Jumaat, 27 Januari 2012

Muharram Dan Hijrah.

0 ulasan


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekalian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Catatan ini saya nukil pada 1 Muharram 1433 Hijriyah / 27 November 2011 Masihi. Saya berinisiatif mencatat ini setelah memenuhi satu jemputan kuliyah Maal Hijrah yang mana, beberapa hal “pelik tapi benar” sama ada suka atau tidak, harus saya sebutkan. Huraian berkenaan kaitan di antara Peristiwa Hijrah dan Awal Muharram adalah catatan ringkas dari kuliyah tersebut.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Hijriyah ke 1433, juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa membimbing kita ke As Siraatul Mustaqiim dan menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah.

Dirgahayu : Kira-kira pukul 8.00 malam saya mendapat 6 panggilan dari rakan sekolah lama di kampung. Saya pick up salah satunya dan dimaklumkan bahawa rakan baik Saudara Abdul Halim bin Hassan @ Jalud telah “berhijrah” ke alam barzah. Beliau jatuh di padang semasa perlawanan bolasepak persahabatan veteran dan disahkan meninggal di Hospital Batu Gajah kira-kira pukul 7.40 malam. Saya termangu seketika. Banyak yang dihimbaukan dalam berbagai rasa. Kami membesar dan menempuh banyak onak dan duri hidup bersama. Terlalu banyak kenangan dulu, bersampan di Sungai Perak dan Sungai Kinta, memukat ikan dan udang galah, berjalan berbatu-batu ke sekolah, menanam padi, jagung dan mengait kelapa sawit. Bermain bola bersama di mana-mana sehingga di peringkat negeri yang saya bermain di pertahanan tengah juga ketua pasukan dan beliau sebagai pembantu dan bermain di tengah. Kami berpisah tempat setelah tamat persekolahan tapi tidak pernah terputus hubungan. Saya menyambung belajar dan beliau terus bermain bola, mewakili Perak, KL dan beberapa kelab dalam Liga M. Beliau memang minat bola dan terus bermain bola, sehingga ke hari ini pun di saat saya kini, boot pun tiada. Begitulah dia si Jalud, rakan dan sahabat, teman kala susah dan senang, penglipur lara di saat suka dan duka (kerana itu digelar Jalud) yang dikenangi. Saya catatkan setakat ini sahaja kerana ada sesuatu rasa di lubuk hati.

Moga hijrah beliau rahimahullah di hari mulia ini, dipelihara dan diberkati Allah Swt. serta ditempatkan bersama para auliyaa’ di dalam syurgaNya. Aamiin.

Telah menjadi tradisi dan budaya, setiap kali menjelangnya dan pada 1 Muharram acap tahun, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul Saw. Sejak dahulu lagi, hari ini disambut dengan aneka macam acara, dari perhimpuan hinggalah perarakan, ceramah, kuliyah, kenduri kendara, forum bersaiz kecil hinggalah ke forum bersaiz perdana. Di media cetak dan elektronik juga, berbagai cerita, kisah, iklan dan pesanan dimuatkan dari beberapa hari sebelum sehingga beberapa hari sesudahnya. Tambah lagi dijadikan pula hari cuti umum nasional. Demikianlah kita menyambut Maal Hijrah. Asalnya tarikh hari ini disebut Awal Muharram, sekarang disebut Maal Hijrah.

Disebut ia Maal Hijrah (Bersama Hijrah) kerana merujuk kepada peristiwa hijrah Rasul Saw. dari Makkah ke Yathrib, yang merupakan satu perkara sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya. Apa tidaknya, peristiwa inilah yang  menjadi tonggak perubahan ke atas seluruh corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga ke hari ini.

Perkataan hijrah berasal dari Bahasa Arab. Dari segi lughah (bahasa) mufradatnya “hajara” yang bererti meninggalkan. Dari segi istilah (syara’), ia bererti meninggalkan satu tempat dan berpindah ke satu tempat yang lain. Dari contoh perbuatan Rasulullah Saw., meninggalkan Makkah dan berpindah ke Yathrib (nama itu ditukar oleh Rasulullah Saw. kepada Madinah Al Munawwarah setelah Baginda sampai dan menetap disana).

Amalan Hijrah bukan sahaja berlaku ke atas diri Nabi Muhammad Saw. sahaja, malah telah dilakukan terdahulu daripadanya oleh para Anbiya’ seperti Nabi Ibrahim, Musa, Isa, Yusuf alaihimussalam dan lain-lain. Ia berlaku kerana penentangan yang amat keras di kalangan masyarakatnya yang tidak dapat menerima da’wah yang dibawa oleh mereka, dan mereka berpindah ke tempat yang penduduknya boleh menerima da’wah dan boleh meneruskan da’wah Islamiyah dengan lebih aman.

Sesungguhnya kewajiban melakukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat lain demi kelangsungan Islam dan kemaslahatan ummatnya ini, adalah diperintahkan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :

“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rizqi yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud kepada Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 100

Hijrah ke Madinah sebenarnya merupakan hijrah kali kedua ummat Islam setelah yang pertama ke Habsyah. Dalam hijrah pertama inilah, Raja Habsyah bernama Najasyi rhu. telah memeluk Islam dan kekal menjadi raja di sana. Rasulullah Saw. memutuskan untuk berhijrah bagi mengurangkan tekanan yang dialami oleh Baginda akibat daripada serangan bertubi-tubi puak musuh dari kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah yang tidak senang dengan agama Tauhid yang diperkenalkan oleh Baginda.

Tekanan kuat dibuat oleh Arab Jahiliyyah selepas kewafatan dua tokoh Quraisy yang mendokong kuat Baginda yaitu pakciknya Abu Talib Bin Abdul Mutalib dan isteri, Khadijah Binti Khuwailid rha. Baginda telah pun cuba mendapatkan pusat gerakan baru sekitar Makkah tetapi tidak berjaya dan ditolak oleh suku Arab sekitarnya. Antaranya, Baginda berusaha ke Taif tetapi penduduknya menghalau malah merejam batu ke arah Baginda dan umat Islam sehingga Baginda luka-luka. Di masa itu juga, ummat Islam di Makkah menghadapi kesulitan yang amat sangat kerana pemulauan dan telah berada pada tahap paling kritikal yang mana, Arab Jahiliyah telah berpakat untuk membunuh Rasulullah Saw. Situasi itu amat genting dan merbahaya, malah turut mengancam da’wah Islamiyah yang tidak dapat berkembang lagi.

Atas dasar itu, Allah Swt. memerintahkan Baginda dan seluruh umat Islam yang masih berada di Makkah supaya meninggalkan tempat itu dan berhijrah ke Madinah. Bagi yang mengingkari arahan supaya berhijrah ke Madinah, mereka dijanjikan dengan neraka dan ditimpakan dengan siksaan yang amat pedih sepertimana yang ditegaskan Allah Swt. menerusi firmanNya :

“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaaan menzalimi diri mereka sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya : Dalam keadaan bagaimana kamu ini? Mereka menjawab : Kami adalah orang-orang yang tertindas di negeri kami sendiri (Makkah). Para malaikat berkata : Bukankah bumi Allah itu luas hingga kamu dapat berhijrah di bumi itu? Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan ia seburuk-buruk tempat kembali”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 97

Madinah dipilih sebagai tempat hijrah kerana masyarakat Arab di sana yang diketuai oleh dua suku terbesar iaitu Auz dan Khazraj yang telah pun menerima agama Islam dan mengakui kerasulan Nabi Saw. Penerimaan ini terbukti dengan Perjanjian Aqabah Pertama diantara Rasulullah Saw. dengan sekumpulan penduduk Madinah (12 orang) dalam musim Haji tahun keduabelas selepas kerasulan baginda. Selepas perjanjian ini, Rasulullah telah menghantar utusan pertama ke Madinah untuk mengembangkan Islam dan memperoleh banyak kejayaan. Pada musim haji tahun berikutnya, Perjanjian Aqabah Kedua pula diperbuat dengan lebih ramai lagi penduduk Madinah (70 orang) menerima Islam. Setelah itu, da’wah Islam berkembang pesat dan diterima ramai di Madinah. Beberapa kumpulan ummat Islam Makkah telah pun diarahkan berhijrah oleh Rasulullah Saw. terlebih dahulu ke Madinah selepas Perjanjian Aqabah Kedua.

Orang terakhir meninggalkan Makkah adalah Rasulullah Saw. bersama Abu Bakar rhu. Mereka meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, Baginda sampai ke Madinah.

Tarikh dan perbuatan Hijrah yang dilakukan oleh Baginda Saw. sendiri inilah yang diambilkira sebagai tonggak dan titik tolak perbicaraan dalam berbagai perkara tanpa menafikan perbuatan hijrah telah pun diperbuat oleh para sahabat sebelum itu lagi. Hijrah Rasulullah Saw. bersama Abu Bakar rhu. sebagai individu terakhir tidaklah bermaksud bahawa tiada lagi ummat Islam yang tersisa di Makkah. Hakikatnya masih ada golongan tidak berupaya, orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak yang tidak mampu untuk melakukan perjalanan hijrah (termasuk Aisyah binti Abu Bakar rha, Asma binti Abu Bakar rha., isteri Baginda Saudah rha. dan Ali bin Abu Talib Kmwj. ). Mereka ini dikecualikan daripada perintah kewajiban hijrah dan dimaafkan oleh Allah Swt. sepertimana firmanNya :

“Kecuali mereka yang tertindas baik laki-laki atau wanita ataupun anak-anak yang tidak mampu berdaya upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk berhijrah). Mereka itu, mudah mudahan Allah memaafkannya. Dan Allah Maha Pemaaf dan Maha Pengampun”. 
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 98-99

Hakikat dan hikmah dari perbuatan hijrah ini ialah, agama Islam boleh berkembang secara aman dan leluasa, da’wah Islamiyah menjadi lebih pesat, diterima dan diiktiraf di seluruh pelusuk jazirah Arab, terbentuknya Sahifah (perlembagaan) Madinah dan sistem pemerintahan negara Islam Madinah, penyatuan seluruh bangsa Arab dibawah panji Dua Kalimah Syahadah dan ketundukan kepada rasulNya, peningkatan kekuatan ummat Islam dari segi ekonomi, keilmuan, kemasyarakatan, ketenteraan dan pemerintahan. Berpusat di Madinah inilah, Islam menjadi kukuh dan kuat sehingga mengalahkan empayar lebih besar dan kuat yaitu Rom dan Farsi sehinggalah agama Islam tersebar luas ke seluruh dunia seterusnya menjadi tonggak perubahan ke atas seluruh corak peradaban dunia. Demikianlah peri pentingnya perbuatan hijrah ke Madinah di dalam agama Islam.

Rujukan :
1.    Imam Abu Ja'far Muhammad ibnu Jarir ibnu Yazid Al Thabari rh. (224–310 Hijrah), Tarikh Al Umam Wa Al Muluk At Thabari (Tarikh At Thabari), Jilid 2, halaman 98-100
2.    Imam Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam rh. (218 Hijrah), Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam, Jilid 2, halaman 88-92
3.    Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. (700-774 Hijrah), Al Fusuul Fi Siiratir Rasul, halaman 57-60
4.    Syaikh Abu Hashim Safiur Rahman bin Abdullah bin Muhammad Akbar bin Muhammad Ali bin Abdul Mu’min bin Faqirullah Al Mubarakpuri Al Adzami rh. (1360H/1942- 1427AH/2006), Raheeq al Makhtum, halaman 232-252
5.    Syaikh Prof. Dr. Ali Muhammad As Sallabi hafidzahullah, Biografi Rasulullah Saw. (Jilid 1, halaman 470-482

Salah faham yang belaku sekarang ini adalah kerana  ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasulullah Saw. itu berlaku pada 1 haribulan atau pun dalam bulan Muharram. Ini disebabkan oleh : Pengetahuan tentang sejarah sebenar bagaimana kalendar tahun Islam ditetapkan,  kenapa kiraan tahun baru bermula pada bulan Muharram, kenapa pula perkataan hijrah dan peristiwa hijrah yang digunapakai sebagai nama tahun Islam. Perkara-perkara inilah yang menjadi intipati kepada salahfahaman itu. Bahkan ramai yang hanya terikut-ikut arus tradisi sahaja sementelahan tibanya 1 Muharram acap tahun, semua perkara dihubungkait dengan hijrah malahan namanya pun maal hijrah. Dengan mudah mereka menyimpulkan pada ketika inilah hijrah Rasulullah Saw. berlaku.

Sebenarnya hijrah Rasulullah Saw. bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia bermula pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian dan berakhir pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal tahun yang sama.

Persoalannya, kenapakah perkataan dan peristiwa hijrah digunakan pada bulan permulaan kalendar Islam yaitu Muharram, sedangkan hijrah Rasulullah Saw. yang sebenar berlaku pada bulan Safar hingga Rabiul Awwal?

Sebenarnya, penggunaan tahun dalam Islam hanya dibuat pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab rhu. yaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Sebelum itu, bangsa Arab dan juga ummat Islam sudahpun mempunyai kiraan hari dan bulan serta nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.

Terdapat banyak faktor yang mendorong Umar bin Al Khattab rhu. menetapkan penggunaan tahun dalam kalendar Islam. Antaranya ialah kerana : Umar bin Al Khattab rhu. telah menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya : Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Hal ini memang menyulitkan beliau untuk menjalankan pemerintahan.

Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh dengan tahun ialah Ya'la bin Umayyah rhu. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Umar bin Al Khattab rhu. dengan menulis tarikh dengan tahun, dan Umar bin Al Khattab rhu. menganggap baik perkara tersebut. Akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh dengan tahun. Antara faktor pendorongnya juga ialah Abu Musa Al Asy'ari telah menulis satu surat kepada Umar bin Al Khattab rhu., menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Umar bin Al Khattab rhu. tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Umar bin Al Khattab rhu. mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.

Setelah Umar bin Al Khattab rhu. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah : daripada tarikh kelahiran Baginda, atau dari tarikh Baginda dibangkitkan menjadi rasul atau dari tarikh Baginda hijrah atau dari tarikh kewafatan Baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasulullah Saw. (12 Rabiul Awwal tiba di Madinah) sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh.

Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Umar bin Al Khattab rhu. menyatakan kata-katanya yang masyhur,

الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها

“Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh ”.

Berkata Imam As Suhaily rh., para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Aziiz :

 “Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba') sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya”.
Surah At Taubah (9) : ayat 108.

Terangnya lagi : Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi Saw. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi Saw. dan para sahabat memasuki Madinah.

Setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah akan dimulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan Rajab, dan ada pula dengan Ramadhan. Namun Usman bin Affan rhu. mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan Muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat Arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan Muharram ialah Umar bin Al Khattab rhu. sendiri dan Ali bin Abu Talib kmwj.

Akhirnya, para sahabat telah sepakat memilih bulan Muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya Rabiul awwal. Antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan Muharram ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan Muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan Zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah Zulhijjah ialah Muharram, kerana itu sesuai dijadikan Muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.

Inilah sebahagian daripada fakta berkaitan yang menjelaskan persoalan ketidakfahaman tentang sejarah sebenar bagaimana kalendar tahun Islam ditetapkan, kenapa kiraan tahun baru bermula pada bulan Muharram serta kenapa pula perkataan hijrah dan peristiwa hijrah digunapakai sebagai nama tahun Islam. Semoga dengan fakta ini, sedikit sebanyak dapat membantu menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi Saw. serta kaitannya dengan nama tahun dalam kalendar Islam.

Rujukan :
1.    Imam Al Hafiz Ahmad Bin Ali Bin Muhammad Bin Muhammad Bin Hajar Al Asqalani, Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari. Kitab Manaqib Al Ansar, Bab At Tarikh, Juz 7, halaman 341- 342
2.    Imam Al Hafiz Jalaluddin Abdurrahman Bin Abu Bakar Bin Muhammad Bin Sabiquddin Al Asiyuthi, Kitab Tarikh Al Khulafa’
3.    Syeikh Prof. Dr. Muhammad Baltaji, Ijtihad Umar Bin Al Khattab Dalam Penetapan Syariat Islam, halaman 439-445

Kesimpulan ringkas, lebih tepat sebenarnya untuk mengadakan acara, majlis dan kuliyah berkaitan hijrah pada 27 Safar sehingga 12 Rabiul Awwal kerana itulah tempoh sebenar Rasulullah Saw. melakukan hijrah dari Makkah ke Madinah. Tempoh ini jugalah yang lebih tepat untuk disebut Maal Hijrah. Perkataan hijrah yang dinamakan kepada tahun Islam adalah kerana peristiwa hijrah Rasulullah Saw. yang menjadi titik tolak kepada kejayaan dan kemenangan Islam. Penetapan 1 Muharram dan bulan Muharram sebagai tarikh permulaan tahun kalendar Islam adalah atas sebab-sebab tersendiri yang tidak berkenaan dengan peristiwa hijrah.

Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa hendaklah kita sentiasa bergerak menuju Allah Swt. Orang yang sedia berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalah sia-sia, dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.

Nota : Tahun lepas, apabila saya menyatakan yang riwayat adanya doa akhir tahun dan doa awal tahun sebagai palsu, saya mendapat banyak argument balas termasuk juga beberapa kutukan dan cemuhan. Dari catatan sejarah muktabar seperti yang saya nyatakan di atas, adalah jelas sekali penetapan tahun Islam adalah pada tahun ke 17 Hijrah yang juga 6 tahun selepas wafat Rasulullah Saw. Fakta ini sendiri menjelaskan bahawa riwayat itu memang batil dan palsu. Dan sesungguhnya agama Islam itu sudah sempurna. Dan amalan tersebut tiada dijumpai asasnya dalam kitab-kitab hadis malah secara batil pula dikaitkan dengan junjungan mulia Nabi Saw., maka seharusnya ditinggalkan.

والله اعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Metajam
Read more...

Sembelihan (part 2)

0 ulasan


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani ibadah hari raya I’edul Adha kepada semua. Juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Dalam bab sembelihan, saya ambil huraian lengkapnya daripada artikel tulisan sahabat saya Abu Numair An Nawawi. Sebarang tambahan atau penjelasan lanjut dari saya sendiri, saya akan dicatatkan dibawah “Nota Tambahan”.

[Ketujuh] Teknik Sembelihan (at-Tadzkiyah)

At-Tadzkiyah menurut bahasa adalah mashdar dari dzakaitu al-hayawan (aku menyembelih haiwan). Dan isim (bentuk kata benda)nya adalah dzakah, iaitu adz-Dzabh dan an-Nahr. Menurut istilah, ia adalah faktor yang menyebabkan dihalalkan memakan haiwan darat.

Para ulama menjelaskan bahawa an-Nahr (menusuk pada bahagian leher) adalah teknik sembelihan khusus bagi unta, dan adz-Dzabh (sembelihan dengan cara memotong di leher) adalah bagi haiwan selain unta.

Mazhab Abu Hanifah mengatakan, “Penyembelihan adalah suatu kaedah yang syar’i untuk menjaga kesucian haiwan agar halal untuk dimakan sekiranya ia halal dimakan. Atau bagi tujuan memanfaatkan kulit dan bulunya jika haiwan tersebut tidak halal dimakan”.
Kitab Sahih Fiqhus Sunnah, Jilid 2 halaman 357 – Maktabah at-Taufiqiyah

Mazhab al-Hanabilah (pengikut Ahmad B. Hanbal) mendefinisikannya sebagai, “Dzabh (memotong) atau Nahr (menusuk) adalah kaedah penyembelihan untuk haiwan darat yang berada dalam kawalan (yang mampu ditangkap) selain belalang atau yang sejenisnya dengan memotong saluran halkum (trakea/salur pernafasan) dan mari’ (esofagus/salur makanan), atau dengan cara menusuk bagi haiwan yang kuat meronta atau terhalang dari menyembelihnya (sebagaimana membunuh haiwan buruan – Pen.)”.
Kitab Sahih Fiqhus Sunnah, Jilid 2 halaman 357 – Maktabah at-Taufiqiyah

Kaedah membunuh haiwan buruan yang liar yang tidak dapat ditangkap adalah dengan cara melemparkan (iaitu menusukkan) pada mana-mana bahagian tubuhnya dengan senjata tajam atau dengan menggunakan khidmat haiwan pemburu yang terlatih.

Adapun berkenaan syarat sembelihan atau bahagian yang perlu diputuskan atau dipotong, Imam an-Nawawi rohimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan :

الشافعى وأصحابه وموافقوهم لاتحصل الذكاة إلابقطع الحلقوم والمرئ بكمالهما ويستحب قطع الودجين ولايشترط وهذا أصح الروايتين عن أحمد وقال بن المنذر أجمع العلماء على أنه اذا قطع الحلقوم والمرئ والودجين وأسال الدم حصلت الذكاة قال واختلفوا فى قطع بعض هذا

“Imam asy-Syafi’i rh., para sahabatnya, dan orang-orang yang bersetuju dengannya mengatakan, “Tidak sah suatu sembelihan melainkan setelah terpotong pada halkum (salur pernafasan) dan mari’ (salur makanan/esofagus) secara sempurna. Dan disunnahkan memotong dua urat darahnya yang lain (yang terdapat di sekitar leher), tetapi ini tidaklah termasuk syarat. Dan ini juga adalah pendapat yang kuat dari Imam Ahmad rh. berdasarkan dua riwayat.

Ibnu Al Mundzir rh. berkata, “Para ulama telah sepakat (ijma’) bahawa apabila telah terpotong halkum (salur pernafasan), salur makanannya (esofafus), dan kedua urat darah pada leher haiwan sembelihan, serta mengalirkan darahnya, maka ini sudah dianggap sebagai sembelihan yang benar dan sah.” Al-Mundzir melanjutkan “Dan mereka (para ulama) berselisih apabila yang terpotong hanya sebahagian dari apa yang disebutkan ini”.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 13 halaman 24

Berkaitan haiwan liar atau haiwan yang yang asalnya jinak tetapi kemudian menjadi liar, Imam an-Nawawi rohimahullah menjelaskan :

وأما المتوحش كالصيد فجميع أجزائه يذبح مادام متوحشا فإذا رماه بسهم أو أرسل عليه جارحة فأصاب شيئا منه ومات به حل بالاجماع وأما اذا توحش انسى بأن ند بعير أو بقرة أو فرس أوشردت شاة أو غيرها فهو كالصيد فيحل بالرمى إلى غير مذبحه وبإرسال الكلب وغيره من الجوارح عليه

“Adapun bagi haiwan liar yang termasuk haiwan buruan, maka seluruh anggotanya boleh dijadikan sebagai sasaran sembelihan selagi mana ia liar dan tidak dapat ditangkap (untuk disembelih secara normal) sehingga apabila dilempar dengan tusukan panah atau ditangkap oleh anjing pemburu yang terlatih kemudian mengenai sebahagian dari anggota badannya dan mati, maka hukumnya adalah halal dengan ijma’ (kesepakatan ulama).

Adapun jika haiwan jinak yang bertukar liar (mengganas) seperti unta yang terlepas (atau mengamuk - pen.), atau lembu, atau kuda, atau mungkin kambing dan selainnya, maka ia dianggap sebagaimana haiwan buruan yang mana ia boleh dilempar dengan panah (objek tajam) di selain tempat sembelihannya yang asal dan boleh juga ditangkap menggunakan khidmat anjing pemburu yang terlatih”.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 13 halaman 126

Ini adalah sebagaimana dalil hadis daripada ‘Abayah bin Rifa’ah bin Rafi’ bin Khadij yang menjelaskan daripada datuknya :

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذِي الْحُلَيْفَةِ فَأَصَابَ النَّاسَ جُوعٌ فَأَصَابُوا إِبِلًا وَغَنَمًا قَالَ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أُخْرَيَاتِ الْقَوْمِ فَعَجِلُوا وَذَبَحُوا وَنَصَبُوا الْقُدُورَ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْقُدُورِ فَأُكْفِئَتْ ثُمَّ قَسَمَ فَعَدَلَ عَشَرَةً مِنْ الْغَنَمِ بِبَعِيرٍ فَنَدَّ مِنْهَا بَعِيرٌ فَطَلَبُوهُ فَأَعْيَاهُمْ وَكَانَ فِي الْقَوْمِ خَيْلٌ يَسِيرَةٌ فَأَهْوَى رَجُلٌ مِنْهُمْ بِسَهْمٍ فَحَبَسَهُ اللَّهُ ثُمَّ قَالَ إِنَّ لِهَذِهِ الْبَهَائِمِ أَوَابِدَ كَأَوَابِدِ الْوَحْشِ فَمَا غَلَبَكُمْ مِنْهَا فَاصْنَعُوا بِهِ هَكَذَا فَقَالَ جَدِّي إِنَّا نَرْجُو أَوْ نَخَافُ الْعَدُوَّ غَدًا وَلَيْسَتْ مَعَنَا مُدًى أَفَنَذْبَحُ بِالْقَصَبِ قَالَ مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ فَكُلُوهُ لَيْسَ السِّنَّ وَالظُّفُرَ وَسَأُحَدِّثُكُمْ عَنْ ذَلِكَ أَمَّا السِّنُّ فَعَظْمٌ وَأَمَّا الظُّفُرُ فَمُدَى الْحَبَشَةِ

“Kami bersama Nabi Saw. di Dzul Hulaifah ketika sebahagian orang mengalami kelaparan lalu mereka mengambil (harta rampasan perang berupa) unta dan kambing. Ketika itu Nabi Saw. berada di belakang bersama rombongan yang lain. Orang-orang yang kelaparan tersebut menyembelih lalu mengambil daging sebanyak satu kuali.

Maka Nabi Saw. memerintahkan agar kuali tersebut ditumpahkan isinya. Kemudian Baginda membahagi sama-rata di mana bahagian setiap sepuluh ekor kambing sama dengan satu ekor unta. Tetapi kemudian ada seekor unta yang lari lalu mereka mencarinya sampai kepenatan. Sementara itu di antara mereka ada yang memiliki seekor kuda yang lincah lalu ia pun mencari unta yang terlepas tadi dan memburunya dengan panah hingga akhirnya Allah mentakdirkannya dapat membunuh unta tersebut.

Baginda Saw. bersabda, “Sesungguhnya haiwan seperti ini hukumnya sama dengan haiwan liar (haiwan buruan). Maka apa sahaja yang terlepas dari kamu (dan gagal untuk ditangkap), lakukanlah seperti ini. Datukku berkata, “Kita berharap atau bimbang bertemu musuh pada esok hari sedangkan kita tidak memiliki pisau, adakah kita boleh menyembelih dengan kayu?”

Baginda bersabda, “Setiap apa yang ditumpahkan darahnya dengan disebut nama Allah maka makanlah kecuali yang ditumpahkan darahnya dengan gigi dan kuku, dan akan kusampaikan tentang itu. Adapun gigi, ia termasuk tulang. Manakala kuku, ia adalah pisaunya orang-orang Habsyah”.
Hadis sahih riwayat imam Al Bukhari, Bab 8 halaman 391, no. 2308

Haiwan buruan yang mati hendaklah ia mati dengan sebab terkena tusukan pada bahagian alat yang tajam yang mengalirkan darah sama ada dengan mata lembing, panah, atau alat-alat yang seumpamanya yang tajam. Dan bukan pada bahagian yang tumpul seperti misalnya pada bahagian hulu lembing atau juga tidak boleh dibaling dengan bahan tumpul seperti batu yang seumpamanya. Melainkan sekiranya ia sempat disembelih sebelum mati, maka halal. Jika mati kerana dilempar dengan objek tumpul, maka haram dimakan.

Ini sebagaimana hadis dari ‘Adi Bin Hatim rhu. beliau berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah Saw. tentang berburu dengan lembing (tombak), maka Baginda bersabda :

إِذَا أَصَبْتَ بِحَدِّهِ فَكُلْ فَإِذَا أَصَابَ بِعَرْضِهِ فَقَتَلَ فَإِنَّهُ وَقِيذٌ

“Apabila ia terkena pada bahagian yang tajam, maka makanlah. Tetapi apabila terkena pada bahagian yang tumpul lalu haiwan buruan tersebut terbunuh, maka janganlah memakannya kerana ia termasuk haiwan yang terbunuh kerana dibaling dengan objek tumpul”.
Hadis sahih riwayat imam Al Bukhari rh., Bab 17 halaman 131, no. 5054

[Kelapan] Menyebut Nama Allah Ketika Menyembelih

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman :

وَلا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَى أَوْلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ

“Dan janganlah kamu memakan haiwan-haiwan yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, sesungguhnya perbuatan tersebut adalah suatu kefasiqan”.
Surah Al An’am (6) : ayat 121

Telah bersabda Rasulullah Saw., “Setiap apa yang ditumpahkan darahnya dengan disebut nama Allah maka makanlah...”.
Hadis sahih riwayat imam Al Bukhari rh., Bab 8 halaman 391, no. 2308

Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. (Wafat: 774H) menyatakan :

استدل بهذه الآية الكريمة من ذهب إلى أنه لا تحل الذبيحة التي لم يذكر اسم الله عليها، ولو كان الذابح مسلما

“Ayat ini adalah dalil bahawa sembelihan tidak halal sekiranya tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya walaupun yang menyembelihnya adalah seorang muslim”.
Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 3 halaman 324

Telah berkata Abdullah Ibnu Abbas rhu., “……………………..(Tetapi sekiranya dia terlupa), maka tidak mengapa”.
Imam Ibnu Hajar Al Asqolani rh. Kitab Fathul Bari, Jilid 9 halaman 624

Manakala ketika menyembelih haiwan qurban, disunnahkan membaca basmallah dan takbir sambil berdoa memohon agar qurbannya diterima Allah Swt. Bagi haiwan buruan pula, nama Allah hendaklah disebut ketika melepaskan haiwan pemburu atau ketika melemparkan senjata tajam ke arah sasaran.

Ini adalah sebagaimana sabda Nabi Saw. :

وَمَا صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ الْمُعَلَّمِ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ

“Buruan yang kamu perolehi dengan tombakmu setelah menyebut nama Allah maka makanlah, buruan yang diperolehi oleh anjingmu yang terlatih setelah menyebut nama Allah di ketika melepaskannya maka makanlah, dan buruan yang diperolehi oleh anjingmu yang tidak terlatih jika kamu sempat menyembelihnya maka makanlah”.
Hadis sahih riwayat imam Al Bukhari, Bab 17 halaman 135, no. 5056

[Kesembilan] Memastikan Haiwan Benar-benar Mati

Haiwan yang disembelih hendaklah dipastikan telah benar-benar mati terlebih dahulu sebelum dilakukan proses seterusnya. Dan kematiannya hendaklah dilakukan dengan semata-mata sembelihan tanpa sebarang tekanan atau paksaan.

Ini berdasarkan firman Allah Swt. :

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا

“Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syi'ar Allah, kamu mendapat kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah darinya...”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 36

Rasulullah Saw. telah bersabda :

مَا قُطِعَ مِنَ الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ، فَهُوَ مَيْتَةٌ

“Apa-apa bahagian yang dipotong dari haiwan yang masih hidup, maka potongan tersebut adalah bangkai”.
Hadis riwayat imam Ahmad, 36/233, no. 21903. 36/235, no. 21904. Dinilai hasan oleh imam at Tirmidzi rh. dan Syu’aib Al Arnauth rh.

Imam Ibnu Katsir rh. menyatakan dalam Tafsirnya, “Janganlah kamu mengambil daging unta setelah disembelih melainkan setelah benar-benar mati dan tidak bergerak lagi.

Juga disebutkan dalam hadis marfu’ :

ولا تُعجِلُوا النفوسَ أن تَزْهَق

“Jangan dipaksa-paksa ruh haiwan sembelihan agar segera keluar.”
Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 5 halaman 428

[Kesepuluh] Sembelihan Ahli Kitab

Sesungguhnya Allah Swt. telah berfirman :

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ

“Pada hari ini dihalalkan bagi kamu yang baik-baik. Makanan orang-orang yang diberi al-Kitab itu halal bagi kamu, dan makanan kamu juga halal bagi mereka”.
Surah Al Ma’idah (5) : ayat 5

Makanan ahli kitab yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah sembelihan ahli kitab. Ini adalah suatu yang telah disepakati oleh para ulama bahawa sembelihan mereka halal bagi umat Islam. Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 3 halaman 40

Secara umumnya, apa jua makanan berupa hasil sembelihan ahli kitab, ia adalah halal bagi umat Islam melainkan padanya jelas tanpa terselindung adalah makanan yang diharamkan bagi umat Islam untuk memakannya, atau mengandungi unsur-unsur terlarang seperti bercampur dengan khamr (arak), babi, atau padanya disebut nama selain nama Allah ketika menyembelih. Adapun apa yang tidak diketahui di sebalik itu, maka cukuplah maklumat secara umum dan tidak dibebankan ke atas kita untuk menyemak atau mempersoalkannya secara mendalam terlebih dahulu sebelum memakannya.

Demikian juga dengan hasil sembelihan yang datang dari umat Islam, maka kita menerimanya tanpa terlebih dahulu mempertikai, mempersoal, atau menyemaknya secara terperinci. Melainkan padanya secara jelas memiliki unsur-unsur yang haram lagi meragukan.

Ahli Kitab di sini merujuk kepada Yahudi dan Nasara secara umum tanpa membezakan Ahli Kitab di zaman Nabi atau di zaman sekarang, ataupun yang akan datang. Sama ada yang kuat berpegang kepada ajarannya yang asal atau yang telah diubah-suai. Kerana Ahli Kitab di zaman Nabi sendiri memang turut dikenali sebagai termasuk orang-orang yang mengubah-suai Kitab yang diturunkan kepada mereka.

Apabila diberi daging hasil sembelihan, dari mana-mana kalangan umat Islam atau Ahli Kitab, maka makanlah tanpa ragu-ragu dan mulakannya dengan membaca basmallah.

Ini adalah sebagaimana keterangan yang dapat diambil dari hadis ‘Aisyah rha. ketika bertanya perkara berkaitan. ‘Aisyah bertanya :

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ هَا هُنَا أَقْوَامًا حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِشِرْكٍ يَأْتُونَا بِلُحْمَانٍ لَا نَدْرِي يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا أَمْ لَا قَالَ اذْكُرُوا أَنْتُمْ اسْمَ اللَّهِ وَكُلُوا

“Wahai Rasulullah, di sini ada beberapa kaum yang baru saja meninggalkan kesyirikan (baru masuk Islam), mereka biasa membawakan daging untuk kami yang kami tidak tahu sama ada mereka menyembelihnya dengan menyebut nama Allah atau pun tidak?” Nabi menjawab, “Kamu sebutlah nama Allah, dan makanlah”.
Hadis sahih riwayat imam Al Bukhari rh., Bab 22 halaman 400, no. 6849

Dalam sebuah riwayat menyebutkan ketika Rasulullah Saw. bersama-sama para sahabatnya dihadiahkan seekor kambing bakar oleh seorang wanita Yahudi, Baginda pun memakannya tanpa was-was atau memperincikannya terlebih dahulu kedudukan daging tersebut walaupun pada daging tersebut rupa-rupanya mengandungi racun.
Rujuk Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 3 halaman 40

Riwayat atau kisah ini menjadi dalil bahawa tidak disunnahkan untuk terlalu memperincikan pemberian ahli kitab yang berupa hasil sembelihannya sebelum memakannya.

[Kesebelas] Haram Menyembelih Untuk Selain Allah

Sesungguhnya Allah Swt. telah berfirman :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

“Diharamkan bagi kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati terjatuh, yang mati ditanduk, dan yang mati diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya. Dan (diharamkan bagi kamu) haiwan yang disembelih untuk berhala………”.
Surah Al Ma’idah (5) : sebahagian ayat 3

Haiwan yang disembelih yang padanya disebut dengan nama selain nama Allah, atau bagi tujuan pemujaan dan penyembahan, maka hukumnya adalah haram dimakan secara ijma’.

[Kedua Belas] Penyembelihan Janin Dalam Perut Induk

Apabila seekor haiwan yang disembelih dan dalam kandungannya terdapat janin yang mati, maka janin tersebut halal dimakan berdasarkan pendapat ulama yang paling sahih. Kerana ia secara hakikinya telah tersembelih bersama-sama dengan penyembelihan ibunya. Ini adalah pendapat jumhur kecuali Abu Hanifah.

Adapun bagi janin yang keluar dalam keadaan hidup dengan hayat mustaqirah, maka tidak halal dimakan melainkan dengan disembelih terlebih dahulu.
Abu Malik Kamal, Shahih Fiqhus Sunnah, 2/365-366 – Maktabah at-Taufiqiyah

Pendapat ini didokong oleh hadis dari Abu Sa’id Al Khudri rhu, beliau berkata :

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْجَنِينِ فَقَالَ كُلُوهُ إِنْ شِئْتُمْ وَقَالَ مُسَدَّدٌ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَنْحَرُ النَّاقَةَ وَنَذْبَحُ الْبَقَرَةَ وَالشَّاةَ فَنَجِدُ فِي بَطْنِهَا الْجَنِينَ أَنُلْقِيهِ أَمْ نَأْكُلُهُ قَالَ كُلُوهُ إِنْ شِئْتُمْ فَإِنَّ ذَكَاتَهُ ذَكَاةُ أُمِّهِ

“Aku bertanya kepada Rasulullah Saw. tentang janin. Maka Baginda bersabda, “Makanlah jika kamu suka.” Musaddad berkata, kami katakan, “Wahai Rasulullah, kami menyembelih unta, lembu, dan kambing, kemudian kami dapati janin di dalam perutnya. Adakah kami perlu membuangnya atau kami boleh memakannya?” Baginda berkata, “Makanlah jika kamu mahu, kerana penyembelihannya adalah dengan menyembelih ibunya”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh., Jilid 8 halaman 3, no. 2444. Dinilai sahih oleh Syaikh Al Albani rh.

[Ketiga Belas] Ringkasan Syarat-syarat Umum Penyembelihan

1. Haiwan yang disembelih hendaklah masih hidup ketika sembelihan dilaksanakan.
2. Matinya haiwan adalah dengan secara normal (natural) hasil sembelihan.
3. Haiwan tersebut bukan termasuk haiwan buruan di tanah haram.
4. Orang yang menyembelihnya hendaklah berakal (tidak gila atau mabuk) sama ada lelaki ataupun wanita, sama ada baligh atau pun belum, iaitu yang telah tamyiz (tahu membezakan di antara yang baik dengan yang buruk).
5. Menyebut nama Allah ketika menyembelih. Dan dimaafkan sekiranya terlupa.
6. Penyembelih hendaklah dari kalangan Muslim atau Ahli Kitab.
7. Bukan dalam keadaan ihram. Mereka yang menyembelih dalam keadaan sedang berihram, maka hasilnya adalah bangkai. Dan syarat ini adalah bagi sembelihan haiwan buruan. Adapun bagi haiwan yang jinak, tidak mengapa disembelih oleh orang-orang yang berihram.
8. Bukan disembelih untuk tujuan pemujaan, penyembahan, dan yang padanya disebut dan diniyatkan kepada selain dari nama Allah.

Nota Tambahan : Saya ada ditanya oleh beberapa rakan berkenaan sahkah sembelihan yang dibuat oleh wanita. Maklumbalas saya adalah begini :

Sembelihan yang diperbuat wanita muslimah adalah halal di makan oleh sesiapapun. Dalil kepada perkara ini dinyatakan oleh kalam Allah Swt. sendiri di dalam Al Qur’an ul Hamiid yang tidak membezakan antara wanita atau lelaki dalam melakukan penyembelihan.

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk dan yang diterkam oleh binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala………………….”.
Surah Al Maaidah (5) : sebahagian ayat 3

Dalil seterusnya adalah Rasulullah Saw. sendiri memberi perakuan bahawa sembelihan orang perempuan adalah sah dan boleh dimakan menerusi hadis berikut :

Dari Ubaidullah, bahawa Naafi' telah mendengar Ka'ab ibn Malik meriwayatkan dari bapanya bahawa mereka pernah mempunyai kambing dan binatang tersebut dilepaskan merayap di Bukit Sala', di kota Madinah. Salah seorang dari hamba wanita menyedari bahawa seekor kambingnya berada di dalam keadaan tertimpa musibah, lalu dia memecahkan batu dan menyembelihnya. Kata beliau : 'Jangan makan sehingga aku bertanyakan kepada Nabi Saw. atau aku menghantar seseorang untuk bertanya kepada Baginda.' Maka dia bertanya kepada Nabi Saw, atau menghantar seseorang untuk bertanya, dan Baginda memberitahunya : Makanlah”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. no. 5505

Seterusnya berkenaan melafazkan takbir semasa menyembelih. Semua hadis yang menyebut hal ini adalah berkaitan bab semasa menyembelih udhiyah sahaja dan bukan pada sembelihan biasa yang lain. Merujuk kepada persoalan yang ditanya, yang menjadi isu adalah bagaimanakah takbir itu diperbuat. Baik sekali saya nukilkan hadis yang menjelaskan perkara ini, begini :

Dari Anas bin Malik rhu., ia berkata : “Nabi Saw. menyembelih binatang qurban dengan dua ekor kambing kibas yang besar sekali badannya. Aku melihat Baginda meletakkan kedua telapak kakinya pada leher kedua binatang tersebut. Setelah menyebut “Bismillah” dan “bertakbir”, Baginda kemudian menyembelih keduanya dengan tangan Baginda sendiri.
Catatan dari perawi menyebut, lafaz takbir itu أَكْبَر  وَاللهُ  اللهِ  بِسْمَ  (Bismillahi wa Allahu Akbar)
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh., no. 5558

Dari Anas bin Malik rhu., ia berkata : “Rasulullah Saw. pernah menyembelih dua ekor kambing kibas yang putih dan bertanduk bagus. Anas mengatakan : Aku melihat Baginda menyembelih keduanya dengan tangan Baginda sendiri dan aku juga melihat Baginda meletakkan kedua telapak kakinya pada samping leher kedua kibas tersebut. Anas menceritakan bahawa Baginda menyebut “Bismillah” dan “bertakbir”.
Hanya saja perawi menyatakan : dan Baginda mengucapkan itu أَكْبَر  وَاللهُ  اللهِ  بِسْمَ  (Bismillahi wa Allahu Akbar)
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh., no. 5063

Perkataannya “Baginda menyebut nama Allah” merupakan penjelasan tentang keharusan membaca اللهِ بِسْمَ ketika menyembelih haiwan qurban dan setiap sembelihan lainnya. Perkataannya “dan bertakbir” menerangkan tentang disunnahkannya bertakbir bersamaan dengan membaca  اللهِ  بِسْمَ  yaitu dengan mengucapkan  أَكْبَر  وَاللهُ  اللهِ  بِسْمَ . (Bismillahi wa Allahu Akbar)
Penjelasan oleh Imam Nawawi rh., Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 9 halaman 524

Maka itu, yang dimaksudkan dengan “menyebut Bismillah (dengan nama Allah) dan bertakbir” itu adalah mengucapkan أَكْبَر  وَاللهُ  اللهِ  بِسْمَ  semasa hendak menyembelih. Ia diperbuat / diucapkan oleh orang yang menyembelih qurban itu sahaja, bukannya oleh orang lain dan bukan juga lafaz takbir itu seperti mana lafaz takbir raya yang penuh dan dibuat secara beramai-ramai seperti amalan orang banyak.

Ada pun perkara melaungkan azan sepertimana azan masuknya waqtu solat sebelum membuat sembelihan, tidak pernah saya temui keterangannya di dalam mana-mana hadis pun sepanjang pengetahuan saya. Oleh itu, tidak boleh ia diperbuat kecuali didatangkan dalil yang sahih dan qati’e yang membenarkannya. Mungkin juga ada ilmuwan lain yang lebih arif dan faqih, yang boleh memberikan keterangan yang benar sahih tentang amalan ini berbanding saya yang serba dhaif ini.

Setakat ini dahulu yang dapat saya nukilkan. Mudah-mudahan ia telah membantu saudara dan rakan-rakan semua. Segala kekurangan saya pohon ribuan maaf.

والله اعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...