Ahad, 31 Julai 2011

Imam Hassan Al Ash'ari (siri 1)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

 وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و


Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Artikel kecil ini, saya hasilkan dengan serba kekurangan dan kedhaifan, yang saya peruntukkan hampir 2 bulan, demi hanya satu tujuan untuk menerangkan sekadar sedaya mampu, hakikat sebenarnya tentang imam mulia ini, yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang-orang yang menisbatkan diri mereka kepada beliau dan mengaku berpegang dengan aqidah beliau. InsyaAllah, literatur kecil ini berdasarkan pernyatan kitab dan imam-imam muktabar yang telah diteliti. Moga memberi manfaat.

Ramai kaum muslimin yang berada di berbagai ceruk rantau dunia Islam menisbatkan aqidah mereka kepada imam Abul Hassan Al Ash'ary rohimahullah. Begitulah yang disebut-sebut dan dibanggakan. Namun, amat dikesalkan sekali, majoriti juga yang tidak mengenal malah tidak terasa ingin mengambil tahu sedikitpun tentang peribadi imam Abul Hassan, sejarah perjuangannya dan juga tidak mengetahui frasa perubahan aqidah yang beliau yakini yang menjadikan diri beliau akhirnya termasuk dalam deretan imam-imam yang menjadi panutan ummat sehingga kini.

Siapa gerangan Imam Abul Hassan Al Ash'ary rohimahullah ini? Nama penuh beliau adalah Ali bin Ismail bin Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Abi Burdah bin Abu Musa Al Ash'ary Al Yamani rohimahullah. Nasab beliau adalah sehingga Abu Musa Al Ash'ary rodiallahu‘anhu, seorang sahabat Nabi Solallahu ‘alaihi wassalam. Lebih dikenali sebagai Abul Hassan Al Ash'ary. Beliau dilahirkan di Basrah, dalam wilayah negara Iraq sekarang ini. Tahun kelahiran sebenar beliau diperselisihi oleh para ulamak, akan tetapi persetujuan paling rajih yang diperolehi adalah pada tahun 260 Hijrah. Beliau wafat pada tahun 324 Hijrah di Baghdad dalam usia 64 tahun. Demikianlah yang dicatatkan oleh Imam Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Utsman bin Qaimaz bin Abdullah adz Dzahabi al Fariqi (Imam Adz Dzahabi rohimahullah, 673-784 Hijrah) dalam kitabnya Tarikh Al Islam.

Butiran identiti peribadi beliau ini turut disebutkan dan dicatatkan oleh :

Imam Abul Qasim Ali bin Hasan bin Hibatullah bin 'Asaakir Ad Dimasyqy (Imam Ibnu Asaakir) dalam kitabnya Tabyiinul Kidzbil Muftari Fima Nusiba Ila Abil Hassan Al Ash'ary.
Imam Khathib Al Baghdadi dalam kitab Tarikh Al Baghdaadi.
Imam Ibnu Khallikan dalam Wafayaatul A'yaan.
Imam Adz Dzahabi dalam Tarikh al Islam.
Imam Ibnu Katsir dalam Al Bidayah Wan Nihayah dan Thabaqaatul Asy Syaafi'iyah.
Imam Taajuddin As Subki dalam Thabaqaatul Asy Syaafi'iyah Al Kubra.
Imam Ibnu Farhun Al Maaki dalam Dibadzul Madzhab Fi Al A'yaanil AhliI Madzhab.
Imam Murtadha Az Zubaidi dalam Itthaafus Saadatul Muttaqin bil Syarah Asraar Ihya 'Ulumiddin.
Imam Ibnul Ammar Al Hanbali dalam Syadzraat Adz Dzahab Fi Al A'yaani Min Dzahab dan lain-lain.

Menurut catatan para imam muktabar ini, Imam Abul Hasan Al Ash'ary telah datang ke kota Baghdad dan mengambil ilmu hadis dari Al Hafiz Zakariya bin Yahya As Saajy rohimahullah (yaitu salah seorang murid Imam Ahmad bin Hanbal rohimahullah) salah seorang imam hadis dan fiqh, juga dari Abi Khalifah Al Jumahi, Sahl bin Sarh, Muhammad bin Ya'qub al Muqry dan Abdurrahman bin Khalaf Al Basri. Beliau banyak meriwayatkan dari mereka dalam kitab tafsir beliau berjudul Al Mukhtazin.

Beliau juga mengambil ilmu kalam dari gurunya yaitu suami ibunya (ayah tiri) yang bernama Abi Ali Muhammad Bin Abdul Wahhab Al Jubba'I (wafat pada tahun 303 Hijrah), salah seorang tokoh Mu'tazilah terkemuka. Abi Ali Al Jubba’i adalah guru yang paling banyak mempengaruhi beliau terutamanya dalam urusan dan kefahaman aqidah. Namun pengaruh kuat ayah tiri juga gurunya ini menjadikan beliau dibesarkan dan menjadi ulama’ pemuka Mu’tazilah pada awalnya.

Imam Abu Bakar Ahmad bin Ali bin Tsabit rohimahullah yang lebih dikenal dengan sebutan Imam Khatib Al Baghdadi (wafat tahun 463 Hijrah) dalam kitab tarikhnya yang terkenal, Tarikh Al Baghdadi, Juz 10 halaman 346 menyebutkan,



"Abul Hassan Al Ash'ary adalah pemilik berbagai kitab yang membantah kaum mulhid dan lain-lainnya dari kalangan Mu'tazilah, Rafidhah, Jahmiyah, Khawarij dan berbagai kelompok bid'ah lainnya".... kemudian beliau mengatakan, "Pada waktu itu kaum Mu'tazilah sedang berjaya sehinggalah Allah Subhanahu Wa Ta'ala memunculkan Abul Hassan Al Ash'ary yang akhirnya menghujah mereka hingga tak terkata-kata".

Imam Ibnul 'Imad Al Hanbali rohimahullah berkata dalam kitab Asy Syadzaraat, Jilid II halaman 303, "Di antara perkara yang membuat Ahli Sunnah semakin kuat dan membuat hinaan ke atas panji-panji kaum Mu'tazilah dan Jahmiyah serta menjelaskan kebenaran yang sudah nyata dan membuat dada ahli iman dan ahli ma'rifah sejuk adalah perdebatan Abul Hassan Al Ash'ary dengan gurunya Al Jubba'i, yang hasilnya mematahkan kekuatan semua pelaku bid'ah dan tukang debat.

Perdebatan ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Abul Abbas Syamsuddin Ahmad bin Muhammad bin Abi Bakar bin Khallikan Asy Syaafi'i rohimahullah (wafat pada tahun 681 Hijrah). Beliau berkata dalam bukunya berjudul Wafayaatul A'yaan, Jilid 11 halaman 446, "Abul Hassan Al Ash'ary mengajukan tiga pertanyaan kepada ustaznya, Abi Ali Al Jubba'i  tentang kisah tiga orang bersaudara.

Yang pertama seorang mukmin, baik dan bertaqwa, yang kedua kafir, fasiq dan jahat dan yang ketiga masih kecil. Kemudian ketiga-tiganya mati, bagaimana keadaan mereka nanti? Al Jubba'i menjawab, "Adapun yang mukmin maka ia berada di tempat yang tinggi (syurga), sedang yang kedua berada di tempat yang paling rendah (neraka) dan yang masih kecil termasuk orang-orang yang selamat (dari neraka – maksudnya pertengahan antara keduanya)".

Abul Hassan Al Ash'ary bertanya lagi, “Jika si kecil ingin ke tempat saudara yang mukmin tadi, apakah ia akan diberi izin?" Al Jubba'i menjawab, "Tidak boleh! kerana akan dikatakan kepadanya bahawa saudaramu dapat mencapai darjat ini karena ia banyak beramal, sementara kamu tidak mempunyai amal ketaatan".

Abul Hassan Al Ash'ary berkata lagi, "Jika si kecil menjawab, kesalahan ini tidak terletak padaku, karena Allah tidak membiarkan usiaku panjang dan tidak mentaqdirkan kepadaku untuk melaksanakan ketaatan".  Al Jubba'i lalu menjawab, "Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan berkata, "Aku mengetahui, jika Aku biarkan usiamu panjang, kamu akan menjadi orang yang derhaka dan berarti kamu berhak mendapat azab yang pedih. Maka, hal itu Aku lakukan demi kemaslahatanmu."

Abul Hassan Al Ash'ary kemudian berkata, "Jika saudaranya yang kedua berkata, "Wahai Ilaah semesta alam, sebagaimana Engkau mengetahui keadaannya tentunya Engkau juga sudah mengetahui keadaanku, lantas mengapa Engkau tidak memperhatikan kemaslahatanku?" Mendengar hal itu Al Jubbaa'i pun terdiam.

Imam Ibnul Imaad rohimahullah berkata, "Perdebatan ini menunjukkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberikan rahmat-Nya kepada siapa saja yang Dia kehendaki dan menimpakan azab atas siapa saja yang Dia kehendaki". Pemberian rahmat itu adalah hak Allah semata-mata dan tidak sama sekali dikhabarkan dan diketahui oleh manusia. Maka, bukanlah Allah Subhanahu Wa Ta’ala seperti yang difahami secara akal-akalan sepertimana fahaman golongan Mu’tazilah.

Imam Taajuddin As Subki rohimahullah dalam kitab Thabaqaatul Asy Syaafi'iyah Al Kubra, ia berkata, "Abul Hassan Al Ash'ary seorang ulama besar Ahli Sunnah setelah Imam Ahmad bin Hanbal rohimahullah dan tidak diragukan lagi bahawa, aqidah beliau sama dengan aqidah Imam Ahmad bin Hanbal. Hal ini dengan jelas beliau sebutkan berkali-kali dalam buku-buku beliau, "Aqidahku seperti aqidah Al Imam Ahmad bin Hanbal". Demikianlah ucapan Imam Abul Hassan Al Ash'ary di berbagai tempat dalam bukunya.

Para ulama-ulama hadis mensepakati bahawa, Imam Abul Hassan Al Ash'ary adalah salah seorang imam ahli hadis dan fahaman beliau juga adalah fahaman ahli hadis. Beliau berbicara tentang usuluddin menurut kaedah ahlus sunnah serta membantah kelompok-kelompok sesat dan bid'ah. Beliau menghunuskan pedangnya terhadap kaum Mu'tazilah, Rafidhah, Jahmiyah dan para mubtadi' dari kalangan kaum muslimin dan juga terhadap orang-orang kafir. Barangsiapa mencela atau mencerca atau menipu atas nama beliau berarti ia telah mencela seluruh ahli sunnah. Kerana Imam Abul Hassan Al Ash'ary bukanlah orang pertama yang berbicara atas nama ahli sunnah tetapi sebelum beliau banyak lagi para pembela fahaman yang haq ini. Beliau memperkuatkan hujjah dan penjelasan. Beliau bukan orang yang telah membuat kaedah baru atau pendiri mazhab khusus dalam usuluddin dan fiqh, dan tidak pun berada di luar fahaman yang telah dipaparkan dan dijelaskan oleh para-para imam sebelum dan selain beliau.

Imam Burhanuddin Ibrahim bin Ali bin Muhammad bin Farhun Al Ya'mari Al Madany AI Makki rohimahullah (wafat pada tahun 799 Hijrah) berkata dalam kitabnya Dibaajul Madzhab fi Ma'rifat A'yaani Ulama Madzhab halaman 193 menyatakan, "Abu Muhammad bin Abi Zaid Al-Qiruwany dan imam-imam lainnya memberi pujian terhadap Abul Hassan Al Ash'ary".

Imam Abu Bakar Ibnu Faurak rohimahullah berkata, "Abul Hassan Al Ash'ary meninggalkan mazhab Mu'tazilah dan kembali berpegang pada madzhab ahlus sunnah pada tahun 300 Hijrah.

Di antara ulama-ulama yang mengatakan bahawa Abul Hassan Al Ash'ary bertaubat dari mazhab Mu'tazilah adalah :

Imam Abul Abbas Syamsuddin Ahmad bin Muhammad bin Abi Bakar bin Khallikan Asy Syaafi'i rohimahullah (wafat pada tahun 681 Hijrah). Beliau berkata dalam bukunya berjudul Wafayaatul A'yaan, Jilid 11 halaman 446, "Abul Hassan Al Ash'ary dahulu adalah seorang penganut paham Mu'tazilah kemudian bertaubat dari mazhab tersebut".

Imam 'Imaduddin Abul Fida' Ismail bin Umar bin Katsir Al Qurasyi Ad Dimasqy Asy Syaafi'i rohimahullah (wafat pada tahun 774 Hijrah) mengatakan dalam kitabnya berjudul Al Bidaayah Wan Nihaayah, Jilid Xl halaman 187, "Abul Hassan Al Ash'ary dahulu adalah pengikut fahaman Mu'tazilah kemudian beliau bertaubat dari madzhab tersebut di kota Basrah di atas mimbar lalu beliau menceritakan kekeliruan dan keburukan fahaman Mu'tazilah".

Imam Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Utsman bin Qaimaz bin Abdullah adz Dzahabi al Fariqi (Imam Adz Dzahabi rohimahullah) berkata dalam kitabnya yang berjudul Al 'Uluw Lil 'Aliyil Ghaffaar, "Dahulu Abul Hassan Al Ash'ary adalah seorang penganut mazhab Mu'tazilah yang beliau ambil dari Abu Ali Al Jubba'i kemudian beliau membuang mazhab tersebut dan memberikan bantahannya, maka beliau pun menjadi seorang yang mendakwahkan As Sunnah sesuai dengan imam-imam ahli hadis. Sekiranya para sahabat-sahabat kita yang mendalami ilmu kalam membaca buku Imam Abul Hassan Al Ash'ary tentunya mereka akan menjadikan buku tersebut sebagai pegangan dan tentunya mereka akan menjadi baik, namun mereka lebih suka menyelami ilmu tersebut sebagaimana para hukama' terdahulu dalam menyelami sesuatu dan berjalan di belakang ilmu manthiq. La haula wala quwwata illa billah".

Imam Taajuddin Abu Nashr Abdul Wahhab bin Taqiyyuddin As Subky Asy Syaafi'i rohimahullah (wafat tahun 771 Hijrah) berkata dalam kitabnya Thabaqaatul Asy Syaafi'iyah AI Kubra, Jilid 11 halaman 246, "Abul Hassan Al Ash'ary memegang madzhab Mu'tazilah selama 40 tahun hingga beliau menjadi seorang tokoh Mu'tazilah. Tatkala Allah Subhanahu Wa Ta’ala ingin menolong agama-Nya, Dia membuka hati beliau untuk menerima kebenaran dan berdiam di rumahnya, menghilang dari keramaian masyarakat." Kemudian beliau menyebutkan perkataan Ibnu Asaakir yang lalu.

Imam Burhanuddin Ibrahim bin Ali bin Muhammad bin Farhun Al Ya'mari Al Madany AI Makki rohimahullah (wafat pada tahun 799 Hijrah) berkata dalam kitabnya yang berjudul Dibaajul Madzhab Fi Ma'rifat A'yaani Ulama Madzhab halaman 193, "Pada awalnya Abul Hassan Al Ash'ary adalah seorang penganut faham Mu'tazilah kemudian rujuk kepada mazhab yang benar yaitu mazhab Ahlus Sunnah. Banyak orang yang merasa hairan hingga beliau ditanya tentang perkara tersebut, beliau menjawab bahawa beliau pernah melihat Nabi pada bulan Ramadhan yang memerintahkannya agar kembali kepada kebenaran dan membelanya. Demikianlah kenyataannya”.

Imam Sayyid Muhammad bin Muhammad Al Husainy Az Zubaidy yang dikenal dengan Murtadha Hanif (wafat pada tahun 1145 Hijrah) telah mengatakan dalam kitabnya yang berjudul Ittihqfus Saadah Al Muttaqiin Bi Syarah Asraar Ihya' 'Ulumiddin, Jilid II halaman 3, "Abul Hassan Al Ash'ary mengambil ilmu kalam dari gurunya, Abu Ali Al Jubba'i, salah seorang pembesar dan tokoh Mu'tazilah. Kemudian beliau meninggalkan gurunya tersebut disebabkan mimpi yang beliau lihat lalu beliau bertaubat dari fahaman Mu'tazilah dan mengumumkannya, beliau naik ke atas mimbar di kota Basrah pada hari Jum'at dan berkata dengan lantang,

"Bagi yang sudah mengenalku berarti ia telah benar-benar mengetahui tentang diriku, dan siapa yang belum pernah mengenal diriku, maka saya mengetahui diri saya sendiri. Maka aku adalah fulan bin fulan, aku dahulu berkeyakinan bahawa Al Qur'an adalah makhluk dan di akhirat kelak makhluk tidak dapat melihat Allah serta para hamba menciptakan perbuatannya sendiri. Perbuatan buruk itu aku sendiri yang perbuat. Sekarang aku bertaubat dari keyakinan Mu'tazilah itu dan aku akan membantah keyakinan Mu'tazilah”. Lalu beliau turun lalu keluar, meninggalkan keburukan dan aib mereka.

Imam Abul Qasim Ali bin Hasan bin Hibatullah bin 'Asaakir Ad Dimasyqy (Imam Ibnu Asaakir) dalam kitabnya Tabyiinul Kidzbil Muftari Fima Nusiba Ila Abil Hassan Al Ash'ary, halaman 39 menyatakan bahawa Imam Abul Hasan Al Asha’ry berkata “Wahai segala manusia, saya menghilang dari hadapan kalian beberapa waktu kerana saya mendapati beberapa dalil dan belum boleh membezakan mana yang haq dan mana yang batil. Lalu saya memohon petunjuk kepada Allah dan Allah memberikan petunjukNya, untuk meninggalkan semua yang kutulis di buku-buku saya. Maka aku tinggalkan semua yang dahulu aku yakini seperti aku melepaskan baju aku ini”. Lalu beliau melepaskan bajunya dan melemparkannya.

Setelah itu beliau berhijrah secara tetap ke Baghdad dan memusatkan kegiatan da’wah beliau disana. Kemudian beliau mulai membantah keyakinan mereka, berhujah dengan mereka dan menulis buku-buku bantahan terhadap mereka. Selepas pengisytiharan keluar itu, beliau turut diikuti oleh ramai orang yang turut berpaling dari mazhab sesat Mu’tazilah. Beliau selanjutnya terus berjuang untuk memperbetulkan aqidah suci Islam dan menentang golongan Mu’tazilah, Mulhid, Rafidhah, Jahmiyah dan ahli-ahli bid’ah selama kira-kira 24 tahun sehinggalah ke akhir hayat beliau.

Tempoh ini adalah frasa kedua dalam perjuangannya yaitu menentang golongan sesat dan menyesatkan di dalam Islam yang dahulunya beliau adalah pemukanya. Dalam tempoh inilah beliau menghasilkan hujjah 7 sifat Allah beserta penjelasannya bagi memerangi golongan sesat tersebut dan mengembalikan ummat Islam kepada aqidah yang murni. Perkara ini diperjelaskan oleh Imam 'Imaduddin Abul Fida' Ismail bin Umar bin Katsir Al Qurasyi Ad Dimasqy Asy Syaafi'i rohimahullah (wafat pada tahun 774 Hijrah) mengatakan dalam kitabnya berjudul Al Bidaayah Wan Nihaayah, Jilid Xl halaman 187,

"mereka (para ulama’) menyebut tentang 3 frasa kehidupan Abul Hassan Al Ash'ary. Frasa pertama berfahaman Mu’tazilah. Frasa kedua adalah penetapan 7 sifat bagi Allah yaitu Hayat (hidup), Ilmu (mengetahui), Qudrat (berkuasa), Iradat (berkehendak), Sama’ (mendengar), Basar (melihat) dan Kalam (berkata-kata) dengan berdasarkan kaedah akal. Adapun sifat khabariyah seperti wajah, tangan, kaki, betis dan selainnya adalah ditakwil (ditakrif)”.

Dengan demikian jelaslah bahwasanya apa yang dinukil dari para ulama tersebut adalah suatu hal tidak diragukan lagi. Juga tidak ada keraguan lagi bahawa yang mulia Imam Abul Hassan Al Ash'ary hanyalah menghasilkan gagasan hujah 7 sifat Allah sebagai kaedah dan cara memerangi serta menentangi fahaman sesat golongan Mu’tazilah, Mulhid, Rafidhah, Jahmiyah dan ahli-ahli bid’ah pada masa itu, seterusnya bagi mengembalikan kefahaman sebenar aqidah murni Islam kepada ummatnya.

Adapun gagasan 20 sifat Allah yang dikenali dan difahami banyak orang ketika ini adalah kombinasi lagi 13 hujah yang dihasilkan oleh Imam Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur Al Samarqandi Al Maturidi Al Hanafi rohimahullah (kemungkinan dilahirkan pada 242 Hijrah dan wafat pada 333 Hijrah). Beliau dilahirkan di perkampungan Maturid berhampiran Samarqand (sekarang dalam negara Uzbekistan), yang pada masa itu merupakan pusat perdagangn di Asia Tengah. Latarbelakang beliau adalah berbangsa Tajik yang mana Samarqand pada masa itu dibawah Kerajaan Samanid yang penduduk bandarnya adalah berbangsa Tajik manakala penduduk luar bandarnya adalah berbangsa dan berbahasa Turki. Beliau digelar Syaikh ul Islam dalam mazhab Hanafi.

Beliau menuntut ilmu dengan Imam Abu Nasr Al ‘Ayadi dan Imam Abu Bakar Ahmad Al Jawzajani. Diantara murid utama beliau adalah Ali bin Saaid Abu Al Hasan Al Rustughfani, Abu Muhammad bin Abdul Karim bin Musa bin Isa Al Bazdawi dan Abu Al Qasim Ishaq bin Muhammad Al Hakim Al Samarqandi. Beliau bermazhab Hanafi dan melepasi kebolehan seorang lagi pemuka mazhab Hanafi yaitu Imam Abu Ja'far Ahmad bin Muhammad bin Salaamah bin Salaamah bin Abdil Malik Al Adzi Al Hajari Al Mishri Ath Thahawi Al Hanafi (Imam Ath Thahawi, 239-321 Hijrah) sebagai pengembang dan peneguh faham aqidah Imam Abu Hanifah rohimahullah. Beliau sangat berjaya membanteras fahaman sesat golongan Mu’tazilah, Mulhid, Rafidhah, Jahmiyah dan ahli-ahli bid’ah di Asia Tengah sepertimana yang dilakukan oleh Imam Abul Hassan Al Ash`ary di Basrah dan Baghdad. Beliau meninggal dunia di Samarqand, tempat beliau menghabiskan sebahagian besar hidupnya. Antara kitab khazanah ilmu beliau yang amat berharga adalah Kitab Al Tauhid yang menerangkan dasar-dasar aqidah Ahlus Sunnah.

Sumber :
Imam Ibn Abi Al Wafa' (696-775 Hijrah) : Al Jawaahir Al Mudiyya Fi Tabaqat Al Hanafiyya, halaman 130, 310, 362-363.
Imam 'Abdul Hayy Al Lucknawi (1264-1304 Hijrah) :  Al Fawaa'id Al Bahiyya Fi Tarajim Al Hanafiyya, halaman 319-320 dan 412

Satu perkara menarik yang mahu saya sebutkan disini adalah, tidak pernah ada dilafazkan atau dicatatkan sama ada oleh Imam Abul Hassan Al Ash'ary mahupun Imam Muhammad Abu Mansur Al Maturidi bahawasanya ilmu sifat 7 + 13 itu mereka perolehi secara langsung dari Nabi Saw. atau dari para salafus soleh. Catatan sejarah yang tsiqah membuktikan bahawa ilmu sifat 7 + 13 yang dihasilkan oleh 2 imam mulia ini adalah tidak lain merupakan hujjah-hujjah yang digunapakai sebagai kaedah dan wasilah untuk menentang da’yah kaum Mu’tazilah, Mulhid, Rafidhah, Jahmiyah, Khawarij dan ahli-ahli bid’ah masa itu yang sesat pada masa itu. Seterusnya memperbetulkan semula aqidah ummat Islam dan mengeluarkan mereka daripada mazhab-mazhab sesat itu.

Tiada pun tercatat dari kalam mereka sendiri bahawa sesiapa yang tidak belajar dan tidak menghafal sifat 7 + 13 itu sebagai rosak aqidah dan tidak sah sebagai ummat Islam. Pernyataan ini hakikatnya telah menyesatkan ribuan juta ummat Islam malah para auliya’ dan salafus soleh sebelum zaman 2 imam mulia itu yang pasti sekali tidak pernah belajar dan menghafal sifat 7 + 13 itu termasuk juga imam mazhab yang empat. Entah bagaimana fahaman sebegitu menular dan diajar sekeliling kita ini, tidak pula saya ketahui dan tidak berminat pun untuk saya usul periksa. Amat malang, perjuangan 2 imam mulia ini yang penuh susah payah, difitnah dan hidup dikelilingi ancaman, menghasilkan berbagai ilmu, kitab dan hujjah untuk membetulkan aqidah ummat, kini digunapakai pula ilmu itu untuk menyesatkan orang. Lebih malang lagi, pernyataan sebegitu telah disandarkan pula kepada mereka secara amat batil. Na’uzubillah.

Bersambung…….

والله اعلم


Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.



سكيان
والسلام


eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Read more...

Kalimah Syahadah Dan Tuntutannya. ( Bhg 2)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya sertakan nota kuliah di Surau Taman Kijang untuk manfaat ilmiah bersama. InsyaAllah.
Matan Arba’in An Nawawi – Hadis 40 (Hadis No. 2)
Kuliah No. 4

sambungan,
Rukun syahadat محمد رسول الله yang disebut juga عبده ؤرسؤله turut mempunyai 2 rukun yaitu,

Menafikan Ifrath (berlebih-lebihan) : “Muhammad” itu beertiعبده  yaitu Baginda juga adalah hamba dan makhluk kepada Allah, akan tetapi yang paling sempurna sifat dan penyembahannya kepada Allah serta semulia-mulia makhluk berbanding seluruh makhluk lain. Beliau adalah manusia yang diciptakan dari bahan yang sama dengan bahan ciptaan manusia lainnya. Juga berlaku atasnya apa yang berlaku atas orang lain dan hidupnya seumpama hidupnya manusia lain. Hal ini difirmankan sendiri oleh Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Kabiir :

"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku : bahawa sesungguhnya tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Esa. Barangsiapa yang berharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya.
Surah Al Kahfi (18) : ayat 110, dan

"Katakanlah : Aku tidak berkuasa menarik kemanfa'atan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".
Surah Al A'raaf (7) : ayat 188

Beliau
adalah seorangعبده   (hamba) yang hanya memberikan seluruh hak ubudiyah (penyembahan) kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan karena itu Allah Swt. memujinya:

"Bukankah Allah cukup untuk melindungi hamba-hambaNya.
Dan mereka mempertakuti kamu dengan (sembahan-sembahan) selain Allah?. Dan siapa yang disesatkan oleh Allah maka tidak seorang pun pemberi petunjuk kepadanya".
Surah Az Zumar (39) : ayat 36

Menafikan Tafrith (meremehkan) : Kalaupun Baginda adalah juga hamba dan makhluk, akan tetapi Baginda adalah makhluk terpilih, yang paling mulia dan dianugerahi wahyu dan mukjizat dan diangkat menjadi nabi. “Rasulullah” juga beerti رسؤله yaitu Baginda adalah Utusan/Pesuruh Allah kepada seluruh makhlukNya. Yang segala sunnahnya mesti ditaati, seluruh peribadi beliau adalah contoh tauladan terbaik. Segala kelebihan dan mukjizatnya tidak ada pada segala lain makhluk dan seluruh hidupnya adalah dibawah petunjuk Allah. Dan lagi, Baginda adalah nabi terakhir yang bermaksud tidak akan ada lagi nabi selepasnya. Hal ini difirmankan sendiri oleh Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Razaaq :-

“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa (yang sebenar) bagi seseorang dari orang lelaki diantara kamu (dengan sebab ada anak angkatnya), tetapi ia adalah Rasul Allah dan penutup nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.
Surah Al Ahzab (33) : ayat 40, dan

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak terhapus (pahala) amalan kamu sedangkan kamu tidak menyedari”.
Surah Al Hujuraat (49) : ayat 2

Persaksian untuk Rasulullah Saw. dengan dua sifat ini meniadakan Ifrath dan Tafrith pada hak Rasulullah Saw. Ini disebabkan banyak orang yang mengaku umatnya lalu melebihkan haknya atau mengkultuskannya hingga mengangkatnya melepasi martabat sebagai hamba dan makhluk, hingga kepada martabat ibadah (penyembahan) kepadanya selain dari Allah Swt. Mereka sehingga ber-istighasah (minta pertolongan) kepada beliau selain dari Allah. Ada juga yang meminta kepada Baginda apa yang tidak sanggup dilakukannya selain Allah, seperti memenuhi hajat, membayar nazar, memohon keampunan dan menghilangkan kesulitan. Inilah diantara contoh perbuatan Ifrath (berlebih-lebihan) yang sedang berleluasa dilakukan.

Di satu pihak lain, sebahagian mereka mengingkari kerasulannya atau mengurangi haknya, sehingga mereka bergantung kepada pendapat-pendapat yang menyalahi ajarannya tetapi disandarkan pula kepadanya secara batil, serta membuat ta'wilan ke atas hadits dan hukum yang bukan seperti Baginda maksudkan. Malah yang lebih dahsyat, ada yang mengaku mendapat ajaran langsung dari Baginda secara mimpi untuk membuat segala macam amal perbuatan syari’at seolah-olah tidak cukup sunnah yang Baginda contohkan semasa hidup, termasuk juga ada yang mengaku menjadi nabi yaitu setaraf pula dengan Baginda. Demikianlah diantara sifat-sifat Tafrith (meremehkan) yang banyak berlaku dikalangan ummat manusia sekarang ini.

Syahadatan لا إله إلا الله juga mempunyai syarat-syaratnya yang mana tanpa dilakukan dengan benar mengikut syarat-syarat ini, maka sia-sialah dan tidak bermanfaat langsung lafaz syahadah itu. 

Ilmu
(mengetahui), yang menafikan segala bentuk jahil (kebodohan). Ertinya memahami makna dan maksudnya. Mengetahui apa yang ditiadakan dan apa yang ditetapkan, yang menafikan ketidaktahuannya dengan hal tersebut. Ini difirmankan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Haaq :

"Dan sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat memberi syafa’at, akan tetapi (orang yang dapat memberi syafa`at ialah) orang yang mengakui yang haq (tauhid) dan mereka meyakini (nya).
Surah Az Zukhruf (43) : ayat 86

Maksudnya orang yang bersaksi dengan لا إله إلا الله, dan memahami dengan hatinya apa yang diikrarkan oleh lisannya. Seandainya ia mengucapkannya, tetapi tidak mengerti apa maknanya, maka persaksian itu tidak sah dan tidak berguna.

Yaqin (yakin), yang menafikan segala macam syak (keraguan). Ertinya orang yang mengikrarkannya harus meyakini kandungan syahadah itu. Sekiranya ia meragukannya, maka sia-sia belaka persaksian itu. Ini difirmankan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Qadiim :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu
dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar".
Surah Al Hujurat (49) : ayat 15

Kalau ia ragu maka ia menjadi sepertimana golongan munafiq. Nabi Saw. bersabda :

"Siapa yang engkau temui di balik tembok (kebun) ini, yang menyaksikan bahawa tiada ilah selain Allah dengan hati yang meyakininya, maka berilah kabar gembira dengan (balasan) syurga".
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh.

Maka, siapa yang hatinya tidak meyakininya, ia tidak berhak masuk syurga.

Qabul (menerima), yang menafikan segala bentuk radd (penolakan). Ertinya rela menerima kandungan dan kesan syahadat ; menyembah Allah semata-mata dan meninggalkan ibadah kepada selainNya. Siapa yang mengucapkan, tetapi tidak menerima dan menta'ati, maka ia termasuk orang-orang yang difirmankan Allah di dalam Al Qur’an ul Jamaal :

"Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka:
لا إله إلا الله (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) mereka menyombongkan diri. Dan mereka berkata: "Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seorang penyair gila?".
Surah As Saffaat (37) : ayat 35-36

Inilah halnya para penyembah kuburan wali dan keramat dewasa ini. Mereka mengikrarkan syahadah, akan tetapi tidak mahu meninggalkan penyembahan terhadap kuburan. Dengan demikian berarti mereka belum menerima makna sebenar syahadah itu.

Inqiyad (patuh), yang menafikan segala macam tark (meninggalkan). Ertinya tunduk dan patuh dengan seluruh kandungan makna dan tuntutan syahadah. Allah Swt. berfirman di dalam Al Qur’an ul Haliim :

"Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang k
ukuh. Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan".
Surah Luqman (31) : ayat 22

Ikhlas, yang menafikan
segala bentuk syirik (penyekutuan). Ertinya membersihkan niyat dan amal dari segala bentuk syirik kecil atau besar, nampak atau tersembunyi, dengan cara mengucapkannya semata-mata kerana Allah bukan kerana selainnya (mengharap isi dunia atau riya'). Dalam hadits dari 'Itban rh., Rasulullah Saw. bersabda:

"Sesungguhnya Allah mengharamkan neraka ke atas orang yang mengucapkan
لا إله إلا الله kerana menginginkan redha Allah."
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan  dan imam Muslim rh.

Siddiq (jujur), yang menafikan segala macam kazib (dusta). Ertinya lidah mengucapkan kalimah syahadah ini dan hatinya juga membenarkannya. Sekiranya lisan mengucapkan, tetapi hatinya mendustakan, maka ia adalah munafiq dan pendusta. Allah Swt. berfirman di dalam Al Qur’an ul Ghaffaar :

"Dan sebahagian dari manusia mereka mengatakan: Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, pada hal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak s
edar. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 8-10

Mahabbah (
kecintaan), yang menafikan segala macam andadan (gandingan atau tandingan). Ertinya mencintai kalimah syahadah ini serta segala isinya, juga mencintai semua orang-orang yang mengamalkan tuntutannya dan menafikan segala bentuk tandingan. Allah Swt. berfirman di dalam Al Qur’an ul Qadiim :

"Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah …….".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 165

Maka, ahli tauhid adalah manusia yang mencintai Allah dengan cinta yang tulus bersih. Sedangkan ahli syirik, mereka mempersekutukan Allah dengan sesuatu atau mencintai sesuatu yang dianggap segandingan dengan Allah. Hal ini sangat bertentangan dengan isi kandungan لا إله إلا الله. Sesungguhnya, amalan mereka yang menggandingkan Allah dengan sesuatu ini adalah tertolak sepertimana disabdakan oleh Rasulullah Saw. dalam sebuah khabar rabbani (hadis qudsi) :

“dari Abu Hurairah rhu, bahawasanya aku mendengar Nabi Saw. bersabda : "Allah Swt. berfirman, Aku adalah Zat yang paling tidak memerlukan persekutuan. Oleh kerana itu, barangsiapa mengerjakan suatu amalan yang ia persekutukan amalan itu untukKu dengan selainKu, maka Aku berlepas diri darinya".
Hadis riwayat imam Muslim rh. imam Ibnu Majah rh. imam Ahmad rh. dan imam at Thayalisi rh.

Syahadatan محمد رسول الله juga mempunyai syarat-syaratnya yang mesti difahami benar-benar, yang mana tanpa dilakukan dengan benar mengikut syarat-syarat ini, maka sia-sialah dan tidak bermanfaat langsung lafaz syahadah itu.

1. Benar-benar mengakui kerasulannya dan meyakininya di dalam hati (qalbi).
2. Mengucapkan dan mengikrarkan penuh sedar dengan lisan (qauli).
3. Mengamalkan segala ajaran kebenaran yang telah dibawanya serta meninggalkan segala kebatilan yang telah dicegahnya (fi’li).
4. Membenarkan segala apa yang dikabarkannya dari hal-hal yang ghaib, baik yang sudah lalu mahupun yang akan datang.
5. Mencintainya dengan melebihi cintanya kepada dirinya sendiri, harta, anak, orangtua serta seluruh umat manusia.
6. Mendahulukan sabdanya atas segala pendapat, pandangan, ijma’, fatwa dan ucapan orang lain.
7. Tunduk dan patuh mengamalkan sunnahnya (perkataan, perbuatan, diam dan perakuannya).

Demikianlah Rukun Islam yang pertama, yang dengannya menjadikan seseorang manusia itu sah beragama Islam atau tidak. Mesti ia diperbuat dengan penuh kesedaran, waras dan keinsafan, serta mesti difahami bahawa terkandung didalamnya berbagai tuntutan dan pertanggungjawaban yaitu menerima Islam itu sepenuhnya dengan memperbuat segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Kalimah suci ini merupakan kunci kepada sah dan sempurna Islamnya seseorang, yang dengan melafazkannya sahaja telah memisahkan seseorang daripada Dzulumaat (kegelapan) kepada Nuur (cahaya), yang menunjukkan seseorang kepada Haaq (kebenaran) dan menjauhkan seseorang daripada Batil (kepalsuan) seterusnya menentukan benar sempurna iman dan Islam atau hanya kemunafiqan.

Allah Swt. menegaskan hakNya sebagai Khalik (Maha Pencipta yang wajib diibadahi kepadaNya semata-mata) menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Aziiz :

“Dan barang siapa diantara mereka mengatakan, Sesungguhnya aku adalah tuhan selain daripada Allah, maka orang itu Kami beri balasan dengan Jahannam (neraka), demikian Kami memberi balasan kepada orang-orang yang zalim”.
Surah Al Anbiyaa’ (21) : ayat 29

Adalah menjadi kewajiban para mukmin dan mukminat untuk menunaikan lafaz 2 syahadah (kalimah toyyibah) أشهد أن لا إله إلا الله و أشهد أن محمد رسول الله dan memahami satu demi satu makna, rukun dan syaratnya dan memenuhi tuntutannya dengan cara yang sebaik-baiknya, dilakukan dengan penuh waras dan taat tanpa ada sedikit pun keraguan padanya, maka terpeliharalah seseorang itu dari kemurkaan dan siksaan Allah dan sentiasalah ia berada di dalam jalan yang lurus. InsyaAllah.

Demikianlah 2 kalimah syahadah dan tuntutannya, yang dimiliki dan diturunkan oleh Allah Swt. kepada seluruh hamba-hambaNya dan dipertunjukkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. Maka tiada lain, kepada yang mahu menerima Islam agama suci Allah Swt. ini sebagai pegangan hidupnya di dunia sampai akhirat, melainkan lafazkanlah ia, fahaminya, taati dan patuhilah segala tuntutan pertanggungjawabannya.

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul, melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah. Sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiaya dirinya (berhakim kepada selain Rasulullah) datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat lagi Maha Penyayang”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 64

والله اعلم

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.


سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Read more...

Kalimah Syahadah Dan Tuntutannya. ( Bhg 1)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya sertakan nota kuliah di Surau Taman Kijang untuk manfaat ilmiah bersama. InsyaAllah.
Matan Arba’in An Nawawi – Hadis 40 (Hadis No. 2)
Kuliah No. 3

2 Kalimah Syahadah (Rukun No. 1)
Lafaz 2 kalimah syahadah adalah :

أشهد أن لا إله إلا الله و أشهد أن محمد رسول الله
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang disembah) melainkan Allah,
dan Aku bersaksi bahawa (Nabi) Muhammad pesuruh Allah

Penetapan 2 kalimah toyyibah (yang baik) ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah Saw. sendiri menerusi hadis berikut :-

Dari Abu Hurairah rhu. dia menceritakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda, “Aku diperintahkan untuk membunuh manusia hingga mereka bersaksi bahawa لا إله إلا الله (tidak ada tuhan yang disembah selain Allah) dan bahawa  أن محمد رسول الله(sesungguhnya aku utusan Allah). Jika mereka mengucapkannya, maka mereka telah menjaga darah dan harta mereka dariku kecuali hak persaksian itu. Adapun hisab mereka (yang sebenarnya) adalah urusan Allah”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh., imam Muslim rh., imam Ahmad rh., imam Abu Daud rh., imam Tirmidzi rh., imam Nasa`ie rh. dan imam Ibnu Majah rh.

Dengan melafazkan 2 kalimah toyyibah ini, telah sah masuknya seseorang ke dalam agama suci Islam. Ia adalah kalimat pengakusaksian paling tonggak (dasar) dalam Islamnya yang mana, tanpanya bermaksud seluruh amal perbuatan tidak berguna/tidak dihitung (dalam keadaan kafir) dan, apabila telah batal ia, bermaksud seseorang telah murtad (terkeluar) dari Islam (kembali kafir). Pengakusaksian terhadap 2 kalimah ini, adalah titik tolak kepada benar dan diterimanya amal seorang hamba, kerana persaksian لا إله إلا الله mewajibkan adanya keikhlasan, dan persaksian أن محمد رسول الله mengharuskan ittiba' (mengikut seluruh sunnah nabi dengan pengetahuan). Maka setiap amal yang dilakukan dalam hasrat mendekatkan diri kepada Allah Swt. tidak akan diterima kecuali dengan adanya 2 syarat ini, yaitu ikhlas kepadaNya dan mengikuti apa yang dicontohkan oleh Rasulullah Saw.

Lafaz kalimah لا إله إلا الله yaitu “tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Allah Swt. hakikatnya adalah perintah Allah Swt. sendiri untuk dilafaz dan diakusaksi oleh manusia yang mahu menerima Islam sebagai Ad Diin bermula dahulu lagi, pada zaman para nabi ahs. sebelum zaman junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. Ini dinyatakan menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Haniif :-

“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawasanya tidak ada tuhan (yang haq) melainkan Aku, maka sembahlah oleh kamu sekelian akan Aku”.
Surah Al Anbiyaa’ (21) : ayat 25

Setelah mengakusaksi bahawa hanya Allah semata-mata yang wajib disembah dan diibadahi, maka wajib pula diakusaksi bahawa Muhammad itu rasulNya, yang mendapat wahyu dan menyampaikan ajaranNya. Ini dinyatakan menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Qadiim :-

“Katakanlah wahai manusia! Sesungguhnya aku (ini) adalah utusan Allah kepada kamu semua, yaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasulNya, ….”.
Surah Al A’raaf (7) : ayat 158

Hakikatnya, lafaz 2 kalimah toyyibah adalah perintah Allah Swt. Yang Maha Suci, bukanlah lafaz ciptaan seronok-seronok oleh insan bernama Muhammad bin Abdullah. Maksud jelasnya, intisari pertama 2 kalimah suci syahadah yang mahu saya sebutkan adalah, Islam adalah agama milik Allah Swt. yang diturunkan kepada manusia, maka Allah jualah yang menetapkan segala syarat dan sunnahNya (peraturan) dan segala perilaku amalannya ditunjukkan pula oleh rasulNya. Maka ingatlah : masuki, fahami, taati dan amalkan Islam itu sepertimana Pemiliknya tetapkan dan ditunjukkan oleh rasulNya, bukan seperti yang kita sendiri-sendiri faham.

Kalimah 2 syahadah adalah lafaz yang mesti diperbuat dengan penuh kesedaran, waras dan keinsafan, serta mesti difahami dengan benar bahawa terkandung didalamnya berbagai tuntutan dan pertanggungjawaban yaitu : menerima Islam itu sepenuhnya dengan memperbuat segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Kalimah syahadah bukanlah satu omongan kosong suka-suka, dinyanyikan, dilagukan dan dibuat pertandingan sebaliknya ia adalah kalimah suci dipenuhi makna tersirat dan tersurat untuk difahami dan ditaati, bukan disebut-sebut sahaja.

Kalimah suci ini merupakan kunci kepada sah dan sempurna Islamnya seseorang, yang dengan melafazkannya sahaja telah memisahkan seseorang daripada Dzulumaat (kegelapan) kepada Nuur (cahaya), yang menunjukkan seseorang kepada Haaq (kebenaran) dan menjauhkan seseorang daripada Batil (kepalsuan) seterusnya menentukan benar sempurna iman dan Islam atau hanya kemunafiqan. Barang siapa bersyahadah dan menerima Allah sebagai satu-satunya ilah yang berhak diibadahi, maka dia telah mendapat iman yang benar sepertimana firmanNya di dalam Al Qur’an ul Haniif :

“Allah wali (pelindung, pemimpin) bagi orang-orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya adalah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka itu adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 257

Lantaran itu, melafazkan kalimah syahadah memang amat mudah dan boleh disebut-sebut oleh sesiapa pun. Namun hakikat makna dan prinsip pertanggungjawaban yang terkandung di dalamnya, menjadikan hanya segelintir sahaja manusia yang sanggup dan rela melafazkannya.  

Allah Swt. telah menggambarkan situasi peri pentingnya kalimah syahadah ini yang mana, sekiranya kalimah (akar tunjang) ini terpelihara dan dijaga dengan baik maka lengkap dan baiklah seluruh pepohon keIslaman. Namun apabila rosaknya kalimah ini, maka seluruh pepohon keIslaman itu akan rosak binasa. Demikianlah pengajaran yang diberikan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Jabbaar :-   

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad), bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu : kalimah yang baik (toyyibah) adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.
Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).
Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.
Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh (toyyibah) dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya”.
Surah Ibrahim (14) : ayat 24 hingga 27

Demikianlah intisari asas kepada 2 kalimah suci syahadah. Seterusnya, marilah bersama kita selami hakikat makna dan prinsip pertanggungjawaban dalam menjalankan tuntutan kalimah suci ini. Saya nyatakan secara bahasa mudah supaya dapat difahami, insyaAllah. Seboleh mungkin saya mengelakkan aspek kalamiyah (falsafah) yaitu permainan kata-kata berbunga, metafora dan berbelit-belit yang sering membuat sekelian banyak orang pening, tak faham dan seakan berada diawang-awangan.

Makna syahadah لا إله إلا الله adalah beri'tiqad (mempercayai) dan berikrar (berjanji) dengan sesungguhnya bahawasanya tidak ada (tuhan) yang berhak disembah dan menerima ibadah kecuali Allah Swt. semata-mata, menta'ati hal tersebut dan mengamalkannya. Makna lafaz لا إله إلا الله adalah menafikan (Nafi) hak penyembahan kepada sesuatu apa pun selain dari Allah. Makna lafaz لا إله إلا الله adalah penetapan (Isbat) hak Allah semata untuk disembah. Jadi, makna kalimah ini secara mujmal (umum) adalah, "Tidak ada sesembahan (tuhan) yang haq (sebenar-benarnya) selain Allah". Penetapan bahawasanya hanya Allah semata-mata yang berhak diibadahi telah difirmankan oleh Allah Swt. sendiri dalam banyak ayat Al Qur'an ul Kariim antaranya :

"atau adakah mereka mempunyai tuhan-tuhan yang dapat memelihara mereka dari (azab) Kami? Tuhan-tuhan itu tidak sanggup menolong diri mereka sendiri (pun) dan tidak (pula) mereka dilindungi dari (azab) Kami itu".
Surah Al Anbiyaa' (21) : ayat 43, dan

"(Kuasa Allah) yang demikian itu, adalah kerana sesungguhnya Allah, Dialah (Tuhan) Yang Haq dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain Allah, itulah yang batil, dan sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar".
Surah Al Hajj (22) : ayat 62, dan

"Janganlah kamu sembah di samping (menyembah) Allah, tuhan apa pun yang lain. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. BagiNya lah segala penentuan dan hanya kepadaNya lah kamu dikembalikan".
Surah Al Qasas (28) : ayat 88

Makna syahadah أن محمد رسول الله adalah mengakui secara zahir batin sesungguhnya bahawa Baginda adalah hamba Allah dan RasulNya yang diutus kepada manusia secara keseluruhan, serta mengamalkan tuntutannya yaitu mentaati segala perintahnya, membenarkan ucapannya, menjauhi larangannya, dan tidak menyembah Allah kecuali dengan cara apa yang disyari'atkan oleh Baginda. Baginda bersabda :

"Dari Abdullah bin Abbas rhu. beliau menceritakan bahawa tatkala Rasulullah Saw. mengutus Muadz bin Jabal ke Yaman, maka Baginda bersabda : Sesungguhnya engkau akan mendatangi sekelompok orang dari kalangan ahli kitab. Jika engkau mendatangi mereka, maka ajaklah mereka untuk bersyahadah bahawa tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah dan aku adalah Rasulullah..........".
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Pengakusaksian syahadah ini bermula diqasadkan di dalam hati (qalbi) seterusnya dizahirkan menjadi kata-kata (qauli/lisani) dan akhirnya dipraktikkan sebagai amal perbuatan (fi’li). Inilah maknawi sebenar kalimah syahadat yang bukan hanya sekadar kata-kata atau sebut-sebutan. Begitulah tuntutan pertanggungjawaban kalimah syahadah itu yang bermula terdetik didalam hati dan seterusnya dilafazkan dan, akhirnya dilaksanakan segala macam amalan Islam yang dituntut ke atas para penganutnya dan meninggalkan segala yang dilarang. Tanpa gabungan ketiga perkara ini, menjadikan syahadah itu seterusnya tahap keIslaman tidak sempurna.

Lafaz syahadah لا إله إلا الله mempunyai 2 rukun yaitu,

An Nafyu (Nafi) atau Peniadaan : Lafaz لا إله إلا الله membatalkan syirik (persekutuan terhadap Allah) dengan segala bentuknya dan mewajibkan kekafiran (keingkaran) terhadap segala apa yang disembah selain Allah.

Al
Isbat atau Penetapan : Lafaz لا إله إلا الله menetapkan bahwa tidak ada (tuhan) yang berhak disembah kecuali Allah dan mewajibkan pengamalan Islam sesuai dengan suruhanNya.

Makna dua rukun ini banyak disebut oleh Allah Swt. di dalam Al Qur'an ul Hakiim antaranya :

"
Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama Islam, sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 256

Firman Allah "
barangsiapa yang ingkar kepada thaghut" itu adalah makna dari لا إله rukun yang pertama. Sedangkan firman Allah "dan beriman kepada Allah" adalah makna dari rukun kedua  إلا الله  

Begitu juga firman Allah Swt. kepada Nabi Ibrahim ahs. :
“Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya, Sesungguhnya aku tidak bertanggungjawab terhadap apa yang kamu sembah. Tetapi (aku menyembah) Tuhan yang menjadikanku, kerana sesungguhnya Dia akan memberi hidayah kepadaku".
Surah Az Zukhruf (43) : ayat 26-27

Firman Allah Swt. "Sesungguhnya aku berlepas diri" adalah makna nafi (peniadaan) dalam rukun pertama
 لا إله . Sedangkan perkataan "Tetapi (aku menyembah) Tuhan yang menjadikanku", adalah makna isbat (penetapan) pada rukun kedua  إلا الله.

والله اعلم bersambung

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.

سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...