بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.
Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.
“Dan orang-orang yang terdahulu lagi pertama-tama (masuk Islam) dari kalangan Muhajirin dan Anshar, serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah, dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, mereka kekal abadi di dalamnya. Itulah kejayaan yang agung.”
Surah At Taubah (9) : ayat 100
Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.
Disebalik menduduki kedudukan yang mulia/tinggi di kalangan qaum Arab Quraisy, Abi Tholib (paman yang memelihara Baginda semasa kecil) adalah yang paling miskin berbanding adik beradik dan ahli keluarga yang lain. Dia memiliki jumlah ahli keluarga yang besar dan kurang kecukupan untuk menyara semua sekali. Keadaan bertambah teruk dengan bencana kemarau yang melanda Semenanjung Arab pada masa itu, yang memusnahkan tanaman dan ternakan. Beberapa catatan menyebutkan ada dikalangan masyarakat miskin pada masa itu memakan tulang belulang untuk meneruskan kehidupan.
Pada saat itu Baginda Saw. telah berkahwin dengan Khadijah Rha. Baginda berkata kepada bapa saudara yang lain ya’ni Al Abbas : Abang kamu Abu Tholib juga pamanku, memiliki keluarga yang besar. Kamu telah melihat sendiri betapa dia amat terkesan akibat kemarau dahsyat ini dan hampir kebuluran. Marilah kita pergi kepadanya dan mengambil tanggungjawab atas sebahagian dari ahli keluarganya. Aku akan mengambil satu dari anak lelakinya dan kamu mengambil satu untuk dibesarkan.
Usulan Baginda Saw. dipersetujui oleh Al Abbas dan dia mengatakan : Kata-kata kamu amat benar dan tidak terlawankan. Lalu mereka pergi menemui Abi Tholib menyampaikan hasrat : Kami mahu meringankan sebahagian beban kamu sehingga waqtu-waqtu yang sukar ini berlalu. Cadangan mereka diterima oleh Abi Tholib setelah setelah membicarakan : Kiranya kamu membenarkan aku terus memelihara Aqeel (abang tua sedikit dari Ali), maka kamu boleh mengambil yang lainnya. Setelah itu, Baginda Saw. telah mengambil sang adik ya’ni Ali manakala Al Abbas telah mengambil sang abang ya’ni Ja’far untuk dipelihara. Demikianlah kisah bagaimana Ali diambil pelihara oleh Baginda Saw.
Disebutkan bahawa terdapat 5 lelaki dari keluarga Bani Hasyim yang hampir menyerupai sifat fizikal dan perwatakan Baginda Saw. Mereka adalah 2 orang lagi sepupunya yaitu Abu Sufyan bin Al Harits dan Qutham bin Al Abbas, As Sa’ib Ibnu Ubaid (datuk kepada imam Muhammad bin Idris Asy Syafi’ie Rhm.) dan cucuanda Baginda Hassan bin Ali. Manakala yang paling hampir dalam segala hal adalah Ja’far bin Abi Tholib. Banyak orang-orang tersalah sangkaan bahawa ia Baginda Saw. apabila bertemu mereka-mereka ini.
Ja’far berdiam dan dipelihara oleh Al Abbas sehingga beliau dewasa serta boleh berdikari.
Beliau adalah seorang pemuda yang jujur, amanah, bijak, tegas dan termasuk salah seorang pelopor ternama dalam Islam. Gelaran (kunyah) beliau pula ialah Abi Masakin (ayah orang-orang miskin) kerana terlalu suka kepada faqir miskin serta berlemah-lembut dan berbuat baik kepada mereka. Beliau telah mengahwini Asma’ binti Umais, yaitu kakak kepada Ummul Mukminin Maimunah binti Umais (Perkahwinan Baginda Saw. dengan Maimunah adalah selepas pernikahan Ja’far). Selepas berkahwin, Ja’far dan Asma’ telah berpindah dari rumah Al Abbas dan memulakan hidup sendiri. Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak lelaki yaitu Muhammad, Abdullah dan Auf.
Ja’far memeluk Islam bersama-sama dengan isterinya Asma’ binti Umais pada hari yang sama menerusi Amirul Mukminin Abu Bakar As Siddiq Rhu. Ja’far dan isterinya memeluk Islam bersama-sama kumpulan yang pertama-tama mendahului orang lain (As Saabiquna Awwaluun). Mereka membawa anak-anak mereka sekali. KeIslaman mereka telah mengejutkan qaum kafir Quraisy. Berikutan menerima Islam itu, mereka telah dipulaukan dan ditimpa berbagai siksaan oleh orang kafir Quraisy, tujuan supaya mereka sukar menjalankan rutin ibadah seorang Muslim sehingga kembali kepada agama datuk nenek. Namun, mereka berdua bersama-sama menanggung segala pahit perit menerima Islam itu dengan penuh ketabahan tanpa peduli bilakah penderitaan itu akan berakhir.
Disebabkan Ja’far dan isterinya menghadapi penyiksaan yang sangat kuat dari qaum musyrikin, akhirnya mereka diizinkan oleh Baginda Saw. untuk berhijrah ke Habsyah. Hijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun ke 5 selepas kerasulan. Ia dipimpin oleh Utsman bin Mazh`un Rhu. terdiri dari lebih kurang 11 lelaki dan 4 wanita, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. Antara sahabat yang turut serta adalah Zubir bin Al Awwam, Abdurrahman bin Aufserta anak menantu Baginda yaitu Ruqayyah dan Utsman bin Affan.
Nafsu kaum Quraisy Makkah untuk mematahkan semangat perjuangan Nabi Muhammad Saw. sangat besar, sehingga mereka mengutus Amru bin Al As dan Abdullah bin Abu Rubai'ah dengan membawa hadiah kepadanya dan kepada paderi-paderinya untuk memohon kepada Raja Najasyi agar pelarian dari Makkah itu dikembalikan dengan alasan bahawa mereka adalah pengacau agama dan perosak kekeluargaan serta kehormatan Quraisy. Peranan dan kehebatan membela Islam dalam diri Ja’far bin Abi Tholib mula terserlah di dalam percakapannya dengan Raja Najasyi.
Ummu Salamah Rha. yang merupakan salah seorang dari kalangan umat Islam yang berhijrah ke Habsyah berkata : Kemudian Raja Najasyi meminta kami supaya berjumpa dengannya. Sebelum berjumpa dengan beliau, kami membuat perbincangan di antara kami. Lantas sebahagian di antara kami berkata: Sesungguhnya raja akan bertanya tentang agama kamu dan sudah pasti kamu akan membongkar segala keimanan kamu ini, biarlah Jaafar sahaja yang bercakap di kalangan kamu manakala yang lain hendaklah diam sahaja".
Ummu Salamah Rha. berkata lagi : Kemudian kami berjumpa dengan Raja Najasyi dan kami dapati beliau telah menjemput para paderinya yang berada di sebelah kiri dan kanan beliau dalam keadaan memakai pakaian labuh dan memakai penutup kepala mereka sambil membuka kitab yang berada di tangan mereka. Kami dapati Amru bin Al As serta Abdullah bin Abu Rubai'ah juga berada di sisi Raja Najasyi tersebut. Setelah kami mengambil tempat masing-masing di dalam majlis tersebut Raja Najasyi terus berpaling kepada kami dan berkata : Apakah dia agama yang kamu cipta untuk diri kamu ini menyebabkan kamu memecahbelahkan agama qaum kamu dan kamu tidak memeluk agama aku dan kamu juga tidak memeluk mana-mana agama dari agama ini?.
Lalu Ja’far bin Abi Tholib Rhu. bangun dan berkata : Wahai Raja, ketika kami berada dalam jahiliyah kami menyembah patung-patung, memakan bangkai, melakukan perbuatan keji, memutuskan hubungan silaturahim, menyakiti jiran serta golongan yang kuat menindas golongan yang lemah. Kami berada dalam keadaan demikian sehinggalah Allah mengutuskan kepada kami seorang rasul dari kalangan kami sendiri yang kami kenal keturunannya, kebenarannya, amanahnya dan kesuciannya.
Lalu dia mengajak kami kepada Allah supaya mentauhidkan-Nya, menyembah-Nya dan membuang semua jenis penyembahan yang disembah selain daripada Allah yang dilakukan oleh kami dan datuk nenek kami seperti penyembahan batu-batu dan patung-patung. Dia juga menyuruh kami supaya bercakap benar dan menunaikan amanah, menghubungkan hubungan silaturahim, berbuat baik kepada jiran, tidak melakukan perkara haram, menumpahkan darah dan menghalangi kami dari melakukan perbuatan keji, bercakap dusta, memakan harta anak yatim, melakukan tuduhan melulu terhadap perempuan-perempuan yang suci.
Dia menyuruh kami supaya menyembah Allah Yang Maha Esa semata-mata dan tidak berlaku syirik kepada-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat serta berpuasa pada bulan Ramadhan. Lalu kami membenarkannya, kami beriman kepadanya dan mengikuti apa yang dibawa olehnya daripada Allah sehingga kami menghalalkan apa yang telah dihalalkan kepada kami dan kami mengharamkan apa yang telah diharamkan kepada kami.
Tidak ada apa yang dilakukan oleh qaum kami wahai raja, kecuali mereka menjadi musuh kepada kami. Lalu mereka menyiksa kami dengan siksaan yang sangat dahsyat, agar kami meninggalkan agama kami dan kembali kepada menyembah berhala. Setelah kami disiksa, didzalimi dan menerima tekanan demi tekanan, lalu kami mencari penyelesaian dengan keluar ke negeri kamu ini dan kami hanya memilih kamu berbanding dengan Raja yang lain dan kami ingin menjadi jiran kamu dan kami mengharapkan agar kami tidak didzalimi di bawah kekuasaan kamu.
Kata-kata Jaafar bin Abi Talib ini banyak memberi kesan kepada Raja Najasyi, lalu beliau berkata : Adakah kamu memiliki sesuatu yang di bawa oleh nabi kamu daripada Allah? Jaafar berkata : Ada. Raja Najasyi berkata : Bacalah kepadaku. Lalu Ja’far membaca kepadanya surah Maryam :
“Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad. (Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria. (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan. Dia merayu dengan berkata : Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku dan telah putih melepaklah uban kepalaku dan aku wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu……….. “.
Surah Maryam (19) : ayat 1-4 sehingga sampai separuh surah tersebut
Ummu Salamah Rha. berkata : Lalu Raja Najasyi menangis sehingga basah jambangnya dengan air mata, begitu juga dengan paderinya sehingga basah kitab suci mereka ketika mendengar ayat-ayat Allah itu. Di sini Raja Najasyi berkata kepada kami : Sesungguhnya apa yang di bawa oleh nabi kamu dan apa yang di bawa oleh nabi Isa adalah semata-mata untuk mengeluarkan umat manusia dari satu ceruk. Kemudian beliau berpaling kepada Amru dan Abdullah serta berkata kepada mereka berdua : Pulanglah, demi Allah tiada keselamatan bagi kamu berdua buat selama-lamanya.
Ummu Salamah Rha. berkata: Setelah kami keluar dari tempat Raja Najasyi, Amru bin Al As berjanji kepada kami dan berkata kepada sahabatnya : Demi Allah, esok aku akan datang berjumpa dengan raja dan aku akan memenuhi dadanya dengan kemarahan dan membakar semangat kebenciannya kepada mereka, malah aku akan berusaha untuk memerangi mereka sehingga ke akar umbi.
Lalu Abdullah berkata kepadanya : Janganlah kamu lakukan perkara itu wahai Amru, walaupun mereka tidak bersama dengan kita tetapi mereka terdiri dari kalangan qaum kerabat kita. Amru berkata kepada Abdullah : Walaupun apa katamu, demi Allah aku akan menceritakan perkara itu untuk menggetarkan kaki-kaki mereka. Demi Allah aku akan katakan kepada raja : Bahawa mereka (Ja’far dan kawan-kawannya) menyangka bahawa Isa bin Maryam seorang hamba.
Keesokan harinya Amru masuk berjumpa dengan Raja Najasyi dan berkata kepadanya : Wahai Raja! Sesungguhnya mereka ini (Ja’far dan kawan-kawannya) yang kamu jaga dan kamu kawal berkata kepada Isa bin Maryam suatu kata-kata yang agung. Lalu Raja Najasyi mengutuskan utusan berjumpa dengan Ja’far dan bertanya tentang apa yang dikatakan itu.
Ummu Salamah Rha. berkata : Apabila kami mengetahui perkara sedemikian, kami terus berjumpa sesama kami dengan perasaan yang cukup sedih dan pilu, tidak pernah kami rasakan seperti itu. Kemudian kami berbincang sesama kami : Apakah yang akan kamu katakan tentang Isa apabila ditanya oleh raja?. Lalu kami berkata : Demi Allah kami tidak berkata apa-apa pun tentang Isa kecuali apa yang telah dikatakan oleh Allah dan tidak pernah terkeluar dari perintah-Nya sedikitpun dari apa yang dibawa oleh nabi kami, dengan apa yang kami pegang ini tidak mungkin berlaku apa yang dikatakan itu. Kemudian kami bersetuju untuk bercakap dengan mewakilkan kata-kata kami itu kepada Ja’far bin Abi Tholib juga.
Setelah kami dipanggil oleh Raja Najasyi kami masuk dan kami dapati keadaan para paderinya sama sebagaimana yang kami lihat dahulu dan kami dapati di sana juga terdapat Amru bin Al As dan temannya itu. Apabila kami berada di antara mereka, kami ditanya dengan kata-katanya : Apakah yang telah kamu katakan terhadap Isa bin Maryam? Ja’far bin Abi Talib berkata kepadanya : Tidak ada apa yang kami katakan melainkan apa yang telah dikatakan oleh nabi kami Saw. Lalu Raja Najasyi bertanya kepada Ja’afar : Apakah yang dikatakan oleh nabi kamu terhadap Isa? Lalu Ja’far menjawab : Nabi kami berkata : Bahawa dia adalah hamba Allah dan rasul-Nya serta Rohullah dan Kalimah-Nya yang telah dicampakkan kepada Maryam yang perawan.
Setelah Raja Najasyi mendengar kata-kata Ja’far itu, dia terus menepuk tangannya ke bumi dan berkata : Demi Allah! Apa yang dikatakan oleh nabi kamu terhadap Maryam semuanya betul dan sedikit pun tidak terkeluar walau pun sehalus rambut. Lalu para paderi merungut mengkritik apa yang dikatakan oleh Raja Najasyi itu. Lantas Raja Najasyi terus berkata : Walau pun kamu merungut mengkritik! Kemudian dia berpaling dan berkata : Pergilah kamu semua, sesungguhnya kamu telah aman dan sesiapa yang mencela kamu menerima kerugian dan sesiapa yang menghalang kamu akan menerima balasan. Demi Allah! aku tidak suka sekiranya aku memiliki bukit emas sedangkan salah seorang daripada kamu disakiti. Kemudian Raja Najasyi melihat kepada Amru dan sahabatnya lalu berkata : Kembalikan hadiah dua lelaki ini kepada mereka, aku tidak memerlukannya.
Ummu Salamah Rha. berkata : Amru dan Abdullah keluar dengan hati yang penuh sangat sedih dan cukup kecewa, sedangkan kami tetap berada di sisi Raja Najasyi mendapat perlindungan dan menjadi jiran yang dihormati. Rombongan muhajjirin ini tinggal beberapa lama di Habsyah (Abbysinia) dengan aman damai melaksanakan ibadah seorang Muslim dengan naungan dan perlindungan Raja Najasyi.
Kemudian Ja’far bersama para sahabatnya meninggalkan Habsyah kembali ke Madinah pada tahun ke 7 Hijrah sejurus selepas Baginda Saw. pulang dari perang Khaibar dan sebelum peristiwa pembukaan Kota Makkah. Kepulangan rombongan dari habsyah disambut meriah dan Baginda Saw. gembira dengan kedatangan mereka itu.
Ja’far bin Abi Tholib gugur syahid di dalam peperangan Mu'tah bersama anak angkat kesayangan Zaid bin Haritsah dan Abdullah bin Rawahah. Kesyahidan mereka ini menyebabkan Rasulullah Saw. berasa sangat sedih. Perang Mu’tah merupakan perang pertama yang berlaku secara langsung antara ummat Islam dengan pihak Nasrani.
Ia berpunca daripada utusan yang dikirimkan oleh Rasulullah Saw. yaitu Harits bin Umar Azdi Rhu. kepada beberapa orang raja bertujuan supaya mereka memeluk agama Islam telah dibunuh. Dalam perjalanan menghantar surat kepada Raja Busra, di Mu’tah, beliau telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani, ya’ni salah seorang Gabenor Qaisar. Pembunuhan ini adalah bertentangan dengan semua undang-undang kesusilaan di antara suku-suku, sebab Harits Rhu. hanyalah utusan untuk menyampaikan surat.
Rasulullah Saw. amat dukacita atas kematian Harits, lalu beliau mengumpul seramai 3,000 pejuang yang gagah berani untuk menentang musuh yang jahat itu. Baginda Saw. melantik Zaid Bin Haritsah sebagai Panglima. Baginda seterusnya bersabda :
“Sekiranya Zaid terbunuh maka Ja’far Bin Abi Tholib hendaklah mengetuai pasukan dan jika Ja’far juga terbunuh, maka Abdullah Bin Rawahah hendaklah mengetuai pasukan. Dan sekiranya Abdullah juga terbunuh, maka bolehlah kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu yang kamu kehendaki”.
Sebelum tentera Islam berangkat menuju ke medan pertempuran, Rasulullah Saw. memberikan sehelai bendera putih yang diperbuat sendiri oleh Baginda kepada Zaid. Baginda menemani tentera-tentera Islam beberapa langkah di luar Kota Madinah dan berdoa : Semoga Allah Swt. akan mengembalikan kamu dengan selamat dan memperoleh kejayaan. Semoga Allah Swt. mmelihara kamu semua dari segala kejahatan.
Pihak musuh pula diketuai oleh Sarjil. Mereka telah mengetahui mengenai persediaan tentera Islam dan mengumpulkan 100,000 tentera yang lengkap dengan alat kelengkapan perang. Ketika Sarjil dan bala tenteranya hendak mara, dia mendapat tahu bahawa Qaisar sendiri sedang mara dengan satu batalion tentera yang terdiri 100,000 orang untuk menolong Sarjil. Apabila berita ini sampai kepada para sahabat yang sedang dalam perjalanan, mereka merasa ragu-ragu dan mereka berfikir sama ada untuk menentang musuh Islam yang berjumlah 200,000 orang itu, atau pun tidak. Atau mereka mengirim utusan kepada Rasulullah Saw. untuk mendapatkan nasihat.
Dalam ragu-ragu itu, Abdullah Bin Rawahah dengan penuh semangat pejuang berkata dengan suara yang lantang : Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua. Apakah tujuan sebenar kamu datang ke sini? Bukankah kamu semua datang ke sini untuk MATI SYAHID. Kita sebagai pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera. Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah Swt. ke atas setiap kita pejuang-pejuang agama-Nya. Kita hendaklah mempastikan salah satu antara dua, Kemenangan atau Syahid.
Apabila para sahabat yang lain mendengar kata-kata semangat dari Abdullah Bin Rawahah itu, maka para sahabat pun beri’tiqad untuk tetap bertemu dengan tentera-tentera Kristian di medan perang Mu’tah.
Saat medan pertempuran, Zaid mengenggam bendera di tangan dan mengarahkan tugas bagi menghadapi pertempuran. Maka berlakulah pertempuran yang sengit. Dalam pertempuran yang sedang rancak berjalan itu, saudara lelaki Sarjil mati dan Sarjil sendiri melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah kubu. Tentera Islam tetap bertarung dengan semangat jihad walaupun angka tentera musuh jauh berbeza dari tentera Islam yang cuma 3,000 orang sahaja. dalam pertempuran yang sengit itu, maka syahidlah Zaid, Ketua Panglima tentera Islam.
Ja’far mengambil alih sebagai ketua dan menggenggam bendera. Beliau dengan senghaja melumpuhkan kaki kudanya agar beliau tidak dapat meninggalkan medan pertempuran jika datang perasaannya untuk meninggalkan medan pertempuran itu. Dengan memegang bendera Islam yang berkibaran di sebelah tangan, dan sebelah tangan lagi beliau memegang pedang, beliau terus meluru ke arah musuh. Sewaktu meluru tangan kanan beliau yang memegang bendera telah ditetak, beliau dengan segera memegang bendera dengan tangan kiri, tetapi tangan kiri beliau juga ditetak, beliau tetap memegang kuat dengan mengigit bendera dengan bantuan kedua belah bahunya yang telah kudung. darah mengalir seperti air paip, datanglah musuh dari arah belakang lalu menetak Ja’far sehingga terbelah dua, dan syahidlah Ja’far pada usia ketika itu 33 tahun.
Abdullah Bin Umar Rhu. menceritakan : Ketika kami mengangkat janazah beliau keluar dari medan pertempuran, kami mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau.
Sewaktu Ja’far syahid, Abdullah Bin Rawahah sedang makan daging di penjuru medan, beliau sudah 3 hari kelaparan. Sebaik sahaja beliau mendengar tentang kematian Ja’far, dengan segera beliau mencampakkan daging dengan berkata : Abdullah kamu ini asyik sibuk dengan makan, sedang Ja’far telah pun sampai ke syurga.
Abdullah terus mencapai bendera dan meluru ke arah musuh. Dalam pertempuran itu anak-anak jarinya banyak yang parah dan tergantung isi. Beliau meletakkan anak-anak jarinya ke bawah lalu dipijak dengan kaki dan ditarik sehingga jari-jarinya bercerai dari tangannya. Kemudian beliau terus mara dan beliau berhenti sebentar dan memikirkan tentera Islam yang sedikit berbanding tentera musuh yang ramai. Dalam tengah berangan-angan itu, dia tersentak dan berkata : Wahai hati, apa yang menyebabkan kamu memikirkan demikian? Adakah kerana cinta kepada isteriku? Kalau begitu aku ceraikan kamu pada saat ini juga. Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu aku bebaskan mereka semua. Adakah kerana kebun? Kalau begitu aku berikan sebagai sadaqah.
Oleh kerana keletihan dan kelaparan, beliau turun dari kudanya, sementara sepupunya datang membawa sekeping daging kepadanya dengan berkata : Kamu tidak dapat tidur dan makan kerana kelaparanmu selama 3 hari. Apabila Abdullah hendak mengambil daging tersebut, beliau telah mendengar laungan musuh di satu sudut medan pertempuran, beliau melempar daging tersebut, dengan pedang yang terhunus, beliau meluru ke arah musuh dan berjuang sehingga beliau juga syahid di medan pertempuran itu.
Banyak diriwayatkan dalam catatan sejarah bahawa sebaik sahaja Ja’far gugur syahid itu, Allah Swt. telah menggantikan kedua-dua belah tangannya yang putus itu dengan sepasang sayap berhias permata yakut dan terus terbang menuju ke syurga milik-Nya. Maka Ja’far juga turut dikenali dalam sejarah sebagai Ja’far At Tuyyur (Terbang ke Syurga) atau Ja’far Dhu Al Jinahayn (empunya sepasang sayap). Begitulah balasan besar Allah Swt. ke atas pengorbanan Ja’far dalam mempertahankan Islam.
Disaat Ja’far gugur syahid dan pergi ke syurga Allah, Rasulullah Saw. mendapat khabar kesyahidan itu menerusi Jibril Ahs. Baginda mengunjungi rumah beliau dan menemui Asma’ dan bersabda : Wahai Asma’, dimanakah anak-anak kamu Muhammad, Abdullah dan Auf, bawalah mereka semua kepadaku.
Asma’ membalas : Wahai Pesuruh Allah, apakah ada berita mengenai suamiku Ja’far yang sampai kepadamu?. Sambil memeluk anak-anak lelaki Ja’far yang tidak mengerti apa-apa itu, Baginda menangis dengan suara yang tersekat-sekat penuh kesedihan seraya bersabda : Ja’far kini telah syahid wahai Asma’ di jalan Allah. Dia kini sedang berada di samping-Nya di syurga atas segala pengorbanannya memerangi pihak musuh tanpa sebarang perasaan gentar dan takut sedikit pun.
: Tetapi janganlah kamu meraung dan meratap sehingga menepuk dada, kepala dan mengoyakkan pakaian kerana terlalu sedih. Baginda Saw. memberi panduan kepada isteri Ja’far dan semua ummat Baginda supaya terus bersabar dan berserah kepada Allah Swt., tidak meratapi kematian seperti adat perbuatan orang Arab jahiliyah dahulu kala. Sedangkan pada saat itu, Baginda sendiri pun berasa sangat sedih atas kematian sepupu yang disayanginya itu sehingga menitiskan air mata kepiluan.
Pertalian rapat antara mereka digambarkan seperti antara saudara yang paling mirip kepada Baginda dalam apa juga aspek termasuk akhlak, tubuh badan dan rupa paras. Maka tidak menghairankan Baginda begitu merasai kehilangan Ja’far. Bagi mengubati kesedihan dan meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga Ja’far, Baginda meminta para sahabat yang lain supaya mengunjungi dan menghantar makanan kepada isteri dan anak-anak Ja’far. Baginda bersabda :
Dari Abdulllah bin Ja’far Rhu. beliau berkata : Apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Tholib) Rhu., Nabi Saw. bersabda : Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli (keluarga) Ja’far (isteri-isteri dan anak-anaknya). Sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”.
Hadis riwayat imam Abu Dawud Rhm, imam Tirmidzi Rhm. dan imam Ibnu Majah Rhm. dengan sanad yang sahih
Demikianlah serba ringkas riwayat perjuangan seorang pejuang Islam yang telah meletakkan segala hidupnya kepada Allah dan Islam semata-mata yang dapat dicatatkan. Moga rohnya terus dirahmati Allah Swt. Mudah-mudahan riwayat perjuangan Asy Syahid Ja’far bin Abi Tholib Rhu. ini memberi i’tibar kepada kita semua. Mohon maaf juga atas kerja terjemahan yang kurang kemas.
والله تعالى أعلم , وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan