Ahad, 25 Disember 2011

Ibadah Qurban: (siri 2)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
 

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Kepada semua jamaah dan pembaca, saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di bulan hari yang mulia ini, InsyaAllah. Agar sentiasa kita dalam limpah kerahmatan dan pemeliharaanNya. Disertakan sambungan korespondens terdahulu (setahun yang lepas) yaitu maklumbalas saya ke atas hal yang ditanya oleh Akhi Ibrahim. Moga semua kita boleh mendapat manfaat darinya.

To: Knight Malaysia prtdi@yahoo.com
Cc:
Subject: Soalan Berkenaan Ibadah Korban
Date: Sunday, 5 December, 2010, 3:55 PM

Berkenaan hikmah dan sebab disyari’atkan membuat qurban ini, terdapat begitu banyak penulisan oleh para fuqaha’ dan ulama’ yang memperihalkannya. Kesemuanya mempunyai justifikasi tersendiri. Namun begitu, saya meringkaskan hikmah dan sebab qurban dituntut oleh syara’ ini berdasarkan firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Hamiid :

Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan, atas rizqi yang telah Allah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagiannya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 28

Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 37

“………….Berkata Habil : Sesunguhnya Allah hanya menerima (qurban) dari orang-orang yang bertaqwa”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 27.

Maka itu, melaksanakan ibadah qurban merupakan satu manifestasi kepada ketundukan, ketaatan, pematuhan seterusnya ketaqwaan kita sebagai makhluk kepada Khalik, menerusi kepatuhan kepada semua perintah dan segala suruhanNya, bagi mendekatkan diri kepadaNya. Demikianlah Allah Swt. menurunkan perintahNya dan dicontohkan amal perbuatannya oleh nabiNya kepada seluruh ummat manusia, supaya ditaati dan dipatuhi dan dilakukan hanya untuk Dia semata-mata tanpa ada sedikit pun untuk yang selainNya. Sekiranya diperbuat sebegitu, maka itulah sifat taqwa yang diterima oleh Allah Swt.

Nota : kisah penuh manasik haji dan ibadah qurban ini dinyatakan dalam Surah Al Hajj (22) : ayat 26 hingga 37. Para jamaah dan pembaca sangat digalakkan untuk mentelaah kisah ini menerusi kitab tafsir muktabar dan tsiqah supaya dapat memahami lebih mendalam. Catatan dan huraian oleh Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Jilid 6, halaman 152-173 amat menarik tetapi agak panjang, tidak saya nukilkan disini.

Selanjutnya ingin saya sentuh sedikit mengenai pembahagian udhiyah. Saya ada menerima beberapa pertanyaan yang berkisar kepada sikap sesetengah anggota masyarakat yang mengambil pulang semua bahagian qurbannya. Kalaupun sembelihan dan pengurusan dibuat oleh orang ramai. Saya mulai dengan firman Allah Swt. seperti berikut :

“…….Maka makanlah sebahagiannya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 28

“…….Maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (orang yang berharap tetapi tidak meminta-minta) dan orang yang meminta”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 36

Ada pun juga, Rasulullah Saw. telah memberikan perintah dan contoh tauladan seperti dinyatakan di dalam hadis berikut :

Dari Salamah bin Akwa rhu. ia berkata : bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Barangsiapa diantara kalian yang menyembelih binatang qurban, maka janganlah ia menyimpan sedikitpun darinya di rumahnya setelah 3 hari. Pada tahun berikutnya para sahabat bertanya : Ya Rasulullah! kami melakukan sebagaimana yang kami lakukan pada tahun yang lalu. Baginda bersabda : (Sekarang) makanlah, berikanlah pada yang lain dan simpanlah. Kerana pada tahun lalu itu banyak sahabat yang ditimpa kesusahan. Jadi aku bermaksud agar kamu semua membantu mengatasinya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 5569)

Dalam sebuah hadis panjang “Dari Abdullah bin Waqid rhu. ia mengatakan : Rasulullah Saw. melarang memakan daging qurban setelah 3 hari….…(kisah yang panjang)……Maka Baginda bersabda : Sesungguhnya aku melarang kalian kerana adanya orang-orang yang datang bersamaan (orang yang lemah dari kalangan arab dusun yang datang meminta bantuan), oleh kerana itu, makanlah, kemudian simpanlah dan sedekahkan”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 5076)

Dalil-dalil di atas merupakan nas penetapan syari’at bahawa orang membuat qurban tidak boleh mengambil semua sekali udhiyah tetapi hendaklah ia diagihkan kepada bahagian-bahagian tertentu yaitu dimakan (termasuk disimpan) dan disedekah (dan dihadiah). Oleh itu, perbuatan mengambil semua udhiyah untuk kegunaan sendiri dan keluarga sahaja merupakan satu perbuatan salah yang bertentangan dengan perintah Allah Swt. dan rasulNya seperti makna ayat yang dinyatakan. Tidak boleh perbuatan sebegitu dilakukan.

Walaubagaimanapun, perkara sebaliknya boleh diperbuat yaitu mensedekahkan semua sekali udhiyah ataupun hanya memakan sedikit sahaja sepertimana dijelaskan oleh perbuatan Rasulullah Saw. dalam hadis hadis berikut. Berdasarkan keterangan ini, para fuqaha’ dan ulama’ mensepakati bahawa adalah lebih afdhal sekiranya lebih banyak udhiyah yang disedekahkan berbanding dimakan.

Dari Ali bin Abi Talib kmwj. ia berkata : Nabi Saw. telah memerintahkan aku untuk mengurusi haiwan qurban Baginda, dan Baginda menyuruh agar membahagikan semua daging, kulit dan kainnya kepada fakir miskin dan tidak memberi suatu apa pun bahagian daripada haiwan qurban itu kepada tukang (jagal) sembelih (sebagai upahnya)”.
Hadis riwayat imam Muslim rh. (Bab Al Hajj : no. 3170), imam Bukhari rh. (Bab Al Hajj : no. 1707)

Adalah Nabi Saw. (hanya) memakan dari hati binatang qurbannya”. Hadis riwayat Imam Baihaqi rh.

Nota / Penjelasan makna : Memakan – mengambil sebahagian udhiyah untuk diri sendiri dan keluarga juga untuk hidangan orang ramai. Sedekah – memberikan udhiyah kepada fakir miskin untuk membantu mereka dan memberikan kegembiraan kerana Allah Swt. Hadiah – memberikan udhiyah kepada rakan taulan, jiran-jian dan kaum kerabat untuk memuliakan dan penghargaan sekalipun mereka kaya, juga kerana Allah Swt.

Berkenaan dengan bersedekah, disunnahkan untuk bersedekah disertakan tulangnya juga. Yang lebih mendekati kesempurnaan sunnah adalah dibahagi 3, satu pertiga untuk dimakan (termasuk disimpan), satu pertiga disedekahkan (kepada orang fakir miskin) dan satu pertiga dihadiahkan (kepada orang bukan fakir miskin). Ada sebuah pendapat yang mengatakan “dimakan setengahnya dan disedekah setengahnya”. Perbezaan pendapat ini terjadi dalam hal ukuran pembahagian haiwan qurban untuk mendekati kesempurnaan dan mengikuti sunnah. Ada pun hal yang memadai adalah bersedekah dengan ala kadarnya.
Imam Nawawi rh. Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 9, halaman 556

Para ulamak berselisih pendapat tentang kadar udhiyah yang dimakan, yang disedekahkan dan yang dihadiahkan. Dalam hal ini terdapat keleluasaan. Pendapat paling tepat adalah dimakan satu pertiga, disedekahkan satu pertiga dan dihadiahkan satu pertiga. Sesuatu yang boleh dimakan juga boleh disimpan bagi jangka waqtu yang lama. Adapun seorang wakil, jika telah diizinkan oleh orang yang menyuruhnya supaya makan, menghadiahkan dan menyedekahkan daging udhiyah atau telah ada petunjuk dan secara urf (adat kebiasaan) dia mengizinkannya, maka dia boleh melakukannya. Dan jika tidak ada, maka dia harus mengembalikan kepada pemiliknya lalu pemiliknya lah yang dikehendaki membahagikannya.

Haram hukumnya bagi seseorang yang membuat qurban untuk menjual walau sedikit pun dari udhiyah, baik dagingnya atau pun anggota badan yang lain hingga kulitnya. Dan tidak boleh memberikan kepada tukang jagal (penyembelih) walau sedikit pun dari udhiyah sebagai upah. Kerana yang demikian itu termasuk ke dalam makna menjual. Adapun orang yang menerima hadiah atau sedekah dari udhiyah, maka boleh baginya untuk mengerjakan apa yang dia kehendaki, seperti menjualnya atau yang lainnya. Akan tetapi, tidak diperbolehkan untuk menjualnya semula kepada orang yang memberinya hadiah atau kepada orang yang telah memberikannya sebagai sedekah.
Syaikh Muhammad bin Salih bin Sulaiman Al Utsaimin rh. Kitab Talkhiisu Ahkamil Udhiyah Waz Zakaat, Bab Ahkamil Udhiyah : halaman 55-59

Artikel ini amat ringkas dan tidak menyentuh beberapa hal lain yang juga amat penting dalam hal qurban yaitu :
1. Bab syarat dan adab menyembelih
2. Bab perkara makruh dan dilarang dalam penyembelihan
3. Bab haiwan sembelihan : yang afdhal, yang makruh dan yang dilarang
4. Bab perkara yang perlu dijauhi oleh orang menyembelih

Seterusnya saya huraikan sedikit mengenai hukum melaksanakan ibadah qurban ini dalam syari’at Islam. Jumhur (kebanyakan) dan majority fuqaha’ dan ulama’ sama ada salaf mahu pun khalaf menegaskan bahawa hukum ibadat qurban ini adalah sunnat mu’akkadah yaitu amalan sunnat yang sangat dituntut ummat muslimin melakukannya. Saya kurang kesempatan untuk membuat rujukan lanjut ke atas kitab-kitab muktabar, namun cukuplah juga untuk pengetahuan dan amaliyah kita bersama saya nukilkan beberapa keterangan seperti berikut :

Dahulu Baginda dan para sahabatnya menyembelih qurban. Baginda memberitahukan bahawa udhiyah merupakan sunnah kaum muslimin yakni metod atau jalan mereka. Oleh kerana itu, seluruh kaum muslimin telah ijma’ (bersepakat) mengenai disyari’atkan udhiyah seperti yang telah dinukilkan dari sekelompok ahli ilmu. Namun mereka berpendapat, apakah udhiyah ini hukumnya sunnat mu’akkadah atau wajib yang tidak boleh ditinggalkan. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa udhiyah hukumnya sunnat mu’akkadah dan ini merupakan mazhab Syafi’e, Malik dan Ahmad. Sedangkan pada sebahagian lagi hukum udhiyah adalah wajib. Pendapat ini merupakan mazhab Abu Hanifah dan salah satu diantara 2 riwayat dari imam Ahmad rh.

Menyembelih udhiyah lebih utama daripada bersedekah dengan haganya. Kerana perbuatan inilah yang dikerjakan oleh Nabi Saw. dan kaum muslimin pada zamannya. Dan menyembelih udhiyah termasuk diantara syi’ar Allah Swt. Jika seandainya kaum muslimin menggantinya dengan sedekah niscaya akan hilanglah syi’ar ini. Seandainya sedekah dengan harganya lebih utama dan boleh diperbuat berbanding menyembelih udhiyah, tentu Nabi Saw. telah menjelaskan kepada ummatnya, baik melalui ucapan atau perbuatan Baginda. Kerana Baginda selalu menjelaskan kebaikan kepada ummatnya. Atau sekiranya sedekah dengan harganya itu seimbang dengan menyembelih pasti sekali Baginda akan menjelaskannya juga kepada ummatnya kerana hal ini lebih mudah untuk diperlakukan.
Syaikh Muhammad bin Salih bin Sulaiman Al Utsaimin rh. Kitab Talkhiisu Ahkamil Udhiyah Waz Zakaat, Bab Ahkamil Udhiyah : halaman 18-19

Adapun golongan yang menetapkan membuat qurban ini wajib (mungkin sepertimana fahaman tuan Khatib itu) adalah berdasarkan dalil berikut :

"Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu (wahai Muhammad ) nikmat yang banyak (sebuah sungai di syurga). Maka, dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus”.
Surah Al Kausar (108) : ayat 1-3

Dari Abu Hurairah rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Barangsiapa yang mempunyai kemudahan untuk berqurban, namun ia belum berqurban, maka janganlah ia sesekali mendekati tempat solat kami”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. dan imam Ibnu Majah rh. Para imam hadis selain imam Hakim rh. menganggap hadis ini adalah hadis mauquf.

Adalah disanggahi penetapan hukum wajib itu, berdasarkan hujjah berikut :

Ayat 2 Surah Al Kausar (108) ditafsirkan oleh para mufassirin sebagai menunjukkan waqtu menyembelih qurban adalah setelah solat (I’edul Adha), dan bukannya menjadi dalil untuk mewajibkan amalan berqurban. Sekiranya diterima makna ayat ini tanpa diteliti berdasarkan tafsiran muktabar, habis semua ummat muslimin diwajibkan membuat qurban kerana ia adalah ayat mujmal (umum/global) tanpa ada sebarang pengkhususan dan pengecualian. Sekiranya difahami secara begitu, semua orang tanpa mengira kaya miskin, tua muda atau kanak-kanak, lelaki atau wanita, sihat atau sakit diwajibkan membuat qurban setiap tahun tanpa ada pengecualian. Hadis yang dinyatakan sebenarnya adalah hadis mauquf dan bukanlah ia kalam Rasulullah Saw., maka tidak ia boleh dijadikan dasar dan hujjah kepada penetapan hukum. Malahan lafaz “Barangsiapa yang mempunyai kemudahan untuk berqurban” hadis itu sendiri mengisyaratkan tuntutan ke atas orang yang berkemampuan sahaja bukannya kewajiban secara mujmal dan mutlak.

Nota : Hadis mauquf hadis yag dinisbahkan kepada Sahabat, baik berupa perkataan, perbuatan atau taqrir . Ia bukan kalam Rasulullah Saw.

Kerana lemahnya dalil-dalil yang menunjukkan wajibnya berqurban, maka majoriti fuqaha’ dan ulama’ dari kalangan sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in menetapkan bahawa hukum menyembelih qurban adalah sunnah muakkadah. Bahkan imam Ibnu Hazm Al Andalusi rh. memberikan ulasannya : Tidak ada satu pun riwayat daripada sahabat yang mengatakan ia wajib. Berkenaan hadis sahih riwayat imam Muslim rh. dari Ummu Salamah rha. bahawasanya Rasulullah bersabda : Jika telah masuk sepuluh hari bulan Zulhijjah, dan salah seorang dari kalian ingin menyembelih qurban, maka hendaknya ia tidak mengambil rambut dan kulitnya biar sedikipun (sahih Muslim no. 5089), imam Muhammad bin Idris Asy Syafi’e rh. memberikan ulasannya : Sesungguhnya pada sabda Rasulullah Saw. “dan salah seorang dari kalian ingin menyembelih qurban” dengan jelas menunjukkan bahawa tidak wajibnya berqurban.

Dan perbuatan para sahabat telah menunjukkan tidak wajib hukumnya membuat qurban. Imam Al Baihaqi rh. (jilid 9, no. 265) meriwayatkan daripada Abu Bakar As Siddiq rhu. dan Umar bin Al Khattab rhu. bahawa mereka berdua pernah tidak berqurban kerana takut untuk dijadikan contoh. Juga diriwayatkan oleh imam Al Baihaqi (jilid 9, no. 256) dari Abdullah Ibnu Abbas bahawa beliau jika menghadiri penyembelihan, beliau memberikan kepada budaknya dua dirham, lalu berkata : Belilah dengan dua dirham itu daging, dan beritahulah orang-orang bahawa Ibnu Abbas telah berqurban. Dan riwayat-riwayat dari para sahabat dalam masalah ini sangat banyak yang menunjukkan bahawa hukum menyembelih qurban adalah sunnah muakkadah sahaja.
Imam Muhammad bin Ismail Al Amir As Son’ani rh., Kitab Subul As Salam Syarah Bulugh Al Maram, Jilid 3, halaman 571-572

Secara peribadi, saya berpandangan bahawa melakukan ibadah qurban ini sangat dituntut ke atas para muslimin yang mampu, sudah memadai dilakukan oleh seorang yang mewakili seluruh keluarganya. Menurut Syaikhul Islam Taqiyuddin Ahmad bin Abdul Halim Ibnu Taimiyah rh. “Tidak wajib menyembelih qurban, melainkan hanya bagi mereka yang mampu.” (Rujukan : Majmu’ Al Fatawa Li Ibnu Taimiyah, Jilid 23, halaman 162-164). Dalam era kontemporari ini, hukum sunnah muakkadah lebih diterima umum, namun pendapat yang lebih kuat dan tepat (rajih) hukumnya adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berdaya (mampu) untuk berqurban sepertimana yang disebutkan oleh Syaikh Ali Hassan Al Halabi hafidzahullah, dalam kitabnya Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, halaman 86. Saya menyeru supaya ibadah qurban ini diberikan perhatian serius oleh setiap lapisan muslimin bagi memastikan syi’ar Islam dan perintah Allah Swt. ini terus diamalkan dan sentiasa dita’mirkan dari masa ke masa.

Seterusnya mengenai aduan saudara berkenaan sikap dan kata-kata tuan Khatib yang menyinggung rasa ramai makmum termasuk saudara penanya sendiri. Saya merasakan inilah bab yang saudara tunggu-tunggukan jawabannya. Baik sekali saya berterus terang bahawa kurang wajar sekali untuk saya mengulas panjang hal yang secara langsung menyentuh batang tubuh seseorang, tambah-tambah lagi seseorang yang telah pun diperakui dan bertindak sebagai imam dan khatib di dalam masyarakat. Ia benar-benar mengaitkan keaiban dan maruah seseorang individu. Lantaran itu, amat sukar untuk saya nak mengulas panjang.

Saya menyeru kepada diri saya sendiri, juga kepada saudara dan rakan-rakan, supaya mengingati pesanan firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Adziim :
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa ; dan janganlah kamu mencari-cari (mengintip) kesalahan orang lain; dan janganlah setengah kamu menggunjing (mengumpat) sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kepada Allah ; sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayangi”.
Surah Al Hujurat (49) : ayat 12

Serta pesanan Rasulullah Saw. begini :

Akan datang nanti kepada manusia, masa-masa yang penuh tipu daya. Para pendusta dianggap sebagai orang yang jujur, manakala orang yang jujur dianggap pendusta. Orang khianat dianggap amanah dan orang yang amanah dilabel sebagai pengkhianat. Dan para Ruwaibidhah mula berkata-kata (bersuara).” Ada yang bertanya, “Siapa Ruwaibidhah?”Rasulullah menjawab, “Orang yang bodoh sibuk berbicara (mengulas) tentang masalah masyarakat.”
Hadis riwayat imam Ibnu Majah, Kitab Al Fitan, Jilid 12, halaman 44, no. 4026. Ditakhrij dan ditahqiq sebagai sahih oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rahimahullah.

Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dengki dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama (Islam yang murni)”.
Hadis riwayat imam Tarmizi rh. dan imam Al-Bazzar rh. dengan sanad yang sahih

Sekiranya benarlah apa yang dikatakan oleh saudara, saya berasa yaqin bahawa tuan Khatib itu terkhilaf tentang status hukum sebenar (sepertimana telah saya jelaskan di atas) membuat qurban mengikut syara’. Jika benar juga bahawa tuan Khatib itu ada berkata-kata kasar dan memedihkan hati para makmum, itu mungkin disebabkan oleh kekhilafannya terhadap hukum ibadah qurban serta kelemahan beliau secara peribadi. Begitulah yang dikatakan kita-kita ini sebagai makhluk yang dhaif, tidak terlepas dari melakukan salah dan silap, termasuk saya sendiri, saudara dan semua rakan-rakan. Boleh jadi tuan Khatib itu pun telah tersilap juga.

Saya sangat khuatir apabila saudara mengatakan telah ada kemarahan dan keluh kesah di kalangan jamaah qaryah serta telah ada usaha untuk meminggirkan tuan Khatib merangkap imam tersebut. Malah telah ada ura-ura untuk tidak mahu menjadi makmum di belakangnya. Ini satu situasi yang menyedihkan, tak sepatutnya berlaku dan sebaik-baiknya dielakkan. Islam agama samawi. wahyu Allah Swt. yang diturunkan untuk menyatukan ummat manusia termasuk Arab jahiliyyah yang amat terkenal dengan kebobrokkannya, sehingga mereka bersatu di bawah panji-panji Islam. Dalam kes ini keadaan terbalik pula yang mana, kerana hal Islam pula menjadi punca masyarakat menjadi keluh kesah dan berpecah sesama sendiri. Amat tidak wajar berlaku perkara sebegini.

Maka itu, saya mencadangkan supaya adakan perbincangan sesama jamaah yang tidak berpuashati, putuskan dengan tepat fakta-faktanya dan seterusnya membawa hal ini secara langsung kepada tuan Khatib terbabit secara tertutup dan berhemah demi mengekalkan ukhuwwah dan mengelakkan aib mana-mana pihak. Sekiranya kurang berjaya, rujuklah kes ini kepada Majlis Agama Islam supaya tindakan sewajarnya dan sebaiknya dapat diperbuat. Sementara itu, saya menyeru saudara dan rakan-rakan, hentikanlah menjaja kisah ini merata-rata kerana tindakan sebegitu tidak membawa apa-apa kebaikan pun. Perbuatan itu sekadar memalukan tuan Khatib tersebut di mata masyarakat dan menyerlahkan kedangkalan diri kita-kita sendiri kerana menyimpan prasangka buruk dan mengumpat orang di sana sini.

Setakat ini dahulu yang dapat saya nukilkan. Mudah-mudahan ia telah membantu saudara dan rakan-rakan semua. Segala kekurangan saya pohon ribuan maaf.

والله اعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: