Thursday, May 22, 2014

Tangani Jenazah Dengan Cara Yang Benar.

0 comments
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekalian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Aku bersaksi bahawasa sesungguhnya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah (kamu) kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.”
Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 102

Para Jama’ah yang diberkati Allah Swt.,

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari qiyamat. Walau di mana saja kamu berada, kematian itu tetap akan mendapatkan kamu sekali pun kamu berada dalam kubu yang kukuh. Apabila sampainya ketika ajal maut seseorang itu, ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun. Pada kali ini penulisan saya lebih terarah kepada cara/qaedah-qaedah menangani janazah/mayat samaada Muslim mahu pun yang kafir.

Pembaca sekalian, penulisan ini lebih terarah kepada cara menangani janazah yang BUKAN MUSLIM, permintaan daripada beberapa orang sahabat saya yang sangat prihatin tatkala melihat beberapa kepincangan/kesalahan dalam menghormati ‘simati’ tersebut. Lebih tepat lagi, ia merujuk kepada kematian salah seorang tokoh politik Malaysia baru-baru ini. Ada asasnya juga keprihatinan mereka tentang masalah ini, lantaran menghormati janazah adalah tuntutan Syari’at Islam yang telah tetap hukumannya, tanpa perlu disangkal dengan hukum-hakam ciptaan sendiri, lebih-lebih lagi atas sebab kepentingan golongan tertentu.

KEMATIAN

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari qiyamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 185

Intipati dan pengajaran dari ayat ini amat jelas dan nyata, sehingga tidak memerlukan huraian panjang lebar dan boleh difahami sendiri dengan aqal yang sihat, insyaAllah  :
1.    Tiap-tiap yang bernyawa (hidup-mesti) akan merasai mati
2.    Pada hari qiyamat akan disempurnakan balasan
3.    Yang dimasukkan ke syurga, sesungguhnya dia telah berjaya
4.    Kehidupan di dunia hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya

Kematian Bagi Muslim.

Di dalam Syari’at Islam, apabila berlakunya kematian dan kita mendapat khabarnya, maka terdapat banyak perkara yang dituntut untuk kita lakukan. Ia amat luas dan rinci, namun untuk artikel ini saya catatkan beberapa sahaja dari sifat perbuatan-perbuatannya yang asas/umum  :

A.   Mengucapkan “Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepadaNya kita kembali” (إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ‎) . Ini menurut perintah Allah Swt. dalam Surah Al Baqarah (2) : ayat 256 apabila ada orang Mukmin mendapat bala dan musibah.

Seterusnya kepada para Mukminin yang mampu membuatnya dan berkesempatan, hendaklah dia menyempurnakan pula hal-hal ini :

B.   Memandikan Janazah
C.   Mengkafankan Janazah

Dari Ummu ‘Athiyah Rha. , dia berkata bahawasanya : “Rasulullah Saw. mendatangi kami di saat kami sedang memandikan puterinya (Zainab Rha.), lalu Baginda bersabda: Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara sebanyak 3 atau 5 kali atau 7 kali atau lebih dari itu jika menurut kalian diperlukan, dan jadikanlah akhir pencuciannya dengan air kapur barus atau air yang dicampur sedikit kapur barus. Apabila kalian telah selesai beritahukanlah aku. Manakala kami telah selesai, kami memberitahu Baginda, kemudian Baginda  melemparkan kain kepada kami dan bersabda : Jadikanlah kain ini sebagai pembungkusnya (kafan)…………...”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm (no. 1253), imam Muslim Rhm. (no. 939), imam Abi Dawud Rhm. (‘Aunul Ma’buud, no. 3126), imam Tirmidzi Rhm. (no. 995), imam Ibnu Majah Rhm. (no. 1458) dan imam Nasa’ie Rhm.

D.   Mensolatkan Janazah

Solat janazah hukumnya Fardhu Kifayah (gugur kewajiban ke atas seseorang Mukmin dari melakukannya apabila telah ada sebahagian Mukmin lain melakukannya)

“Dari Zaid bin Khalid Al Juhani Rhu. dia menceritakan bahawasanya ada seorang laki-laki dari Sahabat Nabi Saw. meninggal pada Perang Khaibar, kemudian Rasulullah Saw. dikhabarkan tentang perkara itu, lalu Baginda bersabda : Solatkanlah sahabat kalian. Maka berubahlah raut muka para Sahabat setelah mendengar ucapan Baginda itu. Lalu Baginda bersabda lagi : Sesungguhnya teman kalian ini telah melakukan kecurangan dalam jihad fi sabilillah. Kemudian kami memeriksa bekalnya dan kami temukan kain sulaman milik Yahudi yang harganya tidak pun sampai 2 darham”.
Hadis sahih riwayat imam Abu Dawud Rhm. (‘Aunul Ma’buud, no. 2693), imam Ibnu Majah Rhm. (no. 2838) dan imam Nasa’ie Rhm.

Seterusnya mengusung, mengiringi dan membawa ke quburan.

E.   Mengquburkan Janazah

Hukumnya wajib mengquburkan janazah sekali pun janazah orang kafir, dan tempat diquburkan itu pula di tapak qubur dan mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

“Dari Ali bin Abu Thalib Rhu. dia berkata : Aku berkata kepada Nabi Saw. : Pakcikmu seorang tua yang sesat telah meninggal dunia. Nabi bersabda : Pergilah dan segera quburkan ayahmu, kemudian jangan berkata sesuatu apa-pun (tentangya) sampai engkau datang lagi kepadaku. Aku lalu pergi mengquburkannya dan ketika aku kembali menemui Baginda, aku diperintahkan (untuk mandi), lalu aku pun mandi kemudian Baginda mendoakanku”.
Hadis riwayat imam Abu Dawud Rhm. (“Aunul Ma’bud, no. 3214)

“Rasulullah Saw. telah bersabda kepada Ali bin Abi Thalib Rhu. ketika Abu Thalib meninggal : Pergilah dan uruslah pengquburannya”.
Hadis sahih riwayat imam Nasa’ie Rhm ( no. 1895)

F.    Mendoakan Kebaikan Kepada Janazah

“Dari Utsman bin Affan Rhu. dia berkata bahawasanya apabila Rasulullah Saw. selesai mengquburkan mayat, Baginda berdiri di samping qubur dan bersabda : Mohonlah keampunan bagi saudaramu dan mohonlah kemantapan baginya kerana dia sekarang sedang ditanya”.
Hadis riwayat imam Abu Dawud Rhm. (‘Aunul Ma’buud, no. 3205) dengan sanad yang sahih

Dan boleh saja doa itu diperbuat di mana jua pun, sekiranya tidak dapat hadir bersama ke quburan. Ini dijelaskan oleh Allah Swt. :

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (khabarkan kepada mereka) : Sesungguhnya aku (Allah) sentiasa hampir/dekat (dengan mereka), aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka menyebut suruhan-Ku (dengan mematuhi suruhan-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 186

G.   Memberi Makanan/Bantuan Kepada Keluarga Simati/Anak-Anak Yatim, Bukan Berbuat Sebaliknya

Dari Abdulllah bin Ja’far Rhu. beliau berkata : Apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Talib) Rhu., Nabi Saw. bersabda : Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli (keluarga) Ja’afar (isteri-isteri dan anak-anaknya). Sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”.
Hadis riwayat imam Abu Dawud Rhm, imam Tirmidzi Rhm. dan imam Ibnu Majah Rhm. dengan sanad yang sahih

Dan kepada qaum keluarga sendiri diserukan, tugas mereka adalah jauh lebih utama lagi dalam melakukan semua hak yang tersebut diatas. Ini ditegaskan oleh Allah Swt. :

“…… dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi) di dalam Kitab Allah …..”.
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 6

Selain dari hak-hak yang dinyatakan di atas, qaum keluarga mesti :
1.    Menyelesaikan/bertanggungjawab ke atas hutang piutang beliau
2.    Menunaikan wasiyat beliau
3.    Menguruskan/memecah bahagi pusaka (harta tinggalan) beliau mengikut syara’
4.    Menjaga/memelihara anak-anak yatim yang beliau tinggalkan

Nota : Ini adalah huraian secara ringkas/bahagian kecil sahaja tentang hak mayat ke atas orang hayat (sesama Muslimin). Secara lengkap dan rinci boleh didapati dalam kuliyah Bab Ahkamul Janaiz (Hukum-Hukum Janazah). InsyaAllah, di lain masa.

Kematian Bagi Kafir (Bukan Muslim)

Apabila simati itu adalah seorang kafir, mestilah diingat benar-benar Kalamullah ini sebagai prinsip paling asas, juga sebagai pendirian kita sebagai Mukminin :

“Sesungguhnya orang-orang kafir itu, lalu mati sedang mereka tetap dalam kekafiran, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka emas separuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Bagi mereka itu siksa yang pedih dan sekali-kali mereka tidak memperoleh penolong”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 91

“Tidaklah pantas (layak) orang-orang musyrik (kafir) itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) bahawa mereka sendiri kafir. Itulah orang-orang yang sia-sia pekerjaannya, dan mereka kekal di dalam neraka”.
Surah At Taubah (9) : ayat 17

“Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik (kafir), walaupun orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahannam”.
Surah At Taubah (9) : ayat 17

“Dan janganlah kamu sekali-kali mensolati (janazah) seseorang yang mati diantara mereka (orang munafiq/kafir), dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya  (menyelenggarakan urusan pengkebumiannya). Sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan (kufur) kepada Rasul-Nya, dan mereka mati hal keadaan mereka fasiq”.
Surah At Taubah (9) : ayat 84

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir ya’ni ahli kitab dan orang-orang yang musyrik (akan masuk) ke neraka jahannam, mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk”.
Surah Al Bayyinah (98) : ayat 6

Ayat-ayat Allah Swt. ini secara sendiri jelas memberikan maksudnya tanpa perlu dihuraikan panjang lebar lagi. Intisari ringkas yang mahu saya catatkan :

1.    Mati sedang mereka tetap dalam kekafiran, bagi mereka itu siksa yang pedih

2.    Sedang mereka menjadi saksi (mengakui) bahawa mereka sendiri kafir, dan mereka kekal di dalam neraka

3.    Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang beriman memintakan ampun bagi orang musyrik, walau pun qaum kerabat, orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahannam

Sebagai seorang yang diyakini telah mencuba sebaik-baiknya menjadi seorang Muslimin, kita sewajibnya jelas dengan sejelas-jelasnya dalam perkara ini, dan tidak boleh sama sekali berdolak-dalik. Misalnya disebabkan oleh persahabatan, kebaikan, jasa dan persefahaman yang berlaku dalam mu’ammalah dengan orang kafir di dunia menjadikan kita ke tahap mengadaikan prinsip dan dasar yang telah ditetapkan oleh Allah Swt. ini. Seterusnya Allah Swt. telah memberikan pesanan :

“Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada (nabi) Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka ; Sesungguhnya kami bara’ (berlepas diri) dari kamu dan dari apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran) kamu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah semata ……..”.
Surah Al Mumtahanah (60) : ayat 4

Demikianlah ketetapan Allah Swt. dan rasul-Nya. Tiada lain sebagai seorang Mukmin, tidaklah boleh/berhak kita memilih suatu ketetapan sendiri atau yang lain dalam sesuatu perkara setelah Allah Swt. dan rasul-Nya telah pun membuat ketetapan dalam hal itu.

Disebutkan hal ini, lantaran saya menemui ada individu dan entity (berorientasikan politik) yang amat cuai dalam hal ini sehingga ke tahap “bersadaqah pahala Al Fatihah” dan “mendoakan supaya roh ditempatkan di kalangan syuhada”. Mana mungkin pernyataan sebegini diperbuat sedangkan telah sahih, soreh dan qot’ie yang Allah Swt. telah menetapkan hukum-hukum dan batasannya tentang orang kafir berbanding seorang Muslimin. Sekiranya ia suatu kesilapan, saya menyeru pihak-pihak ini menarik balik pernyataan mereka secepat mungkin. Dan jika ia disenghajakan, saya menyeru kepada para pemimpin mereka dan para alim ulama’, tolonglah ajari mereka tentang Islam dan perbetulkan semula aqidah mereka.

Nota : Amalan bersadaqah pahala bacaan Al Fatihah kepada roh orang mati tidak ditemui dalam catatan amalan Nabi Saw, para Sahabat dan para Salafus Solih. Ia adalah amalan yang baharu diada-adakan dan menjadi adat budaya komuniti Melayu Islam di nusantara.  

Natijahnya, pernyataan/kepercayaan sebegini telah menjadikan seolah-olah kafirin yang mati satu taraf/tahap sahaja dengan seorang Muslimin. Juga menjadikan agama Islam satu taraf/tahap sahaja dengan suatu millah (istilah dalam Bahasa arab yang bermaksud agama) anutan lain yang tidak diterima oleh Allah Swt. Paling menjengkelkan lagi apabila individu/entity ini pembawa label Islam. Ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali sekiranya individu/entity berkenaan berhati-hati berkata/menulis, menyemak dahulu berdasarkan ilmu, iman dan taqwa, bukannya mengikut kehendak hawa nafsu dan emosi.

Justeru itu, dalam menangani janazah orang kafir ini, marilah kita mengikut contoh tauladan yang ditinggalkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad Saw.Sesungguhnya Baginda berdiri apabila ada janazah diusung melintasi dihadapan Baginda, sama ada janazah itu Muslim mahu pun dia kafir.

“………… Abdur Rahman berkata : Aku bersama Qees bin Saad dan Sahl bin Hunaif Rhu., lalu keduanya berkata : 'Kami bersama Nabi Saw. dan melintasi di hadapannya oleh satu janazah, lalu Baginda berdiri. Diberitakan kepada Baginda bahawa ia adalah janazah seorang Yahudi. Lalu Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga satu jiwa (manusia)?”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. (no: 1250) dan imam Muslim Rhm. (no: 961)

Pengajaran : Baginda berdiri kerana janazah itu walau pun seorang yahudi, namun ia tetap jua seorang manusia.

Dari Jabir bin Abdullah Rhu. , dia berkata : Ada iringan jenazah lewat, lalu Rasulullah Saw. berdiri dan kami ikut berdiri bersama Baginda. Kemudian kami berkata : Wahai Rasulullah, janazah itu adalah janazah Yahudi. Rasulullah Saw. bersabda : Sesungguhnya kematian itu menggetarkan, maka jika kalian melihat iringan janazah, maka berdirilah.
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. (No. 1593)

Pengajaran : Baginda berdiri kerana ia mengingatkan tentang mati.

“Dari Abdullah bin Amru Rhu., dia berkata bahawasanya Nabi Saw. ditanya : Apabila janazah kafir melalui kita, adakah kita berdiri? Jawab Bagunda : Ya, berdirilah. Sesungguhnya kamu bukan berdiri untuk janazah itu, tetapi berdiri kerana membesarkan yang mencabut roh-roh (ya’ni malaikat maut).”
Hadis riwayat imam Ahmad Rhm. (no. 6573), imam Ibnu Hibban Rhm. (3053) dan dinilai sahih oleh imam Hakim Rhm. (no. 1320)

Pengajaran : Baginda berdiri kerana ia membesarkan/menghormati malaikat maut.

Kepada satu pihak lain pula, janganlah sesekali mencerca dan mencaci maki janazah sama ada dia seorang Muslim atau kafir. Perbuatan ini jelas dilarang oleh Nabi Saw. :

Dari Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar Rha. dia mengatakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda : Janganlah kamu mencaci maki orang-orang yang telah meninggal dunia. Kerana sesungguhnya mereka telah sampai pada apa yang mereka dahulukan (amalkan, baik atau buruk)."
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. (no. 1393) dan imam Darimy Rhm. (no. 2399)

Namun harus diingat, cercaan yang terlarang itu adalah memperkatakan sesuatu yang tidak benar terhadap (disandarkan kepada) janazah itu lantaran ia adalah fitnah dan perbuatan berdosa. Bagi mereka yang melakukan perbuatan fasiq, fasad, perilaku bid’ah atau perbuatan buruk lainnya, menyebutkan semua keburukan yang dilakukannya adalah diizinkan. Demikianlah juga menyebut tentang kebaikannya. Syaratnya, dari penyebutan keburukan atau kebaikan itu, ada kemaslahatan dan ‘ibrah bagi orang yang lain atau sebagai pelajaran agar tak ditiru keburukannya oleh orang lain. Manakala kebaikannya boleh dipelajari dan diteruskan.

Tidak boleh kata-kata (pujian atau celaan) itu disulami pula dengan segala macam tokok tambah sesedap rasa, sama ada memuji atau mengkeji sehingga ke tahap tidak masuk aqal. Al maklumlah dengan sifat manusia yang sarat dengan nafsu perasaan, yang dipuji itu dijulang hingga ke langit ke 7 dan yang dikeji itu pula diinjak-injak hingga ke lapisan bumi ke 7 pula. Ini perbuatan amat salah terhadap janazah seseorang lantaran apa yang layak/boleh diperkatakan itu mesti hanyalah apa yang tampak jelas sahaja dan pasti datang darinya, bukan yang terhasil dari persepsi sendiri, dengar cakap pihak lain dan disusuli pula dengan komentar melulu. 

“Dari Anas bin Malik Rhu. dia menceritakan bahawa mereka (para sahabat) pernah melewati satu janazah lalu mereka menyanjungnya dengan kebaikan. Maka Nabi Saw. bersabda : Pasti baginya. Kemudian mereka melewati janazah yang lain lalu mereka menyebutnya dengan keburukan, maka Baginda pun bersabda : Pasti baginya. Maka kemudian Umar bin Al Khattab Rhu. bertanya : Apa yang dimaqsud pasti baginya itu?. Baginda menjawab : Janazah pertama kalian sanjung dengan kebaikan, maka pasti baginya masuk syurga sedang janazah kedua kalian menyebutnya dengan keburukan, berarti dia masuk neraka kerana kalian adalah saksi-saksi Allah di muka bumi.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. (no. 1278)

Yang dimaqsudkan saksi-saksi Allah dimuka bumi itu adalah dari manusia kalangan ummat Muslimin yang adil dan berkata benar.

“Dari Abu Aswad Ad Daili Rhu. dia berkata : Aku datang ke Madinah ketika sedang dijangkiti wabak penyakit yang meyebabkan banyak orang mati. Aku pun menghampiri Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab Rhu. Ketika kami sedang duduk, lalu janazah di hadapan kami dan Umar memujinya dengan kebaikan seraya berkata : Wajib, wajib, wajib. Aku bertanya kepadanya : Apakah yang wajib wahai Amirul Mukminin?. Umar menjawab : Bilamana seorang muslim (meninggal dunia) lalu disaksikan (disanjung) oleh 4 orang muslim lainnya dengan kebaikan maka pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga. Maka kami bertanya kepadanya : Bagaimana kalau 3 orang muslim?. Dia menjawab : Juga oleh 3 orang. Kami berkata lagi : Bagaimana kalau 2 orang muslim?. Dia menjawab : Juga oleh 2 orang. Dan kami tak menanyakannya lagi bagaimana kalau 1 orang.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. (no. 1279)

Imam Yahya bin Sharaff An Nawawi Rhm. menjelaskan : Bahawa pujian dengan kebaikan adalah untuk orang-orang yang berhak untuk dipuji dengan kebaikan yaitu orang-orang yang mulia, di mana pujian terhadap mereka adalah sesuai dengan perbuatannya, maka jadilah dia termasuk penghuni syurga. Jika kondisinya tidak sedemikian, maka itu bukan yang dimaqsudkan oleh hadis ini. Dan jika perbuatannya tidak demikian (seperti disebut), maka janganlah pula kamu memastikan bahawa dia mendapat hukuman, tetapi katakanlah bahawa dikhuatirkan dia akan mendapat hukuman.

Jika dikatakan, bagaimana boleh mencaci janazah dengan menyebutkan keburukannya dibenarkan, padahal telah ada hadis sahih (Bukhari) yang menjelaskan larangan! Maka jawabnya, larangan mencerca janazah adalah untuk selain orang munafiq dan orang kafir seluruhnya, dan untuk selain orang yang terang-terangan menampakkan kefasiqan dan kebid’ahan. Sebab, tidak dharamkan menyebut keburukan mereka, yang bertujuan untuk menjauhkan manusia dari jalan mereka, dari dari mengikuti ajaran-ajaran mereka, serta berakhlak dengan akhlak mereka. Hadis ini berkenaan dengan orang yang sudah terkenal dengan kemunafiqannya atau yang sejenisnya. Inilah jawaban yang benar tentang masalah tersebut.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 5, halaman 56-57

Berkenaan hukum ke atas amalan ummat Muslimin di Malaysia yang turut mengunjungi janazah kafirin serta melakukan perbuatan amalan semasa seperti mengucapkan ta’ziah, menandatangani buku kehadiran, memberi sumbangan dan kadang kala diikuti beberapa ritual lain, saya tidak menemukan keterangan adanya perbuatan sebegini dari amalan Nabi Saw. Adalah diharapkan penanya dapat menghubungi pihak lain yang lebih alim dan faqih lagi berbanding saya untuk mendapatkan penjelasan tentang hal ini serta hukumnya. Saya amat dhaif serta tidak cukup ilmu pengetahuan untuk memberi jawaban mahu pun mengulas terhadap persoalan ini. Sekiranya saya sebutkan juga, ia hanyalah dari emosi semata, dan tidaklah layak sekali-kali keputusan hukum datangnya dari perasaan dan persangkaan.

Yang saya temui sebagai contoh terhampir, hanyalah pernah Nabi Saw. hadir menziarahi seorang anak yahudi yang sedang sakit akan mati (sakaratul maut). Baginda hadir seraya menyerukan Islam kepadanya sebelum dia meninggal dunia. Alhamdulillah beliau meninggal dalam Islam. Kisah ini dinyatakan dalam hadis seperti berikut :

“Dari Anas bin Malik Rhu. dia berkata : Seorang anak yahudi yang berkhidmat dengan Nabi Saw. telah jatuh sakit, maka Baginda telah datang melawatnya. Baginda duduk di sisi kepala serta berkata kepada anak itu : Terimalah Islam (ya’ni masuklah kamu ke dalam agama Islam). Anak itu melihat kepada bapanya yang berada di sisinya, lalu bapanya itu berkata kepadanya : Patuhlah kepada seruan Abu Al Qasim ini. (mendengar bapanya berkata demikian) dia terus menerima agama Islam (dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, dan selepas itu meninggal dunia). Selepas itu, Nabi Saw. keluar dari tempat itu lantas bersyukur kepada Allah dengan ucapan : Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan dia dari api neraka.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. (no. 5657), imam Ahmad Rhm. (no. 12381) dan imam Abu Dawud Rhm. (no. 3095)

Setakat ini dahulu yang dapat saya nukilkan dalam hal ini, pada kali ini. Moga-moga catatan ringkas ini memberi manfaat dan telah membantu memberi kefahaman kepada Jama’ah dan para pembaca semua, insyaAllah. . 

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 comments: