Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani ibadah hari raya I’edul Adha kepada semua. Juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di bulan hari yang mulia ini, InsyaAllah. Disertakan korespondens terdahulu (setahun yang lepas) yaitu maklumbalas saya ke atas hal yang ditanya oleh Akhi Ibrahim. Moga semua kita boleh mendapat manfaat darinya.
From: Knight Malaysia prtdi@yahoo.com
Subject: Soalan Berkenaan Ibadah Korban
To: edd_zahir@yahoo.com
Cc:
Date: Monday, 29 November, 2010, 4:48 AM
Assalamua'laikum,
Salam bahagia untuk Ustaz Mad dan juga semua rakan-rakan. Saya ingin dapatkan penjelasan lebih lanjut sedikit berkenaan ibadat korban sempena Aidil Adha. Saya nak merujuk kepada peristiwa dalam khutbah Aidil Adha 2 hari lepas. Pak khatib (saya rasa) telah mengeluarkan kata-kata kurang menyenangkan ramai makmum bersangkutan dengan ibadah korban. Saya solat di masjid itu, pun rasa tak seronok juga. Beliau menegur bahawa ramai orang Islam kaya raya tapi kedekut buat korban. Beliau ada keluarkan beberapa perkataan lagi yang menyinggung hati pendengar.
Selesai khutbah itu ramai yang merungut-rungut antara lain, banyak orang dah keluar zakat, bantu orang miskin, sedekah macam-macam pada orang memerlukan, tidak berkira bantu orang susah, menaja pengajian dan berbagai lagi. Tapi tak dicerita pada orang. Adakah semua itu tak berguna, hanya korban Aidil Adha saja yang Allah dan Rasul-Nya terima. Banyak lagi kata-kata lain yang (pada saya) melambangkan sengaja nak sakitkan hati segolongan makmum pada hari itu.
Jadi, saya ingin memohon penjelasan sikit.
1. Apa sebenarnya ibadat korban ini berdasarkan syariat Islam. Apakah contoh amalan yang diperbuat oleh Nabi Muhammad sendiri dan para sahabat. Kenapa disyariatkan ibadah korban itu. Adakah wajib membuat korban itu pada semua umat Islam atau ia hanya sunat sahaja kepada yang mampu. Khatib itu kata wajib.
2. Bagaimana pula mereka yang dah keluarkan bantuan dan sedekah dalam bentuk lain yang banyak, lebih dari harga lembu itu pun. Tak cukupkah sedekah jariah itu dan mesti buat korban juga. Tanpa buat korban pada Aidil Adha Allah tak terima kah sedekah jariah lain. Selain itu, tidak bolehkah khatib bercakap baik-baik jangan hingga orang rasa marah, terkilan dan terhina.
Diharap mendapat maklumbalas secepat mungkin. Saya nak beri penjelasan kepada orang-orang itu. Dah terdengar suara sumbang bahawa tidak mahu lagi ke masjid itu sekiranya Pak Khatib yang sama menjadi imam. Juga supaya mereka tidak membenci khatib itu.
Wassalam.
Warmest Regards
" Knight Malaysia "
012-5732456
From: edd_zahir@yahoo.com
To: Knight Malaysia prtdi@yahoo.com
Cc:
Subject: Soalan Berkenaan Ibadah Korban
Date: Thursday, 2 December, 2010, 2:17 AM
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Terima kasih kepada Saudara kerana terus istiqamah bersama jamaah dan sentiasa meluangkan masa menghadiri kuliah dan program lain apabila ada kesempatan. Juga kerana begitu rajin bertanya sama ada secara langsung di dalam pertemuan atau secara bertulis. Soalan-soalannya pun terkadang membuat saya resah. Sebahagiannya tidak dapat saya jawab lantaran kekangan masa, kurang arif atau pun memerlukan semakan lanjut. Namun mudah-mudahan, akan ada ruang dan kesempatan bagi saya menjawab beberapa soalan yang masih tertangguh itu. Bukan sahaja soalan daripada Saudara, malah soalan daripada rakan-akan lain juga. InsyaAllah, akan saya beri maklumbalas dari masa ke masa.
Berkaitan persoalan yang dibangkitkan, baik sekali saya ulangsorot sedikit asas-asas perintah melaksanakan ibadah qurban ini mengikut tuntutan Al Qur’an dan As Sunnah seperti yang ditanyai. Semoga dan selayaknya, pemahaman daripada hal paling asas ini akan menjadikan kita semua mantap pemahamannya perihal qurban ini, supaya tidaklah nanti terus terkial-kial apabila timbul persoalan tentangnya. Demikianlah Islam ini menyeru dan menuntut kita supaya beriman dan beramal dengan ilmu, supaya tidak kita berterusan menjadi pak turut dan terdedah kepada diperkotak-katikkan.
Dari segi lughah (bahasa), qurban berasal daripada perkataan ‘qaraba’ yang bermaksud dekat atau hampir, manakala dari segi istilah (syara’) bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah Swt. kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Maka itu, melaksanakan ibadah qurban ini hanyalah sebagai wasilah atau cara untuk membuktikan ketaatan kepada perintah Allah Swt. bagi mendekatkan diri kepadaNya. Begitulah secara ringkas maksud sebenar ibadah qurban. Secara praktikalnya pula, qurban yang dimaksudkan dalam artikel ini adalah haiwan berkaki empat yang disembelih kerana ibadah pada Hari Raya I’edul Adha (10 Zulhijjah) dan 3 hari-hari tasyriq dengan tujuan untuk mematuhi perintah dan mendekatkan diri kepada Allah Swt. Binatang qurban ini disebut lafaz Arabnya udhiyah atau hadyu. Sebahagian ulama’ menyebut bahawa sebutan I’edul Adha berasal dari perkataan udhiyah.
Perintah kepada junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. dan seluruh ummatnya untuk menjalankan ibadah qurban adalah berdasarkan firman Allah Swt. berikut :
"Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu (wahai Muhammad ) nikmat yang banyak (sebuah sungai di syurga). Maka, dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus”.
Surah Al Kausar (108) : ayat 1-3
Imam Ahmad rh. meriwayatkan dari Anas bin Malik rhu. Dia berkata : “Rasulullah Saw. mengantuk sejenak, lalu Baginda mengangkat kepalanya lalu tersenyum, baik Baginda yang berkata kepada mereka maupun mereka yang berkata kepada Baginda : Mengapa engkau tertawa?. Rasulullah Saw. menjawab : Sesungguhnya belum lama tadi telah diturunkan satu surah kepadaku, kemudian Baginda membaca –Basmallah dan surah Al Kausar- sampai akhir ayat. Lalu Baginda bertanya : Tahukah kalian, apakah al Kausar itu?. Mereka menjawab : Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Baginda menjawab : ia adalah adalah sungai yang diberikan oleh Tuhanku kepadaku di syurga, padanya terdapat banyak kebaikan, di mana pada hari qiyamat kelak ummatku akan hilir mudik ke sungai itu. Bijananya sebanyak jumlah bintang dilangit. Lalu ada seorang yang tertahan, maka ku katakan : Wahai Tuhanku, sesungguhnya dia termasuk ummatku. Kemudian dikatakan : Sesungguhnya engkau tidak tahu apa yang mereka ada-adakan sepeninggalanmu”.
Hadis diriwayatkan juga oleh imam Muslim, imam Abu Daud dan imam Nasaai.
Firman Allah Swt. “Maka, dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah”, maksudnya sebagaimana Kami telah memberimu kebaikan yang banyak di dunia dan akhirat. Di antaranya adalah sungai yang sifatnya dijelaskan tadi. Oleh kerana itu, tulus ikhlaslah menjalankan solat yang wajib dan sunnahmu serta dalam berqurban hanya untuk Tuhanmu. Ibadahilah Dia semata-mata, yang tiada sekutu bagiNya dan berqurbanlah dengan menyebut namaNya semata-mata dan tiada sekutu bagiNya.
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Tafsiirul Qur’an ul Adzim, Jilid 10, halaman 362-365
Juga berdasarkan firman Allah Swt. berikut :
"Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah) sebahagian dari syi‘ar Allah ; kamu memperoleh kebaikan yang banyak padanya, oleh itu sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagian daripadanya, dan beri makanlah (bahagian yang lain) kepada orang yang rela dengan apa yang ada padanya (tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 36
Perintah melaksanakan qurban kepada Allah Swt. ini sebenarnya telah pun bermula pada zaman Nabi Adam ahs. lagi. Kisah penyerahan qurban yang pertama ini tercatat di dalam Al Quran ul Haaq :
“Dan ceriterakanlah kepada mereka kisah dua anak Adam (iaitu Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan qurbannya, maka diterima (oleh Allah) dari salah seorang dari mereka (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia (Qabil) berkata : Aku pasti membunuhmu? Berkata Habil : Sesunguhnya Allah hanya menerima (qurban) dari orang-orang yang bertaqwa”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 27.
Allah Swt. menjelaskan buruknya akibat kejahatan, kedengkian dan kezaliman dalam kisah 2 anak Adam ahs. dari keturunannya langsung, yang menurut jumhur ulama’keduanya bernama Qabil dan Habil. Yaitu bagaimana salah seorang dari keduanya memusuhi lainnya, hingga akhirnya membunuhnya, kerana rasa dengki terhadapnya atas nikmat yang telah diberikan kepadanya (Habil), bahkan Allah Swt. telah menerima qurban yang diikhlaskan kepada Allah Swt. yang dipersembahkan oleh Habil. Kemudian yang dibunuh (Habil) beruntung mendapat penghapusan dosa dan masuk syurga. Sebaliknya si pembunuh (Qabil), benar-benar kecewa dan kembali dengan derita kerugian di dunia dan akhirat. Redaksi ayat tersebut menunjukkan bahawa ia (Qabil) marah dan dengki atas diterima qurbannya Habil oleh Allah Swt. sedangkan qurbannya sendiri tidak diterima.
Adapun makna firman Allah Swt. “Sesunguhnya Allah hanya menerima (qurban) dari orang-orang yang bertaqwa”, dari Muadz bin Jabal ia mengatakan : (Sesungguhnya) ummat manusia (kelak) tertahan di suatu tempat, lalu ada penyeru yang menyerukan : Di manakah orang-orang yang bertaqwa?. Lalu mereka (orang bertaqwa) berdiri dalam perlindungan Allah, dan Allah tidak terhijab dari mereka dan tidak terhalangi (dari pandangan mereka). Kemudian kutanyakan : Siapakah orang-oang yang bertaqwa itu?. Ia menjawab : Yaitu suatu kaum yang menjauhi kesyirikan dan menjauhi penyembahan berhala, serta ikhlas beribadah kepada Allah, kemudian mereka pun berjalan menuju syurga.
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Tafsiirul Qur’an ul Adzim, Jilid 3, halaman 66-69
Ujian pengorbanan yang paling besar adalah yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim ahs. yaitu perintah Allah Swt. untuk menyembelih anaknya sendiri yaitu Nabi Ismail ahs. Kisah ini telah Allah nyatakan di dalam Al Quran ul Hakiim :
“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibahim, Ibahim berkata : Hai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikikanlah apa pendapatmu. Ia menjawab : Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya (nyatalah kesabaran keduanya)”.
Surah As Saffaat (37) : ayat 102-103
Nabi Ibrahim ahs. dan anaknya Nabi Ismail ahs. redha dengan perintah Allah sebagai tanda ketaatan dan kesabaran keduanya menghadapai ujian dan perintah Allah Swt.
“Dan kami tebus sembelihan itu dengan seekor sembelihan yang besar (A)”.
Surah As Saffaat (37) : ayat 107
(A) : Sesudah nyata kesabaran dan ketaatan Nabi Ibrahim ahs. dan Nabi Ismail ahs. maka Allah Swt. melarang menyembelih Ismail dan untuk meneruskan qurban, Allah Swt. menggantinya dengan seekor sembelihan (kambing). Peristiwa inilah yang menjadi dasar disyari’atkan menyembelih binatang qurban pada Hari Nahr/ Hari Raya I’edul Adha.
Nota : kisah penuh pengorbanan Nabi Ibrahim ahs. ini dinyatakan dalam Surah As Saffaat (37) : ayat 100 hingga 111. Para jamaah dan pembaca sangat digalakkan untuk mentelaah kisah ini menerusi kitab tafsir muktabar dan tsiqah supaya dapat memahami lebih mendalam kisah ini. Catatan dan huraian oleh Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. Jilid 8, halaman 70-76 amat menarik tetapi agak panjang, tidak saya nukilkan disini.
Perintah membuat qurban yang disyari’atkan oleh Allah Swt. telah dilaksanakan oleh Rasulullah Saw. dan para sahabatnya sepertimana hadis-hadis berikut :
“Dari Abdullah Ibnu Umar rhu. dia berkata : Telah tinggal Nabi Saw. di Madinah selama sepuluh tahun, setiap tahun Baginda menyembelih”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. dan imam Tarmizi rh. dan beliau menyatakan ia hadis hasan.
“Dari Abu Ayyub Al Ansori rhu. ia berkata : Di masa Rasulullah Saw., setiap seseorang lelaki berqurban dengan seekor kambing untuknya dan untuk keluarganya”.
Hadis riwayat imam Tarmizi rh., kitab Al Adhahi, Jilid 2 no. 1216 (hadis ini disahihkan oleh beliau). Diriwayatakan juga oleh imam Ibnu Majah rh. Jilid 2 no. 2546 (dengan sanad yang sahih)
Berdasarkan turutan dalil di atas, amalan membuat qurban ini adalah diperintahkan oleh Allah Swt., bemula daripada zaman Nabi Adam ahs. lagi, diikuti pada zaman nabi-nabi Allah yang lain sehinggalah sekarang. Terdapat kisah sahih menceritakan perintah dan ibadah qurban yang dibuat oleh Nabi Nuh ahs. dan Nabi Musa ahs. tetapi tidak saya nukilkan disini. Bagi amalan kita di masa ini, adalah mengikut contoh tauladan yang telah ditunjukkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad Saw.
Adalah disunnahkan ke atas orang yang membuat qurban untuk menyembelih sendiri. Ini berdasarkan satu riwayat, bahawa Rasulullah Saw. sendiri yang menyembelih hadyu (binatang qurban) sepertimana kisah dalam hadis berikut :
“Dari Anas bin Malik rhu. ia berkata : Nabi Saw. menyembelih qurban berupa dua ekor kambing berwana putih dengan bintik hitam yang berusia dua tahunan dan bertanduk. Baginda menyembelih dengan tangan Baginda sendiri, menyebut nama Allah dan bertakbir. Setelah itu Baginda menginjakkan kakinya di atas leher kedua kambing tersebut”.
Al Amlah adalah kambing berwarna putih dengan sedikit bintik-bintik hitam padanya.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (Bab Al Adhahi, no. 5565) dan imam Muslim rh. (Bab Al Adhahi, no. 17)
Namun, melakukan amalan menyembelih dan menguruskan daging qurban tidaklah diwajibkan ke atas orang yang berqurban, tetapi boleh juga diwakilkan (wakalah) kepada orang lain yang terpercaya untuk menguruskannya termasuk menyembelih. Perkara ini pernah diperbuat oleh Rasulullah Saw. sendiri sepertimana dinyatakan di dalam hadis berikut :
“Dari Ali bin Abi Talib kmwj. ia berkata : Nabi Saw. telah memerintahkan aku untuk mengurusi haiwan qurban Baginda, dan Baginda menyuruh agar membahagikan semua daging, kulit dan kainnya kepada fakir miskin dan tidak memberi suatu apa pun bahagian daripada haiwan qurban itu kepada tukang sembelih (sebagai upahnya)”.
Hadis riwayat imam Muslim rh. (Bab Al Hajj : no. 3170), imam Bukhari rh. (Bab Al Hajj : no. 1707), imam Abu Daud rh. (Kitab Al Manasik : no. 1769), imam Ibnu Majah rh. (Kitab Al Manasik : no. 3099). Lafaz nukilan ini dari imam Muslim rh.
Jenis haiwan yang boleh dijadikan hadyu (binatang qurban) telah disebutkan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :
“Dan bagi tiap-tiap ummat telah Kami syari’atkan penyembelihan (qurban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah dirizqikan Allah kepada mereka. Maka Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepadaNya. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah)”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 34
Berdasarkan sunnah Rasulullah Saw. yang dinyatakan dalam beberapa hadis sahih, binatang ternak yang dimaksudkan adalah unta, lembu, kambing dan kambing biri-biri (kibas, domba). Kambing dan kambing biri-biri mesti dilakukan oleh satu orang manakala unta dan lembu boleh dikongsi oleh 7 orang, ini berdasarkan hadis berikut :
“Dari Jabir bin Abdullah rhu. ia berkata : Pada tahun dilaksanakan Perjanjian Hudaibiyah kami pernah berqurban bersama Rasulullah Saw. dengan seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang pula”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 3172), imam Abu Daud rh. (no. 2809), imam Tamizi rh. (no. 1502) dan imam Ibnu Majah rh. (no. 3132)
Satu hal lagi yang mahu saya sebutkan dalam membuat ibadah qurban ini adalah, bagi setiap hadyu (binatang qurban) yang dibuat oleh seseorang, ia adalah merangkumi bagi dirinya dan keluarganya sekaligus sekalipun hanya seekor kambing. Fakta ini adalah berdasarkan hadis berikut :
Dari Abu Ayyub Al Ansori rhu., ia berkata: “Pada zaman Rasulullah Saw., seseorang berqurban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya. Mereka memakan dan memberi makan orang lain, kemudian manusia berbangga sehingga seperti yang engkau lihat”.
Hadis sahih riwayat imam Tarmizi rh. (no. 1541) dan imam Malik rh. dalam kitab Al Muwatta’ (no. 387)
Huraian lengkap dalam hal ini dibuat oleh Imam Muhammad bin Ismail Al Amir As Son’ani rh. dan beliau merumuskan : Seekor kambing boleh untuk satu orang lelaki dan keluarganya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Saw.”.
Kitab Subul As Salam Syarah Bulugh Al Maram, Jilid 3, halaman 584
“Dari Aisyah rha. ia berkata : Bahawasanya Rasulullah Saw. memerintahkan seseorang untuk membawakan kibas bertanduk bagus yang berkaki, perut dan sekitar matanya berwarna hitam. Maka kibas itu didatangkan kepada Baginda untuk disembelih. Baginda pun bersabda : Wahai Aisyah, bawalah pisau kemari. Kemudian Baginda mengatakan : Asahlah pisau itu dengan batu : Maka Aisyah pun melakukannya dan Baginda pun mengambilnya. Setelah itu Baginda membawa kibas dan membaringkannya lalu menyembelihnya. Baginda menyebut “Dengan nama Allah, Ya Allah, Terimalah dari Muhammad, Keluarga Muhammad dan Ummat Muhammad”, Kemudian Baginda menyembelih kibas tersebut”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 5064) dan imam Abu Daud rh. (no. 2792)
Dalam menafsirkan lafaz “Dengan nama Allah, Ya Allah, Terimalah dari Muhammad, Keluarga Muhammad dan Ummat Muhammad”, Imam Nawawi rh. mengatakan : Hadis ini dijadikan dalil oleh orang yang membolehkan qurban diniyatkan untuk seseorang dan keluarganya, serta keikutsertaan mereka dalam mendapatkan pahala. Inilah mazhab kami dan mazhab jumhur ulamak.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 9, halaman 526
Waqtu membuat penyembelihan adalah bermula daipada tamatnya khutbah I’edul Adha (10 Zulhijjah) sehingga sebelum Maghrib hari Tasyrik ke 3 (13 Zulhijjah). Hal ini dinyatakan dalam hadis-hadis berikut :
“Dari Al Bara’ bin Azib rhu. ia berkata :……………. Selanjutnya Baginda bersabda : Barangsiapa menyembelih haiwan qurban sebelum solat, maka sesungguhnya ia hanya menyembelih untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa menyembelih setelah solat, maka telah sempurna ibadah qurbannya dan mendapatkan sunnah kaum muslimin”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 5545) dan imam Muslim rh. (no. 5042)
Sabda Rasulullah lagi, “Seluruh hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. di dalam Musnadnya no: 16151
Imam Muhammad Bin Idris Asy Syafie rh. berkata : Waktu menyembelih haiwan qurban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha…..Apabila hari-hari Mina (hari tasyriq : 11, 12 dan 13 Zulhijjah) telah berlalu, tidak boleh lagi menyembelih qurban”.
Mukhtasar Kitab Al Umm Fi Al Fiqh, Jilid 1, halaman 737
Dan Rasulullah Saw. telah memberi pesanan kepada seluruh ummatnya, begini :
“Dari Jundub bin Sufyan rhu. ia berkata : Aku pernah berhari raya I’edul Adha bersama Rasulullah Saw. Setelah Baginda selesai solat bersama kaum muslimin, Baginda melihat seekor kambing yang telah disembelih. Baginda bersabda : Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat (I’edul Adha), hendaknya ia menyembelih seekor kambing lagi sebagai gantinya. Dan barangsiapa yang belum menyembelih, hendaknya ia menyembelih dengan nama Allah”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 5500) dan imam Muslim rh. (no. 5038)
“Dari Al Bara’ bin Azib rhu. ia berkata : Pakcikku yang bernama Abu Burdah telah menyembelih haiwan qurban sebelum solat (I’edul Adha). Maka Rasulullah Saw. bersabda : Itu adalah daging kambing biasa (bukan daging qurban). Dia pun bertanya : Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai kambing kacang yang masih muda. Maka Baginda mengatakan : Berqurbanlah dengannya, dan tidak akan dibenarkan untuk selain engkau. Selanjutnya Baginda bersabda : Barangsiapa menyembelih haiwan qurban sebelum solat, maka sesungguhnya ia hanya menyembelih untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa menyembelih setelah solat, maka telah sempurna ibadah qurbannya dan mendapatkan sunnah kaum muslimin”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 5545) dan imam Muslim rh. (no. 5042)
Nota : Lafaz “dan tidak akan dibenarkan untuk selain engkau” membawa maksud kambing itu masih kecil (muda) dan hanya cukup untuk Abu Burdah rhu. sendiri sahaja
Berdasarkan 2 hadis sahih ini, ia menjelaskan bahawa sembelihan yang dibuat sebelum selesai solat I’edul Adha, tidak ia diterima sebagai ibadah qurban tetapi ia menjadi hanya sembelihan biasa sahaja.
Setakat ini dahulu nukilan saya buat masa ini.
والله اعلم , bersambung
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan