah meninggal dunia sedang dia masih berhutang puasa Ramadhan. Kemudian, dia bertanya kepada Ummul Mukminin 'Aisyah Rha. : Adakah aku perlu membayarnya?. 'Aisyah menjawab : Tidak, tetapi bersedekahlah untuknya sebagai ganti puasa setiap harinya dengan setengah sha' bagi seorang orang miskin.”
Rujukan : Syeikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh., Kitab Ahkamul Jana'iz, Jilid 1 halaman 170

Ada pun qaul (pendapat) yang mengatakan boleh dibayar fidyah oleh wali/waris ke atas hutang puasa simati, tidak ia didasari dalil syara’, akan tetapi berdasarkan pendapat mengikut qiyas (analogi) yang diambil dari amalan orang hidup. Begitu juga qaul (pendapat) amalan yang membolehkan orang luar, yang bukan wali/waris melakukan amalan qadha puasa untuk simati sama ada secara sukarela atau pun diupah adalah juga tidak berdasarkan dalil.

Paling jelas mahu diperingatkan adalah, kebenaran diberikan kepada para wali/waris simati sendiri untuk melakukan amalan puasa qadha itu. Secara hukum pula, ia bukanlah suatu kewajiban dan kebenaran itu terlepas sekiranya mereka para waris/wali sendiri tidak mampu untuk melaksanakannya.

Setakat ini dahulu. Semoga saya telah membantu.

والله اعلم           

Soalan daripada : pulut_kuning@yahoo.com

Assalamu’alaikum Wr. Wbt,

Masjid di tempat mertua saya, buat sembahyang raya Aidil Fitri 2 kali. Satu kali untuk lelaki dan satu kali untuk perempuan, tetapi khutbah hanya satu kali saja. Alasan yang diberikan adalah ruang tak cukup untuk diguna semua orang secara serentak. Saya nak fahami, bolehkah dibuat begitu dan sahkah sembahyang yang berbeza lelaki perempuan begini. Satu lagi, kalau saya tak silap, imamnya orang yang sama sahaja. Ramai rakan-rakan yang yang juga bertanya sebegini.

Maklumbalas segera sangat dihargai.

Wassalam.

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih atas soalan.

Berkenaan tatacara solat sunnat I’ed (Fitr dan Adha) telah saya nyatakan sebahagiannya dalam artikel terdahulu Tatacara I'edul Fitr 1 & 2 sekitar awal September 2010. Boleh rujuk ke artikel itu. Namun begitu, disini akan saya huraikan sedikit yang selaras dengan soalan yang dikemukakan. Hal amalan solat I'ed seperti ditanyakan, pernah disebut kepada saya oleh beberapa orang dan saya juga menjawabnya secara lisan sahaja. Setakat ini, saya pasti sebuah masjid yang ada berbuat begitu. Mungkin kes yang tuan sebutkan ini di masjid yang lain.  

Untuk makluman tuan penanya dan para jamaah yang dikasihi, amalan Rasulullah Saw. serta seluruh generasi sahabat, tabi'in, tabi'ut tabi'in dan salafus solih adalah melakukan Solat I'ed di Musolla (iaitu tanah lapang) bukan di dalam masjid. Dalil yang menunjukkan sunnah Rasul Saw. ini dengan mengerjakan solat I’ed di musolla adalah,

“Dari Abu Sa'id Al Khudri Rhu. dia berkata : Pada hari I'ed ul Fitri dan I'ed ul Adha, Rasulullah Saw. keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama Baginda lakukan adalah solat I'ed”.
Hadis sahih riwayat Imam Bukhari rh. Kitab Sahih Bukhari, Kitab Al I’edaini, hadis no. 956.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rh. menjelaskannya : hukum mengerjakan solat I’ed di musolla ini adalah fardhu a'in bagi setiap individu sebagaimana ucapan imam Abu Hanifah rh. (Lihat: Hasyiyah Ibnu Abidin. 2/166) dan selain beliau. Ia juga pendapat Imam Syafie rh. dan salah satu dari pendapat mazhab imam Ahmad rh. (Lihat : Majmu Fatawa. 23/161) Pendapat yang menyatakan fardu kifayah tidak berasas (Lihat: Majmu Fatawa. 23/161) Ini disebabkan Nabi Saw. tidak pernah meninggalkannya walaupun sekali. Baginda memerintahkan semua manusia mengerjakannya, sehingga para wanita yang merdeka, para gadis pingitan dan wanita haid pun dianjurkan ke musolla.

“Dari Ummi Atiyah Rha. dia berkata : Rasulullah memerintahkan kami mengeluarkan para wanita merdeka, yang haid dan gadis-gadis pingitan pada Hari Raya I’edul Fitri dan Adha. (dilafaz lain) Keluar ke musolla (tanah lapang). Mereka menyaksikan kebaikan dan dakwah kaum muslimin. Aku berkata : Wahai Rasulullah, salah seorang dari kami tidak mempunyai jilbab? Baginda bersabda : (suruh) agar saudaranya meminjamkan jilbabnya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. no. 324, 351, 971, 974, 980, 981 dan 1652. Imam Muslim rh. no. 980. Imam Ahmad rh. no. 5/84-85. Imam Nasaie rh. no. 3/180. Imam Ibnu Majah rh. no. 1307 dan imam Tarmidzi rh. no. 539.

Perintah di hadis ini menunjukkan perintah yang wajib, kerana diwajibkan ke musolla bermaksud diwajibkan bersolat Hari Raya. Maka dengan demikian solat Hari Raya hukumnya wajib ‘ain, atau yang lebih rajih hukumnya adalah wajib dan bukan sekadar sunnat.
Lihat : Kitab Tamamul Minnah. Halaman 344. Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh.

Mengerjakan solat I’edaini di musolla merupakan satu amalan yang hampir tidak dilakukan langsung di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil jamaah manusia yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi Saw. tersebut. Itu pun dengan menghadapi bermacam-macam fitnah dan dipandang serong oleh masyarakat sekeliling. Justeru itu, hampir rata-rata ummat Muslimin di Malaysia tidak tahu pun bahawa inilah sunnah Nabi Saw. yang sebenarnya. Malah yang paling menjengkelkan, hal ini tidak pun diberitahu dan diajarkan kepada manusia. Tidak pula saya usul periksa, kenapa hal sunnah sahihah ini dengan senghaja disembunyikan.

Sedangkan, ketahuilah bahawa solat di Masjid Nabawi itu adalah 1000 kali lebih baik dari bersolat di masjid-masjid lain. Namun ternyata, meskipun dengan keutamaan sebesar ini pun, Rasulullah Saw. tetap memerintahkan para sahabat Rha. untuk mendirikan solat I’edaini di musolla sepanjang hidup baginda dan begitulah juga yang diamalkan oleh seluruh generasi sahabat baginda. Imam Ibnu Qudamah Al Maqdisi rh. di dalam Kitab Al Mughni (jilid 3, halaman 260) berkata :

“Mengerjakan solat I’ed di musolla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi Saw. keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para Khulafa' ul Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat I’ed”.

Demikianlah amalan dan sunnah a'maliyah dan fi'liyah Rasulullah sendiri. Dan inilah yang sepatutnya dibuat. Secara spesifik maklumbalas saya kepada soalan tuan :

1. Keadaan solat 2 kali itu terjadi apabila sunnah Rasul Saw. tidak diikuti dan dipatuhi. Walhal perintah dan perbuatan Rasul Saw. dalam mengerjakan Solat I'ed itu telah jelas dan qati'e. Beginilah keadaannya apabila amalan solat dilakukan mengikut aqal, hawa nafsu dan pendapat manusia begitu begini (bukan hukum syara') sekalipun terang-terang menentang sunnah. Sungguh amat menjengkelkan, yang disuruh dan dibuat oleh Nabi Saw. itu bukan sahaja tidak diikuti malahan dipandang serong dan dihina pula.

2. Amat besar rahmat Allah Swt. Yang Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani. Sesungguhnya ilmu Allah Swt. itu valid untuk seluruh zaman. Kerana sifat Allah Yang Maha Mengetahui itulah, telah disyari'atkan Solat I'ed di tanah lapang kerana Allah Swt. memang mengetahui bahawa bukannya senang nak bina masjid besar (dari segi tapak, binaan dan kos) yang boleh muat ribuan orang seumpama waqtu Solat I'ed. Amat malang anugerah dan nikmat kurniaan Allah swt. itu tidak dihargai.   

3.            Pengalaman saya sendiri, yang mengerjakan Solat I'ed di tanah lapang, pernah juga sebagai imam dan khatib, tak terlepas jua dari terkena kata-kata sinis dan menghina "buat masjid mahal-mahal, elok-elok tapi tak guna, tak ke bodoh". Memang saya amat terluka hati. Sekadar penceritaan untuk memberitahu bahawa betapa tidak tahunya kita-kita ini tentang sunnah Allah Swt. dan Rasul-Nya.

4.            Tidak dapat saya memberikan hukum secara ke atas amalan dan perbuatan solat 2 kali serta dengan imam yang sama itu. Ini hal senstif yang menyentuh banyak pihak dan saya yaqin, sekiranya saya rincikan, boleh menjadi punca bergaduh pula nanti. Baiknya tuan sebagai makmum dan ahli qaryah mereka itu, mendapatkan penjelasan dari mereka sendiri. Hanya mereka yang berbuat begitu sahaja yang tahu nas-nas dan dalil atas perbuatan mereka. Pada saya, perbuatan ini amat pelik dan memang diluar pengetahuan saya, tak pernah pula dicontohkan oleh mana-mana ulama' salaf mahupun khalaf.

5.            Amat pelik lagi sekiranya diimamkan oleh satu orang, yang mana akan menyebabkan adanya orang solat I’ed 2 kali

6.            Seruan saya, ikutlah sunnah Nabi Saw. "Maka, jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul, yang demikian itu sebaik-baik penghuraian (penyelesaian)". 

Demikianlah indah dan syumulnya sunnatullah dan as sunnah rasulNya, bahawa cara-cara solat I’edaini telah pun ditunjukkan dengan jelas, dan seperti yang ditunjukkan itulah yang sepatutnya dibuat. Masalah yang timbul ini berlaku apabila as sunnah itu tidak diikuti atau pun, apabila ada sesuatu masalah, tidak pula dirujuki kepada Allah dan rasulNya untuk mencari penyelesaian.

Akhiirul kalam, sekiranya alasan tak cukup tempat, Nabi Saw. telah pun menjawab soalan itu dengan memberikan penyelesaiannya sekali sejak 1400 tahun dulu lagi.

Setakat ini dahulu. Semoga saya telah membantu.

والله اعلم           

Maklumbalas tambahan : sabja114@yahoo.com

Salaamun’laik tuan-tuan para sahabat,

Saya setuju dengan Haji Mad yang melakukan solat I’edaini di tanah lapang itu sunnah. Cuma barangkali ada rukhsah seperti hujan dan banjir yang berlaku di utara tanahair. Suasana mendung mungkin juga boleh di beri keringanan.

Cuma pengalaman sedih Haji Mad itu berlaku kepada beliau dengan sindiran yang amat sinis malah ada unsur menghina juga. Kepada Allah jua kita pulangkan segala urusan.

Wallahua'lam, isu solat dua kali ini tidak ada masalah bagi hemat saya malah di Kuala Selangor, ada solat dibuat 2 kali hanya membezakan orang tempatan dengan pendatang. Cuma dalam kitab Al Bidayah Wal Nihayah oleh Imam Ibn Katsir rh. terakam kisah, sebelum Baghdad jatuh ke tangan kaum Tar-Tar, solat sunat I’ed telah di qadha ke lepas solat Maghrib kerana ummat masa itu sangat leka dengan hiburan.

Wassalam

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.







Read more...