السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Moga tuan ustaz Mad dalam suasana ok saja. Alhamdulillah kita sudah pun menyambut Aidil Adha, Selamat untuk syeikh taqobalAllahu minni wa minkum, minna wa minkum taqobbal ya kariim. Lama dah kita tak jumpa, nak pi kuliah pun saya takdan, insyaAllah nanti kita jumpa.
Saya nak bertanya sikit nih pasal hal korban yang dibuat semalam. Ada cerita pelik-pelik terjadi masa sembelihan yang buat ramai orang pening semalam. Macam-macam orang dok cakap termasuklah antaranya saya sendiri lah. Begini yang nak dikisahkan,
1. Semasa sembelihan dan prosesnya ramai la orang yang tolong menolong. Tapi peliknya kali ni, peserta korban ambil balik ke rumah bahagian masing-masing. Adalah 2 orang yang berikan sedikit kepada orang ramai, tapi tak cukuplah dan ramai orang tak dapat termasuklah orang yang dok tolong proses tu pun tak dapat. Kecoh la apa lagi.
Nak tanya nih, adakah bahagian korban ni untuk peserta korban tu bawa balik makan sendiri saja kah? Macam tu ka ajaran Islam?
2. Para peserta tentu sekali yang perempuan sangat berkira sampai terkeluar ayat-ayat tidak bagus, semua perkara nak bagi sama betul-betul, semua nak kena potong cincang jadi kecil-kecil supaya boleh ditimbang. Beza dalam gram pun depa dok bising. Kecoh la orang yang dok buat kerja pasal kena arah itu ini macam kuli batak. Lepas tu peserta angkat semua bawa balik, tak teringin pun nak bagi sikit sebagai saguhati ka kepada orang buat kerja. Lagi la kecoh.
3. Dalam kalangan peserta korban tu ada pulak yang berbunyi kurang senang kerana jumlah yang didapati sikit, tak padan dengan bayaran RM500 satu bahagian. Kalau beli kat market pun dapat lebih banyak pada harga yang sama.
Yang lagi satu nih, ada sahabat suruh tolong tanya hukum hal yang berlaku kat surau tempat dia
4. Surau mereka dapat 2 ekor lembu untuk buat korban. Satu ekor sumbangan sebuah syarikat dan lagi satu ekor sumbangan ahli parlimen, tapi dia tu bukan Islam. Sembelihan dan proses dah selesai semalam, cuma la ni diorang dah tertanya hukum korban tu. Dan ada juga berbunyi itu ini dari orang berbeza parti dengan ahli parlimen itu.
Harap al fadhil ustaz dapat membantu memberi penjelasan. Lebih cepat lebih baiklah.
Terima kasih, Wassalam
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan artikel jawaban ini.
Terima kasih kerana konsisten bertanya soalan hal yang pelik-pelik. InsyaAllah saya akan cuba menjawab setakat yang termampu dan yang diketahui. Didapati langsung tiada masalah hukum dalam soalan 1 dan 2. Yang ada hanyalah alkisah perangai manusia sebahagian ummat Muslimin masakini yang menimbulkan masalah. Maka itu, baiklah Tuan juga turut menjaga mulut lidah dari seolah-olah mempertikaikan syari’at Islam itu sendiri sedangkan yang menimbulkan masalah itu adalah perangai dan tingkahlaku ummatnya yang tidak mahu menuruti landasan syari’at, bukan Islam itu sendiri yang bermasalah.
Saya sebutkan ini kerana ada rasa kurang senang dengan sedikit ayat yang Tuan tuliskan. Diharapkan Tuan benar-benar jelas perkara ini. Ia adalah 2 hal berbeza seumpama langit dengan bumi. Janganlah kita ummat Muslimin sendiri terikut-ikut dengan perangai hasad melulu manusia kafiriin yang sering menuduh dan asyik memburukkan syari’at Islam atas sebab yang Islam itu sendiri langsung tidak ada kena mengena dengannya.
Saya mahu menjawab soalan no. 4 terlebih dahulu berkenaan status qurban oleh syarikat dan sumbangan oleh bukan Islam. Hal ini melibatkan implikasi hukum.
Saya mendapati sekarang ini semakin banyak pula golongan yang turut mahu membuat qurban. Maqsud saya adalah para pemilik, pengurusan atau ketua yang menggerakkan entity bukan manusia itu. Dari satu segi ia amat bagus kerana memberitahu bahawa kesedaran untuk melakukan ibadah qurban semakin berkembang dan lebih ramai manusia mendapat kebaikan daripada hasil qurban itu. Tentu sekali kerana entity sebegini jelas lebih berkemampuan berbanding individu.
Namun begitu, sebagai suatu ibadah berlandaskan ketetapan syari’at, hal hukuman mengikut syari’at wajib diperhatikan terhadap perbuatan sebegini. Justeru, ia bukanlah suatu ibadah yang boleh diperbuat sesuka hati dan sesedap rasa.
Sesungguhnya semua bentuk dalil suruhan atau perintah melaksanakan ibadah qurban dari Allah Swt. dan rasul-Nya terjatuh kepada hanya individu Muslimin dan tidak kepada selain itu. Ia berbeza dengan zakat (perniagaan) dan tidaklah boleh diqiyaskan amalan ibadah qurban ini dengan amalan zakat itu. Individu Muslimin itu pun mestilah yang hayat dan mematuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan.
Sehubungan dengan itu, sumbangan oleh entity bukan individu tetap jua berupa suatu kebaikan yang insyaAllah akan diberikan ganjaran pahala dan kemuliaan kepada sesiapa yang terlibat. Cuma status qurban itu tidak berlaku kerana tidak memenuhi syarat yang tetap yaitu seorang individu Muslimin. Ia hanyalah berstatus sembelihan biasa bukan qurban dan boleh diagihkan hasilnya kepada orang-orang sebagai sadaqah atau hadiah.
Hadiah/sumbangan dari bukan Islam untuk disembelih juga boleh diterima. Namun dari segi hukum, ia adalah bukan status qurban jua tetapi hanyalah sembelihan biasa kerana tidak memenuhi syarat yaitu penyumbang itu bukan individu Muslimin. Hasilnya boleh diagihkan kepada orang-orang.
Cakap-cakap kosong disertai segala macam prasangka hal parti itu, buangkan saja ke longkang. Tak perlulah kita yang sedia meraba-raba ini menjuruskan diri ke tahap bertingkat-tingkat kejahilan diikuti dosa pula dengan meneka-neka apa yang ada dalam isi hati orang lain.
Semoga jawaban ringkas dalam hal ini difahami.
Dalam hal soalan 1 dan 2, ia bukan bukan persoalan hukum tetapi hal pengagihan daging qurban. Hal pengagihan inilah yang menjadi isu yang kecoh tu. Baik sekali saya mulakan dengan prinsip paling asas.
Rasulullah Saw. bersabda : Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidil Adha melainkan ibadat qurban. Sesungguhnya binatang yang diqurbankan itu akan datang pada hari qiyamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat qurban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan redha akan ibadat qurban yang kamu lakukan.
Hadis riwayat imam At-Tirmidzi Rhm.
Apa yang dituntut daripada ibadat qurban ialah keredhaan dan lapang dada untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut, suka-suka atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukanlah daging, atau binatang qurban itu, akan tetapi ketaqwaan yang mendorong kita melakukan ibadah itu. Itulah yang dinyatakan oleh Allah Swt. :
“Daging dan darah binatang qurban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan.”
Surah Al Hajj (22) : ayat 37
“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan qurban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima qurban daripada orang yang bertaqwa.”
Surah Al Maidah (5) : ayat 27
Kalamullah dan sabdaan ini memberitahu bahawa kita perlu benar-benar ikhlas hati dan tunduk patuh kepada-Nya, dalam rangka melaksanakan ibadah qurban kepada Allah Swt. Dan ikhlas dan taqwa benar itu terbukti dengan membetulkan niyat dan melakukan ibadah qurban mengikut tatacara syari’at yang benar. Hasrat ikhlas dan taqwa tidak akan tercapai sekiranya niyat dan tatacara perlaksanaan tidak mengikut ketetapan Allah dan rasul-Nya.
Justeru itu, semua yang terlibat dalam hal perlaksanaan qurban ini bermula dari peserta qurban sehinggalah orang yang mengelolakannya, mesti ingat benar-benar bahawa semua yang mereka buat adalah atas dasar ikhlas dan taqwa kepada Allah semata-mata. Yang mampu dan berkesempatan mengeluarkan binatang qurban, yang tidak berkesempatan dan tidak mampu pula mengeluarkan masa, usaha dan tenaga untuk turut menjayakan qurban itu. Yang duduk santai depan tv, lepak bawah khemah atau borak kosong bawah pokok, maka jawab sendirilah di hadapan mahkamah Allah Ta’ala nanti.
InsyaAllah, sekiranya semua orang boleh beraqidah sebegini, tidak terjadilah keluh kesah seperti yang ditanyakan. Hal dapat tak dapat daging hal kecil sahaja kerana taqwa kepada Allah Swt. itulah yang utama, malah tujuan terlbat dalam ibadah qurban itu pun bukan kerana mahukan daging.
Terlalu luhur dan ideal sangat nampaknya kalam sebegini. Secara konsep ia benar tulus namun secara realiti perlaksanaan, pasti sukar sekali kerana apa yang ada dalam hati manusia, hanya Allah dan rasul-Nya sahaja yang tahu.
Penyerahan/pengagihan paling agung dalam ibadah qurban adalah kepada Allah dan diambil oleh Allah juga. Demikianlah yang berlaku kepada Habil yang mana penyerahan qurbannya diambil langsung oleh Allah menerusi pancaran kilat. Namun kepada kita ummat Muhammad Saw. suasana syari’atnya berbeza. Perbuatan paling asas dan dasar kepada pengagihan hasil qurban adalah dicontohkan oleh Nabi Saw. sendiri yaitu menyerahkan seluruhnya kepada manusia.
“Bahawa Ali bin Ali Tholib Rhu. mengatakan : Nabi Saw. memerintahkan aku untuk mengurusi haiwan qurban Baginda, dan Baginda menyuruh agar membahagikan semua daging, kulit dan kainnya kepada faqir miskin dan tidak memberikan sesuatu apa pun daripada bahagian haiwan qurban itu kepada tukang sembelih (sebagai upahnya).”
Hadis riwayat imam Muslim Rhm. no. 3170
Secara peribadi, saya berpendirian inilah cara yang paling tepat mendzahirkan maqsud ibadah qurban itu ya’ni dengan menyerahkan semua sekali kepada manusia. Namun begitu, peserta qurban boleh mengambil sedikit untuk dimakan lantaran ada hadis lain menyebutkan yang Nabi Saw. ada berbuat begitu. Disamping itu, terdapat beberapa hadis lain yang mengkisahkan : boleh menyimpan lebih dari 3 hari, boleh dibuat bekal perjalanan, sebahagian dimasak untuk kenduri dan sebahagian diserahkan kepada faqir miskin.
Oleh kerana itu, sebagai mengkompromikan kepelbagaian keadaan ini, kebanyakan para ulama dan fuqaha’ (seperti madzhab Hanafi, madzhab Maliki dan madzhab Hanbali, lihat kitab Al Fiqh Ala Al Madzahib ul Arba’ah, jilid 1 halaman 624-626), menyimpulkan pembahagian daging qurban menjadi tiga bahagian: 1/3 untuk peserta qurban beserta keluarganya, 1/3 untuk faqir miskin dan 1/3 untuk manusia secara umum, baik kaya atau miskin (atau boleh juga dalam bentuk kenduri). Lihat perkataan semisal oleh As Sayyid Sabiq Rhm. dalam Fiqh As Sunnah jilid 2 halaman 36-37, imam As San’ani Rhm. dalam Subulus Salam jilid 7 halaman 420, Syaikh Muhammad bin Solih Ibnu Utsaimin Rhm. dalam Talkish Kitab Ahkam ul Udhhiyah wa adh-Dhakah halaman 33-35 dan Syaikh Abu Bakar bin Jabir Al Jaza’iri dalam Minhajul Muslim halaman 341.
Ketetapan ini mempunyai dasar yang antaranya :
1. Bagi peserta qurban disyari’atkan untuk makan sebahagian daging binatang qurbannya. Hal ini berdasarkan perintah Allah Swt. dalam al-Qur’an : “Maka makanlah sebahagian (dagingnya) dan berilah makan orang yang tidak meminta-minta dan orang yang meminta-minta”. Surah Al Hajj (22) :ayat 36.
2. Dibahagikan kepada faqir miskin, sebagaimana dalam sebuah hadis : “Makanlah, simpanlah dan sedekahkanlah (daging qurbanmu)”. Hadis riwayat imam Muslim Rhm. no 2930.
3. Dihadiahkan kepada kaum Muslimin, baik kaya ataupun miskin, seperti tetangga dan kerabatnya. Hal ini didasari oleh sebuah hadits : “Maka makanlah sebahagian (dagingnya) dan berilah makan (manusia) dan simpanlah”. Hadis riwayat imam Bukhari Rhm. no 5567. Syaikh Ibnu Utsaimin Rhm. berkata : perkataan Nabi Saw. “berilah makan (manusia)” mencakup dua perkara, yaitu memberi hadiah orang-orang yang kaya dan bersadaqah kepada orang-orang miskin.
Oleh yang demikian, kepada peserta qurban serta seluruh ummat Muslimin, fahamilah keadaan ini dengan sebenar-benarnya. Paling benar adalah serahkan semuanya kepada manusia dengan diambil makan sedikit atau pun dibahagi 3, yang mana hak untuk diambil oleh peserta qurban hanyalah 1/3 dan selainnya diserahkan kepada manusia. InsyaAllah, sekiranya tatacara pembahagian dan pengagihan ini difahami dan dipatuhi, tiadalah kecoh dan rasa kurang senang seperti yang berlaku.
Bertahun-tahun saya terlibat dalam sembelihan dan kelolaan qurban, saya dapati trend peserta qurban membawa balik semua bahagian ini dah makin berkembang. Tahun ini saya melihat sendiri dan terlibat dengan kes para peserta membawa balik semua bahagian (kecuali kepala, kulit dan tapak kaki) tanpa diberikan sedikit pun kepada khalayak yang hadir, sama ada memeriahkan atau pun turut membantu. Saya juga membaca dari blog, serta dimaklumkan menerusi applikasi wasapp/telegram, ada sekumpulan warga Bangladesh yang dihalau pulang semasa hadir ke majlis sembelihan qurban. Sungguh amat menjengkelkan dan ini adalah satu virus pemusnah kesucian ibadah qurban. Tiada lain ini berpunca dari kejahilan dalam asas ibadah qurban dan kurang penghayatan terhadap syi’arnya.
Dalam kes semasa, sembelihan dari sumbangan entity bukan individu, diserahkan semuanya kepada khalayak, sedangkan sembelihan peserta individu diambil balik olehnya.. Dikhuatiri suatu ketika nanti, sumbangan entity bukan manusia ini yang akan dikerjakan orang banyak lantaran boleh mendapat hasilnya secara bersama dan kemaslahatan umum itu terjaga. Manakala qurban individu atau jama’ie kena buat sendirilah semuanya oleh peserta. Keadaan sebegini menjadikan hasrat murni ibadah qurban tidak akan terjadi.
Pembahagian mengikut jumlah peserta itu mesti dibuat (misalnya 7) apabila ia dikehendaki oleh para peserta terlibat. Namun ia mesti juga diikuti dengan hasrat saling meredhoi dan saling menghalalkan. Hal ini diperjelaskan berikutan perkara kurang lebih dalam pembahagian pasti berlaku, kes yang tidak dapat dielakkan dan amat sukar untuk mencapai keadilan yang haqiqi. Maka itu, para peserta dan pengelola mesti sedar dan ada sikap saling meredhoi ini. Kalau pun tidak disebut, hal sebegini sepatutnya sudah diketahui.
Tidak perlulah ke tahap berteoritikal mendalam-dalam sesedap rasa sehingga tanpa malu lagi dengan menjelaskan kepada umum sikap terlalu berkira, hasad dan tamak haloba. Menyerlahkan sangat bahawa buat qurban itu sebenarnya mahukan daging. Sikap ini amat bertentangan dengan syi’ar ibadah qurban. Peganglah kepada prinsip paling asas : qurban itu dilakukan kerana Allah Swt. semata-mata dan, mana-mana yang lebih banyak memberi manfaat kepada manusia lain, itulah yang lebih baik.
Sebagai langkah penambahbaikan, dicadangkan supaya setiap penganjur/pengelola membuat ketetapan khusus tentang syarat-syarat serta tatacara pengurusan dan pengagihan qurban dibuat, serta dijelaskan semua itu dari awal lagi kepada semua peserta (bukan seqadar kutip, anjur pesta sahaja). Atau pun, sesuatu persetujuan bersama dibuat terlebih dahulu dengan semua peserta, bukannya berbalah di saat akhir dihadapan orang banyak. Ini disebabkan perlaksanaan qurban ini dilakukan secara umum, yang menuntut kemaslahatan umum itu dijaga. Sekiranya para peserta merasakan semua itu adalah harta meredak dia yang mahu dibolot semua, baik sekali semua pengurusan qurban itu dia buat sendiri, jangan libatkan orang ramai. InsyaAllah menerusi cara ini, keributan sebegini yang berlaku akan dapat dielakkan di masa depan.
Bagi soalan no. 3, cukup saya ulangi kalamullah berikut sebagai jawabnya :
“Kamu sekali-kali tidak akan memperolehi kebajikan sehingga kamu membelanjakan sebahagian dari harta yang kamu cintai, dan apa saja yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui”.
Surah Aali Imran (3) : ayat 92
“Daging dan darah binatang qurban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang melakukan kebaikan.”
Surah Al Hajj (22) : ayat 37
Maka lakukanlah ibadah qurban berlandaskan ilmu yang haq, bukan seqadar ikut-ikutan. Diperingatkan, melakukan qurban hanyalah sunnat muakkad, tetapi berilmu tentang qurban itu adalah wajib ke atas tiap ummat Muslimin. Inilah hal yang sangat banyak manusia salah fahaman. Kepeningan seperti yang disoalkan ini tidak akan terjadi jika manusia melakukan ibadah qurban dengan ilmu.
Justeru itu, berbuatlah qurban dengan benar-benar ikhlas, demikianlah yang dituntut oleh Allah Swt, :
“Katakanlah (wahai Muhammad) : Wahai sekalian manusia! Sekiranya kamu menaruh syak tentang kebenaran agamaku, maka (ketahuilah) aku tidak menyembah makhluk-makhluk yang kamu menyembahnya yang lain dari Allah, tetapi aku hanya menyembah Allah yang akan mematikan kamu (untuk menerima balasan); dan aku diperintahkan supaya menjadi dari golongan yang beriman.
Serta (diwajibkan kepadaku) : Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang musyrik."
Surah Yunus (10) : ayat 104-105
Dan sesiapa yang melanggar hak keikhlasan ini, Allah Swt. telah menyatakan ancaman :
“Katakanlah (wahai Muhammad) : Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu".
Surah Yunus (10) : ayat 108
Setakat ini maklumbalas yang dapat saya berikan. Moga memberi manfaat dan pedoman dalam menjalankan ibadah qurban. Saya mohon ribuan kemaafan sekiranya ada kata-kata dan komentar yang kurang disenangi.
والله تعالى أعلم , وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan