السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Apa khabar syaikh Mad, moga dalam keadaan baik-baik saja.Nih saya ada nak tanya hal yang dah kecoh
kat sini. Nih hal suatu hukum oleh ajk masjid. Dah jadi viral pun cerita nih. Ada sebuah masjid dekat-dekat sini yang AJK nya membuat hukum : Sesiapa ahli kariyah yang tidak solat Jumaat di masjid itu, 3 kali berturut, nanti bila mati janazahnya tidak boleh disembahyangkan di masjid, hanya solat di rumah dan terus di bawa ke kubur. Saya sertakan foto siaraya tuh.
Soalan saya, betulkah hukum ini berdasarkan ajaran syariat Islam. Harap sangat ustadz dapat berikan pandangan dalam hal ini. Lagi cepat lagi bagus, ramai yang dok tunggu dan marah-marah pulak dengan ajk berkenaan.
Setakat tu sajalah ustadz, lagi cepat lagi bagus naaaa, urgent nih.
Wassalam.
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي, وبعد,
Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.
Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya
Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh ia menang dengan kemenangan yang besar.
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 70-71
Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bidah, setiap bidah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma badu
Semoga tuan pun dalam keadaan baik juga, dan bisnes pun dalam keadaan baik juga. Mudahan Allah Taala murahkan rizqi. Tiba-tiba saja tuan timbul semula, diikuti pula dengan soalan-soalan sukar dan pelik-pelik. InsyaAllah lain kali kita jumpa. Bolehlah beberapa soalan tertangguh dalam inbox di jawab secara langsung, saya kurang kesempatan untuk menulis.
Oleh kerana saya diminta memberi pandangan, maka apa yang saya tulis ini hanyalah pandangan yang boleh diterima atau ditolak, insyaAllah seqadar yang termampu saya berikan bersandarkan tahap pengetahuan saya yang amat terhad dan serba dhoif. Maka, mendapatkan pandangan lain sangat-sangat digalakkan. Apa yang saya perkatakan tetap jua pandangan bukan hukuman, harapnya ini difahami betul-betul. Jauh sekali nak mencampuri urusan dalaman orang lain, yang sudah sepatutnya mereka lebih tahu dan penuh bertanggungjawab atas apa yang telah mereka putuskan.
Baik sekali dimulai dengan asas : Masjid mengikut tarifan isthilah (syara) suatu tempat/binaan yang didirikan kerana Allah Taala semata, menjadi rumah ibadah ummat Islam yang di dalamnya didirikan Solat dan ibadah lain untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah Taala. Ini dinyatakan oleh Allah Taala :
Hanya yang memamurkan masjid-masjid Allah adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan Solat (di dalamnya), menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah .
Surah At Taubah (9) : ayat 17
Sungguh amat dzalim sesiapa yang menghalangi ummat Muslimin untuk melakukan Solat dan ibadah lainnya di dalam masjid. Peringatan ini dinyatakan oleh Allah Taala :
Dan siapakah yang lebih dzalim (aniaya) daripada orang yang menghalang-halangi (manusia) menyebut nama Allah di dalam masjid-masjid-Nya, dan mereka berusaha utuk merobohkannya .
Surah Al Baqarah (2) : ayat 114
Mesti diingati, solat janazah adalah juga satu ibadah dan boleh dilakukan di dalam masjid.
Sekiranya hal hukuman ini benar ada, maka dituntut kepada sesiapa yang tahu supaya merujuknya kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dengan kadar segera. Ini bagi membolehkan suatu keputusan juga kesahan ke atas hukuman ini dapat diputuskan. Tidak boleh dibiarkan hal ini berterusan lama sehingga mengganggu ketenteraman ummat Muslimin.
Secara peribadi, saya menegaskan bahawa tindakan/hukuman ini salah, atas sebab :
Masjid adalah tapak/ binaan waqaf atas nama Allah Taala yang berhak digunapakai oleh seluruh ummat Muslimin bagi apa jua tujuan yang haq (yani beribadah).
AJK berperanan menjalankan pengurusan masjid supaya terpelihara, tersusun dan berguna menepati ketentuan syara dan tazir. AJK bukanlah badan berkuasa untuk membuat suatu keputusan hukum seperti itu. Apatah lagi hukuman yang menghalangi suatu ibadah dilakukan di dalam masjid.
Hukum hudud, qisas, syariat dan sunnatullah telah jelas dan termaktub, dengan semuanya terjatuh ke atas ummat Muslimin yang hayat buka sekali-kali yang wafat. Implikasi hukumah ini adalah jelas sekali menghukum janazah atas perbuatan semasa hidupnya. Amat pelik, janazah yang terbujur kaku pula dihukum.
Hukuman ini terlalu umum sedangkan ketidakhadiran boleh terjadi disebabkan oleh perkara yang munasabah seperti bekerja di luar kawasan, bermusafir atau memang ada uzur syariie.
Justeru, hukuman menghalangi solat janazah seseorang di dalam Rumah Allah atas sebab yang dinyatakan adalah tidak benar, malah tidak sepatutnya berlaku pun. Malah dalam syara, tidak pernah ada hukuman sebegitu.
Adalah amat baik, jika benar ada orang yang culas untuk solat Jumaat, dia didawahi dan diberi bimbingan. Sekiranya tetap degil, boleh dikenakan hukuman yang setimpal berdasarkan syara semasa dia hidup lagi.
Setakat itu pendapatan saya. Semoga telah membantu. Amat baik sekali hal ini dirujuk kepada pihak yang lebih faqeh dan berkuasa, supaya mendapat taliq yang lebih baik lagi.
Semoga solawat dan salaam senantiasa dilimpah-kan kepada Rasulullah Saw., keluarga dan para Sahabat Baginda, para Salafus Solih, para syuhada’ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dengan kebaikan hingga hari qiyamat.
والله تعالى أعلم , وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
0 ulasan:
Catat Ulasan