Ahad, 25 Disember 2011

Kenapa Aidil Adha pada 10 zulhijjah

0 ulasan

From: izanahani@yahoo.com
Cc:
Sent: Wednesday, November 2, 2011 3:05 PM
Subject: Kenapa Sambut Aidil Adha Pada 10 Zulhijjah

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga Ustaz Mad dalam suasana bahagia dan telah besedia untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha. Hal yang mahu saya tanyakan adalah berkaitan sambutan hari raya ini.

Saya ingin dapatkan penjelasan mengenai bagaimanakah hari raya Aidil Adha ditetapkan pada tarikh 10 Zulhijjah, bukan pula pada hari-hari lain. Kenapa pula 10 Zulhijjah. Sepanjang pengetahuan saya, 1 Syawal memang ada dalil menetapkan, bagaimana pula dengan Aidil Adha.

Saya bertanya ini disebabkan sudah lama benar saya amalkan hari raya ini tanpa ketahui asal-usulnya pun. Saya yakin juga rata-rata masyarakat kita hanya amalkan dan taati sahaja tanpa pernah tahu asasnya. Adalah kurang baik bersikap pak turut membuta tuli sahaja dalam amalan Islam ini kerana nanti kita akan dipersoalkan, dan kita sendiri jawab, bukannya boleh taici kepada orang lain pun dihadapan mahkamah Allah Subhanahu Wa Taala nanti.

Saya ada membuat semakan dan bacaan, tetapi saya dapati hanya menceritakan hikmah sambutan, sebab sempena pengorbanan Nabi Ibrahim juga tentang tatacara sambutan serta macam-macam perbahasan tentang sambutan Aidil Adha ini. Tiada satu pun yang menyebut secara jelas kenapa mesti pada tarikh 10 Zulhijjah.

Harap soalan ini tidak mengganggu ustaz nak menyambut Aidil Adha. Cuma saya memang perlukan jawaban sebagai pedoman dan menguatkan kepercayaan, dengan cara yang sahih. Begitulah maksudnya.

Sekian, wassalam.


----- Forwarded Message -----
From: edd zahir edd_zahir@yahoo.com
To:
Cc:
Sent: Saturday, November 5, 2011 11:27 AM
Subject: Kenapa Aidil Adha Pada 10 Zulhijjah

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani ibadah hari raya Iedul Adha kepada Puan dan semua rakan jamaah. Juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di bulan hari yang mulia ini, InsyaAllah. Terima kasih atas pertanyaan Puan yang amat mencabar ini. Amat bagus juga kerana Puan mahu bertanya supaya mendapat penjelasan, menghilangkan kerunsingan dan berusaha mendapatkan pemahaman yang sebenar-benarnya tentang perayaan Iedul Adha. Niyat Puan untuk tidak mahu menjadi pak turut membuta tuli sahaja dalam amalan syaraini amat mulia. Sememangnya begitulah tuntutan syara, menyuruh kita beramal dan beriman dengan ilmu dan ittiba. Moga Puan akan beroleh jawabnya dengan izin Allah Swt.

Muqaddimah : Setelah meneliti soalan puan, saya dapati ia lebih menjurus kepada hal sejarah/tarikh/tawarikh/sirah. Baik sekali saya berterus terang bahawa ilmu sejarah bukanlah bidang saya. Pengetahuan saya amat sedikit dan terhad dalam bidang ini. Saya amat pasti, Puan akan mendapat jawaban lebih tepat dan meyakinkan sekiranya soalan ini dijawab oleh pakar Sejarah Islam. Oleh itu, maklumbalas lanjut saya hanyalah setakat pedoman dan fakta asas tertentu sahaja yang serba serbi kekurangan. Jika bukan saya yang memberikan jawaban tepat pun, pasti akan ada pihak lain yang lebih faqih akan memberikan jawaban benarnya nanti. Begitulah harapan saya.

Untuk menulis pendek ini pun saya memerah otak untuk mengingati semula pengajian sejak dulu-dulu, cuba mengingati apa-apa yang dapat. Pada beberapa ketika, saya hubungi beberapa rakan sepengajian untuk sama-sama mencari fakta seberapa baik mungkin. Sempat juga saya singgah berdiskusi dengan seorang rakan di Shah Alam. Sementelahan lagi, saya dalam keadaan musafir sekarang ini hingga ke Johor dan Melaka, yang menyebabkan keupayaan dan bahan rujukan amat terhad. Berikutan itu terhasillah nukilan jawaban amat ringkas ini. Oleh itu, awal-awal lagi saya mohon maaf atas segala kekurangan serta salah silap.

Adanya sambutan Iedul Adha sebagai salah satu hari perayaan dalam syariat Islam adalah berdasarkan hadis berikut :

Daripada Anas bin Malik rhu. ia berkata : Nabi Saw. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyah pada kedua-dua hari itu. Lalu Baginda berkata : Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Iedul Adha dan Iedul Fitri.
Hadis sahih riwayat imam An Nasaai, Sunan An Nasaai (no. 959)

Dari hadis ini, ternyatalah yang hari raya Iedul Adha itu memang tuntutan syarayang qatie. Sepanjang pengetahuan saya yang amat dhaif ini, penetapan hari raya Iedul Fitri pada 1 haribulan Syawal adalah jelas dalilnya, begini :

Daripada Abdullah Ibni Umar rhu. ia berkata, bahawa Rasulullah Saw. bersabda mengenai bulan Ramadhan, kemudian Baginda menepukkan kedua tangannya dan bersabda :Satu bulan itu adalah sekian, sekian dan sekian (pada tepukan ketiga Baginda melipatkan ibu jarinyabermaksud ada mengandungi 29 hari), maka berpuasalah kalian (di bulan Ramadhan) kerana melihat hilal dan berbukalah (berhari raya) kerana melihatnya. Apabila hilal itu tertutup bagi kalian, maka sempurnakanlah hitungannya tiga puluh.
Hadis sahih riwayat Imam Muslim rh. (no. 2496) dan Imam Ahmad rh.

Setelah mentelaah sebaik mungkin yang termampu dan mengguna segala sumber yang saya ada, tidak pula saya temui satu pun atau lebih dalil syaraqatie dan sarih menyebut bahawa hari raya Iedul Adha adalah tetap pada 10 haribulan Zulhijjah. Saya akui benar-benar bahawa, memang tidak saya temui. Namun begitu, di ruang dan keupayaan yang amat terhad ini, baik sekali saya nukilkan beberapa perkara asas sebagai sedikit pedoman kepada pertanyaan Puan juga untuk manfaat kita bersama, begini :

12 bulan-bulan kalendar Islam seperti yang ada sekarang sebenarnya telah diamalkan oleh orang Arab jahiliyah lama sebelum kelahiran Nabi Muhammad Saw. lagi. Salah satu amalan mereka adalah tidak berperang dalam bulan-bulan haram (Al Asyhurul Hurum) yang terdiri daripada bulan Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. Penetapan bulan-bulan Arab ini sebagai bulan kalendar Islam dibuat oleh Amirul Mukminin Umar Ibnu Al Khattab rhu. pada tahun ke 17 selepas Hijrah. Permulaan kiraan tahun dibuat berdasarkan peristiwa hijrah Rasulullah Saw. ke Yathrib/Madinah seterusnya, tahun Islam dikenali sebagai Tahun Hijrah. Orang Arab jahiliyah telah pun mempunyai tradisi melakukan ibadah haji di Makkah/Baitullah dalam bulan Zulhijjah yaitu bulan ke-12 dan bulan terakhir dalam kalendar Hijrah, ribuan tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad Saw. lagi. Secara harfiyahnya, perkataan Zulhijjah (Arabic : Zu al Hijjah) beertiyang empunya haji.

Ibadah haji merupakan syariat Nabi Ibrahim ahs. Kerana itulah, amalan haji itu telah diamalkan oleh Arab jahiliyah sejak dulu lagi. Cuma masyarakat Arab jahiliyah telah menjalankan ritual ibadat haji itu mengikut cara-cara mereka sendiri yang jelas bertentangan dengan amalan sebenar yang dicontohkan oleh Nabi Ibahim ahs. Amalan haji Arab jahiliyah ini dijelaskan oleh Allah Swt. di dalam Al Quran ul Hakiim :

Solat mereka di sekitar Baitullah itu tidak lain hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.
Surah Al Anfaal (8) : ayat 35

Juga amalan haji mereka ini dinyatakan dalam sebuah hadis :

Dari Abu Hurairah rhu. ia berkata : Abu Bakar As Siddiq mengutusku bersama rombongan pada musim haji dimana dia diperintahkan oleh Rasulullah Saw. sebagai pemimpin rombongan, sebelum haji wada, bersama beberapa orang yang lain untuk memberitahukan kepada kaum muslimin pada hari Nahr (Adha/Qurban), yaitu setelah tahun ini orang musyrik tidak boleh berhaji, dan orang yang telanjang tidak boleh tawaf di Baitullah.
Ibnu Syihab (salah satu perawi) berkata : Humaid bin Abdurahman bin Auf mengatakan :Hari Nahr (Adha/Qurban) adalah hari Haji Akbar, berdasarkan hadis Abu Hurairah tersebut.
Hadis sahih riwayat Imam Muslim rh. (no. 3274). Peristiwa ini berlaku pada tahun ke 9 Hijrah.

Pengajaran dari hadis sahih di atas adalah, perbuatan orang Arab jahiliyah yang bertawaf di Baitullah dengan bertelanjang dan, hari Nahr (Adha/Qurban) adalah pada hari Haji Akbar. Dalil ini dengan jelas dan tepat membuktikan yang hari Nahr (Adha/Qurban) adalah berkaitan langsung dengan ibadah haji, bukannya ia disambut pada satu masanya yang tersendiri. Sekiranya ada yang menganggap yang Aidil Adha ini tiada kena mengena dengan ibadah haji yaitu, saya maksudkan wuquf di Arafah terlebih dahulu, itu memang fahaman yang batil.

Imam an Nawawi rh. dalam kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 6 halaman 654-657 memberikan syarahnya : ada perbezaan diantara ulamatentang maksud Haji Akbar, ada yang bependapat pada hari Arafah. Al Qadhi Iyad menukilkan salah satu pendapat Imam Asy Syafie yang mengatakan hari Haji Akbar adalah pada hari Arafah. Ulamayang berpendapat bahawa Haji Akbar itu adalah hari Arafah berdasarkan hadis masyhur :Haji itu di Arafah.

Nota tambahan : Rasulullah Saw. telah melakukan umrah sebanyak 4 kali dalam hidup Baginda berdasarkan hadis berikut :

Dari Anas bin Malik rhu. ia berkata : bahawa Rasulullah Saw. telah melaksanakan umrah sebanyak empat kali, semuanya di bulan Zulqaidah, kecuali umrah yang digabungkan dengan hajinya. (Pertama) Umrah dari Hudaibiyah atau pada waktu dilaksanakan Perjanjian Hudaibiyah pada bulan Zulqaidah, umrah di tahun selanjutnya pada bulan Zulqaidah, umrah dari Jiranah di mana Baginda membahagikan harta rampasan perang Hunain pada bulan Zulqaidah, dan umrah yang digabungkan dengan hajinya.
Hadis sahih riwayat Imam Muslim rh. (Jilid 6, halaman 342, no. 3023)

Imam an Nawawi rh. dalam kitab Syarah Muslim, Jilid 6 halaman 347-348 memberikan syarahnya bahawa umrah Rasulullah Saw. adalah seperti berikut :
Umrah 1 : dilaksanakan pada tahun 6 Hijrah. Pada masa itu para sahabat dihalangi dari mengerjakan haji sehingga mereka bertahallul, sehingga ibadah mereka dikira sebagai umrah.
Umrah 2 : dilaksanakan pada tahun 7 hijrah, yang merupakan umrah qadha.
Umrah 3 : dilaksanakan pada tahun 8 hijrah, yaitu tahun Fathu (pembukaan) Makkah.
Umrah 4 : ihram dilakukan di Dzulhulaifah (sekarang disebut Bir Ali) dalam bulan Zulqaidah dan perlaksanaan seluruh manasik umrahnya dalam bulan Zulhijjah bersamaan dengan perlaksanaan Haji Wada.

Sekalipun amalan haji dalam bulan Zulhijjah telah dilakukan oleh Arab jahiliyah dahulu lagi, setelah kedatangan Islam syariat Nabi Muhammad Saw., Baginda tetap meneruskan amalan ibadat haji juga dalam bulan Zulhijjah. Hal ini berdasarkan hadis berikut (sebuah hadis panjang, saya catatkan sedikit bahagian awal sahaja) :

Dari Aisyah rha. ia berkata :Kami pernah keluar bersama Rasulullah Saw. beriringan dengan munculnya hilal bulan Zulhijjah. Kami tidak melihat kecuali perlaksanaan haji. Maka Rasulullah Saw. bersabda : Barangsiapa diantara kalian yang ingin berihram untuk umrah, maka hendaknya dia berihram untuk umrah…………...
Hadis sahih riwayat Imam Muslim rh. (no. 2907)

Berdasarkan fakta yang dinyatakan di atas, adalah qatie dan sarih bahawa ibadah haji dan sambutan Hari Nahr (Iedul Adha/Qurban) memang diperbuat dalam bulan Zulhijjah oleh junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. Sesungguhnya amalan Haji adalah syariat Nabi Ibrahim ahs., kemudian diperlakukan secara salah oleh orang Arab jahiliyah di Baitullah. Kehadiran junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. telah mengembalikan Makkah/Baitullah kepada daulah Islamiyah yang haq dan amalan haji yang benar-benar berdasarkan syariat. Dan demikianlah juga yang menjadi amalan seluruh ummat Muslimin sehingga kini.

Hal berikutnya adalah bagaimana penetapan tarikh 10 Zulhijjah sebagai tarikh sambutan Hari Nahr (Iedul Adha/Qurban). Di atas tadi telah saya nyatakan bahawa tiada satu pun keterangan yang saya temui secara sarih menyebut lafaz 10 Zulhijjah sebagai Hari Iedul Adha. Sebenarnya penetapan itu adalah sunnah perbuatan (amaliyah/filiyah) Nabi Saw. Perkara tarikh ini diperjelaskan oleh para ilmuwan sirah/tarikh Islam. Semakan saya mendapati terdapat catatan tentang tarikh yang jelas diperbuat oleh beberapa orang sarjana sirah. Antaranya :

Imam Abu Ja'far Muhammad ibnu Jarir ibnu Yazid Al Thabari rh. (224310H) dalam kitabnya Tarikh Al Umam Wa Al Muluk At Thabari (Tarikh At Thabari), Jilid 2, halaman 204 menyatakan :

Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wadapada 9 Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah jatuh pada hari Jumaat.

Imam Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam rh. (wafat 218 Hijrah) mencatatkan dalam kitabnya Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam (Jilid 2, halaman 657) menyatakan :

Ummul mukminin Aisyah binti Abu Bakar rha. berkata : Rasulullah Saw. berangkat untuk mengerjakan haji pada tanggal 25 bulan Zulqaidah. Namun beliau tidak mencatatkan tarikh wuquf di Arafah tetapi memperihalkan perbuatannya.

Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. (700-774 Hijrah) mencatatkan dalam kitabnya Al Fusuul Fi Siiratir Rasul (halaman 235) menyatakan :

Rasulullah Saw. wuquf di Arafah pada hari Jumaat, tarikh 9 Zulhijjah. Esok paginya (10 Zulhijjah) Baginda melontar Jamrah Aqabah (sekarang disebut Akbar), menyembelih hadyu (binatang qurban) dan bertahallul awal.

Syaikh Abu Hashim Safiur Rahman bin Abdullah bin Muhammad Akbar bin Muhammad Ali bin Abdul Mumin bin Faqirullah Al Mubarakpuri Al Adzami rh. (1360H/1942- 1427AH/2006) mencatatkan dalam kitabnya Raheeq al Makhtum (halaman 685-688) menyatakan :

Rasulullah Saw. wuquf di Arafah pada hari Jumaat, tarikh 9 Zulhijjah. Esok paginya (10 Zulhijjah) selepas waqtu dhuha Baginda membaca khutbah (kedua) pada hari Nahr.

Syaikh Prof. Dr. Ali Muhammad As Sallabi hafidzahullah, seorang pakar sejarah Islam kontemporari dari Universiti Islam Madinah Al Munawwarah mencatatkan dalam bukunya Biografi Rasulullah Saw. (Jilid 3, halaman 438-441) menyatakan :

Baginda keluar dari Madinah selepas Zohor pada 25 Zulqaidah. ……bermalam pada malam Ahad 4 Zulhijjah …… dan memasuki Makkah……. Baginda menetap di Makkah selama 4 hari yaitu Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu. Selepas waqtu Dhuha hari Khamis Baginda begerak ke Mina dan menetap (bermalam/hari tarwiyyah)……selepas terbit matahari esoknya (Jumaat) Baginda begerak ke Arafah……”.

Apabila dikira bermula daripada hai Ahad, 4 Zulhijjah, didapati hari Jumaat wuquf di Arafah adalah 9 Zulhijjah dan hari Nahr esoknya adalah 10 Zulhijjah.


Berdasarkan keterangan dari sumber catatan sirah yang tsiqah (terpercaya) ini, adalah qatie dan sarih bahawa penetapan tarikh Iedul Adha adalah berdasarkan sunnah perbuatan Rasulullah Saw. yang : wuquf di Arafah pada 9 Zulhijjah dan merayakan Hari Nahr (Iedul Adha/Qurban) pada 10 Zulhijjah. Begitulah sunnah Rasulullah Saw. dan tidak Baginda lakukan pada tarikh yang lain. Bukti kepada ciri perayaan yang diperbuat sendiri oleh Rasulullah Saw. adalah Baginda membaca khutbah (kedua) pada hari Nahr dan menyembelih hadyu (binatang qurban). Perkara-perkara ini hanya boleh diperbuat selepas Solat Ied pada Hari Nahr dan, tidak sah diperlakukan sebelum itu. Demikianlah amal perbuatan (sunnah) Rasulullah Saw. yang menjadi amalan ummat Muslimin sehingga kini.

Nota : Hari Nahr, Hari Raya Iedul Adha, Hari Raya Qurban dan Hari Raya Haji : adalah merujuk kepada hari yang sama, cuma berbeza istilah.

Akhiirul kalam,

Setakat inilah sahaja, yang saya mampu berikan, serba sedikit penerangan tentang bagaimanakah penetapan Hari Nahr seperti yang Puan persoalkan. Moga saya telah membantu menghilangkan kepeningan Puan. Saya amat menggalakkan supaya Puan juga rujuk kes ini kepada lain-lain ilmuwan yang lebih hebat dan arif berbanding saya ini, supaya Puan mendapat penjelasan yang jauh lebih baik dan sarih lagi. Artikel maklumbalas saya ini amat kerdil dan terbatas berbanding lautan ilmu yang amat luas.

Apapun, soalan Puan ini memang membuat saya kelam kabut dalam suasana berkelana ini. Begitulah keadaannya.

والله اعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Metajam

0 ulasan: