Ahad, 31 Julai 2011

Imam Hassan Al Ash'ari (siri 1)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

 وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و


Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Artikel kecil ini, saya hasilkan dengan serba kekurangan dan kedhaifan, yang saya peruntukkan hampir 2 bulan, demi hanya satu tujuan untuk menerangkan sekadar sedaya mampu, hakikat sebenarnya tentang imam mulia ini, yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang-orang yang menisbatkan diri mereka kepada beliau dan mengaku berpegang dengan aqidah beliau. InsyaAllah, literatur kecil ini berdasarkan pernyatan kitab dan imam-imam muktabar yang telah diteliti. Moga memberi manfaat.

Ramai kaum muslimin yang berada di berbagai ceruk rantau dunia Islam menisbatkan aqidah mereka kepada imam Abul Hassan Al Ash'ary rohimahullah. Begitulah yang disebut-sebut dan dibanggakan. Namun, amat dikesalkan sekali, majoriti juga yang tidak mengenal malah tidak terasa ingin mengambil tahu sedikitpun tentang peribadi imam Abul Hassan, sejarah perjuangannya dan juga tidak mengetahui frasa perubahan aqidah yang beliau yakini yang menjadikan diri beliau akhirnya termasuk dalam deretan imam-imam yang menjadi panutan ummat sehingga kini.

Siapa gerangan Imam Abul Hassan Al Ash'ary rohimahullah ini? Nama penuh beliau adalah Ali bin Ismail bin Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Abi Burdah bin Abu Musa Al Ash'ary Al Yamani rohimahullah. Nasab beliau adalah sehingga Abu Musa Al Ash'ary rodiallahu‘anhu, seorang sahabat Nabi Solallahu ‘alaihi wassalam. Lebih dikenali sebagai Abul Hassan Al Ash'ary. Beliau dilahirkan di Basrah, dalam wilayah negara Iraq sekarang ini. Tahun kelahiran sebenar beliau diperselisihi oleh para ulamak, akan tetapi persetujuan paling rajih yang diperolehi adalah pada tahun 260 Hijrah. Beliau wafat pada tahun 324 Hijrah di Baghdad dalam usia 64 tahun. Demikianlah yang dicatatkan oleh Imam Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Utsman bin Qaimaz bin Abdullah adz Dzahabi al Fariqi (Imam Adz Dzahabi rohimahullah, 673-784 Hijrah) dalam kitabnya Tarikh Al Islam.

Butiran identiti peribadi beliau ini turut disebutkan dan dicatatkan oleh :

Imam Abul Qasim Ali bin Hasan bin Hibatullah bin 'Asaakir Ad Dimasyqy (Imam Ibnu Asaakir) dalam kitabnya Tabyiinul Kidzbil Muftari Fima Nusiba Ila Abil Hassan Al Ash'ary.
Imam Khathib Al Baghdadi dalam kitab Tarikh Al Baghdaadi.
Imam Ibnu Khallikan dalam Wafayaatul A'yaan.
Imam Adz Dzahabi dalam Tarikh al Islam.
Imam Ibnu Katsir dalam Al Bidayah Wan Nihayah dan Thabaqaatul Asy Syaafi'iyah.
Imam Taajuddin As Subki dalam Thabaqaatul Asy Syaafi'iyah Al Kubra.
Imam Ibnu Farhun Al Maaki dalam Dibadzul Madzhab Fi Al A'yaanil AhliI Madzhab.
Imam Murtadha Az Zubaidi dalam Itthaafus Saadatul Muttaqin bil Syarah Asraar Ihya 'Ulumiddin.
Imam Ibnul Ammar Al Hanbali dalam Syadzraat Adz Dzahab Fi Al A'yaani Min Dzahab dan lain-lain.

Menurut catatan para imam muktabar ini, Imam Abul Hasan Al Ash'ary telah datang ke kota Baghdad dan mengambil ilmu hadis dari Al Hafiz Zakariya bin Yahya As Saajy rohimahullah (yaitu salah seorang murid Imam Ahmad bin Hanbal rohimahullah) salah seorang imam hadis dan fiqh, juga dari Abi Khalifah Al Jumahi, Sahl bin Sarh, Muhammad bin Ya'qub al Muqry dan Abdurrahman bin Khalaf Al Basri. Beliau banyak meriwayatkan dari mereka dalam kitab tafsir beliau berjudul Al Mukhtazin.

Beliau juga mengambil ilmu kalam dari gurunya yaitu suami ibunya (ayah tiri) yang bernama Abi Ali Muhammad Bin Abdul Wahhab Al Jubba'I (wafat pada tahun 303 Hijrah), salah seorang tokoh Mu'tazilah terkemuka. Abi Ali Al Jubba’i adalah guru yang paling banyak mempengaruhi beliau terutamanya dalam urusan dan kefahaman aqidah. Namun pengaruh kuat ayah tiri juga gurunya ini menjadikan beliau dibesarkan dan menjadi ulama’ pemuka Mu’tazilah pada awalnya.

Imam Abu Bakar Ahmad bin Ali bin Tsabit rohimahullah yang lebih dikenal dengan sebutan Imam Khatib Al Baghdadi (wafat tahun 463 Hijrah) dalam kitab tarikhnya yang terkenal, Tarikh Al Baghdadi, Juz 10 halaman 346 menyebutkan,



"Abul Hassan Al Ash'ary adalah pemilik berbagai kitab yang membantah kaum mulhid dan lain-lainnya dari kalangan Mu'tazilah, Rafidhah, Jahmiyah, Khawarij dan berbagai kelompok bid'ah lainnya".... kemudian beliau mengatakan, "Pada waktu itu kaum Mu'tazilah sedang berjaya sehinggalah Allah Subhanahu Wa Ta'ala memunculkan Abul Hassan Al Ash'ary yang akhirnya menghujah mereka hingga tak terkata-kata".

Imam Ibnul 'Imad Al Hanbali rohimahullah berkata dalam kitab Asy Syadzaraat, Jilid II halaman 303, "Di antara perkara yang membuat Ahli Sunnah semakin kuat dan membuat hinaan ke atas panji-panji kaum Mu'tazilah dan Jahmiyah serta menjelaskan kebenaran yang sudah nyata dan membuat dada ahli iman dan ahli ma'rifah sejuk adalah perdebatan Abul Hassan Al Ash'ary dengan gurunya Al Jubba'i, yang hasilnya mematahkan kekuatan semua pelaku bid'ah dan tukang debat.

Perdebatan ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Abul Abbas Syamsuddin Ahmad bin Muhammad bin Abi Bakar bin Khallikan Asy Syaafi'i rohimahullah (wafat pada tahun 681 Hijrah). Beliau berkata dalam bukunya berjudul Wafayaatul A'yaan, Jilid 11 halaman 446, "Abul Hassan Al Ash'ary mengajukan tiga pertanyaan kepada ustaznya, Abi Ali Al Jubba'i  tentang kisah tiga orang bersaudara.

Yang pertama seorang mukmin, baik dan bertaqwa, yang kedua kafir, fasiq dan jahat dan yang ketiga masih kecil. Kemudian ketiga-tiganya mati, bagaimana keadaan mereka nanti? Al Jubba'i menjawab, "Adapun yang mukmin maka ia berada di tempat yang tinggi (syurga), sedang yang kedua berada di tempat yang paling rendah (neraka) dan yang masih kecil termasuk orang-orang yang selamat (dari neraka – maksudnya pertengahan antara keduanya)".

Abul Hassan Al Ash'ary bertanya lagi, “Jika si kecil ingin ke tempat saudara yang mukmin tadi, apakah ia akan diberi izin?" Al Jubba'i menjawab, "Tidak boleh! kerana akan dikatakan kepadanya bahawa saudaramu dapat mencapai darjat ini karena ia banyak beramal, sementara kamu tidak mempunyai amal ketaatan".

Abul Hassan Al Ash'ary berkata lagi, "Jika si kecil menjawab, kesalahan ini tidak terletak padaku, karena Allah tidak membiarkan usiaku panjang dan tidak mentaqdirkan kepadaku untuk melaksanakan ketaatan".  Al Jubba'i lalu menjawab, "Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan berkata, "Aku mengetahui, jika Aku biarkan usiamu panjang, kamu akan menjadi orang yang derhaka dan berarti kamu berhak mendapat azab yang pedih. Maka, hal itu Aku lakukan demi kemaslahatanmu."

Abul Hassan Al Ash'ary kemudian berkata, "Jika saudaranya yang kedua berkata, "Wahai Ilaah semesta alam, sebagaimana Engkau mengetahui keadaannya tentunya Engkau juga sudah mengetahui keadaanku, lantas mengapa Engkau tidak memperhatikan kemaslahatanku?" Mendengar hal itu Al Jubbaa'i pun terdiam.

Imam Ibnul Imaad rohimahullah berkata, "Perdebatan ini menunjukkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberikan rahmat-Nya kepada siapa saja yang Dia kehendaki dan menimpakan azab atas siapa saja yang Dia kehendaki". Pemberian rahmat itu adalah hak Allah semata-mata dan tidak sama sekali dikhabarkan dan diketahui oleh manusia. Maka, bukanlah Allah Subhanahu Wa Ta’ala seperti yang difahami secara akal-akalan sepertimana fahaman golongan Mu’tazilah.

Imam Taajuddin As Subki rohimahullah dalam kitab Thabaqaatul Asy Syaafi'iyah Al Kubra, ia berkata, "Abul Hassan Al Ash'ary seorang ulama besar Ahli Sunnah setelah Imam Ahmad bin Hanbal rohimahullah dan tidak diragukan lagi bahawa, aqidah beliau sama dengan aqidah Imam Ahmad bin Hanbal. Hal ini dengan jelas beliau sebutkan berkali-kali dalam buku-buku beliau, "Aqidahku seperti aqidah Al Imam Ahmad bin Hanbal". Demikianlah ucapan Imam Abul Hassan Al Ash'ary di berbagai tempat dalam bukunya.

Para ulama-ulama hadis mensepakati bahawa, Imam Abul Hassan Al Ash'ary adalah salah seorang imam ahli hadis dan fahaman beliau juga adalah fahaman ahli hadis. Beliau berbicara tentang usuluddin menurut kaedah ahlus sunnah serta membantah kelompok-kelompok sesat dan bid'ah. Beliau menghunuskan pedangnya terhadap kaum Mu'tazilah, Rafidhah, Jahmiyah dan para mubtadi' dari kalangan kaum muslimin dan juga terhadap orang-orang kafir. Barangsiapa mencela atau mencerca atau menipu atas nama beliau berarti ia telah mencela seluruh ahli sunnah. Kerana Imam Abul Hassan Al Ash'ary bukanlah orang pertama yang berbicara atas nama ahli sunnah tetapi sebelum beliau banyak lagi para pembela fahaman yang haq ini. Beliau memperkuatkan hujjah dan penjelasan. Beliau bukan orang yang telah membuat kaedah baru atau pendiri mazhab khusus dalam usuluddin dan fiqh, dan tidak pun berada di luar fahaman yang telah dipaparkan dan dijelaskan oleh para-para imam sebelum dan selain beliau.

Imam Burhanuddin Ibrahim bin Ali bin Muhammad bin Farhun Al Ya'mari Al Madany AI Makki rohimahullah (wafat pada tahun 799 Hijrah) berkata dalam kitabnya Dibaajul Madzhab fi Ma'rifat A'yaani Ulama Madzhab halaman 193 menyatakan, "Abu Muhammad bin Abi Zaid Al-Qiruwany dan imam-imam lainnya memberi pujian terhadap Abul Hassan Al Ash'ary".

Imam Abu Bakar Ibnu Faurak rohimahullah berkata, "Abul Hassan Al Ash'ary meninggalkan mazhab Mu'tazilah dan kembali berpegang pada madzhab ahlus sunnah pada tahun 300 Hijrah.

Di antara ulama-ulama yang mengatakan bahawa Abul Hassan Al Ash'ary bertaubat dari mazhab Mu'tazilah adalah :

Imam Abul Abbas Syamsuddin Ahmad bin Muhammad bin Abi Bakar bin Khallikan Asy Syaafi'i rohimahullah (wafat pada tahun 681 Hijrah). Beliau berkata dalam bukunya berjudul Wafayaatul A'yaan, Jilid 11 halaman 446, "Abul Hassan Al Ash'ary dahulu adalah seorang penganut paham Mu'tazilah kemudian bertaubat dari mazhab tersebut".

Imam 'Imaduddin Abul Fida' Ismail bin Umar bin Katsir Al Qurasyi Ad Dimasqy Asy Syaafi'i rohimahullah (wafat pada tahun 774 Hijrah) mengatakan dalam kitabnya berjudul Al Bidaayah Wan Nihaayah, Jilid Xl halaman 187, "Abul Hassan Al Ash'ary dahulu adalah pengikut fahaman Mu'tazilah kemudian beliau bertaubat dari madzhab tersebut di kota Basrah di atas mimbar lalu beliau menceritakan kekeliruan dan keburukan fahaman Mu'tazilah".

Imam Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Utsman bin Qaimaz bin Abdullah adz Dzahabi al Fariqi (Imam Adz Dzahabi rohimahullah) berkata dalam kitabnya yang berjudul Al 'Uluw Lil 'Aliyil Ghaffaar, "Dahulu Abul Hassan Al Ash'ary adalah seorang penganut mazhab Mu'tazilah yang beliau ambil dari Abu Ali Al Jubba'i kemudian beliau membuang mazhab tersebut dan memberikan bantahannya, maka beliau pun menjadi seorang yang mendakwahkan As Sunnah sesuai dengan imam-imam ahli hadis. Sekiranya para sahabat-sahabat kita yang mendalami ilmu kalam membaca buku Imam Abul Hassan Al Ash'ary tentunya mereka akan menjadikan buku tersebut sebagai pegangan dan tentunya mereka akan menjadi baik, namun mereka lebih suka menyelami ilmu tersebut sebagaimana para hukama' terdahulu dalam menyelami sesuatu dan berjalan di belakang ilmu manthiq. La haula wala quwwata illa billah".

Imam Taajuddin Abu Nashr Abdul Wahhab bin Taqiyyuddin As Subky Asy Syaafi'i rohimahullah (wafat tahun 771 Hijrah) berkata dalam kitabnya Thabaqaatul Asy Syaafi'iyah AI Kubra, Jilid 11 halaman 246, "Abul Hassan Al Ash'ary memegang madzhab Mu'tazilah selama 40 tahun hingga beliau menjadi seorang tokoh Mu'tazilah. Tatkala Allah Subhanahu Wa Ta’ala ingin menolong agama-Nya, Dia membuka hati beliau untuk menerima kebenaran dan berdiam di rumahnya, menghilang dari keramaian masyarakat." Kemudian beliau menyebutkan perkataan Ibnu Asaakir yang lalu.

Imam Burhanuddin Ibrahim bin Ali bin Muhammad bin Farhun Al Ya'mari Al Madany AI Makki rohimahullah (wafat pada tahun 799 Hijrah) berkata dalam kitabnya yang berjudul Dibaajul Madzhab Fi Ma'rifat A'yaani Ulama Madzhab halaman 193, "Pada awalnya Abul Hassan Al Ash'ary adalah seorang penganut faham Mu'tazilah kemudian rujuk kepada mazhab yang benar yaitu mazhab Ahlus Sunnah. Banyak orang yang merasa hairan hingga beliau ditanya tentang perkara tersebut, beliau menjawab bahawa beliau pernah melihat Nabi pada bulan Ramadhan yang memerintahkannya agar kembali kepada kebenaran dan membelanya. Demikianlah kenyataannya”.

Imam Sayyid Muhammad bin Muhammad Al Husainy Az Zubaidy yang dikenal dengan Murtadha Hanif (wafat pada tahun 1145 Hijrah) telah mengatakan dalam kitabnya yang berjudul Ittihqfus Saadah Al Muttaqiin Bi Syarah Asraar Ihya' 'Ulumiddin, Jilid II halaman 3, "Abul Hassan Al Ash'ary mengambil ilmu kalam dari gurunya, Abu Ali Al Jubba'i, salah seorang pembesar dan tokoh Mu'tazilah. Kemudian beliau meninggalkan gurunya tersebut disebabkan mimpi yang beliau lihat lalu beliau bertaubat dari fahaman Mu'tazilah dan mengumumkannya, beliau naik ke atas mimbar di kota Basrah pada hari Jum'at dan berkata dengan lantang,

"Bagi yang sudah mengenalku berarti ia telah benar-benar mengetahui tentang diriku, dan siapa yang belum pernah mengenal diriku, maka saya mengetahui diri saya sendiri. Maka aku adalah fulan bin fulan, aku dahulu berkeyakinan bahawa Al Qur'an adalah makhluk dan di akhirat kelak makhluk tidak dapat melihat Allah serta para hamba menciptakan perbuatannya sendiri. Perbuatan buruk itu aku sendiri yang perbuat. Sekarang aku bertaubat dari keyakinan Mu'tazilah itu dan aku akan membantah keyakinan Mu'tazilah”. Lalu beliau turun lalu keluar, meninggalkan keburukan dan aib mereka.

Imam Abul Qasim Ali bin Hasan bin Hibatullah bin 'Asaakir Ad Dimasyqy (Imam Ibnu Asaakir) dalam kitabnya Tabyiinul Kidzbil Muftari Fima Nusiba Ila Abil Hassan Al Ash'ary, halaman 39 menyatakan bahawa Imam Abul Hasan Al Asha’ry berkata “Wahai segala manusia, saya menghilang dari hadapan kalian beberapa waktu kerana saya mendapati beberapa dalil dan belum boleh membezakan mana yang haq dan mana yang batil. Lalu saya memohon petunjuk kepada Allah dan Allah memberikan petunjukNya, untuk meninggalkan semua yang kutulis di buku-buku saya. Maka aku tinggalkan semua yang dahulu aku yakini seperti aku melepaskan baju aku ini”. Lalu beliau melepaskan bajunya dan melemparkannya.

Setelah itu beliau berhijrah secara tetap ke Baghdad dan memusatkan kegiatan da’wah beliau disana. Kemudian beliau mulai membantah keyakinan mereka, berhujah dengan mereka dan menulis buku-buku bantahan terhadap mereka. Selepas pengisytiharan keluar itu, beliau turut diikuti oleh ramai orang yang turut berpaling dari mazhab sesat Mu’tazilah. Beliau selanjutnya terus berjuang untuk memperbetulkan aqidah suci Islam dan menentang golongan Mu’tazilah, Mulhid, Rafidhah, Jahmiyah dan ahli-ahli bid’ah selama kira-kira 24 tahun sehinggalah ke akhir hayat beliau.

Tempoh ini adalah frasa kedua dalam perjuangannya yaitu menentang golongan sesat dan menyesatkan di dalam Islam yang dahulunya beliau adalah pemukanya. Dalam tempoh inilah beliau menghasilkan hujjah 7 sifat Allah beserta penjelasannya bagi memerangi golongan sesat tersebut dan mengembalikan ummat Islam kepada aqidah yang murni. Perkara ini diperjelaskan oleh Imam 'Imaduddin Abul Fida' Ismail bin Umar bin Katsir Al Qurasyi Ad Dimasqy Asy Syaafi'i rohimahullah (wafat pada tahun 774 Hijrah) mengatakan dalam kitabnya berjudul Al Bidaayah Wan Nihaayah, Jilid Xl halaman 187,

"mereka (para ulama’) menyebut tentang 3 frasa kehidupan Abul Hassan Al Ash'ary. Frasa pertama berfahaman Mu’tazilah. Frasa kedua adalah penetapan 7 sifat bagi Allah yaitu Hayat (hidup), Ilmu (mengetahui), Qudrat (berkuasa), Iradat (berkehendak), Sama’ (mendengar), Basar (melihat) dan Kalam (berkata-kata) dengan berdasarkan kaedah akal. Adapun sifat khabariyah seperti wajah, tangan, kaki, betis dan selainnya adalah ditakwil (ditakrif)”.

Dengan demikian jelaslah bahwasanya apa yang dinukil dari para ulama tersebut adalah suatu hal tidak diragukan lagi. Juga tidak ada keraguan lagi bahawa yang mulia Imam Abul Hassan Al Ash'ary hanyalah menghasilkan gagasan hujah 7 sifat Allah sebagai kaedah dan cara memerangi serta menentangi fahaman sesat golongan Mu’tazilah, Mulhid, Rafidhah, Jahmiyah dan ahli-ahli bid’ah pada masa itu, seterusnya bagi mengembalikan kefahaman sebenar aqidah murni Islam kepada ummatnya.

Adapun gagasan 20 sifat Allah yang dikenali dan difahami banyak orang ketika ini adalah kombinasi lagi 13 hujah yang dihasilkan oleh Imam Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur Al Samarqandi Al Maturidi Al Hanafi rohimahullah (kemungkinan dilahirkan pada 242 Hijrah dan wafat pada 333 Hijrah). Beliau dilahirkan di perkampungan Maturid berhampiran Samarqand (sekarang dalam negara Uzbekistan), yang pada masa itu merupakan pusat perdagangn di Asia Tengah. Latarbelakang beliau adalah berbangsa Tajik yang mana Samarqand pada masa itu dibawah Kerajaan Samanid yang penduduk bandarnya adalah berbangsa Tajik manakala penduduk luar bandarnya adalah berbangsa dan berbahasa Turki. Beliau digelar Syaikh ul Islam dalam mazhab Hanafi.

Beliau menuntut ilmu dengan Imam Abu Nasr Al ‘Ayadi dan Imam Abu Bakar Ahmad Al Jawzajani. Diantara murid utama beliau adalah Ali bin Saaid Abu Al Hasan Al Rustughfani, Abu Muhammad bin Abdul Karim bin Musa bin Isa Al Bazdawi dan Abu Al Qasim Ishaq bin Muhammad Al Hakim Al Samarqandi. Beliau bermazhab Hanafi dan melepasi kebolehan seorang lagi pemuka mazhab Hanafi yaitu Imam Abu Ja'far Ahmad bin Muhammad bin Salaamah bin Salaamah bin Abdil Malik Al Adzi Al Hajari Al Mishri Ath Thahawi Al Hanafi (Imam Ath Thahawi, 239-321 Hijrah) sebagai pengembang dan peneguh faham aqidah Imam Abu Hanifah rohimahullah. Beliau sangat berjaya membanteras fahaman sesat golongan Mu’tazilah, Mulhid, Rafidhah, Jahmiyah dan ahli-ahli bid’ah di Asia Tengah sepertimana yang dilakukan oleh Imam Abul Hassan Al Ash`ary di Basrah dan Baghdad. Beliau meninggal dunia di Samarqand, tempat beliau menghabiskan sebahagian besar hidupnya. Antara kitab khazanah ilmu beliau yang amat berharga adalah Kitab Al Tauhid yang menerangkan dasar-dasar aqidah Ahlus Sunnah.

Sumber :
Imam Ibn Abi Al Wafa' (696-775 Hijrah) : Al Jawaahir Al Mudiyya Fi Tabaqat Al Hanafiyya, halaman 130, 310, 362-363.
Imam 'Abdul Hayy Al Lucknawi (1264-1304 Hijrah) :  Al Fawaa'id Al Bahiyya Fi Tarajim Al Hanafiyya, halaman 319-320 dan 412

Satu perkara menarik yang mahu saya sebutkan disini adalah, tidak pernah ada dilafazkan atau dicatatkan sama ada oleh Imam Abul Hassan Al Ash'ary mahupun Imam Muhammad Abu Mansur Al Maturidi bahawasanya ilmu sifat 7 + 13 itu mereka perolehi secara langsung dari Nabi Saw. atau dari para salafus soleh. Catatan sejarah yang tsiqah membuktikan bahawa ilmu sifat 7 + 13 yang dihasilkan oleh 2 imam mulia ini adalah tidak lain merupakan hujjah-hujjah yang digunapakai sebagai kaedah dan wasilah untuk menentang da’yah kaum Mu’tazilah, Mulhid, Rafidhah, Jahmiyah, Khawarij dan ahli-ahli bid’ah masa itu yang sesat pada masa itu. Seterusnya memperbetulkan semula aqidah ummat Islam dan mengeluarkan mereka daripada mazhab-mazhab sesat itu.

Tiada pun tercatat dari kalam mereka sendiri bahawa sesiapa yang tidak belajar dan tidak menghafal sifat 7 + 13 itu sebagai rosak aqidah dan tidak sah sebagai ummat Islam. Pernyataan ini hakikatnya telah menyesatkan ribuan juta ummat Islam malah para auliya’ dan salafus soleh sebelum zaman 2 imam mulia itu yang pasti sekali tidak pernah belajar dan menghafal sifat 7 + 13 itu termasuk juga imam mazhab yang empat. Entah bagaimana fahaman sebegitu menular dan diajar sekeliling kita ini, tidak pula saya ketahui dan tidak berminat pun untuk saya usul periksa. Amat malang, perjuangan 2 imam mulia ini yang penuh susah payah, difitnah dan hidup dikelilingi ancaman, menghasilkan berbagai ilmu, kitab dan hujjah untuk membetulkan aqidah ummat, kini digunapakai pula ilmu itu untuk menyesatkan orang. Lebih malang lagi, pernyataan sebegitu telah disandarkan pula kepada mereka secara amat batil. Na’uzubillah.

Bersambung…….

والله اعلم


Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.



سكيان
والسلام


eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: