Ahad, 31 Julai 2011

Kalimah Syahadah Dan Tuntutannya. ( Bhg 1)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya sertakan nota kuliah di Surau Taman Kijang untuk manfaat ilmiah bersama. InsyaAllah.
Matan Arba’in An Nawawi – Hadis 40 (Hadis No. 2)
Kuliah No. 3

2 Kalimah Syahadah (Rukun No. 1)
Lafaz 2 kalimah syahadah adalah :

أشهد أن لا إله إلا الله و أشهد أن محمد رسول الله
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang disembah) melainkan Allah,
dan Aku bersaksi bahawa (Nabi) Muhammad pesuruh Allah

Penetapan 2 kalimah toyyibah (yang baik) ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah Saw. sendiri menerusi hadis berikut :-

Dari Abu Hurairah rhu. dia menceritakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda, “Aku diperintahkan untuk membunuh manusia hingga mereka bersaksi bahawa لا إله إلا الله (tidak ada tuhan yang disembah selain Allah) dan bahawa  أن محمد رسول الله(sesungguhnya aku utusan Allah). Jika mereka mengucapkannya, maka mereka telah menjaga darah dan harta mereka dariku kecuali hak persaksian itu. Adapun hisab mereka (yang sebenarnya) adalah urusan Allah”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh., imam Muslim rh., imam Ahmad rh., imam Abu Daud rh., imam Tirmidzi rh., imam Nasa`ie rh. dan imam Ibnu Majah rh.

Dengan melafazkan 2 kalimah toyyibah ini, telah sah masuknya seseorang ke dalam agama suci Islam. Ia adalah kalimat pengakusaksian paling tonggak (dasar) dalam Islamnya yang mana, tanpanya bermaksud seluruh amal perbuatan tidak berguna/tidak dihitung (dalam keadaan kafir) dan, apabila telah batal ia, bermaksud seseorang telah murtad (terkeluar) dari Islam (kembali kafir). Pengakusaksian terhadap 2 kalimah ini, adalah titik tolak kepada benar dan diterimanya amal seorang hamba, kerana persaksian لا إله إلا الله mewajibkan adanya keikhlasan, dan persaksian أن محمد رسول الله mengharuskan ittiba' (mengikut seluruh sunnah nabi dengan pengetahuan). Maka setiap amal yang dilakukan dalam hasrat mendekatkan diri kepada Allah Swt. tidak akan diterima kecuali dengan adanya 2 syarat ini, yaitu ikhlas kepadaNya dan mengikuti apa yang dicontohkan oleh Rasulullah Saw.

Lafaz kalimah لا إله إلا الله yaitu “tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Allah Swt. hakikatnya adalah perintah Allah Swt. sendiri untuk dilafaz dan diakusaksi oleh manusia yang mahu menerima Islam sebagai Ad Diin bermula dahulu lagi, pada zaman para nabi ahs. sebelum zaman junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. Ini dinyatakan menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Haniif :-

“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawasanya tidak ada tuhan (yang haq) melainkan Aku, maka sembahlah oleh kamu sekelian akan Aku”.
Surah Al Anbiyaa’ (21) : ayat 25

Setelah mengakusaksi bahawa hanya Allah semata-mata yang wajib disembah dan diibadahi, maka wajib pula diakusaksi bahawa Muhammad itu rasulNya, yang mendapat wahyu dan menyampaikan ajaranNya. Ini dinyatakan menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Qadiim :-

“Katakanlah wahai manusia! Sesungguhnya aku (ini) adalah utusan Allah kepada kamu semua, yaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasulNya, ….”.
Surah Al A’raaf (7) : ayat 158

Hakikatnya, lafaz 2 kalimah toyyibah adalah perintah Allah Swt. Yang Maha Suci, bukanlah lafaz ciptaan seronok-seronok oleh insan bernama Muhammad bin Abdullah. Maksud jelasnya, intisari pertama 2 kalimah suci syahadah yang mahu saya sebutkan adalah, Islam adalah agama milik Allah Swt. yang diturunkan kepada manusia, maka Allah jualah yang menetapkan segala syarat dan sunnahNya (peraturan) dan segala perilaku amalannya ditunjukkan pula oleh rasulNya. Maka ingatlah : masuki, fahami, taati dan amalkan Islam itu sepertimana Pemiliknya tetapkan dan ditunjukkan oleh rasulNya, bukan seperti yang kita sendiri-sendiri faham.

Kalimah 2 syahadah adalah lafaz yang mesti diperbuat dengan penuh kesedaran, waras dan keinsafan, serta mesti difahami dengan benar bahawa terkandung didalamnya berbagai tuntutan dan pertanggungjawaban yaitu : menerima Islam itu sepenuhnya dengan memperbuat segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Kalimah syahadah bukanlah satu omongan kosong suka-suka, dinyanyikan, dilagukan dan dibuat pertandingan sebaliknya ia adalah kalimah suci dipenuhi makna tersirat dan tersurat untuk difahami dan ditaati, bukan disebut-sebut sahaja.

Kalimah suci ini merupakan kunci kepada sah dan sempurna Islamnya seseorang, yang dengan melafazkannya sahaja telah memisahkan seseorang daripada Dzulumaat (kegelapan) kepada Nuur (cahaya), yang menunjukkan seseorang kepada Haaq (kebenaran) dan menjauhkan seseorang daripada Batil (kepalsuan) seterusnya menentukan benar sempurna iman dan Islam atau hanya kemunafiqan. Barang siapa bersyahadah dan menerima Allah sebagai satu-satunya ilah yang berhak diibadahi, maka dia telah mendapat iman yang benar sepertimana firmanNya di dalam Al Qur’an ul Haniif :

“Allah wali (pelindung, pemimpin) bagi orang-orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya adalah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka itu adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 257

Lantaran itu, melafazkan kalimah syahadah memang amat mudah dan boleh disebut-sebut oleh sesiapa pun. Namun hakikat makna dan prinsip pertanggungjawaban yang terkandung di dalamnya, menjadikan hanya segelintir sahaja manusia yang sanggup dan rela melafazkannya.  

Allah Swt. telah menggambarkan situasi peri pentingnya kalimah syahadah ini yang mana, sekiranya kalimah (akar tunjang) ini terpelihara dan dijaga dengan baik maka lengkap dan baiklah seluruh pepohon keIslaman. Namun apabila rosaknya kalimah ini, maka seluruh pepohon keIslaman itu akan rosak binasa. Demikianlah pengajaran yang diberikan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Jabbaar :-   

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad), bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu : kalimah yang baik (toyyibah) adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.
Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).
Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.
Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh (toyyibah) dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya”.
Surah Ibrahim (14) : ayat 24 hingga 27

Demikianlah intisari asas kepada 2 kalimah suci syahadah. Seterusnya, marilah bersama kita selami hakikat makna dan prinsip pertanggungjawaban dalam menjalankan tuntutan kalimah suci ini. Saya nyatakan secara bahasa mudah supaya dapat difahami, insyaAllah. Seboleh mungkin saya mengelakkan aspek kalamiyah (falsafah) yaitu permainan kata-kata berbunga, metafora dan berbelit-belit yang sering membuat sekelian banyak orang pening, tak faham dan seakan berada diawang-awangan.

Makna syahadah لا إله إلا الله adalah beri'tiqad (mempercayai) dan berikrar (berjanji) dengan sesungguhnya bahawasanya tidak ada (tuhan) yang berhak disembah dan menerima ibadah kecuali Allah Swt. semata-mata, menta'ati hal tersebut dan mengamalkannya. Makna lafaz لا إله إلا الله adalah menafikan (Nafi) hak penyembahan kepada sesuatu apa pun selain dari Allah. Makna lafaz لا إله إلا الله adalah penetapan (Isbat) hak Allah semata untuk disembah. Jadi, makna kalimah ini secara mujmal (umum) adalah, "Tidak ada sesembahan (tuhan) yang haq (sebenar-benarnya) selain Allah". Penetapan bahawasanya hanya Allah semata-mata yang berhak diibadahi telah difirmankan oleh Allah Swt. sendiri dalam banyak ayat Al Qur'an ul Kariim antaranya :

"atau adakah mereka mempunyai tuhan-tuhan yang dapat memelihara mereka dari (azab) Kami? Tuhan-tuhan itu tidak sanggup menolong diri mereka sendiri (pun) dan tidak (pula) mereka dilindungi dari (azab) Kami itu".
Surah Al Anbiyaa' (21) : ayat 43, dan

"(Kuasa Allah) yang demikian itu, adalah kerana sesungguhnya Allah, Dialah (Tuhan) Yang Haq dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain Allah, itulah yang batil, dan sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar".
Surah Al Hajj (22) : ayat 62, dan

"Janganlah kamu sembah di samping (menyembah) Allah, tuhan apa pun yang lain. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. BagiNya lah segala penentuan dan hanya kepadaNya lah kamu dikembalikan".
Surah Al Qasas (28) : ayat 88

Makna syahadah أن محمد رسول الله adalah mengakui secara zahir batin sesungguhnya bahawa Baginda adalah hamba Allah dan RasulNya yang diutus kepada manusia secara keseluruhan, serta mengamalkan tuntutannya yaitu mentaati segala perintahnya, membenarkan ucapannya, menjauhi larangannya, dan tidak menyembah Allah kecuali dengan cara apa yang disyari'atkan oleh Baginda. Baginda bersabda :

"Dari Abdullah bin Abbas rhu. beliau menceritakan bahawa tatkala Rasulullah Saw. mengutus Muadz bin Jabal ke Yaman, maka Baginda bersabda : Sesungguhnya engkau akan mendatangi sekelompok orang dari kalangan ahli kitab. Jika engkau mendatangi mereka, maka ajaklah mereka untuk bersyahadah bahawa tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah dan aku adalah Rasulullah..........".
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Pengakusaksian syahadah ini bermula diqasadkan di dalam hati (qalbi) seterusnya dizahirkan menjadi kata-kata (qauli/lisani) dan akhirnya dipraktikkan sebagai amal perbuatan (fi’li). Inilah maknawi sebenar kalimah syahadat yang bukan hanya sekadar kata-kata atau sebut-sebutan. Begitulah tuntutan pertanggungjawaban kalimah syahadah itu yang bermula terdetik didalam hati dan seterusnya dilafazkan dan, akhirnya dilaksanakan segala macam amalan Islam yang dituntut ke atas para penganutnya dan meninggalkan segala yang dilarang. Tanpa gabungan ketiga perkara ini, menjadikan syahadah itu seterusnya tahap keIslaman tidak sempurna.

Lafaz syahadah لا إله إلا الله mempunyai 2 rukun yaitu,

An Nafyu (Nafi) atau Peniadaan : Lafaz لا إله إلا الله membatalkan syirik (persekutuan terhadap Allah) dengan segala bentuknya dan mewajibkan kekafiran (keingkaran) terhadap segala apa yang disembah selain Allah.

Al
Isbat atau Penetapan : Lafaz لا إله إلا الله menetapkan bahwa tidak ada (tuhan) yang berhak disembah kecuali Allah dan mewajibkan pengamalan Islam sesuai dengan suruhanNya.

Makna dua rukun ini banyak disebut oleh Allah Swt. di dalam Al Qur'an ul Hakiim antaranya :

"
Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama Islam, sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 256

Firman Allah "
barangsiapa yang ingkar kepada thaghut" itu adalah makna dari لا إله rukun yang pertama. Sedangkan firman Allah "dan beriman kepada Allah" adalah makna dari rukun kedua  إلا الله  

Begitu juga firman Allah Swt. kepada Nabi Ibrahim ahs. :
“Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya, Sesungguhnya aku tidak bertanggungjawab terhadap apa yang kamu sembah. Tetapi (aku menyembah) Tuhan yang menjadikanku, kerana sesungguhnya Dia akan memberi hidayah kepadaku".
Surah Az Zukhruf (43) : ayat 26-27

Firman Allah Swt. "Sesungguhnya aku berlepas diri" adalah makna nafi (peniadaan) dalam rukun pertama
 لا إله . Sedangkan perkataan "Tetapi (aku menyembah) Tuhan yang menjadikanku", adalah makna isbat (penetapan) pada rukun kedua  إلا الله.

والله اعلم bersambung

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.

سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: