بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح
لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita
seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang
mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah
Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini. Bersama ini saya
sertakan sebahagian jawaban terhadap beberapa persoalan lanjut yang
dikemukakan. Ini adalah sekumpulan dari beberapa siri maklumbalas. Selalunya
maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya
siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah
bersama.
Assalamu’alaikum
Wr. Wbt. Tuan Haji Mad,
Saya nak
tanya lebih sikit, masih ada kekeliruan pada saya berkenaan jawaban Tuan Haji
mengenai perbuatan membuat qadha puasa pada hari syak sedangkan hari itu adalah
diharamkan berpuasa. Sukar saya nak memilih sebenarnya walau pun sebenarnya
saya lebih untuk bersetuju dengan pendirian Tuan Haji. Sebenarnya boleh atau
tidak boleh berpuasa qadha juga pada hari itu. Itu saja yang nak ditanya.
Mohon
penjelasan sedikit. Wassalam
Maklumbalas
السلام
عليكم و رحمة الله و بركاته
Terima kasih tuan kerana menuntut penjelasan
lanjut, ini perkara yang amat baik sebenarnya supaya dapat kita melakukan amal
dengan ketetapan yang
pasti dan ilmu yang yaqin. Tidak boleh amal dilakukan secara sangka-sangkaan
sahaja atau hanya ikut-ikut sahaja. Saya nukilkan sedikit
petikan pernyataan jawaban saya terdahulu (Siri 5).
1.
Berdasarkan hadis sohih, tidak boleh berpuasa pada
hari syak kecuali atas sebab jenis puasa yang telah dinyatakan. Ia adalah puasa
sunnat/tathawwu’. Maka, puasa qadha adalah puasa ganti wajib yang tidak
termasuk dalam kategori yang dibenarkan dalam hadis sohih tersebut. Maka itu
tidak boleh melakukan puasa qadha pada hari syak, demikianlah pegangan saya.
2.
Namun begitu, terdapat fatwa mahu pun ijtihad dari
kalangan para fuqaha’ dan ulamak muktabar yang membolehkan ia dibuat dan
menganggap yang larangan puasa pada hari syak bukanlah bersifat haram mutlak
tetapi ia hanya makruh sahaja, maka boleh dibuat puasa qadha. Antaranya adalah
imam Yahya bin Syaraf An Nawawi rh. (rujuk Kitab Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab, Jilid 6
halaman 400)
Kes
ini hakikatnya membuktikan, betapa syumul (lengkap)nya agama Islam, yang mana
sesudah menyatakan haramnya berpuasa pada hari syak, Rasulullah Saw. sendiri
telah menyatakan pula apa yang diperbolehkan dibuat padanya. Lantaran itu, sepatutnya
para mukminin faham benar-benar bahawa apa yang haram dan apa yang boleh
diperbuat itu telah pun ditetapkan oleh Nabi Saw. sehingga tidak memerlukan
sebarang apa jua pandangan atau pendapat selainnya. Demikianlah sifat orang
mukminin yang sebenar sepertimana yang dinyatakan oleh Allah Swt. :
“Sesungguhnya
jawaban orang-orang mukmin apabila mereka dipangil kepada Allah dan rasulNya
agar rasul menghukum (mengadili) diantara mereka ialah ucapan : Kami dengar dan
kami taat (patuh). Mereka itulah orang-orang yang beruntung”.
Suah
An Nuur (24) : ayat 51
Kerana
itu, saya berpendirian bahawa berpuasa sunnat mahu pun qadha pada hari syak
adalah tergolong amalan yang diharamkan dan hanya boleh diperbuat puasa sunnat
biasa yang sering diamalkan seperti mana yang dibenarkan oleh Nabi Saw sendiri
(Isnin – Khamis atau pun puasa Nabi Daud Ahs. – berselang seli 1 hari). Ini
ketetapan Nabi Saw. secara sohih dan qat’ie, bukannya saya rekacipta.
Saya
telah memberikan jawaban saya lengkap dengan dalil dan sepatutnya. Juga telah
saya nyatakan pendirian saya dan pandangan yang bertentangan dengannya lengkap
dengan pernyataan fatwa dan rujukannya sekali. Maka itu seruan saya, ikutilah
dalil dan nas yang sohih lantaran itulah pesanan Allah Swt. :
“Dan
tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang
mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan
ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa yang
mendurhakai Allah dan rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat, (dengan)
sesat yang nyata”.
Surah
Al Ahzab (33) : ayat 36
Sudah sepatut dan sepadannya, pada tahap usia dan keilmuan yang
ada, kita sudah dapat membezakan antara dalil sohih dengan pendapat, juga sepatutnya
yang mana satu perlu dipilih dan ditaati.
والله اعلم
Salaam
Abang Mad, moga dalam keadaan sihat sekarang ni. Saya nak bertanya ni bagi
pihak seorang kawan, situasinya begini ;
1.
Ayah
telah meninggal dunia beberapa tahun lepas. Pada beberapa tahun terakhir ayah
sering sakit-sakit dan tak berupaya lagi melakukan puasa. Sekarang ini barulah
anak-anak ada kesedaran untuk bertanggungjawab berkenaan hal itu. Seingat
mereka tiada ayah membuat qadha atau pun membayar fidyah pada masa itu.
Sekarang ini, apa yang anak-anak boleh buat untuk membaiki keadaan itu.
2.
Emak
juga dalam situasi yang sama macam ayah sekarang ini, sudah sakit-sakit dan tak
boleh berpuasa lagi. Apa yang boleh dibuat oleh anak-anak.
Harap
dapat dibalas dengan segera kerana mereka sedang menunggu. Segala kerjasama
diucapkan terima kasih.
Wassalam.
Maklumbalas
السلام
عليكم و رحمة الله و بركاته
Terima
kasih atas soalan dari tuan yang dihormati.
Pertamanya
saya ingin mengucapkan syukur ke hadhrah Allah Swt. kerana memberikan
petunjukNya dan hikmahNya lantaran akhirnya, anak-anak yang juga waris mereka
(bapa yang telah meninggal dan ibu yang masih hidup) telah sedar akan
tanggungjawab mereka terhadap keduanya. Moga Allah Swt. merahmati semua
anak-anak dan memimpin mereka senantiasa di Jalan Yang Lurus. Sedikit pesanan
dari saya, apa-apa yang sudah berlaku dulu biarlah berlalu dan tak perlu
diulangi. Sekiranya ada melakukan salah dan silap, mohon keampunan dariNya dan
mulakan episod hidup baru. InsyaAllah, redha Allah Azza wa Jalla mengiringi
selamanya.
Kes
2 : Dalam kes ini seperti dinyatakan, ibu sudah di akhir usia, telah alami
sakit kekal yang tiada harapan untuk sembuh dan tidak berupaya untuk berpuasa
lagi secara kekal. Lantaran itu, puasa itu hendaklah digantikan dengan membayar
fidyah yaitu memberi
makan kepada orang miskin atau fakir untuk 1 hari, sebagai ganti kepada 1 hari
atau berbilang hari (dalam bulan Ramadhan) yang tidak dapat dia berpuasa
padanya, mengikut landasan syara'.
Dalil perbuatan fidyah ini adalah menerusi firman Allah swt. di dalam Al Qur'an
ul Aziiz :
"Dan terhadap orang-orang yang boleh berpuasa tetapi dengan susah payah
(kalau tidak puasa) wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan orang
miskin".
Surah
Al Baqarah (2) : ayat 184.
Dalam
kes sebegini, kejujuran dari para waris amat diperlukan. Yang dimaksudkan
adalah, para waris hendaklah jujur membuat pengiraan jumlah hari sebenar yang
terlibat, kemudian membayar mengikut jumlah yang terlibat itu. Kefahaman lanjut
berkenaan hal fidyah ini telah saya nyatakan dalam artikel khusus mengenainya.
Sila rujuk kepada artikel tersebut untuk perincian (jumlah bayaran sehari, cara
bayar, golongan layak menerima) mengenai fidyah.
Kes
1 : Kes ini melibatkan bapa yang telah meninggal dunia. Dari penceritaan
penanya, bapa berada dalam keadaan yang sama seperti ibu pada akhir hayatnya,
telah alami sakit kekal yang tiada harapan untuk sembuh dan tidak berupaya
untuk berpuasa lagi secara kekal. Namun dari segi hukum syara’, hukum ke atas
orang telah mati dengan orang yang masih hidup tidak sama.
Prinsip
yang mesti difahami dalam menyikapi situasi ini adalah :
1.
Perintah
melakukan amalan badaniyah terjatuh khusus ke atas satu individu muslim dan
tidak boleh ditanggung oleh individu muslim lain.
2.
Perintah
itu berkuatkuasa semasa individu itu masih hidup, bukan selepas matinya yang
pasti sekali tidak lagi dia boleh berbuat amal seumpama hidup di alam fana ini.
3.
Boleh
atau tidak boleh diperbuat sesuatu amalan bagi pihak simati hanya boleh
diperbuat berdasarkan nas sahihah yang khusus berkenaannya. Tidak boleh dengan
hanya berdasarkan akal-akalan, pendapat, pandangan atau pun qiyas semberono
dari satu amalan lain yang tidak berkaitan dengannya.
Justeru
itu, dalam kes amalan ibadah puasa yang melibatkan orang mati ini terdapat
hadis sahih yang membenarkan para wali/waris melakukan qadha puasa bagi
membayar hutang puasa simati. Dalam kes ini, saya bersetuju dengan fatwa Syeikh
Prof. Dr. Yusuf bin Abdullah Al Qaradhawy Hfzh. begini :
Puasa boleh di
qadha oleh walinya atau pewarisnya, sebagaimana hadis marfu' dari Ummul
Mukminin 'Aisyah binti Abu Bakar Rha. dia berkata :-
"Barangsiapa yang meninggal dalam keadaan mempunyai (menanggung) hutang
puasa, maka ia dipuasakan (dibayar puasanya) oleh kerabat (wali)nya".
Hadis sahih riwayat
imam Bukhari rh. (no. 1952), imam Muslim rh. (no. 2687) dan imam Abu Daud rh.
(2400). Juga dalam kitab Al Lu'lu' wa Al Marjan, no. 704
Di dalam riwayat imam Al Bazzar rh., terdapat penambahan lafaz "Jika dia
mahu" [rujuk di dalam kitab Majmu’ Al Zawaaid, Jilid 3 halaman 179]. Maka,
ini jelas menunjukkan bahawa tidak wajib bagi para wali/waris melakukannya, dan
ia dilakukan bagi tujuan kebaikan si mati. Konsep asas ini disokong oleh sebuah
lagi hadis dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu., dia berkata :
“Bahawa ada
seorang wanita datang kepada Rasulullah Saw. kemudian berkata : Ya Rasulullah, sesungguhnya
ibuku telah meninggal dunia dan dia masih punyai tanggungan (berhutang) puasa
satu bulan. Maka baginda bersabda : Bagaimana pendapatmu apabila ibumu
mempunyai hutang, apakah engkau akan membayarnya?. Wanita itu menjawab : Ya.
Nabi pun bersabda : Maka hutang kepada Allah lebih berhak dibayarkan”.
Hadis sahih riwayat
imam Bukhari rh. (no. 1953), imam Muslim rh. (no. 2688), imam Abu Daud rh. (3310),
imam Tarmidzi rh. (no. 716 dan 717) dan imam Ibnu Majah rh. (no. 1758). Juga
dalam kitab Al Lu'lu' wa Al Marjan, no. 705
Syeikh
Prof. Dr. Yusuf bin Abdullah Al Qaradhawy Hfzh. menyimpulkan : Maka yang sahih/benar ialah
dibolehkan berpuasa bagi pihak mayat oleh wali/warisnya dan ia bukannya wajib,
dan dengan melakukannya maka terlepaslah tanggungan si mayat".
Kitab Fiqh As
Siyaam : Taisir Al Fiqh Fi Dau' Al Qur’an wa As Sunnah. Halaman 76.
Penjelasan
tentang hukum bukannya wajib itu dijelaskan lagi dalam riwayat berikut :
Diriwayatkan oleh 'Amrah Rhu. bahawa ibunya telah meninggal dunia sedang dia
masih berhutang puasa Ramadhan. Kemudian, dia bertanya kepada Ummul Mukminin
'Aisyah Rha. : Adakah aku perlu membayarnya?. 'Aisyah menjawab : Tidak, tetapi
bersedekahlah untuknya sebagai ganti puasa setiap harinya dengan setengah sha'
bagi seorang orang miskin.”
Rujukan
: Syeikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh., Kitab Ahkamul Jana'iz, Jilid 1 halaman 170
Ada pun qaul
(pendapat) yang mengatakan boleh dibayar fidyah oleh wali/waris ke atas hutang
puasa simati, tidak ia didasari dalil syara’, akan tetapi berdasarkan pendapat
mengikut qiyas (analogi) yang diambil dari amalan orang hidup. Begitu juga qaul
(pendapat) amalan yang membolehkan orang luar, yang bukan wali/waris melakukan
amalan qadha puasa untuk simati sama ada secara sukarela atau pun diupah adalah
juga tidak berdasarkan dalil.
Paling jelas
mahu diperingatkan adalah, kebenaran diberikan kepada para wali/waris simati
sendiri untuk melakukan amalan puasa qadha itu. Secara hukum pula, ia bukanlah
suatu kewajiban dan kebenaran itu terlepas sekiranya mereka para waris/wali
sendiri tidak mampu untuk melaksanakannya.
Setakat
ini dahulu. Semoga saya telah membantu.
والله اعلم
Assalamu’alaikum
Wr. Wbt,
Masjid
di tempat mertua saya, buat sembahyang raya Aidil Fitri 2 kali. Satu kali untuk
lelaki dan satu kali untuk perempuan, tetapi khutbah hanya satu kali saja.
Alasan yang diberikan adalah ruang tak cukup untuk diguna semua orang secara
serentak. Saya nak fahami, bolehkah dibuat begitu dan sahkah sembahyang yang
berbeza lelaki perempuan begini. Satu lagi, kalau saya tak silap, imamnya orang
yang sama sahaja. Ramai rakan-rakan yang yang juga bertanya sebegini.
Maklumbalas
segera sangat dihargai.
Wassalam.
Maklumbalas
السلام
عليكم و رحمة الله و بركاته
Terima kasih
atas soalan.
Berkenaan
tatacara solat sunnat I’ed (Fitr dan Adha) telah saya nyatakan sebahagiannya
dalam artikel terdahulu Tatacara I'edul Fitr 1 & 2 sekitar awal September
2010. Boleh rujuk ke artikel itu. Namun begitu, disini akan saya huraikan
sedikit yang selaras dengan soalan yang dikemukakan. Hal amalan solat I'ed
seperti ditanyakan, pernah disebut kepada saya oleh beberapa orang dan saya
juga menjawabnya secara lisan sahaja. Setakat ini, saya pasti sebuah
masjid yang ada berbuat begitu. Mungkin kes yang tuan sebutkan ini di
masjid yang lain.
Untuk
makluman tuan penanya dan para jamaah yang dikasihi, amalan Rasulullah Saw.
serta seluruh generasi sahabat, tabi'in, tabi'ut tabi'in dan salafus solih adalah
melakukan Solat I'ed di Musolla (iaitu tanah lapang) bukan di dalam masjid.
Dalil yang menunjukkan sunnah Rasul Saw. ini dengan mengerjakan solat I’ed
di musolla adalah,
“Dari Abu
Sa'id Al Khudri Rhu. dia berkata : Pada hari I'ed ul Fitri dan I'ed ul Adha,
Rasulullah Saw. keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama Baginda lakukan
adalah solat I'ed”.
Hadis sahih riwayat
Imam Bukhari rh. Kitab Sahih Bukhari, Kitab Al I’edaini, hadis no. 956.
Syeikhul
Islam Ibn Taimiyah rh. menjelaskannya : hukum mengerjakan solat I’ed di musolla
ini adalah fardhu a'in bagi setiap individu sebagaimana ucapan imam Abu Hanifah
rh. (Lihat: Hasyiyah Ibnu Abidin. 2/166) dan selain beliau. Ia juga pendapat
Imam Syafie rh. dan salah satu dari pendapat mazhab imam Ahmad rh. (Lihat :
Majmu Fatawa. 23/161) Pendapat yang menyatakan fardu kifayah tidak berasas
(Lihat: Majmu Fatawa. 23/161) Ini disebabkan Nabi Saw. tidak pernah
meninggalkannya walaupun sekali. Baginda memerintahkan semua manusia
mengerjakannya, sehingga para wanita yang merdeka, para gadis pingitan dan
wanita haid pun dianjurkan ke musolla.
“Dari Ummi
Atiyah Rha. dia berkata : Rasulullah memerintahkan kami mengeluarkan para
wanita merdeka, yang haid dan gadis-gadis pingitan pada Hari Raya I’edul Fitri
dan Adha. (dilafaz lain) Keluar ke musolla (tanah lapang). Mereka menyaksikan
kebaikan dan dakwah kaum muslimin. Aku berkata : Wahai Rasulullah, salah
seorang dari kami tidak mempunyai jilbab? Baginda bersabda : (suruh) agar
saudaranya meminjamkan jilbabnya”.
Hadis sahih
riwayat imam Bukhari rh. no. 324, 351, 971, 974, 980, 981 dan 1652. Imam Muslim
rh. no. 980. Imam Ahmad rh. no. 5/84-85. Imam Nasaie rh. no. 3/180. Imam Ibnu
Majah rh. no. 1307 dan imam Tarmidzi rh. no. 539.
Perintah di hadis ini menunjukkan perintah yang wajib, kerana diwajibkan ke musolla
bermaksud diwajibkan bersolat Hari Raya. Maka dengan demikian solat Hari Raya
hukumnya wajib ‘ain, atau yang lebih rajih hukumnya adalah wajib dan bukan
sekadar sunnat.
Lihat : Kitab
Tamamul Minnah. Halaman 344. Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh.
Mengerjakan
solat I’edaini di musolla merupakan satu amalan yang hampir tidak dilakukan
langsung di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil jamaah manusia yang
benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi Saw. tersebut. Itu pun dengan
menghadapi bermacam-macam fitnah dan dipandang serong oleh masyarakat
sekeliling. Justeru itu, hampir rata-rata ummat Muslimin di Malaysia tidak tahu
pun bahawa inilah sunnah Nabi Saw. yang sebenarnya. Malah yang paling menjengkelkan,
hal ini tidak pun diberitahu dan diajarkan kepada manusia. Tidak pula saya usul
periksa, kenapa hal sunnah sahihah ini dengan senghaja disembunyikan.
Sedangkan, ketahuilah
bahawa solat di Masjid Nabawi itu adalah 1000 kali lebih baik dari bersolat di
masjid-masjid lain. Namun ternyata, meskipun dengan keutamaan sebesar ini pun,
Rasulullah Saw. tetap memerintahkan para sahabat Rha. untuk mendirikan solat
I’edaini di musolla sepanjang hidup baginda dan begitulah juga yang diamalkan
oleh seluruh generasi sahabat baginda. Imam Ibnu Qudamah Al Maqdisi rh. di
dalam Kitab Al Mughni (jilid 3, halaman 260) berkata :
“Mengerjakan solat I’ed di musolla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi Saw.
keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi).
Demikian pula para Khulafa' ul Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum
muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan
tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat I’ed”.
Demikianlah
amalan dan sunnah a'maliyah dan fi'liyah Rasulullah sendiri. Dan inilah yang
sepatutnya dibuat. Secara spesifik maklumbalas saya kepada soalan tuan :
1.
Keadaan solat 2 kali itu terjadi apabila sunnah Rasul Saw. tidak diikuti
dan dipatuhi. Walhal perintah dan perbuatan Rasul Saw. dalam mengerjakan Solat
I'ed itu telah jelas dan qati'e. Beginilah keadaannya apabila amalan solat
dilakukan mengikut aqal, hawa nafsu dan pendapat manusia begitu begini
(bukan hukum syara') sekalipun terang-terang menentang sunnah. Sungguh amat
menjengkelkan, yang disuruh dan dibuat oleh Nabi Saw. itu bukan sahaja tidak
diikuti malahan dipandang serong dan dihina pula.
2.
Amat besar rahmat Allah Swt. Yang Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani.
Sesungguhnya ilmu Allah Swt. itu valid untuk seluruh zaman. Kerana sifat Allah
Yang Maha Mengetahui itulah, telah disyari'atkan Solat I'ed di tanah lapang
kerana Allah Swt. memang mengetahui bahawa bukannya senang nak bina masjid
besar (dari segi tapak, binaan dan kos) yang boleh muat ribuan orang seumpama
waqtu Solat I'ed. Amat malang anugerah dan nikmat kurniaan Allah swt. itu tidak
dihargai.
3.
Pengalaman saya
sendiri, yang mengerjakan Solat I'ed di tanah lapang, pernah juga sebagai imam
dan khatib, tak terlepas jua dari terkena kata-kata sinis dan menghina
"buat masjid mahal-mahal, elok-elok tapi tak guna, tak ke
bodoh". Memang saya amat terluka hati. Sekadar penceritaan untuk
memberitahu bahawa betapa tidak tahunya kita-kita ini tentang sunnah Allah Swt.
dan Rasul-Nya.
4.
Tidak dapat
saya memberikan hukum secara ke atas amalan dan perbuatan solat 2 kali serta
dengan imam yang sama itu. Ini hal senstif yang menyentuh banyak pihak dan saya
yaqin, sekiranya saya rincikan, boleh menjadi punca bergaduh pula nanti.
Baiknya tuan sebagai makmum dan ahli qaryah mereka itu, mendapatkan penjelasan
dari mereka sendiri. Hanya mereka yang berbuat begitu sahaja yang tahu nas-nas
dan dalil atas perbuatan mereka. Pada saya, perbuatan ini amat pelik dan memang
diluar pengetahuan saya, tak pernah pula dicontohkan oleh mana-mana ulama'
salaf mahupun khalaf.
5.
Amat pelik
lagi sekiranya diimamkan oleh satu orang, yang mana akan menyebabkan adanya
orang solat I’ed 2 kali
6.
Seruan saya,
ikutlah sunnah Nabi Saw. "Maka, jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu,
maka kembalilah kepada Allah dan Rasul, yang demikian itu sebaik-baik
penghuraian (penyelesaian)".
Demikianlah
indah dan syumulnya sunnatullah dan as sunnah rasulNya, bahawa cara-cara solat
I’edaini telah pun ditunjukkan dengan jelas, dan seperti yang ditunjukkan
itulah yang sepatutnya dibuat. Masalah yang timbul ini berlaku apabila as
sunnah itu tidak diikuti atau pun, apabila ada sesuatu masalah, tidak pula
dirujuki kepada Allah dan rasulNya untuk mencari penyelesaian.
Akhiirul
kalam, sekiranya alasan tak cukup tempat, Nabi Saw. telah pun menjawab soalan
itu dengan memberikan penyelesaiannya sekali sejak 1400 tahun dulu lagi.
Setakat ini dahulu. Semoga saya telah membantu.
والله اعلم
Salaamun’laik
tuan-tuan para sahabat,
Saya setuju dengan Haji Mad yang melakukan solat I’edaini di tanah lapang itu
sunnah. Cuma barangkali ada rukhsah seperti hujan dan banjir yang berlaku di
utara tanahair. Suasana mendung mungkin juga boleh di beri keringanan.
Cuma
pengalaman sedih Haji Mad itu berlaku kepada beliau dengan sindiran yang amat sinis
malah ada unsur menghina juga. Kepada Allah jua kita pulangkan segala urusan.
Wallahua'lam, isu solat dua kali ini tidak ada masalah bagi hemat saya malah di
Kuala Selangor, ada solat dibuat 2 kali hanya membezakan orang tempatan dengan
pendatang. Cuma dalam kitab Al Bidayah Wal Nihayah oleh Imam Ibn Katsir rh. terakam
kisah, sebelum Baghdad jatuh ke tangan kaum Tar-Tar, solat sunat I’ed telah di
qadha ke lepas solat Maghrib kerana ummat masa itu sangat leka dengan hiburan.
Wassalam
Sent from my
BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0 ulasan:
Catat Ulasan