Khamis, 29 Mei 2014

Soal Jawab : Tangani Janazah Dengan Cara Yang Benar

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعديسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah (kamu) kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.”
Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 102

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh ia menang dengan kemenangan yang besar.”
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 70-71

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

sambungan ………….

Date : 2014-05-01 11:47 GMT+08:00 izanahani awangku hassan wrote :

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Al fadhil ustad mad yang dihormati,

Saya dah baca dan terima kasih atas segala penjelasan. InsyaAllah memberikan kefahaman yang benar. Saya paling khuatir jika urusan jenazah melibatkan orang kafir nih kita tersilap perbuatan dan pasti sekali, hukumnya amat membimbangkan, na'uzubillah.

1.            Saya setuju. Tidak boleh dalam hal menguruskan janazah orang kafir, kita Muslimin turut terlibat sama dengan mengikut perbuatan mereka, dalam segala segi.

Saya nak bertanya lebih lanjut berkenaan beberapa hadis dalam artikel ini. Tiadakah hadis sahih yang menyebutkan "...... apabila jenazah yahudi lalu didepannya, Nabi Saw. lalu berdiri, tunduk hormat dan berhenti berkata-kata". Ada satu orang besar menyebut dan mendakwa yang matan sabdaan Nabi Saw. begitu. Saya dapati tiada langsung catatan seperti itu dibuat dalam artikel ini.

2.            Saya tidak pernah menemui lafaz seperti yang dinyatakan itu, sebab itulah tidak saya catatkan. Baik sekali ditanya kepada orang yang menyebutnya sendiri dari mana dia dapat keterangan itu. Kalau tidak terbuktikan juga, baiklah dia tarik balik pernyataan itu, bertaubat nasuha daripada terus menanggung dosa menipu atas nama Nabi Saw.

Harap ustad tidaklah mengamuk pula kerana pertanyaan saya ini. Tentulah saya yang awam ini kena bertanya supaya lebih jelas, bukannya ikut semberono sahaja. Lagi pun ustad selalu ulangi 1) bertanyalah kepada ahli zikr (ilmu) jika kamu tidak mengatahui 2) Kena sampaikan ilmu yang benar beserta dalil credible, bukan cerita dongeng dan, 3) Jika ada salah silap sila beri teguran membina, saya pun manusia. Maka itu saya bertanya balik kepada ustad, bukannya kepada monyet.

3.            Saya setuju semuanya. InsyaAllah saya tak marah dan akan jawab setakat yang tahu, yang tak tahu : Wallahu a’lam. Sedikit tambahan, lafaz itu berbunyi “fas alu ahlil zikri – bertanyalah kepada ahli ilmu” bukannya “fattabi’u ahlil zikri – ikutlah ahli ilmu”. Dua perkara ini berbeza, tak tahu hendaklah bertanya kepada ahlinya supaya mendapat kepastian dan kebenaran, yang diikut itu adalah ilmu yang haq bukan orangnya. Prinsip ini mesti difaham betul-betul. Jika tidak, sebegitu ramai orang dah jadi kafir kerana belajar dalam dan luar negara dengan orang kafir kerana mengikut orangnya, bukan ilmunya. Termasuklah juga seberapa ramai yang membuat sarjana dan Phd dalam jurusan agama Islam, tetapi bergurukan yahudi.

Saya bertanya nih kerana mahukan penjelasan supaya dapat berpegang kepada asas yang benar. Bertanya lanjut ini kerana sayangkan agama murni Islam yang wajib didasari Al Qur'an dan As Sunnah yang serba cukup lengkap, bukannya seperti nasrani yang segala cakap rahib dan pendeta semuanya betul belaka, maksum dan tak boleh ditanya apatah lagi dibantah.  Jauh sekali bertanya ini bermaksud membuka aib orang. Jika bertanya untuk mendapatkan penjelasan lanjut sahaja pun dah salah, maka habis seluruh sahabat Nabi Saw. dan melakukan salah kerana mereka sering bertanya.

4.            Dipersilakan, tiada masalah untuk bertanya. Sementelahan saya bukan pun selebriti yang segala luar dalam aspek hidup dicerita kepada orang banyak, muka bertempel di segala media, dikelek orang ke hulu ke hilir, dipuja puji kalau pun membawa hikayat cerita kartun, serban besar, jubah hebat, tasbih melilit dari jari sampai ke lengan, yang atas dasar manusiawinya pasti akan rasa tercabar dan aib apabila perilaku mengarut dan kata-kata kartun dipersoalkan oleh khalayak.

Lagi pun ustad yang mahir malah serba tahu ini, mana mungkin tidak tahu dan tidak sedar pula : nak menulis artikel atau beri kuliah kena buat rujukan dan semakan, pastu pastikan sumber dan kebenaran/ kesahihannya sesuatu perkara, kemudian barulah disampaikan kepada khalayak orang awam yang jahil. Janganlah nanti saya dikata wahabi pula kerana berkata begini.

5.            Lafaz “mahir malah serba tahu” adalah untuk orang lain, tak layak untuk saya yang serba dha’if ni. Yang lainnya saya setuju. Sepanjang pengetahuan saya, golongan disebut wahabi nih sangat ekstrim dan ta’asub kepada Al Qur’an dan As Sunnah sahihah, manakala “tak tahu maka bertanyalah” adalah perintah Allah Swt. yang tak ada kena mengena dengan so called wahabi. Kalau bertanya pun dah jadi wahabi, maka para Sahabat semua pun dah jadi pengikut wahabi. 

Logiknya pada pemikiran orang awam macam saya ini, jika tak perlu buat rujukan dan semakan kesahihan fakta sebelum menulis atau berkuliah, pastu marah dan kata orang dengki pula bila ditanya, dok bawa cerita lain padahal soalan tidak pun dijawab, orang gila pun layak bagi kuliah sekadar berkisah cerita itu-ini dan tak boleh pulak nak bertanggungjawab ke atasnya.

6.            Logic (boleh diterima aqal) hanya untuk kegunaan sendiri sahaja, tidaklah boleh dijadikan asas ketetapan hukum itu ini kemudian dijaja pula ke khalayak banyak, padahal bersumberkan logic dari aqal kita sendiri sahaja. Hal hukum ia mesti dengan ketetapan syara’ yang sahih, soreh dan qot’ie bukannya ikut logic. Harap dapat dibezakan 2 hal ini. Pernyataan lainnya saya setuju.

Maaf kerana celoteh panjang. Maklumbalas dari al fadhil ustad sangat dihargai.

Wassalam

Date: 2014-05-01 14:43 GMT+08:00 mshukri wrote ;

Wa'alaikumus salaam tuan haji,

Moga sihat molek saja dihari cuti nih. Syukron bebanyak atas kiriman nota kuliah tak henti-henti. kadang2 tak dan nak baca yang dok ada dah sampai yang lagi satu.

Bagus juga cara memberi penjelasan ni, tak perlu kelam kabut dok mengata ke orang, tapi maksud dicapai. Banyak yang saya tengok dan baca hari ni, lebih sebok dok mengata ke orang dengan macam-macam dakwa-dakwi, penuh jugak dengan cerita merapu kadang-kadang ke tahap dongeng semata-mata nak pesedap cerita dan menarik tumpuan orang, walhal persoalan asas tak setakat mana pun dijawab.

7.            InsyaAllah, memang hasrat asasnya sebaik mungkin menyampaikan ilmu setakat yang diketahui untuk perkongsian dan manfaat bersama, bukan menyerang balas, mencela, mengumpat, mencaci atau seqadar mengulas kerja orang lain.

Berkaitan maksud sebenar dari artikel ini, saya yang daif juga nih nak bertanya, beberapa perkara :

A. Banyak orang dok sebut yang berdiri tu maksudnya memberi hormat, betul ka begitu? ini saya musykil pasal artikel ini tak langsung menyebut hal ini.

8.            Setuju banyak orang sebut lafaz dan memahami asbab berdiri dengan “hormat” janazah. Setakat saya yang serba dhaif ini temui, tiada satu pun Nabi Saw. menyebut lafaz “hormat”. Kerana itu tidak saya sebutkan kalam hormat itu. Yang Nabi Saw. maqsudkan berdiri itu atas 3 sebab yang jelas, maka itulah yang dinyatakan.

B. Ada rasa khuatir apabila tidak disebutkan "hormat" itu akan menyukarkan kita memberi penjelasan Islam dan da'wah kepada bukan Islam. Nampak macam kita Muslimin nih terlalu keras dan kasar.

9.            Apa yang sukar sangat dengan tidak menyebutkan lafaz “hormat”, sedangkan telah ada asbab, penjelasan dan syarah yang nyata ke atasnya. Khabarkan yang benar itu kepada mereka supaya mereka tahu, dan lebih penting lagi ia akan mengukuhkan ilmu, iman, amal dan taqwa diri kita sendiri. Tidak berkata benar itulah haqiqatnya yang menjadi punca kepada segala masalah. Lebih patut dirisaukan lafaz Kalamullah “…bunuhlah mereka…” dan sabdaan Nabi Saw. “….. himpitkan mereka ke dinding…”. Kalau pun lafaz-lafaz ini jauh lebih keras dan kasar, tetap ia ada asbab, penjelasan dan syarah. Memang ia memberi masalah kepada sesiapa yang senghaja tak mahu ambil faham dan senghaja mencari-cari masalah untuk dijadikan permasalahan.

C. Syeh kata tak ada contoh langsung Nabi Saw. ada menziarahi jenazah bukan Islam, dah tu macam mana pulak dalam negara kita yang serba majmuk bercampur baur nih?

10.         Oleh kerana sepanjang saya belajar, diajar, mengkaji dan mencari tidak saya temui perbuatan Nabi Saw., maka saya katakan tiada. Takkan saya nak mencipta seraya menipu pula atas nama Nabi Saw. dengan mengada-adakan hal yang tiada. Dalam konteks negara/masyarakat majmuk ini, (diulangi) dapatkan ilmuan lain yang lebih baik, alim, faqih dan mujtahid untuk membuat keputusan. Apabika diperolehi, tolong kongsikan dengan saya juga. Ingin sekali saya melihat dan memahami galuran hujjahnya yang membawa kepada kesimpulan membolehkan itu. Mungkin juga boleh diulas lebih krtikal  lagi.

D. Macam mana lah pulak kalau terkena dengan jiran sebelah rumah kita ka? tentu kita suka jika mereka datang ziarah kita dalam musibah, tapi takkan kita dihukum haram pula mengunjungi mereka yang ditimpa musibah. Serba salah kita dalam negara dan komposisi masyarakat majmuk macam nih.

11.         Maklumbalas saya sama dengan no. 10. Dengan diperketatkan hal perbincangan ini kepada hal janazah bukan musibah secara umum. Ia 2 hal berbeza.

Harap dapat memberi lebih pencerahan untuk perkongsian saya yang serba kekurangan nih.

Wassalam

Date: 2014-05-02 12:33 GMT+08:00 poison ivy wrote :

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga ustad mad ok dan dalam kebaikan selalu.

Selalu saya tengok ustad lambat respons dalam hal agama semasa yang urgent nih. Isu nih dah 2 minggu lepas. dah tak kick nak cakap sekarang. Time dah tak berapa kena dan orang-orang pun dah tak hairan (no more isu, surat kabar lama ja). Harapnya lepas nih lebih aktif dan proaktif - cepat-cepat respons supaya dengan segera orang mendapat manfaat. Baalighu 'anni walau aayah - tak bagus ada ilmu tapi dok biar orang tak ketahuan begitu lama, tak bagus.

12.         Saya terasa kurang senang dengan pernyataan ini. Secara literasi ia terlari jauh dari matlamat dan hasrat asas kenapa saya menulis. Hal bila artikel mahu dikeluarkan, atas sebab/isu apa, tak pernah sama sekali ia tergantung kepada isu-isu tumpuan/kejadian semasa. Haqiqatnya ia hak penuh saya untuk mengeluarkannya pada waqtu bila pun berdasarkan kepada keupayaan/pilihan saya sendiri disebalik kemampuan yang amat terhad, serba kedhaifan dan penuh kekangan dalam pelbagai segi.

13.         Dah lebih 1400 tahun Nabi Saw. mengajarkan ilmu hukum janazah. Hal yang dibicarakan ini adalah salah satu juzuk yang terkandung di dalamnya. Tanpa artikel saya pun, sudah ada jutaan kitab, perbahasan dan penjelasan muktabar yang pasti lebih tepat dan benar untuk rujukan dan ikutan (dalam hal apa pun jua begitu). Maka, artikel saya nih tak wujud pun tak menjadi masalah langsung sebenarnya. Malah merujuk kepada penjelasan para ilmuwan muktabar itu jauh lebih baik lagi.

14.         Sekiranya setelah mendapat artikel saya baharu Tuan membicarakan dan memahami hal ini, maka Tuan sedang memperbodohkan diri sendiri. Sepatutnya ilmu hukum janazah ini Tuan dah pelajari, faham dan amal sejak dulu lagi. Pelajari dan dapatkanlah dari segala sumber yang sedia ada, ia terbentang luas tanpa noktah di alam maya ini. Sudah sangat banyak hinggakan perlu diambil sahaja lagi. Jangan salah faham dengan maqsud fardhu kifayah, mempelajari hukum janazah adalah tetap fardhu ‘ain selamanya, cuma dalam perlaksanaannya sahaja ada bahagian yang fardhu kifayah. Rosak ummat ini apabila menuntut dan tahu ilmu hukum janazah pun dianggap fardhu kifayah. Analogi mudah dari saya : “Tidak mahu buat (dan ada manusia lain membuatnya)” sekali-kali tidak sama dengan “Tidak tahu buat”, betul kan?

Saya nak rujuk kepada perenggan terakhir : tidak ditemui adanya dalil yang nabi ada berkunjung jenazah orang kafir. Pertanyaan saya : adakah tiada itu kerana tidak ditemui, tidak dipelajari, tidak diketahui atau betul-betul langsung tak ada?

15.         Persoalan yang sama telah dijawab sebelum ini. Dan semua sekali yang Tuan sebutkan itu adalah benar belaka.

atau pun adakah kerana tiadanya dalil perbuatan nabi itu maka kita sekarang diharamkan membuatnya.

16.         Jelas disebutkan bahawa tiada contoh dari Nabi Saw. menziarahi janazah orang kafir, sedangkan sepanjang hayat Baginda menghadapi ribuan kematian termasuklah qaum keluarga sendiri dan juga, hidup Baginda dikelilingi oleh segala macam orang kafir (yahudi, nasrani, majusi dan arab jahiliyah) yang kelakuan mereka sama ada baik atau buruk, jauh lebih dahsyat dari kafir zaman ini. Maka janganlah membuatnya. Hal berkenaan hukum itu baiklah (diulangi) dapatkan ilmuan lain yang lebih baik, alim, faqih dan mujtahid untuk membuat keputusan. Lantaran saya tak buat, maka tidak tahu hukumnya.

Dah tu, apa yang nak dihukumkan kepada orang yang mengunjung mayat si kafir itu, dalam kes baru-baru ini sangat ramai termasuk orang yang diterima masyarakat sebagai alim-alim belaka dan pejuang Islam walau pun dalam skop politik sajalah.

17.         (diulangi) dapatkan ilmuan lain yang lebih baik, alim, faqih dan mujtahid untuk membuat keputusan. Paling baik dan adil, ditanyakan kepada mereka yang membuat itu sendiri, apa hukumnya amalan yang telah mereka perbuat. Kalau tiada galuran penjelasan dan asbab, mana mungkin mereka boleh membuatnya.

Bercakap dengan status hukum-hakam nih, apa yang boleh dibuat apa bila situasi dulu dan sekarang dah tak sama. Pelik nak tegas kata haram dalam situasi berjiran misalnya. Masyarakat kita sekarang berbeza jauh dengan dulu-dulu dalam berbagai segi.

18.         Saya menyatakan ada ke atas apa yang ada, dan menyatakan tiada terhadap apa yang tiada. (diulangi) dapatkan ilmuan lain yang lebih baik, alim, faqih dan mujtahid untuk membuat keputusan selaras dengan waqi’ dan mu’assirat. Saya memang tak buat maka tidak tahu hukumnya. InsyaAllah, kiranya ada ketika nanti saya sendiri terkena membuatnya, pada masa itu akan dapatlah hujjahya, bukan pada masa ini. Dan saya juga bukan seorang mufti, ahli majlis fatwa atau pun mujtahid yang layak membuat hukum.

Atau ada rukhsah kat celah mana-mana yang tak disebut lagi, masih tersembunyi atau sengaja tak disebut?

19.         Saya secara senghaja dan waras telah menyatakan ada ke atas apa yang ada, dan menyatakan tiada terhadap apa yang tiada, berdasarkan segala apa yang diketahui (yang tidak diketahui tidak tergolong di dalamnya). Semuanya disebut secara jelas tanpa tersembunyi barang sedikit pun.  Jika dirasakan masih ada yang disembunyikan, tolong beritahu saya juga kerana saya memang tidak tahu apa lagi yang masih tersembunyi.

Maklumbalas dengan kadar segera lebih dihargai. Saya dok tunggu nih!

Wassalam

Date: 2014-05-02 15:26 GMT+08:00 ernest Ibrahim wrote :

Assalamu’alaikum Wr Wbt

Terima kasih syeh atas penjelasan yang insyaAllah tepat berlandaskan Al Qur’an dan As Sunnah. Saya fahami dan sangat hargai ketegasannya.

Cuma ada sedikit pening terjadi kat saya nih. Dalam kes diri saya sendiri contohnya, anak kacukan 1 Malaysia, dah tentu ada kaum keluarga rapat yang bukan Islam. Apa yang boleh dibuat? Serba salah jadinya dalam hubungan keluarga yang masih rapat pertaliannya.

Harap dapat beri sedikit huraian sebagai pedoman sahaja, bukannya hukuman.

Wassalam.

20.         Persoalan Tuan tepatnya merujuk kepada hal mu’ammalah secara umum dengan orang kafir, khususnya konteks hubungan dengan ibubapa dan qaum keluarga aqrab. Maka baik sekali difahami, ini adalah hal berbeza dengan maudhu’ perbicaraan disini yaitu hukum janazah. Perkara ditanyakan ini amat baik khasnya dalam kes masyarakat majmuk seperti negara kita, cuma lebih wajar dibincangkan dalam forum yang lain. InsyaAllah, Tuan boleh dapat sedikit pengajaran dalam hal janazah melalui topic ini. 

Date: 2014-05-06 9:51 GMT+08:00 mohdpoziatan wrote :

Assalamu’alaikum Wr Wbt

Tuan syeh yang dihormati, dah panjang cerita ni syeh. Cuba nta ringkaskan dan berikan kesimpulannya sikit. Rasanya lagi lama makin berjela dan bermacam hala maksud soalan diterima dari kawan-kawan tapi jawapan nta tetap sama lah juga tentunya. Tak salah pun pendirian nta tuh, jelas nampak straight to the point saja. Didapati soalan dan komen hal takder kena mengena pun dah dok datang.

Satu lagi, bukankah telah ada pendapat, pandangan atau ijtihad yang mengharuskan melawat jenazah orang kafir yang dikatakan selaras dengan zaman semasa. Harap boleh komen sedikit.

Wassalam.

21.         Setuju, dan ada beberapa soalan dan komen lagi tidak dibalas disini. Ada yang sama dengan jawaban sedia ada, dan ada yang benar-benar dalam bab hukum janazah. InsyaAllah akan diberi maklumbalas dalam kuliah hukum janazah yang khusus.

Sedikit kesimpulan,

22.         Tiada dicontohkan oleh Nabi Saw. mengunjungi janazah orang kafir.

23.          Muslimin boleh menziarahi orang sakit (hadis anak yahudi) dan kisah Abi Thalib

24.          Muslimin tidak boleh menguruskan janazah orang kafir apatah lagi mengikut tatacara pengurusan mereka. Dalam kes Abu Thalib, Nabi Saw. membenarkan Amirul Mukminin Ali Rhu. menguruskan pengquburannya disebabkan oleh orang Quraisy tidak mengambil tahu kerana marahkan beliau yang mempertahankan Nabi Saw. Harus diingat, Nabi Saw. sendiri tidak melakukannya. Dan ia diperlakukan seadanya sahaja untuk seorang manusia, bukannya ke tahap mengamalkan perbuatan agama mereka atau, diperlakukan janazah mereka mengikut tatacara Islam.

25.         Berkenaan hukum menziarahi janazah kaafirin atas sebab majmuk, da’wah, kekeluargaan, persahabatan, kepentingan golongan dsb., yang dikatakan selaras dengan suasana waqi’ dan mu’assirat zaman ini, ada saya temui beberapa sarjana/ilmuwan yang berpandangan, pendapat atau ijtihad mengharuskannya dengan beberapa syarat. Tetapi senghaja tidak disebutkan disini kerana yang diutama/dahulukan adalah dalil dari kalam atau perbuatan Nabi Saw. sendiri. Didapati pula hukum mengharuskan itu terlalu mujmal (umum/global) dan tidak pula dinyatakan asas syara’nya.

26.         Saya berpendirian lebih baik ia terusan menjadi koleksi peribadi semata, tidak layak diheboh dan diperbesarkan. Dikhuatiri nanti akan disalah tanggapi sebagai dasar/dalil amalan pula oleh orang banyak yang serba awam, dan tidak kurang juga yang akan menyalahgunakannya. Malah saya memang tidak mahu menjadi agen penyebarannya. Biarlah ia kekal sebagai pandangan, pendapat atau ijtihad untuk amalan peribadi sendiri. Maka itu, sesiapa yang berhasrat benar untuk melawat janazah orang kafir dan mahukan hukumnya demi menghalalkan perbuatan itu, dapatkanlah sendiri dari orang-orang berkenaan atau rujuklah kepada sumber-sumber tersebut.

Dan satu lagi, adalah boleh seorang Muslim mengunjungi qubur ibubapa yang kafir atas sebab mengingati mati. Tetapi tidak boleh mendoakan atau memohon ampun ke atas mereka. Ini dijelaskan dalam hadis berikut :

“Dari Abu Hurairah Rhu, dia berkata : Nabi Saw. berziarah ke quburan ibundanya, lalu Baginda menangis dan membuat orang-orang yang berada disekitarnya turut menangis. Lalu Baginda bersabda : Aku minta izin kepada Rabb-ku untuk memohonkan ampun baginya namun Dia tidak memberi izin kepadaku, dan aku memohon izin untuk berziarah ke quburannya, maka Dia memberi izin kepadaku, kerana itu berziarahlah kamu ke quburan-quburan, kerana berziarah itu dapat mengingatkan kepada kematian”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. (no. 2255 & 2256). juga oleh imam Abu Dawud, imam Nasa’ie dan imam Ibnu Majah Rhm.

Imam Yahya bin Sharaaf An Nawawi Rhm. menjelaskan hadis ini dengan : dibolehkan untuk berkunjung kepada orang-orang musyrik pada masa mereka masih hidup, dan berziarah ke quburan ketika mereka telah meninggal, sebab jika setelah meninggal sahaja dibolehkan menziarahi mereka terlebih lagi jika mereka masih hidup. Hadis ini juga menjelaskan tentang larangan memintakan ampun bagi orang-orang kafir. Ziarah Baginda ke quburan ibundanya adalah bermaqsud untuk menguatkan nasihat dan peringatan tentang kematian dengan cara melihat langsung quburannya.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 5 halaman 134 - 135

Setakat ini dahulu yang dapat saya nukilkan dalam hal ini. Semoga catatan ringkas dengan segala macam kekurangan ini bermanfaat dan telah membantu memberi kefahaman kepada jama’ah dan pembaca semua, insyaAllah. . 

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Soal Jawab ini berdasarkan artikel yang telah dikeluarkan iaitu TANGANI JANAZAH DENGAN CARA YANG BENAR. 
Read more...

Pengertian Ilmu Dan Kelebihan Menuntutnya.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد,يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani rutin kehidupan sehari-hari kepada semua rakan jamaah serta para pembaca. Seraya mendoakan agar sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang teguh kepadaNya dan menerima semua amalan kita. Moga Allah Swt. Yang Maha Esa Yang Maha Dermawan, meredhainya. Saya berlindung diri dengan Allah Tabaraka Wata’ala dari sebarang kesilapan dan kekhilafan, serta memohon pimpinanNya sentiasa dalam menghasilkan artikel ini.

Ada pun ilmu yang haq yang menjadi intipati perbincangan yang dimaksudkan disini adalah ilmu syara’ yaitu : ilmu yang diturunkan oleh Allah Swt. kepada rasulNya yang berupa keterangan (Al Qur’an) dan petunjuk (As Sunnah) untuk disampaikan Baginda kepada manusia. Inilah ilmu sebenar yang telah disebutkan oleh Allah Swt. dalam firmanNya :

“….. Dan (juga kerana) Allah telah menurunkan kitab (Al Qur’an) dan hikmah (As Sunnah rasulNya) kepadamu, dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui. Dan kurnia Allah sangat besar atasmu”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 113

Maka itu, ilmu yang di dalamnya terkandung pujian dan sanjungan adalah ilmu wahyu, yang diturunkan oleh Allah Swt. sahaja. Demikianlah juga para Salafus Solih sangat berhati-hati dalam memberi makna dan mengamalkan ilmu supaya ilmu yang haq dari Allah Swt. ini tidak disalah ertikan sehingga ada ilmu lain yang dianggap satu taraf dengannya. Selepas wafatnya Nabi Saw. para sahabat adalah golongan terbaik yang mewarisi ilmu dari Nabi Saw. dan semestinya merekalah golongan ummat yang menjadi panutan ummat muslimin. Imam Auza’ie rh. (wafat 157H) mengatakan :

“Ilmu adalah apa yang berasal dari para sahabat Nabi Saw. Ada pun yang datang bukan dari seseorang daripada mereka, maka itu bukan ilmu”.
Imam Abu Umar Yusuf bin Abdil Barr rh. (wafat 463H), Kitab Jaami’ Bayaanil Ilmi Wa Fadhlihi, Jilid 1 halaman 618

Tahap penguasaan ilmu yang dimiliki oleh seseorang adalah berbeza antara individu mengikut kemampuannya yang barang tentu tidak akan sama. Ini adalah fitrah kepada semua manusia. Hal ini dinyatakan oleh Allah Swt. dalam firmanNya :

“Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati karena takut akan (azab) Tuhan mereka. Dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun). Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya. Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu Kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya”.
Surah Al Mu’minun ( ) : ayat 57- 62

Lantaran itu, para ilmuwan dan fuqaha’ membahagikan ilmu kepada enam peringkat yang layak bagi kemampuan manusia, yaitu :

Pertama : Al Ilmu yakni mengetahui sesuatu yang sesuai dengan keadaan yang sebenarnya dengan pengetahuan yang pasti

Kedua : Al Jahlul Basith yakni tidak mengetahui sesuatu sama sekali

Ketiga : Al Jahlul Murakkab (kejahilan yang berlipat) yakni mengetahui sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya. Disebut murakkab (berlipat) kerana orang itu mempunyai dua kejahilan sekaligus yaitu bodoh kerana tidak tahu duduk perkara yang sebenarnya dan, bodoh kerana beranggapan bahawa dirinya tahu tentang sesuatu padahal dia memang tidak tahu.

Keempat : Al Wahm yakni mengetahui sesuatu dengan meyakini bahawa kemungkinan salah adalah lebih besar dari benarnya

Kelima : Asy Syak yakni mengetahui sesuatu dengan meyakini bahawa kemungkinan benar atau salah sesuatu perkara adalah sama sahaja.

Keenam : Adz Dzaan yakni mengetahui sesuatu dengan meyakini bahawa kemungkinan benar adalah lebih besar dari salahnya.

Sedang status ilmu itu sendiri terbahagi kepada dua, yaitu :

Dharuri yakni pengetahuan yang dapat diperolehi secara langsung tanpa memerlukan penelitian dan dalil, seperti pengetahuan bahawa api itu panas dan ais itu sejuk.

Nadzari yakni pengetahuan yang dapat diperolehi dengan cara melakukan penelitian dan dengan dalil, misalnya pengetahuan tentang hukum dan kaifiyat bertakbir dalam solat.

Malah dalam apa situasi pun, secara jelas dan nyata, bahawa Allah Swt. memerintahkan supaya semua ummat muslimin menuntut ilmu yang haq sebaik-baiknya agar mereka boleh mendapat anugerah dan kurniaan Allah yang banyak. Kekangan keupayaan tidak sepatutnya menjadi faktor penghalang kepada ummat muslimin berusaha, terus tekun belajar bagi memperoleh ilmu yang terbaik. Dalam firmanNya Allah Swt menyebutkan :

“Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Qur’an dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan barang siapa yang dianugerahi hikmah (itu), ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 269

Adapun jika dilihat dari sudut pembebanan (kewajiban melaksanakannya) ke atas seseorang muslimin, maka ilmu syara’ ini terbahagi kepada dua, yaitu :

Pertama : Ilmu Aini yakni ilmu ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap individu muslimin, contohnya ilmu tentang aqidah dan iman, taharah (bersuci), solat, puasa, zakat (apabila telah memiliki harta yang mencapai haul dan qaul) dan mengerjakan haji ke Baitullah (bagi yang mampu). Juga segala apa yang telah diketahui dengan pasti dalam agama Islam dari bermacam perintah dan larangan. Tidak boleh sama sekali anak-anak yang menginjak dewasa apabila ditanya tntang ilmu-ilmu ini, melainkan mereka mengetahuinya dengan benar.

Kedua : Ilmu Kifa-i yakni ilmu yang tidak wajib atas seseorang muslimin untuk mengetahui dan mempelajarinya. Apabila sebahagian dari mereka telah mengetahui dan mempelajarinya, maka gugurlah kewajiban ke atas sebahagian yang lainnya. Namun, apabila tiada seorang pun yang mengetahui dan mempelajarinya sedangkan ilmu itu amat diperlukan, maka berdosalah mereka semuanya. Contohnya adalah ilmu menghafaz Al Qur’an, ilmu qiraat, ilmu faraidh, ilmu hadis, mengetahui hukum halal dan haram sesuatu perkara dan yang sejenisnya. Jenis ilmu ini tidak wajib dipelajari oleh semua individu muslimin, tetapi cukuplah dilakukan oleh sebahagian mereka.
Syeikh Yazid bin Abdul Qodir Jawas, Kitab Thalabul ilman Thariiqu ilal Jannah (Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga), halaman 17-19

Banyak ulama’ yang menerangkan bahawa (hukum) mempelajari teknologi termasuk fardhu kifayah, hal itu disebabkan manusia mesti mempunyai peralatan memasak, kenderaan, komunikasi, persenjataan dan selainnya yang bermanfaat bagi mereka. Apabila tiadanya orang yang menggarap dalam bidang ini sedangkan ia diperlukan, maka ia menjadi fardhu kifayah kepada ummat muslimin untuk menuntut dan menguasainya. Pernyataan ini pasti akan menjadi perdebatan. Namun tetap jua saya tegaskan, ilmu yang wajib adalah ilmu syara’ yaitu pemahaman dan ketaatan terhadap Kitabullah dan As Sunnah rasulNya. Adapun ilmu selain itu, yang boleh menjadi landasan kebaikan mahu pun landasan kejelekan, maka hukumnya dan keperluan menuntutnya mestilah sesuai dengan pemanfaatannya kepada manusia.
Syeikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin rh., Kitaab ul Ilmi, halaman 8-9

Kewajiban menuntut ilmu mencakupi seluruh individu mulimin dan muslimah, baik dia sebagai orang tua atau pun anak-anak, apa pun status sosial, pekerjaan, pangkat dan darjat dan selainnya. Yaitu mereka wajib mengetahui ilmu yang berkaitan dengan ibadah dan muammalah mereka dengan Rabb mereka baik tentang tauhid, rukun Islam, rukun iman, akhlak, adab dan muammalah dengan makhluk. Muslimin dan muslimah diwajibkan menuntut ilmu yaitu ilmu yang bersumber dari Al Qur’an dan As Sunnah kerana dengan ilmu yang dipelajari dia akan dapat mengerjakan amal-amal solih yang dengan itu akan menghantarkan mereka ke syurga.

Para sahabat bersemangat dan terus menerus menuntut ilmu lantaran mendengar sabdaan Nabi Saw. tentang kelebihan dan manfaat ilmu serta, janji Allah Swt. terhadap orang yang menuntut ilmu yang dimudahkan jalannya menuju syurga. Dalam hadis berikut Nabi Saw. menjelaskan ketinggian martabat dan manfaat ilmu.

“Dari Abu Darda’ Rhu. ia berkata, aku mendengar Nabi Saw. bersabda : Barang siapa yang berjalan menuntut ilmu maka Allah mudahkan jalannya menuju syurga. Sesungguhnya malaikat akan meletakkan sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu kerana redha dengan apa yang mereka lakukan. Dan sesungguhnya seseorang yang mengajarkan kebaikan akan dimohonkan ampun oleh makhluk yang ada di langit mahu pun di bumi hingga ikan yang berada di air. Sesungguhnya keutamaan orang alim atas ahli ibadah seperti keutamaan bulan ke atas seluruh bintang. Sesungguhnya para ulama’ itu pewaris para nabi. Dan sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan tidak juga dirham, yang mereka wariskan adalah ilmu. Dan barang siapa yang mengambil ilmu itu, maka sungguh ia telah mendapatkan bahagian yang paling banyak”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh. imam Ahmad rh. imam Ibnu Majah rh. dan imam Tarmidzi rh. Beliau mengatakan ia sahih.

Lantaran itu para sahabat Rhu. mereka bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu-ilmu syara’. Dalam satu kisah, para sahabat wanita juga amat bersemangat dalam menuntut ilmu. Mereka mahukan Rasulullah Saw. menetapkan dan hadir ke satu tempat, untuk Baginda mendatangi mereka dan menjelaskan tentang Al Qur’an serta mengajarkan tentang sunnah-sunnah Baginda. Kisah ini dinyatakan dalam hadis berikut :

“Dari Abu Said Al Khudri Rhu. ia berkata : Para wanita berkata kepada Nabi Saw., kaum laki-laki telah mengalahkan kami atas (pelajaran dari) engkau, maka berikanlah satu hari dari engkau untuk mengajarkan kami. Maka Baginda menjanjikan satu hari kepada mereka untuk bertemu dengan mereka dan mengajarkan mereka serta menyampaikan perintah-perintah Allah. Diantara pelajaran Baginda untuk mereka kaum wanita adalah sabda Baginda : Barangsiapa di antara kalian yang kematian 3 orang anaknya maka mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka. Seorang wanita bertanya : Kalau 2 orang? Baginda menjawab : Ya, 2 orang juga”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (No. 101)

Begitu juga, Allah Swt. menyuruh supaya muslimin dan muslimat sentiasa menuntut ilmu sekali pun di dalam rumah mereka dinyatakan di dalam firmanNya :

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan (bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliyah dahulu, dan laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat, taatilah Allah dan rasulNya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu wahai Ahlul Bait, dan membersihkan kamu dengan sebersih-bersihnya. Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumahmu dari ayat-ayat Allah (Al Qur’an) dan al hikmah (Sunnah Nabimu). Sungguh, Allah Maha Lembut Maha Mengetahui”.
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 33-34

Sesungguhnya menuntut ilmu mempunyai banyak kelebihan, yang di antaranya adalah :

Pertama : Menuntut ilmu adalah jihad di jalan Allah Swt. dan orang yang menuntut ilmu laksana seorang mujahid di jalan Allah. Fakta ini dijelaskan oleh Nabi Saw. sendiri menerusi sabdanya :

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Barangsiapa yang memasuki masjid kami ini (Masjid Nabawi) dengan tujuan mempelajari kebaikan atau mengajarkannya, maka dia laksana orang yang berjihad di jalan Allah Ta’ala. Dan barangsiapa yang memasukinya dengan tujuan selain itu, maka dia laksana orang yang sedang melihat sesuatu yang bukan miliknya”.
Hadis hasan riwayat imam Ahmad rh., imam Ibnu Hibban rh., imam Ibnu Majah rh., imam Hakim rh. dan imam Ibnu Abi Syaibah rh.

Begitulah peri pentingnya menuntut ilmu yang mendapat martabat amat tinggi di dalam Islam. Berjihad dengan ilmu (hujjah dan dalil) dan keterangan didahulukan atas jihad dengan pedang dan tombak. Demikianlah Allah Swt. berfirman kepada rasulNya Saw. agar berjihad dengan Al Qur’an bagi melawan orang kafir, munafiq dan musuh-musuh Islam menerusi KalamNya :

“Maka janganlah kamu ikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Qur’an dengan jihad yang besar”.
Surah Al Furqaan (25) : ayat 52

Besarnya kelebihan menuntut ilmu ini diperakui oleh para sahabat, lantaran itu, mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan ilmu dan mengamalkannya serta mengajarkannya. Kebesaran menuntut ilmu ini dinyatakan oleh para sahabat antaranya :

Abu Darda’ Rhu. (wafat 32H) mengatakan : Barang siapa yang berpendapat bahawa pergi mencari ilmu itu tidak termasuk jihad, sungguh dia kurang akalnya”.
Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah rh., Kitab Al Ilmu Fadhluhu Wa Syarafuhu, halaman 145

Kedua : Menuntut ilmu memudahkan jalan menuju syurga Allah Swt. Demikianlah yang disabdakan oleh Nabi Saw. kepada ummatnya (sebuah hadis panjang) :

“Dari Abu Darda’ Rhu. ia berkata, aku mendengar Nabi Saw. bersabda : Barang siapa yang berjalan menuntut ilmu maka Allah mudahkan jalannya menuju syurga. Sesungguhnya malaikat akan meletakkan sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu kerana redha dengan apa yang mereka lakukan……………..”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh. imam Ahmad rh. imam Ibnu Majah rh. dan imam Tarmidzi rh. Beliau mengatakan ia sahih.

Didalam hadis ini terkandung janji Allah Swt. bagi orang-orang yang berjalan dalam rangka menuntut ilmu yang haq, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. “Menempuh jalan untuk menuntut ilmu” mempunyai 2 makna, yaitu :

1.    Menempuh jalan dengan erti yang sebenarnya, yaitu berjalan kaki menuju ke majlis-majlis ilmu dan ulama’
2.    Menempuh jalan (cara) yang menghantarkan seseorang untuk mendapatkan ilmu seperti menghafal, belajar (bersungguh-sungguh), membaca, menelaah (kitab-kitab para ulama’), menulis dan berusaha untuk memahami (apa yang dipelajari). Dan juga cara-cara lain yang dapat menghantarkan seseorang untuk mendapatkan ilmu syara’.

 “Allah mudahkan baginya jalan menuju syurga” juga mempunyai 2 makna, yaitu :

1.    Allah Swt. akan memudahkan memasuki syurga bagi orang yang menuntut ilmu yang tujuannya untuk mencari wajah Allah, untuk mendapatkan ilmu, mengambil manfaat dari ilmu syara’ dan mengamalkan konsekuensinya.
2.    Allah Swt. akan memudahkan baginya jalan ke syurga pada hari qiyamat ketika melalui titian as siraath, dan dimudahkan dari berbagai ketakutan yang telah pun ada pada sebelum dan sesudahnya
Syeikh Yazid bin Abdul Qodir Jawas, Kitab Thalabul ilman Thariiqu ilal Jannah (Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga), halaman 7-9

Ketiga : Menuntut ilmu membawa kepada kebersihan hati dan kemuliaan diri. Sesungguhnya hati manusia akan menjadi lebih bersih dan mulia dengan mendapatkan ilmu syara’ dan itulah kesempurnaan diri dan kemuliaannya. Orang yang menuntut ilmu akan bertambah rasa takut dan taqwanya kepada Allah. Hal ini berbeza dengan orang yang disibukkan oleh harta dan dunia, padahal harta tidak membersihkan dirinya, tidak menambah sifat kesempurnaan dirinya. Yang ada, hatinya akan menjadi tamak, rakus dan kedekut.

Sesungguhnya mencintai ilmu dan mencarinya adalah akar segala ketaatan sedangkan mencintai harta dan dunia adalah akar berbagai kesalahan yang menjerumuskan ke neraka.

Setiap muslimin harus mengetahui bahawa orang yang menuntut ilmu adalah orang yang bahagia kerana dia mendengarkan ayat-ayat Al Qur’an, hadis-hadis Nabi Saw. dan perkataan para sahabat. Dengannnya hati terasa nikmat dan akan membawa kepada kebersihan hati dan kemuliaan diri.

Keempat : Orang yang menuntut ilmu akan didoakan oleh Rasulullah Saw. Dalam satu hadis, Nabi Saw. mendoakan orang-orang yang mendngarkan sabda Baginda dan memahaminya dengan keindahan dan berserinya wajah. Sabda Baginda :

“Dari Zaid bin Tsabit Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Semoga Allah memberikan cahaya kepada orang yang mendengarkan sebuah hadis dari kami lalu menghafalkannya dan menyampaikannya kepada orang lain. Banyak orang yang membawa fiqh namun dia tidak memahami. Dan banyak orang yang menerangkan fiqh kepada orang yang lebih faham darinya. Ada tiga hal yang dengannya hati seorang muslim akan bersih dari khianat, dengki dan keburukan yaitu melakukan sesuatu dengan ikhlas kerana Allah, menasihati ulil amri (penguasa) dan berpegang teguh kepada jamaah kaum muslimin, kerana doa mereka meliputi dari belakang mereka. Baginda bersabda : Barangsiapa yang keinginannya adalah negeri akhirat, Allah akan mengumpulkan kekuatannya menjadikan kekayaan di hatinya dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan hina. Namun barangsiapa yang niyatnya mencari dunia, Allah akan mencerai-beraikan urusan dunianya, menjadikan kefakiran di kedua pelupuk matanya. Dan dia mendapat dunianya hanya menurut apa yang telah ditetapkan baginya”.
Hadis sahih riwayat imam Ahmad rh. imam Darimy rh. imam Ibnu Hibban rh. dan imam Ibnu Abdil Barr rh. Ditakhrij dan disahkan oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al Albaani dalam Kitab Silsilah Hadis Sahih, no. 404

Kelima : Menuntut ilmu dan mengajarkannya lebih utama daripada ibadah fardhu kifayah dan ibadah sunnat. Dalam satu hadis Nabi Saw. bersabda :

“Dari Hudzaifah Ibnul Yaman Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Keutamaan ilmu lebih baik daripada keutamaan ibadah, dan agama kalian yang paling baik adalah wara’ (ketaqwaan)”.
Hadis hasan riwayat imam Thabrani rh. imam Al Bazaar rh. dan imam Ibnu Abdil Barr rh.

Sabdaan Nabi Saw. ini diperkuatkan lagi oleh kata-kata benar dari sahabat Baginda dan para ilmuwan muktabar yang di antaranya :

Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib Kmwj. (wafat 40H) berkata : Orang yang berilmu lebih besar ganjaran pahalanya daripada orang yang berpuasa, solat dan berjihad di jalan Allah”.
Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah, Kitab Al Ilmu Fadhluhu Wa Syarafuhu, halaman 133

Abu Hurairah Rhu. berkata : Sungguh, aku mengetahui satu bab ilmu tentang perintah dan larangan lebih aku sukai daripada tujuh puluh kali melakukan jihad di jalan Allah”.
Syeikh Yazid Abdul Qodir Jawas, Kitab Thalabul Ilman Thariiqu ilal Jannah, halaman 38

Imam Hasan Al Basri rh. (wafat 110H) berkata : Orang yang berilmu lebih baik daripada orang yang zuhud terhadap dunia dan orang yang bersungguh-sungguh dalam beribadah”.
Imam Yusuf Ibnu Abdil Barr rh. Kitab Jaami’ Bayaanil Ilmi Wa Fadhlihi, Jilid 1 halaman 211

Imam Muhammad bin Idris Asy Syafi’e rh. (wafat 204H) berkata : Tidak ada sesuatu pun yang lebih baik setelah berbagai kewajiban syariat daripada menuntut ilmu syariat”.
Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah, Kitab Al Ilmu Fadhluhu Wa Syarafuhu, halaman 135

Keenam : Dalam hadis sahih dari Abu Darda’ Rhu. yang diriwayatkan oleh imam Abu Daud rh. imam Ahmad rh. imam Ibnu Majah rh. dan imam Tarmidzi rh. Baginda Nabi Saw. telah menyatakan kelebihan orang menuntut ilmu, yaitu :

“Sesungguhnya malaikat akan meletakkan sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu kerana redha dengan apa yang mereka lakukan. Dan sesungguhnya seseorang yang mengajarkan kebaikan akan dimohonkan ampun oleh makhluk yang ada di langit mahu pun di bumi hingga ikan yang berada di air”.

Akhirul Kalaam : Setakat ini yang termampu saya nukilkan untuk kebajikan kita bersama. Disertakan satu sabdaan Rasululah Saw. yang mengkisahkan tentang ilmu untuk renungan bersama :

“Dari Abdullah bin Umar Rhu. ia menceritakan : Rasulullah Saw. memegang dua bahuku lalu berkata : Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan sebagai orang asing atau seorang musafir, dan persiapkan dirimu termasuk orang yang akan menjadi penghuni kubur (pasti akan mati). Dan Ibnu Umar mengatakan : Jika kamu ada di petang hari, janganlah menunggu sehingga pagi. Dan jika kamu berada di pagi hari, janganlah menunggu petang. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. imam Ahmad rh. imam Ibnu Majah rh. dan imam Tarmidzi rh.

Dan Abdullah bin Mas’ud Rhu. berkata :

“Barangsiapa di antara kalian yang ingin meneladani, hendaklah meneladani para Sahabat Rasulullah Saw. Kerana mereka sesungguhnya ummat yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, paling sedikit bebannya, paling lurus petunjuknya serta paling baik keadaannya. Suatu kaum yang Allah telah pilih untuk menemani nabiNya, untuk menegakkan agamaNya, maka kenalilah keutamaan mereka serta ikutilah atsar-asarnya, kerana mereka berada di jalan yang lurus”.
Atsar sahih diriwayatkan oleh imam Ibnu Abdil Barr rh. Kitab Jaami’ Bayaanil Ilmi Wa Fadhlihi, Jilid 2 halaman 947

والله اعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام
Read more...