Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.
Khamis, 6 November 2014
Hak Waris Zawil Arham (Siri 1)
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.
Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.
“Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris mewarisi) dalan Kitab Allah dari terdahulu lagi pertama-tama (masuk Islam) daripada orang-orang Mu’min dan orang-orang Muhajirin keculi kamu berbuat baik kepada saudara-saudara kamu (seagama). Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah).”
Surah Al Ahzab ( ) : ayat 6
Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.
Muqaddimah/Prakata
Saya mendapat beberapa pertanyaan berkenaan hukum warisan apabila seseorang meninggal tanpa meninggalkan Ashabul Furudh atau pun Asabah. Dalam amalan biasa dalam negara kita (mengikut enakmen keluarga Islam negeri-negeri juga persekutuan), apabila terjadi keadaan sebegitu, segala harta akan diserahkan kepada Baitumal. Lebih banyak lagi, berdasarkan akta-akta semasa diserahkan kepada sebuah badan amanah atas alasan sebagai pentadbirurus untuk diagihkan kepada waris-waris. Namun banyak kes yang tidak terselesaikan bertahun-tahun, harta pun bertambun-tambun mencapai nilai puluhan billion, sehingga tiada apa pun memberi manfaat kepada para waris atau pun ummat Muslimin melainkan badan itulah yang semakin mewah dan kaya raya.
Ada beberapa yang merujuk kepada beberapa kes di negara ummat Islam lain disebabkan dia berasa pelik, setelah mendapati tidak sama dengan amalan biasa di Malaya ini. Penelitian saya mendapati negara tersebut mengamalkan sistem adanya pewarisan kategori ke 3 yaitu Dzawil Arham. Disitulah terletak punca berbeza amalan diantara negara. Perwarisan kategori ke 3 ini hampir-hampir tidak dikenal oleh ummat Muslimin di Malaya lantaran amalan perundangan yang berladaskan fiqh mazhab imam Asy Syafi’ie memang tidak mengiktiraf adanya hak menerima warisan oleh golongan dzawil arham.
Dalam beberapa siri kuliyah terdahulu, saya ada menyebut dan mencatatkan bahawa dzawil arham wujud sebagai waris kategori ke 3. Jamaah yang hadir dalam kuliyah itu insyaAllah telah mendapat sedikit kefahaman serta serba sedikit perbahasan. Hanya terdapat sedikit sahaja yang saya tulis sebelum ini yang memerlukan penjelasan lebih lengkap. InsyaAllah, nukilan selanjutnya akan menjelaskan perkara ini. Moga memberi manfaat kepada para jamaah dan pembaca.
Definisi Zawil Arham
Secara lughah (bahasa) : Asas perkataannya adalah Zu al Arham. Lafadz Zu disini membawa maqsud hubungan. Arham pula adalah bentuk jamak dari kata mufrad rahmun/rahim, yang asalnya dalam bahasa Arab berarti “tempat pembentukan/menyimpan janin dalam perut ibu”. Kemudian dikembangkan menjadi qarabah/pertalian keluarga (kerabat), baik datangnya dari pihak ayah atau pun dari pihak ibu. Ini disebabkan asal muasalnya dari rahim itulah mulanya semua mereka berkumpul. Dengan demikian, lafadz rahim tersebut umum digunakan dengan makna kerabat, baik dalam bahasa Arab atau pun dalam isthilah syari’at Islam. Maka, lafadz zawil arham ini adalah merujuk kepada hubungan talian kekeluargaan (kerabat) yang berasal dari satu rahim.
Secara isthilah (syara’) : Ada pun yang dimaqsud dengan zawil arham pada ilmu faraaidh ini adalah setiap kerabat pewaris (simati) yang tidak termasuk dalam kategori waris no. 1 :Ashabul Furudh dan waris no. 2 : Asabah. Dalam arti kata lain, setiap ahli keluarga yang mempunyai hubungan talian kekeluargaan dengan pewaris (simati) dan berhak menerima warisan, cuma tidak mewarisi melalui jalan ashabul furudh atau pun asabah, maka mereka adalah zawil arham. Secara paling mudah, mereka wujud dari jalur perempuan.
Dasar/dalil kepada hukum yang menjelaskan bahawa zawil arham adalah berhak mewarisi harta pewaris yaitu kalamullah :
”Bagi orang lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya ……....” Surah An Nisaa’ ( ) : ayat 7
“orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
Surah Al Anfal ( ) : ayat 75.
Golongan Waris Zawil Arham
Waris-waris zawil arham adalah seperti berikut :
a. Anak-anak sama ada lelaki atau perempuan kepada anak perempuan dan seterusnya.
b. Anak-anak sama ada lelaki atau perempuan kepada saudara perempuan sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
c. Anak perempuan kepada saudara-saudara lelaki sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
d. Anak perempuan kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa, sebapa atau seibu.
e. Bapa saudara sebelah bapa seibu.
f. Bapa saudara sebelah ibu sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
g. Ibu saudara sebelah ibu sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
h. Ibu saudara sebelah bapa sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
i. Datuk yang tidak sahih seperti bapa kepada ibu dan seterusnya.
j. Nenek yang tidak sahih iaitu hubungannya dengan si mati diselangi oleh datuk yang tidak sahih seperti ibu kepada bapa kepada ibu.
k. Anak lelaki kepada saudara lelaki atau perempuan seibu.
Semua waris yang dinyatakan di atas merupakan waris-waris zawil arham yang tidak dinyatakan bahagian mereka daripada harta pusaka. Golongan waris ini jika dibenarkan mendapat harta pusaka, maka mereka adalah waris-waris yang terakhir sekali iaitu setelah tidak ada lagi waris ashabul furudh dan asabah kecuali suami atau isteri. Walau bagaimanapun, mereka merupakan waris yang dekat hubungannya dengan si mati dari segi darjat hubungannya.
Perlaksanaan Perwarisan Kepada Zawil Arham
Waris zawil arham ini adalah mereka yang tidak memiliki fardhu-fardhu (ketentuan bahagian/hak) yang ditetapkan dalam Al Qur’an dan As Sunnah, maka sekaligus bukan dari kumpulan ashabul furudh atau asabah yang telah ada fardhunya. Mereka hanya layak mendapatkan bahagaian waris apabila pewaris tiada mempunyai ashabul furudh dan/atau pun asabah. Sekiranya ada, mereka waris zawil arham ini telah terlindung (mahjub) dari mendapatkan warisan. Para pelindung itu (hijab) adalah ashabul furudh dan asabah.
Pendapat Beberapa Imam Muktabar Tentang Dzawil Arham
Para imam mujtahid berbeza pendapat dalam masalah hak waris zawil arham, sama halnya dengan perbedaan pendapat yang terjadi di kalangan para sahabat Rasulullah Saw.. Dalam hal ini, ada 2 pendapat :
1. Golongan pertama berpendapat bahawa zawil arham atau para kerabat jenis ini tidak berhak mendapat waris. Mereka mengatakan bahawa bila harta waris tidak ada ashabul furudh dan/atau asabah, maka harta itu diserahkan kepada baitulmal, disalurkan demi kepentingan masyarakat Islam pada umumnya. Dengan demikian, tidak dibenarkan jika harta tersebut diberikan kepada zawil arham. Di antara mereka yang berpendapat demikian ialah Zaid bin Tsabit Rhu. dan Ibnu Abbas Rhu. dalam sebahagian riwayat darinya, dan juga merupakan pendapat dua imam, yaitu Malik dan Syafi'ie Rhm.
2. Golongan kedua berpendapat bahawa zawil arham berhak mendapat waris, bila tidak adanya ashabul furudh dan/atau asabah. Mereka berpendapat bahawa zawil arham lebih berhak untuk menerima harta waris dibandingkan baitulmal, sebab zawil arham memiliki kekerabatan dengan pewaris. Pendapat ini merupakan jumhur ulama, di antaranya Umar bin Khathab, Ibnu Mas'ud dan Ali bin Abi Tholib. Juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal Rhm.
Landasan Dalil Golongan Pertama
1. Asal pemberian hak waris/asal penerimaan hak waris adalah dengan adanya nas dari Al-Qur'an atau as-Sunnah. Dan dalam hal ini tidak ada satu pun nas yang pasti dan kuat yang menyatakan wajibnya zawil arham untuk mendapat waris. Jadi, bila kita memberikan hak waris kepada mereka (zawil arham) berarti kita memberikan hak waris tanpa dilandasi dalil yang pasti dan kuat.
2. Dari hadis yang diriwayatkan Said bin Mansur, disebutkan bahawa Rasulullah Saw. ketika ditanya tentang hak waris ibu saudara dari garis ayah mahu pun ibu, Baginda menjawab : Sesungguhnya Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa dari keduanya tidak ada hak menerima waris sedikit pun. Hadis ini ditahqiq oleh Habib al-A'dzamiy dengan mengatakan : Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dalam kitab Marasil-nya dari jalur Abdullah bin Salamah dari Abdul Aziz bin Muhammad, seperti tersebut juga dalam kitab karya Baihaqi (VI/212).” Maka jika keduanya tidak berhak untuk menerima harta waris, zawil arham malah yang lain pun demikian.
3. Anak perempuan dari saudara lelaki kandung, yang ada bersama anak lelaki dari saudara lelaki kandung, tidak berhak mendapatkan apa pun, hanya anak lelaki dari saudara lelaki kandung yang mendapatkan warisan. Begitu pula ibu saudara dari pihak ayah, yang ada bersama bapa saudara dari pihak ayah, tidak dapat menerima warisan. Terlebih lagi jika ibu saudara hanya seorang diri (tidak bersama bapa saudara), ia tidak boleh mendapatkan warisan.
4. Dalam qaidah usul fiqih, telah ditegaskan bahawa kemaslahatan umum harus lebih diutamakan daripada kemaslahatan pribadi. Harta peninggalan, bila ternyata tidak ada ahli warisnya secara sah dan benar, baik dari ashabul furudh-nya dan/atau asabahnya, bila diserahkan ke baitulmal akan dapat mewujudkan kemaslahatan umum, sebab umat Islam akan ikut merasakan faedah dan kegunaannya. Namun sebaliknya, bila diserahkan kepada kerabatnya, maka kegunaan dan faedahnya akan sangat minimum, dan hanya kalangan mereka saja yang merasakannya. Dengan demikian, baitulmal lebih diutamakan untuk menyimpan harta waris yang tidak ada ashabul furudh dan asabahnya daripada zawil arham.
Dalam kes amalan di negara kita, selaras dengan penetapan fiqh mazhab Asy Syafi’ie sebagai rujukan, maka pendapat golongan pertama ini yang digunapakai.
Landasan Dalil Golongan Kedua
Ada pun golongan kedua, yakni Imam Abu Hanifah dan Ahmad Rhm. menyatakan bahawa zawil arham berhak mendapatkan waris, mereka mendasari pendapatnya itu berdasarkan ayat Al-Qur'an : Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Surah Al-Anfal (X) : ayat 75
Makna yang mendasar dari dalil ini ialah bahawa Allah Swt. telah menyatakan dalam Kitab-Nya bahawa para kerabat lebih berhak untuk mendapatkan/menerima hak waris daripada yang lain. Disini, lafadz arham yang berarti kerabat adalah umum, termasuk ashabul furudh, asabah, serta selain keduanya. Pendek kata, makna kata itu mencakupi kerabat yang mempunyai hubungan rahim dan/atau hubungan darah.
Ayat tersebut seolah-olah menyatakan bahawa yang disebut kerabat, siapa pun mereka, baik ashabul furudh, asabah, atau selain dari keduanya, merekalah yang lebih berhak untuk menerima hak waris berbanding yang bukan kerabat ya’ni baitulmal. Bila pewaris mempunyai kerabat dan kebetulan ia meninggalkan harta, maka berikanlah harta pewaris itu kepada kerabatnya dan janganlah mendahulukan yang lain. Jadi, atas dasar inilah maka para kerabat lebih berhak untuk menerima hak waris daripada baitulmal.
Hal ini juga berdasarkan firman-Nya yang lain : Bagi laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi wanita ada hak bahagian (pula) dan harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan. Surah an-Nisa' ( ) : ayat: 7. Melalui ayat ini Allah Swt. menyatakan bahawa qaum lelaki dan wanita mempunyai hak untuk menerima warisan yang ditinggalkan kerabatnya, baik sedikit atau banyak. Seperti yang disepakati oleh jumhur ulama’ bahawa yang dimaqsud dengan zawil arham adalah para kerabat. Maka itu, mereka berhak untuk menerima warisan.
Kemudian sebagaimana dinyatakan oleh majority ulama’ bahawa ayat di atas telah menghapus kebiasaan pada awal munculnya Islam, dimana pada masa itu qaum Muslimin saling mewarisi disebabkan menolong dan hijrah. Dengan turunnya ayat ini, maka yang dapat saling mewarisi hanyalah antara sesama kerabat (zawil arham). Oleh itu, para kerabatlah yang paling berhak untuk menerima harta peninggalan seorang pewaris.
Adapun dalil dari al-hadis adalah ketika Tsabit bin ad-Dahjah meninggal dunia, maka Rasulullah Saw. bertanya kepada Qais bin Ashim : Apakah engkau mengetahui nasab orang ini? Qais menjawab : Yang kami ketahui orang itu dikenal sebagai asing nasabnya, dan kami tidak mengetahui kerabatnya, kecuali hanya anak lelaki dari saudara perempuannya, yaitu Abu Lubabah bin Abdul Mundir." Kemudian Rasul Saw. pun memberikan harta warisan peninggalan Tsabit kepada Abu Lubabah bin Abdul Mundzir.
Anak saudara lelaki dari anak saudara perempuan tidak lain hanyalah merupakan kerabat, yang bukan dari ashabul furudh dan bukan pula termasuk asabah. Dengan pemberian Rasulullah Saw. akan hak waris kepada zawil arham menunjukkan dengan tegas bahawa para kerabat berhak menerima harta waris apabila ternyata pewaris tidak mempunyai ashhabul furudh yang berhak untuk menerimanya atau para ashabah.
Dalam satu atsar diriwayatkan dari Umar bin Khathab Rhu. bahawa ketika Abu Ubaidah bin Al Jarrah mengajukan persoalan kepada Umar, Abu Ubaidah menceritakan bahawa Sahal bin Hunaif telah meninggal kerana terkena anak panah yang dilepaskan seseorang. Sedangkan Sahal tidak mempunyai kerabat kecuali hanya bapa saudara dari pihak ibunya. Umar menanggapi masalah itu dan memerintahkan untuk memberikan harta peninggalan Sahal kepada bapa saudaranya itu. Kata Umar : Kerana sesungguhnya aku telah mendengar bahawa Rasulullah Saw.. bersabda : Saudara lelaki ibu adalah ahli waris bagi mayit yang tidak mempunyai keturunan atau kerabat yang berhak untuk menerimanya. Dia juga yang membayarkan diyatnya dan mewarisinya." Hadis riwayat imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah Rhm.
Atsar ini, yang di dalamnya Umar al-Faruq memberitakan sabda Rasulullah Saw., merupakan dalil yang kuat bahawa kerabat lebih berhak menerima harta pewaris berbanding baitulmal. Kalaulah baitulmal lebih berhak untuk menampung harta peninggalan yang tidak mempunyai waris (ashabul furudh dan/atau asabah), maka Umar bin Khathab pasti tidak akan memerintahkan kepada Abu Ubaidah Ibnu Al Jarrah untuk memberikan kepada bapa saudara Sahal tersebut. Sebab, Umar bin Khathab Rhu. adalah seorang khalifah Islam yang dikenal sangat mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi. Ini terbukti seperti yang banyak dikisahkan dalam kitab-kitab sejarah.
Nota : atsar ini memberitahu hukuman bahawa waris zawil boleh mengambil tempat apabila tiadanya ashabul furudh dan/atau asabah.
Ada pun secara logika, sesungguhnya para kerabat jauh lebih berhak untuk menerima harta warisan daripada baitulmal. Alasannya, kerana ikatan antara baitulmal dan pewaris hanya dari satu arah, yaitu ikatan Islam, kerana pewaris seorang Muslim. Berbeza halnya dengan seseorang yang memiliki hubungan kekerabatan dengan pewaris, dalam hal ini ia mempunyai dua ikatan ya‘ni ikatan Islam dan ikatan rahim.
Oleh itu, ikatan dari dua arah sudah tentu akan lebih kuat berbanding ikatan satu arah. Permasalahan ini sama seperti dalam kes adanya saudara lelaki kandung dengan saudara lelaki seayah dalam suatu keadaan pembahagian harta waris, yang dalam hal ini seluruh harta waris menjadi hak saudara lelaki kandung. Sebab, ikatannya dari dua arah, dari ayah dan dari ibu, sedangkan saudara seayah hanya dari ayah.
Di samping itu, kelompok kedua (jumhur ulama) ini menyanggah dalil yang dikemukakan oleh Imam Malik dan Imam Syafi'ie Rhm. bahawa hadis itu kemungkinan ada sebelum turunnya ayat di atas. Atau, mungkin juga bahawa ibu saudara (baik dari ayah atau ibu) tidak berhak mendapat waris ketika beriringan dengan ashabul furudh dan/atau asabah.
Jadi jika kita melihat konteks hadis yang pernah dikemukakan mengenai jawaban Rasulullah Saw. tentang hak waris ibu saudara ketika itu disebabkan ada ashabul furudh dan/atau asabah-nya. Inilah usaha untuk menyatukan 2 hadis yang sepintas kelihatan bertentangan.
Setelah membandingkan kedua pendapat itu, dapat disimpulkan bahawa pendapat jumhur ulama‘ (kelompok kedua) lebih kuat dan akurat, kerana memang merupakan pendapat majority Sahabat, tabi'in, dan imam mujtahidin. Selain itu ia bertepatan dengan kondisi kehidupan manusia masa kini yang mana, tanpa mengira kedua-dua belah pihak ibu mahu pun bapa, mereka sama-sama menyumbang dan saling membantu dalam segala hal. Amat tidak wajar sekali-kali mereka dari nasab sebelah ibu (zawil arham) itu dikesampingkan begitu sahaja.
Di samping dalil yang mereka kemukakan lebih kuat dan akurat, juga tampak lebih adil apalagi jika dihubungkan dengan kondisi kehidupan dewasa ini, yang mana sudah sangat terlalu sulit menemukan baitulmal yang benar-benar dikelola oleh jamaah, yang penuh amanah, yang terjamin pengelolaannya, yang adil dalam memberi kepada setiap ummat yang berhak, cekap perjalannya dan tepat dalam menyalurkan harta atau mengambil berat kehidupan ummat.
Nota : secara peribadi saya lebih cenderung dengan pendapat golongan kedua berikutan hujjah, dalil akurat dan alasan yang munasabah yang mereka kemukakan. Saya berdoa kepada Allah Swt. agar suatu ketika nanti pemerintah negara terbuka hatinya untuk menerima waris zawil arham, supaya keadilan dalam seluruh keluarga dan silaturrahim menyeluruh dapat dijalankan.
bersambung ……. Setakat ini dahulu yang dapat saya nukilkan setakat masa ini.
والله تعالى أعلم , وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan