Selasa, 17 Mac 2015

Detik Keislaman Umar Al-kattab rhu

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah (kamu) kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.”
Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 102

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Beliau adalah Amirul Mukminin Abu Hafsah Umar Al Faruq bin Khattab dilahirkan 13 tahun setelah kelahiran Rasulullah Saw. Ayahnya bernama Khattab dan ibunya bernama Khatmah. Perawakannya tinggi, besar, pemberani, gagah dan tegap dengan otot-otot yang menonjol dari kaki dan tangannya, janggut yang lebat dan berwajah tampan, serta warna kulitnya putih kemerah-merahan. apabila berbicara didengar dan apabila memukul menyakitkan.

Nasab penuhnya adalah Umar bin Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Riyah bin Abdullah bin Qarth bin Razah bin 'Adiy bin Ka'ab bin Lu'ay bin Ghalib. Nasab beliau bertemu dengan nasab Nabi Saw. pada moyangnya Ka'ab. Antara beliau dengan Nabi Saw. selisih 8 datuk. lbu beliau bernama Khatmah binti Hasyim bin al-Mughirah al-Makhzumiyah. Beliau dibesarkan di dalam lingkungan Bani Adiy, salah satu qaum dari suku Quraisy.

Di masa mudanya zaman jahiliyah, dia dididik oleh sang ayah, al-Khattab, dengan didikan yang keras. Ia dibebani untuk menggembala untanya setiap hari. Hari-hari yang melelahkan dan memberatkan sering dia lalui, dan dia pun sering mendapat pukulan bila pekerjaannya tersebut ada yang kurang. Hal itu semakin menambah kekerasan hati Umar seterusnya menjadikan dia seorang yang sangat berani. Zaman dewasanya, beliau merupakan salah seorang pemuka terhormat qaum Quraisy yang amat digeruni, terkemuka dan kaya raya.

Rasulullah Saw. memberi beliau "kun-yah/gelaran" Abu Hafsh (bapa Hafsah) kerana Hafsah adalah anaknya yang paling tua dan memberi "laqab" (julukan) Al Faruq kerana sifat beraninya. Selain menjadi seorang sahabat aqrab kepada Nabi Saw., hubungan mereka juga sangat rapat berikutan menjadi bapa mertua kepada Nabi Saw. apabila anaknya Hafsah bernikah dengan Baginda. Beliau digelari “Al Faruq” kerana beliau-lah yang menampakkan Islam di Makkah, dan kerananya Allah Ta’ala menampakkan secara jelas antara kekufuran dan kebathilan. Sahabat Abdullah Ibnu Abbas Rhu.  mengatakan : Orang pertama yang berani menampakkan Islam di Makkah adalah Umar bin Khattab.

Sebelum masuk Islam, Umar bin Khattab dikenal sebagai seorang yang sangat keras permusuhannya dengan kaum Muslimin dan Nabi Saw., bertaqlid serta berpegang teguh kepada ajaran nenek moyangnya dan melakukan perbuatan-perbuatan jelek yang umumnya dilakukan qaum jahiliyah, namun tetap boleh menjaga harga diri. Ia termasuk orang yang paling banyak menyakiti dan menyiksa qaum Muslimin, sehingga sebahagian qaum Muslimin merasa putus asa akan keislaman Umar kerana kekerasan dan kegarangan perangainya. Sampai dikatakan, Umar tidak akan masuk Islam sampai ada keldainya Al Khattab yang masuk Islam terlebih dahulu.

Namun, semua ubun-ubun manusia di bawah kekuasaan, pengurusan dan kehendak Allah Ta’ala Yang Maha Memiliki kemampuan atas segala sesuatu. Rasulullah Saw. pernah mengatakan kepada isteri Baginda Ummu Salamah :
“Wahai Ummu Salamah, hati seorang anak Adam berada dalam jari-jemari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Barang siapa yang Allah kehendaki akan diberi petunjuk dan barang siapa yang Dia kehendaki ia akan disesatkan.”
Hadits riwayat imam Tirmidzi Rhm. no. 3522, dan beliau mensohihkannya

Beliau masuk Islam pada bulan Dzulhijjah tahun ke-6 kenabian, tiga hari setelah Hamzah bin Abdul Muthalib masuk Islam. Secara ringkas, pada suatu malam beliau datang ke Masjidil Haram secara sembunyi-sembunyi untuk mendengarkan bacaan solat Nabi Saw. Waqtu itu Baginda membaca surat Al Haqqah. Umar bin Khattab kagum dengan susunan kalimatnya lantas berkata pada dirinya sendiri : Demi Allah, ini adalah syair sebagaimana yang dikatakan oleh qaum Quraisy.

Kemudian beliau mendengar Rasulullah membaca ayat 40-41 (yang menyatakan bahawa Al Qur'an bukanlah syair), lantas beliau berkata : Kalau begitu berarti dia itu saorang dukun. Kemudian beliau mendengar bacaan Nabi ayat 42, (Yang menyatakan bahawa Al-Qur'an bukan perkataan dukun.) akhirnya beliau berkata : Telah terbetik lslam di dalam hatiku. Akan tetapi dek kerana kuatnya adat fahaman jahiliyah, fanatik buta, pengagungan terhadap agama nenek moyang, maka beliau tetap memusuhi Islam.

Kemudian pada suatu hari, beliau keluar dengan menghunus pedangnya bermaksud membunuh Nabi. Dalam perjalanan, beliau bertemu dengan Nu`aim bin Abdullah al 'Adawi, seorang laki-laki dari Bani Zuhrah. Lelaki itu berkata kepada Umar bin Khattab : Mahu kemana wahai Umar?" Umar bin Khattab menjawab : Aku ingin membunuh Muhammad. Lelaki tadi berkata : Bagaimanakah kamu akan aman dari Bani Hasyim dan Bani Zuhrah, kalau kamu membunuh Muhammad?

Maka Umar menjawab : Tidaklah aku melihatmu melainkan kamu telah meninggalkan agama nenek moyangmu. Tetapi lelaki tadi membalas dengan sinis : Mahukah aku tunjukkan yang lebih mencengangkanmu, hai Umar? Sesungguhnya adik perempuanmu dan iparmu telah meninggalkan agama kamu yang kamu yaqini.

Merasa terpukul dengan perkhabaran itu, kemudian dia bergegas mendatangi adiknya yang sedang belajar Al Qur'an, Surah Thaha kepada Khabab bin Al Arat. Tatkala mendengar Umar bin Khattab datang, maka Khabab pun bersembunyi di balik rumah. Umar bin Khattab masuk ke rumahnya dan menanyakan suara apa yang didengarnya.

Rupanya Umar telah mendengar bacaan Khabbab, lalu dia bertanya : Suara apakah yang tadi aku dengar dari kalian?
Lalu adiknya Fathimah dan suaminya menjawab : Tidak ada suara apa-apa kecuali perbualan kami berdua saja. Jawab mereka.
Pasti kalian telah murtad dari agama nenek moyang ; kata Umar kepada keduanya dengan geram dan amarah yang amat sangat.
Wahai Umar, bagaimanakah pendapatmu jika kebenaran bukan berada pada agamamu? ; jawab adik ipar Umar.

Mendengar jawaban tersebut, Umar amat marah langsung menendangnya dengan keras hingga jatuh dan berdarah. Fathimah segera membangunkan suaminya yang berlumuran darah, namun Fathimah pun turut ditampar dengan keras hingga wajahnya luka dan berdarah, maka berkatalah Fathimah kepada abangnya Umar dengan penuh amarah :

Wahai Umar, jika kebenaran bukan terdapat pada agamamu, maka aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah Rasulullah.

Melihat keadaan saudara perempuannya dan adik iparnya dalam keadaan luka dan berdarah, timbul penyesalan dan rasa malu di hati Umar. Lalu
Umar bin  Khattab berkata : Berikan kitab yang ada pada kalian kepadaku, aku ingin membacanya.
Maka adik perempuannya berkata : Kamu itu kotor. Tidak boleh menyentuh Al Kitab itu kecuali orang yang bersuci. Mandilah terlebih dahulu!
Lantas Umar bin Khattab mandi mengikut suruhan itu dan mengambil kitab yang ada pada adik perempuannya.

Umar membaca lembaran tersebut, lalu membaca : Bismillahirrahmanirrahim. Kemudian dia berkomentar : Ini adalah nama-nama yang sungguh  indah nan suci,

Kemudian beliau terus membaca : طه hingga ayat  :
إنني أنا الله لا إله إلا أنا فاعبدني وأقم الصلاة لذكري
“Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang haq) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku”
Surah. Thaha : ayat 14

Beliau lalu berkata : Betapa indah dan mulianya ucapan ini.
Tunjukkan padaku di mana Muhammad.

Tatkala Khabab mendengar perkataan Umar bin Khattab itu, dia muncul dari persembunyiannya dan berkata : Aku akan beri khabar gembira kepadamu, wahai Umar! Aku berharap engkau adalah orang yang didoakan Rasulullah Saw. pada malam Khamis : Ya Allah, muliakan Islam dengan Umar bin Khatthab atau Abu Jahl (Amru) bin Hisyam. Sungguh pada waqtu ini, Rasulullah berada di sebuah rumah di kaki bukit Safa.

Umar bin Khattab mengambil pedangnya dan menuju rumah tersebut, kemudian mengetuk pintunya. Ketika ada salah seorang melihat Umar bin Khattab datang dengan pedang terhunus dari celah pintu rumahnya, dikhabarkannya kepada Rasulullah. Lantas mereka berkumpul.

Hamzah bin Abdul Muthalib bertanya : Ada apa kalian? Mereka menjawab : Umar (datang)!. Hamzah bin Abdul Muthalib lalu berkata :  Bukalah pintunya. Kalau dia menginginkan kebaikan, maka kita akan menerimanya, tetapi kalau dia menginginkan kejelekan, maka kita akan membunuhnya dengan pedangnya sendiri.

Rasulullah Saw. memberi isyarat agar Hamzah menemui Umar. Lalu Hamzah segera menemui Umar, dan membawanya menemui Rasulullah Saw. Kemudian Rasulullah Saw. memegang baju dan gagang pedangnya, lalu ditariknya dengan keras, seraya berkata :

“Engkau wahai Umar, akankah engkau terus begini hingga kehinaan dan adzab Allah Ta’ala diturunkan kepadamu sebagaimana yang dialami oleh Walid bin Mughirah ?
Ya Allah inilah Umar bin Khattab, Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Umar bin Khattab. Dan dalam riwayat lain : Ya Allah, muliakanlah Islam dengan Umar bin Khattab.

Maka berkatalah Umar : Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah, dan Engkau adalah Rasulullah.
 .
Sebaik Umar mengisytiharkan keIslamannya, dan orang-orang Muslimin yang berada di rumah tersebut bertakbir dengan keras. Sebahagian riwayat menyatakan takbir itu bergema hingga ke Masjidil Haram. Menurut pengakuannya, dia adalah orang yang ke 40 masuk Islam.

Masuk Islamnya Umar bin Al Khattab Rhu. menimbulkan kegemparan di kalangan orang-orang musyrikin jahiliyah, sebaliknya disambut dengan penuh suka cita oleh qaum Muslimin. Abdullah bin Mas'ud Rhu. berkomentar : Kami senantiasa berada dalam kejayaan semenjak Umar bin Khattab masuk Islam.

Sesungguhnya, Rasulullah Saw. ada berdoa : Ya Allah...buatlah Islam ini kuat dengan masuknya salah satu dari kedua orang ini, Amr bin Hisham (Abu Jahal) atau Umar bin Khattab. Ini salah satu dari doa Rasulullah Saw. pada saat Islam masih dalam tahap awal penyebaran dan masih lemah. Doa itu segera diqabulkan oleh Allah. Allah Ta’ala memilih Umar bin Khattab sebagai salah satu tonggak kekuatan Islam, sedangkan Amr bin Hisham meninggal sebagai Abu Jahal.

Semoga solawat dan salaam senantiasa dilimpah-kan kepada Rasulullah Saw., keluarga dan para Sahabat Baginda, para Salafus Solih, para syuhada’ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dengan kebaikan hingga hari qiyamat.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام



Read more...

Bacaan Sujud Sahwi

0 ulasan
Bismillahirrohmaanirrohiim
Assalamu’alaikum Warohmatullahi Wabarokaatuh

Saya nak bertanya bagi mendapatkan dalil yang pasti berkenaan bacaan dalam sujud sahwi. Setakat yang saya tahu, yang dipelajari dan diajar sejak dulu-dulu, bacaan dalam sujud sahwi dengan lafadz : Subhaanal-ladzii laa yanaamu walaa yashuu atau Subhaanal-ladzii la yashuu walaa yanaamu.

Jadi, di buku hadits manakah saya boleh dapatkan hadits menceritakan lafadz sujud sahwi seperti ini, supaya dapat saya membuat semakan. Atau boleh saja ditulis disini supaya dapat dikongsikan dengan ramai rakan lain.

Saya sangat berharap dapat mengenali dalil-dalilnya supaya kepercayaan dan peri amalan saya menjadi kukuh dan benar, insya’Allah

Diharapkan Pak Lang dapat memberikan bantuan dan panduan.

Wassalam

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Rabb-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dari (diri)nya; dan dari keduanya Allah memperkembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Bertaqwalah kepada Allah yang dengan Nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.”
Surah An-Nisaa' (4) : ayat 1

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di Neraka. Amma ba’du.

Saya mendoakan agar Tuan sentiasa dalam rahmat Allah Ta’ala. Amat matang dan mulia hasrat memastikan segala kepercayaan dan peri amalan berdasarkan dalil/nas yang sohih, soreh dan qot’ie. Sepatutnya inilah sikap yang mesti ada pada semua ummat Muslimin. Lantaran Islam adalah syari’at Allah dan rasul-Nya, yang lengkap sempurna, tidak perlu didasari oleh aqal-aqalan, rekaciptaan dan tambah-tambahan dalam segala segi.

Dari satu sisi lain, berhati-hatilah dengan ibadah solat lantaran ia amat mulia dan menjadi tiang syari’at Islam. Nabi Saw. telah memberikan contoh tauladan kaifiyat ibadah solat ini dengan cukup lengkap sempurna, sehingga tidak memerlukan sebarang kurangan atau tambahan walau sedikit pun.

Sujud sahwi adalah sujud dua kali yang dilakukan kerana lupa melakukan rukun sehingga meninggalkannya di dalam solat. Ia dikerjakan sebelum atau sesudah salam. Sepanjang pengetahuan dan sumber serba dhoif yang saya miliki, tidak ada satu pun riwayat khusus yang menjelaskan tentang bacaan sujud sahwi, malah tiada juga riwayat dengan lafadz seperti ditanyakan.

Bacaan sujud sahwi sebagaimana yang ditanyakan oleh Tuan sememangnya diajar secara meluas, tetapi tidak didasari dalil/nas sohihah ya’ni bukan berasal dari Rasulullah Saw. ia adalah pendapat atau pandangan semata-mata dan hendaklah ditinggalkan. Baik sekali orang-orang yang mengajarkannya sendiri memberikan butiran dalil/nas terhadap apa yang mereka bawakan kepada khalayak kerana semestinya mereka lebih tahu dasar apa yang mereka perkatakan. Sekiranya tidak boleh, dituntut berhentilah dari menyebarkan khabar tidak berdasar ini seraya memesongkan ummat Muslimin dari jalan kebenaran.

Lantaran, sujud sahwi ini merujuk kepada solat ya’ni sujud merupakan salah satu rukun solat, maka paling jauh pun ia tetap seumpama sujud yang telah disyari’atkan juga. Merujuk kepada soalan Tuan, yang dapat saya simpulkan, apakah yang boleh dibuat semasa sujud sahwi itu adalah :

  1. Hanya seqadar melakukan sujud itu tanpa bacaan apa-apa lantaran tiada suatu pun dalil/nas khusus yang sohih, soreh dan qot’ie memperihalkan bacaannya
  2. Lantaran, sujud sahwi ini merujuk kepada solat ya’ni sujud merupakan salah satu rukun solat, maka paling jauh pun ia tetap seumpama sujud yang telah disyari’atkan juga. Oleh kerana itu, banyak ulama muktabar yang menyatakan bahawa bacaan sujud sahwi sama sahaja dengan bacaan sujud dalam solat.


Imam Ibnu Qudamah Rhm. berkata : Dan hendaklah dia membaca di dalam sujud (sahwi)-nya apa yang dibaca di dalam sujud dalam solat, kerana sujud sahwi tersebut merupakan sujud yang disyari’atkan serupa dengan sujud di dalam solat”
Kitab Al-Mughni, jilid 2 halaman 432-433, Penerbit Hajar, Cetakan. 2, Tahun 1412 H/1992 M

Imam Abu Muhammad bin Hazm (Ibnu Hazm) Rhm. berkata : Orang yang bersujud sahwi harus membaca di dalam kedua sujudnya : Subhaana rabbiyal-A’laa [
سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأَعْلَى]; berdasarkan sabda Rasulullah Saw. (yang artinya) : Jadikanlah ia (bacaan itu) di dalam sujudmu”
Kitab Al-Muhalla, jilid 4 halaman 170, tahqiq oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Syakir Rhm.

Senada dengan pernyataan tersebut adalah fatwa para ulama dari Al-Lajnah Ad-Daaimah lil-Buhuts wal-Ifta’ (Komisi Tetap untuk Riset dan Fatwa) Saudi Arabia, 7/149 nombor fatwa 5519

Ada pun jawaban paling hampir khusus terhadap pertanyaan Tuan, maka mari kita rujuki kepada ahlinya, yaitu ulama besar hadits sepanjang zaman : Imam Al Hafidz Ibnu Hajar Al ‘Asqolani Asy-Syafi’I Rhm. (pensyarah kitab Sohih Al-Bukhari – Fathul-Bari), di mana beliau berkata : Aku telah mendengar sebahagian para imam (ulama’) menghikayatkan bahawa seseorang disukai membaca di dalamnya (sujud sahwi) : [
سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُوْ] Subhaana man-laa yanaamu walaa yashuu (“Maha Suci Allah yang Tidak Tidur dan Tidak Lupa)”. Kemudian beliau melanjutkan : “Aku tidak menemukan asalnya”. Kitab At-Talkhiishul-Habiir

Dan benarlah apa yang dikatakan oleh imam yang mulia Al-Hafidh Ibnu Hajar bahawa bacaan tersebut tidak bersumber pada kitab-kitab induk hadits. Atau dengan kata lain : Itu merupakan pendapat semata.

Sebagai seorang Muslimin : saya sendiri, Tuan dan ummat Muslimin seluruhnya telah mafhum apa yang sepatutnya dijadikan sebagai panutan seluruh amal kita, yang selaras dengan 2 kalimah syahadah.

Semoga solawat dan salaam senantiasa dilimpah-kan kepada Rasulullah Saw., keluarga dan para Sahabat Baginda, para Salafus Solih, para syuhada’ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dengan kebaikan hingga hari qiyamat.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام


Read more...

Sabtu, 14 Mac 2015

Solat Jenazah : Jangan Halang Solat Jenazah di Masjid

0 ulasan

 
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


Apa khabar syaikh Mad, moga dalam keadaan baik-baik saja.Nih saya ada nak tanya hal yang dah kecoh 
kat sini. Nih hal suatu hukum oleh ajk masjid. Dah jadi viral pun cerita nih. Ada sebuah masjid dekat-dekat sini yang AJK nya membuat hukum : Sesiapa ahli kariyah yang tidak solat Jumaat di masjid itu, 3 kali berturut, nanti bila mati janazahnya tidak boleh disembahyangkan di masjid, hanya solat di rumah dan terus di bawa ke kubur. Saya sertakan foto siaraya tuh.

Soalan saya, betulkah hukum ini berdasarkan ajaran syariat Islam. Harap sangat ustadz dapat berikan pandangan dalam hal ini. Lagi cepat lagi bagus, ramai yang dok tunggu dan marah-marah pulak dengan ajk berkenaan.
Setakat tu sajalah ustadz, lagi cepat lagi bagus naaaa, urgent nih.

Wassalam.

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي, وبعد,


Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk. Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya

Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh ia menang dengan kemenangan yang besar.
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 70-71

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bidah, setiap bidah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma badu

Semoga tuan pun dalam keadaan baik juga, dan bisnes pun dalam keadaan baik juga. Mudahan Allah Taala murahkan rizqi. Tiba-tiba saja tuan timbul semula, diikuti pula dengan soalan-soalan sukar dan pelik-pelik. InsyaAllah lain kali kita jumpa. Bolehlah beberapa soalan tertangguh dalam inbox di jawab secara langsung, saya kurang kesempatan untuk menulis.

Oleh kerana saya diminta memberi pandangan, maka apa yang saya tulis ini hanyalah pandangan yang boleh diterima atau ditolak, insyaAllah seqadar yang termampu saya berikan bersandarkan tahap pengetahuan saya yang amat terhad dan serba dhoif. Maka, mendapatkan pandangan lain sangat-sangat digalakkan. Apa yang saya perkatakan tetap jua pandangan bukan hukuman, harapnya ini difahami betul-betul. Jauh sekali nak mencampuri urusan dalaman orang lain, yang sudah sepatutnya mereka lebih tahu dan penuh bertanggungjawab atas apa yang telah mereka putuskan.

Baik sekali dimulai dengan asas : Masjid mengikut tarifan isthilah (syara) suatu tempat/binaan yang didirikan kerana Allah Taala semata, menjadi rumah ibadah ummat Islam yang di dalamnya didirikan Solat dan ibadah lain untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah Taala. Ini dinyatakan oleh Allah Taala :

Hanya yang memamurkan masjid-masjid Allah adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan Solat (di dalamnya), menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah .
Surah At Taubah (9) : ayat 17

Sungguh amat dzalim sesiapa yang menghalangi ummat Muslimin untuk melakukan Solat dan ibadah lainnya di dalam masjid. Peringatan ini dinyatakan oleh Allah Taala :

Dan siapakah yang lebih dzalim (aniaya) daripada orang yang menghalang-halangi (manusia) menyebut nama Allah di dalam masjid-masjid-Nya, dan mereka berusaha utuk merobohkannya .
Surah Al Baqarah (2) : ayat 114

Mesti diingati, solat janazah adalah juga satu ibadah dan boleh dilakukan di dalam masjid.
Sekiranya hal hukuman ini benar ada, maka dituntut kepada sesiapa yang tahu supaya merujuknya kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dengan kadar segera. Ini bagi membolehkan suatu keputusan juga kesahan ke atas hukuman ini dapat diputuskan. Tidak boleh dibiarkan hal ini berterusan lama sehingga mengganggu ketenteraman ummat Muslimin.

Secara peribadi, saya menegaskan bahawa tindakan/hukuman ini salah, atas sebab :
Masjid adalah tapak/ binaan waqaf atas nama Allah Taala yang berhak digunapakai oleh seluruh ummat Muslimin bagi apa jua tujuan yang haq (yani beribadah).

AJK berperanan menjalankan pengurusan masjid supaya terpelihara, tersusun dan berguna menepati ketentuan syara dan tazir. AJK bukanlah badan berkuasa untuk membuat suatu keputusan hukum seperti itu. Apatah lagi hukuman yang menghalangi suatu ibadah dilakukan di dalam masjid.

Hukum hudud, qisas, syariat dan sunnatullah telah jelas dan termaktub, dengan semuanya terjatuh ke atas ummat Muslimin yang hayat buka sekali-kali yang wafat. Implikasi hukumah ini adalah jelas sekali menghukum janazah atas perbuatan semasa hidupnya. Amat pelik, janazah yang terbujur kaku pula dihukum.
Hukuman ini terlalu umum sedangkan ketidakhadiran boleh terjadi disebabkan oleh perkara yang munasabah seperti bekerja di luar kawasan, bermusafir atau memang ada uzur syariie.

Justeru, hukuman menghalangi solat janazah seseorang di dalam Rumah Allah atas sebab yang dinyatakan adalah tidak benar, malah tidak sepatutnya berlaku pun. Malah dalam syara, tidak pernah ada hukuman sebegitu.

Adalah amat baik, jika benar ada orang yang culas untuk solat Jumaat, dia didawahi dan diberi bimbingan. Sekiranya tetap degil, boleh dikenakan hukuman yang setimpal berdasarkan syara semasa dia hidup lagi.
Setakat itu pendapatan saya. Semoga telah membantu. Amat baik sekali hal ini dirujuk kepada pihak yang lebih faqeh dan berkuasa, supaya mendapat taliq yang lebih baik lagi. 
Semoga solawat dan salaam senantiasa dilimpah-kan kepada Rasulullah Saw., keluarga dan para Sahabat Baginda, para Salafus Solih, para syuhada’ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dengan kebaikan hingga hari qiyamat.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام
 
Read more...