Isnin, 31 Oktober 2016

KEBENARAN : Amalan Bubur Asyura.

0 ulasan


On Thursday, October 20, 2016 14:27 PM, wrote :

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Selamat sejahtera ustaz mad, lama tak jumpa, semoga sihat selalu, dan segala yang lain pun baik saja sentiasa.

Nak tanya apa cerita sebenarnya, tiap tiap tahun, masuk saja bulan Muharram, sibuklah geng penduduk tempat saya nak kucai bubor asyura. Tak mahu joint kena kata macam macam pulak, macamlah buat bubur nih hukumnya wajib.
Dulu ada satu ustaz ceramah kat surau, bagi tahu yang asal mula buat amalan kucai bubur asyura nih syiah dan segala yang sama waktu dengannya, dibuat kerana menunjukkan rasa sedih sayyidina Husin dibunuh di Karbala. Semua geng kampung sebut faham dan insaf. Sejak tu saya dah berhenti.
Tapi masuk saja bulan Muharram segala yang mereka dok faham dan insaf tu, tak jadi apa pun. Mereka dok buat serupa ja.
Jadi apa ceritanya bubur asyura nih, saya serabut betullah dengan orang tak faham faham nih. Mereka nak berkenduri kendara, tak payah la menyusahkan orang.

Saya nak mohon pengesahan dari ustaz, Jasa baik ustaz sangat saya hargai.

والسلام

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Saya jawab secara ringkas sahaja.

Merujuk kepada hadits-hadits yang sohih, jelas sekali bahawa pada tanggal 9 & 10 bulan Muharram, Rasulullah Saw. secara khusus menyuruh serta menggalakkan kita, ummat Islam untuk berpuasa sunnat pada 2 hari itu. Itu saja. Segala macam suruhan/galakkan berbuat amalan kebajikan/solih seperti banyak bersolawat, banyak berzikr, banyak istighfar dan lain-lain lagi, adalah perintah umum bagi setiap hari dalam seluruh hidup ummat Islam, tanpa khusus kepada hari ‘Asyura sahaja.

Tidak ditemui dalam mana-mana hadits sohih pon tentang suruhan/galakan untuk memasak bubur 'asyura pada tanggal 10 Muharram. Galakkan untuk berpuasa sunnat yang sohih ini, jelas sekali bercanggah dengan kepercayaan dan amalan memasak bubur 'asyura yang dilakukan sebahagian ummat Islam, yang tidak berdasar.

Setakat yang diketahui, mereka yang mendakwa dan percaya adalah sunnat memasak bubur ‘asyura pada tanggal 10 secara khusus dan pada bulan Muharram secara amnya, beralasan antaranya dengan sebab-sebab berikut :

1. Kisah Bahtera Nabi Nuh ahs.
Diriwayatkan bahawa pada hari pertama bulan Rejab, Nabi Nuh ahs. menaiki bahteranya lalu Baginda bersama dengan pengikutnya di atas bahtera itu berpuasa. Kapal itu belayar selama enam bulan sehinggalah pada bulan Muharram lalu ia terdampar di atas bukit Judiy pada hari ‘Asyura` lalu Nabi Nuh berpuasa dan mengarahkan orang yang bersamanya berpuasa termasuklah haiwan-haiwan. Mereka pun berpuasa sebagai rasa bersyukur kepada Allahu Ta’ala.
Tafsir ath-Thabari, Jilid 15, halaman 335

Riwayat ini dari segi sanadnya tidak kuat. Pertama, saorang perawinya ‘Utsman bin Matar, adalah seorang yang dho’if, munkar ul-hadits dan matruk.
Kedua, Abdul ‘Aziz bin Abdul Ghafur itu nama yang diterbalikkan. Sepatutnya ‘Abdul Ghafur bin ‘Abdul ‘Aziz, seorang pendusta besar.
Jika ada sanad yang sahih sekali pon tentang riwayat ini, sebenarnya apa yang dilakukan oleh Nabi Nuh ahs. ialah berpuasa pada hari ‘Asyura` dan bukannya memasak makanan tertentu.

2. Hadits Abu Hurairah Rhu. :
Dikhabarkan : Rasulullah Saw. mendoakan keberkatan pada tiga perkara, bubur, sahur, dan sukatan.
Riwayat imam ath Thabarani Rhm. dalam al-Mu’jam ul-Awsat, no: 6866

Hadits ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mewajarkan amalan membuat bubur ‘asyura kerana hadis ini adalah umum dan tidak boleh dijadikan sebagai dalil kerana bubur Asyura itu dikhususkan hanya pada tarikh 10 bulan Muharram dan dikaitkan pula dengan Nabi Nuh ahs.

3. Sesetengah pihak berhujah dengan riwayat ini ;
“Sesiapa membelanjakan untuk ahli keluarganya dengan bermurah hati pada hari ‘Asyura`, maka Allah akan meluaskan untuknya sepanjang tahun.

Walaupun riwayat ini mempunyai banyak jalur sanad, namun tiada satu pon darinya terselamat dari kritikan para ulama hadits. Kedudukan hadits ini di sisi ulama’ hadits adalah palsu atau dhoif. Sila rujuk : Al-Mawdhu’aat oleh imam Ibnu Jauzi 2/572, Al-Manar al-Munif oleh imam Ibnu Qayyim 1/111, Al-Fawaid al-Majmu’ah oleh imam Asy Syaukani 1/98, Mulla Ali al-Qari dan ramai lagi.

4. Sesetengah pihak berhujjah pula dengan kisah ini :
Bahawasanya ketika mana bahtera Nabi Nuh ahs. berlabuh di Bukit Judiy pada hari ‘Asyuraa, maka berkatalah Baginda kepada ummatnya :

"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih, maka dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila' iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas dan Ba'ruz dan tepung dan kacang Hinthoh sehingga menjadi tujuh jenis biji bijian yang dimasak". Maka berkata Nabi Nuh ahs. : Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang".

Kisah ini dicatatkan dalam kitab Nihayatuz Zain (halaman 196 : Syeikh Nawawi Al-Banteni), Kitab Nuzhatul Majalis (halaman 172 : Syeikh Abdur Rahman Al-Ushfuri), Kitab Jam'ul Fawaid (halaman 132 : Syeikh Daud Al-Fathoni). Tetapi ia hanyalah catatan kisah tanpa dinyatakan sumber dan periwayatan/sanad supaya dapat ditahqeeq keabsahannya. Sayugia diperingatkan, zaman hayat Nabi Nuh ahs. adalah ribuan tahun sebelum Nabi Muhammad Saw. lagi, maka apa jua kisah mengenai Baginda wajib dari sumber sohih, soreh dan qot’ie, yang membawa maqsud mesti dari Kalamullah atau sabdaan Nabi Saw. bukan seqadar perceritaan semata. Justeru, tanpa keabsahan sebegini, maka ia sekaligus tertolak dan tidak layak sama sekali disandarkan kepada junjungan mulia Nabi Nuh ahs.

Justeru itu, hal membuat suatu makanan yang istimewa dan berbelanja lebih secara khusus pada hari ‘Asyura, tidak ada dalil sohih yang menganjurkannya.

Dalam konteks membuat bubur ‘asyura ini, asasnya ia adalah hal makanan ya’ni perihal adat kehidupan manusia, semata-mata menyediakannya tanpa mengaitkannya dengan agama, hari tertentu, tempat tertentu, mana-mana nabi atau individu dan kepercayaan adanya fadhilat khusus, maka ia diharuskan. Prinsipnya, tidak ada bid’ah dalam perkara adat budaya kehidupan, kerana bid’ah hanya berkait dengan perkara ibadat atau penghayatan agama (tadayyun).

Namun ada ruang untuk wujudnya bid’ah dalam perkara adat tetap ada, apabila ia dikaitkan dengan unsur-unsur agama. Sesaorang itu boleh mengadakan apa jua bentuk perkara berkaitan adat selagi mana tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan tidak mengandungi unsur yang haram. Apa jua jenis makanan boleh direka termasuklah bubur, dan bagaimana cara untuk memasaknya juga adalah harus asalkan ianya halal.

Sebaliknya, jika makanan itu dan cara memasaknya itu dikaitkan dengan agama, hari tertentu, tempat tertentu, menisbahkan kepada mana-mana nabi atau individu dan mempunyai fadhilat tertentu, pada hal tidak ada sandaran dalil yang sohih ke atasnya, maka ianya menjadi bid’ah dan bathil.

Maka itu, harus difahami bahawa, sekadar memasak dan memakan bubur ‘asyura bukanlah isunya. Tetap juga ia harus diperbuat pada bila-bila masa pon dan halal dimakan, kerana ia adalah makanan. Akan tetapi, ia boleh tertolak disebabkan oleh kepercayaan dan keyaqinan yang menjadi dasar kepada perbuatannya.

Memanglah jika disebutkan kepada masyarakat umum, mereka tidak suka apabila hal ini dibangkitkan, dan mereka menekankan yang perbuatan bubur ‘asyura ini hanya adat budaya sahaja dan tidak boleh dipersalahkan. Walhal, jika benar ia hanyalah adat budaya, kenapa pula bubur ‘asyura ini tidak akan ditemui sehingga masuknya bulan Muharram dan spesifiknya pada tanggal 10. Kenapa pula begitu? Kenapa tidak pada waqtu-waqtu lain? Apatah lagi qaidah membuat bubur ini hanyalah acara sekali setahun bukan sepanjang masa.

Jika seqadar beralasan bahawa bubur ‘asyura untuk dibahagikan kepada orang-orang miskin dan berpuasa, adalah benar itu perkara yang baik lagi mahmudah. Persoalannya, mengapa memilih dan menetapkan bubur ‘asyura untuk dibahagikan kepada orang berpuasa pada 10 Muharram tetapi tidak pula kepada orang berpuasa pada bulan Ramadhon, walhal kita sedar dan tahu bahawa amalan puasa Ramadhon dilipatgandakan pahalanya, lebih-lebih lagi bersadaqah yang memang dituntut padanya. Masya Allah!..banyak pahala tu. Ada ke mana-mana organisasi yang buat bubur ‘asyura pada Ihya Ramadhon? Tidak pernah ada pula setakat saya hayat ini.
Diperakui alasan yang diberikan bahawa ia mempunyai kesan yang positif seperti dapat menyatukan masyarakat, akan tetapi semata-mata matlamat yang baik sahaja tidak boleh dijadikan hujjah untuk mewajarkannya. Ini kerana dalam syari’ah, dua perkara mesti diambil kira dalam dasar hukum, yaitu maqasid dan wasa`il, iaitu matlamat dan jalan mencapainya. Ini membawa maqsud, hendaklah menggunakan cara yang betul untuk mencapai maksud yang baik lagi murni.

Mari kita ambil i’tibar dari kalam ulama’ kibar ini, Asy Syaikh Abu Bakar bin Sayid Muhammad Syatha ad-Dimyathi Rhm. ketika membahas puasa sunnah ‘Asyura (10 Muharram) dalam kitabnya : menukil keterangan para ulama’ tentang amalan-amalan yang dilakukan pada hari ‘Asyura. Dia mengatakan seperti berikut ini :

Al-Ahjhuri mengatakan : “Sesungguhnya aku telah bertanya sebahagian ahli hadits dan ahli fiqah tentang bercelak, memasak biji-bijian, memakai pakaian baru dan memperlihatkan rasa senang. Mereka menjawab : “Tidak ada hadits sohih dari Nabi Saw. tentang hal itu, tidak juga dari sahabat, dan tidak ada saorang pon dari imam yang mensunnahkannya. Begitu juga apa yang dikatakan bahawa barang siapa yang bercelak pada hari ‘Asyura, maka matanya tidak sakit selama tahun itu dan barang siapa yang mandi pada hari itu, maka dia tidak sakit pada tahun itu.”
Kitab i’anah Ath-Thalibin, Jilid 2 halaman 301

Sebagai kesimpulan, menyediakan bubur 'asyura bukanlah amalan sunnat yang dituntut pada 10 Muharam. Tidak ada satu dalil pun yang sohih menyebut mengenai kelebihan menyediakan makanan khas pada hari ini. Hadits yang menyebut perkara ini adalah hadits palsu dan tertolak. Maka, asas kepercayaan yang mendasari bahawa sunnat menyediakan bubur 'asyura pada 10 Muharam dengan mengharapkan ganjaran yang khusus, fadhilat yang khusus, dipercayai pula ia amalan Nabi Nuh ahs. memang ia suatu yang perlu diperhalusi sedalam-dalamnya. Sesuatu amalan yang mahu dikaitkan/disandarkan dengan agama, ia mesti bersandarkan dalil yang sohih sahaja.

Mengkaitkan bubur ‘asyura dengan amalan penganut agama syiah, saya tidak pernah membuat kajian lanjut, namun mungkin ada kebenarannya kerana memang penganut syiah menanggapi Muharram sebagai bulan kesedihan. Mereka percaya tanggal 10 Muharram adalah hari cucu kesayangan Nabi Muhammad Saw., Husein bin Ali Rhu. telah dibunuh dengan kejam di Kufah.
Maka, tanggal 10 Muharram telah mereka jadikan satu hari perayaan kononnya untuk menzahirkan kesedihan dan simpati atas penderitaan al-Husein. Antara perkara yang dilakukan sempena perayaan ini adalah dengan memukul-mukul badan, menangis, berteriakan, mengerat-ngerat sehingga berdarah juga berpakaian hitam. Juga mereka memasak bubur yang berwarna hitam dan tidak sedap sebagai tanda bersedih.
Haqiqatnya, perayaan ini merupakan hari penyesalan penganut Syiah di Kufah setelah mereka sendiri yang membunuh al-Husein di Kufah. Merekalah yang menjemput al-Husein ke Kufah kemudian menipu cucu Rasulullah Saw. itu lalu membunuhnya. Ini dijelaskan dengan nyata oleh penulis syiah sendiri, Muhsin al-Amin dalam kitabnya A'yan al-Syiah dan Mula Baqir al-Majlisi dalam kitabnya berbahasa Parsi ; Jila' al-Uyun.

Ada kemungkinan tradisi masyarakat membuat bubur ‘asyura pada tanggal 10 Muharram disebabkan terikut-ikut atau meniru perbuatan penganut syiah tersebut. Malah saya berasa yaqin, inilah faktor yang lebih besar yang mendasari amalan masyarakat membuat bubur ‘asyura secara khusus pada bulan Muharram, berbanding berpegang kepada kisah/cerita yang terbukti palsu dan tertolak.

Baguslah tuan tidak mahu terlibat lagi dengan bubur ‘asyura yang khusus pada bulan Muharram. Saya sendiri pon sudah puluhan tahun tidak terlibat pada amalan yang khusus sebegini, tetapi sangat menghargai dan berpegang : makanan adalah hal adat kehidupan manusiawi yang bersifat umum, pada bila-bila masa pond an dimana saja, lantaran penetapan secara khusus memang ada masalah padanya.

Akhiirul Kalam
Sedikit peringatan kepada diri saya sendiri dan semua sahabat jamaah, sesuatu yang dikaitkan / disandarkan kepada Nabi Muhammad Saw, cucu kesayangan Baginda : al-Husein dan dikaitkan pula dengan Nabiyullah Sulayman ahs. wajib bersifat sohih, soreh dan qot’ie. Jika tidak, ia hanyalah kisah rekaciptaan semata-mata yang pasti sekali akan mencampakkan pencipta dan penyebarnya ke dalam neraka.

Semoga maklumbalas saya ini telah menjawab pertanyaan dan telah membantu.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

سكيان , والسلام


0 ulasan: