Isnin, 31 Oktober 2016

KEBENARAN : Status Kisah Angin Ahmar

0 ulasan


On Monday, October 17, 2016 10:58 AM, wrote :

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Semoga ustaz dalam keadaan baik dan dirahmati Allah sentiasa

Sekarang ini tersebar merata rata kisah tentang satu jin bernama raihul ahmar yang berdialog dengan Nabi Sulayman ahs. dengan alkisahnya, rasukan oleh jin inilah yang menyebabkan berlakunya angin ahmar (lumpuh/stroke) kepada manusia.

Saya nak mohon pengesahan dari ustaz, betulkah kisah dan punca angin ahmar ini serta doa yang disebutkan jka diamal, boleh hilangkan penyakit angina ahmar ini.

Jasa baik ustaz sangat saya hargai.


والسلام


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Saya mempercayai berlakunya angin ahmar atau stroke ke atas manusia bukan kerana rasukan jin. Sedikit butiran yang boleh saya berikan tentang hal penyakit ini :

Angin ahmar / stroke adalah satu masalah kesihatan yang diakibatkan oleh (1) salur darah tersumbat dan/atau (2) salur darah pecah, yang menyebabkan bekalan darah ke sebahagian otak diganggu. Bahagian otak tersebut tidak lagi menerima oksigen yang mencukupi dan oleh itu, sel-sel otak akan rosak atau mati, dan mengakibatkan bahagian badan yang dikuasai oleh bahagian otak itu tidak dapat berfungsi (lumpuh). Ini merupakan kecederaan saraf yang serius dan gejalanya ialah kehilangan fungsi saraf secara tiba-tiba. Kesan paling jelas adalah lumpuh anggota badan (bahagian yang terlibat) atau ke tahap kematian mengejut.

Punca angin ahmar termasuk lanjut umur, darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi, dan merokok. Istilah "serangan otak" kini semakin luas digunakan untuk angin ahmar, disebabkan penyakit ini adalah padanan seiras untuk "serangan jantung" yang merupakan masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah tersumbat dan bekalan darah ke sebahagian jantung diganggu.

Butiran lanjut mesti didapatkan dari pakar perubatan.

Berkenaan kisah dialog antara Nabi Sulayman ahs. dengan jin yang mengaku bernama raihul ahmar, yang akhirnya disebutkan bahawa rasukan oleh jin inilah yang menjadi punca serangan angin ahmar, saya sendiri pon ada menerima kisah tersebut dari rakan menerusi media sosial. Namun apabila saya memohan supaya diberikan asal muasal/dasar rujukan kepada kisah tersebut, tiada siapa pon yang membalasnya.

Sudah lama saya mendengar kisah ini, sejak kecil-kecil lagi sudah mendengarnya. Namun dari dahulu hingga sekarang, tiada sesiapa ;pon yang dapat menunjukkan periwayatan/sanadnya untuk disemak dan ditahqeeqkan. Ada beberapa orang menyebut dan menyebarkannya dengan alasan “ada dalam kitab”. Sehingga sekarang juga apa butiran kitab itu tidak pula diberikan. Jika benar ada, baguslah kerana semakan boleh dibuat.

Apa yang boleh saya katakan adalah, kisah ini bathil dan langsung tidak berdasar. Maka ia tidak boleh dipercayai, dipegangi dan disebarkan.

Sedikit peringatan kepada diri saya sendiri dan semua sahabat jamaah, sesuatu yang dikaitkan / disandarkan kepada Nabi Muhammad Saw, cucu kesayangan Baginda : Husin dan dikaitkan pula dengan Nabiyullah Sulayman ahs. wajib bersifat sohih, soreh dan qot’ie. Jika tidak, ia hanyalah kisah rekaciptaan semata-mata yang pasti sekali akan mencampakkan pencipta dan penyebarnya ke dalam neraka.

Semoga maklumbalas saya ini telah menjawab pertanyaan dan telah membantu.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

سكيان , والسلام


Read more...

Cinta Haqiqi Hanya Untuk Allah.

0 ulasan


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Para sahabat jamaah yang dikasihi, pilihlah jalan kebaikan agar redho Allahu Ta’ala senantiasa mengiringi hidup kita.



4 Amalan Menggapai Cinta Ilahi

Dari Mu’adz bin Jabal Rhu. dia berkata, telah bersabda Rasulullah Saw. :
“Allahu Ta’ala berfirman (yang artinya) : ‘Orang yang saling mencintai kerana-Ku pasti diberikan cinta-Ku, orang yang saling menyambung kekerabatannya kerana-Ku pasti diberikan cinta-Ku dan orang yang saling menasihati karena-Ku pasti diberikan cinta-Ku serta orang yang saling berkorban kerana-Ku pasti diberikan cinta-Ku. Orang-orang yang saling mencintai kerana-Ku (nanti di akhirat) berada di mimbar-mimbar dari cahaya. Para Nabi, siddiqin dan orang-orang yang mati syahid merasa iri dengan kedudukan mereka ini”.
Riwayat imam Ahmad Rhm. dalam kitab Al-Musnad dan disohihkan Syaikh al-Albani dalam kitab Sohih Jami’ us-Saghir, no. 4198.

Penjelasan Hadits

Semua orang merasakan dia mencintai Allahu Ta’ala, tidak terkecuali pengikut agama Yahudi atau pon Nasrani. Semua merasa telah mencintai Allahu Ta’ala dan mengakui beragama pon kerana ingin mencintai Allah. Orang Nasrani ingin menunjukkan kecintaannya kepada Allahu Ta’ala, terkadang ada yang sesuai dengan kehendak Allah dan ada juga yang menyelisihi kehendak Allah. Orang Yahudi pon dalam rangka mencintai Allah pon berperilaku sebegitu.

Dan para Muslimin yang jahil dan/atau juga terpesong pemahamannya tetap jua mengakui dan merasai mencintai Allah. Namun, mereka tidak dicintai Allahu Ta’ala lantaran amalan, perbuatan dan kepercayaan tidak seiring dengan ketetapan Allahu Ta’ala dan rasul-Nya, kecuali apabila mereka kembali berada diatas perkataan dan amalan yang membuat Allah cinta dan redho kepadanya.

Sebahagian salaf menyatakan : yang penting bukan mencintai namun yang sangat penting sekali adalah bagaimana dicintai“. Kalau demikian, sesaorang akan berusaha untuk mencapai dan mendapat kecintaan Allah. Kecintaan Allah kepada manusia adalah sesuatu yang diinginkan oleh semua orang. Namun hal ini hanya dapat tercapai dengan semangat mencari ilmu dan mengenal amalan dan perkataan yang Allah cintai dan redhoi. Justeru, bila mengetahui bagaimana Allah mencintai hamba-Nya atau mengetahui sebab-sebab Allah mencintai hamba-Nya, maka akan muncullah usaha untuk mendapatkan kecintaan Allah, mengikut landasan yang Allahu Ta’ala sendiri gariskan.

Dalam matan khabar rabbani (hadits qudsi) yang mulia ini, Rasulullah Saw. telah menjelaskan amalan-amalan yang dapat mendatangkan kecintaan dari Allahu Ta’ala, yang langsung dengan ungkapan firman Allah Ta’ala. Dalam hadits qudsi ini Allah Ta’ala memerintahkan kita untuk mewujudkan empat hal yang menjadi sebab kita menjadi hamba-Nya yang dicintai :

1.         Perintah saling mencintai kerana Allah;
2.         Perintah saling menasihati kerana Allah;
3.         Perintah saling menyambung persaudaraan kerana Allah;
4.         Perintah saling berkorban kerana Allah.

Demikianlah Allahu Ta’ala sendiri telah tunjukkan kepada kita empat amalan menggapai kecintaan dan keredhoan-Nya.

Kemudian diantara langkah-langkah mewujudkan hal tersebut adalah :

1.         Memperbaiki aqidah dan iman hingga menjadi sempurna;
2.         Mengingat keempat amalan ini dicintai dan diridhai Allah;
3.         Menelaah benar sirah (sejarah kehidupan) Rasulullah Saw. dan para salafus Solih dan mempraktikkannya. Caranya, dengan mengetahui konsep dan tuntunan ajaran mereka sehingga akan muncul keinginan dan kecintaan untuk meniti dan mengikuti jejak langkah mereka;
4.         Mengingat akibat baik dan pahala yang didapatkan dari empat amalan ini. Semoga kita dapat mewujudkannya, insya’Allah.

Beberapa Pelajaran dari Hadits ini

1.         Saling mencintai, menasihati, menyambung persaudaraan dan sedia berkorban kerana Allahu Ta’ala semata, adalah 4 amalan untuk menggapai cinta ilahi;
2.         Urgensi empat amalan ini yang akan memperkukuh barisan, menyatukan langkah dan mempertautkan hati.
Wallahu a’lam

Haqiqat Cinta

Cinta adalah sesuatu yang tidak akan habis jika dibahas dan dikupas. Kerana setiap orang memiliki pengertian dan gambaran masing-masing tentang cinta. Namun pembahasan kali ini, akan membahas erti cinta makhluq kepada Sang Khaaliq. Rasa cinta ini dalam Islam disebut juga dengan Mahabbah.

Mencintai Allahu Ta’ala termasuk ibadah, bahkan ia merupakan haqiqat ibadah itu sendiri. Seandainya saorang hamba melakukan ibadah tanpa adanya rasa cinta, maka ibadah tersebut tidak akan pernah terasa nikmat. Berbeza jika sesaorang melakukan ibadah dengan rasa cinta kepada Allahu Ta’ala, maka ia akan mendapati manisnya iman dalam ibadahnya. Secara umum, rasa cinta terbahagi menjadi 2, yaitu rasa cinta yang termasuk ibadah dan rasa cinta yang bukan termasuk ibadah

Rasa Cinta yang Bernilai Ibadah

Yaitu rasa cinta yang mengharuskan pelakunya memiliki rasa tunduk dan pengagungan kepada Allahu Ta’ala. Melakukan apa yang Allahu Ta’ala perintahkan dan menjauhi apa yang Dia larang. Rasa cinta ini hanya boleh diberikan kepada Allahu Ta’ala semata, sehingga tidak boleh jika diberikan kepada selain-Nya.

Rasa Cinta yang Bukan Ibadah

Rasa cinta ini ada banyak macamnya :

1.         Rasa cinta kerana Allah
Contohnya, mencintai sesaorang kerana orang tersebut adalah orang yang gemar melakukan amal sollih seperti solat, puasa, zakat, bersadaqah dan lain-lain.

2.         Rasa cinta kerana kasih dan sayang
Contohnya, menyayangi ibu-bapa, isteri, anak kandungnya, orang-orang lemah, orang-orang sakit, anak kecil dan lain-lain.

3.         Rasa cinta kerana penghormatan
Contohnya, rasa cinta seorang anak kepada kedua orang tuanya, rasa cinta sesaorang kepada gurunya dan kepada orang yang lebih tua darinya.

4.         Rasa cinta yang merupakan tabi’at manusia
Contohnya rasa cinta terhadap suatu makanan, minuman, pakaian, kenderaan, rumah dan lain-lain.

Sedangkan secara hukum Islam, rasa cinta dibahagi menjadi 4 jenis

1.            Cinta yang hukumnya wajib

Cinta yang hukumnya wajib adalah cinta kepada Allahu Ta’ala dan Rasul-Nya. Mencintai apa yang Allah dan Rasul-Nya cintai, dan membenci apa yang Allah dan Rasul-Nya benci. Mitsalnya, mencintai orang yang mentauhidkan Allahu Ta’ala, dan membenci orang yang menyekutukan Allah. Mencintai orang yang menjalankan sunnah Nabi Saw., dan membenci orang yang tidak mahu melakukan apa yang Baginda contohkan.

2.         Cinta yang hukumnya mubah

Cinta yang ini hukumnya boleh/harus, kerana hal ini merupakan tabi’at setiap manusia, yang tidak boleh tidak setiap manusia pasti memilikinya. Mitsalnya, adalah rasa cinta orang tua kepada anaknya, dan sebaliknya. Rasa cinta suami kepada isterinya, dan sebaliknya.

3.         Cinta yang hukumnya haram

Syarat cinta menjadi haram adalah jika rasa cinta itu melebihi rasa cinta kepada Allahu Ta’ala dan Rasul-Nya, dan para pelakunya menjadi fasiq. Allahu Ta’ala berfirman (yang artinya) :
“Katakanlah, jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, qaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq”.
Surah At Taubah : ayat 24

4.         Cinta yang hukumnya syirik

Cinta yang hukumnya syirik adalah rasa cinta yang disertai pengagungan dan ketundukan kepada sesuatu yang selain dari Allahu Ta’ala. Dua hal tersebut yang menjadi tolak ukur apakah status cinta yang hukum asalnya mubah atau haram menjadi cinta yang hukumnya syirik. Allahu Ta’ala berfirman (yang artinya) :
“Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah”
Surah Al-Baqarah : ayat 165

Ayat di atas memiliki 2 tafsiran, yaitu :

a.         Rasa cinta orang-orang musyrik kepada berhalanya, sama dengan rasa cinta orang-orang yang beriman kepada Allah.
b.         Orang-orang musyrik selain mencintai Allah, mereka juga memberikan rasa cinta kepada selain Allah. Mereka menduakan Allah dalam cintanya.

Mendapatkan Manisnya Iman dengan Mencintai Allah

Rasulullah Saw. ada bersabda : “Ada 3 hal, jika seseorang memilikinya ia akan merasakan manisnya Iman, yaitu :

1.         Dia menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada selain keduanya,
2.         Dia mencintai sesaorang kerana cinta kepada Allah,
3.         Dan dia membenci kembali kepada kekafiran sebagaimana ia tidak ingin dilemparkan kembali ke neraka.”

Riwayat imam Bukhari dan Muslim Rhm. dalam kitab sohih mereka berdua

Hayati dan Ikutilah Cintanya Umar Al Khattab Rhu

Semaklah sebuah kisah saorang sahabat yang mulia, Amirul Mukminin Umar bin Khattab Rhu. tentang rasa cintanya kepada Nabi Saw., dia berkata :
“Sesungguhnya engkau wahai Rasulullah, adalah orang yang paling aku cintai dari segala sesuatu kecuali diriku sendiri.” Nabi Saw. lalu berkata : “Tidak! Demi Dzat yang jiwaku berada di Tangan-Nya, sampai aku lebih engkau cintai dari dirimu sendiri.” Maka Umar pon berkata kepada Nabi : “Sekarang ini, Demi Allah engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Maka Nabi Saw. bersabda : “Sekarang (telah sempurna rasa cintamu padaku) wahai Umar.”
Riwayat imam Bukhari Rhm. sohih

Demikianlah haqiqat cinta luhur dan agung yang ditunjukkan oleh manusia serba hebat Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab Rhu. Pelajaran dari hadits ini : cinta yang haqiqi adalah cinta yang tulus suci hanya kepada Allahu Ta’ala dan rasul-Nya, dengan mematuhi dan mentaati segala titah perintah-Nya, diikuti meninggalkan dan membenci segala macam larangan-Nya. Inilah cinta yang benar tulus dan menggapai redho dan cinta Allahu Ta’ala.

Akhiirul Kalam

Tidaklah pantas bagi seorang Muslim, cintanya kepada Allahu Ta’ala dia duakan kerana lebih mendahulukan cintanya kepada manusia, hartanya, tempat tinggalnya, duniawinya dibanding cintanya kepada Allah. Sehingga ketika perintah Allahu Ta’ala bertentangaan dengan kepentingan dunianya, maka ia tinggalkan perintah Allah tersebut. Dari Sahabat Anas bin Malik Rhu., bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda :
“Tidaklah (sempurna) iman kalian sampai aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia.”
Riwayat imam Bukhari dan Muslim Rhm. dalam kitab sohih mereka berdua

Petikan dan ringkasan : Kitab Al-Qaulul Mufid ála Kitabit Tauhid, karya Syaikh Muhammad bin Solih al-Útsaimin Rhm.

Demikian yang dapat saya nukilkan kali ini, semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang yang paling berakhlaq mulia, baik kepada Allahu Ta’ala dan Rasul-Nya, mahu pon juga kepada sesama makhluq Allahu Ta’ala, dan agar kita tergolong bersama orang-orang yang mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat nanti.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

سكيان , والسلام


Read more...