Isnin, 21 Oktober 2013

Soal Jawab : Persoalan Mengenai Lafaz Niat Solat.

0 ulasan
Assalaam. sheikh.
 
Ada seorang kawan tanya sama ana soalan ni. Dia kata, dia mendengar satu hukum dari kuliah kat surau tempat dia tinggal. Dia mahukan kepastian.
Soalannya : Niat solat (apa-apa solat), semasa sebut “nawaitu ….. sahaja aku solat….” mesti bayangkan perbuatan solat (eg. takbir or rukuk or sujud). Kalau tak bayangkan perbuatan macam tu, solat itu tak sah. Betul ke?
 
Nak pohon apa pandangan tuan sheikh?
Salaam I’edul Adha
 
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.
 
Syukron syeh kerana bertanya. Hal ini -berkaitan lafadz niyat dan yang berkaitan dengannya- sudah banyak kali dicakapkan dan dijelaskan, sama ada di dalam kuliyah atau pun secara sembang-sembang. Dan, ini adalah pertama kali saya menulisnya. InsyaAllah, penulisan pandangan ini akan disertakan rujukan dan dalil-dalil berkaitan sebaik mungkin supaya memberi makna, tidak ia jadi sekadar sebarangan atau picisan cuma.
 
Soalan ini mencerminkan perasaan orang awam yang ingin tahu, terutama sekali ke atas hal yang pelik-pelik. Tiada salah langsung hasrat ini, lantaran sebagai orang awam pastilah wajib atasnya mendapatkan penjelasan dan kepastian ke atas hukum amalan, dan pastilah yang ditanya itu kepada orang yang dianggapnya lebih tahu (alim) dan dia bergantung harap ilmu kepadanya. Pasti membingungkan, apabila hal hukum pelik-pelik ini hakikatnya keluar dari mulut golongan yang juga dianggap alim, yang disanjung dan dikelek orang ke hulu ke hilir. Yang begitu ramai orang percaya, bersandar dan bergantung harap ilmu kepandaian kepadanya. Barang tentu hukuman pelik ini memeningkan orang awam yang sememangnya tidak tahu dan serba ingin tahu kebenarannya sesuatu perkara. Lantas! Apa yang tidak kena?
 
Pasti yang tak kena itu adalah para alim-alim itu sendiri, yang berkata-kata dan berhukum-hakam secara kurang teliti dan sebarangan. Memperkatakan sesuatu hukum yang tidak bersandarkan dalil soreh, sahih dan qot’ie atas segala macam sebab yang direka-reka dihadapan orang awam, yang sekaligus menjadikan mereka itu pening. Ditambah pula dengan sifat khalayak awam yang segan malu nak bertanya. Kepada yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut, insyaAllah dia akan mendapat kebenaran. Kepada yang menerima dan percaya bulat-bulat, berterusanlah dia dalam lautan ilmu sangka-sangkaan, yang berasal dari para alim yang disangkakan tahu, rupa-rupanya bersangka-sangkaan jua. Dan ilmu sangka-sangkaan itu jualah yang disampaikan ke sana sini.
 
Justeru itu, bertanya memang kunci kepada ilmu pengetahuan. Malu bertanya sesat jalan. Cuma pastikan prinsip asas dalam berilmu itu benar-benar dipegang ya’ni setiap hukum mestilah bersandarkan dalil soreh, sahih dan qot’ie, bukannya sangka-sangkaan, pendapat-pendapat atau pun mimpi-mimpi. Dan prinsip ini jugalah yang mesti dipegang oleh orang yang bertanya dan orang yang menjawab sekali pun. Namun apa yang dapat dikata, tetap jua ada orang yang suka berpegang kepada sesuatu yang tidak ada dasar dalam syari'at Islam. Malahan lebih menjengkelkan lagi, disebabkan fahaman pelik itu, mereka mencipta berbagai hukum yang langsung tidak masuk aqal dan memeningkan bersandaran kepadanya.
 
Lantaran yang dipohon adalah pandangan, maka saya nukilkan pandangan saya terhadap soalan ditanyakan, moga-moga ia memberi manfaat dan kebaikan. insyaAllah. Baik sekali dimulai dengan hal asas :
 
Setiap amal wajib disertakan niyat berdasarkan sabda Rasulullah Saw. :

اِنَّمَا اْلاَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَاِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى
“Bahawasanya segala amal itu disertakan dengan niyat dan setiap orang akan mendapat balasan sesuai dengan niyatnya …………………………”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. imam Muslim Rhm. dan lain-lain
 
Dalam menafsirkan hadis ini, Imam Yahya bin Sharaf An Nawawi Rhm. menyebutkan : Jumhur ulama berkata, Menurut ahli bahasa, ahli ushul dan yang lain lafadz إِنَّمَا digunakan untuk membatasi, yaitu menetapkan sesuatu yang disebutkan dan menafikan selainnya. Jadi, makna niyat di atas adalah bahawa amalan seseorang akan dihisab (diperhitungkan) berdasarkan niyatnya; dan suatu amalan tidak akan dihisab bila tidak disertai niyat.”
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid XIII halaman 47.
 
Niyat menurut pengertian lughah (bahasa) adalah :

(اَلْقَـصْـدُ وَالْعَـزْمُ وَاْلاِرَادَةُ)
Qasad (maqsud), Azam ('azamul qalb/cita-cita) dan Iradah (al-iradatul jazimah, iaitu kehendak/keinginan hati dalam keadaan yang sedar) untuk melakkan sesuatu.

Adapun menurut istilah (syara’), adalah :

اَلْعَزَمُ عَلَى فِعْلِ الْعِبَادَةِ تَقَرُّبًا اِلَى اللهِ تَعَالَى
“Berazam (bertekad) untuk melaksanakan ibadah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala”.

Qasad, 'azam dan iradah tempatnya di hati, kerana ia adalah kerja yang luhur dari hati (عَمَلُ الْقَلْب) bukannya kerja lidah (lisan). Oleh itu, niyat tidak perlu dilafadz atau diucapkan, inilah yang disepakati oleh jumhur ulama dan fuqaha. Niyat juga diertikan sebagai : “kehendak, maqsud (tujuan) dan keazaman” bukan paksaan.
Syeikh Al Allamah Muhammad bin Soleh bin Muhammad Al Utsaimin Rhm. الشرح الممتع على زاد المستقنع , halaman 283 jilid 2.
 
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah Al Harrani Ad Dimasyqi Rhm. berkata : “Lafadz النِّيَّةُ dalam bahasa Arab sejenis dengan lafadz القَصْدُ (maqsud), الإِرَادَةُ (keinginan) dan semisalnya.” Niyat dapat mengungkapkan jenis keinginan, dan dapat pula mengungkapkan yang diinginkan itu sendiri.”
Kitab Majmu’ Al-Fatawa, Jilid XVIII halaman 251
 
Imam Ibnu Rajab Al Hanbali Rhm. berkata, “Niyat menurut para ulama mengandung dua maqsud, yaitu :
 
Pertama, sebagai pembeza antara satu ibadah dengan yang lain, seperti membezakan antara Solat Zuhur dengan Solat Asar, puasa Ramadhan dengan puasa lainnya; atau pembeza antara ibadah dengan adat kebiasaan, seperti membezakan antara mandi junub (mandi wajib) dengan mandi untuk sekedar mendinginkan atau membersihkan badan atau yang semisalnya.
 
Kedua, untuk membezakan tujuan dalam beramal, apakah yang dituju adalah Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, atau semata-mata hanya untuk selain-Nya, atau untuk Allah tapi juga untuk selain-Nya. Niat semacam ini dibicarakan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka ketika membicarakan masalah ikhlas dan apa-apa yang berkaitan dengannya. Para ulama salaf juga banyak membicarakan masalah ini.”
Kitab Jami’ Al ‘Ulum Wa Al Hikam, jilid I halaman 28-29.
 
Syaikhul Islam imam Ibnul Qayyim Al Jauziyyah Ad Dimasyqi Rhm. dalam kitabnya Ighatsatu’l Lahfan, menyatakan : Niyat artinya menyenghaja dan bermaqsud sungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu. Dan tempatnya ialah di dalam hati, dan tidak ada sangkut-pautnya sama sekali dengan lisan…
Dinukil daripada Kitab Fiqh Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq Al Misri Rhm. Jilid 1 halaman 286.
 
Dan Imam an-Nawawi Rhm. menjelaskan : “Makna niyat adalah kehendak (hasrat) untuk melakukan sesuatu. Seseorang yang hendak mengerjakan solat perlu menghadirkan niyat di dalam hatinya dan fikirannya berkenaan solat yang hendak dia kerjakan dan tata caranya, seperti niyat solat zuhur, atau solat fardhu dan solat-solat lainnya. Seterusnya ia memulakan ibadah ini (solat) dengan takbiratul ihram. “
Kitab Raudhatuth Tholibin, Jilid 1 halaman 224
 
Dan niyat itu tentu pula mempunyai arah tujuan atau ketentuan maqasidnya. Seseorang akan mendapat balasan sebanding dengan apa yang diniyatkan menurut ikhtiar dan pilihan hatinya sendiri. Amal ibadah dianggap sah dan diterima dan diberikan balasan sekiranya asal diperlakukan dengan penuh keikhlasan (murni) ya’ni melakukan sesuatu amal ibadah (perbuatan) itu hanyalah kepada Allah Swt. semata-mata. Inilah yamg dinamakan ikhlas yang menjadi jiwa sesuatu amal. Demikianlah yang dituntut Allah Azzawajalla :
 
 وما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين
"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya beribadah kepada Allah dengan memurnikan (ikhlas) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang lurus.”
Surah Al Bayyinah (98) : ayat 5
 
Jelaslah bahawa suatu amal itu dianggap sah atau sempurna kalau diwujudkan dengan niyat atau qasad. Tetapi niyat itu terletak pada tujuan atau haluan. Jika semata-mata diperlakukan kepada Allah Swt. maka itulah ikhlas. Tegasnya, niyat yang terselit dihati ialah punca yang menentukan akibat amal. Malah niyat itu pula ada kalanya dapat merubah sesuatu perkara dan adat, menjadikan dia suatu jenis ketaatan dan jalan ke arah perdampingan kepada Allah Ta’ala.
Matan Arba’in An Nawawi, halaman 58
 
Dari keterangan ternyata di atas, dapatlah dirumuskan dari iltizam saya sendiri bahawa niyat adalah :
maqsud yang terbit dari kehendak, azam, keinginan, cita-cita dan gerak hati yang disedari (senghaja) tanpa dipaksa, untuk melakukan sesuatu amal kepada Allah Swt. semata-mata (ikhlas/murni) dan melakukannya.”

Syarat niyat ialah : “Diketahui atau disedari oleh hati” oleh kerana niyat hanya bertempat di hati bukannya pada lidah. Rasulullah Saw. bersabda :

اَلنِّيَّةُ هَاهُنَا ثُمَّ اَشَارَ اِلَى صَدْرِهِ
“Niat itu tempatnya ialah di sini, kemudian Baginda menunjukkan ke arah dadanya”.

Maka itu, sebelum memulakan apa pun jenis ibadah, tidak perlu menyusun atau mereka-reka ayat (jumlah) niyat untuk dibacakan pada setiap amal, sama ada dengan suara jahrah (kuat) atau perlahan. Penyusunan niyat sehingga menjadi sebuah ayat dan dilafadz-lafadz (disebut secara lisan) tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah Saw. atau zaman para Salaf as-Soleh (generasi awal umat Islam). Baginda Saw. dan para sahabatnya tidak pernah mengucapkan niyat dengan lisan.
 
Tempat niyat adalah di dalam hati. Apabila seseorang teringat, terdetik, terlintas sesuatu maqsud di hati misalnya mahu melakukan solat, maka dia menghentikan aktiviti semasanya, bergerak ke musolla, membuka kasut, mengambil wudhu’, masuk ke musolla, berdiri (qiyam) menghala qiblat dan melakukan tatacara solat seterusnya, maka sah solatnya walaupun tidak dia melafadzkan niyat untuk melakukan solat tersebut. Niyat tidak pernah disyari’atkan supaya diucapkan dengan lisan, akan tetapi cukup dalam hati, kerana niyat adalah sebuah keikhlasan (murni) maka tempatnya adalah dalam hati, dan ikhlas itu bukannya perkara yang boleh ditunjuk-tunjuk atau disebut-sebut.
 
Lantaran hal yang ditanyakan itu berkenaan solat, maka baik sekali dijelaskan bagaimana Nabi Saw. melakukan solat dalam hal yang terkait dengan hal-ehwal niyat itu. Begini :
 
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ:  رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افْتَتَحَ التَّكْبِيرَ  فِي الصَّلاَةِ فَرَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ يُكَبِّرُ.
Dari Abdullah ibn Umar Rhu., dia berkata : Aku melihat Rasulullah Saw. membuka (memulakan) solatnya dengan takbir (mengucapkan Allahu Akbar), lalu mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm., no. 738
 
Masih banyak lagi dalil-dalil (tidak saya tuliskan disini) yang membuktikan bahawa Nabi Saw. memulakan solat Baginda dengan lafaz takbir. Hadis-hadis ini kesemuanya menunjukkan Nabi Saw. tidak sama sekali pernah melafadzkan apa-apa perkataan pun sebelum membuat takbir, mahu pun serentak dengan takbir atau menunjukkan sedang membayang-bayangkan sesuatu. Demikian jualah perbuatan solat yang diamalkan oleh semua para sahabatnya.
 
Contoh satu lagi dalam melaksanakan ritual solat, Rasulullah Saw. bersabda kepada seorang lelaki yang rosak solatnya :
 
“Jika kamu bangkit hendak solat, maka baguskanlah wudhukmu, kemudian mengadaplah ke arah kiblat lalu bertakbirlah, selanjutnya bacalah yang termudah bagimu dari Al-Qur’an.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm.
 
Hadis ini sangat jelas menunjukkan bahawa Rasulullah Saw. memerintahkan untuk memulai solat dengan perintah “bertakbirlah”, bukan dengan “melafazkan niyat” terlebih dahulu, dan tidak juga “bertakbirlah dan sertakan niyat dalam takbirmu”. Menyertakan niyat ketika melafadzkan takbir itu sendiri tidak ada, maka hukum membayangkan tatacara solat semasa melafadzkan niyat, sebelum mahu pun serentak dengan takbir itu, memang sangat jauh daripada ada (tak wujud langsung malah tak patut ada pun).
 
Maka kerana itulah kita dapati ada banyak orang yang takbiratul ihram berulang kali atas alasan niyat tidak masuk sewaqtu takbir (yang hakikatnya perasaan was-was begitu menebal dalam dirinya). Malah tidak kurang juga yang melafadzkan dengan kuat berulang kali sehingga mengganggu solat orang lain. Bahkan ada yang sampaikan bacaan imam telah pun ke mana-mana, dia masih belum selesai lagi bertakbiratul ihram, Na’uzubillah, hakikatnya apa yang nak dimasukkan sedangkan hal itu memang tidak ada. Salah fahaman tentang lafadz niyat ini telah mengganggu solat sendiri malah lebih teruk telah mengganggu solat orang lain. Tidak ada suatu dalil pun juga daripada para sahabat yang mengatakan bahawa niyat itu berbentuk dilafadzkan. Ini kerana maksud frasa kalimat “Jika kamu bangkit hendak solat…” sudah jelas menunjukkan suatu maqsud keinginan untuk melakukan solat. Begitulah yang dimaqsudkan dengan niyat.
 
Kalaulah memang niyat adalah rukun sembahyang yang memerlukan lafadz khusus, nescaya Rasulullah Saw. telah pun mencontohkan dan mengajarkannya kepada para sahabat. Mari kita lihat salah satu hadis yang menjelaskan betapa rincinya Nabi Saw. menunjukkan ritual solat kepada ummatnya :
 
Dari Za`idah bin Qudamah dari ‘Ashim bin Kulaib bin Syihab dari ayahnya dari Wa`il bin Hujr. Rhu. bahawasanya dia mengkhabarkan kepadanya, dia berkata :
 
“Aku melihat cara solat Rasulullah Saw. Aku melihat Baginda berdiri untuk solat, kemudian takbir dengan mengangkat kedua tangannya sejajar dengan kedua telinganya. Lantas Baginda meletakkan tangan kanannya di atas telapak kirinya, juga di atas pergelangan tangannya, dan meletakkannya di atas lengannya. Ketika hendak ruku’ Baginda mengangkat kedua tangannya sama seperti tadi (sejajar dengan kedua telinganya).
 
Baginda meletakkan kedua tangannya di kedua lututnya, kemudian mengangkat kepalanya sambil mengangkat kedua tangannya, sejajar dengan kedua telinganya, kemudian sujud dan meletakkan kedua tangannya sejajar dengan kedua telinganya, kemudian duduk di atas kaki kiri. Beliau juga meletakkan telapak tangan kiri diantara paha dan lutut kiri. Lalu Baginda meletakkan hujung lengan kanan di atas paha kanan. Kemudian ia menggenggam dua jarinya serta membentuk lingkaran, lantas mengangkat jarinya. Aku melihat Baginda menggerak-gerakkannya dan berdoa dengannya."
 
Hadits sahih ini diriwayatkan oleh :
Imam Ahmad bin Hanbal Rhm. Kitab Al Musnad jilid 4 no. 318
Imam Ad-Darimy Rhm. Kitab Sunan jilid 1 no. 362 dan no.1357
Imam An-Nasaie Rhm. Kitab Sunan jilid 2 halaman 126 no.889 dan jilid 3 halaman 37 no.1268 dan dalam Kitab Al-Kubro jilid 1 halaman 310 no.963 dan halaman 376 no.1191
Imam Ibnul Jarud Rhm. dalam Kitab Al-Muntaqa’ no.208
Imam Ibnu Hibban Rhm. dalam Kitab Al-Ihsan jilid 5 halaman 170 no.1860 dan Kitab Al-Mawarid no. 485,
Imam Ibnu Khuzaimah Rhm. Kitab Sahih jilid 1 halaman 354 no.714
Imam Ath-Thobarany Rhm. Jilid 22 halaman 35 no.82
Imam Al-Baihaqy Rhm. Kitab Sunan jilid 2 no. 131
Imam Khatib Al-Baghdady Rhm. dalam Kitab Al-Fashl Li Washil Mudraj jilid 1 no. 425-427.
Imam Ibnu Majah Rhm. Kitab Sunan jilid 1 no. 354
Imam Ibnu Hibban Rhm. jilid 5 no.170
Syeikh Muhammad Nasiruddin Al Albany di dalam Kitab Irwa al Ghalil, halaman 367
 
Baik sekali dinukilkan disini, munculnya pendapat yang mewajibkan melafadz niyat sebelum memulakan amal ibadah seperti solat dan lain-lainnya, adalah berpunca dari pandangan Abu Abdullah az-Zubairi Rhm. dari kalangan ulama Syafi’eyah. Beliau menyangka Imam Syafi’e Rhm.  mewajibkan untuk melafadzkan niyat di dalam setiap ibadah yang akan dikerjakan termasuk ibadah solat. Beliau terkeliru terhadap qaul Imam asy-Syafie yaitu :

قَالَ الشَّافِعِيُّ : اِذَا نَوَى حَجًّا وَعُمْرَةً اَجْزَاَ وَاِنْ يَتَلَفَّظَ وَلَيْسَ كَالصَّلاَةِ لاَتَصِحُّ اِلاَّ بِالنّطْقِ
“Jika berniat untuk haji dan umrah diharuskan sekalipun dilafadzkan. Dan tidak seperti solat ia tidak sah kecuali dengan dilafadzkan (maqsudnya - lafadz takbir).”

Salah fahaman ini telah diperjelaskan, menurut Imam an-Nawawi Rhm. tentang ibarah (perkataan imam asy-Syafi’e) di atas :

قَالَ اَصْحَابُنَا: غَلَطَ هَذَاالْقَائِلُ وَلَيْسَ مُرَادُ الشَّافِعِيُّ بِالنَّطْقِ فِىالصَّلاَةِ هَذَا بَلْ مُرَادُهُ التَّكْبِيْر
“Berkata para sahabat kami : Telah berlaku kesilapan oleh orang yang mengatakannya (Abu Abdullah az-Zubairi), kerana bukan itu yang dimaksudkan oleh asy-Syafi’e tentang apa yang diucapkan pada solat, tetapi yang dimaksudkan ialah supaya diucapkan takbir (bukan mengucapkan niyat)”.
Kitab المجموعة. Jilid 2 halaman 234

Dan diperjelaskan lagi pula oleh imam Ibn Abi al-‘Izzi al-Hanafi Rhm. :

لَمْ يَقُلْ اَحَدٌ مِنَ الاَئِمَّةِ الاَرْبَعَةِ ، لاَ الشَّافِعِى وَلاَ غَيْرِهِ بِاِشْرَاطِ التَلَّفُظِّ بَالنِّيَّةِ وَاِنَّمَا النِّيَّةُ مَحَلُّهَا الْقَلْبِ بِاتِّفَاقِهِمْ
“Tidak seorang pun dari para imam yang empat walau pun asy-Syafi’e dan selainnya mengisyaratkan agar melafadzkan niyat. Ada pun niyat itu tempatnya di hati sebagaimana dipersetujui oleh semua ulama.”
Kitab الامر بالاتباع والنهي عن الابتداع. Halaman 62
 
Maka dengan ini, hukum atau fatwa atau ketetapan bahawa “Niat solat (apa-apa solat), semasa sebut “nawaitu ….. sahaja aku solat….” mesti bayangkan perbuatan solat (eg. takbir or rukuk or sujud). Kalau tak bayangkan perbuatan macam tu, solat itu tak sah” adalah benar-benar pelik dan memang memeningkan. Hukum ini langsung tidak bersandarkan dalil soreh, sahih dan qot’ie malah tidak juga ia disebut dalam mana-mana kitab ulama’ atau pun fuqaha’  muktabar. Justeru itu ia memang terhasil dari hawa nafsu, sangka-sangkaan dan aqal-aqalan semata-mata.
 
Justeru itu, hukum ini tertolak disebabkan :
 
1.    Tidak pernah ada hukum yang niyat itu mesti dilafadz, dan lafadz niyat pula tidak pernah menjadi syarat sah atau batal sesuatu amal ibadah.
2.  Tidak pernah ada hukum kena membayangkan amalan sifat (tatacara) solat semasa berniyat yang ditetapkan menjadi syarat sah atau batal solat.
3.    Niyat bukanlah sesuatu yang dilafadz (sebut), tetapi ia hadir di hati.
4.    Tidak pernah disyari’atkan adanya niyat untuk solat itu dilafadzkan.
5.    Tidak pernah ada dicontohkan pula oleh Nabi Saw. bentuk niyat berlafadz sebegitu atau pun sebegini.
6.    Hukuman tidak sah solat itu amat berat lantaran langsung tidak berlandaskan dalil soreh, sahih dan qot’ie, maka wajib ia ditolak.
7.    Hukuman tidak sah itu tidak boleh pun diterima oleh aqal yang sihat lantaran solat Nabi Saw. dan para sahabatnya pun sudah tak sah kerana tidak mereka beramal sebegitu.
 
Maka itu, niyat secara dilafadzkan itu tak pernah disyari’atkan dan apa-apa jua yang timbul darinya ya’ni membayangkan ritual amalan solat juga tidak pernah ada. Perbicaraan ke atasnya hanyalah membuang masa dan tidak berfaedah. Begitulah yang selalu terjadi apabila perkara yang diada-adakan pula yang dianggap besar dalam syari’at sehingga menenggelamkan tuntutan syari’at yang sebenarnya. Baik sekali masa yang sebegitu banyak itu dimanfaatkan untuk mempelajari dan menyelidiki benar-benar sifat solat (tatacara) yang dicontohkan oleh Nabi Saw. sendiri sepertimana yang diwajibkan ke atas kita menerusi sabdanya :
 
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي   
Dari Malik bin Huwairits Rhu. dia menceritakan bahawasanya : ……………………. Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm., no. 631
 
Imam Abu Daud Rhm. pernah bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal Rhm. : “Adakah orang yang mendirikan solat wajib melafzadkan sesuatu sebelum takbir? Beliau berkata : Tidak.”
(Lihat: مجموعة الفتاوى. (22/28). Lihat:مسائل الامام احمد. Hlm. 31)

Dan Imam asy-Syafi’e Rhm. telah berkata :

اَلْوَسْوَسَةُ فِى النِّيَّةِ الصَّلاَةِ وَالطَّهَارَةِ مَنْ جَهْلِ بِالشَّرْعِ اَوْ خَبْلٍ بِالعَقْلِ
“Was-was dalam berniyat semasa solat atau bersuci berpunca dari kejahilan atau kerosakan aqal.”
(Lihat: الامر بالاتباع والنهي عن الابتداع (لوحة/28ب))
 
Setakat inilah yang mampu saya berikan pandangan, seperti yang diminta. Semoga dapat membantu Tuan dan telah menjawab persoalan, insyaAllah.
 
والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
 
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Khamis, 3 Oktober 2013

Ramadhan Berlalu, I'edulfitri Hari Kemenangan.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani puasa kepada semua rakan jamaah serta para pembaca dan mendoakan agar Allah Swt. menerima semua amalan kita, seraya mendoakan agar sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang teguh kepadaNya dan menerima semua amalan kita.

Di kesempatan yang baik ini, saya mendoakan dan berharap agar kita semua telah pun menjalani ibadah puasa dan menegakkan Ramadhan dengan sebenar-benarnya. Puluhan tahun kita hidup dibumi Allah Swt. ini dan menempuh berkali-kali Ramadhan, saya yakin, bahawa kita semua telah mencuba dan berusaha sebaik mampu untuk mentaatiNya. Moga Ramadhan kita kali ini lebih baik dan bermakna dari Ramadhan yang terdahulu. InsyaAllah.

Saya mohon berlindung diri dengan Allah Tabaraka Wata’ala dari sebarang kesilapan dan kekhilafan serta memohon pimpinanNya sentiasa dalam menukilkan artikel ini.

Pertamanya marilah bersama kita hayati Kalamullah ini, tentang pensyari’atan puasa.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 183

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 184

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 184

Para jamaah yang dirahmati Allah Swt. Moga rahmatNya senantiasa melimpahi hidup kita.

Alhamdullah, Kita kini telah berada di penghujung Ramadhan al Kariim 1434 Hijrah. Bulan kewajiban puasa yang melatih segenap aspek badani dan rohani, menguji segala tahap iman dan taqwa, yang mencabar segala nafsu dan emosi, yang menuntut kekuatan hati dan kesabaran dalam menempuhinya. Pengakhiran ini sekaligus membawa makna, bermulalah kembali gelanggang perjuangan yang amat berat untuk mengatasi dan mengendalikan hawa nafsu yang menjadi sumber kebinasaan diri kita dan seluruh ummat manusia.

Berapa banyak yang telah mendapat barokah, madrasah Ramadhan al Kariim ini telah menganugerahkan keampunan seterusnya membolehkan ia menelusuri hayat dengan restu dan keimanan selamanya. Demikianlah sunnatullah yang berlaku pada hidup setiap manusia. Memang ada diantaranya yang berhasil menyingkirkan segala ranjau dan duri cabaran itu sehingga selamat di dunia dan di akhirat. Sementelahan, ranjau dan duri hidup di dunia fana ini memangnya terlalu banyak.

Maka, untuk menyingkirkannya menuntut waqtu yang amat panjang dan pengorbanan yang tidak sedikit. Kita takut kalau seandainya kegagalan hidup itu berakhir dengan murka dan neraka Allah Swt.. Akankah kita dapat menyelamatkan diri lagi, sementara kesempatan sudah tidak ada. Lantaran itu, hendaklah sentiasa kita bertanya diri, bermuhasabah dan memerhatikan siapa kah kita dihadapan Allah Swt. nanti. Sentiasa bertanya diri, adakah setiap detik waqtu yang kita lewati selama hayat kita ini, telah dilalui dengan dipenuhi rahmat dan barokah Allah Swt. dari satu segi, dan dari satu segi lagi, adakah semua waqtu itu dilewati untuk menghambakan diri kepada Yang Ma’bud. Marilah bersama kita bertanya diri.

Betapa banyak juga, yang tidak mampu menyingkirkan segala ranjau dan duri cabaran sehingga harus terkapar dalam kubang kegagalan di dunia dan akhirat. Terus menelusuri hidup dengan penuh kealpaan dan kefasiqan. Dilaluinya madrasah Ramadhan al Kariim ini tanpa beroleh apa-apa melainkan lapar dan dahaga. Malah tidak kurang juga, banyak yang melalui madrasah Ramadhan al Kariim ini dengan penuh sia-sia dan dosa, tidak hanya dia melalui Ramadhan al Kariim ini dengan lapar dan dahaga, melainkan setiap harinya adalah pesta. Maka berlalulah Ramadhan al Kariim dalam hidupnya tanpa menjengah tahap iman dan taqwa, tetapi hanya menambahkan rosaknya.
 
Sesungguhnya, madrasah Ramadhan al Kariim telah menyedia setiap kesempatan bagi kita untuk berusaha menyingkirkan segala ranjau dan duri hidup tersebut. Tidak ada cara yang terbaik, kecuali harus sentiasa kembali kepada agama kita dan menempuh bimbingan Allah Swt. dan Rasul-Nya. Demi sesungguhnya. Allah Swt. telah menjelaskan di dalam Al Qur’an bahawa satu-satunya jalan itu adalah dengan beriman dan beramal kebajikan sepertimana firmanNya :

(٣) بِالصَّبْرِ‌ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا الصَّالِحَاتِ وَعَمِلُوا آمَنُوا الَّذِينَ إِلَّا (٢) خُسْرٍ لَفِي الْإِنسَانَ إِنَّ (١) الْعَصْ وَ
“Demi masa. sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan orang-orang yang saling berpesan (menasihati) dengan kebenaran dan saling berpesan (menasihati) dengan kesabaran.”
Surah Al ’Asr (103) : ayat 1-3

Para jamaah yang dirahmati Allah Swt. Moga barokahNya senantiasa mengiringi hidup kita.

Demikian besarnya anugerah nikmat dari Allah Swt. Yang Maha Pemurah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Dermawan terhadap seluruh makhluknya. Setelah didatangkanNya Ramadhan yang diwajibkan puasa padanya, terkandung segala macam ujian dan cubaan ke atas hawa nafsu, taqwa dan iman di dalamnya, dengan penuh hikmah dan keadilan dianugerahkanNya pula hari kebesaran, kemenangan dan kegembiraan. Justeru Allah Yang Ma’bud telah memerintahkan lewat kalamNya :

(١٥) فَصَلَّىٰ بِّهِ رَ‌ اسْمَ وَذَكَرَ (١٤) تَزَكَّىٰ  مَن أَفْلَحَ قَدْ
"Sesungguhnya berbahagialah dan berjayalah orang-orang yang membersihkan dirinya (dengan mengeluarkan zakat fitrah), dan ia mengingati Allah dengan menyebut nama Allah lalu menunaikan solat (I’edaini).”
Surah Al A’la (87) : ayat 14 – 15

Junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. telah memerintahkan menerusi sabdanya :

“Dari Anas bin Malik Rhu. dia berkata : Nabi Saw. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua Hari Raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyyah, maka baginda bersabda : Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Qurban (I’edul Adha) dan Hari Raya Puasa (I’edul Fitri).”
Hadis riwayat imam Ahmad rh. Jilid 3/103,178 dan 235. imam Abu Daud rh. no. 1134. Imam Baghawi rh. no. 1098) dan imam Nasa'i rh., Sunan an Nasa'i, Kitab as Solah, no. 959

Begitulah hari kebesaran yang disebut I’edul Fitri yang membawa maksud Kembali Suci. Kalimat i’ed berasal dari perkataan `aid adalah diambil dari kata dasar (masdariyah) al `audu yaitu kembali. Manakala kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah iaitu sebenarnya merujuk kepada suatu permulaan kejadian manusia yang bersih daripada dosa dan noda.

I’edul Fitri disambut sebagai suatu hari kebesaran, kemenangan dan kegembiraan bagi orang yang dapat melalui Ramadhan Al Kariim dengan mengerjakan ibadat puasa dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari Ramadhan, malah kejayaan mempertingkatkan tahap ilmu. iman, amal dan taqwa serta berjaya menghalang diri daripada melakukan perkara-perkara dilarang syara’ sepanjang Ramadhan itu. Lantaran itu, Allah Swt. menganugerahkan suatu hari kebesaran untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kini, datang lagi “Kembali Suci”, Hari Kebesaran, Hari Kemenangan dan Hari Kegembiraan kepada ummat Muslimin yang telah sebulan Ramadhan menghambakan diri dengan sebenar-benarnya kepada Allah Swt. dan Rasul-Nya. Sebulan berlapar dahaga di siang harinya, meninggalkan segala yang dilarangNya, dengan malam dipenuhi dengan amal solih dan ketaqwaan, membanyakkan sadaqah jariah dan mengawal nafsu. Di hari ini, muslimin ini “kembali suci” iaitu kembali dirinya ke suasana fitrah ya’ni semulia bayi baru zahir, putih bersih, suci tanpa sebarang dosa.

Para jamaah yang dirahmati Allah Swt. Moga karomahNya senantiasa mengiringi hidup kita.

Hadirnya Ramadhan dan diakhiri dengan I’edul Fitri, memperjelaskan betapa benar bahawa Yang Ma’bud Allah Swt. memang Maha Menepati Janji sepertimana KalamNya :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ وَعْدَ اللَّهِ حَقًّا ۚ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّهِ قِيلًا
“Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan solih, kelak akan Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah telah membuat suatu janji yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya dari pada Allah?.”
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 122

I’edul Fitri adalah hari penghargaan dan kebesaran yang dianugerahkan oleh Allah Swt. kepada segala hambaNya, yang telah meng’abdikan diri dan tunduk patuh kepada-Nya. Dan ia adalah sebahagian dari janji Allah Swt. ya’ni memberikan kenikmatan sebagia balasan terhadap hamba-Nya yang solih. Maka sudah sewajarnya kita menyambut ketibaan I’edul Fitri anugerah Allah Swt. ini dengan penuh kegembiraan sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran kepada Allah Yang Esa atas nikmat agung berupa Hari Kebesaran yang dihadiahkan Allah Swt. kepada sekalian hamba-Nya yang telah menamatkan ibadat puasa pada bulan Ramadhan.

Lantaran ia adalah anugerah kebesaran dan kemenangan oleh Allah Swt., maka tiada lain ia adalah suatu hari kebesaran syara’ yang mana, dalam menanggapi dan menjalaninya jua, tidak jua ia terlepas dari syara’, bukannya boleh ia ditanggapi dan diladeni dengan segala macam amalan sesuka hati dan hawa nafsu. Justeru ia perayaan syara’, maka kaifiyat menyambut I’edul Fitri itu sendiri mestilah mengikut adab dan peraturan syara’, malah dalam apa jua keadaan pun, mesti tidak boleh terkeluar dari garisan syara’ itu..

Antara hal pelik yang begitu berleluasa dalam hidup kita semasa ini, I’edul Fitri ditanggapi dengan segala macam hal kesedihan dan kepiluan. Segala bentuk media cetak, elektronik dan siber, lebih menonjolkan babak-babak cerita sedih pilu dalam berbagai hal. Dari hal kekeluargaan, percintaan, hutang piutang sehingga ke tahap hal terlalu peribadi pun diluahkan. Hampir tiada sama sekali yang menayangkan dan memperlihatkan betapa gembira dan meriahnya manusia menyambut kehadiran I’edul Fitri dengan semangat kemenangan dan kesyukuran lantaran telah berjaya melepasi satu tempoh getir yang penuh dengan ujian dan cabaran dari Allah Swt. 

Dan ini hal yang seakan telah menjadi trend masyarakat kita dalam menjalani I’edul Fitri. Hari kebesaran yang sepatutnya diraikan dengan semangat kemenangan dan kegembiraan seperti yang dianjuurkan oleh Allah Swt. dan rasulNya, bertukar menjadi detik-detik kesedihan. Tidak kurang juga ucapan-ucapan kurang cerdik yang menyatakan betapa kurang bermaknanya I’edul Fitri pada dirinya, atas sebab yang langsung tidak berkaitan syara’. Tidak ketinggalan juga Iklan-iklan promosi hari kebesaran ini pun, lebih mengajak manusia kepada pembaziran dan kealpaan bukannya kepada hikmah penganugerahannya.

Di satu pihak lain, I’edul Fitri memang sangat ditunggu-tunggu untuk berseronok dengan segala macam pestaan, hiburan, makanan dan pembaziran. Saat yang dinanti-nanti untuk memperagakan segala macam kekarutan dan kejahilan. Maka berbondong-bondonglah berbagai golongan turut terlibat dalam berbagai bentuk hiburan, kelekaan dan keseronokan, yang tidak lagi menjadikan I’edul Fitri hari sebagai kemuliaan dan kemenangan tetapi hari penuh kekarutan dan kelekaan. Malah selalunya, golongan yang kurang berpuasalah yang berlebih-lebih pula menyambutnya.

Saya menyeru kepada rakan-rakan jamaah dan terutamanya kepada diri saya sendiri, bersamalah kita menjalani I’edul Fitri sebaik mungkin berlandaskan perintah dan tatacara syara’. Bukanlah sama sekali diseru meninggalkan apa jua amalan budaya dan adat kebiasaan, namun harus diingat dengan sebenar-benarnya, bahawa Islam tidak pernah menolak budaya dan adat kebiasaan, namun batasannya mestilah jelas dan terkawal supaya tidak kita menjalani I’edul Fitri dengan melebihkan citarasa, hawa nafsu dan dan dipenuhi keduniaan berbanding kehendak dan perintah syara’.

Para jamaah yang dirahmati Allah Swt. Moga nikmatNya senantiasa mengiringi hidup kita.

Marilah kita merayakan I’edul Fiti ini dengan sunnah nabi Saw. dan tatacara amalan para sahabat baginda, Rodhiallahu’anhuma. Sesungghnya para auliyaa’ ini, telah pun memberikan contoh tauladan untuk kita menyambut hari kebesaran yang mulia ini.

Apabila saja diumumkan hari 1 Syawal, maka mulakanlah menyambut Hari Agung umat Islam ini dari malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunnat, bertakbir,  bertasbih, bertahlil dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Swt. aas segala limpah kurnia dan kebesaranNya. Ia dilakukan sama ada secara berjamaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah bersama keluarga. Bahkan pada zaman Rasulullah Saw., takbir itu dikumandangkan sebegitu hebat sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.

Kita dituntut patut membersih atau mengemas diri seperti menggunting rambut di bahagian kepala dan anggota badan agar tampil kemas, segak dan bergaya pada hari mulia ini. Dalam hal ini, bau-bauan yang harum seperti minyak wangi, atar dan sebagainya juga digalakkan sebagai meraikannya.

Kita dituntut mengangkat hadas besar (mandi wajib) pada pagi 1 Syawal, sebelum memakai pakaian dan bertolak ke masjid.

Disunnatkan juga makan sedikit terlebih dahulu sebelum berangkat ke masjid untuk menunaikan solat sunat I’ed.

Disunnatkan bagi kita memakai pakaian yang terbaik dan tercantik. Baginda Rasulullah Saw. mengenakan pakaian yang terbaik dan tercantik bagi meraikan kedua-dua hari kebesaran Islam ; I’edul Fitri dan I’edul Adha.

Zakat fitrah mesti dijelaskan sebelum melakukan solat I’ed.

Acara kemuncak pada I’edul Fitri ini adalah mengerjakan solat sunnat I’ed secara berjamaah dan mendengar khutbahnya.

Sunnat pula pergi menunaikan solat itu dalam keadaan berjalan kaki, pergi melalui satu jalan dan pulang melalui satu jalan yang lain.

Di dalam riwayat sahih dari Imam Muslim rh. disebutkan bahawa Baginda menunaikan solat sunnat I’edul Fitri dengan membaca surah Al A’la (87) pada rakaat pertama dan Al Ghasyiah (88) pada rakaat kedua.

Solat sunnat I’ed itu dilakukan di musolla (tanah lapang). Seluruh umat Islam datang ke musolla agar mendengar khutbah hinggakan kepada kanak-kanak, kaum wanita, tidak kira yang tua atau muda, yang uzur atau sebaliknya dituntut hadir sama. Hikmah melaksanakan solat di musolla ini adalah seluruh ummat Muslimin dapat bergabung bersama dalam sebuah majlis kemenangan, dapat mendengar khutbah dan mengmbil manfaat darinya seterusnya dapat bertemu dan saling mengenal.

Pada hari ini, juga disunnatkan bagi sesama ummat Muslimin mengucapkan tahniah dan selamat sejahtera, di samping saling berdoa agar seluruh amalan-amalan kita sepanjang Ramadhan diterima Allah Swt.

Nota : Penjelasan lengkap tatacara menyambut I’edul Fitri mengikut sunnah Nabi Saw. telah dinyatakan dalam 2 siri. Sila rujuk artikel dalam : www.manhaj-islamy.blogspot.com

Para jamaah yang dirahmati Allah Swt. Moga redhaNya senantiasa mengiringi hidup kita.
  
Demikianlah, dasar asas sambutan I’edul Fitri dalam syari’at Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan ibadah. Ini bermakna jika, ia disambut di atas landasan syara’ dengan meninggalkan segala macam kemungkaran, kemaksiatan dan pembaziran, maka jadilah hari yang diraikan itu suatu ibadah. Sekiranya tidak, maka jadilah ia sebaliknya ya’ni hari untuk menambahkan dosa. Dalam sebuah hadis, junjungan mulia Nabi Saw. memperjelaskan hal ini :

“Dari Ubadah bin Shuib Rhu. dia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Barangsiapa yang menghidupkan malam I’edul Fitri dan I’edul Adha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari qiyamat."
Hadis riwayat imam Ath Thabarani rh.

Dikesempatan mulia dan baik ini, ingin saya sebutkan bahawa sesungguhnya hari kemenangan I’edul Fitri ini adalah untuk para ikhwan yang telah memenuhi ciri dan sifat seorang hamba yang ditetapkan syara’, kalau pun kita amat sedar sebahagian besar orang yang beriya-iya beraya sakan ini hakikatnya merupakan golongan culas dan rosak puasanya. Dan kepada mereka ini, teruskanlah da’ie kita mengajak mereka kepada Al Haq, mudah-mudahan akan terbuka hati mereka dengan mendapat hidayah Allah Swt. supaya menjadi mukmin yang taat. Kuatkanlah da’ie dalam diri kita, dalam keluarga kita seterusnya disampaikan kepada mereka-mereka yang lain. insyaAllah.

Justeru itu, marilah bersama kita meraikan hari kebesaran, kemenangan dan kegembiraan ini berlandaskan syara’, agar rahmah dan barokah Ramadhan al Kariim itu tetap berterusan dalam hidup kita. Seterusnya menjadikan setiap apa jua detik dan waqtu dalam seumur hidup kita berupa ibadah penuh tulus dan suci, hanya kepada Allah Swt. semata-mata.

Akhirul Kalaam,

SELAMAT MENYAMBUT KEMBALI SUCI, 1434 Hijrah dengan iman, amal dan taqwa, dan bersama kita saling mengucapkan lafaz ini apabila bertemu dan bersapa sesama Muslim,

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
“Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan dari kamu”

والله تعالى أعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38

Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...