Selasa, 24 Disember 2013

Walimatul Urus Dengan IKhlas

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh ia menang dengan kemenangan yang besar.”
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 70-71

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di Neraka. Amma ba’du.
 
Sekarang kita berada di Bulan Disember, yang dalam amalan kebiasaan masyarakat, ketika ini adalah musim cuti panjang dan musim pasangan melangsungkan pernikahan (walimah). Seingatnya, sejak dahulu lagi, masyarakat kita memberi tumpuan kepada musim cuti persekolahan atau pun hujung-hujung minggu untuk menjalankan walimah. Boleh difahami ini disebabkan oleh suasana cuti ini memudahkan banyak hal pengurusan majlis dibuat dan ramai sahabat handai serta kaum keluarga mempunyai lebih ruang kesempatan untuk turut terlibat sama membantu dan mera’ikan.
 
Mengadakan majlis walimah amat dituntut dan merupakan anjuran (sunnat muakkadah) dan sunnah Rasulullah Saw. kerana dengan adanya majlis walimah ini, sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah Swt. yang telah menemukan dan mencantumkan hati dua insan dengan cara syara’. Juga sebagai pengisytiharan rasmi kepada masyarakat bahawa pasangan ini telah diikat secara sah sebagai suami isteri supaya dapat mengelak prasangka, fitnah dan salah faham. Juga sebagai satu manifestasi kesyukuran kerana diberikan rahmat-Nya yaitu bertambahnya seorang ahli keluarga (menantu), bercantumnya 2 keluarga (berbesan) yang dengannya akan bertambah lagi ummat Muslimin (anak-anak baru zahir), dan menerusi walimah ini menjadi wadah mempereratkan silaturrahim, berkenal-kenalan dan mu’ammalah dalam keluarga seterusnya sesama Muslimin.
 
“Dari Buraidah bin Al Hashib Rhu. dia berkata bahawasanya : tatkala ‘Ali meminang Fatimah Rha., Rasulullah Saw. bersabda : Sesungguhnya merupakan keharusan bagi pengantin untuk menyelenggarakan walimah.”
Hadis sahih riwayat imam Ahmad Rhm. jilid 18 no. 175, juga dalam Sahiih al-Jaami’ is Saghiir no. 2419
 
“Dari Anas bin Malik Rhu. dia berkata : Bahawasanya Nabi Saw. menikahi Safiyyah dan kemerdekaannya sebagai mas kahwinnya, kemudian Baginda menyelenggarakan walimah selama tiga hari.”
Sanadnya sahih : [Kitab Adaab uz Zifaz, hal. 74], Dikeluarkan oleh Abu Ya’la dengan sanad seperti yang terdapat dalam Fat-hul Bari (IX/199), dan riwayat tersebut juga terdapat dalam Sahih al-Bukhari dengan maknanya, no. 1559.
 
Walimah ini dituntut diperbuat mengikut kadar kemampuan dan keupayaan supaya tidak membebankan mana-mana pihak. Jika kurang berkemampuan, adakanlah majlis sederhana dan hanya perlu mengundang saudara mara terdekat, jiran tetangga dan sahabat handai yang rapat sahaja. Tidak perlu berhutang dan bergolok bergadai semata-mata untuk mengadakan majlis gilang gemilang sekiranya tidak mampu. Perbuatan membebankan diri dan merosakkan seperti ini dilarang dan ditegah oleh syara’.
 
Majlis yang dipenuhi dengan amalan khurafat, ma’siyat, membazir dan diperbuat untuk menunjuk-nunjuk dan riya’ tidak pernah diterima di dalam Islam. Lantaran kebenaran untuk membuat apa jua dalam Islam ini bukanlah hak mutlak mengikut kehendak hati, tetapi dalam ke adaan apa pun, tetap ia tertakluk kepada syari’at dan tidak sesekali boleh terkeluar darinya. Tidak salah juga adanya unsur adat dan budaya selagi mana ia tidak terkeluar dari batasan syari’at. Situasi ini jelas dalam banyak catatan-catatan amalan para salafus solih terdahulu. Dan di dalam satu hadis Nabi Saw. memperjelaskan ;
 
“Dari Anas bin Malik Rhu. dia menceritakan : Bahawa Nabi Saw. melihat warna bekas wangian pengantin di tubuh Abdurrahman bin Auf Rhu., lalu Baginda bertanya : Apakah ini? Abdurrahman menjawab : Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru saja menikahi seorang wanita dengan mahar seharga lima dirham emas. Rasulullah Saw. lalu bersabda : Semoga Allah memberkahimu dan rayakanlah walau pun hanya dengan seekor kambing.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2556
 
Majlis walimah ini menyerlahkan betapa telitinya syari’at Islam dalam menjaga keharmonian serta kesejahteraan ummatnya dan menjamin kehormatan maruah seseorang individu dan sesebuah keluarga. Salah satu acara utama dalam majlis walimah adalah memberi makan kepada  para tetamu. Sebaik-baiknya amalan menjamu ini adalah dengan memberi makan golongan miskin dan memerlukan lantaran Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan muslimin yang fakir miskin. Hal ini diperingatkan oleh Nabi Saw. :
 
“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda :
Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah di mana yang diundang hanyalah orang-orang kaya saja sementara orang-orang yang miskin tidak diundang……..”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2585
 
Dan insyaAllah, sebaik-baik orang yang dijemput dan dijamu itu adalah dari kalangan orang-orang yang solih, baik yang miskin mahu pun kaya, dari apa jua bangsa juga keturunan kerana Nabi Saw. telah berpesan :
 
“Dari Abu Sa’id Al Khudri Rhu. dia berkata bahawa ada mendengar Nabi Saw. bersabda :
Janganlah kamu bergaul melainkan dengan orang-orang mukmin dan jangan makan makananmu melainkan orang-orang yang taqwa".
Hadis sahih riwayat imam Hakim Rhm. jilid 4 no. 128, imam Ahmad Rhm. jilid 3 no. 38, imam Abu Daud Rhm dan imam Tarmidzi Rhm.
 
Ingatlah selalu, sematkan kuat-kuat dalam hati sanubari, sesungguhnya VVIP dari kalangan ummat Muslimin ini ialah orang yang bertaqwa, orang alim, orang wara’ dan anak-anak yatim serta faqir miskin, Muslimin yang berada di dalam kesusahan dan para mustadh’afin (golongan tertindas). Mereka inilah VVIP dan orang besar sebenar yang perlu diberi perhatian kerana rizqi dan ma’unah (pertolongan) Allah Swt. kepada kita sebenarnya tergantung kepada mereka.
 
Maka, laksanakanlah, permudahkanlah dan ra’ikanlah majlis walimah dengan sebenar-benarnya sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah Swt. Dan janganlah sesekali tergelincir dari landasan maqasid itu. Pesanan disebutkan ini kerana disedari ada kes yang tak berapa kena dalam cara orang kita membuat walimah. Pernah terjadi di tempat terhampir dengan saya sendiri, ada yang membuat kenduri walhal sebelah menyebelah rumah tidak dijemput. Pernah juga saya sedari ada seseorang yang hanya menjemput kawan rakan berpilih-pilih, yang jauh diutamakan, dalam satu taman pun jemputan berselang rumah. Maka kita yang hadir ini pula bergundah gulana, serba salah dan bermacam rasa semua ada dengan rakan-rakan dan jiran-jiran tidak berjemput.
 
Maka jadilah kenduri itu kategori berpilih-pilih, hanya yang lebih status social dan ekonominya yang dijemput. Yang sedikit kekurangan atau pun kurang glamer dilupakan dan diabaikan saja kalau pun sahabat handai dan jiran-jiran.  Bukan satu kali saya alami hal begini, pernah juga saya menjadi orang yang tidak dijemput. Akhirnya terdengarlah jua cerita (masakan mulut tempayan boleh ditutup oleh piring) : nak tunjuk kat orang mempunyai sahabat yang status besar-besar dan pastinya nanti dapat habuan yang besar juga. Suka atau tidak, semestinya disebutkan : perbuatan dan sikap ini salah dan melanggar ketentuan syari’at dengan dalil yang telah dinyatakan di atas. Sepatutnya, ketentuan hukum ini tak perlu lagi disebut dan diperingatkan pun, justeru kita telah menganut Islam berpuluh keturunan.
 
Kerana itu jugalah tidak menghairankan ada sebahagian kita berlawan-lawan buat kenduri. Seolah ada pertandingan pula siapa yang lebih hebat. Seterusnya rasa besar dan hebat itu dijaja pula, dan yang paling gah dijaja itu adalah berapa jumlah kutipan tolnya. Subhanallah, kenapalah jadi jadi begini. Apa mungkin walimah ini hanya untuk orang berada sahaja, orang besar sahaja dan orang kekurangan dipincingkan mata. Sanggup pula bergolok bergadai dengan harapan nanti akan mendapat habuan besar dan mendapat untung. Adakah dirasakan sekiranya dijemput orang kebanyakan ini akan menyebabkan kerugian, hilang kemegahan dan tidak mendatangkan faedah. Baik sekali disampaikan sedikit pesanan firman Allah Swt. untuk manfaat semua :
 
“Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.”
Surah Al Mudatstsir (74) : ayat 6
 
Ibnu Abbas mengatakan : janganlah kamu memberikan suatu pemberian dengan maqsud agar memperoleh balasan yang lebih banyak darinya. Hal yang sama dikatakan oleh Ikrimah, Mujahid, Atha’, Thawus, Abul Ahwash, Ibrahim An Nakha’i, Adh Dhahhak, Qadatah, dan As Saddi serta lainnya. Mujahid mengatakan bahawa orang Arab mengatakan tamannana, artinya merasa lemah diri. Ibnu Zaid mengatakan, janganlah kamu merasa berjasa dengan kenabianmu terhadap manusia dengan maqsud ingin memperbanyak dari mereka imbalan jasa berupa dunia. Wallahu a’lam.
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir Rhm. Tafsiirul Qur’an ul Adziim, jilid 10 halaman 142
 
Setelah sebegitu lama walimah berlaku dalam seluruh hidup kita termasuk diri kita sendiri, sama ada sebagai pasangan yang diraikan mahu pun selaku tuan rumahnya atau sekurang-kurangnya dalam ahli keluarga kita yang kita terlibat secara langsung, yaqinkan lah hati nurani dan kuatkanlah semangat bahawa semua walimah yang telah berlaku itu sebaik mungkin kita telah lakukan selaras dengan kehendak Allah Swt. dan rasul-Nya.  Sekiranya ada serba sedikit kekurangan, mari bersama kita bina azam, sekiranya ada ruang kesempatan lagi akan kita perbetulkan segala kekhilafan itu, insyaAllah.
 
Pada musim begini, sungguh banyak menerima kad undangan tidak kira dari jauh dekat, dari kaum keluarga, sahabat handai dari mana jua. Malah yang datangnya dari orang yang tidak kita kenal pun ada. Jumlahnya mencecah berpuluh-puluh dan ada saja majlis pada setiap hujung minggu terkadang bertindih-tindih hari dan waqtunya Disekeliling rumah tangga sendiri pun banyak. Justeru kita ini hanyalah manusia yang pastinya serba kekurangan dan kedhaifan, pasti sekali kita tidak akan mampu memenuhi semuanya, sedangkan Nabi Saw. telah pun memberikan perintahnya dengan jelas :
 
“Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu., dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Apabila seorang di antara kamu diundang untuk menghadiri pesta perkahwinan, maka hendaklah ia menghadirinya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2574

“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. ada bersabda : Ada enam kewajiban bagi seorang Muslim terhadap saudaranya yang Muslim ; (1) Apabila engkau bertemu, berilah salam padanya, (2) Apabila engkau diundang, penuhilah undangannya, (3) Apabila engkau dimintai nasihat, berilah nasihat padanya, (4) Apabila dia bersin lalu mengucapkan ’alhamdulillah’, doakanlah dia (dengan mengucapkan ’yarhamukallah’, pen), (5) Apabila dia sakit, jenguklah dia, dan (6) Apabila dia meninggal dunia, iringilah janazahnya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2162
 
Dan Nabi Saw. telah berpesan juga : Sesungguhnya orang yang ingkar memenuhi jemputan ini berarti dia telah berbuat durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya.
 
“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. ada bersabda : Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah di mana yang diundang hanyalah orang-orang kaya saja sementara orang-orang yang miskin tidak diundang. Dan barang siapa yang tidak memenuhi undangan, maka berarti ia telah berbuat durhaka (ma’siyat) kepada Allah dan Rasul-Nya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2585 dan imam Bukhari Rhm. no 5177 dari jalur Ibnu Umar Rhu.
 
Di antara hak yang mesti ditunaikan seorang Muslim pada Muslim yang lain, ternyata dari hadis ini adalah memenuhi undangan. Hukumnya wajib memenuhi undangan seorang muslim adalah disyari’atkan, tanpa adanya perselisihan di antara para ulama. Pandangan kesepakatan tentang kewajiban ini disebut oleh para ulamak antaranya Ibnu ‘Abdil Barr, Imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Imam Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan lain-lain. Hukum kewajiban ini dikuatkan lagi sehinggakan mereka yang sedang berpuasa juga diwajibkan memenuhi undangan majlis walimah walau pun dalam keadaan berpuasa, dan yang berpuasa sunnat boleh berbuka bagi menghormati dan menghargai undangan itu.
 
Berat sungguh nampaknya kepada kita yang serba ada keuzuran dalam berbagai segi  untuk memenuhi kewajiban ini. Mungkin saja kita terikat dengan masa kerja, ada keperluan keluarga, halangan jarak, mungkin juga tahap kesihatan mungkin juga pertembungan jadual kenduri yang banyak telah menghalang kita dari menghadiri. InsyaAllah, fatwa di bawah serba sedikit boleh membantu pemahaman, memperjelaskan keributan dan menjawab segala kesangsian.
 
Hukum memenuhi jemputan ke majlis atau jamuan adalah wajib sekiranya tiada perkara-perkara ma’siyat di dalamnya dan tiada keuzuran syar'ie kerana ia adalah satu daripada hak-hak Muslim. Walau bagaimana pun, kewajiban memenuhi undangan tersebut juga bergantung kepada syarat-syarat yang tertentu. Antaranya :
 
Orang yang mengundang adalah seorang Muslim, yang tidak terang-terangan dalam berbuat ma’siyat
Orang yang dijemput tidak mempunyai keuzuran syar’ie yang akan menghalangnya dari menghadiri undangan tersebut
Tidak terdapat perkara mungkar dan ma’siyat yang tidak mampu dihilangkan dalam acara yang akan dilangsungkan seperti disediakan minuman arak, mengadakan majlis tari-menari, alunan dari alat-alat atau bunyi-bunyian yang haram dan sebagainya. Jika didapati majlis tersebut mengadakan acara yang mungkar maka gugurlah kewajiban untuk menghadiri majlis tersebut.
 
Akan tetapi, majority ulama’ berpendapat bahawa undangan yang wajib dipenuhi hanya undangan walimah (resepsi pernikahan). Sedangkan undangan selain walimah hanya dianjurkan (tidak wajib) untuk dipenuhi. Undangan tersebut juga wajib dipenuhi jika undangan tersebut adalah undangan pertama, dan pada hari pertama (jika walimahnya lebih dari sehari, yang wajib dipenuhi hanya hari pertama saja).
Syaikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin Rhm. Kitab Syarah Riyadhus Solihin dan Kitab Al Qoulul Mufid ’ala Kitabit Tauhid
Syaikh Abdurrahman Ali Bassam Hfzh. Kitab Taudhihul Ahkam Syarah Bulughul Maram
 
Fatwa ini berasas dari amalan para sahabat, apabila pihak yang diundang memiliki alasan yang kuat atau kerana perjalanan jauh sehingga menyulitkan atau sibuk yang menghalangi (uzur syar’ie), maka boleh baginya untuk tidak menghadiri undangan tersebut.
 
Berdasarkan atsar diriwayat dari ‘Atha’ bahawa Abdullah Ibnu ‘Abbas Rhu. pernah diundang acara walimah, sementara dia sendiri sedang sibuk membereskan urusan pengairan. Dia berkata kepada orang-orang : “Datangilah undangan saudara kalian, sampaikanlah salamku kepadanya dan khabarkanlah bahawa aku sedang sibuk”
Diriwayatkan oleh imam ‘Abdurrazzaq dalam Al Musannaf (no. 19664). Al-Hafiz Ibnu Hajar Al Asqolany Rhm. berkata : “sanadnya sahih.” (Kitab Fat-hul Baari, Jilid IX halaman 247).
 
Nabi Saw. sendiri ada menganjurkan qaidah penyelesaian yang selamat kepada kita ummatnya ya’ni sekiranya terdapat dua (atau lebih) undangan dalam satu waqtu yang bersamaan, yang tidak mungkin dapat untuk dikompromikan (dipenuhi semuanya melainkan ada yang tercicir), maka hendaklah didahulukan mereka yang terdekat rumahnya atau mereka yang terlebih dahulu menyampaikan undangannya.
 
“Dari Humaid bin 'Abdur Rahman Al Himyari, dari seorang laki-laki sahabat Rasulullah Saw. dari Nabi Saw. Baginda bersabda : Apabila ada dua undangan yang bersamaan, maka penuhilah yang lebih dekat pintunya di antara keduanya itu, sebab yang lebih dekat pintunya itulah tetangga yang paling dekat. Lalu apabila salah satu diantara dua undangan itu datang lebih dahulu, maka penuhilah undangan yang datang lebih dahulu itu".
Hadis riwayat imam Ahmad Rhm, jilid 5 no. 408 dan imam Abu Daud Rhm. Hadis ini dinyatakan dhaif oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin al Albaani Rhm. tetapi dihasankan oleh Syaikh Syu’aib al Arnauth Rhm. Adalah boleh digunapakai kerana matannya hampir sama maqsud dengan hadis sahih dari Ummul Mukminin Aisyah Rha. (riwayat imam Bukhari Rhm, jilid 6 no. 477)
 
Telah menjadi kebiasaan juga, kita menyumbangkan sesuatu hadiah kepada pengantin atau pun kepada tuan rumah. Ini adalah cara menzahirkan kesyukuran, kegembiraan  dan berkongsi  mera’ikan walimah. Pemberian itu pula sesungguhnya banyak memberi manfaat dan mewujudkan kegembiraan. Dicadangkan : apabila hendak membeli hadiah, pilihlah hadiah yang bermanfaat lagi tersendiri yang boleh membawa faedah berpanjangan. Hadiah-hadiah seperti seperti al-Qur’an, tafsir al-Qur’an, kitab-kitab hadis dan buku-buku agama yang ilmiah dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pengantin untuk jangka masa yang lama. Selagi mana ia dipelajari dan dipraktikkan, pahalanya akan terus mengalir kepada mereka dan kepada orang yang menghadiahkannya.
 
Demi kemudahan, banyak orang yang menyumbangkan wang tunai sahaja kepada pengantin atau tuan rumah, yang sebenarnya adalah sebagai ganti kepada hadiah mata benda. Ramai yang tidak faham asas amalan ini lalu menanggapinya sebagai adat sahaja. Dalam Islam, perbuatan memberi hadiah atau sumbangan di majlis walimah adalah sunnah yang dituntut dan dicontohkan oleh Rasulullah Saw.
 
Dari Abu Hurairah Rhu. dia mengatakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda : “Salinglah kalian memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai.”
Hadis hasan riwayat imam Bukhari Rhm. Kitab Al Adabul Mufrad, no: 594. Turut diriwayatkan oleh imam Baihaqi, imam Abu Ya’la, imam Ibnu Abdil Barr dan imam Al Qadha’ie Rhm.
 
“Dari Anas bin Malim Rhu. dia mengkisahkan : Setelah Nabi Saw. menikahi Safiyyah, pada pagi harinya Nabi pun bersabda : Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”. Baginda pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak).”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. no. 2048
 
Berdasarkan hadis ini, Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani Rhm. menyatakan :
“Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (berkemampuan) dianjurkan untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya.”
Kitab Adaab uz Zifaz, halaman 139
 
Memberi hadiah atau sumbangan ini adalah suatu kemuliaan yang dilakukan dengan penuh ikhlas, penuh keyaqinan dan mengharap redho tanpa dimaksudkan ada tujuan lain yang diinginkan. Dikhuatiri amalan memberi sumbangan saat ini terkadang disalah tanggapi, bahkan disalah artikan hanya sebagai sarana untuk mendapatkan sesuatu tanpa melihat kembali ma’na dan maqasidnya. Sesungguhnya memberi ini adalah dituntut bukan diwajibkan, ia berdasarkan kemampuan, rela hati dan tidak dipaksakan pun terhadap sesiapa yang tidak mampu. Prinsip asas ini telah dijelaskan oleh Allah Swt. lewat kalam-Nya :
 
“Hendaklah orang yang mampu (ada lebihan rizqi) memberi nafqah mengikut kemampuannya. Dan orang yang terbatas rizqinya memberi nafqah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sesuai) dengan apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan setelah kesempitan.”
Surah Ath Thalaq (65) : ayat 7
 
Dibangkitkan hal ini kerana telah ada yang menolak jemputan kerana serba hidup kedhaifan untuk menyumbang apa-apa, justeru rasa segan dan rendah diri. Merasakan kurang layak untuk berada di majlis-majlis. Ada juga yang tidak mahu kalah bertangan kosong sahaja, tetapi sampul hulurannya kosong pula. Tidak kurang pula yang berkeluh kesah untuk penuhi jemputan yang mana, menjadikan akhirnya berpilih-pilih atau sebahagian ditinggalkan terus. Perlakuan sebegini bukanlah bentuk uzur syar’ie yang dibenarkan.
 
Terkadang situasi ini melahirkan pertimbangan pelik : tidak kurang yang sanggup berbelanja dan berhias indah-indah dek kerana mahu hadiri tunjuk muka di kenduri orang besar dan berada (dirasakan sangat perlu untuk pergi), namun apabila ke rumah orang kebanyakan, cukuplah sekadar ada-ada saja (tidak pergi pun tidak terasa apa-apa). Lantaran pertimbangan pelik ini juga terjadilah : yang gemuk diberi isi, yang kurus diberi tulang kalau pun dia sepatutnya pihak yang lebih disumbangi. Pada tahap ini, justifikasi ke atas segala macam pemberian itu, memang betul-betul pelik, maka itu tentu sekali maqasid sebenar perlakuan sebegini dipersoalkan.
 
Kepada yang melangsungkan majlis walimah, berpada-padalah dan ikutlah kemampuan, terimalah apa jua sumbangan dan hadiah seadanya. Sebarkanlah berita pernikahan, undanglah khalayak sepatutnya dan jamulah jemputan sebaiknya. Manakala para jemputan, sumbanglah apa yang termampu disamping penuhi kewajiban undangan. Haqiqatnya, kehadiran sahaja pun sudah cukup memberikan kegembiraan. InsyaAllah, semua ini menjadikan majlis walimah itu menepati tanda kesyukuran kita kepada Allah Swt. Maka itu berkendurilah, memberi dan menerima dengan penuh ikhlas ya’ni hanya kerana ketundukpatuhan kepada Allah Swt. semata-mata bukan kerana selainNya.
 
Aakhirul kalaam, kepada para pengantin yang diberkahi, saya ucapkan :
 
 “Semoga Allah memberi barokah kepadamu (ketika dirimu bahagia dan harmoni), dan semoga Allah (tetap) memberi barokah ke atasmu (ketika keadaanmu bergolak), dan semoga Allah (senantiasa) mengumpulkan kamu berdua dalam kebaikan.”
Hadis riwayat imam Tarmidzi Rhm. jilid 1 no. 316. disahihkan oleh imam Hakim Rhm. dan disepakati oleh imam Dzahabi Rhm. Juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Baihaqi Rhm. (Syaikh Ahmad bin Muhammad Syakir Rhm. mengatakan sanadnya kuat, perawinya dikalangan perawi as-sahihah), dari Abu Hurairah Rhu.
 
والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
 
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
 سكيان , والسلام
 
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Jangan Herdik/Menghina Orang Yang Besedekah.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Aku bersaksi bahawasa sesungguhnya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah (kamu) kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.”
Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 102
 
Sebelum kuliyah mingguan, sementara menunggu seorang demi seorang jamaah hadir sempat juga saya berbual dengan beberapa yang hadir dulu. Seperti biasa, setelah sedikit bersapa khabar kesempatan itu digunakan untuk bersoal jawab beberapa perkara. Malah sering juga masa-masa sebegitu dibincangkan hal-hal yang agak sulit melibatkan peribadi dan keluarga. Dari beberapa hal itu, saya berasa perlu untuk menulis 3 hal yang melibatkan banyak orang. Moga-moga dengan tertulis jawaban dari hasil perbincangan itu, akan memberi lebih pencerahan kepada rakan-rakan jamaah dan para pembaca. insyaAllah dan, catatan ini saya nukilkan seringkas mungkin.
 
Hal 1 : Ada seorang ustaz yang agak terkenal atau pun dia rasa dia terkenal dan hebat di Pulau ini, semasa tazkirah sebelum Solat Juma’at dok mengata orang yang bersedekah. Bahasa, kelakuan dan ayat-ayat yang dia guna sangat kasar, boleh sampai menghina sedekah yang sikit-sikit. Disebutnya mereka ini kedekut, berkira, tak berguna dan beberapa kata kesat lagi. Diulang-ulang yang duit biru, hijau dan merah tu kedekut sampai menjuih mulut. Angkuh sungguh. Apa dia tahu ka susah payah orang! Apa dia tok nujum senang-senang boleh tahu keikhlasan orang? Apa sedekah sikit nih tak maqbul dan berdosa. Lebih teruk lagi dok suruh orang sedekah ke pusat dia sendiri. Ramai yang merungut dan sebut, lagi sekali kalau ustaz ni la yang jadi imam, nak pi masjid lain.
 
Hal 2 : Patutkah dia buat perangai macam ni, layak kah perangai macam ni jadi ustaz? Kalau ustaz-ustaz pun yang alim-alim belaka pun perangai macam ni, berjuta-juta orang lagi pun layak jadi ustaz, apa yang susahnya.
 
Hal 3 : Adakah patut, letak balang jernih telus tengah-tengah laman, orang kaya tak kisahlah nak bubuh berapa pun dah tentu banyak, nih kita yang susah ni, serba macam malu segan dok ada, ribuan mata dok tengok, jeling-jeling dok intai kita bubuh apa
 
Saya tulis semula ayat-ayat yang dikeluarkan, dan rasanya orang-orang itu sedang marah dan sangat kesal dengan apa yang berlaku.
 
Susah benar nak komen hal melibatkan perangai orang. Cuma kurang seronok apabila cerita ini melibatkan seorang dipanggil ustaz. Jika benarlah apa yang dicakap cerita ini, memanglah tidak sepatutnya berkata-kata dan bersikap begitu. Dan tidak boleh ditolak jua bahawa dalam setandan pisang, ada sebuah pisang yang busuk, dan janganlah kerananya timbul pula kesimpulan mudah : ustaz-ustaz tak berguna. Sama juga, hakim adalah orang yang mensabitkan kesalahan dan menghukum pesalah, sebaliknya ada juga hakim yang ditangkap dan bersalah kerana makan rasuah, malah hakim syari’i lagi. Demikianlah perangai dia itu sendiri, salah dihukumkan semua orang sama macam dia. Jika benar mereka lakukan perbuatan itu, memang mereka tidak layak menjadi ustaz.
 
Justeru itu, persoalan tentang perangai seseorang itu, baiklah dijawab, ditahqiq, dita’liq dan dihakimi oleh orang lain. Apa yang saya mampu buat, hanyalah memberikan beberapa keterangan dan pedoman tentang maudhu’ cerita bukan perihal orangnya, supaya boleh memberikan kefahaman kepada sang penanya dan pemberi komen, lain dari itu hanya Yang Ma’bud Allah Swt. dan rasul-Nya yang tahu.
 
Sesungguhnya memberi sadaqah ini dituntut lantaran ia ibadah yang memberi banyak kebaikan kepada kedua-dua pemberi mahu pun penerima.
 
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersadaqah dan orang-orang perempuan yang bersadaqah, dan mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”
Surah Al Hadiid (57) : ayat 18
 
Sadaqah adalah perbuatan tathawwu’ (sukarela untuk membuatnya), hukumya sunnat yang digalakkan (muakkad). Ia bukan sepertimana zakat wajib yang telah ditentukan masa, jenis barang dan jumlahnya. Ia benar-benar berasaskan kemahuan, kesediaan dan kerelaan seseorang untuk mengeluarkan sedikit hakmilik yang dia ada untuk diberikan kepada seseorang lain yang memerlukan. Apa yang diberikan itu pula adalah mengikut kemampuan dan kesanggupan penuh ikhlas untuk memberi, tanpa ada sedikit pun paksaan atau dengan ketetapan syarat begitu begini.
 
“Hendaklah orang yang mampu (ada lebihan rizqi) memberi nafqah mengikut kemampuannya. Dan orang yang terbatas rizqinya memberi nafqah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sesuai) dengan apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan setelah kesempitan.”
Surah Ath Thalaq (65) : ayat 7
 
Baik juga diterangkan terminology supaya sama-sama difahami :
Berkemampuan : bermaqsud mempunyai lebihan dari keperluan diri sendiri, juga bermaqsud lebihan yang ada setelah dikeluarkan zakat yang wajib
Kerelaan : bermaqsud kesediaan mengeluarkan sesuatu secara suci hati. Ini menjelaskan bahawa jumlah atau rupabenda tidak pernah menjadi ukurannya. Malah boleh terjadi ia dikeluarkan oleh seorang yang juga tidak mampu kepada satu otang lain yang lebih tidak mampu darinya.
 
Maka semestinya kita yaqini benar-benar, bahawa setiap orang yang telah pun memberikan sadaqahnya, walau dalam apa pun jumlah dan rupabentuk, dia telah memberikan yang terbaik dari apa yang dia mampu dan penuh ikhlas. Adalah benar, susah senang tiada siapa yang tahu dan tidak sama sekali boleh ditunjukkan menerusi tampak fisikal. Ramai yang suka bergaya, terlihat hebat begitu begini, tapi hutang keliling pinggang malah terkadang susu anak pun sukar dibeli. Tentu sekali, siapa lah yang tahu.
 
Perintah memberi sadaqah ini terjatuh kepada semua orang yang berkemampuan  mengeluarkannya. Jika tidak mampu pada masa ini, boleh keluarkan di masa lain. Sekiranya benar-benar tidak mampu, maka layaklah dia pula terima sadaqah. Justeru itu, status social dan ekonomi seseorang tak pernah menjadi kayu ukur berapa nilai yang dia sadaqahkan. Jika terjadilah kes bersilang : miskin bagi banyak, kaya bagi sikit, tetap tak salah juga keadaan sebegitu. Cuma yang dituntut sangat-sangat dan amalan sebaik- baiknya adalah memberi juga kalau pun amat sedikit.
 
Dari Adi bin Hatim Rhu. dia berkata : Rasulullah Saw. menyebutkan tentang neraka kemudian Baginda berpaling dan menjauh sehingga kami mengira bahawa Baginda seakan-akan melihatnya, kemudian Baginda bersabda : Berlindunglah kamu semua dari neraka meski pun dengan separuh buah kurma. Barang siapa yang tidak memilikinya, maka dengan ucapan yang baik.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2346
 
Di dalamnya terdapat anjuran untuk bersadaqah, dan tidak boleh berhenti bersadaqah sekiranya yang dikeluarkan sedikit jumlahnya, dan sadaqah yang walau pun sedikit adalah salah satu hal yang dapat menyelamatkan seseorang dari api neraka.
Imam Yahya bin Sharaf An Nawawi, Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 5 halaman 282
 
Atau pun, seseorang tak mahu bagi apa-apa pun, kalau pun dia tahu dia ada lebihan, namun ia tetap tak salah juga dan tak boleh dihamun sesuka hati. Cuma yang pasti dia adalah seorang bakhil (kedekut, kikir), suatu perangai yang membawa kepada kebinasaan. Kena diseru/diberi peringatan kepada mereka ini supaya membaiki perangai tak bagus ini.
 
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 195
 
Dan kena diperingatkan juga kepadanya bahawa Nabi Saw. pernah menyebutkan :
 
Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata  bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Tidak ada suatu pagi yang semua hamba berada padanya, melainkan ada 2 malaikat yang turun. Salah satunya berdo’a : Ya Allah, berikanlah pengganti kepada yang berinfaq. Sedangkan yang lain berdo’a : Ya Allah, berikanlah kerugian kepada yang tidak mahu berinfaq.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2333
 
Terdapat beberapa lagi ayat Allah dan hadis Nabi Saw. yang menceritakan banyak balasan tak baik terhadap orang yang bakhil, tidak saya catatkan disini.
 
Sekiranya ustaz itu menyampaikan kisah, keadaan dan kesan buruk disebabkan oleh perangai bakhil, serta khabar ancaman dari Allah Swt. dan rasul-Nya ke atas mereka itu, maka itu tidak sama sekali menjadi masalah lantaran memberi peringatan dan nasihat memang digalakkan di dalam Islam. Namun begitu, tetap jua tidak boleh dengan kasar bahasa, ucapan atau perlakuan yang tidak baik, kerana seruan ilmu dan sunnah Allah Swt. yang haq ini mesti disampaikan secara hikmah. Sepertimana perintah-Nya :
 
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.”
Surah Aali Imran (3) : ayat 159
 
Hal ini amat penting dalam uslubul da’wah kerana kita berhadapan dengan berbagai macam dan ragam manusia, tahap minda, status social, tahap pendidikan, tahap ekonomi dan berbagai lagi. Malah di alam maya terbentang luas ini, mungkin pendengar di depan kita itu jauh lebih alim dan faqih dari kita sendiri pun (jangan sesekali under estimate). Semua ini mempengaruhi fikrah dan sikap seterusnya mempengaruhi tahap penerimaan mereka. Amat malang sekali, jika segala khabar kebenaran akhirnya diabaikan dan terbiar saja, disebabkan oleh penolakan terhadap perangai tukang penyampainya. Maka ini merupakan suatu fitnah yang amat besar kepada Islam, sama sekali tidak patut berlaku.
 
Tidak boleh berkata kesat dan angkuh kepada orang yang telah memberi sadaqah walau pun kelihatan sedikit berbanding tampak upayanya , baik sekali dirujuki pesanan ini :
 
“Dari Abu Mas’ud Rhu. dia berkata : Kami diperintahkan untuk bersadaqah. Dia berkata lagi : Dahulu kami menjadi kuli pengangkut barang. Lalu Abu ‘Aqil bersadaqah dengan setengah sha’ sahaja. Setelah itu ada seseorang datang membawa sesuatu yang lebih banyak darinya. Maka orang-orang munafiq pun berkata : Sesungguhnya Allah tidak memerlukan sadaqah orang itu (Abu ‘Aqil), dan tidaklah yang dilakukan oleh yang lain itu melainkan kerana riya’. Maka turunlah ayat : Orang-orang (munafiq) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sadaqah-sadaqah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disadaqahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab siksa yang tidak terperi sakitnya.” Surah At Taubah (9) : ayat 79
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2352
 
Imam Muslim Rhm. meletakkan hadis ini dalam Bab (23) : Bersadaqah Dengan Upah Mengangkut Barang Dan Larangan Keras Meremehkan Orang Yang Bersadaqah Dengan Harta Yang Sedikit.
 
Suka atau tidak terimalah haqiqatnya bahawa berdasarkan Kalamullah dan hadis nabi-Nya di atas : yang mempertikaikan, meremehkan dan mengherdik orang bersadaqah ini adalah orang munafiq dan pengekor mereka. Sebagai orang dianggap berilmu, merasakan pula diri berilmu dan digelar hebat itu-ini oleh orang banyak, pelik benar jika ini tidak diketahui.
 
Mustahil juga tidak tahu bahawa Allah Swt. menyuruh supaya menerima pemberian sadaqah dari siapa pun dan apa jumlahnya pun, kerana ia membersihkan dan mensucikan kedua-dua pihak. Malah setelah itu, disuruh pula bersyukur dengan apa yang diterima dan berdo’a kepada mereka yang bersadaqah.
 
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Surah At Taubah (9) : ayat 103
 
Janganlah pula, pengharapan terhadap bantuan orang itu menjadikan kita ke tahap meminta-minta, yang sangat jelas merupakan sifat dan sikap dilarang.
 
Dari Mu’awiyah bin Abu Sufyan Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Janganlah kalian memaksa dalam meminta, Kerana demi Allah, tidaklah seseorang dari kalian yang meminta sesuatu apa pun kepadaku, lalu diqabulkan permintaannya, sedang aku tidak suka kepadanya, sehingga dia diberikan keberkahan pada apa yang aku berikan kepadanya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2387
 
Dan satu lagi, banyak kejadian telah berlaku sekarang ini, disebalik perbuatan menyeru orang bersadaqah itu ini, haqiqatnya ada udang sebalik mee ya’ni diri sendiri mahukan sadaqah yang banyak. Kepada mereka ini malah kepada semua orang, baik sekali disampaikan sedikit pesanan firman Allah Swt. untuk manfaat dan i’tibar :
 
“Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.”
Surah Al Mudatstsir (74) : ayat 6
 
Perbuatan nak membolot harta sadaqah ini amat tidak bagus, jika ini dilakukan oleh orang-orang alim maka fitnah yang terhasil darinya malah jauh lebih besar. Perintah dan anjuran bersadaqah adalah umum : berlandaskan tathawwu’, kepada yang memerlukan dan ia senantiasa selamanya begitu tanpa boleh ditambahi atau dikurangi satu pun dengan ketetapan  baharu waima oleh sesiapa pun . Namun ada sedikit terma pengkhususan, baik sekali dimaklumkan kepada orang yang mahu bersadaqah, paling afdhal adalah mengeluarkan kepada qaum kerabat terhampir yang kurang kemampuan.
 
“Dari Salman bin 'Amir Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : "Sadaqah terhadap orang miskin adalah sadaqah dan terhadap keluarga sendiri mendapat dua pahala: sadaqah dan silaturrahmi".
Hadis riwayat imam Tarrmizi Rhm. dan beliau mensahihkannya.
 
Dari Zainab Ats Tsaqafiyah Rha. isteri Abdullah bin Mas'ud Rhu. ketika dia pergi dan bertanya kepada Nabi Saw. : Apakah boleh dia bersadaqah kepada suaminya dan anak-anak yatim yang ada dalam asuhannya? Maka Nabi Saw. bersabda : Ya, boleh dan dia akan mendapatkan pahala kerana menyambung kekerabatan (silaturrahmi) dan pahala sadaqah". Nota : ini adalah satu hadis panjang yang dicatat ringkas
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. dan imam  Muslim Rhm.
 
Dan tidak boleh juga dengan mudah memperkata, mempertikai dan mempersoal sesuatu yang ghaib dan majhul ya’ni apa maqasid dan nilai keikhlasan yang bersadaqah. Ia tersimpul di dalam hati yang tidak boleh dihakimi melalui banyak atau sikit jumlah sadaqahnya. Haqiqatnya tiada siapa pun yang tahu niyat di dalam hati termasuklah Nabi Saw. melainkan Allah Swt. semata-mata.
 
“Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati.”
Surah Al Mulk (67) : ayat 13
 
Hadis riwayat Usamah bin Zaid Rhu., ia menceritakan : Rasulullah Saw. mengirim kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah di pagi hari. Lalu aku menjumpai seorang kafir (berlakulah pertarungan yang lama, dan Usamah berjaya mengalahkannya, ketika mngangkat pedang) Dia mengucapkan : Laa ilaaha illallah, tetapi aku tetap menikamnya. Ternyata kejadian itu membekas dalam jiwaku, maka aku menuturkannya kepada Nabi Saw. Baginda bertanya : Apakah dia mengucapkan Laa ilaaha illallah dan engkau tetap membunuhnya? Aku menjawab : Wahai Rasulullah, ia mengucapkan itu hanya kerana takut pedang. Baginda bersabda : Apakah engkau sudah membelah dadanya sehingga engkau tahu apakah hatinya berucap demikian atau tidak? Baginda terus mengulangi perkataan itu kepadaku, sehingga aku berkhayal kalau saja aku baru masuk Islam pada hari itu. Saad berkata: Demi Allah, aku tidak membunuh seorang Muslim, sehingga dibunuh Dzul Buthain (perut kecil), Usamah. Seseorang lain berkata : Bukankah Allah telah berfirman “Dan perangilah mereka, agar tidak ada fitnah dan agar agama itu semata-mata untuk Allah”. Saad berkata : Kami telah berperang, agar tidak ada fitnah. Sedangkan engkau dan pengikut-pengikutmu ingin berperang, agar timbul fitnah.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 140
 
Tiada manusia pun berhak meneka-neka isi hati orang, kemudian dengan tekaan (prasangka) itu ia melemparkan bermacam tuduhan buruk pula di khalayak banyak. Ini tuduhan melulu ke atas seorang Muslim lain dan hanya menyerlahkan kedangkalan ilmu dan pelahapnya nafsu pelakunya. Perbuatan dan perkataan berdasarkan sangka-sangkaan dan persepsi sendiri ini malah diungkapkan pula ditempat yang amat mulia (masjid), sungguh ia adalah suatu kejelekan dan amat terlarang. Allah Swt. melarang perbuatan ini,
 
 “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”
Surah Sad (38) : ayat 26
 
Dan junjungan mulia Nabi Saw. turut berpesan :
 
“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk ucapan yang paling dusta, dan janganlah kalian saling mendiamkan, saling mencari kejelekan, saling menipu dalam jual beli, saling mendengki, saling memusuhi dan janganlah saling membelakangi, dan jadilah kalian semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. no.  5606
 
Saya sendiri mengalami situasi balang telus melus diletakkan di tengah laman untuk dimasukkan wang, ini kes yang saya alami semasa menziarahi janazah. Memang ramai yang berasa macam-macam semasa nak memasukkan wang ke dalamnya. Entah dari mana asalnya budaya ini dan bila bermula, saya tak tahu, sejak saya hidup terlihat ia sudah ada diamalkan. Yang pasti ia dilapikkan kepada : untuk memudahkan orang menyumbang. Tak pernah pula tercatat dimana-mana kitab (setakat saya ketahui) bahawa itu caranya para salafussolih menghulurkan sumbangan. Yang ada adalah, mereka memberikan terus kepada orang terlibat atau pun warisnya (dalam kes simati).
 
Dan kepada sesiapa yang terada dalam situasi sebegitu, janganlah segan malu, hulurkan sahaja apa yang termampu seikhlasnya. Hal ini pernah dijelaskan oleh Nabi Saw. :
 
Imam Muslim Rhm. (hadis no. 2376) meletakkan dalam Bab 31 : Anjuran Bersadaqah Meskipun Dengan Harta Yang Sedikit Dan Tidak Boleh Menahan Sadaqah Dari Harta Yang Sedikit Kerana Dianggap Malu
 
“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Wahai para wanita Muslimah, janganlah sekali-kali seseorang tetangga meremehkan (sadaqah untuk) tetangganya meski pun hanya kaki kambing.”
 
Larangan meremehkan itu bermaqsud, janganlah seseorang tetangga enggan bersadaqah dan memberi hadiah kepada tetangganya lantaran harta yang dimilikinya hanya sedikit dan sesuatu yang hina. Bahkan dia boleh mendermakan apa yang dia miliki meskipun sedikit, seperti kaki kambing. Itu lebih baik daripada tidak memberi sama sekali.
Imam Yahya bin Sharaf An Nawawi, Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 5 halaman 326
 
Justeru itu, sumbanglah apa yang mampu diberikan seikhlasnya. Jangan pedulikan apa-apa maqasid yang tersirat disebalik balang telus melus itu dan mata-mata yang menjeling. Tunaikan apa yang diperintah supaya mendapat redho Allah Swt., dan jangan sesekali memberi atau pun tidak mahu memberi disebabkan untuk mendapat redho manusia, kerana itu sifat riya’. Malah boleh juga letak dalam sampul dan masukkan atau serahkan terus kepada tuan rumah. Tetap jua ada cara supaya sadaqah itu dapat dialirkan dengan berhemah dan matlamatnya tercapai.
 
Dan kepada yang meletakkan balang telus melus itu, hentikanlah perbuatan itu, justifikasi perbuatannya tidak munasabah dan jelas ada udang sebalik mee. Sesungguhnya sebaik-baik memberi sadaqah itu adalah secara tersembunyi sehingga tangan kiri tidak tahu apa yang dibuat oleh tangan kanan (hadis sahih imam Muslim Rhm, no. 2381). Tidak perlu diulas rasanya maqasid sebenar perbuatan itu, hanya mahu dikatakan : balang telus melus itu 100% bertentangan dengan perintah memberi secara tersembunyi, maka amalan meletakkan balang telus melus sebegitu amat patut dilupuskan.   
 
Kalam-kalam ini saya serukatakan kepada semua tanpa berpilih, moga memberi manfaat dan pencerahan seterusnya menjawab persoalan. insyaAllah.
 
والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
 
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان , والسلام
 
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...