Ahad, 25 Disember 2011

ibadah Qurban: (siri 3-soal jawab)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani ibadah hari raya I’edul Adha kepada semua. Juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Alhamdulillah, artikel saya berkenaan ibadah qurban telah mendapat reaksi baik dari para jamaah dan pembaca. Bersama ini saya sertakan sebahagian jawaban terhadap beberapa persoalan lanjut yang dikemukakan. Ini adalah sekumpulan dari beberapa siri maklumbalas. Terdapat beberapa lagi termasuk perbualan telefon yang tidak saya catatkan disini. Semoga kita bersama-sama mendapat manfaat darinya.
 
----- Forwarded Message -----
From: pedu_00@yahoo.com
To:
Cc:
Sent: Saturday, November 19, 2011 12:26 PM
Subject: Ibadah Qurban : Siri 1

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 
Saya pun nak menokok sikit, semakan saya dapati lafaz hadis dari imam Muslim rohimahullah seperti tertulis itu adalah benar, maka yang mana yang dimaksudkan dengan :
 
Lafaz yang tertinggal adalah "unta kongsi 10 orang”
 
Harap mendapat penjelasan.
 
Wassalam
 
To:
Cc:
Sent: Saturday, November 19, 2011 11:27 AM
Subject: Ibadah Qurban : Siri 1
 
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 
Moga ustaz Mad dalam suasana sihat dan elok-elok sahaja di hari cuti ni. Terima kasih banyak atas artikel yang memberi penjelasan lengkap tentang ibadah koban ini. Ia memang banyak memberi kefahaman dan penjelasan. Saya hargai ustaz kerana mengekalkan trend memberikan dalil ke atas setiap hukum.
 
Sekadar nak bertanya lanjut, masyhur dalam amalan kita ini unta dan lembu 7 bahagian sahaja. Sepanjang hidup saya ini, itulah sahaja yang saya diajar dan begitulah yang saya fahami. Saya mohon penjelasan lanjut atas statement ustaz berkenaan unta boleh 10 bahagian. Supaya apa-apa keraguan dapat diperjelaskan. Diharap tidak mengganggu sedang cuti-cuti Malaysia ini.
 
Apapun, teruskanlah usaha murni ini, moga Allah Swt. sentiasa memberkati.
 
Sekian, wassalam.

----- Forwarded Message -----
To:
Cc:
Sent: Monday, November 14, 2011 8:12 AM
Subject: Ibadah Qurban : Siri 1
 
Assalamualaikum,

RALAT : ada typing error. Lafaz yang tertinggal adalah "unta kongsi 10 orang”. Akan saya buat pembetulan dan penjelasan nanti. Harap maaf.
 
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 
Maklumbalas :
 
Berdasarkan sunnah Rasulullah Saw. yang dinyatakan dalam beberapa hadis sahih, binatang ternak yang dimaksudkan adalah unta, lembu, kambing dan kambing biri-biri (kibas, domba). Kambing dan kambing biri-biri (kibas, domba) mesti dilakukan oleh satu orang manakala unta boleh dikongsi oleh 7 orang ataupun 10 orang manakala lembu boleh dikongsi oleh 7 orang, ini berdasarkan hadis berikut :
 
“Dari Jabir bin Abdullah rhu. ia berkata : Pada tahun dilaksanakan Perjanjian Hudaibiyah kami pernah berqurban bersama Rasulullah Saw. dengan seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang pula”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 3172), imam Abu Daud rh. (no. 2809), imam Tarmizi rh. (no. 1502) dan imam Ibnu Majah rh. (no. 3132)
 
Hadis ini membawa maksud satu unta setara dengan satu lembu yang boleh dikongsi oleh tujuh orang.
 
“Dari Rafi’ bin Khadij rhu. ia berkata : ……………….. Para sahabat mendapatkan banyak rampasan perang, sementara Nabi Saw. berada bersama kelompok sahabat yang paling belakang. Mereka pada memasang periuk, Baginda kemudian menyuruh agar periuk-periuk itu (dibawa kepada Baginda), lalu isinya dikeluarkan, kemudian dibahagi-bahagikan diantara mereka. Baginda membahagi satu ekor unta sama dengan sepuluh kambing. …….”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari, no. 5543
 
Hadis ini membawa maksud satu unta setara dengan sepuluh kambing. Dalam erti kata lain setara dengan sepuluh orang.
 
“Dari Rafi’ bin Khadij rhu. ia berkata : Suatu ketika kami bersama Rasulullah Saw. di Zul Hulaifah dari Tihamah, lalu kami mendapatkan beberapa ekor kambing dan unta. Maka ada beberapa orang yang tergesa-gesa, mereka mendidihkan periuk-periuk, namun Nabi Saw. kemudian memerintahkan mereka menumpahkan periuk-periuk tersebut. Selanjutnya Baginda menyamakan sepuluh kambing setara dengan satu unta”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 5066) dan imam Abu Daud rh. (Kitab Al Idahi, no. 2762)
 
Hadis ini membawa maksud satu unta setara dengan sepuluh kambing. Dalam erti kata lain setara dengan sepuluh orang.
 
Hadis 2 dan 3 di atas adalah merujuk kepada peristiwa peperangan yang mana maksud “menyamakan sepuluh kambing setara dengan satu unta” adalah Rasulullah Saw. telah menggantikan 1 unta yang lepas lari dengan 10 ekor kambing. Kes ini adalah berkenaan pembahagian ghanimah (harta rampasan perang). Ini mengandung pengertian bahawa hal itu merupakan perbandingan harga kambing berbanding 1 unta dan menjelaskan bahawa unta lebih berharga dari kambing. Pengajaran lain yang dapat dipetik adalah, bahawa dalam pembahagian ghanimah, tidak disyariatkan setiap orang mendapat jenis ghanimah yang sama, akan tetapi boleh nilai yang sama.
Imam Nawawi rh. Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 9, halaman 539-540
 
Selain itu, prinsip asas yang dapat diperolehi dari 2 hadis tersebut adalah 1 unta adalah setara dengan 10 kambing, yang juga bermaksud 10 orang dalam kes qurban. Namun penetapan yang paling jelas adalah berdasarkan hadis berikut :
 
“Dari Abdullah Ibnu Abbas rhu. dia mengatakan : Dahulu kami pernah bersafar bersama Rasulullah Saw. lalu tibalah hati raya I’edul Adha, maka kami pun berkongsi sepuluh orang untuk qurban seekor unta. Sedangkan untuk seekor lembu, kami berkongsi sebanyak tujuh orang”.
Hadis riwayat imam Ibnu Majah rh. (no. 3131) dan imam Tarmizi rh. (no, 9905) dan beliau mengatakan bahawa ini hadis hasan gharib. Imam Ibnu Qatthan rh. dan Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. mengatakan ini hadis sahih.
 
Maka itu, unta bagi qurban boleh dikongsi oleh 10 orang. Perkara ini turut disebut oleh :
 
1.    Imam Al Qadhi Abu Syujak Ahmad bin Alhusain bin Ahmad Al Isfahani rh., disyarah oleh Imam Taqiyuddin Abu Bakar Bin Muhammad Al Husni rh., kitab Kifayatul Akhyar, Jilid 2 halaman 493-494.
2.    Imam Abu Al Walid Muhammad Bin Ahmad Bin Muhammad Ibnu Rushd Al Qurthubi Al Andalusi rh. kitab Bidayatul Mujtahid, Jilid 2 halaman 254-255
3.    Imam Muhammad Bin Ali Asy Syaukani rh. kitab Nailul Authar, Jilid 2 halaman 641
4.    Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. Kkitab Sahih Fiqh Sunnah, Jilid 2 halaman 370
 
----- Forwarded Message -----
From: hisbulyusof@yahoo.com
To:
Cc:
Sent: Sunday, November 20, 2011 10:49 AM
Subject: Ibadah Qurban : Siri 1

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 
Saya amat tertarik dengan huraian bab korban ini. Terima kasih kerana memberi penjelasan lengkap dan memberi pemahaman lanjut. Saya nak bertanya sedikit tentang beberapa hal yang sering diamalkan oleh orang-orang di tempat saya di Kelantan.
 
1.    Bolehkah digabungkan hasrat untuk membuat korban sekali dengan membuat aqiqah.
2.  Bolehkah digabungkan seekor lembu, untuk beberapa bahagian diniatkan korban dan untuk beberapa bahagian lagi diniatkan akikah. Hal ini sering dibuat dari dulu lagi. Secara peribadi saya rasa pelik dengan amalan ini. Harap mendapat penjelasan.
3.  Adakah diwajibkan atau dimestikan seseorang yang membuat korban mesti hadir semasa sembelihan dibuat, memegang tali lembu dan membuat lafaz wakil kepada tukang sembelih dan menunggu sehingga sembelihan sempurna disiapkan.
 
Maklumbalas amat saya hargai.
 
Wassalam
 
Maklumbalas 1
 
Saya ada mendengar perbuatan seperti yang ditanyakan berlaku dalam masyarakat, tetapi tidak pernah mengalami sendiri keadaan seperti itu. Yang dimaksudkan dengan menggabungkan disini adalah “membuat qurban dan aqiqah pada satu kambing atau pada satu bahagian unta ataupun lembu yang sama”. Dengan jelas saya maklumkan bahawa, perbuatan menggabungkan ibadah qurban dengan ibadah aqiqah tidak boleh diperbuat disebabkan hal-hal berikut :
 
A. Ibadah qurban dan ibadah aqiqah adalah diperbuat berdasarkan perintah Allah Swt. dan dicontohkan oleh rasulNya. Tanpa perintah Allah Swt. dan contohkan oleh rasulNya ini, kita tak tahu pun adanya 2 ibadah ini. Sepanjang pengetahuan dan semakan saya, tiada pernah berlaku amalan menggabungkan 2 ibadah ini pernah diperbuat oleh Rasulullah Saw., zaman para sahabatnya, tabiin dan juga pada zaman tabi’ut tabi’in. Jangan sesekali menambah sesuatu ibadah baru ke dalam Islam yang tentunya sudah sempurna.
 
B. Perintah Allah Swt. dan rasulNya yang menjadi dalil adanya 2 ibadah ini telah menetapkan bahawa ianya adalah 2 ibadah yang berbeza, berasingan dan berdiri dengan sendirinya. Jangan sesekali menambah sesuatu ibadah baru ke dalam Islam yang menjadikannya 2 dalam 1 pula.
 
C. Prinsip pensyari’atan 2 ibadah ini juga berbeza : qurban bertujuan untuk membersihkan diri daripada melakukan dosa dan membuktikan ketaqwaan, manakala aqiqah adalah sebagai tanda menyambut kelahiran bayi dan memberikan nama.
 
D.   Prinsip amaliyahnya juga berbeza yang mana : adalah sunnat muakkadah menyerahkan daging qurban secara mentah, manakala sunnat muakkadah daging aqiqah dimasak dan diberi makan. 
 
Dalam kes menggabungkan niyat qurban dan aqiqah sekali gus ini, saya berpendirian sepertimana fatwa Imam Ibnu Hajar Al Haitamy rh. dalam kitab Tuhfah Al Fatawa Al Kubra yang menyatakan bahawa "Jika seseorang itu berniat ibadah qurban dan aqiqah ke atas seekor kambing sekali gus maka kedua-duanya dianggap sebagai batal". Perbuatan ini adalah berdasarkan pinsip keyakinan yang salah dan hanya sia-sia. Ini kerana qurban dan aqiqah mengandungi maqasid sunnah yang saling tersendiri.
 
Tertegaknya qurban dan aqiqah adalah berdasarkan perintah Allah Swt. dan dicontohkan oleh rasulNya, yang dituntut ke atas kita adalah melaksanakannya secara tauqifiyah (mengikut dalil dan nas sahihah sahaja bukan dalil rekaan). Sekiranya ada yang mengatakan bahawa hal ini boleh diperbuat disebabkan tiada perintah larangan, ingin saya maklumkan bahawa Solat Subuh 4 rakaat pun tiada perintah larangan.
 
Maklumbalas 2
 
Kedua-dua ibadah qurban dan aqiqah adalah sunnat muakkadah sahaja. Maka itu, tiada salah untuk seseoang membuat salah satunya sahaja atau kedua-duanya sekali. Malah tiada salah jua sekiranya seseorang mahu membuat sembelihan biasa pada hari-hari qurban. Sekiranya berlaku satu keadaan yang mana, semasa hari-hari qurban (hari Nahr dan 3 hari tasyriq), pada seekor lembu qurban, beberapa bahagian diniyatkan untuk qurban dan beberapa bahagian lagi diniyatkan untuk aqiqah, hal ini boleh diperbuat. Cuma amalan ini amat pelik dan janggal sekali. Baik sekali, pada musim qurban ini buatlah qurban dan buatlah aqiqah sebelum atau selepasnya. Pada musim sebegini, yang dituntut adalah membuat qurban.
 
Bagi orang yang mahu melakukan aqiqah, boleh ia berkongsi atau membeli bahagian daripada unta atau lembu yang mahu disembelih sepertimana fatwa imam  Imam An Nawawi rh. “Jika disembelih seekor lembu atau unta untuk tujuh orang anak/bayi atau berkongsi pada lembu/unta itu sekumpulan orang, harus hukumnya sama ada semua mereka mengingini aqiqah atau sebahagian mengingini aqiqah dan sebahagian lagi inginkan dagingnya sahaja”.
Kitab Al Majmu’, Jilid 8 halaman 321
 
Maklumbalas 3
 
Asas kepada perbuatan “mesti hadir semasa sembelihan dibuat, memegang tali lembu dan membuat lafaz wakil kepada tukang sembelih dan menunggu sehingga sembelihan sempurna disiapkan” itu adalah berdasarkan hadis berikut :
 
“Rasulullah Saw. bersabda : Wahai Fatimah! berdirilah di sisi qurbanmu dan saksikan ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu”.
Hadis riwayat imam Al Hakim rh.
 
Berdasarkan matan hadis ini, yang diperintahkan adalah hadir menyaksikan sembelihan sahaja. Perbuatan “memegang tali lembu dan membuat lafaz wakil kepada tukang sembelih” lebih kepada budaya amalan masyarakat. Tiada perintah berbuat begitu.
 
Hadis di atas tidak menunjukkan bahawa ia adalah satu kemestian/kewajiban untuk menyaksikan ibadah korban dan akan terbatalnya ibadah tersebut sekiranya tidak berbuat demikian. Ini dicontohkan oleh Rasulullah Saw. sendiri yang mana, Baginda pernah mewakilkan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib kmwj. untuk membuat sembelihan dan membahagikan daging-daging qurban, sedangkan tidak Baginda hadir ketika sembelihan itu dibuat sepertimana kisah dalam hadis ini :
 
“Dari Ali bin Abi Talib kmwj. ia berkata : Nabi Saw. telah memerintahkan aku untuk mengurusi haiwan qurban Baginda, dan Baginda menyuruh agar membahagikan semua daging, kulit dan kainnya kepada fakir miskin dan tidak memberi suatu apa pun bahagian daripada haiwan qurban itu kepada tukang sembelih (sebagai upahnya)”.
Hadis riwayat imam Muslim rh. (Bab Al Hajj : no. 3170), imam Bukhari rh. (Bab Al Hajj : no. 1707), imam Abu Daud rh. (Kitab Al Manasik : no. 1769), imam Ibnu Majah rh. (Kitab Al Manasik : no. 3099). Lafaz nukilan ini dari imam Muslim rh.
 
----- Forwarded Message -----
From: mohdpoziatan@yahoo.com.my
To:
Cc:
Sent: Monday, November 21, 2011 2:17 AM
Subject: Ibadah Qurban : Siri 1
 
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 
Saya ucapkan ribuan terima kasih atas huraian lengkap berkenaan ibadah korban. Saya ingin memohon kepastian bagi hal ini : Bolehkan dibuat qurban yang diniyatkan bagi ahli keluarga yang telah meninggal dunia kerana semasa hidup dulu mereka tidak membuatnya. Kadangkala kita hari ini ada lebihan rezeki yang membolehkan kita membuatnya.
 
Selain itu, diharapkan dapatlah Ustaz Mad teruskan artikel penjelasan dan huraian lanjutan yang melibatkan cara-cara sembelihan, hukum hakam berkenaan binatang korban, pantang larang semasa membuat korban dan lain-lain hal mengikut sunnah yang belum dinyatakan lagi.
 
Moga ustaz terus mempunyai kekuatan dan mempunyai kelapangan untuk meneruskan usaha da’wah.
 
Sekian.
 
Maklumbalas 1 :
 
“Bolehkah membuat qurban untuk orang yang telah mati”, hal ini merupakan antara persoalan yang paling banyak kali ditanya. Dan jawaban saya sejak dahulu lagi juga tetap sama yaitu, tidak boleh qurban diperbuat secara khusus untuk orang telah mati. Cuma, kali ini saya tuliskan jawaban itu.
 
Di dalam menjawab persoalan ini, seboleh mungkin saya tumpukan hanya kepada dalil-dalil dari Al Quran dan hadis sahih semata-mata. Seraya menolak hadis-hadis dhaif, mungkar dan maudhuk kerana mengambil jalan selamat, demi sesungguhnya berurusan dengan orang yang sudah mati merupakan satu perkara yang melibatkan alam yang lain dari alam fana yang kita duduki sekarang, alam yang ghaib, yang hanya Allah Swt. dan rasulNya sahaja yang lebih mengetahui. Oleh kerana itu, akal-akalan, pendapat dan sangka-sangkaan tidak boleh dipakai sama sekali kerana Allah telah menghadkan akal pemikiran manusia setakat mana Dia ingini yang tertakluk dibawah KuasaNya. Memandangkan dunia ghaib ini tidak dapat kita lihat mahupun rasai, maka kita mesti mesti kembali kepada sumber qati'e dari Allah Swt. yang Maha Kuasa di samping Nabi Muhammad Saw. untuk menjelaskannya dan menetapkan segala hukumnya.
 
Prinsip paling asas dan menjadi dasar kepada apa-apa perkara melibatkan amalan orang yang telah mati adalah firman Allah Swt. :
 
Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya”.
Surah An Najm (53) : ayat 39
 
Ayat ini tetap kuatkuasa hukumnya dan tidak pernah mansukh. Sekiranya ada apa-apa yang diperbolehkan pengecualian atau rukhsah (keringanan) daripada ayat ini, ia mestilah dengan contoh atau perintah Nabi Saw. sendiri, bukannya dari sangka-sangkaan atau pendapat sahaja. Pada asalnya, qurban disyari’atkan bagi orang yang masih hidup, sebagaimana Rasulullah Saw.dan para sahabatnya telah menyembelih qurban untuk dirinya dan keluarganya. Adapun persangkaan orang awam yang adanya kekhususan qurban untuk orang yang telah mati, hal itu tidak ada dasarnya.
 
Baik sekali saya mulakan, tidak sah membuat qurban bagi pihak orang mati kecuali dengan wasiyat darinya. Jika ia mewasiyatkannya, haruslah membuat qurban bagi pihaknya. Ini sepertimana yang diperbuat oleh Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib kmwj. menerusi hadis berikut :
 
“Bahawa ia (yakni Ali kmwj.) menyembelih qurban dengan dua ekor biri-biri bagi pihak Nabi Saw. dan dua ekor bagi pihak dirinya sendiri dan ia berkata : Sesungguhnya Rasulullah Saw. menyuruhku (berpesan) agar menyembelih qurban untuknya selama-lamanya, maka aku pun menyembelih qurban bagi pihaknya selama-lamanya (yakni selagi aku hidup)”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh., imam Tarmizi rh. dan imam Baihaqi rh.
 
Bagi kes membuat qurban secara khusus untuk si mati tanpa adanya wasiyat (serta nazar – sila rujuk nota dibawah), saya satu pendirian dengan fatwa ini :
 
Kami tidak memandang benarnya pengkhususan qurban untuk orang yang sudah meninggal sebagai sunnah, sebab Nabi Saw. tidak pernah mengkhususkan menyembelih untuk seorang yang telah meninggal. Baginda Saw. tidak menyembelih qurban untuk Hamzah rhu., pamannya, padahal Hamzah merupakan kerabatnya yang paling dekat dan dicintainya. Nabi Saw. tidak pula menyembelih qurban untuk anak-anaknya yang meninggal di masa hidup Baginda, yaitu tiga wanita yang telah bersuami dan tiga putera yang masih kecil. Nabi Saw. juga tidak menyembelih qurban untuk isterinya, Khadijah rha, padahal ia merupakan isteri tercintanya. Demikian juga, tidak ada berita jika para sahabat menyembelih qurban bagi salah seorang yang telah meninggal.
Syaikh Muhammad bin Solih bin Muhammad Al Utsaimin rh. KItab Ahkam Al Adhahi wal Dzakaah
 
Saya ulangi, tertegaknya ibadah qurban adalah berdasarkan perintah Allah Swt. dan dicontohkan oleh rasulNya, yang dituntut ke atas kita adalah melaksanakannya secara tauqifiyah (mengikut dalil dan nas sahihah sahaja bukan dalil rekaan). Tidak boleh menggunakan qaedah qiyas dalam ibadah sewenang-wenangnya dengan mengambil amalan satu ibadah lain kemudian digunakan sebagai sandaran hukum bagi ibadah qurban. Lantaran kerana setiap ibadah tertegak dengan dalil sendirinya. Amalan membuat qurban secara khusus untuk orang telah mati memang tiada dicontohkan oleh Nabi Saw., sahabatnya dan salafus solih. Sekiranya ada yang mengatakan bahawa hal ini boleh diperbuat disebabkan tiada perintah larangan, ingin saya maklumkan bahawa membuat qurban dengan kuda atau rusa pun tiada perintah larangan.
 
Sebenarnya, amalan membuat ibadah qurban oleh seseorang, kalau pun hanya dengan seekor kambing, bermaksud ia telah melakukannya untuk seluruh keluarganya. Ini memberi makna, kalau pun tidak dibuat secara khusus untuk simati, hakikatnya simati itu telah pun mendapat manfaat dari ibadah qurban yang dibuat oleh ahli keluarganya. Lantaran, yang dimaksudkan dengan keluarganya ini adalah yang masih hidup mahupun yang telah mati. Ini dijelaskan dalam satu hadis :
 
“Dari Atha’ bin Yasir rhu., ia berkata : Saya bertanya kepada Abu Ayyub Al Ansori rhu., bagaimana qurban-qurban yang sekalian (para sahabat) lakukan pada zaman Rasulullah Saw.?  Abu Ayyub Al Ansori rhu. menjawab : Pada zaman Rasulullah Saw., seseorang berqurban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya. Mereka memakan dan memberi makan orang lain, kemudian manusia berbangga sehingga seperti yang engkau lihat”.
Hadis sahih riwayat imam Tarmizi rh. (no. 1541) dan imam Malik rh. dalam kitab Al Muwatta’ (no. 387)
 
Dalam satu hadis lain, Rasulullah Saw. membuat sembelihan qurban dengan mengatakan : “Bismillah, Ya Allah! Terimalah dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan dari umat Muhammad”, kemudian Baginda menyembelih kibas itu(Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. No. 5064 dan imam Abu Daud rh. No. 2792). Ini menunjukkan bahawa amalan qurban oleh seseorang juga mewakili seluruh keluarganya (yang masih hidup mahu pun yang telah mati). Huraian lengkap dalam hal ini dibuat oleh Imam Muhammad bin Ismail Al Amir As Son’ani rh. dan beliau merumuskan : Seekor kambing boleh untuk satu orang lelaki dan keluarganya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Saw.”.
Kitab Subul As Salam Syarah Bulugh Al Maram, Jilid 3, halaman 584
 
Nota : Terdapat sebahagian fuqaha’ yang menghukum, jika seseorang itu telah bernazar dengan menentukan (menyediakan) binatang yang akan disembelihnya sebagai qurban, lalu ia mati sebelum sempat menyembelih qurbannya itu, maka dalam keadaan ini harus seseorang menyembelih bagi pihaknya sekalipun tanpa wasiat darinya (Imam Al Qadhi Abu Syujak Ahmad bin Alhusain bin Ahmad Al Isfahani rh., disyarah oleh Imam Taqiyuddin Abu Bakar Bin Muhammad Al Husni rh., kitab Kifayatul Akhyar, Jilid 2 halaman 528). Saya dapati hukum ini diistinbatkan berdasar satu hadis umum berkenaan nazar serta diqiyaskan dari beberapa hadis ibadah lain, tiada yang secara langsung berkaitan ibadah qurban. Maka itu, buat masa ini saya tidak mahu membuat ulasan lanjut. Baik sekali sekiranya hal ini ditarjih oleh ilmuwan lain yang lebih faqih daripada saya.
 
Maklumbalas 2 :
 
Bagi menulis artikel penjelasan lain-lain perkara berkenaan hal qurban dan sembelihan seperti yang dinyatakan dan diminta oleh Tuan, InsyaAllah, sekiranya ada kesempatan masa, akan saya tuliskan.  
 
والله اعلم
 
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Kenapa Aidil Adha pada 10 zulhijjah

0 ulasan

From: izanahani@yahoo.com
Cc:
Sent: Wednesday, November 2, 2011 3:05 PM
Subject: Kenapa Sambut Aidil Adha Pada 10 Zulhijjah

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga Ustaz Mad dalam suasana bahagia dan telah besedia untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha. Hal yang mahu saya tanyakan adalah berkaitan sambutan hari raya ini.

Saya ingin dapatkan penjelasan mengenai bagaimanakah hari raya Aidil Adha ditetapkan pada tarikh 10 Zulhijjah, bukan pula pada hari-hari lain. Kenapa pula 10 Zulhijjah. Sepanjang pengetahuan saya, 1 Syawal memang ada dalil menetapkan, bagaimana pula dengan Aidil Adha.

Saya bertanya ini disebabkan sudah lama benar saya amalkan hari raya ini tanpa ketahui asal-usulnya pun. Saya yakin juga rata-rata masyarakat kita hanya amalkan dan taati sahaja tanpa pernah tahu asasnya. Adalah kurang baik bersikap pak turut membuta tuli sahaja dalam amalan Islam ini kerana nanti kita akan dipersoalkan, dan kita sendiri jawab, bukannya boleh taici kepada orang lain pun dihadapan mahkamah Allah Subhanahu Wa Taala nanti.

Saya ada membuat semakan dan bacaan, tetapi saya dapati hanya menceritakan hikmah sambutan, sebab sempena pengorbanan Nabi Ibrahim juga tentang tatacara sambutan serta macam-macam perbahasan tentang sambutan Aidil Adha ini. Tiada satu pun yang menyebut secara jelas kenapa mesti pada tarikh 10 Zulhijjah.

Harap soalan ini tidak mengganggu ustaz nak menyambut Aidil Adha. Cuma saya memang perlukan jawaban sebagai pedoman dan menguatkan kepercayaan, dengan cara yang sahih. Begitulah maksudnya.

Sekian, wassalam.


----- Forwarded Message -----
From: edd zahir edd_zahir@yahoo.com
To:
Cc:
Sent: Saturday, November 5, 2011 11:27 AM
Subject: Kenapa Aidil Adha Pada 10 Zulhijjah

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani ibadah hari raya Iedul Adha kepada Puan dan semua rakan jamaah. Juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di bulan hari yang mulia ini, InsyaAllah. Terima kasih atas pertanyaan Puan yang amat mencabar ini. Amat bagus juga kerana Puan mahu bertanya supaya mendapat penjelasan, menghilangkan kerunsingan dan berusaha mendapatkan pemahaman yang sebenar-benarnya tentang perayaan Iedul Adha. Niyat Puan untuk tidak mahu menjadi pak turut membuta tuli sahaja dalam amalan syaraini amat mulia. Sememangnya begitulah tuntutan syara, menyuruh kita beramal dan beriman dengan ilmu dan ittiba. Moga Puan akan beroleh jawabnya dengan izin Allah Swt.

Muqaddimah : Setelah meneliti soalan puan, saya dapati ia lebih menjurus kepada hal sejarah/tarikh/tawarikh/sirah. Baik sekali saya berterus terang bahawa ilmu sejarah bukanlah bidang saya. Pengetahuan saya amat sedikit dan terhad dalam bidang ini. Saya amat pasti, Puan akan mendapat jawaban lebih tepat dan meyakinkan sekiranya soalan ini dijawab oleh pakar Sejarah Islam. Oleh itu, maklumbalas lanjut saya hanyalah setakat pedoman dan fakta asas tertentu sahaja yang serba serbi kekurangan. Jika bukan saya yang memberikan jawaban tepat pun, pasti akan ada pihak lain yang lebih faqih akan memberikan jawaban benarnya nanti. Begitulah harapan saya.

Untuk menulis pendek ini pun saya memerah otak untuk mengingati semula pengajian sejak dulu-dulu, cuba mengingati apa-apa yang dapat. Pada beberapa ketika, saya hubungi beberapa rakan sepengajian untuk sama-sama mencari fakta seberapa baik mungkin. Sempat juga saya singgah berdiskusi dengan seorang rakan di Shah Alam. Sementelahan lagi, saya dalam keadaan musafir sekarang ini hingga ke Johor dan Melaka, yang menyebabkan keupayaan dan bahan rujukan amat terhad. Berikutan itu terhasillah nukilan jawaban amat ringkas ini. Oleh itu, awal-awal lagi saya mohon maaf atas segala kekurangan serta salah silap.

Adanya sambutan Iedul Adha sebagai salah satu hari perayaan dalam syariat Islam adalah berdasarkan hadis berikut :

Daripada Anas bin Malik rhu. ia berkata : Nabi Saw. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyah pada kedua-dua hari itu. Lalu Baginda berkata : Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Iedul Adha dan Iedul Fitri.
Hadis sahih riwayat imam An Nasaai, Sunan An Nasaai (no. 959)

Dari hadis ini, ternyatalah yang hari raya Iedul Adha itu memang tuntutan syarayang qatie. Sepanjang pengetahuan saya yang amat dhaif ini, penetapan hari raya Iedul Fitri pada 1 haribulan Syawal adalah jelas dalilnya, begini :

Daripada Abdullah Ibni Umar rhu. ia berkata, bahawa Rasulullah Saw. bersabda mengenai bulan Ramadhan, kemudian Baginda menepukkan kedua tangannya dan bersabda :Satu bulan itu adalah sekian, sekian dan sekian (pada tepukan ketiga Baginda melipatkan ibu jarinyabermaksud ada mengandungi 29 hari), maka berpuasalah kalian (di bulan Ramadhan) kerana melihat hilal dan berbukalah (berhari raya) kerana melihatnya. Apabila hilal itu tertutup bagi kalian, maka sempurnakanlah hitungannya tiga puluh.
Hadis sahih riwayat Imam Muslim rh. (no. 2496) dan Imam Ahmad rh.

Setelah mentelaah sebaik mungkin yang termampu dan mengguna segala sumber yang saya ada, tidak pula saya temui satu pun atau lebih dalil syaraqatie dan sarih menyebut bahawa hari raya Iedul Adha adalah tetap pada 10 haribulan Zulhijjah. Saya akui benar-benar bahawa, memang tidak saya temui. Namun begitu, di ruang dan keupayaan yang amat terhad ini, baik sekali saya nukilkan beberapa perkara asas sebagai sedikit pedoman kepada pertanyaan Puan juga untuk manfaat kita bersama, begini :

12 bulan-bulan kalendar Islam seperti yang ada sekarang sebenarnya telah diamalkan oleh orang Arab jahiliyah lama sebelum kelahiran Nabi Muhammad Saw. lagi. Salah satu amalan mereka adalah tidak berperang dalam bulan-bulan haram (Al Asyhurul Hurum) yang terdiri daripada bulan Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. Penetapan bulan-bulan Arab ini sebagai bulan kalendar Islam dibuat oleh Amirul Mukminin Umar Ibnu Al Khattab rhu. pada tahun ke 17 selepas Hijrah. Permulaan kiraan tahun dibuat berdasarkan peristiwa hijrah Rasulullah Saw. ke Yathrib/Madinah seterusnya, tahun Islam dikenali sebagai Tahun Hijrah. Orang Arab jahiliyah telah pun mempunyai tradisi melakukan ibadah haji di Makkah/Baitullah dalam bulan Zulhijjah yaitu bulan ke-12 dan bulan terakhir dalam kalendar Hijrah, ribuan tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad Saw. lagi. Secara harfiyahnya, perkataan Zulhijjah (Arabic : Zu al Hijjah) beertiyang empunya haji.

Ibadah haji merupakan syariat Nabi Ibrahim ahs. Kerana itulah, amalan haji itu telah diamalkan oleh Arab jahiliyah sejak dulu lagi. Cuma masyarakat Arab jahiliyah telah menjalankan ritual ibadat haji itu mengikut cara-cara mereka sendiri yang jelas bertentangan dengan amalan sebenar yang dicontohkan oleh Nabi Ibahim ahs. Amalan haji Arab jahiliyah ini dijelaskan oleh Allah Swt. di dalam Al Quran ul Hakiim :

Solat mereka di sekitar Baitullah itu tidak lain hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.
Surah Al Anfaal (8) : ayat 35

Juga amalan haji mereka ini dinyatakan dalam sebuah hadis :

Dari Abu Hurairah rhu. ia berkata : Abu Bakar As Siddiq mengutusku bersama rombongan pada musim haji dimana dia diperintahkan oleh Rasulullah Saw. sebagai pemimpin rombongan, sebelum haji wada, bersama beberapa orang yang lain untuk memberitahukan kepada kaum muslimin pada hari Nahr (Adha/Qurban), yaitu setelah tahun ini orang musyrik tidak boleh berhaji, dan orang yang telanjang tidak boleh tawaf di Baitullah.
Ibnu Syihab (salah satu perawi) berkata : Humaid bin Abdurahman bin Auf mengatakan :Hari Nahr (Adha/Qurban) adalah hari Haji Akbar, berdasarkan hadis Abu Hurairah tersebut.
Hadis sahih riwayat Imam Muslim rh. (no. 3274). Peristiwa ini berlaku pada tahun ke 9 Hijrah.

Pengajaran dari hadis sahih di atas adalah, perbuatan orang Arab jahiliyah yang bertawaf di Baitullah dengan bertelanjang dan, hari Nahr (Adha/Qurban) adalah pada hari Haji Akbar. Dalil ini dengan jelas dan tepat membuktikan yang hari Nahr (Adha/Qurban) adalah berkaitan langsung dengan ibadah haji, bukannya ia disambut pada satu masanya yang tersendiri. Sekiranya ada yang menganggap yang Aidil Adha ini tiada kena mengena dengan ibadah haji yaitu, saya maksudkan wuquf di Arafah terlebih dahulu, itu memang fahaman yang batil.

Imam an Nawawi rh. dalam kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 6 halaman 654-657 memberikan syarahnya : ada perbezaan diantara ulamatentang maksud Haji Akbar, ada yang bependapat pada hari Arafah. Al Qadhi Iyad menukilkan salah satu pendapat Imam Asy Syafie yang mengatakan hari Haji Akbar adalah pada hari Arafah. Ulamayang berpendapat bahawa Haji Akbar itu adalah hari Arafah berdasarkan hadis masyhur :Haji itu di Arafah.

Nota tambahan : Rasulullah Saw. telah melakukan umrah sebanyak 4 kali dalam hidup Baginda berdasarkan hadis berikut :

Dari Anas bin Malik rhu. ia berkata : bahawa Rasulullah Saw. telah melaksanakan umrah sebanyak empat kali, semuanya di bulan Zulqaidah, kecuali umrah yang digabungkan dengan hajinya. (Pertama) Umrah dari Hudaibiyah atau pada waktu dilaksanakan Perjanjian Hudaibiyah pada bulan Zulqaidah, umrah di tahun selanjutnya pada bulan Zulqaidah, umrah dari Jiranah di mana Baginda membahagikan harta rampasan perang Hunain pada bulan Zulqaidah, dan umrah yang digabungkan dengan hajinya.
Hadis sahih riwayat Imam Muslim rh. (Jilid 6, halaman 342, no. 3023)

Imam an Nawawi rh. dalam kitab Syarah Muslim, Jilid 6 halaman 347-348 memberikan syarahnya bahawa umrah Rasulullah Saw. adalah seperti berikut :
Umrah 1 : dilaksanakan pada tahun 6 Hijrah. Pada masa itu para sahabat dihalangi dari mengerjakan haji sehingga mereka bertahallul, sehingga ibadah mereka dikira sebagai umrah.
Umrah 2 : dilaksanakan pada tahun 7 hijrah, yang merupakan umrah qadha.
Umrah 3 : dilaksanakan pada tahun 8 hijrah, yaitu tahun Fathu (pembukaan) Makkah.
Umrah 4 : ihram dilakukan di Dzulhulaifah (sekarang disebut Bir Ali) dalam bulan Zulqaidah dan perlaksanaan seluruh manasik umrahnya dalam bulan Zulhijjah bersamaan dengan perlaksanaan Haji Wada.

Sekalipun amalan haji dalam bulan Zulhijjah telah dilakukan oleh Arab jahiliyah dahulu lagi, setelah kedatangan Islam syariat Nabi Muhammad Saw., Baginda tetap meneruskan amalan ibadat haji juga dalam bulan Zulhijjah. Hal ini berdasarkan hadis berikut (sebuah hadis panjang, saya catatkan sedikit bahagian awal sahaja) :

Dari Aisyah rha. ia berkata :Kami pernah keluar bersama Rasulullah Saw. beriringan dengan munculnya hilal bulan Zulhijjah. Kami tidak melihat kecuali perlaksanaan haji. Maka Rasulullah Saw. bersabda : Barangsiapa diantara kalian yang ingin berihram untuk umrah, maka hendaknya dia berihram untuk umrah…………...
Hadis sahih riwayat Imam Muslim rh. (no. 2907)

Berdasarkan fakta yang dinyatakan di atas, adalah qatie dan sarih bahawa ibadah haji dan sambutan Hari Nahr (Iedul Adha/Qurban) memang diperbuat dalam bulan Zulhijjah oleh junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. Sesungguhnya amalan Haji adalah syariat Nabi Ibrahim ahs., kemudian diperlakukan secara salah oleh orang Arab jahiliyah di Baitullah. Kehadiran junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. telah mengembalikan Makkah/Baitullah kepada daulah Islamiyah yang haq dan amalan haji yang benar-benar berdasarkan syariat. Dan demikianlah juga yang menjadi amalan seluruh ummat Muslimin sehingga kini.

Hal berikutnya adalah bagaimana penetapan tarikh 10 Zulhijjah sebagai tarikh sambutan Hari Nahr (Iedul Adha/Qurban). Di atas tadi telah saya nyatakan bahawa tiada satu pun keterangan yang saya temui secara sarih menyebut lafaz 10 Zulhijjah sebagai Hari Iedul Adha. Sebenarnya penetapan itu adalah sunnah perbuatan (amaliyah/filiyah) Nabi Saw. Perkara tarikh ini diperjelaskan oleh para ilmuwan sirah/tarikh Islam. Semakan saya mendapati terdapat catatan tentang tarikh yang jelas diperbuat oleh beberapa orang sarjana sirah. Antaranya :

Imam Abu Ja'far Muhammad ibnu Jarir ibnu Yazid Al Thabari rh. (224310H) dalam kitabnya Tarikh Al Umam Wa Al Muluk At Thabari (Tarikh At Thabari), Jilid 2, halaman 204 menyatakan :

Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wadapada 9 Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah jatuh pada hari Jumaat.

Imam Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam rh. (wafat 218 Hijrah) mencatatkan dalam kitabnya Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam (Jilid 2, halaman 657) menyatakan :

Ummul mukminin Aisyah binti Abu Bakar rha. berkata : Rasulullah Saw. berangkat untuk mengerjakan haji pada tanggal 25 bulan Zulqaidah. Namun beliau tidak mencatatkan tarikh wuquf di Arafah tetapi memperihalkan perbuatannya.

Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. (700-774 Hijrah) mencatatkan dalam kitabnya Al Fusuul Fi Siiratir Rasul (halaman 235) menyatakan :

Rasulullah Saw. wuquf di Arafah pada hari Jumaat, tarikh 9 Zulhijjah. Esok paginya (10 Zulhijjah) Baginda melontar Jamrah Aqabah (sekarang disebut Akbar), menyembelih hadyu (binatang qurban) dan bertahallul awal.

Syaikh Abu Hashim Safiur Rahman bin Abdullah bin Muhammad Akbar bin Muhammad Ali bin Abdul Mumin bin Faqirullah Al Mubarakpuri Al Adzami rh. (1360H/1942- 1427AH/2006) mencatatkan dalam kitabnya Raheeq al Makhtum (halaman 685-688) menyatakan :

Rasulullah Saw. wuquf di Arafah pada hari Jumaat, tarikh 9 Zulhijjah. Esok paginya (10 Zulhijjah) selepas waqtu dhuha Baginda membaca khutbah (kedua) pada hari Nahr.

Syaikh Prof. Dr. Ali Muhammad As Sallabi hafidzahullah, seorang pakar sejarah Islam kontemporari dari Universiti Islam Madinah Al Munawwarah mencatatkan dalam bukunya Biografi Rasulullah Saw. (Jilid 3, halaman 438-441) menyatakan :

Baginda keluar dari Madinah selepas Zohor pada 25 Zulqaidah. ……bermalam pada malam Ahad 4 Zulhijjah …… dan memasuki Makkah……. Baginda menetap di Makkah selama 4 hari yaitu Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu. Selepas waqtu Dhuha hari Khamis Baginda begerak ke Mina dan menetap (bermalam/hari tarwiyyah)……selepas terbit matahari esoknya (Jumaat) Baginda begerak ke Arafah……”.

Apabila dikira bermula daripada hai Ahad, 4 Zulhijjah, didapati hari Jumaat wuquf di Arafah adalah 9 Zulhijjah dan hari Nahr esoknya adalah 10 Zulhijjah.


Berdasarkan keterangan dari sumber catatan sirah yang tsiqah (terpercaya) ini, adalah qatie dan sarih bahawa penetapan tarikh Iedul Adha adalah berdasarkan sunnah perbuatan Rasulullah Saw. yang : wuquf di Arafah pada 9 Zulhijjah dan merayakan Hari Nahr (Iedul Adha/Qurban) pada 10 Zulhijjah. Begitulah sunnah Rasulullah Saw. dan tidak Baginda lakukan pada tarikh yang lain. Bukti kepada ciri perayaan yang diperbuat sendiri oleh Rasulullah Saw. adalah Baginda membaca khutbah (kedua) pada hari Nahr dan menyembelih hadyu (binatang qurban). Perkara-perkara ini hanya boleh diperbuat selepas Solat Ied pada Hari Nahr dan, tidak sah diperlakukan sebelum itu. Demikianlah amal perbuatan (sunnah) Rasulullah Saw. yang menjadi amalan ummat Muslimin sehingga kini.

Nota : Hari Nahr, Hari Raya Iedul Adha, Hari Raya Qurban dan Hari Raya Haji : adalah merujuk kepada hari yang sama, cuma berbeza istilah.

Akhiirul kalam,

Setakat inilah sahaja, yang saya mampu berikan, serba sedikit penerangan tentang bagaimanakah penetapan Hari Nahr seperti yang Puan persoalkan. Moga saya telah membantu menghilangkan kepeningan Puan. Saya amat menggalakkan supaya Puan juga rujuk kes ini kepada lain-lain ilmuwan yang lebih hebat dan arif berbanding saya ini, supaya Puan mendapat penjelasan yang jauh lebih baik dan sarih lagi. Artikel maklumbalas saya ini amat kerdil dan terbatas berbanding lautan ilmu yang amat luas.

Apapun, soalan Puan ini memang membuat saya kelam kabut dalam suasana berkelana ini. Begitulah keadaannya.

والله اعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Metajam

Read more...