Khamis, 9 Oktober 2014

Asas Jihad Menurut Islam (siri 2)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Sambungan ……….

Jihad Adalah Perintah Allah Ta’ala dan Amat Mulia Disisi-Nya

Melakukan amalan jihad merupakan suatu perintah langsung dari Allah Swt, ke atas setiap ummat hamba-Nya. Perintah ini jelas ternyata tanpa dapat dibolak-balikkan atau ditanggapi sesedap rasa. Antara Kalamullah yang menjelaskan perkara ini :

“Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kesukaran bagimu dalam agama. (Ikutilah) agama nenek moyangmu Ibrahim (Ahs), Dia (Allah) telah menamakan kamu orang-orang Muslim sejak dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur’an) ini, agar Rasul (Muhammad) itu menjadi saksi atas dirimu, dan agar kamu semua menjadi saksi (pula) atas segenap manusia. Maka laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat dan berpegang teguhlah kepada Allah. Dia-lah Pelindungmu, Dia Sebaik-baik Pelindung dan Sebaik-baik Penolong”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 78

Ayat suci ini begitu jelas menyuruh kepada jihad dan jihad yang dituntut itu adalah yang haq ya’ni berpegang teguh kepada jalan Allah Ta’ala. Jihad itu mestilah dilaksanakan dalam apa jua keadaan sama ada ringan atau berat, juga meliputi segenap harta dan sekali pun sehingga melibatkan pertaruhan jiwa.

“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan atau dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”.
Surat At Taubah (9) : ayat 41

Imam Asy Syaikh Muhammad bin Abu Bakar Ibnu Qayyim Al Jauziyyah Rhm. menukilkan penjelasan amat menarik untuk dikongsikan bersama dalam kitab beliau Thariiqul Hijratain Wa Baabus Sa’adatain (halaman 345-346). Daar Ihya-ut Turats Al Araby, Beirut. Cetakan 1, 1424H. Beliau mengatakan :

Orang-orang yang berjihad di jalan Allah Azza Wa Jalla, mereka adalah tentera Allah Ta’ala. Dengan mereka, Allah Azza Wa Jalla menegakkan agama-Nya, melawan serangan musuh-musuh-Nya, menjaga kehormatan Islam dan melindunginya. Mereka adalah orang-orang yang memerangi musuh-musuh Allah Ta’ala agar agama (dan seluruh alam) ini seluruhnya menjadi milik Allah Ta’ala dan hanya kalimat Allah Ta’ala yang tertinggi (melebihi apa jua pun). Mereka telah mengqurbankan diri mereka dalam rangka mencintai Allah Azza Wa Jalla, membela agama-Nya, meninggikan kalimat-Nya serta melawan serangan para musuh-musuh-Nya.

Mereka mendapat limpahan pahala dari setiap orang yang mereka lindungi dengan pedang-pedang (dan jiwa) mereka dalam setiap setiap perbuatan yang mereka itu kerjakan, walau pun mereka itu hanya tetap tinggal didalam rumah mereka. Mereka mendapat ganjaran pahala sepertimana pahala orang-orang yang beribadah penuh tunduk dan khusyu’ kepada Allah Azza Wa Jalla, dengan sebab jihad dan penaklukan mereka, lantaran kerana merekalah yang menyebabkan orang-orang itu boleh beribadah kepada Allah Ta’ala (dengan selesa).

Allah Azza Wa Jalla telah memposisikan penyebab ke tiap tingkatan pelaku dalam ganjaran pahala atau pun dosa (yang berhujung dengan syurga atau neraka di akhirat nanti). Dan kerana inilah, masing-masing yang mengajak kepada petunjuk yang benar, akan mendapat ganjaran pahala yang besar dari amalan perbuatan tiap-tiap orang yang mengikut mereka, dan seseorang yang mengajak kepada kesesatan bakal mendapat dosa yang semisal dari tiap-tiap amalan orang-orang yang mengikuti mereka.

Dan telah jelas ayat-ayat Al Qur’an dan nas-nas hadis yang mutawatir yang memerintahkan untuk berjihad. Dan pujian tertinggi bagi orang-orang yang berjihad juga khabar gembira bagi mereka bahawa disisi Rabb mereka terdapat berbagai macam kemuliaan dan pemberian-pemberian (ni’mat) yang berlimpah ruah. Dan sukuplah dari dalil tersebut firman Allah Ta’ala :

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari adzab yang pedih?”
Surah As Saff (61) : ayat 10

Sehingga jiwa-jiwa (yang beriman dan tunduk patuh) menjadi amat rindu untuk menggapai perniagaan yang amat menguntungkan ini sepertimana yang ditunjukkan oleh Allah, Rabb semesta alam, yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, yang seterusnya berfirman menjelaskan :

“(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu ..… “.
Surah As Saff (61) : ayat 11

Seakan-akan jiwa bersifat kikir terhadap kehidupannya dan kelangsungan hidupnya, maka Allah Azza Wa Jalla melanjutkan firman-Nya :

“,..,,,, itulah yang lebih baik jika kamu mengetahui”. Surah As Saff (61) : ayat 11

Seluruhnya ini membawa arti bahawa, jihad itu lebih baik (afdhal) bagi kalian daripada kesenangan dan kesukaan kalian terhadap kehidupan dan kesihatan. Sepertinya jiwa berkata : Apa yang kami dapati (perolehi) daripada jihad?. Kemudiannya Allah Azza Wa Jalla yang Maha Mengetahui cetusan rasa para hamba-Nya lalu menjawab :

“Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu …..”. Surah As Saff (61) : ayat 12

Selain keampunan dari-Nya, Allah Swt. meneruskan ni’mat-Nya dengan berfirman :

“ …. Dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Demikian itulah kemenangan yang agung”.
Surah As Saff (61) : ayat 12

Seolah-olah jiwa terus bertanya lagi : Itu balasan di akhirat, sedang di dunia ini apa balasan bagi kami?. Demikianlah Dzat Yang Maha Mengetahui segala isi hati ini menjawab dengan berfirman :

“Dan ada lagi kurnia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waqtunya). Dan sampaikanlah khabar gembira (ini) kepada orang-orang mukmin”.
Surah As Saff (61) : ayat 13

Sungguh demi Allah Ta’ala, manisnya untaian kata-kata di atas. Betapa lekatnya di lubuk hati, betapa kuat daya tariknya kepada hati, betapa seninya masuk ke dalam hati seorang pencinta. Betapa agungnya kekayaan hati dan kehidupannya ketika ia bersentuhan dengan makna ayat-ayat di atas. Kita berdoa memohon kurnia dari Allah Ta’ala (untuk kita menjadi seorang penjihad) kerana Dia Maha Dermawan dan Maha Mulia.

Jihad Adalah Ibadah Utama

Jihad merupakan suatu perintah yang mesti diperbuat oleh setiap ummat Muslimin, ia lebih utama dari sebahagian ibadah lainnya. Demikianlah yang dijelaskan oleh Allah Ta’ala :

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) mema’murkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? (Sesungguhnya) Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang dzalim.
(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang mema’murkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripada-Nya dan keredhaan serta syurga; mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.
Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar”.
Surah At Taubah (9) : ayat 19-22

Syaikhul Islam Ahmad bin Abdul Halim Ibnu Taimiyah Rhm. menyatakan definisi umum perkataan jihad dalam hadis dan ayat ini : Tidak diragukan lagi bahawa jihad dan melawan orang yang menyelisihi para rasul dan mengarahkan pedang syari’at kepada mereka serta melaksanakan kewajiban-kewajiban disebabkan pernyataan mereka, untuk menolong para nabi dan rasul dan untuk menjadi pelajaran berharga bagi yang mengambilnya sehingga dengan demikian, orang-orang yang menyimpang menjadi lesu dan lalai, termasuk amalan yang paling utama yang Allah Ta’ala perintahkan kepada kita untuk menjadikannya ibadah mendekatkan diri kepada-Nya.
Dipetik dari makalah berjudul Dhwabith Jihaad Fi Al Sunnah Al Nabawiyah oleh Dr. Muhammad Umar Bazamul hal. 4 menukil dari kitab Al Radd ‘Ala Al Akhna’I oleh Ibnu Taimiyah Rhm. halaman 326-329

Peri pentingnya jihad sebagai ibadah yang amat dituntut dan utama di dalam syari’at Islam dinyatakan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. :

Dalam sebuah hadis sahih diriwayatkan bahawa sewaktu Basyir bin Khashashah Rhu. datang untuk berbai’at kepada Rasulullah Saw, dia berkata : Untuk apa lagi saya berbai’at kepadamu wahai Rasulullah?, lalu dia menyebutkan beberapa perkara dalam Islam yang diingatinya : solat, puasa, zakat, haji dan jihad. Kemudian dia melanjutkan kata-kata : Saya sudah berbai’at kepadamu atas semuanya kecuali jihad dan sadaqah, lantaran saya tidak mempunyai kemampuan untuk mengerjakannya. Lalu jawaban yang Baginda saw. berikan : Wahai Basyir, jika tidak berjihad dan tidak bersadaqah, lalu dengan apa kamu masuk syurga?”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm.

Demikian agungnya perkara amalan jihad ini, sehingga menuntut setiap Muslimin melakukannya untuk menggapai cinta dan keredhaan daripada Allah Ta’ala. Tentu sahaja ia menuntut pelakunya untuk komited terhadap ketentuan dan batasan syari’at, komited terhadap batasan dan hukum Al Qur’an dan Sunnah Nabi Saw., merealisasikan sasaran dan tujuan syari’at tanpa meninggalkan satu pun ketentuan dan batasannya, agar selamat dari sikap ekstrim, melampau dan berlebihan sehingga jihadnya menjadi jihad syar’ie di atas As Siraatul Mustaqim dan dia mendapatkan akibat dan pahala yang besar atas amal jihad itu di akhirat nanti.

Keutamaan ibadah jihad dinyatakan lagi oleh Nabi Saw. :

Dari Abu Hurairah Rhu, dia berkata : Dikatakan kepada Nabi Saw., amalan apakah yang setara dengan jihad fii sabilillah? Nabi Saw. bersabda : Kalian tidak boleh (bermaqsud mengerjakan amalan yang setara dengan jihad). Para Sahabat mengulangi pertanyaan itu 2 kali atau 3 kali, dan tetapi Baginda tetap menjawab yang sama : Kalian tidak boleh (bermaqsud mengerjakan amalan yang setara dengan jihad). Kemudian Nabi Saw. telah bersabda pada kali ke 3 : Perumpamaan orang yang berjhad di jalan Allah itu seperti orang yang berpuasa, solat dan khusyu’ membaca ayat-ayat Allah. Dia tidak berhenti dari puasa dan solatnya itu sehingga orang-orang yang berjihad di jalan Allah Ta’ala itu kembali”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. (no. 1878), imam Ibnu Abi Syaibah Rhm. dan imam Ibnu Hibban Rhm.

Hadis dibawah ini memperjelaskan lagi keutamaan amalan jihad.

“Dari Abu Qotadah Rhu. dia menceritakan dari Rasulullah Saw.. Bahawasanya Baginda telah berdiri di kalangan mereka (para Sahabat) kemudian menyatakan : Sesungguhnya Jihad Fii Sabilillah dan iman kepada Allah adalah amal-amal yang paling utama. Maka berdirilah seseorang kemudian dia berkata : Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat tuan sekiranya saya terbunuh fii sabilillah, apakah semua dosa-dosa saya terhapus?. Lalu Baginda menjawab : Ya, jika engkau terbunuh fii sabilillah sedangkan engkau sabar, semata-mata mencari pahala, maju terus dan tidak mundur. Kemudian Baginda bersabda lagi : Bagaimana tadi apa yang engkau katakan?. Maka orang itu bertanya semula : Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat tuan sekiranya saya terbunuh fii sabilillah, apakah semua dosa-dosa saya terhapus?. Lalu Baginda menjawab : Ya, jika engkau terbunuh fii sabilillah sedangkan engkau sabar, semata-mata mencari pahala, maju terus dan tidak mundur kecuali hutang (tidak akan terhapus sehingga dilunasi), kerana sesungguhnya Jibril Ahs. mengatakan yang sedemikian kepadaku”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. (no. 1885) 

Kalamullah dan hadis-hadis di atas telah memperjelaskan serta menjawab segala persoalan bahawa jihad merupakan suatu ibadah yang utama, yang amat dituntut ke atas ummat Muslimin. Ia bukan sesuatu bid’ah yang direkacipta malah ia secara langsung diperintahkan oleh Allah Swt. dan junjungan mulia rasul-Nya.

Maqsud Tujuan Jihad Disyari’atkan

Adalah pasti bahawa Allah Ta’ala tidak sesekali mewajibkan dan mensyari’atkan sesuatu ke atas hamba-Nya tanpa adanya asbab juga maqsud tujuan yang agung. Demikianlah juga ibadah jihad, yang disyari’atkan untuk tujuan-tujuan tertentu yang telah dijelaskan oleh para ulama dalam pernyataan-pernyataan mereka. Di sini akan disampaikan sebahagian pernyataan tersebut agar dapat kita fahami maqsud dan tujuan jihad dalam Islam.

Syeikhul Islam Ahmad bin Abdul Halim Ibnu Taimiyah Rhm. menyatakan : Maqsud tujuan ibadah jihad adalah meninggikan kalimat Allah Ta’ala dan menjadikan agama seluruhnya hanya untuk Allah Ta’ala semata.
Kitab  Majmu’ Al Fatawa, Jilid 15, halaman 170

Beliau Rhm. seterusnya menyatakan : Maqsud tujuan ibadah jihad adalah agar tidak ada sesuatu yang disembah kecuali Allah Ta’ala semata-mata, sehingga tidak ada seorang pun yang berdoa, solat, sujud dan puasa untuk selain Allah Ta’ala. Tidak berumrah dan berhaji kecuali ke rumah-Nya (Ka’bah), tidak disembelih sembelihan kecuali untuk-Nya dan tidak bernazar dan bersumpah kecuali dengan-Nya.
Kitab  Majmu’ Al Fatawa, Jilid 35, halaman 368

Syeikh Abdurrahman bin Nashir Al Sa’di Rhm. menyatakan: Jihad ada dua jenis;
(Pertama) jihad dengan tujuan untuk kebaikan dan perbaikan qaum Mukminin dalam aqidah, akhlak, adab (perilaku) dan seluruh perkara dunia dan akhirat mereka serta pendidikan mereka baik ilmiyah dan amaliyah.
Jenis ini adalah induk jihad dan tonggaknya, serta menjadi dasar bagi jihad yang (Kedua) yaitu jihad dengan maqsud menolak orang yang menyerang Islam dan qaum Muslimin dari kalangan orang kafir, munafiqin, mulhid dan seluruh musuh-musuh agama Islam dan menentang mereka (sekuat-kuatnya).
Kitab Wujub Al Ta’awun Baina Al Muslimin, sebahagian dari Kitab Al Majmu’ah Al Kaamilah, Jilid 5 halaman 186

Dalam Kitab Majmu’ Fatawa Wa Maqaalat Mutanawi’ah, Jilid 18 halaman 70, Syeikh Abdulaziz bin Abdullah bin Baaz Rhm. menyatakan : Jihad terbagi menjadi dua yaitu Jihad Al Tholab (menyerang) dan Jihad Al Daf’u (Bertahan). Maksud tujuan keduanya adalah menyampaikan agama Allah Ta’ala dan mengajak orang mengikutinya, mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya Islam dan meninggikan agama Allah Ta’ala di muka bumi serta menjadikan agama ini hanya untuk Allah Ta’ala semata, sebagaimana dijelaskan oleh Allah Ta’ala :

“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang dzalim.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 193

Dan lagi :

“Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah.
Surah Al Anfal (8) : ayat 39

Dan ayat yang semakna dengannya banyak lagi.
 Di dalam Al-Quran terdapat kira-kira 121 ayat yang menyentuh persoalan perintah memerangi orang kafir yang memerangi Islam.

Dan, Nabi Saw. sendiri menyatakan :

“Aku diperintahkan memerangi manusia hingga mereka bersaksi dengan syahadatain, menegakkan solat dan menunaikan zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian maka darah dan harta mereka telah terjaga dariku kecuali dengan hak Islam, dan hisab mereka diserahkan kepada Allah.“
Hadis sahih *Muttafaqun Alaihi

Dari keterangan para ulama diatas yang berpandukan dalil-dalil syara’, menjelaskan bahawa maqsud tujuan ibadah jihad disyari’atkan adalah untuk menegakkan Ad Diin ul Islam dimuka bumi ini setinggi-tingginya sehingga melepasi apa-apa jua yang lain dan hanyalah Allah Ta’ala yang disembah dengan sebenar-benarnya. Demikianlah maqsud dan tujuannya. Ia bertepatan sekali dengan makna Pada Jalan Allah (Fii Sabilillah) dan tidak kepada selain dari itu. Inilah juga maqsud yang dinyatakan oleh Allah Ta’ala bahawa jihad para Muslimin adalah hanyalah kepada-Nya dan untuk-Nya :

“Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.
Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari qaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata : Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang dzalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh).
Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah ; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan toghut (syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 74, 75 dan 76

Seterusnya ini memberitahu, jihad bukanlah sekali-kali boleh diselewengkan maqsud atau diperbuat atas nama dendam juga kepentingan peribadi, individu  atau golongan, bukannya memenuhi nafsu serakah, tidak juga kerana memenuhi aspirasi ideology politik ciptaan manusia, bukan juga untuk membesarkan apa jua sistem, dogma, fahaman dan ilmu-ilmu buatan manusia sehingga melepasi kebesaran Allah Ta’ala dalam Rububiyah-Nya, Mulkiyah-Nya, Uluhiyah-Nya dan Asma’ Wa Sifat-Nya.

Sehinggakan, begitu diperlukan sekali ilmu pengetahuan yang haq menurut syari’at Islam dalam jihad baik secara konsep, pensyari’atan, hukum, kaifiyat amalan dan konsekuensi dari pelaksanaannya. Sekiranya niyat dan matlamat perbuatan jihad terpesong dari landasan syari’at, maka perjuangan tersebut adalah kosong, bid’ah dan dosa semata. Untuk itu, setiap perbuatan ibadah jihad hendaklah atas niyat dan matlamat yang jelas ya’ni hanyalah fii sabilillah.

Juga perlu difahami benar-benar, perlaksanaan maqsud dan tujuan jihad bukanlah tiket untuk menakluk, membuat kerosakkan di muka bumi, memerangi tanpa sebab yang benar, memperhambakan mana-mana qaum atau kawasan, bukan juga untuk membina empayar kekuasaan secara bathil, meletakkan hukum hakam ditangan sendiri dan jauh sekali untuk memaksa seseorang atau segolongan untuk memasuki Islam. Batasan-batasan ini jelas dinyatakan oleh Allah Ta’ala :

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 190

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan toghut (syaitan), dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 256

Bersambung….. Semoga nukilan ini telah membantu dan memberikan pedoman seqadar yang termampu kepada para penanya dan pembaca. InsyaAllah.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam


Nota...
Musttafaqun Alaihi ialah hadith yang diriwayatkan oleh Al-imam Al Bukhari dan Al-imam Muslim

Read more...

Asy Syahid Ja'far bin Abi Tholib Rhu.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Dan orang-orang yang terdahulu lagi pertama-tama (masuk Islam) dari kalangan Muhajirin dan Anshar, serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah, dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, mereka kekal abadi di dalamnya. Itulah kejayaan yang agung.”
Surah At Taubah (9) : ayat 100

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Disebalik menduduki kedudukan yang mulia/tinggi di kalangan qaum Arab Quraisy, Abi Tholib (paman yang memelihara Baginda semasa kecil) adalah yang paling miskin berbanding adik beradik dan ahli keluarga yang lain. Dia memiliki jumlah ahli keluarga yang besar dan kurang kecukupan untuk menyara semua sekali. Keadaan bertambah teruk dengan bencana kemarau yang melanda Semenanjung Arab pada masa itu, yang memusnahkan tanaman dan ternakan. Beberapa catatan menyebutkan ada dikalangan masyarakat miskin pada masa itu memakan tulang belulang untuk meneruskan kehidupan.

Pada saat itu Baginda Saw. telah berkahwin dengan Khadijah Rha. Baginda berkata kepada bapa saudara yang lain ya’ni Al Abbas : Abang kamu Abu Tholib juga pamanku, memiliki keluarga yang besar. Kamu telah melihat sendiri betapa dia amat terkesan akibat kemarau dahsyat ini dan hampir kebuluran. Marilah kita pergi kepadanya dan mengambil tanggungjawab atas sebahagian dari ahli keluarganya. Aku akan mengambil satu dari anak lelakinya dan kamu mengambil satu untuk dibesarkan.

Usulan Baginda Saw. dipersetujui oleh Al Abbas dan dia mengatakan : Kata-kata kamu amat benar dan tidak terlawankan. Lalu mereka pergi menemui Abi Tholib menyampaikan hasrat : Kami mahu meringankan sebahagian beban kamu sehingga waqtu-waqtu yang sukar ini berlalu. Cadangan mereka diterima oleh Abi Tholib setelah setelah membicarakan : Kiranya kamu membenarkan aku terus memelihara Aqeel (abang tua sedikit dari Ali), maka kamu boleh mengambil yang lainnya. Setelah itu, Baginda Saw. telah mengambil sang adik ya’ni Ali manakala Al Abbas telah mengambil sang abang ya’ni Ja’far untuk dipelihara. Demikianlah kisah bagaimana Ali diambil pelihara oleh Baginda Saw.

Disebutkan bahawa terdapat 5 lelaki dari keluarga Bani Hasyim yang hampir menyerupai sifat fizikal dan perwatakan Baginda Saw. Mereka adalah 2 orang lagi sepupunya yaitu Abu Sufyan bin Al Harits dan Qutham bin Al Abbas, As Sa’ib Ibnu Ubaid (datuk kepada imam Muhammad bin Idris Asy Syafi’ie Rhm.) dan cucuanda Baginda Hassan bin Ali. Manakala yang paling hampir dalam segala hal adalah Ja’far bin Abi Tholib. Banyak orang-orang tersalah sangkaan bahawa ia Baginda Saw. apabila bertemu mereka-mereka ini.

Ja’far berdiam dan dipelihara oleh Al Abbas sehingga beliau dewasa serta boleh berdikari.
Beliau adalah seorang pemuda yang jujur, amanah, bijak, tegas dan termasuk salah seorang pelopor ternama dalam Islam. Gelaran (kunyah) beliau pula ialah Abi Masakin (ayah orang-orang miskin) kerana terlalu suka kepada faqir miskin serta berlemah-lembut dan berbuat baik kepada mereka. Beliau telah mengahwini Asma’ binti Umais, yaitu kakak kepada Ummul Mukminin Maimunah binti Umais (Perkahwinan Baginda Saw. dengan Maimunah adalah selepas pernikahan Ja’far). Selepas berkahwin, Ja’far dan Asma’ telah berpindah dari rumah Al Abbas dan memulakan hidup sendiri. Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak lelaki yaitu Muhammad, Abdullah dan Auf.

Ja’far memeluk Islam bersama-sama dengan isterinya Asma’ binti Umais pada hari yang sama menerusi Amirul Mukminin Abu Bakar As Siddiq Rhu. Ja’far dan isterinya memeluk Islam bersama-sama kumpulan yang pertama-tama mendahului orang lain (As Saabiquna Awwaluun). Mereka membawa anak-anak mereka sekali. KeIslaman mereka telah mengejutkan qaum kafir Quraisy. Berikutan menerima Islam itu, mereka telah dipulaukan dan ditimpa berbagai siksaan oleh orang kafir Quraisy, tujuan supaya mereka sukar menjalankan rutin ibadah seorang Muslim sehingga kembali kepada agama datuk nenek.  Namun, mereka berdua bersama-sama menanggung segala pahit perit menerima Islam itu dengan penuh ketabahan tanpa peduli bilakah penderitaan itu akan berakhir.

Disebabkan Ja’far dan isterinya menghadapi penyiksaan yang sangat kuat dari qaum musyrikin, akhirnya mereka diizinkan oleh Baginda Saw. untuk berhijrah ke Habsyah. Hijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun ke 5 selepas kerasulan. Ia dipimpin oleh Utsman bin Mazh`un Rhu. terdiri dari lebih kurang 11 lelaki dan 4 wanita, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. Antara sahabat yang turut serta adalah Zubir bin Al Awwam, Abdurrahman bin Aufserta anak menantu Baginda yaitu Ruqayyah dan Utsman bin Affan.

Nafsu kaum Quraisy Makkah untuk mematahkan semangat perjuangan Nabi Muhammad Saw. sangat besar, sehingga mereka mengutus Amru bin Al As dan Abdullah bin Abu Rubai'ah dengan membawa hadiah kepadanya dan kepada paderi-paderinya untuk memohon kepada Raja Najasyi agar pelarian dari Makkah itu dikembalikan dengan alasan bahawa mereka adalah pengacau agama dan perosak kekeluargaan serta kehormatan QuraisyPeranan dan kehebatan membela Islam dalam diri Ja’far bin Abi Tholib mula terserlah di dalam percakapannya dengan Raja Najasyi.

Ummu Salamah Rha. yang merupakan salah seorang dari kalangan umat Islam yang berhijrah ke Habsyah berkata : Kemudian Raja Najasyi meminta kami supaya berjumpa dengannya. Sebelum berjumpa dengan beliau, kami membuat perbincangan di antara kami. Lantas sebahagian di antara kami berkata: Sesungguhnya raja akan bertanya tentang agama kamu dan sudah pasti kamu akan membongkar segala keimanan kamu ini, biarlah Jaafar sahaja yang bercakap di kalangan kamu manakala yang lain hendaklah diam sahaja".

Ummu Salamah Rha. berkata lagi : Kemudian kami berjumpa dengan Raja Najasyi dan kami dapati beliau telah menjemput para paderinya yang berada di sebelah kiri dan kanan beliau dalam keadaan memakai pakaian labuh dan memakai penutup kepala mereka sambil membuka kitab yang berada di tangan mereka. Kami dapati Amru bin Al As serta Abdullah bin Abu Rubai'ah juga berada di sisi Raja Najasyi tersebut. Setelah kami mengambil tempat masing-masing di dalam majlis tersebut Raja Najasyi terus berpaling kepada kami dan berkata : Apakah dia agama yang kamu cipta untuk diri kamu ini menyebabkan kamu memecahbelahkan agama qaum kamu dan kamu tidak memeluk agama aku dan kamu juga tidak memeluk mana-mana agama dari agama ini?. 

Lalu Ja’far bin Abi Tholib Rhu. bangun dan berkata : Wahai Raja, ketika kami berada dalam jahiliyah kami menyembah patung-patung, memakan bangkai, melakukan perbuatan keji, memutuskan hubungan silaturahim, menyakiti jiran serta golongan yang kuat menindas golongan yang lemah. Kami berada dalam keadaan demikian sehinggalah Allah mengutuskan kepada kami seorang rasul dari kalangan kami sendiri yang kami kenal keturunannya, kebenarannya, amanahnya dan kesuciannya.

Lalu dia mengajak kami kepada Allah supaya mentauhidkan-Nya, menyembah-Nya dan membuang semua jenis penyembahan yang disembah selain daripada Allah yang dilakukan oleh kami dan datuk nenek kami seperti penyembahan batu-batu dan patung-patung. Dia juga menyuruh kami supaya bercakap benar dan menunaikan amanah, menghubungkan hubungan silaturahim, berbuat baik kepada jiran, tidak melakukan perkara haram, menumpahkan darah dan menghalangi kami dari melakukan perbuatan keji, bercakap dusta, memakan harta anak yatim, melakukan tuduhan melulu terhadap perempuan-perempuan yang suci.

Dia menyuruh kami supaya menyembah Allah Yang Maha Esa semata-mata dan tidak berlaku syirik kepada-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat serta berpuasa pada bulan Ramadhan. Lalu kami membenarkannya, kami beriman kepadanya dan mengikuti apa yang dibawa olehnya daripada Allah sehingga kami menghalalkan apa yang telah dihalalkan kepada kami dan kami mengharamkan apa yang telah diharamkan kepada kami.

Tidak ada apa yang dilakukan oleh qaum kami wahai raja, kecuali mereka menjadi musuh kepada kami. Lalu mereka menyiksa kami dengan siksaan yang sangat dahsyat, agar kami meninggalkan agama kami dan kembali kepada menyembah berhala. Setelah kami disiksa, didzalimi dan menerima tekanan demi tekanan, lalu kami mencari penyelesaian dengan keluar ke negeri kamu ini dan kami hanya memilih kamu berbanding dengan Raja yang lain dan kami ingin menjadi jiran kamu dan kami mengharapkan agar kami tidak didzalimi di bawah kekuasaan kamu.

Kata-kata Jaafar bin Abi Talib ini banyak memberi kesan kepada Raja Najasyi, lalu beliau berkata : Adakah kamu memiliki sesuatu yang di bawa oleh nabi kamu daripada Allah? Jaafar berkata : Ada. Raja Najasyi berkata : Bacalah kepadaku. Lalu Ja’far membaca kepadanya surah Maryam :

“Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad. (Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria. (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan. Dia merayu dengan berkata : Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku dan telah putih melepaklah uban kepalaku dan aku wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu……….. “.
Surah Maryam (19) : ayat 1-4 sehingga sampai separuh surah tersebut

Ummu Salamah Rha. berkata : Lalu Raja Najasyi menangis sehingga basah jambangnya dengan air mata, begitu juga dengan paderinya sehingga basah kitab suci mereka ketika mendengar ayat-ayat Allah itu. Di sini Raja Najasyi berkata kepada kami : Sesungguhnya apa yang di bawa oleh nabi kamu dan apa yang di bawa oleh nabi Isa adalah semata-mata untuk mengeluarkan umat manusia dari satu ceruk. Kemudian beliau berpaling kepada Amru dan Abdullah serta berkata kepada mereka berdua : Pulanglah, demi Allah tiada keselamatan bagi kamu berdua buat selama-lamanya.

Ummu Salamah Rha. berkata: Setelah kami keluar dari tempat Raja Najasyi, Amru bin Al As berjanji kepada kami dan berkata kepada sahabatnya : Demi Allah, esok aku akan datang berjumpa dengan raja dan aku akan memenuhi dadanya dengan kemarahan dan membakar semangat kebenciannya kepada mereka, malah aku akan berusaha untuk memerangi mereka sehingga ke akar umbi.

Lalu Abdullah berkata kepadanya : Janganlah kamu lakukan perkara itu wahai Amru, walaupun mereka tidak bersama dengan kita tetapi mereka terdiri dari kalangan qaum kerabat kita. Amru berkata kepada Abdullah : Walaupun apa katamu, demi Allah aku akan menceritakan perkara itu untuk menggetarkan kaki-kaki mereka. Demi Allah aku akan katakan kepada raja : Bahawa mereka (Ja’far dan kawan-kawannya) menyangka bahawa Isa bin Maryam seorang hamba.

Keesokan harinya Amru masuk berjumpa dengan Raja Najasyi dan berkata kepadanya : Wahai Raja! Sesungguhnya mereka ini (Ja’far dan kawan-kawannya) yang kamu jaga dan kamu kawal berkata kepada Isa bin Maryam suatu kata-kata yang agung. Lalu Raja Najasyi mengutuskan utusan berjumpa dengan Ja’far dan bertanya tentang apa yang dikatakan itu.

Ummu Salamah Rha. berkata : Apabila kami mengetahui perkara sedemikian, kami terus berjumpa sesama kami dengan perasaan yang cukup sedih dan pilu, tidak pernah kami rasakan seperti itu. Kemudian kami berbincang sesama kami : Apakah yang akan kamu katakan tentang Isa apabila ditanya oleh raja?. Lalu kami berkata : Demi Allah kami tidak berkata apa-apa pun tentang Isa kecuali apa yang telah dikatakan oleh Allah dan tidak pernah terkeluar dari perintah-Nya sedikitpun dari apa yang dibawa oleh nabi kami, dengan apa yang kami pegang ini tidak mungkin berlaku apa yang dikatakan itu. Kemudian kami bersetuju untuk bercakap dengan mewakilkan kata-kata kami itu kepada Ja’far bin Abi Tholib juga.

Setelah kami dipanggil oleh Raja Najasyi kami masuk dan kami dapati keadaan para paderinya sama sebagaimana yang kami lihat dahulu dan kami dapati di sana juga terdapat Amru bin Al As dan temannya itu. Apabila kami berada di antara mereka, kami ditanya dengan kata-katanya : Apakah yang telah kamu katakan terhadap Isa bin Maryam? Ja’far bin Abi Talib berkata kepadanya : Tidak ada apa yang kami katakan melainkan apa yang telah dikatakan oleh nabi kami Saw. Lalu Raja Najasyi bertanya kepada Ja’afar : Apakah yang dikatakan oleh nabi kamu terhadap Isa? Lalu Ja’far menjawab : Nabi kami berkata : Bahawa dia adalah hamba Allah dan rasul-Nya serta Rohullah dan Kalimah-Nya yang telah dicampakkan kepada Maryam yang perawan. 

Setelah Raja Najasyi mendengar kata-kata Ja’far itu, dia terus menepuk tangannya ke bumi dan berkata : Demi Allah! Apa yang dikatakan oleh nabi kamu terhadap Maryam semuanya betul dan sedikit pun tidak terkeluar walau pun sehalus rambut. Lalu para paderi merungut mengkritik apa yang dikatakan oleh Raja Najasyi itu. Lantas Raja Najasyi terus berkata : Walau pun kamu merungut mengkritik! Kemudian dia berpaling dan berkata : Pergilah kamu semua, sesungguhnya kamu telah aman dan sesiapa yang mencela kamu menerima kerugian dan sesiapa yang menghalang kamu akan menerima balasan. Demi Allah! aku tidak suka sekiranya aku memiliki bukit emas sedangkan salah seorang daripada kamu disakiti. Kemudian Raja Najasyi melihat kepada Amru dan sahabatnya lalu berkata : Kembalikan hadiah dua lelaki ini kepada mereka, aku tidak memerlukannya.

Ummu Salamah Rha. berkata : Amru dan Abdullah keluar dengan hati yang penuh sangat sedih dan cukup kecewa, sedangkan kami tetap berada di sisi Raja Najasyi mendapat perlindungan dan menjadi jiran yang dihormati. Rombongan muhajjirin ini tinggal beberapa lama di Habsyah (Abbysinia) dengan aman damai melaksanakan ibadah seorang Muslim dengan naungan dan perlindungan Raja Najasyi. 

Kemudian Ja’far bersama para sahabatnya meninggalkan Habsyah kembali ke Madinah pada tahun ke 7 Hijrah sejurus selepas Baginda Saw. pulang dari perang Khaibar dan sebelum peristiwa pembukaan Kota Makkah. Kepulangan rombongan dari habsyah disambut meriah dan Baginda Saw. gembira dengan kedatangan mereka itu.

Ja’far bin Abi Tholib gugur syahid di dalam peperangan Mu'tah bersama anak angkat kesayangan Zaid bin Haritsah dan Abdullah bin Rawahah. Kesyahidan mereka ini  menyebabkan Rasulullah Saw. berasa sangat sedih. Perang Mu’tah merupakan perang pertama yang berlaku secara langsung antara ummat Islam dengan pihak Nasrani.

Ia berpunca daripada utusan yang dikirimkan oleh Rasulullah Saw. yaitu Harits bin Umar Azdi Rhu. kepada beberapa orang raja bertujuan supaya mereka memeluk agama Islam telah dibunuh. Dalam perjalanan menghantar surat kepada Raja Busra, di Mu’tah, beliau telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani, ya’ni salah seorang Gabenor Qaisar.  Pembunuhan ini adalah bertentangan dengan semua undang-undang kesusilaan di antara suku-suku, sebab Harits Rhu. hanyalah utusan untuk menyampaikan surat.

Rasulullah Saw. amat dukacita atas kematian Harits, lalu beliau mengumpul seramai 3,000 pejuang yang gagah berani untuk menentang musuh yang jahat itu.   Baginda Saw. melantik Zaid Bin Haritsah sebagai Panglima. Baginda seterusnya bersabda :

Sekiranya Zaid terbunuh maka Ja’far Bin Abi Tholib hendaklah mengetuai pasukan dan jika Ja’far juga terbunuh, maka Abdullah Bin Rawahah hendaklah mengetuai pasukan. Dan sekiranya Abdullah juga terbunuh, maka bolehlah kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu yang kamu kehendaki”.

Sebelum tentera Islam berangkat menuju ke medan pertempuran, Rasulullah Saw. memberikan sehelai bendera putih yang diperbuat sendiri oleh Baginda kepada Zaid. Baginda menemani tentera-tentera Islam beberapa langkah di luar Kota Madinah dan berdoa : Semoga Allah Swt. akan mengembalikan kamu dengan selamat dan memperoleh kejayaan. Semoga Allah Swt. mmelihara kamu semua dari segala kejahatan.

Pihak musuh pula diketuai oleh Sarjil.  Mereka telah mengetahui mengenai persediaan tentera Islam dan mengumpulkan 100,000 tentera yang lengkap dengan alat kelengkapan perang. Ketika Sarjil dan bala tenteranya hendak mara, dia mendapat tahu bahawa Qaisar sendiri sedang mara dengan satu batalion tentera yang terdiri 100,000 orang untuk menolong Sarjil.   Apabila berita ini sampai kepada para sahabat yang sedang dalam perjalanan, mereka merasa ragu-ragu dan mereka berfikir sama ada untuk menentang musuh Islam yang berjumlah 200,000 orang itu, atau pun tidak.  Atau mereka mengirim utusan kepada Rasulullah Saw. untuk mendapatkan nasihat.

Dalam ragu-ragu itu, Abdullah Bin Rawahah dengan penuh semangat pejuang berkata dengan suara yang lantang : Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua.  Apakah tujuan sebenar kamu datang ke sini?  Bukankah kamu semua datang ke sini untuk MATI SYAHID.  Kita sebagai pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera.  Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah Swt. ke atas setiap kita pejuang-pejuang agama-Nya.  Kita hendaklah mempastikan salah satu antara dua, Kemenangan atau Syahid.

Apabila para sahabat yang lain mendengar kata-kata semangat dari Abdullah Bin Rawahah itu, maka para sahabat pun beri’tiqad untuk tetap bertemu dengan tentera-tentera Kristian di medan perang Mu’tah.

Saat medan pertempuran, Zaid mengenggam bendera di tangan dan mengarahkan tugas bagi menghadapi pertempuran.  Maka berlakulah pertempuran yang sengit. Dalam pertempuran yang sedang rancak berjalan itu, saudara lelaki Sarjil mati dan Sarjil sendiri melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah kubu. Tentera Islam tetap bertarung dengan semangat jihad walaupun angka tentera musuh jauh berbeza dari tentera Islam yang cuma 3,000 orang sahaja.  dalam pertempuran yang sengit itu, maka syahidlah Zaid, Ketua Panglima tentera Islam.

Ja’far mengambil alih sebagai ketua dan menggenggam bendera. Beliau dengan senghaja melumpuhkan kaki kudanya agar beliau tidak dapat meninggalkan medan pertempuran jika datang perasaannya untuk meninggalkan medan pertempuran itu. Dengan memegang bendera Islam yang berkibaran di sebelah tangan, dan sebelah tangan lagi beliau memegang pedang, beliau terus meluru ke arah musuh. Sewaktu meluru tangan kanan beliau yang memegang bendera telah ditetak, beliau dengan segera memegang bendera dengan tangan kiri, tetapi tangan kiri beliau juga ditetak, beliau tetap memegang kuat dengan mengigit bendera dengan bantuan kedua belah bahunya yang telah kudung. darah mengalir seperti air paip, datanglah musuh dari arah belakang lalu menetak Ja’far sehingga terbelah dua, dan syahidlah Ja’far pada usia ketika itu 33 tahun.

Abdullah Bin Umar Rhu. menceritakan : Ketika kami mengangkat janazah beliau keluar dari medan pertempuran, kami mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau.

Sewaktu Ja’far syahid, Abdullah Bin Rawahah sedang makan daging di penjuru medan, beliau sudah 3 hari kelaparan.  Sebaik sahaja beliau mendengar tentang kematian Ja’far, dengan segera beliau mencampakkan daging dengan berkata : Abdullah kamu ini asyik sibuk dengan makan, sedang Ja’far telah pun sampai ke syurga.

Abdullah terus mencapai bendera dan meluru ke arah musuh.  Dalam pertempuran itu anak-anak jarinya banyak yang parah dan tergantung isi.  Beliau meletakkan anak-anak jarinya ke bawah lalu dipijak dengan kaki dan ditarik sehingga jari-jarinya bercerai dari tangannya.  Kemudian  beliau terus mara dan beliau berhenti sebentar dan memikirkan tentera Islam yang sedikit berbanding tentera musuh yang ramai.  Dalam tengah berangan-angan itu, dia tersentak dan berkata : Wahai hati, apa yang menyebabkan kamu memikirkan demikian? Adakah kerana cinta kepada isteriku? Kalau begitu aku ceraikan kamu pada saat ini juga.  Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu aku bebaskan mereka semua. Adakah kerana kebun? Kalau begitu aku berikan sebagai sadaqah.

Oleh kerana keletihan dan kelaparan, beliau turun dari kudanya, sementara sepupunya datang membawa sekeping daging kepadanya dengan berkata : Kamu tidak dapat tidur dan makan kerana kelaparanmu selama 3 hari. Apabila Abdullah hendak mengambil daging tersebut, beliau telah mendengar laungan musuh di satu sudut medan pertempuran, beliau melempar daging tersebut, dengan pedang yang terhunus, beliau meluru ke arah musuh dan berjuang sehingga beliau juga syahid di medan pertempuran itu.

Banyak diriwayatkan dalam catatan sejarah bahawa sebaik sahaja Ja’far gugur syahid itu, Allah Swt. telah menggantikan kedua-dua belah tangannya yang putus itu dengan sepasang sayap berhias permata yakut dan terus terbang menuju ke syurga milik-Nya. Maka Ja’far juga turut dikenali dalam sejarah sebagai Ja’far At Tuyyur (Terbang ke Syurga) atau Ja’far Dhu Al Jinahayn (empunya sepasang sayap). Begitulah balasan besar Allah Swt. ke atas pengorbanan Ja’far dalam mempertahankan Islam.

Disaat Ja’far gugur syahid dan pergi ke syurga Allah, Rasulullah Saw. mendapat khabar kesyahidan itu menerusi Jibril Ahs. Baginda mengunjungi rumah beliau dan menemui Asma’ dan bersabda : Wahai Asma’, dimanakah anak-anak kamu Muhammad, Abdullah dan Auf, bawalah mereka semua kepadaku.

Asma’ membalas : Wahai Pesuruh Allah, apakah ada berita mengenai suamiku Ja’far yang sampai kepadamu?. Sambil memeluk anak-anak lelaki Ja’far yang tidak mengerti apa-apa itu, Baginda menangis dengan suara yang tersekat-sekat penuh kesedihan seraya bersabda : Ja’far kini telah syahid wahai Asma’ di jalan Allah. Dia kini sedang berada di samping-Nya di syurga atas segala pengorbanannya memerangi pihak musuh tanpa sebarang perasaan gentar dan takut sedikit pun.

: Tetapi janganlah kamu meraung dan meratap sehingga menepuk dada, kepala dan mengoyakkan pakaian kerana terlalu sedih. Baginda Saw. memberi panduan kepada isteri Ja’far dan semua ummat Baginda supaya terus bersabar dan berserah kepada Allah Swt., tidak meratapi kematian seperti adat perbuatan orang Arab jahiliyah dahulu kala. Sedangkan pada saat itu, Baginda sendiri pun berasa sangat sedih atas kematian sepupu yang disayanginya itu sehingga menitiskan air mata kepiluan.

Pertalian rapat antara mereka digambarkan seperti antara saudara yang paling mirip kepada Baginda dalam apa juga aspek termasuk akhlak, tubuh badan dan rupa paras. Maka tidak menghairankan Baginda begitu merasai kehilangan Ja’far. Bagi mengubati kesedihan dan meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga Ja’far, Baginda meminta para sahabat yang lain supaya mengunjungi dan menghantar makanan kepada isteri dan anak-anak Ja’far. Baginda bersabda :

Dari Abdulllah bin Ja’far Rhu. beliau berkata : Apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Tholib) Rhu., Nabi Saw. bersabda : Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli (keluarga) Ja’far (isteri-isteri dan anak-anaknya). Sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”.
Hadis riwayat imam Abu Dawud Rhm, imam Tirmidzi Rhm. dan imam Ibnu Majah Rhm. dengan sanad yang sahih

Demikianlah serba ringkas riwayat perjuangan seorang pejuang Islam yang telah meletakkan segala hidupnya kepada Allah dan Islam semata-mata yang dapat dicatatkan. Moga rohnya terus dirahmati Allah Swt. Mudah-mudahan riwayat perjuangan Asy Syahid Ja’far bin Abi Tholib Rhu. ini memberi i’tibar kepada kita semua. Mohon maaf juga atas kerja terjemahan yang kurang kemas.


والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Read more...