Khamis, 6 November 2014

Hak Waris Zawil Arham (Siri 1)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris mewarisi) dalan Kitab Allah dari terdahulu lagi pertama-tama (masuk Islam) daripada orang-orang Mu’min dan orang-orang Muhajirin keculi kamu berbuat baik kepada saudara-saudara kamu (seagama). Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah).”
Surah Al Ahzab ( ) : ayat 6

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Muqaddimah/Prakata
Saya mendapat beberapa pertanyaan berkenaan hukum warisan apabila seseorang meninggal tanpa meninggalkan Ashabul Furudh atau pun Asabah. Dalam amalan biasa dalam negara kita (mengikut enakmen keluarga Islam negeri-negeri juga persekutuan), apabila terjadi keadaan sebegitu, segala harta akan diserahkan kepada Baitumal. Lebih banyak lagi, berdasarkan akta-akta semasa diserahkan kepada sebuah badan amanah atas alasan sebagai pentadbirurus untuk diagihkan kepada waris-waris. Namun banyak kes yang tidak terselesaikan bertahun-tahun, harta pun bertambun-tambun mencapai nilai puluhan billion, sehingga tiada apa pun memberi manfaat kepada para waris atau pun ummat Muslimin melainkan badan itulah yang semakin mewah dan kaya raya.

Ada beberapa yang merujuk kepada beberapa kes di negara ummat Islam lain disebabkan dia berasa pelik, setelah mendapati tidak sama dengan amalan biasa di Malaya ini. Penelitian saya mendapati negara tersebut mengamalkan sistem adanya pewarisan kategori ke 3 yaitu Dzawil Arham. Disitulah terletak punca berbeza amalan diantara negara. Perwarisan kategori ke 3 ini hampir-hampir tidak dikenal oleh ummat Muslimin di Malaya lantaran amalan perundangan yang berladaskan fiqh mazhab imam Asy Syafi’ie memang tidak mengiktiraf adanya hak menerima warisan oleh golongan dzawil arham.

Dalam beberapa siri kuliyah terdahulu, saya ada menyebut dan mencatatkan bahawa dzawil arham wujud sebagai waris kategori ke 3. Jamaah yang hadir dalam kuliyah itu insyaAllah telah mendapat sedikit kefahaman serta serba sedikit perbahasan. Hanya terdapat sedikit sahaja yang saya tulis sebelum ini yang memerlukan penjelasan lebih lengkap. InsyaAllah, nukilan selanjutnya akan menjelaskan perkara ini. Moga memberi manfaat kepada para jamaah dan pembaca.

Definisi Zawil Arham
Secara lughah (bahasa) : Asas perkataannya adalah Zu al Arham. Lafadz Zu disini membawa maqsud hubungan. Arham pula adalah bentuk jamak dari kata mufrad rahmun/rahim, yang asalnya dalam bahasa Arab berarti “tempat pembentukan/menyimpan janin dalam perut ibu”. Kemudian dikembangkan menjadi qarabah/pertalian keluarga (kerabat), baik datangnya dari pihak ayah atau pun dari pihak ibu. Ini disebabkan asal muasalnya dari rahim itulah mulanya semua mereka berkumpul. Dengan demikian, lafadz rahim tersebut umum digunakan dengan makna kerabat, baik dalam bahasa Arab atau pun dalam isthilah syari’at Islam. Maka, lafadz zawil arham ini adalah merujuk kepada hubungan talian kekeluargaan (kerabat) yang berasal dari satu rahim.

Secara isthilah (syara’) : Ada pun yang dimaqsud dengan zawil arham pada ilmu faraaidh ini adalah setiap kerabat pewaris (simati) yang tidak termasuk dalam kategori waris no. 1 :Ashabul Furudh dan waris no. 2 : Asabah. Dalam arti kata lain, setiap ahli keluarga yang mempunyai hubungan talian kekeluargaan dengan pewaris (simati) dan berhak menerima warisan, cuma tidak mewarisi melalui jalan ashabul furudh atau pun asabah, maka mereka adalah zawil arham. Secara paling mudah, mereka wujud dari jalur perempuan.

Dasar/dalil kepada hukum yang menjelaskan bahawa zawil arham adalah berhak mewarisi harta pewaris yaitu kalamullah :

”Bagi orang lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya ……....” Surah ANisaa’ ( ) : ayat 7

“orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
Surah Al Anfal ( ) : ayat 75.

Golongan Waris Zawil Arham
Waris-waris zawil arham adalah seperti berikut :

a.    Anak-anak sama ada lelaki atau perempuan kepada anak perempuan dan seterusnya.
b.    Anak-anak sama ada lelaki atau perempuan kepada saudara perempuan sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
c.    Anak perempuan kepada saudara-saudara lelaki sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
d.    Anak perempuan kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa, sebapa atau seibu.
e.    Bapa saudara sebelah bapa seibu.
f.     Bapa saudara sebelah ibu sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
g.    Ibu saudara sebelah ibu sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
h.    Ibu saudara sebelah bapa sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
i.      Datuk yang tidak sahih seperti bapa kepada ibu dan seterusnya.
j.      Nenek yang tidak sahih iaitu hubungannya dengan si mati diselangi oleh datuk yang tidak sahih seperti ibu kepada bapa kepada ibu.
k.    Anak lelaki kepada saudara lelaki atau perempuan seibu.

Semua waris yang dinyatakan di atas merupakan waris-waris zawil arham yang tidak dinyatakan bahagian mereka daripada harta pusaka. Golongan waris ini jika dibenarkan mendapat harta pusaka, maka mereka adalah waris-waris yang terakhir sekali iaitu setelah tidak ada lagi waris ashabul furudh dan asabah kecuali suami atau isteri. Walau bagaimanapun, mereka merupakan waris yang dekat hubungannya dengan si mati dari segi darjat hubungannya.

Perlaksanaan Perwarisan Kepada Zawil Arham
Waris zawil arham ini adalah mereka yang tidak memiliki fardhu-fardhu (ketentuan bahagian/hak) yang ditetapkan dalam Al Qur’an dan As Sunnah, maka sekaligus bukan dari kumpulan ashabul furudh atau asabah yang telah ada fardhunya. Mereka hanya layak mendapatkan bahagaian waris apabila pewaris tiada mempunyai ashabul furudh dan/atau pun asabah. Sekiranya ada, mereka waris zawil arham ini telah terlindung (mahjub) dari mendapatkan warisan. Para pelindung itu (hijab) adalah ashabul furudh dan asabah.

Pendapat Beberapa Imam Muktabar Tentang Dzawil Arham
Para imam mujtahid berbeza pendapat dalam masalah hak waris zawil arham, sama halnya dengan perbedaan pendapat yang terjadi di kalangan para sahabat Rasulullah Saw.. Dalam hal ini, ada 2 pendapat :

1. Golongan pertama berpendapat bahawa zawil arham atau para kerabat jenis ini tidak berhak mendapat waris. Mereka mengatakan bahawa bila harta waris tidak ada ashabul furudh dan/atau asabah, maka harta itu diserahkan kepada baitulmal, disalurkan demi kepentingan masyarakat Islam pada umumnya. Dengan demikian, tidak dibenarkan jika harta tersebut diberikan kepada zawil arham. Di antara mereka yang berpendapat demikian ialah Zaid bin Tsabit Rhu. dan Ibnu Abbas Rhu. dalam sebahagian riwayat darinya, dan juga merupakan pendapat dua imam, yaitu Malik dan Syafi'ie Rhm.

2. Golongan kedua berpendapat bahawa zawil arham berhak mendapat waris, bila tidak adanya ashabul furudh dan/atau asabah. Mereka berpendapat bahawa zawil arham lebih berhak untuk menerima harta waris dibandingkan baitulmal, sebab zawil arham memiliki kekerabatan dengan pewaris. Pendapat ini merupakan jumhur ulama, di antaranya Umar bin Khathab, Ibnu Mas'ud dan Ali bin Abi Tholib. Juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal Rhm.

Landasan Dalil Golongan Pertama
1.            Asal pemberian hak waris/asal penerimaan hak waris adalah dengan adanya nas dari Al-Qur'an atau as-Sunnah. Dan dalam hal ini tidak ada satu pun nas yang pasti dan kuat yang menyatakan wajibnya zawil arham untuk mendapat waris. Jadi, bila kita memberikan hak waris kepada mereka (zawil arham) berarti kita memberikan hak waris tanpa dilandasi dalil yang pasti dan kuat.

2.            Dari hadis yang diriwayatkan Said bin Mansur, disebutkan bahawa Rasulullah Saw. ketika ditanya tentang hak waris ibu saudara dari garis ayah mahu pun ibu, Baginda menjawab : Sesungguhnya Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa dari keduanya tidak ada hak menerima waris sedikit pun. Hadis ini ditahqiq oleh Habib al-A'dzamiy dengan mengatakan : Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dalam kitab Marasil-nya dari jalur Abdullah bin Salamah dari Abdul Aziz bin Muhammad, seperti tersebut juga dalam kitab karya Baihaqi (VI/212).” Maka jika keduanya tidak berhak untuk menerima harta waris, zawil arham malah yang lain pun demikian.

3.            Anak perempuan dari saudara lelaki kandung, yang ada bersama anak lelaki dari saudara lelaki kandung, tidak berhak mendapatkan apa pun, hanya anak lelaki dari saudara lelaki kandung yang men­dapatkan warisan. Begitu pula ibu saudara dari pihak ayah, yang ada bersama bapa saudara dari pihak ayah, tidak dapat menerima warisan. Terlebih lagi jika ibu saudara hanya seorang diri (tidak bersama bapa saudara), ia tidak boleh mendapatkan warisan.

4.            Dalam qaidah usul fiqih, telah ditegaskan bahawa kemaslahatan umum harus lebih diutamakan daripada kemaslahatan pribadi. Harta peninggalan, bila ternyata tidak ada ahli warisnya secara sah dan benar, baik dari ashabul furudh-nya dan/atau asabahnya, bila diserahkan ke baitulmal akan dapat mewujudkan kemaslahatan umum, sebab umat Islam akan ikut merasakan faedah dan kegunaannya. Namun sebaliknya, bila diserahkan kepada kerabatnya, maka kegunaan dan faedahnya akan sangat minimum, dan hanya kalangan mereka saja yang merasakannya. Dengan demikian, baitulmal lebih diutamakan untuk menyimpan harta waris yang tidak ada ashabul furudh dan asabahnya daripada zawil arham.

Dalam kes amalan di negara kita, selaras dengan penetapan fiqh mazhab Asy Syafi’ie sebagai rujukan, maka pendapat golongan pertama ini yang digunapakai.

Landasan Dalil Golongan Kedua
Ada pun golongan kedua, yakni Imam Abu Hanifah dan Ahmad Rhm. menyatakan bahawa zawil arham berhak mendapatkan waris, mereka mendasari pendapatnya itu berdasarkan ayat Al-Qur'an : Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Surah Al-Anfal (X) : ayat 75

Makna yang mendasar dari dalil ini ialah bahawa Allah Swt. telah menyatakan dalam Kitab-Nya bahawa para kerabat lebih berhak untuk mendapatkan/menerima hak waris daripada yang lain. Disini, lafadz arham yang berarti kerabat adalah umum, termasuk ashabul furudh, asabah, serta selain keduanya. Pendek kata, makna kata itu mencakupi kerabat yang mempunyai hubungan rahim dan/atau hubungan darah.

Ayat tersebut seolah-olah menyatakan bahawa yang disebut kerabat, siapa pun mereka, baik ashabul furudh, asabah, atau selain dari keduanya, merekalah yang lebih berhak untuk menerima hak waris berbanding yang bukan kerabat ya’ni baitulmal. Bila pewaris mempunyai kerabat dan kebetulan ia meninggalkan harta, maka berikanlah harta pewaris itu kepada kerabatnya dan janganlah mendahulukan yang lain. Jadi, atas dasar inilah maka para kerabat lebih berhak untuk menerima hak waris daripada baitulmal.

Hal ini juga berdasarkan firman-Nya yang lain : Bagi laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi wanita ada hak bahagian (pula) dan harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan. Surah an-Nisa' ( ) : ayat: 7. Melalui ayat ini Allah Swt. menyatakan bahawa qaum lelaki dan wanita mempunyai hak untuk menerima warisan yang ditinggalkan kerabatnya, baik sedikit atau banyak. Seperti yang disepakati oleh jumhur ulama’ bahawa yang dimaqsud dengan zawil arham adalah para kerabat. Maka itu, mereka berhak untuk menerima warisan.

Kemudian sebagaimana dinyatakan oleh majority ulama’ bahawa ayat di atas telah menghapus kebiasaan pada awal munculnya Islam, dimana pada masa itu qaum Muslimin saling mewarisi disebabkan menolong dan hijrah. Dengan turunnya ayat ini, maka yang dapat saling mewarisi hanyalah antara sesama kerabat (zawil arham). Oleh itu, para kerabatlah yang paling berhak untuk menerima harta peninggalan seorang pewaris.

Adapun dalil dari al-hadis adalah ketika Tsabit bin ad-Dahjah meninggal dunia, maka Rasulullah Saw. bertanya kepada Qais bin Ashim : Apakah engkau mengetahui nasab orang ini? Qais menjawab : Yang kami ketahui orang itu dikenal sebagai asing nasabnya, dan kami tidak mengetahui kerabatnya, kecuali hanya anak lelaki dari saudara perempuannya, yaitu Abu Lubabah bin Abdul Mundir." Kemudian Rasul Saw. pun memberikan harta warisan peninggalan Tsabit kepada Abu Lubabah bin Abdul Mundzir.

Anak saudara lelaki dari anak saudara perempuan tidak lain hanyalah merupakan kerabat, yang bukan dari ashabul furudh dan bukan pula termasuk asabah. Dengan pemberian Rasulullah Saw. akan hak waris kepada zawil arham menunjukkan dengan tegas bahawa para kerabat berhak menerima harta waris apabila ternyata pewaris tidak mempunyai ashhabul furudh yang berhak untuk menerimanya atau para ashabah.

Dalam satu atsar diriwayatkan dari Umar bin Khathab Rhu. bahawa ketika Abu Ubaidah bin Al Jarrah mengajukan persoalan kepada Umar, Abu Ubaidah menceritakan bahawa Sahal bin Hunaif telah meninggal kerana terkena anak panah yang dilepaskan seseorang. Sedangkan Sahal tidak mempunyai kerabat kecuali hanya bapa saudara dari pihak ibunya.  Umar menanggapi masalah itu dan memerintahkan untuk memberikan harta peninggalan Sahal kepada bapa saudaranya itu. Kata Umar : Kerana sesungguhnya aku telah mendengar bahawa Rasulullah Saw.. bersabda : Saudara lelaki ibu adalah ahli waris bagi mayit yang tidak mempunyai keturunan atau kerabat yang berhak untuk menerimanya. Dia juga yang membayarkan diyatnya dan mewarisinya." Hadis riwayat imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah Rhm.

Atsar ini, yang di dalamnya Umar al-Faruq memberitakan sabda Rasulullah Saw., merupakan dalil yang kuat bahawa kerabat lebih berhak menerima harta pewaris berbanding baitulmal. Kalaulah baitulmal lebih berhak untuk menampung harta peninggalan yang tidak mempunyai waris (ashabul furudh dan/atau asabah), maka Umar bin Khathab pasti tidak akan memerintahkan kepada Abu Ubaidah Ibnu Al Jarrah untuk memberikan kepada bapa saudara Sahal tersebut. Sebab, Umar bin Khathab Rhu. adalah seorang khalifah Islam yang dikenal sangat mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi. Ini terbukti seperti yang banyak dikisahkan dalam kitab-kitab sejarah.

Nota : atsar ini memberitahu hukuman bahawa waris zawil boleh mengambil tempat apabila tiadanya ashabul furudh dan/atau asabah.

Ada pun secara logika, sesungguhnya para kerabat jauh lebih berhak untuk menerima harta warisan daripada baitulmal. Alasannya, kerana ikatan antara baitulmal dan pewaris hanya dari satu arah, yaitu ikatan Islam, kerana pewaris seorang Muslim. Berbeza halnya dengan seseorang yang memiliki hubungan kekerabatan dengan pewaris, dalam hal ini ia mempunyai dua ikatan ya‘ni ikatan Islam dan ikatan rahim.

Oleh itu, ikatan dari dua arah sudah tentu akan lebih kuat berbanding ikatan satu arah. Permasalahan ini sama seperti dalam kes adanya saudara lelaki kandung dengan saudara lelaki seayah dalam suatu keadaan pembahagian harta waris, yang dalam hal ini seluruh harta waris menjadi hak saudara lelaki kandung. Sebab, ikatannya dari dua arah, dari ayah dan dari ibu, sedangkan saudara seayah hanya dari ayah.

Di samping itu, kelompok kedua (jumhur ulama) ini menyanggah dalil yang dikemukakan oleh Imam Malik dan Imam Syafi'ie Rhm. bahawa hadis itu kemungkinan ada sebelum turunnya ayat di atas. Atau, mungkin juga bahawa ibu saudara (baik dari ayah atau ibu) tidak berhak mendapat waris ketika beriringan dengan ashabul furudh dan/atau asabah.

Jadi jika kita melihat konteks hadis yang pernah dikemukakan mengenai jawaban Rasulullah Saw. tentang hak waris ibu saudara ketika itu disebabkan ada ashabul furudh dan/atau asabah-nya. Inilah usaha untuk menyatukan 2 hadis yang sepintas kelihatan bertentangan.

Setelah membandingkan kedua pendapat itu, dapat disimpulkan bahawa pendapat jumhur ulama‘ (kelompok kedua) lebih kuat dan akurat, kerana memang merupakan pendapat majority Sahabat, tabi'in, dan imam mujtahidin. Selain itu ia bertepatan dengan kondisi kehidupan manusia masa kini yang mana, tanpa mengira kedua-dua belah pihak ibu mahu pun bapa, mereka sama-sama menyumbang dan saling membantu dalam segala hal. Amat tidak wajar sekali-kali mereka dari nasab sebelah ibu (zawil arham) itu dikesampingkan begitu sahaja.  

Di samping dalil yang mereka kemukakan lebih kuat dan akurat, juga tampak lebih adil apalagi jika dihubungkan dengan kondisi kehidupan dewasa ini, yang mana sudah sangat terlalu sulit menemukan baitulmal yang benar-benar dikelola oleh jamaah, yang penuh amanah, yang terjamin pengelolaannya, yang adil dalam memberi kepada setiap ummat yang berhak, cekap perjalannya dan tepat dalam menyalurkan harta atau mengambil berat kehidupan ummat.

Nota : secara peribadi saya lebih cenderung dengan pendapat golongan kedua berikutan hujjah, dalil akurat dan alasan yang munasabah yang mereka kemukakan. Saya berdoa kepada Allah Swt. agar suatu ketika nanti pemerintah negara terbuka hatinya untuk menerima waris zawil arham, supaya keadilan dalam seluruh keluarga dan silaturrahim menyeluruh dapat dijalankan.  

bersambung ……. Setakat ini dahulu yang dapat saya nukilkan setakat masa ini.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...

Soal Jawab: Ibadah Qurban (siri 8)

0 ulasan
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga tuan ustaz Mad dalam suasana ok saja. Alhamdulillah kita sudah pun menyambut Aidil Adha, Selamat untuk syeikh taqobalAllahu minni wa minkum, minna wa minkum taqobbal ya kariim. Lama dah kita tak jumpa, nak pi kuliah pun saya takdan, insyaAllah nanti kita jumpa.

Saya nak bertanya sikit nih pasal hal korban yang dibuat semalam. Ada cerita pelik-pelik terjadi masa sembelihan yang buat ramai orang pening semalam. Macam-macam orang dok cakap termasuklah antaranya saya sendiri lah. Begini yang nak dikisahkan,

1.            Semasa sembelihan dan prosesnya ramai la orang yang tolong menolong. Tapi peliknya kali ni, peserta korban ambil balik ke rumah bahagian masing-masing. Adalah 2 orang yang berikan sedikit kepada orang ramai, tapi tak cukuplah dan ramai orang tak dapat termasuklah orang yang dok tolong proses tu pun tak dapat. Kecoh la apa lagi.

Nak tanya nih, adakah bahagian korban ni untuk peserta korban tu bawa balik makan sendiri saja kah? Macam tu ka ajaran Islam?

2.            Para peserta tentu sekali yang perempuan sangat berkira sampai terkeluar ayat-ayat tidak bagus, semua perkara nak bagi sama betul-betul, semua nak kena potong cincang jadi kecil-kecil supaya boleh ditimbang. Beza dalam gram pun depa dok bising. Kecoh la orang yang dok buat kerja pasal kena arah itu ini macam kuli batak. Lepas tu peserta angkat semua bawa balik, tak teringin pun nak bagi sikit sebagai saguhati ka kepada orang buat kerja. Lagi la kecoh.

3.            Dalam kalangan peserta korban tu ada pulak yang berbunyi kurang senang kerana jumlah yang didapati sikit, tak padan dengan bayaran RM500 satu bahagian. Kalau beli kat market pun dapat lebih banyak pada harga yang sama.

Yang lagi satu nih, ada sahabat suruh tolong tanya hukum hal yang berlaku kat surau tempat dia

4.            Surau mereka dapat 2 ekor lembu untuk buat korban. Satu ekor sumbangan sebuah syarikat dan lagi satu ekor sumbangan ahli parlimen, tapi dia tu bukan Islam. Sembelihan dan proses dah selesai semalam, cuma la ni diorang dah tertanya hukum korban tu. Dan ada juga berbunyi itu ini dari orang berbeza parti dengan ahli parlimen itu.

Harap al fadhil ustaz dapat membantu memberi penjelasan. Lebih cepat lebih baiklah.

Terima kasih, Wassalam

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعديسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan artikel jawaban ini.

Terima kasih kerana konsisten bertanya soalan hal yang pelik-pelik. InsyaAllah saya akan cuba menjawab setakat yang termampu dan yang diketahui. Didapati langsung tiada masalah hukum dalam soalan 1 dan 2. Yang ada hanyalah alkisah perangai manusia sebahagian ummat Muslimin masakini yang menimbulkan masalah. Maka itu, baiklah Tuan juga turut menjaga mulut lidah dari seolah-olah mempertikaikan syari’at Islam itu sendiri sedangkan yang menimbulkan masalah itu adalah perangai dan tingkahlaku ummatnya yang tidak mahu menuruti landasan syari’at, bukan Islam itu sendiri yang bermasalah.

Saya sebutkan ini kerana ada rasa kurang senang dengan sedikit ayat yang Tuan tuliskan. Diharapkan Tuan benar-benar jelas perkara ini. Ia adalah 2 hal berbeza seumpama langit dengan bumi. Janganlah kita ummat Muslimin sendiri terikut-ikut dengan perangai hasad melulu manusia kafiriin yang sering menuduh dan asyik memburukkan syari’at Islam atas sebab yang Islam itu sendiri langsung tidak ada kena mengena dengannya.

Saya mahu menjawab soalan no. 4 terlebih dahulu berkenaan status qurban oleh syarikat dan sumbangan oleh bukan Islam. Hal ini melibatkan implikasi hukum.

Saya mendapati sekarang ini semakin banyak pula golongan yang turut mahu membuat qurban. Maqsud saya adalah para pemilik, pengurusan atau ketua yang menggerakkan entity bukan manusia itu. Dari satu segi ia amat bagus kerana memberitahu bahawa kesedaran untuk melakukan ibadah qurban semakin berkembang dan lebih ramai manusia mendapat kebaikan daripada hasil qurban itu. Tentu sekali kerana entity sebegini jelas lebih berkemampuan berbanding individu.

Namun begitu, sebagai suatu ibadah berlandaskan ketetapan syari’at, hal hukuman mengikut syari’at wajib diperhatikan terhadap perbuatan sebegini. Justeru, ia bukanlah suatu ibadah yang boleh diperbuat sesuka hati dan sesedap rasa.

Sesungguhnya semua bentuk dalil suruhan atau perintah melaksanakan ibadah qurban dari Allah Swt. dan rasul-Nya terjatuh kepada hanya individu Muslimin dan tidak kepada selain itu. Ia berbeza dengan zakat (perniagaan) dan tidaklah boleh diqiyaskan amalan ibadah qurban ini dengan amalan zakat itu. Individu Muslimin itu pun mestilah yang hayat dan mematuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan.

Sehubungan dengan itu, sumbangan oleh entity bukan individu tetap jua berupa suatu kebaikan yang insyaAllah akan diberikan ganjaran pahala dan kemuliaan kepada sesiapa yang terlibat. Cuma status qurban itu tidak berlaku kerana tidak memenuhi syarat yang tetap yaitu seorang individu Muslimin. Ia hanyalah berstatus sembelihan biasa bukan qurban dan boleh diagihkan hasilnya kepada orang-orang sebagai sadaqah atau hadiah.

Hadiah/sumbangan dari bukan Islam untuk disembelih juga boleh diterima. Namun dari segi hukum, ia adalah bukan status qurban jua tetapi hanyalah sembelihan biasa kerana tidak memenuhi syarat yaitu penyumbang itu bukan individu Muslimin. Hasilnya boleh diagihkan kepada orang-orang.

Cakap-cakap kosong disertai segala macam prasangka hal parti itu, buangkan saja ke longkang. Tak perlulah kita yang sedia meraba-raba ini menjuruskan diri ke tahap bertingkat-tingkat kejahilan diikuti dosa pula dengan meneka-neka apa yang ada dalam isi hati orang lain.

Semoga jawaban ringkas dalam hal ini difahami.

Dalam hal soalan 1 dan 2, ia bukan bukan persoalan hukum tetapi hal pengagihan daging qurban. Hal pengagihan inilah yang menjadi isu yang kecoh tu. Baik sekali saya mulakan dengan prinsip paling asas.

Rasulullah Saw. bersabda : Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidil Adha melainkan ibadat qurban. Sesungguhnya binatang yang diqurbankan itu akan datang pada hari qiyamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat qurban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan redha akan ibadat qurban yang kamu lakukan.
Hadis riwayat imam At-Tirmidzi Rhm.

Apa yang dituntut daripada ibadat qurban ialah keredhaan dan lapang dada untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut, suka-suka atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukanlah daging, atau binatang qurban itu, akan tetapi ketaqwaan yang mendorong kita melakukan ibadah itu. Itulah yang dinyatakan oleh Allah Swt. :

“Daging dan darah binatang qurban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan.”
Surah Al Hajj (22) : ayat 37

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan qurban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima qurban daripada orang yang bertaqwa.”
Surah Al Maidah (5) : ayat 27

Kalamullah dan sabdaan ini memberitahu bahawa kita perlu benar-benar ikhlas hati dan tunduk patuh kepada-Nya, dalam rangka melaksanakan ibadah qurban kepada Allah Swt. Dan ikhlas dan taqwa benar itu terbukti dengan membetulkan niyat dan melakukan ibadah qurban mengikut tatacara syari’at yang benar. Hasrat ikhlas dan taqwa tidak akan tercapai sekiranya niyat dan tatacara perlaksanaan tidak mengikut ketetapan Allah dan rasul-Nya.

Justeru itu, semua yang terlibat dalam hal perlaksanaan qurban ini bermula dari peserta qurban sehinggalah orang yang mengelolakannya, mesti ingat benar-benar bahawa semua yang mereka buat adalah atas dasar ikhlas dan taqwa kepada Allah semata-mata. Yang mampu dan berkesempatan mengeluarkan binatang qurban, yang tidak berkesempatan dan tidak mampu pula mengeluarkan masa, usaha dan tenaga untuk turut menjayakan qurban itu. Yang duduk santai depan tv, lepak bawah khemah atau borak kosong bawah pokok, maka jawab sendirilah di hadapan mahkamah Allah Ta’ala nanti.  

InsyaAllah, sekiranya semua orang boleh beraqidah sebegini, tidak terjadilah keluh kesah seperti yang ditanyakan. Hal dapat tak dapat daging hal kecil sahaja kerana taqwa kepada Allah Swt. itulah yang utama, malah tujuan terlbat dalam ibadah qurban itu pun bukan kerana mahukan daging.

Terlalu luhur dan ideal sangat nampaknya kalam sebegini. Secara konsep ia benar tulus namun secara realiti perlaksanaan, pasti sukar sekali kerana apa yang ada dalam hati manusia, hanya Allah dan rasul-Nya sahaja yang tahu.

Penyerahan/pengagihan paling agung dalam ibadah qurban adalah kepada Allah dan diambil oleh Allah juga. Demikianlah yang berlaku kepada Habil yang mana penyerahan qurbannya diambil langsung oleh Allah menerusi pancaran kilat. Namun kepada kita ummat Muhammad Saw. suasana syari’atnya berbeza. Perbuatan paling asas dan dasar kepada pengagihan hasil qurban adalah dicontohkan oleh Nabi Saw. sendiri yaitu menyerahkan seluruhnya kepada manusia.

“Bahawa Ali bin Ali Tholib Rhu. mengatakan : Nabi Saw. memerintahkan aku untuk mengurusi haiwan qurban Baginda, dan Baginda menyuruh agar membahagikan semua daging, kulit dan kainnya kepada faqir miskin dan tidak memberikan sesuatu apa pun daripada bahagian haiwan qurban itu kepada tukang sembelih (sebagai upahnya).”
Hadis riwayat imam Muslim Rhm. no. 3170

Secara peribadi, saya berpendirian inilah cara yang paling tepat mendzahirkan maqsud ibadah qurban itu ya’ni dengan menyerahkan semua sekali kepada manusia. Namun begitu, peserta qurban boleh mengambil sedikit untuk dimakan lantaran ada hadis lain menyebutkan yang Nabi Saw. ada berbuat begitu. Disamping itu, terdapat beberapa hadis lain yang mengkisahkan : boleh menyimpan lebih dari 3 hari, boleh dibuat bekal perjalanan, sebahagian dimasak untuk kenduri dan sebahagian diserahkan kepada faqir miskin.

Oleh kerana itu, sebagai mengkompromikan kepelbagaian keadaan ini, kebanyakan para ulama dan fuqaha’ (seperti madzhab Hanafi, madzhab Maliki dan madzhab Hanbali, lihat kitab Al Fiqh Ala Al Madzahib ul Arba’ah, jilid 1 halaman 624-626), menyimpulkan pembahagian daging qurban menjadi tiga bahagian: 1/3 untuk peserta qurban beserta keluarganya, 1/3 untuk faqir miskin dan 1/3 untuk manusia secara umum, baik kaya atau miskin (atau boleh juga dalam bentuk kenduri). Lihat perkataan semisal oleh As Sayyid Sabiq Rhm. dalam Fiqh As Sunnah  jilid 2 halaman 36-37, imam As San’ani Rhm. dalam Subulus Salam jilid 7 halaman 420, Syaikh Muhammad bin Solih Ibnu Utsaimin Rhm. dalam Talkish Kitab Ahkam ul Udhhiyah wa adh-Dhakah halaman 33-35 dan Syaikh Abu Bakar bin Jabir Al Jaza’iri dalam Minhajul Muslim halaman 341.

Ketetapan ini mempunyai dasar yang antaranya :
1.            Bagi peserta qurban disyari’atkan untuk makan sebahagian daging binatang qurbannya. Hal ini berdasarkan perintah Allah Swt. dalam al-Qur’an : “Maka makanlah sebahagian (dagingnya) dan berilah makan orang yang tidak meminta-minta dan orang yang meminta-minta”. Surah Al Hajj (22) :ayat 36.
2.            Dibahagikan kepada faqir miskin, sebagaimana dalam sebuah hadis : “Makanlah, simpanlah dan sedekahkanlah (daging qurbanmu)”. Hadis riwayat imam Muslim Rhm. no  2930.
3.            Dihadiahkan kepada kaum Muslimin, baik kaya ataupun miskin, seperti tetangga dan kerabatnya. Hal ini didasari oleh sebuah hadits : “Maka makanlah sebahagian (dagingnya) dan berilah makan (manusia) dan simpanlah”. Hadis riwayat imam Bukhari Rhm. no 5567. Syaikh Ibnu Utsaimin Rhm. berkata : perkataan Nabi Saw. “berilah makan (manusia)” mencakup dua perkara, yaitu memberi hadiah orang-orang yang kaya dan bersadaqah kepada orang-orang miskin.

Oleh yang demikian, kepada peserta qurban serta seluruh ummat Muslimin, fahamilah keadaan ini dengan sebenar-benarnya. Paling benar adalah serahkan semuanya kepada manusia dengan diambil makan sedikit atau pun dibahagi 3, yang mana hak untuk diambil oleh peserta qurban hanyalah 1/3 dan selainnya diserahkan kepada manusia. InsyaAllah, sekiranya tatacara pembahagian dan pengagihan ini difahami dan dipatuhi, tiadalah kecoh dan rasa kurang senang seperti yang berlaku.

Bertahun-tahun saya terlibat dalam sembelihan dan kelolaan qurban, saya dapati trend peserta qurban membawa balik semua bahagian ini dah makin berkembang. Tahun ini saya melihat sendiri dan terlibat dengan kes para peserta membawa balik semua bahagian (kecuali kepala, kulit dan tapak kaki) tanpa diberikan sedikit pun kepada khalayak yang hadir, sama ada memeriahkan atau pun turut membantu. Saya juga membaca dari blog, serta dimaklumkan menerusi applikasi wasapp/telegram, ada sekumpulan warga Bangladesh yang dihalau pulang semasa hadir ke majlis sembelihan qurban. Sungguh amat menjengkelkan dan ini adalah satu virus pemusnah kesucian ibadah qurban. Tiada lain ini berpunca dari kejahilan dalam asas ibadah qurban dan kurang penghayatan terhadap syi’arnya.

Dalam kes semasa, sembelihan dari sumbangan entity bukan individu, diserahkan semuanya kepada khalayak, sedangkan sembelihan peserta individu diambil balik olehnya.. Dikhuatiri suatu ketika nanti, sumbangan entity bukan manusia ini yang akan dikerjakan orang banyak lantaran boleh mendapat hasilnya secara bersama dan kemaslahatan umum itu terjaga. Manakala qurban individu atau jama’ie kena buat sendirilah semuanya oleh peserta. Keadaan sebegini menjadikan hasrat murni ibadah qurban tidak akan terjadi.

Pembahagian mengikut jumlah peserta itu mesti dibuat (misalnya 7) apabila ia dikehendaki oleh para peserta terlibat. Namun ia mesti juga diikuti dengan hasrat saling meredhoi dan saling menghalalkan. Hal ini diperjelaskan berikutan perkara kurang lebih dalam pembahagian pasti berlaku, kes yang tidak dapat dielakkan dan amat sukar untuk mencapai keadilan yang haqiqi. Maka itu, para peserta dan pengelola mesti sedar dan ada sikap saling meredhoi ini. Kalau pun tidak disebut, hal sebegini sepatutnya sudah diketahui.

Tidak perlulah ke tahap berteoritikal mendalam-dalam sesedap rasa sehingga tanpa malu lagi dengan menjelaskan kepada umum sikap terlalu berkira, hasad dan tamak haloba. Menyerlahkan sangat bahawa buat qurban itu sebenarnya mahukan daging. Sikap ini amat bertentangan dengan syi’ar ibadah qurban. Peganglah kepada prinsip paling asas : qurban itu dilakukan kerana Allah Swt. semata-mata dan, mana-mana yang lebih banyak memberi manfaat kepada manusia lain, itulah yang lebih baik.

Sebagai langkah penambahbaikan, dicadangkan supaya setiap penganjur/pengelola membuat ketetapan khusus tentang syarat-syarat serta tatacara pengurusan dan pengagihan qurban dibuat, serta dijelaskan semua itu dari awal lagi kepada semua peserta (bukan seqadar kutip, anjur pesta sahaja). Atau pun, sesuatu persetujuan bersama dibuat terlebih dahulu dengan semua peserta, bukannya berbalah di saat akhir dihadapan orang banyak. Ini disebabkan perlaksanaan qurban ini dilakukan secara umum, yang menuntut kemaslahatan umum itu dijaga. Sekiranya para peserta merasakan semua itu adalah harta meredak dia yang mahu dibolot semua, baik sekali semua pengurusan qurban itu dia buat sendiri, jangan libatkan orang ramai. InsyaAllah menerusi cara ini, keributan sebegini yang berlaku akan dapat dielakkan di masa depan.

Bagi soalan no. 3, cukup saya ulangi kalamullah berikut sebagai jawabnya :

“Kamu sekali-kali tidak akan memperolehi kebajikan sehingga kamu membelanjakan sebahagian dari harta yang kamu cintai, dan apa saja yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui”.
Surah Aali Imran (3) : ayat 92

“Daging dan darah binatang qurban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang melakukan kebaikan.”
Surah Al Hajj (22) : ayat 37

Maka lakukanlah ibadah qurban berlandaskan ilmu yang haq, bukan seqadar ikut-ikutan. Diperingatkan, melakukan qurban hanyalah sunnat muakkad, tetapi berilmu tentang qurban itu adalah wajib ke atas tiap ummat Muslimin. Inilah hal yang sangat banyak manusia salah fahaman. Kepeningan seperti yang disoalkan ini tidak akan terjadi jika manusia melakukan ibadah qurban dengan ilmu.

Justeru itu, berbuatlah qurban dengan benar-benar ikhlas, demikianlah yang dituntut oleh Allah Swt, :

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Wahai sekalian manusia! Sekiranya kamu menaruh syak tentang kebenaran agamaku, maka (ketahuilah) aku tidak menyembah makhluk-makhluk yang kamu menyembahnya yang lain dari Allah, tetapi aku hanya menyembah Allah yang akan mematikan kamu (untuk menerima balasan); dan aku diperintahkan supaya menjadi dari golongan yang beriman.
Serta (diwajibkan kepadaku) : Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang musyrik."
Surah Yunus (10) : ayat 104-105

Dan sesiapa yang melanggar hak keikhlasan ini, Allah Swt. telah menyatakan ancaman :

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu".
Surah Yunus (10) : ayat 108

Setakat ini maklumbalas yang dapat saya berikan. Moga memberi manfaat dan pedoman dalam menjalankan ibadah qurban. Saya mohon ribuan kemaafan sekiranya ada kata-kata dan komentar yang kurang disenangi.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Read more...