Isnin, 31 Oktober 2016

KEBENARAN : Status Kisah Angin Ahmar

0 ulasan


On Monday, October 17, 2016 10:58 AM, wrote :

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Semoga ustaz dalam keadaan baik dan dirahmati Allah sentiasa

Sekarang ini tersebar merata rata kisah tentang satu jin bernama raihul ahmar yang berdialog dengan Nabi Sulayman ahs. dengan alkisahnya, rasukan oleh jin inilah yang menyebabkan berlakunya angin ahmar (lumpuh/stroke) kepada manusia.

Saya nak mohon pengesahan dari ustaz, betulkah kisah dan punca angin ahmar ini serta doa yang disebutkan jka diamal, boleh hilangkan penyakit angina ahmar ini.

Jasa baik ustaz sangat saya hargai.


والسلام


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Saya mempercayai berlakunya angin ahmar atau stroke ke atas manusia bukan kerana rasukan jin. Sedikit butiran yang boleh saya berikan tentang hal penyakit ini :

Angin ahmar / stroke adalah satu masalah kesihatan yang diakibatkan oleh (1) salur darah tersumbat dan/atau (2) salur darah pecah, yang menyebabkan bekalan darah ke sebahagian otak diganggu. Bahagian otak tersebut tidak lagi menerima oksigen yang mencukupi dan oleh itu, sel-sel otak akan rosak atau mati, dan mengakibatkan bahagian badan yang dikuasai oleh bahagian otak itu tidak dapat berfungsi (lumpuh). Ini merupakan kecederaan saraf yang serius dan gejalanya ialah kehilangan fungsi saraf secara tiba-tiba. Kesan paling jelas adalah lumpuh anggota badan (bahagian yang terlibat) atau ke tahap kematian mengejut.

Punca angin ahmar termasuk lanjut umur, darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi, dan merokok. Istilah "serangan otak" kini semakin luas digunakan untuk angin ahmar, disebabkan penyakit ini adalah padanan seiras untuk "serangan jantung" yang merupakan masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah tersumbat dan bekalan darah ke sebahagian jantung diganggu.

Butiran lanjut mesti didapatkan dari pakar perubatan.

Berkenaan kisah dialog antara Nabi Sulayman ahs. dengan jin yang mengaku bernama raihul ahmar, yang akhirnya disebutkan bahawa rasukan oleh jin inilah yang menjadi punca serangan angin ahmar, saya sendiri pon ada menerima kisah tersebut dari rakan menerusi media sosial. Namun apabila saya memohan supaya diberikan asal muasal/dasar rujukan kepada kisah tersebut, tiada siapa pon yang membalasnya.

Sudah lama saya mendengar kisah ini, sejak kecil-kecil lagi sudah mendengarnya. Namun dari dahulu hingga sekarang, tiada sesiapa ;pon yang dapat menunjukkan periwayatan/sanadnya untuk disemak dan ditahqeeqkan. Ada beberapa orang menyebut dan menyebarkannya dengan alasan “ada dalam kitab”. Sehingga sekarang juga apa butiran kitab itu tidak pula diberikan. Jika benar ada, baguslah kerana semakan boleh dibuat.

Apa yang boleh saya katakan adalah, kisah ini bathil dan langsung tidak berdasar. Maka ia tidak boleh dipercayai, dipegangi dan disebarkan.

Sedikit peringatan kepada diri saya sendiri dan semua sahabat jamaah, sesuatu yang dikaitkan / disandarkan kepada Nabi Muhammad Saw, cucu kesayangan Baginda : Husin dan dikaitkan pula dengan Nabiyullah Sulayman ahs. wajib bersifat sohih, soreh dan qot’ie. Jika tidak, ia hanyalah kisah rekaciptaan semata-mata yang pasti sekali akan mencampakkan pencipta dan penyebarnya ke dalam neraka.

Semoga maklumbalas saya ini telah menjawab pertanyaan dan telah membantu.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

سكيان , والسلام


0 ulasan: