Khamis, 28 April 2011

Status Nikah : Cina Buta Dan Selepas Mengandung

2 ulasan

From: Izana Hani
Subject: Menikah Cina Buta Dan Nikah Selepas Mengandung

 
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuhu,

Tuan Haji yang dihormati, saya nak bertanya tentang 2 perkara,

1. Dalam satu kuliah di masjid baru-baru ini, seorang ustaz memberitahu yang amalan mengupah orang bernikah dengan bekas isteri, bagi menghalalkan mereka untuk menikah semula, selepas talak 3, adalah dilarang di dalam syariat Islam. Tetapi nikah itu sah kerana adanya unsur persetujuan semua pihak terlibat serta telah mengikut semua syarat nikah yang ditetapkan. Pada saya, ini sebenarnya Nikah Cina Buta. Adakah sah pernikahan dengan niat begini dalam syariat Islam sepertimana dikatakan oleh ustaz tu? Bukankah mengesahkan nikah itu bermaksud perbuatan cina buta sendiri adalah sah. Saya keliru.

2. Semasa balik kampung baru-baru ini, ada anak jiran yang terlanjur dan mengandung luar nikah, pasangannya pula menghilangkan diri. Bagi menutup malu, keluarganya telah menikahkan dia dengan seorang yang bodoh-bodoh alang (kaum keluarga juga). Ini dibuat bagi menutup malu kepada keluarga. Hal ini menjadi kecoh sekampung dan macam-macam pendapat timbul. Adakah sah pernikahan itu dan adakah dalam Islam ini amalan nikah tutup malu. Yang ini pun saya keliru hukum sebenarnya.

Maklumbalas dari Tuan Haji sangat dihargai.

Wassalam.


Subject: Menikah Cina Buta Dan Nikah Selepas Mengandung
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta Sekelian Alam. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh. A'mma ba'du. Moga Puan dalam limpahan rahmah Allah Swt. sentiasa.

Terima kasih kerana bertanya soalan. Maaf kerana saya lewat memberikan jawaban kerana ada beberapa kekangan tugasan yang perlu didahulukan. Saya kurang gemar menjawab hal fiqh ini kerana selalunya bertentangan dengan pendapat banyak orang, maka pastinya orang tak suka. Sementelahan pula, pendapat banyak orang ini pula telah dikataterima sebagai ijma' dan jumhur sebagai betul belaka tanpa pernah ditanya atau diperiksa apa dan mana dalilnya. Barang tentu, kita-kita yang tak sehaluan ini secara otomatik menjadi terlalu hina dan di'sesat'kan pula. Begitulah nasib minoriti dalam era demokrasi. Bagaimanapun, maklumbalas saya begini :

A. Nikah Cina Buta
Seingat saya, sejarah amalan orang Melayu Islam dulu-dulu, apabila terjadi kes perceraian talak tiga, mereka akan mengambil jalan mudah dan menipu iaitu dengan ‘menggunakan’ muallaf (orang yang baru masuk Islam - biasanya orang Cina) untuk berkahwin dengan bekas isteri. Asal-usul amalan itulah yang disebut Cina Buta sehingga sekarang kerana melibatkan muallaf Cina. Pernikahan itu diatur dengan syarat, selepas berkahwin, si Suami akan menceraikan si Isteri selepas satu tempoh tertentu, bagi membolehkan si Isteri itu berkahwin semula dengan bekas suami yang mentalak 3 dia dahulu. Dan, si Suami itu akan diberi apa-apa ganjaran atau upah atas perbuatannya itu.

Saya kurang tahu bila amalan ini bermula, cuma dalam tempoh 20 tahun terakhir, tak pernah saya dengar nikah cina buta ini berlaku (mungkin ada lagi tapi saya tak tahu). Dari segi hukum-hakamnya, tidak juga saya ketahui bagaimana dan atas dasar apa ia dikatakan boleh diperbuat, tetapi begitulah saya dimaklumkan dahulu. Cina buta ini dalam istilah syara' adalah "Muhallil" iaitu orang yang akan menghalalkan semula nikah si Isteri dengan bekas suaminya. Manakala, bekas suaminya itu disebut "Muhallal lahu" bermaksud orang yang dihalalkan semula baginya bekas isterinya itu. Sepanjang rujukan saya, tiada sebarang istilah khusus bagi si Isteri, cuma menurut pendapatan saya, dia selayaknya dipanggil "barang dagangan".

Amalan muhallil ini sebenarnya dilarang, diharamkan dan dikeji dalam Islam. Ianya amat bertentangan prinsip perkahwinan yang dituntut syara' dan menjadikan wanita setaraf pelacur dan pemuas hawa nafsu semata-mata. Dasar perkahwinan dalam Islam adalah menghalalkan percampuran lelaki dan wanita (lawan kepada zina) yang dibuat dengan penuh ketulusan dan keikhlasan sejati. Tidak ada tersirat maksud tipu daya atau penipuan terhadap hukum atau hanya sekadar seronok-seronok sahaja. Tujuan perkahwinan yang dituntut oleh Allah Swt. adalah rumahtangga yang kekal, penuh kasih sayang dan cinta, serta sedia mengembang biak keturunan. Semuanya dibuat penuh ikhlas yaitu kepada Allah Swt. semata-mata, bukan kepada selainnya.

Allah Swt. menyuruh supaya perkahwinan dimulakan dengan penuh kehormatan, kemuliaan dan keihkhlasan sepertimana firmanNya di dalam Al Qur'an ul Aziiz :

"...... kerana itu, kahwinilah mereka dengan seizin tuan mereka dan berilah maskahwin mereka menurut yang patut, sedang merekapun wanita-wanita yang memelihara diri, bukan penzina dan bukan (pula) wanita yang mengambil lelaki lain sebagai piaraannya, ....".
Surah An Nisa' (4) : ayat 25

Allah Swt. menyuruh supaya berkasih sayang, rela merelai dan saling mencintai antara suami dan isteri dalam berumahtangga sepertimana firmanNya di dalam Al Qur'an ul Qahaar :

"Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isterimu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir'.
Surah Ar Ruum (30) : ayat 21

Perkahwinan cina buta secara zahirnya seolah-olah kelihatan menepati ketetapan hukum, akan tetapi niyatnya, tujuannya dan sifat perbuatannya penuh dengan kecurangan, kebatilan dan penipuan. Ia sarat dengan tipudaya nafsu syaitan dan tiada rasa tanggungjawaban. Kerana itu, Rasulullah Saw. mengecam dan melarang keras perbuatan cina buta ini dan melaknat para pelakunya serta orang-orang yang bersekongkol dengannya. Baginda Saw. bersabda :

"Dari Ibnu Mas'ud rhu, ia berkata : Sesungguhnya Rasulullh Saw. melaknat lelaki Muhallil dan lelaki Muhallalnya".
Hadis riwayat imam Nasaaie rh. dan imam Tarmidzi rh.

"Dari Utbah bin Amr rhu, ia berkata, bahawa Rasulullah Saw. bersabda : Mahukah aku beritahu kepadamu tentang domba (kambing) pinjaman?. Mereka menjawab : Mahu, ya Rasulullah. Sabda Baginda : Yaitu lelaki Muhallil, Allah Swt. melaknat lelaki Muhallil dan lelaki Muhallal".
Hadis riwayat imam Abu Ishaq Al Jauzajani rh.

Dari Abdullah Ibnu Abbas rhu. ia berkata : Rasulullah ditanya tentang lelaki muhallil. Sabda Baginda : Tidak, melainkan perkahwinan yang sungguh-sungguh tulus dan bukan dengan tipu daya dan mempermainkan ketetapan Allah, sehingga ia benar-benar merasakan madu kecilnya (hubungan suami steri)".
Hadis riwayat imam Ahmad rh. dan imam Nasaaie rh.


Kahwin cina buta adalah perbuatan terkutuk yang hilang nilai akhlak, nilai kemanusiaan dan nilai kasih sayang yang menjadi Sunatullah. Bagaimana mungkin sebuah ikatan perkahwinan yang tulus suci yang diperintah Allah Swt. ini ditukar menjadi ikatan sementara, dengan kontrak tertentu, untuk upah, tanpa mahabbah, penuh dengan nafsu syaitan dan tipu daya, menjadikan wanita setaraf pelacur mahu diterima sebagai benar. Hanya orang gila dan kufur laknatullah sahaja yang rela dan tergamak melakukan perbuatan sebegini.

Maka itu, nikah melibatkan cina buta itu tidak sah kerana maqasid dan niyat perbuatannya bukan kerana Allah dan terlarang. Yang dikatakan sah itu, hanyalah dalam hal pematuhan syarat 5 rukun nikah di atas kertas semata-mata. Yang pastinya, seperti yang saya sebutkan awal tadi, tampak fizikalnya nikah cina buta itu memang tiada apa celanya malah mungkin, nampak hebat dan bergaya pula majlisnya. Yang menjadi persoalan adalah niyat tersirat dan bukan tampak fizikalnya. Jika kaedah pengesahan ini mahu digunakan dan memejamkan mata atas niyat sebenar nikah itu, marilah kita aplikasi kaedah ini dengan menghalalkan merompak dan menyamun atas alasan nak bagi makan orang miskin serta, mari kita buka bisnes menawarkan khidmat muhallil kerana tentu pasti, syarat 5 rukun nikah atas kertas itu boleh dipatuhi.

B. Nikah Selepas Mengandung
Keadaan seperti ini merupakan satu lagi hal yang biasa diperbuat dalam masyarakat Melayu Islam kita apabila terjadi kes mengandung luar nikah dan, si jantan pelakunya menghilang diri atau, si jantan pelaku itu dari kalangan keluarga terdekat yang tak boleh kahwin. Bagi menutup malu, maka si perempuan dikahwinkan dengan seseorang lelaki lain. Lelaki yang terpilih itu digelar orang banyak sebagai Pak Sanggup. Selalunya juga, memang yang dipilih sebagai pak sanggup ini lelaki yang kurang cerdik memandangkan dia kurang faham kira bicara dan mengikut kata sahaja. Lebih tepat dimangsai. Malah ada kes tertentu, selepas bersalin dia dikehendaki menceraikan isterinya itu setelah semua kepeningan di'parking'kan ke atas batu jemala dia. Kerana itulah dia di panggil pak sanggup.     

Hakikatnya, amalan nikah tutup malu ini tak pernah disyari'atkan di dalam Islam. Memang tak ada. Yang ada sekarang ini adalah yang diada-adakan sahaja dan di'halal'kan pula. Walhal, sekiranya memang ada rasa malu, sebaiknya salah itulah yang jangan dibuat, bukannya seronok-seronok dibuat selepas itu bersusah payah pula nak ditutup dari mata telinga manusia. Apakah malu kepada Allah tak diambilkira, apa mungkin dirasakan yang Allah Swt. tak nampak dan tahu apa yang berlaku. Apa mungkin Allah Swt. tidak sedar bahawa 'ada udang sebalik mee' dalam perkahwinan itu. Amat mustahil sekali.

Perkahwinan pak sanggup ini secara zahirnya seolah-olah kelihatan menepati ketetapan hukum, akan tetapi niyatnya, tujuannya dan sifat perbuatannya penuh dengan kecurangan, kebatilan dan penipuan yang disembunyikan di dalamnya. Boleh juga ia dilaksanakan dengan meriah dan gah. Hakikatnya Ia sarat dengan tipudaya dan tiada rasa tanggungjawaban. Ia bukanlah perkahwinan mengikut tuntutan Islam yaitu
perkahwinan dimulakan dengan penuh kehormatan, kemuliaan dan keihkhlasan bagi menghalalkan hubungan 2 insan dengan penuh kasih sayang, rela merelai dan saling mencintai dalam berumahtangga yang damai dan kekal.

Nikah pak sanggup ini tidak sah nikahnya berdasarkan dalil-dalil berikut :-

Dalil umum dari ayat Allah Swt. yang menetapkan bahawa perempuan yang perutnya berisi (mengandung), secara otomatik dia berada di dalam iddah dan, perempuan yang didalam iddah tidak boleh berkahwin. Peraturan hukum ini dinyatakan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur'an ul Kariim :

"Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (monopause) diantara perempuan-perempuan jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya) maka iddah mereka adalah 3 bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungannya. Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya".
Surah At Talaaq (65) : ayat 4

Seterusnya, secara khusus Rasulullah Saw. memberikan hukum :

"Dari Ruwaifi’ Bin Tsabit rhu, ia berkata, bahawa Rasulullah bersabda : Tidak dihalalkan kepada seseorang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat menyiramkan airnya dikebun orang lain (bersetubuh dengan perempuan yang mengandungkan anak orang lain) , bersetubuh dengan perempuan tawanan perang melainkan setelah
dipastikan perempuan itu tidak mengandungkan anak orang lain dan menjual harta rampasan perang melainkan setelah dibahagikan (kepada sesama tentera)”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh. imam Ahmad rh. imam Baihaqi rh. dan imam Ibnu A’tsir rh.

Begitulah ketentuan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Swt. dan rasulNya Saw.

Akan tetapi, janganlah terkejut, apabila dipandang dari sudut pematuhan syarat 5 rukun nikah di atas kertas semata-mata, pastinya nikah pak sanggup ini pun sah juga, kerana apa yang terkandung dalam perut si perempuan dan qasad di dalam hati para pelakunya, takkan ternampak secara fizikal dan, syarat niat untuk berkahwin pak sanggup itupun tak pernah dituntut ditulis di atas kertas. Demikianlah adanya penipuan dibuat. Maka, tak hairanlah nikah itu dikatakan sah di atas kertas. Sekali lagi, yang menjadi persoalan adalah niyat tersirat di dalam hati dan apa yang tersembunyi di dalam perut, itulah yang syara' (Allah Swt. dan rasulNya) ambilkira, bukan tampak fizikal atas kertas sahaja.
Setakat ini maklumbalas yang dapat saya nukilkan kali ini. Mudah-mudahan saya telah menjawab persoalan. Hal ini akan saya majukan kepada semua rakan-rakan nanti, untuk manfaat ilmiah bersama. Segala yang benar itu datang dari Allah Swt. dan segala tidak benar datangnya dari saya yang dhoif ini.
Wallahu a’lam...

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Najiskah Anak-Anak?

0 ulasan


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, Sahabat, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh. A'mma ba'du.
 
Moga para sahabat dalam rahmat Allah Swt. sentiasa. Mungkin tajuk tertera kali ini agak sensasi dan, kali ini juga salah satu artikel saya yang bukannya bertujuan menjawab soalan. Artikel kali ini lebih berkisar kepada khabar peristiwa semasa saya ditanya dan menjawab soalan. Bahkan, ia tidak terhenti setakat itu sahaja tetapi ingatan itu mengimbau hidup saya selama beberapa hari, terbayang-bayang cerminan keseluruhan plot cerita, dogmanya serta tentang cara fikir dan kefahaman beragama orang-orang yang disekeliling hidup kita ini. Mahasuci Allah Swt., bukanlah tulisan ini untuk memalukan sesiapa ataupun penokok tambah kepada fitnah akhir zaman yang sedang subur membiak sekarang ini, tak lebih ia cuma coretan pengalaman dan rasa, bagi perkongsian ilmiah kita bersama.

Kisah di sebuah surau semasa giliran saya memberikan kuliah mingguan. Selesai sahaja solat Isya’, saya dihampiri oleh sekumpulan jamaah yang mahu bertanya serta mendapatkan penjelasan tentang beberapa perkara. Seperti biasanya juga, saya menerima dengan hati yang terbuka dan, akan cuba membantu dengan apa yang terdaya. Sememangnya setakat itulah yang saya mampu pun. Baik sekali saya catatkan dialog persoalan itu.

Hal 1
Penanya : Ustaz! saya ni hanya pemandu lori dan kurang berpelajaran pun, tambah lagi dalam hal agama. Tapi rajin juga saya pergi atau singgah merata tempat untuk mendengar kuliah. Kawan-kawan juga ramai yang bertanya kepada saya tentang hal ugama dan sering juga kami berbincang memberi pandangan kami dalam berbagai perkara agama, setakat yang kami tahu. Salah satu perkara yang kami serius adalah berkenaan Solat Subuh. Saya sangat risau kerana ada ustaz beritahu sekiranya terlupa baca qunut Subuh dan terlupa juga buat sujud sahwi, kena buat semula solat tu dan kena baca qunut.

Saya : Saya terkejut mendengar berita ni, apa pun baguslah kerana awak mahu menghampiri agama. Allah Maha Mengetahui dan Maha Pemurah, tak kisahlah apa pun status kita, disisi Allah sama je. Cuma saya nak tahu juga, kenapa pula kena buat semula solat Subuh? Solat yang itu batalkah?

Penanya : Ustaz tu kata, solat tu tak batal, tetapi kena buat semula kerana itu lebih afdhal memandangkan membaca qunut adalah sunnat muakkad, dah tu tak buat sujud sahwi pulak. Paling baik dibuat semula solat itu, itu lebih baik. Yang betul macam mana Ustaz? Memang nak kena buat ke?

Hal 2
Penanya : Baru-baru ini berlaku perdebatan hangat di masjid baru berkenaan hal batalnya solat orang yang bersentuhan dengan anak-anak bawah umur dan belum ‘potong’. Seorang ustaz yang belajar di Indonesia yang beri hukum itu. Berlaku perdebatan hangat tu kerana ramai juga yang tak setuju. Tapi keputusannya batal lah juga macam yang ustaz tu cakap.

Saya : Inipun satu lagi berita yang buat saya terkejut. Kenapa pulak sentuh anak-anak batal solat? Jadi kena berwudhuk semula ke? Amat pelik ni, terlalu umum kenyataan ini termasuk anak-anak kita sendiri. Takkanlah anak sendiri pun boleh menjadi sebab pembatal solat. Kalau anak sendiri dah jadi begitu, kita yang bapa-bapanya ini masuk kategori apa pulak? Kenapa mungkin beranggapan begitu kepada anak kita sendiri waima anak-anak orang lain.

Penanya : Bukan macam tu Ustaz, yang batal tu solat saja, wudhuk tak batal, jadi tak perlu ambil wudhuk lagi. Hukumnya begini, batal apabila bersentuhan itu dan kita wajib berpindah ke tempat lain dan sambung solat. Batal tu kerana anak-anak kecil tu mengandung najis, kerana tu tak boleh bersentuhan dengan dia. Macam tu lah yang ustaz tu cakap.

Saya : Berita ni buat saya lebih terkejut lagi sebetulnya. Najiskah anak-anak kita ini sampai boleh membatalkan solat. Yang kita sentuh tu najiskah atau sekadar tubuh badan anak kita juga darah daging kita sendiri. Sentuh najis memanglah batal, kenapa pulak disamakan sentuh najis tu dengan sentuh kulit anak-anak.

Penanya : Haaaaa! yang tu lah yang kami dok keliru ni Ustaz. Banyak kali dah saya ngan kawan-kawan dok cakap fasal ni, ye lah, setakat macam kami ni apalah yang nak diputuskan pun, bermasam muka lagi ada. Dah tu, yang betulnya macam mana Ustaz?

Tiada apapun yang perlu dihairankan sekiranya orang-orang biasa ini bertanya atau asyik bertanya jawab sesama mereka, kerana mereka mahu mendapatkan kebenaran untuk dipegang. Itulah niyatnya, dan ia amat murni. Dan tentunya juga, pasti orang biasa seperti mereka akan pening dengan fatwa dan hukum berbagai macam. Makin ramai golongan asatizah yang mereka temui, maka semakin banyak pula hukum yang mereka dengari. Sehingga sukar nak percayai yang mana satu. Namun, apakah yang mereka boleh buat selain terus meletakkan pergantungan dan kepercayaan mereka kepada golongan asatizah ini, kalaupun hukum-hakamnya bersimpang siur dan memeningkan. Kerana, itulah pilihan yang mereka ada dan begitulah juga yang selayaknya mereka perbuat, takkanlah nak bertanya dan bergantung harap kepada hantu pula.

Lalu, dimanakah pokok masalah ini yang memeningkan orang-orang biasa itu? Jawabnya tentulah tertunjuk kepada golongan asatizah itu sendiri, yang mengeluarkan hukum-hakam itu. Itulah sebenarnya. Kenapa pula para asatizah ini keluarkan hukum bersimpang siur? Jawaban mudah saya ‘wallahu a’lam bis sawab’. Tidak mahu saya lanjutkan perbicaraan hal ini dengan menukilkan apa yang tersarang di akal dan hati. Persoalan berkenan para asatizah bukanlah fokus kepada penulisan ini, sewajarnya dibincangkan dalam forum yang lain.

Mari kita kembali ke pokok penulisan. Jawaban saya kepada Penanya :-    

Hal 1
A. Wajibnya solat Subuh adalah qati’e (putus) dan muktamad, tiada keraguan padanya.

B. Amalan qunut Subuh, ada perbahasan ke atasnya.
1. Yang membuatnya : beralasankan beberapa hadis, diikuti atas sebab fadhail (lebih baik) dan atas sebab telah ditetapkan oleh mazhab. Namun hukumnya adalah sunnat (muakkad) jua, tidak ia wajib.
2. Yang tidak membuatnya : beralasankan perbahasan tafsiran dan status hadis khusus menyebut solat Subuh sahaja, kerana itulah tidak ia dibuat. Yang sahih adalah amalan qunut nazilah yang bukannya pada solat Subuh sahaja.

C. Amalan membuat sujud Sahwi sekiranya terlupa membaca qunut Subuh. Ini juga dihukum sunnat. Komentar saya : tidak pernah ada perintah Al Qur’an ataupun hadis yang memerintahkan amalan begini. Hanya ada hadis sahih menyebut diperintahkan sujud Sahwi sekiranya terlupa rakaat. Bagaimana adanya hukum sujud Sahwi sekiranya terlupa membaca qunut Subuh itu, tidak saya temui dalil qati’enya (perintah Al Qur'an dan As Sunnah).   

Maka itu, tidak membuat qunut Subuh diikuti tidak membuat sujud Sahwi, sama ada terlupa atau senghaja, tidak sama sekali membatalkan solat Subuh. Apabila solat yang pertama itu sah, diharamkan berbuat solat lagi sekali kerana perintah qati’e dari Allah SWT dan rasulNya adalah solat Subuh itu 1 kali sahaja. Sesiapa yang menghukum kena berbuat solat Subuh lagi sekali sesudah sah ia, mesti membawa dalil dari Allah dan rasulNya, bukannya berdalilkan rasa-rasa, mungkin dan lebih afdhal sahaja.

Hal 2
Batalnya solat orang yang bersentuhan dengan kulit anak-anak bawah umur dan yang belum ‘potong’. Memang saya ada mendengar disebut-sebut orang hukum begini. Pertama kali juga saya mendengar yang adanya hukum batal solat apabila terjadi keadaan begitu dan dikehendaki berpindah tempat. Memang tidak pernah saya tahu akan adanya hukum sebegini dari dulu lagi, dan tidak pernah pula saya diajar dan belajar tentangnya. Memang tak ada hukum sebegitu.

Saya menyemak lanjut, sama ada menerusi beberapa kitab fikh muktabar dan beberapa tuan guru. Juga tidak saya jumpa asas kepada hukum sebegitu. Yang saya temui, solat seseorang boleh terbatal dengan salah satu daripada perkara-perkara berikut :-

1. Terbatal toharah/wudhuk dengan kedatangan hadas semasa bersolat, sama ada hadas besar atau kecil, sekalipun tanpa senghaja (meliputi semua perkara yang membatalkan wudhuk).
2. Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan atau pakaian atau tempat solat, kecuali dengan segera dibuangkan.
3. Senghaja bercakap walau hanya dengan satu dua huruf yang memberikan kefahaman.
4. Melakukan perbuatan (bukan untuk solat) yang banyak dan berturutan seperti menghayunkan tangan, melangkah, melompat, berlari anak, makan atau minum dan sebagainya. Perbuatan kecil yang berturutan tidaklah membatalkan solat seperti menampar nyamuk atau menggaru gatal dengan satu anak jari sahaja.
5. Ketawa dan senyum-senyum.
6. Menangis dan merintih.
7. Riddah (murtad)
8. Hilang akal (tidak waras)
9. Beralih dari menghadap kiblat, seperti berpusing atau berpaling dada dalam sembahyang.
10. Terbuka aurat dengan senghaja. Kalaulah ditiup oleh angin, lalu terbuka auratnya dan ditutup dengan segera, tidaklah batal sembahyangnya.
11. Meneruskan satu rukun daripada rukun-rukun solat atau berlalu masa yang membolehkan dia melakukan satu rukun solat, sedangkan dia dalam keadaan syak tentang niatnya (adakah berniat atau tidak?), atau tentang syarat sah solat (adakah sudah berwuduhuk atau belum?) atau tentang kaifiat niat (seperti adakah solat zuhur yang aku niatkan atau asar?).
12. Menukar niat solat kepada solat yang lain.
13. Memang ada niyat atau azam untuk memutuskan/berhenti solat.
14. Ada rasa ragu-ragu samada ingin meneruskan solat atau tidak.
15 Meletakkan syarat atau mengikat untuk memutuskan solat dengan sesuatu, seperti kalau telefon berdering, akan batalkan solat dan menjawab telefon dahulu.
16. Meninggalkan dengan senghaja mana-mana rukun solat, sama ada rukun fi’li atau qauli (bacaan al fatihah), kerana ia menghilangkan rukun. Sekiranya ditinggalkan kerana terlupa, tidaklah batal, bahkan hendaklah dilakukannya.
17. Mengulangi dengan senghaja mana-mana rukun fi'li (rukun perbuatan).
18 Mendahulukan dengan sengaja satu rukun fi'li (perbuatan) di atas rukun fi'li yang lain, kerana ia menghilangkan tertib solat.
19 Menjadi makmum kepada orang yang tidak boleh menjadi imam seperti si kafir atau lelaki berimamkan perempuan.
20 Terlalu memanjangkan rukun pendek, seperti memanjangkan iktidal melebihi kadar bacaan surah al-Fatihah, atau memanjangkan duduk antara dua sujud melebihi kadar bacaan tasyahhud (tahiyyat).
21. Makmum mendahului imam dengan dua rukun fi'li (perbuatan).
22. Makmum terlewat dua rukun fi'li (perbuatan) daripada imam tanpa keuzuran.
23. Senghaja memberi salam bukan pada waqtunya.
24. Senghaja turun untuk duduk tahiyyat awal juga setelah tertinggal (terlupa) dan sudahpun qiyam untuk rakaat ketiga (melepasi 2 rukun).
25. Mengulangi takbiratul ihram untuk kali kedua dengan niat memulakan solat.

Ini adalah antara perkara-perkara yang membatalkan solat. Saya rujuk semula dan hal ini diperincikan dalam kitab Al Mahazibul Arba’ah, Jilid 2, halaman 197-229 oleh Syeikh Abdurrahman Al Jaziri rohimahullah. Saya tulis semula secara ringkas.

Memang salah satu sebab pembatal solat adalah kerana terkena najis. Namun yang dimaksudkan itu adalah najis yang ketara kelihatan secara zahir yang mengenai pakaian, tubuh badan atau tempat solat. Meletakkan hukum bersentuhan kulit dengan anak kecil akan membatalkan solat, dengan qiyas kepada kes najis ini sama sekali tidak patut. Ini dengan jelas menyamakan jasad anak-anak itu satu taraf dengan najis yang membatalkan solat. Tidak patut sama sekali i’tiqad sebegini ditujukan ke atas satu manusia lain.

Di dalam Al Quran ul Haaq memang ada disebutkan lafaz yang menjurus kepada menjelaskan najis di kalangan manusia, yang kalau diertikan secara zahir, kita akan menyimpulkan bahwa zahir/jasad orang-orang musyrik itu najis. Sedangkan salah satu di antara hal-hal yang menyebabkan batalnya wudhu' adalah tersentuh dengan benda-benda yang najis. Firman Allah SWT tersebut begini :-

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan kepadamu dari karuniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.
Surah At Taubah (9) : ayat 28

Namun, para mufassirin mengatakan bahwa yang dimaksud dengan lafaz najis dalam ayat ini adalah secara maknawi, beerti aqidah orang kafir yang syirik (mensekutukan Allah SWT dengan selainNya) itulah yang dimaksudkan perkataan najis tersebut, bukannya secara zahir atau jasadi. Imam Al Hafiz Imaduddin Ismail bin Umar bin Katsir Al Qurasyi rohimahullah (700H-774H) menjelaskan :

Allah memerintahkan kepada hamba-hambaNya yang beriman, yang memiliki kesucian lahir dan batin, untuk mengusir orang-orang musyrik yang najis secara batin dari Masjidil Haram dan agar tidak mendekatinya setelah turunnya ayat ini, dimana ayat ini diturunkan pada tahun ke 9 hijrah. Oleh kerana itulah Rasulullah SAW mengutuskan Ali kmwj. bersama Abu Bakar rhu. untuk menyeru kepada orang-orang musyrik untuk tidak melakukan haji setelah tahun ini, dan agar tidak melakukan tawaf dengan telanjang. 

Adapun berkaitan dengan apakah badan orang musyrik itu najis, maka jumhur ulama’ berpendapat bahawa badan dan dzat mereka tidak najis, kerana Allah SWT membolehkan kaum muslimin memakan makanan orang-orang Ahli Kitab”.
Tafsiirul Qur’anil Adziim, Jilid 4. Halaman 114

Keterangan di atas menjelaskan bahawa batang tubuh kaum musyrik itu tidaklah najis. Begitu juga, Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW telah menjelaskan bahawasanya ummat Muslimin bukanlah najis sekalipun mereka tidak dalam keadaan suci (berhadas besar/berjunub) sepertimana sabda Baginda :-

Dari Abu Hurairah rhu, ia berkata, bahawasanya Nabi SAW pernah berjumpa denganku pada suatu jalan di Madinah, kemudian aku menjauhkan diri daripada Baginda dan aku pergi terus mandi. Kemudian Baginda bertanya : Wahai Abu Hurairah, kemana engkau tadi. Jawabku : saya tadi berjunub dan saya tidak suka duduk dengan Tuan sedang saya itu tiada bersih. Maka Baginda bersabda : Subhanallah (Maha Suci Allah), sesungguhnya orang mukmin itu tidak najis”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh., imam Muslim rh., imam Abu Daud rh., imam Tarmizie rh. dan imam Nasaie rh.

Dua bukti dalil di atas cukup untuk membuktikn bahawasanya batang tubuh manusia bukanlah najis dan tidak boleh ia menyebabkan batalnya solat. Yang dikatakan sebagai najis itu adalah i’tiqad (aqidah) yang syirik kepada Allah SWT dan najis secara zahir. Maka itu, sekiranya ditanggapi yang tubuh badan anak itu sebagai najis, itu adalah fahaman amat batil dan menghina manusia. Jika dipercayai yang tanggapan najis itu disebabkan adanya sedikit najis pada tubuh badan mereka, baiklah kita para ibubapa ini menyalahkan diri kita sendiri yang cuai menguruskan anak membersih diri ataupun gagal mengajar anak mengurus diri daripada meletakkan kesalahan itu kepada mereka.

Malah ada yang berdalilkan kononnya manusia Arab berkhatan sejak kecil dan tidak membatalkan solat sekiranya menyentuh mereka. Ini hanya hukum logik akal semata-mata kerana senghaja memejamkan mata bahwa najis itu hakikatnya tetap ada pada tubuh mereka yang terkandung di dalam lampin. Begitulah peningnya suasana apabila mengguna akal dan hawa nafsu untuk membuat hukum.

Oleh itu, tidaklah batal solat apabila tersentuh anak-anak kecil dan mereka sama sekali, bukan najis. Mereka adalah insan suci yang dipertanggungjwabkan kepada kita untuk melatih mereka bersolat dan mencintai masjid.

Segala yang benar itu datang dari Allah Swt. dan segala tidak benar datangnya dari saya yang dhoif ini.
Wallahu a’lam...

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...